Saturday, May 1, 2010

Pelajar ‘kaldai dadah’ jejaskan Anjung Ilmu

Oleh Cikgu Prihatin

Taktik terbaru menggunakan pelajar sebagai 'keldai' dadah di Terengganu amat membimbangkan.

Bukan sahaja dalam konteks jenayah membabitkan remaja tetapi usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu akan tergencat.

Kenapa saya katakan demikian?

Ini kerana dadah dan perniagaannya tidak mengenal remaja dan pelajar yang bijak atau yang kurang bijak.

Apa yang dibimbangi ialah, kegiatan itu turut mensasarkan pelajar-pelajar yang pandai dan jika terjebak mereka akan ‘lalai’ dan prestasi mereka dalam peperiksaan sudah pasti menurun.

Pada ketika Kerajaan Negeri sedang menggalakan pelajar cemerlang, kegiatan menagih dan menjadikan pelajar sebagai ‘keldai dadah’ sewajarnya diperangi habis-habisan.

Usaha ini bukan sahaja jatuh di bahu polis tetapi lebih penting ibu bapa, rakan sebaya, sekolah, guru dan Jabatan Pelajaran negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman Kerajaan Negeri memandang serius pembabitan pelajar dalam penyalahgunaan dadah dengan mengambil langkah lebih agresif dan proaktif secara berterusan bagi mengatasinya.

“Masalah ini dalam kalangan pelajar sememangnya wujud dan paling dibimbangkan, ada pengedar menggunakan mereka sebagai alat untuk kegiatan tidak bermoral.

“Justeru, kini kami bergerak aktif menangani masalah ini secara berterusan dengan kerjasama agensi terbabit seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pengetua, ibu bapa dan guru,” katanya mengulas mengenai seorang pelajar Tingkatan Dua yang ditahan 26 April lalu kerana dipercayai mengedar dadah di sekolah.

Kelmarin polis menyatakan ia mengesan taktik terbaru pengedaran dadah yang menjadikan pelajar-pelajar sekolah sebagai 'keldai' untuk mengedarkan dadah di sekolah secara percuma. Modus operandi yang digunakan adalah dengan menggunakan 'keldai' berkenaan untuk mencari pelajar lain dan memberikan dadah secara percuma.

Setelah pelajar itu mengambil dadah, mereka akan menjadi ketagih dan mula berusaha untuk mendapatkan bekalan daripada 'keldai' dadah itu. Apabila tidak mampu membeli dadah, pengedar mula menawarkan mereka menjadi pengedar kecil-kecilan di sekolah dengan memperoleh bekalan percuma untuk kegunaan mereka sendiri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, taktik berkenaan dikesan apabila dua remaja berusia 14 dan 18 tahun ditahan di Kampung Pak Tuyu, Mengabang Telipot, kelmarin. Katanya, serbuan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira pukul 2.30 petang itu menemui 17 biji pil kuda seberat 1.7 gram.

"Hasil ujian air kencing kedua-dua remaja yang berasal dari Taman Perumahan Gong Badak itu positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan reman sehingga semalam. Kes disiasat di bawah Seksyen 12 (2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berikutan itu, Roslan mengingatkan ibu bapa agar memantau dan memerhati anak-anak mereka supaya tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak sihat ini.

Jelas sekali, ibu bapa menjadi alat dan sumber penting menyekat gejala ini daripada berleluasa.

70 Produk IKS masuk T-Shoppe

Sumber: Unit Komunikasi Negeri

Kerajaan negeri giat memasarkan produk IKS menerusi kedai serbaneka, T-Shoppe di seluruh Malaysia sebagai saluran untuk usahawan tempatan memasarkan produk mereka.

Pengarah Yayasan Pembangunan Usahawan, Azmi Razik berkata, pihaknya mensasarkan 70 peratus daripada produk IKS dijangka dapat dipasarkan menerusi T-Shoppe dalam tempoh tiga tahun lagi, berbanding hanya 30 peratus produk IKS dalam rangkaian kedai itu sejak dibuka pada tahun lalu.

”Kita mensasarkan 70 peratus produk IKS dapat dijual di T-Shoppe yang diwujudkan di seluruh Terengganu dan luar Terengganu dalam tempoh tiga tahun lagi.

Sehingga kini, hanya 30 peratus produk IKS yang berjaya ditempatkan di 10 rangkaian T-Shoppe seluruh Terengganu termasuk yang baru dibuka di Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok Kedah.

T-Shoppe terbaru di luar Terengganu bakal dibuka tidak lama lagi di Melaka, sebelum menjelangnya temasya Sukan Malaysia ke-13 di Melaka pada Jun ini.

Beliau berkata, hasil jualan di T-Shoppe amat memberangsangkan kerana ada rangkaian kedai itu mampu meraih hasil jualan sehingga RM1,000 sehari.

Kerajaan tangani masalah pelajar bermasalah

Kerajaan Negeri sedang mendekati serta mendalami masalah yang mendorong golongan berkenaan melanggar disiplin, sekali gus mengkategorikan mereka sebagai pelajar bermasalah di sekolah.

Berikutan itu kerajaan mengambil inisiatif mengumpulkan semua pelajar bermasalah terutama yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri dalam masa terdekat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan akan pastikan perancangan ini dilaksanakan sebelum peperiksaan SPM bermula tahun ini.

“Kita perlu bersemuka dengan pelajar terbabit untuk memberi ruang meluahkan segala masalah yang menjadi sebab mereka memberontak.

“Sekurang-kurangnya dengan cara begini, kita bukan sahaja menunjukkan keprihatinan terhadap mereka, malah sedikit sebanyak membantu dan membimbing pelajar memilih masa depan selepas tamat alam persekolahan,” katanya.

Ahmad Razif berkata, pelajar yang dikenal pasti tidak berminat meneruskan pelajaran pada peringkat lebih tinggi akan dibantu dan diberi pendedahan dalam bidang kemahiran bersesuaian dengan minat masing-masing.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM4 juta setiap tahun dalam usaha memberi peluang kepada pelajar menceburi bidang kemahiran yang dipanggil ‘skill planning’.

“Sekurang-kurangnya dengan cara begini, kita dapat membantu pelajar tidak berminat belajar menceburi kemahiran yang boleh menjamin masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Jamuan Kesyukuran Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin, kelmarin.

Hospital Kuda Dibuka Di TIEP

Sebuah hospital yang menyediakan rawatan ringan untuk kuda mula beroperasi semalam di taman perlumbaan kuda lasak, Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP).

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata Hospital Ekuin RTES/UPM yang pertama seumpamanya di Pantai Timur itu mampu merawat 300 ekor kuda pada satu masa.

Sebagai permulaan, katanya, hospital itu hanya merawat kuda milik ahli Royal Terengganu Equestrian Stable (RTES).

"Antara kelengkapan yang disediakan di situ termasuk kemudahan sinar-X, ultrasound dan pengambilan sample darah. Buat permulaan, hospital itu akan beroperasi setiap hari Jumaat dan Sabtu bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang," katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata waktu operasi hospital itu akan ditambah apabila terdapat permintaan daripada orang ramai dan satu mekanisma akan dibuat untuk menentukan bayaran terhadap pemilik kuda persendirian yang ingin mendapat khidmat di hospital itu.

Abdul Rahin berkata bagi kes kecederaan berat yang memerlukan pembedahan, sebuah lagi hospital akan dibuka di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

"Hospital di TER dijangka dibuka dan dapat beroperasi Jun ini," katanya.

RM15 bilion maju Terengganu 2009-2013

Terengganu akan membelanjakan RM15 bilion di bawah peruntukan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat bagi merancakkan pembangunan infrastruktur serta kemudahan awam di negeri untuk tempoh lima tahun bermula 2009 sehingga 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad berkata, sebanyak 75 peratus daripada projek pembangunan berkenaan membabitkan pembinaan jalan utama serta jalan baru di seluruh negeri ini, sementara baki 25 peratus lagi melibatkan projek pembinaan bangunan.

Menurutnya, bermula tahun lalu sehingga kini, kira-kira RM200 juta dibelanjakan di bawah projek pembinaan infrastruktur dan kemudahan awam berkenaan termasuk pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

“Setakat ini pembinaan LPT2 siap 75 peratus dan ia dijangka siap sepenuhnya akhir tahun depan, seterusnya boleh digunakan bermula awal 2012.

“Projek LPT2 ini membabitkan pembinaan lebuh raya sepanjang 183 kilometer dan melibatkan separuh peruntukan daripada Kerajaan Negeri, sementara separuh lagi daripada Kerajaan Pusat, bagaimanapun setakat ini kami belum membuat rundingan dengan Kerajaan Pusat serta pihak berkaitan mengenai plaza tol yang akan diwujudkan. Kami jangka rundingan dilakukan tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Terengganu (PKMMT) kali ke-34 2010 di Primula Beach Hotel, kelmarin.

Hadis sama, Presiden PKMM, Datuk Mokhtar Samad; Yang Dipertua PKMMT, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Shahawai Awang.

Yahya berkata, kemungkinan sebanyak lapan hingga 10 plaza tol akan diwujudkan termasuk di Gemuruh dan Bukit Payong apabila LPT2 siap.

Sementara itu, menurutnya, di bawah projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam bagi tempoh lima tahun juga, 25 masjid dijangka dibina sepanjang tahun ini membabitkan kos RM5 juta untuk sebuah masjid.

“Projek pembinaan masjid ini merangkumi semua daerah atas dasar Kerajaan Negeri yang mahu mewujudkan sebuah masjid bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Bagaimanapun tidak semestinya setiap DUN hanya dibina sebuah masjid kerana ia bergantung kepada keperluan dan jika sebuah DUN memerlukan lebih daripada sebuah masjid, kami akan menimbangkan," katanya.

Yahya berkata, tahun ini, bagi projek pembinaan masjid ini, kami telah keluarkan tender untuk sembilan masjid dan tender pembinaan bagi 16 masjid lagi dikeluarkan bulan depan,” katanya.

Pemilik Bengkel Bebas Tuduhan Palsu Dokumen Tuntutan Selenggara Perdana V6

Seorang pemilik bengkel kereta dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini Khamis di atas tuduhan memalsukan dokumen tuntutan berhubung penyelenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri Terengganu, lebih dua tahun lalu.

Hakim Mohamad Khalid Abd Karim membuat keputusan tersebut terhadap Choong Yuen Sang, 49, setelah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes tersebut.

Pemilik bengkel di Chendering itu, dekat sini, didakwa memberi invois mengandungi butiran palsu mengenai pembekalan satu set kotak gear transmisi automatik V6 bernilai RM19,119.91 untuk kereta bernombor pendaftaran TAK 415.

Invois itu didakwa diberikannya kepada Penolong Pegawai Tadbir negeri, Hashim Abdul Rahman di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu pada 2 Ogos 2007.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Nazrul Nizam Mohamad Zamri manakala tertuduh diwakili oleh peguam V. Rajadevan.

Terengganu Tingkat Promosi Produk Tempatan Di Luar Negara

Oleh Aida Ab Rahman (UKOM)

Kerajaan negeri Terengganu akan menyertai lebih banyak pameran keusahawanan di peringkat antarabangsa dalam usaha memperkenalkan produk tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera berkata ekspo dan pameran seumpama itu dilihat medan terbaik dalam memperkenalkan produk tempatan ke peringkat antarabangsa.

"Ini dapat dilihat dalam ekspo keusahawanan di Dubai baru-baru ini, di mana kita berjaya memperolehi RM6.7 juta hasil jualan produK tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Industri Desa kelmarin.
Beliau berkata sambutan masyarakat antarabangsa terhadap produk Terengganu memang sangat menggalakkan, tetapi ia kurang diberikan pendedahan.

Dalam hal ini, Mohamed berkata usahawan perlu mengkaji dan meningkatkan mutu barangan mereka bagi membolehkan barangan mereka memasuki pasaran antarabangsa.

Menurutnya ekspo kali ini mendapat sambutan menggalakkan dengan 86 peserta, kebanyakannya terdiri daripada usahawan baru.

Katanya ekspo tahun ini menampilkan kategori yang lebih fokus terhadap industri makanan dan pertanian, produk kesihatan dan kosmetik, tekstil dan pakaian serta industri perabot.

(H1N1): Satu Lagi Kematian Melibatkan Lelaki 40 Tahun

Satu lagi laporan kematian berkaitan virus influenza A(H1N1) diterima Kementerian Kesihatan pada semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata bagaimanapun penyebab kematian lelaki berusia 40 tahun itu bukan jangkitan H1N1 secara langsung.

"Ini menjadikan jumlah terkumpul kematian H1N1 sehingga hari ini kekal 81 orang," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata lelaki itu mempunyai faktor risiko tekanan darah tinggi dan terlibat dengan kemalangan kenderaan seminggu sebelum dimasukkan ke wad.

Dr Mohd Ismail berkata lelaki terbabit dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 26 April lepas selepas mengalami masalah pernafasan, demam, batuk serta pertuturan yang tidak difahami dan dia meninggal dunia pada hari yang sama.

Beliau berkata walaupun kes itu disahkan positif jangkitan virus H1N1 melalui ujian PCR, lelaki itu juga mengalami jangkitan bakteria dalam darah dan kematian adalah akibat komplikasi "septic shock with multi-organs failure".

Mengenai jumlah kes terkumpul, Dr Mohd Ismail berkata sehingga 5.30 petang semalam sejumlah 71 kes disahkan influeza A(H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes itu kini ialah 13,673.

Sehingga pukul 8 pagi ini, sebanyak enam laporan kejadian kluster ILI dilaporkan di empat negeri iaitu Sarawak, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad di seluruh negara ialah 587 kes dan daripada jumlah itu 70 kes (11.9 peratus) disahkan positif influenza A (H1N1).

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web kementerian di alamat http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline kementerian di talian 03-88810200/0300.

Wednesday, April 28, 2010

Isteri, Bapa Mentua Dr Ahmad Ramzi Nafi Hantar SMS Ugutan

Isteri dan bapa mentua Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir semalam menafikan ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu.

Datin Ilia Ismail, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik dan bapanya Ismail Awang Su, 70, juga menafikan ada meminta sesiapa menghantar SMS ugutan kepada tiga Adun berkenaan.

Mereka berkata demikian semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz pada perbicaraan Dr Ahmad Ramzi, setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, yang dituduh menghantar ugutan jenayah menerusi SMS) kepada tiga Adun BN Terengganu, di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu semalam.

Kepada soalan lain, Ilia, 38, berkata suaminya yang kini bekerja di pejabat MARA di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur mempunyai sebuah komputer riba jenama Dell.
Dua buah komputer riba lagi yang ada di rumahnya ialah komputer riba jenama Dell milik bapanya dan komputer riba jenama Acer milik anaknya, bagaimanapun kedua-dua komputer riba itu telah diambil oleh pihak polis, katanya.

Ilia memberitahu mahkamah beliau hanya menggunakan komputer riba anaknya untuk mencari bahan membantunya mengajar dan tidak pernah menggunakan komputer riba milik suaminya.

"Suami saya juga tidak pernah menggunakan komputer riba di rumah kerana memiliki komputer riba sendiri," katanya.

Dr Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas Adun Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga ADUN tersebut.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Dr Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019 -9158369 milik Wan Ahamad.

Dr Ahmad Ramzi diwakili tiga peguam iaitu Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman.
Kelmarin Wan Ahamad turut disoal sebagai saksi dalam kes ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid bersambung 3 Jun depan.

Terengganu Sasar Pertahan Kejuaraan Melalui Acara Kayak


Ahmad Said menampal pelekat SUKMA XIII pada kereta rasminya sambil dibantu Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Terengganu berharap melalui sumbangan pingat emas dalam acara kayak, ia dapat mengekalkan kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-13 di Melaka Jun ini.

Acara kayak atau kanu menyumbang 14 pingat emas kepada Terengganu semasa ia menjadi tumah rumah Sukma ke-12 dua tahun lalu.

Kali ini acara kanu menyediakan 18 pingat emas.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata Terengganu berazam untuk mengekalkan kejuaraan mereka kali ini.

"Kita akan memberi imbuhan tambahan kepada atlit yang memperolehi pingat pada temasya di Melaka nanti sebagai pembakar semangat mereka," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam untuk mempromosi Sukma ke-13 di negeri ini.

Seramai 9,000 atlt dari 15 pasukan termasuk dari Brunei akan mengambil bahagian dalam keseluruhan 33 acara yang dipertandingkan.

Melaka pula yang menyertai kesemua acara mensasar untuk memperolehi 60 emas bagi muncul selaku juara baru Sukma, kata Mohd Ali.

Beliau berkata Melaka mensasar untuk menarik setengah juta pengunjung bagi menyaksikan kejohanan dari 10 hingga 19 Jun ini.

Azizulhasni, Nicol Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2009

PELUMBA basikal negara, Azizulhasni Awang (kiri) yang dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2009 menerima trofi daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin disaksikan oleh Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkeplas Embong, pada majlis Anugerah Sukan Negara, di Kuala Lumpur, 27 April.

Syabas kepada pelumba basikal Mohd Azizulhasni Awang dan ratu skuasy Datuk Nicol Ann David.

Semalam mereka dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2009 berdasarkan pencapaian mereka pada kejohanan peringkat dunia tahun lepas.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah utama Anugerah Sukan Negara 2009 tersebut, yang masing-masing diiringi ganjaran RM10,000, kepada kedua-dua pemenang itu.

Ia diadakan sebuah hotel di Kuala Lumpur malam semalam.

Bagaimanapun, Nicol yang memenangi anugerah itu buat tahun ketujuh termasuk lima kali berturut-turut sejak anugerah 2005 tidak dapat hadir kerana masih berlatih di Amsterdam.

Malam ini merupakan julung kali Azizulhasni, 22, diiktiraf olahragawan negara.

Pelumba trek yang berpengkalan di Melbourne, Australia itu menduduki ranking pertama Siri Piala Dunia musim lepas dan turut berada pada kedudukan pertama ranking dunia bagi acara Keirin sehingga Mac 2009.

Pelumba yang dibimbing jurulatih Australia, John Beasley, begitu konsisten sepanjang tahun lepas dengan memulakan pungutan pingat dengan meraih perak dalam acara Keirin pada Kejohanan Dunia di Poland pada Mac sebelum mendapat emas dalam acara yang sama pada Kejohanan Dunia di Beijing, pada April.

Beliau yang berasal dari Terengganu kemudian memperoleh pingat perak dalam acara Keirin pada Kejohanan Piala Dunia di Melbourne November lepas.

Kejayaan konsisten Azizulhasni di kejohanan dunia membolehkan pelumba tersebut mengetepikan calon lain terutama penyandang tahun lepas, Datuk Lee Chong Wei daripada sukan badminton.

Antara calon lain yang tersenarai ialah Sazali Abdul Samad (bina badan), Loh Jack Chang (wushu) dan Zulmazran Zulkifli (tenpin boling).

Nicol, 27, pula terus mendominasi anugerah itu dengan statusnya sebagai pemain skuasy wanita nombor satu dunia, sejak kali pertama menduduki ranking tersebut pada Ogos 2006 sehingga kini.

Atlet dari Pulau Pinang itu juga pernah menerima anugerah yang sama pada 1999 dan 2003.

Sepanjang tahun lepas, Nicol muncul juara dalam enam kejohanan dan dua naib juara, pada kejohanan di peringkat dunia.

Nicol memulakan kempen 2009 dengan muncul naib juara pada Terbuka Kuala Lumpur (Mac), naib juara Terbuka Caymen Islands (Mei) dan seterusnya menjadi juara pada Terbuka Texas (Mei), Terbuka Seoul (Jun), Terbuka Malaysia (Julai), Masters Singapura (Ogos), Terbuka Dunia di Amsterdam (September) dan Terbuka Hong Kong (Oktober).

Calon olahragawati yang lain ialah Wong Pei Tty/Chin Eei Hui (badminton), Siow Yi Ting (renang) dan Noraseela Khalid (olahraga).

Kejayaan menamatkan kemarau emas selama 20 tahun dalam acara bola sepak pada Sukan SEA di Laos Disember lepas membolehkan skuad bola sepak ke temasya tersebut dinamakan sebagai penerima anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan.

Senarai pemenang Anugerah Sukan Negara 2009:

Olahragawan Kebangsaan - Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)

Olahragawati Kebangsaan - Datuk Nicol Ann David (skuasy)

Pasukan Lelaki Kebangsaan - Skuad Bola Sepak Sukan SEA di Laos

(Ahmad Fakri Shaarani, Amar Rohidan, Mazlizam Mohamad, Mohd Farizal Marlias, Mohd Baddrol Bakhtiar, Mohd Sabre Mat Abu, Mohd Amirulhadi Zainal, Mohd Asrarruddin Putra, Mohd Nasriq Baharom, S.Kunalan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, Mohamad Zakuan Adha Abd Razak, Abdul Manaf Mamat, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, K.Gurusamy, Mahalli Jasuli, Mohamad Muslim Ahmad, Mohamad Azmi Muslim Norshahrul Idlan Talaha dan Safiq Rahim).

Pasukan Wanita Kebangsaan - Leong Mun Yee, Pandelela Rinong (terjun)

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan - Mohamad Salam Sidik (memanah)

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan - Norhayati Sarnoh (boling padang)

Jurulatih Lelaki Kebangsaan - K.Rajagobal (bola sepak lelaki), Yoong Thong Foong (wushu)

Jurulatih Wanita Kebangsaan - Tiada pemenang

Anugerah Kepimpinan Kebangsaan - Mendiang Edmund Yong (golf)

Anugerah Tokoh Sukan - Tiada pemenang

Anugerah Khas - Dr T. Ponniyah (karate)

Sukma 2010 – Melaka sudah bersedia


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menjelaskan Kerajaan Melaka sudah bersiap sedia seratus peratus memelibatkan 33 gelanggang yang kini sedang dibersihkan dan dikemaskini, selain sistem pengurusan yang berjalan baik.

“Sekarang kita sedang menguji sistem pentadbiran kerana venue terlalu banyak melibatkan 33 jadi kita mahu setiap tempat cekap jadi dipasang semua tempat dengan sistem komputer,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan promosi Sukma ke-13 di Terengganu bersama-sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Katanya, Kerajaan Melaka juga menyokong penuh keputusan Kementerian Belia dan Sukan supaya Sukma diadakan setiap tahun bagi melahirkan atlit sukan yang dinamik dan mampu mengulangi kejayaan pada setiap tahun.

Datuk Seri Mohd Ali juga memuji persiapan kontinjen Terengganu dan tidak menolak kehebatan Terengganu dalam acara kanu yang menghasilkan 14 emas pada Sukma Ke-12 lalu dan pastinya bakal mencabar tuan rumah, Melaka yang mensasarkan 60 pingat emas pada Sukma nanti.

Katanya, Melaka juga mencipta kegemilangan dan rekod tersendiri apabila bekKemampuan menganjurkan jumlah sukan terbanyak dalam sejarah Sukma iaitu 33 jenis sukan termasuk sukan ekuestrian dan kanu.

Selain itu, jumlah acara yang terbanyak bakal dipertandingkan iaitu sebanyak 434 acara yang menawarkan 434 pingat emas, 434 perak dan 542 gangsa.

Penguatkuasa Rampas 412 Unit Telefon Bimbit Bernilai RM179,000

Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (BPKPDNKK) negeri Terengganu merampas 412 unit telefon bimbit pelbagai jenis bernilai kira-kira RM179,000 dalam satu operasi malam kelmarin.

Timbalan Pengarah BPKPDNKK negeri Terengganu Ghani Harun berkata, rampasan dibuat dalam satu operasi melibatkan 20 anggota penguatkuasa di tapak ekspo Dataran Shah Bandar di Kuala Terengganu selama tiga jam bermula 8 malam.

"Kita terima maklumat daripada orang awam yang menyatakan telefon bimbit yang dibeli di situ tidak boleh digunakan kerana rosak.

"Pengguna telah membuat aduan kepada pihak penjual, namun tidak diendahkan lalu mereka membuat aduan kepada bahagian penguatkuasa," katanya pada sidang media semalam.

Ghani berkata, pihaknya menyerbu tiga buah kanopi di tapak ekspo dan mengambil pengenalan diri 14 jurujual yang terbabit dengan kes berkenaan.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Akta Kawalan Harga 1946 dan jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda sehingga RM15,000 manakala di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 boleh dikenakan denda orang perseorangan sehingga RM100,000 sementara syarikat RM250,000.

Melaka mampu menjadi penganjur terbaik




Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kiri) menyerahkan surat jemputan SUKMA 2010 kepada Datuk Ahmad Said sempena promosi SUKMA di Wisma Darul Iman. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.
Oleh : AIDA ABD RAHMAN (UKOM)

Kerajaan Terengganu berharap Melaka mampu menjadi penganjur Sukan Malaysia (Sukma) yang terbaik, sebagaimana Terengganu ketika menganjurkan Sukma 2008 lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata bagi kerajaan negeri, Sukma Ke-12 Terengganu 2008 banyak meninggalkan nostalgia kerana ianya merupakan tahun kejayaan berganda bagi Terengganu.

“Kejayaan menjadi penganjur terbaik sehingga telah diberi pengiktirafan di Dewan Rakyat oleh YAB Perdana Menteri sendiri.

“Terengganu juga berjaya muncul sebagai juara keseluruhan dengan memenangi 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa, di mana kutipan tersebut merupakan 15.02% emas, 9.73% perak dan 9.31% gangsa daripada keseluruhan pingat yang ditawarkan,” kata Dato’ Ahmad ketika berucap di Majlis Karnival Sukma ke-13 Melaka 2010, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, hari ini (27 April).

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Terengganu bakal menghantar 650 orang peserta melibatkan 460 atlit, 78 jurulatih, 32 pengurus pasukan dan 80 orang urusetia serta merupakan kontinjen terbesar yang pernah dihantar dalam temasya Sukma setakat ini.

Sebanyak 32 daripada 33 sukan akan disertai oleh atlit Terengganu.
Katanya, kejayaan itu meletakkan Terengganu sebagai kuasa baru dalam sukan dan berada dalam tiga negeri yang berjaya menjadi juara ketika menjadi tuan rumah, selain Selangor dan Sarawak.

Beliau berkata, sebanyak 24 rekod baru kejohanan Sukma dan empat rekod baru Kebangsaan berjaya dicipta menerusi lima jenis sukan iaitu angkat berat, berbasikal, kanu, renang dan olahraga.

Dato’ Ahmad berkata, atlit Terengganu sendiri telah berjaya memperbaharui 13 rekod kejohanan dan satu rekod kebangsaan melalui lima sukan berkenaan iaitu angkat berat (1 rekod Sukma), berbasikal (5 rekod) sukma), kanu (5 rekod Sukma dan 1 rekod Kebangsaan), renang (1 rekod Sukma) dan olahraga (1 rekod Sukma)

“Kita berbangga kerana sepanjang kejohanan berlangsung tiada sebarang protes atau aduan. Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Jawatankuasa Juri Rayuan tidak perlu bersidang walaupun sekali.

Ketua Menteri Melaka menunjukkan baju yang dipakai oleh kontijen Terengganu kepada Menteri Besar Terengganu.

“Pingat-pingat yang dimenangi adalah melalui sukan-sukan ‘measurable sports’ dan bukannya sukan-sukan yang subjektif,” katanya.

Malah, penyaluran keputusan pertandingan juga paling efisien dan bersistem, selain cakera padat turut dibekalkan kepada ketua kontinjen pada hari terakhir Sukma ke-12.

Katanya, kemudahan itu bagi memastikan jurulatih dan kontinjen dapat membuat penilaian penuh kepada atlit masing-masing secara analatikal dengan hasrat melalui penilaian terperinci mutu Sukma dapat ditingkatkan.

“Kita juga berbangga kerana sepanjang temasya aspek pengangkutan yang kita beri perhatian yang tinggi akhirnya memberi perkhidmatan yang efisien dan melancarkan perjalanan pertandingan keseluruhan.

“Kerajaan negeri juga berkeyakinan penuh Melaka mampu menjadi penganjur terbaik nanti, di mana dibuktikan dengan promosi Kempen Karnival Sukan Malaysia Ke-13 yang diadakan secara besar-besar di luar negeri Melaka sendiri seperti yang diadakan di Terengganu hari ini,” kata beliau lagi.

Menurut Ahmad Said, mana-mana negeri tuan rumah Sukma tidak pernah mengadakan promosi sebegini di luar negeri masing-masing yang mana ini telah menunjukkan kemampuan Melaka dalam usaha menjadi penganjur yang berjaya bukan sahaja dari segi pengelolaan dan pencapaian, bahkan meningkatkan industri pelancongan.

11 tangkapan rasuah di Terengganu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu berjaya membuat 11 tangkapan termasuk tujuh kes membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan berkaitan rasuah bagi tempoh suku pertama tahun ini.

Pengarah SPRM Terengganu, Ahmad Saberi Hussain berkata, turut ditangkap adalah dua anggota bomba, seorang kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) termasuk seorang orang awam.

Menurutnya, semua penjawat awam yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, sementara orang awam terbabit disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM.

“Tangkapan ini juga berdasarkan 120 maklumat berkaitan rasuah yang diterima bagi tempoh suku pertama tahun ini dan daripada jumlah itu, kami telah menyiasat 83 kes.

“Daripada siasatan dilakukan, kami membuka 52 Kertas Penyiasatan Awal (KPA), 16 Kertas Risik (KR) dan tujuh Kertas Siasatan (KS),” katanya selepas merasmikan Kempen Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah peringkat negeri Terengganu di sini yang diadakan serentak oleh SPRM di seluruh negara di Primula Beach Hotel, kelmarin.
Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Datuk Shukri Dahlan; Pengarah Jabatan Kastam Diraja Terengganu, Datuk Azis Yacub; Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu, Mahassan Mustafa dan Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu, Ahmad Abdullah.

Beliau berkata, jumlah tangkapan bagi suku pertama tahun ini meningkat berbanding tangkapan sepanjang tahun lalu berjumlah lapan orang.

“Justeru, dalam usaha memerangi rasuah di negeri ini, kami berharap orang awam sedar dan menghindar diri daripada memberi suapan, sementara penjawat awam pula diharap lebih berani tampil melaporkan tawaran rasuah yang dapat membantu kami melakukan tangkapan ke atas pemberi rasuah.

“Seiring itu juga, SPRM akan melaksanakan kempen perangi pemberi rasuah secara besar-besaran untuk menangkap pemberi rasuah yang cuba menawarkan suapan rasuah kepada penjawat awam,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Saberi turut mengingatkan penjawat awam di negeri ini agar menunaikan kewajipan mereka melaporkan apa-apa suapan rasuah sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM.

Menurutnya, jika gagal berbuat demikian boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Lebuh Raya Pantai Timur Dijangka Beroperasi 2012

Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang menelan belanja kira-kira RM3 bilion dijangka boleh digunakan dua tahun lagi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Yahya Khatib Mohamad.

Beliau berkata lebuh raya sejauh 183 kilometer itu akan mempunyai sekurang-kurangnya 10 plaza tol.

Selain itu, kerajaan negeri akan membina 25 buah masjid yang setiap satu bernilai kira-kira RM5 juta tahun ini.

"Pembinaan sembilan daripada masjid itu telahpun dikeluarkan tender manakala tender 16 buah lagi akan dikeluarkan bulan depan," katanya di Kuala Terengganu semalam.

Yahya berkata kerajaan negeri menyediakan RM15 bilion untuk projek pembangunan di bawah tempoh lima tahun bermula tahun lalu.

"Sebanyak 75 peratus daripada peruntukan ini adalah untuk pembinaan jalan manakala selebihnya untuk lain-lain pembangunan," katanya dan menambah projek akan dilaksanakan secara berperingkat dan sehingga kini kira-kira RM200 juta telah dibelanjakan.

Tuesday, April 27, 2010

Satu tapak rumah untuk setiap rakyat


AHMAD (dua dari kiri) menyampaikan geran hak milik tanah kepada seorang penerima kawasan DUN Chukai.

Kerajaan negeri serius terhadap isu pemilikan tanah dan akan berusaha untuk memastikan setiap rakyat negeri itu memiliki satu tapak untuk didirikan rumah yang selesa.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, bagi memastikan setiap rakyat mendapat tanah, kerajaan negeri merumus peraturan melarang rakyat Terengganu daripada mendapat lebih daripada satu lot tanah anugerah.

"Kerajaan juga menetapkan syarat tapak rumah yang diberikan itu perlu didirikan rumah kediaman dalam tempoh antara dua hingga lima tahun bagi mengelak ditarik balik,” katanya.

Ahmad Said berkata, kerajaan negeri juga tidak membenarkan mereka yang diberikan hak milik untuk menjual atau menggadaikan tanah dalam tempoh 10 tahun dan jika keadaan itu berlaku mereka akan disenarai hitam daripada menerima tanah lain.

Beliau menyatakan demikian ditemui selepas majlis penyerahan geran tanah di Cukai kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 203 penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai menerima hak milik tanah. Hadir sama pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera dan Adun Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Yang pasti, kegembiraan dan rasa syukur jelas tergambar pada wajah 203 penduduk di daerah ini kerana doa untuk memiliki tanah sendiri termakbul selepas lebih 10 tahun menanti apabila Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menyampaikan geran hak milik tanah, baru-baru ini.

Seorang penerima yang ditemui, Ali Yusof, 51, dari Kampung Mak Chili berkata dia gembira dan terharu apabila menerima geran hak milik tanah tapak rumah yang diduduki sejak lebih lima tahun lalu daripada Menteri Besar.

"Pembahagian geran tanah ini membuktikan kerajaan negeri memang bersungguh-sungguh untuk membela nasib rakyat sekali gus memastikan setiap rakyat dapat memiliki tanah sendiri bagi membina rumah kediaman yang lebih selesa,” katanya.
Beliau yang berkerja sebagai pemandu teksi berkata, sukar untuk membeli tanah sebagai tapak rumah kerana harga yang terlalu mahal dan dengan tanah yang dianugerahkan kerajaan negeri itu beliau perlu membayar sekitar RM2,000 saja.

Penerima lain, Wali Supiah, 57, berkata tapak tanah yang diberikan kerajaan negeri itu membolehkannya merealisasikan impian untuk membina rumah sendiri di Kampung Mak Lagam.

"Saya gembira kerana mendapat geran tanah dan menganggap penantian sekian lama ini berakhir dengan baik,” katanya yang mendakwa pendapatannya sebagai pesara tidak cukup untuk membeli tanah dan membina rumah.
Bagi Foo Chew Pock, 60, dari Kampung Pengkalan Sir pula berkata, hak milik tanah yang diperoleh itu menamatkan penantian sejak lebih 10 tahun dan dia tidak perlu menyewa kerana kini boleh membina rumah sendiri di tapak yang disediakan.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin terhadap masalah rakyat dan memastikan setiap penduduk negeri ini memiliki tanah untuk didirikan kediaman selesa,” katanya yang hampir putus harap sebelum ini.

SPRM selesai siastan Kes Bumbung SSMZA Runtuh


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terenganu telah selesai menjalankan siasatan kejadian bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang runtuh pada 2 Jun tahun lepas.

Pengarah SPRM Terengganu Ahmad Saberi Hussin berkata kertas siasatan mengenai kejadian itu telah dihantar ke pejabat Pendakwa Raya dua minggu lepas untuk tindakan lanjut.

"Bergantung kepada mereka (Pendakwa Raya) untuk tindakan selanjutnya," kata Ahmad kepada pemberita selepas merasmikan kempen Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah semalam.

Dalam kejadian 2 Jun tahun lepas, bumbung utama stadium yang berharga RM292 juta itu runtuh setelah setahun siap dibina untuk kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) melibatkan tempat utama dan sehingga ini kerja-kerja baik pulih stadium itu masih belum dijalankan.

Mengenai runtuhan para besi tingkat empat ketika kerja-kerja pembinaan konkrit tangki air di Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Ahmad berkata SPRM tidak melakukan siasatan berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ahmad berkata bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini SPRM menerima 120 maklumat mengenai rasuah dan daripada jumlah itu sebanyak 83 kes telah dibuka kertas siasatan.

Katanya, bagi tempoh itu juga SPRM menahan 11 individu berbanding lapan individu bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Pada majlis itu, 10 pegawai dari agensi penguatkuasaan menerima sijil penghargaan SPRM

Ahmad Tirmizi Peserta Terbaik Hafaz Al-Quran


AHMAD Tirmizi Ali dari Terengganu (kiri) bersama Siti Nadhira Mohd Shafie dari Selangor mendapat terbaik keseluruhan menghafaz Al-Quran bagi Kategori Lelaki dan Wanita pada majlis penutup Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-31 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, malam kelmarin.

Ketekunan mengulang kaji sekurang-kurangnya 10 juzuk Al-Quran setiap hari membolehkan Ahmad Tirmizi Ali dari Terengganu dinobatkan sebagai peserta terbaik lelaki pada Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-31 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, malam kelmarin.

Beliau yang mula berjinak dengan menghafaz Al-Quran sejak berusia lima tahun berkata minat dan ketekunannya itu disemarakkan lagi dengan dorongan daripada kedua ibu bapa dan guru yang mengajarnya kaedah sistematik Al-Huffaz.

Ahmad Tirmizi, 25, graduan dari Universiti Al-Azhar, Mesir, muncul johan kategori menghafaz Al-Quran juzuk satu hingga 10 dengan memperolehi 99.19 peratus markah.

Bercakap kepada pemberita, beliau yang menjawat jawatan Pengurus Masjid Al-Hidayah di Kelana Jaya, Selangor berkata, beliau akan sentiasa menyebarkan ilmu menghafaz Al-Quran kepada masyarakat terutama generasi muda.

Menurutnya amalan lain yang dipraktikkan beliau bagi memudahkan menghafaz Al-Quran ialah beliau sedaya upaya mengambil makanan dan minuman daripada sumber halal.

Sementara itu peserta dari Selangor, Siti Nadhira Mohd Shafie, 17, yang dipilih sebagai peserta terbaik wanita pada majlis itu, mula menghafaz Al-Quran pada usia tujuh tahun.

Beliau berkata bapanya Mohd Shafie Mat Amin yang merupakan Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Ikhwan di Ampang, Selangor banyak memberi galakkan dan tunjuk ajar bagaimana untuk menjadi seorang huffaz yang baik.

Siti Nadhira, pelajar jurusan Diploma Penterjemahan Al-Quran di Maahad berkenaan berkata beliau selalu membaca Al-Quran berulang kali selain daripada menunaikan solat hajat untuk memastikan ilmu itu tidak hilang begitu sahaja.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah dipilih sebagai peserta terbaik," kata anak keenam daripada 13 adik beradik itu, yang sudah empat kali menyertai pertandingan tersebut sejak 2007.

Beliau yang bercita-cita menjadi pendakwah muncul johan bagi kategori menghafal Al-Quran juzuk satu hingga 30 dengan memperolehi 97.33 peratus markah.

Majlis menghafaz Al-Quran itu mempertandingkan tiga tahap iaitu tahap 1 (juzuk satu hingga 10), tahap 2 (juzuk satu hingga 20) dan tahap 3 (juzuk satu hingga 30), melibatkan 73 orang perserta yang berusia antara tujuh dan 25 tahun.

Johan kategori menghafaz juzuk satu hingga 30 membawa pulang pakej menunaikan haji, wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil penyertaan manakala johan kategori menghafaz juzuk satu hingga 20 menerima pakej menunaikan umrah, wang tunai RM6,000, piala iringan dan sijil penyertaan; manakala johan kategori menghafaz juzuk satu hingga 10 menerima wang tunai RM4,000, piala iringan dan sijil penyerataan.

Hadiah kepada peserta disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Penduduk rayu MB campur tangan

Menteri Besar, tolong kami! Itulah rayuan terakhir penduduk di Taman Desa Salam, Kampung Padang Limau Nipis setelah lapan tahun menanti kemudahan asas di taman peruma-han itu.

Tiada lampu jalan dan kemudahan surau selain pembinaan tangki air yang sudah lama terbengkalai, penduduk taman perumahan tersebut kini buntu sambil mengharapkan tindakan segera diambil.

Rayuan mereka berasas kerana ketiadaan lampu jalan meningkat risiko kecurian dan kemalangan kepada hampir 400 penghuni taman selain kebimbangan terha-dap masalah sosial akibat perse-kitaran gelap pada waktu malam.

Tidak adakah wakil rakyat di sini? Kenapa penduduk di Taman Desa Salam, Kampung Padang Limau Nipis mahu merayu terus kepada Menteri Besar?
Pengerusi Taman Desa Salam, Wan Adnan Wan Ali berkata, setelah menanti sekian lama, dia mengharapkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said campur tangan bagi menyelesaikan masalah penduduk di situ.

“Apa yang menyedihkan kami ialah hampir 95 peratus penduduk di taman ini ialah kakitangan kerajaan dan tentera. Tapi rayuan dan aduan kami seolah-olah tiada tindakan, menyebabkan kami seakan terpinggir.

“Lapan tahun menanti bukan satu tempoh yang lama. Dua kali masalah kami disiarkan dalam akhbar, tapi sehingga kini tiada tindakan. Sampai bila lagi kami harus menanti atau kena tunggu ada musibah, baru ada pihak yang bertindak? Kami harap masalah ini diselesaikan segera,” katanya kepada Sinar Harian.

Lebih menyedihkan apabila beberapa hari lalu berlaku kes kematian membabitkan penduduk di taman berkenaan.

Disebabkan ketiadaan kemudahan surau, pihaknya terpaksa mencadangkan urusan jenazah dilakukan di rumah keluarga individu keluarga berkenaan.

Sinar Harian difahamkan, penduduk di taman itu juga terpaksa membuat kutipan sendiri untuk mengatasi masalah yang berbangkit di taman itu.

Malah, penduduk juga mengambil inisiatif membaiki jalan rosak di taman tersebut dengan menggunakan simen kerana tidak tahan dengan jalan berturap yang rosak dan berlubang sehingga mengundang bahaya kepada pengguna.

“Saya tidak tahu apa yang menyebabkan masalah kami ini tidak dapat diselesaikan sehingga kini sedangkan pelbagai surat dan permohonan telah dibuat kepada pihak berkenaan.

“Sebelum ini ada juga wakil daripada jabatan terlibat datang membuat tinjauan di perumahan kami ini tapi sehingga kini, tiada tindakan dibuat. Saya harap masalah kami ini akan dapat diselesaikan segera demi kepentingan orang ramai,” katanya.

Kapas-Marang Medan Sukan Pelancongan Ekstrim

Oleh : AIDA ABD RAHMAN (UKOM)

Pulau dan pantai di sekitar Terengganu bukan hanya menjadi tumpuan pelancong sebagai lokasi untuk beriadah dan berekreasi bersama keluarga, malah juga menjadi pusat penganjuran acara sukan ekstrem bertaraf dunia.

Kapas-Marang International Swimathon 2010 umpamanya, bukan lagi asing bagi peminat sukan renang dari dalam dan juga luar negara sebagai sukan pelancongan yang menjanjikan hadiah wang tunai lumayan dan juga mampu menjadi platform mendekati budaya serta tradisi masyarakat Marang.

Penamat kejohanan buat julung kalinya menyaksikan anak muda dari Perak, Kevin Yeap Soon Chey, 23, mengungguli juara keseluruhan kategori lelaki selepas berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut, Marang dengan catatan masa satu jam 33 minit dan 33 saat, 18 April lalu.

Kevin selaku pemenang pingat emas acara 1500 meter gaya bebas pada Sukan SEA Laos tahun lalu yang pertama kali menyertai kejohanan itu menyifatkan perlumbaan yang disertainya amat mencabar kerana terpaksa berdepan dengan ombak yang besar.

Selain stamina dan mental yang kuat, dia juga menaruh keyakinan yang tinggi untuk memenangi acara itu walaupun mendapat saingan sengit daripada pencabar di tempat kedua, Nor Mohd Ibrahim bagi kategori lelaki (20-34 tahun)

Kevin berupaya menjarakkan diri dengan perbezaan 12 minit sahaja dengan Nor. Kejayaannya itu turut menjadi catatan masa terbaik dan rekod bagi keseluruhan sekaligus dinobatkan sebagai pemenang utama kejohanan.

"Penyertaan saya dalam sukan ekstrim ini adalah pertama kali dan cabarannya pasti hebat kerana terpaksa berdepan dengan arus yang kuat dan ombak yang besar," katanya yang bakal membawa cabaran negara pada temasya Sukan Komanwel di India hujung tahun ini.
Manakala tempat kedua, Nur Adli Safwan Sariman (satu jam 33 minit 34 saat) yang juga juara bagi kategori lelaki (junior terbuka) (12-19 tahun). Tempat ketiga keseluruhan pula menjadi milik Andrew Tebbutt dari United Kingdom yang berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan satu jam 34 minit 23 saat. Andrew merupakan juara bagi kategori lelaki 35-49 tahun.

Pemenang keseluruhan wanita turut dimenangi perenang negara, Leong Chii Lin, dari Sabah yang beraksi dalam acara 50 dan 100 meter gaya bebas dalam skuad renang kebangsaan.

Chii Lin berjaya menewaskan dua pencabar utamanya, Lai Mei Juan dan seorang lagi perenang negara, Khoo Chai Lin dengan catatan masa satu jam 33 minit dan 35 saat diikuti Mei Juan (1:37.13s) dan Chai Lin yang merekodkan masa 1:38.58s.

"Berenang di kolam biasa dengan berenang di lautan memang banyak perbezaan. Kami terpaksa melalui perjalanan yang jauh dan lebih perit lagi apabila mata saya kerap sakit kerana dimasuki air masin," katanya.

Chii Lin yang membantu kuartet negara meraih gangsa dalam acara 4x200m gaya bebas pada Sukan SEA Laos turut mengungguli kategori remaja wanita (12-19 tahun).
Hadiah bagi pemenang utama disampaikan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Encik Nik Dir Nik Wan Ku, di Pusat Peranginan Kelulut, Seberang Marang.

Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, A Rahman Che Ali dan Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani.

Pada kali ini, seramai 300 peserta dari Malaysia, Australia, Canada, Denmark, Jerman Indonesia, Netherlands, Jepun, Singapura, Sepanyol, United Kingdom dan Vietnam.

RM13 juta naik taraf sistem perparitan di Dungun

Kebimbangan masyarakat tempatan di daerah Dungun khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah terhadap permasalahan banjir yang dipercayai berpunca daripada sistem saliran dan perparitan tidak sempurna bakal berakhir.

Ini apabila Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM13.2 juta kepada Majlis Perbandaran Dungun (MPD) untuk proses menaik taraf sistem terbabit.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, setelah mengadakan kajian serta membuat tinjauan ke beberapa kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berhadapan masalah itu, Kerajaan Negeri akhirnya memutuskan satu peruntukan segera diluluskan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Ia bagi membaiki sistem perparitan sedia ada agar ia tidak memberi kerumitan kepada orang ramai ketika berhadapan musim banjir yang biasanya tiba pada penghujung tahun nanti.

Beliau berkata, dengan projek menaik taraf sistem perparitan di kawasan berkenaan, ia dapat mengurangkan masalah takungan air yang boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat yang dipercayai berpunca daripada sistem perparitan sedia ada yang kurang sempurna.

“Ini adalah lawatan saya yang terakhir bagi daerah untuk memastikan pembaikan jalan dan longkang dalam kerajaan tempatan.
Kita bersetuju untuk meluluskan peruntukan sebanyak RM13 juta kepada MPD bagi melaksanakan kerja pembinaan longkang dan jalan, termasuk pelebaran jalan RM35 juta.

“Ini menjadikan jumlah untuk peruntukan pembinaan longkang bagi Daerah Dungun selama dua tahun bagi 2010 dan 2011 sebanyak RM34 juta, yang tidak siap kita akan bawa ke hadapan.
Saya percaya ia dapat menyelesaikan banyak sistem perparitan dan kita akan beri penekanan pada ‘monsoon drain’,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Dungun, pagi semalam.

Ketika ditanya sikap masyarakat yang suka membuang sampah sehingga menjejaskan aliran sistem perparitan Ahmad yang turut kesal dengan isu berkenaan berkata, biarpun kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar untuk membersihkan longkang, namun sikap penduduk yang suka membuang sisa buangan ke dalam longkang menyebabkan saliran utama itu tersumbat sehingga menjejaskan aliran serta menyebabkan berlakunya banjir kilat.

:“Longkang bukan tempat membuang sampah, itu masalah kita, orang kita tidak rasa bersalah, bila ada longkang tersumbat, mereka menyalahkan kerajaan, tong sampah sudah disediakan tapi mereka tetap buang merata,” kata Ahmad.

Sementara itu Yang Dipertua MPD, Zainal Abidin Hussin ketika diminta mengulas peruntukan yang diluluskan Menteri Besar itu berkata, melalui projek menaik taraf sistem perparitan itu, ia diharap dapat menyelesaikan masalah puluhan ribu warga Dungun yang terpaksa berhadapan pelbagai kesulitan berikutan kejadian banjir kilat pada musim tengkujuh.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan melalui PBT untuk memberi keselesaan kepada orang ramai, khususnya berkaitan kemudahan asas sesuai dengan slogan MPD iaitu ‘Merakyatkan Perbandaran,” kata Zainal.

Sukma Melaka - Ali Rustam jumpa Ahmad Said

Melaka, tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma), gusar dengan kekurangan bilik hotel apabila edisi ke-13 sukan dwitahunan itu berlangsung di bandaraya itu.

Dijangka setengah juta pelawat akan membanjiri bandaraya itu sepanjang 10 hari temasya itu berlangsung dari 10 hingga 19 Jun, angka yang penganjur percaya agar sukar untuk ditampung.

"Kami menjangkakan tempahan penuh di kebanyakan hotel-hotel utama di bandaraya ini semasa temasya itu dan saya dimaklumkan banyak daripada mereka (pelawat) akan menginap di kawasan berdekatan iaitu Muar, Port Dickson dan juga Tangkak.

"Hotel di Melaka, besar atau kecil, pasti akan penuh pada waktu itu. Namun berita baiknya ialah dua buah hotel baru akan mula beroperasi semasa temasya itu," kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam selepas mengunjungi Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman semalam.
Hari ini Mohd Ali mengunjungi Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Wisma Darul Iman bagi tujuan mempromosikan Sukma Melaka.
Mohd Ali, yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur sukan itu, turut menjemput kesemua 15 negeri termasuk Brunei yang mengambil bahagian dalam Sukma, menjalani latihan di Melaka bagi mencuba venue yang akan digunakan pada temasya itu.

Sebanyak 9,000 atlet dan 2,000 pegawai dijangkakan pada Sukma yang akan mempertandingkan 33 sukan.

Melaka mensasarkan 60 pingat emas, kurang satu pingat daripada yang dimenangi Terengganu semasa menjadi juara sukan itu dua tahun lepas.

Terengganu antara negeri perintis Program LPPKN@Komuniti

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memperuntukkan RM6.9 juta tahun ini bagi menjayakan Program LPPKN @ Komuniti yang berobjektif membantu isi rumah berpendapatan rendah.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata peruntukan itu bagi program perintis di lima negeri iaitu Sabah, Terengganu, Kelantan, Johor, Kedah dan Sarawak.

Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu merupakan antara langkah untuk mencapai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian itu dalam membantu isi rumah berpendapatan rendah, katanya.

"Dalam kita menangani isu kemiskinan, sama ada miskin, miskin tegar atau mudah miskin, pendekatan kita adalah secara menyeluruh, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Kampung Madsiang, Penampang dekat sini.

Program itu terbahagi kepada beberapa komponen, antara mengenal pasti ketua isi rumah yang terlantar dan tidak boleh bekerja untuk diberikan bantuan kewangan dan mengenal pasti anggota keluarga yang memerlukan kemahiran untuk mendapatkan pekerjaan dan mereka yang mahu berniaga untuk dibantu, katanya.

Beliau juga berkata melalui program itu, masyarakat akan diberikan kesedaran mengenai pentingya pendidikan dan kesihatan berikutan ramai keluarga miskin mempunyai tahap pendidikan dan kesihatan yang rendah.

Shahrizat berkata seramai 44,634 keluarga miskin, miskin tegar dan mudah miskin setakat ini telah dikenal pasti di seluruh negara melalui sistem E-Kasih.

Daripada jumlah itu, beliau berkata Sabah mempunyai 15,293 keluarga yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM540 sebulan.

Rali Malaysia Terengganu tunggu Muhammad Rafiq

Pelumba Muhammad Rafiq Udhaya menjuarai Rali Malaysia 2010 di Estet Tai Tak di Kota Tinggi Johor semalam.

"Ia kejayaan yang saya nanti-nantikan selama ini. Diharap ia akan menjadi perangsang kepada saya dalam kejohanan seterusnya musim ini seperti Piala Asia di Hokaido, Jepun dan pusingan kedua Rali Malaysia di Kuala Terengganu Jun ini," katanya.

Ini merupakan kejayaan pertama yang beliau kecapi dalam karier ralinya.

Pelumba pilihan Karamjit Singh dan pembantunya Jagdev Singh tidak dapat menamatkan perlumbaan ekoran mengalami masalah dengan kereta Mitsubishi Lancer Evo XIII mereka sejak hari pertama dan juga hari ini.

Keadaan ini diambil kesempatan oleh Muhammad Rafiq dan rakannya Sean Gregory yang memandu Subaru Impreza untuk mencipta kejayaan dengan masa 3 jam, 58 minit dan 46.6 saat dalam perlumbaan sejauh 589 kilometer.

Andrew Miller dan Manohar Menon yang mewakili MRU Motorsports dengan memandu Subaru Impreza menduduki tempat kedua, ketinggalan 25 minit sementara Jamaluddin Tukimin dan adiknya Rozita yang memandu Proton Satria di tempat ketiga.

Bagi cabaran Rali Asia Pasifik pula, pemandu Jepun, Katsu Taguichi dan rakannya Chris Murphy yang memandu Mitsubishi Evo X muncul juara dengan catatan masa 3 jam 19 minit 07.7 saat.

Pemandu dari India, Guarav Gill dan rakannya Glen Macneal dari New Zealand yang turut memandu Mitsubishi EVO X di tempat kedua dengan ketinggalan 15 saat di belakang.

Di tempat ketiga ialah pemandu Indonesia, Rifat Sungkar dalam Subaru Impreza WRX sementara Muhammad Rafiq Udhaya yang memandu kereta yang sama berada di tempat keempat.

Monday, April 26, 2010

Giliran Wan Ahamad pula disoal di Mahkamah Sesyen

Bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Terengganu, Wan Ahamad Wan Muda hari ini dipanggil untuk disoal sebagai saksi dalam kes perbicaraan ahli politik, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir.di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Dr Ramzi menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri Terengganu tahun lalu.

Difahamkan Wan Ahamad yang kini ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) akan disoal hari ini dan esok.

Ketika perbicaraan Dr Ramzi 10 Februari lalu, Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, ada memberitahu Hakim M Bakri Abdul Majid bahawa Wan Ahamad akan dipanggil sebagai saksi pada prosiding akan datang.

Dr Ramzi sebelum ini mengaku tidak bersalah atas semua tuduhan terhadap beliau.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di sini, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Dr Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Dr Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah bekas Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, Haji Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Beliau yang merupakan Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh, dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 dan diarah menyerahkan passport kepada mahkamah.

Bagi kesalahan itu, Dr Ramzi boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding 10 Februari lalu pihak pendakwa dibantu oleh Norazimon Azmi dan Ooi Choo Geek manakala Dr Ramzi diwakili peguam, Rosli Abdul Rahman.

Pada prosiding lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka, YB Haji Mohd Ariffin Abdullah, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu bahawa beliau menerima Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berbunyi “Baik YB jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”, jam 11.21 malam pada 13 April, tahun lalu.

Beliau merupakan saksi kedua kes perbicaraan Dr Ramzi.
Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, Adun Paka itu memberitahu mahkamah beliau berada di Hotel Felda Ressidence, Kuala Terengganu semasa menerima SMS tersebut yang dihantar melalui telefon menggunakan nombor 019-9158369.

“Pada peringkat awal saya hubungi kawan-kawan saya bagi memaklumkan perkara itu dan menghantar salinan SMS tersebut kepada YB Datuk Seri Idris Jusoh (bekas Menteri Besar).

Saya juga memaklumkan kepada YB Datuk Rosol Wahid (Adun Ajil) dan Datuk Dr Ramzi untuk memaklumkan mengenai SMS ugutan tersebut.

Selepas menyemak dengan Dr Ramzi bagi mendapat maklumat mengenai siapa penghantar SMS itu, Dr Ramzi memberitahu saya nombor itu milik (bekas) Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar (Haji Wan Ahamad Wan Muda) .

“Untuk mendapat kepastian, saya turun dari bilik untuk mengambil diari dari kereta yang diletakkan di tempat letak kenderaan hotel dan saya mendapat pengesahan nombor itu milik SUSK,” katanya.

YB Mohd Ariffin memberitahu mahkamah pada peringkat awal beliau berasa biasa saja apabila menerima SMS tersebut sebab beliau tidak tahu siapa penghantarnya.

Bagaimanapun, katanya, selepas itu timbul perasaan takut apabila beliau mengetahui identiti pengirim SMS berkenaan berdasarkan kedudukan penghantarnya dan scenario politik negeri Terengganu pada masa tersebut.

“Selepas itu saya telefon Dr Ramzi dan beliau datang ke bilik saya dan kemudian saya telefon YB Halim Jusoh (Adun Permaisuri),” katanya.

YB Mohd Ariffin berkata, selepas itu beliau mendapat pengesahan daripada YB Alias Abdullah (Adun Alor Limbat) bahawa terdapat unsur ugutan dalam SMS tersebut.

Katanya, YB Alias kemudiannya menasihatkan beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu berhubung kejadian tersebut (SMS ugutan).

Menurutnya, dari hotel Felda beliau terus ke IPD Kuala Terengganu untuk membuat laporan polis berhubung SMS itu, bersama-sama dengan YB Halim dan Dr Ramzi.

Beliau membuat laporan polis pada jam 12.55 pagi pada 14 April 2009 dan didapati ramai wartawan berada di IPD Kuala Terengganu pada waktu itu.

“Saya tidak tahu siapa yang panggil wartawan datang ke balai polis,” katanya ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya siapa yang panggil wartawan datang ke situ.

YB Mohd Ariffin bagaimanapun mengakui beliau dan YB Halim membuat sidang akhbar di IPD Kuala Terengganu bagi memaklumkan kepada wartawan berhubung kejadian tersebut.

“Selepas membuat laporan polis saya terus balik ke bilik hotel,’ katanya sambil memberitahu bahawa selepas itu pihak polis merampas telefon bimbitnya pada 4 Mei 2009.

Telefon bimbit tersebut yang menggunakan nombor 019-9186181 dan dikemukakan sebagai barang bukti ditunjukkan dalam mahkamah dan disahkan oleh saksi kedua itu.

Menjawab soalan peguambela selepas itu, YB Mohd Ariffin berkata, beliau membalas balik SMS yang dihantar kepadanya dengan bertanya “Siapa Ni?”, tetapi pemilik telefon bimbit berkenaan membalas balik “Sorry, wrong number”.

Katanya, beliau ada membuat panggilan kepada nombor telefon berkenaan menggunakan telefon isterinya, tetapi tidak dijawab walaupun ada nada panggilan.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau yakin SMS itu dihantar dari nombor 019-9158369 dan perasaan takut timbul memikirkan sebelum ini macam-macam berlaku dalam politik, termasuk kes pembunuhan yang melibatkan Datuk Dr Mokhtar Hashim.

Tambahan pula, katanya, sebelum itu Harakah melaporkan bahawa Adun akan membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

“Saya juga terpandang berita kaki dalam TV3 atau TV1 mengenai amaran Menteri Besar kepada ADUN yang akan mengemukakan usul undi tidak percaya,” tambahnya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, YB Ariffin berkata, beliau tidak dapat menerima jika dikatakan SMS berbau ugutan itu datang dari Dr Ramzi.

“Jika ia datang dari Dr Ramzi saya anggap ia satu gurauan sahaja,” katanya yang membuat laporan polis berhubung SMS itu kira-kira 15 minit selepas bertemu Dr Ramzi.

Sementara itu, saksi ketiga, YB Abdul Halim Jusoh (Adun Permaisuri), memberitahu mahkmah beliau berada di Gong Badak semasa menerima SMS berbunyi “Baik jangan teruskan niat YB jika YB sayangkan nyawa,”.

Beliau yang menggunakan telefon bimbit nombor 019-9859088 berkata, SMS tersebut diterima jam 11.30 pada 13 April 2009.

Katanya, beliau memberitahu Dr Ramzi mengenai SMS tersebut kerana tertuduh adalah rakan baiknya.

“Dr Ramzi beritahu YB Ariffin juga ada terima SMS yang sama seperti yang saya terima,” katanya yang membuat pengesahan SMS dihantar melalui telefon bimbit nombor +6019-9158369.

Selepas diberi peluang membaca semula SMS melalui telefon miliknya di mahkamah, YB Abdul Halim kemudiannya membacakan semula SMS berbunyi “Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”.

YB Abdul Halim berkata, setelah berbincang dengan Dr Ramzi dan YB Alias, mereka membuat keputusan untuk membuat laporan polis mengenai perkara itu di IPD Kuala Terengganu.

Katanya, mereka tiba di IPD Kuala Terengganu lebih kurang jam 12 tengah malam untuk membuat laporan polis.

YB Abdul Halim kemudiannya memberitahu mahkamah telefon bimbitnya diserah kepada polis jam 7.10 malam pada 26 April 2009.

Pada sesi petang, saksi keempat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, YB Datuk Rosol Wahid, hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, bahawa beliau menerima Sistem Pesanan Ringkas (SMS) daripada nombor tidak dikenali berbunyi “Baik YB jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?”, lebih kurang jam 11.25 malam pada 13 April, tahun lalu.

Datuk Rosol ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Shahidani Abd Aziz, beliau menjelaskan ketika SMS itu diterima, beliau sedang minum di sebuah kedai makan di Jalan 23 Kuala Berang-Kuala Terengganu.

Menurut beliau, SMS itu diterima dari penghantar yang tidak dikenali menggunakan nombor + 31234567890.

Ketika ditanya mengenai perasaan beliau sejurus mendapat SMS itu, beliau menjelaskan pada mulanya tidak merasa apa-apa kerana nombor itu tidak diwakili oleh sesiapa.

Bagaimanapun, sejurus kemudian beliau menerima panggilan daripada YB Zakaria (Mohd Arifin Abdullah yang juga saksi kedua) yang menanyakan beliau sama ada menerima atau tidak SMS yang sama.

“Selepas diceritakan kepada saya yang dia menerima SMS ugutan dan saya maklumkan kepada beliau saya juga terima SMS yang sama. Bagaimanapun, saya menjelaskan SMS berkenaan saya terima dari nombor +31234567890, manakala dia terima SMS dari nombor berlainan daripada apa yang saya terima.

“Dia ada bagitau nombor tapi saya tak ingat nombor itu, cuma yang saya ingat nombor itu dimaklumkan kepada saya milik Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Menteri Besar (Haji Wan Ahamad Wan Muda),” katanya .

Selepas mendapat maklumat daripada YB Zakaria, beliau kemudiannya berpakat untuk membuat laporan polis berhubung SMS ugutan itu dan diminta oleh YB Zakaria supaya kes itu sama-sama dilaporkan di Kuala Terengganu.

Beliau bagaimanapun membuat laporan di Kuala Berang memandangkan jarak yang jauh untuk ke Kuala Terengganu serta waktu yang sudah lewat malam ketika itu.

Datuk Rosol yang merasakan SMS itu suatu ugutan dan boleh menyebabkan nyawa terancam selepas diberitahu identiti pengirim SMS berkenaan dan suasana politik negeri Terengganu ketika itu, membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan kira-kira jam 12.45 pagi di Balai Polis Kuala Berang..

Ketika diminta penjelasan oleh Timbalan Pendakwa Raya mengenai senario politik ketika itu, beliau menjelaskan ketika itu Persidangan Dewan Undangan Negeri sedang berjalan dan ura-ura atau cakap-cakap yang mengatakan YAB Menteri Besar akan digulingkan melalui usul undi tidak percaya. Oleh kerana itu, mungkin ada kebimbangan SUSK mengenai perkara itu berlaku menyebabkan SMS itu dihantar.

Beliau kemudiannya tidak membuat apa-apa tindakan susulan selepas laporan polis dibuat pada malam kejadian (13 April) itu.

Telefon bimbit tersebut yang menggunakan nombor 012-9838307 dan dikemukakan sebagai barang bukti ditunjukkan dalam mahkamah sebelum disahkan oleh saksi keempat itu.

Datuk Rosol memberitahu mahkamah, jika SMS itu dihantar oleh Dr Ramzi, beliau tidak berasa apa-apa dan tidak menganggap itu sebagai ugutan.

Beliau juga bersetuju bahawa SUSK merupakan orang yang rapat dengan YAB Menteri Besar dan disebabkan SMS itu ada kaitan dengan SUSK, jika undi tidak percaya itu benar-benar berlaku dan berjaya, maka kesan negatif kepada SUSK dan jika tidak berjaya, SUSK tidak akan mendapat apa-apa faedah.

Ketika menjawab soalan terakhir Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Rosol juga bersetuju bahawa SUSK tidak akan menjatuhkan Menteri Besar kerana beliau mencari makan dengan Menteri Besar.

Kumpul dana untuk penduduk Gaza

Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) cawangan Terengganu akan menganjurkan Majlis Makan Amal Talian Hayat Gaza Palestin di Primula Beach Hotel Kuala Terengganu 30 April ini.

Yang Dipertuanya, Ishak Yusof berkata, program yang dianjurkan melalui Biro Haluan Palestin itu pertama kali dianjurkan bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada penduduk Gaza.

Katanya, dana yang diperolehi akan disalurkan melalui Haluan Palestin Malaysia yang akan menyertai Konvoi Kemanusiaan Haluan Palestin anjuran Yayasan Hak Asasi Kemanusiaan, Kebebasan dan Bantuan Kemanusiaan Turki (IHH Turki).

Menurut beliau, konvoi bantuan kemanusiaan IHH Turki akan menggunakan 20 buah kapal yang turut disertai oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa termasuk dari Malaysia.

''Majlis makan malam juga diharapkan dapat menyedar serta mendidik masyarakat akan kepentingan memperjuangkan hak-hak asasi manusia di samping menyampaikan informasi berhubung situasi terkini di Palestin," katanya.

Mengulas lanjut Ishak berkata, sempena majlis makan malam itu, tetamu akan dihiburkan dengan persembahan nasyid dari Kumpulan Shoutul Furqan-Malaysia dan persembahan multimedia isu Palestin.

Katanya, pihaknya berharap dapat mengumpul sebanyak RM30,000 pada majlis makan malam itu.

Sehubungan itu, beliau yang juga pengerusi penganjur majlis makan malam itu mempelawa syarikat korporat, NGO dan individu untuk bersama-sama membantu menjayakan majlis tersebut dengan membeli meja sambil menderma.

Mereka yang berminat boleh menghubungi sekretariat melalui talian 016-9803001 atau 09-6880888 serta 019-9510101.

Terengganu Sedia Bantu Persatuan Menyelam Bersih Laut

Kerajaan Terengganu sedia bekerjasama dengan mana-mana persatuan menyelam yang berhasrat menjalankan kerja-kerja membersih dan memulihara khazanah dasar laut di Terengganu, termasuk dari segi menyediakan peruntukan buat mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Za'aba Mohd Adib berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil berat terhadap aspek kebersihan dalam negeri bukan sahaja di darat tetapi juga dasar laut, terutama di pulau-pulau peranginan.

"Aktiviti pembersihan dasar laut dan pembersihan dasar laut ini merupakan kerja-kerja yang dilakukan secara berterusan dan kami amat mengalu-alukan mana-mana persatuan menyelam yang berminat melakukan aktiviti itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri program pembersihan pantai dan dasar laut serta proses menenggelamkan kapal nelayan asing untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Tenggol semalam yang sertai oleh 20 penyelam dari Persatuan Menyelam Ocean Elements.

Katanya kebersihan dasar laut perlu sentiasa dipelihara kerana Terengganu mempunyai kawasan pantai sepanjang 244 kilometer serta pulau-pulau yang menjadi daya tarikan utama pelancong termasuk untuk aktiviti menyelam.

"Terengganu memiliki terumbu karang antara yang tercantik di Malaysia dan amat rugi jika tidak menghargainya. Jangan sampai apabila ia terancam barulah hendak dilaksanakan kerja-kerja menjaganya," katanya.

Sunday, April 25, 2010

Pelabur Cina Bina Kilang Besi RM1 Billion Di Terengganu

Sebuah kilang besi milik pelabur dari China akan dibina di kawasan perindustrian Teluk Kalong di sini dengan pelaburan bernilai RM1 bilion.


Menteri Besar dikerumuni wartawan sekembalinya dari lawatan ke China Khamis lalu – Gambar Zulkifli Putra.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata, persetujuan untuk membina kilang besi yang dijadualkan awal tahun depan itu dicapai hasil lawatan beliau ke Guangzhou, China pada 18 hingga 22 April lepas.

"Saya kira lawatan saya bersama ahli perniagaan dari Terengganu ke Guangzhou baru-baru ini sangat berjaya.

Saya telah berjumpa dengan beberapa pelabur yang ingin membuat pelaburan di Terengganu.

"Selain berminat untuk melabur dalam perusahaan menternak burung walit, mereka juga ingin membina kilang besi di sini dan cadangan itu telahpun diluluskan oleh kerajaan negeri," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) di Kemaman semalam.

Ia turut dihadiri Yang Dipertuanya Toh Puan Norliza Mahmud.

Ahmad Said berkata, kerja-kerja pengukuran dan penyediaan tapak bagi pembinaan kilang itu telahpun dilakukan dan dijangka selesai akhir tahun ini.

Beliau berkata, apabila kilang itu mula beroperasi pada akhir tahun hadapan, ia dijangka dapat memberi peluang pekerjaan kepada 800 penduduk tempatan pada peringkat awal.

Malam PEWARTA 2010 ada kejutan


Pertemuan Ahli JK PEWARTA dengan Menteri Besar di Wisma Darul Iman minggu lalu.

Persatuan Wartawan Terengganu (PEWARTA) akan menganjurkan Malam Pewarta 2010 di kediaman Seri Iman, 6 Jun depan sempena mesyuarat agong PEWARTA pada sebelah pagi.

Malam yang dipenuhi acara anugerah Tokoh Wartawan dan Masyarakat 2010 kali kedua itu mendapat kerjasama rapat Kerajaan Negeri.

Pada pertemuan Jawatankuasa PEWARTA dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said minggu lalu, beliau bersetuju untuk merasmi dan menyampaikan anugerah malam berkenaan.

Beliau juga akan melancarkan lebih daripada 20 buah jodol buku terbaru karya ahli jawatankuasa dan ahli PEWARTA serentak dengan penjualan pada pamiran buku PEWARTA di perkarangan malam bersejarah itu.

Kali ini, PEWARTA tidak sahaja memberi anugerah kepada empat tokoh wartawan malah anugerah utama iaitu “Anugerah Khas Presiden” kepada seorang pemimpin yang paling lama berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Anugerah juga akan diberikan kepada pemimpin NGO yang kini berjaya memiliki syarikat gergagasi di dalam dan luar Terengganu.

Empat tokoh wartawan itu diberi berdasarkan empat kategori dalam bidang kepakaran masing-masing bagi berita, rencana, cerpen dan drama.

Mereka bukan sahaja memperkenalkan negeri Terengganu malah memberi inspirasi kepada seluruh masyarakat dalam dunia tanpa sempadan ini.

Pada 2004 - kali pertama PEWARTA menganjurkan malam “Anugerah Tokoh Wartawan dan Masyarakat”, anugerah disampaikan kepada empat tokoh wartawan.

Mereka ialah bekas Timbalan Menteri Perushaan Utama yang juga novelis serta bekas wartawan Utusan Melayu, Datuk Alias Mohd.Ali dan bekas ADUN Air Puteh yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia, Haji Harun Hassan disamping dua lagi bekas wartawan Utusan Melayu iaitu Haji Embong Muhammad serta pelakon dan penulis skrip filem, Omar bin Puteh (Aimi Jarr).

Tiga aktivis yang menerima “Tokoh Masyarakat” pula ialah Tan Sri Datuk Dr.Yusoff Mohd.Nor (bekas menteri dan kini Pengerusi FELDA), Datuk Haji Awang bin Jabar (bekas Ahli Parlimen Dungun dan Setiausaha Parlimen) dan Puan Hajah Hafsah binti Abdul Jalili (bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Dungun dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Syarikat Lombong EMMCO Bukit Besi).

Berkaitan buku yang diterbitkan, sebahagian besar novel, antologi cerpen, puisi, sajak dan panduan menulis drama itu berlatar belakangkan negeri Terengganu.

Antara novel yang akan dilancarkan itu termasuklah ‘Matinya Seorang Ulama Tersohor’ oleh Wan Aminah Endut, wanita tunggal dalam kumpulan PEWARTA.

Beliau ialah pendidik yang menggarapkan menimba pengalaman dari ayahnya, seorang guru agama keturunan ulama dan mufti Terengganu.
Selain dari itu Cinta Gadis Nelayan, Operasi Tawan Pulau Buai, Penghuni Pantai, Nostalgia, Legenda Batu Bersurat, Misteri Gua Taat, Asal Usul Bukit Besi ( Haji Mohamed Jusoh- Bekas Editor Utusan), Peristiwa di Gua Hantu,Tinggi-tinggi terbang Bangau (5),Bukit Besi dalam kenangan (Haji Embong Muhammad- Bekas Wartawan Utusan),Dailog Malam Pertama (Haji Abdullah Ngah- Penulis Bebas).

Buku-buku Antologi Puisi pula: Berkongsi Mimpi (Haji Wan Ahmad bin Ismail),Tiga Mata Serangga (Hilmi Rindu),Di Perhentian Terakhir (Wahba- Bekas Wartawan Utusan) dan Tips Menulis Skrip Drama Radio (Mohd Zan Mat Ali).