Saturday, May 28, 2011

Dua DUN Sedia 28 Bas Untuk Penyokong Terengganu

Dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) memutuskan untuk menyediakan sebanyak 28 buah bas bagi orang ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil, menyaksikan perlawanan akhir antara Terengganu dan Kelantan, 11 Jun ini.

Teganukita difahamkan beberapa DUN lain akan turut menyediakan perkhidmatan yang sama sebagai tanda penghargaan kepada pasukan Terengganu yang layak beraksi dalam perlawanan akhir setelah menumpaskan sebuah lagi pasukan jiran iaitu Pahang pada peringkat separuh akhir,

Sehingga ini, DUN Kijal mengesahkan menyediakan 15 buah bas manakala DUN Seberang Takir 13 buah bas bagi tujuan tersebut.

Mereka yang berminat mendapatkan perkhidmatan itu bolehlah berhubung dengan pejabat DUN berkenaan.

Unit Komunikasi Negeri

Atur Perlawanan: FAM Dan SPRM Diminta Siasat Secara Menyeluruh

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan menyeluruh berhubung dakwaan kegiatan mengatur keputusan perlawanan yang membabitkan pasukan bola sepak Negeri Sembilan.

Beliau yang terkejut dengan laporan media tentang perkara itu, berkata ia perlu dipandang serius dan jika dakwaan itu benar, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang terlibat.

"Bagi saya kita tak boleh mencemar sukan negara kita dengan rasuah kerana orang baru percaya dan yakin dengan sukan dan bola sepak negara sehingga melonjakkan bola sepak ke tahap yang baru, sekiranya ia berlaku lagi ia akan memusnahkan keyakinan orang ramai terhadap bola sepak negara kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Y-Avenue sempena sambutan Hari Belia Negara 2011, di Putrajaya, semalam.

Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dilapor membuat laporan polis mengenai dakwaan itu semalam, selepas menerima aduan dan pengakuan beberapa pemain bola sepak negeri itu yang bersedia menjadi saksi terhadap dakwaan yang dikatakan berlaku sejak akhir tahun lepas.

Ahmad Shabery berkata dakwaan itu juga diharap tidak membabitkan pasukan lain, namun punca dakwaan itu perlu disiasat bagi mengetahui 'kepalanya'.

Bagaimanapun katanya, sekiranya dakwaan itu tidak benar, PBNS diharap dapat membersihkan nama mereka kembali.

"Sukan mementingkan integriti, soal ketelusan, soal menghormati undang-undang dan menerima menang dan kalah, dan sekiranya ini hilang maka ia bukan lagi dilihat sebagai sukan tetapi merupakan medan perjudian," katanya.

Penduduk Pulau Perhentian Dapat 3 Projek

Bergambar kenangan dengan Menteri Besar, selepas majlis makan malam dan penyampaian anugerah di Pulau Perhentian, malam kelmarin. - Gambar Haris Fadzillah.


Lawatan kerja sehari Menteri Besar ke Pulau Perhentian memberi makna yang besar kepada penduduk pulau ini apabila mereka mendapat tiga projek sekaligus, bagi menaik taraf hidup mereka.

Sempena lawatan itu, Menteri Besar mengumumkan kerajaan negeri bersetuju membina rumah pangsa empat tingkat mengandungi 150 unit bagi memberi kediaman lebih selesa kepada penduduk pulau ini,

Beliau berkata, kawasan tanah seluas lima setengah ekar sudah dikenal pasti bagi tujuan tersebut dan pembinaannya akan dilakukan secepat mungkin.

Ahmad Said turut meluluskan pembinaan sebuah gelanggang futsal berhampiran jeti ke Pulau Perhentian bagi kegunaan golongan belia bermain futsal.

“Saya juga meluluskan peruntukan RM300,000 bagi membolehkan bekalan air diambil dari kawasan air mata yang dikenali air berani oleh penduduk tempatan di pulau ini,” katanya.


Unit Komunikasi Negeri

Ibu Terkejut Baju Anak Penuh Darah

"Saya hampir pengsan melihat darah berlumuran pada telinga kiri dan baju sekolah dipakai anak bongsu ketika dia pulang ke rumah," kata Fatimah Ngah, 54, dari Kampung Bukit Kandis, Bukit Tunggal, di sini berhubung kecederaan telinga anaknya dipercayai dipukul seorang pelajar, petang kelmarin.

Fatimah berkata, anaknya, Abdul Rahman Abdul Ghani, 13, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di kawasan itu, pulang ke rumah kira-kira jam 2.30 petang bersama abangnya, Mohd Khairul, 25, dalam keadaan berlumuran darah di telinga kiri untuk mengambil kad pengenalan bagi mendapat rawatan.

Beliau berkata, Abdul Rahman memaklumkan dia dipukul dan ditendang seorang daripada sekumpulan pelajar yang datang ke kelas sementaranya sebelum waktu persekolahan sesi petang bermula.

“Tendangan itu menyebabkan Abdul Rahman terdorong ke belakang dan ketika hendak terjatuh, bahagian kiri mukanya tersangkut pada bucu cermin tingkap, menyebabkan luka besar pada telinga kirinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Mangsa bagaimanapun, tiada di rumah ketika itu kerana ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan susulan selepas difahamkan menerima tujuh jahitan di telinga kirinya.

Fatimah mendakwa anaknya tidak pernah menghadapi masalah dengan rakan yang lain kerana anaknya seorang yang pendiam dan amat berharap pihak polis dapat menyiasat kes itu secepat mungkin.

Bapa mangsa, Abdul Ghani Ismail, 64, berkata pengurusan sekolah perlu mengambil tindakan wajar supaya masalah disiplin di sekolah itu dapat diperbaiki.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya polis percaya mangsa dipukul oleh pelajar lain dari sekolah yang sama dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana cubaan mendatangkan kecederaan.

Difahamkan polis sudah menahan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun pagi semalam untuk membantu siasatan.

Berita Harian/Bernama

Program Tingkatkan Pelancongan di Pulau Perhentian

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri sedang merangka satu program khusus bagi meningkatkan industri pelancongan di Pulau Perhentian.

Ini sekaligus membantu meningkatkan pendapatan penduduk di pulau berkenaan.

“Saya akan umumkan program tersebut semasa membentangkan Bajet 2012 tidak lama lagi,” katanya sewaktu berucap pada majlis Jamuan Rakyat di Pulau Perhentian, malam kelmarin.

Beliau berkata, cadangan pembangunan di pulau ini selaras dengan hasrat Kerajaan Terengganu untuk meningkatkan bidang pelancongan di negeri ini.

Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, beliau berkata amalan kerajaan negeri sekarang ini ialah turun padang dan mengenal pasti projek-projek yang diperlukan rakyat bagi menaiktaraf hidup dan ekonomi mereka.

“Kita akan umumkan projek untuk rakyat semasa program turun padang secara berterusan bukan tunggu plihan raya baru nak umum projek,” ujar beliau.

Beliau berkata, rakyat memberi reaksi yang positif dasar turun padang yang diamalkan pemimpin Barisan Nasional dan ia akan diteruskan bagi kebaikan rakyat.

Anugerah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu

Kakitangan Kementerian Kesihatan yang menjalankan tugasan mereka dengan cemerlang berpeluang untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tanpa mengikut pusingan atau giliran, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata mereka yang diberikan anugerah itu bukan sahaja daripada sudut kerja semata-mata, tetapi juga dilihat daripada amalan kehidupan yang sihat.

"Kita nilai kakitangan bukan pada tugas yang mereka jalankan saja, tetapi cara hdiup sihat yang mereka amalkan seperti tidak merokok dan lain-lain, sebagai contoh kepada orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Jabatan Kesihatan negeri Terngganu di Kuala Terengganu yang turut dihadiri oleh Pengarah Kesihatan negeri Terengganu Dr Nordiyanah Hassan.

Pada majlis itu seramai 676 kakitangan Jabatan Kesihatan negeri Terengganu menerima APC, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000 manakala 134 orang kakitangan bersara menerima cenderahati berbentuk jam tangan.

Bank Muamalat Buka Cawangan ke 56 di Jertih

Bank Muamalat Malaysia Berhad mensasarkan peningkatan pertumbuhan keuntungan antara 15 hingga 20 peratus berikutan prestasi yang memberangsangkan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata dalam tempoh 15 bulan bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2010, bank itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM143 juta dan tahun ini, bagi tempoh sembilan bulan sahaja mereka telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM173 juta.

Beliau berkata tumpuan pasaran bank itu masih banyak kepada pelanggan runcit terutamanya pembiayaan peribadi, rumah dan kereta walaupun bank sentiasa memperkenalkan produk-produk baru dari semasa ke semasa.

Katanya ketika ini Bank Muamalat mempunyai 55 cawangan di seluruh negara dengan tumpuan banyak di Kuala Lumpur dan Selangor tetapi negeri-negeri lain mempunyai sekurang-kurangnya dua cawangan.

"Cawangan terbaru (ke-56) yang kita akan buat adalah di Jertih, Terengganu ...dalam tempoh dua bulan ini," katanya.

"Prestasi kita baik dan mampu menjana keuntungan yang lebih tinggi. Walaupun semakin banyak bank Islam tetapi pasaran juga semakin bertambah. NPL (pinjaman tidak berbayar) kita kini pada kadar lebih rendah iaitu dua peratus," katanya kepada Bernama dan RTM dalam satu temu bual malam tadi.

Terdahulu, beliau menghadiri Forum Rakyat 1Malaysia (Forum Perdana Hal Ehwal Islam) di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Abdul Halim di sini.

Forum Rakyat 1Malaysia itu merupakan antara program yang diadakan sempena Karnival Komuniti 1Malaysia peringkat Negeri Kedah, anjuran Jabatan Penerangan Negeri Kedah selama tiga hari bermula semalam.

Mohd Redza berkata produk Bank Muamalat juga berjaya menarik ramai pelanggan bukan Islam terutama di kalangan pelanggan korporat yang merasakan pembiayaan Islam lebih kompetitif dan lebih sesuai dengan mereka.

Mohd Redza berkata bank itu baru sahaja memperkenalkan produk pembiayaan gadaian di cawangannya di Pekan, Pahang dua minggu lepas dan akan memperluaskannya ke cawangan-cawangan lain berikutan sambutan yang baik daripada masyarakat.

Mengenai cadangan penggabungan antara Bank Muamalat dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), beliau berkata cadangan itu bagi mewujudkan satu Bank Islam Mega tetapi sukar untuk dilakukan dalam masa terdekat ini.

"Ada cadangan daripada pemegang saham (kedua-dua bank) tetapi ketika ini tiada perancangan untuk meneruskan usaha penggabungan itu. Ia adalah usaha untuk mewujudkan bank yang lebih besar dan mempunyai daya saing yang lebih tinggi.

"Bank Negara mungkin ingin melihat bank Islam yang besar dan kerana itu ada keinginan untuk memberikan lesen mega itu dalam masa terdekat. Untuk mendapatkan lesen Mega Islamic Bank itu memerlukan modal berbayar sebanyak AS$1 bilion," katanya.

Mara Gesa Kerajaan Pertimbangkan Gaji Guru MRSM

Majlis Amanah Rakyat (MARA) meminta kerajaan mempertimbangkan kenaikan pangkat dan skim gaji baru bagi guru di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara.

Pengerusi MARA Datuk Seri Idris Jusoh berkata ia bagi memastikan gaji guru MARA turut selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengenai kenaikan pangkat mengikut kaedah baru kepada golongan guru.

Katanya, ia merupakan antara beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan dan sehubungan itu Mara akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam tempoh terdekat ini.

"Guru MRSM juga mempunyai taraf yang sama dengan guru di kementerian dan tidak ada sebab guru-guru mara tidak mendapat taraf kenaikan gaji yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Badan Pemuafakatan Pendidikan MARA (Muafakat) ke-7 di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata, guru di MRSM juga layak menikmati faedah sama kerana atas jasa dan sumbangan besar mereka selama ini dalam mendidik anak bangsa sehingga mampu melahirkan ramai tenaga profesional.

"Kita akan memperjuangkan nasib guru di MRSM kerana mereka juga melakukan kerja yang sama dan kita tidak mahu guru MRSM dianaktirikan," katanya

Pada masa ini, lebih 3,000 orang guru sedang berkhidmat di 45 buah MRSM di seluruh negara.

1Murid, 1Minggu, 1Buku

Program 1Murid 1Minggu 1Buku akan dilancarkan di semua sekolah Terengganu pertengahan tahun ini sebagai inisiatif terbaru dalam pengisian budaya ilmu buat pelajar.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran negeri, Mohd. Zubir Embong berkata, langkah itu diambil bagi menerapkan elemen penghayatan ilmu melalui pembacaan selaras dengan jolokan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu.

Sekiranya program itu berjaya, murid di negeri ini akan membaca sekurang-kurangnya 52 buku setahun," katanya selepas merasmikan Karnival Buku Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Wujud Semula Lot Letak Kereta

Kira-kira 50 pemilik premis berhampiran Bulatan Batu Bersurat di Jalan Sultan Sulaiman memohon Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mewujudkan semula petak letak kenderaan bermeter sepanjang jalan itu.

Mereka memohon pertimbangan pihak MBKT agar lebih 45 tempat letak kereta bermeter di kiri dan kanan bahu jalan dapat dibenarkan semula sebagai tempat letak kereta awam setelah ia dimansuhkan kira-kira setahun lalu.

Salah seorang pemilik premis kawasan itu, Mohd. Saberi Muda berkata, permohonan itu wajar dipertimbangkan kerana keperluannya semasa sangat mendesak.

"Ketiadaan tempat letak kereta yang mencukupi telah menyebabkan para pelanggan atau pelancong mengelak untuk singgah di kawasan perniagaan berkenaan.
"Jika pengunjung berhenti di situ, mereka bakal dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa MBKT.

"Ada pelanggan kami tiada pilihan selain melainkan membiarkan mereka disaman kerana meletakkan kereta di kawasan itu untuk membeli, " katanya.

Bagi Nor Ida Ibrahim, permohonan itu wajar dipercepatkan kerana faktor ketiadaan ruang meletak kenderaan telah menyebabkan perniagaan di kawasan itu kian terjejas teruk.

"Jalan di sini tidaklah begitu sibuk seperti jalan-jalan yang lain. Sekiranya tempat letak kenderaan itu diwujudkan semula, jalan ini masih luas iaitu dua lorong di sebelah kiri dan dua lorong di sebelah kanan.

"Lagipun, individu yang berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan di Wisma Persekutuan boleh menggunakannya kemudahan itu kelak dan ini dapat mengurangkan kesesakan di Jalan Pejabat, " ujarnya.

Katanya, mereka telah menghantar satu memorandum kepada MBKT pada Jun tahun lalu untuk mengadu hal berkaitan.

Datuk Bandar MBKT, Datuk Adzlan Mohd. Dagang ketika ditemui pemberita baru-baru ini berkata, pihaknya telah meneliti memorandum berkenaan dan telah berbincang dengan beberapa pihak untuk pertimbangan.

"Pada asalnya pemansuhan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, termasuk perubahan aliran lalu lintas pada ketika itu dan kami ingin menyusun semula kemudahan tempat letak kenderaan awam di bandar raya ini,'' jelasnya.

Utusan Malaysia

200 belia dijangka sertai KBT 4 Hari

Lebih 200 belia dijangka menyertai konvoi bermotosikal sempena Program Kembara Belia Terengganu (KBT) 2011 selama empat hari bermula 15 Jun ini.

Program edisi kedua itu adalah anjuran bersama kerajaan negeri, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun serta penaja utama iaitu syarikat UMW Pennzoil Distributor Sdn. Bhd.

Pegawai Pemasaran UMW Pennzoil, Nor Idura Ali Baharudin berkata di sini hari ini, konvoi itu akan bermula di pekarangan Dewan Aspirasi UiTM sebelum ke Kemaman, Kuala Berang, Besut sehinggalah ke destinasi terakhir iaitu Kuala Terengganu.

Thursday, May 26, 2011

Terima Kasih T-Team, Terengganu Ganti Kelantan Pendahulu Liga Super

Pemain Terengganu, Abdul Hadi Yahya (kanan) mengasak penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizol Anuar Ali, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi. – Berita Harian

Penyu sah garang malam malam semalam. T-Team pula tidak gentar dengan sorakan Stadium Sultan Mohamad ke IV.

Tahniah untuk kedua-sua pasukan!

Turun dengan matlamat mengatasi kelebihan jaringan pendahulu sebelumnya - Kelantan - Terengganu membuka jaringan pada minit ke-14 menerusi Ashaari Samsuddin sebelum Abd Hadi Yahya mencatat hatrik pada minit ke-20, 53, 56 dan Manaf Mamat (m-71) melengkapkan kemenangan barisan Irfan Bakti Abu Salim.

Terengganu sewajarnya layak untuk menduduki takhta liga dan pencabar utama Liga Super apabila menewaskan Pahang 5-0 pada ketika T-Team berjaya mengalahkan Kelantan dengan 2-1 di Stadium Sultan Mohamad ke IV malam semalam.

Selangor terus dirundung malang apabila Red Giant rebah di Stadium Shah Alam kepada Harimau Muda A dengan 1-2.

Dengan kejayaan T-Team itu Kelantan kini ketinggalan 3 mata dan juga ketinggalan dari segi jaringan gol berbanding Terengganu, iaitu sebanyak tiga gol. Terengganu sekali gus berupaya berada di puncak Liga Super dengan 47 mata.

Malam penuh bermakna kepada dua pasukan dari Terengganu ini dan pastinya langkah Terengganu dan T-Team akan bertambah maju dan memberikan keyakinan untuk kedua-duanya melangkah lebih jauh.

Yang pasti, teraju Liga Super bertukar tangan lagi selepas keputusan semalam dan kali ini giliran Terengganu pula menjadi pendahulu dengan penuh bergaya .

Kejayaan Terengganu mendaki puncak liga dibantu kekalahan pendahulu sebelum ini, Kelantan iaitu 1-2 kepada T-Team di Stadium Sultan Muhammed V, Kota Bharu.

Pada perlawanan tersebut, T-Team mendahului hasil jaringan Mohd. Badrul Izani minit ke-46, namun Kelantan menyamakan kedudukan menerusi Nurul Azwan Roya pada minit ke-86.

Indra Putra Mahayuddin muncul wira T-Team apabila menjaringkan gol kemenangan pasukannya pada minit ke-97.

Penjaga gol Selangor, Mohd. Iqbal Mohd. Suhimi terjatuh akibat diasak pemain Harimau Muda A, Izzaq Faris Ramlan pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam. - Utusan

Selangor yang dilanda kemerosotan prestasi apabila mencatat kekalahan ketiga berturut-turut, kali ini kepada 1-2 kepada Harimau Muda A di Stadium Stadium Shah Alam.

Gol Harimau Muda A dijaringkan Izzaq Faris Ramlan (m-41) dan gol kedua oleh Syahrul Azwari (m-61) manakala gol Selangor oleh Safiq Rahim (m-64).

Malang terus membelenggu Perlis apabila mencatat kekalahan keempat berturut-turut kali ini kepada Perak 1-2 di Stadium Utama Negeri.

Perlis mendahului menerusi jaringan Tengku Mohd. Adam pada minit ke-48.

Namun Perak bangkit dengan dua gol pada babak kedua hasil jaringan Mohd. Shazuan Ashraf Mathews (m-64) dan Akmal Rizal Rakhli (m-84).

Di Stadium Likas, jaringan Sharul Azhar Ture, memberikan Sabah tiga mata penuh apabila mengalahkan Felda United 2-1.

Felda United mendahului pasukan tuan rumah menerusi Md. Hasmarul Fadzir pada minit ke-31 dan Zainizam Marjan menyamakan kedudukan pada minit ke-58, sebelum jaringan kemenangan Shahrul pada minit ke-62.

Hajat Ashraf Jadi Aleesha Tertangguh

MOHD. ASHRAF meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu semalam.

Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu semalam menjadi tumpuan gara-gara kemunculan seorang lelaki berpakaian wanita yang hadir untuk mendengar keputusan berhubung permohonannya mendapatkan kebenaran menukar nama kepada nama wanita.

Bagaimanapun, hajat Mohd. Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, itu tertangguh apabila Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh 18 Julai depan sebagai tarikh keputusan kes.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak dan meneliti petisyen yang dikemukakan pemohon melalui peguamnya, Horley Isaacs.

Ashraf yang berbaju kurung merah putih dan bertudung merah jambu hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonannya untuk mendapat kebenaran menukar nama kepada Aleesha Farhana Abd. Aziz.

Mohd. Yazid dalam penghakimannya berkata, walaupun pemohon telah melakukan pembedahan jantina, mahkamah tetap berdepan kesukaran untuk membuat keputusan.

Kosmo!

Kerajaan Negeri Iktiraf Peranan Penjawat Awam Melalui APC

Penerima APC bergambar kenangan dengan Menteri Besar selepas majlis penyampaikan anugerah berkenaan di Wisma Darul Iman pada 24 Mei 2011. - Gambar Harith Fadzillah.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Datuk Adzlan Mohd Dagang (gambar kiri) , mengetuai 30 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Negeri Terengganu bagi Tahun 2011 kelmarin (24 Mei 2011) dengan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM7,500 serta menunaikan haji.

Turut menerima anugerah ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Datuk Wan Ahamad Wan Muda (gambar bawah kanan).

Majlis ini merupakan salah satu tanda penghargaan kerajaan nageri kepada penjawat awan yang memberikan khidmat cemerlang sepanjang tahun 2010.

Pemilihan dibuat berdasarkan kepada laporan penilaian prestasi tahun 2010 yang di kemukakan oleh ketua-ketua jabatan dan agensi negeri kepada pentadbir negeri.

Majlis ini membuktikan bahawa kerajaan sentiasa member pengiktirafan kepada penjawat awam yang menunjukkan usaha, kualiti dan prestasi yang terbaik serta memberi komitmen kerja tinggi dan melayakkan mereka untuk menerima penganugerahan daripada kerajaan negeri.

Dengan pemberian hadiah itu, diharapkan penjawat awam dapat terus mengekalkan kecemerlangan dan menjadi penanda aras kepada penjawat awam yang lain, di samping mewujudkan persaingan yang sihat untuk terus meningkatkan prestasi kerja masing-masing.

Selain itu dengan wujudnya perkhidmatan awam yang cekap, amanah, bertanggungjawab dan memberikan sokongan dan kerjasama yang padu bagi melaksanakan dasar-dasar serta program yang diputuskan, memberikan suatu kelebihan kepada kerajaan dalam menentukan hala tuju pembangunan negeri demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato Haji Mazlan Ngah, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai tinggi kerajaan yang lain.

Menurut Menteri Besar, setiap tahun kerajaan negeri menghantar 100 orang termasuk imam, bilal serta pegawai tadbir menunaikan fardhu Haji dan 30 orang daripada mereka adalah yang menerima APC.

Terenganu mempunyai kira-kira 8,000 penjawat awam daripada 10,000 jawatan yang ditawarkan dan akan membuat pengambilan baru secara berperingkat-peringkat bagi memenuhi jawatan yang masih kosong.

Terima Kasihlah Kepada Kerajaan – isteri MB

Penduduk Pulau Perhentian perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana mereka mendapat pelbagai kemudahan walaupun tinggal jauh dari tanah besar.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud,berkata mereka amat beruntung kerana kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dan cakna terhadap kebajikan penduduk, terutama golongan susah.
“Saya minta kepada penduduk kampong dan pertubuhan bukan kerajaan, jika ada masalah jumpalah JKKK bagi mendapat bantuan,” katanya pada majlis pertemuan dengan golongan wanita penduduk Pulau Perhentian di pulau ini, petang semalam.

Turut hadir isteri-isteri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Terengganu.
Sebelum itu, beliau menyaksikanpertandingan memasak makanan tradisional dan masakan special serta pertandingan gubahan bunga.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut.

To’ Puan Seri Norliza kemudiannya turut melawat warga emas di Kampung Pulau Perhentian yang uzur dan menyampaikan sumbangan.

Cabaran Mount Berembun Green Challenge 2011

Persatuan Kembara Negara (PKN) dengan kerjasama Kerajaan Terengganu menganjurkan `Mount Berembun Green Challenge 2011’ yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM19,700 kepada peserta.

Pertandingan julung kali dianjurkan itu bakal bermula di Hutan Lipur Air Terjun Chemerong pada 15 dan 16 Julai depan.

Dengan ketinggian 1,108 meter, Gunung Berembun yang terletak di kawasan Hutan Lipur Sungai Chemerong dalam Hutan Simpan Pasir Raja, Dungun turut mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara setinggi 305 meter.

Secara teknikalnya, pertandingan lasak ini memerlukan peserta mengharungi larian bermula dari Air Terjun Chemerong ke `check point’ yang ditetapkan penganjur mengikut kategori yang terbahagi kepada tiga, iaitu terbuka lelaki/wanita (18 tahun ke atas), terbuka veteran lelaki (45 tahun ke atas) dan tertutup Terengganu lelaki/wanita (13 tahun ke atas).

Sementara itu, yuran penyertaan bagi kategori lelaki/wanita terbuka RM60, veteran lelaki terbuka RM 40 dan tertutup Terengganu lelaki/wanita pula RM30.

Pada masa yang sama, pelbagai acara sampingan diadakan bagi memeriahkan pertandingan termasuk pameran dan jualan, cabaran fotografi, lawatan kembara bersama media, sukan rakyat, acara` flying fox, abserling, rope challenge’, selain pertandingan mewarna dan juga cabutan bertuah.

Sesiapa yang berminat menyertai larian ini boleh mendapatkan borang penyertaan menerusi laman web www.kembaranegara.net

Semua borang perlu diserahkan bersama yuran penyertaan dan bayaran boleh dibuat secara tunai, wang pos atau cek menggunakan nama PERSATUAN KEMBARA NEGARA selewat-lewatnya tujuh hari sebelum tarikh pertandingan berlangsung, iaitu pada 8 Julai 2011.

Sebarang keterangan lanjut hubungi sekretariat `Mount Berembun Green Challenge’ menerusi alamat:

Persatuan Kembara Negara
Taman Tasik Cempaka
Bandar Baru Bangi
43650 Selangor

Tel : 03 889263708/ Fax: 03 89262708

Muhammad Rafi : 012 3715412
Afnal : 012 2022644
Mohd Arif : 012 9397170
Marina : 017 6253646


Unit Komunikasi Negeri

Perairan Pulau Perhentian Sebagai Pusat Sukan Memancing

Menteri Besar bertanyakan sesuatu kepada pelancong asing di Pulau Perhentian semalam. - Gambar Harith Fadzillah

Satu kawasan perairan berdekatan Pulau Perhentian yang bersempadan dengan perairan antarabangsa akan dijadikan sebagai pusat pelancongan sukan memancing dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata sehubungan itu satu kawasan untuk projek tukun tiruan bagi tujuan pembiakan ikan akan dilakukan di kawasan tersebut tidak berapa lama lagi.

“Ia merupakan satu projek mega yang apabila dilaksanakan akan membolehkan pelancong dan orang ramai memancing ikan di kawasan tersebut.

“Selaras dengan peranan Pulau Perhentian sebagai destinasi pelancongan dunia sekarang, maka kerajaan memikirkan perlu diwujudkan satu program pelancongan baru bagi menarik lebih ramai pelancong ke pulau berkenaan,” katanya kelmarin.

Beliau berkata industri pelancong telah membawa pulangan hasil yang baik kepada negeri ini hingga menyebabkan pertumbuhan ekonomi dalam sektor pelancongan kini berada pada taraf yang memberangsangkan.

Pelan Strategik Jadi Petunjuk Kepada Penjawat Awam

"...satu dorongan kepada penjawat awam negeri agar menjadikan kecemerlangan sebagai satu budaya di dalam melaksanakan tugas seharian. - Datuk Seri Ahmad Said.

Pelan Strategik Agenda Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan Terengganu (PSAMPPT) akan menjadi petunjuk kepada penjawat awam bagi memahami kehendak kerajaan, merancang dan seterusnya melaksanakan usaha-usaha yang telah dipersetujui ke arah memajukan negeri yang dicintai.

“Ini adalah satu lagi usaha kita bagi memastikan setiap agenda yang ingin lakukan, dirancang serta dilaksana dengan lebih kemas dan sistematik,” kata Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu dan Pelancaran Buku PSAMPPT di Wisma Darul Iman kelmarin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Haji Mazlan Ngah; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Tuan Mamat Tuan Ngah dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Katanya, dengan adanya buku ini diharap penjawat awam serta semua agensi dapat bergerak dengan lebih pantas lagi didalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Tambahnya, ini adalah satu lagi usaha kerajaan bagi memastikan setiap agenda yang ingin dilakukan, dirancang serta dilaksana dengan lebih kemas dan sistematik.

“Ianya akan terus menjadi satu dorongan kepada penjawat awam negeri agar menjadikan kecemerlangan sebagai satu budaya di dalam melaksanakan tugas seharian,” katanya.

Buku ini mempunyai 10 strategi utama yang di garap berlandaskan 8 nilai teras MPPT. Antaranya dana, pendidikan, ekonomi, kerja, pelancongan, ICT, cekap, prasarana, rumah dan nilai kehidupan.

Bagi setiap strategi, beberapa objektif telah dinyatakan secara khusus yang memberikan penjelasan terhadap keperluan dan kecaknaan kerajaan negeri terhadap rakyat.

Bagi memenuhi setiap objektif, beberapa tindakan serta pendekatan yang bersesuaian telah di susun mengikut keperluan dan keupayaan masa kini.

Pelan yang telah disediakan seharusnya menjadi panduan kepada pemimpin negeri untuk menjadi agensi di bawah kawalan mereka lebih dinamik dan terus menyumbang kepada kesejahteraan Rakyat Terengganu.

Unit Komunikasi Negeri

Kerajaan Perlukan Kakitangan Berkemahiran, Bijaksana & Berinovatif

Kerajaan memerlukan penjawat awam yang berilmu, berkemahiran, bijaksana dan berinovatif bagi membolehkan berperanan secara berkesan dalam melaksanakan strategi pembangunan yang digariskan secara berhemah.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mazlan Ngah berkata, mereka perlu mempunyai mindset untuk membawa perubahan serta membentuk agenda dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

“Rakyat merupakan pelanggan kepada perkhidmatan, lantaran itu kerajaan menaruh harapan tinggi kepada penjawat awam kerana rakyat memerlukan mereka yang boleh berfikir,” katanya ketika berucap di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri di Wisma Darul Iman kelmarin.

Katanya, kepuasan pelanggan perlu diutamakan supaya perkhidmatan awam terus relevan. Setiap kejayaan diukur menerusi penyampaian yang menepati kehendak dan cita rasa orang ramai selagi tidak melanggar garis panduan serta dasar yang diputuskan kerajaan.

“Marilah kita sama-sama menanam azam yang bersungguh-sungguh untuk meletakkan kecemerlangan sebagai keutamaan dalam setiap usaha yang dilakukan,” katanya.

Katanya, sebarang cabaran atau isu yang dihadapi hendakah di atasi melalui kaedah berfikir dan bertindak secara kreatif dan inovatif.

Mazlan berkata, pemahaman yang jelas terhadap matlamat yang hendak dicapai sangat penting justeru itu semuanya perlu bertindak sebagai satu pasukan.

Oleh itu katanya, semua ketua jabatan dan penjawat awam hendaklah sentiasa komited dalam memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada kerajaan dan pentadbir negeri.

Unit Komunikasi Negeri

Kerajaan Kekalkan Harga RON95, Diesel & LPG

Kerajaan mengekalkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan LPG buat masa ini setelah rasionalisasi subsidi dibincangkan dengan mendalam dan teliti dalam mesyuarat mingguan Kabinet, semalam.

"Keputusan ini dibuat kerana kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat," katanya pada sidang akhbar di kementerian berkenaan diPutrajaya.

Ismail Sabri berkata, pada masa sama kerajaan akan meneruskan kajian rasionalisasi subsidi secara menyeluruh berikutan peningkatan harga minyak dan gas di pasaran global.

Ditanya adakah Kabinet membincangkan tempoh masa harga berkenaan dikekalkan, Ismail Sabri berkata Kabinet tidak membincangkan tentang jangkamasa.

Harga petrol RON95 kini ialah RM1.90 seliter dan diesel RM1.80 seliter. Harga LPG ialah RM1.90 sekilogram.

Kali terakhir harga RON95, diesel dan LPG diselaraskan ialah pada Disember tahun lepas.

Ismail berkata pengekalan harga ketiga-tiga bahan api ini mengakibatkan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM18 bilion setakat ini.
Tahun lalu kerajaan menanggung kira-kira RM8.15 bilion subsidi bagi bahan api yang sama.

Terengganu Perlukan Perkhidmatan Awam Yang Cemerlang

Perkhidmatan awam yang cemerlang penting bagi melaksanakan dasar-dasar yang digubal dan membantu usaha kerajaan melaksanakan pentadbiran dan pembangunan.

Ini kerana keberkesanan dan kecekapan jentera pelaksana bergantung kepada prestasi dan komitmen penjawat awam dalam merancang dan melaksana tindakan serta menilai semula sesuatu program yang dijalankan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata oleh itu setiap anggota perkhidmatan awam seharusnya mempunyai semangat untuk sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi memastikan segala dasar dan perancangan kerajaan dalam memaju dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat tercapai.

Menteri Besar, berkata kecemerlangan diri dan organisasi mampu mempercepatkan lagi pembangunan negara mahupun negeri, terutamanya dengan usaha kerajaan sekarang untuk mentransformasikan perkhidmatan awam.

Berikutan itu, proses transformasi perlu dilalui demi menyahut tuntutan global dan inisiatif perlu bermula dari sekarang jika tidak pasti akan ketinggalan.

”Kerajaan memperkenalkan pelbagai konsep seperti Penarafan Bintang (Star Rating) ke atas agensi-agensi kerajaan, 5S bagi meningkatkan kualiti persekitaran kerja, MS ISO 9001 bagi mendokumentasikan urusan kerja ke arah lebih sistematik,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2011, di Wisma Darul Iman kelmarin (24 Mei 2011).

Katanya, kerajaan akan terus berusaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam selaras dengan gagasan Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan Terengganu serta 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan di peringkat nasional yang telah diperkenalkan.

“Kita seharusnya mempunyai sikap mahu melakukan yang terbaik dalam melaksanakan kerja dan tanggungjawab yang diamanahkan dan kepuasan bekerja apabila usaha kita telah membawa kepada pencapaian,” katanya.

Selain itu katanya, sikap jati diri yang tinggi serta sentiasa cintakan tanahair menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan yang berperanan besar bagi memastikan kejayaan dan keharmonian sesebuah negara.

Tambahnya, bukan mudah untuk melaksanakan sesuatu perancangan tanpa sokongan padu daripada semua penjawat awam di negeri ini justeru kerajaan dan rakyat saling memerlukan.

“Kerajaan secara asas adalah mekanisma kolektif rakyat bagi melaksanakan aspirasi yang tidak dapat dilakukan dengan berkesan secara bersendirian seperti memelihara keselamatan, memastikan kebajikan dan mencipta kemakmuran,” katanya.
Unit Komunikasi Negeri

Terengganu Sasar 27 Emas Pada Sukan Malaysia Ke-14

Zainal (baju merah) menerangkan sesuatu kepada Ketua Kontinjen Datuk Wan Ahmad Wan Muda pada satu majlis kelmarin.

Terengganu mensasarkan 27 pingat emas di samping 18 pingat perak dan 12 pingat gangsa pada kejohanan Sukan Malaysia ke-14 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor selama 11 hari mulai 2 Jun depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Zainal Abidin Hussin berkata sumbangan pingat emas disandarkan daripada acara kenu, basikal trek, judo dan mendayung di samping acara lain.

Terengganu akan menghantar seramai 218 atlet lelaki dan wanita yang akan menyertai 15 daripada 19 acara yang akan dipertandingkan pada kejohanan itu nanti, katanya kepada Bernama di sini Ahad.

Katanya acara yang akan disertai Terengganu ialah kenu, basikal trek, bina badan, bola jaring, bola baling, bola keranjang, bola tampar pantai, futsal, judo, lawan pedang, mendayung, ping pong, ragbi, sofball dan tenis.

Terengganu tidak mengambil bahagian dalam acara kavadi, kriket, renang irama, polo air dan silambam, katanya.

Zainal Abidin berkata, untuk mencapai impian Terengganu itu, atlet telah menjalani latihan intensif sejak beberapa bulan lepas di bawah bimbingan 24 jurulatih dan 10 pegawai.

Beliau berkata latihan peringkat akhir selama dua hari telah diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berakhir malam Ahad lalu.

Katanya majlis penyerahan bendera Terengganu kepada Ketua Kontinjen Datuk Wan Ahmad Wan Muda oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said akan diadakan di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu pada Isnin (30 Mei 2011).

Kerajaan Sentiasa Pantau Perkembangan Kawasan Bebas Cukai Tasik Kenyir

Kerajaan sentiasa memantau dari semasa ke semasa pembangunan Tasik Kenyir yang akan dijadikan kawasan bebas cukai pertama bagi tasik di negara ini pada akhir tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, kini proses pengeluaran tender bagi kerja-kerja pembangunan di tasik itu sedang berjalan.

"Memang ada sedikit terkebelakang daripada jadual asal kerana terpaksa membuat pindaan pada pelan dan sebagainya. Kalau boleh kita mahu siap pada Ogos tahun depan, tetapi kalau terlewat, kita harap dapat beroperasi pada 2013.

"Kini kerja-kerja pembinaan menara untuk laluan kabel elektrik sepanjang 22 kilometer dari Kampung Kuala Ping ke Pulau Bayas di tasik itu yang menelan belanja kira-kira RM33 juta sedang berjalan dan dijangka siap akhir tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri Terengganu 2011 dan melancarkan Buku Pelan Strategik, Agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Terengganu 2011-2015 di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah.

Pemandu Lori Didakwa Bunuh Penganggur Di Kuala Berang

Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret diKuala Barang, semalam terhadap tuduhan menyebabkan kematian seorang penganggur tanpa niat membunuh di Kampung Sungai Ular, Kuala Berang, pada 11 Mei lepas.

Zulkifli Mt Ali, 27, dari Kampung Tajin, Kuala Berang, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap Maznong Omar, 39, dari Kampung Kuala Akob juga di Kuala Berang, bersama beberapa orang lagi yang masih bebas pada 10 malam hari berkenaan.

Majistret Siti Faraziana Zainuddin kemudian menetapkan 27 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan Zulkifli melantik peguam dan menunggu hasil ujian patologi. Beliau juga menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000. Pendakwaan dijalankan oleh Insp Mahadi Mohd Yusof.

Langkah Proaktif Diambil Tangani Isu Nelayan Vietnam

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani semalam mengambil beberapa langkah proaktif dalam menangani isu dan kegiatan bot tempatan menggunakan pekerja asing dari Vietnam yang menangkap ikan di perairan beberapa buah negeri menyebabkan pendapatan nelayan tempatan terjejas.

Timbalan Menterinya Datuk Johari Baharum berkata perkara itu dicapai pihaknya ketika mengadakan perjumpaan dan perbincangan tentang isu itu bersama persatuan-persatuan nelayan dari pantai timur dan agensi penguatkuasaan berkaitan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuantan, semalam.

Beliau berkata keputusan utama yang diambil adalah menghentikan serta-merta pemberian minyak bersubsidi kepada 179 buah bot nelayan milik rakyat tempatan yang menggunakan kru dari Vietnam yang menangkap ikan di perairan pantai timur, Johor dan Sarawak.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 58 buah bot nelayan berkenaan beroperasi di Pahang, di Kelantan (57), Terengganu (40), Sarawak (20) dan di Johor (empat).

"Dalam mesyuarat itu, kita mendengar laporan dari pihak polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Persatuan Nelayan dan Jabatan Perikanan tentang masalah-masalah yang ditimbulkan bot nelayan Vietnam, jadi kita mengambil keputusan mulai hari ini kita hentikan beri minyak subsidi kepada 179 bot berkenaan di mana permit untuk perkara itu kita hentikan," katanya.

Selain itu, katanya, Jabatan Perikanan akan melakukan pemeriksaan sepenuhnya ke atas semua bot nelayan berkenaan sekiranya pihak itu ingin mendapatkan semula pemberian subsidi minyak berkenaan di mana pemeriksaan itu merangkumi peralatan menangkap ikan yang digunakan dan keadaan bot itu sama ada diubahsuai atau tidak.

"Kementerian juga tidak akan membenarkan bot yang dirampas pihak kita dilesenkan semula dan kita akan mengkaji semula penggunaan kru-kru bot dari Vietnam kerana mendatangkan banyak masalah terutamanya masalah sosial yang ditimbulkan mereka sendiri," katanya.

Johari berkata kerjasama di antara Jabatan Perikanan, LKIM, APMM dan polis pula akan dilaksanakan dalam menguatkuasakan semua peraturan sedia ada bagi menangani segala permasalahan yang membabitkan nelayan tempatan.

Kementerian juga, katanya, hanya akan membenarkan kapasiti minyak digunakan sesebuah bot berdasarkan saiz bot dan peralatan pukat yang digunakan dan perkara itu akan dimasukkan dalam syarat lesen.

"Penggunaan minyak mengikut saiz bot itu, kalau sebuah bot guna 1,000 liter minyak maka bot itu hanya boleh isi minyak 1,000 liter untuk satu perjalanan dan ia tidak dibenarkan membawa minyak tambahan bagi mencegah penyeludupan dan salah guna diesel oleh nelayan," katanya.

Katanya keputusan terakhir yang dicapai dalam perjumpaan itu adalah semua lesen Pukat Tunda Musim Tengkujuh akan dilanjutkan dari November hingga Mac bagi nelayan-nelayan di Pantai Timur dan di Johor.

Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, Kuala Terengganu Diiktiraf Sebagai SBT

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan sebanyak sembilan buah sekolah lagi diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohort Dua bagi Kumpulan Kedua, menjadikan jumlah SBT pada tahun ini sebanyak 32.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi diberikan status SBT tahun ini ialah 50 buah sekolah.

"Ia dicapai melalui program handholding atau bimbingan kepada sekolah-sekolah yang berpotensi, yang dapat mengenal pasti kekuatan dan kekurangan masing-masing untuk mencapai status SBT," katanya pada majlis pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 2, di Putrajaya semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong.

Sebanyak 20 buah sekolah telah diumum sebagai SBT Kohort Pertama pada tahun lepas, menjadikan jumlah keseluruhan sekolah SPT setakat ini 52 buah di seluruh negara.

Muhyiddin berkata sembilan sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir, Seremban; Sekolah Menengah Sains Sabah, Kota Kinabalu; Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, Kuala Terengganu dan Sekolah Menengah Sains Kuching, Sarawak.

Selain itu, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor, Kuala Selangor dan Sekolah Menengah Agama Naim LilBanat, Kota Baharu.

Bagi kategori sekolah rendah, pengiktirafan SBT diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tung Hua, Sibu.

Muhyiddin berkata terdapat SBT yang dilawati oleh negara luar seperti Singapura, Thailand, China, Jepun dan Finland bagi tujuan penandaarasan.

Katanya ini membuktikan bahawa sekolah ini telah berjaya menarik minat negara lain untuk mengadakan kerjasama bagi tujuan peningkatan pencapaian secara keseluruhan.

Beliau berkata pengiktirafan SBT tertakluk kepada satu set KPI merangkumi bidang akademik (50 peratus), kokurikulum (30 peratus), Jaringan dan Jalinan (10 peratus) dan Etos & Watak Sekolah (10 peratus).

Pembangunan Kerajaan Pusat Jadikan Hartanah Gua Musang Meningkat

Pembangunan infrastruktur kerajaan pusat seperti jalan raya telah meningkatkan pelaburan dan nilai tanah di kawasan pedalaman Hulu Kelantan iaitu Gua Musang dengan kenaikan hartanah sebanyak 10 kali ganda.

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata nilai tanah sekitar bandar itu melambung lebih 10 kali ganda daripada nilai tahun 80-an dulu berikutan menjadi rebutan pelbagai pihak untuk dijadikan pusat pelaburan jangka panjang.

"Sebagai contoh harga satu unit kedai yang dahulunya hanya RM50,000, tetapi sekarang meningkat kepada lebih RM300,000 seunit," katanya pada Majlis Perjumpaan Dengan Peserta Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Kesedar Sejahtera di Chin Teck, Gua Musang , semalam.

Berikutan itu, beliau menasihati penduduk agar tidak menjual hartanah mereka walaupun ada menerima tawaran kerana mereka akan rugi jika berbuat demikian kerana beliau menjangkakan nilai tanah di kawasan berkenaan akan meningkat.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO bahagian Gua Musang berkata sejak kebelakangan ini juga semakin banyak permintaan orang luar untuk membeli tanah-tanah di sekitar Gua Musang sama ada untuk gudang perniagaan atau pembukaan ladang.

Sejajar dengan Dasar Keberhasilan Negara (NKRA) dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dan memajukan kawasan pedalaman, Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah melaksanakan pembinaan jalan raya menghubungkan Kuala Lipis-Gua Musang-Kuala Krai-Kota Baharu bawah pelan Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER).

Kerajaan pusat juga melaksanakan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sebanyak 1,500 unit membabitkan kos pembinaan hampir RM200 juta di Gua Musang yang dijangka siap sepenuhnya dalam masa tiga tahun lagi.

Beliau mengakui dahulu tidak ada siapa yang berminat untuk membuka pelaburan di daerah ini, tetapi selepas kerajaan membina rangkaian jalan dengan kedudukan bandar Gua Musang yang terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia menjadikan ia lokasi strategik.

"Perkara itu ditambah pula dengan pembukaan jalan baru menghubungkan Gua Musang-Jeli, Gua Musang-Cameron Highland, Perak dan Gua Musang-Kuala Berang di Terengganu menambahkan minat orang ramai datang ke Gua Musang," katanya.

Tengku Razaleigh berkata rumah untuk penempatan penduduk miskin itu juga mempunyai nilai tinggi walaupun kerajaan memberi secara percuma kepada mereka.

"Kita harap penduduk terbabit jangan mengambil kesempatan menjual rumah terbabit dan hargailah sumbangan kerajaan itu untuk terus dimanfaatkan sehingga ke anak cucu," katanya.

Wednesday, May 25, 2011

Terengganu Tumpu Empat Perlawanan Akhir Liga Super - Che Mat Jusoh

Terengganu perlu merangka strategi memastikan menang keempat-empat perlawanan terakhir Liga Super sambil mengharapkan Kelantan tercicir mata.

Hari ini T-Team yang berkunjung ke Kota Bharu membawa misi penting iaitu memenangi perlawanan bagi meletakkan dirinya di kelompok empat pasukan terbaik Liga Super.

Sambil itu kemenangan adalah hadiah menjamin ‘abangnya’ berkedudukan selesa dengan Terengganu perlu menewaskan Pahang di Kuala Terengganu, malam ini.

Kerana itu skuad Penyu perlu melupakan seketika Piala FA dengan memberi tumpuan bagi mengharungi baki empat perlawanan liga Super yang dianggap getir.

Pengurus Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh sudah mengingatkan anak-anak buahnya tidak boleh tersalah langkah dan tersilap catur dalam persaingan sengit ketika semakin hampir melangkah ke atas teratas.

"Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai final Piala FA menentang Kelantan 11 Jun buat masa ini, kita tumpuan baki perlawanan liga Super" katanya.

Terengganu kini di tangga kedua liga dan hanya dipisahkan dengan kelebihan jaringan berbanding pendahulu, Kelantan selepas mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Negeri Sembilan 3-0 di laman sendiri, kelmarin.

Menurut Che Mat, beliau berpuas hati dengan aksi para pemainnya yang mendengar arahan dan berjaya mendominasi perlawanan sejak dari awal permainan hingga wisel penamat ditiupkan.

"Masalah keletihan dan kecederaan nyata tidak menghalang pemain kita daripada mempamerkan aksi terbaik malam ini (kelmarin).

"Walaupun pemain mensia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol tapi Alhamdulillah, keputusan 3-0 ini sudah mencukupi," katanya kepada selepas tamat perlawanan.

Bagi Yunus Alif pula, beliau mengakui cabaran besar menanti, namun pengendali T-Team itu tetap positif anak buahnya mampu memberi saingan kepada Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammed VI, malam ini.

Keyakinan itu berasas memandangkan beberapa barisan pemain utamanya pernah beraksi dengan pasukan gergasi bola sepak tersebut.

Bagaimanapun, pemain dipaksa untuk bijak mengawal emosi ketika berdepan dengan penyokong tuan rumah malam ini agar tidak mengganggu prestasi permainan.

“Meskipun kesemua pemain masih lagi keletihan berik
utan jadual perlawanan yang padat, namun kita (T-Team) bersiap sedia untuk menghadapi perlawanan malam ini.

“Kemungkinan kita terpaksa turun tanpa pe
njaga gol utama, Mohd Syamsuri Mustaffa yang masih mengalami kecederaan lutut kiri,” katanya semalam.

Yunus dalam nada rendah diri turut mengakui, T-Team yang turun selaku pasukan bukan pilihan perlu bekerja keras untuk mengumpul mata dalam pertemuan dengan Kelantan malam ini.

Pasukan berstatus kelab, T-Team sedang bergelut dengan prestasi semasa menghuni tangga ke tujuh liga selepas mengharungi 21 perlawanan dengan mengumpul 28 mata.