Friday, September 24, 2010

Agong Akhiri Lawatan Ke Kanada Dengan Meminta Rakyat Malaysia Tingkatkan Prestasi Diri

Tuanku Mizan Zainal Abidin bergambar dengan delegasi Malaysia dan pengurusan kanan Hospital Besar Montreal, Kanada, kelmarin. Di sebelah kiri Baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. - BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengakhiri Lawatan Tugas Khas baginda selama enam hari ke Kanada kelmarin (semalam di Malaysia).

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada Selwyn Das berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson untuk mengucapkan selamat berangkat pulang kepada Seri Paduka yang menaiki pesawat khas pada 11 malam (11 pagi Khamis waktu Malaysia) selepas menghadiri majlis santapan malam bersama masyarakat Malaysia di Villa Malaysia di Toronto.

Menurut Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Seri Paduka akan singgah di London bagi menyertai Karnival Merdeka Bersama rakyat Malaysia anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.

Seri Paduka dijadual tiba di Malaysia dari lawatan itu pada 28 September.

Kunjungan Tuanku Mizan ke Kanada adalah lanjutan kerjasama projek Brain Gain Malaysia yang dianjurkan bersama oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Ia antara lain untuk meninjau peluang kerjasama antara institusi pengajian tinggi tempatan dengan universiti terkemuka di Kanada dalam pelbagai bidang.

Sementara itu pada majlis santapan malam bersama masyarakat Malaysia di Villa Malaysia di Toronto Rabu malam Yang di-Pertuan Agong in menyeru rakyat Malaysia di Kanada supaya terus meningkatkan mentaliti serta prestasi diri seiring dengan kemajuan negara tersebut.

Tuanku Mizan Zainal Abidin diperkenalkan kepada pemilik Restoran Villa Malaysia, Howard Chew (dua dari kiri) oleh Selwyn Das (dua dari kanan) pada majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di Toronto, kelmarin.

Titah Seri Paduka, keberangkatan baginda ke Universiti McGill di Montreal dan Universiti Guelph di sini telah dapat memberi gambaran yang jelas mengenai komitmen kerajaan Kanada dalam bidang pendidikan.

"Beta juga percaya bahawa negara ini mempunyai banyak potensi untuk bertambah maju di masa hadapan. Jesteru Beta menyeru rakyat Malaysia yang berada di sini dapat mengambil peluang untuk terus meningkatkan mentaliti serta prestasi diri ke tahap yang lebih tinggi seiring dengan kemajuan negara," titah baginda.

Tuanku Mizan berada di Toronto dalam rangka Lawatan Tugas Khas ke Kanada selama enam hari. Turut serta ialah Raja Permaisuri Agong, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Nurliza Mahmud.

Baginda juga melahirkan rasa sukacita apabila difahamkan bahawa rakyat Malaysia yang berada di negara ini adalah terdiri dari kalangan kumpulan profesional, ahli perniagaan serta para penuntut di universiti serata Kanada.

Baginda juga mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin di negara ini supaya sentiasa menjaga nama baik dan imej Malaysia dalam apa jua perkara yang mereka lakukan.

"Pada masa yang sama, beta berharap saudara dan saudari sekalian akan terus menghormati adat resam dan cara hidup masyarakat tempatan," titah baginda.

Terdahulu Tuanku Mizan sempat mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia di Kanada.

"Sesungguhnya beta serta seluruh anggota rombongan dari Malaysia berasa amat gembira kerana berpeluang untuk bertemu dengan saudara dan saudari sekalian pada bulan syawal yang mulia ini dan membolehkan beta mengetahui tentang hal-ehwal kebajikan dan keadaan rakyat Malaysia di sini, " titah baginda.

Baginda bertitah lawatan ke Kanada ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan baik dan kerjasama antara Malaysia dengan Kanada yang merupakan sebuah negara sahabat bagi Malaysia.

Terdahulu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada Selwyn Das dalam ucapannya menyeru kira-kira 20,000 rakyat Malaysia di Kanada agar dapat bersama-sama mengukuhkan dan meningkatkan imej Malaysia di dalam semua bidang yang terlibat khususnya dalam bidang pendidikan, perniagaan serta pelancongan.

Beliau juga mengingatkan agar semua rakyat Malaysia juga tidak sekali-kali melupakan tanah air dan sentiasa bersedia menyumbang kepada pembangunan negara melalui kepakaran, kemahiran dan pengalaman yang dipunyai oleh mereka khususnya bagi memastikan Gagasan 1Malaysia boleh direalisasikan.

"Pada masa sama, saya juga berharap rakyat Malaysia di Kanada akan sentiasa memberi sokongan dan kerjasama yang penuh kepada usaha-usaha Suruhanjaya Tinggi untuk mengukuhkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Kanada," katanya.

Terdahulu pada Khamis Tuanku Mizan melawat Universiti Guelph di mana baginda diberi taklimat mengenai kajian sains pemakanan dan pertanian termasuk inovasi Gen Biosteel, pertanian persis dan teknologi makanan melalui program NASA Life Support System (Salsa).

Baginda turut dibawa melawat projek rumah hijau Salsa, iaitu projek penyelidikan yang bertujuan mengkaji teknologi pertanian di angkasa lepas.

Kastam Terengganu Pungut RM380 Juta Cukai Bagi Lapan Bulan Pertama

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu berjaya memungut cukai sebanyak RM380 juta bagi lapan bulan pertama tahun ini atau 71.92 peratus daripada jumlah sasaran RM529 juta sehingga akhir tahun ini.

Pengarah Kastam negeri Datuk Azis Yacub berkata jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding pungutan cukai RM366 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

"Pungutan komoditi utama kita di Terengganu ialah melalui duti eksport petroleum iaitu sebanyak RM357 juta atau 33.38 peratus daripada keseluruhan pungutan cukai," katanya pada majlis rumah terbuka hari raya Kastam Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Azis berkata hasil lain yang diperoleh adalah daripada levi keuntungan luar biasa yang menunjukkan peningkatan sebanyak 143.71 peratus iaitu kelapa sawit di mana pihaknya berjaya memungut sebanyak RM1.16 juta berbanding RM417,000 pada tahun lepas bagi tempoh lapan bulan pertama.

Kastam Terengganu juga memperoleh hasil daripada cukai jualan import, duti eksais yang melibatkan pembayaran ke atas barangan antaranya kenderaan, minuman keras dan rokok.

Beliau berkata cukai ke atas kenderaan juga meningkat daripada RM8,000 tahun lepas kepada RM21,000 tahun ini manakala duti import tahun lepas yang dikutip sebanyak RM4.7 sudah meningkat kepada RM5.1 juta bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Azis berkata Kastam Terengganu mengambil pendekatan dengan mengenal pasti kelemahan yang ada bagi meningkatkan lagi perkhidmatan jabatan.

Beliau berkata Kastam Terengganu menubuhkan pusat khidmat atau 'klinik' pada setiap hari Ahad minggu pertama setiap bulan mulai pukul 8 pagi hingga 10 malam bagi memudahkan rakyat negeri itu berjumpa dengan pegawai untuk menyelesaikan sebarang masalah berkaitan jabatan itu.

YPU Akan Buka Sebuah Lagi Hotel Di Kuala Terengganu

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu akan membuka sebuah hotel bertempat di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) di Kampung Banggol Tuan Muda di Kuala Terengganu tahun hadapan.

Pengurus Besar YPU Azmi Razik berkata, hotel empat tingkat itu akan dikendalikan oleh usahawan Terengganu dan akan dikenali sebagai T-Hotel KUT bertempat di satu bahagian di kompleks berkenaan.

"Kita sudah ada bangunan KUT di situ yang dibina dengan kos RM25 juta. Cuma sekarang kita nak ubahsuai untuk dijadikan hotel melibatkan perbelanjaan RM8.3 juta dan dijangka akan beroperasi tahun hadapan," katanya ketika ditemui pada rumah terbuka sempena Hari Raya YPU kelmarin.

Azmi berkata, selain menempatkan hotel, kompleks itu juga buat julung kalinya akan mewujudkan Kota Batik Terengganu dengan menyediakan inkubator, kilang memproses batik, galeri batik dan ruang niaga batik.

"Kita mahu jadikannya seperti Kota Batik yang ada di Solo, Indonesia, sebagai tempat promosi batik dan sebagai destinasi pelancongan baru di kawasan berkenaan," katanya.

Katanya, selain Kota Batik, kompleks itu juga akan menempatkan T-Shop, T-Kafe, lot-lot pejabat usahawan dan sebagainya di mana kawasan itu akan menjadi satu mini pekan baru.

Azmi berkata, YPU juga merancang untuk membina sebuah lagi hotel berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang akan dinamakan T-Hotel Airport yang dijangka akan siap pada 2011 dan beroperasi pada 2012.

Sementara itu, Azmi berkata Pesta Aidilfitri dan juga Bazar Ramadan bertempat di Pusat Dagangan Terengganu baru-baru ini, usahawan Terengganu berjaya membuat jualan sehingga RM3 juta sepanjang tempoh sebulan pesta itu berlangsung.

"Kita bercadang untuk jadikan ruang yang ada di sekitar Pusat Dagangan Terengganu sebagai tempat berniaga untuk memberi peluang kepada lebih ramai usahawan Terengganu menjalankan perniagaan mereka," katanya.

53 Pendatang Tanpa Izin Ditahan Dalam Ops Sapu Di Kuala Besut

Seramai 53 pendatang tanpa izin ditahan dalam Ops Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Terengganu di sebuah tapak pembinaan projek rumah pangsa dekat Kuala Besut, Selasa.

Mereka yang ditahan dalam operasi kira-kira dua jam bermula pukul 11 pagi itu terdiri daripada rakyat Indonesia, Bangladesh dan Vietnam.

Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu Azhar Abd Hamid berkata ketika serbuan dibuat, kesemua mereka termasuk tiga wanita sedang bekerja di tapak pembinaan itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan termasuk 24 orang menyalahguna pas kerja, 16 tiada dokumen pengenalan diri dan 13 lagi tinggal lebih masa di negara ini," katanya kelmarin.

Beliau berkata operasi itu membabitkan 29 anggota jabatan itu dan 12 anggota Rela.

Kesemua yang ditahan itu dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, katanya.

Empat kawasan inap desa baru di Terengganu

Empat lagi kawasan inap desa (homestay) baru di Dungun dan Kuala Terengganu dijangka diluluskan tidak lama lagi ekoran sambutan yang amat menggalakkan.

Pengarah Pejabat Pelancongan negeri, Ahmad Fathil Abdul Ghani berkata, bagaimanapun permohonan untuk mendaftarkan sebagai inap desa masih di peringkat penelitian kementerian berkaitan.

Menurut beliau, ini kerana beberapa kriteria perlu diambil kira termasuk melihat kemudahan bilik yang disediakan, dapur dan tandas serta aktiviti setempat di kawasan berkenaan.

''Ia selaras dengan matlamat untuk menggalakkan lebih ramai warga desa bergiat dalam industri pelancongan yang dilancarkan pada 1994," ujarnya kepada Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, di Terengganu, program inap desa hanya mula dilaksanakan sejak tiga tahun lalu dan jumlah pelancong asing terus meningkat kepada 300 peratus pada tahun ini.

Katanya, inap desa di bawah anjuran kementerian merupakan satu bentuk pengalaman di mana pelancong akan tinggal bersama keluarga tuan rumah pengusaha.

''Para pelancong berpeluang untuk berinteraksi serta mengalami gaya hidup seharian masyarakat kampung dan kebudayaan mereka atau yang berunsurkan pengalaman,'' katanya.

Tambah beliau, sebagai satu produk di bawah Kementerian Pelancongan, peserta didedahkan dengan pelbagai kursus pengendalian.

''Program yang dilaksanakan itu akan dipantau dan prasarana turut dibantu bagi memastikan keselesaan kepada pelancong dan pengusaha turut menjalani pelbagai kursus,'' katanya.

Menurut Ahmad Fathil, pengusaha inap desa juga digalakkan mempunyai persatuan di peringkat negeri untuk memudahkan aktiviti penyelarasan dan diberi bantuan pengurusan pentadbiran.

Bagaimanapun katanya, pada masa ini, banyak pengusaha yang menyediakan kemudahan rumah sewa atau penginapan menggunakan istilah inap desa.

Katanya, ia menimbulkan kekeliruan di kalangan pelancong kerana inap desa di bawah Kementerian Pelancongan adalah konsep yang berbeza dengan rumah sewa atau penginapan.

Menurut beliau, masalah tersebut telah dibincangkan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di kalangan pelancong.

Beliau berkata, sehingga kini, Terengganu mempunyai enam program inap desa berdaftar dengan Kementerian Pelancongan yang membabitkan 96 buah rumah.

Katanya, dua di Kuala Terengganu adalah Homestay Teluk Ketapang (31 buah rumah) dan Homestay Pulau Duyung (enam buah), Homestay Kampung Raja, Dungun (26 buah), Homestay Kampung Rhu Sepuluh, Setiu (17 buah) , Homestay Kampung Buluh, Hulu Terengganu (10 buah) Homestay Felda Selasih, Jertih, Besut (17 buah).

Pelajar kolej dituduh edar pil kuda 379.59 gram

Seorang pelajar kolej di Kemaman berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar pil kuda seberat 379.59 gram, minggu lalu.

Syamil Taufik @ Zainal Arifin, 19, didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine itu di rumah bernombor 713, Lorong Setia 8, Taman Setia, Durian Burung di Kuala Terengganu pada pukul 8.10 pagi, 17 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh oleh Majistret Siti Faraziana Zainuddin.

Mahkamah menetapkan 23 November ini untuk sebutan semula kes bagi memberi peluang tertuduh melantik peguam bela.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Mohammad.

Akhbar sebelum ini menyiarkan kejayaan polis melumpuhkan kegiatan pengedaran pil kuda terbesar di daerah ini dengan penangkapan sepasang kekasih berusia 19 tahun dalam satu serbuan di rumah tersebut.

Seorang lagi lelaki yang merupakan abang tertuduh berusia 23 tahun turut ditahan dan polis merampas 4,000 pil kuda bernilai kira-kira RM100,000 dalam serbuan tersebut.

Pada prosiding hari ini, abang dan teman wanita tertuduh tidak didakwa di mahkamah.
Orang ramai melepaskan tanglung-tanglung terbang sempena Karnival Tanglung 2010 di dataran berkembar Kampung Cina, Kuala Terengganu, kelmarin.

Lebih 3,000 pengunjung pelbagai kaum memenuhi dataran berkembar Kampung Cina di Kuala Terengganu untuk melihat ratusan 'Kong Ming Deng' (tanglung terbang) berwarna-warni yang dilepaskan ke langit pada Festival Tanglung 2010 semalam.

Acara bermula dengan simbolik nyalaan dan pelepasan 126 tanglung yang diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Toh Chin Yaw, Datuk Bandar, Datuk Adzlan Dagang dan beberapa pemimpin masyarakat Cina tempatan.

Persekitaran dataran berkembar yang baru siap dibina itu diterangi cahaya tanglung yang dilepaskan dan ia menarik minat pengunjung pelbagai kaum yang turut sama mencuba amalan tradisional masyarakat Tionghua itu.

Tanglung berbentuk bujur yang diperbuat daripada kertas minyak itu yang ditulis dengan pelbagai hajat dan ucapan pemiliknya sebelum ia dilepaskan.

Selain tanglung terbang, hampir keseluruhan kediaman di sepanjang Kampung Cina dihiasi dengan tanglung tradisional pelbagai jenis yang dibuat sendiri oleh pemiliknya menerangi jalan itu.

Terdapat lebih 60 gerai jualan yang terdapat di sepanjang dataran itu yang memeriahkan lagi suasana.

Selain itu, pelbagai acara lain yang diadakan pada festival tersebut seperti pertunjukkan wayang kulit, pameran orang lebah, jualan produk makanan Cina dan pertunjukan kungfu dan tarian 1Malaysia.

Menurut Chin Yaw yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, semangat 1Malaysia yang dilaungkan pemimpin negara dapat dilihat pada pesta tanglung tahun ini.

Katanya, penganjuran Festival Tanglung pada tahun ini memberi kelainan besar apabila ia diadakan di tapak warisan perkampungan masyarakat Cina.

"Melihat masyarakat Cina turut sama membantu pengunjung kaum lain yang ingin mencuba untuk melepaskan tanglung terbang ini menjadikan suasana pada malam ini sungguh harmoni.

"Kita berharap pada tahun-tahun akan datang acara ini akan diadakan secara besar-besaran seperti ini agar dapat mengeratkan perpaduan antara kaum," ujarnya ketika ditemui pemberita

Thursday, September 23, 2010

Akaun Diguna Untuk Kes Ugutan SMS Milik Pelanggan Bernama Irwan - Saksi

"Hazwan meminta saya mengaktifkan akaun berkenaan untuk Irwan bagi kegunaan UMNO. Selepas mengaktifkan akaun tersebut, saya menyerahkan nama akaun dan kata laluan kepada Hazwan. Saya tidak kenal siapa Irwan," kata Mohd Latif Kachong

Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, semalam diberitahu bahawa akaun aplikasi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang digunakan untuk menghantar mesej berbaur ugutan bunuh kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu diaktifkan sebelum menerima pembayaran langganan.

Pengarah Urusan Syarikat Mobile Biz Network yang memiliki aplikasi perkhidmatan OwnSms-Broadcast, Mohd Latif Kachong berkata, beliau meluluskan pengaktifan akaun untuk pelanggan bernama Irwan selepas diminta berbuat demikian oleh pemilik syarikat itu, Hazwan Abu Hassan.

Menurut Mohd Latif, pengaktifan sesuatu akaun itu sama ada belum atau telah menerima pembayaran langganan bergantung kepada budi bicara beliau.

"Hazwan meminta saya mengaktifkan akaun berkenaan untuk Irwan bagi kegunaan UMNO. Selepas mengaktifkan akaun tersebut, saya menyerahkan nama akaun dan kata laluan kepada Hazwan. Saya tidak kenal siapa Irwan," katanya ketika menjawab soalan peguam bela di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Mohd Latif memberi keterangan dalam perbicaraan terhadap Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, iaitu setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang dituduh menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga ADUN BN negeri itu.

Mohd Latif berkata, beliau juga tidak boleh memastikan sama ada sistem dan server aplikasi tersebut atau akaun milik Irwan itu telah digodam.

Katanya, pihaknya juga tidak mengawal dan menyelia server yang menempatkan aplikasi tersebut kerana ia diuruskan oleh syarikat lain.

Dr Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas ADUN Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi ADUN, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) (gambar kiri) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 hingga 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Dr Ahmad Ramzi diwakili tiga peguam bela iaitu Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff, Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami.

Perbicaraan bersambung semula pada 26 hingga 28 Oktober ini.

University Of Guelph Rai Tuanku Mizan Dalam Majlis Makan Malam

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berada di Montreal, Kanada menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan Prinsipal Universiti McGill, Heather Munroe-Blum (kanan) serta Ketua Pengarah dan Ketua Eksekutif Pusat Hospital Universiti Montreal, Dr Arthur Porter (kiri) di Moun Royal Club, kelmarin. - Foto Bernama

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menghadiri majlis santapan malam yang diadakan oleh Presiden dan Naib Canselor University of Guelph, Dr Alastair Summerlee di Toronto, semalam.

Jamuan adalah bagi meraikan baginda yang tiba di Toronto, untuk melakukan lawatan tugas-tugas khas selama dua hari sebelum meneruskan lawatan empat hari ke Montreal sempena program Brain Gain.

Turut menghadiri majlis santapan tersebut ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Seri Nrrliza Mahmud, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, Selwyn Das dan isteri Renuka Das serta Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Tan Sri Dr Zulkeli Abu Hassan.

Program Brain Gain adalah anjuran bersama Yayasan Diraja Sultan Mizan, Akademi Sains Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang bertujuan meningkatkan rangkaian kerjasama antara penyelidik dan kakitangan akademik universiti-universiti di Malaysia dengan McGill University di Montreal dan University of Guelph di Toronto.

Kelmarin Tuanku Mizan berangkat melawat McGill University Health Centre (MUHC) di Montreal General Hospital.

Keberangkatan tiba baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif MUHC, Dr Arthur Porter, Pengarahnya Dr Vassilios Papadopoulos dan Pengarah Pembangunan Perniagaan, Pusat Penyelidikan MUHC Dr Costas Karatzas.

Semasa lawatan 90 minit itu, Tuanku Mizan diberi taklimat mengenai projek "Super Hospital" oleh Dr Porter dan mengenai program penyelidikan pusat tersebut oleh Dr Papadopoulos, diikuti penerangan mengenai keseluruhan hospital oleh pakar pembinaan Yanai Elbaz.

Tuanku Mizan kini dalam rangka lawatan tugas-tugas khas ke Kanada bersempena program "Brain Gain" yang dianjurkan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) yang dipengerusikan baginda.

MUHC ialah jaringan kerja hospital komuniti dan pusat pembelajaran yang bersekutu dengan McGill University.

Sebagai hospital yang juga berperanan sebagai pusat pembelajaran, MUHC memberi pendidikan tinggi dan jagaan kuaterner untuk pesakit dari seluruh Quebec dan tempat lain, selain jagaan primer dan sekunder serta perkhidmatan trauma kecemasan untuk dewasa dan kanak-kanak di kawasan Montreal.

Tujuh misi klinikal MUHC ialah perubatan pediatrik (Montreal Children's Hospital), perubatan, surgeri, neurosains ( Montreal Neurological Hospital), kesihatan wanita, kesihatan mental dan jagaan kanser.

Sementara itu di luar lawatan itu, beberapa memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara tiga institusi pengajian tinggi Malaysia iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) bersama MUHC, Pusat Penyelidikan MUHC dan Royal Institution for the Advancement of Learning, McGill University.

Antara bidang kerjasama yang dipersetujui di bawah MoU tersebut ialah pertukaran jangka pendek dan jangka panjang fakulti, pertukaran pelajar siswazah dan pertukaran tenaga pengajar.

Mereka juga bersetuju melakukan kerjasama penyelidikan dan penemuan, pembelajaran, pengajaran serta pengambilan, secara khususnya kerjasama penyelidikan dalam sains kardiovaskular, perubatan kanser, gerontologi, geriatrik, fisiologi pembiakan, perubatan genom dan "tocotrienol".

Mewakili UiTM ialah Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Sahul Hamid Abu Bakar, sementara UNISZA diwakili Timbalan Naib Canselor, Prof Dr A Manaf Ali, dan UPM oleh Naib Canselor, Prof Tan Sri Nik Mustapha Abdullah.

McGill diwakili Naib Canselor (Hal-Ehwal Kesihatan), Dr Richard I Levin, yang juga Dekan Fakulti Perubatan.

Pada masa yang sama UiTM juga menandatangani MoU berasingan dengan MUHC mengenai pembangunan hospital berteknologi termoden, sementara UNISZA dan MUHC bersetuju merancang dan membangunkan hospital pembelajaran termaju di Malaysia.

Mengulas mengenai MoU itu, Dr Karatzas berkata ia akan menjadi asas untuk memulakan kerja oleh tenaga kerja dan pelajar.

"Bermula sebagai rasa ingin tahu secara saintifik, kini sudah menjadi jaringan kerja untuk pelbagai aktiviti bagi pelajar, program, hala tuju saintifik, dan saya fikir hanya imaginasi kita saja menjadi batas kepada sejauh mana interaksi ini boleh berlangsung," katanya kepada kumpulan wakil media Malaysia pada majlis itu di Montreal.

Pesawat Tudm Tergelincir Di LTSM

Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) DA90 (Falcon) terkandas di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), disebabkan tayarnya pecah ketika melakukan pendaratan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan TUDM di Kuala Terengganu semalam, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.25 pagi tadi, ketika pesawat dari No 2 Skuadron itu menjalani latihan penerbangan.

Juruterbang telah bertindak pantas memberhentikan pesawat berkenaan yang berjaya mengelak berlakunya sebarang kerosakan lain, katanya.

Akibat kejadian itu, landasan telah ditutup sehingga pukul 1 petang semalam.

Pasukan Teknikal yang tiba di lokasi kejadian telah berjaya menukar tayar tersebut dan pesawat akan diterbangkan kembali ke Pangkalan Udara Subang, menurut kenyataan itu.

Geng Tepuk Belakang Untuk Curi Kad ATM Ditahan Di Terengganu

Tiga lelaki warga Peru dan Argentina ditahan dua hari lepas di Kemaman kerana menjalankan aktiviti mencuri kad ATM mangsa ketika mangsa mahu mengeluarkan wang di mesin ATM.

Mereka yang berumur antara 30 dan 60 tahun ditangkap oleh orang ramai yang menyedari perbuatan tersebut.

Polis menganggap kumpulan ini sebagai sindiket antarabangsa yang dikesan aktif di Terengganu sejak dua bulan lalu dengan kerugian yang dilaporkan dialami setakat ini bernilai kira-kira RM30,000.

"Anggota sindiket ini mempunyai kepakaran untuk menukar kad ATM mangsa dengan kad mereka sendiri.

"Taktik mereka ialah apabila mangsa sedang memasukkan kad ATM ke dalam mesin ATM, mereka akan segera menepuk belakang mangsa dan menunjukkan bahawa kononnya sesuatu benda milik mangsa telah tejatuh ke atas lantai dan pada masa yang sama mereka dengan pantas akan menukarkan kad ATM mangsa di mesin ATM dengan kad ATM mereka," kata Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata kebanyakan kes sebegini berlaku di Setiu, Dungun, Kemaman dan yang terbaru di Besut.

Beliau berkata polis sedang menyiasat sama ada kumpulan ini melakukan kegiatan yang sama di negeri lain.

Mohd Shukri berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer yang boleh membawa denda RM50,000 dan penjara jika sabit kesalahan.

MBKT Timbang 20 Permohonan Baru Pusat Karaoke

Ramainya yang berminat menyanyi di Terengganu.

Buktinya?

Jumlah pusat karaoke di bandar ini dijangka bertambah berikutan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu kini dalam proses menimbang sekurang-kurangnya 20 permohonan baru.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata sehingga kini pihaknya telah meluluskan operasi tujuh pusat karaoke di bandar ini.

"Untuk permohonan baru, tiada masalah untuk kita luluskan sekiranya permohonan dibuat mengikut kriteria yang ditetapkan," katanya.

Adzlan berkata antara kriteria yang ditetapkan ialah pusat karaoke itu tidak terletak dalam kawasan perumahan, tempat ibadat dan sekolah.

Beliau berkata dalam masa tiga bulan dari sekarang, MBKT akan mengadakan operasi untuk memastikan pusat karaoke sedia ada mematuhi syarat lesen termasuk menghentikan operasi bagi menghormati waktu solat.

Bapa Kanak-kanak Maut Letupan Mercun Dihukum Penjara Setahun

Bapa kanak-kanak yang maut akibat letupan mercun, Ayub Abd. Rahman selepas dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah memiliki sejumlah mercun di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, 22 Sept 2010. - Utusan

Bapa kepada Khairul Arif Ayub, 6, kanak-kanak yang terbunuh dalam kejadian letupan mercun di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga di sini dihukum penjara 12 bulan atas kesalahan memiliki bahan letupan terdiri dari mercun dan bunga api.

Majistret Nor Azizah Yusof memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh, Ayub Abd Rahman, 29, bermula dari tarikh sabitan Rabu.

Ayub, seorang buruh, didakwa memiliki mercun dan bunga api di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Seri Nilam, Kampung Makam Lama, Chabang Tiga, di sini, pada 3 petang 22 Ogos lepas.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) itu, tertuduh boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Ketika merayu hukuman ringan Ayub berkata beliau hanya bekerja sebagai buruh.

Ketika menjatuhkan hukuman, Nor Azizah berkata mahkamah mengambil kira pengakuan salah tertuduh yang menjimatkan masa mahkamah.

Bagaimanapun, katanya kesalahan yang dilakukan tertuduh itu adalah serius kerana melibatkan kematian kepada anak tertuduh dan kecederaan parah terhadap dua mangsa.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Insp V Ravi.

Turut kelihatan berada di mahkamah isteri tertuduh, Kamariah Sufian, 25.

Media melaporkan dalam kejadian letupan pada kira-kira 12.30 tengah hari itu, Khairul Arif maut selepas dikatakan tercampak ke atas pokok setinggi 15 meter akibat letupan itu dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Manakala dua pemuda Mohd Asrizan Muda, 22, dan Mazlan Abdullah, 29, turut mengalami cedera parah dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Sementara itu, seorang lagi pemuda yang mengaku salah memiliki pelbagai jenis mercun, dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara setahun jika tidak membayar denda di mahkamah sama.

Khaidir Mohamad, 24, berasal dari Kampung Losong Haji Mat Shafie, didakwa memiliki pelbagai jenis mercun di tempat jualan ikan Pasar Chabang Tiga, pada 6.45 petang 8 September lalu dan didakwa mengikut Seksyen 8 akta yang sama.

19 Disember sebutan semula permohonan 2 lelaki ingin murtad

Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Terengganu, semalam menetapkan 19 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula permohonan dua lelaki untuk keluar daripada agama Islam.

Hakim Syarie Rosdi Harun menetapkan sebutan semula permohonan Mohd Rajiman Chin Abdullah, 48, dan Mohd Ramzan Maniarasan, 38, akan dibuat secara bersama pada tarikh berkenaan.

Beliau menetapkan tarikh itu selepas Peguam Syarie, Syed Ahmad Shabuddin Syed Nong yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebagai responden kes itu memaklumkan mahkamah, Pegawai Penasihat Undang-Undang Syariah yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAIT) sedang cuti bersalin.

Beliau meminta mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula yang baru untuk kedua-dua permohonan itu iaitu selepas pegawai wanita itu kembali bertugas pada Disember ini.

Rosdi berkata beliau berharap tempoh yang panjang sehingga tarikh sebutan semula itu digunakan sebaik-baiknya oleh kedua-dua pihak untuk membuat persediaan memandangkan kes itu serius dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan akidah.

Katanya beliau mahu memberi peluang kepada dua agensi yang menjaga kepentingan orang Islam di Terengganu itu bersedia dengan dokumen lengkap untuk berhadapan dengan tuntutan itu.

"Untuk pemohon pula, kalau betul-betul mahu teruskan hasrat ini boleh lantik peguam. Memohon untuk keluar Islam bukan satu perkara yang ringan. Kalau orang Islam yang murtad, boleh dibunuh, itu hukum Islam," katanya.

Ketika mengulas permohonan Mohd Rajiman supaya kes beliau diselesaikan dengan segera, Rosdi berkata mahkamah mempunyai prosedur khusus yang perlu dipatuhi.

Mohd Ramzan pula berkata beliau terpaksa membawa permohonannya itu sendiri ke mahkamah kerana tidak ada peguam syarie yang mahu mewakilinya, ketika ditanya sama ada akan melantik peguam untuk mewakilinya.

Tuesday, September 21, 2010

Tuanku Mizan lawat Hospital Montreal

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin melawat Montreal General Hospital di Montreal, Kanada, Semalam. Tuanku Mizan berada di Kanada dalam rangka lawatan khas ke negara itu sehingga Sabtu 23 September ini. - Gambar BERNAMA

Penagih Dadah Di Terengganu Meningkat 1,366.67 Peratus

Langkah drastik bersepadu perlu dilakukan segera kerana Terengganu kini merekodkan jumlah penagih dadah yang tinggi sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

Peningkatan ialah sebanyak 1,584 penagih berbanding hanya 108 bagi tempoh yang sama tahun lalu iaitu meningkat kepada 1,366.67 peratus.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri Terengganu Wan Addenan Wan Mohd Noor berkata, daerah Besut mencatatkan bilangan penagih paling tinggi iaitu seramai 445 diikuti daerah Kemaman (351) dan Kuala Terengganu (229) manakala Dungun (188), Hulu Terengganu (128) dan Setiu (91).

"Kita dapati daerah-daerah yang berada di sempadan mecatatkan penagihan yang tinggi seperti Besut dan Kemaman manakala daerah-daerah lain juga turut meningkat," katanya ketika ditemui pada majlis Hari Raya AADK negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata, mengikut profil penagih, 98.2 peratus adalah lelaki dan 98.5 peratus merupakan keturunan Melayu manakala 78.53 peratus terdiri daripada golongan belia yang berumur antara 19 dan 39 tahun.

Katanya, sebanyak 32.36 peratus penagih pula mengambil methamphetamine, 12.63 peratus morfin manakala 9.72 peratus penagih amphetamine.

"Sebanyak 42.02 peratus daripada mereka mengaku mula terjebak dengan dadah disebabkan oleh pengaruh rakan," katanya.

Beliau berkata, sehingga bulan lepas, bilangan kes pemulihan dalam komuniti di Terengganu yang direkodkan seramai 3,266 orang.

Mereka terdiri daripada bekas penagih yang telah menjalani pemulihan di institusi (266 orang), dijatuhkan hukuman oleh mahkamah (461 orang), dibebaskan dari penjara (2,477 orang), dan juga kes sukarela (108 orang) manakala dari jumlah tersebut 97.89 peratus adalah lelaki.

Wan Addenan menasihatkan ibu bapa atau penjaga memberi perhatian yang serius kepada anak-anak mereka supaya tidak terjebak dengan gejala dadah.

Sementara itu beliau berkata, AADK negeri Terengganu akan membuka sebuah lagi Pusat Khidmat AADK di Besut bulan depan sebagai pusat rawatan dan pemulihan bagi penagih dadah.

Katanya sebelum ini AADK telah membuka pusat itu di Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu pada tahun lepas bagi membantu merawat dan memulihkan penagih daripada ketagihan dadah secara percuma.

Rawatan Terapeutik Guna Kuda Tarik Minat Tuanku Mizan

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin diberi penerangan oleh Debbi Wilson (dua dari kiri) mengenai terapi kuda ketika melawat Lucky Harvest Therapeutic Riding Center, Hinchinbrook, Quebec, Montreal. 20 Sept. Foto Bernama

Projek rawatan terapeutik untuk kanak-kanak istimewa dan orang kurang upaya menggunakan kuda menarik minat Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang berkenan melawat Lucky Harvest Therapeutic Riding Center, di Hinchinbroooke, Quebec.

Tuanku Mizan yang disambut penyelaras dan pengajar pusat berkenaan Debbie Wilson, mendengar taklimat berhubung projek itu selain beramah mesra dengan mereka yang terlibat di dalam program berkenaan.

The Lucky Harvest Project ditubuhkan pada Disember 1990, dengan misi utama untuk membantu memperbaiki tubuh, fikiran, dan semangat anak-anak dan orang dewasa yang mempunyai kecacatan fizikal, intelektual, cacat pertumbuhan, sosial, dan emosi, melalui terapi.

Program itu selaras dengan fokus Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) untuk membantu golongan kurang upaya (OKU), khususnya dalam penjagaan kesihatan.

Tuanku Mizan yang merupakan Pengerusi YDSM kini dalam rangka kerja Tugas Khas ke Kanada sempena program 'Brain Gain' Malaysia yang mana YDSM merupakan penerima gerannya.

Rawatan terapeutik di Lucky Harvest bermula dengan memadankan pesakit dengan kuda yang bersesuaian berdasarkan keadaan fizikal pesakit.

Rawatan di pusat itu merangkumi kecacatan fizikal, mental, dan emosi seperti Cerebral Palsy, Sindrom Down dan Rett, gangguan neuromuskuler, kecederaan otak pasca-trauma, autisme, ADHD, dan gangguan kognitif

Debbie ketika ditemui wartawan RTM dan Bernama sebelum lawatan Tuanku Mizan berkata pada masa ini terdapat kira-kira 40 kanak-kanak menjalani latihan setiap tahun dengan kira-kira lapan kanak-kanak mengikuti terapi setiap Sabtu.

"Kami guna kuda sebagai alat bagi membantu memulih dan menggalakkan kesejahteraan bagi kanak-kanak yang kurang upaya. Kami juga gunakan kuda sebagai cara mendapatkan tingkah laku tertentu...kuda-kuda ini sangat sensitif, jadi seorang kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku tertentu perlu mengawal tingkah lakunya dalam usaha mendapatkan kuda itu melakukan apa yang mereka mahukan, " katanya.

Debbie berkata 80 peratus daripada kanak-kanak yang menyertai program itu mempunyai masalah pertuturan dan 60 peratus daripada mereka adalah autistik.

Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah pertuturan, pusat itu menumpukan kepada keupayaan bahasa mereka manakala kanak-kanak autistik dapat mendekati kuda kerana ia merupakan alat komunikasi bagi mereka, katanya.

"Anggota keluarga tidak mempunyai banyak khidmat yang lain di sini. Jadi untuk melihat anak-anak anda yang tidak tahu bermain hoki, tidak boleh menari ballet atau menyertai bola sepak atau kegiatan kumpulan sosial, tunggangi dan kawal kuda seberat 1,000 paun benar-benar mengagumkan," katanya.

Semua kuda yang digunakan dalam program itu dipilih dan dilatih dengan teliti.

Mengenai lawatan Tuanku Mizan, Debbie menyifatkannya sebagai peluang yang baik bagi menggalakkan lebih ramai orang terbabit dalam program itu di seluruh dunia.

"Lawatan ini merupakan peluang kepada kami bagi menyedarkan lebih ramai orang mengenai khidmat kami di sini kerana kami tidak mempunyai kemampuan atau sumber bagi menggalakkan projek berskala besar," katanya.

Terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Montreal, Lucky Harvest Therapeutic Riding Centre di Hinchinbrooke merupakan pusat terapi berkuda Quebec yang pertama menerima sijil akreditasi.

Potensi Besar Bagi Malaysia-Kanada Kukuhkan Ekonomi Dan Perdagangan

Agensi dari Malaysia sedang menggandakan usaha untuk menarik kedatangan pelabur Kanada kerana terdapat potensi perniagaan yang besar antara kedua-dua negara yang belum diterokai, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada Selwyn Das.

Beliau berkata pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia bersama Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan untuk komuniti perniagaan Kanada.

"Kita telah wujudkan majlis perniagaan di Vancouver dan menghidupkan semula majlis perniagaan kita di Toronto kerana kita menerima banyak pertanyaan di kalangan pelabur Kanada tentang faedah yang bakal mereka peroleh jika melabur di Malaysia," katanya di Montreal.

Das yang berpangkalan di Ottawa, ditemui di Montreal untuk menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mulai Sabtu untuk memulakan lawatan tugas khas selama enam hari ke Kanada.

Lawatan Yang di-Pertuan Agong ke negara tersebut, menurut Das akan meningkatkan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam bidang pendidikan.

Turut berada di Montreal ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri.

Menurut beliau, ahli perniagaan Kanada telah memberi respon yang baik dalam forum perniagaan dan mesyuarat anjuran Matrade.

Terdapat banyak bidang perniagaan yang boleh diterokai oleh kedua-dua negara sekiranya mereka sedar tentang potensi luas yang wujud, kata Das yang bertugas di Kanada sejak Februari 2009 selepas berkhidmat selaku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, iaitu menjadi individu pertama dilantik ke jawatan itu dengan akreditasi ke Uganda, Etiopia, Burundi dan Tanzania.

"Malaysia dikenali sebagai destinasi pelaburan yang menarik tetapi masalahnya ramai yang tidak sedar tentang peluang pelaburan yang terdapat di Malaysia dan begitu juga sebaliknya," kata beliau.

Das juga berkata pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia menerima pertanyaan daripada anggota Parlimen Kanada yang berminat untuk menganjurkan lawatan perniagaan ke Malaysia.

Bagaimanapun, jarak dikenal pasti sebagai faktor penyumbang yang menyebabkan golongan usahawan di kedua-dua negara kurang berminat untuk menjalin hubungan dagangan, katanya.

Mengenai perdagangan dua hala, beliau berkata jumlah keseluruhan dagangan Malaysia adalah RM6.2 bilion pada 2008. Bagaimanapun jumlah dagangan kedua-dua negara menurun kira-kira RM5 bilion tahun lepas ekoran keadaan ekonomi global, katanya.

Baja, peralatan elektrik, perkakasan dan mesin untuk projek telekomunikasi antara barangan yang kerap didagangkan oleh kedua-dua negara.

Malaysia dan Kanada juga menjalin hubungan yang baik dalam bidang pendidikan dan sektor pelancongan berdasarkan peningkatan jumlah pelajar Malaysia di universiti Kanada dan pelancong negara itu yang melawat Malaysia.

Das berkata pada masa ini terdapat 883 pelajar Malaysia di 45 universiti di seluruh Kanada.

Kira-kira 88,000 pelancong Kanada melawat Malaysia tahun lepas berbanding 77,000 pada 2008.

BN Dijangka Tidak Sukar Kekalkan Kemenangan - Nasir

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri yakin Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kemenangan di kawasan Parlimen Kuala Nerus pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Keyakinan itu disuarakan setelah melihat kesungguhan ketiga-tiga sayap utama parti iaitu Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita yang begitu serius mendekati pengundi peringkat akar umbi.

“Jika sebelum ini kebanya-kan sayap parti tertumpu pada golo-ngan mereka semata-mata, namun kini kesemuanya telah mengambil langkah untuk bergabung serta melaksanakan program secara bersama dan perkara ini seharusnya dipuji.

“Dengan adanya gerakan bersama ini secara tidak langsung mampu memperkukuhkan lagi hubungan dalam kalangan anggota parti, selain memiliki peluang yang lebih jelas berhubung matlamat parti,” kata Mohd Nasir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Rumah Terbuka Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO Bahagian Kuala Nerus di pekarangan pejabat UMNO bahagian, di Seberang Takir, kelmarin.

Kira-kira 2,000 tetamu menghadiri majlis rumah terbuka berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pemuda Kuala Nerus, Apli Yusoff, Ketua Puteri, Aida Azam, Ketua Wanita, Khadijah Awang, Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Hassan Ali, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammar Ramli Nuh dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Ismail Nik.

Menurut beliau, memperkukuhkan sokongan peringkat akar umbi ialah fokus utama di mana pelaksanaan program turun padang adalah salah satu pendekatan yang sedang giat dilaksanakan oleh kesemua sayap utama parti itu.

Terima Kasih Ahmad Said Kerana Bantuan Tanah Lot

Terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan pemimpin kawasan serta Pejabat Daerah Marang yang membantu merealisasikan impian penduduk kampung Kampung Tanah Lot Kubu.

Itulah yang diluahkan penduduk apabila seramai 199 penduduk kampung itu mendapat bantuan tanah lot kediaman tahun ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanah Lot Kubu, Zainal Mohammad berkata, daripada jumlah itu, seramai 141 menerima bantuan bagi fasa pertama dan 58 lagi bagi fasa kedua.

Menurutnya, pembahagian tanah lot itu selesai Mac lalu bagi fasa pertama dan Julai lalu bagi fasa kedua. Manakala, bagi fasa ketiga dijangka akan selesai tidak lama lagi.

“Bagi fasa ketiga, agihan tanah kurniaan kerajaan ini membabitkan 150 lot tanah dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang masih belum mempunyai tanah kerana kami mahu melihat semua penduduk di sini mempunyai tanah serta memiliki rumah.

“Kita harap proses pembahagian tanah lot kediaman bagi fasa seterusnya ini dapat diselesaikan segera, bagi membolehkan penduduk kampung ini mempunyai tanah sendiri,” katanya.

Hukuman Lebih Berat Biar Premis Jadi Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes

Sembilan negeri menunjukkan peningkatan kes denggi tahun ini berbanding tahun lalu iaitu Kelantan, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dan Terengganu.

Bilangan kes denggi pada tahun ini juga dilaporkan meningkat apabila sehingga 18 September lalu, sebanyak 35,533 kes telah dilaporkan berbanding 31,085 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu, iaitu meningkat sebanyak 14 peratus atau 4,448 kes.

Kematian akibat demam denggi juga meningkat sehingga 53 peratus tahun ini, iaitu 107kematian dicatatkan berbanding 70 kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Malah, jumlah kematian sehingga September tahun ini telahpun melebihi jumlah keseluruhan kematian yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu 88 kematian.

Berikutan itu, hukuman lebih berat akan dikenakan terhadap mereka yang didapati membiarkan premis masing-masing menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dalam usaha memerangi denggi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kompaun minimum RM500 akan dikenakan walaupun ia merupakan kesalahan pertama dan maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun bagi mereka yang mengulangi kesalahan yang sama.

Katanya hukuman itu terkandung dalam Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit dan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit.

"Ada peruntukan di bawah undang-undang sedia ada sehingga ke peringkat penjara tetapi sudah tentu ia tidak pernah dikenakan.

"Kompaun biasa adalah satu-satunya yang biasa dikenakan RM100 sehingga RM300. Ini mungkin dianggap kerana kes tidak serius. Kita punya pandangan agar hukuman yang lebih berat dikenakan terutama kepada mereka yang melakukan kesalahan yang sama," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi di sini hari Isnin.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Muhyiddin berkata tindakan itu sebagai menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada berikutan terdapat kes di beberapa buah negeri yang mengulangi kesalahan yang sama.

Katanya kaji selidik mengenai nyamuk yang diubahsuai genetiknya sebagai antara usaha untuk memerangi denggi masih dalam peringkat kajian.

Sebagai strategi untuk menangani denggi, Muhyiddin berkata kerjasama dengan kerajaan negeri perlu dipertingkatkan dan Kementerian Kesihatan meletakkan sasaran kes ini dapat dikurangkan 10 peratus setiap tahun.

"Ini bermakna pada penghujung tahun ini, kadar kes ini dapat dikurangkan 10 peratus daripada apa yangg berlaku, dalam tempoh lima tahun 50 peratus," katanya.

Katanya program melibatkan pemimpin masyarakat perlu digerakkan seperti Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) di bawah Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan tahap kesedaran masyarakat.

"Sudah ada lebih 600 kumpulan ditubuhkan untuk membantu menangani wabak denggi dan dicadangkan agar lebih 1,000 kumpulan lagi ditubuhkan di seluruh negara. Ini akan dibantu dengan pemberian imbuhan RM500 bagi satu kumpulan dalam menjalankan aktiviti mereka," katanya.

Muhyiddin juga berkata jawatankuasa untuk menangani wabak penyakit yang telah ditubuhkan di peringkat daerah perlu diaktifkan semula dan kempen dalam bentuk lebih jelas akan dilancarkan semula, di peringkat kebangsaan dan di setiap negeri.

Katanya hampir 1,000 kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga akan dikekalkan di pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menggerakkan kempen menangani denggi di setiap PBT dan 16 kawasan tompok panas yang telah dikenal pasti perlu diberi tumpuan berikutan ia merupakan kawasan yang menyebabkan kadar kematian yang tinggi.

Terengganu Kecundang Lagi, T-Team Tewaskan Felda United

T-Team menumpaskan Felda United 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dalam perlawanan kumpulan D bagi saingan Piala Malaysia semalam.

Satu lagi pasukan kumpulan sama, Juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali, Selangor terus menguasai kumpulan D selepas menang tipis 1-0 kepada Perlis di Stadium Shah Alam malam Isnin.

Gol tunggal Selangor dijaringkan oleh Mohd Nasriq Baharom pada minit ke-74.

Selangor yang masih berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan, kini mengumpul sembilan mata.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Lumpur berjaya menumpaskan Terengganu dengan kemenangan tipis 1-0 bagi Kumpulan B.

Gol tunggal Kuala Lumpur dijaringkan oleh Azidan Sarudin (minit ke-63).Ini bermakna Terengganu kini berada pada kedudukan tercorot dalam kumpulan berkenaan.

Dalam kumpulan sama, Sabah menewaskan Pahang 2-0 di Stadium Likas, Sabah.

Dua gol Sabah dijaringkan oleh Leopold Alfonso Otong (minit ke-72) dan Alto Linus (minit ke-80).

Dalam saingan kumpulan C pula, Kedah seri 1-1 kepada ATM pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Pasukan Johor FC pula menewaskan Perak 2-0.

Dua gol kemenangan Johor FC dijaringkan oleh Mohd Khairul Ismail (minit ke-6) dan Mohd Hamzani Omar (minit ke-53).

Dalam perlawanan Kumpulan A, Negeri Sembilan menewaskan Selangor PKNS 2-1 di Stadium Majlis Bandaran Petaling Jaya.

Kelantan pula terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 kepada KL Plus pada pertemuan yang berlangsung di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu.

Gol Kelantan disumbangkan oleh Indra Putra Mahayuddin (minit ke-35 dan 60) dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (minit ke-64), manakala tiga gol KL Plus dijaringkan oleh Azi Shahril (minit ke-52), Rusydee Samsudin (minit ke-90) dan Mohd Zaidi Ahmad (minit ke-90).

Terengganu Bimbang Pelancong Ke Pulau Terlalu Ramai

Kerajaan negeri Terengganu menganggap kapasiti semasa pelancong yang melawat pulau-pulau peranginan di negeri ini terlalu ramai dan tidak mampu ditampung pulau-pulau berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Rahin Mohd Said berkata pihaknya bimbang keadaan itu mungkin akan mencemarkan lokasi pelancongan berkenaan dan merosakkan batu karang.

"Sebab itu, kita akan membuat kajian perkara ini bagi memastikan pulau berada dalam keadaan baik untuk jangka masa panjang," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Rahin berkata kerajaan negeri merasakan jumlah 2,000 pelancong sehari ke pulau peranginan seperti Pulau Kapas, Pulau Perhentian, Pulau Tenggol dan Pulau Redang adalah satu kapasiti yang tidak boleh ditanggung oleh pulau-pulau itu.

Walaupun jumlah pengunjung dari dalam dan luar negara itu mampu memberi pulangan ekonomi yang lumayan kepada kerajaan negeri, ia tidak begitu baik kepada alam sekitar di pulau-pulau itu untuk jangka masa panjang, katanya.

"Lebih baik kita ada 1,000 pelancong sehari tetapi kita boleh guna selama-lamanya, dan inilah kapasiti yang kita mahu," katanya.

Rahin berkata kerajaan akan mengisi Pulau Warisan di sini yang hampir siap dibina dengan pelbagai ciri warisan sesuai dengan budaya negeri itu.

Sementara itu, beliau berkata rancangan kerajaan untuk memindahkan 200 peniaga di Pasar Payang ke Pulau Warisan dibatalkan kerana bimbang akan menjejaskan keindahannya.

Pemandu Bas Buat Hal, Pelajar Terkandas Untuk Pulang Ke Institut

Gara-gara sikap pemandu bas sewa yang tidak mahu meneruskan perjalanan, seramai 47 orang pelajar dari Kelantan dan Terengganu gagal untuk kembali semula ke Institut Kraf Malaysia di Rawang, Selangor semalam.

Bas berkenaan yang ditempah, datang dari Kuala Lumpur untuk mengambil pelajar dari Kelantan dan Terengganu, dikatakan tidak mahu meneruskan perjalanan balik kerana kononnya terdapat lebihan tiga penumpang yang mahu menaiki bas berkenaan.

"Setelah mengetahui ada lebihan penumpang, pemandu bas meminta bayaran tambahan sebanyak RM300 daripada kami. Setelah kami ramai-ramai kumpul wang berkenaan, dia meminta lagi sebanyak RM500 dan seterusnya RM1,000.

"Mana kami mampu menyediakan wang sebanyak itu dan bas berkenaan lalu meninggalkan kami di surau ini kira-kira 3 pagi tadi (semalam)," kata salah seorang pelajar, Nur Shusaida Ahmad, 19, ketika ditemui di Surau Syed Saqaf di Kuala Terengganu.

Kumpulan pelajar berkenaan pulang berhari raya pada 8 Sept lepas dan sepatutnya kembali ke pusat pengajian mereka semalam.

"Semasa kami pulang ke kampung pada 8 Sept lepas, kami membayar tambang pergi-balik sebanyak RM94 seorang untuk menaiki dua buah bas ke Kota Baharu dan ke Kuala Terengganu.

"Oleh kerana jumlah kami yang tidak ramai (47 orang), pihak pengurusan bas menyediakan sebuah bas sahaja untuk kami balik semula ke Rawang, sehingga berlaku kekecohan yang kami alami ini," kata Nur Shusaida.

Seorang lagi pelajar, Nurul Azima Jusoh, 18, turut berkata pihak pengurusan bas berkenaan berjanji akan mengambil mereka di Kota Baharu pada pukul 9 malam tadi namun bas yang dijanjikan hanya tiba pada tengah malam.

"Pemandu beri alasan tayar basnya pancit di Merapoh, Pahang. Sudahlah minta bayaran tambahan, kami turut ditengking dengan perkataan kasar dan kesat oleh pemandunya," katanya.

Bapa kepada seorang pelajar, Jusoh Endut, 51 kecewa dengan kejadian tersebut.

Namun beliau berkata beliau dimaklumkan terdapat keluarga pelajar yang meminta bantuan Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu bagi menyediakan bas untuk membolehkan pelajar pulang ke Rawang.

"Mereka mungkin dapat balik sebelum malam ini (malam semalam)," katanya.

YPU salur RM8 juta buka 100 T’ Shoppe menjelang 2020

Rangkaian kedai serbaneka T’ Shoppe menjadi tumpuan orang ramai di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan RM8 juta untuk membuka 100 cawangan T’ Shoppe menjelang 2020 di seluruh negara berikutan sambutan yang memberangsangkan daripada pelanggan.

Pengurus Pembangunan Promosi dan Penyertaan Perdagangan YPU, Zulkifli Yunus berkata, dalam tempoh itu, pihaknya menyasarkan untuk melahirkan 100 usahawan di kalangan anak negeri ini dalam bidang peruncitan secara sistematik dan dalam suasana kondusif.

“Sejak dilancarkan Ogos tahun lalu, T’ Shoppe yang mencorakkan budaya niaga baru kepada usahawan kini mempunyai 11 cawangan termasuk di Kedah dan Melaka, manakala lapan lagi dibuka bulan depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, kelmatin.

T’ Shoppe dikelolakan anak syarikat YPU iaitu Cakna Sdn. Bhd. yang memasarkan hampir 200 jenis produk tempatan seperti minyak urut berasaskan herba, cuka nipah, keropok lekor, karipap segera dan jus roselle melibatkan 95 usahawan serta syarikat.

Katanya, lapan cawangan yang baru meliputi empat cawangan di negeri ini dan empat lagi di luar Terengganu termasuk di Sungai Petani, Jerantut dan Ampang.

“Sehingga kini permohonan untuk membuka rangkaian kedai serbaneka 24 jam ini begitu menggalakkan dengan jumlah jualan yang semakin meningkat setiap bulan,” katanya.

Menurutnya, menjelang 2020 YPU menyasarkan 70 peratus produk industri kecil dan sederhana (IKS) akan dapat dipasarkan menerusi rangkaian T’ Shoppe.

“Terdapat juga barangan yang dihasilkan usahawan IKS tidak memenuhi piawaian untuk dipasarkan T’ Shoppe,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, YPU berusaha membantu usahawan IKS tempatan meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan supaya dapat dipasarkan bukan sahaja di pasaran tempatan malah mampu bersaing ke peringkat global.

“T’ Shoppe merupakan alternatif terbaik dilaksanakan YPU bagi membantu golongan usahawan yang sebelum ini sukar mendapat tempat di pasar raya terkenal di negeri ini.

“Ia memberi ruang kepada usahawan dalam industri pembuatan termasuk makanan memperluaskan pasaran mereka dengan menitikberatkan mutu produk, pembungkusan dan pelabelan,” katanya.

Sunday, September 19, 2010

Agong Tiba Lawatan Tugas Khas 6 Hari Di Kanada

Yang di- Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tiba di Montreal, Kanada pagi ini untuk memulakan lawatan tugas khas selama enam hari ke Kanada sempena projek 'Brain Gain' Malaysia.

Keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Pierre Elliot Trudeau pada 6 petang Sabtu waktu tempatan (6 pagi tadi waktu Malaysia) disambut Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada Selwyn Das.

Lawatan 'Brain Gain' Malaysia yang dianjurkan bersama oleh Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM), Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu antara lain bertujuan membangunkan kepakaran teknikal dan saintifik dalam beberapa bidang strategik antara universiti di Malaysia dan Kanada.

Antaranya ialah bidang perubatan yang melibatkan Universiti McGill di sini dan bidang pertanian serta makanan membabitkan Universiti Guelph di Toronto.

Tuanku Mizan dijadual berangkat menyaksikan beberapa majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) melibatkan Universiti Teknologi Mara, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Putra Malaysia dengan kedua-dua universiti terbabit.

Baginda juga akan melawat Hospital Besar Montreal untuk meninjau sendiri projek 'Super Hospital' yang dilaksanakan di situ selain melawat Lucky Harvest Therapeutic Riding Centre pada Ahad.

Terengganu Anjur Pertandingan Perahu Panjang Antarabangsa

Gambar hiasan - Pertandingan perahu panjang yang pernah diadakan di Kuching, Sarawak

Terengganu akan menganjurkan pertandingan perahu panjang pada Mac tahun depan yang dijangka disertai sekurang-kurangnya 10 pasukan dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia dan Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Rahin Mohd Said berkata pertandingan yang bertujuan mempromosi Terengganu itu telah dirancang setahun lepas, namun terpaksa ditangguh kerana sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Pasukan daripada Indonesia yang dijangka menyertai pertandingan itu termasuk Persatuan Perahu Panjang Sambas, Padang dan Pekan Baru yang bernaung di bawah Persatuan Perahu Naga Antarabangsa (IDBF)," katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

Beliau berkata pertandingan itu yang dijangka menawarkan hadiah lumayan akan diadakan di Sungai Terengganu bagi mempromosikan beberapa destinasi menarik di situ.

"Kita pilih Sungai Terengganu sebagai lokasi pertandingan bagi mempromosikan Pulau Warisan dan Double Frontage Road, Kampung Cina yang baru siap dibina, berharga RM75juta," katanya.

Rahin berkata sebelum itu, satu pertandingan terbuka perahu panjang akan diadakan pada 30 Okt ini untuk Terengganu memilih sebuah pasukan bagi mewakili negeri ke pertandingan tersebut.

Beliau berkata pertandingan terbuka untuk kolej, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, badan koporat, badan kerajaan dan warga Terengganu itu akan disertai oleh 15 pasukan yang terdiri daripada 20 pendayung bagi setiap pasukan.

Katanya pada hari yang sama juga akan diadakan pertandingan tertutup perahu pendek Terengganu yang disertai 10 pendayung setiap pasukan.

Rahin berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM50,000 untuk hadiah kepada pemenang bagi kedua-dua kategori tersebut.

Yayasan Terengganu Rancang Taja Pelajar Ke Jepun

Yayasan Terengganu (YT) berhasrat menaja pelajar di bawah skim pelajar cemerlang negeri itu melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di Jepun mulai tahun hadapan.

Ketua Penolong Pengarah Tajaan YT Mohd Razali Mahmud berkata buat permulaan YT akan menghantar 20 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah skim pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan.

"Buat permulaan kita sasar untuk hantar 20 pelajar ke 15 universiti di Jepun. Bagaimanapun jumlah muktamat, bergantung kepada keputusan lembaga pengarah YT yang akan bermesyuarat tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Koichi Kogure dari Shibaura Institute Of Technology, mewakili 15 universiti di Jepun dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Turut hadir pada majlis itu Pengerusi YPM Datuk Dr Rosli Mat Hassan, Naib Canselor Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) Datuk Prof Dr Alias Daud, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Yahaya Ibrahim dan Timbalan Rektor TATI Universiti College (TATIUC) Zunaidi Ibrahim.

Mohd Razali berkata di bawah program itu setiap pelajar yang ditaja melibatkan kos antara RM300,000 dan RM400,000 seorang bagi tempoh lima tahun pengajian.

Katanya sebelum ke Jepun, pelajar yang terpilih dikehendaki mengikuti kursus bahasa Jepun selama tiga bulan yang akan disediakan oleh Yayasan Pelajaran Mara.

Beliau berkata sebelum ini fokus YT ialah menaja pelajar dalam bidang perubatan di luar negara seperti ke Indonesia, Rusia dan United Kingdom.

"Jadi kita mahu melebarkan lagi pengajian kepada kursus-kursus kejuruteraan dan kita melihat kejuruteraan di Jepun adalah yang terbaik dan lebih murah berbanding United Kingdom atau Autralia," katanya.

Sebelum ini di bawah skim pelajar cemerlang, hanya 10 pelajar sahaja akan dihantar ke universiti-universiti terkemuka dunia dan ia dilihat begitu terhad.

"Sehubungan itu kita mungkin mewujudkan satu dasar baru yang mana kita akan menambahkan bilangan pelajar cemerlang untuk dihantar ke universiti terkemuka dunia termasuk ke Jepun," katanya.

Mohd Razali berkata, sehingga ini YT hanya menaja seorang pelajar Terengganu ke Jepun dalam bidang ekonomi.

LPP Belanja RM3.4 Juta Galak Tanaman Ubi Vitato

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)membelanjakan lebih RM3.4 juta untuk membantu petani di Terengganu dan Kelantan mengusahakan tanaman ubi keledek vitato dalam tempoh 2007 sehingga tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah LPP Mohd Salim Taha berkata daripada jumlah itu, RM1.6 juta diperuntukkan kepada Kelantan bagi mengusahakan kawasan seluas 123 hektar yang membabitkan 161 petani di Pasir Puteh dan Bachok.

"Ini termasuk kos upah membajak, benih serta baja," katanya kepada pemberita pada majlis penuaian ubi keledek vitato yang diusahakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semerak di Pasir Puteh hari ini.

Mohd Salim dipetik Bernama sebagai berkata Selangor mula mengusahakan tanaman itu di kawasan seluas 30 hektar tahun ini.

Beliau berkata memandangkan tanaman itu berpotensi untuk dikembangkan terutama di kawasan tanah beris, LPP merancang untuk melebarkannya ke Perak di samping di kawasan sedia ada.

Beliau meminta petani agar tidak bimbang mengenai pasaran kerana sebuah kilang pemprosesan berharga lebih RM1 juta sedang dalam pembinaan di Setiu, Terengganu yang dijangka mula beroperasi awal tahun depan.

Katanya kilang berkenaan berupaya memproses 300 metrik tan ubi keledek dalam seminggu untuk menghasilkan pelbagai produk, misalnya tepung untuk dijadikan kuih.

YDSM, IPTA Terokai Kerjasama Saintifik Dengan Universiti Kanada

Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan tiga institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bakal mengorak langkah bagi menerokai penyelidikan saintifik dalam bidang genom, sains pertanian dan pemakanan melalui kerjasama akademik dengan dua universiti di Kanada.

Jalinan kepakaran dan kemahiran tenaga akademik itu akan direalisasikan melalui kerjasama projek 'Brain Gain' yang diadakan sempena lawatan kerja lapan hari Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin ke Montreal dan Toronto di Kanada bermula semalam (18 September).

Melalui lawatan itu, tiga perjanjian kerjasama (MoU) dijangka akan dimeterai antara McGill Universiti di Montreal dan Universiti Guelph di Toronto dengan tiga IPTA tempatan iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UNIsZA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk meningkatkan jalinan kerjasama dalam tiga bidang strategik berkenaan.

MoU itu antara lain membabitkan pertukaran tenaga akademik dan latihan program sarjana, doktor falsafah (PhD) dan pasca-kedoktoran serta latihan kakitangan makmal dan latihan pelajar IPTA tempatan dengan Universiti McGill dan Universiti Guelph.

Inisiatif lawatan tugas khas ini dipelopori dan dianjurkan oleh YDSM di mana Tuanku Mizan merupakan Pengerusinya. YDSM juga mendapat kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dalam melaksanakan projek 'Brain Gain' Malaysia di mana YDSM adalah salah satu penerima geran projek berkenaan.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Prof Dr Makhdzir Mardan (gambar kiri), fokus kerjasama termasuk dalam bidang penyelidikan dan inovasi gen Biosteel Silk, pertanian persis dan teknologi makanan melalui program NASA Life Support System, Konsep Model Super Hospital dan Perkhidmatan Telemedicine yang mana terdapat di Universiti Guelph dan University McGill.

"Tujuan kita ialah untuk mendapatkan khidmat penempatan tenaga akademik dalam latihan dan kerjasama penyelidikan dalam teknologi dan konsep tersebut," katanya.

Menurut laporan Bernama, lawatan 'Brain Gain' itu juga adalah lanjutan dari lawatan balas oleh saintis dari Universiti McGill dan Universiti Guelph yang dilaksanakan pada awal tahun 2009 atas kelolaan YDSM dan anjuran ASM dan MOSTI.

Beliau berkata, manfaat utama jalinan kerjasama itu ialah peningkatan ilmu dan kepakaran untuk modal insan IPTA melalui program pertukaran tenaga akademik, pertukaran pelajar dan penyelidikan bersama.

"Pendedahan ini akan membuka ruang yang luas bagi peluang kerjasama dalam kemahiran-kemahiran yang dipilih iaitu pertanian, perubatan dan pemakanan. Cara ini akan dapat meningkatkan prestasi IPTA tempatan, khususnya di Terengganu dan pelbagai lagi," katanya.

Manakala pengibatan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan mengetuai rombongan itu pula akan memberikan penghormatan tinggi dari pihak universiti-universiti tersebut berdasarkan keperihatinan baginda dalam aspek mencari dan meningkatkan ilmu, katanya.

Dr Makhdzir berkata walaupun lawatan itu tidak akan dapat mengatasi masalah 'brain drain' dalam bidang-bidang fokus, tetapi lawatan 'brain gain' itu akan dapat memberikan fokus kepada kerjasama dalam bidang di mana entiti luar negara dapat berkongsi ilmu dengan saintis tempatan.

Menurut kenyataan media daripada Istana Negara, kerjasama teknikal dalam melatih sumber tenaga dan kerjasama saintifik akan dijalinkan dengan Pengarah Institut Penyelidikan University McGill, Dr Costas Karatzas dalam penyelidikan dan inovasi gen Biosteel Silk.

Dr Costas Karatzas adalah pemenang Top 50 Scientific American Awards 2003 atas penyelidikan beliau memindahkan gen sutera dari labah-labah dan dimuatkan ke dalam genome kambing bagi menghasilkan Biosteel Silk.

Biosteel Silk adalah bahan yang diperolehi dari susu kambing yang mendapat suntikan gen tersebut dari labah-labah bagi penghasilan sutera yang mana kekuatannya melampaui tujuh kali ganda besi keluli.

Gen Biosteel Silk jika berjaya dipindahkan ke genom pokok getah ia berpotensi menghasilkan Sutera Biosteel dari susu pokok getah.

Manakala pihak Universiti Guelph pula dikenal pasti mampu untuk bekerjasama dalam projek Biosteel Silk dan juga pertanian persis dan teknologi makanan melalui program NASA Life Support System.

Iran, Australia Sebagai Pangkalan Pasukan Benua

Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) bercadang untuk memilih sama ada Kuala Lumpur, Iran atau Australia sebagai pangkalan kepada pasukan lumba basikal profesional benua Terengganu.

Pemangku Setiausaha PLBT, Abdul Razak Abdullah berkata langkah memilih pangkalan di luar negara bertujuan memudahkan pendedahan antarabangsa kepada pasukan tersebut.

"Kita kini sedang mengkaji mana tempay yang sesuai untuk menjadi pengkalan pasukan tersebut," katanya.

Abdul Razak berkata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang mengilhamkan penubuhan pasukan profesional tersebut bersetuju untuk memberi peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi pemilihan pangkalan itu.

Le Tour de Langkawi tahun depan dijangka menjadi pentas pertama untuk menguji kemampuan pasukan tersebut.

MAIDAM Kutip RM163,338 Bayaran Zakat Melalui Kad Kredit

Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjaya mengutip RM163,338 bayaran zakat yang dilakukan melalui kad kredit sejak awal tahun hingga akhir bulan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Harujan Sulaiman berkata sejak khidmat berkenaan diperkenalkan di negeri ini pada 1 Jan lepas, sebanyak 140 transaksi telah dilakukan dengan kadar bayaran setiap transaksi antara RM200 hingga RM4,000.

"Memandangkan sambutan menggalakkan ini dan orang ramai mula memahami kesenangan penggunaannya, Maidam akan menambah dua lagi terminal baru pada tahun depan iaitu di Pusat Zakat Dungun dan Pusat Zakat Besut," katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu, kelmarin.

Setakat ini, katanya terminal pembayaran zakat dengan kad kredit ini telah dipasang di Ibu Pejabat Maidam di Kompleks Seri Iman dan di Surau Syed Sagaf (Kuala Terengganu), serta Pusat Zakat Kerteh dan Pusat Zakat Kemaman.

Beliau berkata bagi menarik orang ramai untuk menggunakan kemudahan itu, Maidam akan meneruskan penerangan mengenainya melalui media masa serta pameran-pameran yang disertai oleh jabatan itu dari masa ke semasa.

Pembayaran zakat dengan menggunakan kad kredit telah diluluskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Fatwa Terengganu pada 8 Jun tahun lepas dengan syarat kad kredit berkenaan berteraskan hukum syarak.