Tuesday, June 18, 2013

Sultan Mizan - Banyak Kejayaan Dicapai Di Bawah Kepimpinan Ahmad Said


"Dalam menjayakan agenda pembangunan negeri, perpaduan tetap menjadi acuan utuh bagi meneruskan legasi pembangunan...Beta berharap semua lapisan rakyat akan terus mengekalkan semangat hormat menghormati antara satu sama lain yang merupakan tunjang kepada keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini."
  - Sultan Mizan Zainal Abidin 

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sukacita kerana banyak kejayaan yang dicapai oleh kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said apabila slogan ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ benar-benar diterjemahkan ke dalam sistem pentadbiran negeri.

“Urusan pentadbiran yang bersifat mesra rakyat telah memberi keselesaan apabila mereka berurusan dengan agensi kerajaan, malah kurangnya karenah birokrasi menjadikan sesuatu perkara berkaitan pemasalahan cepat diselesaikan,” titah Baginda.

Sultan Terengganu juga gembira apabila kerajaan terus memberi penekanan kepada pembangunan fizikal secara keseluruhannya dan telah terbukti dengan pembangunan ‘Kuala Terengganu City Centre (KTCC) di Tanjung dan Ladang.

Langkah tersebut amat bertepatan bagi pembangunan bandar ini di samping turut memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat di kawasan sekitar.

Sultan Mizan bertitah, dalam menjayakan agenda pembangunan negeri, perpaduan tetap menjadi acuan utuh bagi meneruskan legasi pembangunan.

Baginda berharap bibit perpaduan terus tersemai dalam kalangan rakyat bagi menjadikan negeri ini maju menjelang 2020.

“Beta berharap semua lapisan rakyat akan terus mengekalkan semangat hormat menghormati antara satu sama lain yang merupakan tunjang kepada keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini.

“Beta bersyukur kerana Pilihan Raya Umum ke-13 telah berjalan dengan aman dan berharap kerajaan yang dipilih memastikan dasar-dasar negeri yang dirangka sebelum ini diteruskan pelaksanaannya,” titah Sultan Mizan.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketiga Belas di Wisma Darul Iman semalam.

Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama, Tengku Sri Temenggong Raja; Engku Kelana DiRaja; Yang Dipertua DUN, Haji Mohd Zubir Embong; Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah dan To’ Puan Hajah Rohani Abdullah.

Kenamaan lain yang hadir ialah Kerabat-kerabat Raja; Ahli-ahli Dewan Pangkuan DiRaja; Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Orang-orang Besar Raja; Ahli-ahli Darjah Kebesaran Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara serta pegawai kerajaan.

Sehubungan itu, Baginda menyeru setiap umat Islam untuk bermuhasabah dan berpegang kepada ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah dalam menangani isu-isu mencabar yang menyentuh tentang sensitiviti agama dan nilai budaya masyarakat setempat serta perlu ditangani dengan penuh bijaksana oleh semua pihak.

“Perkara ini jika tidak ditangani dengan teliti akan membawa akibat yang buruk kepada negeri ini,” titah Baginda.

Sultan Mizan  memuji usaha kerajaan negeri dalam merancakkan sektor pelancongan dan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 perlu diperhebatkan lagi dengan aktiviti yang beridentiti negeri untuk menarik kedatangan pelancong.

Titah baginda, kerajaan negeri perlu mencari satu mekanisme supaya sektor pelancongan mampu membuka peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada rakyat.

“Beta percaya dengan ‘Aku Janji Kerajaan’ bagi menjadikan Tasik Kenyir sebagai hab pelancongan utama negeri yang akan menjadi kenyataan pada 2014 dan ini sudah tentu mampu menarik dan menggamit kehadiran pelancong ke negeri ini khususnya ke Tasik Kenyir,” .

“Beta juga suka mengingatkan bahawa pembangunan Tasik Kenyir perlulah dibuat secara kerjasama dengan agensi swasta supaya tidak membebankan kerajaan dalam usaha membangunkan tasek itu,” titah Baginda. 

Sultan Mizan juga mengucap tahniah kepada kerajaan negeri kerana memberi tumpuan yang bersungguh-sungguh bagi menyediakan kemudahan asas kepada golongan berpendapatan rendah malah dasar kerajaan yang mensasarkan 10,000 buah rumah mampu milik (2009-2012) telah tercapai serta lima tahun ke hadapan dengan jumlah yang sama.

“Beta menyeru kerajaan menggunapakai kaedah yang boleh mempercepatkan pembinaan rumah-rumah ini dengan penglibatan pihak swasta atau syarikat perumahan di bawah kendalian kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang boleh dijadikan rakan kongsi bagi membina lebih banyak rumah mesra rakyat,” titah Baginda.


Kerajaan Terengganu Teruskan Program Dana Raya - Mazlan Ngah


Pengagihan Dana Raya tahun lepas.
Kerajaan Terengganu akan meneruskan program Dana Raya bagi membantu rakyat yang kurang bernasib baik menyambut Aidilfitri, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah.

Katanya seperti tahun-tahun sudah, bantuan antara RM200 dan RM300 itu akan diberi kepada empat golongan iaitu ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya dan keluarga miskin.

"Bagaimanapun untuk pembahagian tahun ini kita akan teliti dulu garis panduan yang akan dikeluarkan tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu, di sKuala Terengganu, semalam.

Penduduk Batu Rakit mendaftar untuk menerima Dana Raya 2012.


Sidang DUN - ADUN PAS Fokus Ucapan Menurut Potfolio

Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut berkata pengagihan tugas-tugas mengikut beberapa potfolio kepada semua wakil rakyat telah disepakati dan keutamaan akan diberi kepada Adun-adun baru yang muda untuk berucap pada persidangan dewan kali ini.

“Kita (PAS) telah bahagikan tugas-tugas kepada semua Adun, kita beri keutamaan kepada Adun-adun muda yang baru supaya berucap.

Ambil peluang ini untuk bercakap di dewan dan yang ‘veteran’ jika ada peluang dan kesempatan kita juga akan bercakap.

Bomba Terengganu Ingatkan Orang Ramai Tidak Lakukan Pembakaran Terbuka

Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka ketika musim kemarau sepanjang Mei hingga Julai ini.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Terengganu Rozizah Ibni Hajar berkata faktor cuaca kering dan berangin sekarang ini boleh menyebabkan pembakaran kecil mudah marak dan merebak ke kawasan lain. 

PAS Sambut Baik Titah Sultan Ketepikan Sentimen Fanatik Politik Selepas PRU13


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyambut baik titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang meminta semua pihak menghapus sentimen fanatik politik masing-masing selepas berakhirnya pilihan raya.

Abdul Hadi, anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, berkata penghapusan sentimen politik fanatik itu harus bermula daripada akar umbi parti agar usaha ke arah itu boleh dan lebih mudah dilaksanakan di peringkat tertinggi.

"Saya setuju dengan titah Tuanku dan itu yang kita harapkan kerana selepas pilihan raya, banyak saya dapat aduan tentang tugas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tidak sain (tandatangan) permohonan rakyat.

Azhar Idrus Anggap Petisyen BN Kelakar


Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menyifatkan petisyen BN Kelantan mengaitkan beliau sebagai punca kekalahan BN di negeri itu pada PRU13 lalu sebagai kelakar.

Ikon agama itu dalam reaksinya berkata, perkara itu langsung tiada kena mengena dengan beliau kerana kenyataan berhubung ‘Haram jatuhkan kerajaan Islam’ yang dimainkan Pas pada kempen pilihan raya itu bukan kenyataan peribadi beliau, sebaliknya daripada al-Quran.

Kurangkan Aktiviti Luar Dan Minum Lebih Banyak Air, Nasihat Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak yang prihatin dengan keadaan jerebu semasa di negara ini menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar dan minum lebih banyak air.

Perdana Menteri berkata penjagaan kesihatan perlu menjadi keutamaan untuk semua orang berikutan keadaan jerebu di Malaysia dijangka bertambah buruk dalam beberapa hari lagi dengan tiupan angin membawa asap dari tompok panas di Sumatera, Indonesia.

Seminar Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu 2013 Beri Impak Positif

Seminar Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu 2013 yang berakhir semalam memberi impak positif dalam melestarikan kesinambungan sejarah perkembangan dan ketamadunan perundangan Islam di negara ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah berkata beliau berharap seminar sebegini diperbanyakkan dan turut mengundang pemikir dan pakar dalam bidang berkaitan dari luar negara untuk melihat daripada perspektif luar.

"Sebanyak 18 kertas kerja telah dibentangkan dan lima resolusi telah dipersetujui dan akan dibawa kepada kerajaan negeri untuk diguna pakai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup seminar anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) di Kuala Terengganu, semalam.

Avon Puteri Lahir 5,000 Pengedar Barangan Avon Di Gong Badak Dan Kuala Terengganu

Avon Puteri (AP), satu syarikat francaisi yang mengendalikan dua butik di Gong Badak dan di kawasan Kuala Terengganu masing-masing sejak 1996 dan 1997, telah melahirkan kira-kira 5,000 pengedar barangan Avon di kawasan berkenaan.

Pengurusnya, Aidah Badaruddin berkata, hasil kejayaan itu, beliau ingin mengembangkan lagi perniagaannya ke seluruh negeri Terengganu, dengan harapan dapat melahirkan lebih ramai pengedar barangan Avon. 

Kualiti Udara Di seluruh Negara Meningkat Sedikit Hari Ini

Kualiti udara di seluruh negara mencatatkan sedikit peningkatan semalam  dengan hanya empat tempat merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, berbanding enam kelmarin.

Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar menerusi laman sesawangnya, kawasan terbabit ialah dua di Pahang iaitu Balok Baru (114) dan Indera Mahkota (107), serta masing-masing satu di Melaka (Bandaraya Melaka - 102) dan Terengganu (Kemaman - 121).

Budak 7 Tahun Melecur Disambar Api


Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun melecur 75 peratus akibat disambar api ketika bermain bersama adik dan sepupunya di Kampung Tetambah dekat Manir semalam.

Kejadian pukul 2.30 petang itu mengakibatkan Asrah Ramali, (gambar) 7, melecur teruk di badan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Monday, June 17, 2013

Sultan Mizan Puas Hati Pelaksanaan Program Pembangunan Negeri


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berpuas hati dengan hasil pelaksanaan program pembangunan yang menyaksikan ekonomi Terengganu berkembang pada tahap positif.

"Pencapaian yang memberangsangkan ini dapat dilihat dalam peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) daripada RM14,738 juta pada tahun 2008 kepada RM16,200 juta pada tahun 2012 iaitu pertumbuhan sebanyak 9.92 peratus.

"Angka ini merupakan penterjemahan daripada aktiviti ekonomi yang rancak di Terengganu dan beta difahamkan, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang ketara kepada peningkatan KDNK pada tahun 2012 iaitu sebanyak RM9.636 juta," titah baginda.


Jerebu Dijangka Bertambah Teruk, Termasuk Kemaman



Jerebu yang melanda beberapa negeri dijangka bertambah teruk berikutan cuaca panas yang akan berterusan sehingga beberapa bulan akan datang.

Kualiti udara di enam kawasan di semenanjung menurun kepada tahap tidak sihat berdasarkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) jika dibandingkan hanya tiga kawasan pada Sabtu.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan bacaan IPU tidak sihat melebihi 100 di Melaka (161), Bukit Rambai (135), Pelabuhan Klang (104), Port Dickson (120), Muar (125) dan Kemaman (108).

MB Sampaikan Hadiah Pemenang Pertandingan Boat On The Road


Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memancing Boat On The Road anjuran Media Prima dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, di Tasik Kenyir, yang berakhir petang semalam.

Bagi kategori Bekumpulan Casting, Kumpulan Alucast 4 muncul johan dan menggondol hadiah wang tunai RM15,000 dan pelbagai hadiah sampingan yang disediakan pihak penaja.

KPPKN Sediakan Perkhidmatan Pemeriksaan Percuma 3 Hari


Sebagai pengiktirafan kepada semua bapa, Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan pemeriksaan percuma sepanjang tiga hari bermula hari ini.

Rawatan pemeriksaan sempena sambutan Hari Bapa termasuk pemeriksaan tekanan darah, ujian glukos dan kolestrol yang disediakan di semua Klinik Nur Sejahtera LPPKN seluruh Terengganu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat negeri, Mahdi Musa, berkata umum mengetahui sambutan hari bapa kebiasannya disambut di seluruh dunia pada bulan Jun setiap tahun.

Najib - Jangan Tak Sokong Kerajaan Kerana Pembohongan Pembangkang


Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para pelajar Malaysia di luar negara supaya tidak terpedaya dengan pembohongan pembangkang sehingga menyebabkan mereka tidak lagi menyokong kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri berkata fitnah dan pembohongan pembangkang berhubung proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu misalnya telah menimbulkan persepsi yang salah terhadap kerajaan sehingga ada golongan terpelajar juga turut mempercayainya.

"Sampai hari ini belum ada bukti pun bahawa kononnya kita bawa 40,000 warga Bangladesh (untuk mengundi), ini satu fitnah dan pembohongan yang amat besar yang berlaku dalam pilihan raya kali ini.

Bayaran Transaksi GIRO Antara Bank Dikurangkan Tingkat Aktiviti Perbankan Online


Bayaran bagi transaksi dalam talian GIRO antara bank (intrabank GIRO) yang dikurangkan daripada RM2 kepada 10 sen meningkatkan aktiviti di laman web perbankan.

 Macro Kiosk Bhd, pengendali perkhidmatan mudah alih untuk beberapa bank utama di sini mendapati berlaku peningkatan dalam transaksi perbankan secara online sejak bayaran penggunaan sistem tersebut dikurangkan pada Mei lalu.

Tiga Penuntut Baru UiTM Kemalangan Di Lebuh Raya Persekutuan


Tiga sahabat maut manakala seorang cedera selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Km 14.5 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, semalam.

Insiden 5.30 pagi itu menyebabkan pemandu Perodua Viva, Adam Abdul Rahman yang berasal dari Muar, Johor dan dua rakannya, Ameer Asyraf Sulaiman (Jasin, Melaka) dan Nurul Maizura Maidan Dali (Labuan, Sabah) meninggal dunia di tempat kejadian.

Adam merupakan pemandu kereta manakala dua lagi berada di tempat duduk belakang. Seorang lagi mangsa, Nurfarina Mokhtar yang berada di tempat duduk penumpang hadapan cedera ringan.

MB Saksikan Acara Motorcross Di Kenyir



Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa kira-kira satu jam bagi menyaksikan acara Kenyir Motorcross Challenge 2013 yang berlangsung di Tasik Kenyir petang semalam.

Sebaik saja selesai Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu di bangunan DUN di Wisma Darul Iman, beliau terus ke majlis penyampaian hadiah pertandingan memancing Boat On The Road anjuran Media Prima dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, di Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir.


Polis Jalankan Rondaan Sejam Sekali Di Premis ATM Mulai Ahad

Gambar Hisaan...Antara mesin ATM yang kena pecah.
Berkuatkuasa hari ini, pasukan peronda polis akan menjalankan rondaan sejam sekali di premis-premis mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di seluruh negara sebagai langkah mencegah kejadian samun dan pecah ATM.

 Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM Datuk Wira Ayub Yaakob berkata, Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikalakan melaporkan keadaan terkini selepas setiap rondaan kepada bilik kawalan disetiap daerah.

Majlis Kesyukuran BN Di Kerusi Parlimen Hulu Terengganu Pada 28 Jun

Majlis kesyukuran di atas kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu akan diadakan selama dua hari di Padang Astaka Kuala Berang, 28 Jun.

Anggota Parlimennya Datuk Jailani Johari berkata majlis itu bertujuan menyatakan ucapan terima kasih atas sokongan rakyat membantu kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.

Sunday, June 16, 2013

Karnival Oh Yeah! Bank Muamalat Malaysia Berhad Dapat Sambutan Meriah


Sambutan hari kedua Karnival Oh Yeah! anjuran Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) di Kuala Terengganu semalam terus meriah dengan kunjungan ribuan pengunjung sekitar Terengganu.

 Pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan mewarna dan kuiz serta ujibakat pengacara dan pembaca berita di kios stesen televisyen tempatan.

Pengurus BMMB Kawasan Timur, Nik Mohd Hashim Abdul Hamid berkata pihaknya mensasarkan pembukaan 2,000 akaun baharu sepanjang karnival itu.

Persiapan Sukma Kuala Lumpur Berjalan Lancar

Persiapan bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur yang akan berlangsung dari 28 Jun hingga 7 Julai ini berjalan lancar, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

"Kini kita hanya akan membuat pemeriksaan terakhir di semua venue pertandingan. Sebahagian daripada pegawai kita (MSN) juga sudah berada di venue untuk memastikan semuanya berjalan lancar," katanya pada sidang akhbar semalam.

Terdahulu, beliau melancarkan barangan cenderahati Sukma 2013, serta memperkenalkan pingat dan mengumumkan hos penyiar temasya sukan berkenaan iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro Arena.

Yang Dipertua DUN Terengganu Diketahui Hari Ini, Akhiri Spekulasi

Imbas kembali...Sultan Terengganu perkenan merasmikan persidangan DUN tahun lalu.
Secara rasmi Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan hari ini apabila beliau akan mengangkat sumpah pagi ini.

Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Yang Dipertua DUN dan Majlis Angkat Sumpah Ahli DUN dijadualkan bermula jam 9.30 pagi ini.

Pengumuman rasmi mengenai pelantikan jawatan tersebut akan dibuat oleh Menteri Besar bagi pihak kerajaan negeri akan menamatkan spekulasi.

Spekulasi berkisar beberapa nama, termasuk Datuk Zuber Embong , bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Zubir Embong, calon Barisan Nasional (BN) yang kalah pada pilihan raya umum 5 Mei lalu serta juga bekas Exco  dan calon BN Perlimen Marang yang tewas, Datuk Yahya Khatib Mohamad.

Malah ada yang menyebut calon BN Ladang yang tewas, Datuk Wan Farid Wan Salleh serta Datuk Che Mat Jusoh yang pernah menjadi Speaker DUN sebelum ini.


Majlis akan berlangsung di Tingkat U2, Dewan Undangan Negeri Terengganu, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Sebelum ini, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dilantik sebagai speaker DUN Terengganu selepas Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-12.

Beliau meletakkan jawatan untuk bertanding di kerusi DUN Kuala Berang pada PRU13 dan menang. Beliau kini adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco).

Hari ini secara rasmi bermulalah Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ketiga Belas.

 Majlis pelantikan dan Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua DUN dan Majlis Angkat Sumpah ADUN adalah acara pertama Sidang DUN kali ini.

Melalui pekeliling Setiausaha DUN, Haji Azhar Jusoh, yang diedarkan kepada semua ketua-ketua jabatan agensi negeri menyebut pada hari pertama akan berlangsung Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Yang Dipertua DUN dan Majlis Angkat Sumpah Ahli DUN yang dijadualkan bermula jam 9.30 pagi.

Pada hari kedua, akan berlangsung pula Istiadat Pembukaan Penggal Pertama DUN ke-13 oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada Selasa, sidang akan berlangsung dengan soalan lisan selama sejam diikuti dengan perbahasan Titah Sultan Terengganu.

Beliau berkata, pada hari ketiga dan keempat sidang DUN akan diadakan bermula jam 9.30 pagi. Bagi DUN penggal ini, Barisan Nasional (BN) mempunyai 17 ahli DUN manakala pembangkang 15 ahli.

70 Peratus Guru Bahasa Inggeris Tidak Fasih - Timbalan Menteri

Gambar hiasan...Guru Bahasa Inggeris perlu fasih bahasa berkenaan.

Mengejutkan!

Sebanyak 70 peratus guru Bahasa Inggeris gagal menguasai bahasa itu dengan fasih berdasarkan ujian Cambridge Placement Test (CPT), tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching, berkata guru terbabit perlu meningkatkan penguasaan kerana tahap kefasihan yang rendah menyukarkan mereka mendidik pelajar untuk cemerlang dalam subjek berkenaan.

Hanya 30 peratus guru Bahasa Inggeris yang menyertai CPT mencapai tahap fasih, katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kepemimpinan Untuk Pelajar Pintar anjuran Yayasan Pintar, semalam. 

Cuepacs Harap Elaun Perumahan, Sara Hidup Diselaras Tahun Ini

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat melaksanakan penyelarasan elaun tetap perumahan dan sara hidup (COLA) penjawat awam pada tahun ini. 

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata dua perkara itu merupakan isu tertunggak dan berharap pelarasan dibuat dengan kadar segera kerana kos sara hidup semakin meningkat.

"Kita perlu selaraskan semua elaun, termasuk elaun Cola, bagi mereka yang tinggal di kuarters," katanya kepada pemberita pada persidangan perwakilan Cuepacs Kedah Sesi 2013-2016 di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) semalam.

Hina Agong: 'Melissa Gooi' Beri Keterangan


Seorang wanita yang dikehendaki polis berhubung kes menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur. semalam untuk memberi keterangan.

Wanita itu tiba di IPD tersebut pada pukul 1.15 tengah hari ditemani peguamnya.

Pada 1 Jun lepas, akaun Facebook yang menggunakan nama "Melissa Gooi" didakwa mengeluarkan kenyataan menghina titah ucapan Tuanku Abdul Halim.

Susulan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan membuat laporan polis supaya tindakan tegas diambil terhadap pemilik akaun FB itu.

Karpal - Campur Tangan Dr M Perlekeh PM Najib


Pengerusi DAP, Karpal Singh meminta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersara pada 2003 supaya jangan cuba menguasai kerajaan sekarang.

Karpal secara berseloroh berkata perbuatan tersebut dilihat seperti memperlekehkan pentadbiran Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak

 Sebalik, kata Karpal, Mahathir sepatutnya menurut jejak langkah bekas-bekas perdana menteri sebelum ini yang menjalani kehidupan peribadi selepas bersara.

200 Buru Naga Merah Di Tasik Kenyir


Berbekalkan kemahiran memancing dan sedikit tuah, kira-kira 200 peserta menjayakan Ekspedisi Memancing Sambil Santai, Boat On The Road (BOTR) 2013 bagi melakar sejarah menawan gergasi Tasik Kenyir.

Program yang bermula Jumaat hingga malam semalam di Hulu Terengganu itu, turut menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM20,000 kepada pemancing yang berjaya melakukannya selain hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM75,300.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, berkata penantian selama tiga tahun untuk menyaksikan pemancing menjinakkan Arapaima Gigas atau Naga Merah di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara menjadi misi utama BOTR kali ini.

MP Pakatan Setuju Angkat Sumpah 24 Jun

Anggota Parlimen Pakatan Rakyat tidak akan memboikot persidangan parlimen ke-13, kata pengerusi DAP Karpal Singh.

Beliau berkata anggota parlimen pembangkang daripada DAP, PKR dan Pas dijangka mengangkat sumpah di Parlimen pada 24 Jun.

"Saya mendapat tahu kesemua mereka, termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menghadiri persidangan parlimen," kata Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu kepada pemberita ketika melakukan kunjungan mingguannya ke pasar Air Itam semalam.

Peserta BOTR Terokai Keindahan Tasik Kenyir


Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said berharap semua peserta Boat On The Road (BOTR) 2013 dapat menikmati dan memanfaatkan keindahan alam serta khazanah yang bernilai di Tasik Kenyir, Hulu Terenganu, dengan sepuas-puasnya.

“Pada masa yang sama, saya harap semua peserta selamat di sepanjang perjalanan dan tiba tanpa sebarang perkara tidak diingini di tasik buatan manusia yang menjadi tarikan utama pemancing seluruh dunia itu. 

“Selain itu juga, jangan pula membuang sampah seerti plastik, puntung rokok, sisa makanan di merata tempat dan sama-sama menjaga kebersihan alam sekitar,”katanya sebelum melancarkan majlis pelepasan peserta program BOTR 2013 di Sri Pentas TV3 Bandar Utama, Petaling Jaya, pagi kelmarin.



2 Rumah Amal GISB Di Terengganu Cari Dana Sebar Ajaran Al-Arqam

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenal pasti sekurang-kurangnya 81 rumah amal di seluruh negara yang diwujudkan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) untuk meneruskan penyebaran ajaran sesat kumpulan Al-Arqam yang diharamkan kerajaan sejak 1994.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha berkata rumah amal berkenaan, yang setiap satunya mempunyai purata penghuni antara 20 hingga 80 orang, dikendalikan GISB menggunakan sumbangan luar sama ada dalam bentuk sedekah atau zakat.

16.3 Peratus Penduduk Terengganu Tidak Sedar Hidap Hipertensi

Hasil daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 mendapati 16.3 peratus penduduk Terengganu tidak menyedari bahawa mereka menghidap hipertensi atau tekanan darah tinggi kerana tidak pernah menjalani saringan kesihatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dato’ Dr. Anwa Sulaiman berkata, anggota kesihatan perlu meningkatkan lagi aktiviti saringan kesihatan di kalangan masyarakat dan orang ramai pula perlu berani untuk menjalani saringan kesihatan.

Idris - Pemimpin Yang Menang Jangan Smbong

Pemimpin dan ahli Umno khususnya BN perlu menerima kemenangan pada PRU13 lalu dengan penuh kesyukuran.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pemimpin dan ahli perlu menerima kemenangan dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan negara ini terus berada di landasan terbaik.

Menurut beliau yang juga Menteri Pendidikan II itu, perjuangan parti adalah untuk memastikan negara ini terus maju dan rakyat terbela hasil keamanan yang dinikmati selama ini.