Friday, August 12, 2011

ECER: RM2b Untuk Pelaburan Bioteknologi Perindustrian di Kertih

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan penggabungan perkongsian usaha sama di antara CJ CheilJedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA (ARKEMA) dari Perancis dalam bioteknologi perindustrian negara di Putrajaya, hari ini.

Malaysia mendapat satu pelaburan bioteknologi perindustrian RM2 bilion di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) apabila CJ Cheiljedang Corporation dari Korea Selatan dan Arkema SA dari Perancis hari ini mengumumkan penubuhan loji bio-metionina yang pertama di dunia dan platform tiokimia yang pertama di Asia, di Zon Ekonomi Khas ECER (SEZ), Taman Polimer Kertih, Terengganu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menyaksikan pengumuman itu, berkata projek itu dijangka menjana kesan limpahan yang ketara dan menggalakkan aktiviti ekonomi baru seperti penjanaan wap menggunakan sumber diperbaharui.

Najib berkata, projek itu dijangka menjana kira-kira RM20 bilion jualan kumulatif menjelang 2020 dan menyediakan peluang pekerjaan yang besar kepada hampir 500 pekerja berpengetahuan tempatan.

"Projek itu akan menjadi rangsangan yang ketara kepada ECER dan khususnya SEZ itu," kata Najib pada majlis pengumuman antara CJ-Arkema, Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) dan Majlis Pembangunan ECER (ECERDC).

BiotechCorp dan ECERDC adalah pencadang utama projek itu.

CJ Cheiljedang adalah peneraju pengeluar produk berasaskan penapaian seperti asid amina makanan, monosodium glutamat dan nukleotida dengan mempunyai operasi pengeluaran dan perniagaan global di enam benua manakala Arkema adalah syarikat kimia global dan peneraju pengeluar kimia Perancis.

Loji pengeluaran 80,000 tan metrik bio-metionina dan platform tiokimia itu akan dibina di atas tapak seluas 70 hektar tahun depan dan akan beroperasi pada 2013.

Ini akan menjadi pencapaian bagi industri bahan tambahan makanan global kerana bagi pertama kalinya, pengeluaran bio-metionina akan menyatukan kedua-dua bioteknologi canggih dan kimia gunaan.

Bio-metionina adalah belerang asid amino yang banyak digunakan bagi makanan haiwan di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John, berkata loji itu bernilai kira-kira AS$400 juta.

Issace juga menyatakan bahawa ECERDC mensasarkan untuk menjana pelaburan tahunan kira-kira RM5 bilion.

"Bagi tahun ini, kami akan menerima pelaburan melebihi sasaran kami menjelang Oktober," katanya sambil menyatakan bahawa projek bernilai kira-kira RM20 bilion, daripada RM48 bilion yang diperolehi sehingga ini, sudah dilaksanakan.

Dana Raya - Terengganu Peruntuk RM50 Juta Untuk 160,000 Keluarga Miskin

Sempena Aidilfitri tahun ini, seramai 160,000 keluarga di seluruh negeri Terengganu layak menerima bantuan dana raya berbanding 150,000 pada tahun lepas.

Berikutan itu, Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM50 juta pada tahun ini kepada golongan miskin di negeri ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata ia merupakan tambahan sebanyak 10 peratus daripada tahun lepas berikutan peningkatan jumlah keluarga yang layak menerima bantuan itu.

Beliau menyatakannya kepada pemberita selepas majlis penyampaian dana raya bagi Dewan Undangan Negeri kawasan Kijal di Dewan Ketengah, Bandar Seri Bandi di Kemaman, semalam.

Katanya pengagihan itu telahpun mula dilakukan secara berperingkat pada awal minggu ini dengan jumlah penerima antara 4,000 dan 5,000 orang di setiap kawasan DUN.

Dana raya diagihkan setiap tahun kepada golongan miskin seperti ibu tunggal, orang kurang upaya dan warga emas serta mereka yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan, membabitkan pemberian antara RM200 dan RM400 satu keluarga.

Ragam Ramadan, Ragam Bulan Merdeka di Tepoh, Paya Berenjut

Macam-macam ragam pada bulan Ramadan. Apa lagi kali ini Ramadan disambut beriringan dengan bulan Merdeka.

Sebagai memeriahkan majlis berbuka puasa, acara tradisi ditunjukkan oleh penduduk kampung dengan cara dan gaya mereke sendiri.

Bagi penduduk Kampung Paya Berenjut, Kemaman, mereka berarak sambil menjunjung talam berisi juadah berbuka puasa yang ditutup dengan tudung saji yang dihiasi Jalur Gemilang.

Acara untuk berbuka puasa beramai-ramai itu diadakan pada Program Kembara Ramadan Jalur Gemilang di Masjid Paya Berenjut, Kemaman, Terengganu.

Tradisi menjunjung lauk dari rumah ke masjid masih diamalkan oleh penduduk Kampung Gemuroh, Tepoh, pada bulan Ramadan.

Sementara itu, di Masjid Kampung Gemuruh, Tepoh, petang kelmarin, tradisi menjunjung lauk dari rumah-rumah ke masjid yang semakin hilang dimamah zaman, dihidupkan kembali.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Amran Abdullah berkata, ia bukan rutin tahunan mereka setiap kali tibanya bulan Ramadan.

Tetapi katanya, dek kerana kampung itu mahu dikunjungi ramai pemimpin negeri termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, penduduk di situ bersepakat untuk menjadikan majlis berbuka puasa itu, bukan acara biasa.

“Kami tidak mahu cara memasak gotong-royong diadakan seperti yang biasa dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya, tetapi ia perlu dimasak sendiri oleh orang kampung di rumah mereka.

“Dengan cara ini, setiap masyarakat menghantar juadah ke masjid dengan menunya yang pelbagai dan membuatkan semua orang dapat merasa air tangan orang kampung yang diakui memecah liur,” katanya.

Amran ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa peringkat Daerah Kuala Terengganu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Simbolik menyambut ketibaan Menteri Besar dan kenamaan lain, seramai 15 wanita menjunjung talam dengan pelbagai jenis lauk berarak sambil berselawat mengiringi mereka hingga ke meja makan.

Jelasnya, majlis yang penuh adat dan cara tradisional itu melibatkan lebih 100 hidangan lauk tradisional dan kuih muih yang dimasak di rumah mengikut kreativiti dan kemampuan masing-masing, dan dibawa ke masjid secara beramai-ramai pada pukul 5.30 petang.

“Antara masakan kampung yang dihidangkan seperti gulai ayam kampung, sayur rebun buluh, acar pisang, gulai telur itik, kerabu jantung pisang dan sambal petai serta kuih tradisional seperti nekbat, puteri mandi, bubur lambuk, lompat tikam dan tapai beras.

“Tradisi unik ini mungkin akan hilang sekiranya generasi baru tidak mengambil jalan menyambung apa yang sudah dilakukan turun temurun oleh datuk nenek kita pada masa dahulu,” ujarnya.

PAS Bawa 'Penyakit' Lalat Hijau' Sebar Dakwaan Palsu

'Penyakit Lalat Hijau' istilah yang ditujukan kepada PAS oleh Menteri Besar pada sidang media di Kemaman, semalam. - Gambar Harith Fadzillah

PAS Terengganu diibaratkan seperti 'lalat hijau' yang sering membawa penyakit kepada masyarakat berikutan sikap pemimpin parti itu yang sering menghamburkan dakwaan palsu dan tidak berasas.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, setelah usaha mereka mahu memburukkan kepimpinan Barisan Nasional tidak berkesan, pemimpin parti itu kini sedang sibuk 'membedil' Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana tidak mengikut kehendak mereka.

Katanya, selain menuduh SPR berkomplot dengan Barisan Nasional untuk menafikan kemaraan politik mereka, PAS dalam masa yang sama bertukar topeng dengan membawa masuk ramai pendundi luar Terengganu bagi mengukuhkan kedudukan mereka.

“Mereka bising, ramai pengundi luar Terengganu yang dikatakan menjadi 'pengundi hantu' berdaftar sebagai pemilih di negeri ini.

Padahal PAS sebenarnya terlebih dahulu membawa masuk orang luar untuk mempertahankan kubu mereka.

“Contohnya di DUN Rhu Rendang, kita dapati lebih 1,200 pengundi luar Terengganu tidak dapat dikesan kerana mereka bukan orang tempatan.

Bila pilihanraya, mereka datang untuk mengundi bagi menjaga aib Presiden mereka daripada tersungkur di kubu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pembahagian Dana Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Dewan Ketengah, Seri Bandi, Kemaman, semalam. Turut hadir, Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Haji Roshali Taha.

Mengenai kedudukan bangsa berketurunan Myanmar yang didaftarkan sebagai pemilih kata Ahmad Said, berkata pemimpin PAS tidak perlu memutar belitkan isu berkenaan kerana mereka sudah lebih 20 tahun bermastautin di negeri ini.

“Saya belum menjadi wakil rakyat, mereka (bangsa keturunan Myanmar) sudah ada di sini. Kenapa tidak dibangkitkan pada tahun 1990 atau tahun 1995? Ketika PAS menang tahun 1999, kenapa mereka tidak bangkitkan isu ini,” soal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan, sebanyak 979 pengundi yang tidak bermastautin di DUN Kijal, mendaftarkan diri sebagai pemilih di kawasan berkenaan.

“Kita di UMNO Kemaman ada rekod. Terdapat taktik menggunakan lot tanah yang dibeli di kawasan ini untuk dijadikan alamat daftar mengundi. Apabila kita semak, ada pengundi didaftar dalam hutan kerana tanah mereka dalam hutan,” dedah Ahmad.

Unit Komunikasi Negeri

5,000 Rakyat Terima Dana Hari Raya

Menteri Besar menyampaikan dana hari raya pada dua majlis di Kemaman semalam. - gambar Harith Fadzillah

Lebih 5,000 rakyat yang berpendapatan rendah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima dana hari raya mulai semalam yang diagihkan dalam tiga peringkat.

Ia membabitkan warga emas (RM200), keluarga miskin dan orang kurang upaya (RM300) serta yang mempunyai ramai tanggungan (RM400).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang juga ADUN Kijal semalam menyampaikan dana berkenaan di Dewan Sivik Bukit Kuang, dan Dewan Ketengah, Seri Bandi, Kemaman.

Majlis Pembahagian Dana Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal itu turut dihadiri Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), Roshali Taha.



Rakyat Miskin - YPKT Terima Peruntukan RM25 juta

Sebanyak RM25 juta diperuntukan kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Terengganu melalui Program Peningkatan Pendapatan Rakyat Termiskin dan Miskin yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 golongan tersebut.

Pengarah YPKT Encik Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk melaksanakan program berkenaan bagi tempoh lima tahun.

Menurutnya, melalui program itu mereka yang layak akan diberi bantuan modal dan peralatan bernilai antara RM3,000 dan RM10,000 bagi membantu meningkatkan ekonomi dan pendapatan masing-masing.

Jelas beliau, pemilihan calon untuk bantuan berkenaan dibuat melalui beberapa proses sebelum diluluskan berdasarkan kriteria yang ditetapkan bagi mengurangkan kadar kemiskinan dan menambah pendapatan keluarga.

‘‘Penerima bantuan akan dipantau oleh kakitangan YPKT untuk memastikan bantuan yang diberikan digunakan sepenuhnya,” katanya.

Menurut Mohd. Shafaruddin, melalui fasa pertama yang bermula Januari hingga awal Julai lalu, seramai 771 orang menerima bantuan modal dan peralatan berjumlah RM5 juta.

Katanya, bagi fasa kedua yang bermula Julai hingga akhir tahun ini, sebanyak RM7.5 juta akan dibelanjakan bagi tujuan itu yang dijangka dapat memberi manfaat kepada kira-kira 1,300 orang.

Beliau menambah, pada masa ini bancian mengenai keluarga termiskin dan miskin sedang dikenal pasti untuk diberi bantuan yang akan diagihkan kepada mereka secara berperingkat.

6 Motosikal Lesap Setiap Hari di Kemaman

Purata enam buah motosikal dilaporkan hilang setiap hari di daerah Kemaman termasuk pada bulan Ramadan.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdullah Sani Salat berharap pemilik kenderaan dan orang ramai dapat membantu membendung gejala ini dengan tidak bersikap cuai.

Bercakap kepada pemberita di Kemaman semalam, beliau menasihatkan mereka mengunci kenderaan dengan kunci tambahan di samping meletakkannya di kawasan yang selamat.

”Pada bulan puasa, para pencuri turut menjadikan bazar Ramadan sebagai kawasan sasaran,” katanya.

juara Asia, Mohd. Nafiizwan Adnan Tersingkir Pada Pusingan Kedua

Mohd. Nafiizwan Adnan - juara Asia - tersingkir pada pusingan kedua Siri Dunia Emas Terbuka Australia, semalam.

Semalam merupakan hari paling mengecewakan buat skuad skuasy Malaysia pada kejohanan Siri Dunia Emas Terbuka Australia selepas cabaran pemain lelakinya berakhir dengan penyingkiran juara Asia, Mohd. Nafiizwan Adnan pada pusingan kedua.

Kekalahan Nafiizwan - pemain kelahiran Terengganu berusia 25 tahun itu - menyusul beberapa jam selepas pemain wanita negara, Delia Arnold tersingkir pada peringkat yang sama, meninggalkan jaguh No. 1 dunia, Datuk Nicol David sebagai wakil tunggal Malaysia yang akan meneruskan cabaran.

Selepas cemerlang mengetepikan pemain Hong Kong, Dick Lau pada pusingan pembukaan, Nafiizwan, yang memulakan kempen dari pusingan kelayakan gagal meneruskan rentak, apabila akur kepada pilihan ketujuh, Peter Barker dari England menerusi kekalahan mudah 4-11, 2-11, 7-11.

Biarpun berjaya memahat kejayaan baru dalam kariernya dengan muncul juara Asia di Pulau Pinang, April lalu, namun beliau masih gagal mencipta impak pada peringkat lebih tinggi selepas gagal mencari gelaran dalam tujuh penampilannya tahun ini.

Pencapaian terbaik Nafiizwan sepanjang 2011 adalah melangkah ke separuh akhir dalam dua kejohanan di Kanada iaitu Sudbury Northern Ontario pada April lalu dan Talisman Energy Bankers Hall Club Pro-Am, Januari lalu.

Bagi Baker, kemenangan mudah ke atas Nafiizwan bakal menemukan dengan jaguh Mesir dan pilihan kedua, Ramy Ashour yang mara selepas mengetepikan pemain harapan tuan rumah, Stewart Boswell 11-9, 7-11, 8-11, 7-11.

Sementara itu, Delia tampak keletihan untuk menyekat kemaraan pilihan kelapan, Joelle King dari New Zealand apabila tunduk 5-11, 11-13, 9-11.

Delia, pilihan ke-13 kejohanan sebelum ini sudah dipaksa berhempas pulas ketika menumpaskan pemain Republik Czech, Olga Ertlova 5-11, 11-9, 9-11, 11-6, 11-6 pada pusingan pembukaan kelmarin, dan seakan kehabisan tenaga berdepan King.

Tumpuan Malaysia di Canberra kini terarah sepenuhnya kepada Nicol, yang akan meneruskan cabaran dengan menentang pilihan keenam dari Hong Kong, Annie Au di suku akhir hari ini.

Nicol, yang membuat penampilan pertama di Australia kelmarin hanya diberi sedikit tentangan ketika mengalahkan Emily Whitlock dari England 11-9, 11-7, 11-5.

Guru Liwat Pelajar Sekolah di Batu Rakit Ditahan Reman

Guru sebuah sekolah berasrama di Batu Rakit ketika di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.

Tidak tahan terus menjadi mangsa liwat gurunya sejak beberapa bulan lalu, seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah berasrama di Batu Rakit di Kuala Terengganu, membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit di Kuala Terengganu, petang kelmarin.

Pelajar berusia 13 tahun yang tinggal di asrama sekolah itu dikatakan sering diajak guru berusia 41 tahun itu ke rumahnya di kuarters guru dalam kawasan sekolah untuk diliwat.

Susulan laporan polis dibuat mangsa, polis menahan suspek yang sudah berkahwin di rumahnya jam 4 pagi semalam dan kini direman empat hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata pelajar itu mendakwa menjadi mangsa liwat guru yang berasal dari bandar raya ini antara Mac hingga Jun lalu.

“Mangsa mendakwa diliwat tiga kali oleh guru itu antara Mac hingga Jun lalu di rumah guru itu yang terletak dalam kawasan sekolah.

“Susulan laporan polis dibuat mangsa, polis menahan suspek yang sudah berkahwin di rumahnya jam 4 pagi semalam dan kini direman empat hari.

“Kita menyiasat kemungkinan ada pelajar lain menjadi mangsa kerakusan nafsu guru itu,” katanya di pejabatnya di sini, semalam.

Manoharan berkata, pelajar itu yang dikatakan berasal dari bandar raya ini dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 377 C kerana melakukan seks luar tabii yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terengganu Pinjam Pemain Harimau Muda Hadapi Piala Malaysia

Pemain pertahanan Harimau Muda, Faizal Mohamad dipinjam kepada Terengganu bagi menghadapi kempen Piala Malaysia.

Penolong Pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata Faizal yang berasal dari Marang merupakan pemain tunggal yang dipinjam Terengganu.

"Untuk pertandingan Piala Malaysia, kita cuma pinjam seorang pemain pasukan Harimau Muda bagi memastikan kecemerlangan kita dalam kejohanan itu," katanya kepada Bernama.

Beliau percaya barisan pertahanan Terengganu akan bertambah kental dengan kehadiran pemain tersebut.

"Faizal mula berlatih sejak semalam bersama-sama pemain yang lain," katanya yang juga Naib Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Sheikh Tajudin juga berkata walaupun pemain pertahanan Mohd Zubir Azmi tidak dapat bersama Terengganu dalam empat perlawanan awal, ia tidak membimbangkan kerana ada pengganti kepada pemain itu.

Mohd Zubir terpaksa menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan bagi persediaan menghadapi Sukan Olimpik.

Terengganu, Negeri Sembilan, PKNS dan Sime Darby diletakkan dalam kumpulan B dengan dua pasukan teratas akan layak kepusingan suku akhir Piala Malaysia.

Sheikh Tajudin berkata semua pasukan mempunyai kekuatan masing-masing dan Terengganu tidak memandang rendah keupayaan pasukan lain.

Terengganu menjalani latihan pada setiap petang di padang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Batu Buruk di sini berikutan padang Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tidak boleh digunakan kerana sedang menjalani proses baik pulih.

Ladang Rakyat Serah Zakat Kepada MAIDAM Sebanyak RM521,708

Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd., syarikat milik kerajaan negeri petang kelmarin mengeluarkan zakat perniagaan sebanyak RM521,708 yang diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.

Penyerahan cek zakat itu disempurnakan oleh Pengerusinya, Wan Ahmad Nizam Wan Abd. Hamid melalui Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu.

Ia disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengurus Besar Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd., Abd. Rahman Mad Shah.

Menteri Besar berkata bayaran zakat itu dibayar berdasarkan keuntungan bersih yang diperoleh sebelum cukai berjumlah RM33.59 juta.

Katanya, keuntungan bersih ini adalah yang tertinggi pernah dicatatkan syarikat itu sejak penubuhannya pada 2 Ogos 1977.

“Aktiviti utama syarikat adalah perladangan dan pemprosesan kilang sawit membabitkan tiga kawasan iaitu Cheneh Kemaman; Lembah Bidong, Setiu dan Marang atau kawasan seluas 8,000 hektar.

“Melalui aktiviti itu, Ladang Rakyat mampu menyediakan 1,200 peluang pekerjaan di pelbagai sektor,” katanya kepada pemberita.

Wan Ahmad Nizam berkata, jumlah bayaran zakat itu dibuat bagi tahun kewangan 2010 yang meningkat sebanyak RM362,175 daripada jumlah zakat tahun sebelumnya.

Katanya, bagi tahun kewangan 2011, prestasi syarikat menunjukkan kemajuan dengan keuntungan bersih sebelum cukai sebanyak RM23.58 juta dan jumlah itu melebihi RM11 juta atau 86 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagi tahun berakhir 31 Disember 2010, syarikat mencatat keuntungan bersih sebelum cukai berjumlah RM33.59 juta berbanding RM12.97 juta pada 2009.

"Untuk tahun ini pula, sasaran kita adalah memperoleh keuntungan RM50 juta," katanya.
Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 2 Ogos 1977 dengan modal RM35 juta selain modal berbayar RM24.58 juta.

Wan Ahmad Nizam berkata, pihaknya akan terus mencari ruang dan peluang untuk mengembangkan lagi perniagaan untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Sebanyak RM50 juta keuntungan bersih dijangka diperoleh sekiranya harga pasaran kelapa sawit berada dalam keadaan stabil dan memberangsangkan,” katanya.

Ibu Harap Nurul Pulih Daripada Kecederaan

Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan bersama Che Ku Zaimah Che Ku Awang selepas rancangan Selamat Pagi Malaysia di Wisma Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam.

Siapa yang tidak sedih melihat keadaan mangsa simbah asid, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, mengharungi kehidupan dalam keadaan wajahnya yang penuh dengan parut akibat terkena asid angkara perbuatan bapanya sendiri.

Ibu mangsa, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, berkata, dia sangat sedih setiap kali memandang wajah anaknya itu dan hanya berharap ia dapat dipulihkan segera.

"Saya harap sangat wajah Nurul Dahyatul Fazlina dapat dipulihkan secepat mungkin dan boleh kembali menjalani kehidupan seperti orang lain," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri rancangan Selamat Pagi Malaysia di Wisma Angkasapuri di Kuala Lumpur, semalam.

Nurul cedera teruk di wajah dan bahagian kepala serta badan akibat terkena simbahan asid ketika cuba meleraikan pertengkaran ibu dan bapanya di rumah mereka di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu pada 15 Ogos 2010.

Che Ku Zaimah berkata, wajah anaknya itu boleh dipulihkan sekiranya dia menjalani pembedahan plastik yang melibatkan kos kira-kira RM300,000.

Dalam pada itu, Pengurus Larian Sahara, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk membantu Nurul Dahyatul Fazlina menerusi tabung yang ditubuhkan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).

"Kita telah melancarkan tabung yang dikenali sebagai Tabung Pulih Wajah Nurul Dahyatul Fazlinda-YPU dua minggu lalu," katanya.

Selain itu, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, kerajaan perlu memandang berat dan mengambil tindakan segera berhubung isu penjualan asid atau cuka getah secara terbuka kepada orang awam.

"Ketika ini sesiapa sahaja boleh membeli cuka itu dari kedai logam tanpa dikawal dan terma cuka getah juga perlu diubah kerana rata-rata masyarakat menganggapnya tidak berbahaya dan sama seperti cuka makanan," tegasnya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan kepada tabung tersebut menerusi nombor akaun Bank Islam (Malaysia) Bhd. 13053010003071.

Utusan Malaysia

Terengganu Pertimbang Permintaan WWF Malaysia

Kerajaan negeri sedia menimbang permintaan Tabung Alam Malaysia (WWF Malaysia) agar kawasan yang diwartakan dapat diperluaskan bagi meningkatkan keberkesanan Pusat Santuari Penyu, Ma' Daerah, Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Toh Chin Yaw bagaimanapun berkata, beberapa faktor perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan diambil.

Kata Chin Yaw, antara faktor itu adalah kesannya kepada perancangan pembangunan pada masa depan di samping penjanaan ekonomi penduduk setempat.

"Kerajaan sokong usaha pemuliharaan penyu. Buktinya, dahulu kita wartakan tanah bagi pusat ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

WWF Malaysia dalam kenyataannya sebelum ini menyebut, bagi menjamin keberkesanan Ma'Daerah sebagai Pusat Santuari Penyu, kawasan seluas 23.65 hektar yang telah diwartakan pada 18 Januari 2007 perlu diperluaskan lagi.

Thursday, August 11, 2011

Terengganu Rayu Bina Segera Hospital Baru di Dungun

Kerajaan Terengganu merayu Kementerian Kesihatan agar mempercepatkan pembinaan hospital baru Dungun kerana ia begitu kritikal memandangkan hospital yang ada tidak lagi mampu menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah dan kedudukan di satu lokasi yang sesak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata cadangan pembinaan Hospital Dungun yang baru dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan tetapi sehingga kini ia belum terlaksana.

"Dua hospital yang sangat kritikal ialah Hospital Dungun dan Hospital Kemaman. Ia sudah tidak sesuai lagi beroperasi di tempat yang ada sekarang kerana pembangunan yang berlaku di sekitarnya, menjadikan ia agak sesak.

"Kita sedia memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan dengan menyediakan tapak baru untuk Hospital Dungun, kira-kira 20 hektar di Kampung Che Lijah di sini," katanya ketika menghadiri program Ehsan Ramadan di hospital itu dan menyampaikan sumbangan hamper kepada pesakit serta menghadiri majlis berbuka puasa di Dungun semalam.

Ahmad Said berkata, keadaan Hospital Dungun yang rendah, sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat.

"Beberapa tahun lalu, pesakit hospital itu pernah dipindahkan ke tempat selamat akibat berlaku banjir kilat dan ia amat menyusahkan pesakit serta kakitangan hospital itu sendiri.

"Jadi kita haraplah agar Kementerian Kesihatan mempercepatkan pembinaan Hospital Dungun agar perkhidmatan yang lebih baik dapat disediakan kepada rakyat di sini," katanya.

Pada September tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Abdul Rahman Mokhtar berkata pembinaan hospital baru bagi menggantikan Hospital Dungun yang sepatutnya dilaksanakan tahun lalu terpaksa ditangguhkan ke Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) tahun depan.

Ini berikutan peruntukan bagi pembinaannya masih belum diputuskan oleh Kementerian Kesihatan.

"Kerajaan negeri mengklasifikasikan projek tersebut sebagai keperluan yang amat mendesak dan berharap permulaan RMK-10 dapat memberi keutamaan kepada projek tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian berikutan rungutan orang ramai terhadap kemudahan di Hospital Dungun yang tidak lagi praktikal kerana ia dibina berdasarkan keperluan penduduk pada sekitar 60-an.

Hospital Dungun yang mengandungi empat wad dengan 100 katil pesakit dibuka secara rasmi pada 26 Mac 1967 dan kini menyediakan perkhidmatan kepada lebih 160,000 penduduk di daerah itu.

Hospital yang terletak di pusat bandar itu kini semakin sesak dan tidak dapat menampung keperluan pesakit.

Menurut Abdul Rahman, urusan pengambilalihan dan pembayaran sebidang tanah di Kampung Che Lijah sebagai tapak pembinaan hospital baru telah selesai dilakukan.

Pok Li - Warga Kemboja Didaftar Sebagai Pengundi Bukan Warga Asing

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Dungun, Datuk Dr Rosli Mat Hassan menafikan dakwaan Pas yang mengatakan wujudnya 164 warga asing yang berdaftar sebagai pemilih yang dilabelkan sebagai ‘pengundi hantu’ di kawasan parlimen Dungun.

Beliau yang juga Pegawai Pembangunan Dun Sura berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana Pas sekarang dilihat sudah ketandusan isu.

Rosli berkata, warga Kemboja yang didakwa warga asing dan bertindak sebagai pengundi oleh Pas sebenarnya sebahagian daripada rakyat yang menjadi warganegara Malaysia yang sudah lama menetap dan mencari rezeki di daerah ini hingga beberapa keturunan.

Beliau berkata, mereka kebanyakannya terlibat dalam bidang perniagaan seperti menjual di pasar malam dan warga Kemboja ini merupakan salah satu identiti budaya, khususnya di sebuah perkampungan di Che Lijah, Dungun.

“Yang penting, mereka ada kad pengenalan, sebab itu mereka boleh mengundi.

“Yang mereka kata warga Kemboja tu sebenarnya sudah beberapa pilihan raya mereka bermastautin di sini, dah jadi warganegara, sudah lama menjadi pengundi. Pas sebenarnya tiada isu, sebab itu mereka bangkitkan hal pengundi hantu,” katanya.

Pas Terengganu menyebut, pihaknya mengesan 264 warga asing dipercayai tersenarai sebagai pendaftar pemilih di seluruh kawasan Parlimen Dungun, 43 daripadanya dikatakan tiada rekod dalam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pesuruhjaya Pas Negeri, Abdul Wahid Endut berkata, pihaknya mengesan satu aktiviti tidak bertanggung jawab dilakukan pihak tertentu untuk membawa masuk pengundi luar warga asing ke Parlimen Dungun sebagai satu strategi memenangkan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Beliau berkata, pihaknya mengesan sejumlah pengundi warga asing didaftarkan di kawasan ini meliputi empat kawasan Dun, masing-masing di Rantau Abang, Bukit Besi, Paka dan Sura, kebanyakannya warga asing berketurunan Kemboja.

Lebih dikesali, daripada 264 pemilih berdaftar itu, 43 daripadanya tiada sebarang rekod pendaftaran dalam JPN dan ini boleh merosakkan kepercayaan rakyat terhadap sistem yang ada.

“Di Rantau Abang ada 70, dalam JPN tiada rekod. Bukit Besi 61, dengan 10 daripadanya tiada rekod JPN, Sura 111, 23 tiada rekod, Paka 92, enam tiada rekod, menjadikan jumlah keseluruhan 264.

“Sekarang kita jaga benda ini, tapi kita bimbang pada saat-saat akhir dia masuk benda ini. Sekarang rancak dilakukan di negeri lain,” katanya pada sidang media tertutup selepas mengadakan lawatan ke Bazar Ramadan Alor Tembesu, petang kelmarin.

Beliau mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat perkara ini untuk memastikan sistem pilihan raya di negara ini lebih adil dan bersih.

Bonus - Terengganu Yang Pertama Umum Ikut Jejak Pusat

Menteri Besar mengulangi pengumuman pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan pada sidang media semalam.

Terengganu menjadi negeri pertama mengumumkan mengikut langkah Kerajaan Pusat dengan membayar bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 kepada kakitangan kerajaan negeri.

"Kalau kerajaan pusat beri bonus, kita pun akan bagi sebagaimana jumlah yang dibayar kepada penjawat awam," kata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Pergumuman pertama dibuat malam kelmarin dan diulangi sekali lagi pada sidang media selepas mesyuarat Exco semalam.

Sehingga ini enam negeri lain melakukan serupa ialah Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Kelantan dan Selangor m

Di KUALA TERENGGANU, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM12 juta untuk membayar bonus kepada 16,000 kakitangan awam dan badan berkanun negeri yang akan diberikan sebelum Aidilfitri.

Di IPOH, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan seramai 7,776 kakitangan awam negeri akan menerima bonus membabitkan peruntukan sebanyak RM6.5 juta.

Di AYER KEROH, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata seramai 4,844 pegawai dan kakitangan awam negeri akan menerima bonus mereka pada 18 Ogos ini serentak dengan gaji bulan ini.

“Pemberian bonus sebanyak RM3.2 juta yang turut meliputi guru kelas al-Quran dan Fardu Ain, adalah bukti sikap prihatin dan pemurah kerajaan negeri dalam menghargai jasa kakitangan awam selain mengiktiraf sumbangan mereka terhadap pembangunan Melaka,” katanya.

Di SEREMBAN, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata lebih 4,000 kakitangan awam termasuk agensi kerajaan negeri akan menerima bonus membabitkan peruntukan sebanyak RM4.8 juta.
Di KUANTAN, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata kerajaan negeri akan membayar bonus kepada 12,570 kakitangan negerinya pada pertengahan bulan ini.

Di KOTA BHARU, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata kira-kira 6,000 kakitangan awam akan menikmati bonus yang dijangka membabitkan peruntukan RM5 juta.

Di SHAH ALAM, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mengumumkan mengikut langkah Kerajaan Pusat membayar bonus setengah bulan gaji dan menarik balik keputusannya pada 3 Ogos lalu untuk memberi bonus RM500 kepada semua kakitangan Gred 54 ke bawah.

“Ia bukan bermakna kakitangan awam negeri akan dibayar dua kali bonus, tetapi hanya memberi mereka setengah bulan gaji seperti Kerajaan Pusat,” katanya.

Najib Umum RM53.4 Juta Sebagai Wang Pendahuluan Pembiayaan Ke IPT

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM53.4 juta sebagai wang pendahuluan pembiayaan kepada 35,664 pelajar yang akan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bermula 3 Sept depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata semua pelajar yang layak akan menerima wang sebanyak RM1,500 seorang, dua minggu sebelum tarikh pendaftaran kemasukan ke IPT.

"Ini adalah salah satu usaha yang mana selaras dengan prinsip pendemokrasian pendidikan. Percayalah, kerajaan akan terus membantu golongan muda kerana mereka adalah harapan negara dan kita akan melakukan yang terbaik untuk menjamin masa depan golongan belia," katanya pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di Seri Perdana, semalam.

Turut hadir, ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pemimpin-pemimpin pelajar yang mewakili 38 IPTA-IPTS dalam negara dan 30 wakil pelajar dari universiti asing turut serta pada majlis itu.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan itu diberikan kepada pelajar yang keluarga mereka berpendapatan tidak melebihi RM4,000 sebulan dan yang belum pernah mendapat pembiayaan PTPTN sebelum ini.

Beliau berkata kerajaan sentiasa melaksanakan pelbagai program bersifat proaktif bagi memastikan masa depan golongan muda di negara ini terus terjamin dan bertambah baik.

Sebagai kerajaan prihatin yang mengutamakan kebajikan rakyat, Najib berkata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak pernah memikirkan untuk menaikkan yuran pengajian IPT.

"Walaupun semua harga barangan naik termasuk harga rumah, barang makanan seperti nasi lemak, teh tarik tetapi yuran pengajian tidak naik. Saya nak tegaskan bahawa yuran pengajian tidak pernah dikaji di negara ini," katanya.

Menurutnya rusuhan yang berlaku di London dan di beberapa negara Timur Tengah seperti di Libya baru-baru ini, menunjukkan bahawa golongan muda tidak diberikan peluang yang sewajarnya dalam pendidikan dan pekerjaan.

Najib berkata kewujudan 21 IPTA dan berpuluh-puluh IPTS sejak negara mencapai kemerdekaan, jelas menunjukkan bahawa pendemokrasian pendidikan di negara ini berjalan lancar.

MAIDAM Larang Kutip Derma Di Tempat Awam

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu tidak akan melanjutkan tempoh membenarkan kegiatan mengutip derma di tempat-tempat awam termasuk di depan bank atau pasar raya di negeri ini sejurus selepas tempoh itu tamat pada 31 Ogos ini.

Ini bermakna mulai 1 September ini, sebarang aktiviti meminta derma di tempat tumpuan ramai itu adalah merupakan satu kesalahan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Harujan Sulaiman, mereka yang terbabit boleh ditahan di bawah Seksyen 90 (5) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu 2001 yang memperuntukkan denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama bahagian penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan tiada kegiatan seumpama itu dikesan di negeri ini.

“Kita akan terus memantau dan selepas 31 Ogos ini, kita harap tiada lagi aktiviti kutip derma seperti di depan bank atau pasar-pasar di sekitar bandar raya ini dan juga di tempat lain di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai operasi memeriksa pengutip derma di tempat-tempat awam di bandar raya ini dengan kerjasama bahagian penguat kuasa JHEAT kelmarin.

Wan Harujan menjelaskan, pihaknya telah mengeluarkan peringatan bermula Julai lalu yang melarang sebarang aktiviti mengutip derma di tempat-tempat awam di negeri ini.

Beliau bagaimanapun berkata, atas sebab-sebab tertentu yang munasabah, pihaknya mengeluarkan surat kelonggaran yang membenarkan aktiviti berkenaan dijalankan sebelum tarikh tamat pada 31 Ogos ini.

“Setakat ini, ada lapan pengutip derma dari negeri ini dan dua lagi dari luar Terengganu yang menjalankan kegiatan kutip derma dan mereka mendapat kebenaran daripada MAIDAM sehingga 31 Ogos ini,” katanya.

Namun tambahnya, MAIDAM masih membenarkan kegiatan mengutip derma dengan pihak terlibat disaran menghubungi atau berkunjung ke syarikat-syarikat bagi mendapatkan sumbangan.

Utusan Malaysia

iSHARP Tumpu Kepada PKS, Mampu Jana Lebih 1,500 pekerjaan

Blue Archipelago Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd yang menguruskan ladang ternakan udang harimau bersepadu di Kerpan, Air Hitam, Kedah, akan menawarkan francais kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) menjalankan operasi penternakan udang itu di ladang Integrated Shrimp Aquaculture Park (iSHARP) di Setiu, Terengganu.

Ketua Eksekutifnya, Dr Shahridan Faiez, berkata langkah itu sebagai tambah nilai kepada pembangunan iSHARP yang diharapkan dapat menjana 1,500 pekerjaan serta mewujudkan peluang kepada PKS menembusi pasaran premium pengeksportan udang berkualiti tinggi.

Katanya, iSHARP Setiu membabitkan pelaburan RM200 juta di kawasan seluas 1,000 hektar mempunyai lebih 650 kolam yang akan dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu zon produksi diuruskan syarikatnya untuk pengeluaran yang konsisten dan zon PKS.

Beliau berkata, dengan berbekalkan modal operasi, PKS berpeluang untuk turut sama merebut pasaran premium industri itu dengan memiliki dan menguruskan beberapa modul dan kolam yang ditawarkan di zon berkenaan berdasarkan kemampuan masing-masing.

“PKS boleh menyertai kami menerusi sistem francais yang mana mereka perlu mengikut sistem operasi yang sediakan termasuk membeli produk yang dicadangkan dan menjual hasil mereka mengikut skim pembelian yang akan ditetapkan untuk kami pasarkan ke pasaran antarabangsa.

“Pembangunan dalam iSHARP ini akan turut menekankan komponen PKS selaras matlamat mengumpulkan syarikat swasta dalam satu kawasan perindustrian untuk sama-sama menghasilkan produk berkualiti tinggi bagi merebut pasaran premium,” katanya kepada Berita Harian, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Projek iSHARP adalah projek pembangunan ladang ternakan udang harimau bersepadu terbesar dan tercanggih di Malaysia yang disa-sarkan mengeluarkan 14,000 tan udang setahun yang menepati kualiti piawaian pasaran antarabangsa.

Shahridan berkata, berikutan pembangunan projek itu bermanfaat kepada pembangunan kawasan luar bandar dan PKS, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan bagi meluaskan operasi projek perintis iSHARP di negeri lain.

Katanya, langkah itu akan menyelesaikan masalah peladang kecil dan PKS tempatan yang kekurangan modal bagi membangunkan infrastruktur penternakan.

Cityskill (M) Sdn Bhd antara 124 Majikan Didenda Kerana Kesalahan KWSP

Sebanyak 124 majikan dikenakan denda oleh mahkamah berjumlah RM124,949 antara April dan Jun tahun ini kerana kegagalan mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kakitangan mereka.

Denda antara RM2,500 dan RM5,000 itu adalah bagi kesalahan mengikut Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991 yang mewajibkan semua majikan membayar caruman bulanan sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan, kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP Nik Affendi Jaafar.

Dalam kenyataan di Kuala LUmpur, semalam, beliau berkata denda paling tinggi iaitu RM5,000 dikenakan terhadap Cityskill (M) Sdn Bhd dari Terengganu diikuti dengan Flight Base International Sdn Bhd dari Selangor sebanyak RM3,500.

Dua syarikat berpangkalan di Selangor, Strongforce Engineering Sdn Bhd dan Plastech Industrial Systems Sdn Bhd serta Sunshine Progress Sdn Bhd dari Johor masing-masing didenda RM3,000, manakala Axcess Tickets Sdn Bhd dari Selangor didenda RM2,500.

"Dalam tempoh yang sama, sejumlah 228 kes sivil dan 924 kes jenayah difailkan di mahkamah terhadap pengarah syarikat dan majikan kerana gagal membuat caruman," katanya.

Beliau berkata KWSP juga telah mengemukakan 294 nama pengarah syarikat kepada Jabatan Imigresen bagi menahan mereka dari meninggalkan negara sebelum tunggakan dijelaskan mengikut Seksyen 39 Akta KWSP 1991.

Nik Affendi berkata mahkamah selalunya akan memberi tempoh maksimum enam kali ansuran kepada majikan untuk melangsaikan tunggakan caruman.

Para pencarum turut dinasihatkan supaya kerap menyemak penyata kira-kira mereka bagi memastikan majikan membayar caruman tersebut, katanya.

"Mereka juga boleh memantau caruman KWSP mereka dengan mendaftar di i-Akaun bagi membolehkan mereka menyemak maklumat akaun secara dalam talian 24 jam sehari," katanya.

Untuk maklumat lanjut, para pencarum boleh berkunjung ke cawangan KWSP berdekatan, menerusi laman web myEPF di www.enquiry.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000 dari pukul 7.30 pagi hingga 7.30 malam pada hari bekerja.

Ketengah bina 123 Rumah, Kos RM8 juta

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan membina 123 unit rumah dengan kos lebih RM8 juta bagi memastikan masalah perumahan di bandar-bandar Ketengah dapat dikurangkan.

Pengurus Besarnya, Datuk Hamzah Ngah berkata, sebanyak 44 unit daripada jumlah itu adalah rumah kos sederhana rendah, manakala 79 unit lagi merupakan rumah mampu milik.

"Projek ini dijangka akan bermula selepas Aidilfitri ini dan dijangka siap sepenuhnya selepas 10 bulan dibina," katanya kepada pemberita selepas majlis majlis berbuka puasa bersama Ketengah di Kuala Terengganu, kelmarin.

Hamzah berkata, rumah kos sederhana rendah akan dibina di Bukit Besi Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Ketengah Jaya dan Cheneh Baharu manakala rumah terus mampu milik dibina di AMBS dan Cheneh Baharu.

Katanya, ia merupakan langkah proaktif Ketengah untuk menyediakan tempat tinggal yang bersesuaian dan mampu dimiliki oleh penduduk wilayahnya untuk meneruskan lagi projek pembinaan rumah-rumah baru di seluruh wilayah Ketengah yang telah terhenti sejak tahun 1999 kerana tiada peruntukan khusus untuk perumahan.

Beliau berkata, sehingga kini, Ketengah telah membina sebanyak 3,940 buah rumah di wilayahnya untuk menampung permintaan penduduknya.

Katanya, beberapa perkembangan yang sedang berlaku di wilayah Ketengah juga akan membawa kesan langsung kepada keperluan dan permintaan perumahan di Bandar Bukit Besi.

Ini termasuk projek pembinaan Kompleks Penjara, pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), pembangunan simpang Bukit Besi, penyiapan LPT (Lebuh Raya Pantai Timur) dan banyak lagi, katanya.

Selain itu, katanya, pembangunan di Bandar AMBS sendiri turut menjadi pemangkin kepada keperluan perumahan termasuklah pembinaan Asrama Berkelompok Yayasan Terengganu, Kolej Ketengah, institusi-institusi kerajaan seperti Bomba dan Penyelamat, polis dan JPJ.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pembangunan pesat yang sedang berlaku di Tasik Kenyir juga telah menyebabkan keperluan perumahan meningkat dengan ketara.

Ini termasuklah bagi keperluan kakitangan Ketengah serta agensi-agensi lain yang bertugas di sekitar tasik buatan manusia itu selain petugas-petugas barisan hadapan pelancongan, lebih-lebih lagi apabila zon bebas cukai di Pulau Bayas beroperasi pada akhir tahun 2012, katanya.

Justeru, Ketengah menyeru pihak pihak pemaju perumahan, syarikat-syarikat swasta dan setiap pihak agar dapat memainkan peranan membantu memajukan perumahan di wilayahnya.

Wednesday, August 10, 2011

Bonus Raya Untuk 20,000 Kakitangan Kerajaan Negeri

Kerajaan negeri Terengganu semalam mengumumkan pemberian bonus kepada kira-kira 20,000 kakitangannya sebelum Hari Raya Aidilfitri ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM10 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengumumkan berita baik itu berkata, bonus RM500 tersebut diberikan kepada semua kakitangan awam termasuk daripada badan berkanun negeri dan pesara.

Langkah itu katanya, diambil selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, yang mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada kakitangan kerajaan Persekutuan, kelmarin.

“Bonus ini akan dibuat menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti,” kata Ahmad Said ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa peringkat Daerah Kuala Terengganu di Masjid Kampung Gemuruh, Tepoh, petang semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Tepuh, Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negeri.

“Pemberian bonus itu juga diharapkan dapat meringankan beban semua kakitangan dalam membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” ujarnya.

Unit Komunikasi Negeri

Pendawaian Percuma TNB Untuk 300 Rumah Rakyat Miskin

Dalam usaha memastikan kediaman golongan kurang berupaya di negeri ini selamat diduduki, Tenaga Nasional Berhad (TNB) melaksanakan kerja-kerja pendawaian semula wayar elektrik secara percuma bermula Mei lalu.

Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Mohd. Yuslan Mohd. Yusof berkata, pihaknya mensasarkan sebanyak 300 buah rumah di seluruh negeri ini akan terlibat di bawah projek berkenaan.

Katanya, sebanyak RM500 diperuntukkan untuk membuat pendawaian semula ke atas setiap rumah tersebut.

"Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada khidmat sosial TNB sekali gus dapat meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik.

"Kita akan menggunakan sebahagian daripada wang zakat yang dikeluarkan TNB bagi membiayai projek ini," katanya pada sidang akhbar di Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di Hotel Primula di Kuala Terengganu, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti golongan yang layak menerima bantuan tersebut mengikut lapan asnaf yang ditetapkan mengikut syariat Islam.

Katanya, pemohon juga boleh memohon di pejabat TNB terdekat bagi memudahkan mereka dikenal pasti selain pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing.

Pada majlis yang sama, Mohd. Yuslan turut melancarkan program 'Satu Pekerja Sekampit Beras' yang merupakan program inisiatif TNB negeri itu untuk meringankan beban golongan kurang berkemampuan dengan pekerja TNB digalak menyumbangkan sekampit beras setiap seorang.

Katanya, melalui program berkenaan seramai 1,000 fakir miskin dan anak yatim bakal menerima bantuan berkenaan.

"Jika program ini berjaya kita akan meneruskannya setiap tahun sempena bulan yang mulia ini," katanya.

APFT Sasar Kuasai Pasaran Latihan Penerbangan Lebih Besar

Syarikat enyedia latihan dan pendidikan penerbangan, APFT Bhd, menyasarkan penguasaan pasaran lebih besar berikutan langkah beberapa pesaingnya memperlahankan perniagaan mereka.

Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, syarikat itu menjangka meraih sekurang-kurangnya separuh daripada bahagian pasaran kerana ia mengambil ramai kadet juruterbang daripada sekolah latihan penerbangan lain, yang mahu meneruskan kursus mereka di akademinya.

Ketika ini, APFT menguasai kira-kira 37.8 peratus pasaran sektor itu. Selain syarikat itu ada tujuh syarikat lain yang menyediakan perkhidmatan sama di Langkawi, Bintulu, Johor Bahru, Ipoh, Melaka, Kuala Terengganu dan Sandakan.

Mengulas mengenai potensi pertumbuhan bagi APFT, Pengerusi Eksekutifnya Datuk Faruk Othman berkata: “Bahagian pasaran kami boleh berkembang kepada sekurang-kurangnya 50 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.”

Beliau juga mengunjur kenaikan 10 peratus dalam bilangan kadet juruterbang yang dilatih APFT.

“Berikutan perkembangan ini, kami meningkatkan pengambilan kami dan membeli lebih banyak pesawat," katanya dalam temu bual dengan BERNAMA.

Yuran bagi kursus penuh selama 18 bulan ialah RM250,000.

APFT telah membeli dua pesawat yang dijangka dihantar pada Ogos, yang mana ia akan menambahkan jumlah pesawatnya kepada 37.

“Kami juga menyasar mengambil enam lagi tenaga pengajar dan empat pembantu pengajar penerbangan yang dijangka mula bekerja pada 3 Julai," katanya.

APFT juga merancang membeli lebih banyak helikopter, daripada empat ketika ini, kerana ia menjangka pertambahan bilangan pelajar untuk meneruskan latihan helikopter.

Ia juga menjangka memperoleh lesen perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulihnya (MRO) pada separuh kedua tahun ini.

“Perniagaan MRO ini bebas cukai. Ia akan membantu meningkatkan pendapatan kami,” katanya.

Syarikat itu juga menubuhkan syarikat perkhidmatan sewa pesawat, APFT Services Sdn Bhd, yang dijangka menawarkan perkhidmatan sewa pesawat bagi penerbangan tidak berjadual pada separuh kedua tahun ini.

Dengan perkembangan positif itu, Faruk berkata syarikat berkenaan yakin dapat mencapai unjurannya bagi tahun kewangan semasa yang berakhir pada 31 Disember, 2011.

APFT, yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 18 Mac, mencatatkan keuntungan bersih RM1.38 juta yang diraih daripada pendapatan RM10.26 juta bagi suku pertamanya yang berakhir pada 31 Mac, 2011.

Ketengah Holding Dijangka Peroleh Keuntungan RM53j Tahun Ini


Majlis penyerahan zakat Ketengah sebanyak RM973,504.00 oleh Datuk Hamzah kepada Maidam diwakili Wan Harujan disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. - Foto: Zulkipli Putra.

Kumpulan syarikat Ketengah Holding Kumpulan Syarikat Ketengah Holding Sdn. Bhd. dijangka memperoleh keuntungan lebih tinggi kepada RM53 juta sehingga akhir tahun ini.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini ia mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM35,999,851.

Jumlah berkenaan menyaksikan peningkatan sebanyak 73 peratus berbanding keuntungan sebelum cukai dalam tempoh sama tahun lalu yang berjumlah RM20,777,525.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, dengan keuntungan itu syarikat-syarikat berkenaan dijangka meningkatkan labanya kepada RM53 juta menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, jika sasaran itu dapat dicapai, pengeluaran zakat bagi syarikat-syarikat tersebut juga dijangka meningkat sebanyak 37 peratus.

“Tahniah kepada Ketengah Holding melalui tujuh anak syarikatnya yang berjaya menunjukkan peningkatan keuntungan paling ketara tahun ini dan mampu membayar zakat sebanyak RM973,504,” katanya.

Sepanjang tahun lalu kumpulan syarikat mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM38,940,179 iaitu peningkatan sebanyak 189.37 berbanding keuntungan yang diperolehi pada 2009 (RM20,562,701).

Menteri Besar berkata demikian pada majlis penyerahan zakat kumpulan syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman semalam.

Ketengah diwakili Pengurus Besar, Datuk Hamzah Ngah manakala Maidam diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Harujan Sulaiman.

Ahmad Said berkata, apa yang membanggakan ketujuh-tujuh anak syarikat iaitu Ketengah Holding Sdn Bhd, Ketengah Perwira, Yayasan Islam Terengganu (YIT-Ketengah Perwira), Ketengah Jaya, Kebunika, Ladang Ternak Tani dan Rakyat Ketengah Perwira mencatat keuntungan.

Menurutnya, Ketengah Perwira merupakan penyumbang zakat terbesar iaitu RM508,337 diikuti Ketengah Holding (RM138,470), YIT-KPSB (RM116,921), Ketengah jaya (RM130,078), Rakyat Ketengah Perwira (RM54,302), Kebunika (RM15,333) dan Ladang Ternak Tani (RM10,064).

“Dengan jumlah berkenan peningkatan telah berlaku sebanyak 119.45 peratus berbanding pengeluaran zakat tahun lalu sebanyak RM443,604,” katanya.

Katanya, kumpulan syarikat yang membayar zakat ini terdiri daripada syarikat berasaskan perladangan dan perkilangan dengan aktiviti utamanya adalah pengeluar dan memproses kelapa sawit kecuali Ketengah Holding melalui syarikat pelaburan.

Terdahulu, Ketengah Holding yang diwakili Hamzah dan Timbalannya, Wan Mat Amin Wan Daud menyerahkan dua cek bernilai RM973,505 kepada Wan Harujan Sulaiman.

Pada majlis itu, Ahmad turut memaklumkan mengenai sumbangan zakat daripada Koperasi Permodalan Felda Bhd. berjumlah RM520,000 manakala Felda Holding Sdn. Bhd. pula mengeluarkan zakat RM268,783.

Menurutnya, beliau menerima dua cek berkenaan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis di Kuala Lumpur semalam.

Penjaga Masjid Mengaku Salah Memiliki Mercun

Seorang warga emas berusia 62 tahun yang juga penjaga masjid didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu semalam kerana memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api pada Ahad lalu.

Mohamad Salleh mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa kepadanya di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Sebaik tertuduh mengaku bersalah, Abdul Hayyi kemudian bertanyakan sama ada tertuduh faham atau tidak pengakuan bersalahnya itu boleh menyebabkan dia dikenakan hukuman seperti yang diperuntukkan, namun tertuduh hanya terdiam dan kelihatan muram.

Tertuduh yang berkopiah dan memakai baju panas, kemudian memberitahu mahkamah supaya mengenakan hukuman ringan terhadapnya memandangkan dia tidak bekerja dan mengharapkan wang sumbangan masjid, selain menanggung enam orang anak termasuk dua yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 September ini tarikh menjatuhkan hukuman dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki barang-barang tersebut di rumah No. 797, Kampung Losong Haji Mat Shafiee dekat sini kira-kira pukul 4.55 pagi, 7 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa memiliki beberapa jenis mercun dan bunga api termasuk mercun bola sebanyak lapan bungkus, pop-pop (tujuh kotak), butterflies (lapan kotak), dragon eggs (sekotak), fire rose (29 kotak), '020' (36 batang), 'no8801A' (sekotak), 'PTL4016A' (lima unit) dan 'a016' (12 batang).

Mohamad didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mikiy Dunstan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Maidam Peruntuk RM1.3j Bina 38 Unit Rumah Golongan Miskin

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM1.3 juta bagi membina 38 unit rumah untuk golongan miskin di Kampung Banggol Peradong, Manir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, projek berkeluasan 3.5 ekar itu turut menerima peruntukan tambahan Kerajaan negeri sebanyak RM1.2 juta bagi membina sistem perparitan, jalan dan kemudahan asas yang lain.

Menurutnya, golongan miskin dan kurang berkemampuan yang mendiami rumah teres tiga bilik itu dikenakan bayaran sebanyak RM50 sebulan dan fasa pertama itu dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

“Projek ini memberi peluang kepada keluarga berkenaan untuk mendapat tempat penginapan yang lebih selesa sehingga mereka mampu berdikari dan memiliki rumah sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa dan agihan zakat saudara baru di Kompleks Darul Hidayah, petang kelmarin.

Tambah Wan Harujan, fasa kedua akan diteruskan berdasarkan sambutan yang diterima dan projek seumpama itu pernah dilaksanakan sebelum ini oleh pihak Maidam di Kampung Air, Kemaman yang melibatkan pembinaan 16 unit rumah pada tahun 1990.

Sementara itu katanya, Maidam memperuntukkan bantuan zakat Hari Raya sebanyak RM360,000 untuk disalurkan kepada 1,000 asnaf mualaf tahun ini.

Menurutnya, setiap mualaf atau 'saudara kita' menerima RM350 bagi tanggungan kurang daripada tiga orang manakala tanggungungan lebih dari empat orang, Maidam peruntukkan RM450.

“Selain itu, peruntukan berjumlah RM16,000 berupa biskut raya sedang diagihkan secara berperingkat di seluruh negeri sebagai hadiah kepada saudara kita untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

Katanya, Maidam dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu (JHEAT) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) turut melaksanakan enam lagi program Ihya Ramadan untuk golongan berkenaan.

“Selain majlis berbuka puasa dan agihan zakat di Kemaman dan Besut, program Ziarah Dakwah turut diadakan tiga perkampungan orang asli di Kampung Sungai Pergam, Kemaman; Kampung Sungai Sayap, Besut dan Kampung Sungai Berua, Hulu Terengganu.

“Turut diadakan Kem Ramadan Saudara Kita dan Masyarakat Orang Asli di Demong Beach Resort, Besut selama tiga hari bermula 18 Ogos ini,” kata Wan Harujan.
Unit Komunikasi Negeri

Tukang Kebun Mardi Didakwa Pukul Ibu Tiri Guna Batang Besi

Seorang tukang kebun Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, semalam atas tuduhan mencederakan ibu tirinya menggunakan sebatang besi panjang, Sabtu lepas.

Fatihi Hamidi Zakaria, 27, dituduh mencederakan Zaliha Othman, 43, dengan menggunakan sebatang besi panjang berbentuk V di hadapan rumah mereka di Losong Haji Mamat, kira-kira 4 petang, 6 Ogos lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abd Hayyi Salim.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda mengemukakan memo daripada hospital kepada mahkamah yang memaklumkan tertuduh penghidap penyakit sawan.

Apabila ditanya Abd Hayyi sama ada dia ada mengambil ubat yang diberikan oleh doktor, tertuduh memberitahu dia tidak pernah putus mengambil ubatnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Sept ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menjalani ujian kesihatan mental.

Abd Hayyi turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh sebutan semula

SolarTIF Bina Kilang Panel Solar RM20j

Shamsul Ezan Zairi (kanan) bersama kakitangan SolarTIF Sdn. Bhd. menunjukkan panel solar di Pejabat SolarTIF Sdn. Bhd. Chendering Kuala Terengganu, semalam.

SolarTIF Sdn., Bhd., pengeluar panel solar akan mengembangkan operasi perniagaannya dengan membina kompleks kilang baharu di kawasan seluas 1.2 hektar di Chendering dekat Kuala Terengganu .

Projek yang menelan belanja kira-kira RM20 juta itu bakal dilengkapi pelbagai prasarana dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shamsul Ezan Zairi berkata, projek tersebut akan melalui tiga fasa pembinaan dan keseluruhan projek dijangka mengambil masa antara 12 bulan hingga 18 bulan untuk siap.

Tambah beliau, fasa pertama pembinaan membabitkan sebuah blok setinggi empat tingkat yang menempatkan unit pengeluaran.

Fasa kedua pula jelasnya, mengandungi ruang pejabat, asrama, restoran, bangunan latihan manakala untuk fasa ketiga menempatkan surau, kolam renang, rumah rehat dan taman solar.

"Buat masa ini kita sedang dalam proses perundingan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk di segi pelepasan pembangunan untuk memajukan tanah dan tanah ini adalah milik kita.

"Jika segala-galanya berjalan lancar, ia akan mula dibina pada tahun depan. Kilang baharu ini hanya terletak 200 meter dari kilang sedia ada di kawasan perindustrian Chendering," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebaik sahaja kilang itu siap kelak, Shamsul Ezan berkata, pihaknya menyasarkan pengeluaran kira-kira 250,000 panel solar 50 megawatt (mw) dihasilkan pada tahun 2013 manakala kira-kira 500,000 panel solar 100 mw pada 2015.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada Jun 2007 lalu, syarikat itu kini mempunyai tiga cawangan operasinya termasuk sebuah di Chittagong, Bangladesh.

"Selain ibu pejabat di Chendering ini, kami sudah membuka sebuah cawangan di Serdang, Bangi di samping di Bangladesh," ujarnya.

Utusan Malaysia

Bilik Tidur Dirempuh Kereta, Pasangan Warga Emas Selamat

Seorang warga emas tidak menyangka tindakannya ke dapur untuk mendapatkan segelas air telah menyelamatkan nyawanya apabila sebuah kereta terbabas dan merempuh bilik tidur di rumahnya di Jalan Kamaruddin di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Jamillah Abdul Rahman, 63, berkata kejadian pada 10.30 malam itu berlaku hanya beberapa saat setelah beliau meninggalkan bilik tidurnya.

"Saya tidak percaya setelah melihat sebuah kereta dalam bilik saya," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya.

Jamillah berkata suaminya Wan Harun Awang, 64, yang baru pulang daripada menunaikan solat terawih, juga bernasib baik kerana berada di ruang tamu ketika itu.

Wan Harun membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan merancang untuk membaiki rumah secepat mungkin.

Pemandu kereta Proton Wira itu, Mohd Shah Isniza Ismail, 20an, berkata kejadian berlaku kerana dia ketika itu tergesa-gesa untuk pergi ke rumah tunangnya.

"Entah bagaimana saya hilang kawalan kereta," katanya.

Tuesday, August 9, 2011

Pakej Umrah Anjuran Kerajaan Terengganu Dapat Sambutan Baik

Muhd Ramli menyambut kepulangan peserta pakej umrah anjuran Kerajaan Negeri di LTSM semalam. - Gambar Harith Fadzilah

Langkah kerajaan Terengganu menganjurkan pakej umrah ke tanah suci mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Kumpulan pertama yang membawa seramai 450 peserta umrah dengan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Madinah pada 29 Julai lepas, selamat kembali ke tanah air semalam.

Seorang warga emas Kalthom Mohd, 69, yang berasal dari Jertih, Besut ketika ditemui di LTSM di sini berkata, beliau bersama keluarganya seramai sembilan orang merasa amat selesa mengerjakan umrah pada program pertama itu.

"Selain keselesaan yang disediakan, semasa di sana kami juga disajikan dengan makanan ala Terengganu yang tidak menjemukan," katanya yang sudah tiga kali mengerjakan ibadah haji.

Cucunya Tuan Nor Alia Najwa Tuan Adnan, 11, pula berkata, beliau dapat menjalankan ibadah puasa dan mengerjakan umrah dengan baik semasa berada di tanah suci.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar yang pergi bersama ayah, ibu serta neneknya itu berharap beliau akan dapat menunaikan umrah sekali jika diizinkan.

"Semasa saya di sana, saya tidak menghadapi sebarang masalah terutama dari segi makan kerana makanan yang disediakanpun adalah makanan Terengganu," katanya.

Seorang lagi peserta Zainab Hamzah, 37, yang berasal dari Kampung Cacar, Paka, Dungun yang menghidap barah lidah sejak setahun lalu, dapat mengerjakan umrah dengan sempurna walaupun sakit.

Beliau yang dibantu ibunya Dara Mohd, 72, yang pergi bersama rombongan itu merasa puas hati dengan layanan yang diberikan.

"Mak Cik bersyukur kerana anak makcik walaupun dia uzur, namun dia dapat mengerjakan umrah dan menjalankan ibadah puasa dengan baik serta dapat berubat di sana," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerbangan Negeri Muhamad Ramli Nuh ketika menyambut ketibaan rombongan berkata, pakej umrah yang dianjurkan kerajaan negeri itu mendapat sambutan baik daripada orang ramai.