Saturday, November 14, 2009

e-Book atasi masalah belajar ketika banjir

Dijangkakan dua atau tiga tahun lagi, semua pelajar sekolah rendah dan menengah yang terlibat dengan banjir di negeri ini tidak perlu lagi bersusah payah ke sekolah.

Ini kerana dalam tempoh tersebut, kesemua pelajar dilengkapi kemudahan buku elektronik, e-Book yang disediakan secara percuma oleh kerajaan negeri sejak ia mula diperkenalkan tahun lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pelajar hanya perlu menggunakan e-Book untuk mengikuti pembelajaran sambil dipantau oleh guru masing-masing menerusi konsep 'kelas maya' yang bakal diwujudkan kelak.

Katanya, pelajar boleh memilih sama ada berada di rumah yang mempunyai kemudahan jalur lebar atau ke pusat-pusat siber untuk mengikuti kelas secara jarak jauh, tanpa perlu ke sekolah ekoran banjir.

"Jika semua berjalan lancar dan pelajar sudah dibekalkan dengan kemudahan e-Book dalam dua atau tiga tahun lagi, mereka tidak perlu bersusah payah ke sekolah ketika musim banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan e-Book kepada Sekolah-sekolah Rendah DUN Alur Limbat dan DUN Bukit Payong oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di sini semalam.
Beliau seterusnya memberitahu, pada tahun depan, kira-kira 50,000 murid sekolah rendah di negeri ini bakal menerima kemudahan e-Book bagi memenuhi keperluan pembelajaran mereka.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, kerajaan negeri sedang berusaha menjayakan program 'kelas maya' dengan menjadikan Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir sebagai projek perintis.

Menurutnya, jika segala urusan berjalan lancar, program itu akan diperluaskan kesemua sekolah di negeri ini tahun depan.

Katanya, bagi tujuan itu, anak syarikat kerajaan negeri, Top IT Sdn. Bhd. dan syarikat yang mengedar e-Book, Intel Sdn. Bhd., akan menganjurkan kursus kepada semua guru, terutama yang mengajar murid tahun enam.

"Guru-guru ini diberi kursus dan mereka kena bersedia untuk mengajar menggunakan kaedah 'kelas maya', dan kalau berjaya, kita yang pertama laksanakan program ini," tambahnya.

Pesakit taun di Terengganu dijangka bertambah

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah Hassan, menjangka jumlah pesakit akan bertambah dalam tempoh dua minggu ini berikutan jangkaan berlaku hujan peringkat kuning di negeri di Pantai Timur bermula esok (Ahad) hingga Khamis ini yang boleh menyebabkan kejadian banjir, sekali gus memudahkan penyakit itu merebak.

Beliau berkata, orang ramai memiliki simptom taun dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik dan pusat kesihatan berhampiran bagi mengelak penyakit itu merebak dan menjangkiti lebih ramai orang.

Semalam, seramai lapan lagi pesakit yang mengalami gejala muntah serta cirit birit kronik dan dirawat di Wad Isolasi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Mereka disahkan menghidap taun, menjadikan jumlah keseluruhan 11 pesakit menghidap penyakit itu sehingga semalam, berbanding hanya tiga disahkan kelmarin.

Wad Isolasi HSNZ juga menerima kemasukan 42 pesakit baru yang memiliki simptom taun semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 98 kes, berbanding hanya 56 pesakit direkodkan kelmarin.

"Walaupun jumlah pesakit terus meningkat, tetapi keadaan di Wad Isolasi masih terkawal dan kita sentiasa bersedia serta mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk menampung pertambahan pesakit.

“Bagaimanapun, dengan jangkaan Terengganu, Kelantan dan Pahang akan mengalami hujan sekejap-sekejap kadang kala lebat bermula Ahad ini, kita menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mengelak daripada sebarang punca penyakit ini bagi mengelak jangkitan.

“Penduduk di beberapa daerah yang dijangka mengalami banjir seperti di Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman dinasihatkan mengelak mengharung air banjir yang kebiasaannya bercampur air najis dan memudahkan pembiakan penyakit ini, selain mengelak makanan dan minuman tercemar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Setakat ini, satu kes kematian telah dicatatkan di HSNZ akibat penyakit taun pada Rabu lalu.

Friday, November 13, 2009

Penghadang Pendingin Hawa ITC Di Kemaman Runtuh

Beberapa penghadang alat pendingin hawa Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) di Teluk Kalong di Kemaman runtuh dan menimpa bumbung sebuah lagi bangunan berhampiran dalam kejadian malam tadi.


Menurut laporan Bernama, seorang pengawal keselamatan di situ, berkata kejadian berlaku dikatakan berpunca daripada tiupan angin kencang dari Laut China Selatan pada musim tengkujuh sekarang.

"Ia berlaku malam tadi dan hanya disedari pagi ini apabila beberapa serpihan besi penghadang jatuh di atas bumbung bangunan yang berdekatan," katanya yang enggan dikenali.

Katanya kejadian itu tidak menimbulkan kerosakan yang serius di mana hanya beberapa keping besi penghadang sahaja yang jatuh.

Kejadian kali ini merupakan rentetan 'runtuhan' beberapa struktur bangunan termasuk bangunan kerajaan di negeri ini.

Pada 3 Oktober lalu, struktur bumbung bahagian hadapan Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, yang sedang dibaiki runtuh menyebabkan seorang buruh cedera parah manakala dua rakannya mengalami cedera ringan.

Sebelum itu, kejadian bumbung runtuh turut berlaku di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Gong Badak pada 2 Jun lalu. Selain itu, beberapa siling di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) tertanggal pada Julai tidak beberapa lama selepas runtuhan bumbung di stadium berkenaan berlaku.
Semalam Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said mengumumkan ITC yang menelan belanja kira-kira RM50 juta akan diserahkan kepada Kolej Universiti Institut Teknikal Tinggi Terengganu (TATiUC) dan akan dijadikan fakulti baru iaitu Fakulti Pengajian Siswazah serta Fakulti Kewangan dan Perniagaan TATiUC.

Difahamkan ITC berkenaan yang berkonsepkan Harvard Business School di Amerika Syarikat, mempunyai semua kelengkapan meliputi kemudahan internet tanpa wayar di setiap bilik kuliah.

Ahmad ketika ditemui pada majlis pecah tanah rumah mampu milik di Seberang Takir di Kuala Terengganu semalam enggan mengulas lanjut kerana beliau masih belum menerima sebarang maklumat berhubung kejadian itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

5,000 sertai larian 1Malaysia-MBNT di Dataran Batu Buruk

Seramai 5,000 peserta akan menyertai Larian 1Malaysia-Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) yang

akan bermula dan berakhir di Dataran Batu Buruk esok.

Acara larian itu merupakan kali pertama dianjurkan oleh MBNT bagi melahirkan para belia yang berdaya maju dari segi fizikal dan mental di samping menyahut seruan kerajaan bagi merealisasikan salah satu cabaran 1Malaysia.

''Program ini turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)," kata Timbalan Pengerusi MBNT, Alias Mustaffa semalam.

Menurut beliau, acara larian tersebut tidak menawarkan tempat tetapi setiap peserta layak menerima hadiah yang disediakan penganjur hasil sumbangan daripada pelbagai pihak.

Katanya, sebanyak 42 agensi kerajaan dan swasta menyumbang pelbagai barangan untuk tujuan itu termasuk barangan elektrik, basikal, hamper dan baucer penginapan serta makanan yang melibatkan lebih 400 hadiah.
Antara penyumbang terbesar adalah MBKT, Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Syarikat Air Terengganu (Satu).

Katanya, penglibatan pelbagai pihak termasuk swasta dalam menjayakan program tersebut membuktikan mereka turut menyokong usaha dan aktiviti MBNT dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek turut menyertai larian sejauh tiga kilometer yang bermula pukul 9 pagi itu.

Peserta yang mengesahkan penyertaan itu terdiri daripada ahli pelbagai pertubuhan belia, pelajar, penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta jabatan-jabatan kerajaan.

Calon SPM, Petugas Diminta Ambil Langkah Berjaga-jaga Terhadap A(H1N1)

Pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta petugas yang mengawasi peperiksaan itu diminta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak jangkitan virus Influenza A(H1N1).


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata ibu bapa semua calon peperiksaan SPM yang bermula 18 November ini perlu sentiasa memantau tahap kesihatan anak mereka serta memaklumkannya kepada pihak sekolah bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

"Petugas yang mengawasi peperiksaan itu pula diminta mengasingkan calon yang memiliki gejala "Influenza-Like Illness" (ILI) daripada pelajar yang sihat serta memastikan calon yang mempunyai pelajar kumpulan ini memakai topeng muka," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau seterusnya menasihatkan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga kebersihan diri serta kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun.

Selain itu beliau meminta pelajar yang mempunyai gejala ILI supaya segera memberitahu ibu bapa, penjaga, dan guru, agara tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mengelak sebarang kesulitan untuk menduduki peperiksaan.

Dr Mohd Ismail turut mengingatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan atau mengabaikan langkah-langkah pencegahan Influenza A(H1N1) walaupun kebelakangan ini trendnya menunjukkan penurunan.

Sementara itu beliau berkata bagi tempoh seminggu lepas, 587 pesakit baru dengan gejala ILI dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 557 kes lagi dibenarkan pulang.

Menurutnya setakat 7 November, jumlah kes ILI yang masih dirawat ialah 332 di 46 hospital dan daripada jumlah itu, hanya 15 pesakit disahkan positif Influenza A(H1N1).

Beliau berkata dalam tempoh sama, hanya seorang pesakit dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi manakala empat kes masih menerima rawatan di situ kerana mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah 5 tahun (2 kes), morbid obesiti (1 kes) dan penyakit kronik (1).

Sehingga kini, jumlah kematian di seluruh negara akibat jangkitan itu kekal 77 orang, katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh seminggu lepas, terdapat dua kejadian kluster ILI dilaporkan berlaku di Sekolah Kebangsaan LKTP Jerangau Barat, Hulu Terengganu, Terengganu dan Kampung Lubuk Chupak, Bukit Sapi, Lenggong, Perak.

"Keputusan ujian makmal terhadap sampel klinikal yang diambil secara rawak dari kejadian kluster di Sekolah LKTP Jerangau Barat, Hulu Terengganu menunjukkan positif Influenza A(H1N1)," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Ismail berkata tindakan kawalan dan pencegahan yang sewajarnya sudah dilaksanakan oleh pihak pejabat kesihatan daerah terbabit.

Sementara itu pemantauan kejadian ILI di 619 klinik sentinel tidak menunjukkan sebarang peningkatan dan hanya 11 peratus daripada 818 sampel klinikal yang diterima makmal disahkan positif virus Influenza A(H1N1).

Di peringkat global pula sehingga 1 November lepas, Dr Mohd Ismail berkata lebih 482,300 kes yang disahkan positif, membabitkan 6,071 kematian.

"Pihak WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) juga melaporkan bahawa penularan Influenza A(H1N1) masih lagi aktif terutama sekali di negara-negara dalam zon beriklim sederhana di Hemisfera Utara seperti Amerika Utara, Kanada Barat, Eropah dan Asia," katanya.

Phil Robertson Kemudi Pasukan Ke Piala Monsun

Pasukan Team New Zealand dari Waka Racing menepati ramalan ramai apabila berjaya menempah tiket ke Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun yang akan diadakan Disember nanti.


Pasukan yang diketuai Phil Robertson itu menewaskan pasukan Michael Dunstan (SLAM Match Racing Team) yang mengekori rapat di belakangnya pada pertandingan akhir Kelayakan Asia Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun di Pulau Duyong, petang semalam dengan mata 3-0.

Pasukan Kan Yamada dari JFP pula menduduki tempat ketiga manakala pasukan Martin H Kaye (Team Hong Kong) di tempat keempat, dalam kejohanan yang disertai pasukan dari pelbagai Kelab Perahu Layar Asia itu.

Sesi Kelayakan Asia Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun berlangsung selama empat hari bermula Isnin lepas.

Kejohanan kali ini turut disertai dua pasukan tempatan; Taring Pelangi yang diketuai Hazwan Hazim yang sekadar mengumpul tiga mata, dan pasukan Malaysia Armed Forces 1 yang diketuai pelayar Mohammad Razali Mansor hanya mengumpul satu mata.

Pada sidang media selepas keputusan diumumkan, Robertson berkata selain cabaran keadaan cuaca yang panas terik, pasukannya turut menerima saingan hebat daripada pasukan SLAM Match Racing Team.

Bagaimanapun katanya permulaan yang baik dan kerjasama rakan sepasukan memberi kelebihan kepada pasukannya untuk melayakkan diri ke acara tahunan sukan layar antara yang berprestij di dunia itu.

Katanya beliau dan rakan-rakannya akan melakukan persediaan yang perlu untuk berhadapan dengan pasukan lebih berpengalaman pada kejohanan Piala Monsun nanti.

Kerajaan Terengganu Hantar 150 Termasuk Penjawat Awam Tunai Haji

Seramai 150 penjawat awam, anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), imam dan bilal di negeri Terengganu dihantar oleh kerajaan negeri untuk menunaikan fardu haji tahun ini.


Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong berkata ia adalah sebagai anugerah daripada kerajaan negeri kepada mereka yang menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam perkhidmatan masing-masing.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pelancaran Portal Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di Kuala Terengganu, semalam beliau berkata, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM1.5 juta bagi tujuan itu.

Sementara itu Mokhtar yang juga Timbalan Pengerusi Pemegang Amanah YPKT berkata yayasan itu akan mendapat 32 buah Taska baru yang dijangka siap dibina akhir tahun ini.

Beliau berkata Taska yang dibiayai Kerajaan Persekutuan itu bernilai kira-kira RM16.2 juta, dan ketika ini YPKT mempunyai 83 buah Taska dengan jumlah pelajar melebihi 4,000 orang.

Mokhtar berkata kerajaan negeri membelanjakan RM10 juta setiap tahun untuk menguruskan Taska-taska tersebut.

LTdL 2010 antara 1 dan 7 Mac Depan

Edisi ke-15 perlumbaan berbasikal terulung di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, akan berlangsung dari 1 hingga 7 Mac depan membabitkan tujuh peringkat perlumbaan.

Peringkat perlumbaan LTdL 2010 akan bermula dengan peringkat pertama iaitu Kota Bharu - Kuala Berang (174.5km) dan seterusnya Kuala Terengganu - Chukai sejauh 182.9km.

Peringkat terakhir ialah Kuala Kubu Baru ke Dataran Merdeka.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Mohd Yassin Salleh, yang menyaksikan KBS bertindak sebagai penganjur dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

"Perlumbaan pada tahun depan akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM10 juta dengan laluan merentasi tujuh negeri dan dua Wilayah Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran itu di lobi Wisma KBS Khamis.

Mohd Yassin berkata penglibatan KBS selaku penganjur pada tahun depan bagi menjadikan penganjuran sukan sebagai industri yang dapat menyumbang kepada pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa depan.

"Selain itu, ia juga selaras dengan hasrat menjadikan tahun 2011 sebagai Tahun Industri Sukan Negara dengan beberapa langkah akan diambil bagi meningkatkan penyertaan dan kesedaran rakyat," katanya.

Mengenai tarikh kejohanan yang dilewatkan sedikit daripada kelazimannya yang sering dianjurkan pada penghujung Februari, Mohd Salleh berkata ini bagi mengelakkan penganjurannya bertembung dengan sambutan Tahun Baru Cina.

"Kita yakin dengan laluan-laluan menarik yang telah disusun oleh jawatankuasa penganjur akan mendapat sokongan tinggi rakyat seperti sebelum ini," katanya.

Perlumbaan yang berstatus 'hors' (kategori pendakian tertinggi) itu akan melibatkan penyertaan 20 pasukan dengan cabaran bermula di Kota Bharu, Kelantan menyusuri Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sejauh 1001.8 kilometer.

"Sehingga kini, 17 pasukan telah pun mengesahkan penyertaan dan kita terpaksa memilih mengikut garis panduan yang telah ditetapkan walaupun mendapat sambutan daripada banyak pasukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2010, Mohamed Salleh berkata beliau meletakkan harapan yang tinggi untuk kejohanan itu lebih berjaya dan cuba melakukan penganjuran yang terbaik.

"Penglibatan saya di dalam perlumbaan ini bukan merupakan kali pertama kerana saya turut mengikuti perlumbaan secara langsung sejak tiga tahun lepas sebelum ini," katanya yang pertama kali dilantik sebagai CEO bagi menjayakan perlumbaan itu.

Mohamed Salleh, yang juga Ketua Unit Industri Sukan KBS, berkata beberapa pendekatan baru akan diambil pada kejohanan itu seperti laluan mencabar seawal peringkat pertama perlumbaan dari Kota Bharu ke Kuala Berang dengan jarak sejauh 174.5 kilometer.

"Para pelumba mungkin terpaksa berdepan dengan halangan angin serta cuaca yang panas pada bulan itu yang pastinya akan menjadi saingan itu lebih menarik," katanya.

Pada edisi 2009, awal tahun ini, perlumbaan LTdL dimonopoli oleh pasukan dari Columbia, Diquigiovanni-Androni apabila meraih gelaran juara pasukan keseluruhan dan tiga gelaran utama melalui dua pelumbanya iaitu Jose Serpa Perez yang meraih gelaran pelumba terbaik keseluruhan dan raja bukit manakala Mattia Gavazzi selaku raja pecut.

Namun pasukan itu setakat ini masih belum mengesahkan penyertaannya pada LTdL 2010.

Gelaran pelumba terbaik Asia LTdL 2009 diungguli pelumba Indonesia, Tonton Susanto yang mewakili pasukan benua tempatan, Le Tua Cycling Team.

Peringkat perlumbaan LTdL 2010:

1: Kota Bharu - Kuala Berang (174.5km)

2: Kuala Terengganu - Chukai (182.9km)

3: Pekan - Mersing (144km)

4: Mersing - Parit Sulong (163.5km)

5: Muar - Port Dickson (140.2km)

6: Putrajaya - Genting Highlands (103.9km)

7: Kuala Kubu Baru - Dataran Merdeka (92.8km)

Pelajar, guru terima anugerah khas kokurikulum


Seramai 40 pelajar dan guru terpilih menerima pelbagai anugerah sempena Malam Gala Kokurikulum Daerah Besut yang diadakan di kediaman Pegawai Daerah Besut di Pantai Peranginan Air Tawar dekat Kampung Raja kelmarin.

Daripada jumlah itu, 10 orang pelajar dan guru menerima anugerah khas kerana kejayaan dan pencapaian dalam bidang sukan, permainan dan akademik di peringkat negeri dan kebangsaan sepanjang tahun ini.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Besut, Wan Mohamad Wan Ibrahim dan turut dihadiri oleh Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Baharuddin Ibrahim serta pengetua dan guru besar.

Program yang julung kali diadakan itu bertujuan menghargai pencapaian pelajar dan guru dalam bidang sukan, kokurikulum dan kurikulum sama ada di peringkat negeri dan kebangsaan.

Pencapaian tertinggi daerah Besut tahun ini ialah sebagai johan keseluruhan pada kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia Terengganu (MSSMT) apabila berjaya memungut 16 pingat emas, tiga pingat perak dan lapan pingat gangsa.

Baharuddin dalam ucapannya berkata, penglibatan pelajar dalam bidang sukan, permainan dan kokurikulum dapat membantu melahirkan golongan pelajar yang lebih berdisiplin.

Katanya, peraturan dan undang-undang yang diwujudkan dalam setiap sukan dan permainan menjadikan pelajar lebih berhemah serta dapat menjaga tingkah laku mereka dengan baik.

Sementara itu Wan Mohamad dalam ucapannya berkata, masalah keruntuhan akhlak dan moral golongan remaja termasuk pelajar yang berlaku hari ini tidak sepatutnya dipandang ringan oleh masyarakat.

Katanya, menuding jari dengan meletakkan kesalahan kepada pihak tertentu tidak akan dapat menyelesaikan masalah itu dari berlarutan sebaliknya semua pihak perlu bersedia membantu.

Tambahnya, apa yang penting ialah semua pihak menggembleng tenaga dan fikiran perlu untuk bersama-sama membantu kerajaan mengatasi masalah tersebut agar generasi muda tidak hanyut dalam gejala sosial.

Sumber: Utusan Online

65.9 Peratus Projek ECER Telah Dimulakan


Sebanyak 65.9 peratus atau 54 projek dan program di bawah pelan Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) telah dimulakan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K Devamany berkata daripada sejumlah RM1.5 bilion yang dicadang diperuntukkan kepada Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) untuk melaksanakan 82 projek, sebanyak RM480 juta peruntukan pembangunan telah disalurkan setakat 1 Okt lepas.

Beliau berkata antara projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di kawasan ECER ialah projek pelebaran jalan Persekutuan dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang.

Selain itu, Devamany berkata projek lain termasuk projek Kelompok Industri Polimer di Kertih, Terengganu; program pembasmian kemiskinan di kalangan nelayan serta projek Agropolitan di Pekan, Pahang dan Gua Musang, Kelantan.

"Projek Kelompok Industri Polimer Kertih akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2020 dan merupakan 'Taman Plastik' bersepadu pertama Malaysia yang mampu menarik pelaburan melebihi RM2 bilion dan mewujudkan 8,000 peluang pekerjaan.

"Projek Agropolitan pula mensasarkan kepada usaha pembasmian miskin tegar sifar menjelang 2020 telah dimulakan di Pekan (Pahang) dan melibatkan 1,450 peserta, manakala di Gua Musang melibatkan 3,000 peserta," katanya menjawab soalan Amran Ab Ghani (PKR-Tanah Merah) yang ingin tahu perkembangan ECER di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata program pembasmian kemiskinan di kalangan nelayan pula melibatkan aktiviti tambah nilai dalam industri perikanan.

"Pada peringkat awal, seramai 1,000 nelayan dari 100 kampung di sepanjang pantai Tumpat, Kelantan hingga ke Mersing, Johor akan terlibat.

"Mereka dijangka meraih pendapatan isi rumah melebihi RM1,500 sebulan menerusi aktiviti yang dirancang," katanya.

Thursday, November 12, 2009

Beranda Tingkat 8 ITC runtuh?

Khabarnya beranda di Tingkat 8 bangunan Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) yang dibina mengikut konsep Harvard Business School di Teluk Kalong, Kemaman runtuh semalam.


Belum diketahui punca dan kerugian akibat keruntuhan itu. Kerajaan negeri dijangka membuat pengumuman hari ini atau esok.

Banyak pihak sudah menyatakan kebimbangan mengenai beberapa bahgian pembinaan ITC berkenaan.
Malah,pada Jun lalu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said meninjau sendiri kompleks berkenaan selepas berlakunya keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan, kebocoran Pusat Akuatik, penutupan sementara Stadium Tertutup Gong Badak dan beberapa kes lain.

ITC yang mempunyai 216 bilik lengkap dengan kemudahan ICT bertaraf dunia ini telah dibina pada Mei 2005 dan dijangka siap pada Februari 2008 namun sehingga Jun lalu ia masih belum dapat digunakan lagi kerana beberapa masalah yang timbul dan memerlukan pemantauan rapi.

Pada Jun lalu, ITC dikatakan memerlukan sedikit masa lagi sebelum dapat digunakan kerana terdapat beberapa kerosakan yang perlu diperbaiki segera.

Ketika membuat tinjauan ke ITC 16 Jun itu, Ahmad Said berkata kolej ini perlu diteliti semula kerana terdapat kecacatan yang jelas terutama pada kayu penyokong bumbung serta beberapa bahagian lain.

“Setelah diteliti terdapat 200 hingga 300 item yang perlu diperbaiki semula atau ditukar kerana tidak mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya.

“Saya dimaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenal pasti dan memantau projek ini dari masa ke semasa dan berharap ianya dapat diselesaikan tidak lama lagi,” katanya.


Ahmad Said ketika meneliti kecacatan bumbung ITC, Jun lalu.

Satu pasukan penyiasat dikatakan sudah ke ITC bagi melihat sendiri kesan keruntuhaan itu.

Shabery Cheek Ketuai Larian 1Malaysia

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said akan mengetuai larian 1Malaysia peringkat negeri Terengganu di Batu Burok di Kuala Terengganu,

Sabtu ini (14, Nov ).

Setiausaha larian Salleh Othman berkata larian sejauh kira-kira tiga kilometer akan disertai seramai kira-kira 5,000 pelajar, kakitangan kerajaan dan individu.

"Larian itu bukan bertujuan untuk mencari kemenangan semata-mata, tetapi ia lebih kepada riadah dan dianjurkan Belia Negeri Terengganu (MBNT)," katanya selepas majlis penajaan larian 1Malaysia di Kuala Terengganu semalam.

Salleh berkata sebanyak 42 agensi kerajaan dan swasta menaja larian itu dan akan disertai semua kaum, sesuai dengan konsep 1Malaysia.

Larian 1Malaysia itu merupakan satu usaha kecergasan nasional yang berteraskan kepada penyertaan aktif, kecergasan berterusan dan sikap positif dalam hidup, katanya.

Pihak penganjur menyediakan lebih 400 hadiah barangan untuk pemenang-pemenang cabutan hadiah bertuah yang akan diadakan pada akhir larian, katanya.

Empat Buruh Indonesia Dihukum Penjara Sebabkan Kematian Majikan

Bagi kesalahan menyebabkan kematian majikan, seorang buruh ladang warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lapan tahun manakala tiga rakannya, masing-masing dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini Rabu.

Sementara seorang lagi rakan mereka dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan menyebabkan kematian majikan mereka Mohd Yusuf Ismail, 48, di Ladang Agro Plantation Cerul, Kemaman, kira-kira pukul 6 petang, 21 Jan 2007.

Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Zaidi Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas meminda pertuduhan terhadap tertuduh pertama kepada menyebabkan kematian manakala tiga lagi menyebabkan kecederaan.

Ahmad Zaidi dalam penghakimannya berkata setelah meneliti fakta kes dan berdasarkan keterangan semua saksi, pihak pendakwaan telah gagal mensabitkan kesemua tertuduh yang berasal dari Jawa dengan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Tertuduh pertama Solihun Hamdani dihukum penjara lapan tahun mengikut Seksyen 304 (b) kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Agus Suristiawan, 23, (tertuduh kedua), Asmali Asmadin 29, (tertuduh keempat) dan Warsum Sudinto, 29, (tertuduh kelima) masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun mengikut Seksyen 324 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada peruntukan itu.

Ahmad Zaidi berkata mahkamah memutuskan untuk melepaskan tertuduh ketiga, Slamet Riyadi Tohirin, 20, kerana pihak pendakwaan gagal mengaitkan dia dengan perbuatan memukul majikan mereka yang merupakan kontraktor ladang.

Bagi Solihun pula, katanya, lebih sesuai disabitkan dengan pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304(b) kerana berdasarkan keterangan pakar patologi, kematian mangsa adalah disebabkan pukulan dengan batu oleh tertuduh pertama itu di bahagian kepala, setelah dia terlebih dahulu ditumbuk oleh mangsa.

"Perbuatan itu adalah spontan iaitu tertuduh pertama dipukul terlebih dahulu dan berdasarkan keterangan saksi, mangsa juga dilihat cuba mencapai batu untuk memukul Solihun. Kalau tertuduh ada niat membunuh, banyak lagi senjata tajam ada di sekitar kawasan itu seperti cangkul, parang, besi tajam boleh digunakannya berbanding batu," katanya.

Sementara itu, bagi tertuduh kedua, keempat dan kelima pula, keterangan pakar patologi juga menunjukkan kecederaan dialami mangsa telah dilakukan oleh beberapa orang, namun ia dikategorikan sebagai kecederaan biasa sahaja dan lebih sesuai didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, katanya.

Katanya mahkamah turut mengambil kira keadaan tertuduh yang mengalami kepayahan kerana telah tidak diberi makan nasi selama dua minggu oleh mangsa dan kelima-lima mereka hanya bergantung hidup dengan makan umbut kelapa sawit.

Mangsa juga dikatakan tidak membayar gaji selama tempoh itu seperti yang dijanjikan yang menyebabkan tertuduh mengadakan perjumpaan dengannya pada hari kejadian untuk berbincang berhubung hal berkenaan.

"Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan ada niat bersama di kalangan tertuduh untuk membunuh mangsa, kerana mereka hanya berjumpa dengan mangsa untuk merayu diberikan gaji dan makanan. Bagaimanapun, apa yang berlaku tidak dapat mengubah fakta bahawa satu nyawa telah melayang," katanya.

Beliau memerintahkan keempat-empat tertuduh menjalani hukuman penjara tertuduh bermula dari tarikh tangkap pada 28 Jan, 2007.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Fathi 'Aziz Abu Bakar manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Badius Zaman Ahmad.

Pasukan New Zealand Dahului Kelayakan Asia Piala Monsun

Pasukan New Zealand yang diketuai Phil Robertson mendahului pasukan-pasukan lain pada hari kedua Kelayakan Asia Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun di Pulau Duyong, Kuala Terengganu semalam.


Pasukan itu setakat ini mengumpul 10 mata iaitu empat mata diperolehi pada hari pertama Selasa dan enam mata Rabu.

Saingan terdekatnya ialah Team EM yang diketuai pelayar Morten Jakobsen, yang berjaya mengumpul lapan mata.

Sebanyak tujuh pasukan termasuk empat pasukan baru bersaing dalam saingan itu bagi merebut satu slot bertanding dalam kejohanan Piala Monsun yang akan diadakan di Pulau Duyong bulan depan.

Lima pasukan lain ialah Malaysia Armed Forces 1 dan Taring Pelangi dari Malaysia, SLAM Match Race Team, Team Hong Kong dan Team JFP.

Malaysia Armed Forces 1 mengumpul enam mata, Taring Pelangi (3), Slam Match Race Team (7), Team Hong Kong (6) dan Team JFP (7).

Saingan hari ketiga Khamis akan menentukan empat pasukan teratas yang akan layak memasuki pertandingan separuh akhir yang akan dijalankan Jumaat ini.

Peluang untuk melayakkan diri ke separuh akhir masih lagi terbuka, berikutan keadaan angin yang dijangka bertambah baik.

Wednesday, November 11, 2009

Terengganu Rancang Pelbagai Projek Mega Tahun Depan

Kerajaan negeri Terengganu merancang untuk melaksanakan pelbagai projek mega tahun depan dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk negeri terutama mereka yang tinggal di dalam

kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), untuk memastikan ia setaraf dengan bandar raya lain dalam negara.

Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata antara projek mega yang dirancang ialah pembinaan KT Centre, iaitu sebuah perhentian bas dan teksi berpusat di satu kawasan di Bukit Besar di Kuala Terengganu.

Beliau berkata pembinaan perhentian bas dan teksi berpusat itu perlu bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku di perhentian bas MBKT di tengah-tengah bandar raya ini ketika ini.

"Kerajaan negeri juga merancang untuk membina sebuah bangunan lima tingkat berhampiran Wisma Darul Iman di sini untuk dijadikan tempat meletak kereta bagi mengatasi masalah itu. Bangunan itu boleh menyediakan kira-kira 200 tempat letak kereta pada satu masa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kualiti dan Anugerah Khidmat Cemerlang MBKT semalam.
Pengarah Urusan Sirim Berhad, Datuk Mariani Mohamad dan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Razali Husein. Pada majlis itu 77 warga MBKT menerima Anugerah Khidmat Cemerlang daripada Ahmad.

Ahmad Said berkata kerajaan juga sedang merancang untuk membina sebuah bangunan baru 20 tingkat di Kampung Tanjung di sini untuk dijadikan pejabat MBKT tahun depan.

"Sehingga ini MBKT adalah satu-satunya bandar raya yang tidak mempunyai bangunan sendiri di mana sekarang pejabat MBKT hanya menyewa di sebuah bangunan kepunyaan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT)," katanya.

Bagaimanapun menurutnya peruntukan bagi semua projek berkenaan masih belum diputuskan lagi.

Tujuh Pasukan Rebut Tiket Kelayakan Di Piala Monsun

Sebanyak tujuh pasukan termasuk empat pasukan baru akan berentap dalam kejohanan Lumba Layar Asia yang diadakan di Pulau Duyong bermula hari ini sehingga Khamis ini (12 Nov) bagi merebut tiket bertanding dalam kejohanan Piala Monsun Disember nanti.

Dua pasukan tempatan Malaysia Armed Forces 1 yang diketuai pelayar Mohammad Razali Mansor dan pasukan Taring Pelangi yang diketuai Hazwan Hazim akan turut mengambil bahagian dalam kejohanan yang

disertai pasukan dari pelbagai Kelab Perahu Layar Asia itu.

Lima pasukan lain yang turut bertanding ialah Slam Match Race Team dari Royal Sydney Yatch Club diketuai Micheal H Dunstan, Team Hong Kong dari Royal Hong Kong Yatch Club diketuai Micheal Dunstan, Team JFP dari Japan Yatch Match Race Association (Kan Yamada), Team EM dari Royal Varuna Yatch Club (Morten Jakobsen) dan Team New Zealand dari Waka Racing (Phil Robertson).

Tujuh pasukan tersebut akan bersaing dalam pusingan awal round robin dan empat pasukan teratas akan bertarung dalam peringkat suku akhir yang mana pertandingan akan dijalankan secara kalah mati.

Pada peringkat akhir, dua pasukan teratas akan beradu untuk menempah tempat bagi bertanding dengan jaguh-jaguh lumba layar dunia di kejohanan Piala Monsun pada awal Dis nanti.

Sementara itu, pelayar negara Hazwan meletakkan sasaran untuk mara sehingga ke peringkat separuh akhir kejohanan itu bagi menimba pengalaman bersaing dengan jaguh-jaguh Asia.

"Kita hanya meletakkan sasaran untuk mara sehingga ke peringkat separuh akhir sahaja kerana kita sedar saingan kita semuanya hebat-hebat belaka," katanya kepada pemberita semasa sesi pengenalan peserta di sini hari ini.

Pelayar muda berusia 21 tahun itu pernah menjadi krew pasukan pelayar wanita muda negara Nurul Ain Md Isa yang mewakili Malaysia dalam kejohanan Piala Monsun tahun lepas dan berharap pengalaman tersebut akan dapat membantunya bersaing dalam kejohanan peringkat Asia itu.

Jambatan Manir & Buluh Gading jadi empat lorong

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri merancang untuk membesarkan Jambatan Manir dan Jambatan Buluh Gading yang menyeberangi Sungai Terengganu daripada dua lorong ketika ini menjadi empat lorong.


"Kerajaan negeri juga merancang untuk membina sebuah jambatan menghubungkan Kampung Losong-Pulau Sekati-Teluk Pasu, bagi mengurangkan kesesakan di Jambatan Sultan Mahmud sekarang," katanya.

Ia akan dibina dalam Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK-10) yang bermula tahun hadapan.

“Projek ini telah diluluskan dalam RMK-9 namun kerajaan negeri minta diubah menjadi empat lorong daripada dua lorong yang dicadangkan sebelum ini.


Kerana itu berlaku sedikit kelewatan kerana ada ubah suai dan pengambilan tanah," tambahnya.
 Beliau menyatakannya di Stadium Negeri semalam.

Sekolah Perlu Patuhi Garis Panduan Hadapi Banjir - Alimuddin

Semua sekolah yang terlibat dengan banjir perlu mematuhi Garis Panduan Menghadapi Banjir semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bermula Rabu depan dengan mengenal pasti pusat peperiksaan alternatif.


Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata garis panduan itu telah diedarkan ke sekolah-sekolah bagi memastikan semua calon terutamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan terjejas untuk menduduki peperiksaan.

"Bagi sekolah yang berada dalam kawasan yang sering dilanda banjir, mereka perlu menempatkan semua bilik peperiksaan di tingkat satu," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya semalam.

Alimuddin berkata bagi calon peperiksaan yang berhadapan kemungkinan kampung atau kawasan perumahan mereka ditenggelami banjir, mereka perlu ditempatkan di asrama-asrama sekolah yang tidak terjejas dengan bencana alam itu.

Beliau juga berkata pengetua dan guru besar perlu mengutamakan keselamatan pelajar dalam sebarang tindakan yang perlu diambil selepas berlaku banjir.

Beliau berkata pengetua dan guru besar juga diberi kuasa untuk menutup sekolah dengan memaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri dan Pegawai Pelajaran Daerah jika banjir itu boleh membahayakan keselamatan pelajar.

"Apabila sekolah ditutup, ia tidak perlu diganti kerana bencana alam adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan. Jika sekolah ditutup seminggu pun, ia tidak perlu diganti pada masa akan datang," katanya.

Alimuddin berkata sehingga kini sebanyak 103 sekolah dijadikan pusat penempatan sementara mangsa banjir dengan 90 sekolah di Terengganu, 10 di Kedah dan tiga di Kelantan.

"Sekolah-sekolah yang terlibat perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada Jawatankuasa Bantuan Bencana Banjir peringkat daerah dengan memastikan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan bilik mandi dalam keadaan baik," katanya.

Beliau berkata pihak sekolah juga dibenarkan mengupah beberapa pekerja sambilan yang dibayar gaji harian untuk membersihkan kawasan sekolah bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir yang dipindahkan di sekolah berkenaan.

MBKT sampaikan anugerah

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said semalam melancarkan Buku Pelan Strategik dan Pelan Komprehensif Sumber Manusia dan penyampaian Sijil MS ISO 9001:2008 oleh Sirim Berhad serta penyampaian Sijil Amalan 5S MBKT oleh MPC.















Abdillah Awang, pekerja MPKT menerima Anugerah Datuk Bandar daripada Dato' Ahmad Said sambil disaksikan Dato' Mat Razali Kassim.

Pelancaran itu dilakukan sempena Hari Kualiti dan Anugerah Khidmat Cemerlang MBKT semalam.
Menteri Besar turut menyampaikan anugerah kepada 77 kakitangan MBKT daripada pelbagai unit dan pangkat menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 semalam.

Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) MBKT, Encik Ab’dillah Awang Besar, 50, diumumkan sebagai penerima Anugerah Datuk Bandar dan menerima hadiah wang tunai RM2,000, plak serta sijil penghargaan.

Mayat Bayi Ditemui Dalam Surau

Penduduk kampung Budiman, Batu Buruk di sini gempar dengan penemuan mayat seorang bayi lelaki di dalam Surau Budiman petang semalam.


Mayat bayi yang masih bertali pusat itu dijumpai oleh Mohamed Embong, 60, bilal surau berkenaan yang datang ke surau pada kirakira pukul 4.10 petang untuk azan dan menunaikan solat asar.

Katanya semasa beliau membuka pintu surau, beliau ternampak satu benda yang kelihatan seperti anak patung dibungkus dengan sehelai tuala yang diletakkan di di tengah dewan pelbagai guna surau itu.

"Setelah diperiksa saya terkejut mendapati benda yang disangkakan anak patung itu adalah mayat seorang bayi lelaki," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohamed berkata beliau yakin mayat bayi itu diletakkan di situ selepas waktu Zohor kerana semasa beliau datang untuk mengerjakan solat Zohor dewan itu masih kosong.

Katanya beliau kemudiannya terus menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Mhd Khani Mhd Biku memaklumkan mengenai penemuan mayat bayi itu.

Mhd Khani, 57, ketika ditemui berkata beliau beliau berada di pusat Dewan Undangan Batu Buruk tidak jauh dari surau berkenaan semasa dihubungi oleh bilal surau yang memaklumkannya mengenai penemuan mayat bayi itu.

"Saya kemudiannya terus menghubungi polis," katanya.

Tuesday, November 10, 2009

UAE Dan Indonesia Berminat Dengan Program e-Book

Program buku elektronik e-Book yang diperkenalkan kerajaan negeri Terengganu di kalangan pelajar di negeri ini kini mendapat perhatian daripada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said berkata buat permulaan sebanyak 200 unit e-Book masing-masing telah dihantar ke UAE dan Indonesia untuk diteliti kesesuaiannya.

"e-Book yang kita hantar untuk UAE sebanyak 200 unit untuk dibuat penelitian kesesuaiannya adalah dalam

bahasa Arab manakala Indonesia pula akan menempah 50,000 unit e-Book untuk permulaan jika mereka mendapati e-Book sangat praktikal untuk digunakan," katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian e-Book kepada 12 buah sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak semalam.

Terengganu merupakan negeri perintis di negara ini yang menggunakan e-Book yang menyediakan komputer riba kepada pelajar bagi menggantikan buku teks sekolah.

Ahmad berkata kerajaan negeri juga telah mendapat persetujuan daripada Intel iaitu syarikat yang mengeluarkan e-Book untuk mengedarkan komputer riba itu ke UAE dan Indonesia.

Lihat Anak Bulan Zulhijjah 17 Nov












Tarikh melihat anak bulan Zulhijjah ialah pada petang Selasa, 17 Nov bersamaan 29 Zulkaedah 1430 Hijrah, menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Perkara itu telah dititahkan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin setelah diperkenankan Raja-Raja, menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan juga telah diperkenankan melihat anak bulan Zulhijjah pada petang itu di 29 tempat di seluruh negara.

Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Qurban adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan menerusi radio dan televisyen pada malam itu juga tarikh Hari Raya Qurban.

Kawasan-kawasan untuk melihat anak bulan Zulhijjah ialah di:

1. Pontian Kecil, Johor.

2. Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.

3. Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

4. Bukit Melawati, Kuala Selangor, Selangor.

5. Pulau Angsa, daerah Kuala Selangor, Selangor.

6. Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat, Selangor.

7. Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, daerah Manjong, Perak.

8. Pantai Aceh, Pulau Pinang.

9. Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah.

10. Pemandangan Indah, Pulau Langkawi, Kedah.

11. Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah.

12. Bukit Besar, Kuala Terengganu, Terengganu.

13. Bukit Kemuning, Kemaman, Terengganu.

14. Pulau Perhentian, Besut, Terengganu.

15. Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu, Terengganu.

16. Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Kelantan.

17. Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, daerah Olak Jeram, Kuala Krai, Kelantan.

18. Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Baharu, Kelantan.

19. Tanjong Lubang, Miri, Sarawak.

20. Teluk Bandung, Kuching, Sarawak.

21. Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak.

22. Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah.

23. Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Pahang.

24. Gunung Berincang, Cameron Highlands, Pahang.

25. Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang.

26. Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan.

27. Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.

28. Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya.

29. Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Siasat segera apa belaku di Plaza Perdana

Dakwaan Berita Harian bahawa plaza berkenaan dikenali dengan ‘Plaza jamu syahwat’ sangat berat.
Pihak berwajib khususnya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan penguatkuasa mengenai agama dan dadah perlu bertindak segera.

BILIK solat di kompleks Plaza Perdana terpaksa dikunci untuk mengelakkan disalah guna untuk tujuan maksiat.
Malah, laporan akhbar itu mengatakan orang ramai meminta kerajaan negeri mengambil alih kompleks Plaza Perdana di Jalan Engku Sar, di Kuala Terengganu yang dilabel warga tempatan sebagai kawasan hitam kerana menjadi sarang generasi muda melampiaskan nafsu, bercumbu rayu di penjuru agak tersembunyi, minum arak dan penyalahgunaan dadah.

Bangunan lima tingkat yang sudah berusia lebih 20 tahun itu, dulunya cukup terkenal dan menjadi tumpuan ramai sebagai antara kompleks beli belah utama kepada penduduk di bandar raya ini.
Bagaimanapun, selepas beberapa lama, daya penarik bangunan itu pudar apabila semakin banyak kompleks niaga dibuka dan kegagalan pemilik menyelenggarakannya.

Pengunjung, Ahmad Sufian Wahid, 28, berkata setiap kali singgah di situ, matanya sakit melihatkan gelagat remaja yang berpakaian kurang sopan tanpa segan silu melayan mesra kerenah teman lelaki.

"Pernah juga saya terserempak dengan beberapa pengunjung yang berjalan terhuyung-hayang kerana mabuk dan yang paling menyedihkan, mereka terdiri daripada remaja Islam yang menjadi tonggak harapan negara," katanya.

TIGA gambar ini menunjukkan pelbagai kekotoran, termasuk kondom dan botol minuman di Kompleks Plaza Perdana.

Tinjauan Edisi Timur mendapati suara pengunjung yang kebanyakannya bawah umur terpekik galak berkaraoke walaupun waktu baru menunjukkan jam 11 pagi. Tiada pemantauan daripada pihak berkuasa menyebabkan budak mentah ini berani berpeleseran dengan seragam sekolah.

Pemerhatian di beberapa sudut tangga dan ruang yang terselindung daripada pandangan umum mendapati botol minuman keras pelbagai jenama berselerakan di merata tempat.

Meskipun begitu, di kawasan belakang kompleks pula terdapat satu bilik solat yang dikatakan disediakan untuk pekerja di situ menunaikan ibadat, tetapi malangnya bilik itu sentiasa dikunci.

Bagi Mustaffa Yaakob, 43, pihak berkuasa perlu memainkan peranan lebih proaktif untuk membendung gejala sosial di kalangan remaja terutama di kalangan umat Islam.
Antara langkah yang patut dijalankan ialah dengan memantau kewujudan tempat untuk mereka mendapat hiburan murah tanpa kawalan.

"Sebut saja Plaza Perdana, orang ramai sudah maklum kawasan itu sebagai 'kawasan hitam', malah ramai tidak berani mendekatinya lantaran takut nama terjejas walaupun niat saya hanya untuk bergunting rambut di situ.

"Kerajaan negeri patut mengambil alih kompleks plaza itu, daripada terus membiarkannya menjadi antara wadah kepada generasi muda berselindung untuk melepaskan nafsu mereka," katanya.

Pengunjung, Haris Ismail, 23, berkata, walaupun dia dan rakan-rakan datang untuk memotong rambut dan makan di gerai di kawasan itu, masyarakat memandang sinis kerana mereka beranggapan ia hanyalah tempat untuk berbuat curang atau melakukan aksi ringan-ringan.

"Saya sudah tidak berani lagi untuk ke sini, apabila melihat sendiri tempat ini 'hidup' dan menjadi lokasi lepak kegemaran remaja liar. Setiap kali masuk ke bangunan ini, tidak sah kalau tidak ternampak remaja bercumbu. Mereka bijak mencari lokasi strategik di sudut tangga untuk memadu asmara," katanya.

Bagi mereka yang biasa melihat pemandangan ini seperti Kartina Abdul Rahim, 42, berkata mereka yang mabuk dan 'lalok' tidak segan silu mengacau orang ramai yang meletak kereta berdekatan dengan plaza ini.

"Saya takut untuk meletak kereta berdekatan dengan kompleks plaza itu, melihat mereka yang sedang khayal di bawah pengaruh dadah tidak segan silu menganggu ketenteraman orang ramai di situ.

"Justeru, kerajaan negeri patut memikirkan cara terbaik untuk membendung kerosakan akhlak muda mudi di sini, terutama dengan mengambil alih Plaza Perdana untuk ditukar dengan kegiatan lebih berfaedah termasuk pusat jualan barangan usahawan Terengganu," katanya.

SMZA - Masih tunggu siasatan

Kerajaan negeri sedang menunggu hasil siasatan mengenai kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMZA) yang runtuh pada 2 Jun lepas.


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, sehingga siasatan lengkap, kerajaan negeri tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut termasuk membaiki bumbung itu.

"Kita tunggu kajian yang dibuat Jabatan Kerja Raya kerana dalam perkara ini kita tidak perlu tergesa-gesa. Dari segi teknikal, ianya agak rumit dan kita kena tunggu siasatan yang dibuat oleh mereka yang bertanggungjawab," katanya semalam.

Stadium SMZA yang dibina untuk Sukan Malaysia (SUKMA) ke-12 tahun lepas, runtuh di bahagian bumbung utama pada 2 Jun selepas setahun ia digunakan.

Sehingga ini ia masih terbengkalai tanpa sebarang tindakan diambil untuk membaikinya.

Peruntuk RM50j program e-Book

Kerajaan negeri memperuntukkan RM50 juta bagi melaksanakan program e-Book bagi murid tahun tiga hingga lima tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, sebanyak 50,000 murid akan menikmati kemudahan tersebut menerusi bajet kerajaan negeri 2010 yang akan dibentangkan bulan depan.

"Seperti kerajaan Pusat yang memberi fokus kepada pendidikan dalam bajet 2010, kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan sama," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis penyerahan e-Book kepada 1,088 murid tahun lima di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak di sini hari ini.


Ahmad berkata, Pulau Pinang dan Sarawak menunjukkan minat dan menghubungi anak syarikat kerajaan negeri, Top IT Sdn. Bhd. yang mendapat hak untuk memasang dan mengedar e-Book daripada syarikat Intel Sdn. Bhd.

KIST sasar tambahan 1,000 pelajar tahun depan

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) menyasarkan pertambahan 1,000 pelajar pada tahun depan melalui beberapa program baru yang diperkenalkan di kampus Bachok dan cawangan Terengganu.


Ketua Pegawai Eksekutif (Pengambilan Pelajar) KIST, Noor Haslina Abdullah memberitahu, ia bakal menjadikan jumlah keseluruhan pelajar menjangkau 5,000 orang dalam satu-satu masa yang mengikuti 20 program ditawarkan.

"Di Bachok, kita menyediakan dua program terbaru iaitu Diploma Pemakanan Halal (DPH) dan Radioterapi (RTP) selain 12 program kejururawatan dan sains kesihatan lain.

"Di kampus cawangan Terengganu yang mulai beroperasi April lalu, dua program baru ditambah iaitu Teknologi Makmal Perubatan (TMP) dan Pembantu Farmasi (PF) bagi pengambilan 2010," katanya DI Kota Bharu semalam.

Noor Haslina berkata, program RTP ialah bagi memenuhi peluang kerjaya di pusat-pusat perubatan seperti jururadiografi terapi di institusi pengajian tinggi, pegawai jualan syarikat pembekal mesin dan aksesori radioterapi dan pegawai perlindungan sinaran.

"DPH pula merangkumi aspek penghayatan dan pelaksanaan hukum Islam dalam sains makanan merangkumi pengeluaran, pemprosesan, pengawetan, pemasaran dan pengambilan makanan terutama isu halal dan haram," ujarnya.

Kata beliau, graduan boleh menceburi industri kosmetik selain perkhidmatan dengan agensi-agensi penyelidikan dan penguatkuasaan.

Setiap program yang ditawarkan, mata pelajaran syariah menjadi mata pelajaran khusus kepada pelajar sejajar dengan imej kolej itu sendiri.

Katanya, selain program sains kesihatan, pelajar yang akan mengikuti program diploma syariah perlu menjalani proses temuduga bagi memastikan mereka berkebolehan dalam bidang keagamaan dan mempelajari bahasa Arab.

Tambah Noor Haslina, yuran pengajian di KIST adalah pakej termasuk penginapan, pengangkutan dan uniform iaitu pada kadar yang amat sederhana.

"Namun bagi meringankan bebanan keluarga, KIST melalui yayasan yang ditubuhkan memberi elaun bernilai RM200 sebulan kepada kebanyakan pelajarnya dalam bentuk e-Purse bagi mereka berbelanja di dalam kampus.

"Bagi pelajar yang menjalani latihan praktikal di luar, peruntukan untuk mereka diberikan secara tunai," ujarnya.

Monday, November 9, 2009

Belum Ada Negeri Tawar Tanah Untuk Kemasukan Peneroka Baru

Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa dalam tempoh tiga tahun iaitu dari 2006 hingga 2009, belum ada mana-mana kerajaan negeri yang bersetuju memberikan tanah bagi membolehkan Felda membuka semula kemasukan peneroka baru.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2006 yang ketika itu memegang portfolio Timbalan Perdana Menteri mengumumkan untuk membuka kembali kemasukan peneroka baru.

"Pada 2006, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Felda bercadang membuka kembali kemasukan peneroka dengan syarat kerajaan negeri mesti memberi tanah kepada rakyat yang layak terutamanya yang miskin tegar.

"Tetapi sejak 2006 hingga 2009, belum ada lagi satu kerajaan negeri yang bersetuju untuk memberikan tanah itu," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk membuka kembali sistem pengambilan peneroka yang dibekukan pada tahun 1990 dan ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk mengadakan Bai'ah (sumpah taat setia) supaya penerima geran pemilikan tanah tidak menderhaka.

Ahmad berkata kerajaan bagaimanapun pada masa ini masih lagi menunggu jika ada mana-mana kerajaan negeri yang ingin memberikan tanah bagi membolehkan kemasukan peneroka.

Mengenai soalan Bai'ah, beliau berkata sehingga hari ini sebanyak 85 peratus peneroka adalah yang menyokong kerajaan dan 15 peratus tidak menyokong.

Kepada soalan asal Mohd Jidin yang ingin tahu mengenai jumlah peneroka Felda yang telah diberikan geran tanah sejak lima tahun lepas, Ahmad berkata sejak Felda ditubuhkan, seramai 73,807 orang peneroka daripada 112,635 peneroka telah mendapat hak milik.

"Ini adalah 65 peratus daripada keseluruhan peneroka. Sejak lima tahun lepas, dalam tempoh 2004 hingga 2008, seramai 9,262 peneroka telah dikurniakan hak milik.

"Bilangan ini terdiri daripada 3,066 peneroka di Pahang, 3,535 (Johor), 688 (Negeri Sembilan), 264 (Selangor) 190 (Perak), 133 (Kelantan) dan 1,386 (Terengganu)," katanya.

Terengganu Inc. sasar lebih ramai pelabur asing

Terengganu Inc. mahu lebih banyak pelabur asing membuat pelaburan di negeri Terengganu dalam usaha membangunkan ekonomi negeri dan mewujudkan peluang pekerjaan.


Negeri itu mempunyai potensi pelaburan yang luas iaitu dalam perindustrian, kayu-kayan, perladangan, pelancongan dan minyak serta gas.

Negara-negara yang berpotensi untuk melakukan pelaburan di negeri berkenaan dalam tempoh terdekat ini adalah Jepun, Korea Selatan dan China.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mustapha Ahmad Marican berkata, selain perindustrian dan perladangan, pihaknya melihat pelancongan merupakan sektor yang amat berpotensi untuk dibangunkan.

Katanya, pelabur boleh melabur dengan membina lebih banyak pusat peranginan dan calet di negeri berkenaan.

Tambahnya, Terengganu turut mempunyai banyak pulau dan pantai yang cantik untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Selain itu, jelasnya, tasik di negeri itu juga boleh dikomersialkan supaya menarik perhatian pelancong.
"Walaupun kami membuka luas pelaburan asing, tetapi kami menetapkan syarat iaitu 70 hingga 80 peratus kakitangan yang bekerja dengan pelabur asing hendaklah anak jati Terengganu,'' katanya.

Beliau menambah, Terengganu Inc. yang diperbadankan 1 Mac 2006, kini mempunyai 100 buah anak syarikat.

Syarikat-syarikat di bawah Terengganu Inc, menjalankan aktiviti perniagaan dalam pelbagai bidang iaitu khidmat sokongan minyak dan gas, sumber asli, hartanah dan pembinaan, pertanian dan perladangan, pelancongan dan pelaburan.

Mustapha berkata, beliau merancang mewujudkan peluang pekerjaan baru di kalangan anak tempatan melalui anak-anak syarikat di bawah Terengganu Inc.

Katanya, pihaknya turut mengintai golongan profesional untuk mengisi jawatan dalam pelbagai bidang kepakaran masing-masing di Terengganu Inc dan anak-anak syarikat.

"Saya mahu mengubah imej dan pengurusan di setiap anak syarikat supaya ia menjadi lebih berdaya saing, cekap, sistematik dan mempunyai kepakaran yang khusus dalam bidang-bidang tertentu,'' ujarnya.

Ketika ditanya perluasan perniagaan dalam masa terdekat, beliau tidak menolak Terengganu Inc bakal mengintai peluang usaha sama dengan negara-negara Asia Barat dalam projek minyak dan gas.

Jefree juara Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan

Penunggang pasukan Royal Terengganu Edurance Stable (RTES), Jefree Zainuddin Mohamad Arif muncul

juara Kejohanan Kuda Lasak Terengganu Piala Sultan di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu semalam.

Penunggang berusia 25 tahun dan berasal Kuang, Selangor itu menewaskan 60 peserta dalam kejohanan sejauh 120 kilometer dengan catatan masa sembilan jam 13 minit dan 14 saat.

Kejayaannya itu membolehkannya membawa piala pusingan, trofi kejohanan dan wang tunai AS$10,000 (RM34,000).

Tempat kedua dimenangi oleh penunggang pasukan Ar-Raudah Equine Centre, Datuk Mohd. Shuaib Ishak dengan catatan masa 9:14:29s dan tempat ketiga diperoleh Ahmad Syazmeer Shamsudin dari pasukan Tengku Mahkota Kelantan Equestrian dengan 9:20:30s.

Mohd. Shuaib membawa pulang trofi dan wang tunai AS$7,000 (RM23,800) manakala Ahmad Syazmeer

pula memperoleh trofi dan wang tunai AS$5,000 (RM17,000).

Seramai 60 peserta menyertai perlumbaan sejauh 120 km bermula kelmarin namun hanya 13 penunggang berjaya menamatkan perlumbaan.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Turut hadir Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.
Jefree Zainuddin ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka muncul sebagai juara kejohanan tersebut kerana menerima saingan hebat daripada para peserta terutama Mohd. Shuaib.

''Keadaan jalan yang becak dan berlopak juga cabaran untuk menamatkan perlumbaan," katanya yang terlibat dalam sukan berkuda itu sejak berusia 12 tahun.

Dia memberitahu, dia menjalani latihan selama setahun sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran yang ditawarkan oleh TIEP.

ECER Pertingkat Pembangunan Modal Insan



Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) meneruskan usaha pembangunan modal insannya bagi membantu mendapatkan pekerjaan bagi graduan baru dan penganggur di Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing, di Johor.

Inisiatif yang diberi nama Program Penempatan Graduan (GPO) dan Program Penempatan Pekerjaan (EPP) itu bermula di Terengganu hari ini dengan taklimat anjuran Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) dan Jabatan Sumber Manusia, bagi lebih 170 syarikat.

Ketua pegawai eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John, berkata program-program itu akan menangani isu berkembar kadar pengangguran dan pekerja diberhentikan yang tinggi, terutamanya mereka yang terjejas oleh krisis ekonomi baru-baru ini.

"Ia juga akan menangani masalah syarikat-syarikat yang sama besar bilangannya dalam ECER yang mencari pekerja mahir dn separa mahir," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Di bawah GPO, graduan akan diambil bekerja oleh syarikat yang beroperasi dalam ECER selama dua tahun.

Dalam sembilan bulan pertama, peserta akan didedahkan dengan latihan sambil bekerja, di samping menikmati gaji bulanan minimum RM1,200, yang dibayar bersama oleh ECERDC dan syarikat yang mengambil bahagian.

Sementara itu EPP menempatkan pekerja kolar biru yang diberhentikan dan penganggur dengan syarikat rakan kongsi yang mencari kakitangan sambilan, kontrak dan tetap.

Issac John menjelaskan bahawa program ini memberi faedah kepada syarikat kerana ia membantunya memanfaatkan bakat-bakat dalam kumpulan modal insan yang sangat besar di negara ini.

"ECERDC menyasarkan untuk menempatkan 1,350 pekerja di bawah program ini. Dalam senario yang lebih luas, kami cuba mematah arah pengaliran keluar pekerja berkualiti dari ECER, dengan memberikan alasan yang kukuh untuk mereka kembali dan berkhidmat di negeri-negeri dalam ECER," tegasnya.

ECERDC juga mengendalikan Program Latihan Kemahiran bagi penganggur, graduan baru dan lepasan sekolah sejak Ogos tahun ini. Ia melibatkan lebih 2,000 peserta.

Program pembangunan modal insan di bawah ECER adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion yang diumumkan oleh kerajaan untuk menggerak atur sumber modal insan dengan matlamat menjana pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan baru.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui sekretariat ECER di talian 03-2035 0021/22 atau mana-mana pejabat wilayah ECER di Kota Bharu (09-7460021), Kuala Terengganu (09-620 0021) dan Kuantan (09-565 0021).

Program IUBT diberi peruntukan tambahan

Program Inkubator Usahawan Belia Tani (IUBT) akan diberi peruntukan tambahan bagi menarik lebih ramai penyertaan golongan muda dalam sektor pertanian negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, penambahan peruntukan tersebut dijangka dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) nanti.

Katanya, sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kerajaan memperuntukkan RM4.6 juta untuk program berkenaan dan perbincangan untuk menambah jumlah berkenaan akan dilakukan.

"Menjadi hasrat kerajaan untuk menarik minat usahawan tani muda kerana dalam masa yang sama mereka boleh membantu kerajaan mengurangkan import bahan makanan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil kepada 45 peserta Program Inkubator Usahawan Belia Tani 2009 di Pusat Latihan dan Pembangunan Pengembangan (PLPP) Wilayah Timur, baru-baru ini.

Mengenai masalah kekurangan modal, beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan TEKUN bagi membolehkan peserta yang lulus program berkenaan layak diberi jumlah pinjaman tertentu sebagai modal.

"Masalah ketiadaan tanah untuk dijadikan tapak penanaman pula, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri sekiranya mereka boleh menyediakan kawasan tanah terbiar kepada peserta kita untuk diusahakan," katanya.

Pihaknya juga menyarankan usahawan tani membentuk pakatan sesama sendiri bagi membolehkan pengumpulan hasil pertanian untuk menjamin bekalan berterusan dan konsisten jika ingin menembusi pasaran pasar raya.

"Peserta juga mendapat kerjasama baik daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dari segi pemasaran, jadi kita harap mereka dapat menjaga kualiti produk yang dihasilkan bagi memastikan produk mereka dapat sambutan," katanya.

Sunday, November 8, 2009

Yang Di-Pertuan Agong Ketuai Cabaran Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu

Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin memulakan saingan pada Kejohanan Cabaran Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu.

Baginda, yang mewakili pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) dengan menunggang kuda '

Jakim Murphy', berlepas dengan lancar sebaik sahaja dilepaskan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan, pada pukul 5 petang semalam.
Turut berkenan berangkat menyaksikan kejohanan itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dengan diiringi Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Baginda bersama bersama 12 peserta lain akan berlumba sejauh 120 kilometer dan dijangka menamatkan perlumbaan itu pada awal Ahad pagi.

Kejohanan itu, yang diadakan dalam keadaan cuaca yang baik, disertai oleh peserta dari negara Australia, New Zealand, Chile, Uruguay, Amerika Syarikat, Perancis, Thailand, Singapura dan Malaysia.

Pasukan tempatan yang turut beraksi ialah Wilayah Equestrian Team, State Terengganu Endurance Team (STET), Langkawi, Mastercaff Terengganu, Tengku Mahkota Kelantan, Wilayah Persekutuan, D'bali Kelantan, Kedah, Ar-Raudah, Kimi Stable Kelantan, UDM Terengganu, 3Q Selangor, Selangor Turf Club dan Bukit Kiara Equestrian Resort.

Kejohanan dengan tema "Kuda Sokmo" itu menawarkan hadiah wang tunai US$10,000 (RM34,000) serta piala pusingan kepada juara manakala naib juara akan menerima wang tunai US$7,000 (RM25,000).

Pemenang tempat ketiga pula akan menerima US$5,000 (RM18,000), keempat US$4,000 (RM13,500), dan kelima US$2,000 (RM6,800) serta US$1,000 (RM3,400) bagi peserta yang dapat menamatkan perlumbaan mengikut masa yang ditetapkan.

Majlis penyampaian hadiah kejohanan itu dijadual disempurnakan oleh Tuanku Nur Zahirah di Taman Tamadun Islam, Pulau "Wan Man" di Kuala Terengganu, petang ini.

Negeri Sembilan Julang Piala Malaysia

Negeri Sembilan yang menumpaskan Terengganu pada peringkat separuh akhir berjaya menjulang Piala Malaysia, piala paling berprestij dalam saingan Liga Malaysia.

Ia menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu malam.

Kemenangan ini membolehkan Negeri Sembilan menamatkan penantian selama 61 tahun setelah kali terakhir mendakapnya pada 1948 ketika piala itu dikenali sebagai Piala H.M.S. Malaya.

Status 'underdog' nyata tidak menjejas corak permainan skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu apabila membuka jaringan seawal minit ke-18.

Pemainnya, Shahurain Abu Samah berjaya melepaskan rembatan kencang di dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd Halim Napi setelah kesilapan dilakukan pemain pertahanan lawan, Mohd Zamri Ramli sekaligus menceriakan kira-kira 15,000 penyokong Negeri Sembilan.

Tersentak dengan gol itu, Kelantan yang ditemani sekurang-kurangya 70,000 penyokongnya terus memperkemaskan permainan yang berlangsung dalam hujan renyai dengan melancarkan beberapa serangan namun gagal memecahkan benteng lawan yang diketuai oleh Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak dan Mohd Syukor Adan.

Negeri Sembilan turut berpeluang untuk menambah jaringan dengan pemain pinjamannya dari T-Team,

Hairuddin Omar mempunyai sekurang-kurangnya tiga peluang namun dikecewakan Mohd Halim untuk kedudukan kekal 1-0 separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, 'The Red Warriors' yang terdesak untuk mencari gol penyamaan mengeluarkan dua penyerangnya, Norhisham Hassan dan Mohd Nizad Ayub dengan memasukkan dua penyerang berpengalaman iaitu Che Hishammuddin Hassan dan Mohd Khalid Jamlus.

Namun Negeri Sembilan semakin garang apabila Hairuddin menjaringkan gol kedua pada minit ke-46 setelah bijak meloloskan diri daripada pertahanan Kelantan hasil hantaran Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.

Pada minit ke-58, Negeri Sembilan mengesahkan kemenangan apabila penyerang kebangsaan Mohd Zaquan menyempurnakan sepakan penalti setelah Shahurain dijatuhkan Mohd Zamri dalam kotak penalti.

Gol itu menyebabkan sebahagian besar penyokong Kelantan bertindak meninggalkan stadium dan sesetengahnya membakar bendera, kain rentang, kerusi dan mercun.

Penyerang berbisa The Red Warriors, Indra Putra Mahayuddin akhirnya menjaringkan gol untuk Kelantan pada minit ke-93 (masa tambahan) setelah menyempurnakan sepakan percuma di luar kotak penalti sekaligus merupakan penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan 11 gol.

Kekalahan ini menambah lagi duka Kelantan musim ini setelah tewas kepada Selangor pada perlawanan akhir Piala FA, April lepas malah pasukan pantai timur itu tidak pernah menjulang Piala Malaysia sejak ia diperkenalkan 88 tahun lepas.

Berangkat menyaksikan perlawanan itu adalah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir; Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra; dan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Wan Jamak berkata gol awal memang diperlukan mana-mana pasukan jika beraksi di perlawanan akhir dan Shahurain berjaya merealisasikannya.

"Gol itu dapat menentukan hala tuju permainan pasukan dan serta merta dapat mengubah corak permainan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata pemain-pemain Negeri Sembilan telah membuktikan mereka mempunyai jati diri dan kekuatan mental yang tinggi walaupun berdepan dengan ribuan penyokong lawan.

"Saya memang berkeyakinan untuk menang jika berdasarkan perlawanan-perlawanan yang dilalui sepanjang saingan Piala Malaysia namun tidak mahu terlalu yakin," katanya yang turut berbangga dengan rekod Negeri Sembilan merupakan satu-satunya pasukan yang tidak pernah kalah pada Piala Malaysia.

Sementara jurulatih Kelantan, B.Sathinathan berkata gol kedua lawan telah menyebabkan pemain-pemainnya lemah semangat untuk kembali melawan.

"Saya juga menghadapi kesukaran untuk menukarkan Mohd Zamri di bahagian pertahanan walaupun beliau telah melakukan beberapa kesilapan kerana terikat kepada peraturan.

"Mohd Zamri merupakan pemain bawah 19 tahun di mana Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mensyaratkan perlu ada seorang pemain bawah umur itu sepanjang permainan, masalahnya seorang lagi pemain Kelantan merupakan penyerang," katanya.

Semua Agensi Diarah Bersedia Bantu Mangsa Banjir - Shahrizat

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah diarah bersedia untuk menghulurkan khidmat di kawasan yang dilanda

banjir, kata Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata agensi yang terlibat termasuk juga Jabatan Pembangunan Wanita akan memantau perkembangan banjir serta mengkaji bentuk bantuan yang wajar dihulurkan.

Berdasarkan laporan banjir yang diterima daripada JKM Kelantan dan Terengganu, pusat pemindahan banjir telah dibuka dan kebanyakan mangsa telah ditempatkan di pusat terbabit, katanya.

"Pihak kementerian dan juga JKM akan terus memantau perkembangan banjir di kedua-dua negeri di Pantai Timur itu dari semasa ke semasa bagi mengkaji bantuan yang diperlukan.

"Sehingga kini, JKM telah pun menyediakan bantuan asas termasuk makanan untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Peringkat Kebangsaan 2009 di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK), Taman Putra Perdana, Puchong semalam.
Banjir yang melanda di Kelantan dan Terengganu bermula pagi semalam, telah meragut satu nyawa di Pasir Puteh, Kelantan, manakala kira-kira 2,000 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di kedua-dua negeri itu sehingga kini.

Shahrizat turut menasihatkan penduduk di Kelantan dan Terenganu yang terjejas akibat banjir agar menjaga keselamatan keluarga bagi mengelak daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa ketika musim banjir termasuk di kawasan sungai, longkang, oleh itu adalah penting penduduk di kawasan yang dilanda banjir mengamalkan sikap berhati-hati," katanya.