Saturday, December 22, 2012

Penyakit Diabetes Ancaman Baru Golongan Muda Di Negara Ini

 

Seramai 300,000 golongan muda di negara ini didapati menghidapi penyakit diabetes melitus jenis 2 atau dikenali sebagai 'T2DM', kata Pakar Endokrinologi Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Wan Mohamad Wan Bebakar.

Beliau berkata jumlah penghidap golongan muda itu dikhuatiri akan meningkat sejajar dengan jangkaan peningkatan penghidap T2DM di seluruh dunia dari 230 juta kepada 440 penghidap menjelang 2030.

Katanya pertambahan bilangan penghidap muda T2DM bermakna risiko berdepan komplikasi penyakit itu pada usia yang lebih muda juga adalah tinggi.


Ombak besar - Nelayan Dinasihat Tidak Turun Ke Laut

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tidak menggalakan nelayan kecil di negeri itu keluar ke laut memandangkan keadaan laut yang tidak mengizinkan ketika ini.

Pengarah LKIM Terengganu Mohd Saffe Mohd berkata peringatan tersebut telah dikeluarkan oleh LKIM kepada nelayan melalui persatuan nelayan masing-masing.

"Kita telah mengeluarkan notis berhubung perkara itu beberapa hari lepas dan kita harap semua nelayan akan mematuhinya," katanya.

Kuih-Muih Melayu Dipromosi Di Pasar Tani

Kuih-muih Melayu mungkin akan menjadi tarikan baru apabila dijual di pasar tani di seluruh negara, kata Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak.

Beliau berkata ia akan menjadi satu produk baharu pasar tani selain barangan harian untuk menarik lebih ramai pengunjung berbelanja di Pasar Tani pada masa depan.

"Kita yakin apabila kuih-muih dijual di pasar tani, ramai pembuat kuih tradisi akan berniaga di situ," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancagan Ekspo Halal 1Malaysia di Kuala Terengganu, hari ini.

Berdepan 14 Tahun Penjara Kerana Rompak Guru Wanita

Mohd Aswadi didakwa melakukan rompakan yang melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM600 di Mahkamah Majistret, kelmarin.
Seorang lelaki berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu kelmarin atas dakwaan merompak seorang wanita pada November lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Aswadi Mohd Zam, 29, dari Kampung Rhu Batil, Kuala Dungun, Dungun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap dakwaan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana merompak itu.

Lebih 2.3 Juta Permohonan BR1M 2.0 Diterima Setakat 17 Disember


Lebih 2.3 juta permohonan bagi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 diterima setakat 17 Dis lepas, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata daripada jumlah itu lebih 1.6 juta permohonan adalah daripada individu bujang dan lebih 720,000 permohonan daripada isi rumah.

Katanya 54 peratus permohonan itu dibuat secara manual manakala selebihnya dibuat secara online.

Katanya bantuan BR1M 2.0 yang melibatkan peruntukan RM3 bilion itu dijangka memberi manfaat kepada seramai 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang.

Tesdec Sedia Tenaga Mahir Penuhi Tenaga Kerja Industri Di Terengganu

Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) kini bukan sahaja menyediakan kursus kemahiran kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi menyediakan tenaga kerja separuh mahir bagi kawasan industri di Kertih, Kemaman.

 Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Che Razali Adis berkata pihaknya baru sahaja berbincang dengan sebuah syarikat besi waja Eastern Steel bagi menyediakan 200 pekerja separuh mahir yang diperlukan syarikatnya.

"Pada perbincangan itu kita dikehendaki menyediakan tenaga pekerja berkenaan yang akan mengikuti kursus di sini sebelum diserapkan ke kilang tersebut pada tahun hadapan," katanya kepada pemberita di Marang, kelmarin.

Anak Dijatuhi Hukuman Penjara 8 Bulan Akibat Heret Ibu, Ugut Pukul

Mohd Hanafi menutup mukanya untuk mengelak daripada dirakam selepas dijatuhi hukuman penjara 8 bulan oleh Mahkamah Majistret semalam, apabila mengaku bersalah mengugut ibunya
Seorang anak bukan sahaja tergamak mengheret ibunya dengan kejam, malah dia turut mengugut akan memukul mangsa menggunakan rantai pengunci motosikal apabila permintaannya untuk mendapatkan wang RM150 tidak dilayan.

Bagaimanapun, perbuatan tidak berperikemanusiaan Mohd Hanafi Hasim, 30, dari Kampung Kubang Panjang, di sini, menerima balasan apabila dijatuhi hukuman lapan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu diputuskan apabila dia mengaku bersalah dengan sengaja mengugut dengan niat mendatangkan ketakutan menggunakan rantai pengunci motosikal untuk mencederakan ibunya, Tuan Rahamah Tuan Sulaiman, 57.

Lebih 1.6 Juta Anak Penyu Agar Dilepas Di Bawah Program Penetasan


Jabatan Perikanan melepaskan sebanyak 1,649,749 ekor anak penyu agar di pantai Terengganu di bawah program penetasan anak penyu dari tahun 2000 hingga 2011.

Seorang jurucakap pusat konservasi dan penerangan penyu Rantau Abang di sini berkata dalam tempoh itu sebanyak 2,206,570 biji telur penyu agar telah dieramkan dan sebanyak 24,921 sarang penyu agar dicatat.

Katanya, mengikut rekod, kedua-dua tahun iaitu 2010 dan 2011 adalah tahun-tahun paling banyak pelepasan anak penyu dibuat, masing-masing mencatat 268,627 dan 281,016 ekor.

Koternak Akan Labur RM600,000 Dalam Bidang Ternakan Lembu Feedlot

Koperasi Penternak Terengganu Berhad (Koternak) dijangka melabur RM600,000 dalam bidang ternakan lembu feedlot awal tahun depan.

Pengerusinya, Ma'az Muda berkata pelaburan itu bertujuan membeli lembu untuk diternak secara feedlot bagi menambah pendapatan ahli Koternak pada masa akan datang.

"Ini merupakan satu projek baharu yang akan dilaksanakan oleh Koternak selain projek perniagaan makanan ternakan lembu yang dijalankan sebelum ini," katanya.

Untuk itu, Ma'az berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri Terengganu telah menyediakan satu kandang ternakan feedlot di Tersat, Hulu Terengganu untuk Koternak.

Polis Terengganu Tahan Lima Lelaki Indonesia Disyaki Lakukan Samun 2

Polis Terengganu berjaya menahan sekumpulan lima lelaki warga Indonesia semalam yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun di sekitar negeri ini dan Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata kesemua mereka diberkas di sebuah rumah di Jalan Air Puteh Taman Samudera Timur, di Kemaman jam 7 malam dan turut dijumpai bersama mereka sejumlah barang dan senjata digunakan untuk menyamun.

Katanya, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 30 tahun itu ditahan kurang 24 jam selepas dipercayai melakukan samun ke atas tujuh sekeluarga di Kampung Mak Chili, di Marang  kira-kira jam 5.10 pagi, kelmarin.

Penduduk Di Kawasan Rendah Di 4 Negeri Diminta Waspada

Penduduk yang tinggal di kawasan rendah di Sabah, Kelantan, Terengganu dan Pahang diminta bersiap sedia untuk menghadapi banjir berikutan hujan lebat akibat monsun timur laut atau musim tengkujuh yang bermula akhir Oktober lalu sehingga awal Mac depan.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, nasihat hujan lebat peringkat kuning sudah dikeluarkan pada petang Rabu lalu yang boleh membawa risiko banjir di negeri berkenaan.

Kerosakan Bumbung Masjid Negeri Terengganu Dalam Perhatian Kerajaan Negeri


Kerosakan struktur bumbung yang menyebabkan kebocoran di Masjid Negeri Terengganu iaitu Masjid Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu kini dalam perhatian kerajaan negeri.

Pengerusi Lembaga Pengurusan masjid itu Wan Nawawi Wan Ismail berkata Anggota Jawatankuasa (AJK) telah menyerahkan laporan kerosakan itu kepada pihak kerajaan negeri dan berharap masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

Lampu Limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Dinaik Taraf



Kerajaan negeri akan menaik taraf pencahayaan lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini dari 800 lux kepada 1,200 lux, awal Januari depan.

Setiausaha Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh berkata, usaha ini bagi mengelak pertandingan bola sepak dilangsungkan pada sebelah petang.

"Sebelum ini, pencahayaan lampu stadium itu dinaikkan daripada 800 lux kepada 1,000 lux untuk membolehkan pertandingan diadakan sebelah malam," katanya di Kuala Terengganmu, kelmarin.

Seorang Maut, Dua Parah Kemalangan Di Dungun

Seorang remaja maut manakala dua lagi rakannya cedera parah apabila kereta Proton Waja yang mereka naiki hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira di Kilometer 87, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Bukit Bauk, di Dungun malam tadi.

Mangsa Nurul Syazwani Roslan, 20, berasal dari Kampung Panji Alam, Kuala Terengganu yang parah di bahagian kepala dan kecederaan dalaman meninggal 2 pagi tadi di Hospital Dungun selepas diberi rawatan kecemasan.

Kejadian kira-kira 11.20 malam itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Waja yang dinaiki mangsa terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

Thursday, December 20, 2012

Presiden PAS Miliki Ilmu Lebih Tinggi Daripada Mufti - Nik Aziz

"Saya menyeru kepada para mufti, jangan beranggapan Presiden Pas sebagai orang yang tidak tahu hukum hakam...Jangan jual harga mufti dengan murah..." 
- Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat

Presiden Pas memiliki ilmu yang lebih tinggi berbanding mufti kerana mempunyai kelulusan Madinah yang cemerlang.

Sehubungan itu, mufti tidak harus menganggap Hadi tidak mengetahui hukum-hakam agama Islam semasa mengeluarkan amanat itu.

Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas mufti-mufti yang mendesak Presidennya, Datuk Abdul Hadi Awang menarik balik "Amanat Haji Hadi" sambil menegaskan mufti tidak harus "bermain politik."

"Saya membaca kenyataan beberapa orang mufti yang mendesak agar Presiden Pas menarik balik apa yang didakwa sebagai Amanat Haji Hadi.

"Saya kira, ilmu yang dimiliki oleh Presiden Pas tidak lebih rendah dari ilmu yang dimiliki oleh mufti, bahkan beliau merupakan lulusan Madinah yang cemerlang.

"Jadi saya menyeru kepada para mufti, jangan beranggapan Presiden Pas sebagai orang yang tidak tahu hukum hakam," kata beliau dalam reaksinya diperoleh dari laman sosial Facebook.

Kelmarin, dua orang mufti termasuk Tan Sri Harussani Zakaria menggesa Abdul Hadi menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.

Mengulas lanjut, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, mufti boleh berbincang dengan cara yang elok dan tidak perlu bermain politik.

"Mufti boleh berbincang jangan bermain politik partisan di dalam jubah mufti," katanya.

Beliau juga mengingatkan mufti supaya tidak menjual harga seorang mufti sehingga menjadikannya "murah". "Jangan jual harga mufti dengan murah...," katanya.

Asri...Lebih baik sekiranya Abdul Hadi membuat penarikan secara rasmi amanat itu.
Sementara itu,  bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan isu Amanat Hadi sebagai "kisah lama".

Kerana itu adalah lebih baik sekiranya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat penarikan secara rasmi amanat yang pernah diberikan kepada ahli Pas lebih tiga dekad lalu.

Menurutnya, amanat yang berbunyi Umno itu kafir diungkapkan Hadi sewaktu angin kebangkitan Islam kira-kira 30 tahun lalu.

“Sungguhpun ahli Pas hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, tetapi Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat.

“Ini perkara lama. Amanat tersebut diungkapkan ketika zaman muda beliau (Hadi). Ketika itu angin kebangkitan Islam mempengaruhi segenap pemuda ditambah dengan ketegangan sistem Perlembagaan yang menjadi teras negara ini,” katanya kepada Sinar Harian mengulas gesaan dua mufti agar Hadi menarik balik amanat beliau.

Katanya, perkara sama turut berlaku kepada ramai tokoh-tokoh pemimpin muda pada ketika itu. “Pas sekarang sudah lain. Saya melihat kepimpinan hari ini sudah tahu hala tuju perjuangan mereka. Hadi juga sudah bertemu dengan pemimpin parti lain termasuk Umno.

“Jadi, ahli parti itu sudah boleh mengagak dan tahu amanat lama sudah tidak ada lagi,” katanya. Menurutnya, penggabungan Pas bersama Pakatan Rakyat (PR) juga memperlihatkan parti itu semakin realistik dalam perjuangan politik mereka.

 “Jika dapat dibuktikan, masih wujud ahli yang berpegang teguh dengan amanat seumpama itu, bermakna Hadi perlu tampil membuat penarikan semula dengan segera,” katanya.

Tambah Asri, isu lama ini seharusnya tidak lagi dibangkitkan kerana ia akan mengundang pelbagai perkara lain yang boleh mendatangkan kontroversi.

“Seharusnya ia dihentikan. Jika tidak, akan muncul macam-macam lagi termasuk isu 13 Mei. Tutup buku lama.

“Semua pihak perlu melihat ke depan bukan membongkar kisah lama lagi. Ia sudah tidak relevan lagi,” katanya.

Terengganu Kekalkan Momentum Kecemerlangan PMR Tahun Ke 8

 
 

Momentum kecemerlangan negeri Terengganu ternyata sukar disaingi apabila mengekalkan pencapaian terbaiknya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun ini.

Keputusan tahun ini memperlihatkan kualiti yang stabil dengan Gred Purata Negeri (GPN) 2.57 menyamai pencapaian tahun lalu sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) 2.71 dan masih merupakan rekod pencapaian dalam tempoh lapan tahun sejak 2005.

Alia Syuhada Aziz, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan, Kuala Terenganu adalah  satu-satunya Calon Berkeperluan Khas (CBK) di Terengganu  yang memperolehi 8A.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Hashim Mohd. Zin berkata, walaupun mencatat kegemilangan secara keseluruhannya, pencapaian peringkat cemerlang menurun sedikit.

Gred Purata Negeri (GPN) kekal 2.57 sebagaimana tahun lalu. Selain itu, GPN pada 2005 (2.78), 2006 (2.75), 2007 (2.65), 2009 (2.60) dan 2010 (2.58).


Henti Sebar Khabar Angin Di Laman Sosial - Ketua Polis Negara

Najib melihat sebuah motosikal Unit Rondaan Bermotosikal selepas melancarkan unit tersebut di Padang Awam Bandar Kinrara, Puchong semalam. Turut kelihatan, Hishammuddin (tiga dari kiri) dan Ismail (kanan).
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar semalam.mengingatkan masyarakat supaya tidak menyebar khabar angin di laman sosial yang boleh menimbulkan ancaman kepada negara.

Ismail berkata masyarakat harus lebih bertanggungjawab serta memikirkan kesan negatif yang mungkin berlaku dengan penyebaran khabar angin yang tidak betul.

"Masyarakat seharusnya merujuk kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan kesahihan sesuatu kejadian, bukan menyebar khabar angin di laman sosial seperti Facebook, Twitter atau blog," katanya.

Terengganu Kekalkan Momentum Kecemerlangan 8 Tahun PMR

 
 

Momentum kecemerlangan negeri Terengganu ternyata sukar disaingi apabila mengekalkan pencapaian terbaiknya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun ini.

Keputusan tahun ini memperlihatkan kualiti yang stabil dengan Gred Purata Negeri (GPN) 2.57 menyamai pencapaian tahun lalu sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) 2.71 dan masih merupakan rekod pencapaian dalam tempoh lapan tahun sejak 2005.

Alia Syuhada Aziz, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan, Kuala Terenganu adalah  satu-satunya Calon Berkeperluan Khas (CBK) di Terengganu  yang memperolehi 8A.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Hashim Mohd. Zin berkata, walaupun mencatat kegemilangan secara keseluruhannya, pencapaian peringkat cemerlang menurun sedikit.

Gred Purata Negeri (GPN) kekal 2.57 sebagaimana tahun lalu. Selain itu, GPN pada 2005 (2.78), 2006 (2.75), 2007 (2.65), 2009 (2.60) dan 2010 (2.58).


Guardini Jadi Penyeri, Antara Bintang LTdL 2013


Buat tahun ketiga berturut-turut, Andrea Guardini sekali lagi merupakan antara bintang yang akan memeriahkan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 , tetapi kali ini, dia datang bersama Pro Team Astana, bukan lagi dengan pasukan Pro Continental, Farnese Vini.

Guardini berkata, Le Tour de Langkawi merupakan perlumbaan yang amat dekat di hatinya.

"Saya sukakan kehangatan negara ini dan rakyatnya. Keseluruhan suasana perlumbaan ini memberi rangsangan hebat kepada saya. Apabila saya berbincang tentang kontrak baharu saya dengan Astana, tidak sukar untuk mencapai persetujuan kerana hakikatnya saya akan mengambil bahagian dalam Le Tour de Langkawi sekali lagi.

"Pihak pengurusan pasukan dengan terus terang menyatakan kepada saya bahawa perlumbaan ini sangat penting bagi Astana, kerana kami merupakan satu-satunya Pro Team dari Asia," kata Guardini dalam kenyataan yang dikeluarkan penganjur perlumbaan  semalam.

Forlan Tidak Sabar Julang T-Team

Pasukan T-team sedang menjalani latihan di Myanmar.
Bekas penyerang Republik Ireland yang mewakili T-Team, Caleb Colman Folan bertekad membantu pasukan barunya itu menjulang sekurang-kurangnya satu piala dalam Liga Malaysia (Liga M) yang akan membuka tirainya bulan depan.

Folan yang pernah menyarung jersi beberapa pasukan terkemuka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) antaranya Leed United, Chesterfield, Wigan Athletics, Hull City dan Middlesborough berkata, dia tidak sabar beraksi bersama The Titans.

"Biarpun ini adalah kali pertama saya di Terengganu, namun saya sudah terpaut dengan kemesraan yang diberikan, bukan saja di kalangan rakan sepasukan, malah peminat bola sepak di negeri ini.

PMR 2012 - 27 Sekolah Di Terengganu Dapat GPMP Cemerlang

Sembilan pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib, Kuantan, (dari kanan) Nurul Syuhada Sulaiman, Nur Fadhlin Jazilah Johan, Nurul Alyaa Izzati Kamarul Bahrin, Hannah Lee Mei En, Husna Mohd Zaki, Angel Ng Jiar Chyi, M. Lishalini, Nureen Izzaty Mohd Basri dan V. Shaleni menunjukkan slip keputusan peperiksaan PMR masing-masing selepas diumumkan, semalam.
Seramai 30,474 atau 6.92 peratus daripada 481,424 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012, mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan Datuk Dr Amin Senin berkata ini menunjukkan penurunan 0.85 peratus berbanding pencapaian tahun lepas yang merekodkan seramai 34,271 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran.

Bagaimanapun jumlah calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran menurun daripada 346 orang (0.08 peratus) pada tahun lepas kepada 241 orang (0.05 peratus) tahun ini," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan PMR 2012, di Putrajaya semalam.

Sebahagian daripada pelajar-pelajar Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Seremban, bergambar kenangan selepas berjaya muncul sebagai senarai teratas sekolah terbaik di Negeri Sembilan dimana seramai 93 orang daripada 108 pelajarnya mendapat keputusan 8A.

PDKT Perkenal Kaedah Penarafan JKKK

Pejabat Daerah Kuala Terengganu (PDKT) akan memperkenalkan satu kaedah penarafan bagi mengukur tahap keberkesanan peranan sesebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mulai tahun depan.

Pegawai Daerah, Wan Nawawi Wan Ismail berkata, kaedah penarafan itu memberi penekanan terhadap tujuh kategori termasuk dari segi keselamatan, kesihatan, pendidikan, kejiranan, komuniti dan fizikal.

"Kita akan membuat pemarkahan melalui kategori berkenaan bagi menentukan sesebuah kampung itu mencapai tahap perkembangan kemajuan sebenar," katanya selepas majlis Anugerah Kecemerlangan JKKK Daerah Kuala Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu, kelmarin.

Mulai 1 Januari Calon Perkhidmatan Awam Ditapis Dalam Talian

Mulai 1 Januari 2013, semua permohonan calon untuk menyertai perkhidmatan awam akan ditapis secara dalam talian sebelum layak dipanggil untuk menduduki peperiksaan dan temu duga.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam yakin melalui kaedah baharu itu, tempoh pengesahan jawatan penjawat awam yang sebelum ini memakan masa antara satu hingga tiga tahun dapat dikurangkan kepada setahun hingga enam bulan.

Katanya tapisan dilakukan membabitkan 14 perkara termasuk kesahihan kewarganegaraan Malaysia, sijil kelayakan, rekod jenayah dan rekod kewangan dengan pengesahannya dapat dibuat hanya beberapa jam bagi setiap calon.

Wednesday, December 19, 2012

Hadi - Meminta Maaf Atau Tidak Perlu Dimaafkan Langsung?

 
Analisis Hambali Abdul Latiff

 Pada ketika beberapa ulama hari ini menegaskan bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang wajib segera menarik balik amanatnya pada 1981 yang menggambarkan UMNO kafir, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Rabu lalu, penyokong kerajaan, Ramlan Ali (BN-Jabi) (gambar kiri) menegaskan beliau tidak akan memaafkan Presiden PAS itu. Ini kerana menurutnya, Hadi mengkucar-kacirkan hubungan keluarganya sejak sekian lama disebabkan amanat itu.

Dalam nada beremosi, beliau berkata, Amanat Hadi yang dicetuskan di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 itu masih memberikan kesan berpanjangan baginya. Kesan itu juga turut meresap di kalangan masyarakat di DUN Jabi itu sehingga mereka berpecah-belah.

Walaupun sudah 31 tahun berlalu, tetapi Amanat Hadi membarah sehingga ke hari ini di dalam jiwa dan pemikiran pengikut tegar PAS menyebabkan mereka menolak mentah-mentah apa sahaja termasuk kebaikan yang cuba dibawa UMNO dan kerajaan.

Amanat yang menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam itu hakikatnya bukan sahaja berlaku di Terengganu tetapi juga negeri-negeri lain khususnya di Kedah, Kelantan, Pahang dan beberapa negeri lain. Berucap pada perbahasan Bajet 2013 Rabu 12 Disember 2012 pada sidang DUN Terengganu,

Ramlan menyatakan kesedihannya kerana masih terdapat bersolat berasingan di masjid, begitu juga mengebumikan jenazah di tanah perkuburan berasingan serta ada terpisah dengan keluarga.

Ramlan turut merujuk kepada buku karangan bekas ahli seumur hidup PAS, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N al-Afghani iaitu KAFIRKAH AKU?


Melalui buku itu diceritakan bagaimana puluhan ribu ahli dan pengikut tegar PAS dikesan masih berpegang teguh kepada amanat Hadi pada 1981 yang mengkafirkan UMNO sehingga mereka kekal sehingga kini menganggap orang UMNO adalah kafir.

Yang pasti, masih ramai pengikut tegar parti itu percaya, pemimpin serta ahli UMNO jauh lebih hina daripada orang-orang bukan Islam. Zainon sendiri mendesak Hadi yang kini memegang tampuk kepemimpinan PAS menarik balik amanat berkenaan. Ia demi kepentingan umat Islam di negara ini kerana selagi Hadi tidak berbuat demikian, orang Melayu akan kekal berpecah sampai bila-bila.

Menurutnya, Hadi perlu meletakkan kepentingan akidah jauh lebih penting daripada pertimbangan politik kerana jika tidak, puluhan ribu pengikut PAS terus bergelumang dengan dosa akibat mengkafirkan saudara seagama hanya kerana perbezaan politik.

Kepimpinan PAS tidak boleh berdiam diri dalam hal ini seolah-olah Abdul Hadi tidak melakukan apa-apa kesalahan ketika mengeluarkan amanat kerana kesannya kepada masyarakat terlalu besar. Soal kafir-mengkafir ini isu akidah jauh melebihi kepentingan politik. “Saya salah seorang ahli PAS yang terpengaruh dengan amanat tersebut sehingga sanggup mengkafirkan ayah dan abang sendiri. Sehingga kini saya tidak tenang kerana dihantui dosa itu,” katanya.

Apa yang dikatakan Ramlan dan Zainon itu kini mendapat reaksi sama oleh beberapa ulama, tokoh agama dan ilmuan Islam. Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh menganggap tuduhan Hadi itu merupakan bidaah besar serta bercanggah dengan amalan ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan majoriti umat Islam negara ini.

Menurutnya, bidaah seseorang umat Islam yang menuduh umat Islam lain sebagai kafir juga amat berbahaya kerana tuduhan itu dikhuatiri akan berbalik kepada orang yang mengeluarkannya.

"Bahaya ini bukan kepada UMNO sebagai kerajaan serta ahlinya kerana tiada kesan, tetapi sebenarnya orang yang menuduh kerana akan berbalik kepadanya. Jadi kembalilah kepada ajaran ahli Sunnah Wal Jamaah kerana menurut hadis, individu yang mengeluarkan fitnah serta bidaah seumpama ini tidak akan diterima amalannya sama ada sunat ataupun wajib," katanya pada Isnin.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria turut menggesa Presiden PAS itu menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.

"Selagi seseorang Islam itu mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan amalan, bagaimana boleh dikatakan kafir. "Itu hanya pendapat melulu dan tidak berasas. Dari segi syarak, saya bangkit mengatakan kebenaran. Beliau (Hadi) wajib menarik balik amanat tersebut," katanya. ," kata Mufti Perak kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena pertemuan bersama Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan di Kuala Lumpur kelmarin (17 Disember 2012).

Pengerusi Penerbitan Dakwah Islamiah Malaysia (Pedim), Datuk Mat Jahaya Hussin yang berharap semua pihak hanya bercakap perkara yang benar sahaja.

"Ada ayat al-Quran menyebut jauhkan diri daripada prasangka tidak baik. "Adalah lebih baik kita mengikut nas al-Quran, sama ada daripada tulisan atau ceramah," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, perbuatan mengkafirkan sesama Islam adalah sama seperti golongan khawarij.

Maksud amanat tersebut secara langsung dan jelas bahawa PAS menuduh Umno berpaling dari agama Islam. “Mereka (PAS) menuduh Umno kafir kerana membawa ideologi atau fahaman yang boleh menghancurkan umat Islam, sedangkan ia meleset sama sekali,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas ahli Pas, Zainon Ismail bahawa Abdul Hadi mengeluarkan amanat pada 1981 yang mengkafirkan Umno sehingga ada ahli Pas sehingga kini menganggap orang Umno adalah kafir.

Namun gesaaan itu tidak digemari pemimpin PAS apabila Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mengingatkan semua mufti untuk tidak masuk campur dalam hal berkaitan politik tanah air jika tidak tahu sejarah perkembangan sesebuah parti politik itu. Harussani berkata perkara ini sudah pun dijelaskan yang mana ia bukan masalah parti.

Harun berkata Hadi tidak perlu menarik balik kenyataan yang pernah dibuat itu kerana apa yang dikatakan itu berpunca daripada kepimpinan Umno terdahulu

“Kita (PAS) akui ucapan itu pernah dibuat dan beliau (Abdul Hadi) tidak perlu tarik balik. Harussani perlu ingat sejarah. Perlu ingat isu debat yang dibatalkan Umno semasa kepimpinan Mahathir ( Tun Dr Mahathir Mohamad). “Kalau mufti tidak tahu sejarah politik, jangan campur tangan. Mufti perlu tutup mulut,” ulas Harun kepada Sinar Harian kelmarin.

Berbalik kepada Zainon penulis buku KAFIRKAH AKU, kita boleh mentafsir kesalannya apabila mengatakan: “Saya salah seorang ahli PAS yang terpengaruh dengan amanat tersebut sehingga sanggup mengkafirkan ayah dan abang sendiri. Sehingga kini saya tidak tenang kerana dihantui dosa itu. Saya memohon kepada Allah agar diampunkan dosa sebelum ajal menjelma.

“Tapi sebagai individu bertanggungjawab apatah ketika berkuasa, Abdul Hadi perlu membetulkan semula akidah pengikut PAS kerana masih terdapat puluhan ribu ahli parti yang taksub dan menganggap Umno kafir,” katanya kepada Utusan Malaysia kelmarin.

YPK Keluar Pinjaman RM39.6 Juta Sejak 1995

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) mengeluarkan pinjaman RM39.685 juta kepada 16,000 keluarga mudah miskin di negeri itu sejak 1995 hingga tahun ini.

Pengarahnya, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata wang tersebut untuk dijadikan modal pusingan perniagaan supaya golongan berkenaan menjadi usahawan dan sekali gus terkeluar dari garis kemiskinan serta dapat berdikari pada masa depan.

"Takrif mudah miskin di Terenggaanu ialah berpendapatan perkapita keluarga bawah RM600 sebulan," katanya semalam.

20,000 Dijangka Hadir Program Jamuan Rakyat Bersama TPM


Lebih 20,000 penduduk tempatan dijangka menghadiri Jamuan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir, Kuala Terengganu pada 22 Disember ini.

 `Gelombang Kebangkitan DUN Manir’ akan turut dilancarkan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sempena lawatan kerja beliau ke Terengganu.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam, berkata ketibaan Muhyiddin bersama Menteri Besar, DatukSeri Ahmad Said akan disambut lebih 1,500 pemuda Umno bermotosikal.

MTUC Mahu KWSP Beri Dividen Lebih Tinggi

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan dividen lebih tinggi pada tahun ini berikutan peningkatan pendapatan pelaburannya.

KWSP baru-baru ini mengumumkan pendapatan pelaburannya meningkat kepada RM7.02 bilion pada suku ketiga tahun ini berakhir 30 September.

PLBT Pertaruh Empat Pelumba Di Sirkit Terakhir GP Kebangsaan

Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) mempertaruhkan empat pelumba bagi mencapai kedudukan podium pada sirkit terakhir Kejohanan Grand Prix Kebangsaan di Melaka yang bermula 29 Dis ini.

Ketua jurulatihnya Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata mereka termasuk dua pelumba pelapis Abd Azim Zahid dan Iskandar Fitri Ahmad Sabti.

Bagi kategori elit, PLBT menyandarkan harapan pada Yuzrizal Mohd Yousuf dan Khairul Azizi Abdullah untuk memperbaiki kedudukan pada kejohanan penutup tirai itu.

Aman Palestin T'erengganu Kumpul RM250,000 Bantu Penduduk Gaza

Aman Palestin Berhad cawangan Terengganu berjaya mengumpulkan RM250,000 sepanjang tahun ini dalam usahanya membantu penduduk Palestin.

Pengurusnya Mohammad Sirojul Afkar Hamid berkata sekalipun tidak mencapai sasaran RM300,000, jumlah itu mengatasi kutipan tahun lepas iaitu sebanyak RM175,000.

"Walaupun tidak tercapai, jumlah itu menunjukkan peningkatan kesedaran dalam kalangan rakyat khususnya di negeri ini terhadap nasib rakyat Palestin," katanya semalam.

Menurutnya dana tersebut akan disalur kepada ibu pejabat Aman Palestin di Kuala Lumpur sebelum diagih kepada penduduk Palestin.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank bernombor 562263010787 atau Bank Islam 1202-9010-0598-95 atas nama Aman Palestin Berhad, katanya.

Untuk maklumat lanjut, mereka boleh merujuk laman sesawang amanpalestin.net, katanya.

TNB Labur RM9.7 Bilion Untuk Bina Kapasiti Baharu

Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan melabur RM9.7 bilion sepanjang lima tahun akan datang untuk membina kapasiti baharu untuk menampung permintaan tenaga elektrik negara, yang dijangka akan tumbuh antara 3.5-4.6 peratus.

Syarikat utiliti kebangsaan itu kini membina dua projek elektrik hidro di Hulu Terengganu (Terengganu) dan Ulu Jelai (Pahang) dan stesen jana kuasa berkuasa arang batu di Manjung (Perak).

Ia juga kini membina sebuah stesen jana kuasa biojisim di Jengka, Pahang dalam satu kerjasama dengan Felda Global Ventures Holdings Bhd.