Saturday, October 26, 2013

Kesan Bajet 2014 - Kenaikan Harga Rumah Dijangka Terkawal


Bagi  membendung kenaikan harga rumah yang semakin melambung sejak akhir-akhir ini, kerajaan mengumumkan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dinaikkan kepada 30 peratus bagi hartanah yang ingin dijual semula dalam tempoh pegangan sehingga tiga tahun.

Sebelum ini, kadar RPGT adalah 15 peratus bagi hartanah yang ingin dijual dalam tempoh pegangan sehingga dua tahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan kerajaan dan sektor swasta akan membina 223 ribu unit rumah baru tahun depan bagi menaikkan bekalan rumah di pasaran.



Persatuan Pemborong Binaan Malaysia percaya langkah kerajaan menaikkan RPGT mampu mengekang kenaikan harga hartanah untuk tempoh waktu tertentu, berikutan kenaikan mendadak sektor itu sejak 2010

Dalam Bajet 2014, hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga tiga tahun, kadar RPGT dinaikkan kepada 30 peratus, manakala pelupusan dalam tempoh empat dan lima tahun, kadarnya dinaikkan kepada 20 peratus dan 15 peratus.

Abdul Rahman Dahlan
Secara mudahnya, RPGT adalah cukai yang dibayar apabila individu atau syarikat menjual hartanah yang dimiliki mereka.

Dengan kadar RPGT baru ini, mereka perlu membayar 30 peratus daripada nilai keuntungan kepada kerajaan dalam bentuk cukai jika rumah itu dijual dalam tempoh tiga tahun selepas ia dibeli, kecuali beberapa pengecualian yang telah ditetapkan.

Manakala jika rumah itu dijual dalam tempoh empat dan lima tahun, kadar cukai yang dikenakan adalah 20 peratus dan 15 peratus masing-masing.

Bagi rumah yang dijual selepas enam tahun, tiada cukai dikenakan. Langkah ini dijangka dapat membendung isu seperti individu atau syarikat yang membeli rumah hanya untuk menjualnya pada harga lebih tinggi dalam masa terdekat sehingga menaikkan harga rumah di pasaran dan dalam masa sama tidak menjejaskan pembeli yang benar-benar ingin membeli rumah sebagai kediaman mereka.

Dalam perkembangan yang sama, OCBC Bank turut menjangkakan langkah menaikkan RPGT berkenaan termasuk harga hartanah minimum RM1 juta untuk warga asing boleh meredakan sentimen kenaikan harga dalam sektor perumahan

Pakar ekonomi OCBC Bank Selena Ling berkata, langkah diumumkan kerajaan bagi sektor hartanah dapat membantu mengurangkan ketegangan dalam sektor itu.

"Kenaikan RPGT, nilai minimum hartanah lebih tinggi yang boleh dibeli oleh orang asing, larangan kepada pemaju untuk melaksanakan projek yang ada unsur Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) boleh menyejukkan sektor perumahan.

Langkah kerajaan mencegah pemaju daripada melaksanakan Developer Interest Bearing Scheme  dengan menghalang bank menyalurkan pembiayaan juga dilihat selaras dengan standard di rantau ini untuk mengatasi inflasi pemilikan aset, katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pemaju hartanah Mah Sing pula berpendapat, kenaikan RPGT disasarkan untuk golongan spekulator hartanah dan tidak memberi kesan kepada pembeli hartanah untuk dihuni atau disewa.

"Untuk jangka panjang, ini boleh mengekang kenaikan harga hartanah," katanya dalam satu kenyataan.


Mah Sing berkata, syarikat berkenaan turut berhasrat melaksanakan Skim Pemilikan Rumah Mampu Milik Swasta (MyHome) ke dalam projeknya yang berpotensi dan sesuai dengan skim berkenaan.

Dalam Bajet 2014 yang dibentangkan semalam, kerajaan akan menawarkan subsidi sebanyak RM30,000 untuk sebuah rumah di bawah skim MyHome dengan penetapan harga maksimum rumah kos rendah RM45,000 sebuah dan RM170,000 sebuah untuk rumah kos sederhana.

Pada 15 Oktober lalu, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pihaknya sudah mengemukakan beberapa cadangan yang signifikan kepada kerajaan bagi mengekang kenaikan harga rumah di negeri ini yang diputuskan dalam pembentangan Bajet 2014.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, antara cadangan tersebut termasuklah penetapan had maksimum harga rumah bagi pembeli luar negara yang disuarakan pemaju perumahan baru-baru ini.

"Kita telah memberi beberapa cadangan kepada Menteri Kewangan dalam bajet yang akan dibentangkan 25 Oktober ini iaitu cadangan kita ada yang berbentuk fiskal dan berkaitan percukaian serta insentif.

Menurut Abdul Rahman, semua cadangan yang diberikan amat praktikal dan dibincangkan dalam bengkel bersama pelbagai pihak termasuk pemain industri, pakar dan agensi-agensi terlibat.

Katanya, cadangan tersebut dilihat amat signifikan bagi mengekang kenaikan harga rumah yang membebankan masyarakat, khususnya golongan bumiputera.

"Saya kira apa pun tindakan diambil, sesuatu dasar itu sepatutnya tidak begitu menyeluruh tetapi berdasarkan lokasi, contohnya mungkin di kawasan tertentu penglibatan pembeli luar negara itu amat penting manakala di kawasan tidak ada masalah dari segi tekanan pembelian ini, saya kira dasar itu tidak harus diaplikasikan," ujarnya.


Ibu Tunggal 23 Tahun Di Paka Jadi Perempuan Simpanan Tauke Dadah


Bukan sahaja disisihkan masyarakat kerana terlibat najis dadah, malah lebih malang lagi apabila terpaksa menjadi perempuan simpanan tauke dadah bagi membolehkan dia mendapatkan wang untuk meneruskan kehidupan.

Pengalaman hitam itu dikongsi janda muda tiga anak, Ina (bukan nama sebenar), 23, yang ditahan polis di rumahnya dekat Paka, pagi kelmarin, kerana disyaki memiliki dadah. Ina berkata, bagi membesarkan tiga anak berusia antara 3 hingga 8 tahun, dia terpaksa bekerja sebagai pelayan kedai makan dengan pendapatan kira-kira RM30 sehari.

Katanya yang sudah dua kali gagal dalam rumah tangga, dengan pendapatan tidak seberapa itu, dia terpaksa membelanjakan sebahagiannya untuk keperluan anak-anak, manakala selebihnya disimpan untuk membeli bekalan dadah.

RM41.1 Bilion Tambah Baik Infrastruktur, UTC Untuk Terengganu


Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM41.1 bilion bagi memperkukuh, menambah baik infrastruktur asas serta meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia merangkumi kerja membaik pulih dan menaik taraf 437 jaringan jalan luar bandar di seluruh negara dan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo, masing-masing berjumlah RM980 juta dan RM500 juta.

Beliau berkata peruntukan itu turut merangkumi pelaksanaan program bekalan air bersih dan terawat kepada 8,000 unit rumah di luar bandar, membekal tangki air di Sarawak serta program bekalan tenaga elektrik 24 jam kepada lebih 16,000 rumah di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang kini hanya beroperasi di Semenanjung dan Sarawak, akan turut dibuka di Sabah akhir tahun ini selain menambah empat lagi UTC di Johor, Terengganu dan Perlis. Sebelum ini, UTC yang merupakan pusat sehenti bagi pelbagai perkhidmatan, beroperasi di Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak, Sarawak dan Kedah.

Bonus Setengah Bulan Gaji, BR1M Dinaikkan Kepada RM300 dan RM650


Kira-kira 1.4 juta penjawat awam akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bagi meringankan lagi beban golongan pesara, kerajaan juga akan memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250.

"Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal Januari 2014," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat semalam.

Sementara itu, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650, manakala bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M 3.0 akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

Final Piala Malaysia - Kelantan Tunggu Pahang Atau Sarawak


Kelantan memang gah apabila bangkit pada saat akhir untuk mengikat Tentera dengan keputusan seri 2-2 pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Kebangkitan dramatik pada 10 minit terakhir permainan memastikan juara bertahan, Kelantan melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali keempat dalam tempoh lima tahun selepas menyingkirkan finalis musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kiraan agregat 4-3 di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Kelantan kini menunggu keputusan perlawanan antara Pahang dan Sarawak di Kuching malam. Pahang ke Kuching dengan agregat 3-1.

Ketika ramai menyangkakan Kelantan akan melangkah ke perlawanan akhir dengan mudah, percaturan pengendali ATM, B. Sathianathan begitu menjadi pada babak pertama apabila Marlon Alex James meledak dua jaringan pada minit ke-18 dan 35 bagi meletakkan The Gladiators berada di hadapan seketika menerusi kiraan agregat 3-2.


Kit Rawatan CAPD Percuma Kepada Pesakit Buah Pinggang, Perkhidmatan Kardiotorasik Di Hospital Terengganu

Kerajaan akan menyediakan kit rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) secara percuma kepada pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir untuk membuat rawatan sendiri di rumah. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan menyedari kesukaran pesakit buah pinggang yang terpaksa berulang-alik ke pusat hemodialisis bagi mendapatkan rawatan dialisis tiga kali seminggu dan juga terpaksa membelanjakan sehingga Rm400 setiap kali rawatan.

"Bagi membantu memudahkan pesakit menjalani rawatan, kerajaan akan membekalkan secara percuma, kit rawatan CAPD yang bernilai RM19,000 seunit," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat semalam.

NKRA Pengurangan Jenayah - PBT Terengganu Terima Peruntukan CCTV

Kerajaan menyediakan peruntukan RM450 juta di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pengurangan Jenayah, demikian menurut Laporan Ekonomi 2013/2014.

Laporan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan itu menyatakan sejumlah RM24.5 juta diperuntukkan bagi pembelian 1,000 unit motosikal 250cc untuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain peruntukan tambahan RM10 juta diberi bagi tujuan pembelian 400 unit motosikal lagi. 

Motosikal yang dilengkapi aksesori seperti topi keledar, sarung tangan, lampu suluh dan baju hujan telah diagihkan kepada lapan negeri iaitu Selangor (268), Johor (219), Kuala Lumpur (145), Pulau Pinang (133), Perak (85), Kedah (68), Sabah (68) dan Sarawak (14).

Kes Pegawai Bank Mati Ditembak: Penugasan Pengawal Ditentukan Syarikat Keselamatan

Suspek yang sedang diburu polis...
Penugasan pengawal keselamatan di sesebuah bank ditentukan oleh syarikat yang menyediakan perkhidmatan itu, bukan oleh bank, kata Pengurus Besar Kanan Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan Ambank Syed Anuar Syed Ali.

Menurutnya kebanyakan bank di negara ini menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan, sekali gus menyebabkan pengawal keselamatan di bank masing-masing sering bertukar.

"Ini semua di bawah syarikat itu. Buat masa ini kami tidak menerima apa-apa maklumat mengenai pengawal keselamatan itu. Malah kami juga menunggu polis untuk maklumat lanjut," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian Rabu lepas, seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai bank itu ketika merompak cawangan bank berkenaan dalam kejadian di Jalan USJ 2, Subang Jaya, Selangor.

Pembayar Cukai Nikmati Pendapatan Boleh Dibelanjakan Yang Lebih Tinggi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan kadar cukai pendapatan individu dikurangkan sebanyak satu hingga tiga mata peratusan bagi semua pembayar cukai untuk menambah pendapatan boleh guna.

"Dengan pelaksanaan langkah ini, seramai 300,000 orang yang kini membayar cukai pendapatan tidak lagi perlu membayar cukai," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan, semasa membentangkan Bajet 2014 di Parlimen semalam.

Umumnya, golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4 ribu sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai.

"Pembayar cukai sedia ada yang lain juga akan menikmati penjimatan bayaran cukai," tegas beliau.

Bekas Pemain Skuad T-Team Didakwa Beri Keterangan Palsu


Seorang bekas pemain skuad Piala Presiden T-Team kelmarin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu atas tuduhan memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi dalam perbicaraan berhubung kes mengatur perlawanan bola sepak pada hujung tahun lalu.

Mohd. Azuan Hussein, 21, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di Mahkamah Sesyen 1 di Kuala Terengganu antara pukul 10 pagi dan 1 petang, 3 Disember tahun lalu. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberi keterangan palsu semasa perbicaraan kes terhadap ahli perniagaan, R.K. Rajendran dan bekas jurulatih pasukan Piala Presiden T-Team, Sufian Ngah di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen tersebut.

ATM Terima RM13.2 Bilion Untuk Mantapkan Kawalan Sempadan Negara


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima peruntukan RM13.2 bilion dalam Bajet 2014 untuk meningkatkan kawalan keselamatan sempadan negara.

Perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peruntukan itu menunjukkan keutamaan kerajaan dalam membanteras ancaman anasir luar yang mengganggu-gugat kesejahteraan negara.

Dalam memantapkan operasi dan peralatan pertahanan di perairan dan sempadan negara, kerajaan akan memperuntukkan RM2.4 bilion untuk menambah enam kapal peronda pesisir pantai (OPV), empat pesawat kargo serta pembelian peralatan sokongan dan kereta perisai.

"Bagi memantapkan operasi Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) kerajaan memperuntukkan RM75 juta bagi tahun 2014," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat semalam.

Amuk Di Stesen LRT: “Aku Hanya Menjalankan Tugas...”

Keadaan suspek yang cedera apabila bergelut dengan orang ramai yang mahu menangkapnya.
Pengedar rokok yang mengamuk dan menikam orang ramai di dua buah stesen LRT di Gombak dan Taman Melati sehingga membawa kepada dua kematian telah mengeluarkan kata-kata; “Aku hanya menjalankan tugas...” sebelum menikam salah seorang mangsanya iaitu pembantu kedai runcit di stesen berkenaan.

Peristiwa ini diceritakan sendiri oleh mangsa tikamannya,

Sulianti Johari, 31, yang terselamat daripada insiden tersebut. Katanya, selepas menusuk abdomennya dengan sebilah pisau rambo, suspek dengan tenang dan bersahaja kemudian berjalan menuju ke van yang dipandunya semula sambil tersenyum dan melambai tangan lalu memandu pergi dari Stesen LRT Gombak - tempat pertama dia mengamuk.

Zulkifli Letak Jawatan Dalam DAP, GLC Negeri


Bekas naib presiden DAP Zulkifli Mohd Noor hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli jawatankuasa DAP Pulau Pinang dan Pengarah Global Tourisme, anak syarikat Penang Development Corporation (PDC).

Beliau juga meletakkan jawatan sebagai pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Parlimen, Bayan Baru dan surat rasmi mengenainya telah dihantar kepada pihak yang berkenaan, berkuatkuasa kelmarin.

Bagaimanapun, dalam kenyataan medianya semalam, Zulkifli berkata beliau masih kekal sebagai ahli parti itu yang disertainya sejak 26 tahun lalu.


PRK Sungai Limau - MB Lancar Jenteri PRK Peti Undi Gelam Tiga Kedah



Menteri Besar , Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan Umno serta Barisan Nasional (BN) Kedah dan Terengganu mempunyai pengalaman politik yang hampir sama dalam menghadapi pembangkang, khususnya Pas.

‘Kita sama- sama faham bahawa Pas memperalatkan Islam dan hukum hakam untuk kepentingan parti politik mereka terutama dalam menghalal dan mengharamkan sesuatu perkara berkaitan agama mengikut selera dan kepentingan politik,” katanya sewaktu melancarkan jentera pilihan raya PDM Gelam 3, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau Kedah, kelmarin.

PDM Gelam Tiga adalah di bawah tugasan negeri Umno Terengganu bersama-sama dengan Umno Bahagian Jerai Kedah. Satu lagi di bawah tugasan Umno Terengganu ialah PDM Bukit Choras.

Misalnya dulu Pas pernah mengkafirkan Umno kerana berikat (bermuafakat) dengan MCA dan MIC, tetapi hari ini tanpa segan silu mereka bersengkongkol dengan DAP yang menentang Islam dan orang-orang Melayu, kata Ahmad Said.

Dua Anak Syarikat Kerajaan Terengganu Jalin Kerjasama Tingkat Kesedaran Mengenai Kesihatan



Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, dua anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu, TDM Berhad dan Manis FM bekerjasama mengadakan satu program bual bicara radio selama sejam seminggu bermula Khamis depan

Pengurus Besar Kumpulan Kesihatan, Sumber Manusia dan Pemasaran TDM Bhd, Abdul Khalif Mohamad Salleh berkata program yang dinamakan "Kesihatan dan Anda" itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.

"Program ini akan dikendalikan oleh seorang penyampai radio dan seorang pakar perubatan dari Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) dan mereka sedia memberi khidmat nasihat mengenai penjagaan kesihatan kepada orang ramai.

Terengganu Jadikan Pendidikan Sebagai Pelaburan


Kerajaan negeri berhasrat menjadikan bidang pendidikan sebagai pelaburan penting bagi membangunkan potensi setiap masyarakat agar dapat merelisasikan wawasan untuk menjadikan Malaysia negara maju.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib berkata pihaknya menyediakan peruntukan hampir RM300 setahun, semata-mata mahu melihat masyarakat dari seawal usia hingga dewasa, celik ilmu.

Katanya,melalui peruntukan besar itu akan disalurkan bagi meningkatkan pecapaian murid-murid dalam peperiksaan awam, pengagihan e-Book, pengaplikasian kelas maya dan peperiksaan, penyediaan peruntukan khas untuk sekolah elit dan premier.


 



Tukang Cuci OKU Dituduh Rogol Dalam Tandas

Seorang tukang cuci yang juga orang kelainan upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, kelmarin atas empat pertuduhan merogol, seks luar tabii serta merompak seorang wanita di dalam tandas, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Azhan Mohamad Johan, 27, yang pekak dan bisu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa isyarat di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamed Khalid. 

Lelaki yang telah berkahwin itu didakwa bagi satu pertuduhan merogol dan dua pertuduhan melakukan seks luar tabii ke atas mangsa berusia 38 tahun itu di dalam tandas tempat kerja wanita berkenaan.

Kerajaan Dapat Jimat RM551 Juta Setahun

Harga gula dinaikkan daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 mulai hari ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Beliau berkata, langkah pengurangan subsidi gula seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pembentangan Bajet 2014 semalam dapat menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM64.02 juta tahun ini dan RM551.25 juta tahun depan.

"Lebihan penjimatan ini nanti akan digunakan untuk membiayai pembangunan infrastruktur dalam negara pada masa depan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Keputusan PRK Dun Sungai Limau Diketahui Selewat-lewatnya Pukul 10 Malam

Keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dijangka diketahui selewat-lewatnya pukul 10 malam, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.

"Jika kedua-dua parti yang bertanding mematuhi arahan, datang awal ke pusat penjumlahan undi di Dewan Al-Hakim Sekolah Menengah Agama Yan dan tidak menimbulkan kekecohan, tiada masalah keputusan diumumkan awal," katanyaselepas ditemu ramah oleh Radio Nasional FM di Yan, semalam.

Abdul Ghani berkata kertas undi juga telah siap dicetak.

Tembak Pegawai Ambank: Pengawal Larikan RM450,000, Tiga Ahli Keluarga Suspek Ditahan

Polis Selangor semalam mendedahkan, pengawal keselamatan yang menembak mati seorang pegawai wanita di dalam bilik kebal sebuah bank Rabu lalu telah melarikan RM450,000.

Selain itu, polis juga telah menahan tiga individu termasuk isteri suspek beberapa jam selepas kejadian. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ketiga-tiga suspek iaitu dua saudara lelaki suspek dan isterinya itu ditahan di sebuah rumah di Kota Kemuning, dekat pada malam kejadian.

Liong Sik Bebas Tuduhan Menipu


Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini semalam daripada pertuduhan menipu Jemaah Menteri berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan pembelian tanah seluas 335.8 hektar bernilai RM1.088 bilion pada 2010.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi memutuskan demikian terhadap bekas Presiden MCA itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan.

Liong Sik, 70, yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 17 tahun, sejak Januari 1986 hingga Mei 2003 menerima keputusan hakim dengan tenang.

Friday, October 25, 2013

Polis Siasat Kes Penyokong Guna Pembesar Suara Ketika Penamaan Calon


Polis sedang menyiasat laporan mengenai penyokong sebuah parti menggunakan pembesar suara ketika penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, kelmarin.

Ketua Jabatan Pengurusan Polis Kedah, Asisten Komisioner Azizi Mat Aris berkata, siasatan berasaskan laporan anggota polis yang bertugas serta rakaman video dan gambar yang menunjukkan individu terbabit menggunakan alat tersebut.

Penggunaan pembesar suara dilarang mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan kes disiasat mengikut Sekysen 5 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 jika sabit kesalahan, katanya dalam sidang media, di Yan, semalam.

Suami Minta Henti Sebar Gambar Kematian Norazita

Suami mangsa, Irwan Kamarudin mententeramkan anak bongsunya, Muhd Hazimy ketika menunggu mayat isterinya dibedah siasat.
Suami kepada pegawai Ambank, Norazita Abu Talib, yang ditembak mati dalam kes rompak dan bunuh kelmarin, meminta semua pihak memadam dan menghentikan sebaran gambar dan video kematian isterinya demi menghormati sensitiviti keluarga.

Irwan Kamarudin, 37, berkata penyebaran gambar itu akan lebih menyedihkan keluarga kerana gambar itu memperlihatkan keadaan tidak elok mangsa.

"Saya harap semua dapat memadamkan gambar dan video insiden kematian isteri saya," katanya ketika dihubungi Bernama di sini selepas pengebumian isterinya di kampung halaman Allahyarham di Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak.

Calon SPM Maut, Motosikal Dirempuh Kenderaan Pacuan Empat Roda

Seorang pelajar tingkatan lima Kolej Vokasional Besut maut selepas motosikalnya dirempuh kenderaan pacuan empat roda dalam nahas di simpang empat di Kampung Gelam Mas, Besut, malam kelmarin.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, Muhamad Amirul Shafiq Rosdi yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bulan depan, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superitendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas berjumpa rakan di Kampung Raja.

PRK Sungai Limau: Calon BN Lepas Jawatan Demi Rakyat

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim sanggup meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah kanan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semata-mata mahu menabur bakti kepada masyarakat khususnya di kawasan berkenaan.

Anak tempatan kelahiran Kampung Titi Batu itu berkata, beliau mengambil sedikit masa untuk memikirkan tentang perkara itu kerana `sayang' mahu meletakkan jawatan namun apabila memikirkan hasrat mahu berkhidmat untuk rakyat, beliau rela berbuat demikian.

''Wartawan bertanya saya, tidak sayang tinggalkan jawatan? Lama saya berfikir, namun yang penting saya lebih sayang rakyat dan mahu berbakti kepada masyarakat di Sungai Limau,'' katanya berucap pada majlis Kami Prihatin anjuran Yayasan Felda di Simpang Tiga, Sungai Limau di Yan, semalam.

Lelaki OKU Lintas Jalan Maut Dirempuh Kenderaan

Seorang lelaki maut dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas jalan di hadapan perumahan polis Padang Hiliran, di Kuala Terengganu, semalam

Mohd Zamzuri Mohd Ariffin, 42, cedera parah di kepala dan badan dan mati selepas hampir lima jam dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Dalam kejadian pada 2.15 petang itu, Mohd Zamzuri yang mengalami sindrom down dipercayai baru keluar dari rumahnya di Kampung Dusun Melintang, kata jurucakap polis.

Thursday, October 24, 2013

Budak Penghantar Barang Mengamuk Tikam Dua Orang Hingga Mati Di Gombak

Gambar suspek yang dirakam seorang penduduk.
Pelajar kolej mati ditempat kejadian selepas ditikam tiga kali oleh suspek.
Seorang budak penghantar barang tiba-tiba mengamuk lalu menikam dua orang sehingga mati sementara dua lagi cedera dalam satu kejadian di Gombak hari ini.

Insiden yang berlaku pada pukul 11.20 pagi itu bermula apabila suspek yang berusia 26 tahun itu menghantar rokok di beberapa buah kedai di Stesen Terminal LRT Gombak.

Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata suspek menikam pemilik kedai berusia 60 tahun dan pembantunya iaitu seorang perempuan berusia 40 tahun.

"Dia kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah van jenis Daihatsu berwarna putih menghala ke Taman Melati.

"Kenderaan dinaiki suspek turut berlanggar dengan sebuah lagi van yang dipandu oleh seorang lelaki tua di hadapan stesen LRT Taman Melati," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata pemandu van tersebut keluar daripada kenderaannya untuk melihat keadaan vannya turut ditikam sebanyak tiga kali menyebabkan mangsa mati di tempat kejadian.

"Suspek kemudiannya kembali menaiki vannya dan memandu kira-kira satu kilometer daripada tempat kejadian sebelum berlanggar dengan sebuah Toyota Prius yang dipandu oleh seorang remaja.

"Dia kemudiannya menikam remaja berkenaan sekali dan ketika mangsa cuba melarikan diri, suspek menikam mangsa sebanyak dua kali lagi," katanya sambil menambah remaja berkenaan merupakan pelajar kolej turut meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata orang ramai yang menyaksikan insiden berkenaan segera menahan suspek sebelum pihak polis tiba.

Difahamkan suspek dilihat bercakap seorang diri dan gagal menahan rasa amarahnya ketika kejadian.

Pegawai Bank Maut Ditembak Pengawal Keselamatan

Suspek dirakam kamera litar tertutup selepas dipercayai menembak Norazita Abu Talib di AmBank di Jalan USJ Sentral 2, Subang Jaya, Selangor, semalam. 
Seorang pegawai bank mati di tempat kejadian setelah ditembak oleh seorang pengawal keselamatan yang berkerja di bank yang sama tempat beliau berkerja, di Subang Jaya.

Mangsa, Norazita Abu Talib, dikatakan telah ditembak di kepala semasa membuka pintu bilik kebal oleh pengawal keselamatan yang bersenjata.

Suami mangsa.
Pengawal keselamatan terbabit yang turut bersama dengannya ketika membuka peti besi di bank itu berjaya meloloskan diri dengan sejumlah wang tunai.

Kejadian berlaku pukul 6.18 petang ketika mangsa, Norazita, 37, bersama suspek serta empat lagi kakitangan sedang membuka sebuah peti besi berisi wang sebelum suspek tiba-tiba melepaskan tembakan sejurus pintunya dibuka.

Tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun itu tepat mengenai muka Norazita mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, suspek dikenali sebagai Ardi Hamza dan berasal dari Sabah itu kemudian mengambil sejumlah wang dan memasukkannya ke dalam sebuah beg berwarna hitam yang dibawanya

"Dia kemudian keluar menerusi pintu hadapan sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Abdul Rahim seterusnya memberitahu, polis kini memburu suspek yang dianggap kejam dan berbahaya itu kerana turut melarikan senjata api berkenaan.

"Kita telah mengenal pasti identiti suspek tetapi apabila diperiksa kad pengenalannya, dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Abdul Rahim memberitahu, pihaknya menyiasat sekiranya suspek berkemungkinan warga asing yang menggunakan kad pengenalan palsu.

"Sebenarnya suspek berkhidmat di Bank Muamalat yang terletak bersebelahan AmBank dan merupakan pengawal gantian di bank itu semalam.

"Kami telah mendapatkan maklumat dari syarikat keselamatan dan mereka memberitahu, suspek telah bekerja sebagai pengawal selama setahun dan telah bertugas di pelbagai bank," katanya.

Sementara itu, mangsa difahamkan telah 16 tahun bekerja di bank berkenaan dan mempunyai sepasang cahaya mata.

Suami kepada pegawai operasi bank, Norazita Abu Talib, 37, yang maut ditembak pengawal keselamatan bank berkenaan difahamkan baru beberapa minit menghubungi mangsa sebelum kejadian tembakan itu berlaku.

Difahamkan suami mangsa yang dikenali sebagai Wan itu menghubungi isterinya itu ketika hujan lebat pukul 6 petang.

Anak saudara mangsa, Mohd. Fakri Azad M. Azhar Syawal, 22, berkata, bapa saudaranya itu menghubungi telefon bimbit mangsa supaya isterinya berhati-hati memandu dalam hujan lebat.

"Ketika panggilan pertama Pakcik Wan sempat bercakap dengannya dan mengingatkannya supaya berhati-hati kerana hujan amat lebat petang tadi dan makcik saya ini pula seorang yang rabun.

"Selepas itu, Pakcik Wan menghubungi makcik saya sekali lagi namun panggilan tidak berangkat. Kemudian saya diberitahu pihak bank menghubungi pakcik saya selepas itu lalu menyuruh dia ke premis itu dengan segera.

"Mereka tidak memberitahu perkara sebenar dan hanya menyuruh pakcik saya datang dan melihat sendiri keadaan makcik saya," katanya.

Mangsa meninggalkan sepasang cahaya mata iaitu seorang perempuan berusia 10 tahun dan lelaki berusia 7 tahun.