Thursday, December 24, 2009

MB Terengganu Bersumpah Nama Allah Tiada Penyelewengan

Sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Rabu dikejutkan dengan lafaz sumpah Menteri Besar Datuk Ahmad Said bagi menafikan berlaku penyelewengan dalam pentadbiran beliau.

Katanya segala projek yang dilakukan oleh kerajaan adalah mengikut prosedur yang ditetapkan dan semuanya dilakukan adalah untuk kepentingan rakyat semata-mata.

"Saya merasa sedih apabila ada wakil rakyat mempersoalkan mengenai pemberian kurma dan air zam-zam, malah ada andaian berlaku penyelewengan.

"Dengan nama Allah, bismillahirrahmanirrahim, wallahi, wabillahi, wataallahi...tidak ada penyelewengan, rasuah dalam kes ini atau dalam kes-kes lain. Saya telus. Saya boleh jelaskan hal ini demi kepentingan rakyat," katanya.

Ahmad berkata bahawa bungkusan kurma yang diagihkan kepada rakyat Terengganu dengan kos RM20 adalah berpatutan dan tidak ada sebarang penyelewengan dalam pemberian kontrak pembelian tiga jenis kurma dan air zam-zam itu.

Beliau mengulas mengenai soal pengagihan air zam-zam dan kurma yang dibangkitkan oleh Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) dalam sesi perbahasan bajet semalam.

Sepanjang persidangan sejak tiga hari lepas, antara persoalan yang dibangkitkan ialah mengenai pemberian kontrak melombong bijih besi di Bukit Besi, kontrak pemberian baju sekolah kepada pelajar miskin dan dasar rundingan terus yang dilakukan oleh kerajaan dalam soal pembaikan dan penurapan jalan.

Ahmad berkata, wakil rakyat sama ada pembangkang atau penyokong kerajaan, tidak seharusnya menggunakan keistimewaan dewan untuk membuat tuduhan yang bukan-bukan terhadap kerajaan mahupun pegawai kanan beliau yang tidak berpeluang untuk menjawabnya.

"Kalau rasa ada penyelewengan dan rasuah, silakan (bangkitkan) di luar dewan.

"Sebab dalam polisi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) jelas, kalau buat tuduhan yang mana terbukti tidak benar, orang (yang dituduh) itu boleh ambil tindakan dan mendakwa orang yang berkenaan kerana fitnah. Jangan guna hak istimewa dewan ini dengan membuat dakwaan bukan-bukan," katanya.

Terengganu fokus sektor pelancongan

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata sektor pelancongan akan dijadikan sebagai sumber ekonomi penting negeri Terengganu pada masa akan datang.
Ia bagi mengelak kebergantungan kepada hasil royalti minyak daripada kerajaan pusat.

Katanya kerajaan perlu mencari alternatif jangka masa panjang untuk menjana ekonomi negeri itu kerana minyak di perairan Terengganu akan habis pada suatu hari nanti.

"Daripada RM1.888 bilion yang diperuntukkan dalam bajet Terengganu tahun depan, 92 peratus daripadanya diperoleh melalui sumber kerajaan pusat melalui Dana Khas Kerajaan Pusat, yang tidak lama lagi, InsyaAllah akan menjadi wang royalti.

"Untuk itu usaha yang perlu kita lakukan ialah menjana pendapatan negeri pada masa depan melalui sektor pelancongan dan ia akan diletakkan sebagai tulang belakang ekonomi Terengganu," kata Ahmad.

Beliau berkata, untuk itu kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan yang besar untuk membangunkan sektor pelancongan termasuk untuk memajukan Tasik Kenyir.

Katanya, walaupun Tasik Kenyir telah dibuka hampir 30 tahun, namun bilangan pelancongan yang berkunjung ke tasik buatan terbesar di Asia Tenggara itu masih berkurangan.

Ini kerana walaupun mempunyai daya tarikan alam semula jadinya tersendiri, kawasan itu masih kurang tempat-tempat yang menarik untuk dilawati dan kurang kemudahan asas, kata Ahmad.

"Tidak ada pelabur yang ingin datang buka hotel atau resort di situ kerana tidak ramai yang datang, dan kerana itu, kerajaan ingin memajukan Tasik Kenyir," dengan menyediakan program berkunjung ke pulau di tasik itu.

Ahmad berkata 340 buah pulau yang terdapat di Tasik Kenyir mampu memberi pendapatan lumayan untuk sektor pelancongan jika ia dimajukan seperti cadangan kerajaan untuk mewujudkan Pulau Burung, Pulau Rama-rama, Taman Orkid dan Pulau Herba.

Beliau juga menyebut mengenai satu penemuan artifak berusia hampir 10,000 tahun di Gua Bewah di kawasan tasik itu.

Persidangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Rundingan Royalti Minyak Terengganu Masih Belum Ada Kata Putus

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri masih lagi berunding dengan kerajaan pusat berhubung penyelesaian pembayaran royalti petroleum kepada negeri ini yang masih tertangguh.

Ahmad berkata kerajaan negeri menolak tawaran pembayaran royalti yang dibuat Kementerian Kewangan sebanyak RM1.686 bilion dan bertegas menuntut jumlah RM2.792 bilion bagi tempoh 2000 hingga 2009.

Berikutan itu, masih tidak ada kata sepakat dicapai berhubung pembayaran royalti minyak oleh Petronas itu menyebabkan rundingan mengenainya berlanjutan sehingga kini.

"Walaupun kerajaan negeri berhasrat untuk menyelesaikan perjanjian itu secepat mungkin, tetapi terdapat beberapa perkara dalam perjanjian itu yang masih tidak mendapat dipersetujui kedua-dua pihak.

"Saya tidak dapat menjelaskan secara terperinci tentang isu atau perkara baru yang dapat dipersetujui oleh kerana kedua-dua pihak masih lagi mengadakan rundingan dan ini mungkin akan menjejaskan perundingan yang sedang berlangsung," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Menjawab soalan lisan yang dikemukakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) mengenai perkembangan terkini proses pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan Terengganu, Ahmad berkata mesyuarat berkenaan wang royalti dimulakan pada 16 Sept 2008 antara tiga pihak iaitu kerajaan pusat, kerajaan negeri Terengganu dan Petronas.

"Saya telah jelaskan secara terperinci kepada Perdana Menteri ketika itu bahawa perlunya kerajaan pusat mengembalikan hak rakyat Terengganu mengikut perjanjian asal," katanya.

Katanya mesyuarat itu mengandungi tiga intipati, iaitu royalti dibayar terus oleh Petronas kepada kerajaan negeri; semua pembayaran yang telah dibuat oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan antara 2000 hingga 2009 adalah dianggap sebagai pembayaran royalti kepada Terengganu dan kerajaan negeri menarik balik saman terhadap Petronas.

Mesyuarat itu juga bersetuju untuk membincangkan komponen perbelanjaan yang telah dibuat oleh kerajaan persekutuan tetapi perlu dibayar balik oleh Kementerian Kewangan kepada kerajaan negeri.

Mesyuarat terakhir berlangsung di Kuala Terengganu pada 18 Ogos 2009 dan sehingga tarikh itu, Kementerian Kewangan memperincikan iaitu, sepanjang 2000 hingga Mac 2009, kementerian itu telah menerima sebanyak RM15.847 bilion daripada Petronas dan jumlah pengeluarannya sebanyak RM16.576 bilion.

"Perbincangan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan telah berjalan sekian lama dan pihak kementerian masih tidak berganjak dengan keputusan awal untuk membayar balik RM1.686 bilion sahaja.

"Sedangkan tuntutan kerajaan negeri pada ketika ini berjumlah RM2.792 bilion setelah ditolak perbelanjaan yang dibelanjakan di negeri Terengganu. Itulah senarai yang kita putuskan dan kita berharap rundingan dapat diselesaikan," katanya.

Tegasnya, selagi perkara itu tidak diselesaikan, kerajaan negeri tidak akan menandatangani sebarang perjanjian berhubung perkara itu.

Tiada aktiviti Pelancong Yang Tidak Bermoral Di Terengganu

Tidak ada sebarang aktiviti yang melanggar tatasusila dan adab ketimuran seperti berbogel ketika mandi atau berjemur dilakukan pelancong di pusat-pusat tumpuan pelancongan di negeri Terengganu setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohamad Adib (BN-Rantau Abang) berkata setakat ini kerajaan negeri tidak pernah menerima laporan berhubung perkara itu.

Jelasnya, larangan turut dikenakan kepada pengusaha chalet dan mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan untuk tidak sekali-kali menjual minuman keras kepada mereka yang beragama Islam.

Katanya walaupun sektor pelancongan diiktiraf sebagai sumber ekonomi penting negeri, kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan aktiviti sedemikian.

"Di hampir semua hotel dan chalet, kita bekalkan maklumat etika pemakaian termasuk kepada pelancong asing. Saya kerap juga ke Pulau Redang, tapi tak pernah jumpa pula (pelancong) yang mandi tak berbaju.

"Memang kita menganggap sektor pelancongan menyumbang kepada ekonomi kerajaan negeri namun kita tidak akan bertolak dengan keadaan ini, kita tak akan jadi seperti pulau-pulau di Thailand atau jadi pantai seperti di Bali," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) yang ingin tahu adakah kerajaan negeri memantau penjualan arak di kalangan orang Islam di tempat tumpuan pelancongan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam.

Syed Azman juga meminta penjelasan sekiranya pelancong diberi taklimat mengenai garis panduan pemakaian dan kesopanan memandangkan beliau mendapat maklumat ada dari kalangan pelancong yang mandi dan berjemur secara berbogel terutamanya di pulau-pulau peranginan.

Syed Azman sebelum itu bertanya mengenai polisi kerajaan negeri untuk membangun sektor pelancongan di Terengganu dan peruntukan untuk beberapa program utama yang dilaksanakan.

Menjelas lanjut, Za'abar berkata Terengganu antara negeri tertinggi dipilih sebagai destinasi pelancongan oleh pengunjung dari luar negara dan juga domestik.

Untuk itu, katanya, kerajaan negeri secara berterusan melaksanakan kerja-kerja membina dan menaik taraf kemudahan sedia ada di pusat tumpuan pelancongan seperti menyediakan bekalan air bersih di pulau-pulau, penyediakan jeti yang lebih sempurna.

Katanya kerajaan negeri juga menyediakan bajet yang banyak setiap tahun untuk pembangunan sektor pelancongan di negeri itu.

RM5 Juta Untuk Program Rempit Sifar Dan Jinak Rempit

Sebanyak RM5 juta diperuntukkan kerajaan negeri Terengganu untuk melaksanakan program 'rempit sifar' dan program 'jinak rempit' tahun depan bagi memastikan gejala sosial yang semakin membarah di kalangan remaja di negeri itu dibendung.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata peruntukan yang besar itu menggambarkan langkah proaktif kerajaan negeri dalam memastikan golongan belia di negeri itu tidak berterusan terlibat dengan kegiatan yang tidak berfaedah.

"Rempit ini masalah universal... tahun depan kita tambah peruntukan untuk program rempit sifar dan program jinak rempit kepada RM5 juta. Selain program yang akan dilaksanakan ini, kita juga mendapat kerjasama daripada pihak polis dari segi penguatkuasaan undang-undang.

"(Bagaimanapun) kita berpendapat masalah rempit ini boleh selesai dengan adanya kesedaran bersama. Kita melihat kepada program di peringkat awalan, bukan tengok mereka (menunggang) motosikal baru nak ambil tindakan. Kempen juga akan dibuat secara berterusan," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam.

Abdul Rahin berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) berhubung langkah kerajaan negeri menyelesaikan masalah sosial di kalangan belia negeri itu.

Namun menurut Mohd Abdul Wahid, langkah kerajaan menambah peruntukan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia, tidak menyelesaikan masalah sosial yang berlaku.

Abdul Rahin ketika menjawab soalan asal Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) mengenai peruntukan kerajaan dalam membangun modal insan belia, berkata kerajaan negeri telah merangka pelbagai aktiviti menerusi rancangan pembangunan belia 2009 -2013 untuk tujuan itu.

"Antaranya, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk pembinaan kompleks niaga belia di setiap kawasan parlimen seluruh negeri. Kerajaan negeri juga menyediakan pinjaman menerusi koperasi belia, mewujudkan kembali belia niaga tani dan ternak dan lain-lain.

"Dalam bajet 2010, Menteri Besar (Datuk Ahmad Said) telah umumkan RM30 juta kepada program pembangunan belia," tambahnya.

Polis tahan 71 orang dalam Ops Tapis Bersepadu di Besut

Polis menahan 71 orang termasuk dua kakitangan kerajaan dan dua pelajar sekolah yang disyaki terbabit dengan pelbagai kegiatan jenayah dalam Ops Tapis Bersepadu di sekitar daerah ini sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Supt. Kamaruddin Mohd. Zakaria berkata, semua mereka yang berumur antara 14 dan 54 tahun ditahan dalam operasi yang berakhir awal pagi ini bagi membantu siasatan pelbagai kes jenayah.

Katanya, dalam operasi yang diketuai Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Negeri, DSP Amran Ramli itu, polis turut merampas 34 biji pil kuda, sebilah pedang samurai dan sebuah komputer riba yang dipercayai dicuri.

Menurutnya, operasi itu disertai 272 anggota polis dari pelbagai unit dengan sasaran ditumpukan kepada usaha menangkap suspek dan remaja yang terbabit dengan dadah menerusi sekatan jalan serta serbuan ke lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

Wednesday, December 23, 2009

TAK BERBEKAS PUN....

Apabila Datuk Ahmad Said kata ‘saya tidak kisah’.
Beliau tidak kisah orang kritik beliau atau memang beliau tidak kisah soal kepentingan rakyat.


Keterangan gambar: Ahmad Said melawat kawasan diwakili Alias Abdullah beberapa bulan lalu.

Saya Nampak Ahmad Said ‘tak kisah’ialah apa yang orang mahu katakana mengenai beliau.
Hakikatnya Ahmad Said berani berdepan dan dalam gelanggang apa pun.
Baginya apa juga soalan yang seolah-olah mahu mencari kelemahan Kerajaan Negeri di bawah pimpinannya, Ahmad tidak gudar kerana sudah mempunyai jawapan tertentu untuk soalan itu.
“Saya tidak kisah kalau soalan diajukan sengaja untuk mencari kelemahan kerana kita telah mempunyai jawapan untuk disuarakan, tetapi jika mereka sendiri tidak datang ke sidang DUN sebelum ini...tidak datang ke pejabat...bagaimana nak dapatkan maklumat. Perkara ini ‘simple’ sahaja akhirnya ia akan terpercik ke muka sendiri dan menggambarkan kedangkalan kita,” katanya.

Mengulas mengenai soalan bertubi-tubi yang diajukan seolah-olah sebagai tanda protes secara terbuka oleh sebahagian bekas kumpulan ‘10 Budak Hitam’, Ahmad berkata, beliau tiada masalah dengan soalan berkenaan kerana sebagai ketua kerajaan beliau telah mengambil

Bukan hari pertama sahaja beliau ‘diserang’, tetapi pada hari yang kedua, orang yang sama, iaitu Alias Abdullah (Alor Limbat) terus menyerang beliau dengan soalan-soalan yang rasanya pelik untuk dikemukakan di persidangan kerana ia boleh diatasi melalui cara lain.

Ada orang mengatakan Alias mengadu sukar jumpa Menteri Besar. Tetapi apa yang jelas, ramai Adun yang datang bertemu Ahmad Said, lepas saja dan Setiausaha Sulit Kanan ataujuga Setiausaha Sulit memberikan keistimewaan untuk YB-YB melalui lane khas.

Kalaupun tidak ada bak kata Setiausaha Politik Menteri Besar yang masih ada di Madinah – Wan Mohd Nizam Wan – mereka boleh berjumpa dengan beliau. Mereka ini semuanya geng ‘wakil rakyat’.
“Äpa masalahnya?” tanya Ahmad Nizam yang akan pulang 26 Disember ini.

Hakikatnya, tidak payahlah Yang Berhormat itu cuba menunjukkan ‘kejantanan’di persidangan DUN kerana apa juga permohonan atau bantuan, Ahmad Said boleh pertimbangkan jika Alias benar ikhlas?
Kenapa tidak ada pada pre-council dan pertemuan-pertemuan lain dengan Menteri Besar?

Kalau sesiapa pun menjadi Menteri Besar tetapi mempunyai penyokong kerajaan yang tidak menunjukkan sikap ‘tidak menyokong kerajaan’, segalanya membuka ruang untuk pembangkang menghentam BN.
Sedangkan hakikatnya kini hanya empat lima kerat sahaja yang ‘tak setuju angin’dengan Mat Said. Yang lain sudah kembali ke pangkal jalan.

Apapaun, seperti biasa Ahmad Said tenang dan terbuka.
Baginya, perubahan yang berlaku pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini yang lebih rancak dan sedikit ‘panas’ berbanding sebelumnya sebagai satu petanda baik.

Menurut Ahmad Said, apa yang penting suasana kemeriahan persidangan berkenaan patut digunakan sebaik mungkin oleh ADUN bagi menyuarakan kehendak rakyat di kawasan masing-masing.

“Ini adalah satu petanda baik, walaupun kadang kala kita lihat cara soalan dikemukakan tidak seharusnya dilakukan oleh wakil rakyat kerajaan...seolah-olah sebagai parti pembangkang...tapi kita tidak kisah.

“Menerusi hujah mereka, kita boleh melihat bagaimana kematangan bukan sahaja dalam kalangan wakil rakyat, tetapi juga keintelektualan pihak kerajaan menjawab soalan serta keintelektualan pembangkang mengemukakan soalan,” katanya.

Jangan Terlalu Bergantung kepada Dana Khas

Abdul Wahid Endut (PAS-Wakaf Mempelam) semalam menegur sikap terlalu bergantung kerajaan Terengganu kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan atau turut dikenali sebagai royalti minyak sebagai hasil utama kerajaan negeri.


Katanya berdasarkan bajet yang diumumkan semalam, dana berkenaan berjumlah RM1.731 bilion atau 92 peratus mewakili sebahagian besar peruntukan yang disediakan oleh kerajaan Terengganu untuk Bajet 2010 yang keseluruhannya berjumlah RM1.881 bilion.

"Bakinya RM163 juta atau lapan peratus yang datang dari sumber kerajaan negeri sendiri menunjukkan ketidakupayaan kerajaan negeri menjana pendapatan sendiri.

"Sikap kebergantungan kerajaan negeri terhadap royalti ini tidak selamat, Menteri Besar sendiri akui sumber minyak tidak akan kekal selamanya dan ia juga tertakluk kepada harga pasaran dunia," katanya di sidang DUN Terengganu semalam.
Sehubungan itu, katanya pihak kerajaan perlu bijak mencari sumber lain yang mampu meningkatkan hasil tanpa terlalu mengharapkan dana dari kerajaan pusat.

Runtuh, Bocor & Tumbang - ANGKARA AHMAD SAID 2009?

1.Stadium Sultan Mizan - RUNTUH












2.Stadium Aquatik MBKT - BOCOR












3. Stadium Tertutup Gong Badak - BOCOR



4.Lapangan Terbang Sultan Mahmud – ATAP BOCOR








5.Masjid Kerteh- KUBAH RUNTUH













6.Menara Telekomunikasi Hulu Besut – TUMBANG














7.ITC Kemaman – BERANDA TINGKAT 8 
RUNTUH






8.Stesen Bas Kuala Berang – SENGKUAP KACA RUNTUH


Kurang Pengawasan Punca Kontraktor Buat Kerja Sambil Lewa


Kurang pengawasan oleh pegawai jabatan kerajaan yang berkenaan menyebabkan ramai kontraktor menjalankan kerja mereka secara sambil lewa sehingga mengakibatkan beberapa kejadian bumbung runtuh di Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata pengawasan semasa pelaksanaan projek perlu diberi tumpuan supaya kontraktor bekerja mengikut spesifikasi ditetapkan selain memudahkan pihak berkuasa mengesan kecuaian semasa kontraktor itu menjalankan projek.

"Tetapi kalau kita tengok kebanyakan tapak pembinaan kita, jarang kita temui pegawai yang mengawasi projek berkenaan.

"Mereka hanya hadir semasa nak serah projek, kemudian tidak datang-datang. Kalau pegawai berkenaan ada, dia boleh tegur sebarang kesilapan," katanya kepada pemberita mengulas kejadian bumbung kaca Terminal Pengangkutan Awam Kuala Berang yang sedang dalam pembinaan yang runtuh semalam menmgakibatkan tiga pekerja cedera.

Pada Jun lalu, bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak yang berharga RM300 juta yang siap dibina pada Mei tahun lepas untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-12, runtuh manakala pada 3 Okt lepas, struktur bumbung bahagian hadapan Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, yang sedang dibaiki runtuh menyebabkan serorang buruh Indonesia cedera.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, beliau masih menunggu laporan lengkap daripada Majlis Daerah Hulu Terengganu mengenai kejadian yang berlaku semalam.

GANTUNG SAMPAI MATI...



Burhanuddin Salleh (kiri) diiringi oleh anggota polis selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan mengedar dadah di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, semalam. - Gambar Utusan Malaysia

RM492.8 Juta Untuk Projek Perumahan Rakyat Di Terengganu

Kerajaan negeri Terengganu meluluskan pembinaan 28 projek perumahan rakyat (PPR) termiskin di seluruh negeri sejak April tahun lepas hingga November tahun ini dengan peruntukan mencecah RM492.8 juta.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata 15 daripada projek itu kini dalam proses pelaksanaan manakala 13 lagi masih dalam proses reka bentuk dengan jumlah keseluruhan 9,811 buah rumah.

"Dalam melaksanakan projek itu, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk melakukannya melalui sistem rundingan terus kerana berdasarkan pengalaman proses tender tujuh projek sebelum ini, mengambil masa yang lama sehingga setahun.

"Oleh itu kerajaan negeri mengambil keputusan untuk mempercepatkan projek pembinaan rumah rakyat ini dengan mengamalkan sistem rundingan terus supaya dapat disiapkan menjelang tahun 2013," katanya menjawab soalan Datuk Din Adam (BN-Bukit Besi) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.
Menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (BN-Ajil) mengenai kriteria pemilihan syarikat kontraktor dalam melaksanakan projek itu untuk mengelak kelewatan pembinaan seperti di kawasannya di PPR Batu 22 Ajil melibatkan 317 rumah dengan peruntukan lebih RM36 juta, Ahmad berkata ia dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk latar belakang syarikat, kedudukan kewangan serta pengalaman.

"Tetapi kadangakala biasalah kontraktor ini (masalah kelewatan)...macam orang meminang juga, semasa berkasih indah belaka tetapi apabila dah berkahwin baru nampak kekurangan.

"Semasa nak buat projek semua hebat belaka tetapi selepas itu (dapat projek) pelbagai masalah timbul. Kemudian beri pelbagai alasan termasuk hujan dan sebagainya," katanya.

Ahmad berkata untuk mengelak masalah kelewatan, kerajaan membuat pembayaran berdasarkan peringkat pembinaan dan kontraktor yang gagal melakukannya akan disingkir.

Ahmad Said cuba dimalukan oleh 2 DUN

Daripada Rakyat Malaysia (hambali1.blogspot.com)




KETERANGAN GAMBAR - Dulu bersama kini tidak lagi...tinggal empat sahaja...ada yang meminta maaf secara terbuka dan ada yang sudah boleh duduk semeja dengan Mat Said. Pada barisan depan yang masih belum bersama Mat Said, dua di tengah dan dua di belakang (sebelah kiri).

Daripada sepuluh, hanya ada empat – seorang melepaskan ‘bom’semalam dan tiga lagi membisu.

Itulah kedudukan terkini ‘10 Budak Hitam VS Mat Said’ kerana enam pemain 10 Budak Hitam sudah

bertukar gelanggang bermain dengan berkaptenkan Mat Said.

Malang sedikit ada seorang pemain yang sepatutnya bermain untuk memenangkan pasukan pimpinan Mat

Said -- semalam kerana sebab-sebabnya sendiri - sumbat gol sendiri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Memburukkan keadaan pemain berkenaan adalah kesayangan pengurus pasukan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Malah, gajinya dibayar oleh Hishamuddin.

Apakah pemain ini (Datuk Din Adam) diarah atau dibayar oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu bagi ‘menyumbat gol sendiri?”. Inilah yang menjadi pertanyaan.

Apakah pengurus pasukan UMNO Terengganu itu sengaja kacau kapten Atau memang pemain ini tidak mampu dikawal oleh Hishamuddin sebagai pengurus pasukan?

Berikutan itu, Ahmad Said Said pada sidang DUN ketika soal jawab mengingatkan pemain-main UMNO (Barisan Nasional) supaya “Jangan jadikan dewan (Sidang Dun) ini untuk membuat sesuatu tuduhan yang tidak menentu hanya hendak melepaskan perasaan setelah menyembunyikan diri sekian lama.

“Muncul dengan ledakan-ledakan ‘bom’ yang tidak sepatutnya digugurkan di tempat yang berlainan yang sepatut digugurkan. Ini yang saya katakan. Siapa dendam siapa?,” ujarnya di Wisma Darul Iman, 21 Disember 2009, semalam

Beliau turut menyelar sikap Adun-adun BN yang pentingkan diri agar mengambil sikap muhasabah diri dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Malah, Ahmad turut menyifatkan Adun BN Bukit Besi” itu yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri sebagai ‘tidak cerdik’ ketika meminta penjelasannya.

“Saya rasa Adun Bukit Besi ini dia (Din) pun jadi Exco juga dahulu. Jadi janganlah tunjuk ketidak-cerdikan (bodoh) kita (Adun) pada dewan (Sidang Dun) ini,” jelasnya.

Laporan-laporan oleh laman web dan blog semalam menyebut Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi pembentangan bajet 2010 yang bermula semalam, menunjukkan ‘belang’ sebenar  Ahli-ahli DUN ’10 Budak Hitam’ yang kononnya telah berdamai dengan Menteri Besar.

Umpama ‘terkejut dari tidur’ mereka telah menamatkan kempen ‘protes senyap’ dan kembali bersuara dengan mengambil bahagian dalam sidang DUN kali ini.
Hampir keseluruhan mereka menyertai perbahasan serta mengemukakan soalan lisan di dewan yang mulia itu.

Namun ia agak mengejutkan dan kontra dengan pengakuan Hishamudin yang mengatakan perpaduan dalam Umno Terengganu telah mula terjalin.

Kumpulan Adun ‘10 budak hitam’ menggunakan peluang bersuara  ‘menyerang’ Ahmad Said

Adun Alor Limbat, Alias Abdullah membidas kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang lebih mengutamakan kepentingan Zoo Bikit Takal, di Kemaman dari penyediaan Infrastruktur kepada rakyat di negeri ini.

Katanya, masalah rakyat yang memerlukan Projek Monsoon Drain daripada Baruh Muring Tasek ke Padang Leban dan Sungai Bukit Payong masih belum dilaksanakan.

“Masalah infrastruktur yang tidak sempurna dan ditambah pula dengan banjir yang berlaku setiap tahun. Saya selalu bangkitkan dalam dewan (Dun) ini supaya kerajaan mempercepatkan pengambilan-balik tanah.

“Apakah tidak ada langsung keutamaan kerajaan dalam pembangunan untuk melaksanakan projek ini. Yang mana lebih penting Zoo Bukit Takal di Kemaman atau Infrastruktur kepada rakyat,” soalnya ketika mengambil bahagian dalam soalan lisan di dewan tersebut.

Bahkan, beliau turut menyifatkan Ahmad Said cuba mengelirukan dewan (Sidang DUN) kononnya projek (Monsoon Drain) tersebut telah diluluskan sebelum ini.

“Semasa saya menjadi Timbalan (Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan neger) beliau (Ahmad) memberitahu satu kelulusan telah diberikan untuk melaksanakan projek tersebut.

“Jadi apa yang hendak saya maklumkan kepada dewan (Sidang Dun) supaya dewan ini tidak diberi ‘salah arah’ (maklumat).

“Ianya (Projek Monsun Drain) tidak berlaku sama sekali dan tidak ada sebarang kelulusan sebelum ini untuk melaksanakan projek itu,” jelasnya ketika membidas jawapan dari MB tersebut.

Soalan asalnya, Alias bertanyakan bila Projek Monsoon Drain daripada Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong akan dilaksanakan?

Ahmad Said ketika menjawab soalan tersebut menjelaskan pada dewan (Sidang Dun) bahawa satu kelulusan projek telah dibuat dan kerajaan prihatin tentang masalah tersebut.

“Sebab itu, saya sebut sejarahnya (Alias) tadi. Saya telah bina dan itu menggambarkan kerajaan prihatin tentang masalah ini.”tegs Ahmad Said.

Dalam pada itu, Din Adam meimbulkan isu beliau tidak tahu bahawa akan ada perlombangan semula di Bukit Besi.

RM21 Juta Untuk Baiki Jalan Rosak Akibat Banjir

Kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan RM21 juta bagi membaiki infrastruktur terutama jalan negeri yang rosak akibat banjir di negeri ini baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata peruntukan itu akan disalur melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dijangka memulakan kerja pembaikan itu awal tahun depan selepas musim tengkujuh.

Beliau berkata peruntukan RM21 juta itu akan diuruskan oleh JKR Terengganu yang melibatkan jalan negeri, dan tidak termasuk jalan persekutuan kerana ia akan dibuat melalui peruntukan persekutuan sebanyak RM35 juta.

"Manakala untuk jalan-jalan lain, kerja penurapan kembali jalan dan pembaikian jalan akan dilakukan oleh majlis-majlis daerah melalui peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM20 juta.

"Ia akan dijalankan selepas tahun baru kerana kita tahu kalau penurapan dibuat semasa musim hujan, tidak sampai dua hari jalan ini akan hancur semula," katanya ketika menjawab soalan Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam.
Ahmad berkata kerajaan negeri akan melaksanakan tiga langkah untuk mengelakkan negeri ini terus dibelenggu masalah banjir buruk setiap kali musim tengkujuh, antaranya membuat kajian menyeluruh bagi sistem perparitan di negeri ini dan membaiki sistem perparitan di kawasan yang sering dinaiki air.

Beliau berkata JKR juga akan menaikkan aras jalan yang sering dinaiki air dan menambah longkang konkrit untuk memudah pengaliran air di kawasan berkenaan serta mengenapasti laluan dan saiz longkang yang bersesuaian melalui kajian terperinci.

"Walaupun usaha ini akan dilakukan, kerajaan tidak dapat memberi jaminan air tidak naik pada masa akan datang kerana ia bergantung pada kadar lebatnya hujan yang turun dan pembangunan di kawasan berkenaan pada masa depan," katanya menjawab soalan Rosli Othman (BN-Kemasik).

Beliau berkata ini kerana kebanyakan projek perumahan adalah tanah berpaya yang terpaksa ditambun dan keadaan itu menyebabkan kawasan tadahan air semakin berkurang.

Keadaan menjadi semakin buruk dengan sikap pemilik tanah yang sesuka hati menambun tanah tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan, katanya.

Ahmad berkata berikutan itu kerajaan negeri akan menetapkan satu garis panduan bagi pemilik yang ingin menambun tanah bagi membina rumah untuk mengelakkan banjir berlaku setiap kali musim tengkujuh.

Kerajaan Terengganu Ditegur Sering Amal Projek 'Ad Hoc'

Kerajaan negeri Terengganu diminta menyediakan pelan yang lebih tersusun bagi setiap projek pembangunan yang ingin dilaksanakan di negeri ini berbanding mengambil pendekatan secara 'ad hoc'.

Alias Abdullah (BN-Alor Limbat) berkata kebanyakan projek dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Said, dibuat tanpa perancangan atau 'blue print' khusus.

Mengambil contoh peruntukan RM100 juta dalam bajet 2009 untuk projek penanaman kelapa sawit di keliling rumah dalam usaha memberi pendapatan tambahan kepada rakyat yang sehingga kini masih belum terlaksana, beliau berkata perkara itu tentu sekali memberi kesan negatif kepada imej kerajaan negeri.

"Kalau setakat mewar-warkan saja, tanpa perlaksanaan, ia akan menyebabkan rakyat mempunyai tanggapan buruk kepada kerajaan. Saya sendiri selalu kena perli dengan penduduk kawasan saya.

"Bila jalan-jalan di kampung ada penduduk tanya 'susah tak YB jumpa rumah saya, maklumlah rumah saya ni dikelilingi pokok kelapa sawit," katanya ketika sesi perbahasan pembentangan bajet 2010 Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam.
Katanya berdasarkan perancangan berkenaan, penduduk miskin akan diberi 15 hingga 20 benih kelapa sawit untuk ditanam di kawasan keliling rumah namun setakat ini status projek itu seolah-olah tergantung tanpa sebarang perlaksanaan.

Sudah bebas taun – Dr Ab Rahman

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr Abd Rahman Mohtar berkata sebanyak 187 kes dengan satu kematian dilapor sejak wabak taun dikesan di Terengganu pada 10 Nov hingga negeri itu disah bebas taun pada 9 Disember.

Beliau berkata sebanyak 159 kes dikesan di Kuala Terengganu, Marang (14 kes), Hulu Terengganu dan Dungun masing-masing lima kes serta masing-masing dua kes di Kemaman dan Setiu.

Dr Abd Rahman berkata sepanjang tempoh itu kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan negeri telah mengambil langkah pengawasan yang ketat untuk mengelak wabak itu merebak termasuk menutup premis kedai makan, kilang ais dan premis keropok lekor.

"Kriteria penutupan premis makanan dan keropok lekor bukan 100 peratus bergantung terhadap keputusan positif atau negatif (taun), tetapi jika Jabatan Kesihatan tidak puas hati dengan cara pengendalian pemakanan, arahan tutup dikeluarkan untuk mengelak perebakan wabak dan keracunan makanan.

"Ia hanya dibuka semula selepas jabatan merasa yakin premis mereka bersih," katanya," katanya menjawab soalan di sidang DUN Terengganu semalam.

Beliau berkata secara hipotesis, Jabatan Kesihatan mengesyaki wabak taun itu berpunca daripada pendaratan bot nelayan di Pelabuhan Chendering yang dipercayai mempunyai pembawa kuman taun di kalangan awak-awak yang berasal dari selatan Thailand.

Terengganu Disaran Tubuh Yayasan Khusus Basmi Kemiskinan

Kerajaan Terengganu diminta menubuhkan sebuah perbadanan atau yayasan khusus untuk menyelesaikan secara mutlak masalah kemiskinan di negeri itu yang telah berlarutan sejak sekian lama.


Ketua pembangkang Datuk Harun Taib (Pas-Manir) berkata pada masa ini terdapat terlalu banyak agensi kerajaan yang bertanggungjawab membasmi kemiskinan tegar di Terengganu sehingga berlaku kecelaruan tugas sedangkan bilangan rakyat miskin di negeri itu masih lagi ramai.

Ketika membahaskan bajet negeri 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selasa, beliau berkata jumlah penduduk miskin di negeri itu adalah yang paling tinggi di Semenanjung.

Katanya setiap tahun kerajaan negeri memperuntukkan jumlah yang banyak untuk membasmi kemiskinan, namun masalah itu tidak pernah selesai sekaligus.

"Apa kata kita wujudkan satu perbadanan atau yayasan, serah semua sekali kepada mereka untuk selesaikan soal ini, daripada buat bancian di kampung-kampung sehinggalah usaha membantu mereka.

"Ia tidak melibatkan atau menyusahkan banyak pihak seperti yang berlaku hari ini. Mungkin cara ini akan libatkan peruntukan yang banyak sekaligus namun ia lebih fokus dan tidak perlu diulang benda yang sama tiap-tiap tahun," kata Harun.

Katanya pendekatan lebih fokus juga perlu diguna pakai untuk isu lain seperti meningkatkan sektor pertanian dan mengurangkan kes jenayah.

"Tiap-tiap tahun kita berhadapan dengan masalah sama, kenapa tidak kita fokus dan selesaikan satu persatu masalah-masalah ini, tahun depan kita sudah boleh tumpu kepada perkara lain pula," katanya.

Persidangan dewan disambung pagi ini.
.

Tuesday, December 22, 2009

Empat cedera bumbung kaca terminal bas runtuh

Tiga buruh rakyat Bangladesh dan seorang buruh tempatan cedera apabila penghadang cahaya kaca di terminal bas baru Kuala Berang yang sedang dalam pembinaan runtuh semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 3.05 petang itu, difahamkan terdapat 15 pekerja di kawasan berkenaan dengan dua daripadanya sedang memasang kaca sebagai bumbung penghadang cahaya.


Kejadian itu menyebabkan dua buruh yang berada di atas bumbung dan dua lagi yang berada di bawah cedera ringan di kaki dan tangan akibat terkena serpihan kaca itu.

Penyelia tapak pembinaaan berkenaan, Zahir Hariri berkata, kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Hulu Terengganu dan dirawat sebagai pesakit luar.

"Ketika kejadian saya berada di pejabat tapak pembinaan dan saya terdengar bunyi kuat dari arah terminal itu. Apabila keluar, saya lihat kaca yang dijadikan bumbung penghadang cahaya jatuh dan pecah,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata kerja pemasangan kaca yang dimulakan sejak seminggu lepas itu hampir 80 peratus siap.

Kejadian dipercayai berlaku disebabkan penyambungan panel yang tidak sempurna pada penghadang cahaya itu, katanya.

Terminal bas berharga RM4.2 juta yang mula dibina pada Mac 2008 dan sepatutnya siap awal tahun depan itu merupakan projek Majlis Daerah Hulu Terengganu.

Sumber: Utusan Online

Penyokong Kerajaan ‘hangatkan’ sidang DUN

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang sebelum ini disifatkan agak lesu, hari ini bertukar rancak dan sekali sekala keadaan menjadi agak panas dengan soalan yang bertubi-tubi daripada penyokong kerajaan sendiri.


Ketika sesi soal jawab hampir satu jam pada hari pertama persidangan, beberapa soalan yang diajukan kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Said, menyebabkan keadaan sedikit tegang dan kadangkala sindir-menyindir kedengaran dalam dewan melibatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sendiri.

Sesi soal jawab pagi ini dimulakan dengan soalan daripada Din Adam (BN-Bukit Besi) yang mahukan penjelasan berhubung nama syarikat pengendali bijih besi di Bukit Besi dan manfaat kepada rakyat tempatan.

Menjawab soalan itu, Ahmad berkata kerajaan telah meluluskan pelantikan tiga syarikat untuk melakukan perlombongan bijih besi di Bukit Besi yang terletak di Dungun.

Beliau berkata dengan pembukaan semula kawasan perlombongan di kawasan itu, ia dijangka mampu memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya 50 peratus daripada pekerja yang diupah seperti mana yang disyaratkan.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Din minta penjelasan tentang nama syarikat yang dilantik dan kemampuannya selain mempertikaikan sama ada benar syarikat tersebut melantik 50 peratus rakyat Terengganu menjadi tenaga kerja situ.

"Saya hanya tahu mengenai pembukaan kawasan lombong itu melalui pekerja kawasan itu. Saya orang Bukit Besi, duduk di Bukit Besi dan menjadi wakil rakyat Bukit Besi tetapi tidak tahu menahu tentang perkara tersebut," kata Din.

Ahmad kemudian membalas, kerajaan Terengganu bercadang untuk membuka semula kawasan perlombongan di kawasan itu setelah perunding yang dilantik mengesahkan masih terdapat lima juta metrik tan bijih besi di situ.

Untuk itu, katanya, kerajaan negeri telah melantik tiga syarikat untuk mengendalikan pajakan selama lima tahun iaitu TBM Minerals Sdn Bhd, Cahaya Ikhtiar Sdn Bhd, dan Wahaba Wangi Shd Bhd yang kesemuanya beralamat di Terengganu.

Ahmad kemudian menyindir Din dengan menyatakan wakil rakyat itu kerap tidak hadir pada persidangan dewan dan jarang menjejakkan kaki di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menyebabkannya tidak mengetahui pembangunan di kawasan sendiri.

Pertikaman lidah turut melibatkan Alias Abdullah (BN-Alur Limbat) apabila beliau mempertikaikan jawapan yang diberikan oleh Ahmad mengenai peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan untuk melaksanakan projek perparitan Baruh Muring Tasek-Padang Leban-Sungai Bukit Payong.

Ketika ditemui di luar dewan, Ahmad berkata beliau melihat perubahan pada persidangan kali ini sebagai satu petanda baik.

"Ini satu petanda baik walaupun kadang kala kita lihat cara soalan dikemukakan tidak seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan... seolah-olah sebagai parti pembangkang... tapi kita tidak kisah.

"Kita boleh melihat bagaimana kematangan bukan sahaja di kalangan wakil rakyat tetapi juga keintelektualan pihak kerajaan menjawab soalan. Saya tidak ada masalah," katanya.

DUN Terengganu mempunyai 24 anggota BN dan lapan daripada Pas.

Sumber: BERNAMA

RM1.881 Bilion Bajet Terengganu Untuk 2010

Dana Khas Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.731 bilion, mewakili sebahagian besar peruntukan yang disediakan oleh kerajaan Terengganu untuk Bajet 2010 yang keseluruhannya berjumlah RM1.881 bilion.

Menteri Besar Terenganu Datuk Ahmad Said berkata jumlah dana yang diunjur daripada sumber kerajaan

pusat, termasuk royalti petroleum itu mewakili 92 peratus daripada peruntukan bajet tahun hadapan manakala bakinya RM163 juta atau lapan peratus, daripada sumber kerajaan negeri sendiri.

Ahmad berkata selain menerima tempias kelembapan ekonomi global, kerajaan negeri sebagai penerima Dana Khas Kerajaan Persekutuan atau royalti minyak, juga berdepan cabaran keadaan harga bahan api itu yang tidak menentu di pasaran dunia dan sumber yang tidak kekal.

Oleh itu, Ahmad ketika membentangkan Bajet 2010 bertema "Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan", pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam, berkata kerajaan negeri akan meneruskan dasar pengurusan bajet yang seimbang meskipun masih menghadapi kekangan hasil.

"Kerajaan akan memastikan perbelanjaan dilakukan secara lebih berhemah dan melaksanakan langkah jimat cermat tanpa menjejaskan prestasi, produktiviti dan kualiti perkhidmatan penjawat awam serta projek yang telah dirancang dilaksanakan mengikut jadual," katanya.

Bagaimanapun katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Terengganu dijangka bertambah baik daripada tahun sebelumnya dan berada pada paras 1.8 peratus hingga 2.6 peratus pada 2010 jika dilihat kepada tanda-tanda pemulihan ekonomi negara.

Berhubung kedudukan kewangan negeri, beliau menjelaskan Akaun Hasil Disatukan telah mengalami defisit sebanyak RM424.96 juta pada tahun 2008 berbanding defisit RM278.42 juta pada tahun 2007, antara faktor utamanya ialah disebabkan kerajaan tidak menerima sepenuhnya pemberian dana khas berkenaan seperrti anggaran dalam tahun 2007 dan 2008.

"Kekurangan dalam Akaun Hasil Disatukan ini menyebabkan baki kumpulan wang disatukan negeri susut daripada RM492.35 juta tahun 2007 kepada RM404.65 juta pada 31 Dis 2008.

Bagaimanapun, kerajaan berharap defisit dalam akaun ini akan dapat dikurangkan secara berperingkat dengan penerimaan dana khas daripada kerajaan pusat," katanya.

Kedudukan Kumpulan Wang Pembangunan pula menjadi lebih baik kerana baki defisit RM79.16 juta pada tahun 2007 telah dapat dipulihkan menjadi positif RM28.62 juta pada 31 Dis 2008 setelah mengambil kira RM713.35 juta perbelanjaan pembangunan pada tahun tersebut, katanya.

"Kumpulan Wang Bekalan Air juga mengekalkan baki positif tetapi menurun sedikit daripada RM134.72 juta pada tahun 2007 kepada RM128.43 juta pada 31 Dis 2008.

Penurunan ini disebabkan perbelanjaan pembangunan projek bekalan air yang meningkat kepada RM86.52 juta pada 2008 berbanding RM46.92 juta pada 2007," katanya.

Beliau berkata daripada jumlah RM1.881 bilion yang diperuntukkan untuk membiayai perbelanjaan mengurus, sebanyak RM64.40 juta adalah untuk Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.817 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.

Menerusi perbelanjaan bekalan katanya, sebanyak RM1.401 bilion untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap, emolumen (RM208.77 juta), perkhidmatan dan bekalan (RM168.99 juta), aset negeri (RM37.27 juta) dan RM1.16 juta untuk perbelanjaan lain.

Beliau berkata hala tuju Rancangan Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013 ialah dengan memberi penekanan terhadap sektor yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi di samping membasmi kemiskinan.

Empat sektor yang diberi tumpuan ialah pendidikan dan pembangunan sumber manusia, pertanian dan asas tani, pelancongan serta industri, perdagangan, perkhidmatan dan teknologi maklumat dan komunikasi.

"Bajet kali ini juga tertumpu trehadap tiga strategi utama iaitu membangunkan modal insan berkualiti, menjamin kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri," katanya.

Redah gelora, hujan lebat demi e-Book

Demi kemajuan pendidikan anak bangsa dan pelajaran daerah serta negeri ini, sekumpulan pegawai pelajaran termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokthar sanggup meredah gelora menaiki bot ke Pulau Perhentian.

A Rahman bersama Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Baharuddin Ibrahim dan wakil Jabatan Pelajaran Negeri serta Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut ke pulau berkenaan untuk mengagihkan komputer e-Book kepada murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Perhentian.

Perjalanan ke Pulau Perhentian menaiki bot laju Pejabat Daerah Besut penuh cabaran kerana keadaan laut yang bergelora menyebabkan bot yang dinaiki A Rahman dan rombongan seakan-akan terlambung ke udara.

Namun, itu semua tidak mematahkan semangat semua rombongan meneruskan perjalanan ke pulau itu yang memakan masa kira-kira 35 minit.

A Rahman berkata, komputer e-Book perlu diagihkan juga kepada 22 murid sekolah itu kerana kesuntukan masa sebelum sesi persekolahan baru bermula awal tahun depan.

A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, sekolah berkenaan adalah sekolah istimewa dalam DUN Kuala Besut kerana satu-satunya sekolah di DUN itu menerima e-Book yang diserahkan khusus di sekolah berkenaan.

Semua sekolah kebang-saan lain menerima e-Book serentak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut beberapa bulan lalu.

“Pengagihan e-Book itudiharap dapat mendorong lebih ramai murid memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun hadapan selaras wawasan menjadikan Besut Bumi Ulul Albab,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Abd Halim Hassan dan guru besar, Kamaruddin Aziz

A Rahman berkata, kerajaan berharap e-Book dapat mengekalkan Besut dan negeri ini sebagai juara UPSR pada 2010 kelak.

Selepas majlis penyerahan e-Book, A Rahman melakukan lawatan ke projek pembinaan sebuah bangunan dua tingkat me-ngandungi lapan unit rumah guru dan kakitangan sekolah berhampiran SK Pulau Perhentian yang dijangka siap pertengahan tahun depan.

“Apabila kuartes ini siap, diharap semua guru dapat tinggal dalam keadaan selesa dan memberi tumpuan terhadap kecemerlangan pelajaran murid di pulau,” katanya.

Dalam perjalanan pulang, rombongan A Rahman sekali lagi meredah gelombang tetapi basah kuyup kerana hujan lebat sebelum berlabuh di Jeti Kuala Besut.

RM5 juta bantu 1,000 peserta tercicir RMK-9

Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta pada awal tahun depan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) bagi membantu 1,000 peserta yang tidak mendapat bantuan ataupun tercicir dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).

Pengarah YPK, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, peruntukan itu bagi memberi peluang yang sama adil kepada golongan keluarga miskin dalam proses pembangunan keluarga.

“Jika sebelum ini dalam RMK-9, sebanyak 3,000 peserta telah diberi bantuan dengan peruntukan RM25 juta tetapi dengan tambahan peruntukan RM5 juta ini, sekurang-kurangnya boleh mengurangkan lagi jumlah miskin tegar di negeri ini.

“Kami jangkakan setiap bantuan yang telah diberi ini mampu menjadi pembakar semangat kepada penerima bantuan supaya berusaha keluar daripada kepompong kemiskinan asal,” katanya.

Menurutnya, penerima bantuan tidak akan dibiarkan tanpa pemantauan pihak YPK kerana bimbang mereka menyalahgunakan wang bantuan itu bagi tujuan tertentu.

“Matlamat utama YPK memberi bantuan ini adalah sebagai modal memulakan perniagaan secara kecil-kecilan seperti membeli mesin dan peralatan yang boleh mempercepatkan penghasilan produk,” katanya.

Sementara itu, Shafaruddin berkata, pada awal tahun depan, program berbentuk motivasi akan diteruskan bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menyertainya.

“Antara program yang akan diberi penekanan adalah Program Taklif iaitu penyerahan tanggungjawab ibu bapa kepada anak apabila sudah mencapai akil baligh kerana pada tahap umur itu, pelbagai cabaran akan dilalui.

“YPK telah mengenal pasti 32 sekolah menengah di negeri ini bagi menjayakan program untuk pelajar berumur 15 tahun ke atas.

“Kami menyasarkan lingkungan umur itu kerana ia lebih sesuai dan tempoh kematangan juga berbeza berikutan cabaran pada waktu berkenaan lebih banyak serta memerlukan pemikiran rasional,” katanya.

Monday, December 21, 2009

Sidang DUN Terengganu tiga hari

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bermula hari ini selama tiga hari.


Sidang kali ini membabitkan pembentangan Bajet 2010 yang akan dilakukan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Bajet kali ini dijangka akan menekankan kebajikan rakyat selain fokus utama pembangunan ialah sektor pelancongan.

Pembangunan Tasik Kenyir dijangka akan diperkatakan dengan mendalam melalui Bajet kali ini selain menekankan kepentingan membasmi kemiskinan dan bantuan pendidikan.

Pembentangan dijangka dimulakan kira-kira jam 10.40 pagi ini dan perbahasan dijangka bermula selepas itu selama tiga hari sebelum penggulungan dijangka dibuat, Rabu ini.

Kesemua wakil Barisan Nasional (BN) dan pembangkang dijangka hadir.
Satu diskusi Bajet akan turut diadakan petang ini antara Menteri Besar dan wakil media tempatan.

Polis Terengganu Dampingi Rakyat Melalui Laman Web

Polis Terengganu kini mempunyai laman web sendiri dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala dengan masyarakat setempat bagi membanteras masalah jenayah dan sosial di negeri itu.

Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata melalui laman web itu, pihaknya akan dapat berinteraksi dengan orang ramai mengenai apa juga yang diperlukan, khususnya kerjasama dengan pihak polis.


"Laman web itu lebih kepada maklumat mengenai kegiatan kontinjen polis Terengganu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di Kuala Terengganu semalm.
Seramai 246 orang pegawai, anggota polis serta kakitangan awam menerima anugerah pada majlis itu.

Katanya orang ramai boleh menghubungi laman web IPK Terengganu melalui alamat www.polistrg.gov.my.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri berkata pihaknya meletakkan sasaran untuk mengurangkan kadar jenayah sebanyak 50 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya sasaran itu berdasarkan penurunan kadar jenayah sebanyak 10 peratus setiap tahun di negeri itu.

"Sasaran pencegahan jenayah untuk tahun depan tertumpu kepada golongan remaja dan pelajar kerana kadar jenayah di kalangan golongan itu begitu tinggi di negeri ini," katanya.

Katanya sebagai salah satu aktiviti mendekatkan diri dengan masyarakat, polis negeri akan mengadakan persembahan hiburan setiap hujung bulan di Dataran Batu Buruk, di sini serta mengadakan pameran.

Amaran Angin Kencang, Laut Bergelora Di Pantai Timur Semenanjung

Jabatan Meteorologi semalam mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang melanda perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur), Condore, Layang-Layang dan Reef North yang dijangka berterusan sehingga Khamis, 24 Disember ini.

Jabatan itu dalam kenyataannya turut berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50km sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di perairan berkenaan.

Sehubungan itu kawasan Pantai Timur Semenanjung (Kelantan, Terengganu dan Pahang) terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut.

Keadaan ini berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti rekreasi laut dan sukan laut, kata kenyataan itu.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang Timur Laut kategori pertama dengan kelajuan 40-50km sejam, ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter di perairan Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat, Kudat dan Sandakan), Reef South, Bunguran dan Palawan yang dijangka berterusan sehingga Khamis ini.

Terengganu Bangunkan Taman Plastik Fasa Kedua

Kerajaan negeri Terengganu sedang membangunkan fasa kedua taman plastik seluas kira-kira 40 hektar melibatkan kos RM20 juta di Teluk Kalong, Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Awang Tera berkata, projek itu dibangunkan dengan kerjasama Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang menawarkan lot-lot industri yang berasaskan minyak dan gas.

"Asas utama taman plastik itu adalah dengan menyediakan pelbagai bahan gas, minyak dan kimia yang menjadi bahan utama barangan berasaskan plastik, kepada pelabur asing.

"Kita jangkakan pelabur tertarik dengan taman ini disebabkan penyediaan kemudahan dibuat oleh Petronas yang kedudukannya bersebelahan dengan taman berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perancangan dan Pelaksanaan ECER anjuran Gabungan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) di semalam.


Turut hadir pada majlis itu Pengarah Eksekutif GABEM, Datuk Rahman Othman.

Mohamad berkata, sebelum ini kerajaan telah membuka fasa pertama tapak taman plastik seumpama itu di kawasan seluas 40 hektar dan sehingga kini semuanya sudah dipenuhi pelabur.

"Kita yakin, pelabur minat merebut peluang melabur di situ disebabkan mempunyai kelengkapan seperti pelabuhan, selain menjimatkan kos pengangkutan apabila semua bahan keperluan seperti minyak, gas dan bahan kimia dibekalkan oleh Petronas," katanya.

Sementara itu, mengenai seminar yang diadakan pada Ahad, beliau berkata, antara lain ia bertujuan meningkatkan pemahaman masyarakat terutama pengusaha bumiputera terhadap projek-projek yang dilancarkan melalui ECER.

"Kita merasakan masih ramai kalangan pengusaha bumiputera yang tidak memahami program yang telah dirancangkan oleh ECER. Kita mengadakan program ini bagi menyedarkan mereka agar turut terlibat dalam projek-projek yang dirancangkan," katanya.

Sunday, December 20, 2009

Lapan Pelajar Terengganu Jalani Pembedahan Mata Esok

Sekumpulan lapan pelajar Terengganu yang menghadapi masalah penglihatan akan menjalani pembedahan mata di Hospital Mata Tun Husein Onn di Kuala Lumpur esok.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata mereka adalah di kalangan 20 orang yang dikenal pasti berpotensi untuk dipulihkan penglihatan dengan semua perbelanjaan akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri juga akan menanggung kos penginapan keluarga yang menemani pelajar yang akan menjalani pembedahan mata ini selain turut menanggung kos rawatan di luar negara sekiranya pelajar-pelajar ini perlu dirujuk ke sana," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat bayi berusia sembilan bulan yang menghidap pelbagai penyakit kronik, Mohd Idhan Izuan Zamri, di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit dekat Kuala Terengganu semalam.
Ahmad berkata kerajaan negeri juga menimbang untuk membantu kos rawatan Mohd Idhan Izuan yang menghidap penyakit berkaitan saluran darah, saluran pernafasan sempit dan jatung berlubang menerusi saluran seperti Tabung Darul Iman.

Ibu kanak-kanak itu Nor Azura Jusoh, 26, berkata Mohd Idhan Izuan telah dua kali menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), kali pertama semasa bayi itu berumur 27 hari untuk memulihkan saluran darah manakala pembedahan kedua semasa berumur empat bulan untuk rawatan saluran pernafasan.

"Pembedahan ketiga dijadualkan pada bulan Disember tahun depan namum kalau boleh saya harap ia dapat dipercepatkan memandangkan keadaan anak saya yang semakin lemah sekarang ini," katanya.

JKM Sedia Hadapi Kemungkinan Banjir Melanda Terengganu

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Terengganu telah membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini berikutan keadaan cuaca buruk sejak beberapa hari lepas.

Pengarah JKM negeri Zulhami Omar berkata segala keperluan untuk mangsa banjir seperti makanan, selimut, pakaian dan tikar sudahpun dihantar ke pangkalan hadapan sejak beberapa hari lepas.

"Kita buat persiapan sama seperti sebelum ini yang menyaksikan banjir musim tengkujuh melanda Terengganu sebanyak tiga kali bermula awal November lalu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Sabtu.

Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat peringkat kuning di beberapa daerah di Terengganu bermula semalam akan berterusan sehingga akhir bulan ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan berkenaan pada Jumaat, keadaan itu berkemungkinan menyebabkan berlaku banjir terutama di kawasan rendah dan tebing sungai.

Zulhami berkata tahun ini, JKM telah membelanjakan kira-kira RM1.2 juta untuk membeli makanan dan peralatan untuk mangsa-mangsa banjir di Terengganu.

Beliau berkata banjir tahun ini agak buruk kerana bencana alam itu melibatkan semua daerah dan melibatkan pemindahan lebih 10,000 penduduk.

Zulhami berkata kerajaan juga telah mengagihkan bantuan ihsan sebanyak RM500 untuk setiap keluarga mangsa banjir tersebut bagi meringankan beban mereka.

"Untuk pendahuluan, kerajaan beri sebanyak RM300 dan bakinya akan dibayar kemudian," katanya.

Angin Kencang Dan Laut Bergelora Sehingga Rabu

Angin kencang dan laut bergelora yang berlaku di perairan Condore, Layang-Layang dan Reef North dijangka berterusan sehingga Rabu.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan di sini hari Sabtu berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Keadaan yang sama turut berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur), Labuan, Sabah (Pantai Barat dan Kudat) dan Palawan yang dijangka berterusan sehingga Rabu.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 km sejam dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Selain daripada itu, kawasan pantai di Pantai Timur Semenanjung (Kelantan, Terengganu dan Pahang) terdedah dengan kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga Rabu.

Ribut petir yang berlaku di perairan Johor Timur, Pahang dan Sarawak dijangka berterusan sehingga pagi Ahad yang menyebabkan angin kencang sehingga 40 km sejam dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 2.5 meter.

NGO Islam perlu berkesan, proaktif

Badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini perlu lebih efektif dan proaktif sebagai kumpulan pendesak dalam membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, sudah sampai masanya NGO terbabit bergerak aktif dan tampil ke hadapan membantu memperjuangkan kepentingan masyarakat Islam.

Katanya, dalam sebuah negara demokrasi, terdapat satu lagi elemen selain parti-parti politik yang berperanan sebagai kumpulan pendesak yang mampu mempengaruhi senario politik negara.

''NGO perlu memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak yang tersusun, berstrategi, tinggi dan proaktif," katanya dalam ucapan di majlis perasmian Muktamar Majlis Amal Islam Malaysia (MAIM) Peringkat Zon Timur di Kuala Terengganu, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengurus Besar Pentadbiran dan Kewangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Abdul Ghani Mohammad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.

Mengulas lanjut Jamil berkata, desakan-desakan dalam bentuk pandangan, bantahan, cadangan dan idea yang membina dapat membantu mencapai tujuan tersebut.

''Jika kita menyedari sepenuhnya hal ini dan dapat menggerakkan jaringan desakan ini secara sistematik, NGO dan MAIM boleh menjadi pelindung kepada umat Islam di negara ini.

''Desakan-desakan ini akan memberikan impak yang kuat dalam pembentukan dasar kerajaan. Semua ini menunjukkan kekuatan dan kuasa yang boleh dimainkan oleh NGO," ujarnya.

Beliau berkata, tindakan itu juga akan menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang boleh dibanggakan dengan kemajuan yang seimbang antara dunia dan akhirat.

38 pusat jagaan kanak-kanak dibina

Sebanyak 38 buah pusat jagaan kanak-kanak di bawah Program Perkembangan Awal Kanak-Kanak (Permata) dengan peruntukan kira-kira RM25.1 juta, akan mula beroperasi mulai Januari tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata Taska Keluarga Permata itu telah pun siap dibina di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Pusat itu akan dikelolakan oleh YPK Terengganu.

Taska keluarga Permata ialah Program Perkembangan Awal Kanak-kanak bermula sejak dilahirkan sehingga berumur empat tahun.

Beliau menyatakannya ketika merasmikan majlis penyampaian sijil program hafaz Muqaddam kanak-kanak Taska Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), di Kuala Terengganu.