Saturday, August 4, 2012

Jawatankuasa Khas Kaji Isu Bayaran Tunai Daripada Hasil Petroleum - PM

"Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian bahawa dari segi perundangan, Kelantan hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri....Pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan."
 Datuk Sri Mohd Najib Razak

Kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak berkata Jawatankuasa Khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

"Jawatankuasa Khas ini akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan," kata Najib dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas itu akan membuat kajian berhubung mengenal pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

"Jawatankuasa Khas itu juga akan menentukan kaedah serta jumlah pembayaran bayaran tunai tersebut kepada negeri-negeri berkenaan," katanya.

Beliau turut berkata, semenjak enam bulan lepas, beberapa perbincangan dalaman dibuat berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum dan sehubungan itu kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas tersebut

Najib berkata dengan penubuhan Jawatankuasa Khas itu, kerajaan persekutuan berharap isu-isu yang dibangkitkan oleh kerajaan-kerajaan negeri di Pantai Timur Semenanjung akan dapat diselesaikan secara adil, telus dan saksama.

Beliau berkata berdasarkan Perjanjian di antara kerajaan negeri Kelantan dengan Petronas mengenai pembayaran mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroliam 1974 yang dibuat pada 9 Mei 1975, Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan lima peratus dari nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di Kelantan.

"Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian bahawa dari segi perundangan, Kelantan hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

"Pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan. Oleh itu, dari segi perundangan, kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum," katanya.

Najib berkata kerajaan persekutuan sentiasa meletakkan keutamaan kepada kehendak rakyat dengan membuka pintu rundingan tetapi pada waktu yang sama tidak boleh membelakangkan perundangan negara.

Katanya, walaupun peruntukan perundangan ini adalah jelas, namun pada November 2009, beliau mengumumkan di Dewan Rakyat mengenai pemberian bayaran tunai kepada Kelantan meskipun pengeluaran petroleum buat masa ini terletak di luar perairan negeri tersebut.

"Keputusan ini dibuat berdasarkan keperluan untuk terus membangunkan negeri Kelantan dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya.Peruntukan tersebut telah disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan," katanya.

Beliau berkata sebahagian besar peruntukan itu adalah untuk bantuan pelajar sekolah dan pelajar daripada Kelantan yang memasuki tahun pertama Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Peneroka Felda Terengganu Bakal Terima Wang Raya Rabu Ini

Gambar Fail - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pada  Majlis Penyerahan Durian Runtuh kepada para peneroka Felda di Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu pertengahan Mei lalu.
Peneroka Felda Wilayah Terengganu akan menerima pemberian Hari Raya Aidifitri minimum RM200 secara berperingkat di negeri ini bermula Rabu depan.

Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu Abd Malib Abd Rani berkata peneroka yang masih menghantar tuaian buah kelapa sawit kepada Felda akan menerima wang Aidilfitri itu sebanyak RM400 manakala peneroka yang menjualnya kepada pihak lain akan menerima RM200.

"Tapi bilangan yang menerima RM200 ini kecil. Ia tidak sampai 10 peratus pun daripada jumlah peneroka yang ada di negeri Terengganu.

"Bantuan ini diharap dapat meringankan beban keluarga peneroka untuk menyambut Aidilfitri tahun ini dan dibayar selewat-lewatnya sebelum 15 Ogos ini," katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu, semalam.

Felda akan mula mengagihkan RM2 juta wang Aidilfitri kepada 7,463 keluarga peneroka di 20 tanah rancangan Felda di negeri ini mulai 8 Ogos.

Katanya pemberian wang Hari Raya Aidilfitri ini ibarat tambahan bonus kepada peneroka Felda di seluruh negara di mana baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian wang Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM43.2 juta.

Pengumuman itu membawa kegembiraan berganda kepada peneroka kerana sebelum ini mereka diberi RM10,000 tunai bagi setiap keluarga peneroka (suami RM5,000, isteri RM5,000) dan bakal dibayar RM5,000 lagi kepada anak-anak peneroka tidak lama lagi ekoran penyenaraian Felda di Bursa Malaysia.

"Kita harap duit 'durian runtuh' yang mereka dapat digunakan sebaiknya dan kita juga kini sedang bekerjasama dengan wakil Tabung Haji bagi memudahkan mana-mana peneroka yang berminat membuka akaun simpanan," katanya.

Najib Minta Chong Wei Cipta Sejarah Dengan Rangkul Emas Pertama Negara

Gambar Fail - Najib ucapkan tahniah selepas Chong Wei menang dalam satu kejohanan sebelum ini.
Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Datuk Lee Chong Wei melakarkan sejarah negara dengan merangkul pingat emas selepas melangkah ke final acara badminton perseorangan lelaki di Sukan Olimpik 2012 London.

"Baru sahaja bercakap dengan Chong Wei, mengucap tahniah kepadanya atas kemenangan hebat! Beritahu beliau supaya mencipta sejarah bagi Malaysia dengan memenangi emas," kata Perdana Menteri dalam tweetnya.


Bukit Besi Bakal Kembali Gemilang Sebagai Nadi Ekonomi

Bukit Besi berpotensi untuk mengulangi zaman kegemilangannya sebagai salah satu nadi ekonomi negeri apabila prasarana pengangkutan dan perhubungan terbaru, Laluan Rel Pantai Timur (ECRR) dipanjangkan ke situ.

Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bukit Besi, Datuk Din Adam berkata, daripada kawasan yang agak terpencil, ia bagaikan sudah mendapat nafas baru dengan laluan Lebuh Raya Pantai Timur yang mula menjana perubahan.

Beliau berharap kesediaan Kerajaan Pusat meluluskan projek yang dicadangkan dari Kuantan ke Kertih disambungkan sehingga ke Bukit Besi itu kelak benar-benar menjadi kenyataan.

Paus Terdampar Di Kuala Penyu Gagal Diselamatkan


Paus seberat 10 tan yang terdampar selama lebih 12 jam di pantai Sungai Sitompok, Kuala Penyu dekat sini, mati semalam dipercayai kerana mengalami masalah deria.

Pegawai perikanan daerah Kuala Penyu Julin Bagang berkata paus jenis Baleen sepanjang 17 meter itu dipercayai tertekan apabila terpisah daripada kumpulannya di luar habitat semula jadi mereka.

Seorang penduduk kampung dari daerah ini keluar dari mulut ikan paus seberat lebih 10 tan untuk melihat lebih dekat ketika operasi memindahkannya ke darat.

Terengganu Buru Piala Malaysia Pengubat Kekecewaan

Piala Malaysia menjadi harapan tunggal buat jaguh Pantai Timur, Terengganu untuk mengubat kekecewaan mereka gagal menjulang sebarang trofi musim ini selepas kecewa dalam perebutan Piala FA dan Liga Super.

Namun bagi penolong pengurus skuad Peteh, Sheikh Ahmad Tajudin Sheikh Yusof, pasukannya tidak mahu keghairahan itu memakan diri sendiri kerana sedar hakikat Terengganu berada dalam kumpulan maut bersama Kelantan, Kedah dan Tentera.

“Saya begitu terkejut dan ini satu cabaran besar buat kami. Saya tidak pasti keupayaan sebenar Tentera kerana mereka beraksi di Liga Perdana.

Polis Tingkat Kawalan Keselamatan Menjelang Aidilfitri

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperketat kawalan keselamatan di seluruh negara melibatkan anggota di semua cawangan bagi menjaga keselamatan awam menjelang Aidilfitri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya akan menggiatkan rondaan dan pemantauan melibatkan zon yang kerap menerima laporan kejadian jenayah termasuk meningkatkan kehadiran polis di tempat awam bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara terutama pada musim perayaan.

"Polis memberi jaminan anggota kita mencukupi untuk tujuan ini dan beberapa strategi khas telah diatur untuk musim perayaan ini bagi terus memastikan keselamatan harta benda dan diri orang awam di negara ini," katanya ketika ditemui pemberita di majlis penyerahan sumbangan kepada balu anggota polis dan anak yatim di Gerogetown malam semalam.

Maidam Kutip Zakat RM40 Juta Dalam Tempoh 7 Bulan Pertama


Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berjaya memungut zakat RM40 juta dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Harujan Sulaiman berkata jumlah itu meningkat berbanding tempoh yang sama RM30 juta tahun lepas.

"Biasanya lebih ramai orang membayar zakat dalam bulan Ramadan. Peningkatan ini membuktikan ekonomi penduduk dan syarikat perniagaan di negara ini khususnya Terengganu bertambah baik,”  katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Bank Simpanan Nasional (BSN) tahun 2011 sebanyak RM60,717 kepada Maidam di Kuala Terengganu, kelmarin.


1,000 Orang Keluar Dari Senarai PPRT Setiap Tahun

Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu berjaya mengeluarkan antara 1,000 hingga 1,500 orang kalangan penerima bantuan jabatan setiap tahun yang dikenal pasti mampu meningkatkan pendapatan diri dan keluarga.

Pengarahnya, Encik Zuhami Omar berkata, di samping berjaya mengeluarkan antara 1,000 hingga 1,500 senarai nama penerima bantuan setiap tahun, pada masa yang sama penambahan penerima bantuan juga turut berlaku .

Ibu, Anak Ditahan Mabuk Di Pusat Hiburan

Memalukan! Seorang ibu bersama anak gadisnya bukan sahaja tergamak mencemari kesucian Ramadan dengan berhibur di sebuah pusat hiburan, malah mereka dengan tidak rasa bersalah meneguk minuman keras di tingkat empat Plaza Perdana, di Kuala Terengganu,  awal pagi kelmarin.

Aktiviti maksiat kedua-dua beranak itu yang tinggal di Rumah Pangsa Bukit Depu, Kuala Ibai, di Kuala Terengganu, terbongkar apabila mereka antara 52 pengunjung yang ditahan dalam serbuan ‘Ops Noda Bulan Ramadan’ oleh anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat daerah (IPD) Kuala Terengganu bersama anggota Penguat kuasa Syariah Kuala Terengganu.

Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1 pagi itu, ‘si ibu’ yang berusia 34 tahun dan si anak 16 tahun ditangkap ketika sedang asyik menuang minuman keras sambil berhibur dengan dikelilingi lelaki bukan muhrim, rata-rata dalam kalangan buruh dan nelayan.

Sebanyak 14,514 Peserta Telah Dapat Manfaat Daripada Program Jaya Diri YPK


Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah membelanjakan RM38 juta untuk membantu 14,514 rakyat negeri ini sejak 1995 melalui Program Jaya Diri untuk membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, YPKT telah membelanjakan RM4.7 juta bagi program itu membabitkan 800 peserta.

"YPKT bukan sahaja memberi modal pinjaman untuk memulakan perniagaan, bahkan turut membantu peserta melalui kursus dan bimbingan bagi memastikan mereka mampu berdikari dengan ilmu yang ada.


Friday, August 3, 2012

Kelab Wartawan Terengganu Bakal Tubuh Koperasi Media

Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) bakal menubuhkan Koperasi Media Terengganu tidak lama lagi dalam usaha menjadikan kelab itu sebagai sebuah badan yang mampu berdikari.

Presiden Kawat Ayob Mamat berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi tujuan itu dan penubuhannya dijangka akan direalisasi pada tahun ini juga.

"Kawat akan mendapat khidmat nasihat daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi tujuan ini dan buat permulaan, koperasi ini akan memberi keutamaan kepada anggota Kawat sahaja.

Yang Di-Pertuan Muda Berkenan Sampai Bantuan Fakir Miskin


Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis Pengurniaan Sumbangan Kepada Fakir Miskin di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Terengganu semalam.

Turut berangkat adinda Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra. Hadir sama, Ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu, Tengku Bentara Raja; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku; Setiausaha Kerajaan Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad.


MSN Terengganu Giat Latih, Cari Atlet Renang

Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kini giat melatih dan mencari atlet-atlet sukan renang di seluruh Terengganu bagi memastikan tidak ketandusan bakat setiap kali menghadapi kejohanan ternama, termasuk Sukan Malaysia (Sukma).

Pelbagai pendekatan dilaksanakan, termasuk mewujudkan Program Pengenalpastian Bakat Akuatik semata-mata mahu melihat bidang itu turut unggul bersama-sama sukan basikal, sepak takraw, judo dan bola sepak.

Jelajah Merdeka Raya RTM 2012 Singgah Berbuka Di Kediaman MB Terengganu

 

Terengganu menjadi lokasi kedua sebagai laluan siri penjelajahan ke negeri Pantai Timur selepas Pahang sebelum berakhir di Kelantan bagi Program Radio Televisyen Malaysia (RTM) Jelajah Merdeka Raya 2012.

Program yang menggabungkan tiga acara merangkumi sambutan bulan Ramadan, Hari Raya dan menjelang ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-55 itu singgah untuk menikmati juadah berbuka puasa bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan barisan exco kerajaan negeri di Seri Iman di Kuala Terengganu, malam kelmarin (Rabu).


Thursday, August 2, 2012

Ahmad Said - Terima Kasih PM Kerana Projek ECRR

 
"Perancangan awal projek hanya membabitkan jarak 109 kilometer dari Kuantan ke Kertih, namun saya merayu supaya kerajaan pusat menyambung projek itu terus ke Dungun berhampiran Bukit Besi sepanjang 35 kilometer dan ia dipersetujui...projek Laluan Rel Pantai Timur fasa pertama itu bertujuan membawa penumpang dan juga kargo terutama untuk Pelabuhan Kuantan dan Kemaman."
 - Datuk Seri Ahmad Said

Menteri Besar Terengganu  mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana membolehkan fasa pertama projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRR) yang sebelum ini dirancang dari Kuantan ke Kertih kini disambung ke Bukit Besi, Dungun.

Datuk Seri Ahmad Said berkata perkara itu dipersetujui kerajaan pusat pada mesyuarat Majlis Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) yang dipengerusi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Laporan Teganuku semalam mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur.
 Menurut kenyataan Najib, yang juga Pengerusi ECERDC semalam, projek ini akan mempunyai kesan yang signifikan dari segi meningkatkan kesalinghubungan antara ECER dan pantai barat Semenanjung Malaysia dan mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi kawasan di Wilayah ini.

Fasa 1 ECRR akan membantu memperbaiki rangkaian hubungan antara pelbagai kawasan perindustrian di Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ), seperti Taman Halal Gambang, Taman Pembaikan Bot dan Pangkalan Bekalan Kemaman, Kompleks Petrokimia Bersepadu Gebeng, Taman Automotif Pekan, Kelompok Industri Minyak Sawit, dengan Pelabuhan Kuantan, sekaligus membantu meningkatkan daya saing pelabuhan tersebut.

"Sistem rel yang dicadangkan untuk wilayah Pantai Timur ini juga berupaya merangsang pelaburan di ECER kerana pelabur dapat mengurangkan kos perniagaan melalui penggunaan mod pengangkutan yang lebih efektif dari segi kos dan kecekapan, yang juga bersifat mesra alam sekitar," kata Perdana Menteri semalam.

Menurut Ahmad Said: "Perancangan awal projek hanya membabitkan jarak 109 kilometer dari Kuantan ke Kertih, namun saya merayu supaya kerajaan pusat menyambung projek itu terus ke Dungun berhampiran Bukit Besi sepanjang 35 kilometer dan ia dipersetujui.

"Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat, khususnya Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Pengerusi ECERDC kerana menyambung pembinaan rel itu hingga ke Bukit Besi," katanya.
 
Beliau menyatakannya kepada pemberita, di Kuala Terengganu selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Ahmad Said berkata projek Laluan Rel Pantai Timur fasa pertama itu bertujuan membawa penumpang dan juga kargo terutama untuk Pelabuhan Kuantan dan Kemaman.

Pembinaan rel itu dijadual bermula tahun depan dan dijangka siap pada 2016, katanya.

Beliau berkata pembinaan landasan kereta api itu merupakan yang pertama di Terengganu, membolehkan bijih besi di situ dibawa ke kawasan perindustrian Teluk Kalong di Kemaman.

Pada keseluruhannya projek rel berkenaan melibatkan laluan sepanjang 600 kilometer yang dirancang menghubungkan Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan melalui Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Baharu.

Noryn Akui Jadi Isteri Raja Bahrin Sejak 2 Tahun Lalu


Penyanyi popular, Noryn Aziz akhirnya secara terbuka mengakui bahawa sudah lebih dua tahun bergelar isteri kepada arkitek terkenal, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah atau lebih dikenali sebagai Raja Bahrin.

Sebelum ini, Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd. Aziz, 36, bertindak untuk tidak bercakap mengenai soal peribadi apatah lagi memberi sebarang kenyataan berhubung desas-desus perkahwinannya.

Tegas Noryn, tindakan itu dibuat berdasarkan keputusan untuk menghormati keluarga pihak suami.

Pelajar Yayasan Terengganu Kesal Sertai Bersih 2.0 Di Mesir

Muhamad Hasyim (dua dari kanan) bersalamam dengan Menteri Besar sambil diperhatikan bapanya Che Ngah (dua dari kiri) semalam.
 "Saya sungguh kesal dan saya tidak akan buat lagi kerja yang sia-sia dan tidak bermanfaat begini."

Demikian luah Muhamad Hasyim Che Ngah yang pinjamannya ditamatkan Yayasan Terengganu (YT) selepas didapati menyertai perhimpunan Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah, Mesir, tahun lepas.


Muhamad Hasyim, 21, pelajar tahun tiga jurusan perubatan Universiti Al-Azhar adalah antara sembilan anak Terengganu yang menerima nasib itu, dan semalam beliau menemui Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said di Wisma Darul Iman, bagi merayu agar pinjamannya disambung semula.

Penduduk Kemaman, Dungun Dapat Hospital Baru

 Menteri Besar melawat pesakit di Hospital Besut di Jerteh, kelmarin.
Penduduk di daerah Kemaman dan Dungun bakal menikmati kemudahan kesihatan dan perubatan lebih baik apabila dua hospital baru dibina di daerah terbabit bagi memberi kemudahan kepada orang ramai mendapat perkhidmatan.

Menteri Besar,Datuk Seri Ahmad Said berkata, pembinaan hospital baru terbabit bagi menampung keperluan yang semakin meningkat berikutan pertambahan penduduk selain hospital sedia ada tidak mempunyai kelengkapan yang sempurna.

Katanya, Hospital Kemaman bernilai RM200 juta dan Dungun RM130 juta masing-masing akan dibina akhir tahun ini apabila semua proses siap dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Janji Ditepati - Menteri Besar Ceriakan Hidup Shamsir


Pada Febuari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said semasa melawat Kampung Ladang Sehat di Kuala Terengganu, turut dibawa meninjau kehidupan Shamsir Awang, 46, yang terlantar di rumah kerana menghidap penyakit Parkinson.

Shamsir, bapa kepada dua anak menyatakan kebosanannya kepada Ahmad kerana sejak empat tahun lalu tidak lagi upaya bekerja sebaliknya hanya berada di rumah dan sukar bergerak tanpa bantuan sesiapa.

Skuad Sepak Takraw Terengganu Sambung Kontrak Vitaya Boonta Hingga 2014

Skuad Sepak Takraw Terengganu terus mendapat sentuhan Vitaya Boonta apabila kontrak jurulatih dari Thailand itu disambung buat kali kedua semalam sehingga 2014.

Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu Mohd Shapian Ali berkata langkah tersebut diambil selepas mendapati jurulatih yang berasal dari Bangkok itu berjaya membawa perubahan kepada pemain anak tempatan sejak kehadirannya dua tahun lepas.

Wednesday, August 1, 2012

Kajian Kebolehlaksanaan Rel Pantai Timur, Termasuk Kerteh, Kuala Terengganu Siap

Datuk Sri Najib mempengerusikan mesyuarat  ECERDC di Putrajaya semalam yang turut dihadiri Datuk Seri Ahmad Said.

"Cadangan laluan rel sepanjang 600 km itu, dirancang menghubungkan Kuala Lumpur ke Tumpat di Kelantan, melalui Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu...ECRR ini akan mempunyai kesan yang signifikan dari segi meningkatkan kesalinghubungan antara ECER dan pantai barat Semenanjung Malaysia dan mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi kawasan di Wilayah ini,"
 - Datuk Sri Mohd Najib Razak

Datuk Sri Mohd Najib Razak berkata kajian kebolehlaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRR), yang merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan kini siap dilaksanakan.

Perdana Menteri berkata ECRR itu akan dilaksanakan mengikut fasa, mulai Fasa 1, yang merangkumi landasan rel sejauh 109 km dari Kertih ke Kuantan.

Cadangan laluan sepanjang 600 km itu, dirancang menghubungkan Kuala Lumpur ke Tumpat di Kelantan, melalui Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

"Projek ECRR ini akan mempunyai kesan yang signifikan dari segi meningkatkan kesalinghubungan antara ECER dan pantai barat Semenanjung Malaysia dan mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi kawasan di Wilayah ini," katanya dalam satu kenyataan.

Najib, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), sebelum itu mempengerusikan mesyuarat majlis kedua ECERDC bagi tahun ini di Putrajaya semalam.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Perdana Menteri berkata Fasa 1 ECRR akan membantu memperbaiki rangkaian hubungan antara pelbagai kawasan perindustrian di Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ), seperti Taman Halal Gambang, Taman Pembaikan Bot dan Pangkalan Bekalan Kemaman, Kompleks Petrokimia Bersepadu Gebeng, Taman Automotif Pekan, Kelompok Industri Minyak Sawit, dengan Pelabuhan Kuantan, sekaligus membantu meningkatkan daya saing pelabuhan tersebut.

"Sistem rel yang dicadangkan untuk wilayah Pantai Timur ini juga berupaya merangsang pelaburan di ECER kerana pelabur dapat mengurangkan kos perniagaan melalui penggunaan mod pengangkutan yang lebih efektif dari segi kos dan kecekapan, yang juga bersifat mesra alam sekitar," kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

Menurut laporan berita, kajian kebolehlaksanaan ECRR itu bermula pada 2009.

RM500 Juta Siapkan Lebuh Raya Hulu Terengganu - Hulu Besut

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (tiga, kanan) menyampaikan cek berjumlah RM1.435 juta kepada wakil 287 isteri-isteri peneroka Felda Tenang kelmarin.
Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM500 juta bagi pembinaan lebuh raya menyambungkan Hulu Terengganu dan Hulu Besut, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata pembinaan lebuh raya yang akan bermula tidak lama lagi itu menyambungkan Hulu Terengganu melalui Gunung Bongsu ke Keruak, Hulu Besut dan akan dilaksana secara berperingkat.

Pembinaan fasa pertama membabitkan jarak 40 kilometer dengan kos RM110 juta.


Pelancong Eropah Cedera Ditikam Pemandu Bot

Akibat perselisihan faham dengan pemandu bot pelancong, seorang pelancong Eropah cedera di belakang badan akibat ditikam dengan senjata tajam dalam kejadian di Pulau Perhentian, Besut, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu pemandu bot berkenaan bertindak menyerang pelancong berkenaan bersama seorang lagi rakannya.

Katanya akibat kejadian itu mangsa yang berusia 24 tahun itu cedera di belakang badan dan dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.


ECER Tarik Pelaburan RM32.7 Bilion Sehingga Akhir Jun Tahun Ini

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah menarik pelaburan lebih RM32.7 bilion sejak 2007 sehingga akhir Jun tahun ini, di mana RM12 bilion telah dicatatkan dalam tempoh enam bulan pertama 2012.

Perdana Menteri berkata, antara Januari dan Jun tahun ini, kelompok pelancongan ECER telah menarik jumlah pelaburan tertinggi iaitu kira-kira 55 peratus, diikuti oleh kelompok pembuatan (31 peratus), kelompok pertanian (8.0 peratus), kelompok pendidikan (5.0 peratus) dan sektor perkhidmatan (hampir 1.0 peratus).

"Kesemua projek ini dijangka dilaksanakan pada tahun ini," katanya di dalam dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat majlis kedua Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) tahun ini di Putrajaya semalam.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Aktiviti Pengambilan Dadah Di Jeti Perikanan Dungun Terbongkar


Tindakan sekumpulan penagih bermaharajalela di jeti perikanan tanpa mempedulikan kehadiran orang awam berakhir apabila port mereka diserbu polis, dekat Dungun,  pagi semalam.

Operasi besar-besaran oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah bersama anggota cawangan lain bermula jam 9 pagi itu berjaya membongkar aktiviti pengambilan dadah yang dikatakan mulai berleluasa di sebalik bot nelayan yang berlabuh dan timbunan pukat di jeti pendaratan.

17 Negara Sertai Festival Islam Antarabangsa Terengganu

Sebanyak 17 negara akan menyertai Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2012 (TIIAF 2012) yang dijadual bermula 14 September ini selama empat hari, di Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Induk TIIAF 2012 Datuk Wan Ahamad Wan Muda berkata sehingga kini 180 penyertaan disahkan dari negara Asean, China, Jepun, India dan Pakistan bagi acara pertandingan khat peringkat antarabangsa.

"Ini tidak termasuk penyertaan penggiat khat tempatan dalam kategori kanvas, kayu dan logam yang dianggarkan sekitar 350 penyertaan.

Yayasan Terengganu Belanja Lebih RM10 Juta Sebagai Bantuan Pendidikan


Yayasan Terengganu (YT) membelanjakan sebanyak RM10.6 juta untuk bantuan persediaan pendidikan kepada anak-anak negeri sejak skim itu diperkenal 2008.

Pengarah YT Zakaria Yusof berkata dalam tempoh empat tahun itu seramai 10,646 pelajar menerima bantuan sebanyak RM1,000 setiap seorang di bawah Skim Bantuan Persediaan YT.


Pembantu Kedai Perkakasan Ditahan Bersama Pelbagai Jenis Mercun

Polis menahan seorang pembantu kedai perkakasan berhubung kegiatan penjualan mercun dan bunga api di rumahnya di Kampung Pondok Lalang, Batu Rakit di Kuala Terengganu, awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K.Manoharan berkata lelaki 34 tahun itu ditahan selepas polis menyerbu rumahnya kira-kira 3.30 pagi dan menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM17,000 yang disimpan di bahagian dapur rumahnya.


Isteri Peneroka Setiu Dapat 'Bonus'

Ahmad Said menyampaikan replika cek kepada wakil Felda Selasih, Masitah Sulaiman pada majlis penyerahan bayaran imbuhan kepada isteri peneroka di Kampung Rahmat, Setiu, kelmarin.
Kerajaan memperuntukkan RM4.5 juta untuk bayaran durian runtuh fasa kedua kepada isteri para peneroka Felda di tiga rancangan dalam Parlimen Setiu.

Bagi Felda Chalok yang merupakan kawasan penempatan terbesar, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM2 juta manakala Felda Selasih (RM785,000) dan Felda Chalok Barat (RM1.7 juta).

Tuesday, July 31, 2012

Karpal Singh - PAS Tidak Boleh Monopoli Terhadap Tuhan


"Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar ke-57 parti itu Jun tahun lepas secara umum menyatakan bahawa tidak ada disebut negara Islam dalam al-Quran tetapi negara kebajikan...Ini mencerminkan tanpa sedikit keraguanpun bahawa Pas telah melupakan matlamatnya untuk menubuhkan sebuah negara Islam." - Karpal Singh

Pengerusi DAP Karpal Singh berkata semalam,  sebarang cubaan Pas sekarang untuk memperkenalkan hudud di negara ini mencerminkan dengan buruk niat ikhlas di sebalik apa yang diputuskan di Muktamar Pas tahun lepas.

Beliau berkata, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar ke-57 parti itu Jun tahun lepas secara umum menyatakan bahawa tidak ada disebut negara Islam dalam al-Quran tetapi negara kebajikan.

"Ini mencerminkan tanpa sedikit keraguanpun bahawa Pas telah melupakan matlamatnya untuk menubuhkan sebuah negara Islam. Pas, dengan jelas memilih sebuah negara kebajikan," kata Karpal dalam satu kenyataann di Kuala Lumpur.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi mengenai pendirian konsisten Karpal menolak hudud. Karpal berkata, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat pada 8 Jun tahun lepas melaporkan dalam New Straits Times bahawa keputusan Pas mengubah fokus kepada sebuah negara kebajikan dan mengetepikan istilah negara Islam adalah langkah yang betul.

Karpal berkata, hudud tidak termasuk dalam kerangka dasar bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga.

"Begitu juga, ia tidak akan termasuk dalam manifesto bersama Pakatan Rakyat, tidak mungkin," katanya.

Beliau berkata: "Tidak ada siapa, tidak ada parti, tidak juga organisasi yang boleh mendakwa mempunyai monopoli terhadap Tuhan.

"Saya perlu tegaskan dengan segala kekuatan yang ada pada saya, bahawa saya percaya terhadap Tuhan," ujar Karpal.

RM10.6 Juta Untuk 10,606 Pelajar Tingatan Enam Atas

 

Kerajaan negeri membelanjakan RM10.6 juta untuk diagih kepada 10,606 pelajar Tingkatan Enam Atas melalui Program Bantuan Pendidikan yang mula diperkenalkan pada tahun 2008.

Menteri Besar, Datuk Seri  Ahmad Said berkata, bantuan wang tunai RM1,000 kepada setiap pelajar yang tidak mendapat biasiswa itu mampu memberi dorongan dan galakan kepada mereka untuk terus kekal cemerlang dalam peperiksaan yang bakal diduduki.


Katanya, pada masa sama ia turut membantu meringankan beban keluarga untuk membeli kelengkapan pembelajaran seperti buku rujukan dan alat tulis.


Piala Malaysia - T-Team Pinjam Dua Pemain Sabah Dan Seorang Pemain PDRM

Dua pemain Sabah dan seorang pemain kelab Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah menjadi sandaran skuad T-Team dalam menghadapi saingan Piala Malaysia, September ini.

Pemain Sabah berkenaan ialah Sumerdi Hajalan dan Shahrul Azhar Ture yang masing-masing di posisi tengah dan pertahanan sementara pemain pasukan polis, Mohd Fauzi Abd Majid yang bermain di posisi penyerang.

Olimpik 2012 - Adiq Hussainie Memang Kecewa...


Persiapan rapi sejak tahun lalu bagi menghadapi Sukan Olimpik di London ini gagal membantu dua pelumba negara, Mohd. Adiq Hussainie Othman (gambar) dan Amir Mustafa Rusli untuk memberi cabaran dalam acara lebuh raya pada temasya kali ini.

Kelmarin, kedua-dua pelumba yang membuat penampilan sulung pada temasya edisi ke-30 ini gagal menamatkan perlumbaan selepas diarah menarik diri apabila keting- galan 18 minit di belakang pendahulu.

Perasaan kecewa tidak dapat disembunyikan kerana mereka tidak dibenarkan meneruskan perlumbaan walaupun perlumbaan tersebut hanya tinggal beberapa kilometer sahaja lagi untuk ditamatkan. "Saya memang kecewa.

Perlumbaan sudah hampir sampai ke gari- san penamat tetapi diarah menarik diri kerana sudah ketinggalan jauh di belakang pendahulu.

"Bagaimanapun, ia pengalaman yang berguna buat saya. Dari sini saya dapat menilai kelemahan yang ada pada saya," kata Adiq semalam.

Menurutnya, banyak lagi kerja perlu dibuat sebelum boleh bersaing dengan jaguh dunia yang lain pada temasya seperti ini.

"Saya perlu bekerja keras dan peluang saya untuk kembali beraksi pada Sukan Olimpik masih ada memandangkan usia saya baru mencecah 21 tahun. "Memang saya akui masih banyak kekurangan yang perlu diper- baiki berbanding pelumba lain pada temasya kali ini.

"Jarak perlumbaan sejauh 250 kilometer bukan satu masalah buat saya, cuma kita kekurangan dari segi taktikal," katanya.

Menurut pelumba pasukan Champion System itu yang berpangkalan di Belgium, acara lebuh raya pada Sukan Olimpik tidak boleh disamakan dengan perlumbaan jelajah.

"Perlumbaan jelajah banyak peringkat dan kita boleh merangka strategi. Olimpik lain kerana kalau kita kurang pakar dari segi taktikal, peluang memang sangat tipis.

"Kita hanya ada dua orang pelumba berbanding negara lain yang memiliki empat pelumba. Jadi, memang sukar nak rancang strategi," kata Adiq. Meskipun mengalami kegagalan, Adiq belum mahu berputus asa.

Dia menanam tekad untuk terus bekerja keras bermula dari sekarang agar dapat sekali lagi layak ke Sukan Olimpik.

Selepas ini, Adiq akan pulang ke tanah air sebelum kembali menyertai pasukannya yang beraksi pada satu perlumbaan jelajah di Amerika Syarikat selepas Hari Raya Aidilfitri ini

Kosmo!