Saturday, September 4, 2010
Ops Sikap - Tiada Cuti Raya Bagi Anggota JPJ
Ops Sikap XXII sempena hari raya akan berlangsung pada 4 hingga 19 September 2010, manakala rondaan di laluan sakaratul maut sudah bermula 27 Ogos lalu sehingga 29 September depan.
Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahaman Emang Anyie berkata, operasi hanya dihentikan pada hari raya pertama dan kedua sahaja iaitu bermula jam 12.01 pagi pada 10 September hingga jam 12 malam pada 11 September ini.
“Bagaimanapun, bilik kawasan di ibu pejabat masih beroperasi selama 24 jam pada kedua-dua hari tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mesyuarat Bangunan JPJ, kelmarin.
Abdul Rahaman berkata, operasi musim perayaan akan memberi tumpuan terhadap pengangkutan awam seperti teksi dan bas ekspres dengan menjalankan pemeriksaan di depot serta bengkel sebelum musim perayaan.
Menurutnya, JPJ akan menempatkan anggota penguat kuasanya di 36 terminal bas dan teksi di semua negeri apabila tiba operasi musim perayaan dengan menjalankan pemeriksaan terhadap buku log, pemandu kedua, tayar, brek, lesen memandu, cukai jalan serta permit.
Manakala, penguatkuasaan di jalan raya yang kerap berlaku kemalangan atau jalan sakaratul maut akan memberi tumpuan kepada tiga jalan utama membabitkan Jalan Kuala Terengganu-Ajil-Jerangau-Bukit Besi, Jalan Kuala Terengganu-Marang-Dungun dan Jalan Kuala Terengganu-Sungai Tong dan Kuala Berang.
Katanya, sebanyak 17 kes kemalangan dengan tujuh terkorban melibatkan pelbagai jenis kenderaan berlaku di kawasan terbabit sejak 6 Julai hingga 31 Ogos lalu.
Sepanjang operasi, pihaknya akan mengeluarkan saman serta-merta kepada pengguna jalan raya yang dikenal pasti melakukan kesalahan lalu lintas.
Pada masa sama, JPJ akan melakukan penyamaran di kawasan yang dikenal pasti pada jam 9 pagi hingga 7 petang dengan merakam serta mencatat kesalahan pengguna jalan raya.
“Bagi penyamaran, kita akan menurunkan empat kumpulan di seluruh negeri ini dan sekiranya pihak tertentu dikesan melanggar peraturan, kita akan catat dan rakam sebelum menghantar notis kepada mereka,” katanya.
Selain itu, larangan kepada penggunaan kenderaan barangan akan diselaraskan di seluruh negara, kecuali Sabah dan Sarawak, iaitu pada 8, 9 September dan 18 serta 19 September ini.
T-Team Terima RM1 juta Untuk Piala Malaysia
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat berkata, peruntukan yang diluluskan itu dianggap cukup bagi menguruskan segala kelengkapan pasukan musim ini.
Menurutnya, jika tidak mencukupi mereka akan menyediakan peruntukan tambahan.
"Kerajaan Negeri yakin kemampuan T-Team memandangkan mereka mampu berada pada kedudukan baik Liga Super lalu.
“Bagi kami, kedudukan di tangga ketujuh satu pencapaian yang dianggap cukup baik kerana T-Team baru pertama kali layak bersaing pada Liga Super dan seterusnya terpilih pada saingan Piala Malaysia,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama pegawai dan pemain T-Team di Primula.
Rozi yang juga pengurus T-Team berkata, kemampuan pemain yang membarisi pasukan itu memberangsangkan kerana mereka masih muda dan kerajaan yakin dengan kemampuan mereka menggalas cabaran yang ada.
Menurutnya, laluan yang bakal dilalui T-Team memang sukar tetapi mereka yakin pemain mampu memberikan cabaran hebat terhadap lawan dalam Liga Malaysia untuk edisi kali ini.
"Pertemuan dengan Selangor pada hari raya ketiga mungkin sedikit membimbangkan memandangkan kehandalan pasukan itu memang diakui.
“Setiap pasukan melakukan persiapan masing-masing, jadi tidak mustahil persediaan dilakukan T-Team mampu menyaingi Selangor sekali gus menduduki sekurang-kurangnya tangga kedua peringkat kumpulan untuk layak ke suku akhir,” katanya.
Menurutnya, pada peringkat kumpulan ini, T-Team perlu bekerja keras bagi melepas halangan di peringkat ini yang dijangka sengit.
Katanya, jika T-Team melepasi cabaran di peringkat kumpulan, beliau percaya pasukan itu akan mara ke peringkat seterusnya.
"Sebagai pasukan yang baru, kedudukan di tempat ketujuh dalam liga super sudah cukup baik untuk menjana saingan yang seterusnya," katanya.
KKLW Salurkan Input Model Baru Ekonomi Luar Bandar
Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata antara aspek penting yang disalurkan oleh kementerian itu adalah mengenai prasarana, pembangunan modal insan serta kegiatan ekonomi yang mahu dijalankan supaya wujudnya keupayaan bagi menjana sektor ekonomi luar bandar yang tidak hanya bergantung kepada komoditi sedia ada.
"Itu antara perkara yang kita kenal pasti, selain itu kementerian turut melihat kerangka pemasaran hasil kegiatan ekonomi, contohnya apabila masyarakat luar bandar ternak ikan, mereka boleh ternak sebanyak mungkin, tetapi bagaimana pula kemudahan pemasaran. Jadi rangkaian sistem pengangkutan, aspek pembungkusan itu antara yang perlu diperincikan," katanya kepada pemberita di Slim River malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersial (TSK) Risda negeri Perak bagi tahun 2009 di Masjid Ensaniah, Kampung Kelan.
Katanya beliau juga turut mengadakan pertemuan dengan agensi di bawahnya serta agensi pembangunan koridor seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk membincangkan aspek penyelarasan peranan dan kegiatan yang dilakukan kesemua agensi itu supaya usaha untuk meningkatkan hasil pendapatan dapat disalurkan kepada masyarakat luar bandar.
"Kita mahu usaha ini dapat meningkatkan dan membantu masyarakat luar bandar memperoleh pendapatan yang mampan. Kita tidak mahu hari ini mereka ternak ikan selepas itu jual seminggu tetapi selepas itu sebulan tiada, setahun tiada. Oleh itu kita akan kenal pasti usaha bagaimana kita mahu pendapatan yang mampan supaya ada kesinambungan dalam ekonomi mereka," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata KKLW bukan kementerian tunggal yang terlibat dalam pemberian input-input penting dalam penyediaan Model Baru Ekonomi Luar Bandar kerana banyak kementerian lain yang turut mempunyai peranan di peringkat luar bandar seperti dalam aspek kesihatan, kemiskinan, prasarana dan pertanian.
"Banyak agensi lain di bawah kementerian yang lain akan terlibat supaya perancangan Model Baru Ekonomi Luar Bandar itu menjadi komprehensif. Kita tidak mahu apabila ia dilaksanakan nanti impaknya sedikit, kita mahu kesannya meluas dan besar kepada masyarakat luar bandar," katanya.
Beliau berkata selain untuk meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar melalui model itu, ia juga bertujuan untuk mengelakkan penghijarahan golongan muda ke bandar yang akan memberi tekanan terhadap pembangunan bandar.
Terdahulu, pada majlis itu seramai 350 peserta RTBB dan TSK menerima dividen masing-masing dan anak syarikat Risda, ESPEK Sdn Bhd turut membuat pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM47,428.89 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Syed Omar Sharifuddin.
Doktor Pakar Di Setiap Hospital Di Terengganu Dalam RMK-10
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A. Rahman Mokhtar berkata usaha bagi mendapat khidmat doktor pakar itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan dan telah dimasukkan dalam peruntukan RMK-10
Katanya antara pakar yang diperlukan untuk hospital-hospital daerah itu termasuk daripada doktor pakar asas dalam bidang sakit puan, perubatan kanak-kanak, pembedahan dan dalam bidang bius.
Dr A. Rahman berkata dengan perkembangan pertumbuhan penduduk sekarang, khidmat doktor pakar kini amat diperlukan di setiap hospital daerah dalam negeri ini.
"Serentak dengan itu setiap hospital daerah juga perlu ada dewan Unit Rawatan Rapi dan usaha telah dibuat untuk membuat permohonan dengan kerajaan," katanya selepas menyampaikan cenderamata Hari Raya Aidilfitri kepada pesakit yang dirawat di Hospital Daerah Besut semalam.
Beliau berkata dengan ketiadaan khidmat doktor pakar di hospital-hospital daerah termasuk di Besut menyebabkan lebih 20 peratus daripada kes-kes berisiko terpaksa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan dan HSNZ.
Bagaimanapun katanya perkara itu telah mendapat rungutan daripada rakyat negeri ini terutamanya apabila membabitkan kes kelahiran berisiko terutamanya dari Besut terpaksa dirujuk ke HUSM yang menyebabkan anak yang dilahirkan di situ diberi taraf rakyat Kelantan.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Besut berkata perkara itu kini telah mendapat perhatian utama oleh Kementerian Kesihatan yang telah meluluskan permohonan itu dalam RMK-10.
Tuanku Mizan Ketuai Cabaran Pada Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat berkata peserta dari 12 negara termasuk Malaysia dijangka bersaing dalam kategori 120km dari 5 hingga 7 Nov ini.
"Setakat ini, tujuh buah negara - Amerika Syarikat, Chile, Uruguay, Perancis, Thailand, Indonesia dan Singapura telah mengesahkan penyertaan," katanya di Kuala Terengganu semalam.
Rozi berkata pihak penganjur juga sedang menunggu jawapan daripada Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain, Australia, New Zealand, Korea Selatan, Jepun dan India.
Beliau berkata antara kelab tempatan yang akan turut memeriahkan kejohanan itu ialah pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), Penn Endurance Club, Langkawi Endurance Stable, Masterscaff Endurance Team dan TSAB Stable Perlis.
Katanya sebelum ini, kejohanan anjuran kerajaan negeri dan Yayasan Perkasa Alam itu, dikenali dengan nama Cabaran Kuda Lasak Terengganu.
Rozi berkata juara kejohanan itu akan menerima hadiah RM30,000, kedua RM20,000, RM15,000 (ketiga), RM10,000 (keempat) dan RM8,000 bagi peserta di tempat kelima di samping piala.
Hadiah RM1,000 juga akan diberikan kepada peserta yang berjaya menghabiskan acara pada masa yang ditetap dan hadiah RM3,000 kepada kuda terbaik, katanya.
Rozi berkata kejohanan itu diiktiraf oleh Equestrian Association of Malaysia (EAM) dan juga Federation Equestrian International (FEI).
Beliau berkata pihak penganjur juga bercadang mengadakan beberapa acara sampingan di tapak perlumbaan sempena kejohanan itu seperti pertunjukan kuda dari luar negara serta persembahan hiburan oleh artis jemputan.
Aidilfitri Paling Bermakna Penerima Kerakyatan Baru
Selepas 48 tahun menanti, impian Seegu Alaudeen@Serajudeen Mohamed Rawther Thaha bergelar warganegara Malaysia termakbul akhirnya, walaupun dua kali permohonannya ditolak.
Seegu Alaudeen, 52, bekerja sebagai ketua cawangan sebuah pasar raya di Kuala Terengganu, berasal dari India Selatan dibawa bapanya berhijrah ke Malaysia pada 1962ketika usianya empat tahun.
Kali pertama beliau memohon mendapatkan kerakyatan ketika berumur 12 tahun dan kali kedua ketika beliau berumur 24 tahun, namun kedua-dua permohonan itu ditolak.
Tanpa berputus asa, beliau sekali lagi mencuba tiga tahun lalu dan impiannya itu menjadi kenyataan pada Jumaat.
Bagi Seegu Alaudeen, ia amat bermakna apabila kelulusan diterima hanya beberapa hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri dan lebih istimewa, sijil kewarganegaraannya diterima sendiri daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong yang datang ke rumahnya di Simpang Tok Ku, Cabang Tiga, di Kuala Terengganu.
"Setiap kali lepas solat saya akan berdoa semoga permohonan saya menjadi warganegara ini dipermudahkan. Bila diberitahu permohonan diluluskan, tambah-tambah lagi dekat hari raya, tidak ada kata untuk menggambarkan betapa gembiranya saya.
"Aidilfitri kali ini menjadi Aidilfitri paling bermakna kerana saya akan menyambutnya sebagai warganegara Malaysia. Sekarang saya pun boleh berbangga kerana saya rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui pada majlis ringkas penyerahan sijil kewarganegaraan itu.
Seorang lagi penerima, Syarifah Mohd Yaakob, 30, dari Kampung Ladang Titian, di sini berkata beliau langsung tidak dapat melelapkan mata semalam kerana teruja setelah diberitahu akan menerima sijil kewarganegaraannya hari ini.
"Sudah lama saya tunggu saat ini. Saya pohon pada tahun 2000, sekali saja pohon sudah dapat," katanya yang berasal dari Kemboja dan datang ke negara ini bersama ibu bapa dan tujuh adik-beradik ketika beliau berumur lapan tahun.
Turut menerima sijil kewarganegaraan ialah Nasirah Mohd Ali, 30, yang berasal dari Vietnam dan adik-beradik, Syarifah Shamirah Mohamed Salahudin, 8, dan adiknya, Mohd Sadruddin, 7, manakala empat lagi penerima akan dibuat dalam majlis berasingan.
Sementara itu, Lee berkata seramai sembilan pemohon di negeri itu yang mendapat kelulusan, bakal menerima sijil kewarganegaraan masing-masing, hari ini.
"Kesemua permohonan itu telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri," katanya.
Menurut beliau, setiap permohonan akan diteliti terlebih dahulu dan tidak sewenang-wenangnya diluluskan kepada pemohon untuk memastikan penerima taraf kewarganegaraan benar-benar bertanggungjawab dan tidak melakukan kesalahan seperti jenayah dan sebagainya.
ECER Mahu Tarik Pelabur Dari China
ECERDC dalam satu kenyataan berkata ia juga akan menyertai Pameran Antarabangsa China bagi Pelaburan dan Perdagangan Ke-14 (CIFIT 2010) di Xiamen dari 8-11 September.
Delegasi ECERDC itu diketuai oleh Ahli Majlis, Tan Sri Lee Shin Cheng (gambar kanan), yang juga Pengerusi Eksekutif IOI Group.
Delegasi itu juga akan disertai Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John, para pegawai kanan dan pegawai tertinggi dari negeri-negeri Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Sebagai pendahuluan kepada misi pelaburan itu, Lee dan Issace mengunjungi Duta China ke Malaysia, Chai Xi, untuk memberi taklimat ringkas kepada beliau mengenai penyertaan ECERDC dalam CIFIT 2010, serta projek ECER yang akan diperkenalkan kepada pelabur China.
Issace berkata ECER menawarkan insentif fiskal dan bukan fiskal yang menarik bagi meningkatkan pelaburan dalam pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, pembuatan, pertanian dan pendidikan.
"Wilayah itu juga mempunyai prasarana baik, kawasan tanah yang luas, sumber semulajadi, modal insan yang berkualiti tinggi dan mudah untuk menjalankan perniagaan di sana.
"Dengan lokasi strategiknya dan sokongan kukuh kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, ECER bakal menjadi pintu masuk perdagangan dan perindustrian utama.
"Ia juga menawarkan pelabur akses ke pasaran yang besar dan berkembang maju di Timur Jauh dan Asia Pasifik, dengan jumlah penduduk empat bilion dan gabungan KDNK US$17 trilion," katanya.
Issace juga menjelaskan, ini akan dipacu terutamanya daripada pembangunan Kuantan Port City, yang akan menukar Zon Ekonomi Khas ECER itu menjadi hab pembuatan dan perkhidmatan komersil, serta sebagai pusat pemerolehan serantau dan antarabangsa.
Projek-projek utama dalam ECER yang akan diperkenalkan semasa CIFIT 2010, termasuk pelancongan, terdiri daripada Pelancongan Pantai Tanah Besar Pantai Sepat, Pelancongan Pantai Tanah Besar Teluk Bidara, Pelancongan Pantai Tanah Besar Cherating, Pelancongan Pantai Pantai Penarik dan Pusat Bandar Raya Kuala Terengganu.
Dalam kluster minyak, gas dan petrokimia, ECERDC menyasar menarik pelaburan dalam Taman Polimer Kertih, Kompleks Industri Petroleum PETRONAS (PPIC), Kompleks Petrokimia Bersepadu Gebeng (GIPC) dan Taman Perindustrian Maritim Minyak dan Gas Tanjung Agas.
Dalam pembuatan, projek-projek yang akan diperkenal ialah Taman Perindustrian Automotif Pekan-Peramu, Taman Halal Gambang, Taman Halal Pasir Mas, Kluster Perindustrian Minyak Sawit dan Kuantan Port City.
Bagi pertanian, projek-projek utama ECER yang terbuka kepada pelabur ialah taman penternakan ayam itik di Kelantan and Pahang, penternakan ternakan di Terengganu dan Pahang, Perladangan Nanas Bersepadu, serta taman bioteknologi dan herba di Pahang dan Kelantan.
Projek pendidikan di ECER termasuk Taman Ilmu di Terengganu, serta Pusat ICT Terengganu.
Selain penyertaan ECERDC dalam CIFIT 2010, delegasi itu juga akan memberi taklimat kepada pelabur berpotensi dan mengadakan mesyuarat perniagaan dengan mereka pada 9 Sept.
Sorok Mercun Dalam Reban Ayam Taktik Baru Di Terengganu
Pengarah Kastam Terengganu Datuk Azis Yacub berkata terbaru, Kastam Terengganu menemui 203 kilogram mercun dan bunga api pelbagai jenis dalam reban ayam di Kampung Losong Hj. Mat Shafie, di Kuala Terengganu, pukul 10.48 kelmarin.
"Lokasi mercun bernilai lebih RM6,000 termasuk cukai itu hanya kira-kira 500 meter dari tempat letupan yang menyebabkan seorang kanak-kanak enam tahun terbunuh baru-baru ini," katanya di Kuala Terenganu semalam.
Dalam kejadian itu, Khairul Arif Ayob, 6, murid tadika Kampung Losong Atap Zin, maut manakala dua lagi cedera parah apabila sebuah rumah yang dipercayai dijadikan stor simpanan bunga api dan mercun meletup dalam satu kejadian di Kampung Seberang Baruh, Cabang Tiga.
Azis berkata sebelum itu kira-kira pukul 2.10 petang, dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Binjai Berambu, Kepong, di sini pihaknya menemui 119.25 kilogram mercun bernilai RM2,980 dan 256 karton rokok kretek dan rokok putih seludup pelbagai jenama bernilai RM4,950.
"Cukai yang cuba dielak ialah sebanyak RM21,600. Sorang lelaki yang merupakan pemilik rumah itu ditahan untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sepanjang Ramadan, 10 kes melibatkan mercun bernilai RM16,412 dengan tangkapan lima orang dibuat jabatan itu di seluruh negeri, kata Azis.
Mercun dan bunga api itu dipercayai diseludup masuk dari Thailand dan untuk pasaran tempatan sempena perayaan tidak lama lagi.
Azis berkata pihaknya akan meneruskan operasi 24 jam sehari di seluruh negeri untuk membanteras penyeludupan bahan terlarang terutama mercun dan bunga api.
Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada Kastam Terengganu di talian 09-6228477/09-6204242 atau talian bebas tol 1800-88-8855.
Beberapa Kawasan di Terengganu Mengalami Hujan Pada Aidilfitri
Jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia berkata semalam keadaan itu disebabkan lebih banyak hujan dijangka berlaku di negeri-negeri terbabit pada bulan ini berbanding Ogos.
"Umumnya untuk tempoh dua minggu akan datang, hujan diramal pada sebelah pagi di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, manakala cuaca di tempat lain dijangka baik," katanya.
Bagaimanapun katanya, ribut petir diramal berlaku di beberapa tempat di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Pahang dan Johor pada sebelah petang, sementara beberapa kawasan di Terengganu dijangka mengalami hujan.
Selain itu katanya, Selat Melaka khususnya di sebelah utara juga dijangka mengalami ribut petir pada awal pagi.
"Keadaan angin kencang dan ombak tinggi ketika ribut petir ini boleh menyebabkan bahaya," katanya yang menasihatkan nelayan agar berhati-hati ketika cuaca itu berlaku.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari www.met.gov.my.
Friday, September 3, 2010
Program Amal Yayasan DiRaja Sultan Mizan
Berasaskan falsafah inilah Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) mengadakan “Majlis Pergurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin dan Kanak-kanak Sekolah Sempena Hari Raya Aidilfitri” 1431 Hijrah pada pagi Sabtu 21 Ogos lalu.
YDSM yang sudah memulakan program itu sejak 2006 adalah sebahagian program amal yayasan yang turut meraikan warga emas yang miskin dan murid-murid sekolah seluruh Terengganu.
Ia bertujuan memenuhi matlamat penubuhan Yayasan iaitu kearah meningkatkan sosio-ekonomi penduduk Negeri Terengganu Darul Iman.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, selaku Pengerusi Yayasan berkenan berangkat ke majlis ini dan seterusnya berkenan mengurniakan bantuan tersebut.
Tuanku Mizan yang juga Pengerusi YDSM menyampaikan bantuan kepada pelajar berkenaan dan penerima lelaki manakala Tuanku Nur Zahirah menyampaikan bantuan kepada penerima wanita.
Turut hadir pada majlis di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Tahun ini, seramai 120 warga emas dari semua daerah seluruh Terengganu dengan Daerah Kuala Terengganu dibahagi kepada dua kumpulan, dipilih menerima kurniaan tersebut.
Bagi memastikan bahawa mereka yang dipilih tidak menerima bantuan sama oleh agensi lain, pihak JKM terlebih dahulu telah mendapat kerjasama daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang menyemak nama-nama warga emas tersebut.
Bagi murid-murid sekolah pula, seramai 210 kanak-kanak dari tujuh buah sekolah dipilih.
Antara bantuan yang dikurniakan kepada warga emas ialah bagi lelaki wang tunai RM200.00, baju melayu, songkok dan kain pelikat manakala bagi wanita pula wang tunai RM200.00 , kain batik terap, sandal dan tudung.
Selain itu, mereka juga dikurniakan hamper yang mengandungi barangan asas seperti beras, minyak, gula dan sebagainya. Kanak-kanak sekolah pula akan menerima wang tunai sebanyak RM150.00 setiap seorang.
Yayasan mengeluarkan belanja sebanyak RM80,000.00 untuk Majlis Kurniaan tahun ini.
Yayasan melaksanakan majlis ini dengan kerjasama dan sumbangan pelbagai pihak termasuk MAIDAM. Kurniaan barangan pula adalah hasil sumbangan syarikat-syarikat korporat termasuk K.K Group of Companies.
Yayasan juga bekerjasama dengan jabatan-jabatan Kerajaan dan pelbagai agensi seperti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Pejabat Pesuruhjaya Agama Negeri Terengganu, Jabatan Kerja Raya, Pejabat KDYMM Sultan, Jabatan Penerangan, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Polis DiRaja Malaysia, Sahibus Samahah Al-Mufti dan Taman Tamadun Islam (TTI) bagi menjayakan program ini.
Bagi bantuan Fakir Miskin - seramai 15 penerima daripada setiap daerah - Kuala Terengganu Utara, Kuala Terengganu Selatan, Kemaman, Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Setiu.
Sementara bagi penerima Bantuan Pelajar Miskin Sekolah Menengah – seramai 30 pelajar setiap sekolah – masing-masing adalah dari Sek Men Keb Panji Alam dan Sek Men Keb Bukit Tungal.
Bagi penerima bantuan Pelajar Miskin Sekolah Rendah – 30 pelajar setiap sekolah – mereka adalah dari Sek Keb Pengadang Baru, Sek Keb Duyong, Sek Keb Teluk Ketapang, Sek Agama Rendah Felda Chalok Barat dan Sek Agama Rendah Bukit Bading.
Hospital Terengganu Cipta Sejarah Lahir Dua Bayi Tabung Uji
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr Abdul Rahman Mokhtar yang melawat kedua-dua ibu bayi itu, berkata ini adalah bayi tabung uji yang pertama dilahirkan di HSNZ sejak projek itu dimulakan pada November tahun lepas.
Katanya, selain dua ibu yang sudah berjaya melahirkan anak itu, ada 10 lagi ibu yang sedang mengandung anak 'tabung uji' yang akan dilahirkan berperingkat-peringkat pada tahun ini dan tahun hadapan.
Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukan RM1 juta bagi penubuhan unit IVF dengan membeli pelbagai peralatan dan ubah suai dewan bedah dan sebagainya di HSNZ.
Katanya, hospital itu mempunyai tiga orang doktor pakar yang mengendali program IVF dengan diketuai pakar perunding Dr Mohd Zulkifli Mohd Kassim.
Kaedah persenyawaan dalam tabung uji ialah dengan menyatukan benih ibu dan benih bapa dan kemudian dimasukkan semula ke dalam rahim ibu.
Sebelum ini bayi tabung uji dilahirkan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Alor Star, Kedah.
Seorang daripada ibu bayi berkenaan, Mastika Abdul Aziz, 31, jururawat di HSNZ, ketika ditemui berkata, beliau bersama suaminya Mohammad Fadli Ngah, 31, menunggu selama empat tahun dan menggunakan pelbagai cara, tetapi tidak berjaya untuk mendapatkan zuriat.
"Saya juga telah melalui program permanian beradas sebanyak tiga kali, tetapi semuanya gagal. Setelah hospital ini ada program IVF dan kemudian disyorkan oleh doktor pakar, terus saya mencubanya dan ianya mendatangkan kejayaan" katanya dengan penuh gembira.
Mastika yang melahirkan anak lelaki seberat 2.92 kg dengan cara pembedahan pada kira-kira 9.7 minit pagi amat seronok kerana ia kebetulan lahir pada hari Kemerdekaan negara ke-53.
Seorang lagi ibu, Salina Mohamad, 44, guru di Sekolah Menengah Perempuan Likas, Kota Kinabalu, Sabah berkata, kelahiran ini merupakan harta yang paling bernilai buat diri dan suaminya.
Beliau yang mempunyai seorang anak lelaki berumur enam tahun yang dilahirkan secara biasa berkata, selepas mendapat anak pertama, suaminya Fazuri Ishak, 38, seorang anggota tentera laut, bertugas di Perancis kerana mengikuti projek kapal selam di sana.
"Disebabkan jarak yang jauh kami jarang bertemu dan setelah suami kembali akhir tahun lepas, jadi masa itu saya guna peluang untuk mendapatkan seorang lagi anak dengan menggunakan program IVF di hospital ini," katanya yang melahirkan bayi seberat 2.81 kg pada 11.25 pagi 31 Ogos.
T'Team Turun Sebagai 'Underdog' Menentang Selangor 14 Sept Ini
Jurulatihnya Che Ku Marzuki Che Ku Omar berkata T'Team akan menurunkan kesebelasan pemain utama bagi megimbangi kekuatan Selangor dalam pertemuan itu.
"Kita tidak gentar jumpa Selangor, walapun pasukan itu mempunyai pengalaman luas dalam kejohanan itu," katanya semalam.
Che Ku Marzuki berkata untuk menghadapi saingan Piala Malaysia ini, T'Team tidak mengunakan khidmat pemain pinjaman kerana mereka percaya dengan kemampuan dan kebolehan pemain yang ada.
Beliau berkata semangat pemain-pemain T'Team untuk menghadapi Selangor begitu tinggi dan mereka sekarang berada dalam keadaan cergas, walaupun dalam bulan puasa.
Sementara itu, Che Ku Marzuki berkata pasukan KL Felda merupakan sebuah lagi pasukan pendatang baru dalam kumpulan D yang perlu diberikan perhatian oleh T'Team.
"Ini kerana pasukan tersebut, yang juga juara Liga Perdana musim ini sukar dibaca permainan dan kekuatan mereka," katanya.
Perlawanan pertama antara kedua-dua pasukan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini pada 17 September.
Che Ku Marzuki berkata Perlis juga tidak perlu dipandang sepi oleh T'Team kerana mungkin pasukan itu membuat kejutan dalam kumpulan itu.
Apapun, beliau berkata T'Team perlu berwaspada dalam semua perlawanan yang akan dihadapi nanti sekiranya tidak mahu kecundang.
Pengeluaran Lesen Bot Laut Dalam Dibekukan Sementara Waktu
Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu Zakaria Ismail berkata ini kerana pihaknya ingin mengkaji terlebih dahulu keberkesanan industri perikanan laut dalam.
"Kita akan kekalkan lesen sedia ada," katanya semalam.
Zakaria berkata sebanyak 3,166 lesen telah dikeluarkan kepada bot laut dalam di Terengganu sehingga Julai tahun ini.
Panggung wayang akan dibuka di Mesra Mall?
Cinepleks TGV Cinema itu akan membolehkan para peminat filem di negeri ini menonton dalam suasana cukup selesa tanpa perlu lagi ke Kuantan, Pahang.
Pengurus Besar Pengurusan Pusat Mesra Mall, Michael Vong berkata, ketika ini, kemudahan dan struktur panggung wayang berkenaan sudah siap dan kini menunggu kelulusan lesen yang dijangka diterima dalam tempoh terdekat ini.
Beliau berkata, ia akan mempunyai tiga skrin layar dengan setiap ruang mampu memuatkan kira-kira 250 orang pada satu-satu masa tayangan.
"Sebelum ini, penduduk Terengganu dan Kelantan terpaksa pergi ke Kuantan yang mengambil masa perjalanan beberapa jam untuk menonton wayang kegemaran mereka.
"Melalui pembukaan panggung wayang ini, mereka tidak perlu lagi pergi sejauh itu dan hanya ke Mesra Mall," katanya baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Zaini Sulaiman.
Beliau berkata, Mesra Mall menerima kira-kira dua juta pengunjung dalam tempoh setahun sejak ia mula dibuka pada Oktober 2008.
"Kita menyasarkan kira-kira 3.6 juta pengunjung setahun ke Mesra Mall dan untuk itu pihak pengurusan perlu menganjurkan promosi dan acara yang mampu menarik pengunjung," katanya.
Selain menawarkan pelbagai jualan peruncitan berjenama, tambahnya, Mesra Mall turut menawarkan aktiviti rekreasi untuk hiburan sekeluarga seperti gelanggang futsal, permainan video, pusat karaoke dan boling.
100 Metrik Tan Daging Diperlukan Untuk Hari Raya Di Terengganu
Katanya sebanyak 400 hingga 500 ekor lembu dijangka disembelih di seluruh negeri, sehari sebelum hari raya, bagi memenuhi permintaan.
"Peniaga-peniaga daging lembu boleh mendapatkan permit untuk sembelihan di pejabat JPV daerah masing-masing mulai sekarang," katanya semalam.
Azizol berkata keseluruhan ayam yang digunakan sepanjang bulan puasa dan hari raya di seluruh negeri ini adalah 1.35 juta ekor manakala lapan juta biji telur ayam diperlukan sepanjang bulan puasa dan hari raya.
Tarikh lihat anak bulan Syawal Rabu, 8 September
Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang dikeluarkan di Kuala Lumpur kelmarin, perkara itu dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenankan Majlis Raja-Raja.
Katanya, ia akan dilakukan di 30 tempat yang ditetapkan di seluruh negara.
Majlis Raja-Raja bersetuju bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan melalui radio dan televisyen pada malam itu juga tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan.
Antara tempat melihat anak bulan adalah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara (Melaka); Teluk Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Bukit Melawati, Kuala Selangor (Selangor); Pulau Angsa (Selangor); Bukit Jugra (Selangor), Pantai Pasir Panjang (Perak).
Selain itu di Pantai Aceh (Pulau Pinang); Kampung Pulau Sayak (Kedah); Pemandangan Indah, Pulau Langkawi (Kedah); Menara Alor Setar (Kedah). Bukit Besar, Kuala Terengganu (Terengganu); Bukit Kemuning (Terengganu); Pulau Perhentian (Terengganu); Balai Cerap KUSZA, Bukit Peraksi, Pasir Puteh (Kelantan); Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai (Kelantan); Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu (Kelantan).
Thursday, September 2, 2010
Kilang Top IT Selamat Digunakan – Ahmad Said
"Kerajaan negeri menyerahkan kepada pengurusan kilang itu untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan itu...juga mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri memanggil pihak daripada Jabatan Audit yang dipercayai mendedahkan beberapa maklumat mengenai syarikat itu kepada pembangkang." - Ahmad Said
Semua tuduhan tidak benar!
PAS hanya merekakan cerita kerana melihat program E-Book mendapat sambutan dan menyentuh hati rakyat, termasuk penyokong PAS yang anak mereka turut menerima E-Book.
Kebimbangan PAS bahawa sebahagian penyokongnya mula tertarik dengan dasar kerajaan negeri menyebabkan mereka cuba membuat tuduhan liar untuk mencemarkan imej kerajaan dan Menteri Besar.
Yang nyata, Top IT Industries Sdn Bhd, kilang pemasangan e-Book untuk pelajar sekolah di negeri ini, diakui selamat dan tidak mendatangkan bahaya kepada pekerjanya.
MB menjelaskan fakta-fakta salah yang dibuat oleh PAS mengenai kilang Top IT.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan, perkara itu disahkan oleh juruperunding dan pembinaan kilang itu mengikut peraturan yang ditetapkan.
Kilang itu hanya mengalami keretakan biasa pada dinding yang tidak mendatangkan bahaya kepada pekerja, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahamad Nawawi pada Khamis lepas bahawa kilang anak syarikat kerajaan negeri berharga RM12 juta itu tidak selamat kerana retak selain tidak ada sijil layak menduduki (CF).
Menteri Besar berkata: "Sekarang CF sudah tidak dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan lagi tetapi oleh juruperunding dan mereka menyatakan bangunan itu selamat untuk digunakan".
Beliau menegaskan bahawa kilang berkenaan hanya berharga RM7.9 juta dan bukannya RM12juta seperti didakwa.
Oleh yang demikian, katanya kerajaan negeri menyerahkan kepada pengurusan kilang itu untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan itu.
Menteri Besar berkata beliau juga telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri memanggil pihak daripada Jabatan Audit yang dipercayai mendedahkan beberapa maklumat mengenai syarikat itu kepada pembangkang.
"Saya tidak faham mengapa Jabatan Audit telah memberi laporan berkenaan kepada pihak pembangkang jika ada berlaku perkara sedemikian. Apa tujuan Audit berbuat demikian seolah-olah hendak sabotaj kerajaan negeri dalam perkara ini?.
"Sepatutnya Audit memberi laporan terlebih dahulu kepada kerajaan sebelum mendedahkan kepada pihak lain jika ada sebarang perkara yang tidak kena berlaku," tegasnya.
Teganuku pada entri 31 Ogos 2010 (kelmarin) meminta pihak pengurusan Top IT bukan sekadar menafikan dakwaan pembangkang kononnya bangunan kilang itu yang terletak di Gong Badak tidak selamat digunakan berikutan berlaku keretakan, tetapi menyaman pihak yangh membuat dakwaan jika ia tidak benar.
Ini termasuk Dr Syed Azman yang membuat tuduhan berkenaan.
Pengerusi Top IT, Mohd Shafaruddin Mustaffa pada 30 Ogos 2010 menegaskan tuduhan bahawa bangunan itu akan runtuh adalah tidak berasas.
Ini kerana pihak perunding yang dilantik sebelum ini memberi jaminan kilang tersebut boleh beroperasi.
Hariff juara peringkat ketujuh
"Siapa yang tidak gembira dapat meraih kejuaraan buat kali kedua dalam sirkit ini, malah jurulatih William Walker juga turut bersama-sama berkongsi kegembiraan ini, selepas kami sepasukan berjaya membuktikan pelumba Malaysia mampu memberi saingan kepada pelumba handalan lain," katanya
Bantuan Khas Raya - Penjawat Awam Terengganu Dapat RM500
Terima kasih kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ahmad Said!
Menteri Besar itu mengumumkan seramai 14,000 penjawat awam negeri Terengganu akan mendapat bayaran bantuan khas kewangan bernilai RM500 untuk menyambut Hari Raya Aidilftiri kali ini.
Beliau mengumumkannya pada sidang media selepas mesyuarat EXCO di Wisma Darul Iman, petang semalam.
Menteri Besar berkata, pembayaran tersebut yang melibatkan peruntukan kira-kira RM7 juta akan dibayar sebelum 1 Syawal.
"Mesyuarat Exco hari ini telah membincangkan perkara itu dan meluluskannya di mana bayaran akan dibuat sebelum hari raya atau minggu hadapan," katanya.
Katanya, bayaran itu dibuat mengikut langkah kerajaan pusat di mana lebih 1.24 juta penjawat awam kerajaan pusat dari gred 1 hingga 54 menerima bayaran bantuan khas itu semalam.
Melaka, Selangor, Perlis dan Negeri Sembilan turut mengumumkan bantuan dengan jumlah yang sama kepada kepada penjawat awam masing-masing.
Pulau Pinang pula membayar sebanyaki RM400.
Polis - Letupan Berpunca Dari Belerang Mercun
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata siasatan Unit Forensik polis Bukit Aman mengesahkan bahawa letupan yang kuat itu berpunca daripada belerang mercun.
"Cuma kita belum pasti bagaimana ia boleh meletup dengan kadar yang kuat atau adakah ia diubah suai, itu kita belum pasti.
"Ini disebabkan kedua-dua mangsa yang cedera masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan kita belum ambil kenyataan daripada mereka," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada polis kontinjen Terengganu oleh Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) di malam Kelmarin. Turut hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif KIST Zaidi Yusof.
Dalam kejadian itu yang berlaku di Kampung Makam Lama, Cabang Tiga Kuala Terengganu, seorang kanak-kanak Khairul Arif Ayub, 6, terbunuh manakala dua pemuda Mohd Asrizan Muda, 22, dan Mazlan Abdullah, 29, turut mengalami cedera parah.
Mohd Shukri berkata bapa kepada Khairul Arif merupakan suspek utama kejadian itu. Bagaimanapun dia telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh tahanan reman tiga hari terhadapnya berakhir.
"Polis perlu lengkapkan kertas siasatan dulu dengan mengambil kenyataan daripada dua pemuda yang turut cedera dalam kejadian itu sebelum dakwaan terhadap suspek dibuat. Kita jangka ia boleh diselesaikan sebelum hari raya ini," katanya.
Sementara itu beliau berkata sehingga kini polis telah menahan 34 orang penjual mercun di seluruh Terengganu kerana menjual mercun tanpa permit dan menjual mercun yang tidak dibenarkan.
Bagaimanapun katanya, kegiatan menjual mercun di negeri tersebut masih terkawal dan pihaknya memberi amaran keras akan mengambil tindakan tegas terhadap penjual mercun yang tidak mempunyai permit.
Terengganu Cycling Team, Nama Pilihan
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat berkata antara nama yang menjadi pilihan ialah Terengganu Cycling Team (TCT).
Pemilihan nama dilakukan oleh jawatankuasa penubuhan pasukan lumba basikal Terengganu.
"Pasukan ini akan diurus tadbir oleh pengurusan lumba basikal profesional Terengganu apabila ia berjalan sepenuhnya nanti," katanya.
Mengenai senarai pelumba bagi pasukan tersebut, Rozi berkata 14 pelumba yang mempunyai prestasi cemerlang dalam acara lebuh raya telah disenarai.
Mereka ialah Mohd Zamri Salleh, Mohd Shahrul Afiza Fauizan, Ahmad Ridzuan Zainal dari pasukan ATM, Mohd Haidar Anuawar (Macro Polo-Cina), Mohd Hariff Salleh, Mohd Sharul Mat Amin, Mohd Adiq Husainie Othman, Yusrizal Usoff, Mohd Faiz Syarifuddin A.Kadir (MSN).
Anuar Manan (Gingsang Gingseng-Korea), Mohd Shobry Abdullah, Mohd Saufi Mat Senan (PLBT), Amir Mustaffa Rosli (PDRM) dan Ahmad Falanie Ali (DBKL).
Rozi berkata kemungkinan hanya 10 pelumba yang akan dipilih untuk menyertai pasukan profesional Terengganu.
Pasukan tersebut akan membuat aksi penampilan pertama pada Le Tour de Langkawi pada April tahun depan dan kejohanan lain di seluruh dunia, kata beliau.
Pantau Salah Guna Nama Homestay
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, kebanyakan pengusaha rumah tumpangan masih terkeliru dengan penggunaan sebenar homestay dan atas sebab itu mereka dilihat sewenang-wenangnya menggunakan perkataan itu pada perusahaan mereka.
“Sehubungan itu, pihak berkenaan perlu tampil dengan kaedah terbaik untuk memberi penerangan dan kefahaman secara jelas kepada masyarakat agar masalah ini tidak mengelirukan pelancong yang datang.
“Ini sebab, konsep sebenar homestay adalah pelancong akan tinggal bersama dengan pemilik rumah, sebaliknya rumah tumpangan yang sedia ada hari ini terpesong jauh daripada konsep sebenar homestay,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama warga Terengganu Fm dan pemimpin Kuala Nerus di Laman Budaya, di Teluk Ketapang.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memuji kesungguhan Persatuan Homestay Teluk Ketapang yang begitu komited untuk mempromosikan perusahaan berkenaan hingga dikenali bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di luar negara.
“Kejayaan yang dicapai hari ini tidak berjaya direalisasikan tanpa sokongan dan kerjasama berterusan oleh peserta yang terlibat dan saya berharap lebih ramai menjadi sebagai ahli pada masa akan datang,” katanya.
Beliau yang juga penaung persatuan itu meminta keahlian seramai 32 keluarga direkodkan buat masa ini akan bertambah, memandangkan perusahaan ini peluang paling mudah untuk menjana pendapatan tambahan.
Sinar Harian
Khalid Jamlus - Aidilfitri Yang Suram
Sesudah digantung daripada menyertai sebarang pasukan bagi kempen Piala Malaysia, bekas penyerang, Khalid Jamlus terus dibelenggu malang apabila masih belum menerima tunggakan gajinya sejak dua tahun lalu ketika bersama Perak.
Khalid menandatangani kontrak dengan T-Team, Mei lalu tetapi tidak beraksi satu perlawanan sekali pun buat kelab berpengkalan di Kuala Terengganu berikutan dia masih didaftarkan oleh kelab Liga Perdana, Tentera pada pra-musim.
Ketika pemain lain sibuk membuat persiapan bagi Aidilfiri sambil berlatih menghadapi kempen Piala Malaysia yang bermula empat hari selepas itu, Khalid kini kebingungan untuk menghadapi hari-hari yang akan datang semakin suram.
Khalid juga terkilan dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang enggan mengeluarkan lesen bermain kepadanya untuk beraksi dengan T-Team selepas menandatangani kontrak dengan mereka.
“Saya berharap FAM dapat memberi kelonggaran memandangkan saya kini tidak dapat beraksi untuk mana-mana pasukan. Kes saya adalah kes istimewa dan diharapkan dapat mendapatkan pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Mercun Bernilai RM10,000 Dirampas Setelah Kereta Terbabas
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Supritendan (DSP) Noor Zainy Mohd Noor berkata kejadian berlaku pukul 3.30 petang selepas polis menerima maklumat menyatakan sebuah kereta Proton Saga dinaiki dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di sekitar Benting Lintang menghala ke Kuala Terengganu.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis yang diketuai Inspektor Muhammad Zaki Ramat membuat intipan dan mengekori kereta berkenaan, tetapi setelah menyedari mereka diekori, suspek telah memecut keretanya ke arah Kuala Terengganu.
"Sampai di tempat kejadian kereta yang dipandu suspek terbabas ke tepi jalan dan kedua-dua mereka berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kampung Raja semalam.
Noor Zainy berkata antara jenis mercun dan bunga api yang dirampas dari kereta suspek ialah Crazy Robots (64 kotak), Attilery Shell 1.5 A8004 (24 kotak), Happy Boom (33 kotak), mercun katak 8305 (18 kotak) dan Crackling Ground Bloom Flower (45 kotak).
Usaha untuk menjejak suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran jika mempunyai maklumat berkenaan dua lelaki terbabit.
Beliau berkata siasatan awal mendapati bekalan mercun itu dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk dijual di sekitar daerah Besut.
Noor Zainy berkata kereta suspek kini ditahan di ibu pejabat polis Kampung Raja.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Saluran bantuan masjid daripada bukan Islam
Utusan Malaysia
MENGAPA wujud pula kelonggaran kepada orang bukan Islam di negara ini dibenarkan memasuki ruang solat tanpa disyaratkan menutup aurat seperti dilakukan oleh Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching di Surau Al-Huda Kajang Sentral pada 27 Ogos lalu.
Perbuatan Nie Ching itu melontarkan pelbagai persoalan. Mengapa pentadbir surau tersebut mengetepikan peraturan menutup aurat dan memberi keistimewaan kepada pemimpin yang bukan beragama Islam.
Selang sehari selepas itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen pula dibenarkan memasuki ruang solat di Masjid At-Taqwa di Selayang Baru juga atas alasan mahu memberi bantuan kepada masjid tersebut.
Dalam mencari jawapan, Pengarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU),Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Mohamad Rahimi Osman berpendapat perbuatan tidak menutup aurat yang tidak sepatutnya berlaku itu terjadi kerana masing-masing mengutamakan politik.
Jelas beliau, pentadbir dan ahli jawatankuasa surau berkenaan dilihat sanggup mengetepikan kesucian agama Islam kerana fahaman politik untuk menunjukkan mereka lebih hebat daripada orang lain.
''Inilah yang berlaku apabila demi politik semua perkara yang ditegah dalam Islam dihalalkan. Jelas sekali perbuatan itu tidak menepati semangat dan roh Islam yang sepatutnya sudah tertanam dalam diri setiap orang Islam," jelas beliau ketika dihubungi baru-baru ini.
Natijahnya jika orang Islam sendiri tidak bersungguh-sungguh menjaga kesucian agama itu maka jangan harap orang bukan Islam yang terang-terang tidak tunduk untuk memeluk Islam akan memastikan kesucian rumah Allah.
Alasan untuk memberi bantuan kepada surau itu menyebabkan peraturan dilanggar sukar diterima, malah perkara itu boleh dilakukan di tempat lain dan tidak mestinya datang dan berzikarah di surau.
Di mana letak kewibawaan pemimpin-pemimpin Islam apabila orang bukan Islam memberi ceramah kepada mereka. Adakah tiada lagi yang layak dalam kalangan umat Islam sendiri untuk berbuat demikian.
Tambah Mohamad Rahimi perkembangan itu amat membimbangkan kerana atas nama Islam persatuan dibentuk untuk mempertahankan ancaman serangan musuh. Kini musuh pula dijemput untuk mencemarkan rumah ibadah.
Ruang solat adalah tempat umat Islam bersujud ketika bersolat dan tetapi kini sewenang-wenangnya dipijak oleh orang bukan Islam yang disifatkan dalam keadaan berhadas besar. Pada zahirnya masih nampak bersih tetapi ia sebenarnya telah dicemari yang sepatutnya tidak berlaku.
Pemimpin-pemimpin bukan Islam memberi alasan untuk menyalurkan bantuan sebab itu mereka masuk ke surau atau masjid.
Tetapi mengapa sekarang perkara ini berlaku. Mengapa ketika Barisan Nasional (BN) memerintah Selangor, ia tidak berlaku walaupun wakil-wakil MCA, Gerakan dan MIC juga turut memberi sumbangan kepada institusi agama Islam.
Malah pemimpin-pemimpin bukan Islam dari BN di negeri-negeri lain juga tidak bertindak di luar batasan seperti yang dipamerkan oleh Nie Ching dan William.
Mohamad Rahimi berpendapat, bagi pemimpin-pemimpin bukan Islam boleh menyalurkan bantuan itu kepada exco kerajaan negeri, Datuk Dr. Hassan Ali yang bertanggungjawab menjaga kepentingan hal ehwal agama Islam dan adat resam Melayu di Selangor.
''Saluran ini lebih manis dan sesuai bagi mengelak kejadian yang boleh mencetuskan kemarahan umat Islam seperti yang berlaku sekarang. Hebahan boleh dilakukan sama ada di surau atau di masjid bahawa bantuan itu diterima daripada pihak-pihak berkenaan tanpa perlu penyumbangnya dimestikan hadir," jelas beliau.
Malah sepatutnya jika memerlukan bantuan, pentadbiran surau atau masjid boleh merujuk masalah itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan dan kemajuan kedua-dua premis itu.
Cadangan Hasan yang meminta JAIS menggubal peraturan memasuki masjid tidak perlu dilakukan kerana kenyataan beliau itu dilihat meletakkan kesalahan yang telah berlaku berpunca daripada JAIS sendiri.
Hal ini jelas menunjukkan ahli-ahli politik pakatan pembangkang lebih gemar meletakkan kesalahan kepada pihak lain apabila terbukti mereka atau rakan pakatannya melakukan kesalahan.
Petronas beli kepentingan BP dalam 2 syarikat RM1.1b
EMSB memiliki loji ethylene dan PEMSB pula memiliki loji polyethylene yang terletak dalam Kompleks Industri Petroleum milik Petronas di Kertih, Terengganu.
Sebelum ini, kedua-duanya loji tersebut dikendalikan oleh syarikat minyak negara itu.
Di bawah perjanjian itu, Petronas akan membayar AS$363 juta itu secara tunai kepada BP, termasuk penyelarasan imbangan kira-kira sebanyak AS$13 juta (RM40.8 juta) dan pembayaran semula kepada pinjaman pemegang saham sebanyak AS$53 juta (RM166.4 juta).
Tertakluk kepada keadaan tertentu, kedua-dua pihak dijangka menyelesaikan transaksi pada akhir tahun ini.
Naib Presiden Eksekutif Perniagaan Hiliran Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pembelian itu membolehkan Petronas mengukuhkan kedudukan dalam perniagaan olefin dan polyplefin di rantau ini.
''Kami mempunyai hubungan kerja yang cemerlang dengan BP dalam kerjasama bertahun lamanya dan akan meneruskan kerjasama pada masa depan,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
EMSB yang menghasilkan pengeluaran ethylene kira-kira 400,000 tan setahun.
Petronas kini memiliki kepentingan sebanyak 72.5 peratus dan BP sebanyak 15 peratus serta Idemitsu of Japan sebanyak 12.5 peratus.
BP yang menguasai 60 peratus dalam PEMSB dan bakinya oleh Petronas menghasilkan kapasiti polyethylene sebanyak 300,000 setahun.
Peserta 5 Rancangan Felda Dapat Duit Raya
Seramai 2,132 peneroka di lima rancangan Felda di dalam Parlimen Dungun menerima duit raya yang keseluruhannya berjumlah RM666,800.
Ia melibatkan 1,735 peneroka bersama Felda yang masing-masing menerima RM350 manakala 397 orang lagi yang tidak bersama Felda menerima RM150.
Majlis penyampaian melalui ketua-ketua peneroka diadakan petang semalam di Masjid Kerteh Empat dalam satu majlis berbuka puasa.
Penyampaian dilakukan oleh Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan dan turut dihadiri para pegawai Felda wilayah.
Para peneroka itu merupakan sebahagian daripada 7,458 peneroka di seluruh negeri ini yang menerima sumbangan Felda keseluruhannya berjumlah RM2.43 juta bagi meriahkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini.
Peruntukan terbesar ialah bagi Parlimen Kemaman yang mempunyai enam tanah rancangan berjumlah RM818,700 untuk diagihkan kepada 2,362 peneroka.
Sempena majlis itu juga, Rosli turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pendidikan khas di samping guru mereka.
Berucap pada majlis tersebut Rosli berkata, peneroka Felda merupakan antara golongan paling bertuah kerana sentiasa mendapat pembelaan daripada agensi itu dan kerajaan.
Katanya, segala perhatian yang diberikan bagi membangunkan kehidupan mereka sejak dahulu sehingga kini hanya boleh dilakukan oleh kerajaan yang berkeupayaan dan prihatin.
‘‘Tanah rancangan Felda merupakan kehebatan kepimpinan negara dalam merancang masa depan rakyatnya yang cuba ditiru oleh banyak negara tetapi gagal.
‘‘Malangnya di kalangan peneroka sendiri ada yang tidak mensyukuri dan menghargainya, malah bersama dengan golongan tertentu untuk menjejaskan Felda yang banyak berjasa kepada mereka,” ujarnya.
Utusan Malaysia
Wednesday, September 1, 2010
Kemaman Berpotensi Dimajukan Sebagai Destinasi Beli-Belah
Beliau berkata selain memiliki pantai yang sering dikunjungi pelancong, pusat beli-belah Mesra Mall di Kemasik merupakan lokasi strategik dan berpotensi dimajukan bagi membantu mengembangkan ekonomi setempat.
“Walaupun kedudukannya agak jauh dari bandar Kuala Terengganu, ia strategik kerana menjadi persinggahan untuk mereka yang ingin ke Kuantan, (begitu) juga sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas berdialog dengan mereka yang terbabit dalam industri pelancongan di negeri itu termasuk pemandu pelancong di di sini.
Zaini berkata Terengganu masih kekurangan elemen beli-belah walaupun negeri itu paling banyak menerima pelancong dari dalam dan luar negara pada setiap tahun.
“Kebanyakan (pelancong) melawat tempat-tempat menarik seperti pulau dan sebagainya, sehubungan itu, kita akan menekankan elemen beli-belah di sini kerana ia berjaya menarik pelawat dari luar negara berkunjung ke negara ini dan menarik minat rakyat tempatan berbelanja di tempat sendiri,” katanya.
Beliau berkata Tourism Malaysia sendiri mengatur program berasaskan aktiviti beli-belah sebanyak empat kali setahun seperti jualan mega dan jualan hujung tahun sejak 10 tahun lepas.
Sementara itu, pengurus besar pengurusan pusat Mesra Mall Michael Vong berkata setakat ini, pusat beli-belah yang dibuka Oktober 2008 itu menerima 3.6 juta pengunjung dan perolehan tahunannya kira-kira RM64 juta.
Beliau berkata jumlah pengunjung dijangka bertambah sekali ganda dengan pembukaan pawagam di pusat beli-belah itu selewat-lewatnya Oktober ini.
“Ini kerana sebelum ini, penduduk di Terengganu dan Kelantan terpaksa ke Kuantan, Pahang jika ingin menonton wayang,” katanya sambil menambah bahawa pihaknya kini menunggu kelulusan lesen daripada pihak berkuasa sebelum beroperasi.
Peringatan Raja Nazrin Wajar Diberi Perhatian Serius
Entah untuk ke berapa kali, raja-raja Melayu terus memberikan peringatan dan nasihat kepada orang Melayu serta umat Islam mengenai ancaman yang sedang mereka hadapi.
Terbaru, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap umat Islam yang disifatkannya dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca.
Pada pandangan baginda, ia berlaku kerana pemimpin memilih untuk bertelagah serta bersaing mendapatkan pengaruh sehingga tergamak melakukan perkara mencemarkan agama serta menjatuhkan maruah ummah.
Walaupun peringatan baginda cukup tegas dan jelas tetapi percayalah, ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan kepada sesetengah kelompok pemimpin yang lebih melihat kepada keuntungan politik semata-mata.
Pemimpin berkenaan seolah-olah tidak peduli terhadap apa yang berlaku kepada orang Melayu tetapi sebaliknya lebih menghitung bagaimana hendak meraih sokongan daripada kaum lain.
Akibatnya, orang Melayu dan umat Islam seperti kata Raja Nazrin tenggelam punca. Keadaan ini jika berterusan amat berbahaya kepada masa depan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Justeru, pemimpin-pemimpin yang terus ghairah menggadaikan segala-galanya untuk kepentingan politik mereka, perlu memandang serius peringatan Raja Nazrin itu.
Jangan menganggap apa yang dititahkan oleh baginda sekadar satu titah semata-mata dan bukannya satu perintah yang perlu dipatuhi. Apa yang baginda lakukan adalah untuk memberi amaran tentang bahaya yang menanti umat Islam dan orang Melayu di negara ini.
Pertelingkahan akibat ideologi politik berbeza dan ditambah pula dengan permainan politik matlamat menghalalkan cara telah memungkinkan hari demi hari orang Melayu menjadi semakin lemah.
Apa sahaja isu yang cuba dibangkitkan bagi membela nasib mereka, pasti akan mendapat tindak balas segera di mana orang yang memperjuangkannya akan dianggap rasis.
Lebih mendukacitakan, apabila ada pemimpin Melayu yang sanggup ke barisan hadapan untuk mempertahankan tindakan pemimpin bukan Melayu menyampaikan 'tazkirah' di surau.
Pelbagai hujah mereka keluarkan bagi mempertahankan rakan sekutu politik mereka itu, dan dalam masa yang sama tuduhan dilemparkan kepada pihak yang mendedahkan kejadian tersebut.
Sudah jelas kini semakin ramai pemimpin Melayu bersedia menjadi 'pak turut' semata-mata mahu meraih kuasa politik.
Mereka terlupa bahawa seperti mana kata Raja Nazrin pencerobohan besar bermula daripada pencerobohan kecil. Ia mungkin bermula dari surau, madrasah, masjid atau sebuah mimbar.
Jika orang Melayu dan umat Islam terus leka serta lebih selesa untuk menjadi pembela membuta tuli kepada perbuatan yang dianggap melampau oleh bukan Islam, maka percayalah satu hari nanti mereka mungkin ibarat 'menang sorak kampung tergadai'.
Oleh itu, jadikanlah satu demi satu nasihat daripada raja dan sultan sebagai peringatan dan bukannya melihatnya daripada sudut politik yang sempit. Janganlah menjadi si kitol yang sanggup menggadaikan segala-galanya demi mencari kesenangan sementara.
Orang Melayu perlu sedar dan memahami bahaya yang menanti mereka.