Friday, November 22, 2013

Penjawat Awam Wanita Kerugian RM209,000 Ditipu Kenalan Facebook


Seorang ibu tunggal bukan sahaja sanggup membuat pinjaman bank untuk diserah kepada kekasih yang dikenali melalui laman sosial Facebook, malah wanita itu sanggup mencagarkan rumahnya.

Tindakan penjawat awam berusia 50 tahun itu yang percaya kepada lelaki rakyat asing menyebabkan dia kerugian kira-kira RM209,000 akibat diperdaya sejak Ogos lepas.

Menyedari menjadi mangsa penipuan jenayah siber (Nigerian Scam), wanita itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu tengah hari kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu,  Supt Koh Ah Tiam berkata selepas dua bulan berkenalan dan bercinta, suspek memberitahu bahawa dia merupakan seorang kontraktor dan mahu memindahkan wang sejumlah US$10 juta (RM31 juta) ke negara ini namun alasannya wang itu tidak dapat dipindahkan.

Beliau berkata suspek kemudian memaklumkan kepada mangsa bahawa dia perlu membuka akaun bank tempatan terlebih dahulu sebanyak RM9,000 dengan alasan sebagai menampung jumlah wang yang akan dipindahkan nanti. "Suspek mengambil masa dan membuat mangsa jatuh cinta sebelum menyakinkan mangsa untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank dengan memberikan pelbagai alasan.

"Selepas mangsa membuka akaun tempatan dengan jumlah diarahkan, suspek kemudian meminta RM200,000 lagi untuk dikenakan cukai," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, kelmarin.

Koh berkata wanita itu sanggup membuat pinjaman bank untuk memberikan wang RM200,000 yang diminta kekasihnya ke dalam akaun yang sama dengan alasan sebagai Bon Sekuriti.

Mangsa yang tidak mempunyai wang sebanyak itu kemudiannya mencagarkan rumahnya kepada pihak bank sebelum menyedari dirinya telah diperangkap lelaki yang mendakwa berasal dari United Kingdom itu.

Koh berkata sehingga November tahun ini, polis menerima 33 laporan berhubung penipuan jenayah siber di negeri ini yang membabitkan kerugian kira-kira RM1 juta berbanding 15 kes tahun lepas melibatkan kerugian RM200,000.

Pemuda Dedah Kemelut PAS-DAP Pulau Pinang

Kemelut yang melanda pakatan pakatan pembangkang di Pulau Pinang seolah-olah berada di kemuncaknya apabila PAS mengakui mereka umpama 'boneka' kepada kerajaan negeri pimpinan DAP.

Mengumpamakan PAS hanya sebagai penumpang sebuah kereta yang dipandu DAP, parti itu mendedahkan pimpinan mereka tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sebarang keputusan dalam kerajaan negeri.

Kecewa dengan kerajaan DAP Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng, Perwakilan Pemuda PAS dari negeri itu, Mohd Raduan Ramli menggunakan pentas Muktamar Pemuda PAS Pusat sebagai medan bagi menggesa kepimpinan partinya mengambil tindakan susulan mengenai tahaluf siyasi yang dijalinkan kedua-dua parti itu. 

"Tiada jalan nak kita kemukakan, tiada medan untuk kita berbincang. Ini bukan soal gila kuasa, bukan soal minta jawatan tapi soalnya adalah mereka beri kereta kepada kita dan mereka suruh kita jadi penumpang tapi mereka pegang stereng kereta.

"'Seat' kereta mereka bagi kita duduk, tapi stereng mereka nak pegang. Mereka nak buat keputusan yang telah dibuat, mereka minta kita akur dengan keputusan itu," katanya.

Alvin Dan Vivian Gagal Batal Pertuduhan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee untuk membatalkan satu daripada tiga pertuduhan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas berpendapat permohonan itu tidak mempunyai merit. Dalam penghakimannya, beliau berkata pertuduhan terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan adalah sah, teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. 

"Sepintas lalu membaca peruntukan di bawah Seksyen 298A(1)(a), mahkamah mendapati amat jelas, sejelas gelas kristal, bahawa peruntukan itu langsung tidak menyebut secara khusus bahawa ia ditujukan khas kepada penganut beragama Islam tetapi terpakai kepada penganut agama atau kepercayaan yang lain juga," katanya.'

Anak Abdul Hadi Menang Timbalan Ketua Pemuda PAS

Muhammad Khalil
Wakil tunggal kumpulan ulama, Muhammad Khalil Abdul Hadi berjaya menempatkan diri dalam barisan kepimpinan baru Dewan Pemuda PAS Pusat setelah diumumkan menang jawatan Timbalan Ketua Pemuda PAS dengan 355 undi.

Suhaizan Kaiat 
 Ir Mohd Khairil Nizam 
Kemenangan Muhammad Khalil yang juga anak kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu sekali gus menggagalkan usaha bekas Naib Ketua Pemuda PAS, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob dari kumpulan profesional untuk menguasai tiga jawatan tertinggi sayap PAS itu pada pemilihan yang berlangsung semalam.

Raja Ahmad Iskandar yang juga Ketua Pemuda PAS Perak mendapat 282 undi.

Muktamar tahunan Pemuda PAS ke-54 itu turut menyaksikan bekas Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat diumumkan sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat yang baru apabila memperoleh 320 undi.

Siti Rahmah Pesilat Tunggal Dari Terengganu Ke Sukan Sea

Siti Rahmah Mohd Nasir merupakan pesilat tunggal dari Terengganu yang dipilih untuk mewakili negara pada temasya Sukan SEA ke-27 di Myanmar mulai 11 hingga 22 Dis ini.

Setiausaha Persatuan Seni Silat Negeri Terengganu (PSSNT) Rani Mustaffa berkata Siti Rahmah adalah pemenang pingat emas Sukan SEA dalam acara silat olahraga kelas E puteri di Indonesia pada 2011.

"Ini merupakan penyertaan ketiga Siti Rahmah dalam Sukan SEA selepas edisi 2009 di Laos," katanya.

Rani berkata Siti Rahmah adalah merupakan anak kepada bekas pemain bola sepak Singapura dan Terengganu yang terkenal pada tahun 80-an, Nasir Jalil.

Hudud, Syiah Dan Tahaluf Siyasi Antara Isu Dibangkit Perwakilan Muktamar PAS

Muktamar Dewan Ulama PAS yang berlangsung semalam  panas apabila isu seperti hudud, syiah dan 'tahaluf siyasi' iaitu kerjasama politik dalam pakatan PAS-PKR-DAP dibangkitkan ramai perwakilan.

Jelas, isu-isu yang dibangkitkan di muktamar Dewan Ulama mendapat perhatian penuh 600 anggota perwakilan yang datang dari kira-kira 150 kawasan seluruh negara.

Berhubung hukum hudud, seorang perwakilan Siddiq Nor mendedahkan kepada umum bahawa ada di kalangan pemimpin PAS yang tidak yakin dengan pelaksanaan hukum hudud, yang menjadi asas perjuangan parti itu selama ini.

Tanpa menamakan pemimpin berkenaan, beliau berkata terdapat juga pemimpin yang tidak mahu PAS berbicara mengenai hukum hudud di khalayak umum kerana dikhuatiri akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap parti itu.

'Tuhan Harun' Direman Seminggu, Seorang Pengikut Serah Diri

Mohd Nizam  hadir di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuantan semalam.
Seorang lelaki dikenali sebagai ‘Tuhan Harun’ atau nama sebenarnya, Harun Mat Saat, 47, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd. Zol, 30, serta pemandunya, Nor Hairi Harun, 41, direman seminggu mulai semalam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah bagi membolehkan siasatan kes tembak mati seorang pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dijalankan ke atas mereka.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaluddin Abd. Majid berkata, perintah itu dikeluarkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada pukul 11 pagi semalam.

“Polis akan menyiasat meliputi semua sudut sama ada mereka terlibat dalam kes pembunuhan tersebut.

Mesyuarat MT Umno Lantik Empat Anggota MT Tambahan

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak (duduk, tengah) hadir mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Khamis. Turut hadir Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin (duduk, kiri) dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (duduk, kanan).
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam melantik empat anggota MT tambahan.

Mereka ialah Naib Ketua Wanita, Datuk Azizah Mohd Dun, Penolong Setiausaha Wanita Umno, Datuk Rosni Sohar, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun dan Naib Ketua Puteri Zahida Zarik Khan. 

Pelantikan itu diumum Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media selepas pertama kali mempengerusikan MT Umno selepas pemilihan parti bulan lalu.

Nama sembilan lagi anggota MT lantikan akan diumum awal minggu depan.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Bantahan yang dipengerusikan Tan Sri Azmi Khalid bagi menerima aduan berbangkit semasa proses pemilihan bulan lepas.

Satu jawatankuasa khas, Jawatankuasa Penambahbaikan Pemilihan Umno yang dipengerusikan timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin juga ditubuhkan untuk menambahbaik proses pemilihan parti.

PAC Dapati Tiada Salah Laku Dalam Pembayaran RM1.6 Juta Artis K-Pop

Ahmad Shabery hadir pada prosiding di bangunan Parlimen semalam.
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini mendapati tiada sebarang salah laku dalam isu pembayaran RM1.6 juta kepada artis K-Pop dari Korea Selatan oleh Kementerian Belia dan Sukan semasa diterajui Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tahun lepas.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ini kerana segala pembayaran semasa sambutan Hari Belia 2012 itu mengikut prosedur pembayaran.

"PAC berpuas hati dengan penjelasan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek," katanya selepas Ahmad Shabery menemui jawatankuasa itu bagi memberi penjelasan berhubung bayaran itu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012, di bilik jawatankuasa itu di Parlimen, di Kuala Lumpur.

Ahmad Shabery yang kini Menteri Komunikasi dan Multimedia secara sukarela berjumpa dengan PAC yang dianggotai Anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan penjelasan dan bukannya dipanggil oleh PAC bagi memberi keterangan.

"PAC tidak bercadang untuk memanggil Ahmad Shabery kerana penjelasan yang diberikan sudah memadai," kata Nur Jazlan.


Mosti Peruntuk RM78.47 Juta Penyelidikan Di Zon Timur

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) meluluskan 142 projek dengan pembiayaan RM78.47 juta dalam dana pembiayaan Fasa Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersilan (R, D&C) di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RMK-10 di Zon Timur.

Menterinya Datuk Dr Ewon Ebin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 107 projek dengan pembiayaan RM63.88 juta diluluskan untuk RMK-9 manakala 35 projek diluluskan dalam RMK-10 melibatkan peruntukan RM14.59 juta.

Zon Timur meliputi Terengganu, Pahang dan Kelantan. "Pembiayaan dalam bentuk dana atau geran R,D&C itu bertujuan meningkatkan pertumbuhan dan menyemarakkan budaya inovasi.

Bekas Anggota MPP IPTA Terima Ugutan Jenayah

Seorang penuntut di sebuah institusi pendidikan tinggi awam di Kuala Terengganu, membuat laporan polis selepas menerima ugutan termasuk bungkusan berbentuk mayat yang diletak di dalam raga motosikalnya semalam.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K Manoharan, mangsa yang juga bekas anggota Majlis Perwakilan Pelajar mendakwa menerima nota bertulis "tarik balik calon lue!!! Kalau tidak!... bersama-sama bungkusan itu.

Mangsa yang berusia 21 tahun itu menyedari tentang ugutan tersebut selepas menerima khidmat pesanan ringkas daripada seorang rakan yang ternampak bungkusan berkenaan kira-kira 2.25 pagi, katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, semalam.

Pas Perlukan Kerjasama Politik Pakatan Rakyat Untuk Terus Berkuasa

Pas hanya mampu mentadbir negeri yang dikuasai mereka dan memerlukan kerjasama politik (tahaaluf siyasi) dari Pakatan Rakyat untuk terus berkuasa, kata Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof. 

Beliau berkata rekod parti itu secara bersendirian hanya mampu mentadbir Kelantan dan Terengganu, namun hasil kerjasama itu menjadikan mereka mampu berkuasa di negeri pantai barat.

"Tahaaluf siyasi antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah berjaya membawa Pas keluar dari kawasan pantai timur.

Fama Johor Sasar RM70 Juta Nilai Jualan Produk 1Malaysia Best Tahun Depan

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Johor menyasarkan RM70 juta nilai jualan produk jenama 1Malaysia Best pada tahun depan.

Pengarahnya Faridulatrash Md Mokri berkata sehingga bulan lepas hasil jualan produk itu mencecah RM57.6 juta membabitkan 29 usahawan produk itu.

"Kita yakin jumlah itu akan meningkat kepada RM60 juta menjelang hujung tahun ini.

JPJ Buka Kaunter Hari Ini dan Esok

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka pejabat negeri dan cawangannya di Kedah, Terengganu dan Kelantan hari ini bagi menguruskan kerja yang tertangguh.

Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad, di negeri lain pejabat itu dibuka esok (Sabtu).

"Waktu perkhidmatan kaunter di semua pejabat ini akan beroperasi seperti biasa mulai jam 7.45 pagi," kata dalam kenyataan di Putrajaya semalam.

Urusan kerja JPJ tertangguh ekoran berlakunya peralihan sistem komputer SIKAP sebelum ini ke sistem mySIKAP.

Thursday, November 21, 2013

Harun Taib Persoal Kejayaan PAS Bekerjasama Dengan PKR, DAP



"Persoalan yang mesti dilontarkan apakah kita telah berjaya atau sekurang-kurangnya berusaha menobatkan syariah Islam dalam pentadbiran dan undang-undang menerusi kerjasama dengan Pakatan Rakyat?"
  - Dr Harun Taib

Konsep "tahaluf siyasi" (kerjasama politik) antara PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan disemak semula dari semasa ke semasa, kata Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib

Menegaskan perkara itu dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama ke-52 di Shah Alam, hari ini, beliau berkata semakan semula kerjasama itu bagi membolehkan PAS menilai setakat mana perkara berkaitan Islam boleh dilaksanakan di negeri yang di perintah parti pakatan itu.

"Perjuangan kita amat berbeza dengan parti yang lain. Kita hendak menilai apakah keuntungan (kerjasama politik) secara keseluruhan," katanya.

Selain 600 anggota perwakilan, Timbalan Ketua Dewan Datuk Ahmad Yakob, yang juga Menteri Besar Kelantan, menghadiri muktamar bertemakan 'Ulama Haraki Menangani Fasad Mengisi Kemenangan'.

Sementara itu, dalam ucaptamanya, Harun mempersoalkan apakah kejayaan yang diraih PAS hasil kerjasama dengan PKR dan DAP.

"Persoalan yang mesti dilontarkan apakah kita telah berjaya atau sekurang-kurangnya berusaha menobatkan syariah Islam dalam pentadbiran dan undang-undang menerusi kerjasama dengan Pakatan Rakyat?" soalnya.

Teks ucaptama beliau dibacakan oleh Ahmad.Harun turut membidas rakan sekutu parti, DAP, yang mencadangkan agar PAS dibatalkan pendaftarannya kerana berasaskan agama.

"Saya juga ingin menegaskan kepada pemimpin Pakatan Rakyat, yang mencadangkan supaya pendaftaran PAS dibatalkan kerana berasaskan agama, bahawa PAS adalah parti yang paling sesuai dengan keadaan semasa dan masyarakat berbilang kaum dan agama kerana Islam diturunkan Allah S.W.T kepada manusia yang berbilang bangsa dan agama.

"Kerana itu saya menyeru pemimpin Pakatan Rakyat agar menerima Islam sebagai dasar pemerintahan negara.

Tahaluf siyasi bertujuan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam dan menjelaskan bahawa Islam adalah penyelesaian terbaik untuk masalah manusia," katanya.

Selain itu, Harun berkata teguran dan nasihat daripada kepimpinan Dewan Ulama berkaitan kepimpinan ulama tidak seharusnya dilihat sebagai pihak yang gila dan tamakkan kuasa, sebaliknya bertujuan memantapkan perjuangan parti.

"Ada tuduhan bahawa ulama tamak dan gila kuasa. Kami tidak gila dan tamak kuasa, tapi PAS adalah parti Islam... maka siapa yang memahami dasar parti selain daripada ulama?

"Ia adalah satu penegasan bagi apa yang ada di dalam perlembagaan PAS yang meletakkan Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai sumber rujukan.

Keempat-empat sumber ini hanya dihuraikan dan dijelaskan oleh para alim ulama," katanya. Harun berkata kemasukan anggota baharu khususnya daripada serpihan Umno ke dalam PAS turut memberi kesan terhadap konsep kepimpinan ulama yang diamalkan parti

"Ada serpihan ahli Umno yang masuk PAS dan selepas itu nak mempertikaikan dasar PAS... kenapa pemimpin PAS mesti ulama? Dan ini adalah satu sejarah buat PAS," katanya.

Pemilihan bagi Dewan Ulama PAS, menyaksikan tiga jawatan tertinggi sayap itu mengekalkan penyandangnya iaitu Harun sebagai Ketua Dewan, Ahmad sebagai timbalan dan Datuk Dr Mahfodz Mohamed sebagai Naib Ketua apabila masing-masing tidak dicabar.

Keputusan pemilihan diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi.

Adun Kota Putera Dilantik Sebagai Exco Terengganu


Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kota Putera Muhammad Pehimi Yusof pada Khamis dilantik sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) yang baharu.

Istiadat pelantikan dan majlis angkat sumpah berlangsung di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari dan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Mohd Zubir Embong. Muhammad.

Pehimi ketika ditemui pemberita selepas majlis angkat sumpah itu melahirkan rasa terharu di atas pelantikan itu dan merupakan amanah yang perlu dipikul dengan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat Terengganu.

Ketua Kumpulan Tuhan Harun Ditangkap - Polis



Pemimpin kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saad telah ditangkap bersama-sama dengan dua suspek selepas serbuan di dua lokasi berasingan di Tangkak, Johor.

Suspek, termasuk isteri Harun ditahan kira-kira pukul 3.30 petang selepas sebuah pasukan petugas yang terdiri daripada polis Johor dan Pahang menyerbu lokasi berkenaan.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan tangkapan.

"Suspek telah diserahkan kepada polis Pahang untuk siasatan lanjut.

"Mereka dikehendaki berkaitan pembunuhan Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Ahmad Rafli Abdul Malek," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ahmad Raffli, 49, sebelum kematiannya dipercayai sedang mengendalikan dua kes jenayah syariah di Pahang iaitu kes ajaran sesat Harun dan gerakan Syiah.

Pemuda Pakatan Masih Tidak Sehaluan - Nasrudin

Kerjasama pembangkang khususnya membabitkan sayap pemuda Pakatan Rakyat dilihat goyah dan tidak sehaluan hingga boleh menjejaskan hubungan parti komponennya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, hubungan dalaman membabitkan komponen PAS-PKR-DAP perlu dimantapkan bagi menangani pelbagai isu secara kolektif.

"Sehingga setakat hari ini, pemuda Pakatan Rakyat masih belum dilihat sederap dan selangkah walaupun menghayun kaki dan tangan bergerak ke arah yang sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Pemuda PAS ke-54 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Petaling Jaya, malam semalam.

Dr Mahathir Beri Respons Baik Kepada Rawatan

 Dr Mahathir Mohamad sambil ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kelihatan ceria selepas menjalani rawatan berikutan jangkitan dada di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, Isnin lalu. Beliau kini sedang menjalani rawatan dan fisioterapi dada dan senaman.

Tun Dr Mahathir Mohamad memberi respons baik kepada rawatan sejak dimasukkan ke Wad Umum Institut Jantung Negara (IJN).

Kenyataan dari pejabat Dr Mahathir semalam berkata bekas perdana menteri itu kini menjalani rawatan dan fisioterapi dada dan senaman.

"Pasukan perubatan puas hati dengan kemajuan beliau," kata kenyataan itu.

Doktor menasihatkan agar lawatan dihadkan kepada anggota keluarga terdekat. Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada Isnin berikutan jangkitan dada.

Pantai Timur, Pantai Sarawak, Alami Taburan Hujan Lebat

Jabatan Meterologi berkata negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, kawasan pantai Sarawak dan pantai timur Sabah akan mengalami empat hingga lima kali taburan hujan lebat yang mungkin berterusan untuk tempoh tiga hingga tujuh hari.

"Kejadian seperti ini boleh menyebabkan banjir di negeri pantai timur dan wilayah selatan semenanjung bermula bulan ini hingga Januari.

Musim monson di Malaysia bermula 1 November dan dijangka berakhir pada minggu ketiga bulan Mac tahun hadapan. Episod pertama hujan lebat dijangka bermula pada bila-bila masa ketika ini.

Sultan Terengganu Titah Supaya Khazanah Hutan Terus Dipulihara


Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan supaya khazanah hutan di Terengganu terus dipulihara supaya dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh generasi akan datang.

Titah baginda, inisiatif penanaman semula pokok bakau di kawasan tertentu, termasuk kawasan paya bakau Kerteh sudah tentu dapat membantu kerajaan mengekalkan hutan bakau secara kekal.

“Program-program yang dapat meningkatkan penglibatkan masyarakat umum terutama pelajar universiti dengan secara sukarela memulihara hutan itu sewajar dirangka dengan kadar segera.

“Hutan bakau merupakan satu ekosistem unik yang menjadi habitat kepada pelbagai spesis flora, fauna daratan dan hidupan marin,” titah baginda. Baginda bertitah demikian dalam pesembahan ucapan sempena Majlis Perasmian Pusat Pendidikan Alam Sekitar (Eco Care) di Kampung Labohan, Kerteh, Kemaman, semalam.


Penjara 7 Bulan Ugut Ibu Guna Parang

Seorang anak dijatuhkan hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret semalam, selepas mengaku bersalah mengugut dan mengacukan parang terhadap ibunya bagai mendapatkan RM500, pada Ogos lalu. 

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Sufian Roslan, 21, dari Kampung Losong Dato’ Amar dekat Kuala Terengganu.

Muhammad Sufian dituduh melakukan kesalahan itu terhadap ibunya, Zaleha M Hussin, 47, dengan niat menyebabkan mangsa berasa cemas di sebuah rumah di depan kedai makan di Kampung Losong Dato' Amarkira-kira jam 1 tengah hari, pada 15 Ogos lalu.

Malaysia Sedia Hadapi Banjir Pada Musim Tengkujuh


Selepas Filipina dan Vietnam pulih daripada taufan Haiyan, Malaysia kini sedia menghadapi sebarang kemungkinan pada musim tengkujuh dan ribut yang sering melanda negara pada penghujung tahun.

Kira-kira 57,000 anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, polis, tentera telah diletakkan dalam keadaan siap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk memindahkan 1.3 juta mangsa banjir di seluruh negara, kata Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Semua persiapan telah dikoordinasi dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Awam Pusat dan perkara ini turut dibincangkan di peringkat negeri," kata Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab dalam satu kenyataan kepada The Star.

Penguat Kuasa Agama T'ganu Dibenar Bawa Senjata Api Sejak Lima Tahun Lalu - Exco

Kerajaan Terengganu membenarkan pegawai penguat kuasa agamanya membawa senjata api sewaktu bertugas sejak lima tahun lalu, kata Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Ghazali Taib.

Beliau berkata langkah itu bagi menjamin keselamatan pegawai terbabit ketika menjalankan operasi. "...memang setiap kali menjalankan operasi mereka dibekalkan senjata api dan memang mereka digalakkan membawa senjata tersebut," katanya dalam sidang media sempena perasmian Pameran Haiwan Berbisa 2013 di Muzium Terengganu, di Kuala Terengganu, Isnin lalu.

Menurut Ghazali semua pegawai terbabit dilatih dengan penggunaan senjata api.

"Mereka juga disahkan oleh doktor tidak mempunyai masalah kesihatan seperti sakit mental," katanya.

Pertimbangkan Terengganu Sebagai Tuan Rumah Acara Sukan Sea 2017 - Ahmad Said

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said meminta Kementerian Belia dan Sukan mempertimbang negeri itu sebagai tuan rumah untuk beberapa acara Sukan SEA yang akan dianjur oleh negara pada 2017. 

Katanya langkah itu wajar kerana Terengganu kini merupakan kuasa sukan baharu di negara ini terutama dalam acara lumba basikal, memanah dan berkuda.

Saya telah minta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat untuk berbincang dengan menteri berkenaan tentang hal ini, katanya kepada pemberita, di Kemaman, Jumaat (15 November 2013) lalu.

Program Belia Belayar Cungkil Bakat Baharu Dalam Sukan Kapal Layar


Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan pelayaran negara melalui program Belia Belayar. 

Program empat hari bermula Selasa itu diadakan di Pulau Duyung di Kuala Terengganu, sempena penganjuran Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2013.

Program yang memberi pendedahan tentang aspek-aspek asas pelayaran kepada golongan muda terutama pelajar sekolah berusia dalam lingkungan 13 hingga 16 tahun itu melibatkan 13 sekolah di sekitar daerah ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif MYA Mazlan Othman berkata program itu berpotensi untuk mengenal pasti pelapis dalam sukan kapal layar terutama di kalangan golongan muda apabila mereka diberi peluang untuk mencuba sukan itu.

Penggiat Industri Pelancongan Perlu Kreatif Promosi Terengganu - Sultan


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menggesa agar penggiat industri pelancongan di negeri ini, lebih kreatif dan inovatif dalam menyediakan pakej pelancongan selaras dengan keunikan dan kepelbagaian bio semulajadi yang dimiliki Terengganu.

Baginda bertitah, Terengganu yang terkenal dengan destinasi pulau, laut dan pantai yang menarik serta hutan hujan yang tertua di dunia diharap akan menjadi destinasi pelancongan alam semulajadi terkenal di dunia. 

"Beta juga ingin menyarankan agar kerajaan negeri dapat merancang pembangunan kawasan Ekopelancongan dengan terancang dan menyeluruh seperti kemudahan infrastruktur dan lain-lain.



Budak sakit kepala ketika main komputer maut diserang meningitis

Sakit kepala yang dialami seorang kanak-kanak lelaki ketika leka bermain komputer di kafe siber pada Isnin lalu menjadi petanda dia diserang meningitis atau radang otak sebelum meninggal dunia di Hospital Alor Gajah, petang kelmarin.

Ibu kepada kanak-kanak berkenaan, Rosnani Puteh, 42, berkata, anaknya, Muhammad Azmin Abdullah, 12, mula mengadu sakit kepala ketika bermain komputer di kafe siber yang terletak di Masjid Tanah berhampiran rumahnya di Kampung Pinang.

Menurutnya, sejak cuti sekolah bermula, setiap hari Azmin akan keluar rumah bersama abangnya, Muhammad Azanir, 13, seawal pukul 7.30 pagi untuk bermain komputer di kafe siber tersebut dan hanya pulang pada pukul 6.30 petang.

T-Team Turun Tiga Pemain Import Pada Perlawanan Persahabatan


Peminat pasukan T-Team bakal menyaksikan kelibat tiga pemain import dalam kempen Liga Malaysia musim depan apabila mereka diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Terengganu pada 26 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Abdul Rashid Jusoh berkata pemain import berkenaan ialah penyerang skuad Indonesia, Patrich Steve Wanggai, Fabio Flor dari Brazil dan pemain Croatia, Ivan Partlov.

Beliau berkata Wanggai dijangka tiba di sini esok manakala Flor, Sabtu ini sementara Partlov sudah bersama pasukan sejak beberapa hari lepas untuk menjalani latihan.

Program Suri@home ECER Fasa Kedua Bermula Disember

Program Suri@home iaitu program meningkatkan pendapatan suri rumah di bawah Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan diperluas ke fasa kedua yang dijangka bermula Disember depan. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Jebasingam Issace John berkata 10 peserta lagi akan dipilih mengikuti program berkenaan yang dipilih oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).

"Ketika ini terdapat 10 peserta di bawah program ini yang memfokuskan kepada aktiviti pembuatan songket di Terengganu.

"Program yang menyasarkan golongan suri rumah dan ibu tunggal ini bertujuan menggalakkan mereka menjalankan perniagaan songket dari rumah, sekaligus meningkatkan pendapatan mereka kepada kira-kira RM1,500 hingga RM2,000 sebulan," katanya kepada pemberita beru-baru ini.

Pelaksanaannya mampu membantu dan memberi peluang kepada lebih ramai golongan wanita menambah pendapatan mereka melalui perusahaan industri tekstil di rumah.

Ketika ini kesemua 10 peserta yang terlibat telah menunjukkan peningkatan ketara dalam pendapatan mereka melalui program ini dan secara tidak langsung ia mampu memartabatkan industri songket di Terengganu.

Beliau berkata melalui program itu, ia diharap mampu mengeluarkan peserta dari garis kemiskinan seterusnya menjadi usahawan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain.

"Itulah matlamat ECERDC iaitu peningkatan ekonomi penduduk setempat, menyediakan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan, walaupun hanya bekerja dari rumah," katanya.

Kerajaan Negeri Bakal Bina Terusan di Kemaman

Kerajaan negeri akan membina terusan sepanjang dua kilometer dianggarkan bernilai RM20 juta bermula dari Kampung Kemunting hingga Sungai Bukit Kuang dalam kawasan industri Teluk Kalong, Kemaman. 

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, projek pembinaan terusan yang bertujuan memudahkan laluan tongkang dalam kawasan industri terbabit bakal bermula pada suku pertama tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

“Pembinaan terusan itu yang melalui jajaran Sungai Bukit Kuang melibatkan pelebaran dan mendalamkan dasar sungai berkenaan bagi memudahkan operasi sektor industri, khususnya berkaitan besi keluli di kawasan tersebut.

Wednesday, November 20, 2013

Kes Amah Lambung Bayi: Mahkamah Ketepi Sabitan Dan Hukuman Penjara 20 Tahun

Pembantu rumah Indonesia, Yuliana, 23, menitiskan air mata selepas Mahkamah Tinggi Kuantan pada Rabu membebaskan dan mengenepikan sabitan dan hukuman penjara 20 tahun terhadap beliau selepas mengaku bersalah melambung dan menghempas anak majikannya Februari lepas.
Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang pembantu rumah Indonesia selepas dia mengaku bersalah melambung dan menghempas anak majikannya, Februari lepas.

Bagaimanapun Hakim Datuk Seri Mariana Yahya yang membenarkan rayuan Yuliana, 23, memerintahkan kes tertuduh didengar semula di Mahkamah Sesyen di Kuantan di hadapan hakim lain pada 6 Januari depan.
Sementara menunggu kesnya itu didengar, Mariana memerintahkan Yuliana dibebaskan dengan bon jaminan Kedutaan Indonesia, diwakili oleh Dino Nur Wahyuddin yang hadir di mahkamah, Rabu.

Skuad Harimau Muda A Ke Johor Untuk Sesi Motivasi Sebelum Hadapi Sukan Sea

Skuad Harimau Muda A (bawah 23 tahun) akan menghadiri sesi motivasi empat hari bermula 27 Nov ini di Johor Baharu, Johor sebelum ke Myanmar untuk misi mempertahan pingat emas acara bola sepak Sukan Sea.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata sepanjang berada di sana, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bakal menjalani sesi kaunseling bersama pakar motivasi selain mengadakan perlawanan persahabatan

 "Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PNBJ) bersetuju mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Harimau Muda A namun saya tidak pasti sama ada pasukan Johor Darul Ta'zim atau Johor Darul Ta'zim II yang akan dihadapi mereka pada 29 Nov ini.

JKKN Mengadakan Festival Teater Terengganu Mulai 23 Nov

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri Terengganu akan menganjurkan Festival Teater peringkat negeri Terengganu selama seminggu mulai 17 Nov di Auditorium Kompleks JKKN Terengganu di Kuala Ibai di Kuala Terengganu.

Timbalan Pengarah JKKN negeri Zahari Mat berkata sebanyak 12 kumpulan akan mengadakan persembahan sepanjang festival yang diadakan dalam dua kategori iaitu drama moden dan monodrama. 

Tujuh kumpulan mengadakan persembahan monodrama manakala lima lagi akan mementaskan drama moden, katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Kraftangan Malaysia Sasar Jualan RM350 Juta Tahun Ini

Kraftangan Malaysia menyasarkan jualan kraf melebihi RM350 juta tahun ini meskipun terdapat persaingan dengan produk kraftangan negara jiran.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Kamil Mohd Ali berkata sasaran itu mampu dicapai berikutan hasil jualan pada 2012 adalah sebanyak RM341.9 juta, selain produk kraftangan Malaysia mempunyai segmen pasaran dan kualiti tersendiri berbanding negara pengerluar lain seperti Indonesia dan Thailand.

"Dari Januari hingga September lepas, kita mencatat jualan sebanyak RM297 juta, termasuk RM42 juta hasil eksport ke luar negara," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani dan Penyerahan Watikah Adiguru Kraf di Pejabat Kraftangan Malaysia cawangan Kelantan di Kota Bharu, Isnin.

Remaja 17 tahun Mengaku Bersalah Melarikan Kenderaan

Seorang remaja yang ditahan kerana melarikan dua kenderaan dengan salah satunya terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan seorang bayi koma pada awal bulan ini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di Dungun, kelmarin.

Remaja berusia 17 tahun itu didakwa atas empat pertuduhan iaitu masing-masing dua pertuduhan mencuri dua buah kereta dan dua pertuduhan secara salah mengurung penumpang-penumpang dalam kenderaan tersebut.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Hazwani Husain Bustari.

Rahman Belum Dapat Bayangan Pemain Import Dalam Skuad Terengganu

Pengendali skuad Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim belum mendapatkan bayangan tiga pemain import bagi memantapkan pasukan itu menghadapi kempen Liga Malaysia musim depan.

Walaupun sudah menurunkan lima pemain import pada perlawanan persahabatan menentang T-Team di Kuala Terengganu semalam, namun jurulatih itu menjelaskan bahawa pemilihan pemain import masih terlalu awal untuk dirumuskan.

Terengganu sedang dalam proses menguji lima pemain import iaitu tiga dari Australia, penyerang Barisic Andrew Nicholas, 27, Mario Karlovic, 29, Andreas Grovac, 24 serta pemain dari Jepun, Keitsuke Ogawa, 28, dan penyerang Damir Vidovic dari Croatia.

Pelajar Terkejut Perubahan Format Kertas Pendidikan Moral SPM

Pelajar tingkatan lima yang menduduki SPM kertas Pendidikan Moral hari ini terkejut dengan perubahan drastik format peperiksaan yang didakwa tidak diumumkan terlebih dahulu.

Pelajar-pelajar yang menduduki kertas peperiksaan subjek berkenaan menyatakan kemarahan mereka berhubung perubahan itu.

"Perkara pertama yang kebanyakan kita sedari ialah mengenai 'di manakah nilai murni?," kata seorang pelajar dari Alor Setar, Kedah.

Jeremy Galas Cabaran Negara Ke Piala Monsun 2013

Tunku Abdul Jalil (tiga dari kanan) bersama Koo Racing Team yang menjuarai Liga Layar Malaysia di Pulau Duyong.
Pasukan Koo Racing Team yang diketuai juragan Jeremy Khoo sekali lagi menggalas cabaran negara apabila mengesahkan slot ke Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2013 yang diadakan di Pulau Duyung bermula 25 hingga 30 November ini.

Seperti diramalkan, Jeremy berjaya menempatkan dirinya selepas menjuarai saingan peringkat akhir Liga Layar Malaysia (LLM) 2013 yang berlangsung kelmarin di mana menyaksikan juara Malaysian Match Racing Circuit (MMRC) 2010, 2011 serta 2012 itu menewaskan saingannya, pelayar pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia 1, Masyuri Rahmat dengan kiraan 2-0.

Juragan berusia 32 tahun itu mengakui lawannya, Masyuri, memberikan tentangan sengit menyebabkan pasukannya terpaksa bekerja keras sebelum berjaya memenangi slot akhir berkenaan ekoran ketinggalan pada awal perlumbaan.

200 Kanak-Kanak Diraikan Pada Majlis Berkhatan


Bermulanya cuti persekolahan yang panjang pada penghujung tahun, seakan bermulanya pula musim berkhatan bagi kanak-kanak.

Malah semakin menjadi kebiasaan juga apabila majlis berkhatan diadakan secara beramai-ramai, suatu pendekatan yang dilihat dapat menjimatkan masa dan perbelanjaan ibu bapa di samping menggembirakan kanak-kanak.

Ahad lalu, seramai 200 murid dari semua sekolah rendah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menyertai acara khatan beramai-ramai anjuran Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Kijal dan majlis disempurnakan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.