Friday, May 31, 2013

Ahmad Said Tidak Puas Hati Jaminan Bahan Bangunan Hanya 10 Tahun


“JKR beri jaminan 10 tahun dan bagi saya itu amat pelik, kerana biasa kita buat bangunan kita hendak kekal selama-lamanya. Kalau letak tempoh 10 tahun dan selepas itu berkemungkinan runtuh, jadi orang awam kena tanggung risiko..."
 - Datuk Seri Ahmad Said

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji semula tempoh masa jaminan penggunaan struktur besi bagi anjung Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu dan bangunan lain yang menggunakan bahan yang sama yang dikatakan mampu bertahan hanya 10 tahun.

Ahmad Said berkata, keputusan itu menimbulkan kebimbangan dari sudut keselamatan awam kerana penggunaan struktur besi bagi masjid itu ternyata tidak selari dengan jangka hayat bangunan yang sepatutnya mampu bertahan lebih 50 tahun atau selama-lamanya.

“JKR beri jaminan 10 tahun dan bagi saya itu amat pelik, kerana biasa kita buat bangunan kita hendak kekal selama-lamanya.

"Kita buat rumah tak kan kita hendak kekal 10 tahun selepas 10 tahun, katakan kita sudah meninggal, anak-anak kita kemungkinan akan meninggal juga akibat ditimpa runtuhan.


“Sepatutnya ia kekal seperti bangunan, jika bangunan 50 tahun, (penggunaan struktur besi) juga 50 tahun. Seperti kita buat rumah, kita mencari kayu cengal (material berkualiti), kerana kita sepatutnya meninggalkan rumah itu dulu (meninggal dunia), bukan anak-anak meninggalkan kita dahulu, kerana bangunan itu sebagai warisan.

“Kalau letak tempoh 10 tahun dan selepas itu berkemungkinan runtuh, jadi orang awam kena tanggung risiko, sepatutnya bumbung kena tahan lama, kekal sampai bila-bila,," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Ahmad Said berkata demikian menjawab soalan wartawan perkembangan terbaharu kejadian runtuhan bumbung Masjid Kampung Binjai Kertas pada 20 Mei lalu ketika enam jemaah masih berada di dalam masjid selepas selesai solat isyak.

Menurutnya, terdapat sekolah dan beberapa buah lagi masjid menggunakan bahan sama dengan Masjid Kampung Binjai Kertas dan berharap JKR dapat memantau perkembangan sebenar.


Beliau turut meminta JKR menyiasat secara terperinci perkara berkenaan dan kajian menyeluruh terhadap premis-premis lain dalam memastikan kejadian sama tidak berulang.

Masjid Binjai Kertas mula digunakan pada 2008 itu dibina dengan kos dianggarkan sebanyak RM1.7 juta dan insiden runtuhan masjid itu merupakan kejadian kedua melibatkan masjid di negeri ini selepas Masjid Batu Putih, Kemasik, 3 Oktober 2009.berkata, pihaknya dimaklumkan JKR kini sedang memperincikan laporan forensik oleh pasukan pakar yang dibentuk.

“Kita memerlukan laporan ini kerana dapat maklumat ada sekolah dan masjid yang menggunakan sistem sama. Masjid Binjai Kertas dan Masjid Batu Puteh, Kemaman (yang runtuh sebelum ini) juga menggunakan material yang sama.

“Sebab itu saya minta JKR mengkaji balik penggunaan struktur besi ini kerana ia diberi jaminan 10 tahun. Bagi saya agak peliklah, biasanya jika kita buat bangunan, kita nak kekal selama-lamanya,” katanya.

Beliau juga mempertikaikan bagaimana jaminan 10 tahun diberikan dan bimbang kejadian seumpama itu akan berulang.

“Agak pelik jaminan hanya 10 tahun, sepatutnya kekal sebagaimana bangunan. Ini perlu dikaji semula oleh pihak JKR,” katanya.

Kerajaan Negeri dijangka terima laporan penuh kejadian runtuhan bumbung Masjid Binjai Kertas, Hulu Terengganu, daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam masa terdekat.

Indonesia Haram Khutbah, Ceramah Guna Pembesar Suara

Kebanyakan daripada lebih 800,000 masjid di Indonesia menggunakan pembesar suara ketika memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dan nasyid siang dan malam. 
Majlis Masjid Indonesia (DMI), semalam mengumumkan ia akan mengharamkan penggunaan pembesar suara untuk khutbah dan ceramah di masjid di negara itu.

“Kami sedang membincangkan perincian teknikal mengenai perkara itu,” kata ketua DMI, Jusuf Kalla yang dipetik akhbar Kompas.com.

Jusuf yang juga bekas naib presiden Indonesia berkata, masjid, bagaimanapun masih dibenarkan menggunakan pembesar suara untuk laungan azan, tetapi bukan untuk urusan lain.

Pertindihan Kerusi, Tidak Perlu Kritik Hadi


Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah menyelar tindakan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin yang mengkritik pucuk pimpinan Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Kongres PKR, baru-baru ini.

Menyifatkan tindakan Shamsul Iskandar yang menyalahkan Abdul Hadi sebagai tidak wajar, Abu Bakar berkata bahawa isu pertindihan kerusi tidak perlu diungkit kerana keputusan itu telah difikirkan secara bersama.

“Apa yang diputuskan patut diterima dan tidak perlu kritikan yang boleh memberi unsur negatif kepada pakatan.

Suspek Kedua Kes Samun, Suntik Pemandu Lori Barangan Lusuh Ditahan

Polis menahan suspek kedua kes samun dan menyuntik pemandu lori dengan dadah sebelum melarikan lori yang membawa barangan lusuh di Felda Cherul Kemaman 20 Mei lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam tadi dalam serbuan ke sebuah rumah di Kampung Gong Kenak Jerteh, Besut. 

Jangan Naikkan Harga Barang Basah

Hassan (tengah) menunjukkan tanda bagus ketika melawat gerai Kosmo! di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu semalam. Turut kelihatan, Saripuddin (kiri) dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin (dua dari kiri).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengingatkan para peniaga agar tidak menaikkan harga barang-barang basah secara sesuka hati sehingga membebankan pengguna.

Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut untuk memperhalusi masalah itu termasuk pendekatan penguatkuasaan.

"Kita dah buat satu pendekatan bagi mengkaji semula perkara ini untuk ditangani dengan berkesan agar tidak membebankan pengguna.

Sultan Bukan Punca Kelewatan Pelantikan Exco Selangor


Kelewatan pelantikkan Exco Kerajaan Negeri Selangor bukan disebabkan proses untuk memenuhi kehendak Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kata Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhammad Munir Bani.

Menurutnya, selepas upacara pelantikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 14 Mei lalu, Sultan Selangor juga menitahkan supaya mengemukakan senarai Exco bagi mendapat pekenan baginda. 

Polis Terengganu Rakam Keterangan 10 Individu Terbabit Himpunan



Polis Terengganu telah memanggil dan merekodkan keterangan 10 individu yang terbabit dalam perhimpunan di Kuala Ibai, di sini Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan berkata mereka termasuk individu yang dipercayai penganjur perhimpunan itu. Polis akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, katanya semalam.

Fitnah - Anwar Menang Kes Saman Datuk Nalla


Datuk Seri Anwar Ibrahim menang kes saman fitnah yang dibawa Ketua Pembangkang itu ke atas bekas rakan sukan tenisnya, Datuk S. Nallakaruppan berhubung kenyataan kononnya menerima wang sebanyak RM60 juta.

Satu kenyataan dikeluarkan hari ini menyebut, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan memihak kepada Anwar petang ini. Peguam Anwar, Latheefa Koya berkata, selepas mendengar hujah kedua-dua pihak di kamarnya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam mengetepikan pernyataan pembelaan pembela.

Mahkamah Rayuan Kekalkan Hukuman Penjara 12 Bulan Terhadap Khir Toyo


Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam mengekalkan hukuman penjara 12 bulan terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam di sini empat tahun lepas. 

Mahkamah juga mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011 lepas yang memerintahkan agar tertuduh dilucutkan hak ke atas hartanah yang dimiliki itu dan diserahkan kepada kerajaan.

Fitnah MAIS & LZS - Saari Sungib Diperintah Bayar RM300,000


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, Hulu Klang, Saari Sungib diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM300,000 kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS) setelah kalah dalam satu kes saman fitnah di Mahkamah Tinggi di Shah Alam.

MAIS dan Pemegang Amanah LZS selaku pihak plaintif mengemukakan saman itu terhadap Saari berhubung kenyataannya dalam artikel bertajuk 'Siasat Pindah Wang LZS' yang disiarkan akhbar Sinar Harian pada 17 Mac 2009.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini oleh Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa, perintah itu dikeluarkan Mahkamah Tinggi tersebut pada 14 Mei lalu.

Nurul Izah Dilarang Memasuki Sabah

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah dilarang daripada memasuki Sabah. Beliau tiba di Kota Kinabalu pada petang Khamis, tetapi ditahan di imigresen.

"Mereka mahu mengusir saya. Saya akan berurusan dengan Pejabat Ketua Menteri Sabah," katanya tergesa-gesa kepada The Star dalam satu perbualan telefon.

Thursday, May 30, 2013

Kerajaan BN Terengganu Tunai Aku Janji Tambahan Pertama PRU13


Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu menunaikan Aku Janji Tambahan BN Terengganu yang pertama sebagaimana dijanjikan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu , iaitu menaikkan pajakan tanah individu kepada 60 tahun, berbanding hanya 30 tahun sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, mesyuarat Exco semalam membuat keputusan meluluskan pajakan tanah di mana jika melibatkan tanah desa , kampung, perumahan dan sebagainya melibatkan premium sekurang-kuranya 10 peratus.

Nuklear Malaysia, UMT Dan IAEA Kerjasama Kaji Kesan Radioaktif


Seramai 14 peserta dari kepulauan Pasifik menghadiri kursus Kajian Marin mengenai Penanda Aras Kesan kemungkinan Pembebasan Radioaktif Fukushima di Rantau Asia Pasifik, di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terengganu.

Kursus penyelidikan selama tiga hari yang berakhir semalam itu adalah anjuran bersama Nuklear Malaysia, UMT dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Negara kepulauan pasifik yang menyertai kursus itu ialah Cook Islands, Fiji, Kiribati, republik kepulauan Marshall, Solomis dan Sri Lanka.

Enam Jabatan Kerajaan Negeri Capai Penarafan Empat Bintang


Tiga lagi jabatan kerajaan negeri berjaya memperolehi penarafan empat bintang tahun ini, menjadikan enam jabatan kesemuanya mencapai tahap tertinggi itu sejak tahun lalu.

Penarafan dijalankan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) itu diumumkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri  Ambrin Buang, dua hari lalu.

Enam jabatan berkenaan adalah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Kehakiman Syariah dan Majlis Perbandaran Dungun, selain tiga jabatan terdahulu, iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Pejabat Perbendaharaan Negeri.

Petronas Belanja RM26 Juta Untuk Bantu Keluarga Miskin


PETRONAS memperuntukkan RM26 juta bagi membiayai Program Sentuhan Harapan Petronas yang membantu 13,500 keluarga miskin di seluruh negara sejak 2010.

Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas, Haniff Hassan berkata, menerusi program tanggungjawab sosial korporat syarikat itu, keluarga terbabit diberi bantuan kewangan dan kemahiran bagi membebaskan mereka daripada kepompong kemiskinan.

"Mereka menerima sumbangan bulanan dalam bentuk makanan asas bernilai RM80, selain diberi peluang membina kemahiran diri melalui pelbagai kursus seperti kursus jahitan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian sijil latihan kemahiran menjahit di Kuala Terengganu. semalam.

Rombakan Kecil Portfolio Exco Terengganu Diumum Dalam Masa Terdekat

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said akan mengumumkan rombakan kecil portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) negeri itu dalam tempoh terdekat.

Beliau yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana belum dipersembah untuk mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ahmad Said Kecewa Impian Ke Final Musnah Kerana Pemain Gagal Kawal Emosi

Owana (kanan) dilayangkan kad merah.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kecewa dengan sikap pemain Terengganu yang dilihat gagal mengawal emosi ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA yang semakin menghampiri wisel penamat ketika menentang Kelantan kelmarin.

"Akibat sikap buruk yang mereka tunjukkan itu, peluang yang sudah di depan mata habis musnah begitu sahaja sebab tidak genggam erat.

"Kita sudah mendahului 4-0 dan ia bukan senang kerana Terengganu sebelum ini tak pernah mendahului sebegitu banyak.

Empat Aktivis Pembangkang Didakwa Hari Ini


Empat aktivis Pakatan Rakyat yang dibebaskan 24 Mei lalu, ditahan semula dan didakwa di bawah Akta Hasutan hari ini selepas permohonan reman polis diterima majistret semalam.

Mereka yang ditahan sehingga jam 9.30 malam tadi adalah Haris Ibrahim, Tamrin Ghafar, Muhammad Safwan Anang@Talib dan Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

Turut menerima perintah tahanan reman ialah seorang lagi aktivis Hishamudin Md Rais.

Polis Cari Dua Beradik Bantu kes Cubaan Bunuh di Pulau Serai


Dua beradik antara empat lelaki dicari polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian cubaan membunuh seorang buruh di Kampung Batu Putih, Pulau Serai, Dungun, pada 16 Mei lalu.

Mereka ialah Zukipeli Samsudin, 29, dan adiknya Mohd Rozi Samsudin, 25, dari Kampung Alor Mak Bah, Dungun, manakala dua lagi rakan mereka, Mohd Irwan Kathir Sultan, 23, dari kampung sama serta Mohd Imran Mustafa, 24, dari Rumah Awam Kos Rendah, Pengkalan Nyireh, Kampung Raja, Besut, dipercayai masih berada di dalam negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, orang awam yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai mereka diminta tampil ke balai polis berhampiran.

Pendapatan Suku Pertama FGV Naik 56 Peratus Kepada RM2.7 Bilion

Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), syarikat perladangan sawit ketiga terbesar dunia mencatatkan kenaikan pendapatan 55.9 peratus kepada RM2.68 bilion bagi suku pertamanya yang berakhir pada 31 Mac, 2013.

Keuntungan sebelum zakat dan percukaiannya bagi suku tersebut turun 22.2 peratus kepada RM218.51 juta daripada RM280.81 juta dalam suku yang sama tahun lepas.

Keuntungan bersih susut 25.2 peratus kepada RM167.06 juta daripada RM223.21 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, kata FGV dalam satu kenyataan semalam.

Pahang Dan Johor DT Main Semula Di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu Ini


Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) yang ditangguhkan pada Selasa akibat kekecohan penyokong akan dimainkan semula di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini, pada pukul 4.15 petang.

Ketika mengumumkan sedemikian, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perkara itu diputuskan selepas meneliti beberapa perkara termasuk aspek keselamatan.


Aksi Samun Di Tiga Lokasi Dirakam CCTV




Dipercayai terlalu terdesak, seorang lelaki sanggup ‘menjelajah’ tiga daerah dalam tempoh tidak sampai dua jam semata-mata untuk melakukan samun bersenjata di kedai serbaneka 24 jam, kelmarin.

Bagaimanapun, dia hanya mampu memperoleh RM130, hasil samunnya di tiga kedai serbaneka 24 jam di Dungun, Marang dan Kuala Terengganu.

 Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, suspek berusia 20-an yang dipercayai menaiki sebuah kereta melakukan jenayah samun pertama, kira-kira jam 3.15 pagi di sebuah kedai serbaneka di Jalan Nibong Stesen, Dungun.

Pembelian Tanah Di Bukit Kiara: Raja Nong Chik Buat Laporan Polis Terhadap Nurul Izzah

Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin membuat laporan polis berhubung tindakan anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mengaitkan beliau dalam urusan pembelian 4.856 hektar tanah di Bukit Kiara.

Beliau berkata ia bagi membolehkan pihak polis menyiasat kenyataan yang dilemparkan Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, sehari sebelum hari pengundian pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Raja Nong Chik mendakwa kenyataan itu berunsur fitnah.


Tiga Pemain Gugur Dari Skuad Harimau Malaya Ke Australia

Tiga pemain yang melaporkan diri pada sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya terpaksa ketepikan daripada aksi perlawanan persahabatan di Canberra dan Sydney, Australia kerana masalah kecederaan. 

Tiga pemain berkenaan ialah kapten Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi dan penyerang Kedah, Khyril Muhymeen Zambri (kedua-duanya mengalami kecederaan hamstring) selain pemain tengah Kelantan, Mohd Shakir Shaari yang mengalami kecederaan pergelangan kaki.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal berkata beliau akan memilih senarai 12 pemain yang menunggu bagi menggantikan tiga pemain berkenaan seperti Mohd Fauzi Rozlan dan Mohd Saiful Nizam Miswan (kedua-duanya dari Pahang) dan Mohammad Zubir Azmi (Terengganu) (gambar kanan).

Rafidah - 'Itu Pandangan Peribadi Azran'

Akhirnya Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz buka mulut berhubung isu tindakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat penerbangan tambang murah itu, Azran Osman-Rani menuduh sebuah akhbar meniup sentimen perkauman.

Rafidah yang juga bekas Ketua Wanita Umno berkata, apa yang dinyatakan oleh Azran hanya pandangan peribadinya semata-mata, tiada kaitan dengan syarikat.

"Tentu sekali kita perlu bezakan antara pendapat dan kenyataan syarikat dengan kenyataan peribadi dalam media sosial," katanya kepada Sinar Harian.

Bot Karam - 11 Mangsa Ditemui Selamat


Sebelas lagi penumpang bot ekspres yang karam di Sungai Rajang dekat Belaga di pedalaman Sarawak semalam berjaya diselamatkan, menjadikan jumlah penumpang yang terselamat dalam tragedi itu 192 orang, kata Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau.

Beliau berkata kumpulan terbaru mangsa itu diselamatkan lewat malam tadi oleh sebuah tongkang yang lalu di kawasan itu dan kemudiannya dibawa ke pusat perlindungan sementara di sebuah rumah panjang berhampiran lokasi kejadian.

Wednesday, May 29, 2013

LPT2 - Jangan Biarkan Rakyat, Pembangkang Terus Salahkan MB, Kerajaan BN Negeri...


"Rakyat sudah pasti memegang kata-kata Menteri Kerja Raya kelmarin yang memberi jaminan bahawa beberapa masalah pembinaan lebuh raya itu telah diatasi pihak pelaksana, selain kawasan yang bermasalah tidak banyak. Malah kalau terkebelakang pun hanya 0.3 peratus hingga 3 peratus sahaja kelewatan masa dengan laluan Bukit Besi ke Paka dijangka siap akhir tahun ini.”

Masalah Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2) yang tidak siap-siap menjadi persoalan kepada sesetengah rakyat selain membebankan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri dengan pertanyaan dan komen sinis pembangkang.

Isu ini turut menjadi modal kempen PAS pada Pilihan Raya Umum ke-13  khususnya calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Buruk Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (kini Ahli Dewan Undangan Negeri) yang meletakkan kegagalan kepada Barisan Nasional (BN) kerana gagal menyempurnakan projek berkenaan.

Lantas Pengerusi BN negeri Datuk Seri Ahmad Said segera bingkas menyifatkan kenyataan Dr Syed Azman itu sebagai tidak berasas.

"Dia nak cabar saya minta keluarkan nama kontraktor yang tidak meneruskan projek itu kenapa?... dia tahu ke tak, projek LPT II merupakan projek Persekutuan... bukan di bawah kuasa kerajaan negeri, dia nak cabar tetapi dia pun tak tahu apa-apa. Ini berkaitan dengan tender kerajaan pusat, apa kena-mengena dengan saya.

"Projek itu ada dua pakej iaitu menerusi rundingan terus dan tender, jadi apabila ada kenaikan harga, mereka (kontraktor) tidak mampu buat, dan ada sesetengahnya mereka serah balik, bila serah balik, kira ditender semula. Sekarang ini projek yang dia dakwa itu sedang berjalan, cuma ada kelewatan," katanya selepas melawat Kampung Cina di Kuala Terengganu, 30 April,lalu.

Bagi Ahmad Said kenyataan Dr Syed Azman itu menunjukkan PAS ketandusan idea dengan menggunakan cara lama dengan membangkitkan isu lapuk bagi meraih undi rakyat di Terengganu.


Kelmarin, apa yang disebut Ahmad Said itu disahkan oleh Menteri Kerja Raya yang baru, Datuk Fadillah Yusof apabila mengatakan projek pembinaan LPT2 itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Memanglah rakyat di Pantai Timut meletakkan harapan tinggi kepada projek yang sepatutnya siap pada akhir 2010 itu.

Bagaimanapun, LPT mengalami masalah apabila beberapa kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja mengikut jadual yang ditetapkan.

Punca kegagalan diletakkan kepada masalah kenaikan harga barangan pembinaan di PASaran, bukannya keupayaan mereka.

Menghairankan, bagaimana dengan kontraktor yang dapat menyiapkan pakej yang diserahkan kepada mereka. Apakah mereka tidak menghadapi kenaikan harga barangan pembinaan di pasaaran?

Bukan tujuan untuk menyalahkan mana-mana kontraktor tetapi kesan yang diterima Kerajaan Negeri dan orang politik di Terengganu begitu memalukan dan sering pula dimalukan.

Persoalan mengenai masalah LPT2 ini tidak lekang daripada menjadi tumpuan pembangkang pada persidangan Dewan Undangan Negeri atau DUN Terengganu sejak 2010, termasuk soalan yang dibangkitkan beberapa kali oleh Dr Syed Aman dan ADUN Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut.

Malah, dijangkakan pada persidangan DUN pertama selepas PRU13 yang akan diadakan bulan depan, isu ini akan ditimbulkan lagi.

Sudah pasti sekali lagi pemimpin BN akan berdepan soalan dan pertanyaan daripada pembangkang mengenai isu ini.

Mereka dipersalahkan dengan kata-kata kononnya kontrak tidak ditawarkan kepada syarikat yang mampu menyiapkan kerja, ada penyelewengan, cuai dan sebagainya.

Ada kalangan rakyat yang tidak mahu lagi memperkatakan mengenai kebaikan Projek LPT 2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu kerana kecewa ia lambat disiapkan dengan alasan yang sesetengahnya boleh dipersoalkan.

Tiga Menteri Kerja Raya sudah bertukar sejak projek ini dimulakan yang dianggarkan dengan kos awal projek RM3.7 bilion dilaporkan turut memerlukan tambahan kos kerana masalah-masalah seperti disebutkan sebelum ini.

Rakyat Terengganu berharap sangat agar LPT2 dapat memendekkan perjalanan mereka yang merupakan kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada pada Mac 2006.


Apapun, kelmarin Fadillah memberi jaminan semua 16 pakej fasa dua Lebuhraya Pantai Timur itu dijangka dapat disiap sepenuhnya selewat-lewatnya akhir tahun depan.

Kata Menteri berkenaan, sehingga kini, sembilan daripada 16 pakej LPT 2 telah siap.

Menurut beliau, Kementerian Kerja Raya tahu rakyat Pantai Timur meletakkan harapan lebuh raya ini siap dengan kadar segera dan berharap dapat menyelesaikan permasalahan bahagian kontraktor yang lambat menyiapkan kerja.

Kementerian itu juga mencari jalan bagaimana dapat membantu memastikan kerja disiapkan pada tarikh yang disasarkan. Semalam Menteri berkenaan melawat Plaza Tol Kuala Terengganu yang belum dibuka secara rasmi kepada awam serta meninjau kerja di sepanjang lebuh raya sehingga ke Plaza Tol Bukit Besi di Dungun.

Ini lawatan kerja pertama Anggota Parlimen Petra Jaya Sarawak itu ke Terengganu setelah dilantik Menteri Kerja Raya selePAS pilihan raya umum lePAS. Turut serta dalam lawatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Ir Rosli Othman.


Ahmad Said sebelum ini beberapa kali melawat projek berkenaan dan menyatakan perasaan tidak puas hatinya kerana kelambatan itu.

Malah, pada 6 November 2012 lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, berkata berdasarkan taklimat kemajuan LPT Fasa 2 oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada akhir Oktober 2012, kelambatan kerana kegagalan kontraktor menyiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Gara-gara itu, dua pakej perlu ditender semula. Dua pakej yang ditender semula membabitkan pakej empat iaitu laluan sepanjang 7.3 kilometer menghubungkan Stesen Penyelidikan Mardi ke Ladang Cherul, Kemaman serta pakej tujuh sepanjang 13.7 kilometer dari Bukit Mempusi ke Felda Kertih 6, Kemaman.

Kerajaan Negeri berharap sebahagian pakej dan jajaran dibuka kepada orang ramai, sekali gus dapat mengurangkan kesesakan trafik di laluan pantai khususnya pada musim perayaan.

Menurutnya dua pakej sepatutnya diserahkan pada November dan Disember tahun lalu, manakala tiga pakej lagi dijangka siap tahun ini.

Kerajaan Negeri sudah meminta LLM dan Jabatan Kerja Raya supaya mana-mana pakej (jajaran) yang berjaya disiapkan dan bersambung itu dibuka kepada orang ramai tanpa perlu menunggu siap sepenuhnya, sebagaimana jalan Kampung Gemuroh-Bukit Besi yang mula dibuka untuk kemudahan umum sejak Ogos tahun 2011.

Rakyat sudah pasti memegang kata-kata Menteri Kerja Raya kelmarin yang memberi jaminan bahawa beberapa masalah pembinaan lebuh raya itu telah diatasi pihak pelaksana, selain kawasan yang bermasalah tidak banyak.

Ini kerana Menteri berkenaan memberikan suatu bentuk jaminan bahawa “kalau terkebelakang pun hanya 0.3 peratus hingga 3 peratus sahaja kelewatan masa dengan laluan Bukit Besi ke Paka dijangka siap akhir tahun ini.”

Selain itu jaminan lain ialah JKR sudah meminta kerja-kerja menyiapkan lebuh raya di kawasan tumpuan dipercepatkan.

Harapan kita akhir tahun depan LPT2 menjadi kenyataan dan dapat digunakan!

Nota - Sebahagian besar bahan sudah disiarkan melalui Bicara Terengganukita, Terengganu FM, Selasa 28 Mei 2013 jam 1.30 petang.

PAS Kelantan Tolak Jatuh Kerajaan Dengan Cara Keganasan


Pas Kelantan senada dengan beberapa pemimpin parti itu menolak usaha pihak tertentu yang 'cuba' menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dengan cara keganasan dan demonstrasi jalanan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata hari ini usaha untuk menjatuhkan kerajaan secara "Arab Spring" itu sebenarnya tidak membawa sebarang kebaikan sebaliknya membawa banyak keburukan kepada negara.

"Kita di Kelantan sendiri pun tidak pernah membincangkan sama ada perlu untuk kita berhimpun seperti yang diadakan di negeri lain dan bagi Pas Kelantan adalah lebih baik untuk apa sekali pun ia dilakukan mengikut kaedah demokrasi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Bharu.

Nik Mohd Amar, yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan itu, berkata jika perhimpunan itu dilakukan secara aman untuk mengkritik kerajaan ia tidaklah menjadi kesalahan bagi pengikut parti itu berkumpul menzahirkan bantahan itu.

"Ada dua perkara yang berbeza sama ada kita berkumpul untuk mengkritik kerajaan dan ketidaktelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu tidak mengapa tetapi kita sudah sepakat termasuk dalam DAP yang tidak setuju untuk kita jatuhkan kerajaan dengan cara kegananasan," katanya.

Baru-baru ini Pas Pusat juga berpendirian tegas tidak akan menyokong sebarang usaha oleh mana-mana pihak termasuklah oleh kumpulan pro pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan secara kekerasan. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata Pas berpendirian begitu kerana di negara ini masih terdapat prosedur lain terutamanya melalui mahkamah atau petisyen untuk mencabar keputusan PRU13 itu. 

Sementara itu Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz turut menolak usaha seumpama itu dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai gopoh.

Siasat Masjid Runtuh Di Terengganu - JKR Beri Komitmen Penuh

Fadillah (tengah) dan pegawai JKR melihat pelan plaza tol di persimpangan bertingkat Kuala Terengganu, kelmarin.
Jabatan Kerja Raya (JKR) kelmarin menyatakan komitmen bekerjasama penuh dengan kerajaan negeri dalam mencari punca kejadian bumbung anjung Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu yang runtuh 20 Mei lalu.

Malah, JKR akan memenuhi tuntutan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang  meminta JKR meneliti semula semua masjid di negeri ini yang mirip Masjid Kampung Binjai Kertas.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, berkata siasatan JKR  berhubung kejadian  akan membabitkan beberapa masjid lain yang mempunyai reka bentuk sama di negeri ini.



Separuh Akhir Piala FA 2013 - Sang Penyu Rebah Selepas Mendahului 4-0

Pemain Terengganu, Effa Owona (kanan) kecewa apabila percubaannya berjaya disekat oleh penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi (kiri) dalam perlawanan separuh akhir kedua piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu semalam.
Kelantan meneruskan misi mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Terengganu secara agregat 6-5 dalam aksi separuh akhir kedua di Kuala Terengganu, semalam.

Selepas ketinggalan 0-4, Kelantan bangkit mengikat kedudukan agregat 5-5 apabila pemain import Obinna Nwaneri menanduk bola ke gawang pada masa kecederaan sekali gus menghidupkan saingan penyandang juara itu dan memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Tuan rumah turut menerima padah apabila dua pemainnya, Effa Owana dan Abdul Manaf Mamat dilayangkan kad merah sekali gus memberi kelebihan buat pelawat menggandakan asakan.

Khairul Fahmi Che Mat cuba menghalang asakan tonggak Terengganu, Abdul Manaf Mamat pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu petang semalam.

Separuh Akhir Kedua Pahang-JDT Terpaksa Ditunda Ke Hari Lain

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bercakap dengan anggota keselamatan ketika turun ke padang bagi mententeramkan penyokong Pahang yang memenuhi trek bersebelahan padang pada Perlawanan Separuh Akhir Kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur di Kuantan, semalam.
Perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Makmur akhirnya terpaksa ditangguhkan ekoran kehadiran penyokong yang terlalu ramai hingga melimpah masuk ke dalam kawasan perlawanan.

Perlawanan yang sepatutnya bermula pada pukul 8.45 malam tertangguh lebih sejam apabila penyokong menceroboh masuk ke kawasan perlawanan yang terletak beberapa meter daripada padang, sekaligus menimbulkan kebimbangan pihak penganjur terhadap tahap keselamatan.

Penyokong Pahang terpaksa duduk di trek stadium akibat kehadiran penyokong yang terlalu ramai. Perlawanan yang tertangguh hampir dua jam akhirnya ditunda ke hari lain.

TDM Berhad Perbesar Operasi Hospital Tiga Kali Ganda Menjelang 2018

Kumpulan TDM menetapkan matlamat untuk memperbesarkan operasi hospitalnya tiga kali ganda menjelang 2018.

Pengerusinya, Datuk Haji Roslan Awang Chik berkata, ia termasuk menambah bilangan katil dan hospital, memperkenalkan perkhidmatan baru serta memperluaskan jenis perkhidmatan yang sedia ada bagi memenuhi permintaan yang semakin menigkat.

"Bagi tujuan tersebut, Pusat Perubatan Kuantan (KMC) yang baharu akan mula beroperasi awal tahun hadapan.

Polis Buru 4 Lelaki Kes Tetak, Ikat Dan Tembak


Polis Terengganu kini melancarkan gerakan mengesan empat lelaki termasuk pasangan adik-beradik yang dipercayai dapat membantu dalam kes menetak, mengikat dan menembak seorang pekerja kontrak Petronas di Dungun pada 16 Mei lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata pihaknya sudah mengenal pasti keempat-empat lelaki yang berasal dari Dungun dan Besut.

Bot Karam - Operasi Mencari & Menyelamat Disambung Awal Pagi Ini


Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot ekspres karam di Sungai Rajang dekat Belaga akan disambung awal pagi ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata pada 9.30 malam semalam, polis mengesahkan 181 terselamat manakala 23 penumpang lagi dipercayai masih hilang dalam kemalangan itu selepas bot ekspres yang sarat muatan itu terhempas ke batu dan tenggelam di Jeram Tukok/Jeram Bungan, kira-kira empat jam perjalanan menghilir sungai dari Sibu.

KWSP Kekal Polisi Benar Keluar Simpanan Persaraan Usia 55 Tahun


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengekalkan polisi membenarkan ahlinya mengeluarkan keseluruhan simpanan persaraan mereka pada usia 55 tahun walaupun umur persaraan penjawat awam dinaikkan kepada 60 tahun.

Bagaimanapun, KWSP menggalakkan pencarum mengamalkan pengeluaran caruman secara fleksibel berbanding sekali gus, yang boleh mengundang pembaziran.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata langkah pengeluaran secara fleksibel itu diperkenal bagi membantu anggota KWSP mengurus perbelanjaan mereka selepas bersara.