Thursday, October 22, 2009

Membazir RM10.5j beli 26 bas?


Inilah berita mengejutkan ditimbulkan oleh The Star hasil laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan Isnin lalu.

Sehingga ini belum ada respon daripada kerajaan negeri mengenai isu ini.

Pembelian yang dilakukan pada ketika Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar ini menuntut jawapan jelas.

Difahamkan, jawapan mengenainya akan dikeluarkan dalam beberapa hari lagi.

Baca berita selanjutnya:

RM10mil buses going nowhere The Star (Wednesday October 21, 2009) THE Terengganu government wasted RM10.5mil buying 26 buses that had to be virtually grounded when it abandoned plans to use the new buses to ply urban and inter-district routes because of objections from existing bus operators.

The wastage occurred because the state government had failed to carry out a comprehensive study before implementing the project. The Auditor General’s Report released on Monday said such studies were needed to avoid failure in meeting the objective. According to the report, the state secretariat had in 2007 appointed two companies to supply the buses.

The state government had in February this year decided to distribute 18 of the buses to various agencies and departments.
The report also noted that a subsidiary of a government-linked company that was supposed to utilise the buses had no experience in the transportation business.

Based on the state secretariat’s report, the audit also found the cost of maintaining two Proton Perdana V6 was higher than the cost of procuring the vehicles. A total of RM308,731 was spent on maintenance of the two cars that were originally purchased for RM234,054.

The Auditor was unable to analyse the cost of maintenance because the Malaysia Anti-Corruption Agency had seized the files on the two vehicles. The Auditor has also uncovered unauthorised use of fuel cards by personnel in the state secretariat and the Public Works Department.

The Auditor has also called on the state government to monitor the activities of its companies to ensure they observe good corporate governance, abide by the law, make a profit and pay dividends to the state.

BN boleh menang cemerlang

Semalam Menteri Besar, Datuk Ahmad Said enggan menjawab soalan Sinar Harian mengenai permohonan maaf daripada ADUN Jabi, Ramlan Ali.

“Saya tidak mahu nanti you pergi tanya orang lain dan esok ada komen lain pula,” kata Ahmad Said.

Beliau bimbang kenyataannya diputarbelitkan oleh Sinar Harian yang menurutnya memainkan berita mengenai ‘krisis Terengganu’ untuk kepentingan jualan dan pihak tertentu.

Ahmad Said berkata, perkara yang lepas tidak perlu diungkitkan lagi.

Lagipun segala-galanya sudah bertaut kembali.

Malah di Jabi, Selasa lalu, Menteri Besar yakin Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus kekal memerintah Terengganu selepas pilihan raya umum akan datang.

Ini berdasarkan senario terbaru politik di negeri ini yang menyaksikan perpaduan lebih kukuh di kalangan pemimpin Umno yang menjadi tunggak BN.

Beliau berkata, jika keadaan ini berkekalan, tidak ada ruang bagi pihak pembangkang untuk berkuasa semula di negeri ini, apatah lagi rekod lalu jelas menunjukkan ia gagal mentadbir negeri ini selepas diberi peluang memerintah negeri ini pada 1999 hingga 2004.

“Saya boleh katakan Umno akan memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kemaman, Besut dan Setiu. Kita juga boleh menang dengan selesa di bahagian-bahagian lain dan seterusnya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi spontan berikutan ikrar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Haji Ramlan Ali, yang berikrar untuk taat setia kepada Menteri Besar dan saf kepimpinan Umno negeri selaras dengan gesaan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, supaya pemimpin dan ahli Umno bersatu bagi menguatkan parti.

Terdahulu Haji Ramlan memohon maaf secara terbuka kepada Dato’ Ahmad dan Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee, kerana tindak tanduknya sebelum ini menunjukkan sikap kurang hormat kepada pemimpin tersebut.

Dalam ucapan sempena sambutan Aidilfitri peringkat DUN Jabi, Ramlan melahirkan kekesalannya kerana membelakangi saf kepimpinan bahagian dan negeri dan berjanji ia tidak akan berulang.

Sebaliknya, Ramlan yang turut dikaitkan dengan peristiwa memboikot Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama dulu sebagai protes kepada kepimpinan Dato’ Ahmad, memberi jaminan akan membantu menguatkan Umno di semua peringkat.

Menteri Besar berkata, kesediaan Adun berkenaan memberi kerjasama penuh kepada kepimpinan kerajaan sekarang ini akan memantapkan lagi pentadbiran negeri.

Beliau menyifatkan langkah tersebut juga sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Umno, selaras dengan kehendak Datuk Seri Mohd Najib dan membantu kepimpinan negeri menguatkan kedudukan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

4,101 jemaah haji zon timur mulai malam ini

Sebanyak lima penerbangan yang membawa jemaah haji ke tanah suci Mekah akan beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini bermula malam ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, ia melibatkan seramai 4,101 jemaah haji dari zon timur merangkumi tiga buah negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Katanya, penerbangan pertama dijangka berlepas pada pukul 7.15 malam ini dan terakhir dijadualkan berlepas pada 4 November ini pada pukul 11.15 pagi.

“Pada tahun ini, seramai 1,461 jemaah haji dari Terengganu, 2,225 dari Kelantan manakala 415 jemaah dari Pahang dan kesemua mereka berlepas daripada Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

“Cuma pada tahun ini ada kelainan sedikit apabila semua jemaah dikehendaki terus ke lapangan terbang tanpa perlu berkumpul di stadium seperti tahun lalu.

Ini kerana kita yakin lapangan terbang ini mampu menampung jumlah jemaah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco semalam. ini.

Pada majlis tersebut, TH Travel dan Servis Sdn. Bhd. turut menyumbangkan lima buah kerusi roda kepada pihak Malaysian Airport Sdn. Bhd. Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk kegunaan jemaah kurang upaya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan negeri Terengganu turut menanggung kos-kos tambahan dan penggunaan peralatan penerbangan yang perlu dibawa dari Kuala Lumpur.

Tambahnya, sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi memberi keselesaan kepada jemaah haji tahun ini.

Di samping itu, beliau memaklumkan pihak Malaysian Airport Sdn. Bhd. turut mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penyakit berjangkit di kalangan jemaah haji.

Beliau turut menasihati agar jemaah haji menjaga kesihatan mereka sepanjang menjalankan ibadah haji di Mekah nanti.

Waspada berada di taman rekreasi

Orang ramai diingatkan agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti riadah di taman-taman rekreasi di negeri ini berikutan beberapa kes kecurian yang dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, dalam kejadian terbaru, seorang jurujual bersama empat rakannya kerugian kira-kira RM2,000 ketika berkelah di Air Terjun Menderu, Kampung Chabang, Kerteh di Kemaman, semalam.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, seorang gadis berusia 25 tahun meletakkan beg sandang berisi tiga telefon bimbit dan wang tunai RM50 di atas sebuah batu berdekatan tempat mereka mandi.

“Sejurus kembali untuk mengambil beg itu, mangsa dapati barang mereka telah hilang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, mereka kemudian membuat laporan di Balai Polis Kerteh, Kemaman, kira-kira pukul 4.50 petang pada hari yang sama.

“Dalam laporan itu, mangsa melihat kira-kira empat lelaki melalui kawasan tersebut tetapi tidak dapat pastikan mereka yang mengambilnya,” ujarnya.

Dalam kejadian berasingan, seorang guru lelaki kerugian wang tunai RM800 apabila beg galas miliknya yang diletakkan di dalam raga motosikal diragut, semalam.

Mohd. Fauzi berkata, kejadian berlaku pada pukul 3.30 petang ketika mangsa yang berusia 34 tahun dalam perjalanan ke rumahnya di Kampung Losong Hj. Mat Shafie di sini dengan menunggang motosikal.

“Semasa menghampiri Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Nilam, secara tiba-tiba mangsa dipintas oleh sebuah motosikal lain dari arah belakang.

“Lelaki itu terus meragut beg galas mangsa. Selain wang tunai, turut dilarikan adalah dokumen peribadi termasuk kad pengenalan dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM),” katanya.

60 peratus jenayah Terengganu di kalangan pelajar, remaja

Lebih 60 peratus kadar jenayah di Terengganu disumbangkan oleh golongan remaja yang kebanyakannya berumur 15 hingga 25 tahun.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pembabitan golongan remaja ini dalam kes mencuri, merogol dan penyalahgunaan dadah antara lain disebabkan kurang pengawasan keluarga terhadap mereka.

"Untuk mengurangkan kadar jenayah di kalangan remaja di negeri ini, polis mengambil pelbagai pendekatan antaranya seperti kempen dan penerapan nilai-nilai murni.

"Namun usaha berkenaan tidak akan berjaya jika sekiranya ibu bapa dan keluarga sendiri mengambil sikap lepas tangan dan tidak mengawasi perlakuan anak-anak mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Mohd Shukri berkata PDRM melakukan kempen cegah jenayah dalam bentuk pendidikan supaya memberi kesedaran kepada pelajar dan remaja sepanjang hayat.

Katanya pihaknya juga berbincang dengan pengetua-pengetua sekolah bagi menjalankan kegiatan pencegahan jenayah khususnya menerapkan nilai-nilai disiplin diri pelajar-pelajar.

Secara keseluruhan, kadar jenayah indeks di Terengganu dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berjaya diturunkan sebanyak 12 peratus iaitu 4,276 kes berbanding tahun lepas sebanyak 4,742 kes, katanya.

Puspanita bantu warga emas, golongan miskin


Dato' Ahmad bermesra dengan Warga Emas ketika menghadiri Sambutan Hari Raya dan Jubli Perak Puspanita di Dewan Besar Wisma Darul Iman.
Oleh : SURIATI BINTI ALI (UKOM)

Kerajaan negeri menyokong penuh setiap pogram dan aktiviti anjuran Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia Negeri (Puspanita) kerana memberi pelbagai manfaat untuk masyarakat terutama warga emas dan golongan miskin.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata masyarakat kurang berkemampuan wajar dibantu bagi mengurangkan tekanan hidup walaupun sekadar menyertai seminar atau program tertentu.

“Melalui program, masyarakat yang mengalami tekanan hidup akibat masalah tertentu mampu mengembalikan semangat selain beryakinan untuk berdepan dengan keadaan itu.

“Oleh itu, saya berharap pihak lain termasuk agensi swasta turut menyokong usaha murni Puspanita kerana bukan sahaja memberi impak positif kepada individu malah kepada kerajaan negeri,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Raya dan Jubli Perak, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, 19 Oktober lalu.

Sempena majlis itu, seramai 100 anak yatim dan 30 warga emas sekitar Kuala Terengganu dirai dengan memberi sumbangan duit raya dan goodies.

To' Puan Norliza menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim.

Hadir sama memeriahkan majlis, Isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mokhtar Nong, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Indeks jenayah turun 12 peratus

Polis Kontinjen Terengganu berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 12 peratus dan menyelesaikan 60 peratus kes sepanjang 10 bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah itu bukan saja melebihi sasaran awal penurunan sebanyak 10 peratus daripada 4,741 kes tahun lalu kepada 4,276 kes tahun ini, malah membanggakan warga kerjanya dan orang awam sekali gus menjadikan Terengganu sebagai negeri selamat.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pencapaian memberangsangkan itu diperoleh hasil kerjasama padu semua lapisan masyarakat.

Ini termasuk pembabitan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung; Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam membantu tugas polis membanteras dan membendung jenayah.

"Kita akan teruskan pendekatan polis dan masyarakat bersama mencegah jenayah menerusi pelbagai program dan kempen membabitkan pihak lain seperti bank, pelajar dan agensi kerajaan serta swasta.

"Mulai bulan depan, kita akan turun ke sekolah dan mengaktifkan semula Pegawai Perhubungan Sekolah untuk mengendalikan program seperti ceramah dan kempen di kalangan pelajar," katanya pada majlis sambutan Aidilfitri Polis Kontinjen Terengganu baru-baru ini.

Saranan sertai Program Bumi Hijau

Penduduk di taman perumahan disaran menyertai Program Bumi Hijau bagi mengurangkan perbelanjaan keluarga dan membantu mengurangkan kebergantungan kepada hasil pertanian import.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Dan Asas Tani negeri, Rozi Mamat, berkata sejak dilancarkan semula pada Jun tahun lalu, program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk Felda, jabatan kerajaan dan sekolah, sekali gus memberi pendapatan sampingan kepada peserta.

Bagaimanapun, beliau berkata, pembabitan daripada masyarakat bandar masih rendah dan hanya diusahakan segelintir penduduk berpunca daripada kurang kesedaran mengenai kepentingan mengeluarkan hasil tanaman untuk kegunaan sendiri yang terbukti lebih selamat berbanding produk yang dibeli dari luar.

Sejak program Bumi Hijau dilancarkan pada pertengahan tahun lalu, sambutan yang diterima daripada masyarakat Felda dan sekolah amat menggalakkan dan tahun ini lebih 100 sekolah termasuk menengah dan rendah seluruh negeri menyertai program berkenaan.

"Justeru kita menyeru supaya lebih ramai penduduk taman perumahan di bandar cuba berjinak-jinak menanam cili di rumah kerana ia boleh menjimatkan perbelanjaan harian dan lebihan tanaman boleh dijual.

"Faktor kesibukan kerja dan ruang yang terhad tidak boleh dijadikan alasan kerana ketika ini terdapat pelbagai kaedah tanaman yang mudah dan tidak memerlukan penjagaan rumit," katanya selepas menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Pengusaha Pasar Tani/Edible Garden di Hulu Terengganu.
Hadir sama, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian (Fama) negeri Terengganu, Hassan Jusoh.

Rozi berkata, kerajaan sentiasa memberi galakan dan inisiatif sama ada daripada aspek kewangan dan nasihat kepada rakyat sekiranya mereka berminat untuk memulakan program berkenaan.

Justeru, katanya pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM300,000 untuk disalurkan kepada mereka yang berminat dengan syarat dilaksanakan secara berkelompok di taman perumahan atau di kampung.

"Kita mempunyai peruntukan khusus untuk program ini dan bantuan akan diberi dalam bentuk input seperti benih, baja dan perkakasan. Namun keutamaan akan diberi kepada mereka yang menyertai program ini secara berkelompok termasuk sekolah bagi memastikan ia lebih efektif.
"Bagi yang berminat boleh berhubung terus dengan pegawai Jabatan Pertanian di tempat masing-masing dan saya percaya bantuan segera dapat disalurkan," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Kitchen Garden/edible Landscape Peringkat Negeri Terengganu 2009 dan bantuan peralatan kepada peniaga Pasar Tani Kuala Berang.

Terengganu lulus RM6j bina parit atasi banjir

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera sebanyak RM6 juta untuk membina parit bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda beberapa kawasan penempatan rendah setiap kali musim tengkujuh.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata pembinaan parit berkenaan bertujuan memastikan aliran air ke sungai berhampiran tidak tersekat sekali gus membantu mengelakkan lebih 500 kediaman penduduk di Tepoh terutama di Taman Pusu Tiga yang sebelum ini teruk dilanda banjir.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengeluarkan arahan kepada kontraktor yang akan memulakan kerja pembinaan parit itu dalam tempoh terdekat sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan.

"Kita sedar beberapa penempatan di sini dibina di kawasan rendah dan berada di bawah paras laut menyebabkan kawasan ini mudah menakung air.

"Jadi, kita berusaha mencari alternatif segera supaya masalah ini dapat diatasi dan air dapat dialirkan dengan baik ke Sungai Nerus terutama sepanjang musim tengkujuh nanti.

"Kita sudah arahkan kontraktor untuk bina sistem perparitan dan sebahagian akan mula dibina dalam tempoh terdekat, manakala sebahagian lagi memerlukan sedikit masa," katanya selepas majlis sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, kelmarin.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sementara itu, Ahmad berkata, rakyat tidak sewajarnya menuding jari kepada wakil rakyat sekiranya berlaku bencana alam yang diluar kawalan manusia, sebaliknya perlu berterima kasih kerana kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan setiap keperluan penduduk dipenuhi.

"Satu yang saya minta, jika berlaku bencana alam seperti banjir ini, janganlah kita salahkan wakil rakyat pula. Kita tak boleh nak buat apa-apa, tetapi sentiasa berusaha supaya setiap masalah dapat diselesaikan demi kepentingan penduduk setempat.

"Jika kerajaan sanggup lakukan apa saja yang terbaik untuk rakyat, sanggup beri macam-macam untuk kemudahan rakyat, kita harap setiap lima tahun sekali rakyat balas jasa baik kita. Tak susah..cuma undi Barisan Nasional (BN) saja," katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

TATiUC bakal teroka pasaran di Timor Leste

Kolej Universiti TATi (TATiUC), sebuah institusi pengajian tinggi milik penuh kerajaan Terengganu dengan kerjasama Skilltech Education Sdn. Bhd. bakal menerokai pasaran baru di Timor Leste.

Persetujuan itu dicapai menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua belah pihak di TATiUC di Kemaman, semalam selain susulan lawatan pegawai tinggi negara Timor Leste ke kolej itu baru-baru ini.

MoU itu merupakan langkah pertama TATiUC menerokai pasaran Timor Leste dan sebahagian daripada proses pengantarabangsaan TATiUC sebagaimana digariskan pihak Lembaga Pengarah TATiUC untuk membolehkan kolej berkenaan lebih aktif di peringkat antarabangsa.

Pada MoU itu, TATiUC diwakili Pengerusinya, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang manakala Skilltech Education (Malaysia) Sdn. Bhd. oleh Pengarahnya, Danny Loo Teck Lim.

Skilltech Education Sdn. Bhd. adalah syarikat yang telah dilantik secara rasmi oleh pihak kerajaan Timor Leste untuk melatih para pelajar dan pekerja dari negara tersebut dalam bidang kemahiran terutama sektor minyak dan gas di Malaysia.

Enggan guna jejantas - dedah pelajar risiko kemalangan

Pusingan-U maut! Itulah gambaran masalah yang mengancam keselamatan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman (SMKSS), di sini, yang berdepan risiko kemalangan jalan raya, terutama pada waktu puncak ketika kenderaan bertali arus berhampiran sekolah itu.

Walaupun jejantas ada disediakan berhampiran pintu utama sekolah untuk kemudahan pelajar melintas, ramai ibu bapa lebih gemar memberhentikan kenderaan berhampiran pintu belakang untuk menghantar dan mengambil anak pulang dari sekolah.
Sikap ibu bapa yang gemar mengambil mudah soal keselamatan anak mereka menyebabkan ramai pelajar sekolah itu berdepan ancaman dilanggar kenderaan, terutama ketika banyak kereta membuat pusingan-U untuk ke laluan menghala ke Marang.

Penduduk, Mohd Maizuhar Mohd Nor, 30, mengakui dia pernah melihat kemalangan maut membabitkan pelajar sekolah berkenaan yang dilanggar sebuah kereta ketika membuat pusingan-U ketika ibu bapa menghantar anak ke sekolah.

Dia berkata, langkah pencegahan perlu segera diambil pihak sekolah, antaranya menutup pintu pagar belakang bagi memastikan pelajar menggunakan laluan pintu utama, sekali gus memerlukan mereka menggunakan jejantas.

“Sebelum lebih banyak nyawa melayang, saya berharap sekolah menutup pintu belakang itu kerana memang membahayakan nyawa pelajar, terutamanya apabila tamat waktu persekolahan, ketika jalan raya sesak dengan kenderaan yang mahu membuat pusingan-U.

"Saya masih tidak faham kenapa mereka liat sangat hendak menggunakan jejantas disediakan. Sepatutnya pengurusan menggalakkan pelajar menggunakan jejantas untuk keselamatan diri," katanya.

Penduduk, Syukri Jusoh, 40, berkata pengurusan sekolah perlu menggalakkan pelajar menggunakan jejantas dan mensyaratkan semua pelajar perlu menggunakan pintu utama.

“Apabila pintu belakang ditutup, pelajar tiada pilihan lain selain menggunakan pintu depan sekolah dan menggunakan jejantas. Lagipun ibu bapa yang hendak mengambil anak mereka akan memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan ini menyukarkan kenderaan lain untuk membuat pusingan-U," katanya.
Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum SMKSS, Mohd Saberi Salleh, 50, turut mengakui bahaya yang mengancam keselamatan pelajar, bagaimanapun berkata, pintu belakang sekolah tidak ditutup kerana ia akan menyusahkan pelajar yang terpaksa berjalan jauh untuk keluar dari sekolah.

"Kita akui masalah ini, tetapi untuk menutup pintu belakang sekolah mungkin sesuatu yang sukar kerana pelajar terpaksa berjalan jauh. Tetapi, kita akan menggiatkan usaha menasihatkan ibu bapa supaya tidak memberhentikan kenderaan berhampiran kawasan pusingan-U.

"Kita sedar, tindakan ibu bapa meletakkan kenderaan berdekatan pusingan-U menyusahkan pengguna jalan raya lain. Kita sudah banyak kali menasihatkan ibu bapa mengenai masalah ini, tetapi tidak diendahkan. Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada mereka yang prihatin dan akan berusaha mengatasi masalah ini segera," katanya.

Padang Hangus juara pelita Raya

Kampung Padang Hangus telah diumumkan sebagai johan dalam pertandingan pelita raya DUN Tepoh yang membawa hadiah wang tunai RM700.

Tempat kedua ialah Kampung Raja Tepoh (RM500) dan ketiga dimenangi Kampung Pagar Ubi (RM300). Wakil penduduk Kampung Padang Hangus menerima replika cek daripada Menteri Besar selepas diumumkan pemenang Pertandingan Pelita Raya.


Seramai 188 peserta dari lima kampung yang menyertai pertandingan seperti Kampung Tokeng dan Kampung Baru Tepoh di mana pertandingan ini diadakan untuk mengembalikan tradisi memasang pelita setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kelmarin menyampaikan hadiah.

Beliau menyarankan aktiviti pertandingan pelita raya ini turut diadakan di kawasan lain.
Ini kerana ia memperlihatkan semangat bergotong royong dan kerjasama kalangan penduduk kampung yang terbabit di samping menjadikan suasana kampung ceria dan meriah sepanjang bulan Ramadan.

Monday, October 19, 2009

Hari Malaysia Diisytihar Sebagai Cuti Umum Bermula Tahun Depan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mengumumkan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun diisytiharkan sebagai cuti awam untuk seluruh negara mulai tahun depan.

Beliau yang mengumumkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat berkata pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting.

"Dengan demikian rakyat Malaysia akan merayakan dua hari kebangsaan secara berkembar. Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, yang akan dirayakan dengan pelbagai acara rasmi seperti perarakan dan sebagainya untuk mengingati detik sejarah itu.

"Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan, persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio-budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1Malaysia," katanya.

Hari Malaysia diraikan pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia di mana Sabah dan Sarawak telah menyertai Malaysia pada 1963.

Najib berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) yang bertanya sejauh mana penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia dan jenis-jenis program yang difikirkan berkesan untuk mencapai hasrat tersebut.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Parlimen Kedua Belas bermula tepat pukul 10 pagi ini dengan menyaksikan Perdana Menteri sebagai yang pertama memberikan jawapan bagi sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pagi ini.

Perdana Menteri berkata, dengan penyertaan Sabah dan Sarawak sejak 1963, maka adalah wajar rakyat di kedua-dua negeri itu menikmati kemajuan pembangunan, pendidikan, ekonomi dan sosial seperti di Semenanjung.

"Pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat merupakan satu titik sejarah yang amat penting. Maka kita juga mahu suka duka rakyat di Sabah dan Sarawak dapat dirasai oleh rakyat di Semenanjung," katanya.

Piala Malaysia - Terengganu Yakin Atasi Selangor

Selangor mungkin pasukan terhandal di negara buat masa ini, namun juara Liga Super dan Piala FA itu tidak digeruni Terengganu.

Malah, pengurus pasukan Pantai Timur itu, Shaikh Ahmad Tajuddin Shaikh Yusoff, berkata Terengganu dengan rela hati berjumpa Selangor di peringkat suku akhir Piala Malaysia, Selasa depan.

Katanya, jika tidak, masakan jurulatih, Ken Worden, membuat keputusan untuk menurunkan tenaga simpanan untuk membantu lima pemain utama dalam perlawanan Kumpulan B menentang Negeri Sembilan yang berkesudahan dengan Terengganu tewas 0-2.

“Walhal, kami sudah sedia maklum yang Terengganu berupaya menjuarai Kumpulan B sekiranya menang ke atas Negeri Sembilan dan dapat mengelakkan diri daripada bertemu Selangor di pusingan suku akhir.

“Memang bukan niat kami untuk sengaja tumpas tapi kami memilih untuk tidak menurunkan skuad terkuat untuk memberi peluang kepada pemain simpanan mendapat pengalaman bermain daripada wisel permulaan hinggalah ke penamat,” katanya.

Kata Shaikh Ahmad lagi, jadual pertandingan Piala Malaysia yang amat ketat memaksa jurulatih merehatkan beberapa pemain utama kerana ada di antara mereka yang sudah terlalu keletihan dan tertekan.

“Beberapa pemain yang sudah menerima dua kad kuning terpaksa direhatkan untuk tidak menghadapi risiko digantung perlawanan dan ada juga pemain yang kami tidak turunkan supaya mereka tidak mendapat kecederaan.

“Apa yang penting, pasukan kami kini bersedia untuk bertandang ke Stadium Shah Alam dan kami semua tidak akan melepaskan peluang untuk mengakhiri pembabitan Selangor dalam pertandingan yang pernah mereka juarai sebanyak 32 kali,” katanya.

Deivee cemerlang pengajian Islam

Sumber: Utusan Malaysia













J. Deivee menunjukkan Anugerah Khas Presiden, yang diterimanya kepada ibu bapanya, K. Muniamah (kiri) dan S. Jayakumaran di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.Itulah semangat yang dipegang oleh salah seorang penerima Anugerah Khas Presiden sempena Konvokesyen Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Terengganu, J. Deivee dalam mengikuti kursus Diploma Psikologi.

Gadis berusia 21 tahun itu bukan sahaja cemerlang dalam mata pelajaran asas kursus tersebut malah mata pelajaran melibatkan agama Islam termasuk Penghantar Akidah, Pengajian Islam, Fiqh Ibadat dan Bahasa Arab.

Deivee yang merupakan penganut Hindu bersama 240 lagi pelajar menerima Diploma Psikologi masing-masing pada majlis konvokesyen itu yang diadakan di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein menyampaikan sijil kepada graduan.

Deivee berkata, dia pada mulanya tidak mengetahui diwajibkan untuk mengambil mata pelajaran berkaitan agama Islam ketika mendaftar di kolej tersebut.

''Namun, kerana ingin mencuba sesuatu yang baru, saya mengambil keputusan untuk terus mengikuti kursus ini.

''Minat juga mendorong saya berusaha keras untuk berjaya,'' katanya ketika ditemui.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia berjaya mencapai kejayaan itu atas galakan dan dorongan yang diberikan oleh ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan.

''Untuk mata pelajaran berkaitan agama Islam, saya mempelajarinya seperti saya belajar mata pelajaran Sejarah iaitu dengan cara menghafal.

''Saya selalu belajar bersama rakan-rakan. Semasa peperiksaan dekat, mereka memberi saya buku dan menyuruh saya tulis dan hafal,'' katanya yang memperoleh 3.6 Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA).

Anugerah dan kejayaan itu menjadikan sambutan Deepavali kali ini paling bermakna buatnya dan keluarga.

''Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua terutama rakan-rakan yang banyak membantu saya dalam mencapai kejayaan ini,'' katanya.

UMT sedia kemudahan kursus Selam Skuba

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) adalah IPTA yang pertama menjalankan Program Pembangunan Sahsiah pelajar melalui kursus 'Open Water Scuba Diver'.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Aziz Deraman, berkata kemudahan sedia ada di universiti tersebut membolehkan kursus tersebut dijalankan dengan mudah.

"UMT satu-satunya universiti yang mempunyai stesen penyelidikan yang terletak di pulau iaitu di Pulau Bidong yang membolehkan sebarang aktiviti seumpama ini diadakan tanpa perlu melibatkan kelengkapan dari agensi luar.

"Melalui program seperti ini mampu memberi nilai tambah yang tinggi di samping memberi kemahiran sampingan kepada para pelajar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Selam Skuba di Pulau Bidong kelmarin.

Tahun ini, 150 pelajar berjaya menamatkan kursus selam skuba itu dan sekali gus membolehkan mereka menerima Sijil Open Water Scuba Diver daripada Scuba Diving International (SDI).

Tambahnya, lebih membanggakan, UMT menjadi universiti pertama yang diberi kebenaran meletakkan logo universiti pada lesen selam skuba tersebut.

"Pihak universiti berusaha keras mendapatkan kebenaran peringkat antarabangsa untuk meletakkan logo universiti pada lesen tersebut untuk mempromosikan UMT sebagai universiti yang menyediakan pengajian marin terulung di negara ini," jelasnya.

6,000 Nelayan Asing di Kelantan & Terengganu

Pasukan Gerakan Marin Wilayah Tiga akan mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Thailand bagi mengesahkan buku pelaut yang digunakan lebih 6,000 nelayan asing yang beroperasi di Kelantan dan Terengganu terutama di bandar baru nelayan Tok Bali.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin Wilayah Tiga (PGM), Pangkalan Kubur, DSP Tan Cheng San berkata ini kerana sebahagian besar daripada nelayan asing terbabit menggunakan buku palsu kerana buku yang dimiliki mereka termasuk warna kulit dan tulisan tangan didapati tidak menggunakan cetakan komputer seperti yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Thailand.

"Oleh itu, kerjasama pihak berkuasa Tahiland adalah perlu bagi mengelakkan kemungkinan nelayan asing terbabit digunakan pihak lain yang mengambil kesempatan dengan membabitkan mereka dalam kegiatan jenayah, katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tok Bali kelmarin.
Katanya PGM mendapati maklumat mengenai diri nelayan asing terbabit tiada dalam rekod disebabkan kemasukan mereka ke negara ini tidak melalui pemeriksaan Imigresen.

"Setiap buku yang diklonkan itu dikenakan bayaran dengan harga yang tinggi iaitu sebanyak RM150 berbanding RM55 (buku sebenar) yang dikhas dan dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara ini kepada rakyat Thailand sahaja," katanya.

Tan berkata pihaknya sudah mengeluarkan amaran kepada pihak terbabit termasuk pengusaha bot laut dalam C dan C2 di sini supaya menghentikan khidmat nelayan asing ini dan berusaha mengambil nelayan asing yang memiliki buku pelaut yang benar-benar dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Thailand.

Beliau berkata kelonggaran mengenainya sudah diberikan kepada mereka selama tiga bulan yang akan berakhir akhir Disember akan datang dan jika ada yang didapati masih ingkar, PGM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan Akta Perikanan 1985.

Graduan pertama bidang pembantu perubatan

Sumber: Utusan Online




Sebahagian graduan wanita Diploma Pembantu Perubatan di Majlis Konvokesyen KIST Ke-2 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.






Walaupun pekerjaan sebagai pembantu perubatan lebih didominasi golongan lelaki, graduan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Roshita Remli, 21, bertekad untuk menceburi kerjaya tersebut.

Roshita adalah kumpulan graduan pertama KIST yang terdiri 33 wanita dan 33 lelaki menerima Diploma Pembantu Perubatan di majlis konvokesyen kolej tersebut di Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein menyampaikan sijil kepada graduan.

Mengulas lanjut, Roshita berkata, minat dan dorongan ibu bapa menyebabkannya memilih untuk menceburi bidang tersebut.

‘‘Sebelum ini, saya menerima tawaran untuk belajar kursus lain dari maktab perguruan tetapi saya tolak kerana lebih meminati jurusan ini.

‘‘Saya bersyukur dan gembira kerana berjaya mencapai kejayaan ini,’’ katanya yang juga anak ketiga daripada empat beradik yang berasal dari Felda Raja Alias, Negeri Sembilan.

Roshita menambah, sejak 15 Ogos lalu, dia bekerja sebagai pembantu perubatan di wad kecemasan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras, Selangor.

‘‘Bekerja sebagai pembantu perubatan memang ada cabarannya tetapi ia tidak sukar untuk dilakukan jika kita berminat dan cekal menghadapinya,’’ ujarnya.

Roshita yang bercita-cita menjadi seorang doktor berkata, dia merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains perubatan di UKM pada masa depan.

Seramai 568 graduan KIST dalam jurusan Diploma Kejururawatan, Diploma Pembantu Perubatan, Diploma Diagnostik Radiografi, Diploma Psikologi dan Diploma Syariah menerima sijil masing-masing di majlis tersebut.

NC pertama terima lesen scuba

Sumber: Utusan Online














Aziz Deraman (dua dari kanan) mendengar taklimat menyelam skuba di Pulau Bidong, Terengganu, kelmarin.


Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Aziz Deraman menjadi Naib Canselor pertama memperoleh lesen selam skuba apabila lulus Kursus 'Open Water Scuba Diver' anjuran universiti tersebut di Pulau Bidong, Merang, kelmarin.

Kursus selama empat hari bermula 15 Oktober lalu itu turut disertai 30 peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Aziz yang meminati bidang marin itu, ternyata gembira apabila berjaya memperoleh lesen tersebut yang diyakini dapat memberi motivasi kepada pelajar-pelajarnya.

"Mempelajari aktiviti selam skuba bukanlah satu aktiviti yang mudah kerana memerlukan keberanian dan semangat yang tinggi, jika tidak mereka akan berasa takut ketika berada di dalam air dalam.

"Namun apabila kita belajar aktiviti ini dengan cara yang betul pasti memberi keseronokan yang sukar digambarkan jika tidak mencubanya sendiri," katanya.

Sunday, October 18, 2009

Terengganu antara catat peningkatan kes denggi.

Jumlah kes demam denggi bagi tempoh 4 hingga 10 Oktober menurun kepada 552 kes berbanding 585 kes pada minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Bagaimanapun, Terengganu antara tujuh negeri yang mencatatkan peningkatan.
Tujuh negeri mencatatkan peningkatan kes iaitu Kelantan dengan 22 peratus, Kedah (20 peratus), Johor (18 peratus), Sabah (14 peratus), Melaka (10 peratus), Terengganu (7 peratus) dan Perak 6 peratus.

Dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur kelmarin, beliau berkata satu kematian akibat demam denggi dilaporkan pada 19 Sept lepas, menjadikan jumlah kematian akibat penyakit itu setakat ini sebanyak 72 kes.

Katanya wanita berusia 52 tahun berasal dari Kuala Kangsar, Perak meninggal dunia akibat komplikasi 'Dengue Shock Syndrome' setelah tiga hari dirujuk ke sebuah hospital swasta di Ipoh.

Dr Mohd Ismail berkata jumlah terkumpul kes denggi setakat ini ialah 32,560 kes berbanding 35,227 bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Mengenai kawasan panas, beliau berkata melalui pemantauan terhadap 26 lokaliti, 15 daripadanya didapati masih mempunyai kadar pembiakan nyamuk aedes yang tinggi.

Kawasan panas itu ialah 12 di Selangor, dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu.

Mengenai Chikungunya, beliau berkata sebanyak 231 kes dilapor minggu lepas, meningkat 73 kes berbanding 158 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

Terengganu mendahului perkenal I-Iqraq

Terengganu sekali lagi mendahului dalam bidang pendidikan apabila memperkenalkan kaedah pembelajaran al-Quran secara elektronik dengan menggunakan I-Iqraq untuk pelajar negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata alat elektronik yang menyamai komputer riba itu mengandungi 30 juzuk Al-Quran di samping surah lazim untuk memudahkan kanak-kanak mahupun orang dewasa mempelajari tajwid dan hukum secara tepat.

Seramai 4,622 kanak-kanak Tadika berusia lima dan enam tahun yang berjaya khatam Al-Quran tahun ini diraikan pada majlis itu.


Ini adalah tahun keempat YIT menganjurkan majlis sedemikian dan jumlah kanak-kanak yang berjaya menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran pada tahun ini meningkat sekali ganda berbanding 2,066 pada tahun lalu.


"Sebagai permulaan, Yayasan Islam Terengganu (YIT) telah memperkenalkan I-Iqraq ini kepada murid-murid kelas bimbingan, kanak-kanak (Tadika) YIT di negeri itu sejak tiga bulan lalu.


"Setiap kelas dibekalkan dengan seunit alat ini dan melalui kaedah itu pembelajaran al-Quran akan lebih mudah untuk dipelajari kerana ia turut dilengkapi suara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran kanak-kanak Tadika peringkat negeri Terengganu 2009, di Stadium Tertutup Gong Badak semalam.

Ahmad berkata, I-Iqraq akan dijual kepada orang ramai tidak lama lagi menerusi syarikat yang dilantik kerajaan negeri dengan harga RM1,988 seunit dan akan diperluaskan ke seluruh negara pada masa akan datang. - Bernama

Shabery Nasihat Persatuan Sukan Jalin Hubungan Baik Dengan Media

Semua persatuan sukan dinasihati supaya menjalin hubungan baik dengan media walaupun kadangkala mereka terpaksa menghatungi pelbagai kritikan yang dipaparkan media.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek menyifatkan kritikan terhadap persatuan adalah rencah dan permainan dalam industri sukan yang harus dihadapi dengan tabah.

"Walaupun ada kalanya media mengkritik persatuan, tetapi kritikan itu sebenarnya menjadikan sukan tersebut lebih diminati. Jadi kena sabarlah kerana kalau ada kontroversi, orang akan ikut dan akan baca, ada isu maknanya mereka masih diminati," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Parlimen Kemaman peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sebuah laporan sebuah akhbar semalam yang menyatakan pengurusan skuad hoki negara seolah-olah perang dingin dengan media apabila bersikap tidak profesional dengan berdolak-dalik ketika hendak memberikan maklumat yang dikehendaki.

"Dalam konteks kekuatan industri sukan, media mamainkan peranan besar, jadi saya harap mereka tidak berbalah dengan media, walaupun ada kalanya teguran itu agak pahit," katanya.

1,600 kaki pancing serbu Dungun

Sumber Berita Harian

Karnival GP Joran 2009 tawar kereta, wang tunai


KUALA LUMPUR: Pusingan akhir Grand Slam Karnival GP Joran 2009 di Dungun, Terengganu pada 24 dan 25 Oktober ini bakal disertai 1,600 pemancing dan menerima penajaan daripada 23 syarikat.

Sebanyak 11 daripada 23 penaja hadir di Balai Berita, di sini semalam untuk menyerahkan tajaan. Antaranya, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Padi Beras Nasional Berhad (Bernas), Roslan Othman; Pengurus Besar Komunikasi Perodua, Sulasi Mahadi; Ketua Pegawai Operasi Super Best, Kamal Mohd Noor dan Pengurus Operasi Outworld, Haslil Razif Amir Hassan.

Turut hadir Pengarah Urusan Global Airis Resources, Mohd Zuwairi Md Safar; Pengurus Besar Boat Explorer Sdn Bhd, Mike Thien; Pengurus Operasi UK Ice Blendz, Mohd Hafis Yaakob dan Pengurus Besar Raudhah Herb Sdn Bhd, Muhd Zaini Abdul Mudtalib.
Hadir sama dalam majlis itu, Pengurus Perhubungan Awam Promosi Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Chef Rahman Abu Samah; Eksekutif Pemasaran G-Motosport, Hasnul Hisham Rahman dan Pegawai Pemasaran Noraini's Cookies, Abdul Fatah Ahmad Azlan.

Semua hadiah tajaan itu diserahkan kepada Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid, timbalannya, Mahfar Ali dan Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah.

Antara barangan yang ditaja termasuk dua kereta Perodua Nautica dan Viva Elit, kenderaan Go-Kart dan Kenderaan Lasak (ATV).
Produk lain berasaskan makanan dan minuman seperti tajaan Nestle dan Maggi, minuman kesihatan oleh Super Power Best dan Raudhah Herb.

Pusingan Akhir Karnival GP Joran 2009 bakal menyaksikan Juara Kategori Laut membawa pulang RM15,000, kedua RM6,000 dan ketiga RM3,000 manakala juara bagi Kategori Pantai pula menerima RM10,000, kedua RM5,000 dan ketiga RM2,000.

Kategori Khas Pari menawarkan juara RM500, kedua RM300 dan ketiga RM200. Penganjur turut menyediakan sebuah Modenas Kriss dan motosikal mini untuk cabutan bertuah dan 1,200 kemeja- T percuma kepada peserta yang mendaftar awal.

Hisham puji Pok Li

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, kelamrin berterima kasih kepada pembahas dari Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan, yang membawa semangat kesatuan yang terbina dalam keluarga Umno Terengganu.

"Insya Allah bila keadaaan dalam keluarga Umno semakin pulih maka rakyat akan bersemangat kembali menyokong semula," katanya.


Rosli yang juga Ketua UMNO Bahagian Dungun menyatakan keyakinan BN dan UMNO untuk mempertahankan kuasa negeri daripada dirampas pembangkang.


Menurut Hishamuddin, transformasi yang berlaku dalam Umno tidak mungkin dapat dijalankan tanpa pengorbanan kepentingan diri oleh anggota parti, kata Katanya beliau yakin matlamat itu dapat dijayakan kerana semangat itu dapat dilihat melalui keberanian pemimpin dan anggota untuk meminda perlembagaan parti.

"Kita tunaikan agenda perubahan kerana sedar dan insaf bahawa yang penting bukan diri tetapi survival parti keramat ini. Yang pertama bukan hanya tentang diri sendiri tetapi bagaimana mahu memastikan parti terus relevan.

"Perubahan ini jelas terzahir dari keikhlasan, ketulusan hati dan jiwa besar yang dimiliki tuan puan semua untuk Umno terus mendapat sokongan rakyat dan terus berada di politik tanah air," katanya dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung Umno..

Hishammuddin mengakui semua itu berlaku atas dorongan, tiupan semangat, karisma, gaya kepimpinan dan wawasan yang ditonjolkan oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai presiden parti.

"Kita akan terus mengorak langkah bagi memastikan transformasi ini dapat diteruskan dan dimajukan pada masa akan datang. Kita akan pikul amanah ini dan melihat tata etika ahli dan melihat kedudukan lembaga disiplin bagi memastikan apa yang diputuskan mencapai matlamat," katanya.