Saturday, August 11, 2012

3,000 Pelajar Dijangka Buka Puasa Dengan Menteri Besar Terengganu


Kira-kira 3,000 pelajar dan anak Terengganu di sekitar Lembah Kelang dan Selangor dijangka menyertai program berbuka puasa dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Haji Ahmad Said petang ini.

Majlis di Pusat Dagangan Putra, Kuala Lumpur itu bermula jam 5.30 petang diadakan di Dewan Tun Razak 4, akan turut dihadiri pemimpin-pemimpin dari Terengganu itu.


T--Team tak gentar walaupun tewas 3 perlawanan

Tewas kepada dua pasukan pada persaingan persahabatan tidak sedikitpun menggusarkan pengendali skuad T-Team, Yunus Aliff, kerana perlawanan itu lebih kepada medan bagi menguji tahap kecergasan dan untuk meningkatkan keserasian pemain.

T-Team yang diundi dalam Kumpulan D bersama Selangor, Sarawak dan Pahang, tewas kepada Tentera dan Felda United, masing-masing 2-1.

 "Sebelum sepak mula Piala Malaysia, kita mengatur tiga lagi perlawanan persahabatan termasuk bertemu juara Liga Super dan Piala FA, Kelantan selain Perak pada minggu depan.

Kerana dendam, buruh mati dipukul di Hulu Terengganu

Gara-gara perselisihan faham dan dendam, seorang buruh maut setelah dipukul menggunakan objek keras dalam satu pergaduhan di Kampung Tajin Banggol di Hulu Terengganu, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang berumur 24 tahun didatangi tiga lelaki berusia antara 20 dan 23 tahun yang bertindak membelasah mangsa berhampiran sebuah bengkel motosikal.

Mengapa Dia Bunuh Isteri Saya?

“Ada juga bermimpi arwah isteri dan kalau rindu balik ke rumah di Felda Mengkawang walaupun sentiasa kosong dan sunyi.

“Lebih membuatkan saya terkilan sudah tiga tahun isteri meninggal dunia, tetapi hingga kini motif dan siapa yang membunuhnya belum terjawab,” kata Hussain Sulong, 56, ketika ditemui di rumahnya di Felda Mengkawang dekat Kuala Berang  kelmarin.

Arwah isterinya, Asimah Abd Rahman, 51, ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dengan sekurang-kurangnya 11 kesan tikaman di dada dan rusuk sehingga menyebabkan usus wanita itu terburai pertengahan Ramadan, 8 September 2009.

Asimah amat dikenali penduduk kampung kerana memegang pelbagai jawatan termasuk Ketua Umno Cawangan Felda Mengkawang, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Felda Mengkawang serta Pengerusi Gabungan Pertubuhan Wanita Felda Terengganu.

Harian Metro


Friday, August 10, 2012

Terengganu Antara 7 Negeri Berjaya Selesai Pindah Milik Tanah

Pejabat Tanah Galian Terengganu muncul sebagai pejabat pentadbiran tanah yang pertama di Malaysia berjaya menyelesaikan urusan pendaftaran urusniaga dan bukan urusniaga dalam tempoh hanya beberapa jam atau maksimum satu hari.
"Pulau Pinang mencatatkan peratusan terendah penyelesaian seratus peratus pendaftaran Pindah Milik Tanah iaitu sebanyak 84.68 peratus...Selangor yang merekodkan tunggakan sebanyak 164 kes atau 0.01 peratus daripada jumlah keseluruhan kes tunggakan yang diterima negeri berkenaan." - Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

Tujuh negeri berjaya menyelesaikan seratus peratus urusan pendaftaran Pindah Milik Tanah dalam masa sehari sepanjang Jun tahun ini. Negeri-negeri tersebut adalah Perak, Pahang, Terengganu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.

Mesyuarat Ke-68 Majlis Tanah Negara semalam dimaklumkan bagi urusan pendaftaran urusniaga dan bukan urus niaga, hampir kesemua negeri berjaya menyelesaikan tunggakan terkumpul sehingga 31 Disember 2011.

Hanya negeri Selangor yang merekodkan tunggakan sebanyak 164 kes atau 0.01 peratus daripada jumlah keseluruhan kes tunggakan yang diterima negeri berkenaan.

Perkara ini terkandung dalam kertas makluman yang dibentangkan ialah mengenai kemajuan penyelesaian tunggakan urusan tanah serta prestasi pendaftaran pindah milik tanah dalam masa satu hari di pentadbiran tanah negeri dan pelaksanaan penyeragaman kadar royalti kayu balak di Semenanjung mengikut keputusan majlis perhutanan negara ke-12 pada 13 Feb 1996.

Pencapaian Pentadbiran Tanah Negeri itu diumumkan dalam Mesyuarat Ke-68 Majlis Tanah Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya semalam.

Antara yang hadir ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar serta beberapa menteri kabinet lain dan menteri besar, termasuk Datuk Seri Ahmad Said.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dalam kenyataannya di Putrajaya berkata, Pulau Pinang mencatatkan peratusan terendah penyelesaian seratus peratus pendaftaran Pindah Milik Tanah iaitu sebanyak 84.68 peratus.

Mesyuarat yang bermula pada kira-kira jam 9.30 pagi itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Mesyuarat MTN diadakan bagi membincangkan dasar serta perundangan untuk memaju dan mengawal penggunaan tanah bagi maksud perlombongan, pertanian, serta perhutanan, di samping usaha lain bagi meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan pentadbiran negara.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, empat kertas pertimbangan dan dua kertas makluman yang menyentuh mengenai pendaftaran hak milik strata dan beberapa dasar penting berkaitan dengan perhutanan dibentangkan.

Antara kertas pertimbangan yang dibentangkan ialah Rang Undang-Undang Hakmilik Strata (Pindaan ) 2012 yang mana mesyuarat bersetuju supaya satu penambahbaikan dilaksanakan ke atas sistem penyampaian melalui konsep pengeluaran hak milik strata dan pemilikan kosong atau 'vacant possession' secara serentak.

Cadangan pindaan kepada akta itu antara lain bertujuan untuk memastikan hak pembeli rumah berstrata terjaga terutama sekali berkaitan dengan hak milik strata yang menjamin hak keempunyaan seseorang individu.

Menurut kenyataan itu, pihak pemaju juga akan dipastikan supaya tidak melepaskan tanggungjawab mereka membuat permohonan hak milik strata dan seterusnya memindah milik hak milik tersebut ke atas para pembeli yang berhak.

Sehubungan itu pada masa depan pembeli rumah berstrata akan dapat memasuki rumah selepas menerima 'vacant possession' daripada pihak pemaju dalam masa yang sama hak milik strata sedia didaftarkan di pejabat tanah bagi tujuan pindah milik kepada mereka.

Ia juga secara tidak langsung memberi impak besar kepada industri pembangunan dan pemajuan hartanah di mana masalah kelewatan pengeluaran hak milik strata akan dapat diatasi dengan memendekkan masa pengeluaran hak milik strata daripada 170 hari bekerja kepada kurang daripada 100 hari bekerja.

 Rang Undang-Undang itu dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang, menurut kenyataan itu.

Kertas pertimbangan lain yang turut dibentangkan ialah Pemantapan Pelaksanaan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan Melalui Pewartaan Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung; Penetapan Syarat-Syarat Penubuhan Ladang Hutan Dalam Hutan Simpanan Kekal di Semenanjung; dan Pengecualian Royalti Ke Atas Pengeluaran Kayu Getah, Batang Kelapa Sawit Dan Batang Kelapa Dari Kawasan Tanah Bermilik Di Bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (2-11-2015).

Tunai Janji - BN Berpegang Kepada Al-Quran dan Sunnah

Datuk Seri Najib Razak disambut penduduk kampung ketika tiba ke majlis berbuka puasa sempena lawatan Perdana Menteri ke Terengganu di Kampung Padang Nenas, Kuala Terengganu,semalam.

 
Kerajaan Barisan Nasional (BN) berpegang kepada al-Quran dan Sunnah dalam melaksanakan tanggungjawab dan janjinya kepada rakyat.

Kerana itu, BN  bersedia ditolak rakyat kalau janji  tidak ditunaikan. "..Kita sesama manusia pun perlu tunaikan janji, nak berniaga pun mahu berurusan dengan yang menepati janji dan kerajaan pun kita mahukan kerajaan yang menepati janji".


Disebabkan itu, tidak perlu mana-mana pihak untuk takut kepada tema Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan 'Janji Ditepati'.



Kerajaan Negeri Setuju Selaras Dana Bantuan

 

Kerajaan negeri bersetuju menyelaraskan dana-dana bantuan berkaitan kesihatan yang disediakannya bagi membantu golongan sasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, sebagai usaha awal, jawatankuasanya telah mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahaya Khatib Mohmad baru-baru ini.

Katanya, kedua-dua jawatankuasa itu bersetuju menyelaraskan dana yang disediakan oleh kerajaan negeri iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Sosial Perubatan dan Tabung Penyakit Kronik.

YPU Anjur Himpunan Khas Usahawan Dan Agensi Kerajaan Pada 4 Sept

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan menghimpunkan seramai 4,000 usahawan dan wakil agensi kerajaan pada perhimpunan khas di sini, 4 September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU Azmi Razik berkata perhimpunan terbesar yang pernah dianjurkan itu bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama selain menyemarakkan semangat kesatuan antara usahawan setempat.

Penulis Diminta Bantu Promosi Pakej Pelancongan Berbasikal 1Malaysia Terengganu


Penulis majalah tempatan dan luar negara diharap dapat membantu Tourism Malaysia Terengganu dalam memperhebatkan promosi Pakej Pelancongan Berbasikal 1Malaysia Terengganu.

Pengarahnya Mohd Nasir Kushairi berkata sebuah majalah berbasikal popular yang berpangakalan di Kuala Lumpur yang turut mempunyai edaran di Singapura buat permulaan akan menguji sendiri pakej berbasikal yang ditawarkan oleh agensi pelancongan negeri itu.

Kes Denggi Di Terengganu Meningkat Kepada 16

Sepanjang minggu lepas sebanyak 371 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dengan sembilan buah negeri mencatatkan peningkatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hassan Abdul Rahman berkata Selangor meningkat kepada 18 kes, Terengganu meningkat 16 kes, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang serta Johor masing-masing meningkat 10 kes, Melaka dan Kelantan enam kes, Perlis dan Perak empat kes.

BAKA Mampu Tangani Masalah Yang Dihadapi Anggota Polis

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai unit khas, Bahagian Agama dan Kaunseling (Baka), untuk menangani masalah disiplin anggota.

Pemangku Ketua Bahagian Agama dan Kaunseling Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu ASP Che Affandi Che Harun berkata Baka ditubuhkan bagi memberi nasihat dan bimbingan kepada anggota polis yang mempunyai masalah disiplin dan sebagainya.

Seorang buruh yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, semalam, mengaku tidak bersalah merogol gadis bawah umur berusia 14 tahun pada Februari tahun lalu.

Tertuduh, Suhaipudin Aziz, 25, dari Jalan Bunga Melor, Dungun mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan kerana merogol dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris, tetapi mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Thursday, August 9, 2012

60 Peratus Hotel Di Terengganu Miliki Sijil Halal JHEAT

Kira-kira 60 peratus hotel di Terengganu mempunyai sijil pengesahan halal dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

Pesuruhjaya JHEAT Datuk Mohd Rozali Saleh berkata sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, pihaknya meluluskan 19 permohonan sijil halal baharu bagi dapur hotel.

"Tahap kesedaran orang ramai mengenai isu halal ini semakin bagus dan senario ini menyebabkan pemilik hotel terpaksa memohon sijil halal sebagai satu penambahbaikan dalam perkhidmatan yang mereka sediakan.

"Prosedur mendapatkan sijil halal JHEAT ini memang ketat dan bagi hotel yang telah memperolehinya, memang ia adalah satu tanda ukur kecemerlangan hotel itu sendiri," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Setiap permohonan lazimnya mengambil masa 30 hari untuk diproses selepas JHEAT menerima bayaran sebanyak RM200 bagi setiap dapur.

Mohd Rozali berkata walaupun sijil halal bukan perkara wajib, kebanyakan pemilik hotel terutama bukan Islam kini dilihat sangat prihatin dalam isu itu dan menjaga kualiti makanan yang disediakan.

"Sijil halal kini menjadi satu 'trademark' dan trend di mana hotel yang memilikinya pasti menerima banyak tempahan dari syarikat dan orang persendirian," katanya.

Ditanya mengenai aspek pemantauan, Mohd Rozali berkata JHEAT mempunyai 100 pegawai yang memantau aspek pematuhan sijil halal secara berkala.

JPJ Pantau Jalan Maut Di Terengganu

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengenal pasti tujuh jalan utama yang berisiko berlaku kemalangan sepanjang musim perayaan ini. Jalan yang terlibat ialah di kilometer 126 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Km 75 Jalan Jerangau-Jabor dan Km 45 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi (Kampung Tok Dor).

Selain itu Km 68.9 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Km 3 Jalan Kuala Berang-Tanggol (Kampung Langgar), Km 48 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Kampung Sungai Ikan) dan Km 26.5 Kampung Wakaf Tapai Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu.

Batik Tiruan Jejaskan Industri Batik Asli Terengganu - Pengusaha

Batik asli Terengganu kini berdepan sainan batik tiruan...
Lambakan batik tiruan dari beberapa negara luar mula menampakkan kesan kepada pengusaha batik asli di negeri ini yang mendakwa pendapatan mereka semakin terjejas.

Harga yang jauh lebih murah selain kelihatan hampir sama dengan batik asli menyebabkan ramai pengguna memilih batik tiruan, manakala bagi yang jahil seni batik pula terpedaya menganggap batik tiruan sebagai produk asli.

Lima Pelumba Akan Ke Jelajah Jawa Timur

Pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) menamakan lima pelumba bagi menyertai kejohanan Jelajah Jawa Timur selama tiga hari mulai 29 Ogos ini.

TSG diketuai pelumba sensasi Harris Saleh. Harris akan dibantu abangnya Mohd Zamri serta tiga pelumba yang sedang meningkat naik iaitu Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Nor Umardi Rosli dan Nur Amirull Fakhruddin Marzuki.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hadi Hassan berkata kejohanan di Surabaya itu dijangka turut disertai pasukan profesional Asia yang lain.

"Kita akan cuba memberikan saingan dan tentangan sengit kepada pasukan lain," katanya.

Beliau berkata pelumba TSG sedang menjalani latihan sepanjang bulan puasa ini bagi menghadapi kejohanan itu.

LPP Terengganu Wujud Pasar Tani Bantu Tingkat Pendapatan Ahli

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu merancang memperluas lagi pasar tani seliaan lembaga itu, terutama di kawasan yang belum diterokai Fama, bagi meningkatkan pendapatan golongan peladang di negeri ini.

Pengarahnya Shamsuddin Mat Rani berkata berkata konsep pasar tani Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) tidak banyak berbeza dengan pasar tani Fama iaitu lebih kepada jualan bahan-bahan yang dihasilkan petani.

Wednesday, August 8, 2012

Ahmad Said Bangga Pencapaian Azizulhasni Di Olimpik London


Walaupun Azizulhasni tidak berjaya memenangi pingat emas namun saya percaya beliau telah mencuba serta mencurahkan sepenuh keringat untuk peringkat akhir trek Keirin Individu Lelaki Sukan Olimpik 2012 di London.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, Azizulhasni berada di kalangan pelumba terbaik Eropah, pencapaian Azizulhasni tetap boleh dibanggakan.

“Apapun, tahniah Azizulhasni, anda tetap membanggakan rakyat Malaysia serta negeri Terengganu..” kata beliau melalui Facebook tengah malam semalam. Ramai menanti keputusan acara kierin itu selepas Azizul berjaya mara ke peringkat akhir trek Keirin Individu Lelaki tetapi gagal membawa sebarang pingat.

Dalam saingan final yang berlangsung kira-kira 1.05 pagi tadi, Azizulhasni hanya menduduki tempat keenam daripada enam peserta peringkat akhir.

Dalam mesej yang dihantar beberapa minit sebelum final, Azizulhasni berkata, "Doakan saya untuk Final Keirin dgn membawa pingat EMAS pertama negara! #supportpocketroket.

" Walaupun gagal menyumbangkan pingat kepada Malaysia, pelumba trek sensasi negara itu berjaya memperbaiki pencapaiannya apabila menduduki tempat keenam dalam acara keirin individu lelaki Sukan Olimpik 2012.

Pencapaian pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 24 tahun itu mengatasi kedudukan tempat ketujuh yang diraihnya pada Sukan Olimpik Beijing 2008.

Pada perlumbaan akhir acara itu yang melibatkan enam pelumba di Velodrom London semalam, Mohd Azizulhasni terpaksa bersaing dengan jaguh-jaguh dunia yang lebih berpengalaman daripadanya.

Pelumba negara itu terpaksa akur dengan kehebatan pelumba Britain, Chris Hoy yang juga juara bertahan serta juara dunia tiga kali, Teun Mulder dari Belanda pada perlumbaan yang membabitkan lapan pusingan itu.

Mohd Azizulhasni yang merupakan juara Piala Dunia Keirin tiga kali berturut-turut sejak 2008, beraksi cemerlang untuk berada di hadapan ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan, namun apabila 50 meter menuju ke garisan penamat, beliau dihalang Mulder menyebabkan pelumba lain berjaya memintasnya.

Hoy memenangi pingat emas acara itu manakala perak milik Levy Maximilian dari Jerman. Simon Van Velthooven dari New Zealand dan Mulder, masing-masing meraih gangsa.

Mari Main Teka Teki Mengenai 'Undi PAS & Undi DAP'


Ketegasan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa DAP akan menentang habis-habisan sebarang cubaan melaksanakan hukum hudud jika pembangkang menang pada pilihan raya akan datang menimbulkan banyak persoalan.


Kontroversi pelaksanaan hukum hudud timbul semula berikutan dakwaan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan kononnya DAP kini memahami dan menerima pendirian parti itu mengenai negara Islam tetapi ia segera disanggah Karpal dengan menegaskan beliau tidak akan bertolak-ansur dalam isu pelaksanaan hukum tersebut.

Kelmarin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersoalkan hukum dalam Islam mengenai tindakan ahli PAS mengundi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, persoalan itu perlu dijawab oleh PAS kerana jelas dan keseluruhan pemimpin parti tersebut ketika ini menentang keras penubuhan sebuah negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud.

Sebelum terus membaca pertanyaan Ibrahim, ayuh kita main teka teki yang direka oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubunga UMNO Terengganu, Datuk Yahya Khatib Mohamad yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Terengganu. Ada 11 soalan untuk dijawab:






Teka teki ini pernah beliau kemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu yang baru lalu ketika menggulung perbahasan mengenai soal berkaitan bidang kuasa beliau.

Selain persoalan di atas, Ibrahim juga bertanyakan hukum daripada sudut syarak mengenai arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi PAS seperti Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang meminta ahli-ahli parti mereka mengundi DAP.

''Adakah ia dibolehkan atau tidak, memandangkan DAP terang-terang mengecam penubuhan negara Islam dan hukum hudud. Ini bukan soal PAS, tetapi kecaman yang dibuat oleh Karpal itu jelas melibatkan kesucian Islam dan kepentingan umat Islam.

 ''Satu perkara lagi, dahulu ada kepercayaan di kalangan ahli PAS khususnya semasa diadakan kempen-kempen pilihan raya iaitu mengundi PAS masuk syurga, namun kini timbul pula persoalan apa pula hukum mengundi DAP dalam keadaan DAP menolak negara Islam,'' katanya kepada Utusan Malaysia kelmarin.

www.hambali1.blogspot.com

Rumah ADUN Ajil Terbakar Musnahkan 90 Peratus Struktur

ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid (dua dari kanan), memeriksa keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 23, Kuala Berang, Hulu Terengganu, malam tadi. Kejadian pada 10.15 malam itu memusnahkan hampir 90 peratus struktur rumah sekali gus menjejaskan persiapan raya mereka sekeluarga.
Rumah kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Wahid musnah dalam kebakaran di Kampung Batu 23, di Ajil, malam tadi.

Kejadian pada 10.15 malam itu memusnahkan hampir 90 peratus struktur rumah berkenaan.

Rosol berkata, ketika kejadian, kesemua anggota keluarganya tiada di rumah kerana berbuka puasa dan bertarawih di luar.


Simbolik Kemerdekaan ke -55, Kunjungan PM Diiringi 55 Imam

Seramai 55 imam dan bilal akan mengiringi ketibaan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak sambil mengalunkan selawat sempena kunjungan pemimpin nombor satu negara di majlis berbuka puasa di padang bola bersebelahan Masjid Kampung Padang Nanas, Tepoh, esok.
 
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata bilangan 55 imam dan bilal dari Parlimen Kuala Nerus itu adalah simbolik dengan sambutan Kemerdekaan Negara yang ke-55.

Ketengah Holding Peroleh RM68.8 Juta

Ketengah Holding Sdn. Bhd. (Ketengah Holding), anak syarikat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM68.8 juta bagi tahun 2011.

Pengurus Besarnya, Wan Mat Amin Wan Daud berkata, keuntungan besar itu disumbangkan melalui sektor perladangan dan perkilangan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, kumpulan syarikat berkenaan akan mengeluarkan zakat sebanyak RM1.324 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Polis Lancar Kempen Keselamatan Memandu


Polis kontinjen Terengganu akan melancarkan operasi khas untuk membantu orang ramai agar dapat mematuhi peraturan lalu lintas sempena musim cuti perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Polis Negeri, Senior Assistan Kommisioner, Datuk Jamshah Mustapa berkata, dalam hal ini, pihaknya akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan kempen keselamatan jalan raya supaya kadar kemalangan yang biasanya meningkat sempena musim perayaan itu dapat dikurangkan.

Tuesday, August 7, 2012

Najib Akan Diberi Sambutan Meriah Di Kuala Nerus, Khamis Ini

Gambar Fail - Lawatan terbaru Najib ke Terengganu ialah ke Dungun dan Bukit Payong pertengahan Julai lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan diberi sambutan meriah semasa menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat Terengganu di Kuala Nerus, Khamis ini, kata Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Beliau berkata, persiapan menyambut kedatangan Najib yang dijangkakan hadir menyampaikan bantuan jubah kepada imam dan bilal di padang bola, bersebelahan Masjid Kampung Padang Nanas di sini pada sebelah petang yang dijangka dihadiri sekitar 10,000 tetamu.

"Sebelum majlis berbuka puasa nanti, Perdana Menteri akan menyampaikan bantuan jubah kepada imam dan bilal di kawasan Parlimen itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa membuat tinjauan kerja-kerja persiapan majlis berkenaan hari ini.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata, Najib juga akan menyampaikan sumbangan Ihsan Ramadan kepada anak yatim, orang kurang upaya, warga emas, ibu tunggal dan orang kurang berkemampuan di kawasan itu.

"Perdana Menteri dijadual menunaikan solat Isyak dan bertarawih di Masjid Wakaf Tembesu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Adun) Tepoh, Muhamad Ramli Nuh berkata, ketibaan Najib di masjid Kampung Padang Nanas akan disambut oleh 55 imam dan bilal yang berselawat sebagai simbolik sempena sambutan 55 tahun Hari Kemerdekaan.

Katanya, pada sambutan itu juga, 55 orang kampung akan menyambut Najib dengan menjunjung dulang yang berisi lauk pauk dan kuih bagi majlis berbuka puasa secara tradisional. Beliau berkata, juadah yang disediakan untuk berbuka puasa itu merupakan juadah makanan tradisional Terengganu iaitu nasi berlaukkan gulai daging, ikan goreng, ulaman, sambal belacan dan pelbagai kuih tradisional.

Katanya, tugas menghidangkan nasi dan kuih muih itu diserahkan kepada Pergerakan Wanita Umno yang akan mengagih-agihkan masakan selain tempahan untuk dihidangkan kepada lebih 10,000 tetamu pada hari berkenaan.

"Kita akan sediakan kuih tradisonal istimewa seperti Taik Itik, Tok Haji Serban, Nekbat dan lain-lain sebagai kelainan juadah pada majlis berbuka puasa berkenaan," katanya.

YIT Dijangka Catat Keuntungan Hampir RM50 Juta Apabila Beberapa Bidang Tanah Dimajukan

Yayasan Islam Terengganu (YIT) dijangka memperolehi keuntungan bersih RM22 juta apabila beberapa bidang tanah milik anak syarikat kerajaan negeri itu, yang terletak di tengah bandar ini, dibangunkan oleh pemaju hartanah swasta menjelang hujung tahun ini.

Pengarah YIT Md Kamaru Al-Amin Ismail berkata tanah yang akan dibangunkan itu, yang kini masih menjadi tapak meletak kenderaan, merupakan projek pembinaan sebuah menara setinggi 20 tingkat yang dianggarkan menelan belanja RM100 juta berhadapan rumah pangsa Kampung Kolam di Kuala Terengganu.

"Kami baru selesai menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan satu syarikat tempatan untuk membangunkan kawasan tersebut," katanya semalam.

Menurut Md Kamaru Al-Amin, YIT dijangka memperoleh RM30 juta hasil pembangunan kawasan seluas kira-kira 2.2 hektar itu dan pendahuluan RM1.5 juta telah pun dibayar kepada YIT.

Mengulas lanjut mengenai projek itu, beliau berkata perlaksanaan projek itu dijadual bermula September ini apabila segala urusan dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) selesai.

Katanya projek yang menyediakan rumah kedai dan hotel serta menara itu dijangka siap sepenuhnya dua tahun lagi dan bakal menjadi mercu tanda YIT yang terbaharu di bandar ini.

Beliau berkata pembangunan hartanah milik YIT seterusnya ialah di hadapan Awana Kijal Resort seluas 5.0 hektar dan Kemasik 2.0 hektar di mana kedua-duanya dalam daerah Kemaman bagi pelaksanaan projek rumah dan kedai.

"YIT akan memperolehi pendapatan bersih RM14 juta dari kedua-dua projek itu selepas dibangunkan oleh pemaju nanti," katanya. Md Kamaru Al-Amin berkata satu lagi projek hartanah yang akan dibangunkan dengan rumah kedai dan rumah kediaman pada tahun ini ialah satu tapak berdekatan dengan Hospital Setiu.

Beliau berkata projek yang akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat tempatan itu akan melibatkan kawasan seluas 2.0 hektar dan ia akan memberi pendapatan RM3 juta kepada YIT.

Di Kampung Raja, Besut pula, YIT akan membangunkan kawasan seluas kira-kira 0.6 hektar juga dengan projek rumah kedai yang akan memberi pulangan RM1.6 juta kepada agensi kerajaan itu.

Beliau berkata keputusan melantik dan memilih syarikat-syarikat pemaju untuk kesemua projek tersebut telah dilakukan dalam mesyuarat lembaga YIT baru-baru ini.

"Kita pilih dan melantik syarikat-syarikat tempatan untuk mengadakan usahasama untuk membangunkan tanah YIT itu," katanya, sambil berharap perolehan tersebut akan mengukuhkan lagi kedudukan kewangan YIT.