Friday, November 5, 2010

Majlis Penajaan Untuk Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan

Penaja bergambar kenangan dengan Menteri Besar pada majlis penyerahan penajaan di Seri Iman malam kelmarin.

Tiga belas syarikat termasuk Sime Darby Bhd tampil menghulurkan sumbangan penajaan Kejohanan Kuda Lasak, Piala Sultan 2010 yang akan berlangsung di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu selama tiga hari, bermula hari ini.

Sime Darby Bhd sebagai penaja utama menyumbangkan 150 kenderaan bagi kegunaan petugas sepanjang kejohanan itu nanti manakala Kumpulan Liziz Sdn Bhd yang juga penaja utama menyampaikan wang tunai RM50,000.

Yang lain ialah AHT Norlan United & Carriage Sdn Bhd (RM25,000); Ketengah Holding Sdn Bhd (RM10,000) dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (RM9,000). Syarikat pengeluar minuman jus roselle, A I Agro Marketing di Lembah Bidong, pula memberi sumbangan minuman bernilai RM12,000; Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd membekalkan air minuman (RM6,000) dan Kementerian Pelancongan Malaysia cawangan Terengganu memberi sumbangan produk barangan bernilai RM10,000.

Sumbangan itu disampaikan dalam majlis khas diadakan di kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, malam kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu adalah Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka turut mengambil bahagian bersama 100 peserta dalam dan luar negara.

Pasukan lain ialah dari Amerika Syarikat, Perancis, Singapura, Australia, Uruguay, Jepun, India, Qatar, Bahrain, Indonesia dan Thailand.

Kejohanan anjuran bersama kerajaan negeri Terengganu dan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) akan disertai 90 pelumba dari 15 buah negara dengan hadiah keseluruhan bernilai RM126,000.

Kali ini, hanya satu kategori dipertandingkan iaitu acara 120km dan hadiah utama bakal membawa pulang RM30,000 untuk tempat pertama, kedua (RM20,000), ketiga (RM15,00), keempat (RM10,000) dan kelima (RM8,000).

Bagi memeriahkan lagi suasana dan menarik kunjungan pelbagai lapisan masyarakat di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu Lembah Bidong Setiu, Karnival Kuda Bersongket akan diadakan.

Pavilion-pavilion yang dibina khas disediakan dengan pelbagai acara seperti jualan produk-produk terengganu, masakan tempatan dan antarabangsa, permainan tradisional serta panggung terbuka menayangkan filem-filem menarik.

Di samping pertunjukan dan permainan berkuda daripada Kelab Pony Malaysia, taman permainan belon gergasi dan persembahan artis-artis terkemuka negara turut diadakan.

MB Akan Menilai Sendiri Kerja Pembersihan Stadium

Kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak di Kuala Terengganu dijangka siap tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerja-kerja pembersihan tersebut kini berada di peringkat akhir dan ia dijangka disiapkan lebih awal daripada jadual.

Katanya, mengikut kontrak yang dikeluarkan, kerja-kerja pembersihan tersebut sepatutnya berakhir pada Disember ini.

"Saya akan pergi melihat kerja-kerja pembersihan tersebut dalam tempoh terdekat ini dan menilai situasinya," katanya selepas Majlis Khatam al-Quran Pelajar-Pelajar KAFA Terengganu 2010 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, selepas kerja-kerja pembersihan siap dilakukan, struktur utama stadium berkenaan akan diperiksa bagi memastikan ia tidak rosak akibat runtuhan bumbung berkenaan.

Tambahnya, selepas tidak berlaku kerosakan pada struktur, rundingan pembinaan bumbung baru akan dilakukan.

"Kita akan lihat terlebih dahulu kalau tidak ada kerosakan pada struktur utama dan kemudian kita akan runding buat bumbung baru," jelasnya.

Beliau memberitahu, pihaknya masih belum memutuskan mengenai reka bentuk bumbung baru serta kos pembinaannya.

Kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan bumbung stadium berkenaan telah dilakukan oleh syarikat Azimat Berkat Sdn. Bhd. dari Setiu sejak hujung Julai lalu.

Dianggarkan 3,000 tan sisa runtuhan (besi) itu akan diangkut keluar dari tapak stadium itu untuk dihantar ke stor penyimpanan di Kuala Lumpur.

Runtuhan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi, 2 Jun tahun lalu melibatkan bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

Sasar 5 PBT capai MS ISO 9001;2008

Mazlan Ngah menyerahkan sijil MS ISO 9001;2008 kepada Ibrahim Mohamad pada majlis penyampaian sijil pengiktirafan di Pejabat Daerah Marang, semalam.

Kerajaan negeri yakin sasaran lima pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mendapat pengiktirafan MS ISO 9001;2008 pada tahun depan boleh dicapai jika komitmen penuh diberikan oleh semua warga PBT.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah mahu soal itu diberi penekanan yang boleh dijadikan tanda aras keutuhan pengurusan serta penyampaian berkualiti kepada pelanggannya yang merupakan teras terpenting dalam sesebuah organisasi.

Katanya, sasaran tersebut dapat dicapai sekiranya mendapat kerjasama seluruh kakitangan dengan melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagaimana yang diamanahkan.

"Saya harap dengan sasaran itu dapat meningkatkan semangat semua PBT yang terlibat untuk bekerja dengan lebih keras apabila melihat 'rakan-rakan' mereka yang lain telah memperolehi pensijilan ini.

"Jika mereka bekerja keras memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduknya saya yakin sasaran itu dapat dicapai," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan MS ISO 9001;2008 di Pejabat Daerah Marang di semalam.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Daerah Marang (MDM), Ibrahim Mohamad.

Pada majlis tersebut, Mazlan turut melancarkan Pelaksanaan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S selain turut menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang kepada seramai 14 orang kakitangan MDM.

MDM muncul sebagai PBT kedua selepas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di negeri itu yang mendapat pengiktirafan sijil MS ISO 9001:2008.

Sementara itu, Ibrahim berkata, pensijilan itu diberikan bagi pelaksanaan kualiti merangkumi tiga aspek pengurusan dan perkhidmatan organisasi itu.

Ia melibatkan bahagian perkhidmatan bandar dan perlesenan, penilaian dan pengurusan harta serta perancangan dan pembangunan kejuruteraan.

Katanya, kejayaan itu hasil kerjasama antara pihak pengurusan atasan dengan semua warga kerja MDM yang sentiasa berusaha meningkatkan prestasi kerja masing-masing.

"Saya berharap pengiktirafan ini dapat memberikan semangat baru kepada semua kakitangan MDM dalam menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin, selain memberi contoh terbaik kepada jabatan lain," jelasnya.

Utusan Malaysia

Banjir di Terengganu Dijangka Lebih Besar

Kerajaan negeri sudah bersiap sedia menggerakkan segala jentera bagi menghadapi kemungkinan banjir lebih besar melanda negeri ini tahun ini.

Difahamkan, satu mesyuarat Penyelarasan Tindakan Menghadapi Banjir tahun ini dijangka akan diadakan di Bilik Gerakan Negeri Ahad ini (7 November) yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar sendiri.

Kelmarin, Datuk Seri Ahmad Said berkata, langkah itu diambil berikutan ramalan Jabatan Meteorologi bahawa negeri ini dijangka menerima taburan hujan 40 peratus melebihi tahun sebelumnya.

Sebagai menghadapi banjir, beliau menyeru kepada seluruh rakyat di negeri ini terutama yang tinggal di tepi sungai dan kawasan berisiko dinaiki air supaya mengambil langkah berwaspada bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau meminta rakyat agar sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa termasuk arahan untuk berpindah sekiranya keadaan mendesak.

“Sekarang musim hujan dan kita diberitahu Jabatan Meteorologi bahawa kemungkinan tahun ini berlaku banjir besar di Terengganu,” katanya kelmarin (Rabu).'

Oleh kerana Terenggnu dijangka mengalami banjir lebih teruk tahun ini, orang ramai dinasihatkan supaya menyimpan dokumen penting di tempat selamat.

Ketika memberi nasihat itu, Ahmad Said berkata orang ramai hendaklah sentiasa mengikuti arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa apabila diarahkan berpindah bila berlaku banjir.

Ahmad Said mengingatkan orang ramai hendaklah memastikan anak-anak mereka tidak bermain air yang boleh membahayakan keselamatan mereka.

10 Spesies Herba Akan DiTanam di Pasir Raja

Kerajaan negeri meluluskan tanah seluas 600 hektar di Kampung Pasir Raja, Dungun dan Kampung Panchor Berderu, Setiu untuk dibangunkan di bawah projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Daripada jumlah itu, 400 hektar tanah untuk projek tanaman herba secara komersial di Kampung Pasir Raja manakala 200 hektar lagi untuk ladang ternakan kambing Boer di Panchor Berderu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, bagi projek tanaman herba, ia dijangka mampu membantu meningkatkan pendapatan penduduk selain mengkomersialkan ubatan tradisional.

Beliau memberitahu, sebanyak 10 spesies tanaman herba terkenal akan ditanam di kawasan berkenaan antaranya misai kucing, tongkat Ali (gambar kiri) dan kacip Fatimah gambar kanan).

Buat masa ini, jelasnya, kerja-kerja mengukur tanah sedang giat dijalankan dan projek berkenaan dijangka mula beroperasi awal tahun depan.

Beliau menyatakan demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Terengganu di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, kelmarin.

Kaunter Cawangan Imigresen Tutup Hari Ini, Esok di Terengganu dan Kelantan

Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu kenyataan berkata kaunter jabatan imigresen dan cawangan di seluruh negara akan ditutup selama tiga hari bermula hari ini sempena sambutan Hari Deepavali.

Menurut kenyataan itu, semua kaunter pejabat imigresen dan cawangan juga tidak beroperasi pada Sabtu dan Ahad bagi negeri-negeri Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak, serta Kuala Lumpur dan Labuan.

Bagi negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah kaunter akan ditutup pada hari ini dan esok tetapi dibuka pada Ahad.

Sementara itu, Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu dan ahli-ahli jawatankuasa kerja pusat MIC akan mengadakan rumah terbuka bersempena perayaan Hari Deepavali di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari pukul 9.30 pagi hingga 2 petang pada Jumaat ini.

Menurut kenyataan ibu pejabat MIC, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta anggota jemaah menteri yang lain dijangka hadir pada majlis tersebut.

Orang ramai dijemput hadir ke majlis itu bagi menjayakan gagasan 1Malaysia.

Terengganu Cipta 6,000 Usahawan Menjelang 2013

Kerajaan negeri menyasarkan untuk melahirkan 6,000 usahawan bumiputera terutamanya dalam bidang peruncitan, pengedaran, pertanian dan industri makanan halal menjelang 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, keempat-empat bidang itu berpotensi dijana untuk menarik penglibatan rakyat.

“Berdasarkan kekuatan dari segi maklumat dan sokongan pelbagai agensi seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), sasaran ini mampu dicapai,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Konvensyen Ekonomi Melayu Terengganu, di Kuala Terengganu, Isnin lalu.

Majlis anjuran YPU dan Gabem ini turut dihadiri oleh Pengerusi Gabem, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik; Pengarah Gabem, Sahlan Saruddin dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik.

Konvensyen sehari itu antara lain bertujuan membincangkan kesan dan hala tuju Model Baru Ekonomi (MBE) terhadap ekonomi orang Melayu di negeri ini serta memberi gambaran senario cabaran, saingan dan hambatan ke arah memajukan usahawan Melayu.

Mohamed turut mengingatkan usahawan Melayu negeri ini supaya tidak terlalu ‘manja’ sekiranya mahu berjaya dalam dunia perniagaan kerana ramai di kalangan mereka bukan sahaja mengharapkan projek dari kerajaan malah mahu dibantu sekali gus dengan modal.

“Sebenarnya banyak sebab mengapa usahawan Melayu masih lagi lemah dalam bidang ini dan kita perlu kenal pasti kelemahan tersebut serta mencari jalan untuk memperbaikinya agar mereka dapat diperkasakan bagi bersaing di pasaran terbuka,” katanya yang juga Pengerusi Gabem negeri.

Beliau yang juga Pengerusi YPU berkata, setiap tahun kerajaan memperuntukkan RM1 juta melalui YPU bagi memberi pinjaman kepada usahawan-usahawan untuk membuka perniagaan baru serta mengembangkan perniagaan sedia ada.

Sementara itu, Abdul Rahim memberitahu, Gabem akan menganjurkan satu program yang dinamakan sebagai Pusat Sehenti Gabem (PSG) pada 9 November ini di Pusat Dagangan Terengganu, dekat sini.

“Program ini merupakan kerjasama strategik daripada kementerian dan agensi kerajaan terpilih bagi memberikan perkhidmatan di bawah satu bumbung kepada usahawan, bakal usahawan dan badan ekonomi bumiputera.

“Ia sebagai platform untuk menyalurkan permasalahan berkaitan keusahawanan dan sumber maklumat mengenai peluang latihan, pembiayaan dan projek-projek yang boleh disertai oleh masyarakat ekonomi bumiputera,” jelasnya.

Antara kementerian dan agensi terlibat adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Unit Perancang Ekonomi dan Bank Negara Malaysia.

Terengganu Lancar Pasukan Lumba Basikal Profesional Disember Ini

Kerajaan negeri akan melancarkan pasukan lumba basikal profesionalnya yang dikenali ‘Terengganu Pro-Asia Cycling Team awal Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat berkata serentak itu semua 23 pelumba dari dalam dan luar negara serta penaja pasukan tersebut akan diperkenalkan kepada umum dan majlis menandatangani kontrak akan turut diadakan.

Setakat ini TPCT tidak menghadapi masalah dan kerajaan negeri kini menunggu surat kelulusan daripada Persatuan Basikal Antarabangsa, katanya di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata pasukan itu telahpun menerima tajaan daripada sebuah syarikat dari Jepun dengan menyediakan basikal serta peralatan, pakaian dan makanan tambahan.

Selain itu, Rozi berkata kerajaan negeri juga sedang menimbang untuk menerima dua lagi penajaan syarikat dari Korea dan Jepun yang berpengkalan di Singapura.

Beliau berkata Terengganu yang merupakan negeri pertama menubuhkan pasukan basikal profesional, bukan sahaja dijangka terlibat dalam perlumbaan antarabangsa seperti Le Tour de Langkawi tetapi juga menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa yang lain.

Juara Blog Pelancongan Terengganu Bawa Pulang RM10,000

Norzaihan dan Suzairi dengan hadiah masing-masing.

Seorang guru, Norzaihan Abd. Kadir, 32, yang mencatatkan rentetan pengalaman yang dilaluinya menjuarai kategori terbuka Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010 yang dirintis oleh kerajaan negeri.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indera Mahkota 2, Kuantan itu membawa pulang wang RM10,000 selain hadiah iringan berupa penginapan dua hari satu malam di Riyaz Herritage dan sebuah kamera digital.

Menteri Besar tengah) bersama pemenang Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010 di Kuala Terengganu, Selasa (2 Oktober 2010).

Menurut ibu kepada tiga anak itu, hobinya sejak kecil mengunjungi sambil menikmati keindahan alam dan meminati bidang teknologi maklumat dan komunikasi membantunya mengisi pelbagai bahan dalam blognya: berbaloiditerengganukita.blogspot.com.my.

Beliau yang turut didorong oleh suami dan rakannya sejak penyertaan dihantar Julai lalu dan sehingga blognya memuatkan lebih 100 paparan tentang destinasi menarik, kesenian negeri, program serta kegiatan berkaitan pelancongan.

“Saya terbaca iklan pertandingan ini Julai lalu dan ketika itu saya belum ada blog. Memang saya tak pandai buat blog, tapi setelah mendapat nasihat rakan, saya cuba belajar sendiri buat blog menerusi laman Googles,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di Primula Beach Resort di Kuala Terengganu, Selasa (2 Oktober 2010).

Hadiah disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Ahmad Fathil Abd. Ghani.

Pertandingan mulai 1 April hingga 30 September lalu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM70,000 disertai kira-kira 300 penulis blog dari seluruh negara dan 61 daripada mereka dinilai di peringkat akhir.

Naib johan kategori terbuka disandang oleh Suzairi Zakaria dari Setiu dengan meraih wang RM7,000, penginapan dua hari satu malam di Awana Kijal serta sebuah kamera digital.

Tempat ketiga dimenangi Syahril Hafiz Shamsudin (Shah Alam) bersama hadiah RM5,000 disamping penginapan dua hari satu malam di Primula Beach Resort.

Bagi kategori institusi pengajian tinggi, tempat pertama dimenangi Muhammad Syazwan Safwan Jaafar dari Marang yang menampilkan blog Alami Terengganu.

Guru pelatih di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan itu membawa pulang wang tunai RM7,000 serta hadiah penginapan dua hari satu malam di Terengganu Equestrian Resort (TER) dan sebuah kamera digital.

Tempat kedua disandang Fairuz Abdul Majid dari Kuala Terengganu dengan hadiah RM5,000 serta penginapan dua hari satu malam di Permai Inn Kuala Terengganu manakala Aliashim Albani dari Kuala Terengganu (ketiga) bersama hadiah RM3,000 serta penginapan dua hari satu malam di Bukit Kluang Beach Resort, Besut.

Bagi kategori sekolah pula, juara disandang oleh pelajar Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Petani Kedah, Syukrina Muhammad Razak, 13, melalui blog Terengganu Kita.

Dia menerima hadiah wang RM5,000 serta penginapan dua hari satu malam di Sutera Beach Resort dan sebuah kamera digital.

Wan Aini Athirah Wan Mohd. Rahim (Kuala Terengganu) di tempat kedua dengan wang RM3,500, penginapan di Hotel Felda Residence manakala Siti Haziqah Ismail dari Kemaman di tempat ketiga yang memenangi hadiah RM2,500 serta penginapan dua hari satu malam.

Terengganu Lulus 600 Hektar Untuk Projek Herba Dan Kambing Boer

Kerajaan negeri meluluskan kawasan seluas 600 hektar kepada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Dungun dan Setiu untuk dilaksanakan projek tanaman herba dan ternakan kambing Boer.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri meluluskan seluas kira-kira 400 hektar di Pasir Raja, Dungun untuk tanaman herba dan 200 ekar untuk projek ternakan kambing Boer di Pancor Bederu, Setiu.

“Kita harap kedua-dua projek ini dapat membantu dan meningkatkan pendapatan penduduk kampung,” katanya selepas mempengerusikan mesyurat exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu, kelmarin.

Ahmad Said berkata projek tanaman herba di Pasir Raja itu merupakan projek tanaman herba secara komersial yang pertama dilaksanakan di Terengganu.

Beliau berkata sekarang ini kerja-kerja mengukur kawasan sedang dilaksanakan dan penanaman pokok herba seperti tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing dan lain-lain akan dimulakan awal tahun depan.

Katanya pokok-pokok herba itu merupakan herba yang popular dan mendapat sambutan di pasaran pada masa ini.

Beliau berkata di Pancor Bederu, buat permulaannya kira-kira 2,000 ekor induk kambing Boer telah ditempatkan di situ yang akan diusahakan oleh 150 orang golongan miskin tegar.

Dalam masa yang sama, Ahmad berkata kerajaan akan membina 100 unit rumah di kawasan tersebut untuk golongan miskin tegar untuk bekerja di ladang itu.

“Selepas lima tahun rumah itu akan menjadi milik mereka sekiranya mereka bekerja dengan baik. Pendapatan mereka dianggar melebihi RM1,500 sebulan, sekaligus mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan,” katanya.

Pelajar Lemas Ketika Mandi di Sungai Buaya

Mayat pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Bukit Payong ditemui di Sungai Buaya di Marang kira-kira 10 malam tadi, kira-kira empat jam selepas dia dilaporkan hilang semasa mandi di sungai itu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri Datuk Mazlan Ngah berkata, mangsa Muhammad Muzzammil Muhammad Hafzi, 12, bersama seorang rakan, mandi di sungai berkenaan 6.30 petang semalam selepas bermain bola sepak.

Beliau berkata, sebaik tiba di sungai, Muhammad Muzzammil yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah Bukit Payong, tidak jauh dari sungai itu terus terjun ke dalam sungai sementara rakannya berdiri di tebing. "Tidak lama kemudian dia dihanyutkan arus dan rakannya cuba membantu, tetapi gagal menyelamatkannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mazlan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu berkata, polis, anggota bomba dan penyelamat dan anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kemudiannya melancarkan gerakan mencari.

Beliau berkata, mayat Muhammad Muzzammil ditemui di dasar sungai, kira-kira 50 meter dari tempat beliau dikatakan tenggelam dan dihantar ke Hospital Sultanah Nor Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Mazlan menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya mengawal pergerakan anak-anak, dan menegah mereka daripada bermain di sungai bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.

Kerajaan Diminta Tunda SPM Jika Banjir Berterusan

Kerajaan dirayu supaya menunda peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana banjir terburuk yang kini melanda Kedah dan Perlis dibimbangi boleh menjejaskan persediaan calon-calon di kedua-dua negeri berkenaan.

Banjir yang kini melanda Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu menyebabkan 31,000 penduduk dipindahkan ke pusat penempatan sementara.

Presiden Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata kerajaan wajar memberi peluang kepada mangsa-mangsa banjir terdiri daripada calon SPM membuat persediaan lebih rapi bagi menghadapi peperiksaan itu yang dijadual bermula 23 Nov ini.

"Saya dapat merasakan kesusahan mereka kerana terpaksa mengulang kaji dalam keadaan yang berpindah randah, buku-buku pula mungkin ada yang hilang atau basah terkena air, jadi perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan perhatian pelajar dalam membuat persediaan untuk SPM.

"Kerajaan perlu sensitif kerana situasi yang tidak kondusif mampu menjejaskan peluang pelajar untuk cemerlang dalam SPM dan ia turut melibatkan masa depan mereka," katanya kepada Bernama ketika dihubungi Khamis.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang bersetuju supaya SPM ditunda kerana banjir menyukarkan calon-calon peperiksaan memberi tumpuan kepada pelajaran, terutama jika terpaksa berpindah ke pusat penempatan sementara banjir.

Katanya kerajaan juga perlu memberi bantuan kepada calon-calon terlibat untuk memastikan keselamatan dan kebajikan mereka sekeluarga terjamin.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berharap Jabatan Pendidikan Negeri di negeri-negeri yang dilanda banjir, memberi laporan lengkap kepada kementerian dan pihak berkuasa berhubung situasi sebenar yang dihadapi calon-calon SPM.

"Ini adalah soal kebajikan. Sebagai seorang yang pernah mengambil SPM, saya tahu bagaimana keadaannya kalau tidak mempunyai ruang dan situasi yang kondusif untuk belajar sebab SPM ini 'berat'.

"Jadi saya harap jika banjir terus berterusan, tunda dahulu SPM sehingga keadaan pulih," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata Kementerian Pelajaran bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika banjir berlarutan sehingga SPM berlangsung termasuk memindahkan calon SPM ke sekolah lain bagi kemudahan mereka.

Wednesday, November 3, 2010

Asdi Umum Agihan Pendapatan 3.0 Sen Seunit

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said semalam mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Darul Iman (ASDI) sebanyak 3.0 sen seunit bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Okt 2010.

Pengagihan bersih seunit itu melibatkan dana berjumlah RM12.23 juta.

"Jumlah pengagihan ini adalah lebih rendah sedikit berbanding 5.0 sen bersih seunit yang dibayar pada tahun lepas.

"Ini adalah kerana Pengurus mengambil kira keseimbangan antara agihan pendapatan dan juga perkembangan modal tabung, serta langkah mengurus risiko bagi mengekalkan pertumbuhan tabung ASDI pada tahun-tahun akan datang," katanya kepada Bernama, di Kuala Terengganu.

Selain daripada agihan pendapatan 3.0 seunit, pemegang unit juga menikmati peningkatan Nilai Aset Bersih (NAB) tabung sebanyak 4.65 sen seunit, katanya.

Ahmad berkata agihan pendapatan 3.0 sen seunit itu adalah pulangan 7.56 peratus sementara peningkatan NAB berjumlah 4.65 sen seunit ialah pulangan 11.73 peratus berdasarkan nilai NAB ASDI sebanyak RM0.3967 seunit pada awal tahun.

"Dengan ini, jumlah pulangan ASDI pada tahun ini ialah 19.29 peratus," jelasnya.

Menurutnya dengan pengagihan itu, jumlah pengagihan pendapatan yang telah dibuat oleh ASDI bagi tempoh 16 tahun semenjak ia beroperasi ialah 69 sen bersih seunit yang melibatkan pembayaran berjumlah RM298.33 juta.

Beliau berkata pada tahun ini ASDI telah mencatat keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM31.1 juta berbanding RM33.2 juta pada 2009.

Katanya NAB ASDI pada 29 Okt 2010 ialah RM192.8 juta bersamaan RM0.4732 seunit berbanding RM157.2 juta bersamaan RM0.3967 seunit pada awal tahun kewangan. Ini adalah peningkatan sebanyak RM35.6 juta atau 22.6 peratus.

Sebagai tabung yang berteraskan Syariah, FBMShariah adalah penanda aras yang sesuai dalam mengukur prestasi pencapaian ASDI.

"Dalam tempoh yang sama FBMShariah telah meningkat daripada 8,415.73 mata kepada 9,884.82 mata, iaitu peningkatan sebanyak 1,469.1 mata atau 17.5 peratus.

"Peningkatan sebanyak 22.6 peratus NAB ASDI berbanding FBMShariah 17.5 peratus menunjukkan bahawa pencapaian ASDI pada tahun ini adalah lebih baik berbanding pergerakan penanda aras pasaran," kata beliau.

Katanya pengumuman program transformasi ekonomi oleh kerajaan baru-baru ini dijangka memantapkan lagi pertumbuhan ekonomi, yang secara tidak langsung akan memberi prospek positif dalam sektor pelaburan.

Usaha kerajaan dalam mengenal pasti enjin-enjin pertumbuhan baru juga tentunya akan merangsang aktiviti ekonomi dan pelaburan yang berterusan dan akhirnya akan membawa manfaat menyeluruh kepada kesejahteraan rakyat, suasana pelaburan dan pasaran saham.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan pelabur bumiputera di Malaysia sama ada individu atau korporat untuk melabur di dalam ASDI sebagai pelabur baru atau membuat pelaburan tambahan," katanya.

Tabung ASDI diurus oleh PTB Unit Trust Bhd, subsidiari milik penuh Permodalan Terengganu Berhad.

Nur Amalin hafaz 30 juzuk al-Quran pada usia 15 tahun

Ahmad Razif Abdul Rahman bermesra dengan pelajar pada majlis anugerah Hafazan & Haflah al-Takharuj 2010, Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, kelmarin.

Azam untuk menjadikan kejayaannya dalam pelajaran serta mampu menghafaz al-Quran agar dicontohi adik-adiknya mendorong Nur Amalin Shafirah Tuan Mahadi, 17, gigih berusaha.

Selain cemerlang dalam setiap periksaan utama dan aktif dalam kepimpinan kokurikulum, dia berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran pada usia 15 tahun dan mewakili negeri dalam hafazan al-Quran.

Selain membanggakan keluarganya, atas usahanya itu dia bersama tiga pelajar lain menerima Anugerah Khas Ulul Albab pada Majlis Anugerah Hafazan dan Haflah Al-Takharruj 2010 Sekolah-Sekolah Imtiaz Yayasan Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.


Pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang itumemberitahu, pada peringkat awal, dia tidak yakin dapat menghafal 30 juzuk al-Quran kerana ia menuntut tumpuan penuh selain perlu mempelajari mata pelajaran yang lain.

''Namun berkat usaha dan doa ibu bapa serta guru-guru, pada usia 15 tahun saya telah berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran,' katanya ketika ditemui.

Anugerah Khas Ulul Albab itu turut diterima oleh Fatin Nursyafikah Anur (Imtiaz Kuala Terengganu), Nabilah Alias (Imtiaz Besut) dan Ahmad Amnirul Ihsan Che' Zahari (imtiaz Dungun).

Ia disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Razif Abd. Rahman.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Yayasan Terengganu, Aziz Mamat.

Sempena anugerah itu, seramai 177 orang pelajar yang telah berjaya khatam menghafaz 30 juzuk Al-Quran turut diraikan di samping 509 pelajar daripada tingkatan tiga dan lima yang bakal menamatkan pengajian di seluruh Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu.

Sementara itu, Aziz dalam ucapannya berkata, Sekolah Menengah Imtiaz menyediakan satu model pembelajaran secara holistik di mana setiap potensi individu di maksimumkan tanpa meminggirkan aspek kerohanian.

Jelasnya, dalam usaha itu, pihaknya telah menerapkan program Hafazan di dalam sistem pendidikannya.

"Kita menggunakan pendekatan di mana setiap hari pelajar diwajibkan menghafaz satu muka surat sehari, satu juzuk dalam tempoh sebulan dan khatam menghafaz 30 juzuk dalam tempoh tiga tahun dan perlu mengulang menghafaz semasa di tingkatan empat dan lima.

"Bagi menilai tahap kemampuan hafazan mereka kita melantik panel khas dan hasil ujian menunjukkan 89 peratus pelajar telah lulus dengan cemerlang di dalam ujian berkenaan dan ia membuktikan modul yang kita laksanakan berjaya selari dengan kehendak pelajar-pelajar," jelasnya.

Terengganu Bangunkan Kawasan Potensi Bersejarah

Kerajaan Terengganu melalui Muzium Negeri akan membangunkan semula kawasan yang berpotensi untuk dijadikan tempat bersejarah sebagai salah satu inisiatif memelihara warisan lama daripada terus ‘mati’ begitu sahaja.

Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah berkata, inisiatif yang dilakukan ini penting bagi mengelakkan tempat bersejarah hilang fungsi walaupun mempunyai kisah tersendiri.

“Kerajaan Negeri telah bersetuju membeli rumah warisan Haji Su yang terletak di Losong Haji Su dengan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM2.8 juta.

“Peruntukan yang besar itu bertujuan melaksanakan kerja penilaian dan baik pulih rumah warisan kerana pada suatu ketika dahulu ia menjadi tempat pertemuan semasa kemerdekaan.

“Walaupun ramai yang melihat struktur rumah tersebut dari luar seolah-olah tidak menggambarkan tempat bersejarah namun nilai di dalam rumah itu yang mendorong Muzium Negeri memeliharanya bagi tatapan generasi akan datang,” katanya.

Menurutnya, selain rumah warisan Haji Su, Kerajaan Negeri juga berjaya membangunkan Pulau Bidong, Setiu sebagai tempat pelancongan satu hari ('one day trip') kepada pelancong.

“Setakat ini kerja naik taraf infrastruktur di situ telah dilaksanakan secara berperingkat dan alhamdulillah kemudahan jeti berjaya disiapkan seperti yang dijanjikan.

“Kita akan terus mengekalkan aset sejarah di situ bagi memastikan Pulau Bidong menjadi destinasi pilihan ramai selepas ini selain pulau lain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian pameran haiwan berbisa di Kompleks Muzium Negeri, Bukit Losong, Kuala Terengganu.

Lima Didakwa Bunuh Penoreh Getah

Lima lelaki termasuk seorang warga negara Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini kerana dituduh membunuh seorang penoreh getah bulan lepas.

Mat Ubidi Osman, 39, Kamarulzaman Mamat, 25, Khairul Amililn Samsudin, 17, Mas Anuar Fauzi, 27, dan Roslan Ariffin, 24, warga negara Thailand, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mereka, bersama seorang lagi yang masih bebas, dituduh membunuh Muda Mohd, 27, di kawasan kebun getah Kampung Lubuk Batu, antara 10 pagi dan 11 pagi 19 Oktober lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.Majistret Nor Azizah Yusoff menetapkan 28 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad.

Tuesday, November 2, 2010

Harga Minyak Petrol RON97 Naik?

Benarkah harga minyak petrol RON97 akan dinaikkan sebanyak 5 sen atau 2.4% menjadikan harganya RM2.15 seliter?

Sehingga jam 3.26 pagi ini, tiada sebarang kenyataan daripada kerajaan dibuat mengenai kenaikan itu.

Namun ada blog yang mengatakan pengedar petrol berkata mereka terpaksa menaikkan harga premium gred RON97 sebanyak 5 sen bermula esok (hari ini?).

Ini memandangkan kerajaan tidak memberikan subsidi kepada petrol jenis itu. Oleh kerana harga minyak dunia telah meningkat, harga petrol juga perlu diselaraskan.

Itu yang dikatakan oleh Hashim Othman, presiden Persatuan Pengedar-Pengedar Petrol Malaysia.

Bagaimanapun peningkatan harga tersebut tidak akan berlaku kepada RON 95.
Peningkatan harga tersebut juga merupakan kesan daripada pemotongan subsidi kerajaan yang telah diumumkan oleh kerajaan bagi mengurangkan defisit belanjawan negara.
Kita tunggu saja pengumuman kerajaan.

Tahniah Kepada Pemenang Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu

Tahniah kepada pemenang yang akan menerima hadiah kerana memenangi Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu 2010 anjuran kerajaan Terengganu melalui Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM).

Majlis penyampaian hadiah akan diadakan di Hotel Primula petang ini. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dijangka akan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Pertandingan menawarkan hadiah wang tunai RM69,000 itu bermula pada 21 April hingga 30 September lalu.

Promosi Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu turut diadakan di beberapa tempat seperti di Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuantan, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu diketuai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Terengganu yang juga Pengarah UKOM, Rosli Zakaria (gambar kiri), bagi memeriahkan pertandingan itu.

Tujuan pertandingan ialah membawa mesej positif dan mampu menterjemahkan hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu destinasi pelancongan utama dalam dan luar negara.

Tiga kategori dipertandingkan iaitu pelajar tingkatan enam dan ke bawah, institut pengajian tinggi (IPT) dan terbuka.

“Bagi pelajar Tingkatan Enam ke bawah hadiah RM15,500 termasuk RM5,000 untuk pemenang utama ditawarkan.

“Kategori pelajar IPT RM21,500 termasuk RM7,000 hadiah utama dan terbuka menawarkan RM32,000 termasuk RM10,000 untuk pemenang utama,” katanya.

Peserta perlu menggunakan kepelbagaian kreativiti bagi mempromosi keindahan, sosio budaya, kesenian dan aktiviti yang ada di Terengganu.

Bilik Gerakan Banjir di Terengganu Mula Beroperasi

Bilik Gerakan banjir Terengganu mula dibuka semalam berikutan perpindahan mangsa banjir di Besut pagi semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, berkata Bilik Gerakan yang bertempat di Pejabat Keselamatan, Wisma Seri Amar di sini pada ketika ini beroperasi pada waktu pejabat.

"Jika banjir melanda lebih daripada satu daerah, Bilik Gerakan akan beroperasi 24 jam," katanya di Kuala Terengganu hari ini.

Dalam kejadian banjir semalam, seramai 85 penduduk tiga buah kampung di Besut dipindahkan ke pusat pemindahan setelah kawasan rumah mereka ditenggelami air ekoran hujan lebat sejak kelmarin.

Mazlan yang juga Setiausaha Kerajaan Terengganu, berkata jangkaan Jabatan Meteorologi negeri, hujan tahun ini melebihi 40 peratus berbanding tahun lalu, berkemungkinan menyebabkan banjir lebih buruk berbanding tahun lalu.

Berikutan itu, beliau menasihatkan orang ramai terutamanya penduduk di kawasan rendah supaya berhati-hati dan mematuhi arahan jika berlaku banjir selain tidak membiarkan anak-anak bermain air.

Mangsa Kemalangan Di Setiu Dikebumi Satu Liang Lahad

Empat sekeluarga yang terbunuh dalam kemalangan antara kereta dan van di Setiu kelmarin dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Padang Bual, Pasir Akar semalam.

Mereka yang berasal dari Kampung Bukit China, Pasir Akar ialah Noorazyelwy Sidek, 32, adiknya Noorazry Elmy, 29, Noorafzan Efizalman, 16, dan anak perempuan Noorazry Elmy, Nor Amysha Maisarah, 1, Ibu kepada ketiga-tiga mangsa Zabedah Teh, 49, dan isteri Noorazry Elmy, Che Marina Awang, 23, turut hadir di tanah perkuburan itu. Hujan lebat yang turun, tiba-tiba berhenti semasa pengebumian hendak dijalankan.

Sebelum itu kereta jenazah yang membawa keempat-empat mangsa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira tiga kilometer daripada rumah Zabedah, terpaksa mengharung air banjir apabila jalan utama ke tempatan pengkebumian di Gertak Jerbong dinaiki air sedalam 0.3 hingga 0.6 meter.

Beberapa kampung di Besut kini dilandar banjir ekoran hujan lebat yang turun sejak semalam.

Turut terbunuh dalam kemalangan 1.30 petang itu di KM67.5 Jalan Permasuri-Penarik berdekatan Kampung Nyatoh ialah penumpang van berkenaan, Mek Wook Yaakob, 76, yang meninggal di Hospital Setiu.

Kereta yang dinaiki keluarga itu dalam perjalanan pulang dari Panarik manakala van berkenaan yang sarat dengan 13 orang penumpang dipercayai sedang menuju ke arah Dungun.

Kereta itu dipandu Noorazydyelwy, kakitangan Universiti Malaysia Terengganu, manakala van itu dipandu Wan Mohd Mustaffa Zulkarnain, 45, penghantar barangan runcit di Jerteh.

Isterinya, Wan Samariah Wan Nawang, 47, cedera parah.

Menurut polis, kereta itu dikatakan terbabas ke kanan jalan akibat jalan yang licin berikutan hujan lebat lalu bertembung dengan van berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

" Amanat Hadi" Bergema Semula Di Galas

Oleh Belantan

Nik Aziz pernah sebelum ini mengatakan yang kafirkan UMNO adalah angkara militan PAS!

Jika kenyataan Nik Aziz itu boleh diterima mewakili keseluruhan pandangan kepemimpinan PAS, ia jelas membuktikan bahawa selama ini parti itu tidak mengkafirkan UMNO. Ia juga bermakna UMNO, parti yang didokong oleh orang Islam, tidak pernah bercanggah dengan kehendak Islam.

Soalnya mengapa perkara ini tidak pernah diperjelaskan sebelum ini? Mengapa perkara ini dibiarkan berlarutan hingga menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam, berlaku perceraian suami, isteri dan perbalahan anak-beranak yang berbeza parti hinggakan berlaku sembahyang dua imam. Apa yang diketahui umum, pemimpin PAS turut mengkafirkan UMNO.
Ia bukan sekadar inti ucapan di majlis ceramah, malah jelas membuktikan daripada pandangan orang PAS, UMNO adalah kafir. Mengapa hanya selepas PAS bercadang membuka keanggotaan parti itu kepada bukan Islam, pandangan PAS terhadap UMNO berubah. Umum mengetahui salah satu sebab UMNO dicap kafir ialah kerana ia bekerjasama dengan parti lain yang bukan Islam dalam Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya apabila PAS cuba rapat dengan parti pembangkang lain yang bukan Islam, mereka menganggap ia dibenarkan oleh Islam kerana tujuannnya ialah untuk menegakkan keadilan!

Apakah UMNO selama ini tidak pernah memperjuangkan keadilan terhadap rakyat? Apakah UMNO tidak pernah memperjuangkan nasib umat Islam? Isu mengkafir UMNO berlarutan agak panjang. Sepatutnya, jika menyedari bahawa isu mengkafirkan UMNO dilakukan oleh pelampau dalam PAS, maka pemimpin parti itu segera memperbetulkan keadaan itu.

Bukankah disebabkan ketika itu PAS melihat isu kafir-mengkafir itu memberi kelebihan politik, maka mereka mengizinkan UMNO dibelasah dengan tohmahan yang tidak sewajarnya dilakukan sesama Islam.

Mengulas kenyataan TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin di Galas, beliau sekali lagi mempertikaikan tindakan PAS yang dianggap beliau terus mengeluarkan 'fatwa' sesuka hati berhubung kerjasama UMNO dengan MCA dalam Barisan Nasional (BN).

Katanya, tindakan menganggap kerjasama UMNO dengan MCA adalah salah tetapi dalam masa yang sama 'menghalalkan' kerjasama PAS dengan DAP, membuktikan pemimpin PAS suka membuat 'fatwa' sesuka hati mengikut kepentingan politik mereka.

" Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selePAS majlis ramah mesra dengan masyarakat Orang Asli di Pos Brooke sempena kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menganggap kerjasama parti itu tidak salah sebaliknya kerjasama antara UMNO dan MCA yang salah.

Dalam ceramahnya malam tadi sempena kempen pilihan raya tersebut, Abdul Hadi berkata, keadaan itu terjadi kerana mendakwa pemimpin UMNO mengikut perangai pemimpin MCA yang bertentangan dengan Islam.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, parti itu sejak dulu lagi berpendapat kerjasama dengan MCA atau mana-mana parti komponen BN lain yang bukan Islam tidak salah sama ada dari segi hukum agama mahupun kepentingan awam.

" Hasil kerjasama yang kita jalin sejak 53 tahun lalu, bermula dengan Perikatan, ia mendatangkan kebaikan kepada negara ". Mereka belajar daripada kita.

" Oleh itu kenapa perlu ada satu pandangan yang berbeza berhubung kerjasama ini," katanya.

Beliau berkata, BN tidak menganggap apa yang dilakukan oleh PAS bekerjasama dengan DAP adalah salah tetapi mempersoalkan kenapa parti itu dahulu menuduh UMNO kafir kerana bekerjasama dengan orang kafir.

" Hari ini 'fatwa' yang sama hendak digunakan tetapi kalau untuk dia tak apa, untuk kita tak boleh," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Islam khususnya pengundi di Galas akan mengambil iktibar terhadap sikap tidak konsisten PAS yang terus mengamalkan pendirian apa sahaja yang dilakukan oleh mereka betul tetapi kalau dibuat oleh BN salah.

Penulis melihat mengapa Abdul Hadi sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang meng"ia"kan "Amanat" beliau sebelum ini. Sehingga kini Abdul Hadi masih belum menafikan "Amanat" beliau kecuali Nik Aziz. Adakah ini tindakan terdesak Abdul Hadi untuk meraih UNDI di PRK Galas?

Jika mengikut apa yang dikatakan oleh Nik Aziz bahawa isu kafir-mengafir UMNO adalah angkara pelampau PAS, maka adakah Abdul Hadi juga seorang militan atau pelampau PAS? Setidak-tidaknya, dengan kenyataan Nik Aziz itu jelas menunjukkan dalam PAS sendiri memang wujud kalangan ahli parti itu termasuklah " Presiden "nya bersikap melampau. Islam tidak pernah merestui umat yang bersikap demikian.

Bolehkah PAS menutup kes sembahyang dua imam kerana menganggap tidak sah sembahyang berimamkan orang UMNO. Apakah PAS boleh menafikan hakikat ini? Sekiranya PAS benar-benar ikhlas, mereka sepatutnya mengeluarkan pendirian yang mengatakan UMNO adalah parti yang berjuang mengikut lunas Islam. Tidak perlu lagi parti itu berdolak dalik kerana apa saja isu yang dikemukakan oleh parti itu, adalah semata-mata untuk tujuan politik.

Jika kepemimpinan PAS termasuklah Presidennya Abdul Hadi berfikiran panjang, mereka seharusnya melihat diri sendiri dan bertanding dalam pilihanraya kecil di Galas dengan isu yang lebih munasabah. Bolehkah Amanat Hadi dimansuhkan. Hanya pemimpin-pemimpin PAS termasuk Presidennya sahaja yang boleh memberikan jawapannya?

Wallahuallam.

Suara Politik
Taminsari

Amaran Hujan Lebat Di Beberapa Kawasan Di Timur, Utara Semenanjung

Beberapa anggota Jabatan Pertahanan Awam membantu seorang warga emas yang uzur, Bidah Salleh, 79, berpindah ke pusat pemindahan banjir setelah rumahnya ditengelami air di Kampung Tiung, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Jabatan Meterologi Malaysia meningkatkan Amaran Peringkat Merah berikutan hujan lebat di beberapa kawasan di utara dan pantai timur Semenanjung sejak beberapa hari lepas.

Kawasan terbabit adalah daerah Tumpat, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang dan Jeli di Kelantan, manakala di Kedah melibatkan daerah Kubang Pasu dan Padang Terap serta di keseluruhan Perlis.

Jalan Kangar-Arau terpaksa ditutup kepada semua lalu lintas selepas ditenggelami banjir di Arau, Perlis, 1 Nov. Sehingga kini lebih 1,000 penduduk di negeri itu dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.

Jabatan itu, menerusi laman webnya, turut mengeluarkan Nasihat Hujan Lebat dan Ribut Petir Peringkat Kuning di beberapa daerah termasuk Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Yan, Sik dan Baling di Kedah, serta Daerah Besut, Setiu dan Kuala Terengganu di Terengganu juga ditingkatkan kepada Amaran Hujan Lebat Peringkat Jingga.

Nasihat Hujan Lebat dan Ribut Petir Peringkat Kuning diberikan di beberapa kawasan di Kedah termasuk daerah Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu serta keseluruhan Pulau Pinang.
Hujan dijangka berlanjutan di kesemua daerah sehingga Rabu ini yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

Amaran peringkat Jingga bermaksud angin kencang dengan kelajuan 50-60 km/j yang boleh menyebabkan pokok bergoyang manakala Amaran Peringkat Merah bermaksud angin kencang dengan kelajuan sekurang-kurangnya 60 km/j dan boleh menyebabkan pergerakan menentang arah angin terhalang dan boleh merosakkan struktur bangunan.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Suhana Mohamed Salleh berkata pihaknya sudah bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan sekiranya cuaca buruk berterusan.

"Petugas-petugas telah pun bersedia, dan sekiranya petugas yang ada tidak mencukupi, sukarelawan dari setiap negeri ada untuk membantu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Buat masa ini, katanya bot-bot penyelamat dihantar bagi membantu setiap kawasan, dan bagi negeri-negeri di utara, PBSMM di Pulau Pinang akan mengetuai operasi.

"Selain bot penyelamat, pihaknya juga akan menyediakan kenderaan pacuan empat roda bagi melicinkan operasi pemindahan mangsa banjir," katanya.

Mengenai status banjir di utara, Suhana berkata tujuh bilik gerakan banjir di Perlis dikenal pasti iaitu satu di Arau, lima di Beseri dan satu lagi di Kangar.
"Mengikut laporan yang diterima tadi, setakat ini seramai 500 mangsa telah pun dipindahkan," katanya.

Siapa Bakal Disembelih Selepas Raya Korban Nanti di Terengganu?

Logo UMNO ciptaan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahri Mamat


Nampaknya Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu begitu 'mengambil berat' soal politik UMNO apabila menjadi 'Tok Nujum' meramalkan apa yang akan berlaku dalam UMNO Terengganu.

Saiful Bahari Mamat dalam blognya dengan tajuk di atas berusaha mendekati perkembangan dalam UMNO Terengganu dengan memberikan 'kelebihan' kepada Datuk Seri Ahmad Said.

Ulasannya yang memihak kepada Ahmad Said pastinya akan membuatkan pemimpin UMNO tertentu di Terengganu rasa 'geli geleman' (orang Terengganu sebut geli gelemang).

Beliau mengulas kedudukan UMNO ini berasaskan ucapan penggulungan oleh Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Teganuku tidak mahu mengulas lanjut nanti ada pihak sensitif (seperti tajuk lagu Rahim Maarof - penyanyi yang popular sekitar 1980-90an).

Siapa bakal di sembelih selepas raya korban nanti di Terengganu?
Posted by Saiful at 8:07 AM (31 Oktober 2010)


Soksek-soksek dan sms dah bertebaran. Najib akan membuat perubahan keatas kepimpinan UMNO dibeberapa negeri yang dipegang oleh pimpinan luar sebagai Pengerusi Perhubungan negeri seperti Selangor, Kedah termasuklah Terengganu yang dipimpin oleh Datuk Hisyamuddin.

Mungkin Hisyamuddin dah tak larat mengemudi UMNO Terengganu yang sentiasa bergolak tak habis-habis. Masing-masing dok berperang sesama sendiri. Berpolitik takir menakir anta team Deris dan MB sekarang iaitu Mat said.

Ketika konvensyen UMNO di Terengganu baru-baru ini, bukan main lagi pimpinan UMNO Terengganu dihentam dari kalangan ahlinya sendiri termasuk exco mereka sendiri. Tetapi biasalah pimpinan UMNO masih lagi mampu buat muka sardin. Kerana itulah dalam waktu yang terdekat ini menurut maklumat yang tersebar, pengerusi perhubungan UMNO di Terengganu akan diserahkan kepada Mat Said dan teamnya. Apa nak jadi ke jadilah. Idris jusoh akan dibawa untuk bertanding di Parlimen Besut. Untuk masuk ke Dewan Undangan Negeri Terengganu… Maaf! Sudah tiada tempat buatmu. Deris akan menggalas kain pergi ke Kuala Lumpur. Sebagai Pengarah Pilihanraya UMNO pusat, sudah tentu ada tempat buatnya. Paling tidak pun menjadi Menteri menggantikan AP Besut yang ada sekarang sebagai menteri pacak yang terbuang setelah kejatuhan Pak Lah Badawi sebagai PM. Itupun kalau UMNO-BN masih lagi berkuasa. Kalau kapal sudah pecah dan karam di Putrajaya. Nasib ko le Labuuu…

Merujuk kepada ucapan Najib semasa persidangan baru-baru ini yang menyebut untuk membuat perubahan dan rombakan kepimpinan bagi menghadapi Pru ke 13. "Dalam masa terdekat ini saya nak buat perubahan pada kepimpinan Umno di peringkat tertentu. Moga akan lengkaplah (barisan kita)," katanya yang juga perdana menteri. Dalam ucapan penggulungan dalam mesuarat agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini, Najib bagaimanapun berkata akan merundingkannya terlebih dahulu dengan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden parti itu. "Bincang dengan Jawa, Turki dan lanun semua apa formula terbaik," katanya berseloroh, merujuk kepada tiga naib presiden - Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Shafie Apdal - yang masing-masing mempunyai darah bangsa dan kaum yang disebutkan itu.

(Ish!!! Habis siapa yang melayu dalam UMNO ni??? Kuat sangat berjuang untuk melayu tetapi sebenarnya untuk siapa?? Jawa, Turki & Lanun??? )

Kalau benar sebagaimana rumours bahawa Mat Said akan menjadi Pengerusi Perhubungan dan Tengku Putera akan menjadi Timbalannya. Sudah tentu Pok Rosli akan senyum sampai ke telinga. Takkan tak lantik beliau kembali ke kerusi Setiausaha Perhubungan? Kalau ini terjadi. Mintak maaf le team Derih Jusoh. Sayonara & selamat Jalan. Good bye le dari politik Terengganu. Kalau ada peranan pun dalam kelab veteran UMNO atau MUBARAK iaitu kelab bekas-bekas wakrat UMNO. Deris sorang boleh le bergantung dibawah ketiak Najib? Bagaimana yang lain? Kalau 3 orang ini sebagai pencatur politik UMNO Terengganu… tiada le tempat bagi Adun budak hitam akan namanya untuk disenarai dalam Pru ke 13. Boleh le intai-intai projek. Berjinak-jinak menjadi usahawan. Tinggallah kerja ahli politik. Kecuali menebalkan muka untuk berbaik-baik dengan Mat Said dan Pok Rosli. Boleh ke????

Nampaknya UMNO Terengganu menanti belah selepas retak dah seribu. Memang tiada ubat yang paling mujarab untuk selesaikan masalah dalaman ini kecuali kekalahan UMNO dalam Pilihanraya ke 13. Apabila UMNO tersungkur barulah dibuat pemulihan semula untuk UMNO. Yelah!! Takkan Team Deris nak bairkan begitu sahaja mat Said bermaharajalela. Alang-alang celup pekasam biar sampai pangkal lengan. Alang-alang mandi biar le basah. Biar putih tulang jangan putih mata. Pada kalah sorang baik kalah berlaka.

Berilah kepada Pas untuk memerintah sementara UMNO berehat untuk berubat. Mencuci luka, berurut segala yang tergeliat dan membaik-pulih segala yang patah. Apatah wajah UMNO Terengganu amat tercalar, terpalit arang angkara Derih Jusoh menentang Sultan di Terengganu. UMNO Terengganu perlukan korban. Samalah seperti penyembelihan Pak Lah dari jawatannya. Perlu ada untuk dikambing-hitamkan. Dan semua disekeliling kambing hitam itu pun turut perlu disembelihkan. Begitulah budaya politik UMNO. Tapi nampaknya kambing putih dan isterinya yang menggantikan Pak Lah pun semakin kuat hancing kencingnya dan semakin kuat hapak tahiknya. Apakah nyawa politiknya masih bertahan selepas Pru nanti??

Siapakah bakal disembelih dalam masa terdekat ini???? Sesuai dah dengan hari raya korban dah dekat ini. Asah2 le pisau tu Mat Said!! Tetapi UMNO korban pakai keris? Perasaplah keris berlekok tu… Mat Said? Siapa bakal ditikam selepas aidiladha nanti? Tungguuuuu….

Takaful Ikhlas Sasar Raih RM750 juta

Takaful Ikhlas Sdn Bhd menyasarkan meraih pendapatan premium insurans takaful sebanyak RM750 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik.

Pengerusi Takaful Ikhlas, Sharkawi Alias (gambar kanan), berkata sejak ditubuhkan pada September 2002 dan beroperasi Julai 2003, syarikat sudah mencatatkan pertumbuhan mapan berterusan daripada hanya 145 kakitangan dan meraih pendapatan RM147 juta pada tahun kewangan 2005.

Katanya, pendapatan syarikat meningkat kepada RM224 juta (2006), RM428 juta (2007), RM579 juta (2008) dan RM615 juta pada tahun lalu.

“Kami yakin dengan pertumbuhan syarikat yang begitu pesat, sasaran kami untuk memperoleh kutipan sumbangan sehingga RM750 juta pada akhir tahun ini akan tercapai,” katanya.

Beliau menyatakannya selepas majlis perasmian pejabat Takaful Ikhlas Wilayah Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu, kelmarin. Hadir sama, Ketua Eksekutifnya Datuk Syed Moheed Syed Kamarulzaman.

Sharkawi berkata, kumpulan itu sentiasa membuka peluang menambah bilangan ejen perniagaan produk insuransnya dan kini syarikat mempunyai lebih 7,633 ejen di seluruh negara dengan menawarkan lebih 90 pelan perlindungan kewangan berlandaskan Syariah.

“Daripada lebih 1.7 juta pemegang sijil insurans Takaful Ikhlas, tujuh peratus atau kira-kira 110,000 orang adalah bukan Islam, sekali gus membuktikan produk berkenaan yang berlandaskan Syariah turut menjadi pilihan orang bukan Islam demi masa depan mereka,” katanya sambil menambah Pejabat Takaful Ikhlas Wilayah Terengganu adalah cawangan ke 11 di seluruh negara dan ketiga di Pantai Timur selepas Kota Bharu dan Kuantan.

Katanya, prestasi perniagaan produk Takaful Ikhlas menerusi kira-kira 500 ejennya di Terengganu sekarang amat memberangsangkan menyebabkan syarikat mengambil keputusan membuka pejabat wilayah di negeri itu untuk memudahkan pelanggan dan ejen berurusan secara terus dengan syarikat.

“Bagi peringkat Terengganu, kami menyasarkan perolehan pendapatan bagi semua perniagaan produk Takaful Ikhlas sebanyak RM31 juta untuk tahun kewangan berakhir Disember ini, berbanding RM13.9 juta tahun lalu,” katanya

JKM Terengganu beku cuti kakitangan

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu membekukan cuti kakitangannya sebagai persediaan menghadapi banjir jika hujan lebat di negeri ini sekarang tidak berhenti dan keadaan bertambah buruk.

Pengarah JKM negeri, Zuhami Omar, berkata mengikut jangkaan Jabatan Meteorologi, banjir di Terengganu tahun ini lebih besar.

Katanya, JKM baru selesai menghantar barang keperluan mangsa banjir terutama di kawasan mudah putus perhubungan seperti di pulau.

Zuhami berkata, JKM membelanjakan RM600,000 untuk menyediakan keperluan awal bagi menghadapi banjir dan jumlah itu akan ditingkatkan mengikut keperluan.

Beliau berkata, pada tahun ini, JKM menyediakan lebih 100 pusat pangkalan hadapan iaitu Kuala Terengganu (tiga), Kemaman (16), Dungun (10), Marang (14), Hulu Terengganu (33), Setiu (22) dan Besut (22).

Sunday, October 31, 2010

Lebih 2,170 Murid Khatam Al-Quran Melalui e-Book Secara Serentak

Ragam sebahagian murid ketika selesai khatam al-Quran menggunakan e-Book di Stadium Tertutup Gong Badak, semalam.

Terengganu mencipta sejarah sekali lagi dalam Malaysia Book Of Records apabila seramai 2,170 murid Darjah Lima dan Darjah Enam berjaya khatam Al-Quran melalui e-Book secara serentak semalam.

Rekod dicipta berdasarkan jumlah murid teramai murid khatam Quran dengan menggunakan e-book.

Mereka adalah sebahagian 16,929 murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini berjaya khatam al-Quran secara serentak di kesemua tujuh daerah di negeri itu semalam.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said, berkata ini menggambarkan betapa e-Book sangat penting kerana boleh digunakan sebagai medium untuk mengaji Al-Quran selain bagi mengikuti pelajaran biasa dengan buku elektronik," kata beliau.

Majlis yang dirasmikan oleh beliau itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Halid Sintol, pegawai daripada Malaysia Book of Records, Zulhairi Md. Zin selain Exco kerajaan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menganjurkan majlis yang serupa di masa depan. "Kita akan buat majlis khatam Al-Quran pada masa depan serentak dengan kanak-kanak Tadika yang berjumlah 7,000 dan murid Sekolah Rendah kira-kira 17,000 yang menjadikan jumlah keseluruhan 25,000 orang," katanya.

Ahmad Said berkata, majlis berkenaan diadakan di tempat berasingan kerana Terengganu tidak mempunyai venue khusus bagi menampung jumlah mereka yang ramai.

Justeru, katanya, majlis melibatkan 6,001 murid dari Parlimen Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta kawasan Manir dan Batu Rakit itu diadakan di Stadium Tertutup manakala 2,400 murid dari Parlimen Besut pula diadakan di Masjid Kampung Raja, Besut dan 1,626 dari Parlimen Setiu di Masjid Bandar Permaisuri.

Menurut beliau, seramai 1,972 murid dari Parlimen Marang pula di Masjid Sultanah Nur Zahirah, Bandar Marang, 1,749 murid lagi dari Parlimen Hulu Terengganu di Masjid Sultan Mahmud, Parlimen Dungun (1,821) di Masjid Tengku Intan Zaharah dan Kemaman (1,264) di Masjid Sultan Ahmad.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan 30,000 kanak-kanak dari negeri ini yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan tadika akan khatam al-Quran pada tahun depan.

Mencari Kelibat Wan Ahamad...

Dua siri rencana mengenai Datuk Wan Ahamad Wan Muda dalam blog teganukini menarik untuk dicara. Rencana itu mengulas kenapa Wan Ahamad menyepi. Apakah kerana tugasnya semakin berat atau kerana beliau tidak lagi di Tingkat 16.

Juga, mungkinkah beliau sedang menyediakan dokumen tertentu untuk membersihkan dirinya yang 'dikotori' dengan pelbagai tuduhan?

Berikut disiarkan rencana dua siri itu secara gabungan untuk penjenguk blog ini.

Bahagian Pertama

Di mana Haji Wan Ahamad Wan Mudam kini bergelar Dato'?

Kenapa beliau kini tidak lagi dikecam dan dikritik sebagai “MB No2”? Apakah peranan Wan Ahmad tidak lagi penting kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said?

Kelibatnya tidak lagi menjadi penting dan Abdul Mubin Ismail, blogger yang menyokong Din Adam (Datuk) dan Kumpulan 10 (kini katanya tinggal tiga atau empat) ahli sahaja, juga jarang memperkatakan mengenai Wan Ahamad.

Suatu ketika, iaitu pada awal 2009, publisiti terhadap Wan Ahamad mengatasi Ahmad Said di Terengganu kerana perkara-perkara berikut:

1. Beliau dikatakan sebagai orang berpengaruh dan ‘Budak Tingkat 16’ yang mengawal Menteri Besar;

2. Beliau dikatakan mempengaruhi Menteri Besar dalam kerajaan untuk menempat dan melakukan pertukaran lebih 60 orang pegawai pekhidmatan negeri Terengganu (TCS) termasuk beberapa pegawai tinggi berkuatkuasa Januari 2009 - lima hari sebelum penamaan calon dan 16 hari sebelum pengundian Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu.
3.
Beliau juga bertanggungjawab terhadap penyusunan semula TCS Terengganu pada awal 2010 termasuk perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru;

4. Sebagai ‘Budak Tingkat 16’ dan Menteri Besar ‘No 2’ Wan Ahmad begitu berpengaruh dan mencampuri urusan politik Terengganu;

5. Wan Ahmad ‘bertanggungjawab’ menghantar SMS Ugut Bunuh yang menyebabkan pemulauan terhadap persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu oleh wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada April 2009;

6. Wan Ahmad bertanggungjawab menentukan kawasan balak yang dinaugerahkan oleh Kerajaan Negeri kepada pihak tertentu;

7. Wan Ahamad tidak pergi melanjutkan pelajaran di England, sebaliknya ‘menyorok’ di Terengganu;

8. Banyak lagi boleh disebut jika merujuk kepada blog Abdul Mubin Ismail dan berita serta rencana dalam Berita Harian dan Sinar Harian pada awal tahun 2009 lalu.

9. Menentukan pemberian projek dan peluang kepada pihak tertentu;

10. Beliau ialah penjaga kroni Ahmad Said; dan

11. Beliau bukan sekadar berpengaruh terhadap Menteri Besar tetapi Exco dan orang politik juga dikatakan ‘takut’ dan ‘tunduk’ kepada beliau.

Malah, sejak akhir-akhir ini, Wan Ahamad sebagai saksi perbicaraan Datuk DrAhmad Ramzi yang dituduh menghantar dan mengugut dalam kes SMS Ugut Bunuh bagaikan tidak penting lagi.

Malah, pada prosiding terbaru – dua hari pada 26 dan 27 Oktober lalu - di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu Wan Ahamad tidak pun kelihatan.

Khabarnya dia di Eropah ketika itu kerana lawatan kerja – malah keluarganya pun tidak nampak dan tidak mengambil kisah lagi mengenai perbicaraan itu.

Persoalannya, apakah Wan Ahmad takut menghadapi masyarakat kerana kecaman yang hebat terhadapnya?

Atau sejak menjadi Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) selepas dinaikkan pangkat daripada Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Wan Ahmad terlalu banyak menumpukan kepada kerja pentadbiran?

Yang pasti beliau tetap pegawai kerajaan.

Atau apakah Wan Ahmad ini diam-diam berisi dan mengatur strategi. Kalau strategi - apa benda yang beliau sedang rancangkan?

Atau beliau tertekan dan cuba ‘melupakan’ edpisod mengenai peranannya selama ini?

Bahagian Kedua

Pada bahagian pertama penulis ada menyebut apakah Wan Ahamad yang ‘berdiam diri’ ketika ini kerana mengatur strategi.

Kalau strategi – strategi apa? Menjatuhkan Menteri Besar Terengganu seperti pernah dilakukan 10 Budak Hitam? Tak mungkin…Sebagai orang pernah digelar ‘MB No.2” oleh Abdul Mubin Ismail, Wan Ahamad tidak mungkin derhaka kepada Datuk Seri Ahmad Said.

Atau Wan Ahamad sedang menjalankan kajian atau merenung semula apa yang melanda dirinya?

Sedikit kemungkinan. Ini kerana sejak kembali dari melanjutkan pelajaran dan dilantik sebagai Timbalan Seiausaha Kerajaan Negeri awal tahun ini, Wan Ahamad nampaknya memberikan tumpuan penuh kepada kerja-kerja pengurusan.

Tetapi ada ke masa untuknya melihat ke belakang, termasuk meneliti laporan akhbar-akhbar seperti Berita Harian, Sinar Harian atau Utusan Malaysia yang banyak memperkatakan mengenai dirinya.

Malah, Wan Ahamad tidak berpuashati dengan beberapa laporan dalam Berita Harian dan Sinar Harian yang menurutnya ‘fitnah’ dan sengaja diadakan untuk memburukkan imejnya.

Apa tujuan memburukkan imejnya? Menurut Wan Ahamad kalau buruk imejnya, buruklah imej Menteri Besar.

Sejauh ini siapakah mereka yang beliau banyak memperkatakanya. Kalau tidak silap penulis, ada dua tiga orang lain, selain Mubin yang Wan Ahamad turut ‘kecil hati’.

Salah seorang daripada mereka itu ialah pemberita Berita Harian, Baharom Bakar. Entahlah apa yang ditulis Baharom menyebabkan Wan Ahamad kecil hati.

Ternyata walaupun Wan Ahamad tidak menyatakan mengenai perasaan dan keadaan dirinya yang ‘duka lara’ akibat dituduh penghantar SMS Ugut Bunuh tetapi beliau pernah menyatakannya secara ‘berdokumen’ dan rasmi di mahkamah.

Mungkin juga beliau berdiam diri kerana tertekan dan cuba ‘melupakan’ edpisod mengenai peranannya selama ini?

Biarpun beliau akhir-akhir ini tidak lagi dikecam dan dikritik sebagai “MB No2” namun ada lahi pihak yang sinis dan memandang serong terhadapnya.

Mubin turut mempersoalkan penganugerahan gelaran kepadanya seolah-olah Wan Ahamad tidak selayak Din Adam atau Rosol. Lantaklah apa Mubin nak cakap tetapi ia anugerah daripada Sultan sebagai meniktiraf sumbangannya.

Sejauh ini tidak jelas kelibat Wan Ahamad tetapi dengan perkembangan akhir-akhir ini di Mahkamah Sesyen yang menyerlahkan nama bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Dr Ahmad Ramzi dikaitkan dengan penghantaran SMS Ugut Bunuh, Wan Ahamad mungkin lega.

Apapun, Bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar, itu pernah memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 26 April lalu, bahawa beliau dan keluarga tertekan selepas difitnah menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berunsur ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Beliau juga terkejut apabila didakwa menghantar SMS berbunyi “Baik YB jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”, kepada Tiga ADUN 13 April tahun lalu.

Wan Ahamad menyatakan beliau tertekan, terkejut dan menafikan pembabitannya dalam penghantaran SMS tersebut di mahkamah, bukan kedai kopi. “Saya rasa terkejut bila orang tuduh saya hantar SMS itu, tambahan pula ia mendapat liputan meluas di media massa. Anak-anak dan isteri saya stress (tertekan) kerana berita itu, tetapi saya suruh mereka bersabar dengan fitnah yang dilemparkan kepada saya,” katanya ketika dipanggil menjadi saksi dalam kes perbicaraan Dr Ramzi yang menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga ADUN tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Dr Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Bagi kesalahan itu, Dr Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertekan tetapi apakah yang boleh dilakukan oleh Wan Ahamad? Beliau hanya mampu meminta isteri dan anak-anaknya bersabar dengan berita yang tidak benar itu.

Wan Ahamad sudah memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sesiapa pun untuk menghantar SMS berbau ugutan itu kepada ADUN berkenaan menggunakan telefon beliau.

Lagipun, beliau hanya mengetahui mengenai fitnah yang dilempar kepadanya melalui seorang kakitangan kerajaan, Haji Wan Lotfi Wan Ismail, pada 14 April iaitu sehari selepas SMS tersebut dihantar.

Beliau membuat laporan polis selepas itu kerana namanya dikaitkan di dalam blog (blog siapa lagi kalau bukan Jarang Anak Melayu) dan tuduhan itu tidak benar.

Wan Ahamad tidak berdaya untuk melakukan cara lain – hanya mahkamah tempat beliau menyatakan perasaan dan kebenaran.

Jika demikian tekanan yang dialaminya akibat tuduhan dan namanya dikaitkan dengan SMS Ugut Bunuh berkenaan, apakah Wan Ahamad akan membiarkan sahaja orang yang membuat fitnah dan membuat tuduhan menyebabkan beliau tertekan.

Penulis beranggapan Wan Ahamad memang ‘mendiamkan diri’ tetapi beliau tidak berdiam diri sebaliknya akan muncul dengan ‘wajah baru’ yang akan mengejutkan banyak pihak – khususnya yang membuat tuduhan dan fitnah terhadapnya.

TIDAK PERCAYA TUNGGULAH!