Saturday, January 14, 2012

Ahmad Said Sambut Baik FAM Lanjut Tempoh Daftar Pemain Import

Keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pemain import kepada semua persatuan bola sepak negeri disambut baik oleh Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata langkah tersebut yang diambil setelah JKPT bermesyuarat petang semalam, melegakan semua pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin 9Gambar kanan) mengumumkan hasil mesyuarat itu petang semalam.

Beliau berkata pihaknya berterima kasih kerana jawatankuasa itu kerana membenarkan semua persatuan bola sepak negeri mendaftar pemain import mereka sehingga 13 Feb ini.

"Keputusan ini akan melegakan semua pihak dan membolehkan PBSNT menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada media.

Ahmad Said sebelum ini mengancam akan menarik penyertaan pasukan Terengganu dan T-Team dalam saingan Liga Malaysia serta mahu menyaman FAM jika tidak membenarkan dua pemain importnya dari Liberia dan Brazil beraksi pada Liga Super, setelah dikatakan Terengganu tidak mematuhi peraturan berhubung pengambilan pemain importnya.

Pelajar Jantung Berlubang Selamat Dibedah

Pelajar tingkatan lima, Mohd Nazwan, dari Kemaman yang menderita sakit jantung berlubang sejak 10 tahun lalu, selamat menjalani pembedahan di Pusat Rawatan i-Heal Kuala Lumpur, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mentok itu menjalani pembedahan jantung di pusat rawatan milik anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, dibedah dengan kos rawatan dibiayai sepenuhnhya oleh kerajaan negeri.

Mohd Nazwan yang ditemani kedua-dua ibu bapanya dimasukkan ke pusat rawatan itu semalam dan menjalani pembedahan kira-kira jam 9 pagi semalam.

Pakar sakit jantung, Dr David Khoo Sin Keat, yang menjalankan pembedahan itu berkata, pesakit mengalami masalah jantung berlubang seluas kira-kira satu sentimeter dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) i-Heal dan masih dalam perhatian doktor pakar,” katanya ketika ditemui Teganukita selepas pembedahan tersebut yang mengambil masa kira-kira tiga jam.

Beliau berkata, Mohd Nazwan akan dirawat di hospital itu selama lima hari dan mungkin dibenarkan pulang ke Terengganu seminggu lagi (Jumaat).

Ibu pesakit, Khatijah Muda, 52, merakamkan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, yang sudi menanggung kos rawatan anak beliau.

“Mak Cik harap Mohd Nazwan akan cepat sembuh dan mula belajar selepas ini bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

8 Pasukan Liga M Layak Ambil Pemain Import Sehingga 13 Feb

AKSI lincah pemain import Terengganu, Francis Forkey Deo ketika menentang Perlis pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Selepas beberapa hari kontroversi melanda Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan lapan pasukan Liga Malaysia termasuk Terengganu, kini boleh menarik nafas lega.

Lapan pasukan itu yang sebelum ini tidak dapat menggunakan pemain import untuk saingan liga musim ini akibat kegagalan untuk menepati beberapa peraturan yang ditetapkan oleh JKPT, tidak lagi bimbang dan kecewa.

FAM menerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan yang bermesyuarat semalam memutuskan untuk melanjutkan tempoh pendaftaran pemain import selama sebulan bermula Jumaat sehingga 13 Feb depan demi memartabatkan liga bola sepak tempatan.

"Bagaimanapun pasukan terbabit terlebih dahulu harus merujuk pengambilan pemain import kepada Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan ketika membuat pendaftaran," kata Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT di Wisma FAM di Kelana Jaya semalam.

Mesyuarat lebih dua jam itu turut dihadiri oleh Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad dan Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh merangkap ahli jawatankuasa (AJK) JKPT.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan yang bermesyuarat pada 22 Dis lepas meluluskan pengambilan 26 daripada 35 pemain import daripada beberapa pasukan negeri dan kelab untuk beraksi dalam Liga Malaysia.

Antara pemain import yang telah mendapat kelulusan FAM untuk beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana adalah Marlon James dan Bruno Sebastian Martelotto dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Esseh Sodjine Sougan Adah (Johor), Danilo Rafael Dos Santos Vivaldo (Kedah), Mohamad Ghaddar, Dennis Agayare dan Emmanuel Ayaah Okine (Kelantan) dan Ramez Dayoub (Selangor).

Empat pemain lain iaitu Daniel Soares Neves (Kedah), Mbele Lelo (Selangor), Evans Chusilo (MP Muar) dan Christian Contes (Perlis) pula diluluskan secara bersyarat.

Sebelum ini, FAM tidak membenarkan dua pemain import yang telah ditandatangani Terengganu iaitu Erison Da Silva Santos Carnieto dan Francis Forkey Doe beraksi dalam saingan Liga Super.

Pemain Import Johor FC, TITO da Silva (kiri) dan Tiago bersama penolong jurulatih Johor FC, Azmi Mohamad ketika sesi latihan. Kini status dua pemain import berkenaan diisytihar tidak sah.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said yang berang dengan keputusan tersebut pada Rabu telah mengancam untuk menarik keluar pasukan Terengganu dan T-Team daripada menyertai Liga Malaysia.

Hamidin turut menasihatkan agar lapan pasukan itu dapat menggunakan masa sebulan yang diberikan oleh FAM untuk mencari pemain import yang memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Beliau berkata FAM akan mengadakan kursus pengambilan pemain import pada semua pasukan Mac depan dan musim kedua untuk mendaftar pemain import dari 2-16 April turut dikekalkan.

Amaran Hujan Lebat di Terengganu,Pahang dan Johor

Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di beberapa daerah di Pahang, Terengganu dan Johor dijangka berterusan sehingga hari ini, yang akan menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, amaran hujan lebat peringkat jingga itu melibatkan Kuantan, Jerantut, Maran dan Pekan di Pahang; Dungun dan Kemaman (Terengganu) serta Mersing dan Rompin (Johor).

Sementara itu, hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang dijangka berterusan sehingga Sabtu, yang juga boleh menyebabkan banjir.

Daerah yang terlibat di Kelantan ialah Kota Baharu, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang; Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang (Terengganu); Rompin, Temerloh, Lipis, Bera, Bentong, Raub dan Cameron Highlands (Pahang) serta daerah Segamat, Johor.

Di Perlis, daerah yang terlibat adalah Kangar, Padang Besar dan Arau; daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pendang, Yan, Sik, Kuala Muda, Baling, Kulim, Bandar Baharu dan Langkawi (Kedah); Kerian, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta (Perak); manakala di Pulau Pinang melibatkan daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Timur Laut dan Barat Daya.

Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 60km/j dengan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter yang berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North dan Layang-Layang, yang dijangka berterusan sehingga hari ini.

Kawasan pantai di Pantai Timur Semenanjung juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut, dan berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua apabila angin kencang timur laut dengan kelajuan 50-60km/j dengan ombak mencapai 4.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Sarawak, Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan), Reef North, Palawan dan Sulu dijangka berterusan sehingga hari ini.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Dua Bangunan Pencakar Langit Bakal Merubah Wajah Kuala Terengganu

Wajah bandar Kuala Terengganu akan berubah apabila dua bangunan kembar masing-masing setinggi 30 tingkat yang sedang dalam pembinaan siap dua tahun lagi.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kedua-dua bangunan pencakar langit itu sedang dibina berhampiran muara sungai Terengganu.

"Ini satu mercu tanda bandar Kuala Terengganu pada masa akan datang," katanya di Kuala Terengganu.

Ahmad berkata bangunan pertama merupakan sebuah kondominium 24 tingkat dengan 408 unit kediaman dan enam tingkat tempat letak kereta bernilai lebih RM80 juta.

Beliau berkata rumah itu akan dijual dan keutamaan diberi kepada penduduk Kampung Ladang, Ladang Sahak, Ladang Tok Pelam dan Tanjung, di Kuala Terengganu, yang terlibat dengan pengambilan balik tanah untuk pembangunan.

Bagaimanapun, Ahmad Saidberkata harga rumah berkenaan akan ditentukan setelah mengambil kira kos tanah dan kos pembinaan.

Beliau berkata sebuah lagi bangunan akan menempatkan Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) yang pada masa ini menyewa di bangunan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu.

Ahmad berkata pelan akhir bangunan itu sedang disiapkan dan projek itu akan dilancarkan dalam masa terdekat ini.

"Kosnya belum diketahui lagi," katanya.

Pasang CCTV Di Lokasi Perhimpunan Mudahkan Pemantauan

Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi sesuatu perhimpunan adalah antara pendekatan yang perlu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mengelakkan segelintir individu membuat kekacauan dan huru-hara ketika berhimpun.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Kamarudin Md. Ali berkata, CCTV perlu dipasang dalam jarak yang bersesuaian untuk tujuan keselamatan.

Katanya, melalui kaedah itu pihak keselamatan lebih mudah untuk memantau keadaan selain dapat mengenal pasti individu yang tidak bertanggungjawab cuba menghuru-harakan keadaan ketika perhimpunan berlangsung.

"Ada golongan yang saya gelar sebagai 'anarki' menggunakan perhimpunan untuk mencetuskan suasana kelam-kabut. Ketika itu pemantauan melalui CCTV amat penting sekali gus keselamatan dapat dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Balai Polis Cabang Tiga dekat sini semalam dalam program lawatan dan penilaian balai polis terbaik yang turut melibatkan 26 lagi balai polis seluruh negara.

Kamarudin menjawab soalan berkaitan isu letupan bom yang berlaku ketika perhimpunan yang diadakan sewaktu keputusan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Dalam kejadian tersebut, lima cedera termasuk peguam selepas kejadian letupan dipercayai bom buatan sendiri berlaku di luar Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta.

Bagaimanapun jelasnya, dalam usaha memastikan sesebuah penganjuran perhimpunan itu berjalan dengan aman seperti yang ditetapkan oleh polis, pihak penganjur memainkan peranan dalam memastikan mereka yang terlibat tidak bertindak keterlaluan.

Jelasnya, pihak penganjur perlu menetapkan individu yang dibenarkan menyertai perhimpunan berkenaan.

"Mereka perlu pastikan individu yang menyertai perhimpunan itu tidak mempunyai niat buruk yang akan membawa kekacauan. Melalui cara itu, pihak penganjur boleh menjamin keselamatan jika sesuatu perhimpunan itu diadakan," jelasnya.

Amaran Keras Kepada Pemilik Tanah Terengganu Tidak Bayar Tunggakan Cukai

Kerajaan negeri Terengganu memberi amaran keras termasuk merampas tanah pemilik yang didapati tidak menjelaskan tunggakan cukai tanah melebihi 10 tahun lepas.

Ketika memberi amaran itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ia bukan untuk membebankan rakyat tetapi untuk menjadikan pemilik tanah berkenaan lebih bertanggungjawab.

"Ia melibatkan 25,047 hak milik dan mulai tahun ini pejabat tanah akan mengeluarkan notis kepada pemilik yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan Menteri Besar Terengganu bersama warga pentadbiran tanah negeri di Kaula Terengganu, kelmarin.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Tuan Mamat Tuan Ngah.

Kutipan cukai tanah di Terengganu yang dicatat pada tahun 2011 ialah RM23 juta sedangkan hasil sebenar yang patut dipungut ialah RM26 juta, katanya.

Sementara itu, Ahmad Said berkata pada tahun lepas kerajaan negeri membelanjakan RM80 juta untuk pengambilan balik tanah di 24 kawasan bagi tujuan pembangunan.

Katanya,kerajaan negeri mahu semua pentadbir tanah di negeri ini supaya melipatgandakan usaha dengan menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 85 peratus pemilik tanah membayar cukai.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebanyak 25,047 hak milik dikesan gagal membayar cukai sehingga lebih 10 tahun walaupun pelbagai pendekatan dilaksanakan.

"Kerajaan negeri berhasrat memberi ganjaran setimpal kepada Pejabat Tanah yang berjaya mengutip 85 peratus hasil tahunan daripada keseluruhan hak milik tanah di daerah masing-masing.

Sehubungan itu, Ahmad Said meminta para pemilik supaya prihatin mengenai pembayaran ini bagi mengelak tunggakan dan didenda lewat bayar atau berdepan tindakan lebih tegas.

Menurut beliau, kutipan cukai hasil tanah negeri lalu meningkat 0.4 peratus kepada RM23.02 juta berbanding 2010 atau 87 peratus daripada jumlah sasaran berjumlah RM26.21 juta.

Walaubagaimanapun katanya, kutipan cukai tertunggak menunjukkan penurunan sebanyak 2.3 peratus berbanding 2010 dan penyelesaian bilangan hak milik tanah juga menurun daripada 64.31 peratus pada 2010 kepada 63.39 peratus (2011).

Ahmad Said berkata, hasil gerak kerja yang cekap daripada pengawai dan kakitangan terbukti melalui prestasi keseluruhan yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

Katanya, pungutan hasil negeri secara keseluruhannya pada tahun lalu meningkat kepada RM90.63 juta berbanding RM69.56 juta (2010).

''Manakala 1,832 permohonan tukar syarat tanah berjaya diselesaikan pada tahun sama berbanding 1,328 (2010).

"Penyelesaian pendaftaran hak milik baru bagi tahun 2011 turut meningkat kepada 17,491 berbanding 16, 075 (2010).

"Begitu juga dengan penyelesaian pendaftaran hak milik sambungan daripada hak milik sementara (QT) kepada hak milik tetap (FT) sebanyak 14,686 pada 2011 berbanding 14,048 (2010)," katanya.

Bagi proses pengambilan tanah kata Ahmad, kerajaan negeri memperuntukkan RM80 juta pada tahun lalu untuk bayaran pampasan di 24 kawasan di seluruh negeri.

HwangDBS Kekalkan Saranan 'Beli' Ke Atas Petgas, Harga Sasaran Dinaikkan Kepada RM16.90

HwangDBS Vickers Research terus mengekalkan saranan "beli" ke atas Petronas Gas Bhd dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM16.90 sesaham daripada RM15.50 sebelumnya ekoran tinjauan menggalakkan dalam industri minyak dan gas.

Syarikat penyelidikan itu turut yakin dengan pertumbuhan pendapatan kukuh syarikat dari tahun kewangan tahun ini dan seterusnya, berkata tinjauan menggalakkan untuk industri disokong oleh loji-loji saluran dan regas yang baharu.

Ia berkata pertumbuhan pendapatan yang kukuh akan dirangsang oleh sumbangan daripada loji regas Malaysia dalam tahun kewangan 2012 dan loji kuasa Sabah pada 2013, katanya dalam semakan terhadap syarikat yang sahamnya turun empat sen kepada RM15.40 di Bursa Malaysia pada 11.30 pagi Jumaat.

Petronas Gas akan menjadi benefisiari utama dengan rancangan saluran paip baharu di Terengganu dan loji-loji regasifikasi baharu di Pengerang dan Lumut, katanya dalam satu kenyataan.

Ia berkata syarikat merupakan peserta utama dalam pasaran minyak dan gas yang tidak menentu pada masa ini.

36,806 Tiket KTMB sempena Tahun Baru Cina

Orang ramai masih berpeluang mendapatkan tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi perjalanan ke Pantai Timur, Selatan, Utara dan Tengah sempena perayaan Tahun Baru Cina.

KTMB dalam satu kenyataan malam semalam berkata, bagi perjalanan 18 hingga 31 Januari, masih terdapat baki 36,806 tiket yang boleh dibeli di kaunter KTM Intercity di seluruh negara.

Bagi perjalanan sebelum perayaan iaitu 18 hingga 22 Januari, sejumlah 27,000 tiket disediakan dan sehingga 5 petang ini, sebanyak 14,902 tiket pelbagai kelas untuk semua sektor sudah dijual.

Bagi perjalanan mulai 23 hingga 31 Januari, KTMB menyediakan 49,786 tiket dan daripada jumlah itu, sebanyak 22,078 sudah dijual. KTMB, melalui perkhidmatan KTM Intercity, menawarkan sejumlah 73,786 tiket pelbagai kelas ke semua sektor iaitu Pantai Timur, Selatan, Utara dan Tengah sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian 1-300-88-5862.

Sementara itu, Express Rail Link (ERL) kini menawarkan pakej penjimatan berkumpulan dan keluarga bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan KLIA Ekspres.
Tambang khas itu boleh didapati secara online menerusi www.KLIAekspres.com dan www.malaysiaairlines.com.

Pakej keluarga berharga RM75 bagi perjalanan sehala untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak (berusia antara 2 hingga 12 tahun), iaitu diskaun sebanyak 25 peratus daripada kadar tambang biasa.

Bagi kumpulan tiga orang atau lebih, mereka berpeluang menikmati penjimatan dengan tambang penjimatan berkumpulan pada kadar RM25 setiap seorang bagi perjalanan sehala (kadar biasa ialah RM35).

Pelanggan boleh membeli tiket secara online mulai 13 Januari bagi perjalanan dari 19 Januari hingga 7 Februari.

Tiket yang dikeluarkan dalam format PDF sah digunakan pada tarikh yang dipilih sahaja.

Bagi penjimatan berhubung kedua-dua pakej, sila layari www.KLIAekspres.com.

T-Team Tuntut Zacharia Simikounda Beri Persembahan Terbaik

Pasukan T-Team mahu pemain importnya Zacharia Simikounda memberikan persembahan terbaik ketika pasukan itu menentang Kuala Lumpur dalam pertandingan Liga Super di Stadium Hang Jebat Melaka hari ini.

Jurulatih T-Team Yunus Alif berkata ini kerana pemain kelahiran Zambia itu tidak menunjukkan permainan sebagaimana diharapkan ketika T-Team bertemu Kedah di sini Selasa lepas.

"Kita mahu lihat Zacharia yang juga bekas pemain Perlis menunjukkan permainan sebenar dan seterusnya membantu T-Team memungut tiga mata penuh dalam perlawanan itu," katanya.

Yunus berkata T-Team sedar Kuala Lumpur tidak akan memberi laluan mudah kepada T-Team kerana pasukan itu juga berazam tidak mahu menderita setelah terlepas tiga mata dalam perlawanan pembuka tirai Selasa lalu.

Beliau berkata T-Team lega apabila pemain pertahanan kirinya Norfazly Alias, yang menerima dua kad kuning semasa perlawanan separuh akhir Piala Malaysia tahun lalu, bebas daripada penggantungan dan boleh diturunkan membantu T-Team dalam perlawanan itu nanti.

Kehadiran Norfazly memang diharapkan memandangkan pemain pertahanan import T-Team Bojan Patric mengalami kecederaan buku lali ketika T-Team menentang Kedah

1,200 Peserta NGO Dijangka Hadiri Konvensyen Di Terengganu Hari Ini

Lebih 1,200 peserta daripada 150 badan bukan kerajaan (NGO) di Terengganu akan menghadiri konvesyen bagi membincangkan isu-isu semasa hari ini, kata pengerusi konvensyen Datuk Abdul Rahman Bakar.

"Konvesyen seumpama ini yang merupakan pertama kali diadakan di negeri ini diadakan supaya anggota NGO memahami isu semasa yang sedang berlaku di sekitar mereka untuk ditangani," katanya.

Beliau berkata konvensyen anjuran Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu itu akan diikuti dengan forum khas bertajuk "BN dan NGO Juara Rakyat' yang ahli panelnya terdiri daripada wakil Umno, MIC dan MCA.

Abdul Rahman berkata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dijangka turut membentangkan kertas kerja.

Sabitan Dan Denda Rasuah Meningkat Tahun Lalu

Pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatatkan prestasi yang lebih baik sepanjang tahun lalu dengan kadar sabitan kes melibatkan pesalah rasuah sebanyak 74 peratus.

SPRM dalam satu kenyataan media semalam menjelaskan bahawa sejak dinaikkan taraf daripada Badan Pencegahan Rasuah (BPR) kepada SPRM pada 2009, kadar itu (74 peratus) adalah pencapaian paling tinggi berbanding 71 peratus pada tahun 2010 dan 54 peratus (2009).

Menurut kenyataan itu, jumlah denda yang dikenakan kepada para tertuduh oleh mahkamah di seluruh negara tahun lalu berjumlah RM10,891,145 berbanding dengan RM9,495,555 pada 2010.

"Antara punca kejayaan ini ialah hasil daripada tertubuhnya Mahkamah Sesyen Khas yang membicarakan kes rasuah pada 16 Februari 2011. Ia telah mempercepatkan perbicaraan kes di mahkamah dan sekali gus membolehkan saksi-saksi dapat mengingati kejadian dengan lebih tepat dan mengurangkan jumlah saksi yang berpaling tadah,” jelas kenyataan itu.

Selain itu, kejayaan ini turut dibantu peruntukan baru dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 mengenai peranan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dan Jawatankuasa Aduan yang memantau pengurusan SPRM.

Anggota jawatankuasa dan lembaga berkenaan terdiri daripada pakar dari dalam dan luar kerajaan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, undang-undang dan wakil daripada parti politik termasuk daripada pembangkang.

Antara kejayaan utama SPRM tahun lalu adalah sabitan kes bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo yang disabitkan dengan hukuman penjara 12 bulan.

Dr. Mohamad Khir, 46, didapati bersalah terhadap tuduhan mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di Seksyen 7, Shah Alam, lima tahun yang lalu.

PBSNT Dan FAM Dinasihat Bincang Secara Adik-Beradik

Pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu berbincang semula bagi menyelesaikan isu melibatkan pemain import yang melibatkan kedua-dua pihak, kata bekas pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

Beliau berkata masalah itu perlu ditangani segera bagi mengelak imej baik FAM dan sukan bola sepak negara daripada tercemar.

"Saranan saya adalah supaya kedua-dua pihak duduk semeja dan berbincang seperti adik-beradik dan cari penyelesaian terbaik mengenai perkara ini. Orang luar akan menuding jari kepada FAM sedangkan perkara ini adalah di peringkat jawatankuasa kecil dan saya rasa penyelesaian menang-menang masih boleh dicari," katanya kepada pemberita di Ipoh kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said semalam yang memberi kata dua kepada FAM dan mahukan badan itu bertindak menyelesaiakan masalah berkenaan dengan segera atau berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Ahmad Said dilaporkan mahu FAM membenarkan Terengganu menggunakan dua pemain import yang telah didaftarkan sebelum ini serta membayar ganti rugi kerana kerajaan negeri telah mengeluarkan belanja yang banyak untuk mendapatkan dua pemain import berkenaan.

Selain itu, PBSNT juga mahu dua pasukan dari negeri itu untuk menarik diri dari Liga M dan Piala Malaysia sekiranya tiada jalan penyelesaian.

Isu itu timbul ekoran pekeliling FAM bertarikh 23 Dis 2011 berhubung pendaftaran pemain import yang dihantar oleh Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad sebelum kontrak bersama pemain import ditandatangani untuk beraksi dalam Liga Malaysia 2012.

Terengganu dikejutkan dengan keputusan FAM yang tidak membenarkan dua pemain import itu beraksi dalam Liga Super yang telah bermula dua hari lepas dengan alasan PBSNT gagal mematuhi pekeliling yang telah dikeluarkan.

Raja Ahmad Zainuddin, yang terlibat menyuarakan keperluan membawa semula pemain import ke kancah Liga Super musim ini, berkata beliau merasa terkilan dengan isu itu.

"Liga M dan Piala Malaysia akan pudar sekiranya kedua-dua pasukan Terengganu ini meninggalkan pertandingan," katanya.

Sementara itu di Kemaman semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kementeriannya berharap kekusutan yang berlaku antara PBSNT dan FAM dapat diselesaikan dengan baik.

Beliau mahu melihat badan bola sepak negara dan PBSNT menyelesaikan isu itu secara profesional, bukan secara sentimen dan sebagainya.

"Kita tahu dalam sistem bola sepak FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), campur tangan kerajaan yang kerap dianggap tidak baik dan saya bimbang kalau terlalu banyak campur tangan kerajaan, politik dan sebagainya, ia boleh memberi ancaman kepada masa depan FAM.

"Kita difahamkan FAM akan mengadakan mesyuarat khas hari ini dan kita tunggulah keputusannya," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Semai Bakti Parlimen Kemaman semalam.

Ahmad Shabery berkata dalam keghairahan ingin menurunkan pemain import, pihaknya tidak mahu melihat ada pasukan yang terpinggir.

"Apa yang disuarakan Menteri Besar Terengganu itu dilihat mewakili perasaan orang Terengganu dan penyokong PBSNT, manakala FAM juga ada pendiriannya.

"Saya minta perkara ini diselesaikan di peringkat FAM dan PBSNT. Saya tidak wajar campur tangan pada masa ini kerana kalau campur tangan, ia dikhuatiri boleh mengancam status FAM pada kaca mata FIFA," katanya.

FAM Tidak Berlembut 'Gertakan' Terengganu

Angkuhnya Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)Datuk Hamidin Mohd. Amin yang menunjukkan tanda tidak mahu berlembut berhubung 'gertakan' Terengganu dan T-Team untuk menarik diri daripada Liga Malaysia (Liga-M) berhubung isu pemain import.

Dalam reaksinya berhubung amaran keras Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said kelmarin, berkata isu pendaftaran pemain import sudah diperjelaskan berulang kali.
Jelas Hamidin yang juga Naib Presiden FAM, lantaran itu beliau juga tidak mahu mengeruhkan lagi isu tersebut.

"Sebagai salah seorang exco FAM, saya memahami dan mengambil berat apa yang dinyatakan oleh Menteri Besar Terengganu kelmarin.

"Jika mahu mendapatkan komen terhadap apa yang beliau perkatakan semalam (kelmarin), saya telah pun berikan penjelasan berulang kali kepada media mengenai isu berkenaan (pendaftaran pemain import).

"Jadi, tidak perlu saya nyatakan sekali lagi terhadap isu ini. Apabila tiba masa yang sesuai, saya akan berikan maklum balas mengenai pendirian FAM, " katanya.

FAM dijangka mengadakan sidang media selepas mesyuarat khas JPKT di Wisma FAM petang semalam.

Mesyuarat itu dijangka menjawab segala persoalan yang mahu dikemukakan PBSNT.

Kelmarin, Ahmad Said yang mewakili kerajaan negeri mahu FAM membenarkan dua pemain import yang telah ditandatangani Terengganu iaitu Erison Da Silva Santos Carnieto dan Francis Forkey Doe beraksi dalam saingan Liga Super atau membayar ganti rugi kos pembayaran pemain.

Jika FAM enggan mengikut pilihan yang diberikan, Ahmad mengancam akan menarik penyertaan Terengganu dan T-Team dalam saingan Liga Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, ahli bersekutu FAM mempunyai hak menyaman badan induk bola sepak negara itu tetapi ia merupakan proses terakhir dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian.

Merujuk kepada laporan bahawa kerajaan Terengganu akan menyaman FAM sekiranya badan induk itu gagal memenuhi tuntutan berhubung kes pemain import, katanya mengikut prosedur badan induk tersebut, anggota bersekutu perlu terlebih dahulu melalui beberapa proses.

"Sebagai anggota bersekutu, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) perlu merujuk perkara tersebut kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan. Jika tidak berpuas hati, bolehlah membawa perkara tersebut kepada mesyuarat Exco FAM.

"Proses seterusnya ialah membawa kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan sekiranya masih gagal menemui penyelesaian, barulah boleh mengambil tindakan undang-undang,” katanya semalam.

Friday, January 13, 2012

PFK Perkasa Ekonomi, Galak Penyertaan Ushawan

Menteri Besar teruja melihat hasil usahawan yang berwibawa dan berdaya maju.

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) melaksanakan pelbagai program dan projek keusahawanan termasuk Program Flagship Keusahawanan (PFK) bagi memperkasakan ekonomi dan mengalakkan pembabitan rakyat negeri ini dalam bidang keusahawanan.

Program PFK termasuk merancang dan menambah pembukaan T’Shoppe, T’Kafe, T’Crafts dan T’Lodge yang dijangka mampu memberi pulangan berkesan kepada pencapaian objektif pelaksanaan program T-Brand.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata usaha dan pencapaian itu amat memberangsangkan dan terkehadapan berbanding negeri lain di negara ini serta melahirkan golongan usahawan yang berwibawa dan berdaya maju.

Katanya, program PFK itu juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Terengganu Maju 2020 dengan memperkenalkan empat tonggak, iaitu Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Hala Tuju Negeri Terengganu.

“Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009 - 2013 merupakan visi Kerajaan Terengganu bagi mencapai Negeri Maju Tahun 2020 dengan misi merancang dan melaksanakan pembangunan negeri yang menyeluruh bagi kesejahteraan rakyat dengan berteraskan agenda `merakyatkan pentadbiran dan pembangunan’, " katanya di majlis Malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin (11 Januari).

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

Menteri Besar berkata, program transformasi ekonomi merupakan agenda yang amat penting dalam pembangunan Terengganu keseluruhannya.

Malah, pelbagai program dirancang bagi mencapai Negeri Maju 2020 termasuk program mega seperti Wilayah Ekonomi Pantai Timur , projek Zon Industri Akuakultur, projek jelapang padi dan Empangan Paya Peda.

Teganukita

Pemain Import - Penyokong Pertahan Ketegasan MB

Penyokong skuad Penyu gembira dengan ketegasan pimpinan negeri ini demi memastikan Terengganu tidak menjadi mangsa pentadbiran bola sepak negara yang tidak mesra.

Dalam masa yang sama, mereka bimbang jika keadaan tidak berubah, ia mungkin memaksa skuad negeri dan T-Team menarik diri daripada kemeriahan Liga Malaysia (Liga-M).

Sehubungan itu mereka berharap isu surat pekeliling melibatkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan berakhir dengan baik.

Presiden Kelab Penyokong Terengganu (Terengganu FC), Hazrul Hanafi menyifatkan tanpa penyertaan dalam Liga-M, bola sepak negara dan negeri ini akan suram.

Lebih buruk, jika ia benar-benar berlaku, ia bakal memberi kesan kepada pendapatan pemain Terengganu dan T-Team yang menjadikan bola sepak sebagai punca rezeki mereka.

Bagaimanapun jelas Hazrul, keputusan kerajaan negeri untuk menuntut ganti rugi daripada FAM adalah wajar kerana kesilapan itu berpunca daripada persatuan itu.

"Saya berharap biarlah tindakan untuk menarik diri daripada bertanding itu menjadi langkah terakhir dan merayu agar PBSNT dan FAM dapat mencari penyelesaian yang memuaskan hati kedua-dua pihak.

"Ini kerana, satu kerugian apabila Terengganu tidak berada dalam saingan Liga Malaysia," jelasnya ketika dihubungi di Kuala Terengganu semalam.

Ketua Balai Cemerlang Berpeluang Bertugas Di Hong Kong

Enam ketua balai dari 27 buah balai polis seluruh negara yang memenangi Anugerah Balai Polis Cemerlang Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) 2011 bagi kategori luar dan dalam bandar akan berpeluang bertugas di balai polis Hong Kong selama dua minggu.

Naib Pengerusi MCPF Datuk Kamaruddin Md Ali berkata mereka akan dihantar bagi menimba pengalaman di balai polis terpilih di Hong Kong sebagai insentif atas usaha mereka mengurangkan kadar jenayah di kawasan masing-masing.

Katanya semasa berada di Hong Kong nanti selain mengikuti lawatan sambil kerja, mereka juga berpeluang menjalani latihan dalam mempelajari kaedah-kaedah pencegahan jenayah yang sesuai untuk diguna pakai di negara ini kelak.

"Pada tahun 2009, MCPF telah menghantar lima ketua polis balai menjalani latihan dan pengalaman ke Melbourne, Australia," katanya selepas menilai Balai Polis Pasir Akar (gambar atas) di Hulu Besut, bersama rombongan panel hakim MCPF.

Hadir sama Ketua Polis Negeri Datuk Jamshah Mustafa, Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria dan Ketua Balai Polis Pasir Akar SM Manzolkipli Hassan.

Kamaruddin berkata dua balai polis di Terengganu terpilih mewakili negeri itu iaitu Balai Polis Pasir Akar, Hulu Besut bagi kategori Balai Polis Luar Bandar dan Balai Polis Cemerlang bandar ialah Balai Polis Cabang Tiga, Kuala Terengganu yang tersenarai ke peringkat akhir.

Katanya pertandingan dua tahun sekali ini berstatus antarabangsa kerana balai yang terbaik akan dipertandingkan ke peringkat Asia dan seterusnya.

"Balai Polis Pasir Akar terpilih hingga ke peringkat akhir kerana hubungan baik dengan komuniti setempat dalam pelbagai aspek," katanya.

Beliau berkata anggota panel turut mendapat respons secara tertutup daripada pemimpin dan wakil setempat mengenai perkhidmatan balai polis yang mula wujud pada tahun 1956 dan dulunya dikenali rumah pasung.

Pemilik Syarikat Pemborong Dipilih Tokoh Usahawan Terengganu 2011

Ahmad Said (belakang lima dari kiri) bersama para penerima anugerah pada Majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2011 di Kuala Terengganu, kelmarin.

Pemilik syarikat pemborong terbesar di Pantai Timur, SP Chong Sdn Bhd, Chong Fah Ming dipilih sebagai Tokoh Usahawan Terengganu 2011 pada majlis Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) diadakan di Kuala Terengganu kelmarin.

Dengan kemenangan itu Fah Ming, 58, menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil serta piala iringan yang disampaikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau adalah antara 14 tokoh usahawan negeri ini yang dipilih berdasarkan kejayaan masing-masing dalam bidang perniagaan yang membabitkan lapan kategori.

Kategori itu ialah Tokoh Usahawan (satu penerima), Perkhidmatan dan Perdagangan (tiga penerima), Perkilangan dan Pembuatan (tiga penerima), Industri Makanan dan Asas Tani (tiga penerima), Peniaga dan Penjaja Kecil (dua penerima).

Kategori Usahawan Kilang Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu dan Anugerah Khas Usahawan Flagship YPU, masing-masing satu penerima dengan menerima hadiah wang tunai RM3,000 piala iringan serta hadiah sampingan lain.

Ketika ditemui pemberita, Fah Ming berkata pemilihannya sebagai penerima anugerah itu adalah kali kedua selepas kali pertama pada 2002 yang diberi atas nama syarikatnya iaitu Anugerah Penghargaan Keusahawanan Terengganu (PKT) oleh kerajaan negeri.

"Kumpulan SP Chong yang mempunyai pengalaman perniagaan dalam bidang pemborong dan perhotelan, sedia berkongsi pengalaman dan membantu memajukan peniaga kecil Bumiputera di negeri ini untuk berjaya dalam perniagaan," katanya.

Syarikat SP Chong, yang diasaskan pada 1984, kini memiliki bangunan sendiri di Kawasan Perindustrian Gong Badak, di sini adalah syarikat pemborong terbesar di Pantai Timur yang membabitkan wilayah pemasarannya di Terengganu, Pahang dan Kelantan dan membekal lebih 4,000 produk kepada pelanggan termasuk alat tulis, pakaian seragam sekolah, barangan kesihatan dan barangan keperluan rumah.

SP Chong menerusi syarikat kumpulannya, Auto Friction Manufacturing Sdn Bhd juga mempunyai kilang pembuatan cakera brek kenderaan di Gong Badak yang produknya menggunakan jenama AFI Brake dieksport ke luar negara Jepun, Indonesia, China, Iran dan Iraq.

MSET Engeneering Corporation Sdn Bhd (MSETEC) menerima Anugerah Tokoh Usahawan Kategori Perkilangan dan Pembuatan dengan memenangi hadiah wang tunai RM3,000, piala dan hadiah sampingan yang lain.

Pengerusi dan pemiliknya Hasnan Abdullah, 46, bersyukur apabila dipilih menerima anugerah itu, sekaligus membuktikan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap kejayaan anak Terengganu dalam bidang perniagaan.

Beliau yang tidak menduga terpilih menerima anugerah itu, berkata jika mahu menjadi usahawan berjaya, seseorang itu harus mempunyai jati diri yang kental dan tidak mudah putus asa dalam mengharungi cabaran dunia perniagaan.

Wartawan RTM Terengganu Majidah Ismail, 35, pula menerima anugerah khas media elektronik berita TV manakala wartawan sambilan Utusan Malaysia Terengganu Adnan Mohamad, 54, bagi kategori berita media cetak dengan masing-msing memenangi wang tunai RM2,500 serta piala iringan.

Linde Malaysia Sasar Pertumbuhan Dua Digit Dengan Pelaburan RM650 Juta

Linde Malaysia Sdn Bhd, yang mensasarkan pelaburan berjumlah RM650 juta bagi rancangan strategik lima tahunnya (2011-2015) dalam usaha mengembangkan perniagaan sedia ada dan pelaburan baharu, berazam untuk mencapai pertumbuhan dua digit.

MOX-Linde Gases Sdn Bhd dengan rasminya dijenamakan semula sebagai Linde Malaysia Sdn Bhd, sebagai sebahagian daripada program global untuk menempatkan syarikat dalam kalangan payung Linde Group di bawah satu nama jenama.

Linde Malaysia, peneraju pasaran gas perindustrian di Malaysia sejak 50 tahun lepas, mengendalikan lebih 60 loji dan 20 pusat jualan di keseluruhan 33 lokasi.

Ahli kepada Lembaga Eksekutif Linde AG, Sanjiv Lamba berkata sejak lima tahun lepas, sejumlah RM625 juta telah dilaburkan di Malaysia bagi mengukuhkan lagi teraju rangkaian dan pasarannya.

Dalam tahun 2010, jualan Asia Selatan dan Asia Tenggara menguasai 750-800 juta euro.

Selain daripada pelaburan, beliau berkata syarikat akan meninjau beberapa kawasan baharu, terutamanya Sabah/Sarawak serta peluang melangkaui portfolionya.

Pada bulan Mac tahun lepas, Linde Malaysia membuka loji pengasingan udara bernilai RM200 juta di Pasir Gudang, Johor sementara pada bulan Ogos ia menguasai 49 peratus daripada Eastern Oxygen Industries Sdn Bhd.

Kemudiannya, syarikat telah melabur RM60 juta dalam loji karbon dioksid terbesar Malaysia di Kerteh, Terengganu.

Adik Maut, Abang Kritikal Motosikal Bertembung Dengan Pacuan Empat Roda

Seorang pemuda maut manakala abangnya cedera parah setelah motosikal yang mereka tunggangi bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 85, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Batu 7, di Dungun, semalam

Mangsa Khairul Anuar Ariffin, 18, yang berasal dari Jalan Nibong Stesen, di Dungun, maut di tempat kejadian manakala abangnya Azam Afendi, 23, yang dilaporkan kritikal dikejarkan ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut.

Kemalangan kira-kira 3.30 petang itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggangi dua beradik itu secara tiba-tiba memasuki laluan kanan jalan untuk membuat pusingan U sebelum dirempuh sebuah pacuan empat roda dari arah sama yang melanggar bahagian tepi motosikal mangsa.

Rempuhan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan sebelum dibantu dan dihantar orang awam ke Hospital Daerah Dungun.

Ketika kejadian, kedua-dua beradik itu, yang bekerja sebagai buruh binaan, sedang dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Kawasan Industri Batu 7, tidak jauh dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor Ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Jenama Cukup Kuat: LTdL Tidak Semestinya Libatkan Langkawi

Perlumbaan berbasikal jelajah berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) kini sudah menjadi satu jenama kepada acara berbasikal di rantau ini dan ia bukan satu masalah jika acara itu tidak dijalankan di tempat asalnya, kata ketua pegawai operasi LTdL 2012, Emir Abdul Jalal.

"Walau di mana pun acara ini diadakan, LTdL kini sudah jadi brand name yang cukup kuat di Asia. Tidak semestinya kalau kita tidak bermula di Langkawi, perlumbaan ini tidak boleh dikenali sebagai Le Tour de Langkawi,” katanya dalam sidang media selepas majlis menerima penajaan untuk edisi perlumbaan tahun ini di ibu pejabat LTdL, Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Menurut Emir, melalui pengenalan konsep penajaan venue yang pertama kali diperkenalkan dalam penganjuran LTdL, kerajaan negeri Terengganu telah tampil mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan.

Konsep penajaan venue itu mengambil contoh konsep yang sama digunakan dalam penganjuran perlumbaan Tour de France.

"Untuk tahun ini, kita tidak melibatkan laluan Langkawi dan salah satu sebabnya kita mempunyai obligasi penajaan terhadap negeri Terengganu, di mana mereka memberi penajaan sebanyak RM1 juta kepada perlumbaan kali ini.

"Kita menukar sedikit laluan kali ini dan memberi kelebihan kepada negeri Terengganu. Tahun ini, kita ada tiga peringkat perlumbaan di Terengganu,” katanya.

Pada edisi kali ini, Terengganu akan menjadi hos kepada tiga peringkat perlumbaan iaitu peringkat kelapan dari Pekan, Pahang ke Chukai sejauh 100.8km, diikuti dua peringkat berikutnya iaitu Kemasik-Kuala Terengganu (165.7km) dan Tasik Kenyir-Kuala Terengganu (114.8km).

Juruukur Maut Kenderaan Hilang Kawalan Rempuh Pokok

Seorang pemuda yang dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat di bandar ini terbunuh apabila kereta dipandunya terbabas di Kilometer 93.8 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, hari ini.

Mohd Yasir Alias, 27, yang bekerja sebagai juruukur bahan di sebuah syarikat pembinaan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan yang berlaku di Kampung Nyior Paka.

Ketika kejadian pukul 8.30 pagi, mangsa berasal dari Kampung Paloh, Kuala Terengganu dalam perjalanan menghadiri satu mesyuarat syarikatnya di Hotel Universiti Teknologi Mara.

Kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan selepas melalui satu selekoh di situ sebelum merempuh sebatang pokok lalu terbalik.

Mangsa yang masih bujang disahkan meninggal akibat tersepit di tempat duduk dan polis terpaksa meminta bantuan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka untuk mengeluarkannya.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserah kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Dahlan Mohd. Noor ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu dan menasihatkan pemandu agar berhati-hati terutamanya ketika hujan dan jalan licin.

Rakan mangsa, Mohd. Hamdan, 42, ketika dihubungi berkata, rakan setugasnya itu berjanji menunggunya di bilik mesyuarat Hotel Universiti Teknologi Mara pagi ini.

"Semalam ketika bermesyuarat di Kemasik, Kemaman, dia ada berjanji menunggu saya dan dia tidak pulang ke Kuala Terengganu selepas mesyuarat itu kerana tidak mahu terburu-buru untuk hadir ke mesyuarat hari ini," katanya.

Kerajaan Negeri LulusRM2 Juta Bantu Usahawan Baru

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM2 juta kepada usahawan yang mahu memulakan perniagaan serta bersedia menambah peruntukan itu tahun depan sebagai usaha dan galakan kepada usahawan baru sekaligus melonjakkan ekonomi negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) melalui Tabung Pembangunan Usahawan bertanggungjawab menyediakan beberapa skim pembiayaan dan pinjaman bagi membantu usahawan menjalankan perniagaan dan aktiviti mereka.

“Aturkanlah strategi yang sewajarnya dalam mengurus dan mengembangkan perniagaan masing-masing agar selari dengan matlamat kerajaan. Jika ianya dapat dicapai bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada kerajaan malahan kepada rakyat serta semua pihak,” katanya ketika berucap sempena Malam anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik.

Menteri Besar berkata, semua pihak perlu yakin dasar kerajaan yang berprinsipkan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan adalah satu pendekatan terbaik dan langsung tidak menggugat kelancaran perniagaan tetapi satu paradigma untuk menjana kecemerlangan sebenar.

“Dalam menggalakkan perkembangan perniagaan, saya bersama rakan-rakan dalam kerajaan negeri akan memastikan suasana iklim mesra perniagaan dan merangsangkan budaya keusahawanan menjadi paksi dalam merealisasikan Terengganu sebagai destinasi perniagaan terbaik di Pantai Timur,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penerima AUT 2011 supaya menjadikan anugerah itu sebagai motivasi ke arah melangkah cemerlang di masa depan selain tidak riak dan berasa besar hati serta sanggup berkongsi pengetahuan dan pengalaman yang akhirnya mampu mendatangkan keuntungan kepada semua pihak.

Teganukita

Pas Tawar Manifesto Tambahan Untuk Rampas Terengganu

Bagi memperkuatkan parti dalam usaha merampas kembali Terengganu pada pilihan raya umum ke-13, PAS Terengganu Khamis menawarkan lima manifesto tambahan kepada manifesto lima perkara yang diumumkan pada Oktober 2010.

Pesuruhjaya PAS Terengganu Abdul Wahid Endut berkata lima tawaran terbaru itu ialah meneruskan perjuangan mengembalikan hak royalti petroleum ke Terengganu, pengambilan balik tanah yang terlibat dengan pembangunan rumah kediaman oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan tapak gantian baru atau rumah penempatan gantian kepada pemilik terlibat.

"Lain-lainnya ialah menawarkan bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama kepada pengguna domestik rumah yang bermeter individu setiap bulan, menambah sekolah agama rakyat dan pusat-pusat pengajian pondok dan yang terakhir mewujudkan semula institusi pengajian Islam milik kerajaan negeri.

"Macam KUSZA (Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin) dengan mengutamakan anak-anak Terengganu," katanya pada sidang media di Kuala Berang, semalam.

Abdul Wahid yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam dan anggota Parlimen Kuala Terengganu berkata pada 15 Okt, 2010, PAS mengumumkan lima manifestonya iaitu melaksanakan program pengecualian cukai pintu rumah kediaman untuk semua rakyat Terengganu, selesaikan isu tanah yang dirampas oleh kerajaan BN/Umno dan menawarkan cuti bergaji bagi kakitangan awam yang kematian suami selama 30 hari.

Dua lagi ialah menyediakan peluang pekerjaan dengan sasaran 17,000 peluang dalam masa tiga tahun dan mewujudkan dasar merakyatkan ekonomi serta menyediakan projek dan skim khas bagi rakyat miskin meningkatkan pendapatan mereka dalam bentuk penyertaan sektor pertanian, ternakan, skim perniagaan atau sebagainya.

"Jadi sekarang sudah ada 10 tawaran dalam manifesto kita kepada rakyat Terengganu. Kita akan mengemukakan lagi tawaran secara berperingkat-peringkat menjelang pilihan raya umum kelak," katanya.

Ditanya mengenai harapan PAS pada PRU-13 kelak, Abdul Wahid berkata, parti menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri bagi membolehkannya memerintah Terengganu.

"Pembahagian kerusi sedang dimuktamadkan dengan PKR (Parti Keadilan Rakyat). Sebab selama ini pun kita tidak ada masalah dengan PKR. Kerusi, calon semuanya akan selesai, tetapi tidak boleh umum sekaranglah," katanya.

Pengamal Perubatan Tradisional Perlu Berdaftar Dengan Kementerian - Liow

Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan jika gagal berbuat demikian mereka tidak boleh menawarkan khidmat itu kepada orang ramai.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata setakat ini hanya 4,900 pengamal perubatan itu yang mendaftar dengan kementerian .

Mereka boleh berbuat demikian menerusi pendaftaran e-Pengamal, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari di kementeriannya di Kuala Lumpur,semalam.

Liow berkata usaha itu bertujuan bagi memperluaskan perkhidmatan perubatan tradisonal dan komplementari di samping memberi keyakinan kepada orang ramai mengenai perubatan tradisional.

"Apabila pengamal perubatan ini berdaftar dengan kementerian, kita akan memberi bantuan dari segi kursus, melanjutkan pelajaran, penambahbaikan kualiti dan pemantauan dari segi ubatan serta kepuasaan pengguna," katanya.

Liow berkata, 10 buah hospital dilengkapi dengan perkhidmatan TCM iaitu Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang; Hospital Sultan Ismail Johor Baharu; Hospital Putrajaya; Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Ini termasuk Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Sabah; Hospital Umum Sarawak; Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan; Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah; Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands, Pahang dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan dan lima cawangan di pejabat negeri yang akan ditambah, katanya.

"Kita merancang untuk meluaskan perkhidmatan TCM ini ke peringkat kesihatan primer dan satu lokasi yang sesuai akan dikenal pasti sebagai klinik perintis, yang sebelum ini tidak pernah ditawarkan oleh klinik.

Selain itu, kementerian juga akan menawarkan perkhidmatan TCM ini secara mobile iaitu dari satu tempat ke satu tempat bagi meningkatkan tahap kemudahan perkhidmatan ini.

Maybank Tawar Moratarium Enam Bulan Bagi Mangsa Banjir

Maybank menawarkan moratorium selama enam bulan kepada mangsa-mangsa banjir bagi bayaran ansuran bulanan dan pengecualian caj tertentu mengikut kes sehingga 30 Jun, 2012.

Dalam satu kenyataan semalam, Maybank berkata program bantuan malapetaka akan turut diberikan kepada perniagaan, enterpris kecil dan sederhana dan para pengguna yang menerima kesan banjir baru-baru ini di Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

"Ini adalah moratorium kelima yang ditawarkan Maybank kepada pelanggannya sejak 2007 sejajar dengan misi kami memasukkan unsur kemanusian," kata Timbalan Presiden/Ketua Perkhidmatan Kewangan Komunitinya, Lim Hong Tat dalam satu kenyataan.

Bank itu, katanya akan memproses permintaan mendapatkan bantuan meringankan beban mengikut kes, yang menyasarkan untuk mengurangkan kesukaran yang dihadapi pelanggan.

"Sesetengah pelanggan terkena kesan buruk banjir itu dan memerlukan pembelaan di segi tanggung jawab kewangan pada masa penting ini serta menawarkan bantuan kemanusiaan untuk membantu mereka fokus pada komitmen masing-masing pada masa ini," katanya.

Selain itu, kumpulan insurans dan takaful bank itu, Etiqa, telah juga menyediakan nombor hotline tuntutan banjir 24 jam sebagai tambahan kepada langkah menggembleng unit masing-masing untuk membantu pelanggan membuat tuntutan, tuntutan.

"Sehingga ini, mereka telah memproses tuntutan bernilai lebih RM80,000 dari pemegang polisi yang menerima kesannya," katanya.

Program bank itu ditujukann bagi kemudahan urusan konvensional dan Islam.

Sesetengah ciri-ciri utamanya termasuk:

Penundaan bayaran ansuran bulanan mengikut kes bagi pinjaman pengguna yang termasuk urusan perbankan dan pembiayaan kereta sehingga enam bulan;

Pengecualian caj bagi pelanggan yang menerima kesan yang mahu mendapatkan gantian kad mesin juruwang, buku cek dan buku akaun yang musnah semasa banjir itu, dan;

Semakan semula permohonan dari pelanggan kad kredit mengikut kes bagi pengecualian caj lewat/pembiayaan dan permohonan menaikkan had kredit.

Para pelanggan boleh menelefon hotline Maybank di 1 300 88 6688 atau pergi ke cawangan berdekatan rumah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut dan bantuan mengenai program itu.

Pada masa lepas, Maybank telah menawarkan program yang sama semasa kejadian banjir pada Januari dan Disember 2007, November 2010 dan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada Disember 2008.

Satu Kematian Akibat Denggi Dicatat Minggu Pertama 2012

Sebanyak 440 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan pada minggu pertama tahun ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman semalam.

Katanya, statistik itu menunjukkan peningkatan 26 peratus atau 90 kes berbanding minggu sebelumnya yang tidak mencatatkan kematian.

"Pada minggu lepas, kematian demam denggi dilaporkan di Selangor membabitkan seorang wanita berusia 35 tahun yang bertugas sebagai penjawat awam di Putrajaya," katanya dalam kenyataan, di Kuala Lumpur, semalam
.
Dr Hasan berkata, secara keseluruhan, sembilan negeri mencatatkan peningkatan kes demam denggi bagi tempoh 1 hingga 7 Jan tersebut, iaitu Selangor, Johor, Perak, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Peningkatan kes denggi pada awal tahun ini perlu dipandang serius oleh semua pihak terutama masyarakat di negeri-negeri yang pernah terlibat dengan banjir," katanya.

Beliau juga berkata, terdapat tiga lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang berpotensi menjadi lokaliti 'hot spots' jika tiada langkah penghapusan nyamuk Aedes diambil oleh pihak berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas 57,439 premis di seluruh negara pada minggu lepas juga mendapati 833 mempunyai tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Hujan Di Empat Negeri Berterusan Sehingga Hari Ini

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor akan berterusan sehingga hari ini.

Keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah, kata jabatan itu dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Antara daerah yang terlibat di Kelantan ialah Kota Baharu, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang manakala di Terengganu membabitkan daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

Di Pahang pula, daerah yang terbabit ialah Kuantan, Maran, Pekan, Rompin, Temerloh, Jerantut, Lipis, Bera, Bentong, Raub dan Cameron Highlands manakala di Johor membabitkan daerah Mersing dan Segamat.

Jabatan itu turut meramalkan hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang bermula esok hingga Sabtu ini.

Antara daerah yang terlibat di Perlis ialah Kangar, Padang Besar dan Arau; di Kedah, daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pendang, Yan, Sik, Kuala Muda, Baling, Kulim, Bandar Baharu dan Langkawi.

Manakala di Perak pula membabitkan daerah Kerian, Larut, Matang, Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta; dan Pulau Pinang membabitkan daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan, Timur Laut dan Barat Daya.

Sementara itu, angin kencang timur laut berkelajuan 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencapai 5.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North dan Layang-Layang dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Menurut jabatan itu, kawasan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Angin kencang Timur Laut berkelajuan 50-60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencapai 4.5 meter di perairan Sarawak, Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan), Reef South, Palawan dan Sulu juga dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.