Saturday, April 6, 2013

Sidek Baba - Saya Bertanggungjawab Depan Allah, Terpaksa Tinggalkan Anwar

  
"Ada orang kata saya tidak mengenang budi. Tetapi isunya antara kebenaran dan kebatilan. Takkan kerana benda tidak benar berlaku saya harus membisu? Saya akan bertanggungjawab depan Allah nanti...Saya tidak tuduh dia (Anwar) liwat atau zina. Saya hanya sebut saya kaji bahawa kredibiliti Anwar tercabar. Sebab itu saya berhak untuk tidak memaksa diri saya bersama dengan dia."
-  Datuk Dr Sidek Baba

Memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin akan menyebabkan negara terdedah kepada pelbagai ancaman dari dalam dan luar negara, kata ilmuan dan bekas rakan karib ketua pembangkang itu, Datuk Dr Sidek Baba.

Sidek berkata beliau percaya banyak pihak tahu perkara sebenar yang berlaku melibatkan Anwar, tetapi mereka tidak berani menyampaikannya kepada khalayak. "Ada sesuatu yang tidak kena pada integriti Anwar.

Integriti sangat penting tetapi kalau tampil dengan imej yang tercalar mungkin orang luar boleh jadikan ini asas peras ugut, apatah lagi orang dalam, apa lagi rakan-rakan komponen dalam pakatan rakyat," kata pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya, semalam.

Sidek baru-baru ini mengejutkan banyak pihak apabila meninggalkan Anwar selepas lebih 30 tahun bersahabat, tetapi beliau menjelaskan bahawa tindakannya itu dibuat atas tiga sebab - masalah keruntuhan moral, sokongan kepada pluralisme agama serta kredibiliti Anwar.

Beliau berkata pertemuannya dengan Dr Mahathir semalam selama sejam bertujuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai kemusykilan yang berbangkit berkaitan bekas rakan karibnya Anwar, yang bersama-sama beliau berjuang dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

"Tun (Dr Mahathir) ialah seorang yang teliti dan tidak mudah disogok dengan maklumat untuk jatuhkan timbalan (perdana menteri) dia (Anwar).

"Bila saya masuk (tahanan) ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)(pada 1998)selama 16 hari saya juga didedahkan siapa Anwar sebenarnya.

Tidak mudah sekelip mata saya terima," katanya.

Sidek berkata beliau meninggalkan Anwar selepas tiga tahun membuat kajian dengan menemu bual 28 individu yang rapat dengan ketua pembangkang itu, serta membuat solat sunat Istikharah bagi memohon petunjuk.

"Ada orang kata saya tidak mengenang budi. Tetapi isunya antara kebenaran dan kebatilan. Takkan kerana benda tidak benar berlaku saya harus membisu? Saya akan bertanggungjawab depan Allah nanti.

"Saya tidak tuduh dia (Anwar) liwat atau zina. Saya hanya sebut saya kaji bahawa kredibiliti Anwar tercabar. Sebab itu saya berhak untuk tidak memaksa diri saya bersama dengan dia. Itu hak saya seperti orang lain yang memihak pada dia. Berlaku adillah pada saya," katanya.

Sidek juga berkata beliau tidak berniat mengaibkan Anwar, sebaliknya hanya mengambil tindakan yang perlu bagi menghentikan kemungkaran yang berlaku.

Beliau melahirkan kesediaan untuk bertemu dengan mana-mana pihak bagi menjelaskan pendiriannya itu dan berharap ia digunakan sebaik mungkin, dan turut membidas penulis blog yang menghentam tindakan beliau itu tanpa mendapatkan penjelasan daripadanya.

Kepada pihak yang cuba menyifatkan pendedahannya sebagai satu konspirasi, Sidek mencabar mereka mengemukakan bukti bagi melawan hujah yang beliau tampilkan.

Ditanya kesediaannya jika dicabar Anwar untuk berdebat, beliau berkata: "Untuk apa? Untuk kebenaran atau cuma silat lidah?"

Sidek dalam pada itu berkata PAS perlu meneliti semula prinsip perjuangan asal parti itu yang dilihat sudah tergadai selepas bersama dalam pakatan pembangkang.

Sambil memuji Barisan Nasional yang terbukti boleh mentadbir dengan baik berdasarkan jejak rekod yang ada, Sidek berkata jika ada pihak yang berhasrat melakukan perubahan rejim, mereka perlu mengambil kira masalah yang bakal timbul dalam menguruskan kejayaan perubahan itu.

Manifesto BN Tidak Populis Tetapi Mengandungi Janji-Janji Boleh Ditunaikan


Manifesto Barisan Nasional (BN) yang akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini dijangka mengandungi janji-janji yang menyentuh kebajikan dan masa depan lebih baik untuk semua komuniti dan lapisan masyarakat serta pelbagai sektor.

Bagaimanapun, manifesto tersebut tidak bersifat populis sebaliknya mengandungi janji-janji yang realistik dan boleh dicapai setelah dibuat kajian teliti dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara, demikian menurut sumber BN ketika ditanya tentang isi kandungan manifesto tersebut.

Pergolakan Pembangkang Tentukan Kerusi Sudah Dijangka - Tunku Abdul Aziz


Pergolakan pakatan pembangkang dalam menentukan pembahagian kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) memang sudah dijangkakan kerana mereka tidak pernah bersatu, kata bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Beliau berkata jika pergolakan itu dijadikan sebagai asas untuk menilai pakatan pembangkang, ia merupakan petanda buruk sekiranya mereka diberi mandat untuk memerintah negara.

Mahkamah Tetap 22 April Urus Kes saman 'Papa Gomo'


Mahkamah Tinggi menetapkan 22 April untuk pengurusan kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengendali blog 'Papa Gomo' yang didakwa menyiarkan perkataan fitnah dan meletak imej mengaitkan ketua pembangkang itu dalam video seks dengan seorang lelaki di laman berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Heng Cheong menetapkan tarikh itu dalam kamar dengan kehadiran peguam Mohd Afiq Mohd Noor. Mohd Afiq memberitahu pemberita pihaknya diarah menyerahkan writ dan tuntutan saman sebelum tarikh pengurusan kes kepada Wan Muhammad Azri Wan Deris, 30, dan jika gagal, beliau akan mengemukakan 'penyampaian gantian' menerusi iklan di akhbar.

Dasar Bookie, Orang Mengundi Dia Bertaruh

Polis Pulau Pinang akan menubuhkan 26 pasukan risikan khas bagi memantau dan mengesan kegiatan bookie semasa musim pilihan raya umum ke-13 (PRU13) nanti.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata polis turut meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan maklumat untuk mengesan individu dan juga sindiket perjudian yang beroperasi semasa PRU13.

Suku Akhir Piala FA - Terengganu Tekad Ubati Episod Duka


Terengganu mahu melupakan seketika saingan Liga Super dan memberi sepenuh tumpuan untuk memburu kemenangan ke atas Negeri Sembilan pada saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, hari ini.

Jurulatih Terengganu, E Elavarasan percaya kemenangan ke atas Negeri Sembilan itu dapat memulihkan semula semangat pemain dan mengubati kekecewaan selepas kalah 3-2 kepada Johor Darul Takzim (Johor DT) pada Liga Super, Sabtu lepas.

Balu Zulkifli Mamat Terima Geran Tanah Kerajaan Perlis

 

Jasa dan pengorbanan Allahyarham Asisten Superitendan Zulkifli Mamat, anggota VAT69 yang gugur dalam pertempuran menentang pengganas di Sabah awal bulan lalu mendapat penghargaan kerajaan negeri Perlis apabila menyumbangkan sebidang tanah kepada keluarganya.

Sumbangan geran tanah berkenaan diserahkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu kepada balu Allahyarham, Noor Aziah Noor di kediaman ibu bapanya di sini, kelmarin.

PRU13 - Polis Pantau Perang Siber Yang Semakin Rancak

Polis semalam  mengulangi ingatan kepada pihak yang berkenaan agar berhati-hati ketika membuat kenyataan menerusi media sosial sepanjang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini, bagi mengelak pelanggaran undang-undang terutama berkaitan hasutan.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yusof berkata ini berikutan perang siber semakin rancak, membabitkan parti politik, penyokong mereka dan pelbagai pihak lain.

Murid Lemas Tergelicir Ke Dalam Sungai Di Kemaman

Seorang murid Sekolah Kebangsaan RKT Seberang Tayor di sini ditemui lemas setelah terjatuh ke dalam sungai di Kampung Batu 14, di Kemaman, semalam.

Siti Nor Asiah Nik Jaafar, 12, dilaporkan tergelincir ke dalam sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya kira-kira 2.30 petang.

Friday, April 5, 2013

RM25,000 Untuk Nafkah Pendahuluan 14 Ibu Tunggal Daripada Jabatan Kehakiman Syariah

Yahya menyampaikan pendahuluan nafkah kepada salah seorang ibu tunggal  di Kuala Terengganu, semalam.
 Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu hari ini menyampaikan pendahuluan nafkah berjumlah RM25,530 kepada 14 ibu tunggal.

Ia adalah bantuan sara hidup selama enam bulan dan bekas suami mereka perlu membayarnya semula kepada jabatan setelah diarahkan mahkamah.

Ketua Hakim Syarie jabatan itu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata Bahagian Sokongan Keluarga jabatan akan memantau pelaksanaan setiap perintah nafkah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah bagi memastikan bekas suami membayar jumlah yang ditetapkan kepada bekas isteri mereka.

Sehingga Disember 2012, seramai 40 ibu tunggal menerima bantuan pendahuluan nafkah berjumlah RM70,080.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes berjaya diselesaikan apabila tujuh kes selesai dengan bayaran penuh dari bekas suami, manakala 10 kes selesai dengan bayaran ansuran yang keseluruhannya berjumlah RM11,200," katanya di majlis penyerahan sumbangan itu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad di Kuala Terengganu, semalam.

Wan Mohd Zakri berkata kejayaan BSK menyelesaikan 17 kes itu adalah dengan kerjasama ibu tunggal sendiri yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga hadir ke Mahkamah Syariah untuk menjalani prosiding kes dari awal hingga selesai dibicarakan.

Sementara itu beberapa ibu tunggal yang ditemui menyifatkan pemberian wang pendahuluan nafkah itu sebagai tepat pada masanya kerana mereka kini terpaksa mengerah tulang empat kerat mencari rezeki untuk menyara hidup membesarkan anak-anak.

 Bagi Ruzaini Che Masor, 28 dari Besut, beliau kini hanya bergantung kepada pendapatan hasil berniaga kecil-kecilan yang tidak menentu setiap bulan.

"Sejak berpisah pada tahun 2008, hidup saya memang terumbang ambing, malah bekas suami turut mencabar saya membawa kes tuntutan nafkah ini di Mahkamah Syariah setelah usaha untuk berbincang secara baik ditolak mentah-mentah.

"Alhamdulillah, dengan pendahuluan wang nafkah sebanyak RM1,200 ini dapatlah saya menggunakannya untuk keperluan anak yang kini bersekolah di Tadika Yayasan Islam Terengganu (YIT)," katanya yang mengakui sukar berunding dengan bekas suami yang sudah pun berkahwin lain.

Seorang lagi ibu tunggal, Nur Elysaa Mohamad, 26, dari Dungun pula hanya mengambil upah menjahit baju kurung untuk menyara hidup bersama dua orang anaknya yang berusia lapan dan empat tahun.

"Nasib saya agak baik kerana tinggal bersama emak dan ayah. Adik beradik saya juga banyak membantu meringankan beban kewangan kerana mereka begitu mengambil berat terhadap kebajikan kami tiga beranak.

"Saya bersyukur sangat kepada kerajaan yang menyalurkan peruntukan seumpama ini kerana memang membantu kami dari segi kewangan," katanya yang mahu bekas suami segera menunaikan tanggungjawab membayar nafkah seperti dituntut dalam Islam.

Bagi Mazatul Akmal Musa, 29, pula helah bekas suaminya yang sering menukar nombor telefon menyukarkan usaha untuk meminta nafkah secara baik.

"Sekarang ini saya menjadi pembantu tukang masak di kedai dengan upah RM50 sehari.

Sepanjang saya bekerja malam, tiga anak saya dijaga oleh nenek dan datuknya di rumah mereka," katanya yang menerima wang pendahuluan nafkah sebanyak RM1,800.

PRU-13 - Pemuda UMNO BN Jempol Tunggu Kedatangan Penyanyi Aishah


Ketua Pemuda BN bahagian Jempol, Negeri Sembilan, Mohd Nizam Aman 'mengalu-alukan' penyanyi Aishah yang pernah popular dengan lagu 'Janji Manismu', untuk bertanding di kerusi parlimen itu sebagai calon PAS.

"Alhamdulillah, kalau Aishah bertanding lagi mudahlah kerja kita. Kita (orang-orang Jempol) punya cara, siapa yang berkhidmat kepada rakyat itu yang akan kita pilih.

"Aishah ini penyanyi yang pernah popular sahaja," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.

PAS Terengganu Bakal Tampilkan Seorang Calon Wanita Pada PRU-13

PAS Terengganu bakal meletakkan seorang calon wanita untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), setelah kali terakhir menampilkan calon muslimah pada pilihan raya umum 1959.

Pesuruhjaya PAS negeri Abdul Wahid Endut berkata parti memutuskan meletakkan seorang calon wanita pada PRU kali ini bagi memastikan golongan hawa di negeri ini diwakili di peringkat DUN.

Polis Terengganu Ingatkan Penyokong Tidak Cetuskan Provokasi


Polis Terengganu mengingatkan semua penyokong parti politik yang bertanding agar tidak melakukan provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan sepanjang proses pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana parti atau individu yang mencetuskan kekecohan yang boleh mengganggu kelicinan proses pilihan raya dan menjejas ketenteraman awam.

BN Terengganu Tambah Bantuan Kewangan Jika Menang PRU-13

Yahya Khatib Mohamad mencuba skrin pada kaunter pembayaran pada majlis menyampaikan dana pendahuluan nafkah anak Jabatan Kehakiman Syariah, di sini, semalam.
 Pengantin baharu yang berkahwin selepas pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan menerima wang bantuan RM1,000 manakala mereka yang menimang anak pertama pula diberi bantuan RM500.

Itu antara kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu yang akan diumum Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Said dalam masa terdekat, bagi menghadapi PRU13.

SPR Keluarkan Kenyataan Rasmi Berhubung Tarikh Mesyuarat Khas Selewat-lewatnya Hari Ini

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menunjukkan dokumen Perisytiharan Pembubaran Parlimen dalam versi Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika melawat Pusat Media PRU-13 di ibu pejabat SPR di Putrajaya, Khamis
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan kenyataan rasmi selewat-lewatnya esok, berhubung tarikh mesyuarat khas yang akan diadakannya.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata mesyuarat khas itu akan menetapkan tarikh penamaan calon, tempoh berkempen, tarikh pengundian awal, tarikh pengundian biasa dan daftar pemilih terkini yang akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13.

Ahmad Said Tetap Pertahan DUN Kijal


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Kenyataan beliau itu sekali gus melenyapkan khabar angin bahawa namanya tidak tersenarai untuk bertanding kali ini. Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan jentera pilihan raya DUN Sura di Dungun, lewat malam semalam,  beliau berkata kerusi DUN Bandar akan dipertahankan MCA menerusi penyandangnya Datuk Toh Chin Yaw.

Polis Terengganu Buru Empat Lelaki Lagi Berhubung Kes Tembak


Polis sedang memburu empat lagi lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes tembakan di Besut pada 19 Mac lalu.

Mereka ialah Mohd Rosli Mat Hassan, 27, Mohd Hasrul Ab Manaf, 28, yang kedua-duanya dari Pasir Mas, Kelantan; Shaiful Hafiza Said, 27, dari Kampung Bekok, Besut dan Zunaidi Ibrahim, 32, dari Kampung Bukit Payong, juga Besut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan berkata Khamis, keempat-empat mereka amat dikehendaki bagi mengesan senjata yang digunakan ketika melepaskan dua das tembakan ke atas sebuah rumah di Kampung Pasir Akar.

Tok Mon Akui Dacing Kuat, Tetap Bertanding Lagi Di Kuala Terengganu


Warga emas, Maimun Jusuh, 94, yang bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya umum 2008, kali ini menawarkan diri sebagai calon di kawasan pilihan raya parlimen yang sama - Kuala Terengganu.

Lebih mesra dengan panggilan Tok Mon, beliau berkata hasratnya untuk bertanding lagi ialah "atas amanah orang lama".

Peserta Menunggu Johan Qari, Qariah Peringkat Negeri Terengganu


Dua peserta menunggu menunjukkan kehebatan masing-masing apabila muncul Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah Al Quran Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Stadium Mini Besut, Kampung Raja malam semalam.

Peserta dari Kuala Terengganu, Mohd Hafas Ali muncul johan bahagian Qari manakala Siti Mas Ismail dari Besut muncul johan bahagian Qariah.

UniSZA Sasar Jadi Antara 10 Universiti Terbaik Negara

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyasarkan menjadi antara 10 universiti terbaik negara, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata sejajar matlamat itu, pihak universiti akan menaik taraf fakulti perubatan untuk dijadikan pusat pembelajaran dan penyelidikan perubatan.

Kemalangan Banggul Cempedak - Ustazah Maut, 2 Anak Parah

Ahli keluarga membaca surah Yasin di sisi jenazah Normah di Kampung Banggol Chempedak, Kuala Terengganu.
Seorang ustazah maut, manakala dua anak perempuannya berusia empat dan lapan tahun parah apabila kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kampung Banggul Chempedak, di sini, semalam.

Dalam nahas jam 3 petang, Normah Ahmad, 45, dari Kampung Kuala Bekah, Pulau Musang, di Kuala Terengganu,  dalam perjalanan menjemput anak lelakinya Mohd Shukri Rosdi, 17, yang belajar di Sekolah Agama Ribath Sheikh Abdul Malik, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Enam Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang Rumah Terbakar

Seorang peniaga dan keluarganya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Taman Impian Paka di sini hangus terbakar tengah hari semalam.

Saifulizam Abdullah, 48, berkata ketika itu dia sedang berniaga di pasar apabila dimaklumkan tentang kebakaran oleh jirannya.

Edar Dadah - Dua Sahabat Berdepan Hukuman Gantung


Dua sahabat berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin di Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, semalam.

Kedua-dua tertuduh, Mohd Aznan Aziz, 25, dan Mohd Rizli Khalid, 35, masing-masing beralamat di Kampung Bukit Tunggal,  didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 420gram (berat kasar) di sebuah rumah di Kampung Bukit Tunggal, di Kuala Terengganu, kira-kira jam 11 pagi pada 20 Mac lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud di hadapan Majistret Noradila Ab Latiff, manakala kedua-dua mereka tidak diwakili peguam bela.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan Noradila menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. Tiada sebarang ikat jamin ditawarkan.

Sinar Harian pada 20 Mac lalu melaporkan polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis heroin paling aktif di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Dungun.

Dalam serbuan itu, polis menemui satu bungkusan plastik, di dalamnya terdapat 100 botol mengandungi serbuk putih disyaki dadah, dianggarkan bernilai RM55,000

SH Online

Thursday, April 4, 2013

Speaker Terengganu Serah Notis Pembubaran Kepada SPR Negeri



Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang pada Khamis menyerahkan notis pembubaran DUN Terengganu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri Terengganu.

Tengku Putera menyerahkan notis itu kepada Pengarah SPR negeri Fakhrul Razi Ab Wahab di Pejabat Yang DiPertua Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu,  pada pukul 9.20 pagi ini (4 April 2013).

"Penyerahan itu bagi membolehkan pilihan raya umum negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum parlimen dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13)," katanya kepada pemberita selepas penyerahan notis berkenaan.

Pembubaran DUN Terengganu diumum Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said pada satu majlis di Sura, Dungun malam Rabu, selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada pukul 8 malam.

 Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan kerusi parlimen. Pada PRU 2008, Barisan Nasional Terengganu menang dengan majoriti dua pertiga. PAS hanya menang lapan kerusi DUN selain dua kerusi parlimen termasuk satu dimenangi pada pilihan raya kecil pada 17 Januari 2009.

PRU-13 Boleh Diadakan Selewat-lewatnya 28 Mei - Pengerusi SPR


"Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan termasuk peristiwa keagamaan, keadaan cuaca dan penganjuran acara-acara besar dalam memilih tarikh pilihan raya...Cuti sekolah bukan jadi pertimbangan kita. Bila anggota panel SPR bermesyuarat, semua akan kemuka pendapat dan kita akan ambil keputusan sebulat suara."
 - Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) boleh diadakan selewat-lewatnya 28 Mei berikutan pembubaran Dewan Rakyat hari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata tarikh itu juga mengambil kira pembubaran automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan pada 28 Mac lepas.

"Kalau kira mulai 3 April hari ini, (tempoh 60 hari) akan habis 3 Jun, jadi ia sudah terlepas (tarikh pembubaran DUN) Negeri Sembilan. Maka perlu adakan (PRU-13) selewat-lewatnya 28 Mei," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Soal Jawab terbitan TV3 yang dihoskan oleh Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Bhd Datuk Ahmad A. Talib, malam semnalam.

Ditanya mengenai bayangan tarikh penamaan calon dan pengundian, Abdul Aziz berkata: "Ada bayang-bayangnya tetapi tidak sesuai saya sebutkan di sini kerana perlu dibincangkan dengan panel-panel (SPR) yang lain".

Abdul Aziz berkata banyak faktor yang perlu dipertimbangkan termasuk peristiwa keagamaan, keadaan cuaca dan penganjuran acara-acara besar dalam memilih tarikh pilihan raya.

"Cuti sekolah bukan jadi pertimbangan kita. Bila anggota panel SPR bermesyuarat, semua akan kemuka pendapat dan kita akan ambil keputusan sebulat suara," katanya.

Beliau juga menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa PRU-13 itu akan menjadi pilihan raya "terburuk" dalam sejarah negara, kononnya berlaku penipuan oleh pihak SPR dan parti-parti politik.

"Saya langsung tak percaya PRU-13 ini adalah yang terburuk. Sekiranya semua pihak termasuk parti politik, calon-calon parti, calon Bebas, pemerhati dan badan bukan kerajaan (NGO) beri kerjasama dengan SPR, saya percaya PRU-13 akan berjalan dengan baik, aman dan teratur," katanya.

Abdul Aziz menarik perhatian SPR memperkenalkan 19 pembaharuan dalam proses pilihan raya kali ini termasuk undi awal, dakwat kekal dan pembersihan berterusan Daftar Pemilih. "SPR hanya sediakan gelanggang, tempat bertanding dan sediakan alat-alat (untuk mengundi).

Yang tentukan menang atau kalah calon pilihan raya adalah pengundi," katanya

DUN Terengganu Bubar Malam Semalam, MB Hadiri Mesyuarat MT UMNO

Ahmad Said ceria menjawab soalan wartawan mengenai pembubaran Dewan Rakyat diumumkan Perdana Menteri semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan pembubaran Dun Terengganu berkuat kuasa semalam untuk membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya umum Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ahmad Said yang membuat pengumuman itu pada pukul 10 malam tadi berkata, beliau telah menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Nur Zahirah pada pukul 7.45 malam untuk mendapat perkenan baginda.

"Pukul 9 pagi esok (hari ini), Speaker DUN Datuk Tengku Putera Tengku Awang akan menghantar notis pembubaran kepada Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya kepada pemberita di Dungun, malam semalam.

189 Produk Kosmetik, Ubat Haram Dirampas Di Pasar Siti Khadijah

Sebanyak 189 pelbagai jenis produk kosmetik dan ubat yang disyaki tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan dirampas oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu semalam.

Serbuan tersebut yang disertai seramai 24 pegawai bahagian itu dan dibantu 27 anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) telah menjalankan pemeriksaan ke atas 10 gerai yang didapati menjual produk tersebut.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri, Mohd. Zahariman Harun berkata, operasi terbabit dilakukan bagi memeriksa produk kosmetik dan ubat yang tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan.

Menteri Besar Ajak Umat Islam Terus Bersatu


“Setiap umat Islam yang bergelar “Klalifah” mestilah berpaksikan akidah dalam mengamalkan kehidupan harian supaya tidak lari daripada perjuangan sebenar Islam,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Katanya, salah satu misi kehidupan ialah memakmur dan membangunkan dunia serta mengelak daripada memusnahkannya.

Menurutnya,apa yang berlaku sekarang umat Islam sudah lari daripada amalan hidup dalam perpaduan sebaliknya ada pihak cuba memecah-belah sesama Islam.


C.N Afghani Minta Maaf Secara Peribadi Kepada Tun Dr Mahathir


Bekas ahli seumur hidup Pas Zainon Ismail atau lebih dikenali dengan nama pena C.N Afghani yang pernah merancang untuk membunuh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1988, semalam berpeluang bertemu bekas perdana menteri itu bagi memohon maaf.

Pada pertemuan itu, Zainon turut disertai wakil beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam dari Kelantan yang juga merupakan bekas penyokong PAS, antaranya Persatuan Minda Pondok dan Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan.

Seorang Lagi Datuk Seri Dicari

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang menunjukkan gambar Datuk Seri Clarence Luing Karl@Muhammad Khalil John L Karl bagi membantu siasatan dalam kes berkaitan Operasi Daulat ketika mengadakan sidang media di Lahad Datu, semalam.
Polis sedang mengesan seorang lagi lelaki bergelar Datuk Seri bagi membantu pasukan keselamatan melakukan siasatan berhubung kes pencerobohan pengganas Sulu di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Tan Kok Liang berkata, lelaki berusia 57 tahun itu dikenali sebagai Clarence Luing Karl @ Muhammad Khalil John L Karl dengan alamat terakhir di Kampung Bawang, Tamparuli.

Dewan Rakyat. 6 DUN Bubar, Rakyat Tunggu PRU-13

Raja Nazrin Shah (kanan) menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam. 
Pembubaran Dewan Rakyat semalam bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah diikuti dengan pembubaran enam Dun setakat tengah malam tadi.

Kecuali Sarawak yang belum perlu membubarkan Dunnya dan Negeri Sembilan yang Dunnya terbubar secara sendiri pada 28 Mac lalu, negeri-negeri lain dijangka membubarkan Dun masing-masing dalam tempoh terdekat bagi membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRU-13 secara serentak - membabitkan pertandingan di 727 kerusi, masing-masing 202 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun.

Pengumuman Perdana Menteri mengenai pembubaran Dewan Rakyat semalam.

Calon BN Diumum Dalam Tempoh Tujuh Hingga 10 Hari Sebelum Penamaan Calon

Calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan diumumkan dalam tempoh tujuh hingga 10 hari sebelum hari penamaan calon, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam.

Beliau berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyerahkan senarai calon kepada ketua-ketua perhubungan negeri.

Terengganu Turun Kesebelasan Utama Hadapi Negeri Sembilan

Terengganu yakin akan melangkah ke pusingan separuh akhir Piala FA apabila bertemu Negeri Sembilan pada 16 April ini.

Jurulatihnya E Elavarasan berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi pasukan Penyu dalam Liga Super.

Terengganu Mahu Lahir 1,000 Penghafaz Al-Quran Setahun


Terengganu mahu melahirkan 1,000 penghafaz al-Quran setahun melalui penubuhan kelas al-Quran di peringkat Tadika hingga Sekolah Menengah dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ini merupakan kesungguhan kerajaan negeri untuk membudayakan pembacaan al-Quran di kalangan rakyat khususnya remaja.

Beliau berkata tahun ini dijangka 30,000 pelajar akan menyertai majlis khatam al-Quran di seluruh negeri. Beliau merasmikan tilawah peringkat negeri di Mini Stadium Kampung Raja malam semalam.

Seramai lima peserta memperdengarkan bacaan mereka malam kelmarin sementara 11 orang lagi malam tadi.

Wednesday, April 3, 2013

Bubar DUN Terengganu - MB Dijangka Menghadap Sultan Mizan Malam Ini

Ahmad Said pada sidang media selepas Mesyuarat Exco tengah hari tadi.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau akan menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dalam masa terdekat untuk mendapatkan perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Difaham, Ahmad Said akan menghadap Sultan Terengganu malam ini bagi tujuan itu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu itu berkata pembubaran itu nanti adalah untuk memastikan pilihan raya negeri Terengganu dapat diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen dalam PRU-13.

"Parlimen telah dibubar sebentar tadi dan kita negeri Terengganu (DUN) akan mengikutilah pembubaran ini dalam masa terdekat kerana Yang Mulia Tuanku (Sultan Mizan) akan sampai (dari luar negara) di Terengganu malam ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, hari ini.

Tempoh akhir DUN Terengganu adalah pada 5 Mei depan. Terengganu mempunyai lapan kerusi parlimen dan 32 kerusi DUN.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen 11.30 pagi ini untuk membolehkan PRU-13 diadakan.

Ditanya tentang manifesto Barisan Nasional (BN) Terengganu, Ahmad berkata terdapat beberapa lagi tambahan khas untuk Terengganu yang akan dibuat dan digabungkan dengan Manifesto BN pusat.

Menurutnya pengumuman mengenainya akan dibuat selepas manifesto BN pusat dilancarkan nanti. Pada PRU-12 2008, BN menang dengan lebih dua pertiga majoriti kerusi dalam DUN Terengganu dan menguasai tujuh kerusi Parlimen manakala PAS hanya memenangi lapan kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen.

Bagaimanapun pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Jan 2009, PAS menang kerusi itu, menjadikan ia kini menguasai dua kerusi Parlimen manakala BN menguasai enam kerusi Parlimen.

Pada pilihan raya umum 2004 dan 2008, BN menguasai negeri Terengganu, selepas negeri itu jatuh kepada PAS pada pilihan raya umum 1999.

Najib Umum Parlimen Bubar Hari Ini

Najib bersalaman dengan jemaah Menteri selepas membuat pengumuman sebenar tadi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Parlimen dibubarkan berkuatkuasa hari ini selepas diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau membuat pengumuman itu secara langsung pada jam 11.35 pagi ini selepas bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong sebelumnya.

Berikutan itu, beliau meminta menteri besar dan ketua menteri supaya memohon perkenan raja dan sultan masing-masing untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri supaya pilihan raya umum dapat diadakan secara serentak.

Selepas dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menetapkan tarikh pilihan raya akan berlangsung. Undang-undang menetapkan ia mesti dibuat dalam tempoh 60 hari.

Najib Umum Parlimen Bubar Selepas Mesyuarat Kabinet Hari Ini?


Hari ini genap empat tahun Najib menerajui negara selepas dilantik menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Tahniah Perdana Menteri kerana berjaya menjamin negara aman, makmur dan sejahtera.

Tempoh satu penggal atau lima tahun Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) akan berakhir pada 30 April ini dan Parlimen akan terbubar secara sendiri jika tidak dibubarkan sebelum tarikh itu.


Bob Lokman Cerca Perdana Menteri Kerana Tidak Bubar Parlimen

 Bob Lokman pada ceramah di Melaka semalam.
"Najib (Datuk Seri Mohd Najib) penakut tak bubar Parlimen. Mungkin tak bubar Parlimen ini ada satu taktik lain yang boleh membatalkan segala-gala yang mencetuskan huru-hara.

"Al-Maunah berlaku dekat pilihan raya, kes Ibrahim Libya juga dekat pilihan raya dan Lahad Datu juga berlaku dekat pilihan raya. Apa makna ini?

"Pemimpin ini penuh pengalaman dengan kejahatan dan penipuan dan mereka ini orang yang sangat tersusun dalam mengatur kerja mereka walaupun kerja-kerja jahat," katanya.

Demikian tu

Terengganu Belanja RM300 Juta Setahun Untuk Pendidikan - Ahmad Said


Kerajaan Negeri membelanjakan RM300 juta setahun untuk pembangunan pendidikan sebagai pelaburan untuk meraih laba dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, komitmen cukup besar ini bertujuan mengangkat martabat pendidikan dengan melonjakkan pencapaian pelajar dalam semua peperiksaan awam yang kini mula menampakkan hasil.

“Kerajaan menaja pelajar-pelajar cemerlang Silij Peperiksaan Malaysia (SPM) keluar negara untuk mengikuti pengajian di bidang perubatan dan pergigian ke Mesir dan Jordan merupakan satu pelaburan bermakna untuk melihat anak tempatan menguasai bidang kedoktoran,” katanya.


Hadi - PAS Tanding 237 Kerusi DUN, 76 Parlimen


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menganggap agihan kerusi antara PAS dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyat telah selesai dan "kalau ada pun telalu kecil sangat yang melibatkan masalah teknikal".

Sehubungan itu, katanya, PAS akan bertanding 76 kerusi parlimen - bertambah 10 kerusi berbanding pilihan umum lalu dan 237 kerusi DUN.