Saturday, August 21, 2010

MB hadiri Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2010

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) mempengerusikan mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2010 yang turut dihadiri oleh menteri-menteri besar dan ketua menteri, di Kementerian Kewangan, Putrajaya, 20 Ogos.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said semalam menghadiri Mesyuarat Majlis Kewangan Negara di Putrajaya yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau adalah antara Menteri Besar, Ketua Menteri serta pegawai tinggi kerajaan Persekutuan yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

Antara perkara penting dibincangkan ialah defisit kerajaan, tarif air, cukai tanah dan pelaburan oleh pelabur tempatan selain pakej rangsangan ekonomi.

Menurut Najib, Kerajaan Pusat pada prinsipnya bersetuju supaya cadangan kenaikan tarif air dan cukai tanah di semua negeri diseragamkan pada masa depan.

Perdana Menteri berkata bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada persetujuan negeri-negeri tanpa mengira fahaman politik mengenai kedua-dua cadangan berkenaan.

"Dalam soal hasil tanah dan juga daripada segi kos bekalan air, kita akan cuba mendapatkan persefahaman dalam hal ini.

"Dalam erti kata lain, kalau ada cadangan hendak naikkan harga air atau cukai tanah, kita sedang cuba untuk mendapatkan pendirian yang seragam atau bersama di antara semua kerajaan negeri," katanya.

Najib berkata beliau memberi tempoh dalam bulan Ramadan ini kepada semua kerajaan negeri memaklumkan kepadanya sama ada mereka bersetuju supaya beliau menjadi hos kepada satu perbincangan selepas Hari Raya bagi mencari kata sepakat dalam hal tersebut.

Katanya ini memandangkan kerajaan negeri menghadapi tekanan pendapatan dan sumber yang terhad manakala kos untuk segala tanggungjawab kerajaan negeri, termasuk bekalan air kian meningkat.

"Jadi kalau ada cadangan untuk menaikkan harga air dan cukai tanah, (maka) akan berlaku unsur politik dalam hal ini. Tetapi kalau semua negeri bersetuju, tiadalah mainan politik sama sekali.

"Ini satu gambaran yang begitu positif sekiranya dapat dicapai dalam masa terdekat. Belum pernah lagi kita dapat melakukan perkara ini," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata selepas mesyuarat berkenaan, adalah lebih baik kerajaan mengukuhkan kekuatan fundamental daripada memperkenal pakej rangsangan ekonomi secara kerap bagi menangani kelembapan ekonomi.

Menurutnya, negara perlu mengelak daripada terlalu kerap memperkenal pakej rangsangan kerana setiap kali diperkenalkan, defisit kerajaan akan bertambah.

Namun begitu, katanya, rangsangan, terutama kepada pelabur tempatan untuk membuat pelaburan, perlu diteruskan.

"Jika kita dapat melakukan perkara ini dan projek-projek yang mempunyai kesan limpahan yang besar kepada ekonomi negara, kesan pengganda utama dapat kita laksanakan ... jika tahun depan ada sedikit penurunan dari segi permintaan luar, kita masih boleh mencapai sasaran enam peratus itu,

"Rangsangan fiskal adalah pilihan terakhir. Ia tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang wajar. Dan ia tidak boleh kita lakukan secara tetap," katanya.

Bagi menangani kesan krisis ekonomi yang melanda dunia lewat beberapa tahun lepas, kerajaan memperkenal pakej rangsangan ekonomi negara berjumlah RM67 bilion.

Undang-Undang Hudud - Karpal Sanggah Nik Aziz

http://kijang-jantan.blogspot.com

Apa kata PAS Kelantan dan Musyridul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap pandangan Pengerusi DAP Karpal Singh?

Yang pasti sampaim kiamat pun Karpal tidak akan menerima hukum Hudud.

Pemimpin DAP itu tidak bersetuju dengan cadangan Mursyidul Am PAS itu bahawa cara terbaik menangani masalah jenayah dan sosial ialah meminda undang-undang sivil dan digantikan dengan undang-undang hudud.

Karpal berkata partinya tidak dapat menerima sebarang bentuk pelaksanaan hudud di negara ini.

"Adalah silap bagi orang seperti Nik Aziz bercakap sesuatu yang tidak boleh diperkenalkan di negara ini. Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan Kanun Keseksaan dan undang-undang sivil lain dan tidak ada ruang untuk undang-undang hudud," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Karpal mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu semalam bahawa adalah wajar untuk berbalik kepada hudud oleh kerana beliau dakwa undang-undang sivil sekarang gagal mengawal jenayah dan penyakit sosial.

Kelmarin Nik Aziz berkata kerajaan negeri berusaha melaksanakan Undang-Undang Hudud dan Qisas di Kelantan bagi mendidik umat Islam membendung kejadian buang bayi dan jenayah.

Beliau, yang juga Mursyidul Am PAS berkata, undang-undang yang sedia di negara ini dilihat gagal menangani sebarang bentuk gejala jenayah dan sosial kerana ia tidak disertakan dengan didikan agama.

Katanya undang-undang bukanlah jawapan sebenar ke arah penyelesaian kepada jenayah dan gejala sosial, seperti kes rasuah, pembuangan bayi yang sedang melanda negara sekarang.

"Polis dan menggari pesalah adalah perkara kedua, yang penting dan utama ialah didikan agama supaya dapat ditanam roh takwa di kalangan umat manusia," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Hududullah dan Seminar Hukuman Sebat Syariah di Kompleks Balai Islam, di Kota Bharu.

Kelantan dan Terengganu merupakan dua negeri yang sudah mempunyai Undang-Undang Hudud dan Qisas untuk orang Islam ketika di bawah pentadbiran PAS tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Antara percanggahan itu termasuk pelaksanaan terhadap prosedur, kesalahan dan hukuman jenayah termasuk mencuri dan membunuh yang telah mempunyai peruntukan undang-undang Persekutuan di negara ini.

Nik Abdul Aziz berkata penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak cukup mengawal manusia tanpa disertai didikan dan tarbiyah syariat Islam dari peringkat ibu bapa, guru hingga pentadbir kerajaan negeri dan pusat.

Justeru itu, katanya, kerajaan negeri tetap berusaha untuk melaksanakan hukum hudud yang tidak harus dilihat sebagai suatu hukuman potong tangan terhadap pencuri semata-mata.

Hukum itu sendiri bertindak untuk mengajar umat manusia supaya tidak melanggar perkara yang dilarang tuhan kerana kelak ia akan membawa satu penyakit kanser moral kepada manusia, yang akhirnya menjatuhkan ketamadunan manusia sendiri, katanya.

"Hudud adalah garis sempadan yang ditentukan Allah menghadkan sesuatu yang termasuk dalam apa yang dilarang dan diperintah dan bukan semata-mata hukuman potong tangan bagi pencuri dan rejam bagi penzina," tegas beliau.

Karpal pula berkata beliau amat jelas dalam perkara itu dan tidak mahu berhujah dengan Nik Aziz kerana pandangan beliau (Karpal) berdasarkan apa yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan negara sekular.

Karpal berkata pada 1988, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa hanya undang-undang sivil terpakai di sesebuah negara sekular.

Katanya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengenakan hukuman mati dalam kes buang bayi, dan menambah adalah lebih baik menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dan mengenalpasti punca masalah sebenar.

Terang lagi bersuluh, apakah PAS terus mahu 'berkawan' dengan DAP itu?

FAMA Beli 63 Metrik Tan Duku Terengganu

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membeli sebanyak 63 metrik tan buah duku bernilai RM72,000 di Terengganu sejak awal Ogos sehinggalah semalam.

Pengarah FAMA Negeri Terengganu, Hasan Jusoh berkata langkah agensi pemasaran itu membeli buah duku adalah bertujuan untuk mengatasi lambakan buah tersebut.

"Kebun duku terutamanya di beberapa daerah di Terengganu sekarang ini sedang masak dan dipetik oleh petani," katanya di Kuala Terengganu.

Hasan berkata kebetulan sekarang ini bulan puasa, menyebabkan buah duku banyak di pasaran dan harganya jatuh sehingga 90 sen sekilo.

Beliau berkata kerana itu, FAMA akan membeli seberapa banyak buah duku yang ada bagi memastikan petani-petani tidak mengalami kerugian.

Hasan berkata FAMA membeli buah duku daripada petani pada harga RM1.20 sekilogram, dan kebanyakan buah duku itu dijual semula di Lembah Klang, Perak dan Johor.

Daerah Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan Dungun merupakan kawasan yang paling banyak mengeluarkan duku di Terengganu pada tahun ini, katanya.

Bagaimana pun, beberapa kawasan duku di daerah Kuala Terengganu, seperti Pulau Rusa, Mansir, Kepong, Sungai Rengas, Pulau Musang dan Serada tidak menjadi pada musim ini, katanya.

Hasan berkata tahun ini, FAMA mewujudkan beberapa pusat pengumpulan di daerah Hulu Terengganu dan Dungun bagi memudahkan petani-petani menjual duku kepada agensi itu.

Hentikan Segera Guna Nama Guan Eng Dalam Khutbah Jumaat

Perbuatan menggunakan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam bacaan doa khutbah kedua solat Jumaat menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hendaklah dihentikan segera kerana ia bercanggah dengan hukum Islam dan undang-undang negara.

Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku, ia amat memalukan kerana jelas menjatuhkan maruah Islam yang mempunyai hukum dan peraturan tersendiri.

Katanya, khutbah Jumaat adalah satu ibadat yang diwajibkan kepada setiap umat Islam dan ia tidak boleh disamakan dengan sesuatu majlis yang dimana aturcaranya boleh diubahsuai sesuka hati dan tidak berlandaskan hukum.

"Justeru, tidak wajarlah di dalam doa khutbah kedua solat Jumaat dimasukkan doa untuk mereka yang bukan Islam kerana ia tidak pernah dilakukan walaupun di zaman Nabi," katanya di Besut semalam.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendedahkan penggunaan nama Ketua Menteri itu yang dilaporkan berlaku di beberapa buah masjid ketika solat Jumaat baru-baru ini.

Di KUALA LUMPUR, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar satu siasatan segera dibuat mengenai amalan penggantian nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya perkara tersebut benar-benar terjadi, maka amalan itu bukan sahaja menghina institusi raja selaku ketua agama bahkan kesucian masjid dengan penggunaan mimbar bagi mengagungkan Lim selaku Ketua Menteri.

"Kejadian-kejadian pelik lagi dangkal kerana pembacaan doa khutbah solat Jumaat sememangnya dikhususkan kepada Ketua Agama Islam Persekutuan atau Ketua Agama Islam Negeri, yakni Yang Dipertuan Agong dan Sultan dan bukannya untuk kuasa eksekutif pentadbiran negeri iaitu Menteri Besar atau Ketua Menteri tidak kira sama ada beliau itu muslim atau tidak," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata Majlis Agama Islam Pulau Pinang tidak sepatutnya membiarkan perkara itu berlaku kerana ia jelas menghina dan mengaibkan seluruh umat Islam di negara ini.

Katanya, perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara ini dimana nama Menteri Besar atau Ketua Menteri apatah lagi daripada golongan bukan Islam disebut di dalam bacaan doa khutbah kedua solat Jumaat.

"Majlis Raja-Raja sudah membuat ketetapan bahawa hanya nama Yang di-Pertuan Agong disebut dalam doa khutbah Jumaat, oleh itu apa yang dilaporkan berlaku di Pulau Pinang amat mengaibkan umat Islam," tegasnya.

Anak DiPengaruhi Dadah - Ibu Terpaksa Repot Polis

Kes seorang penagih dadah di Hulu Terengganu menyimbah asid terhadap isteri dan anak hanya baru beberapa hari berlalu.

Kini di Langkap ada lagi satu kes yang menyayat hati.

Seorang ibu tunggal berusia 60 tahun yang tinggal di kawasan Chalok di Langkap, terpaksa membuat laporan polis berikutan tidak tahan dengan sikap anak tunggalnya yang sering meminta wang sejak belakangan ini.

Ia tidak lain daripada mendapatkan bekalan dadah.

Difahamkan, ibu tunggal terbabit yang hanya bekerja sendiri terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sehingga RM100 sehari bagi menampung keperluan anaknya itu.

Anak tunggalnya itu dikatakan juga menghidap Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (Aids) dan menjadikan ibunya tempat beliau mendapatkan wang bagi membeli bahan terlarang itu.

Apapun, penderitaan ibu tunggal terbabit berakhir apabila anaknya yang berusia 37 tahun itu berjaya ditahan polis dalam Ops Tapis Bersepadu diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Setiu, Chif Inspektor Mohd Fahmiy Mohd Zain.

Dalam operasi 12.30 pagi kelmarin, suspek ditahan di kawasan Chalok dalam keadaan khayal selepas dipercayai baru mengambil dadah dengan wang yang diperoleh daripada ibunya.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid mengesahkan mengenai penahanan suspek dalam operasi itu.

“Sekumpulan pegawai dan anggota polis kemudiannya membawa suspek ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) untuk siasatan lanjut dan menjalani pemeriksaan air kencing. Hasil siasatan mendapati suspek positif dadah,” katanya di IPD Setiu kelmarin.

Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau kerana pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah termasuk pernah ditahan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Besut selama dua tahun sebelum ini.

Suspek kini ditahan reman selama 14 hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983.

Jika sabit kesalahan boleh dihantar ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik selama dua tahun seperti diperuntukkan seksyen itu.

Friday, August 20, 2010

Dua Beranak Maut, Dua Lagi Koma Kereta Bertembung Ketika Hujan Di Marang

NOR Azlina Ghazali (tengah) dipapah bapanya Ghazali Mat Amin dan saudaranya selepas rebah sejurus tiba di bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk melihat jenazah suami dan anaknya yang maut dalam kemalangan di Km 50.5 Kuala Terengganu-Dungun, dekat Jambu Bongkok, Terengganu. Mangsa dalam perjalanan untuk menjemput Nor Azlina di Kuantan. - Utusan

Dua terbunuh, termasuk bapa dan anak perempuannya berumur tiga tahun manakala dua lagi koma dalam kemalangan di Kilometer 50.5 Kampung Telaga Air, Marang dalam kejadian 11.30 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahaya berkata Mohd Azmani Azalan @ Zed, 31, seorang mekanik, dan anak tunggalnya, Nor Fatin Alia meninggal dunia di tempat kejadian.

Mangsa yang koma, adik ipar Mohd Azmani, Norrul Hidayah Ghazali, 25 tahun dan pemandu kereta yang turut terlibat dalam kemalangan Muzaiman Mohd, 26.

Seorang lagi penumpang kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu Mohd Azmani, iaitu anak saudaranya, Wan Mohd Hasih Wan Yahaya, 16, cedera di bahagian muka dan kedua-dua mangsa yang koma, dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Mohd Azmani dari Lorong Ciku, Chabang Tiga di sini dalam perjalanan untuk menjemput isterinya, Norazlina Ghazali, 27, yang bekerja di Tenaga Nasional Bhd (TNB) Kuantan dan kini hamil lapan bulan, kata Ahmad Mazlan kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu Muzaiman dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu terbabas memasuki laluan kenderaan yang dipandu Mohd Azmani lalu bertembung dalam keadaan jalan licin akibat hujan.

"Muzaiman dipercayai berkonvoi dengan isterinya yang memandu kereta di hadapan.

"Isterinya terlihat kemalangan yang berlaku melalui cermin sisi dan berpatah balik membantu suaminya keluar dari kenderaan yang terbakar sejurus kemalangan," katanya.

Mayat dua beranak itu dihantar ke HSNZ untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugur Raja, Wakaf Mempelam.

Wakil Terengganu ke Perlumbaan Kraft Air AS

Selepas menanti 11 tahun, Malaysia akan menghantar tiga pelumba sukan kraft air di bawah nama Jetrace 1Malaysia untuk menyertai pusingan akhir kejohanan dunia Quakysense ke-29 di Lake Havasu City, Arizona, Amerika Syarikat.

Pengurus pasukan, Raja Aris Dzulkifli berkata Kelab Sukan Kraft Air Malaysia telah menubuhkan pasukan untuk menyertai kejohanan selama seminggu itu yang merupakan penyertaan sulung pasukan negara di kejohanan dunia.

"Kita pernah mendapat kelayakan menyertai kejohanan ini pada tahun 1999 namun kerana kegawatan ekonomi, kita terpaksa melupakan hasrat itu dan terpaksa menunggu peluang selama 11 tahun.

"Penyertaan pada kali ini tidak akan dipersiakan kerana peluang untuk menyertainya adalah sukar kerana sukan kraft air merupakan sukan yang popular di luar negara berbanding di Malaysia," katanya hari ini.

Raja Aris berkata negara Asean yang kuat memberi persaingan dalam sukan kraft air ialah Indonesia, Thailand dan Filipina kerana mereka memfokuskan sukan berkenaan ke peringkat antarabangsa.

Mohd Nur Azahari Ahmad Baddri, 28, dari pasukan X1 Jetracing Team akan menyertai kategori Amateur Runabout 800 Open manakala Ahmad Dawi Alias, 45, dari Club Terengganu Marina Racing Team (CTM Racing) akan menyertai kategori Novice Runabout 1800 Stock.

Peserta wanita, Katherine Kong, 35, dari pasukan LT-Kawasaki Racing Team akan menyertai Women Runabout 1800 Limited.

Raja Aris turut memohon tajaan daripada syarikat korporat untuk membiayai pasukan tersebut kerana ia memakan kos perbelanjaan yang besar dan segala perbelanjaan ditanggung sendiri.

"Kita berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut mengambil perhatian terhadap sukan kraft air kerana sukan ini mempunyai nilai komersial untuk dibangunkan memandangkan negara kita sesuai dijadikan lokasi pertandingan dan dikelilingi oleh pantai.

Lebih 500 peserta dari 40 negeri di Amerika Syarikat dan 30 negara luar akan menyertai kejohanan di Lake Havasu dan membabitkan lapan kategori.

Thursday, August 19, 2010

Kerjasama Dengan EDA Promosi Pulau

Kerajaan Terengganu akan bekerjasama dengan persatuan penyelam dari Emirates Diving Association (EDA) yang berpusat di Dubai untuk menjadikan pulau-pulau di negeri itu sebagai pusat tumpuan penyelam dari seluruh dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, kerajaan akan mengadakan lawatan ke Dubai bagi menentukan tindakan yang perlu diambil untuk menarik penyelam-penyelam profesional mengadakan aktiviti itu di pulau-pulau di negeri ini.

"Kita ingin bekerjasama dengan EDA dan ingin jadikan EDA sebagai duta kita di Timur Tengah.

"Ini adalah satu usaha yang baik dan kita susuli dengan mengadakan seminar, bengkel bersama EDA yang mempunyai kira-kira 1,400 penyelam profesional yang ahlinya daripada serata dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menerima kunjungan sembilan orang ahli EDA yang sedang meninjau produk pelancongan di negeri Terengganu.

Sebelum itu, anggota EDA yang terdiri daripada negara seperti Mesir, Perancis, England, Afrika Selatan, Filipina itu telah mengadakan aktiviti menyelam di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Bidong selama seminggu bermula 13 Ogos lepas.

Rahin berkata, buat permulaan, Terengganu mensasarkan untuk menarik 20 peratus daripada anggota EDA yang merupakan penyelam profesional itu datang menyelam di pulau-pulau negeri ini.

"Setelah mereka pulang, mereka akan bercakap dari mulut ke mulut yang merupakan satu sistem pemasaran yang berkesan, selain menunjukkan video atau gambar-gambar yang diambil di sini kepada rakan-rakan mereka, ia sudah tentu menjadi tarikan untuk berkunjung ke Terengganu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek EDA Rima Fadl Sammer Hassan Al-Abbas ketika ditemui berkata, persatuannya mempunyai lebih 1,400 penyelam profesional dari seluruh dunia.

Katanya, anggota persatuan EDA terdiri daripada kalangan yang berkemampuan dan dari pelbagai latar belakang seperti bekerja sebagai jurutera, akauntan dan ahli perniagaan yang aktif mengadakan akvitiviti menyelam di seluruh dunia.

Menurutnya pulau-pulau di Terengganu yang mempunyai pemandangan dan batu karang yang menarik bersesuaian untuk aktiviti menyelam anggota persatuan itu yang sememangnya suka kepada cabaran.

Ahmad Said, Isteri Hadir Majlis Berbuka Puasa PM Di Seri Perdana

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Toh Puan Seri Nurliza Mahmud semalam menghadiri majlis berbuka puasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama anggota Kabinet, menteri besar dan ketua menteri di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.

Difahamkan, Menteri Besar itu masih berada di Kuala Lumpur kerana urusan rasmi.

Pada majlis semalam, Najib selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda, turut menyampaikan zakat perniagaan Kumpulan Felda dan Koperasi Permodalan Felda (KPF) Berhad kepada 14 buah Pusat Zakat Negeri (PZN).

Jumlah bayaran zakat bagi tahun 2009 bagi Kumpulan Felda dan KPF ialah berjumlah RM25.82 juta iaitu bertambah RM5.94 juta berbanding RM19.88 juta pada 2008.

Zakat Kumpulan Felda bagi 2009 adalah sebanyak RM14.92 juta iaitu bertambah RM2.15 juta manakala KPF pula berjumlah RM10.90 juta, meningkat sebanyak RM3.78 juta.


PZN Pahang adalah penerima terbesar zakat tersebut iaitu sebanyak RM9.02 juta, diikuti Johor (RM5.96 juta), Sabah (RM2.9 juta) dan Negeri Sembilan (RM1.82 juta).

Turut hadir pada majlis itu ialah steri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Felda, hadir sama.

NAJIB Tun Razak dan Rosmah Mansor menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim dari Rumah Nur Hikmah, Kajang, pada Majlis Berbuka Puasa di Sri Perdana, Putrajaya, malam tadi.

Pemohon sertai ujian hafaz al-Quran meningkat

Jumlah penyertaan Ujian Hafaz al-Quran terbuka negeri semakin mendapat sambutan seiring dengan peningkatan jumlah mereka yang hafaz al-Quran setiap tahun.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Shamsiah Awang berkata, pada penggal pertama tahun ini, sebanyak 89 peserta telah lulus.

''Mereka adalah antara 142 pemohon dari seluruh negeri ini dan 81 daripada mereka merupakan lulusan tahap 30 juzuk.

"Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pensyarah, guru dan usahawan serta golongan orang kurang upaya (OKU)," katanya di Kuala Terengganu.

Menurutnya, proses permohonan serta ujian akan dijalankan pada setiap penggal iaitu setiap setengah tahun.

Beliau berkata, terdapat penolakan penyertaan disebabkan peserta tidak memenuhi syarat-syarat dalam Peraturan Hafaz al-Quran 2007 (Pindaan) seperti tidak bermastautin dalam negeri.

"Ada pemohon sanggup pulang dari luar negara seperti Mesir semata-mata mahu menyertai ujian ini namun permohonan ini terpaksa ditolak kerana tidak bermastautin di sini," katanya.

Tambah Shamsiah, walaupun program ini merupakan ibadah yang sangat dituntut agama, namun peserta yang lulus akan diberi insentif bulanan sebanyak RM1,000 sebagai penghargaan.

Jelasnya, mereka yang berjaya diminta menyumbang kepada masyarakat setempat melalui pengajaran kelas al-Quran, menjadi imam atau bilal di masjid, mengajar ilmu tafsir al-Quran, tajwid dan fikah serta sumbangan melalui penulisan dan aktiviti dakwah.

"Bagi menghargai peserta yang lebih lima tahun berjaya ujian ini, mereka turut menerima tawaran menunaikan haji daripada pihak kerajaan negeri dan sumbangan khairat kematian sebanyak RM10,000," ujarnya.









Peserta Terengganu, Ahmad Tarmizi Ali mendapat terbaik keseluruhan menghafaz Al-Quran bagi Kategori Lelaki Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-31 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, baru-baru ini.


Program Survival Laut di Pulau Bidong

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menganjurkan program "Survival Laut dan Penghayatan Warisan" bertempat di Pulau Bidong selama dua hari satu malam, kepada pelajar barunya.

Ketua Pusat Kokurikulum Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Awang Koding Che Tom berkata, sepanjang 11 sesi program yang bermula 18 Julai dan berakhir 6 Ogos lalu itu berlangsung, seramai 1,970 pelajar baru UMT diberi peluang mempelajari kemahiran asas ketika berada di laut.

"Pelajar baru ini didedahkan dengan pelbagai pengetahuan termasuk berenang, memancing, memasang khemah, berkayak, dan aktiviti snokerling.

"Mereka juga didedahkan dengan aktiviti 'Jejak Warisan' iaitu pelajar dibawa ke trek berbukit yang pernah menjadi tempat bermastautin sementara ribuan pelarian orang hanyut Vietnam dari 1975 sehingga 1990," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu, semalam.

Peluang itu sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri memandangkan masih terdapat banyak lagi peninggalan orang hanyut di Pulau Bidong, katanya.

Gangguan Siaran RTM di Felda Tenang, Keruak & Cherul

Radio Televisyen Malaysia (RTM)memaklumkan bahawa siaran TV1, TV2 dan FM akan mengalami gangguan sementara di beberapa kawasan mulai 1.30 pagi hingga 4.30 pagi dari 23 hingga 27 Ogos ini.

Gangguan itu berikutan kerja menaik taraf sistem satelit di bawah Projek TV/PEM/4/2009, yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan mutu siaran di beberapa kawasan.

Menurut kenyataan Sekysen Media dan Promosi Bahagian Perhubungan Raya, Jabatan Penerangan antara kawasan terlibat ialah Felda Trolak Timur, Kampung Ulu di Slim River, Bukit Gantang di Changkat Jering, Pulau Pangkor, Sungai Siput Utara dan Bukit Memplam Sari di Gerik yang semuanya di Perak.

Beberapa kawasan di Pahang pula ialah Ulu Sungai Raub, Pulau Tioman, Kampung Bantal Ulu Tembeling dan Bukit Botak di Mentakab diikuti Felda Cherul di Kemaman, Felda Tenang di Besut dan Kruak di Terengganu.

Bagi Sabah dan Sarawak, gangguan siaran akan berlaku masing-masing di Batu Niah di daerah Miri dan Nabawan, Luasong dan Felda Sahabat, serta seluruh Wilayah Persekutuan Labuan.

Terengganu Anggap Semua Pasukan Hebat

Terengganu menganggap semua pasukan yang bertanding pada kejohanan Piala Malaysia musim ini yang bermula 14 September ini sebagai seimbang dan tidak ada pasukan pilihan.

Naib Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata ini kerana kekuatan sebenar pasukan-pasukan itu sukar dibaca dan diramal.

Sheikh Tajudin, yang juga pengurus pasukan Terengganu, berkata kejohanan musim ini dijangka lebih menarik dan sengit dengan kehadiran beberapa pasukan baru.

Beliau berkata bagi Terengganu, yang menduduki tangga ke tiga Liga Super musim ini, pasukan itu akan turun dengan kekuatan pemain sedia ada.

Katanya walaupun Terengganu akan kehilangan pakar tendangan bebas, Zairo Anuar Zalani yang berehat panjang kerana menjalani pembedahan lutut, pasukan itu tetap utuh dan hebat.

Sheikh Tajudin berkata ketua pasukan Marzuki Yusof, dan beberapa pemain yang cedera seperti Tengku Hasbullah Raja Hasan, Helmi Remeli dan Muhaimin Omar bagaimanapun sudah pulih dan bersedia diturunkan.

Mydin rancang buka 14 lagi cawangan di seluruh negara

Mydin Mohamed Holdings Bhd. merancang membuka satu lagi cawangan di Terengganu.

Ia adalah antara 14 lagi cawangan di seluruh negara dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.6 bilion dalam tempoh dua tahun.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata. syarikat itu telah membeli 14 bidang tanah bernilai RM165 juta di seluruh negara untuk membina pasar raya.

"Kami sedang mengkaji beberapa opsyen untuk membiayai pelan ini, seperti

dana janaan dalaman, pinjaman bank atau bina dan pajak," katanya kepada

pemberita selepas pelancaran Program Komuniti AmBank-MyKasih di Pasar Raya Mydin USJ Subang Jaya di sini hari ini.

Ameer Ali berkata, pasar raya baharu itu akan dibina di Kuching, Kota

Kinabalu, Sungai Petani, Bukit Mertajam, Kota Baharu, Kuantan, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Seremban dan Kajang.

"Rancangan segera kami ialah untuk menambah 20 cawangan pasar mini tahun ini dan 50 lagi menjelang 2011," katanya.

Pada masa ini, Mydin mempunyai 57 cawangan di seluruh negara, termasuk empat pasar raya besar, 18 emporium, dua bazar, 24 pasar mini (MyMydin), tiga kedai kemudahan 24 jam (My Mart) dan enam francais (Mydin Mart).

Ameer Ali berkata, Mydin mengunjurkan jualan meningkat kepada RM1.6 bilion tahun ini daripada RM1.35 bilion tahun lepas, sejajar dengan peningkatan trend dalam ekonomi domestik.

"Apabila negara menjadi lebih sihat, ekonomi kita akan menunjukkan prestasi

yang lebih baik, dan menghasilkan jualan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata, operasi perniagaan Lembah Klang terus menyumbang kepada

pertumbuhan jualan yang lebih tinggi, disusuli Melaka.

Wednesday, August 18, 2010

Bayi Lelaki Bogel Ditinggalkan Di Depan Rumah Polis

APA SALAHKU...Bayi lelaki yang ditinggalkan dalam keadaan bogel di hadapan sebuah rumah di Jalan Hulu Takir di Seberang Takir malam tadi disahkan sihat oleh Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, Rabu. Bayi lelaki yang dipercayai baru lahir itu ditemui di hadapan rumah anggota polis, Lans Koperal Marzuki Hamid sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk pemeriksaan lanjut. Foto BERNAMA

Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditinggalkan di depan pintu pagar rumah seorang anggota polis di Kampung Batin, di Seberang Takir malam tadi.

L/Kpl Marzuki Hamid, 44, berkata bayi lelaki seberat 3.03 kilogram itu ditemui anaknya Hafiyana, 19, jam 10.15 malam dalam keadaan berbogel dan ditinggalkan di atas rumput tanpa sebarang alas.

Marzuki yang bertugas di Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berkata, ketika itu beliau dan anggota keluarga yang lain keluar dan hanya Hafiyana ada di rumah.

"Hafiyana ternampak bayi itu ketika ingin keluar untuk membeli barang di kedai tidak jauh dari rumah. Sebaik ternampak bayi itu, dia bawa masuk ke dalam rumah dan menyelimut bayi itu dengan tuala sebelum menghubungi saya," katanya di Kuala Terengganu hari ini.

Marzuki berkata, sebaik mendapat panggilan daripada anaknya, beliau segera pulang ke rumah dan menghantar bayi yang mempunyai cukup sifat itu ke hospital.

Beliau berkata, bayi itu langsung tidak menangis ketika ditemui dan sepanjang perjalanan ketika dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supt K Manorahan, ketika ditemui pemberita berkata bayi itu dipercayai baru sahaja ditinggalkan di rumah anggota polis berkenaan.
"Kami percaya ia ditinggalkan dalam tempoh tidak sampai sejam kerana ketika anggota polis itu keluar rumah selepas jam 9 malam, bayi itu belum ada di situ," katanya.

Beliau berkata, polis sedang mengesan ibu bayi berkenaan dan individu yang dipercayai meninggalkannya di situ dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Manoharan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pembuangan bayi itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pegawai Perlindungan Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohd Abdan Ishak, berkata buat sementara bayi itu akan dijaga oleh jabatan itu sebelum mahkamah menentukan institusi mana bayi itu akan ditempatkan.

Perangsang Daripada MB Untuk Pelajar Tingkatan Enam Atas

Menteri Besar menyampaikan bantuan kepada pelajar Tingkatan Enam di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Datuk Ahmad Said berdiri selama hampir dua jam (10.30 pagi hingga 12.26 tengahari) Selasa minggu lalu (10 Ogos 2010) di pentas Majlid Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan untuk bersalaman dengan 1,835 pelajar tingkatan enam.

Beliau turut beramah mesra dengan pelajar berkenaan pada majlis jamuan makan selepas majlis rasmi berkenaan sambil menasihati pelajar supaya mencipta nama untuk diri dan keluarga dengan mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Sesetengah mereka mengambil peluang untuk bergambar dan mengenali lebih dekat Menteri Besar Terengganu itu.

Mereka adalah kumpulan pelajar dari seluruh Terengganu yang akan menempuhi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini.

Setiap pelajar menerima wang perangsang sebanyak RM1,000 seorang untuk mereka melakukan yang terbaik dalam peperiksaan itu bagi menjamin mereka menjejak kaki ke institusi pengajian tinggi.

Hakikatnya, tiada sebuah negeri lain di Malaysia ini yang menyediakan bantuan sebegini untuk pelajar yang akan menempuhi peperiksaan STPM.

Untuk rekod, Terengganu sudah mencapai kejayaan dua tahun berturut-turut mencatat keputusan STPM paling cemerlang selain kejayaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia, Ujian Penilaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah.

Wang yang disalurkan melalui Yayasan Terengganu itu diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak 2008 juga bertujuan meringankan beban pelajar tingkatan enam yang tidak menerima sebarang bantuan biasiswa pendidikan.

Yang penting dalam beberapa bulan menjelang peperiksaan itu, pelajar perlu ‘lupakan yang lain’ dan memberikan tumpuan semaksimum mungkin untuk melakukan sesuatu yang cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

Ahmad Said ketika berucap pada di majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, itu menasihati pelajar supaya menggunakan bantuan itu bagi tujuan yang bermanfaat, khususnya untuk tujuan pembelajaran mereka.

“Berkorbanlah dalam tempoh tiga bulan ini untuk kesenangan masa depan para pelajar sekalian sehingga 40 tahun yang akan datang selagi hayat dikandung badan,” katanya.

Bagi kerajaan Terengganu, program ini sebahagian daripada rancangan 201052 (kecemerlangan peperiksaan) bagi menjayakan misi menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu.

Tiga sekolah paling ramai pelajarnya menerima bantuan ialah SMK Tengku Mahmud Besut (81 pelajar), SMK Padang Midin (66) dan SMK Sultan Sulaiman (61).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman serta Pengarah Pelajaran Negeri, Ariffin Embong.

Peluang lebih luas di UiTM bagi anak Terengganu - MB

Kira-kira 1,000 anak Terengganu lepasan Pelajaran Malaysia (SPM) yang sederhana pencapaiannya dijangka berpeluang mengikuti program prasains dan perdagangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Kuala Terengganu mulai Disember depan.

Ia dikhususkan bagi mereka dalam kalangan keluarga miskin yang merupakan sebahagian daripada usaha mempertingkatkan lagi jumlah pelajar anak negeri melanjutkan pengajian.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said ketika mengumumkannya berkata, program pradiploma itu memberikan lebih banyak peluang dan pilihan kepada para pelajar untuk memajukan diri.

''Mereka akan ditawarkan mengikuti pengajian selama enam bulan hingga setahun sebelum berpeluang menyambung pengajian berdasarkan prestasi ketika mengikuti program berkenaan," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cenderahati kepada guru seluruh Marang, di Kantin Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai di Marang, baru-baru ini.

UiTM Kampus Kuala Terengganu asalnya adalah Kolej Yayasan Terengganu (KYT), sebuah Kolej Bersekutu UiTM yang pertama di negara ini yang diwujudkan bagi membantu anak tempatan berdaya saing dalam pelbagai bidang.

Pada 1 Januari 2008, UiTM telah bersetuju untuk mengambil alih KYT yang terletak di Cendering untuk dijadikan Kampus Kuala Terengganu.

Ahmad Said berkata, kerajaan negeri juga sedang merangka satu program khusus berbentuk kemahiran kepada pelajar lepasan SPM yang tidak cemerlang menerusi mekanisme yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Terdahulu pada majlis itu, Ahmad Said menyampaikan pen drive yang direka bentuk khas bernilai RM100 kepada hampir 2,000 guru yang hadir.

Ia bagi memenuhi janji beliau kepada lebih 22,000 warga pendidik seluruh negeri ini untuk memberikan cenderahati kepada mereka yang berjaya mengangkat pencapaian akademik di negeri ini ke tahap membanggakan.

Kerajaan negeri membelanjakan RM2.4 juta bagi menyediakan cenderahati itu, sebagai salah satu bentuk penghargaan kerana telah naikkan imej Terengganu sebagai 'negeri anjung ilmu'.

Katanya, hasil kegigihan para guru, Terengganu kini menduduki tangga teratas dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pencapaian itu termasuk kejayaan dinobatkan negeri terbaik selama sembilan tahun berturut-turut bagi UPSR, selain mengungguli peperiksaan SPM selama tiga tahun berturut-turut.

Menurut Ahmad Said, insentif kepada warga pendidik yang menerjaui usaha ke arah peningkatan kecemerlangan di sekolah-sekolah akan diteruskan termasuk lawatan ke luar negara.

Beliau menegaskan, usaha kerajaan membangun dan memajukan negeri akan menjadi fokus utama dalam pentadbirannya.

''Dalam tempoh setahun lagi, kesemua anak-anak Terengganu yang melangkah ke sekolah menengah merupakan kalangan yang 'celik' komputer.

''Kalau ada yang belum celik komputer kelak, mereka mungkin bukan kalangan anak negeri," ujarnya yang merujuk kepada pemberian e-book dalam usaha membudayakan pengajian dan pembelajaran secara maya.

Beliau menarik perhatian kerajaan negeri juga akan membekalkan lebih banyak komputer riba kepada guru namun ia dilakukan secara berperingkat.

Kes penipuan internet semakain berleluasa

Kes penipuan membabitkan emel daripada pihak tertentu yang menyamar sebagai institusi perbankan tidak ada kesudahan apabila Biro Aduan Pemuda Gerakan Terengganu terus menerima aduan.

Pengerusinya, Datuk Alex Ong Yeok Leng berkata, sejak Januari lalu sehingga kini pihaknya sudah menerima 10 aduan mengenai penipuan menerusi internet tersebut yang menyebabkan kerugian bernilai puluhan ribuan ringgit.

Menurutnya, walaupun banyak amaran dikeluarkan oleh pelbagai pihak namun masih ada pengguna terpedaya dengan emel menyerupai laman web bank tertentu yang meminta mangsa mengemaskini pasword masing-masing.

“Pengguna tidak sedar bahawa emel itu sebenarnya palsu dan hanya menuruti arahan meminta log in (daftar masuk) untuk kemaskini maklumat peribadi sebelum tersedar mereka tertipu,” katanya, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Tilawah al-Quran 4B bermula esok

Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Terengganu akan menjadi tuan rumah Majlis Perujian Tilawah al-Quran dan Pertandingan Nasyid peringkat kebangsaan selama dua hari bermula esok (Khamis).

Program dengan kerjasama kerajaan negeri dan Kementerian Belia dan Sukan itu akan disertai oleh qari, qariah dan kumpulan nasyid yang mewakili negeri-negeri.

Pengerusi Gerak Dakwah Belia 4B Malaysia, Anas Hazizul Muhamad berkata, ia merupakan acara tahunan dalam usaha mencungkil bakat baru di peringkat akar umbi dan menggalakkan budaya bertadarus pada bulan Ramadan.

Beliau yang juga Setiausaha 4B negeri berkata, selain itu, program tersebut juga bertujuan mendidik belia mendekatkan diri dengan kegiatan keagamaan sekali gus menyemai semangat mawaddah dan ukhwah di kalangan mereka.

Katanya, johan tilawah, qari dan qariah masing-masing akan menerima wang RM1,500, piala pusingan dan sijil penyertaan.

Naib johan akan menerima wang RM900 serta sijil penyertaan dan ketiga RM600 serta sijil penyertaan.

Sementara itu, bagi kategori nasyid pula, johan akan menerima wang RM2,500, piala pusingan dan sijil penyertaan, naib johan akan menerima wang RM2,000 serta sijil penyertaan dan tempat ketiga akan menerima wang RM1,500 dan sijil penyertaan.

Menurut Anas Hazizul, semua acara bagi program itu diadakan di Wisma Darul Iman manakala majlis penutup dan penyampaian hadiah serta berbuka puasa bersama-sama kira-kira 1,000 masyarakat setempat akan diadakan di Taman Permint Jaya, Cendering. Kuala Terengganu pada 20 Ogos.

Pandu Bot Terlalu Laju Dipercayai Punca Bot Berlanggar?

Pemanduan bot yang laju dipercayai menjadi penyebab berlakunya pelanggaran bot melibatkan pelancong asing dalam dua kejadian di perairan Pulau Perhentian dalam tempoh sebulan ini.

Ketua Penyiasat Polis Marin Daerah Besut, Inspektor Yaacub Pairuk berkata pemandu bot di kawasan itu kebiasaanya gemar memandu dengan laju di perairan sekitar Pulau Perhentian.

"Kawasan tempat berlakunya kemalangan itu agak sibuk kerana bot-bot besar sering keluar masuk membawa penumpang dari pulau berkenaan ke jeti Kuala Besut," katanya semalam.

Mereka yang terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana membawa perahu atau bot secara cuai atau lalai, katanya ketika mengulas kes terbaru perlanggaran bot yang membawa pelancong dengan bot membawa barang di perairan pulau itu petang Ahad lalu.

Dalam kemalangan itu, sepasang suami isteri dari Norway, Steiro Kelly, 29, cedera ringan dan isterinya Tina Mariann Steiro, 30 patah tulang selangka.

Keadaan wanita itu bagaimanapun tidak membimbangkan dan dijangka keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, petang semalam.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan insiden perlanggaran bot yang berlaku di Pulau Perhentian hingga mencederakan dua pelancong semalam sebagai kecuaian manusia.

Menurut Ahmad, kemalangan itu mungkin boleh dielak sekiranya pemandu bot memberi sepenuh tumpuan terhadap perjalanan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pemandu bot sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling ketika sedang menjalankan tugas bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang.

“Panduan sudah ada, kadang-kadang kita ni cuai, ketika sedang kemudi bot, bercakap sesama sendiri tanpa beri perhatian dan oleh itu kita minta pemandu bot berhati-hati kerana ia melibatkan nyawa penumpang.

“Malah, kita juga minta pihak bertanggungjawab mengetatkan peraturan memberi lesen kepada pemandu,” katanya ketika ditemui media selepas menziarahi pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu.

Pada 24 Julai lalu, tiga pelancong dari China parah apabila bot yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah bot Komando 69 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Teluk Kay Kay berdekatan Pulau Perhentian Besar, Besut.

Kejadian berlaku ketika bot Komando 69 PGA dinaiki lima anggota sedang menjalani latihan di perairan itu sebelum bertembung dengan bot yang dinaiki pelancong terbabit.

Seorang anggota PGA dan lima pelancong tempatan cedera ringan dalam kejadian itu.

Suspek simbah asid direman enam hari

Polis semalam mendapat perintah reman lelaki yang dipercayai menyimbah asid kepada isteri, dua anak serta ibu mertuanya awal Ahad lalu, selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Seksyen Kuala Terengganu, Mohd Erman Che Mat.

Perintah tahanan reman berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Lelaki berumur 32 tahun itu ditahan di Kampung Kuala Poh, Pasir Nering, Hulu Terengganu kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi Ahad lalu, empat sekeluarga cedera disimbah asid di rumah mereka di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, ketika sedang tidur.

Mereka ialah Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, yang cedera di bahagian belakang badan, anaknya, Nurul Dahyatul Fazlina Khalid, 8, dan Mohd Irfan Firdaus, 2, yang cedera di muka dan lengan.

Turut cedera dalam kejadian itu ialah ibu Cik Ku Zaimah, Minah Omar, 56 yang cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Pelancong Asing Tak Patah Semangat Untuk Kembali Ke Terengganu

Sepasang pelancong asing yang terlibat dalam pelanggaran bot di Pulau Perhentian dua hari lepas tidak patah semangat dan akan datang kembali bercuti di Terengganu satu hari nanti.

Kelly Steiro, 29, seorang jurutera dari New Zealand berkata, walaupun dia dan isterinya Tina Mariann Steiro, 30, yang berasal dari Norway, mengalami kecederaan akibat kemalangan, mereka masih ada kenangan yang begitu indah tentang Terengganu.

"Kami dilayan dengan baik disini dan walaupun kami kemalangan, suatu hari nanti kami akan datang lagi ke Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Toh Chin Yaw bersama Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan negeri Terengganu Ahmad Fathil Abdul Ghani di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, semalam.

Steiro berkata walaupun semasa kemalangan itu beliau dan isterinya jatuh ke laut tetapi tidak ada satu barang kepunyaannya yang hilang dalam kejadian itu.

Keadaan Tina Mariann, kini semakin pulih dan dijangka dapat keluar dari hospital itu petang semalam.

Dalam kejadian pada 6 petang Ahad lepas, bot laju yang dinaiki pasangan itu berlanggar dengan sebuah bot membawa barang. Tina Mariann mengalami patah tulang selangka manakala suaminya hanya luka kecil.

Ahmad Fathil pula berkata Kementerian Pelancongan dijangka mengadakan mesyuarat jawatankuasa pengurusan krisis yang melibatkan jabatan-jabatan seperti Jabatan Taman Laut, Jabatan Laut, polis dan kesihatan dalam masa terdekat ini bagi mencari jalan dan mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi mengatasi masalah yang berlaku.

Beliau berkata kementerian juga akan mengadakan kursus-kursus kepada petugas barisan hadapan pengusaha pelancongan Pulau Perhentian pada September ini bagi mengelak perkara seperti itu berulang.

Tuesday, August 17, 2010

Haiwan Lebih Mulia Sayangkan Anak - Ahmad Said

Menteri Besar sebak melihat nasib yang menimpa anak dan ibunya yang disimbah asid ketika melawat mangsa semalam.


Hanya kerana gagal mendapatkan RM30 seorang bapa sanggup menyimbah asid dan mencederakan anak-anak dan isteri.

Walaupun pada fikiran kita ia sesuatu yang tidak masuk akal untuk dilakukan, apa lagi pada bulan suci Ramadan ini, bagi yang hilang akal, seseorang itu sanggup melakukannya.

“Saya tidak akan maafkan perbuatannya sampai bila-bila. Apa yang dilakukannya kepada saya dan anak terlalu kejam, “ demikian kata Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, yang menjadi mangsa simbahan asid oleh suaminya dalam kejadian amuk di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, awal pagi kelmarin

Malah, Nurul Dahyatul Fazlinda, 8, kini juga tidak sayangkan ayahnya lagi.

Che Ku Zaimah mengetahui suami menagih dadah sebelum mendirikan rumah tangga 10 tahun lalu. Dia pernah menuntut cerai daripada suaminya.

Kejadian malang itu juga menyebabkan anak bongsu Che Ku Zaimah, Muhammad Irfan Firdaus, 2, yang turut cedera di muka, sering menangis dan merengek kerana tidak dapat menyusu badan.

Ia berikutan Muhamad Irfan takut melihat keadaan diri dan wajah ibunya nya yang berubah akibat cedera disimbah cuka getah, sehingga anak kecil itu hanya diberi minum susu soya kotak.

Che Ku Zaimah hanya yang menangis melihat keadaan anak keduanya, Nurul Dahyatul Fazlinda yang cedera terukterkena simbahan asid, kini sudah boleh bercakap, tetapi keadaannya masih serius dengan muka membengkak dan tidak berupaya bercakap dengan baik.

Dia yang bekerja menjual sayur di pasar di Kuala Berang untuk menanggung keluarga, berkata suaminya sebelum ini seorang juruselam di Pelabuhan Klang, tetapi selepas terbabit kemalangan kira-kira setahun lalu di kampungnya di Hulu Terengganu, dia kini menganggur.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said tidak dapat menahan kesedihan melihat keadaan semua mangsa, berkata beliau amat kesal dengan apa yang berlaku dan menyifatkan haiwan lebih mulia kerana sayangkan anak.

Katanya, peristiwa ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya seseorang individu itu mempunyai akal dan berfikiran waras.

Beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan membantu mangsa dengan mendapatkan rawatan sebaik mungkin dan menyediakan keperluan yang diperlukan bagi meringankan beban mereka.

Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud semalam meluang masa melawat mangsa simbahan asid di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, hari ini (16 Ogos).

"Diharapkan pihak berkuasa menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada suspek yang sememangnya tidak mempunyai hati perut dan sifat berperikemanusiaan,” katanya.

Polis sudah menahan seorang lelaki yang disyaki menyimbah cuka getah sehingga menyebabkan isteri serta dua anak dan ibu mentuanya cedera itu, selepas suspek keluar daripada kawasan persembunyian di Kampung Kuala Poh, Hulu Terengganu kira-kira jam 12.55 tengah hari semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata polis yang melancarkan gerakan memburu suspek berusia 32, sejak kelmarin, menerima maklumat mengenai tempat persembunyian suspek kira-kira jam 10.30 pagi semalam

YPK Bantu Tingkat Pendapatan Pendapatan Rakyat Miskin

Kerajaan Pusat memperuntukkan RM5 juta kepada Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) negeri Terengganu bagi meneruskan pelaksanaan program peningkatan pendapatan rakyat miskin dan miskin tegar di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata sehingga kini seramai 536 orang golongan miskin tegar dan miskin yang tersenarai dalam data e-Kasih diberi bantuan dalam program itu.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa dan meraikan peserta program peningkatan pendapatan bersama Menteri Besar di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Yahya Khatib Mohamad.

Ahmad Said berkata, bancian yang telah dijalankan kerajaan negeri sehingga pertengahan bulan ini, menunjukkan seramai 496 orang rakyat Terengganu dikategori miskin tegar manakala 564 lagi kategori miskin.

Sementara itu Yahya berkata YPK mensasarkan tiga kategori yang tidak terlibat dengan agensi lain iaitu mereka yang tidak mempunyai kerja tetap, penjaja dan pekerjaan lain.

Peserta yang terpilih itu akan dilatih dan diberi bantuan peralatan dan modal bagi melaksanakan perniagaan. Mereka juga dikehendaki mengikuti kursus atau bengkel berkaitan perniagaan dan perubahan sikap, katanya.

T'Team Sasar Peringkat Separuh Akhir Piala Malaysia

T'Team, yang julung kali akan beraksi dalam kejohanan Piala Malaysia musim ini, mensasarkan sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.

Jurulatihnya Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor berkata ini kerana pasukan itu dibarisi ramai bekas pemain negeri dan kebangsaan.

"Saya berjanji akan membawa T'Team sekurang-kurangnya melangkah ke perlawanan separuh akhir," katanya ketika ditanya mengenai persiapan pasukan itu.

Che Ku Marzuki berkata T'Team menduduki tangga ketujuh dalam pertandingan Liga Super tahun ini.

Katanya dalam pertandingan Piala Malaysia nanti, T'Team berada dalam Kumpulan D bersama-sama juara Liga Super, Selangor, Perlis dan KL Felda United.

Che Ku Marzuki berkata T'Team terpaksa melupakan hasratnya untuk meminjam pemain bagi menghadapi saingan Piala Malaysia musim ini setelah pemain berkenaan tidak mendapat pelepasan daripada kelab yang diwakilinya.

Che Ku Marzuki berkata dalam persiapan menghadapi kejohanan itu, T'Team akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Terengganu pada 20 Ogos ini.

Beliau berkata barisan pemain T'Team terus menjalani latihan setiap petang meskipun dalam bulan Ramadan.

Anuar Tumpu Latihan Hadapi Bukit Bukau

Anuar Manan semakin “mesra” dengan pasukan Pro Tour sejak menyertai kem latihan di Eropah bersama Geumsan Ginseng Asia bulan lalu, kemesraan yang memerlukan banyak pengorbanan dari Raja Pecut Le Tour de Langkawi 2010 itu.

Laluan berbukit yang sering memberikan masalah kepada pelumba dari Terengganu itu, kini terpaksa ditempuhinya saban hari, baik ketika latihan mahupun perlumbaan kecil yang disertai Anuar.

"Mula-mula tiba di sini, latihannya memang menyeksakan,” kata Anuar. “Setiap hari kami akan berkayuh tujuh hingga lapan jam, dan sebahagian besar laluannya berbukit-bukau. Memang tidak boleh lari daripada pendakian.

“Tetapi selepas menyertai beberapa perlumbaan di sini, sesi latihan terasa tidak terlalu memeritkan.

Setakat ini saya sudah mengumpul pengalaman berlumba dengan pasukan Pro Tour di sini, dan ada di antaranya menampilkan pelumba-pelumba handalan Tour de France.

“Buat permulaan, saya sekadar dapat menamatkan perlumbaan saja di sini kerana terlalu banyak pendakian.

Memang sukar untuk pelumba pecut seperti saya menang perlumbaan di sini. Malah garisan penamat juga kebanyakannya di puncak pendakian.”

Bagaimanapun sebaik berlumba di laluan landai kriterium, Anuar tidak mensia-siakan peluang dan dia berpuas hati menduduki tangga ketujuh selepas bersaing di kalangan jaguh pecut Pro Tour.

Sasaran utama Anuar kini ialah menjelmakan pingat buat negara sebaik kembali dari latihan di Eropah.

“Segala penat jerih yang saya lalui di sini, diharap dapat meningkatkan kemampuan saya beraksi pada Sukan Komawel dan Sukan Asia nanti,” kata Anuar.

“Saya sedar pelumba-pelumba yang bakal beraksi nanti semuanya handal-handal, tetapi saya sudah bersedia menghadapinya.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk membawa pulang pingat, baik dari Sukan Komanwel mahu pun Asia, tetapi saya tidak boleh janjikan warnanya. Saya harap pengalaman di sini membantu saya beraksi lebih baik di dua kejohanan berkenaan.”

Terengganu tampung lebih 10 juta tan silika bermutu tinggi

Bumi Terengganu menampung lebih 10 juta tan pasir silika bermutu tinggi yang dapat digunakan bagi menggerakkan pelbagai industri berasaskannya.

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) negeri, Mohamad Pauzi Abdullah berkata, walaupun mempunyai potensi yang begitu besar tetapi ia belum merangsang syarikat-syarikat asing untuk melabur di negeri ini.

''Kebanyakan syarikat lebih berminat mendapatkan bahan mentah dari negeri ini untuk menampung keperluan kilang di negara mereka.

''Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak membenarkan mineral tersebut dibawa keluar dari negara ini," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, disebabkan kos perkilangan yang tinggi, mereka lebih berminat membawa balik galian ini untuk diproses.

"Setakat ini terdapat beberapa syarikat dari Korea, Jepun serta India berminat untuk memajukan sumber ini namun mereka masih belum membuat keputusan," ujarnya.

Bagi memanfaatkan sumber ini yang dapat menjana ekonomi dan peluang pekerjaan, pihaknya telah merangka cadangan untuk diteliti oleh pihak berkuasa.

Katanya, syarikat dalam industri kecil dan sederhana boleh dilibatkan bagi pengeluaran pelbagai produk kaca dan kristal.

''Selain itu, kami turut mencadangkan supaya diwujudkan 'Silika Road' seperti yang telah diusahakan di beberapa negara.

''Kegiatan seperti ini bukan sahaja dapat membangunkan industri berasaskan silika, malah dapat memberikan pulangan yang lumayan dan meningkatkan peluang pekerjaan," ujarnya.

Ketengah Holding Sdn Bhd Jangka Untung RM19j Tahun Ini

Hamzah menyampaikan zakat kepada Wan Harujan. - Gambar Zulkifli Putra

Kumpulan syarikat perladangan, Ketengah Holdings Sdn Bhd, menjangka memperolehi keuntungan kira-kira RM19 juta tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata sehingga 31 Julai lepas, ia sudah mencatat keuntungan bersih melebihi RM16 juta, berbanding RM17 juta tahun lepas.

"Kita yakin mencapai sasaran keuntungan lebih RM17 juta yang diperolehi sepanjang tahun lepas dapat dicapai kerana kita masih ada masa lima bulan lagi," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan zakat kumpulan anak syarikat Ketengah, di Kuala Terengganu semalam.

Anak-anak syarikat yang menyerahkan zakat semalam ialah Ketengah Perwira Sdn Bhd (RM244,261), YIT-Ketengah Perwira Sdn Bhd (RM90,179), Ketengah Jaya Sdn Bhd (RM46,906) dan Rakyat Ketengah Perwira Sdn Bhd (RM62,255).

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Pengurus Besar Ketengah, Datuk Hamzah Ngah, Pengawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Wan Harujan Sulaiman serta ADUN Air Puteh, Wan Ab Hakim Wan Mokhtar.

Wan Harujan menerima zakat Rakyat Ketengah Perwira.
Ahmad Said berkata prestasi perniagaan Kumpulan Ketengah Holdings Sdn Bhd dalam bidang kelapa sawit semakin meningkat dan dijangka memperolehi pendapatan bersih melebihi RM24 juta sehingga akhir tahun ini.

Menteri Besar itu berkata, tahun lepas, zakat yang dikeluar oleh kumpulan itu meningkat kepada RM443,601 atau peningkatan 0.54 peratus berbanding RM441,225 tahun sebelumnya.

Beliau berkata keseluruhan hasil yang dikeluarkan oleh Ladang Ketengah Jaya Perwira, Ladang Ketengah Jaya dan Ladang YIT-Ketengah Perwira seluas 6,487 hektar berjumlah 119,700 tan metrik.

Manakala Kilang Rakyat Ketengah Perwira telah berjaya memproses sejumlah 259,219 tan metrik tandan buah segar (BTS), katanya.

Ahmad Said berkata, harga kasar BTS pada 2009 turun kepada RM494 setan metrik, daripada sekitar RM625 tan metrik pada 2008.

Walaupun harga bukan merupakan faktor peningkatan keuntungan tersebut, namun kecekapan dalam menguruskan syarikat merupakan faktor utama dalam perancangan ini, katanya.

Sementara itu, Wan Harujan berkata Maidam telah berjaya memungut zakat sebanyak RM25 juta sehingga 31 Julai lepas.

Beliau berkata dalam tempoh sebulan bulan Ramadan ini, Maidam menjangka akan menerima zakat termasuk zakat fitrah berjumlah RM19 juta.