Saturday, May 21, 2011

Ahmad Said - Buktikan Kejaguhan di Trek Perlumbaan, Bukan di Jalan Raya

Geng Orang Muda memeriahkan sambutan Hari Belia Negara peringkat Terengganu di Dataran Astaka, Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam.

Mat Rempit dicabar menyertai sukan permotoran secara profesional bagi memenuhi minat mereka dan tidak 'membunuh diri' di jalan raya.

Bagi memenuhi minat dan melaksanakan cabaran itu kerajaan negeri tidak teragak-agak menyediakan peruntukan, kemudahan dan kelengkapan sekiranya mereka mahu membuktikan kejaguhan sebenarnya dengan kejayaan yang boleh disanjung.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata tidak guna hebat beraksi di jalan raya sehingga membahayakan nyawa diri dan orang lain.

Beliau menyatakan perkara itu berucap merasmikan Majlis Pelancaran Hari Belia Negara peringkat negeri di Padang Astaka Kuala Berang, di Kuala Berang, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Noor Othman; Adun Jabi, Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Wan Mohamad Wan Ibrahim. Program selama dua hari itu mendapat sambutan hangat dengan kehadiran 10,000 orang dan ia dimeriahkan dengan pelbagai kegiatan yang menarik penglibatan golongan remaja.

Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, jika ramai golongan tersebut tampil menyertai sukan permotoran itu, Terengganu mungkin bakal melahirkan lebih ramai jaguh dalam sukan itu tidak lama lagi.

Jelasnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian untuk membantu golongan muda agar tidak terjebak dalam kegiatan tidak berfaedah.

Beliau turut mengingatkan golongan belia pada masa kini perlu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran agar mampu bertahan dengan pengaruh-pengaruh negatif.

"Dalam aspek ini, persatuan belia memainkan peranan penting untuk menyediakan pelbagai aktiviti berfaedah kepada mereka," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri akan membina dua gelanggang futsal baru bagi setiap kawasan DUN di negeri ini untuk memudahkan golongan belia menjalankan aktiviti sukan itu.

Menteri Besar berkata pada masa ini oleh dikatakan setiap DUN sudah ada gelanggang futsal yang didirikan kerajaan bagi tujuan yang sama.

“Matlamat kerajaan setiap peti undi akan ada satu futsal untuk golongan belia bersukan,” katanya.
ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu di Padang Astaka Kuala Berang, petang ini.

Gelanggang tersebut yang berharga antara RM100,000 hingga RM150,000 setiap satu akan dibina dalam tempoh terdekat ini.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta pemimpin persatuan belia di negeri ini supaya merancang aktiviti yang berfaedah untuk golongan belia.

Muhyiddin - Elak Perkara Yang Boleh Melemahkan Parti

Timbalan Presiden UMNO merasmikan mesyuarat UMNO Bahagian Kemaman hari ini. - Gambar Harith Fadzillah.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pemimpin dan anggota Umno mengelakkan perkara yang boleh melemahkan parti agar tumpuan sepenuhnya dapat diberikan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata jika setiap anggota parti faham tentang matlamat dan perjuangan sebenar parti dan tahu cabaran yang bakal dihadapi dalam pilihan raya umum akan datang, isu-isu yang menjejaskan keharmonian parti seharusnya dielakkan.

"Kita nak hal-hal sebegini diatasi...kerana apabila sampai pilihan raya umum, kita tumpu sepenuhnya untuk menghadapi parti lawan yang juga musuh kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kemaman di Cukai, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan Ketua Umno Bahagian Kemaman dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno yakin pimpinan di peringkat negeri mampu menyelesaikan sebarang masalah yang tidak melibatkan peraturan parti yang hanya boleh ditangani pengurusan tertinggi parti.

"Itu biasalah, bukan dalam Umno sahaja, semua parti politik hadapi masalah. Dalam sejarah (Umno) ada (masalah) tapi tidaklah besar."

Muhyiddin berkata parti secara terbuka mengakui adanya masalah dalam parti kerana mahu semua pihak bersama-sama menyelesaikannya.

"Kita tak nak pendamkan dan kata okey, itu tipu diri sendiri, lebih baik kita akui dan selesaikan. Kalau tanya macamana semua, okey, jawab okey tapi kalau turun ke bawah kita KO, kita terima laporan dari banyak sumber," katanya.

Beliau berkata jumlah bahagian yang bermasalah tidak banyak sehingga memerlukan campurtangan peringkat tertinggi parti, termasuk juga di peringkat sayap Wanita, Putera dan Puteri.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau menyampaikan amanat Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan apabila sudah ada kesedaran dan keikhlasan pemipin dan anggota parti Umno untuk kembali bersatu.

"Untuk menjamin kemenangan dalam pilihan raya umum nanti, setiap peringkat dalam Umno perlu bersatu dan teguh bagi menghadapi parti lawan," katanya.

Muhyiddin juga mengingatkan anggota Umno pilihan raya umum ke-13 nanti mungkin yang paling sengit dalam sejarah.

PTG Terengganu Diarah Berhati-Hati Luluskan Permohonan Tanah

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu berhati-hati dalam meluluskan permohonan tanah secara berkelompok daripada pemohon yang menerokainya secara haram bagi mengelakkan Terengganu kekurangan kawasan di masa depan.

Beliau berkata siasatan mendapati terdapat mereka yang mempunyai tanah membuat permohonan kali kedua, yang secara langsung menutup peluang mereka yang tidak mempunyai tanah mendapatkan tanah anugerah.

Katanya adalah menjadi hasrat kerajaan negeri bagi memastikan rakyat Terengganu yang tidak mempunyai tanah menerima anugerah tanah sama ada satu lot tanah rumah ataupun tanah pertanian.

"Buat masa ini kerajaan negeri sedang memperoses 500 permohonnan membabitkan pemilik tanah haram sebelum boleh diluluskan di Hulu Terengganu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu di Setiu, kelmarin.

Ahmad Said berkata setakat ini banyak permohonan bagi mendapatkan kelulusan tanah secara berkelompok dikemukakan dari daerah Setiu dan Hulu Terengganu manakala daerah-daerah lain didapati seimbang.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan mesyuarat, Ahmad, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata perpaduan kalangan pemimpin Umno negeri itu kini dalam keadaan baik dan bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum pada bila-bila masa.

Keadaan ini, katanya jauh berbeza dengan sebelum ini kerana setiap pemimpin menyedari perpaduan amat penting dalam menentukan Barisan Nasional dapat terus kekal memerintah Terengganu.

Peminjam Tekun di Terengganu, Kelantan Melakukan Tanggungjawab Dengan Baik

Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional berjaya mengumpul semula kira-kira RM15 juta setahun bayaran pinjaman balik daripada peminjam tabung tersebut.

"Ia akan diguna semula sebagai pinjaman di samping peruntukan tahunan sebanyak RM200 juta setahun yang disediakan oleh kerajaan," kata pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan hari ini.

Bercakap kepada media selepas menghadiri Seminar Keusahawanan di sini, Abdul Rahim berkata berkata peminjam-peminjam sekitar negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan melakukan tanggungjawab mereka dengan baik dalam membuat pembayaran.

Seminar itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung UMNO yang juga ahli parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata bermula pada tahun 1998 hingga akhir bulan April lalu, keseluruhan pinjaman yang telah dikeluarkan oleh Tekun Nasional kepada usahawan adalah sebanyak RM1.68 bilion dengan jumlah peminjam seramai 183,364 orang.

"Dalam tempoh sama, negeri Selangor merupakan penerima pembiayaan tertinggi iaitu berjumlah RM239.907 juta yang dikeluarkan kepada kira-kira 20,201 usahawan," katanya.

Sementara itu Tengku Adnan berkata bakal usahawan terutama di kawasan bandar harus mengambil peluang kemudahan yang disediakan oleh agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ini bagi memperbaiki tahap ekonomi masing-masing.

"Pembiayaan yang disediakan oleh Tekun ini sekiranya dimanfaatkan boleh mengurangkan kadar kemiskinan bandar yang sedang berlaku ketika ini," katanya.

Malah katanya penjawat awam yang berpendapatan kurang dari RM2,000 dibolehkan mendapatkan pinjaman Tekun sebanyak RM5,000 bagi memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pembiayaan Tekun Nasional boleh melayari laman sesawang www.tekun.gov.my atau hubungi talian 03 9058 8550 atau 03 9058 8999.

Ahmad Said - 'Saya Tidak Berdendam Dengan Sesiapa'

Ahmad Said bersalaman dengan barisan perwakilan UMNO Bahagian Setiu sebelum merasmikan mesyuarat agung bahagian itu di Dewan SMK Tengku Ibrahim, Setiu, semalam. - Gambar Harith Fadzilah

Perpaduan di kalangan barisan kepimpinan UMNO negeri kini di tahap semakin baik dan membolehkan momentum jentera parti terus dipertingkatkan dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said membayangkan keadaan itu berdasarkan kesepakatan dan kesediaan yang ditunjukkan hampir kesemua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bergerak bersamanya kini.

"Kita sedang mempersiapkan jentera ke arah pilihan raya dan di Terengganu, usaha ini dilakukan sepanjang masa melalui pelbagai gerak kerja," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, di Setiu, semalam.

Ahmad Said turut menepis gembar-gembur yang terus dimainkan setengah pihak kononnya konflik dalaman parti masih berlarutan apatah lagi ketika soal pemilihan calon semakin menjadi perhatian.

Beliau menegaskan tidak berdendam dengan sesiapa sahaja yang sebelum ini dikatakan sukar menerima kepimpinannya, malah akan terus membuktikan bahawa sikap itu tiada padanya.

Menjawab satu pertanyaan, beliau berkata, tidak timbul soal sesiapa sahaja yang dikatakan tidak disenanginya sukar berpeluang untuk kekal sebagai calon.

Beliau menarik perhatian bahawa mereka yang akan dipilih bukan berasaskan pertimbangan peribadinya tetapi kepentingan rakyat, parti dan negeri.

"Bagi saya tiada masalah. Perasaan saya tidak penting tetapi perasaan rakyat dan juga parti lebih penting. Kalau saya menang tetapi BN kalah buat apa," ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, keputusan itu terserah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersandarkan penilaian pelbagai bahawa bakal-bakal calon benar-benar boleh memenangkan parti.

Sementara itu, kepimpinan tertinggi UMNO dinasihatkan tidak meletakkan calon payung terjun sekiranya berhasrat meletakkan muka baru pada pilihan raya umum nanti.

Ketua UMNO bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee, berkata, jika boleh calon yang bertanding adalah yang terbaik dan cukup dikenali serta disenangi masyarakat setempat.

Bagaimanapun, katanya dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan ahli, UMNO bahagian Setiu yakin dapat terus mengekalkan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

“Walaupun masih ada kelemahan perlu diperbaiki namun kita tidak mahu ia menjadi penghalang untuk kita terus mengekalkan kemenangan di Setiu.

“Ahli UMNO digesa tidak mudah mendengar cakap orang yang cuba melemahkan jentera BN kerana perkara diperkatakan tidak semestinya betul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Setiu ke-23 di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, semalam.

Menurutnya, setakat ini UMNO bahagian Setiu tidak mempunyai masalah dalam proses pengundian kerana sejak dua penggal lepas pertambahan undi terus meningkat.

“Saya mengharapkan penyokong dan veteran UMNO sentiasa bersama menjalankan tanggungjawab bagi mempertahankan parti dan kerajaan sedia ada demi kesenangan generasi akan datang,” katanya.

Utusan Malaysia/Sinar Harian

Stadium Nasional Bukit Jalil Gelanggang Perlawanan Akhir Piala FA

Peminat dan penyokong Terengganu dan Kelantan terpaksalah ke Bukit Jalil 11 Jun ini kerana perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara dua pasukan pada hari itu akan di Stadium Nasional Bukit Jalil, bukan Stadium Shah Alam.

Alangkah baiknya jika Kuantan mempunyai stadium besar yang boleh menjadi gelanggang final Piala FA itu.

Juga mungkin jika Stadium Sultan Mizan tidak runtuh, peluang Terengganu menjadi tuan rumah amat cerah.

Namun, seperti diumumkan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kelmarin, perkara itu diputuskan hasil permohonon Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya perlawanan itu diadakan di venue itu.

"Oleh kerana ia diadakan pada bulan Jun dan dimasukkan dalam pakej permohonan FAM untuk menganjurkan pelbagai perlawanan persahabatan, termasuk perlawanan kelayakan Sukan Olimpik, kelayakan Piala Dunia pada bulan Jun dan Julai ini, maka saya meminta pihak stadium agar stadium itu dapat digunakan untuk perlawanan Piala FA yang akan datang ini," katanya.'

Beliau menyatakannya selepas melancarkan Pasar Tani Chukai di Kemaman, semalam. Beliau adalah juga anggota Parlimen kemaman.

Mengulas mengenai aspek keselamatan semasa perlawanan akhir itu nanti, Ahmad Shabery melahirkan keyakinan terhadap penonton kedua-dua pasukan yang mampu menunjukkan sikap yang terbaik.

"Insyaallah Kelantan dan Terengganu adalah dua negeri yang paling akrab, boleh berkongsi budu, keropok lekor dan masing-masing makan nasi dagang, saya rasa masing-masing akan jaga kesopanan dan ketertiban.

"Kita dua negeri yang sepatutnya tidak berbalah, kalau logiknya kita jangka bukan bermain di Bukit Jalil tapi bermain di Besut, tetapi malangnya di Besut tidak ada stadium," katanya.

Kelantan layak ke perlawanan akhir dengan mengalahkan Selangor dengan agregat 6-2 manakala Terengganu mara dengan agregat 5-2 setelah mengalahkan Pahang.

Persidangan Gerakan Bermula Di Terengganu Julai

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata persidangan tahunan perwakilan parti Gerakan pada 15 dan 16 Oktober depan akan dirasmikan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.

Persidangan itu akan bermula pada 15 Oktober dengan perasmian persidangan perwakilan oleh sayap pemuda dan wanita dan diikuti dengan perbahasan terhadap ucapan presiden bersama resolusi parti pada keesokannya.

Selain itu, beliau berkata semua persidangan di peringkat negeri akan bermula pada 8 Julai di Terengganu dan berakhir pada 2 Oktober di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Dr Koh memaklumkan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting yang juga bekas anggota Parti Demokratik Liberal (LDP) Datuk Peter Pang hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota jawatankuasa pusat parti itu manakala Tan Sri Liew Yun Fah telah dilantik sebagai Naib Presiden parti berkenaan.

Jalan Sehaluan - MBKT Minta Tempoh Sebulan

Langkah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengubah laluan dua hala di jalan Sultan Zainal Abidin kepada sehala sejak seminggu lalu dibuat untuk memberi kebaikan kepada semua pihak.

Menurut Datuk Bandar, Datuk Adzlan Mohd. Dagang, MBKT tidak sewenang-wenangnya membuat perubahan itu tanpa kajian terperinci daripada pelbagai sudut.

“Perubahan laluan di jalan itu adalah untuk tempoh percubaan selama sebulan dan kajian semula akan dilakukan selepas itu dengan mengambil kira kejayaan pelaksanaan termasuk aduan daripada penduduk.

“Mereka perlu ingat tindakan MBKT bukan untuk menyusahkan orang ramai. Adakalanya, pihak berkuasa perlu menuntut sedikit pengorbanan daripada kumpulan kecil untuk kebaikan masyarakat umum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

Baru-baru ini, kira-kira 100 penduduk termasuk pemilik premis perniagaan di Kampung Tanjung Batu 1, dekat sini membuat bantahan terhadap perubahan itu yang turut menyebabkan kesesakan sekitar Pasar Payang.

Mengenai memorandum yang diserahkan kumpulan terbabit, Adzlan memberitahu, MBKT perkara tersebut akan dikaji secara terperinci dan cadangan seperti itu amat dialu-alukan untuk kebaikan bersama.

Jelas beliau, apa jua langkah yang dilakukan MBKT tujuannya adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan berkenaan terutama selepas waktu pejabat dan pada cuti hujung minggu.

“Begitu juga sekiranya terdapat program mingguan dan penganjuran acara-acara besar di Dataran Syahbandar , jalan itu menjadi sesak berikutan tiada sistem lalu lintas yang sistematik. Itu pun orang salahkan kita.

“Berdasarkan pengalaman MBKT yang sudah beberapa kali melakukan perubahan terhadap aliran lalu lintas di bandar raya ini, sudah menjadi kebiasaan kita menerima rungutan dan ia bersifat sementara kerana kita faham pengguna perlukan masa untuk memahami hasrat kita,” ujarnya.

Utusan Malaysia

Bas Untuk Penyokong Terengganu ke Bukit Jalil

Ahmad Said turut menyaksikan perlawanan Terengganu lawan Pahang untuk memyuntik semangat kepada pasukan Terengganu yang memenangi perlawanan itu 2-0 dan layak ke akhir Piala FA.


Terengganu akan menyediakan kemudahan bas kepada para penyokong yang akan menyaksikan pertandingan akhir Piala FA antara pasukan negeri ini dengan Kelantan, pada 11 Jun depan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata beliau akan meminta semua wakil rakyat supaya menyediakan bas untuk membawa penyokong masing-masing menyaksikan pertandingan akhir piala FA dan memberi sokongan kepada pasukan ‘Penyu’.

“Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, kita akan sediakan 15 buah bas bagi tujuan ini,” katanya kepada wartawan.

Beliau menyatakannya pada sidang media selepas pelancaran Hari Belia Negara peringkat negeri Terengganu di padang Astaka Kuala Berang, petang kelmarin.

Terengganu layak ke pertandingan akhir Piala FA untuk menentang satu lagi pasukan dari Pantai Timur, Kelantan setelah menewaskan pasukan jiran, Pahang pada kedua-dua pertandingan separuh akhir.

Menteri Besar berkata, pihaknya berharap penonton negeri ini akan memenuhi stadium yang dipilih sebagai gelanggang akhir pertandingan tersebut.

4,000 Veteran Parti Bantu Sampaikan Mesej Perjuangan UMNO

Ahmad Said beramah mesra dengan sebahagian peserta yang hadir pada program Mesra Veteran UMNO Bersama Pemimpin di Hulu Terengganu, kelmarin.

Golongan veteran UMNO diminta membantu menyampaikan mesej perjuangan parti itu kepada generasi muda agar mereka tidak terpedaya dengan janji kosong yang dicanang oleh pembangkang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said berkata, dengan kekuatan veteran UMNO seramai 45,000 orang di seluruh negeri, mesej perjuangan parti lebih mudah disampaikan. "Kalangan veteran UMNO pernah melalui pelbagai kesukaran untuk mempertahan dan memperjuangkan parti demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Semangat inilah perlu diserapkan," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Mesra Veteran UMNO Bersama Pemimpin peringkat Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu di Kuala Berang, kelmarin.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Veteran UMNO Perhubungan Negeri Terengganu, Datuk Yahya Hashim dan Pengerusi Majlis Veteran UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Muhammad Mohd. Zain.

Program itu merupakan anjuran Majlis Veteran UMNO negeri dengan kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).

Pada majlis tersebut, seramai 21 orang veteran UMNO Bahagian Hulu Terengganu menerima Anugerah Jasamu Dikenang manakala lapan lagi menerima bantuan kerusi roda.

Ahmad Said turut mengingatkan golongan veteran UMNO agar membuang sifat iri hati dan adu domba dalam membantu golongan muda memperjuangkan parti itu.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan golongan veteran UMNO yang berusia 65 tahun ke atas akan diletakkan sebagai perayu undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.


Utusan Malaysia

UMNO Setiu Yakin Menang Semua Kerusi - Jidin

Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee menegaskan, jentera parti bahagian Setiu sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 sama ada tahun ini atau tahun depan.

Berikutan itu beliau berharap semua ahli parti mengukuhkan barisan demi pertahankan kemenangan yang sudah ada dalam genggaman agar tidak terlepas ke tangan orang lain.

“Ingatlah, kita perlu bersama kerana kekuatan akan menjelma apabila kita bersatu,” katanya ketika berucap di Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, Bandar Permaisuri, Setiu, semalam (20 Mei).

Persidangan perwakilan kali ke-23 itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Naib Ketua Bahagian, Halim Jusoh dan ADUN Jabi, Ramlan Ali.

Katanya, pejuang UMNO jangan sekali-kali abaikan parti, kerana partilah yang menentukan kedudukkan kerajaan dan menzahirkan kemakmuran yang dikecapi hari ini.

“Sebagai ahli parti kita perlu berganding bersama untuk pertahankan apa yang kita miliki jangan sampai ia jatuh ke tangan orang lain,” kata Ahli Parlimen Setiu merangkap Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Dato’ Haji Mohd Jidin juga mengajak semua meneruskan agenda parti untuk raih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Menjadi asam garam dalam politik bila berlaku pergeseran, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora, kepentingan parti tetap dijaga," katanya.

Unit Komunikasi Negeri

Dewan Orang Ramai Lebih Besar Dibina Tahun Depan - MB

Harapan penduduk di Hulu Terengganu menikmati kemudahan dewan orang ramai yang lebih besar bakal menjadi kenyataan apabila perkara itu akan dimasukkan dalam bajet Kerajaan Negeri tahun depan.

Berita baik itu dinyatakan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang menyifatkan prasarana yang disediakan untuk kemudahan rakyat di daerah ini berikutan dua kawasan dalam Parlimen Hulu Terengganu iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong dan Ajil antara kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Pembinaan dewan orang ramai yang lebih besar dan selesa bagi kemudahan rakyat di Parlimen Hulu Terengganu ini akan dimasukkan dalam bajet tahun depan.

“Pelan reka bentuknya sudah siap dan kita ingin melihatnya terlebih dahulu, namun yang pasti dewan baru itu kelak mampu membuatkan kira-kira 3,000 orang pada satu-satu masa,” katanya.

Ahmad Said berkata, kerajaan juga mengenal pasti lokasi bersesuaian iaitu berhampiran Hospital Hulu Terengganu dan kawasan berkenaan juga berdekatan Kompleks Jabatan Kerajaan yang kini rancak dibangunkan.

“Kemudahan ini selaras fokus Kerajaan Negeri yang memberikan tumpuan terhadap pembangunan di Tasik Kenyir.

“Apatah lagi, kerja ke arah menjadikan pulau buatan terbesar di Asia Tenggara sebagai tasik bebas cukai giat dilaksanakan kini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Mesra Veteran UMNO Bahagian Hulu Terengganu Bersama Pemimpin Tahun 2011 Jasamu Dikenang di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), kelmarin.

Program tersebut anjuran Majlis Veteran UMNO Negeri Terengganu bersama Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Veteran UMNO Bahagian Hulu Terengganu.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta Pengerusi Majlis Veteran UMNO Negeri Terengganu, Datuk Yahya Hashim.

Ahmad Said turut berharap rakyat di daerah ini bukan sekadar bersedia menghadapi perubahan tetapi turut merebut peluang yang terbentang di sebalik pembangunan demi pembangunan yang rancak dilaksanakan.

Suami Dijumpai Duduk Terbongkok, Kaku

“Saya menemuinya dalam keadaan duduk terbongkok dan sudah kaku,” kata Zaledah Ismail, 46, menceritakan detik dia menemui mayat suaminya yang meninggal dunia di sebuah kebun di Kampung Wa, di Dungun, semalam.

Mayat Shapii Muda, 53, dari Kampung Pinang Baru, di Dungun, ditemui isterinya yang mencarinya di kebun berkenaan bersama seorang jiran kira-kira jam 2.30 petang apabila mendapati suaminya tidak pulang ke rumah.

Zaledah berkata, setiap hari suaminya ke kebun serai miliknya kira-kira dua kilometer dari rumah mereka dan pulang sebelum jam 1 tengah hari.

“Selepas hampir jam 2.30 petang dia tidak pulang, saya bimbang sebelum meminta bantuan seorang jiran membawa saya ke kebun itu dengan motosikal,” katanya.

Menurutnya, ketika di kebun itu dia terpandang mayat suaminya tersandar di sebatang pokok.

“Saya pulang ke rumah memaklumkan kepada jiran sebelum menghubungi Balai Polis Bukit Besi,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Dungun, semalam.

Dua Lelaki Termasuk Remaja Didakwa Bunuh Wanita

Dua lelaki termasuk seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kemaman, kelmarin atas tuduhan membunuh seorang wanita dalam satu kejadian di Bukit Kuang pada April lepas.

Che Khairul Muuiz Che Din, 19, dari Kelantan dan Mohd Suhaimi Mohd Arip, 26, berasal dari Johor dituduh membunuh Ka’ Yah Said, 52, antara 3.30 hingga 5.35 pagi di rumah mangsa di Lorong Mengkuang I, Taman Desa Darul Iman II, Bukit Kuang, Chukai pada 30 April lalu.

Kedua-dua mereka yang memakai baju lokap mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin, namun tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Zulkipli mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian itu, seorang wanita ditemui tidak sedarkan diri dengan tangannya diikat manakala mulutnya ditampal pita pelekat di kediamannya, dalam satu kejadian samun.

Mangsa meninggal dunia kira-kira 15 minit kemudian setelah dibawa ke Hospital Kemaman.

TDM Di Peringkat Akhir Proses Jual Perniagaan Ayam

TDM Bhd, sebuah unit Kerajaan Negeri Terengganu, berada di peringkat akhir proses penjualan perniagaan ayamnya, TD Poultry Sdn Bhd, yang mengalami kerugian, kepada Vision Poultry Sdn Bhd dengan harga RM4 juta tunai.

Urusan penjualan itu dijangka selesai dalam dua hingga tiga minggu akan datang dan bayaran RM4 juta itu tidak termasuk hutangnya, yang dikatakan berjumlah kira-kira RM5juta.

"Di bawah perjanjian jualan ini, kami meminta syarikat itu agar tidak menjual asetnya atau memberhentikan pekerja dalam dua tahun akan datang ini," kata Pengerusinya, Datuk Roslan Awang, kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Roslan berkata di bawah perjanjian itu juga, Vision Poultry yang berpangkalan di Terengganu dikehendaki mematuhi semua syarat yang dipersetujui dengan penternak memandangkan perniagaan itu dikendalikan oleh TDM.

"Semasa kami memulakan perniagaan pada 1997, kami hanya meraih keuntungan pada 2009 iaitu sebanyak kira-kira RM800,000. Jadi, kami berpendapat kami perlu menjualnya kerana kami dapati ia tidak selaras dengan perniagaan teras kami, dan kami kekurangan kepakaran," jelasnya.

Pemandu Lori Didakwa Angkut 15,200 Karton Rokok Seludup

Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Besut, semalam terhadap tuduhan mengangkut 15,200 karton rokok kretek seludup yang dianggarkan bernilai RM255,360 Isnin lepas.

Leaw Chong Woei, 41, yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan, didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 4.30 pagi di Kampung Bahagia, Jalan Kuala Terengganu-Jerteh, Permaisuri.

Dia didakwa mengangkut 11,200 karton rokok jenis Gudang Garam Surya, 2,900 karton rokok Gudang Garam Surya (Hijau) dan 1,100 karton rokok Gudang Garam Nusantara (Merah).

Leaw didakwa mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum menurut Seksyen 135 (iii)(aa) akta yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tidak lebih tiga tahun atau denda tidak kurang 10 kali nilai barang kes dan tidak lebih 20 kali nilai barang kes, atau kedua-duanya sekali.

Jumlah minimum denda 10 kali nilai barangan ialah RM2,553,600 dan denda maksimum 20 kali ganda nilai barang bagi kes ini ialah sebanyak RM5,107,200.

Majistret Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Kastam Mohd Fadil Muhamad Yunus.

Operasi Besar-besaran Banteras Pencerobohan Zon Menangkap Ikan

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melancarkan operasi besar-besaran sekiranya nelayan laut dalam terus melakukan pencerobohan terhadap zon menangkap ikan nelayan pantai.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Johari Baharom berkata sejak kebelakangan ini pihaknya telah menerima banyak aduan termasuk di Kedah di mana nelayan pantai terutamanya nelayan di daerah Yan mengenai pencerobohan oleh nelayan laut dalam yang menggunakan pukat jerut bagi menangkap ikan.

Kata Mohd Johari, pihaknya akan melakukan pertemuan dengan pengusaha pukat jerut dan juga nelayan pantai bagi mebincangkan perkara itu agar tidak berulang lagi dan memastikan hak nelayan pantai terbela.

"Jika mereka terus mengingkari syarat-syarat yang telah ditetapkan, pihak kementerian yang akan bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia dan juga Polis Diraja Malaysia akan melakukan operasi besar-besaran bagi membateras kegiatan itu.

"Dalam operasi itu kita akan jalankan di seluruh kawasan nelayan di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dan turut menahan nelayan yang menyalahgunakan bot untuk tujuan menyeludup dadah dan yang menggunakan nelayan asing tanpa permit sah," kata beliau.

Pihak kementerian juga mengkaji akan memasang alat mengesan terhadap bot nelayan laut dalam untuk pemantauan pihak berkuasa agar mereka tidak menceroboh kawasan nelayan pantai.

"Mereka langsung tidak menghormati hak nelayan pantai dan juga keputusan kementerian yang memberi kebenaran kepada mereka untuk menangkap ikan laut dalam.

"Nelayan dari Kuala Kedah biasa menggunakan pukat jerut untuk menangkap ikan di kawasan nelayan pantai di Yan sehingga menyebabkan nelayan kecil ini kadang kala tidak memperolehi hasil tangkapan yang banyak.

"Jika kita lihat, nelayan pantai lebih ramai daripada nelayan laut dalam iaitu sekitar 40,000 orang berbanding hanya 8,000 nelayan laut dalam di negara ini.

"Pendapatan mereka tidak seberapa dan mereka hanya boleh menangkap ikan dalam jarak 5batu nautika sahaja," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyampaikan komputer 1Malaysia kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pauh di Jitra, kelmarin.

Mohd Johari juga berkata pihak kementerian akan merampas bot-bot nelayan serta membatalkan lesen mereka sekiranya nelayan menggunakan peralatan yang disediakan kerajaan untuk tujuan jenayah seperti menyalahgunakan diesel bersubsidi dan juga menyeludup dadah.

Rambut Pelatih Wanita Bomba Dipotong Untuk Tujuan Keselamatan

Tindakan memotong rambut pelatih bomba wanita sehingga pendek bagi menjalani latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Terengganu baru-baru ini bertujuan memberi keselesaan dan keselamatan ketika mengikuti latihan, termasuk melibatkan api dan air.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam, "pemotongan rambut pendek ini hanya dilakukan sekali sahaja di permulaan kursus dan akan ditrim kemas selepas itu."

"Pemotongan rambut itu juga dilakukan oleh pegawai wanita di dalam bilik tertutup dan sepanjang latihan, pelatih wanita yang beragama Islam akan memakai tudung, manakala yang bukan beragama Islam digalakkan memakai skaf," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu adalah bagi mengulas laporan sebuah akhbar Isnin lepas yang mendakwa seorang bapa kecewa dengan tindakan jabatan itu memotong pendek rambut anak perempuannya yang sedang mengikuti latihan sebagai pelatih Penolong Penguasa Bomba di akademi itu.

Menurut jabatan itu, tindakan itu adalah selaras dengan falsafah latihan yang diamalkan bagi mempersiapkan para tenaga kerjanya menghadapi tugas yang mencabar, berat, lasak dan berisiko supaya kelak mereka lebih bersedia melaksanakan tugasan sebagai seorang penyelamat.

"Jika mereka tidak biasa dengan kesukaran, mereka akan mudah tewas dan ini akan membahayakan dirinya dan juga mangsa yang bakal diselamatkan," katanya.

Peranan Sektor Awam Penting Dalam Industri Pelancongan

Peranan sektor awam sangat penting dalam industri pelancongan dalam usaha kerajaan Terengganu untuk menjadikan sektor itu sebagai sumber pendapatan negeri ini pada masa akan datang.

Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Bahagian Sektoran Tun Ahmad Faizal Tun Abdul Razak berkata, ini kerana kakitangan awam seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan lain-lain merupakan orang pertama menemui pelancong apabila mereka berkunjung ke negara ini.

“Kalau pelancong luar negara datang, ia mesti menemui terlebih dahulu pegawai Imigresen, Kastam, polis dan lain-lain sebelum pemandu teksi, pekerja hotel, peniaga dan sebagainya.

“Dengan sebab itu kakitangan awam juga perlu mainkan peranan dalam sektor ini dengan memberi layanan yang baik kepada pelancong, agar mereka kembali melancong ke negara ini selain mewar-warkan kepada rakan-rakan tentang layanan baik yang kita berikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup kursus Act Tourism anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, yang turut dihadiri Pengarahnya Ahmad Fathil Abdul Ghani, kelmarin (19 Mei 2011).

Pada kursus sehari bagi membantu mereka yang bekerja di barisan hadapan itu memperoleh kemahiran dan pengetahuan bagi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan, sebanyak 28 jabatan dan agensi kerajaan mengambil bahagian melibatkan 96 peserta.

Tun Faisal berkata, ketika ini Terengganu memperoleh pendapatan hampir RM2 bilion setahun daripada hasil petroleum dan gas dan pendapatan itu cuba diraih melalui sektor pelancongan pada masa akan datang.

Bagaimanapun katanya, walaupun Terengganu dilimpahi pelancong dan mendapat hasil yang banyak daripada bidang itu pada masa akan datang, tetapi hanya sedikit sahaja diperoleh kerajaan kerana ia terus diperoleh oleh rakyat seperti pengusaha perhotelan, peniaga, pemandu teksi dan sebagainya.

“Kerajaan dapat juga sedikit melalui kutipan cukai dan sebagainya tetapi yang lebih penting ia dapat menjana dan meningkatkan sumber pendapatan rakyat itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata, dengan sebab itu peranan yang dimainkan oleh mereka yang berada di barisan hadapan dalam bidang itu amat penting agar pelancong yang datang merasa mereka dihargai dan dilayan dengan baik.

Friday, May 20, 2011

Kekalnya Hadi Sebagai Presiden, Dekatkah PAS Kepada Perpaduan Dengan Umno?

Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar (Bernama)

Kekalnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS tanpa bertanding bagi tempoh 2011-2013 mencetuskan beberapa tafsiran menarik antaranya berkaitan isu perpaduan dengan Umno.

Hakikat bahawa Anggota Parlimen Marang itu menang tanpa dicabar untuk menerajui PAS bagi tempoh tiga tahun akan datang menunjukkan kepimpinan beliau mendapat sokongan padu anggota akar umbi parti itu.

Namun, menarik juga untuk ditafsirkan bahawa sokongan padu kepada beliau, selain kerana gaya kepimpinan ulamanya, boleh jadi juga kerana anggota parti akar umbi ini turut mendokong pandangan Abdul Hadi yang ada pihak melihat sebagai cenderung kepada perpaduan dengan Umno.

Bolehkah dianggap bahawa mesej perpaduan ini sudah semakin dekat di hati anggota akar umbi PAS sebagaimana dekatnya mesej serupa di hati anggota dan pemimpin Umno, berlatar belakangkan masa depan Melayu dan umat Islam serta kepentingan utama negara?

Kecenderungan Abdul Hadi kepada perpaduan yang disebutkannya pada Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam, pada Jun 2009 tentunya masih segar dalam ingatan penyokongnya ketika mengambil keputusan menentukan beliau menang tanpa bertanding.

Apapun bentuk perpaduan yang dimaksudkan oleh Abdul Hadi, sama ada berupa kerajaan perpaduan atau perpaduan dalam erti kata memperbaiki pinggan yang retak supaya tidak sumbing apatah lagi terbelah, bukanlah persoalannya kerana banyak anggota PAS dan anggota serta pemimpin Umno juga melihatnya secara positif.

Malah Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan sudah bersingsing lengan dengan tekad untuk membawa PAS ke dalam Barisan Nasional demi perpaduan orang Melayu dan supaya orang Melayu berhenti berbalah sesama sendiri.

Seorang anggota PAS yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Hamid berkata perpaduan itu jika diusahakan bersungguh-sungguh oleh kedua-dua pihak pasti boleh menjadi kenyataan kerana PAS sendiri pun pernah bersama Umno dalam BN dan memang boleh bekerjasama.

"Bekerjasamalah, bentuklah perpaduan yang boleh menjamin kepentingan bangsa tanpa meminggirkan kepentingan bangsa lain. BN merupakan landasan perpaduan nasional yang sangat baik dan sudah teruji," kata pula anggota Umno, Mohamed Yusuf, yang melihat sokongan kepada Abdul Hadi itu sebagai sokongan kepada usaha perpaduan Melayu.

Dilihat daripada dalam parti pula, penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian berkata keputusan parti mengkekalkan Abdul Hadi dianggap sebagai keputusan sebulat suara dan ingin mengekalkan kepimpinan ulama menerajui parti Islam itu.

"Saya juga melihat bahawa pengalaman Abdul Hadi antara faktor beliau dikekalkan sebagai presiden parti walaupun sebelum ini kawasan Bukit Bintang mencalonkan Exco Kelantan Datuk Husam Musa bagi merebut jawatan itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menyentuh soal pencalonan PAS kawasan Bukit Bintang yang mencalonkan Husam, pensyarah sains politik Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata ia mungkin lebih bermotifkan protes.

Katanya tentu ada anggota PAS kawasan itu yang mahukan pucuk pimpinan yang baru dengan mencalonkan seseorang daripada apa yang diistilah sebagai 'kumpulan Erdogan' mengambil alih teraju parti.

"Saya percaya akar umbi tidak memilih kumpulan ini dan percaya akar umbi mahukan Abdul Hadi supaya matlamat PAS yang sebenarnya itu tidak terhakis selain untuk mengelakkan perpecahan dalaman PAS sendiri," katanya.

Penganalisis politik, Abdul Ghapa Harun pula berpendapat pemilihan Abdul Hadi oleh akar umbi disebabkan kekurangan anggota parti yang mempunyai ketokohan dan kematangan seperti presiden PAS itu.

"Kalau tengok daripada segi kepimpinan, belum ada tokoh yang boleh mengambil alih kedudukan presiden dan tidak ada pemimpin yang mampu menyatukan kumpulan-kumpulan dalam parti.

"Walau apapun tanggapan orang kepada Abdul Hadi, buat masa ini, khidmat beliau masih ditagih anggota parti," kata Abdul Ghapa yang juga pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata jika sekalipun Abdul Hadi dicabar, lawannya itu mempunyai peluang tipis untuk menang kerana anggota PAS masih beranggapan bahawa sebuah parti Islam perlu ada imej 'tok guru'.

Katanya hala tuju PAS di bawah kepimpinan Abdul Hadi selepas ini tidak akan banyak berubah dan tetap akan memfokuskan kepada perjuangan bersifat agama.

Thursday, May 19, 2011

Kontraktor Di Terengganu Disaran Guna Teknologi Pembinaan Terkini

Menteri Besar menguji salah satu peralatan pameran ditemani Datuk Za'abar (paling kanan) selepas merasmikan pesta. - Gambar Zulkifli Putra

Kontraktor di Terengganu disaran supaya melabur dan menggunakan teknologi pembinaan terkini kerana bidang itu kini tidak boleh lagi bergantung kepada tenaga buruh.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata secara realitinya kontraktor dapat mengurangkan penggunaan buruh dan mengaplikasikan penggunaan teknologi secara beransur-ansur.

"Ini kerana penggunaan teknologi dengan penggunaan tenaga buruh sekaligus menuntut peningkatan kos secara mendadak.

"Penggunaan teknologi perlu memandangkan cabaran pada masa hadapan di mana pada 2015, pasaran industri pembinaan di rantau Asean akan diliberalisasikan di bawah Perjanjian Rangka Kerja Asean bagi Perkhidmatan (AFAS)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Perdagangan Terengganu (TTF)2011 dan seminar anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Kuala Terengganu hari ini.Turut hadir pada majlis itu Pengarah CIDB Sharifudin Che Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib.

TTF yang berlangsung selama empat hari di Pusat Dagangan Terengganu itu disertai 60 buah syarikat pembinaan dan pengeluaran dari dalam dan luar Terengganu melibatkan 150buah gerai dengan mensasarkan kira-kira 10,000 pengunjung.

Ahmad Said berkata sehubungan dengan itu kontraktor harus bersedia dengan melengkapkan diri masing-masing dengan keupayaan yang sewajarnya.

Beliau juga menggesa supaya kontraktor melatih pekerja mereka agar tidak bergantung kepada buruh asing.

Katanya kontraktor juga perlu menilai keistimewaan dan kelebihan yang dapat ditawarkan berbanding dengan kontraktor lain bagi mendapatkan projek.

"Ketika ini kita sering bersaing di antara kontraktor tempatan bagi membida projek. Bayangkan sekiranya saingan di masa hadapan turut melibatkan kontraktor asing," katanya.

Ahmad berkata sekiranya semua pihak di dalam industri menanam sikap berintergriti, menyiapkan projek berkualiti serta berusaha mencapai taraf dunia, ia bukan sahaja mampu menyokong agenda kerajaan dalam menjadikan negara ini sebuah negara maju, tetapi juga mampu meletakkan imej industri pembinaan sebagai industri yang kompetitif serta berdaya saing.

Pemilik Tanah Culas Berdepan Tindakan Tanah Dilelong, Dirampas- SUK

Tegas...Datuk Mazlan pada sidang media semalam. - Gambar Zulkifli Putra

Pemilik yang masih culas menjelaskan tunggakan cukai tanah selama tiga tahun berturut-turut bakal berdepan tindakan tegas termasuk tanah mereka dirampas dan dilelong.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah ketika mengingatkan perkara demikian berkata, mereka perlu menjelaskan cukai tersebut mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan.

"Kita harap semua pemilik tanah membayar cukai mengikut tempoh yang ditetapkan untuk faedah rakyat di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, katanya, kerajaan negeri memutuskan tempoh membayar cukai tanah yang sepatutnya berakhir 31 Mei ini dilanjutkan kepada 31 Julai depan.

Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat semalam yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said semalam.

"Mengikut Seksyen 94(2) Kanun Tanah Negara, para pemilik tanah dikehendaki membayar cukai tanah masing-masing pada atau sebelum 31 Mei ini dan jika gagal, mereka boleh didenda.

"Tapi hari ini kerajaan negeri bersetuju untuk lanjutkan tempoh itu kepada 31 Julai ini yang membolehkan pemilik tanah diberi masa dua bulan lagi untuk berbuat demikian," katanya.

Mazlan mengulas lanjut, pada sepanjang tahun lalu, kerajaan negeri mengutip hasil cukai tanah berjumlah RM7.6 juta sedangkan jumlah yang sepatutnya dipungut ialah RM25.1 juta.
Beliau menjelaskan, daripada keseluruhan pembayar cukai tanah, hanya 30.56 peratus yang menjelaskan bayaran cukai tanah dalam tempoh ditetapkan sepanjang tahun lalu.

Bagi tahun ini pula, tambahnya, kerajaan negeri menyasarkan kutipan cukai tanah berjumlah RM26 juta manakala hasil pungutan setakat empat bulan pertama tahun ini ialah sebanyak RM9.9 juta.

Utusan Malaysia

'Jalan Sultan Zainal Abidin Perlu Sehala' - Ahmad Said

Laluan sehala atau penghadang jalan, itulah kata dua Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kepada peniaga dan penduduk di Jalan Sultan Zainal Abidin dan Kampung Tanjung di Kuala Terengganu, yang membantah tindakan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengubah jalan itu daripada dua hala kepada satu hala.

Katanya, keputusan mengubah laluan itu menjadi jalan sehala terpaksa dilakukan berikutan pertambahan kenderaan yang menjadi punca utama berlaku kesesakan lalu lintas.

Beliau mengakui setiap perubahan termasuk mengubah laluan jalan menimbulkan perasaan kurang senang penduduk dan peniaga, tetapi sebelum dilakukan kajian terperinci sudah dilakukan termasuk dari segi aliran lalu lintasnya.

“Tahun lalu, peniaga turut membantah apabila MBKT mengubah jalan daripada dua hala kepada satu hala di Jalan Sultan Ismail, tetapi hari ini kita nampak aliran lalu lintas di jalan itu lancar selepas dijadikan empat lorong," katanya mengulas tindakan segelintir peniaga dan penduduk di jalan itu tidak berpuas hati dan membantah tindakan MBKT mengubah jalan berkenaan.

Ahmad Said berkata, jalan itu terpaksa dijadikan laluan sehala bermula daripada simpang tiga Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA) hingga ke Jalan Kota sebagai langkah melancarkan aliran lalu lintas dalam bandar.

Katanya, alasan perniagaan terjejas berikutan jalan menjadi sehala seperti didakwa peniaga terutamanya peniaga kedai makan dan restoran juga tidak berasas.

Pada Selasa (17 Mei 2011), kira-kira 100 penduduk termasuk pemilik premis perniagaan di Kampung Tanjung Batu 1 membantah tindakan pihak berkuasa mengubah laluan dua hala di Jalan Sultan Zainal Abidin kepada sehala sejak seminggu lalu.

Sebagai tanda tidak puas hati, mereka bersepakat menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) semalam supaya laluan tersebut diubah semula kepada asal.

Seorang penduduk, Mazlan Abdullah, 45, berkata, sejak laluan itu dijadikan sehala, ia telah menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk sekitar yang terpaksa berpusing jauh untuk berpatah balik ke arah Kampung Ladang.

Malah katanya, masalah itu turut menjejaskan pendapatan para peniaga yang beroperasi di kiri kanan jalan sepanjang laluan tersebut.

"Sebagai seorang pengusaha bas sekolah, kira-kira tujuh kali sehari saya terpaksa buat pusingan ikut jalan jauh untuk ambil atau turunkan murid," katanya ketika ditemui.

Laluan sehala itu bermula di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang seterusnya menghala ke Pasar Besar Kedai Payang sejauh kira-kira satu kilometer.

Mazlan berkata, perubahan laluan itu turut memberi kesempatan kepada mat-mat rempit berlumba terutama pada setiap Jumaat dan Sabtu.

Seorang peniaga, Md. Noor Shaari, 58, berkata, dia tidak nampak di mana rasionalnya laluan tersebut dijadikan sehala sebaliknya menyusahkan penduduk serta peniaga di kawasan berhampiran.

Selain itu jelasnya, perubahan laluan itu turut memberi kesan kepada kunjungan pelancong untuk ke destinasi yang mereka kehendaki.

Seorang lagi peniaga, How Kok Kong, 67, berkata, dia hairan kenapa laluan itu diubah menjadi sehala sedangkan sebelum ini jalan itu tidak pernah mengalami kesesakan lalu lintas.

"Kalau jalan sesak lainlah, tapi jalan ini tak pernah sesak pun kerana ia lebar dan luas. Kita harap pihak berkenaan ubah balik laluan ini kepada dua hala seperti sebelumnya," katanya yang mengakui perniagaannya terjejas disebabkan masalah itu.

Berita Harian/Utusan Malaysia

Irfan Tumpu Perlawanan Dengan Selangor, Harimau Muda Pada Liga Super

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Alias menganggap pertemuan skuad Penyu dengan The Red Warriors di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dalam Liga Super nanti akan menjadi kayu ukur peluang kedua-dua pasukan pada final Piala FA nanti.

"Kita mahu lupakan sementara pasal Piala FA ini, lebih baik kita tumpu perlawanan Liga Super menentang Kelantan di sini (Kuala Terengganu) 6 Jun ini.

"Begitu juga perlawanan antara Terengganu dengan Harimau Muda di Shah Alam Khamis (hari ini) ," katanya kepada pemberita selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala FA, kelmarin.

Terengganu kini ditempat ketiga Liga Super dengan perbezaan empat mata dengan pendahulu liga, Selangor.

Beliau bersyukur selepas kemenangan pasukannya ke atas Pahang, seterusnya layak ke final Piala FA namun beliau enggan mendabik dada di atas kejayaan tersebut.

Menurut Irfan, beliau mahu melupakan seketika perlawanan akhir menentang Kelantan pada 11 Jun ini kerana mahu memberi lebih tumpuan saingan dalam Liga Super.

Terengganu akan berdepan Harimau Muda A di Stadium Shah Alam hari ini dan kata Irfan, perlawanan penting ialah menentang Kelantan pada 6 Jun ini di padang sendiri.

Ditanya mengenai peluang pasukannya pada final nanti, beliau berkata, sukar untuk membuat ulasan namun akan berusaha membuat persiapan terbaik.

Mengulas kejayaan Terengganu ke atas Pahang kelmarin, Irfan berkata, beliau berpuas hati dengan aksi serta prestasi anak-anak buahnya sehingga membolehkan mereka layak ke final.

Ujarnya, pemain menunjukkan komitmen dan semangat juang yang tinggi untuk menyekat kemaraan Pahang tetapi pada masa yang sama tetap mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.

Utusan Malaysia

Batik, Songket Terengganu Tembusi Pasaran Global

Batik dan songket Terengganu mempunyai potensi besar untuk menembusi pasaran antarabangsa apabila beberapa syarikat tekstil dari luar negara menunjukkan minat untuk memasarkan produk itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Haji Mohamed Awang Tera berkata, maklum balas ini diterima melalui program ‘Idaman Terengganu’ inisiatif kerajaan negeri yang mengadakan promosi dan rangkaian niaga di negara-negara Eropah tahun lepas.

“Melihatkan sambutan terhadap produk songket buatan negeri kita, saya yakin produk songket boleh diterima di negara barat dan sesuai dijadikan pakaian, perhiasan rumah dan cenderahati dengan citarasa dan corak fesyen di sana,” .

Mohamed berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Koperasi Penenun Songket Terengganu Berhad (Kopsongket), di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) Chendering, Kuala Terengganu kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SRM) Terengganu, Umar Sarim Saidin; Pengarah PKKM Cawangan Terengganu, Zahir Ahmad dan Pengerusi Kopsongket, Shamsul Bahrain Abd. Mutalib.

“Saya berharap pengusaha songket di negeri ini dapat meningkatkan kualiti dan mutu pengeluaran masing-masing supaya ia boleh diterima di peringkat global kelak,” katanya.

Katanya, dengan wujudnya Kopsongket ini semua pengusaha dapat bergabung tenaga dan berganding bahu dalam memajukan industri ini.

Selain itu katanya, melalui amalan berkoperasi, pengusaha songket dapat bersatu dan meningkatkan rangkaian niaga sesama mereka dan mampu memantapkan industri pembuatan songket serta pembangunan koperasi di negeri ini.

YB Dato’ Haji Mohamed kemudian menyarankan pengusaha memberi tumpuan utama kepada masalah bekalan bahan mentah dan monopoli daripada satu pihak pembekal sahaja agar pemasaran songket dapat dilakukan secara berkelompok serta tidak menganggu pasaran pembeli asal.

Sehubungan itu katanya, koperasi juga perlu lebih aktif dalam memberi kemudahan dan kebajikan kepada ahli-ahlinya serta dapat meluaskan jaringan perniagaan bagi pasaran tempatan dan seterusnya ke peringkat global.

Unit Komunikasi Negeri

320 Kelab Kuda Poni Seluruhj Negara Berkumpul di Terengganu 5-10 Jun

Datuk Hamzah (kanan) menjawab soalan pada sidang media semalam.

Buat julung-julung kalinya, Terengganu akan menjadi tuan rumah Perkhemahan Poni Kebangsaan 2011 yang menghimpunkan 320 Kelab Poni dari seluruh negara di Terengganu Equestrian Resort (TER) dari 5 hingga 10 Jun ini.

Program itu bakal dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 6 Jun nanti.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, perkhemahan itu dianjurkan oleh kerajaan negeri bersama Majlis Ekuin Malaysia (MEM) dan Bahagian Sukan di Kementerian Pelajaran.

Sepanjang perkemahan berlangsung pelbagai aktiviti disediakan termasuk menunggang kuda, seminar selain kursus intensif bagi juru ladam.

"Tujuan program ini diadakan antara lain untuk memberi pendedahan serta pengalaman baru kepada ahli Kelab Poni selain memupuk semangat berpasukan.

"Di samping itu, ia juga diadakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk merakyatkan sukan berkuda di negeri ini," katanya.

Beliau menyatakannya selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Mengulas perkara yang sama, Pengerusi TER, Datuk Hamzah Mohamad berkata, program itu turut memberi peluang kepada seluruh ahli kelab itu mendapat latihan mengenai cara menunggang kuda, kegiatan berpasukan serta latihan praktikal mengenai penjagaan kuda dan pemakanan haiwan itu.

Menjelaskan mengenai sejarah kewujudan Kelab Poni, Hamzah berkata, penubuhannya dirintis pada tahun 1929 di United Kingdom dan berkembang ke 18 negara dengan 110,477 buah kelab.

"Bagi Terengganu, Kelab Poni ditubuhkan pada tahun 2006 yang dirasmikan oleh Tuanku Mizan Zainal Abidin," katanya.

Menurut beliau, dalam usia yang singkat, kelab itu berjaya melahirkan ramai penunggang kuda terlatih untuk pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Utusan Malaysia

Ayah Sempat Mengajar Mengucap Dua Kalimah Syahadah

Penduduk kampung mengangkat motosikal mangsa Mohd. Shazwan Yusrien Yusof yang terlibat dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Kuala Ibai berhampiran Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu, malam kelmarin. – Utusan

Seorang bapa sempat memangku anak lelakinya yang terlibat dalam kemalangan sambil mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir malam kelmarin.

Namun, apa yang lebih menyedihkan, Yusof Mohamad, 43, baru sahaja tiga hari bertemu dengan anaknya itu, Mohd. Shazwan Yusrien, 19, kerana mereka kini tidak tinggal bersama sejak beberapa tahun lalu.

Sejak penceraian Yusof dan isterinya, Mohd. Shazwan Yusrien dijaga oleh neneknya di Seberang Marang manakala bekas isteri Yusof kini dikatakan menetap di Johor.

Kemalangan yang meragut nyawa Mohd. Shazwan Yusrien itu berlaku di persimpangan lampu isyarat Kuala Ibai berhampiran Masjid Tengku Tengah Zaharah kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin.

Ketika kejadian, pemuda itu dikatakan menunggang motosikal bersama seorang rakan wanitanya dari Jalan Tok Adis menghala ke Masjid Tengku Tengah Zaharah dan dipercayai melanggar lampu isyarat merah.

Akibatnya, motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta sewa yang membawa tiga penumpang dari arah Kuala Terengganu ke Cendering, menyebabkan kedua-dua mereka tercampak sejauh kira-kira 50 meter.

Mohd. Shazwan Yusrien cedera parah di kepala manakala rakan wanitanya yang turut parah kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurut Yusof, dia amat terkilan kerana kali terakhir melihat kelibat anaknya itu tiga hari lalu.

Katanya, ketika itu, anaknya yang membantu neneknya membuat keropok ada melintas di depan rumahnya di Rumah Murah Kuala Ibai di sini namun hanya memandang dari jauh kerana perhubungan mereka agak renggang selepas dia dan isterinya berpisah.

“Dia lalu di depan rumah tetapi tidak berhenti dan menyapa saya. Kami hanya saling berpandangan,” katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ,” katanya.

Setelah mengetahui kemalangan itu, kata Yusof, dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anaknya dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

“Walaupun kami tidak rapat namun sekurang-kurangnya saya telah menjalankan tanggungjawab saya. Malah saya juga menguruskan pengebumian arwah,” ujarnya.

T’Shoppe Kuala Berang, Kemaman Raih Jualan RM3,000 Sehari

T’Shoppe perlu mensasarkan jualan RM2,500 hingga RM3,000 sehari bagi memastikan kedai serbaneka itu mampu meraih keuntungan sekaligus dapat menampung pusingan modal pembelian produk dan bayaran sewa premis setiap bulan.

Dua rangkaian T’Shoppe yang mampu meraih jualan itu adalah T’Shoppe di Kuala Berang dan Kemaman.

“Kalau dapat RM2,000 ke atas sehari baru boleh untung dan `cover’ kos initial termasuk pengubahsuaian kedai serta bayar sewa bulanan kedai.

“ Untuk pengubahsuaian kedai, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sediakan peruntukan RM200,000 ke atas termasuk pusingan modal bagi membantu pengusaha,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Beliau menyatakannya pada sidang media sempena Program Bicara Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom), di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, petang semalam.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SRM) Terengganu, Encik Umar Sarim Saidin, Timbalan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Encik Tahir Mat Yusoh, Timbalan Pengarah Ukom, Encik Ruslan Abdul Rahman dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob mamat.

Mohamed berkata, kos sewa premis perniagaan itu bergantung kepada lokasi dan kadarnya lebih mahal apabila terletak di bandar besar serta boleh mencecah sehingga RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri hanya mengambil satu peratus royalti setahun daripada jumlah keseluruhan jualan tahunan setiap T’Shoppe. Jika jumlah jualan RM100,000 setahun, maka hanya RM1,000 sahaja yang diambil.

“Kerajaan negeri mengambil jumlah yang kecil kerana kita bukan bertujuan untuk berniaga sebaliknya membantu pengusaha tempatan memasarkan produk IKS mereka,” katanya.

Beliau berkata, T`Shoppe merupakan alternatif terbaik yang dilaksanakan YPU bagi membantu golongan usahawan yang sebelum ini sukar mendapat tempat di pasar raya terkenal di negeri ini.

Oleh itu, bagi memperhebatkan rangkaian itu, YPU mensasarkan 100 rangkaian T`Shoppe bakal dibuka di seluruh negara, sama ada diuruskan Cakna atau perkongsian pintar (Joint Venture Company).

“Sebagai pelengkap kepada jaringan T’Shoppe, YPU mewujudkan Pusat Pengumpulan, Pembungkusan dan Pemasaran (TP3) semata-mata bagi menjalankan aktiviti berkaitan,” katanya.

Katanya, pihaknya mensasarkan 70 peratus daripada produk IKS dijangka dapat dipasarkan menerusi T-Shoppe tidak lama lagi, berbanding hanya 30 peratus produk berkenaan sejak dibuka tiga tahun lalu.

Selain itu, Kerajaan Terengganu mensasarkan untuk mewujudkan 100 buah kedai T'Shoppe di seluruh negara menjelang 2013.

Setakat ini YPU sudahpun mewujudkan 18 buah T'Shoppe di beberapa buah negeri, termasuk dua di Kedah dan satu masing-masingdi Ampang dan Melaka. Sementara yang lainnya di seluruh Terengganu.

Antara rangkaian T’Shoppe di Terengganu, di Jalan Gong Kapas, Kuala Berang, Dataran Shahbandar, Kelulut, Marang; Geliga, Kemaman; Paka, Dungun dan Gong Kemuntung, Besut.

Sebanyak 20 rangkaian lagi sudah dilluluskan kerajaan negeri dan akan beroperasi pada bila-bila masa.

Unit Komunikasi Negeri

T-Team Berdepan Selangor Yang Tekad Balas Dendam


Amri Yahya bertekad berjuang habis-habis dengan rakan bagi membalas dendam terhadap T-Team di Kuala Terengganu, petang ini.

Kekecewaan saingan Piala FA sudah dilupakan dan Selangor bakal turun ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang ini dengan misi menebus kekalahan kepada T-Team pada pusingan pertama dan terus mengukuhkan kedudukan di takhta Liga Super.

Kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah berkata, dia dan rakan sepasukan bertekad untuk berjuang habis-habisan menentang kelab dari Pantai Timur walaupun menyedari ada kalangan mereka masih sukar melupakan kekalahan besar 6-2 secara agregat kepada Kelantan yang menyaksikan mereka tersingkir pada separuh akhir Piala FA Isnin lalu.

“Kami semua sudah diingatkan oleh jurulatih, K Devan supaya melupakan keperitan kekalahan Piala FA itu dan tumpukan sepenuh perhatian untuk saingan liga dan mencatat sejarah muncul pasukan pertama mencatat hatrik menjuarai Liga Super,” katanya semalam.

Selangor yang kini menduduki tangga teratas liga dengan mengumpul 42 mata daripada 19perlawanan, tewas kepada T-Team 2-0 pada aksi pusingan pertama Liga Super di Stadium Shah Alam 9 April lalu.

Amri yang juga penjaring kedua terbanyak skuad Merah Kuning itu dengan himpunan 4 gol setakat ini berkata, selain kecederaan yang melanda beberapa tonggak skuad itu, satu lagi cabaran yang menanti mereka di Kuala Terengganu hari ini ialah beraksi di sebelah petang buat pertama kali musim ini.

Menurut Amri, walaupun Selangor pernah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di sebelah petang, keadaan cuaca agak panas mungkin akan memberi kesan terhadap prestasi pemain terutama selepas kepenatan mengharungi jadual liga yang padat ketika ini.

“Apapun, kami tidak rasakan ia masalah besar kerana lawan juga terpaksa mengharungi keadaan serupa. Apa yang penting kami mahu pastikan Selangor tidak kalah lagi dan terus kekal di takhta liga,” katanya.

Berita Harian

Wednesday, May 18, 2011

Ganjaran Buat Pemain Terengganu Jika Bawa Pulang Piala FA

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri akan memberi ganjaran kepada pasukan Terengganu jika berjaya membawa pulang Piala FA pada perlawanan akhir menentang Kelantan 11 Jun ini.

Katanya kerajaan negeri akan menilai dan mengkaji bentuk ganjaran yang akan diberikan kepada pasukan itu nanti.

"Kami memikirkan ganjaran yang diberikan mestilah sesuatu yang mempunyai nilai tambah dan memberikan kepentingan kepada masa depan pemain. Bentuk ganjaran yang akan diberikan akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.

Beliau menyatakannya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan bola sepak antara Terengganu dan Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, malam kelamrin.

Menurut Ahmad Said, beliau berharap Irfan Bakti dan barisan pemain dapat menajamkan jentera serangan untuk perlawanan akhir nanti.

Pada perlawanan malam tadi, Terengganu berjaya mengalahkan Pahang dengan jaringan 2-0.

Ini sekaligus melayakkan Terengganu ke final dengan agregat 5-2 apabila dua gol masing-masing dijaringkan oleh Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-36 dan pemain gantian, Mohd Alimi Fahmi Kamaruddin pada minit ke-85.

Dengan kemenangan yang dicatat sang penyu itu sekaligus menamatkan penantian selama tujuh tahun untuk beraksi di pentas final piala itu.

Jurulatih pasukan itu, Irfan Bakti Abu Salim berkata beliau tidak mahu membuat jangkaan awal kerana sedang memberi tumpuan pada saingan liga super dan berjanji akan melakukan yang terbaik.

"Alhamdullilah setelah tujuh tahun kita gagal mara ke final akhirnya peluang untuk beraksi di pentas akhir itu terlaksana juga."

Untuk rekod, Terengganu kali terakhir layak ke final saingan Liga Malaysia ialah pada perlawanan akhir Piala FA tahun 2004 yang menyaksikan pasukan dari pantai timur itu tewas 0-3 di tangan Perak.

Sebelum itu, Terengganu telah dua kali melangkah ke pentas yang sama iaitu pada tahun 2000 yang menyaksikan mereka muncul juara selain pada tahun 1999 ketika tewas kepada Kuala Lumpur.