Friday, August 5, 2011

242 Pesakit Berjaya Dapatkan Bantuan Tabung Penyakit Kronik

Seramai 243 pesakit seluruh Terengganu yang menghidap pelbagai penyakit kritikal dan memerlukan perhatian segera berjaya mendapatkan bantuan menerusi Tabung Penyakit Kronik sehingga Julai lalu.

Jumlah itu merupakan hampir sebahagian daripada keseluruhan 547 pesakit yang mengemukakan permohonan sejak skim itu diperkenalkan Kerajaan Terengganu tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad, berkata berdasarkan rekod, 274 permohonanan sedang dalam proses, manakala hanya 21 gagal dan sembilan lagi terpaksa ditangguhkan disebabkan pelbagai masalah sistem dan kesilapan teknikal.

“Daripada 547 permohonanan, 128 pemohon daripada Kemaman, diikuti Kuala Terengganu (98, Marang (85), Dungun (58) Kuala Nerus (46), Hulu Terengganu (34), Setiu (31) dan Besut 14 pemohon. Manakala 53 kes atau pemohon yang selebihnya pula berdepan dengan masalah sistem menyebabkan status parlimen pemohonan gagal dikenalpasti.

“Bagaimanapun, jumlah permohonan yang berjaya akan bertambah berikutan lebih 200 permohonan sedang diproses dan hanya kes terpencil menyebabkan permohonan gagal diterima. Ia mungkin berpunca daripada pemohon gagal menepati syarat tertentu dalam borang permohonan,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata, Tabung penyakit Kronik diwujudkan atas kesedaran kerajaan melihat pelbagai penderitaan rakyat yang memerlukan perhatian segera terutama yang berdepan dengan penyakit kritikal dan memerlukan bantuan perubatan akibat kekangan kewangan.

Malah, katanya peruntukan diterima menerusi tabung itu sejak September tahun lalu berjumlah RM2 juta dan kira-kira RM360 ribu sudah dibelanjakan sehingga Februari lalu.

Dalam tempoh yang sama juga, antara penyakit yang sudah dibantu seperti pesakit jantung (71 kes), buah pinggang (57 kes), kanser (36 kes) dan lain-lain kes termasuk bantuan peralatan dan sokongan melibatkan 56 kes.

“Rayuan-rayuan itu biasanya dikemukakan kepada agensi kerajaan dan swasta, pemimpin masyarakat, malah ada yang memohon terus dengan kerajaan negeri. Tidak kurang juga kisah malang mereka mendapat liputan di dada akhbar tempatan dan media elektronik bagi mendapat belas kasihan dan simpati orang ramai,” katanya.

WWF Gesa Kerajaan Terengganu Siasat Sumber Telur Penyu Di Pasar Payang

WWF-Malaysia meminta kerajaan Terengganu supaya menyiasat sumber asal telur penyu yang banyak dijual di Pasar Payang di Kuala Terengganu.

Gesaan badan itu susulan kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Santuari Penyu Terengganu Datuk Mazlan Ngah sebelum ini bahawa telur terbabit bukan telur tempatan, sebaliknya dari Sabah, Sarawak dan Filipina.

“WWF-Malaysia ingin menegaskan bahawa kenyataan itu mungkin satu andaian semata-mata dan satu siasatan mengenai dari mana telur penyu itu diperoleh mestilah dilakukan oleh kerajaan negeri.

“Ia kerana telur penyu di pantai-pantai di negeri ini boleh dicuri dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 (pindaan) 1987,” kata badan itu dalam satu kenyataan kepada Bernama, di Kuala Terengganu, semalam.

Kenyataan itu juga berkata pada masa kini terdapat 20 pantai di Terengganu yang menjadi pusat pendaratan penyu dan diberikan permit kepada pemungut telur yang dilesenkan untuk meronda dan mengutip semua telur terbabit.

Daripada jumlah tersebut hanya telur daripada sarang di 12 pantai sahaja yang dijual kepada Jabatan Perikanan negeri di bawah skim beli balik.

“Kami menjangkakan memang terdapat telur penyu tempatan yang dijual di pasar tempatan dan kenyataan ini berasaskan tinjauan mendapati penjual jelas memasarkan telur tempatan dengan harga yang jauh lebih tinggi berbanding telur penyu yang diperoleh dari tempat lain.

“Sehubungan itu WWF-Malaysia seterusnya menggesa supaya penjualan telur ini dihentikan segera sehingga siasatan mengenai sumber telur-telur penyu yang dijual di Terengganu diketahui,” kata kenyataan itu.

Pada masa ini, tiada pengharaman penjualan telur penyu dilakukan peringkat negara, manakala di Terengganu larangan hanya untuk telur penyu belimbing.

WWF-Malaysia turut meminta satu pengharaman komprehensif dilakukan pada penggunaan dan perdagangan telur penyu melibatkan semua spesies penyu marin memastikan habitat itu tidak pupus.

Jom Rami-Ramai ke Festival Ramadan di TTC

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) menyediakan 200 lot niaga di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) sempena Festival Aidilfitri sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azmi Razik berkata, program tahunan itu bagi memberi peluang kepada peniaga tempatan memasarkan produk mereka dalam satu kompleks yang selamat dan teratur.

Menurutnya, berkonsepkan perniagaan di bawah satu bumbung, festival itu dijangka menarik setengah juta pengunjung sepanjang bulan ini dengan pelbagai jenis keperluan Aidilfitri yang ditawarkan.

"Beroperasi antara pukul 10 pagi hingga 11 malam, pelbagai barangan ditawarkan dengan harga menarik seperti baju raya, songkok, kuih raya, tudung, eksesori wanita dan produk kosmetik.

"Pengunjung boleh mendapatkan barang keperluan dengan harga yang menarik dengan ruang niaga yang selesa dan berhawa dingin," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, peniaga kuih raya, Zaiton Mohd. Zain, 52, ketika ditemui dalam tinjauan Teganukita di TTC berkata, dia sanggup 'bercuti' mengendalikan perniagaan kosmetiknya kerana mahu merebut peluang berniaga di pusat itu.

Berdasarkan pengalaman yang lebih 10 tahun berniaga di situ sepanjang Ramadan katanya, dua minggu menjelang Aidilfitri, gerainya yang menjual lebih 30 jenis kuih raya seperti biskut dan kerepek mula dikerumuni pelanggan.

"Awal puasa, pengunjung hanya menjenguk dan banyak bertanya tentang harga. Ada di antara mereka sengaja tunggu hingga saat-saat akhir untuk tawarkan harga yang lebih murah," katanya.

Bagi peniaga baju Melayu, Mohd. Ghazali Johari, 24, buat permulaan, gerainya menyediakan 500 pasang baju Melayu pelbagai saiz dan warna dengan harga serendah RM10 sepasang.

"Walaupun murah tidak bermakna kualitinya rendah kerana kami mahu habiskan stok tahun lalu serta menjual stok terbaru dengan harga yang berpatutan," katanya.

Sementara itu, pelajar institusi pengajian tinggi swasta, Nor Azimah Mamat, 20, memberitahu, cuti semester yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadan memberi peluang kepadanya untuk berjinak dalam dunia perniagaan.

"Dengan ruang niaga yang selesa, ia memberi peluang kepada saya bertemu dengan ramai pelanggan untuk menjual lebih 100 jenis keronsang dengan harga antara RM1 hingga RM15," jelasnya.

Bagi peniaga tudung, Syarifah Rohani Awang, 49, memberitahu, dia sentiasa peka dengan fesyen tudung terkini bagi menarik lebih ramai pelanggan berkunjung ke gerainya.

"Walaupun tudung jenis 'Ekin' begitu popular pada ketika ini, tudung jenis 'Bawal' tetap mendapat sambutan kerana golongan yang lebih berusia lebih selesa dengan tudung seperti itu," ujarnya.

Unit Komunikasi Negeri

Orang Ramai Diminta Tampil Beri Maklumat Kes Ragut

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata sempena Ramadan, polis mengambil inisiatif menambah anggota kawalan bagi memastikan keselamatan orang awam lebih terjamin terutama di lokasi yang menjadi tumpuan seperti Bazar Ramadan dan pasar raya.

Jabatan itu mengurangkan anggota di pejabat dan mengerahkan mereka membuat kawalan di luar termasuklah rondaan pejalan kaki, rondaan bermotosikal, rondaan kereta peronda (MPV) serta terlibat dengan Ops Payung yang dilancarkan sebelum ini.

Selain itu beliau menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian ragut melibatkan dua beradik di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu, Ahad lalu untuk tampil membantu polis.

Katanya, kerjasama orang awam yang melihat kejadian itu amat perlu memandangkan sehingga hari ini, pihaknya masih belum terima sebarang petunjuk yang boleh membantu siasatan untuk menangkap penjenayah.

“Sehingga kini, masih belum ada saksi berani tampil memberi maklumat. Namun, kami yakin pasti ada saksi semasa kejadian memandangkan lokasi kejadian terletak di kawasan yang agak sibuk dengan laluan orang ramai.

“Jika saksi kejadian ini mengambil sikap berdiam diri, ini satu keputusan yang amat dikesali kerana kita hidup bermasyarakat perlu, prihatin satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat dua beradik itu di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Menurutnya, daripada maklumat awal mangsa, mereka diragut oleh dua remaja lelaki yang menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran.

“Daripada maklumat itu, kami yakin penjenayah terbabit merupakan antara penjenayah yang berpengalaman dan ini bukanlah kegiatan pertama mereka,” katanya.

Menurutnya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Akibat tindakan nekad dua beradik mengejar peragut yang melarikan beg tangan mereka membawa padah apabila motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu, kira-kira jam 8.30 pagi.

Dalam kejadian itu, Maleha Malik, 25, hampir putus tangan kanan dan luka pada bahagian badan manakala adiknya, Maizatul Akmal Malik, 22, dilaporkan koma sementara seorang penunggang motosikal lain berumur 30-an turut mengalami kecederaan parah dan dirawat di hospital sama.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dilaporkan stabil.

Khairina Dapat Sambung Belajar Sains Tambahan di LSE

Menteri Besar berbual mesra dengan dua pelajar cemerlang SPM 2008, Lau Jia Cheng dan Khairina Abdullah. -Foto: SHUHAIMI AHMAD.

Pelajar cemerlang yang memperoleh 14 A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Khairina Abdullah, 19, kini ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Tambahan di London School Of Economic (LSE), London.

Tawaran itu sangat berharga buat diri dan keluarganya yang sememangnya tidak jemu-jemu memberi sokongan dan kata-kata semangat supaya terus cemerlang mencapai kejayaan seperti yang diimpikan.

Beliau yang sememangnya mempunyai minat mendalam terhadap mata pelajaran Matematik dan Ekonomi mengharapkan kejayaan demi kejayaan ditempa ini menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain, termasuk adiknya Khairani, 11 yang masih belajar untuk turut cemerlang.

Beliau yang tinggal di Kampung Rhu Renggeh cukup bertuah kerana pelajarannya di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, Selangor dengan mengikuti Program Persediaan Pelajar (A level), ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Terengganu.

Beliau berkata, dia berasa bangga kerana dilahirkan sebagai anak jati Terengganu kerana pelbagai bantuan dihulurkan kerajaan negeri tanpa mengira pangkat dan keturunan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri sanggup mengeluarkan belanja sehingga jutaan ringgit semata-mata ingin melihat pelajar di negeri ini terus menempa kejayaan sekaligus menjulang nama.

Katanya, pelbagai program dan jenis bantuan diwujudkan bagi merealisasikan impian itu selain menambah dan mengubahsuai infrastruktur bertujuan memberi semangat dan keselesaan kepada pelajar.

“Pelajar sewajarnya bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang cakna mengenai pendidikan dengan menghulurkan pelbagai bantuan termasuk sokongan moral dan kewangan.

“Jika cemerlang, mereka tidak perlu risau berikutan kerajaan negeri sedia membantu sehingga ke peringkat universiti termasuk luar negara,” katanya pada satu majlis baru-baru ini .

Unit Komunikasi Negeri

MBKT Pergiat Usaha Pesalah Langsai Saman Trafik

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang mempergiat usaha bagi menggalak pengguna jalan raya yang melanggar peraturan letak kereta dan trafik tampil melangsaikan saman mereka.

Setiausaha MBKT, Haji Samiun Salleh berkata, selain memberi tawaran diskaun pada tempoh tertentu, pihaknya turut membuka kaunter pembayaran saman di kawasan tumpuan orang ramai seperti hentian pengangkutan awam dan pasar raya.

Katanya, hampir 10,000 saman dan kompaun berkaitan kesalahan itu dikeluarkan setiap bulan, tetapi hanya separuh saja yang menyelesaikannya.

"Daripada aduan yang kita terima, kebanyakkan mereka tidak ada masa yang sesuai untuk tujuan itu hingga menyebabkan saman itu tertunggak dalam tempoh yang lama," katanya ketika dihubungi Teganukita di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Tambah Samiun, MBKT menyasarkan kutipan tempat letak kenderaan termasuk pembayaran saman sebanyak RM5.5 juta menjelang hujung tahun ini iaitu pertambahan RM1.5 juta berbanding tahun lalu.

Menurutnya, pertambahan hasil itu bagi membolehkan lebih banyak kemudahan disediakan untuk kelselesaan warga bandar serta menampung perbelanjaan penyelengggaraan yang semakin meningkat saban tahun.

Sementara itu katanya, MBKT menyediakan 1,000 petak parkir baru pada tahun ini iaitu 500 petak di Pulau Warisan, 300 petak di Kampung Cina dan selebihnya di Jalan Batas Baru yang menggunakan sistem letak kenderaan automatik bertingkat.

Mengenai tempat letak kenderaan automatik yang dikatakan kurang mendapat sambutan, Samiun memberitahu, perkara itu adalah biasa kerana apabila teknologi baru mula diperkenalkan, ia agak asing kepada pengguna tempatan.

"Walaupun ada yang meragui tahap keselamatan serta cara pengendalian parkir automatik itu, kita yakin hal itu tidak berlarutan dalam tempoh yang lama kerana pengguna perlukan masa untuk berasa yakin dengan kemudahan itu.

"Namun begitu, pihak MBKT turut menjalankan promosi penggunaan parkir itu kepada pengguna di premis perniagaan, bank serta pejabat kerajaan sekitar kawasan berkenaan," ujarnya.

Unit Komunikasi Negeri

Kes Ragut - Pelatih RTM, Adik Cedera Diragut

Baru lima hari dua beradik cedera diragut di Terengganu, kisah hampir sama berlaku semalam, apabila dua lagi beradik menjadi mangsa ragut lelaki bermotosikal di bulatan Kampung Kota, dekat Kota Bharu.

Kejadian pukul 8.30 pagi itu berlaku ketika kedua-duanya dalam perjalanan untuk menjalani latihan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan sebuah syarikat perunding.

Mangsa Siti Farizat Mustapha, 22, cedera dan terpaksa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) manakala kakaknya, Siti Sariza, 23, menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Siti Sariza berkata, ketika kejadian, dia dan adiknya yang dalam perjalanan dengan motosikal tiba-tiba dihampiri dua lelaki juga bermotosikal yang dengan pantas meragut beg tangannya.

"Selepas diragut, saya gagal untuk mengawal motosikal sehingga menyebabkan kami berdua terjatuh dan adik saya tersungkur," ketika ditemui pemberita di wad kecemasan HRPZ II semalam.

Siti Sariza ialah pelatih di RTM di Wakaf Che Yeh manakala adiknya yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang membuat latihan praktikum di sebuah syarikat perunding di Telipot.

Dalam kejadian di Kuala Terengganu, 30 Julai lalu, dua beradik cedera dalam nahas ketika mengejar peragut di sini. Mangsa, Maleha Malik, 24, hampir putus tangan kanan manakala adiknya, Maizatul Akmal, 23, pula koma di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Siti Sariza yang juga pelajar tahun akhir Universiti Utara Malaysia memberitahu, ekoran kejadian itu dia kehilangan wang tunai RM120, dokumen penting seperti kad pengenalan, kad bank dan telefon bimbit.

Sementara itu, adik mangsa Siti Farizat berkata, kejadian tersebut berlaku dengan pantas.

"Apa yang saya ingat, kakak menjerit dan meminta saya memberhentikan motosikal. Lepas itu saya tak ingat apa yang berlaku.

"Sedar-sedar saya sudah berada di dalam ambulans," ujarnya yang mengalami kecederaan di muka, tangan dan lulut serta sakit pada bahagian kepala.

Dalam pada itu, Ketua Balai Polis Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

Terengganu Akan Laksana Penanaman Kelapa Mantaq, Pandan

Kerajaan Terengganu akan melaksanakan projek penanaman kelapa mantaq dan kelapa pandan melibatkan kawasan seluas 200 hektar di Kampung Kubang Puyu di Setiu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Asha'ari Idris berkata, projek penanaman 26,000 batang pokok itu disertai 25 peserta dan akan dijalankan secara berperingkat bermula akhir tahun ini.

"Fasa pertama tanaman itu seluas kira-kira 100 hektar akan bermula akhir tahun ini manakala selebihnya akan ditanam tahun depan," katanya kepada Bernama semalam.

Asha'ari berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1 juta untuk kerja-kerja membersih kawasan dan menyediakan kemudahan asas bagi projek tersebut.

Beliau berkata, pemilihan kelapa mantaq adalah untuk penghasilan santan kerana isinya tebal, manakala kelapa pandan pula untuk pasaran air kelapa muda.

Katanya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan industri asas tani bagi mendapatkan benih kelapa mantaq memandangkan benih tanaman itu dikawal kementerian berkenaan.

"Benih kelapa pandan tidak menjadi masalah, kita boleh dapat di mana-mana sahaja untuk menjayakan projek ini," katanya.

Asha"ari berkata, kelapa mantaq mahupun kelapa pandan biasanya akan mengeluarkan hasil dalam masa tiga tahun selepas ditanam.

Beliau berharap pelaksanaan projek itu akan sedikit sebanyak membantu mengatasi masalah kekurangan kelapa di Terengganu, terutamanya pada musim-musim perayaan selain mengatasi masalah kemiskinan di daerah itu.

Sarbani Tak Dibunuh Atau Bunuh Diri, Diklasifikasikan Mati Mengejut

Mahkamah semalam diberitahu bahawa kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed, tiada unsur dibunuh atau membunuh diri sebaliknya diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

ASP Zuhairi Mohamed, pegawai penyiasat kes Ahmad Sarbaini berkata, beliau percaya punca kematian Ahmad Sarbaini disebabkan beliau terjatuh dari tempat tinggi.

Katanya, kesimpulan itu dibuat berdasarkan keterangan 57 saksi, termasuk pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, kastam, pakar patologi, pegawai forensik, ahli kimia, anggota polis, anggota keluarga dan rakan allahyarham.

Zuhairi, 46, yang bertugas di Bahagian Siasatan Perundangan dari Ibu pejabat Polis Daerah Cheras menyatakan demikian pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Zuhairi berkata sampel cat yang ditemui pada seluar mangsa juga berpadanan dengan dinding tingkap di bilik pantri, aras tiga bangunan SPRM Wilayah Persekutuan, yang dipercayai mangsa terjatuh.

"Ada sebab dan akibat kenapa mangsa (Ahmad Sarbaini) keluar dari tingkap bilik pantri berkenaan, tetapi sehingga ke hari ini saya tidak mendapat jawapan dan tiada keterangan daripada mana-mana saksi yang nampak mangsa berbuat demikian," katanya.

Ustaz Tertoreh Kepala Pelajar Ketika Bergelut?

Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Marang cedera di kepala selepas tertoreh pisau yang dipegang seorang ustaz dalam kejadian tengah hari semalam.

Akibat kejadian 12 tengah hari itu, Mohd Hafirza Mujahid menerima lima jahitan di sebelah kiri kepalanya, manakala guru berusia 55 tahun tersebut ditahan polis kira-kira 12 jam kemudian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata kejadian dipercayai berlaku apabila pelajar itu melanggar arahan guru lelaki tersebut yang tidak membenarkannya keluar kelas ketika dia sedang mengajar.

Berang dengan perbuatan pelajar itu, ustaz terbabit menjejaki Mohd Hafirza sambil tangannya memegang sebilah pisau kecil, katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.

"Guru itu akhirnya menjumpai pelajar berkenaan di sebuah kelas lain dan ketika cuba menarik tangan pelajar tersebut untuk kembali ke kelas, berlaku sedikit pergelutan menyebabkan pisau yang dipegang guru itu secara tidak sengaja telah tertoreh kepala pelajar terbabit," katanya.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, ibu mangsa Zawiyah Ibrahim, 49, yang ditemui pemberita, berkata beliau kecewa dengan tindakan yang dilakukan oleh guru terbabit.

"Kalau boleh, saya tidak mahu lagi ustaz terbabit mengajar di sekolah berkenaan kerana risau peristiwa yang terjadi kepada anak saya akan berulang kepada pelajar lain," katanya.

Insentif Kepada Pelajar STPM Wajar Diberi Awal - Syed Anuar

Gambar Fail - Menteri Besar Menyampaikan Insentif Untuk Pelajar Tingkatan Enam 10 Ogos tahun lalu di Wisma Darul Iman.

Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menghargai langkah kerajaan negeri yang terus menyediakan insentif RM1,000 kepada pelajar tingkatan enam, namun menyarankan agar pengagihan dibuat lebih awal.

Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, pengagihan insentif tersebut wajar dilakukan seawal Februari atau Mac bukannya pada Ogos seperti dilaksanakan sekarang.

Menurutnya, pengagihan lebih awal memberi banyak ruang kepada pelajar untuk merancang perbelanjaan persekolahan mereka menjelang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bakal diduduki.

"Kita sanjung tinggi usaha kerajaan negeri beri insentif RM1,000 kepada setiap pelajar tingkatan enam, tapi kerajaan kena kaji juga supaya bantuan itu diberi lebih awal.

"Contohnya tahun ini ia diberi pada bulan puasa (Ogos) sedangkan pada 11 Ogos ini, calon STPM akan menduduki peperiksaan percubaan dan masa terlalu suntuk untuk mereka buat persiapan termasuk membeli buku dan bahan rujukan lain," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau mengulas langkah kerajaan negeri memberi insentif RM1,000 kepada lebih 2,000 pelajar tingkatan enam dalam usaha meningkatkan kecemerlangan akademik di Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, kesemua pelajar berkenaan dijangka menerima insentif tersebut pada satu majlis yang dijangka diadakan dalam bulan Ramadan ini.

Syed Anuar seterusnya mengingatkan pelajar berkenaan supaya memanfaatkan insentif itu dengan sebaiknya sebagai persediaan menghadapi STPM tidak lama lagi.

Beliau berharap mereka tidak membelanjakan wang tersebut untuk membeli persiapan puasa dan Hari Raya Aidilfitri kerana ia telah menyimpang daripada matlamat asal.

Sejak diperkenalkan pada 2008, seramai 8,486 pelajar tingkatan enam menerima insentif itu daripada kerajaan negeri membabitkan peruntukan RM8.4 juta.

57 pelatih PLKN di Terengganu Bakal Berhadapan Tindakan

Tindakan yang lebih tegas bakal dikenakan terhadap 57 orang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dari Terengganu kerana gagal menghadirkan diri pada program itu bagi Siri 6/2009.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata daripada jumlah itu, 31 kes dilaporkan berlaku di Kuala Terengganu, tujuh (Kemaman), 11 (Dungun), lima (Besut) dan tiga (Hulu Terengganu).

"PLKN memandang serius perkara ini dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 18 (1), Akta Latihan Khidmat Negara 2007," katanya kepada pemberita.

Manoharan berkata, pihaknya akan mengkaji punca sebenar pelatih gagal menghadiri program berkenaan.

"Saya berharap mana-mana pelatih yang tidak hadir pada siri 6/2009 supaya datang ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan pihak kami," katanya.

Mengulas mengenai kes pemasangan kamera litar tertutup di dalam tandas pelajar perempuan di sebuah Sekolah Menengah di Kemaman Ahad lalu, beliau berkata, polis percaya perbuatan itu dilakukan oleh pelajar.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh hak peribadi.

"Kita percaya kamera yang dipasang ini jenis mudah didapati dengan harga tidak lebih RM100. Namun kita yakin suspek terbabit belum sempat untuk melihat rakaman itu memandangkan ia tersimpan dalam kad memori yang sudah dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

CUEPACS Minta Bonus 2 Bulan Untuk Penjawat Awam

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sekali lagi meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam tahun ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berharap kerajaan dapat menyediakan bonus sebulan sebelum sambutan Hari Raya dan sebulan bonus selepas sambutan perayaan itu.

Beliau berkata, CUEPACS sudah memohon secara rasmi melalui surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dua bulan lalu dan mengharapkan berita baik itu diumumkan tidak lama lagi.

"Sudah dua tahun penjawat awam tidak mendapat bonus sejak 2008 dan adalah diharapkan tahun ini kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus tersebut sebelum dan selepas Hari Raya bagi mengurangkan beban kewangan," katanya kepada pemberita semalam.

Sebelum ini, CUEPACS beberapa kali membuat permohonan kepada kerajaan agar mempertimbangan pemberian bonus tersebut selepas ia sendiri menerima banyak permintaan dari penjawat awam agar mereka mendapat bonus.

Beliau juga berkata, pemberian bonus bukan setakat sehingga gred 54 sahaja tetapi kepada keseluruhan penjawat awam.

Bagaimanapun, ia terserah kepada kebijaksanaan dan kemampuan kerajaan untuk memutuskannya dan CUEPACS berharap agar ia dapat dipertimbangkan kerana keadaan ekonomi negara yang semakin menyakinkan.

Sementara itu, CUEPACS berhasrat untuk mengadakan perbincangan bersama kerajaan mengenai Skim Pencen Bercarum (SPB) yang dijangka akan dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata, walaupun CUEPACS sebulat suara menolak pelaksanaan skim itu, mereka tetap bersedia untuk berbincang dengan harapan kerajaan dapat menawarkan penambahbaikan yang mampu memberi kebaikan kepada keseluruhan penjawat awam.

"Perbincangan ini untuk kerajaan mendengar apa sebenarnya pandangan CUEPACS, kenapa CUEPACS menolak SPB," katanya.

CUEPACS sebagai badan tertinggi yang mewakili sektor awam tetap dan berpencen mendakwa bahawa skim itu tidak menguntungkan terutamanya kepada generasi baru sektor awam.

Thursday, August 4, 2011

Orang Asli - Kerajaan Terengganu Anjur Kem Pemantapan Solat

Pengajar memberi penerangan mengenai solat pada Kem Pemantapan Solat Murid Orang Asli di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Kerajaan negeri Terengganu menerusi agensi-agensi pelaksana sentiasa berusaha memainkan peranan serta tanggungjawab dalam melaksanakan pelbagai bentuk pembangunan untuk segenap lapisan masyarakat.

Tanpa mengira golongan dan di mana sahaja mereka berada, mereka cuba ditarik bersama agar tidak terus terpinggir dan dapat menikmati bersama arus perubahan termasuk aspek sahsiah diri dan pembangunan modal insan.

Tidak ketinggalan masyarakat Orang Asli di mana mereka turut diajak menjalani suasana kehidupan lebih baik dengan penyediaan rumah, pemberian tanah dan juga peluang belajar seluas-luasnya.

Pendidikan menjadi asas paling penting dan mereka turut dibimbing untuk menghayati kehidupan Islam dengan penerapan kefahaman dan kesedaran bermula di peringkat awal.

Ini termasuklah melalui Kem Pemantapan Solat Murid Orang Asli yang dianjurkan oleh Yayasan Islam Terengganu (YIT) bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan terbaru diadakan di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu.

Program itu disertai seramai 109 murid Orang Asli yang terdiri daripada 58 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua, Hulu Terengganu dan 51 lagi murid SK Sungai Pergam, Kemaman.

Kunjungan mereka itu yang dibawa menaiki dua buah bas turut diiringi lapan guru SK Sungai Berua serta enam guru SK Sungai Pergam, Kemaman juga memberi pendedahan lebih laus kepada mereka mengenai dunia luar.

Program dikendalikan seramai 20 orang fasilitator dari YIT yang diselia oleh Penyelia Pendidikan Swasta dan Khas JPNT, Natrah Wahah sambil dibantu Pengelola Dakwah YIT, Azizeh Mohamad.

Mereka diajar mengambil wuduk dengan betul sebelum dibawa masuk ke dalam masjid dan kemudian melalui fasilitor bertugas serta guru pengiring, mereka dibimbing asas solat.

Selain itu, mereka diajar membaca ayat al-Fatehah serta ayat-ayat lazim dan doa, disamping diberi kesedaran tentang kepentingan solat serta menanam perasaan cintakan Allah.

Walaupun kelihatan agak sukar untuk membentuk murid Orang Asli itu mempelajari dan mendalami asas solat, namun rata-rata mereka menunjukkan minat yang cukup menggalakkan.

Malah ada di antara mereka yang sudah dikira layak dilantik sebagai imam dalam solat jemaah di kalangan murid Orang Asli seperti Remmy Razak, 12, murid SK Sungai Berua, Hulu Terengganu.

Seperti kata Natrah, tujuan program seumpama itu diadakan antara lain untuk memberi pendedahan mengenai asas mendirikan solat di kalangan murid Orang Asli.

“Program ini juga untuk mendedahkan masyarakat Orang Asli khususnya pelajar sekolah kepada masyarakat dan persekitaran selain menyedari kepentingan mendirikan solat.

‘‘Solat menjadi asas kepada pegangan hidup beragama dan program sebegini akan terus diperluaskan.

Dalam pada itu, Azizeh pula berkata, pihaknya sedang berusaha untuk membawa masyarakat Orang Asli terutamanya kalangan murid sekolah agar keluar daripada kepompong kehidupan lama mereka.

Sebaliknya jelas beliau, komuniti itu akan didedahkan kepada pelbagai pemodenan yang diamalkan masyarakat lain agar mereka dapat menerima kemajuan termasuk aspek keagamaan dan beribadat.

Menurutnya, selain program kem pemantapan solat yang pertama kali diperkenalkan, YIT dengan kerjasama JPNT turut menjayakan beberapa program lain untuk meningkatkan kepercayaan mereka kepada Islam dan Allah sebagai tuhan.

Antaranya, kempen kebersihan di kalangan masyarakat Orang Asli di Sungai Berua, Hulu Terengganu pada tahun lalu untuk menyemai semangat cintakan kebersihan.

"Kita akui agak sukar untuk membimbing mereka apatah lagi dalam usaha memberi penghayatan mengenai Islam, tapi alhamdulillah, dari semasa ke semasa mereka menampakkan kemajuan," ujarnya.

Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa, YIT bersama JPNT akan meneruskan pemantauan selain menjayakan pelbagai program kecaknaan dan bimbingan kepada masyarakat tersebut agar mereka bersedia menerima kehidupan Islam dan cintakan agama.

Utusan Malaysia

Mydin Komited Tingkat Bimbing 27 Pekedai Runcit di Terengganu

Mydin Mohamed Holdings Bhd komited untuk membimbing lebih banyak pekedai runcit menerusi program Projek Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) tahun depan berbanding hanya 100 sekarang jika diberikan peluang.

Mydin diberi tanggungjawab untuk melakukan transformasi semua 100 peruncit di empat negeri iaitu Melaka sebanyak 13 kedai yang sudah berjaya ditransformasi, Pahang (dua), Terengganu (27) dan Kelantan, lapan kedai.

Bagi baki 50 kedai lagi, kami memberi tumpuan kepada peruncit di Pahang dan Kelantan yang kebanyakannya masih dalam proses untuk disiapkan.

Pengurus Kanan Ibu Pejabat Mydin Mohamed Holdings Bhd, Norman Rajen Abdullah, berkata bagaimanapun ia tertakluk kepada kemampuan kewangan syarikat itu serta persetujuan kerajaan.

Katanya, sehingga kini Mydin sudah membelanjakan kira-kira RM3.5 juta untuk mengubah 50 kedai runcit bimbingannya menerusi projek itu dan akan melaksanakan 50 lagi sehingga akhir tahun ini.

“Daripada jumlah itu, setiap kedai menerima peruntukan RM70,000 dengan RM20,000 diperuntukkan untuk khidmat 10 kakitangan kami yang dipinjamkan di kedai itu selama antara 10 hari ke dua minggu.

“Kakitangan kami bertanggungjawab membantu dari segi susun atur barangan, khidmat nasihat pemodenan dan latihan peruncitan yang jika peroleh daripada pihak luar, kosnya bersamaan atau lebih RM20,000,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Katanya, selebihnya pula digunakan sebagai pusingan modal untuk peruncit memperoleh bekalan barangan daripada Mydin sendiri dengan maksimum adalah sehingga RM50,000.
“Ini adalah inisiatif kami untuk membantu peruncit kerana tiada guna memodenkan kedai tapi kekurangan bekalan barangan selain mereka turut dibenarkan untuk membayar semula secara ansuran dalam tempoh 12 bulan dan tidak dikenakan sebarang faedah.

“Sejak diubah, semua peruncit di bawah kami menunjukkan peningkatan dari segi jualan dan pendapatan iaitu antara 30 peratus ke 100 peratus,” katanya.

Warga Emas Tinggal Sehelai Sepinggang Rumah Hangus Dijilat Api

Hasrat seorang warga emas untuk membuat persiapan hari raya dengan menggunakan wang zakat dan pampasan kemalangan yang diterimanya minggu lepas tidak kesampaian setelah rumah yang didudukinya di Kampung Sedang, Bukit Tunggal, hangus terbakar Rabu malam.

Nik Fatimah Embong, 62, yang tinggal bersama empat anak berusia antara 21 dan 30 tahun serta empat cucu berusia dua bulan hingga tiga tahun, dilaporkan menghidupkan api pelita untuk mengaji al-Quran di salah sebuah bilik di rumah itu kira-kira 8.30 malam.

Bagaimanapun api pelita itu secara tiba-tiba terpercik sebelum menyambar papan lantai rumah dan marak dengan cepat.

"Saya cuba memadam api dengan mengambil kain langsir, bagaimanapun tidak berjaya malah menyebabkan api semakin marak," katanya kepada pemberita di tapak rumahnya di hari ini.

"Saya sedih kehilangan segala yang kami miliki termasuk harta benda dan persiapan untuk menyambut Aidilfitri, tetapi bersyukur kesemua anak dan cucu selamat," katanya.

Akibat kebakaran itu, dia kini tinggal sehelai sepinggang dan mengalami kerugian kira-kira RM200,000 termasuk duit zakat RM350 dan duit pampasan RM3,000 yang baru diterimanya.

Sementara Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Kamerul Bieza Mohamad Kassim yang dihubungi, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam tentang kejadian itu pada jam 8.35 malam.

Katanya empat jentera bersama 22 anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan dan berjaya mengawal kebakaran lima minit kemudian.

Beliau berkata punca kebakaran masih disiasat namun tidak menolak kemungkinan api pelita yang dipasang di salah sebuah bilik di rumah itu sebagai penyebabnya.

812 PATI Mendaftar di Terengganu Sejak Hari Pertama

Sejumlah 127,049 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah didaftarkan melalui 197 pejabat Imigresen dan 336 syarikat pengurus sejak hari pertama pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) yang bermula Isnin lalu.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Alwi Ibrahim berkata Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan jumlah pendaftaran PATI paling tinggi iaitu 5,306 orang, Selangor (4,822), Perak (4,295), Kedah (4,026), Negeri Sembilan (3,021), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2,783), Pulau Pinang (2,395), Johor (2,346), Pahang (1,849), Melaka (977), Terengganu (912), Kelantan (793), Perlis (394) dan Wilayah Persekutuan Labuan (54).

"Berhubung statistik terkumpul bagi Program Pendaftaran Pekerja Asing Sah, sejumlah 733,662 telah direkodkan sehingga semalam, yang berdaftar menerusi pejabat Imigresen, atau 61 peratus daripada keseluruhan 1.2 juta pekerja asing di negara ini.

"Jumlah itu tidak termasuk sektor pembantu rumah," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Katanya Sabah yang telah memulakan pendaftaran PATI lebih awal iaitu bermula 18 Julai lalu, negeri itu telah merekodkan 137,217 orang dan usaha itu akan diteruskan sehingga Isnin depan.

Beliau berkata Sarawak yang mula mendaftarkan pekerja asing sahnya bermula Isnin lalu, sehingga tamat operasi semalam, sejumlah 8,311 direkodkan menerusi 28 kaunter Pejabat Imigresen di 11 Bahagian seluruh Sarawak.

Kuih Tradisional Dapat Sambutan Di Bazar Ramadan

Ulat bulu, locong, menganang telur dan pukat buruk, mungkin nama-nama itu kedengaran agak pelik dan ramai tertanya-tanya apakah benda tersebut.

Namun sebenarnya ia bukan sejenis ulat mahupun alat menangkap ikan sebaliknya antara nama-nama kuih tradisional yang agak jarang dikenali dan banyak dijual di bazar Ramadan di Terengganu sepanjang bulan puasa ini.

Peniaga bazar Ramadan, Rohayu Alias, 26, berkata setiap tahun beliau menjual kuih-muih pada bulan puasa dan antara kuih yang dijual termasuk kuih menganang telur yang diperbuat daripada tepung gandum dan telur.

"Kebiasaannya saya menjual kuih baulu, namun pada bulan puasa kuih menganang telur ini lebih mendapat sambutan dan mendapat permintaan yang tinggi.

"Dalam sehari, saya boleh jual 300 biji menganang dengan harga sebiji RM2.50 malah saya boleh balik sebelum waktu berbuka kerana kuih sudah habis dijual," katanya yang menjual di Bazar Ramadan Batu Buruk sejak dua tahun yang lalu.

Sementara itu, seorang lagi penjual kuih, Nur Masjidil Aina Wahab, 36, berkata selain kuih karipap, apam, dan seri muka, kuih tradisional seperti kuih ulat bulu turut laris dijual kerana keunikan dan keenakan rasanya.

Kuih ulat bulu diperbuat daripada campuran tepung pulut dan tepung pulut hitam manakala bentuknya seperti kuih onde-onde tetapi berbentuk seperti ulat bulu.

Beliau berkata kuih itu boleh didapati dalam pelbagai warna seperti hijau, hitam dan coklat malah terdapat juga inti kacang merah di dalam kuih itu.

Selain kuih tempatan, terdapat juga kuih baru yang jarang ditemui seperti kuih tradisional dari Thailand iaitu kuih Locong.

Menurut penjualnya, Ibrahim Abu Bakar, 42, beliau mendapat bekalan kuih itu daripada seorang temannya berasal dari Thailand yang sudah lama menetap di Terengganu dan menjualnya dengan harga RM1.50 sebungkus.

"Kuih ini diperbuat daripada debu sagu dan air gula di dalamnya terdapat buah kabung atau nangka.

"Cara untuk memakannya ialah seperti cendol dengan berkuahkan santan. Makanan ini lebih sedap dimakan sejuk iaitu meletakkan ais bersama-sama santan sebelum dimakan," katanya.

Kata Ibrahim lagi, buat masa sekarang, hanya dia yang menjual makanan tersebut di Bazar Ramadan Shahbandar.

Beri Laluan Ambulans, Kereta Pegawai Bank Dirempuh

Kemalangan yang melibatkan tiga buah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Gong Kapas, Kuala Terengganu, semalam.

Akibat memberi laluan kepada ambulans di persimpangan lampu isyarat, seorang pegawai bank dan isterinya nyaris maut apabila kereta mereka dirempuh kenderaan lain di Gong Kapas semalam.

Kejadian berlaku pukul 11.30 pagi ketika mangsa, Mohd. Haslin Ibrahim, 34, dalam perjalanan dari arah Kampung Paloh untuk menghantar isterinya, Salina Salleh, 31, ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kuala Terengganu.

Salina ketika ditemui berkata, kereta Proton Waja yang dipandu suaminya itu berhenti di lorong paling kanan kerana lampu isyarat merah sebelum sebuah ambulans muncul dari arah belakang sambil membunyikan siren.

Ketika itu, katanya, suaminya segera membelok ke kiri untuk memberi laluan namun tiba-tiba, sebuah kereta Perodua MyVi dari sebelah kiri terus melanggar kereta pasangan itu.

"Kereta kami kemudian terbabas sehingga merempuh sebuah Proton Wira di arah bertentangan yang turut berhenti kerana lampu isyarat merah, sementara MyVi berkenaan melanggar tiang lampu isyarat," katanya ketika ditemui di semalam.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana kesemua mangsa yang terlibat tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan siren kecemasan sama ada ambulans, polis atau bomba.

"Pemandu harus berwaspada dengan siren kecemasan tidak kira ambulans atau bomba bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya.

Atlet Berbasikal Jalani Latihan di Chiang Mai

Skuad berbasikal lebuhraya negara kini menjalani latihan di Chiang Mai, Thailand sebagai persiapan bagi menghadapi Sukan SEA, Indonesia 2011 yang dijadualkan berlangsung pada November nanti.

Pengarah Cawangan Elit Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Arrifin Mohd Ghani berkata seramai 33 orang atlet negara terdiri daripada atlet elit dan pelapis serta beberapa atlet negeri Terengganu bertolak ke Chiang Mai pada Isnin (1 Ogos) dan akan menjalani latihan selama 28 hari di sana.

"Saya fikir atlet berbasikal kita tidak akan mempunyai masalah walaupun terpaksa menjalani latihan dalam bulan Ramadan kerana kebanyakan daripada mereka terdiri daripada atlet yang berpengalaman.

"Lagipun kita ada menghantar bersama pegawai pemakanan dari Institut Sukan Negara (ISN) bagi menjaga diet pemakanan atlet sepanjang berada di sana,” katanya kepada Bernama di semalam.

Arrifin berkata MSN dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memilih Ching Mai kerana bentuk lebuhraya dan geografinya hampir sama dengan Indonesia.

PHLNT Batal Jadi Tuan Rumah Hoki Bawah 14 Tahun Kebangsaan

Hasrat Terengganu untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Hoki Bawah 14 Tahun Kebangsaan pada November ini mungkin tidak kesampaian berikutan masalah padang dan stadium.

Setiausaha Persatuan Hoki Lelaki Negeri Terengganu (PHLNT) Sabri Salleh berkata masalah itu mungkin mengakibatkan kejohanan itu dipindahkan ke Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Selangor.

"Kita amat terkilan kerana tidak dapat menganjurkan kejohanan itu walaupun Persatuan Hoki Malaysia telah memberi mandat kepada kita untuk menjadi tuan rumah sebelum ini," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu, hari ini.

Sabri berkata PHLNT amat berhasrat untuk menganjurkan kejohanan itu memandangkan ia belum pernah diadakan di Terengganu sebelum ini.

Beliau berkata Stadium Hoki Kuala Terengganu di Batu Buruk yang dicadangkan menjadi gelanggang utama menghadapi masalah lampu limpah manakala gelanggang kedua berhampiran Stadium Sultan Mizan di Gong Badak juga tidak boleh digunakan kerana masalah sistem semburan air di padang.

Oleh itu, Sabri berkata PHLNT mengambil keputusan membatalkan hasrat menjadi tuan rumah dan menyerahkan kembali kepada PHM untuk menentukan lokasi baru

Guru Terbunuh Selepas Balik Mengajar Di Sungai Tong

Orang ramai melihat kereta yang dipandu seorang guru, Ahmad Yusrizal Yusoff, 30, dari SK Langkap, Setiu yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki minyak kelapa sawit di kilometer 54 Jalan Kuala Terengganu - Jerteh di Setiu, semalam.

Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Langkap, Setiu terbunuh setelah kereta yang dipandunya berlanggar dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 54 Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Sungai Tong petang semalam.

Mangsa Ahmad Yusrizal Yusof, 30, mati di tempat kejadian setelah cedera parah di bahagian muka dan badan akibat perlanggaran tersebut yang berlaku kira-kira pukul 1.35 petang.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Rohaizat Mohd Ani berkata ketika kejadian mangsa sedang memandu kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan untuk mengambil isterinya Azlina Mohd Razali yang mengajar di SMK Sungai Tong setelah habis mengajar.

Katanya, kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan terbabas di satu selekoh tajam sebelum berlanggar secara berhadapan dengan lori tangki minyak kelapa sawit yang dalam perjalanan ke Kota Baharu.

Rohaizat bagaimanapun memberitahu maklumat pemandu lori tangki itu belum diperoleh tetapi difahamkan hanya mengalami cedera ringan.

"Ahmad Yusrizal sering berulang ke sekolahnya dari rumahnya di Kuala Terengganu itu meninggal dunia di tempat kejadian," kata Rohaizat ketika dihubungi Bernama.

Kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan lalulintas termasuk kumpulan Konvoi Kembara Merdeka yang dalam perjalanan ke daerah Besut untuk menyertai satu program berbuka puasa di Masjid As Solihin dekat Padang Luas, Jerteh.

Majlis Kebudayaan Politeknik Bakal Ditubuh

Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, Terengganu terpilih untuk menjadi tuan rumah Festival Kebudayaan dan Warisan Politeknik Malaysia (FKWPM) kali kedua tahun depan.

Festival julung-julung kalinya diadakan diPoliteknik Ungku Omar (PUO) di Ipoh baru-baru ini dengan jayanya.

Kesungguhan pelajar menjayakan FKWPM yang julung-julung kali diadakan itu wajar dibanggakan.

Bukan sekadar memuji, namun rata-rata peserta yang menyertai pertandingan lagu rakyat misalnya adalah terdiri daripada pelajar jurusan kejuruteraan.

Meskipun tidak mempunyai sebarang jurutari tetap mahupun latar belakang dalam bidang seni, namun kemeriahan FKWPM dalam mengangkat martabat budaya nyata jelas terserlah.

Justeru, Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Md. Nor Yusof sewaktu berucap pada festival tersebut, mencadangkan penubuhan Majlis Kebudayaan Politeknik sebagai platform mengasah bakat pelajar dalam bidang keseniaan.

"Majlis ini bertujuan untuk menyelaraskan serta mengggalakkan aktiviti-aktiviti berbentuk seni budaya dan kreatif selain meningkatkan kemahiran insaniah di kalangan pelajar.

"Ia akan bergerak seiring dengan Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (Makum) di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)," katanya.

Makum yang telah ditubuhkan di bawah Sekretariat Jawatankuasa Timbalan - Timbalan Naib Canselor/Timbalan Rektor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni IPTA telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan serta Yayasan Warisan Johor.

Dalam pada itu, Md. Nor berkata, penganjuran FKWPM bakal dijadikan sebagai acara tahunan dalam kalendar Jabatan Pengajian Politeknik.

Wednesday, August 3, 2011

Perlombongan, Kilang Besi Bawa Kesan Besar Pembangunan, Pekerjaan

Selain menyediakan 3,000 pekerjaan, Perwaja turut meneroka teknologi dan idea baru bagi membaiki pengeluaran dan menurunkan kos operasi bagi membolehkan produk syarikat terbabit bersaing di arena antarabangsa. Perwaja berusaha menghasilkan bijih besi mentah dalam bentuk pelet memandangkan harga bahan mentah dalam bentuk pelet meningkat setiap tahun.- Pengerusi Eksekutif Perwaja, Tan Sri Abu Sahid Mohamed


Analisis oleh Hambali Abdul Latiff

Banyak pihak memberikan pandangan dan reaksi positif dari segi usaha kerajaan negeri meneroka sumber ekonomi yang boleh dianggap baru di Terengganu iaitu bijih besi.

Walaupun kegiatan melombong besi bukan baru, khususnya di Bukit Besi, Dungun, namun dengan keyakinan kerajaan negeri untuk melaksanakan pendekatan baru bagi menjayakan aktiviti ini, ia dijamin membawa kesan ekonomi yang besar dalam konteks pembangunan negeri, swasta dan rakyat.

Berdasarkan kajian awal, pembukaan semula lombong dan diikuti kilang memproses keluli akan mendatangkan pendapatan penting kepada Terengganu pada masa hadapan, selain dianggap berpotensi besar dalam mewujudkan pekerjaan.

Dengan keputusan Perwaja Holdings Bhd membina kilang pemekatan dan pempeletan bijih besinya sendiri di Teluk Kalong, Kemaman, Terengganu dijangka mencergaskan semula industri keluli tempatan.

Menurut Penganalisis Kanan MIDF Research, Syed Muhammad Kifni Syed Kamaruddin, antara manfaat untuk industri itu ialah mengurangkan pergantungan ke atas import pelet bijih besi.

Perwaja yang merupakan antara pengeluar terbesar produk keluli utama negara seperti bilet, membekalkan produknya secara terus kepada pengeluaran hiliran dalam pasaran tempatan dan luar negara, termasuk Timur Tengah.

OSK Research pula dalam laporannya berkata jika Perwaja memperoleh lesen perlombongan, ia boleh menjimatkan kos lebih daripada AS$100 setan bijih besi mentah.

Perkiraan itu adalan berasaskan pada harga semasa bijih besi mentah yang diimport pada AS$160 setan berbanding kos perlombongan tempatan yang mungkin kurang daripada AS$50 setan, katanya.

Sementara itu, kawasan yang telah dikenal pasti di Bukit Besi membabitkan perlombongan ialah seluas 97,124 hektar dan kerja pengukuran kawasan telah diserahkan kepada juruukur berlesen.

Mengikut kajian yang dilakukan pada 1921, terdapat kira-kira 100 juta metrik tan bijih besi di kawasan itu (Bukit Besi) dan selepas kerja melombong bijih besi oleh sebuah syarikat British, sehingga 1971, masih terdapat kira-kira 50 juta tan metrik lagi bijih besi bermutu tinggi di kawasan berkenaan.

Dengan keyakinan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mahukan kajian mendalam dilakukan di kawasan berkenaan, sambil melawat kawasan itu beberapa kali dan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak, termasuk dari China, kerajaan negeri benar-benar mahukan kerja melombong bijih ini menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

Sabtu lalu, Datuk Seri Ahmad Said merasmikan upacara pecah tanah Loji Concentration and Pelletizing Perwaja bersebelahan Perwaja Steel di kawasan perindustrian Telok Kalong di Kemaman sebagai menandakan bahawa kerajaan negeri sudah memulakan langkah ke arah menjadikan Bukit Besi dan Teluk Kalong sebagai kawasan kembar bagi industri melombong san memproses bahan berkenaan.

Perwaja Holdings Berhad sudah melabur RM400 juta bagi membina loji berkenaan yang mampu mengeluarkan sebanyak 1.2 juta tan metrik besi pilet bagi fasa pertama tahun depan dan 2.4 juta tan metrik bagi fasa kedua pada 2013.

Loji Consentration and Pelletizing adalah logi pertama di Asia Tenggara, dijangka siap pada Ogos atau September tahun depan dengan mampu menyediakan peluang pekerjaan sehingga 3,000 orang.

Pengerusi eksekutif Perwaja, Tan Sri Abu Sahid Mohamed menjelaskan, selain menyediakan pekerjaan, Perwaja turut meneroka teknologi dan idea baru bagi membaiki pengeluaran dan menurunkan kos operasi bagi membolehkan produk syarikat terbabit bersaing di arena antarabangsa.

Kerana itu pihaknya berusaha menghasilkan bijih besi mentah dalam bentuk pelet memandangkan harga bahan mentah dalam bentuk pelet meningkat setiap tahun.

Bagaimanapun bekalan bahan mentah atau pellet di seluruh dunia dikawal oleh sebilangan pembekal besar sahaja. Dengan kedudukan ini, harga bijih besi yang ditetapkan oleh pembekal besar ini sangat tidak menggalakkan operator seperti Perwaja

Kerana itu menurut Abu Sahid, Perwaja mengambil inisiatif memperkenalkan proses ‘beneficiation’ dan ‘pelletizing’. Ia adalah nilai tambah untuk mengolah besi mentah tempatan menjadi pellet.

Kerja mengolah besi mentah yang akan dilakukan di loji baru di Teluk Kalong itu akan membabitkan beberapa proses fizikal dan kimia dan Perwaja amat yakin teknologi baru ini boleh ditangani dengan mudah oleh pasukan kakitangan Perwaja.

Menteri Besar mengumumkan, selain Perwaja, terdapat beberapa syarikat lain memohon untuk menjalankan kerja melombong di Bukit Besi, tetapi sehingga ini kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan.

Hakikatnya, kerajaan negeri tidak bergantung kepada besi yang dihasilkan melalui lombong di Bukit Besi sahaja kerana terdapat beberapa kawasan lain seperti di daerah Kemaman yang dipercayai mengandungi kira-kira 25 juta tan metrik bijih besi yang masih belum diusahakan.

Memandangkan Perwaja bersedia untuk menyertai industri ini, syarikat itu berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan Terengganu untuk melombong bijih besi di Bukit Besi, Dungun.

Dengan Bukit Besi mempunyai simpanan sebanyak 50 juta tan metrik bijih besi, Perwaja melihat potensi itu sangat menguntungkan dan memudahkan bekalan untuk lojinya di Teluk Kalong.

Berikutan itu, Abu Sahid sudah mengemukakan cadangan permohonan lesen untuk melombong bijih besi itu sambil mengharapkan kerajaan negeri membuat pertimbangan.

Abu Sahid berkata pada Sabtu lepas, kilang baharu syarikat itu memerlukan dua juta tan bijih besi mentah setahun untuk beroperasi pada kapasiti maksimum untuk menghasilkan 1.2 juta tan pelet bijih besi apabila fasa pertama siap tahun depan.

Keperluan itu akan meningkat kepada empat juta tan bijih besi mentah setahun bagi mengeluar 2.4 juta tan pelet apabila fasa keduanya siap pada 2013.

Berdasarkan keperluan semasa operasi penuh, syarikat akan menjimatkan sehingga RM840 juta setahun, termasuk 20 peratus atau RM600 juta kos bahan mentah.

Abu Sahid berkata ia juga menyediakan bekalan dan harga yang stabil dalam pasaran tempatan, yang kini didominasi oleh tiga peserta antarabangsa utama.

Kepada Menteri Besar, kerajaan negeri bersedia menimbang untuk memberi kelulusan kepada Perwaja bagi kerja melombong bijih Besi di Bukit Besi untuk kegunaan syarikat itu yang kini dalam proses membina Loji ‘Concentration’ dan Pelletizing’ sendiri yang pertama di Asia Tenggara.

Pada dasar dan prinsipnya, Kerajaan Negeri telah bersetuju menimbang untuk bekerjasama bersama Perwaja bagi kerja mengeluarkan bijih besi itu di sebahagian kawasan di Bukit Besi.

Bagaimanapun katanya, ada beberapa syarikat lain yang juga akan diberikan peluang kerana kerajaan mahu membuat lebih baik daripada yang lain.

Dengan kata lain, kerajaan negeri tidak akan hanya mengeluarkan lesen semata-mata dan ia perlu memberi kebaikan kepada semua pihak.

Antara syarat yang akan dikenakan kerajaan negeri ialah syarikat berminat perlu mempunyai 60 peratus pekerja tempatan selain menjalankan kerja secara usahasama dengan kerajaan negeri.

Syarat ini dikenakan kerana bagi Menteri Besar, nikmat daripada Allah perlu ditadbir secara terbaik untuk kepentingan dan dirasai hasilnya oleh rakyat Terengganu dan bukan untuk kepentingan segolongan individu sahaja.

Walau dalam apa juga bidang pembangunan, termasuk dalam industri melombong dan memproses bijih besi ini, Datuk Seri Ahmad Said tetap meletakkan kepentingan dan cakna rakyat sebagai syarat utama.

Syarat dan langkah ini sengat bersesuaian dengan slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan yang digembleng kerajaan negeri ketika ini.

25 CCTV Baru Kesan Jenayah, Lalu Lintas di Bandaraya KT - Ahmad Said

Ahmad Said melawat mangsa ragut di ICU HSNZ Kuala Terengganu semalam. - Gambar Zulkipli Putra.

Kerajaan Negeri meluluskan permohonan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk memasang 25 CCTV baru di sekitar bandar raya ini bagi pelbagai tujuan, termasuk pemantauan lalu lintas dan mengesan kegiatan jenayah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata pihaknya berharap tambahan CCTV tersebut dapat membantu mengurangkan masalah jenayah di sekitar kawasan bandar Kuala Terengganu.

Pada masa ini MBKT sudah memasang 25 CCTV di sekitar bandar ini bagi tujuan yang sama.

Beliau turut meminta masyarakat tempatan tidak perlu takut memberi maklumat kepada polis jika mereka menjadi saksi kejadian jenayah, agar penjenayah dan mereka yang tidak bertanggungjawab itu didakwa mengikut saluran undang-undang yang ditetapkan.

Beliau menyatakan perkara itu selepas melawat dua mangsa ragut di Hospital Sultanah Nur Zahirah, petang semalam.

Sambil itu masyarakat tempatan perlu sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa mencegah jenayah dengan cara menyalur pelbagai maklumat yang diperlukan.

Ahmad Said berkata tujuannya ialah membolehkan mereka yang terlibat dengan jenayah dibawa ke muka pengadilan.

“Jika orang ramai tengok kes ragut misalnya, mereka perlu lapor kepada polis jika mereka cam nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan peragut,” katanya.

Maleha Abdul Malek dan adiknya, Mazida menjadi mangsa ragut dua hari lalu di mana kedua-duanya terlibat dalam kemalangan selepas mereka diragut.

Keadaan Maleha dilaporkan stabil, tetapi adiknya Mazida yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan masih belum sedarkan diri.

Kilang Bijih Besi Baharu Perwaja Akan Cergaskan Semula Industri Keluli

Keputusan Perwaja Holdings Bhd membina kilang pemekatan dan pempeletan bijih besinya sendiri di Kemaman, Terengganu dijangka mencergaskan semula industri keluli tempatan, kata seorang penganalisis industri.

Antara manfaat untuk industri itu ialah mengurangkan pergantungan ke atas import pelet bijih besi, kata Penganalisis Kanan MIDF Research, Syed Muhammad Kifni Syed Kamaruddin.

Perwaja juga mendapat keuntungan dari segi kos, katanya yang menambah, tiada perubahan boleh dijangkakan dari segi harga keluli memandangkan harga bahan itu mengikuti harga antarabangsa.

Cara lain bagi industri tempatan itu dapat memperoleh manfaat ialah penstabilan bekalan keluli dalam pasaran tempatan," katanya kepada Bernama pada Selasa.

Ini bagaimanapun, boleh dicapai jika jumlah keluli yang tepat dikeluarkan tanpa menjejaskan harga.

Perwaja yang merupakan antara pengeluar terbesar produk keluli utama negara seperti bilet, membekalkan produknya secara terus kepada pengeluaran hiliran dalam pasaran tempatan dan luar negara, termasuk Timur Tengah.

Perwaja juga baru-baru ini mengumumkan ia sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk melombong bijih besi, bahan asas yang digunakan untuk membuat keluli, di Bukit Besi, kira-kira 80km dari kilang yang dicadangkan itu.

Cadangan itu masih dalam pertimbangan kerajaan negeri Terengganu.

Bukit Besi mempunyai kira-kira 50 juta tan deposit bijih besi mentah, atau sekurang-kurangnya 12 tahun bekalan berdasarkan keperluan kapasiti penuh Perwaja sebanyak empat juta tan bijih besi mentah setahun untuk kilang itu.

OSK Research dalam laporannya berkata jika Perwaja memperoleh lesen perlombongan, ia boleh menjimatkan kos lebih daripada US$100 setan bijih besi mentah.

Perkiraan itu adalan berasaskan pada harga semasa bijih besi mentah yang diimport pada US$160 setan berbanding kos perlombongan tempatan yang mungkin kurang daripada US$50 setan, katanya.

Oleh itu, jika memperoleh konsesi perlombongan itu bermakna pendapatan lumayan kepada syarikat pengeluar keluli itu selepas mengambil kira jumlah pengurangan kos yang akan diperoleh jika mengurus operasi lombong bijih besi sendiri dan memprosesnnya, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perwaja Tan Sri Abu Sahid Mohamed pada Sabtu berkata kilang baharu syarikat itu memerlukan dua juta tan bijih besi mentah setahun untuk beroperasi pada kapasiti maksimum untuk menghasilkan 1.2 juta tan pelet bijih besi apabila fasa pertama siap tahun depan.

Keperluan itu akan meningkat kepada empat juta tan bijih besi mentah setahun bagi mengeluar 2.4 juta tan pelet apabila fasa keduanya siap pada 2013.

Berdasarkan keperluan semasa operasi penuh, syarikat akan menjimatkan sehingga RM840 juta setahun, termasuk 20 peratus atau RM600 juta kos bahan mentah.

Ia juga akan mengurangkan pendedahan syarikat kepada naik turun harga pelet bijih besi import.

Abu Sahid berkata ia juga menyediakan bekalan dan harga yang stabil dalam pasaran tempatan, yang kini didominasi oleh tiga peserta antarabangsa utama.

Harap Peragut Menerima Hukuman Setimpal Atau Lebih Teruk Daripada Adik...

Maimunah menemani Maleha yang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas terbabit kemalangan di Jalan Kamarudin, ketika mengejar peragut beg tangannya, kelmarin.

"Jika boleh saya ingin berjumpa dengan peragut dan biar dia menerima hukuman yang setimpal atau lebih teruk daripada keadaan yang menimpa adik."

Demikian luahan mangsa ragut Maleha Malik yang cedera parah dalam kejadian ragut di Jalan Kamaruddin, di Kuala Terengganu, Ahad lepas.

Maleha, 24, ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, semalam, masih di dalam keadaan lemah dan amat sedih kerana adiknya Maizatul Akmal, 22, masih koma.

"Sekarang saya masih rasa sakit lagi di bahagian tangan dan perut,tapi saya rasa lebih tertekan kerana adik masih belum sedarkan diri," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi Ahad lalu, dua beradik itu cedera parah apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan semasa mereka mengejar peragut yang melarikan beg tangan mereka.

Kejadian itu berlaku apabila kedua-dua beradik itu yang bermotosikal dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka menuju ke Kompleks Sri Iman dekat sini untuk mengambil Wang Dana Bakti Remaja yang diberikan oleh kerajaan negeri.

Dalam kejadian itu, Maleha yang hampir putus tangan serta luka di beberapa bahagian badan telah mula sedarkan diri semalam setelah menjalani pembedahan di hospital itu manakala adiknya masih koma.

Bagi Maimunah Salim, 47, dari Flet Seri Kolam di Kuala Terengganu, sambutan Ramadan tahun ini suram kerana dua anak gadisnya cedera dengan seorang daripadanya koma selepas terbabit kemalangan di Jalan Kamarudin, dipercayai ketika mengejar peragut beg tangannya, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, dua beradik berkenaan, Maleha Malik, 25, dan adiknya Maizatul Akmal, 22, menunggang motosikal ke Kompleks Seri Iman di Jalan Sultan Muhammad mengambil wang dana bakti remaja.

Sebaik tiba di persimpangan Jalan Kamarudin, seorang penunggang motosikal dikatakan meragut beg tangan Maleha dan mereka mengejar peragut itu tetapi terbabit kemalangan tidak jauh dari situ.

Maimunah berkata, anaknya kemudian dihantar orang ramai ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Sehubungan itu, Maimunah berkata, beliau berharap orang ramai yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan kerana mahu peragut anaknya diadili.

“Saya tak maafkan peragut itu, biar Tuhan membalas dosanya. Melihat keadaan kedua-dua anak, saya tidak yakin mereka dapat menyambut Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Ketua Polis Negeri Datuk Jamshah Mustapa yang melawat mangsa di hospital itu semalam berharap orang ramai membantu menyalurkan maklumat untuk mengesan peragut terbabit.

Wanita Pengsan Rumah Didiami 30 tahun Terbakar

Mustaffa Abu Bakar mencari kalau-kalau masih ada barang yang terselamat selepas rumahnya musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu semalam.

Seorang wanita pengsan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas terkejut apabila rumah didiaminya lebih 30 tahun di Kampung Atas Tol, hangus dalam kebakaran pagi semalam turut memusnahkan semua barangan persiapan Ramadan dan Aidilfitri.

Ketika kejadian jam 11.35 pagi itu, mangsa, Wan Mahani Wan Omar, 57, sedang bekerja di tempat memproses keropok tidak jauh dari rumahnya dan bergegas pulang selepas dimaklumkan kejadian itu oleh anaknya.

Suaminya, Mustaffa Abu Bakar, 56, berkata beliau bersama cucu, Mohd Faris Farizal Faizal, 3, sedang berehat di luar rumah dan terdengar bunyi percikan api dari dapur dan selepas itu, api mula marak menyebabkan mereka berlari keluar menyelamatkan diri.

“Saya berlari keluar memaklumkan kepada kakak ipar yang tinggal berhampiran rumah dan kami tidak sempat menyelamatkan harta benda.

“Memang sedih kerana ia terjadi pada bulan Ramadan dan akan menyambut Aidilfitri, tetapi saya tetap bersyukur tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran ini,” katanya ditemui di perkarangan rumah didiami bersama isteri dan dua anak, semalam.

Kakak ipar mangsa, Zurina Maidin, 46, berkata selepas mengetahui kebakaran itu, dia menghubungi bomba tetapi ketika pasukan itu tiba, keseluruhan rumah sudah hangus.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payung, Zaidi Muda, yang melawat mangsa kebakaran berkata, bantuan segera sebanyak RM1,000 akan disalurkan kepada mangsa, manakala urusan membina rumah baru akan dilakukan kemudian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamad Kassim yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.37 pagi.

“Seramai 16 anggota dengan tiga jentera bomba berjaya memadam api dalam tempoh lima minit dan ketika tiba, hampir 90 peratus rumah sudah musnah terbakar dengan kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000, manakala punca kejadian masih disiasat,” katanya.

Jangan Terlibat Dengan Mercun - Meriahnya Hanya Sekejab

Mohd Asrizan menggunakan kaki palsu akibat terkena serpihan mercun tahun lalu di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga, Kuala Terengganu.

“Sampai sekarang, saya menyesal dengan apa yang berlaku hingga saya cacat. Saya menasihatkan jangan sesekali terbabit dengan mercun, sebab meriahnya hanya sekejap tetapi lepas itu, kita boleh merana seumur hidup.

“Apapun, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana masih memberi peluang bernafas dan menginsafi kesilapan lalu. Saya tidak akan mengulanginya kerana sudah kesal dan insaf," kata Mohd Asrizan Muda, 24, yang hancur kaki kanan dalam letupan di rumah tinggal di Kampung Makam Lama, di Kuala Terengganu, yang percayai dijadikan gudang menyimpan mercun dan bunga api, awal Ramadan tahun lalu.

Kejadian tragis itu bukan saja menyebabkan kaki kudung selain beberapa kecederaan di anggota badan, tetapi lebih menyayat hati, seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang juga anak rakannya, Khairul Arief Ayub, maut dan mayatnya melambung tersangkut setinggi 15 meter di atas pokok dengan kepalanya hancur.

Tragedi berdarah pada 12 Ramadan tahun lalu turut mencederakan seorang lagi rakannya, Mazlan Abdullah, 30, yang cedera di mata, muka dan badan selepas stok mercun dan bunga api di rumah tinggal itu meletup sehingga dentumannya boleh didengari sejauh empat kilometer.

Mohd Asrizan yang lebih dikenali sebagai Botak di kalangan penduduk kampung berkata, Ramadan kali ini mengingatkannya dengan kejadian itu yang menyebabkannya koma tiga bulan dan terlantar di hospital, sehingga lehernya ditebuk untuk membolehkannya bernafas kerana keadaannya kritikal ketika itu.

"Selepas sedar daripada koma, saya sedih melihat kaki kanan kudung. Hanya Allah tahu pilunya perasaan saya melihat kaki kanan dipotong bermula dari bawah lutut, selain cedera teruk di kaki kiri. Saya kini, terpaksa menggunakan kaki palsu manakala kaki kiri pula sakit dan tidak boleh berdiri lama kerana buku lali beralih ke tapak kaki.

"Saya bagaikan mati hidup semula. Walaupun kesal, ia tidak mampu mengubah masa lalu dan berharap, ia menjadi pengajaran kepada orang lain kerana selagi tidak kena, kita tidak serik.

"Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, pasti ramai menjual dan bermain mercun kononnya memeriahkan perayaan tetapi perlu beringat kerana menyesal kemudian tidak berguna," katanya ditemui di Kampung Seberang Baruh di sini.

Beliau kini banyak membantu ibunya menjahit di rumah sebagai punca pendapatan, selain berbasikal mengelilingi kampung untuk membiasakan pergerakan kakinya

Berita Harian