Thursday, July 19, 2012

Sultan Terengganu - Jauhi Diri Daripada Amalan Bertentangan Ketika Ramadan


Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah menyeru umat Islam di negeri ini agar lebih menghormati dan memuliakan kedatangan Ramadan dengan menjauhkan diri daripada amalan yang bertentangan dengan Islam serta meningkatkan ketaqwaan agar tergolong sebagai orang yang diredai.

Titah baginda sambil meningkatkan amalan mulia, golongan yang kurang bernasib baik tidak seharusnya dilupakan dengan dibantu menerusi amalan bersedekah dan memberi makan kepada orang berbuka berpuasa.

"Beta mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua rakyat beta yang beragama Islam supaya menggunakan peluang yang dianugerahkan oleh Allah sepanjang bulan Ramadan untuk melipatgandakan usaha dan amalan ibadah kepadanya.

"Bulan anugerah Allah ini hanya datang setahun sekali. Penuhilah ruang dan masa dengan melakukan perkara kebaikan kerana mungkin ini merupakan tahun terakhir bagi kita merasai rahmat Ramadan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam perutusan menjelang ketibaan Ramadan Al-Mubarak di Kuala Terengganu semalam.

Sultan Mizan bertitah dari sudut psikologi, puasa mendidik seseorang ke arah kebaikan, walaupun mereka sering menghadapi pelbagai dugaan dan rintangan.

Baginda bertitah dengan berpuasa, manusia akan berjaya menguasai nafsunya yang menjadikan jiwanya kuat serta membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang banyak dan menjaga kesihatan tubuh badan.

"Melalui kajian sains yang dijalankan, didapati puasa dapat mencegah pelbagai jenis penyakit antaranya menurunkan kadar tekanan darah dan berat badan.

"Ingatlah bahawa amalan wajib dan sunat sepanjang bulan ini merupakan latihan tubi insan ke arah pembersihan hati, mendisiplinkan anggota tubuh dan pengukuhan akhlak," titah baginda.

Sumber - Bernama

Ahmad Said Bakal Umum Ganjaran Tambahan Kepada Atlet Sukma Terengganu


Kerajaan negeri Terengganu akan mengumumkan ganjaran tambahan yang lebih besar dan lumayan sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan atlet kontinjen negeri ini yang berjaya mempertahankan gelaran Sukan Malaysia (Sukma) untuk empat tahun berturut-turut.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata pengumuman mengenai ganjaran istimewa itu akan dilakukan dalam tempoh terdekat dan yakin ia berbaloi dengan usaha gigih para atlet dalam mengharumkan nama Terengganu ke persada sukan tanah air.

"Saya akan maklumkan kemudian dan yang penting ianya berbaloi dengan apa yang akan kita berikan kepada para atlet yang melakar sejarah manis buat Terengganu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu semalam.


RM830,000 Pengisian Ihya Ramadan Di Masjid, Surau Seluruh Terengganu


Kerajaan Terengganu menyalurkan peruntukkan sebanyak RM830,000 kepada masjid dan surau di negeri ini bagi merangsang pengisian program Ihya Ramadan tahun ini.

Peruntukkan itu disediakan bagi membolehkan lebih banyak aktiviti berkaitan diatur bagi mengimarahkan sepanjang bulan Ramadan yang bakal tiba.


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, peruntukkan tersebut diharap dapat mengukuhkan tabung masjid dan surau bagi membantu pentadbiran institusi berkenaan menyemarakkan kedatangan Ramadan.

Kebakaran Di Iowa: Pelajar Malaysia Menumpang Di Rumah Rakan


Pelajar Malaysia yang terlibat dalam kebakaran di kompleks pangsapuri South Meadow Apartments, Ames, Iowa, kini menumpang di rumah rakan di kompleks yang sama buat sementara waktu.

Seorang daripada mereka, Mohamad Khairi Zulkarnain berkata mereka kini sibuk menguruskan pelbagai perkara termasuk mendapatkan kembali dokumen peribadi yang musnah dalam kejadian Ahad lepas itu.

"Alhamdulillah, kami ditemani oleh pegawai Jabatan Penuntut Malaysia dan Kedutaan Malaysia untuk membuat laporan polis.

Jabatan Perikanan Terengganu Berjaya Tetaskan 42,210 Ekor Anak Penyu Agar


Jabatan Perikanan Terengganu berjaya menetaskan 42,210 ekor anak penyu Agar dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Abdul Khalil Abdul Karim berkata anak penyu berkenaan adalah daripada sejumlah 126,206 biji telur yang dikutip di pantai Terengganu dan dieramkan.

'Penyu' Bukan Anak Emas - Shabery Cheek


Menteri Belia dan Sukan anak jati Terengganu bukan alasan Kuala Terengganu: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan menyalur peruntukan untuk menyediakan pelbagai kemudahan kepada Terengganu bagi membolehkan negeri itu mengekalkan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) kali keempat berturut-turut.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata kejayaan Terengganu mengekalkan kejuaraan SUKMA adalah hasil kerja keras semua atlit dan program pembangunan sukan dilakukan kerajaan negeri.

Wednesday, July 18, 2012

Jadikan Acara Kibar Jalur Gemilang Sebagai Budaya - Ahmad Said

 

Masyarakat diminta menjadikan acara Kibar Jalur Gemilang sebagai satu budaya setiap kali menjelang sambutan Bulan Kemerdekaan tanpa menunggu kempen yang dianjurkan oleh kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebagai warga Malaysia, setiap rakyat perlu menyambut baik kempen itu sebagai satu kewajipan dan tanda terima kasih kepada negara.

Menurutnya, orang ramai tidak perlu segan-silu untuk mengibarkan bendera Malaysia di mana sahaja, sama ada di sekolah, rumah, pejabat, kedai malah pada kenderaan sendiri.


"Jangan harapkan bendera percuma, hadiah pertandingan dan habuan lain atau notis daripada pihak kerajaan sebagai syarat untuk kita kibarkan Jalur Gemilang.

"Apa salahnya kita berbelanja untuk tunjukkan rasa cinta kepada negara atau lebih dari itu kita sendiri yang keluarkan belanja untuk beri kepada orang lain, " katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri dan meraikan Kontijen SUKMA ke-15 Terengganu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu malam tadi.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman dan beberapa Exco Kerajaan Negeri.

Ahmad Said menambah, menerusi usaha tersebut, ia akan menjadikan masyarakat lebih bertanggungjawab untuk menghormati dan memelihara maruah negara.

"Dalam hal ini, saya melihat bahawa sikap masyarakat yang menganggap Jalur Gemilang hanya sesuai dikibarkan di sekolah dan bangunan kerajaan juga harus dikikis kerana amalan mengibar bendera merupakan tanggungjawab bersama," ujarnya.

Majlis yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung itu menyaksikan upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada semua Pegawai Daerah serta melekatkan bendera itu pada kenderaan rasmi kerajaan dan teksi.

Dengan tema 1 Malaysia : Janji Ditepati, upacara pada malam itu diserikan dengan perarakan 55 Jalur Gemilang oleh Rejimen Askar Melayu Diraja dan persembahan koir daripada Institut Pendidikan Guru Datuk Razali Ismail.

Teganukita

Maidam - Zakat Fitrah Terengganu Antara RM4.50 - RM7.60

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar zakat fitrah di Terengganu tahun ini pada RM7.60, RM7 dan RM4.50 mengikut kategori beras yang dimakan.

Yang Dipertua Maidam Datuk Mazlan Hashim berkata kadar itu diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Bayaran boleh dibuat secara tunai atau dengan beras bermula 1 Ramadan hingga pagi Aidilfitri sama ada menerusi amil yang dilantik atau kaunter bayaran zakat Maidam, katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.

Jabatan Perikanan Malaysia Lancar TOR Untuk Pemuliharaan Penyu

Jabatan Perikanan Malaysia melancarkan terma rujukan (TOR) yang berperanan sebagai garis panduan dalam pemuliharaan penyu di negara ini.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata jabatan itu berharap menerusi TOR, program pemuliharaan haiwan marin tersebut lebih berkesan dan memberi impak positif kepada peningkatan populasi penyu.

Tuesday, July 17, 2012

Cuti Ahad 22 Julai, Penghargaan Kepada Rakyat Menyokong Terengganu Juara Sukma Ke-15


Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan Ahad ini, 22 Julai 2012, sebagai cuti umum di Terengganu berikutan kejayaan kontinjen negeri itu menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang.

Beliau juga berkata, pengisytiharan cuti umum itu juga sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Terengganu yang menyokong atlet Sukma negeri sehingga berjaya melakar kejayaan gemilang.

“Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri kepada kejayaan kontinjen Sukma negeri, saya isytiharkan Ahad ini sebagai cuti umum di Terengganu," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pasukan itu di Padang Astaka, Chukai, Kemaman, pagi ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat dan Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.

Kira-kira 5,000 orang daripada segenap lapisan masyarakat turut memeriahkan majlis sambutan itu yang turut menyaksikan para atlit dan pegawai skuad Hanelang diarak di sekitar daerah itu bermula dari sempadan Terengganu-Pahang.

Bercakap selepas majlis penutup Sukma ke-15 di Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang malam semalam, Ahmad Said berkata pembangunan jangka panjang dan perancangan yang teliti menjadi rahsia kejayaan Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) sehingga empat kali berturut-turut muncul juara keseluruhan temasya itu.

Menteri Besar  berkata atlet negeri itu yang bertanding di Sukma bermula pada usia muda dan dijanjikan peluang beraksi di peringkat antarabangsa sekiranya menunjukkan potensi.

"Syukur kerana Terengganu berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali keempat walaupun pada awalnya sedikit terkilan kerana acara kanu tidak dipertandingkan.

"Malah, ada atlet kita yang tidak dapat bertanding kerana layak ke Olimpik,” katanya.

Ahmad Said bangga dengan kontinjen Terengganu kerana berjaya merangkul 62 pingat emas iaitu melepasi sasaran 47 emas sebelum ini.

"Ini adalah hasil usaha kerajaan Terengganu mendapat khidmat jurulatih berkebolehan dari luar negara seperti sepak takraw yang mana kita mendapatkan khidmat jurulatih dari Thailand,” katanya.

Teganukita

'Badang' Terengganu, Sabah Dinobat Atlet Terbaik Sukma ke-15



Dua atlet angkat berat, Abdul Mubin Rahim dari Terengganu dan Frenceay Titus dari Sabah masing-masing dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) ke-15 Pahang.


Abdul Mubin, 21, pemenang pingat emas bagi kategori berat badan 77kg dipilih sebagai olahragawan apabila mencipta rekod baharu kebangsaan dengan angkatan 171kg dalam acara clean & jerk, memadamkan rekod lama 170kg bekas atlet negara Mohd Hidayat Hamidon pada Kejohanan Kebangsaan di Pulau Pinang pada 2003.

Penyampaian dilakukan Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Razak dan turut disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.


PM Sampaikan Piala Kejohanan Kepada Terengganu Sebagai Juara Sukma ke-15, Juara

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata aktiviti sukan perlu disuburkan di semua peringkat termasuk akar umbi dalam usaha melahirkan jaguh sukan yang membanggakan negara.

Beliau berkata kejayaan dalam bidang sukan bukan sekadar mengharumkan nama negara tetapi juga satu alat perpaduan selain menaikkan semangat cintakan negara.

"Kerajaan memandang bidang sukan sebagai bidang penting dalam kejayaan sesebuah negara. Sukan juga adalah alat perpaduan selain membangunkan industri yang memberi pulangan yang besar, menjadi satu tarikan pelancongan, menaikkan semangat cintakan negara, menaikkan imej kita di persada antarabangsa dan memupuk satu gaya hidup sihat," katanya.


TSG Fokus Hadapi Tour De East Java Selepas Aidilfitri

Pasukan profesional Terengganu - Terengganu Cycling Team (TSG) kini fokus menghadapi kejohanan berbasikal Tour de East Java, Indonesia yang akan berlangsung selepas Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hadi Hassan berkata pihaknya memberi tumpuan terhadap kejohanan tersebut kerana ia merupakan antara kejohanan terunggul di peringkat Asia.

JHEAT Cadang Naikkan Jumlah Denda Tidak Puasa

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bercadang menaikkan jumlah denda terhadap umat Islam yang ditangkap tidak berpuasa di negeri ini.

Pesuruhjayanya Mohd Razali Saleh berkata, perkara itu dipertimbang bagi mengekang sikap tidak bertanggungjawab sesetengah umat Islam yang makan di khalayak umum tanpa silu ketika Ramadan.


Sultan Mizan Berangkat Ke Program Pengukuhan Bahasa Inggeris

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis penutupan dan pengurniaan hadiah program pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) 2012 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu kelmarin.


Mengiringi baginda, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah serta anggota-anggota exco kerajaan negeri.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Prof Emeritus Datuk Dr. Abdul Rahman Embong dalam ucapannya di majlis itu, semalam berkata tahun ini adalah tahun ketiga program itu diadakan.

Aidilfitri - MAS Tawar Penerbangan Tambahan, Termasuk KL-KT

Malaysia Airlines (MAS) menawarkan 55 penerbangan tambahan dan sembilan penerbangan yang dinaik taraf antara Kuala Lumpur dan Medan, Indonesia serta bagi perkhidmatan domestik, bagi menampung permintaan tambahan sempena Aidilfitri.

Menurut kenyataan MAS di sini hari ini, penerbangan berkenaan akan menawarkan sebanyak 10,824 tempat duduk yang boleh ditempah menerusi semua saluran pengedarnya dari 16 Ogos hingga 28 Ogos ini.

Monday, July 16, 2012

Terengganu Lakar Hatrik Juara SUKMA, Kuasa Sukan Negara

 

Terengganu Hanelang ternyata mampu melahirkan jaguh lumba basikal, memanah dan olahraga untuk membolehkan ia ditabalkan selaku juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) buat kali ketiga berturut-turut, biarpun tirai temasya hanya akan ditutup secara rasmi hari ini.

Walaupun masih ada lapan pingat emas ditawarkan pada hari terakhir hari ini, namun pencabar terdekat mereka, Selangor sudah tidak mampu memintas.

Ini kerana kedua-duanya dipisahkan dengan 14 pingat emas selepas 360 acara dipertandingkan.

Jika dikira dengan kejohanan Mini Sukma yang diadakan di Kuala Lumpur tahun lalu, Terengganu sebenarnya melakar empat kejayaan berturut-turut.


Pingat emas ke 62 diraih malam semalam melalui hoki lelaki apabila Terengganu menewaskan Wilayah Persekutuan untuk membolehkan ia menjadi johan berganda acara hoki apabila pasukan wanitanya turut mengalahkan Wilayah Persekutuan untuk pingat emas pada siangnya.

Selepas muncul juara keseluruhan pada 2008 dan 2010, Terengganu meneruskan keunggulan sebagai kuasa sukan tempatan dengan membolot 62 pingat emas, jauh mengatasi Selangor yang melengkapkan saingan dengan 47 emas.


Tuan rumah pula berada di tempat ketiga dengan 44 emas. Malah, pungutan yang diraih Terengganu juga mengatasi sasaran sebenar mereka, yang sekadar menetapkan misi 47 emas untuk dibawa pulang.

Bagaimana Terengganu mampu menjadi kuasa sukan tempatan yang cukup hebat, ia sesuatu yang harus membuka mata negeri lain apabila menyiapkan atlet masing-masing untuk menghadapi temasya di Perlis, dua tahun dari sekarang.

Bayangkan dalam acara lumba basikal, Terengganu berjaya membolot 12 daripada 18 emas yang ditawarkan, manakala memanah menyumbang sembilan emas dan olahraga dengan lapan emas.

Pencapaian 12 daripada 18 pingat emas yang dipertandingkan dalam acara basikal membuktikan Terengganu adalah kilang paling tepat untuk melahirkan jaguh dalam acara berkenaan dan tidak mustahil anak negeri itu bakal mengharumkan nama negara pada masa depan.

Ternyata, pembangunan sukan terutama acara basikal yang dilakukan Kerajaan Terengganu menerusi Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu membuahkan hasil yang cukup lumayan.


Jurulatih Terengganu, Syed Mohd Husaini Syed Mazlan berkata, kejayaan memenangi 12 emas itu bukanlah sesuatu yang diduga sebelum ini memandangkan kontinjen lain turut menghantar atlet terbaik masing-masing untuk acara berkenaan.

Menurutnya, saingan sengit diberikan pelumba tuan rumah, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Kedah serta Brunei namun anak buahnya berjaya membuktikan bahawa mereka adalah yang terbaik dalam temasya kali ini.

Pada hari kesembilan semalam, Terengganu unggul menambah lapan pingat emas dengan dua daripadanya daripada acara angkat berat, memanah serta hoki dan satu daripada sepak takraw dan tinju.

Selain itu, Terengganu turut cemerlang dalam sukan angkat berat (enam), taekwondo (empat) dan ekuestrian (tiga).

Kecemerlangan Terengganu pada Sukan Malaysia kali ni cukup mengejutkan kerana acara yang menjadi salah satu penyumbang emas terbesar di Melaka, kanu tidak disenaraikan di Pahang selain dua atletnya menyertai Sukan Olimpik.

Sebagai rekod, pada Sukan Malaysia 2010 Melaka, Terengganu meraih 47 emas, 30 perak dan 43 gangsa. Ketika menjadi tuan rumah pada Sukan Malaysia 2008, kontinjen yang terkenal dengan maskot penyu itu mendapat 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa, untuk muncul juara buat kali pertama.

Selangor yang kelihatan gagah pada awal temasya terpaksa berpuas hati di tempat kedua, buat kali ketiga berturut-turut.

Kontinjen Merah Kuning itu turut menghuni tempat kedua di Terengganu dengan 54 emas, 47 perak dan 51 gangsa manakala pada dua tahun berikutnya, mereka hanya dibezakan empat emas di belakang Terengganu selepas meraih 43 emas, 43 perak dan 58 gangsa.

Guru Diminta Lebih Prihatin Masalah Pelajar Perempuan

Kerajaan Negeri Terengganu meminta pendidik di negeri ini agar lebih prihatin terhadap masalah pelajar, khususnya pelajar perempuan, bagi mengelak gejala sosial seperti melahirkan anak di sekolah atau membuang bayi terus berlaku.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Ahmad Razif Abd Rahman berkata walaupun kes sedemikian dikategori sebagai terpencil, namun beliau tetap memandang serius perkara itu.


'Kita Bangkit Di Sukma 15 Dalam Suasana Amat Perit' - Rozi

Atlet Terengganu, Amira Syahirah Mohd Zulkefl i bersama kudanya Dicky meraikan kemenangan apabila mengungguli acara Individu Show Jumping pada Sukma, kelamrin.

Tepat jam 10 pagi kelmarin  menjadi detik bersejarah bagi kontijen Terengganu apabila pesilatnya, Norfarana Mohd berjaya memberikan pingat emas ke-47 setelah menewaskan pesilat dari Perak bagi kategori kelas bebas puteri seterusnya melengkapkan sasaran kutipan pingat emas negeri itu pada temasya Sukan Malaysia ke-15 dari Dewan IKBN Temerloh.

  Rozi menerima berita gembira sambil disaksikan oleh Wan Nawawi itu di bilik urusetia kontinjen Terengganu di Hotel MS Garden kelmarin.
Pengerusi Jawantankuasa Tetap Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat menyifatkan pencapian itu sebagai penanda aras kepada kejayaan pembangunan sukan di Terengganu yang kini berada di landasan terbaik.

TM Rugi Lebih RM750,000 Gara-Gara Curi Kabel

Hamzah (kiri) menyempurnakan perasmian sambil disaksikan Hamidon (kanan).
Telekom Malaysia (TM) Terengganu mengalami kerugian kira-kira RM750, 000 berikutan lebih 200 kes kecurian kabel yang direkodkan mulai Januari hingga Jun tahun ini.

Pengurus Besarnya, Hamidon Ismail berkata, daerah Besut dan Setiu mencatatkan kes kecurian kabel paling tinggi manakala penjenayah dilihat semakin berani dengan pelbagai taktik yang digunakan.

“Kita tidak nafikan berikutan masalah ini, kami terpaksa menanggung kerugian yang tinggi terutamanya bagi kerja-kerja pemasangan semula kabel, di samping dalam masa sama, perkhidmatan kepada pelanggan juga turut terjejas.


Terengganu Ungguli Acara Hoki Apabila Menang Berganda


Terengganu mengungguli acara hoki Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 apabila meraih dua emas menerusi skuad lelaki dan wanita di Stadium Hoki Wisma Belia di Kuantan, malam semalam.

Pasukan hoki lelaki Terengganu yang turun sebagai pasukan bukan pilihan mencipta sejarah untuk Terengganu menang berganda acara itu apabila pasukan wanitanya turut menang sebelumnya.

Pencapaian ini bukanlah sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi pasukan Wilayah Persekutuan mempunyai ramai pemain ternama dan berpengalaman.



Najib Umum Dana RM100 Juta Merangsang Aktiviti Sukarelawan



Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan peruntukan berjumlah RM100 juta bagi penubuhan Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M) yang bertujuan merangsang aktiviti sukarelawan dalam kalangan belia.

 Perdana Menteri berkata, dana tersebut akan disalurkan kepada pertubuhan belia, badan bukan kerajaan dan kumpulan belia yang tidak menganggotai mana-mana pertubuhan sukarelawan.

Najib bersalaman dengan belia yang hadir pada maljlis pelancaran 1M4U di Esplanade KLCC, Kuala Lumpur semalam. Turut hadir, Ahmad Shabery (dua dari kiri).

Tokoh Maulidur Rasul 2010 Datuk Dr Yaakob Che Man Meninggal Dunia

Dr Yaakob ketika menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul 2010.
Bekas Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH) Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Datuk Dr Yaakob Che Man meninggal dunia semalam akibat kanser pankreas.

Allahyarham berusia 58 tahun. Yaakob, yang merupakan Tokoh Maulidur Rasul 2010, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada kira-kira 3.45 petang.


Sepak Takraw - Terengganu Juara Kali Ke 2

Skuad sepak takraw Terengganu berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut apabila menumpaskan Wilayah Persekutuan 2-0 dalam acara berpasukan lelaki di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuantan, semalam.

Pada perlawanan akhir itu, Terengganu menguasai saingan apabila regu A mereka menewaskan regu A Wilayah Persekutuan 15-11, 15-4.


Barangan Keperluan Pada Bulan Puasa Dijamin Cukup - Ismail Sabri

Kerajaan memberi jaminan bekalan barangan keperluan seperti minyak masak dan gula bagi menyambut bulan puasa tahun ini mencukupi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi minyak masak, Lembaga Minyak Sawit Malaysia bersetuju menambah 10 peratus lagi kuota bekalan untuk diedar kepada pemborong dan pembekal.

Islamic Aid Malaysia Bantu Baiki Rumah Di Lima Negeri

Badan bukan kerajaan Islamic Aid Malaysia (IAM) memperuntukkan RM250,000 bagi membaik pulih 25 buah rumah milik ibu tunggal dan keluarga miskin di lima buah negeri tahun ini, kata presidennya Zawahir Abdullah.

Beliau berkata menerusi program baik pulih rumah yang bermula 7 Jun lepas, pihaknya berjaya menyiapkan 15 buah rumah di Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan kos keseluruhan RM150,000.


Kepulangan Wira Terengganu Bakal Disambut Meriah

Kontinjen `Terengganu Hanelang’ yang selangkah mengesahkan kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) secara rasmi buat kali keempat berturut-turut pada temasya ke-15 Pahang yang berakhir hari ini  dijangka akan tiba di sempadan Pahang-Terengganu, kira-kira jam 11.30 pagi esok (Selasa).

Ketibaan wira-wira sukan dengan diketuai Ketua Kontinjen, Wan Nawawi Wan Ismail (gambar atas) yang berjaya merekod sejarah tersendiri buat negeri dan negara selepas melepasi sasaran 47 emas itu akan disambut orang-ramai sebaik sahaja memasuki Kemaman.


Terima Rasuah - Sarjan Wanita Kena Denda RM5,000

Seorang anggota polis wanita berpangkat sarjan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, semalam selepas mengaku bersalah menerima suapan RM500 daripada seorang suspek penyalahgunaan dadah pada September tahun lepas.

Ketika menjatuhi hukuman itu, Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin turut memerintahkan Esah Ismail, 52, dari Kelantan, dikenakan hukuman penjara 10 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Sunday, July 15, 2012

Bola Di Kaki Pengurusan Sang Penyu, T-Team…Tendanglah Asal Jangan Ke Gol Sendiri!

Juara Liga Super...Kelantan sebelum ini menang Piala FA, kini memburu Piala Malaysia
" Jika gagal juga pada saingan Piala Malaysia, jangan salahkan sesiapa termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan mengatakan kerajaan negeri tidak menyokong sukan bolasepak negeri ini...Kerajaan Negeri membiayai bukan satu pasukan tetapi dua pasukan dengan peluang dan dana yang sama rata."

Kemenangan Sang Penyu ke atas Sarawak semalam tidak mengubah kedudukan Terengganu dalam perlawanan terakhir Piala Liga Super 2012.

Terengganu kekal di tempat kelima di belakang Perak yang kekal di tempat keempat dengan 42 mata selepas menang ke atas Kuala Lumpur 5-2 di tempat lawan. Walaupun menewaskan Selangor 3-0 di Kuala Terengganu semalam, Sang Penyu mengumpul 41 mata dan berada di depan Negeri Sembilan yang kekal dengan 37 mata selepas kalah kepada Sabah 1-3 di Kota Kinabalu.

Sang Penyu yang popularitinya banyak juga di luar padang disebabkan isu jurulatih, khususnya keputusan tergesa-gesa Irfan Bakti meninggalkan Terengganu, pemecatan pengganti Irfan, Mat Zan Mat Aris serta tunjuk perasaan penyokong Terengganu dan desakan pemecatan Che Mat Jusoh sah sudah tidak mampu mengekalkan kedudukannya seperti tahun lalu pada Piala Liga Super yang berakhir semalam.

Sah sudah, janji pengurusan pasukan Terengganu untuk sekurang-kurangnya mendapat tempat ketiga sekurang-kurangnya, jauh daripada kesampaian. Dengan kata lain ‘janji tidak dapat dikotakan’ oleh pengurusan Persatuan Bolasepak Terengganu (PBST) dan pastinya ia perlu melihat kembali kegagalan itu sama ada pengurusan, pemain atau jurulatih yang wajar diperbetulkan.

Pada Mesyuarat Exco Kuala Lumpur tiga minggu lalu, Presiden PBNST yang juga Pengurus Skuad Penyu, Datuk Che Mat Jusoh dan Penolong Pengurus, Shekih Ahmad Tajuddin membuat janji di hadapan Menteri Besar dan anggota Exco untuk memperbaiki kedudukan sekurang-kurangnya berada di tempat ketiga liga.

Sementara pengurusan T-Team, termasuk jurulatih Yunus Alif yang turut memberi pengakuan memperbaiki keadaan pada mesyuarat Exco berkenaan, nampaknya juga tidak dapat ‘mengotakan janjinya’, malah kedudukan T-Team di tempat kelapan bukanlah sesuatu yang diharapkan.

Semalam T-Team kalah kepada PKNS 1-2 yang membolehkan PKNS melintas untuk kedudukan ketujuh walaupun mengutip mata yang sama iaitu 35 mata.

Secara terperinci, pada lima perlawanan terakhir, Sang Penyu menang 3 dan kalah 2 sementara bagi T-Team pula ia ia menang 2, kalah 2 dan 1 seri.

Pada kejohanan Piala Liga 2011, Terengganu berkedudukan di nombor dua dengan 52 mata iaitu menang 16, seri 5 dan kalah 5 sementara T-Team pula di kedudukan kesembilan dengan 9 menang, 4 seri dan 13 kekalahan mengutip 31 mata.

Ini bermakna berbanding tahun lalu, Terengganu turun tiga anak tangga sementara T-Team naik satu tangga. Sementara jiran Kelantan, Juara Piala Liga Super 2012 terus bergaya apabila menamatkan perlawanan pelengkap Piala Liga dengan kemenangan 3-1 ke atas Sarawak di Kota Bharu.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad bimbingan Bojan Hodak menutup saingan Liga Super musim ini dengan bergaya apabila mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu.

Skuad The Red Warriors berjaya mengumpul 60 mata, sekali gus meranapkan impian wakil Singapura, Lions XII untuk mencipta kejutan pada penampilan pertama dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kemenangan tersebut cukup manis buat semua barisan pemain Kelantan apabila mereka menjulang trofi liga di hadapan 18,000 penyokong setia yang hadir memberikan sokongan pada perlawanan tersebut.

Pertanyaan kini ialah apakah Terengganu dan T-Team mampu menunjukkan permainan lebih baik untuk bersaing dalam Piala Malaysia nanti?

Peluang hanya ada pada Piala Malaysia tetapi Terengganu dan T-Team akan berdepan dengan laluan sukar kerana pemenang tradisi Piala Malaysia seperti Selangor, Perak serta Negeri Sembilan juga memburu piala berkenaan.

Sementara Kelantan yang mempertahankan piala berkenaan juga akan berusaha untuk menang bagi melengkapkan triplenya iaitu Piala FA, Piala Liga Super dan mengekalkan Piala Malaysia.

Malah, jika LionXII turut bertanding dalam Piala Malaysia, Terengganu dan T-Team perlu melipatgandakan usaha. Mungkin yang dapat membantu Terengganu dan T-Team ialah usaha yang gigih dan undi yang akan menentukan pertemuan mereka sama ada dengan pasukan pilihan atau sebaliknya.

Yang terbaik ialah Terengganu dan T-Team terus memulakan langkah persiapan seperti yang dilakukan Selangor iaitu Juara 32 kali Piala Malaysia apabila berjaya mengikat Rozaimi Abdul Rahman, pemain muda Sabah itu yang muncul penjaring terbanyak dengan 10 gol pada pusingan kelayakan Piala Asia Bawah 22 tahun di Myanmar baru-baru ini untuk kempen Piala Malaysia 2012.

Malah, Terengganu dan T-team juga perlu mengambil kira 'kedatangan' pasukan Liga Perdana iaitu Angkatan Tentera Malaysia yang mungkin bermain dalam kancah Piala Malaysia selepas pasukan itu menjadi juara. Pasukan itu bukan calang-calang!


Kita menunggu apa tindakan seterusnya oleh pengurusan Terengganu dan T-Team bagi persiapan Piala Malaysia ini.

Jika gagal juga pada saingan Piala Malaysia, jangan salahkan sesiapa termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan mengatakan kerajaan negeri tidak menyokong sukan bolasepak negeri ini.

Kerajaan Negeri membiayai bukan satu pasukan tetapi dua pasukan dengan peluang dan dana yang sama rata. ‘Bola ada di kaki pengurusan’ pasukan Terengganu dan T-Team. Bergantunglah kepada mereka untuk menandangnya ke gol lawan asalkan jangan sumbat gol sendiri!

Terengganu Selangkah Rangkul Gelaran Juara Keseluruhan Sukma Ke-15

Atlet Terengganu, Muhd Ajmal Aiman Mat Hasan (kiri) diberi saingan sengit oleh atlet dari Selangor, Alif Ashraf Mohd Razali. Muhd Ajmal Aiman berjaya merangkul pingat emas dalam acara 110 meter lari berpagar dengan catatan masa 14.67 saat.
Terengganu selangkah merangkul gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) ke - 15 apabila mendominasi pungutan pingat pada hari ke 14 temasya itu dengan 53 emas, 23 perak dan 25 gangsa.

Dua daripada enam pingat emas kontinjen Terengganu hari ini diperoleh dalam acara pencak silat menerusi Normanjalina Madon (Kelas A 45-50kg Puteri) dan Norfarana Mohd Kamil (Kelas Bebas 75-90kg Puteri).

Skuad basikal Terengganu turut menyumbang dua pingat emas dalam acara Kriterium 54.4km wanita menerusi Zahraa Anuawar dan Sofian Nabil Omar Mohd Bakri (Kriterium 81.6km lelaki).

Baki dua lagi emas Terengganu diraih Nurul Iryani Muda (Compound perseorangan wanita pusingan olimpik) dan petanque lelaki triples (Ahmad Amirul Ashraf Ahmad Yani/Mohamad Adri Abdul Jalil/Syed Akmal Fikri Syed Ali).

Kontinjen Selangor yang menghuni tangga kedua keseluruhan menggumpul 45 pingat emas, 48 perak dan 51 gangsa.

Dalam saingan semalam, Selangor hanya mengutip dua pingat emas dalam acara pencak silat menerusi Nor Afizah Yajis (Kelas E 65-70kg Puteri) dan Partini Sakrikin Adnan (Kelas B 50-55kg Puteri).

Tuan rumah Pahang menduduki tangga ketiga dengan menggumpul 40 pingat emas, 32 perak dan 31 gangsa.

Acara pencak silat menjadi penyumbang utama kontinjen Tok Gajah dengan enam emas menerusi Roizaida Zailudin (Kelas C 55-60kg Puteri), Mohamed Fikry Mohamed Noh (Kelas A 45-50kg Putera), Muhammad Fahmi Romli (Kelas D 60-65kg Putera), Mohad Al-Jufferi Jamari (Kelas E 65-70kg Putera), Muhammad Saiful Syazwan Rahmat (Kelas C 55-60kg Putera), Mohd Khairul Izzha Ahmad (Kelas Bebas 95-110kg Putera).