Saturday, July 30, 2011

Lebih Banyak Penerbangan Terus Dari LTSM ke Madinah, Jeddah - Ahmad Said


Ahmad Razif yang mewakili Menteri Besar berucap pada Majlis Perasmian Operasi Penerbangan Terus Umrah 2011 di LTSM. - Gambar oleh Harith Fadzillah

Kerajaan Terengganu akan menyediakan lebih banyak penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Madinah atau Jeddah, bagi membawa orang ramai menunaikan umrah pada tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata sebanyak 10 hingga 15 trip umrah dirancang pada tahun depan bagi membawa penduduk Pantai Timur mengerjakan umrah di Tanah Suci.


“Kerajaan negeri melihat program ini (penerbangan umrah terus dari LTSM ke Madinah/Jeddah) sebagai langkah bijak untuk agensi-agensi pengendali umrah menjadikan LTSM sebagai pintu gerbang (hab) untuk operasi penerbangan umrah bagi penduduk Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Operasi Penerbangan Terus Umrah 2011 di LTSM. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahmad Razif Abd Rahman.

Menteri Besar semalam berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri Mesyuarat majlis Tertinggi UMNO Malaysia.

Seramai 450 orang akan menunaikan umrah melalui penerbangan terus ke Madinah di mana
ia julung kali diadakan di negeri ini.

Melalui program pertama operasi umrah penerbangan terus awal tahun ini, mereka yang terlibat dibawa dengan pesawat MAS dari LTSM ke Jeddah.

Menteri Besar berkata, penduduk negeri ini perlu bersyukur kerana kerajaan negeri prihatin dalam menyediakan kemudahan seperti itu bagi kemudahan mereka menunaikan umrah dan haji.



Unit Komunikasi Negeri

Perhimpunan Agung Umno 2011 Pada 29 Nov Hingga 3 Dis

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak memotong pulut kuning sempena sambutan hari jadinya ke-58 sebelum bermulanya Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur, petang semalam.

Perhimpunan Agung Umno 2011 akan diadakan pada 29 Nov hingga 3 Dis tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno berkata perhimpunan dimulakan dengan perhimpunan ketiga-tiga sayap parti - Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri - pada 29 Nov.

"Perhimpunan Agung pula diadakan pada 1 hingga 3 Dis," katanya pada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Menara Dato' Onn di sini.

Beliau berkata sempena perhimpunan lima hari itu, satu forum antarabangsa bersama-sama delegasi luar negara akan diadakan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad turut menyertai mesyuarat MT di Menara Dato Onn semalam.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata mesyuarat MT Jumaat memutuskan untuk menarik balik penggantungan enam anggota Umno.

Empat daripada mereka ialah dari Bahagian Rantau Panjang, Kelantan iaitu Datuk Mohd Zain Ismail (bekas Ketua Umno bahagian); Ghazali Ismail (bekas Timbalan Ketua bahagian); Fauziah Che Wok (bekas Ketua Wanita Bahagian) dan Fauzi Omar (bekas Ketua Pemuda Bahagian) yang digantung keanggotaan selama tiga tahun pada September 2008.

Dua anggota lagi iaitu Rosli Hasan (Bahagian Bukit Katil, Melaka) digantung tiga tahun mulai Mac 2009 manakala Amran Mat (Bahagian Kuala Krai, Kedah) digantung setahun mulai Mac 2009.

Semasa ditanya sama ada warna merah akan menjadi simbol perjuangan Umno pada pilihan raya umum akan datang memandangkan kebanyakan negeri memilih warna itu sebagai strategi kempen mereka, Najib berkata terpulang kepada negeri kerana merah merupakan warna Umno.

"Kita pilih warna yang sesuai, Kelantan dan Kedah memilih gelombang merah, Terengganu pula gelombang biru, terpulang... (ini) kerana merah merupakan satu warna yang agak menyala dan dapat menaikan semangat anggota dan penyokong Umno," katanya.

Mengenai strategi pembangkang yang akan menjalankan kempen politik secara agresif pada Ramadan, sedangkan beliau sendiri akan mengurangkan aktiviti turun padang ke negeri-negeri kerana berehat untuk menjalani pembedahan kecil di lutut pada Isnin ini, Najib berkata Umno akan menumpukan kepada program berbentuk ibadat pada bulan puasa.

"Pembangkang dalam kepala mereka hanya politik. Bulan puasa kita buat ibadat dan bagi sumbangan kepada anak yatim dan warga tua,"

Peruntukan RM72j Pertingkatkan Mutu Kesihatan Rakyat Terengganu

Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM72 juta bagi tempoh empat tahun bermula 2007 lalu bagi memastikan rakyat negeri ini menikmati mutu perkhidmatan kesihatan terbaik dan setaraf dengan negeri maju yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Haji A Rahman Mokhtar, berkata peruntukan yang disediakan itu menerusi Tabung Dana Khas itu bertujuan bagi meningkat dan membangunkan taraf kesihatan seluruh rakyat Terengganu.

“Tabung Dana Khas ini dibahagikan kepada dua iaitu bagi tujuan menaiktaraf perkhidmatan perubatan dengan peruntukan sebanyak RM62 juta dan juga untuk kebajikan sosial perubatan sebanyak RM10 juta,” katanya kepada Teganukita.

Dr A Rahman berkata, bagi tujuan menaik taraf perkhidmatan perubatan, pelbagai peralatan canggih dan terkini disediakan untuk membantu Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik dan bertaraf dunia kepada rakyat.

Antara peralatan yang dibeli termasuk 20 unit ambulans bernilai kira-kira RM 3.2 juta, mesin Tomografi Berkomputer Multislice 64 Slice (MSCT) (RM5.2 juta), Mesin `echocardiography’ (RM1 juta) dan peralatan untuk perkhidmatan reproduktif bagi Program Bayi Tabung Uji yang berharga kira-kira RM500,000.00.

“Sehingga Disember 2010, semua peruntukan yang disediakan itu telah habis dibelanjakan,” katanya.

Manakala bagi tujuan kebajikan sosial perubatan pula, peruntukan sebanyak RM 10 juta ini dikhaskan untuk membantu pesakit yang tidak berkemampuan dalam membiayai rawatan termasuk pembelian peralatan seperti kaki palsu, mesin `oxygen concentrator’, `implant’, lampin pakai buang, bekalan susu khas dan sebagainya.

Menurut beliau, sehingga Disember 2010, seramai 3,165 pesakit mendapat manfaat daripada bantuan yang diperuntukkan berjumlah RM8.6 juta, iaitu 82% sudah pun dibelanjakan.

Katanya, peruntukan menerusi Tabung Dana Khas ini hampir keseluruhan sudah digunakan bagi membantu golongan yang memerlukan perhatian dan pembelaan daripada kerajaan.

Unit Komunikasi Negeri

Pegawai Kementerian Belia Dan Sukan Maut Dalam Kemalangan Di LPT

Seorang pegawai di Kementerian Belia dan Sukan maut, manakala rakan sekerjanya parah dalam kemalangan di Km 234.7 Lebuhraya Pantai Timur pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Zulkifli Taha berkata dalam kemalangan 7.50 pagi itu, Azlina Fazlon Mohd Amin yang merupakan Setiausaha Bahagian Antarabangsa di kementerian tersebut, maut di tempat kejadian.

Kejadian berlaku berhampiran kawasan Rawat dan Rehat Kuantan ketika Azlina, 39, dan Salawati Jamaludin, 31, dalam perjalanan menghadiri program Rakan Muda Ramadan anjuran kementerian itu di Kemaman, Terengganu.

Kereta Perodua Alza yang dipandu Salawati dipercayai terbabas lalu merempuh penghadang jalan di sebelah kiri jalan, sebelum terbalik dan terseret sejauh 20 meter di atas jalan, katanya ketika dihubungi di Kuantan.

Salawati kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, manakala jenazah Azlina difahamkan dibawa ke Putrajaya untuk dikebumikan selepas disembahyangkan di Masjid Saidina Ali, Bukit Sekilau pada 4 petang tadi.

Azlina yang berasal dari Johor Baharu meninggalkan suami dan empat anak berusia antara dua dan 12 tahun.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan kehilangan Azlina sebagai suatu yang amat mendukacitakan.

Beliau berkata Azlina merupakan seorang yang cekap dalam melaksanakan tanggungjawab dan mempunyai rangkaian kerja yang berkesan.

"Saya dan kementerian bukan sekadar kehilangan seorang pegawai tetapi seorang pejuang yang gigih," katanya kepada Bernama.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara Wasitah Mohd Yusof pula menyifatkan allahyarham yang telah berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Antarabangsa di kementerian selama setahun setengah sebagai seorang pegawai yang aktif dan dinamik.

"Allahyarham amat signifikan dalam menguruskan hubungan diplomatik dan antarabangsa KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dalam arena pembangunan belia dan sukan di peringkat luar negara," katanya.

Pemuda Gagal Tukar Nama Aleesya Farhana Masuk ICU

Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, kerana mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Bapanya, Abdul Aziz Ahmad, 60, ketika ditemui di hospital itu berkata anaknya mengalami muntah teruk dan tidak sedarkan diri kira-kira 3 pagi tadi.

"Aleesya kini dalam keadaan stabil. Doktor mengesahkan dia mengalami serangan jantung yang tidak stabil atau 'unstable angina with cardiogenic shock'," katanya.

Beliau berkata anaknya itu mengalami kemurungan selepas permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar kepada nama wanita, ditolak.

Pada 18 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Terengganu menolak permohonan Mohd Ashraf Hafiz, 25, selaku pempetisyen setelah mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.

Beliau yang berasal dari Seberang Takir, di sini, memohon untuk menukar nama di dalam Mykadnya kepada Aleesya Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu.

Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.

Sementara itu, bapanya berkata beliau telah dihubungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung permohonan anaknya untuk ditempatkan di asrama wanita sekiranya permohonannya memasuki universiti tempatan, diterima.

Katanya, perkara itu masih dalam pertimbangan kementerian berkenaan.

Maksimumkan Kemudahan Rekreasi di Batu Buruk - Wan Ahamad

Orang ramai disaran agar memaksimumkan segala kemudahan rekreasi yang ada di Taman Awam Batu Buruk serta mengamalkan gaya hidup sihat demi kesejahteraan bersama.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Wan Ahamad Wan Muda berkata, dengan menjalani aktiviti riadah bersama ahli keluarga atau sahabat handai dapat mengerat ikatan silatulrahim.

“Kita perlu meluangkan masa untuk beriadah disamping dapat mengurangkan tekanan kerja juga mampu meningkatkan kesihatan badan seseorang,” katanya ketika berucap merasmikan program Hari Cakna Kelab Riadah dan Rekreasi Taman Awam Batu Buruk (Kertab), Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kertab, Datuk Hashim Mamat serta lebih 200 ahli Kertab yang berdaftar.

Katanya, jika semua rakyat di negeri ini sentiasa mengambil berat serta menjaga kesihatan masing-masing, kerajaan akan dapat menjimatkan kos perubatan yang diperuntukkan setiap tahun.

Wan Ahamad berkata, kadar gejala sosial dapat dikurangkan jika orang ramai bersama menyahut seruan kerajaan dan Kertab agar menggunakan masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah.

“Kerajaan sediakan banyak kemudahan dan kawasan rekreasi untuk disertai oleh semua golongan masyarakat, contohnya di Batu Buruk ini, ada trek berjalan kaki dan sebagainya,” katanya.

Pada program berkenaan, turut diadakan acara larian santai sejauh 2.5 kilometer yang disertai 150 ahli Kertab bersama keluarga serta ceramah kesihatan dan cabutan bertuah.

Kertab menyasarkan 300 keahlian menjelang akhir tahun dan turut merangka beberapa program untuk ahli-ahli termasuk mengadakan aktiviti mingguan, bulanan dan tahunan dalam usaha membentuk masyarakat sihat, cergas dan bebas dari ganguan penyakit.

Friday, July 29, 2011

Jangan Guna Khidmat Ulat Untuk Beli Tiket Balik Kampung

Berhenti mencari "ulat" jika tidak mahu berhadapan dengan masalah untuk pulang ke kampung menjelang musim perayaan ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan.

Beliau berkata jika pengguna terus menagih khidmat ulat tiket, segala langkah yang diambil JPJ untuk menangani kegiatan ulat tidak akan memberi kesan.

"Penguatkuasaan JPJ tidak akan berkesan jika pengguna sendiri tidak berubah dengan membeli terus tiket di kaunter yang disediakan.

"Bagaimanapun JPJ sendiri akan terus memberikan perhatian serius terhadap perkara tersebut termasuk menangkap ulat tiket sama ada di terminal bas atau pun lapangan terbang," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Satu Komuniniti Satu JPJ Khas Pulau Redang diKuala Terengganu, hari ini.

Pada majlis itu seramai 33 warga emas di Pulau Redang menerima lesen memandu motosikal masing-masing pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.

Mengulas lanjut, Solah berkata JPJ kini memberikan fokus ke atas 36 terminal bas di seluruh negara bagi menangani masalah ulat tiket dan sehingga kini ia telah menunjukkan kesan yang baik.

Katanya, semalam pihaknya telah menahan 12 ulat tiket, 10 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Terminal Penerbangan Tambang Murah manakala dua lagi di terminal bas Pudu Raya.

Kesemua yang ditahan itu akan didakwa di bawah Seksyen 205 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Beliau menjelaskan mendapatkan perkhidmatan ulat tiket seringkali berlaku apabila pengguna gagal merancang perjalanan dengan membeli tiket di saat-saat akhir sedangkan permintaan untuk orang ramai pulang ke kampung pada musim perayaan adalah tinggi.

"Pengguna harus faham bahawa ulat tiket menjual tiket bukan sahaja dengan harga yang tinggi tetapi mereka juga menjual tiket dahulu tanpa ada bas sehinggalah jualan tiket mereka habis untuk sebuah bas, barulah mereka mencari kemudahan bas.

"Di sinilah bermulalah masalah apabila bas tiada dan pengguna terpaksa menanggung kerugian serta gagal mendapatkan kemudahan tersebut," ujarnya.

BN Perlu Lebih Agresif Berhadapan Pembangkang - Soi Lek

Barisan Nasional (BN) tidak boleh lagi mengambil sikap defensif bila berhadapan dengan pembangkang memandangkan pihak lawan kini lebih agresif terutama dalam menunjuk jasa mereka kepada rakyat, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata pembangkang gemar menggunakan Selangor dan Pulau Pinang sebagai contoh mereka berjaya lebih-lebih lagi dalam hal kebajikan namun mereka lupa pada Kelantan dan Kedah yang jika dilihat dari segi prestasi di dua negeri itu, keadaan memang tidak memuaskan.

"Seharusnya, kalau nak rakyat buat perbandingan, bandingkan dulu Kelantan dengan Terengganu. Bandingkan usaha untuk kurangkan kadar kemiskinan, penyediaan peluang pekerjaan baru, usaha untuk tarik pelabur, usaha selesai masalah sosial di dua negeri itu.

"Yang kita tahu Kelantan sendiri banyak isu sosial, dadah, (penghidap) HIV pun ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MCA Negeri Terengganu 2011 di Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berbangga dengan pembiayaan RM100 setahun kepada warga emas di negeri itu, sedangkan kerajaan persekutuan memperuntukkan RM300 sebulan kepada golongan miskin yang menelan kos RM440 juta setahun.

Dr Chua berkata sejak mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang dan Selangor, pembangkang langsung tidak melaksanakan projek perumahan kos rendah untuk membantu golongan miskin.

"Dari segi promosi, mereka memang handal, tapi dari segi buat kerja, masih banyak yang perlu mereka tambahbaikkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pimpinan MCA perlu menjelaskan kepada akar umbi, apa yang dilakukan oleh kerajaan BN untuk menjaga kebajikan rakyat dan bukan hanya dilaksanakan pada musim pilihan raya sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata parti itu juga sudah sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 dengan menggerakkan jentera parti di seluruh negara.

"Setakat ini ia berjalan dengan baik, tapi ada yang masih perlu ditambah baik lagi. Kita yakin sokongan masyarakat Cina pada MCA tapi ia berbeza di setengah-setengah kawasan kerana pengundi Cina strategik, mereka juga menilai calon bukan parti semata-mata," katanya.

Katanya dari segi pembahagian kerusi pada pilihan raya nanti, MCA menyerahkan kepada kebijaksanaan Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukannya.

Pada masa yang sama, Dr Chua berkata Pengerusi MCA Terengganu yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bandar, Datuk Toh Chin Yaw akan terus dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum kali ini memandangkan beliau diterima baik masyarakat setempat selain mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri

Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah Dilanjutkan

Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah, yang dijadual berakhir Ahad ini dilanjutkan sehingga satu tempoh yang akan ditentukan kelak.

Sejak dilaksanakan 13 Julai lepas, 390,404 pekerja asing daripada 26,894 majikan di negara ini telah mendaftar di bawah Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah, manakala pendaftaran pekerja asing tidak sah pula bermula 1 Ogos ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keputusan itu selaras dengan kepentingan program yang dijangka antara lain mampu membendung jenayah merentasi sempadan.

"Kalau sekarang kita tidak tahu berapa jumlah pekerja asing yang ada dan ada pula agenda tertentu yang sehingga kini polis dapat pantau dan bendung, tapi pada masa depan jumlah bertambah tanpa diketahui dan boleh menjejaskan keselamatan negara, ketika itu sudah terlambat," katanya di Kuala Lumpur.

Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian dokumen diri Sempena Program Mydaftar pada Jumaat, bagaimanapun enggan mengulas berapa lama tempoh lanjutan itu akan diberikan.

"Ia bukan isu lanjutan, isunya penyelesaian, maknanya kalau mereka dapat daftar awal kita dapat selesai awal dan ia praktikal.

"...saya telah belajar kalau kita tetapkan masa, hujung-hujung juga mereka akan buat,"katanya," katanya.

Ditanya kemungkinan ada pekerja asing tidak mendaftar kerana tiada tarikh akhir, Hishammuddin berkata jika proses pendaftaran pekerja asing sah dan tidak sah berjalan seperti yang dikehendakki, kerajaan akan menguatkuasakan peraturan mengusir mereka yang ingkar.

"Di situ tidak ada lagi alasan sebab mereka tidak mendaftar dan kalau perlu diusir, perlu dikembalikan ke negara asal, mereka tidak boleh salahkan kerajaan Malaysia,"katanya.

Pendaftaran biometrik itu merupakan permulaan Program 6P yang meliputi pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran pekerja asing di negara ini.

Di KUALA TERENGGANU, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata parti itu berpendapat perlu ada tarikh akhir ditetapkan untuk pelaksanaan Program Pendaftaran Biometrik Pekerja Asing Yang Sah.

Beliau berkata tempoh dua minggu dianggap mencukupi berbanding dengan menentukan kemudian tempoh akhir pelaksanaan proses itu.

"Kerajaan perlu lanjutkan tempohnya... dua minggu mencukupi, kalau tak mereka akan tunggu saat-saat akhir. Itu budaya Malaysia, mereka akan tunggu hingga saat akhir... perlu ada tarikh akhir," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MCA/Pemuda/Wanita MCA Negeri Terengganu 2011 di sini.

Dr Chua berkata majikan pula perlu memberi kerjasama dengan tidak melengahkan pendaftaran pekerja masing-masing.

"Dianggarkan terdapat 1.8 juta pekerja asing yang sah, namun sehingga semalam pendaftaran biometrik hanya mencatat 600,000. Kita harap dapat dilanjutkan selama dua minggu dan majikan pula tidak berlengah," katanya.

Fama Tandatangani Ladang Kontrak Sembilan Kelompok

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Khamis menandatangani ladang kontrak dengan sembilan kelompok yang terdiri daripada 56 orang petani di daerah ini.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata salah satu tujuan kontrak tersebut ialah untuk memastikan peladang dapat menikmati hasil jualan buah-buahan mereka dengan harga yang berpatutan dan stabil.

"Peserta yang terlibat dalam perjanjian kali ini ialah penanam tembikai tanpa biji dan labu mas," katanya kepada pemberita selepas majlis perjanjian jual beli ladang kontrak Fama di Setiu, semalam.

Hasan berkata mereka merupakan petani dari kawasan Telaga Papan, Saujana, Lampung Saujana Tambahan, Kampung Kubang Lokoh, Kampung Nyatoh dan Lembah Kolam Hijau.

Katanya luas keseluruhan tanaman yang diusahakan oleh petani bagi kedua-dua komoditi itu ialah 81 hektar, iaitu lapan hektar ditanam tembikai tanpa biji dan 73 hektar lagi ditanam labu mas.

Hasan menjangka hasil kedua-dua tanaman itu mencecah 967,000 metrik tan dengan nilai hampir RM1 juta.

Beliau berkata selain itu, Fama juga sedang rancak membuat pembelian labu madu daripada petani-petani di sekitar Kuala Terengganu untuk dipasarkan di bandar-bandar utama.

Katanya kawasan yang paling banyak mengeluarkan labu madu ialah Kampung Undang dan sasaran Fama ialah untuk membeli sehingga 93 metrik tan labu madu dari kampung tersebut sehingga akhir bulan ini.

Dokumentari Syahadah Bulan Ramadan Tarik Sejuta Penonton Sehari

Program Dokumentari Syahadah yang diterbitkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bakal menginjak musim ketujuh Ramadan ini, mencatat rating lebih sejuta penonton setiap hari.

Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Datuk Norhyati Ismail berkata jumlah tontonan yang memberangsangkan pada musim lalu itu mendorong siri berkenaan diteruskan.

Katanya dokumentari berbahasa Melayu yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan bahasa Inggeris menerusi saluran TV2 sememangnya mempunyai pengikut tersendiri.

"Pada musim sebelum ini, siaran sebelah petang iaitu sebelum buka puasa mencatat tontonan hampir 600,000 manakala siaran ulangan pada waktu sahur menarik kira-kira 500,000 penonton.

"Ia selaras dengan peranan RTM iaitu memberi maklumat dan pendidikan. Malah dokumentari ini yang dibuat dalam dua bahasa turut dibeli beberapa negara Arab, Brunei dan juga Singapura," katanya pada majlis perasmian program itu di sini, Selasa.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan negeri akan meneruskan penajaan program dokumentari Syahadah pada musim akan datang.

"Ini adalah kali ketiga Yayasan Terengganu (YT) bekerjasama dengan RTM dalam penerbitan program Syahadah. Kita juga memberi komitmen untuk teruskan penajaan siri ini," katanya kepada pemberita selepas Melancarkan Ihya' Ramadan peringkat negeri Terengganu dan Dokumentari Syahadah di Kuala Terengganu Selasa lalu (26 Julai 2011)

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat.

Syahadah musim ketujuh memaparkan sejarah awal kedatangan Islam ke setiap negeri, peninggalan manuskrip dan kitab-kitab lama, peranan ulama dan tokoh agama, yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam di Malaysia.

Untuk musim kali ini juga, Syahadah turut menjalankan penggambaran kesan-kesan peninggalan kerajaan Andalusia sekaligus membongkar kedatangan Islam, kesannya kepada komuniti setempat dan global di Maghribi dan Sepanyol.

Mula diterbitkan pada tahun 2005, program Syahadah telah menjelajah ke beberapa negara termasuk China, India, Korea, Jepun serta negara bekas jajahan Soviet Union iaitu Uzbekistan, Kazakhstan dan Azerbaijan dengan paparan kehidupan masyarakat Islam di sana di samping pencapaian mereka dalam pelbagai bidang.

Sebanyak 33 episod dokumentari Syahadah selama 30 minit bakal menemui penonton pada setiap hari sepanjang Ramadan ini pada pukul 6.30 petang dan siaran ulangan pada 5.30 pagi di TV1.

Bagi versi bahasa Inggeris pula disiarkan pukul 4 petang dan ulangan pada pukul 4.30 pagi di saluran TV2.

Barang Keperluan Ramadan Di Terengganu Dijangka Mencukupi

"Mencukupi". Itulah yang boleh disimpulkan mengenai bekalan barang keperluan menjelang Ramadan akan datang hasil tinjauan di Pasar Payang di sini, Khamis.
Tinjauan Bernama mendapati kebanyakkan barangan seperti minyak, tepung, gula dan daging masih dalam keadaan mencukupi serta mampu menampung permintaan pelanggan sementara harga ayam terdapat sedikit kenaikkan malah dijangka terus naik semasa Ramadan.

Pembantu Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Zulkarnain Mohamad berkata, bekalan barang-barang tersebut masih mencukupi bagi menampung permintaan pada bulan Ramadan.

"Harga untuk barang-barang ini tidak akan berubah dan penetapan harga tetap menjelang puasa akan diumumkan oleh kementerian sebelum bermulanya bulan Ramadan," katanya.

Menurut salah seorang peniaga runcit, Norsalihas Moktar @ Jusoh, 40, stok barangan keperluan masih dalam keadaan mencukupi dan pelanggan boleh mendapatkan barangan tersebut seperti biasa.

"Saya biasanya akan meminta bekalan bahan keperluan lebih banyak untuk bulan puasa kerana permintaan lebih tinggi dari bulan biasa namun tidak akan menaikkan harga sekiranya pemborong tidak menaikkan harga.

"Harga tepung, minyak dan gula masih seperti biasa, tidak berubah," katanya ketika ditemui di kedainya.

Sementara itu, ketika tinjauan harga daging dan ayam, penjual daging lembu di Kuala Terengganu, Abdul Ranim Mohd Nor, 42 berkata bahawa harga daging lembu tempatan kekal RM14.

Peniaga ayam, Mohd Afiza Abdul Ghani, 28 pula berkata, beliau tidak boleh mengekalkan harga ayam pada harga lama kerana kenaikkan harga daripada pembekal lebih RM7 menyebabkan beliau terpaksa menaikkan harga lebih tinggi.

"Saya terpaksa menaikkan harga ayam kerana bekalan ayam yang semakin kurang menyebabkan harga ayam yang lebih tinggi daripada pembekal. Mengikut apa yang berlaku pada bulan puasa yang lepas, harga ayam sering naik dan dijangka tahun ini pun sama," katanya.

Bagi ibu tunggal, Rohana Salleh, 46, berkata beliau berharap agar barang-barang keperluan tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.

"Mungkin kenaikan harga barang tidak menjejaskan orang yang bekerja kerajaan tetapi orang yang bekerja sendiri seperti Mak Cik amat terjejas memandangkan Mak Cik hanya kerja jual ubat dengan pendapatan bawah RM500 sebulan," katanya yang mempunyai tujuh orang anak.

'Mini Mapo' Ditubuhkan Di Setiap Negeri

Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (MAPO) akan menubuhkan pasukan petugas 'Mini MAPO' di setiap negeri bagi menyelaraskan kes-kes berkaitan jenayah pemerdagangan orang di negara ini.

Penubuhan pasukan petugas peringkat negeri itu diputuskan pada mesyuarat MAPO yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam, Khamis.

Menurut MAPO, pasukan petugas itu akan diketuai oleh Ketua Polis Negeri dengan anggota-anggotanya terdiri daripada pelbagai agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pembangunan Wanita, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pengarah Mahkamah, Ketua Unit Pendakwaan Negeri, badan bukan kerajaan NGO dan penguasa rumah perlindungan.

Bagi memantapkan pengurusan kes, Jabatan Peguam Negara juga akan melatih dua orang timbalan pendakwa raya di setiap negeri sebagai pakar rujuk untuk mengendalikan kes-kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Statistik penguatkuasaan menunjukkan 343 kes pemerdagangan orang dilakukan melibatkan 490 tangkapan.

Seramai 2,022 mangsa diberikan perlindungan sementara dan 750 mangsa lagi diberikan perintah perlindungan.

Selain itu, sebanyak 12 kes penyeludupan migran dikesan yang melibatkan 20 tangkapan dan penahanan 267 migran, kata MAPO.

Pada masa ini, terdapat 92 mangsa wanita, 75 mangsa lelaki dan enam orang kanak-kanak yang diberikan perlindungan dan ditempatkan di rumah perlindungan kerajaan.

Sementara itu, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mengadakan Program Minda Setia 1Malaysia untuk memberi penerangan kepada pegawai-pegawai penerangan mengikut zon berhubung Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Seramai 850 peserta menghadiri program itu di peringkat Zon Sabah, Zon Sarawak, Zon Utama yang terdiri daripada Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor, Zon Selatan yang terdiri dari Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Zon Timur yang merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Program itu juga akan diadakan di peringkat negeri bagi menjelaskan isu-isu berkenaan.

Subkontraktor Janji Nikahi Gadis Yang Diroigolnya

Seorang subkontraktor berusia 49 tahun yang dituduh merogol pelajar Tingkatan Tiga merayu Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, semalam membebaskannya daripada pertuduhan itu dengan alasan dia akan mengahwini mangsa selepas remaja berkenaan menamatkan persekolahannya.

Bagaimanapun, rayuan tertuduh, Azman Nor, dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun yang sudah berkahwin, tidak diterima Hakim Azman Mustapha, malah dia juga tidak ditawarkan jaminan.

Azman menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes itu dengan pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Masriwarni Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, Azman yang berbaju kemeja hijau dan berseluar hitam dituduh merogol gadis berusia 15 tahun jam 11.30 pagi pada 2 Jun lalu, ketika keluarga mangsa tiada di rumah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(2) (d) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh menyelinap masuk ke dalam rumah mangsa ketika ketiadaan ibu bapanya dan memeluk mangsa yang ketika itu sedang membasuh baju dari belakang, sebelum merogol mangsa.

Berikutan kejadian itu, suspek cuba menebus kesalahannya dengan berjanji kepada keluarga mangsa untuk mengahwininya selepas dia tamat persekolahan, dua tahun lagi.

JPJ Terengganu Keluar 506 Saman, Tahan 12 Pemandu Dalam Ops Pengarah

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Terengganu mengeluarkan 506 saman dan menahan 12 pemandu kerana positif dadah dalam operasi bersepadu 'Ops Pengarah' selama tiga hari hingga Selasa lalu di sekitar daerah Kemaman dan Dungun.

Operasi dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK); Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK); dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan negeri, Abdul Rahman Emang Anyie berkata antara kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, mengubah suai nombor pendaftaran kenderaan dan cermin gelap.

Katanya, saman yang paling banyak dikeluarkan adalah kesalahan cermin gelap iaitu sebanyak 108 kes diikuti kesalahan cukai jalan tamat tempoh sebanyak 85 kes dan lesen memandu tamat tempoh 79 kes.

Katanya, operasi yang sama akan diteruskan daerah-daerah lain dan sekitar negeri ini daripada semasa ke semasa.

Pendaftaran Dengan Spad Untuk Jaga Kebajikan Pengusaha Pengangkutan Awam

Pendaftaran semula pengusaha pengangkutan awam dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) antara lain bertujuan untuk menjaga kebajikan kumpulan itu.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata rezeki pemandu kenderaan awam seperti teksi dan bas seringkali terjejas oleh pengusaha kenderaan komersial secara haram.

"Kita lihat ada banyak masalah yang menjejaskan pendapatan kumpulan ini, contohnya pemandu teksi, rezeki mereka sering diganggu pengusaha teksi sapu.

"Ada juga bas, yang sepatutnya tidak ambil penumpang, mereka ambil penumpang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Taklimat Pendaftaran Semula SPAD yang turut dihadiri 100 pengusaha pengangkutan awam di Kuala Terengganu.

Katanya kerjasama SPAD dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap profesionalisme mereka yang bekerja sebagai pemandu.

"Kerjasama ini adalah untuk meningkatkan profesionalisme, jadi orang dah tak segan jadi pemandu, kita nak jaga dari segi gaji mesti bagus, kebajikan mesti dijaga," katanya.

Selain itu, katanya SPAD akan mengambil tindakan secara bersepadu dengan JPJ dan PDRM bagi memudahkan penguatkuasaan undang-undang berkaitan pengangkutan awam.

Jelasnya, tindakan itu akan memastikan inisiatif yang efektif bagi melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dalam industri pengangkutan awam darat di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata ketika ini masih ada kira-kira 80 peratus pengusaha pengangkutan awam di pantai timur yang belum berdaftar dengan SPAD.

"Setakat ini hanya ada kira-kira 20 peratus atau 2,600 lebih pengusaha yang berdaftar, sedangkan kita ada kira-kira 10,000 pengusaha pengangkutan awam serta 25,485 kenderaan komersial di Pahang, Terengganu dan Kelantan," katanya.

Syed Hamid berkata tarikh tamat pendaftaran semula kenderaan komersial dengan SPAD yang bermula 1 April lepas berakhir 30 September depan dan setakat ini, pihaknya tidak berhasrat melanjutkan tempoh berkenaan.

Penyertaan Lima Pelumba Jetski Di Amerika Syarikat Bergantung Kepada Tajaan

Meskipun berdepan masalah kewangan, Kelab Sukan Kraft Air (KSKA) berazam untuk menghantar lima pelumba negara ke kejohanan jetski Quakysense World Finals di Lake Havasu City, Arizona, Amerika Syarikat bermula 1 Oktober nanti.

"Kami sedang berusaha mendapatkan bantuan kewangan dan tajaan daripada kerajaan dan swasta untuk menampung perbelanjaan penyertaan menghantar pelumba, pegawai dan krew teknikal yang dianggarkan menelan belanja RM300,000.

"Jumlah ini termasuk bayaran yuran pendaftaran, sewa jetski, tiket penerbangan, penginapan, elaun dan kelengkapan perlumbaan dan sebagainya," kata pengarah perhubungan awam kelab, Raja Aris Dzulkifli kepada Bernama kelmarin.

Katanya penyertaan pasukan 1Malaysia Jetracing Team amat bermakna kerana ia memberi pendedahan berguna kepada pelumba negara.

"Penyertaan pasukan negara bertujuan menempatkan nama Malaysia di arena antarabangsa dalam sukan air lasak dan bermotor dan kejohanan berskala besar ini memberi peluang kepada pelumba Malaysia bersaing dengan pelumba bertaraf dunia dan menimba pengalaman daripada mereka," katanya.

Mohd Nur Azahari Ahmad Baddri, 28, dari pasukan X1 Jetracing Team akan menyertai kategori Amateur Runabout 800 Open manakala Ahmad Dawi Alias, 45, dari Club Terengganu Marina Racing Team (CTM Racing) akan menyertai kategori Novice Runabout 1800 Stock.

Peserta wanita, Katherine Kong, 35, dari pasukan LT-Kawasaki Racing Team akan menyertai Women Runabout 1800 Limited sementara pasangan adik beradik, Nur Shahida Mohamad Noor, 20, dan Mohamad Faez Mohamad Noor, 17, juga dari pasukan CTM Racing masing-masing akan menyertai kategori Stock Class Wanita dan Stock Class Lelaki.

Presiden KSKA, Raja Putra Shah Raja Shahar Shah, berkata Malaysia telahpun terlepas peluang menyertai kejohanan itu tahun lalu akibat kerana KSKA tidak mendapat sokongan dan tajaan mencukupi selain menghadapi masalah mendapatkan visa.

Raja Putra Shah, yang juga ketua kontinjen ke kejohnan di Lake Havasu nanti, berkata kejohanan tahunan itu yang diadakan buat kali ke-30 tahun ini adalah acara kemuncak dalam kalendar bagi The International Jet Sports Boating Association (IJSBA), sebuah pertubuhan yang diiktiraf untuk perlumbaan sukan air itu.

Ia mempunyai ahli dari lebih 50 negara dan beroperasi di Amerika Syarikat. KSKA adalah ahli bersekutu badan dunia itu.

Seramai 500 peserta dari Amerika Syarikat dan 30 dari negara lain telah mengesahkan menyertai kejohanan di Lake Havasu itu.

Program Untuk Penghuni Penjara Kembali Ke Pangkuan Masyarakat

Gambar Hiasan - Sebuah keluarga beramah-mesra sempena sambutan Hari Bapa di Penjara Marang, Marang, baru-baru ini.

Jabatan Penjara Malaysia (JPM) mengadakan Program Mesej dari Penjara peringkat zon timur di Penjara Marang Selasa sebagai langkah membantu bekas banduan kembali ke pangkuan masyarakat.

Menurut Komisioner Penjara, Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan, program itu merupakan inisiatif yang diambil oleh JPM untuk mendekatkan masyarakat dan memberi kefahaman tentang fungsi jabatan itu selaku institusi koreksional utama negara.

"Kita harap agar pendekatan yang diambil ini akan membantu bekas penghuni penjara kembali ke pangkuan masyarakat," katanya kepada pemberita di Marang, kelmarin.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mazlan Ngah di Penjara Marang.

Alzafry Mohamed Alnassif berkata menerusi program itu, banduan diajar tentang disiplin, berusaha keras dan mengikuti program pemulihan untuk memberi mesej bahawa mereka boleh berubah dan menjadi seorang yang berguna.

Banduan juga akan mengikuti program pemulihan yang dilaksanakan di luar tembok penjara seperti di Pusat Kehadiran Wajib, Pelepasan Secara Berlesen dan Program Perkhidmatan Pemasyarakatan agar tekad dan azam mereka untuk kembali kepada masyarakat dapat dilihat.

"Saya lihat program ini sangat penting kerana ia merupakan medan untuk kita mengupas betapa pentingnya penglibatan masyarakat dalam membantu golongan tersasar ini kembali ke landasan yang betul apabila dibebaskan kelak.

"Justeru itu, tema yang dipilih "Memasyarakatkan Penjara" amat bertepatan dengan usaha kita untuk mengawal kadar jenayah dalam negara," katanya.

Terengganu Sedia RM3.3 Juta Imarahkan Masjid Sepanjang Ramadan

Kerajaan Terengganu memperuntukkan kira-kira RM3.3 juta bagi program mengimarahkan masjid dan surau di negeri itu sempena bulan Ramadan tahun ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata setiap masjid di negeri itu akan diberikan bantuan sebanyak RM1,000 manakala surau masing-masing memperoleh RM500.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco diKuala Terengganu kelmarin, beliau berkata kerajaan menyediakan 300,000 bungkusan buah kurma dan air zam zam untuk diagih-agihkan kepada umat Islam di negeri itu.

Beliau berkata tahun ini kerajaan membawa 25 Imam dari Mesir dan Arab Saudi untuk mengimamkan sembahyang tarawih sepanjang bulan Ramadan ini.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad berkata kelewatan bayaran elaun pentadbiran dan elaun kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) disebabkan pelantikan semula yang memerlukan proses penyelidikan dan kajian.

"Ada sesetengah JKKK yang masih belum selesai buat pelantikan dan juga kita sendiri perlu buat kajian dalam pelbagai aspek. Kalau ada kes melibatkan rasuah, keselamatan, kita kena tangguh dahulu.

"Bagaimanapun tak perlu bimbang kerana kalau lewat, kita akan bayar tunggakan," katanya.

Penerapan Nilai Agama Menjadi Teras Pembentukan Sahsiah Anak

Penerapan nilai-nilai agama pada peringkat awal menjadi teras utama dalam aspek pendidikan anak-anak dan mampu membesar dalam suasana penuh ketertiban dan hormatkan ibu bapa serta orang sekeliling.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Agama negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Khazan Che Mat berkata peranan ibu bapa penting dalam membentuk sahsiah generasi hari ini.

“Kerajaan hanya membantu dari segi kewangan tetapi dalam soal memberi kasih sayang ibu bapa harus main peranan,” katanya di majlis Anugerah Keluarga Mithali kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit di Gem Beach Resort, Batu Rakit, Kuala Terengganu, semalam.

Katanya, hubungan mesra yang ditunjukkan antara ibu bapa dan ahli keluarga yang lain mendorong anak-anak membesar sebagai seorang insan yang menghargai keharmonian dalam masyarakat.

Majlis anjuran bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit memberi anugerah tiga kategori iaitu Keluarga Mithali Terbilang, Ibu Tunggal Terbilang dan Bapa Tunggal DUN Batu Rakit (anugerah khas).

Hajah Wan Hindun Yusof, 68, dari Kampung Padang Polis menerima Anugerah Ibu Tunggal Terbilang di atas kejayaan mendidik enam anaknya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Manakala seorang nelayan, Encik Che Tom Abdullah, 75 menerima anugerah Keluarga Mithali Terbilang dan Encik Daud Husein, 66, dari Kampung Maras menerima anugerah Bapa Tunggal DUN Batu Rakit (Anugerah Khas).

Anugerah ibu tunggal dan keluarga mithali menerima wang tunai RM1,000 beserta sijil penghargaan manakala bapa tunggal (khas) menerima RM700 beserta sijil penghargaan.

Khazan turut menyampaikan hadiah.

Unit Komunikasi Negeri

MB Minta Rakyat Terengganu Kibar Jalur Gemilang

Pemilik kenderaan, premis dan rakyat di negeri ini diminta mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54, seterusnya menimbulkan rasa tanggungjawab dan semangat patriotisme kepada negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, semangat kemerdekaan perlu disematkan di setiap sanubari lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan usia selain menggalakkan golongan muda untuk turut serta mengibarkan Jalur Gemilang.

Menurutnya, rakyat di negeri ini tidak seharusnya mengharapkan sumbangan Jalur Gemilang daripada kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu menunjukkan rasa bangga dan bertuah terhadap kemerdekaan negara dengan turut sama membeli seterusnya mengibarkannya bersama-sama.

“Jangan harap sumba-ngan Jalur Gemilang daripada Kerajaan Negeri semata-mata, malah harganya juga tidak semahal mana pun dan ia lambang kita sebagai bangsa merdeka.

“Kita seharusnya berasa bangga dan bertuah kerana berpeluang untuk turut sama menyambut Hari Kemerdekaan negara ke-54. Semangat kemerdekaan perlu ditanam di setiap jiwa rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan Ketua-ketua Jabatan.

Pada majlis itu, Kerajaan Negeri mengagihkan 30,000 Jalur Gemilang yang bertemakan ‘1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera’ untuk diedarkan ke seluruh daerah di negeri ini dan perlu dikibarkan bermula dari Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan pada 27 Julai hingga 16 September ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, satu majlis kesyukuran akan diadakan pada malam sambutan kemerdekaan dengan bacaan tahlil memandangkan sambutan kali ini jatuh pada bulan Ramadan dan majlis sambutan akan dilakukan pada 16 September bersempena hari penubuhan Malaysia.

Justeru, beliau mengharapkan semua lapisan masyarakat dapat menyemarakkan lagi sambutan dan perasaan cintakan negara serta melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat pembangunan serta keamanan yang dikecapi kini.

RM250,000 Untuk Pentadbiran Permulaan NGO

Kerajaan negeri bersetuju memberi peruntukan pentadbiran permulaan berjumlah RM250,000 kepada Pertubuhan Badan Kerajaan (NGO) melalui Majlis Panel Perundingan (MPP) NGO untuk bantuan pentadbiran.

Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata, pemberian itu dapat menyemarakkan lagi kegiatan dan aktiviti NGO di negeri ini ke arah membangunkan masyarakat seluruhnya.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan akan terus menyokong sebarang usaha ke arah meningkatkan kemahiran dan perhubungan kesukarelaan dengan menghantar mereka mengikuti kursus dan latihan kemahiran,” katanya di majlis penutup Taklimat Pembangunan Negeri Terengganu kepada Pemimpin NGO di Wisma Darul Iman, petang semalam.

Teks ucapan Menteri Besar dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa , Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A. Rahman Mokhtar.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Haji Mohd Zulkifli Muda; Yang Dipertua Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri (TCS), Dato’ Haji Salleh Ismail dan Timbalan Pengerusi MPP, Haji Razali Idris.

Menteri Besar berkata, Majlis Perunding NGO merupakan badan induk kepada NGO yang ada di seluruh negeri dan kerajaan bersedia membantu dalam bentuk nasihat, tunjuk ajar dan juga kewangan.

Sehubungan itu , apa juga aktiviti perlu seimbang dengan mengambil kira penyertaan pelbagai kaum kerana melalui kekuatan perpaduan kalangan rakyat menjadi teras utama dalam mempertahankan negara yang kita cintai ini.

“Melalui aktiviti NGO juga dapat membantu kerajaan menjayakan program pembangunan modal insan dan sekali gus memudahkan proses penyaluran maklumat hingga ke akar umbi,” katanya.

Menteri Besar kemudianya melahirkan rasa yakin dengan kekuatan semangat dan minat mendalam ahli NGO akan menjadi penentu kesinambungan dan survival negara.

Datuk Tiga Cucu, Sahabat Dutuduh Edar Dadah

Muntai Kuthar Bhaks di Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu, kelmarin.

Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu, kelmarin atas tuduhan mengedar heroin yang dianggarkan seberat 21 gram, pertengahan bulan ini.

Muntai Kuthar Bhaks, 58, yang juga datuk kepada tiga cucu dan rakannya, Mohd. Badrol Ngah, 36, didakwa mengedar dadah tersebut di sebuah rumah di Kampung Gong Tok Nasek di Kuala Terengganu pada pukul 12.30 tengah malam, 14 Julai lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Di bawah akta tersebut, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati. Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.

Majistret Norazizah Yusof menetapkan 12 September ini sebutan semula kes bagi membolehkan ujian kimia dilakukan untuk mengenal pasti berat sebenar dadah berkenaan.

Muntai Kuthar memang tidak serik!

Biarpun sebelum ini pernah ‘merasa’ kehidu-pan di dalam tirai besi atas kesalahan jenayah dadah, namun bagi datuk kepada tiga cucu ini, pengalaman itu tidak memberi sebarang kesan yang positif dalam hidupnya.

Mengikut kertas pertuduhan, warga emas itu bersama rakannya pada 14 Julai lalu pada jam 12.30 tengah malam bertempat di sebuah rumah di Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu telah me-ngedar dadah berbahaya jenis Heroin seberat 21.0 gram.

15 Iman Saudi, 10 Mesir Imankan Solat Sunat Tarawih di Terengganu

Seramai 15 imam dari Arab Saudi dan 10 imam dari Mesir akan tiba hari ini (29 Julai) untuk mengimamkan solat sunat terawih di masjid-masjid di negeri Terengganu sepanjang bulan Ramadan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata lapan orang imam dari Mesir itu merupakan guru Bahasa Arab yang sedang berkhidmat di negeri ini manakala dua orang lagi dibawa khas untuk mengimamkan solat Terawih di Masjid Kristal dan Masjid Sultan Zainal Abidin.

“Kesemua imam yang dibawa khas ini akan bergilir-gilir mengimamkan solat Terawih di masjid terpilih di setiap daerah dan masjid utama di daerah. Kita harapkan orang ramai mengambil peluang ini untuk bersama-sama mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan.

“Sempena Ramadan juga, kita akan agihkan 2,000 bungkus bubur lambuk kepada orang ramai di Masjid Putih (Sultan Zainal Abidin) bermula 1 Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, kelmarin.

Sementara itu, Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak 300,000 paket kurma dan air zam-zam untuk diagihkan kepada masyarakat Islam di negeri ini, sempena kedatangan Ramadan.

Sehingga kini, paket kurma dan air zamzam itu sudah diedarkan ke pejabat daerah masing-masing dan diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk diagihkan kepada penduduk yang beragama Islam.

“Kita sudah mula agihan dengan daerah Kemaman dan akan disusuli dengan daerah lain dalam masa terdekat. Jadi saya harapkan semua penduduk yang terlibat akan terima dan tidak berlaku keciciran kerana kita mengagihkannya awal,” katanya.

Bayar Zakat Kepada Wakil MAIDAM Sahaja

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu menetapkan kadar fitrah di negeri ini pada RM8, RM7 serta RM5.

Ia menyamai kadar yang dikenakan tahun lalu.

Selain itu MAIDAM memandang serius perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai amil untuk mengutip fitrah dan zakat harta.

Perbuatan itu yang dipercayai didalangi sindiket tertentu dikesan berlaku di negeri ini sejak beberapa tahun kebelakangan terutama semasa bulan puasa.

Pengerusi MAIDAM, Datuk Senara Muda Mazlan Hashim berkata, lebih serius lagi, pungutan oleh 'amil haram' itu dilakukan membabitkan zakat harta dengan tujuan mengaut 'untung' berganda.

"Kita ada menerima maklumat mengenai kejadian itu dan kita percaya ada sindiket terlibat, kemungkinan dari luar Terengganu," katanya pada sidang akhbar mengenai penetapan kadar fitrah bagi Terengganu 2011 di pejabatnya di Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman.

Mazlan berkata, umat Islam di negeri ini hanya dibenarkan membayar fitrah dan zakat harta kepada amil-amil yang dilantik oleh MAIDAM.

"Adalah menjadi kesalahan jika ada mana-mana orang Islam di negeri ini membayar fitrah dan zakat harta kepada pihak lain, hanya kepada MAIDAM dan wakilnya sahaja dibenarkan," jelasnya.

Beliau menegaskan, perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2001 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, jika sabit kesalahan.

Menurut Mazlan, MAIDAM telah melantik 1,200 amil di setiap masjid serta surau di negeri ini untuk mengutip fitrah dan zakat harta serta bayaran juga boleh dibuat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk pelanggan Celcom dan Maxis.

"Umat Islam juga boleh menunaikan fitrah di kaunter bayaran zakat MAIDAM dari pukul 8.30 pagi hingga 4 petang dari Ahad hingga Rabu dan pada Khamis dari pukul 8.30 pagi hingga 2.30 petang.

"Mulai 19 hingga 29 Ogos pula, kaunter bayaran zakat dibuka tujuh hari seminggu di semua kaunter MAIDAM bermula pukul 8.30 pagi hingga 3.30 petang," ujarnya.

Utusan Malaysia

135 Pelajar Politeknik Sertai Program Jauhi Zina

Sebahagian 135 pelajar politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur yang menyertai Program Pembangunan Sahsiah Pelajar Anda Bijak Jauhi Zina di Dusun Eco Resort, Kuantan, baru-baru ini.

Seramai 135 pelajar politeknik dan kolej komuniti zon timur berkampung di Dusun Eco Resort, di sini untuk menyertai program pembangunan sahsiah pelajar 'Anda Bijak Jauhi Zina' anjuran Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Kuantan, baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada pelajar Polisas, Politeknik Muadzam Shah, Politeknik Kuala Terengganu, Politeknik Jeli, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Politeknik Kota Bharu, Kolej Komuniti Paya Besar dan Kolej Komuniti Rompin.

Pengarah Polisas, Datuk Abu Bakar Ahmad berkata, fokus utama selama tiga hari itu bertujuan mendidik, membimbing dan memperkasakan jati diri remaja Islam menerusi latihan insentif yang disediakan penganjur.

Sepanjang program itu, kata beliau, peserta bukan sahaja dibimbing menjauhi aktiviti yang menjurus kepada berlakunya zina, malah, turut dilatih menjadi peer group iaitu membimbing rakan-rakan mereka yang menghadapi masalah sosial sekembalinya ke kampus masing-masing.

Vitato Jana Pendapatan Lumayan Petani Di Terengganu

Rencana Bernama Oleh Ibrahim Abu Bakar (26 Julai 2011)

Vitato, varieti baru ubi keledek, mula mendapat perhatian dan diusahakan para petani di Terengganu apabila tanaman ini didapati menjana pendapatan lumayan, menggantikan tembakau sebagai sumber utama.

Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) mengambil beberapa langkah dan memberi tumpuan kepada tanaman ubi Vitato sebagai komoditi terpilih untuk dimajukan.

Bagi menjamin kualiti dan bekalan benih Vitato mencukupi, LPP memperuntuk sebanyak RM70,000 pada tahun ini kepada PPK Kerandang di Gong Nangka, Besut untuk menanam Vitato di kawasan seluas empat hektar.

Pengarah LPP negeri Shamsuddin Mat Rani berkata langkah itu bagi tujuan meningkatkan pengeluaran dan hasil pendapatan kepada petani.

Beliau berkata projek tanaman Vitato bermula pada akhir tahun 2007 di PPK Pelagat dan Setiu.

Sehingga 2011 projek itu membesar melibatkan kawasan seluas 135 hektar dengan 162 peserta.

LPP BANGUNKAN LADANG BENIH

Katanya keupayaan pengeluaran benih Vitato dianggarkan sehingga dua juta keratan pucuk semusim yang dijual kepada petani dengan harga tiga sen satu.

“Satu pokok boleh menghasilkan 8-10 keratan pucuk, tuaian pertama semasa umur 10 minggu dan tuaian kedua empat minggu selepas tuaian pertama,” jelas beliau.

Shamsuddin berkata setakat ini LPP membangunkan tiga ladang benih Vitato di daerah Besut seluas sembilan hektar kerana tanah di daerah itu sesuai untuk tanaman Vitato, tetapi di daerah lain seperti di Marang, hasilnya tidak menjadi kerana tanah tidak sesuai.

MINI ESTET VITATO

Kira-kira 2,484,44 tan Vitato dihasilkan sejak 2008 hingga 2010 yang bernilai RM1,760,353.71.

Pada tahun 2010, LPP negeri Terengganu melancarkan projek perintis menanam Vitato di Dendong PPK Kerandang yang mengeluarkan hasil sebanyak 20 tan metrik sehektar.

Mulai tahun ini, LPP melaksanakan projek itu secara mini estet kerana pengurusannya lebih terancang selain dapat meningkatkan hasil kepada 12 tan sehektar.

Sebuah kilang Vitato bernilai lebih RM4.8 juta dibina untuk memproses Vitato menjadi tepung dan puri.

Kelebihan Vitato ialah ia mengandungi Beta karotina. Ia boleh dimakan selepas direbus, kukus, goreng atau dibakar. Ia juga boleh diproses menjadi produk makanan seperti jejari goreng, kek, ban dan muffin.

NEGERI TERBESAR PENGELUARAN UBI VITATO


Shamsuddin berkata setakat ini Terengganu merupakan negeri yang terbesar mengeluarkan ubi Vitato dan tanaman itu akan diperluas ke seluruh daerah sekiranya ada permintaan daripada petani.

Beliau berkata ubi Vitato sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah, termasuk tanah beris dan tanah bekas lombong.

PPNT menjalankan penyelidikan pasaran bersama Mardi dan pada masa yang sama ini, Nestle mengenal pasti kelebihan produk Vitato untuk dipasarkan bagi segmen industri dan runcitnya.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pelagat Zakaria Ibrahim berkata tanaman ubi Vitato boleh memberikan pendapatan lumayan kepada peserta.

Contohnya anggota PPK Kerandang yang menyertai mini estet Vitato kini memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM15,000 sebulan, bergantung kepada luas tanaman.

JANA PENDAPATAN LUMAYAN

Katanya Vitato kini menjadi tanaman utama bagi PPK Keradang menggantikan tembakau yang dihentikan penanamanya.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Peladang Negeri kerana banyak membantu petani khususnya anggota kami dalam tanaman Vitato ini,” katanya.

Zakaria berkata pada tahun lepas PPK Kerandang berhasil menuai sebanyak 319.9 tan Vitato bernilai RM270,870 manakala tahun ini tuaian setakat ini sebanyak 202 tan bernilai lebih RM216,000.

Ayub Enggan Kenang Tragidi Simpan Mercun

“Tak pandai nak cakap, kalau boleh tak mahu ingat dah,” kata Ayub Abdul Rahman, 30, bapa Khairul Arief Ayub, 6, yang maut selepas sejumlah besar mercun disimpan dalam sebuah rumah dijadikannya tempat menyimpan bahan terbabit di Kampung Makam Lama, di Kuala Terengganu, meletup pada 22 Ogos tahun lalu.

Katanya, semua orang boleh mentafsirkan insiden berkenaan mengikut pandangan masing-masing, tetapi penderitaan sebenar ditanggung mereka sekeluarga tambahan pula Khairul Arief satu-satunya zuriat mereka ketika itu.

Sambil cuba menenangkan diri dengan memanggil isterinya, Kamariah Suffian, 26, Ayub yang ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Baruh, di sini, semalam berkata, dia enggan mengenang tragedi itu.

Ini kerana akan membuatkannya menangis mengingatkan arwah anak lelaki kesayangannya itu sebelum berlalu pergi dan tidak mahu ditemubual lanjut kerana tidak dapat menahan kesedihan.

Utusan Malaysia

YPU Dilantik Konsultan Program Tranformasi Pemodenan Bengkel Automotif

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) telah dilantik sebagai konsultan bagi program tranformasi permodenan bengkel automotif (ATOM) di negeri itu.

Pengurus Besar YPU Azmi Razik berkata ATOM bertujuan untuk memperbaiki pengusaha bengkel yang selama ini nampak tidak terurus dan ceria supaya menjadi usahawan yang berjaya.

“Jadi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah melantik YPU untuk menguruskan hal ini,” katanya kepada Bernama.

Azmi berkata YPU akan memberikan tumpuan kepada bengkel-bengkel yang tidak terurus, yang tidak menggambarkan keinginan untuk mereka tidak berdaya maju.

Beliau berkata oleh kerana itu usaha-usaha sedang dibuat untuk menaik taraf pengusaha berkenaan dengan harapan pengusaha itu akan mempertingkatkan diri dari segi pendapatan.

Untuk menaikkan taraf, pengusaha bengkal perlu mempunyai persediaan peralatan yang selama ini kadang kala tidak mencukupi bagi memenuhi ciri-ciri kepenggunaan, katanya.

Azmi berkata pengusaha bengkel boleh meminjam sehingga RM100,000 selama 15 tahun di bawah program ini dan projek ini akan berjalan sehingga tahun 2020.

“Dengan pinjaman ini kita harap dapat melahirkan usahawan automotif berdaya maju,” katanya.

Beliau berkata YPU sekarang ini sedang membuat tinjauan ke bengkel-bengkel yang didapati tidak terurus untuk memberi penerangan mengenai projek itu kepada pengusaha.

Sasaran YPU ialah 14 buah bengkel untuk dibaik pulih tahun ini, katanya.