Saturday, August 14, 2010
Jangan bayar zakat kepada pemimpin
Yang Diperua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Senara Muda Mazlan Hashim berkata, ini berikutan Maidam menerima banyak laporan kebanyakan umat Islam di kawasan kampung di negeri ini mengambil jalan mudah membayar zakat fitrah menerusi pemimpin masyarakat.
“Dari segi undang-undang pentadbiran, hanya amil bertauliah sahaja yang diberikan tanggungjawab memungut zakat fitrah ini.
“Bagi mereka yang membayar zakat fitrah bukan kepada amil bertauliah mereka telah menyalahi undang-undang itu,” katanya.
Katanya, pembayaran zakat fitrah bukan kepada amil bertauliah adalah tidak diiktiraf.
Justeru, beliau meminta umat Islam di kawasan kampung perlu lebih cakna dan mengambil berat akan perkara berkenaan agar zakat fitrah yang dikeluarkan diperoleh pihak yang sepatutnya.
Jangan Sampai DiPerdaya Penjenayah Siber
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Terengganu, Superintendan Azmi Adam, berkata wanita berusia 33 tahun dari Kampung Telemong, Hulu Terengganu, itu mendakwa dirinya menjadi mangsa sindiket yang mengugutnya atas alasan tidak menjelaskan cukai membawa keluar bungkusan mengandungi sejumlah besar wang bantuan yang ‘tersangkut’ dalam stor kastam.
Kes dilaporkan mangsa Rabu lalu, kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis kini mencari identiti pemanggil serta individu yang ada berhubung dengan mangsa sebelum ini.
“Kejadian bermula pada jam 10 pagi, 25 Julai lalu ketika mangsa melayari internet di rumahnya. Ketika bersembang di satu laman sosial, mangsa mengenali ‘Mr Messina’ yang memintanya memberi maklumat peribadi untuk dihubungi.
“Beberapa hari kemudian, mangsa dihubungi menerusi telefon oleh lelaki berkenaan yang memaklumkan bungkusan kebajikan itu sudah sedia diserahkan, tetapi mangsa perlu membuat sedikit pembayaran,” katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Mangsa dihubungi individu lain beberapa hari kemudian yang memaklumkan barangan itu sudah tiba dan akan dibawa ke Terengganu.
“Bagaimanapun sebelum menghantar barang itu, mangsa diminta membayar kira-kira AS$1,500 (RM4,800) dan beliau akur.
“Namun mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran susulan AS$6,250 (RM20,000) atas alasan barang itu ‘tersangkut’ dalam stor kastam dan perlu dikeluarkan segera,” katanya.
Mangsa bertindak menghubungi pengirim bagi memaklumkan beliau tidak mempunyai wang itu.
Tindakan itu menyebabkan pengirim bengang lalu mengugut kononnya beliau terpaksa menanggung kos kerana disiasat FBI disebabkan kiriman itu turut membawa sejumlah besar wang.
“Mangsa yang bimbang dan berasa tertipu membuat laporan di Balai Polis Telemong sebelum kes dirujuk ke Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu,” katanya.
Qi Tanda Kemasukan Ke Malaysia Dengan Pengambilalihan Strategik
Qi Group, satu syarikat e-niaga global yang berpangkalan di Hong Kong, yang diketuai oleh usahawan Datuk Vijay Eswaran, berasal dari Terengganu, kini sedang menimbangkan untuk mengambil alih hartanah strategik di Malaysia di dalam bidang liburan, hospitaliti dan industri berkaitan kesihatan, yang termasuk menubuhkan hospital pakar termampu, yang dilihat sebagai "sireh pulang ke gagang" jutawan itu.
Ini, beserta pembelian bangunan bernilai RM60 juta oleh kumpulan itu di Seksyen 8 di sini sebagai ibu pejabat serantaunya dan perancangan meninggi gunung bagi pembinaan pusat peranginan Endau-Rompin, menandakan komitmennya dan kemasukannya ke Malaysia secara besar-besaran.
Ibu pejabat serantau di sini itu akan menyatukan operasinya di Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina, katanya kepada Bernama di Petaling Jaya.
Vijay, yang muncul di kalangan tokoh kewangan Hong Kong sejak sedekad yang lepas, berkata sebagai konglomerat yang mempunyai jangkauan global, kumpulan itu akan terus mencari hartanah terbaik di Thailand, Mauritius, Maldives dan Kenya selain Malaysia bagi mengembangkan perniagaan liburan dan hospitalitinya.
Sungguhpun begitu, fokus semasanya ialah untuk berpindah ke Malaysia secara besar-besaran dan membina rekod prestasi dengan institusi kewangan.
"Kami boleh membeli bangunan ibu pejabat itu secara sendirian dari dana sendiri. Tetapi, kami mendapatkan pembiayaan 60 peratus bagi membina kredibiliti kewangan dan nama baik di negara ini," katanya.
Qi Group, yang bermula sebagai syarikat e-niaga pada 1998, kini berkembang sebagai satu konglomerat pelbagai negara dengan enam perniagaan utama -- telekomunikasi, gaya hidup dan liburan, barang mewah dan benda-benda yang boleh dikumpul, latihan dan pengurusan persidangan, pembangunan hartanah dan perniagaan jualan langsung dengan anak syarikat di 30 negara.
Vijay berkata kehadiran berterusan dan dipertingkatkan oleh kumpulan itu di Malaysia juga disokong oleh kepercayaan terhadap potensi ekonomi negara ini dan keperluan untuk membina keperibadian tempatannya sendiri.
Usaha sama besar Qi yang sedang dilaksanakan di Malaysia ialah projek pusat peranginan Endau-Rompin di Pahang yang meliputi kawasan 200 ekar (kira-kira 80 hektar) pada kos pembangunan US$250 juta.
Perancangan dilakukan untuk melaksanakan rancangan jangka panjang yang akan menyediakan satu marina, pembangunan bercampur-campur, villa, satu hotel butik serta pusat budaya dan warisan apabila ia beroperasi di dalam tempoh lima tahun akan datang, katanya.
Kawasan itu dibeli pada harga awal US$28.1 juta (RM70 juta).
Kumpulan itu juga akan menubuhkan lima hospital pakar swasta di dalam tempoh tiga tahun dengan pelaburan RM18-RM20 juta setiap satu dengan menyediakan perkhidmatan perubatan termampu di dalam pelbagai bidang seperti pembedaan, dermatologi, operasi kecemasan dan klinik am.
Salah satu hospital berkenaan akan dibina di luar kawasan bandar seperti Banting di mana tanahnya telah diperolehi.
Hospital empat tingkat itu, dengan 40-60 katil itu, dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua tahun. Kawasan berpotensi yang lain termasuk Kluang dan Kuantan.
Katanya: "Kami berharap hospital termampu itu dapat menarik pelancong perubatan ke Malaysia yang merupakan satu insentif untuk menarik pelancong kerana Malaysia menawarkan jauh lebih murah dari Singapura. Ia sesuai dengan strategi pelancongan kita."
Vijay berkata syarikat itu juga sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri Pahang untuk membina Pekan Istana, iaitu satu istana klasik, yang dibina tanpa menggunakan sebatang pakupun atau penggunaan simen dan terletak di kawasan istana.
"Malaysia tidak menggunakan budaya dan warisan seperti yang digunakan seperti di Bali dan Thailand (dan) lebih-lebih lagi budaya di Pahang, Terengganu dan Kelantan yang perbezaan ketara dengan yang di pantai barat," kata Vijay.
Vijay, teruja untuk memperkenalkan budaya dan warisan negeri itu yang kaya dengan arkitektur Melayu pantai timur dan bukan setakat keindahan pantai dan lautannya.
Sebaik sahaja Pusat Peranginan Endau-Rompinnya beroperasi dalam tempoh lima tahun lagi, kumpulan itu juga merancang membangunkan tasik yang terkenal dengan lagendanya, bagi digandingkan dengan kawasan hutan warisan yang berusia 100 juta tahun Endau-Rompin.
"Kami akan memulihara paya bakau dan persekitaran hartanahnya dan mambina kabin menggunakan tiang bagi memulihara keseimbangan ekologi projek itu," katanya.
Mengenai pulangan daripada pelaburan itu, katanya ia akan memberikan pulangan yang menguntungkan kerana pusat peranginan itu sendiri akan dikunjungi oleh pasaran pelancongan khusus dari Vacation Clubnya yang mempunyai data pelanggan enam juta pelanggan di seluruh dunia.
Kumpulan yang sangat dipelbagaikan itu sememangnya telah membawa masuk pelancong ke Malaysia, Thailand, Bali dan Timur Tengah.
Bagi tujuan itu, kumpulan itu juga sedang mencari satu hotel bandar di Kuala Lumpur yang boleh menjadi tapak perhentian sebelum bertolak dan menikmati keindahan di Endau-Rompin dan Tasik Chini.
Kumpulan itu sedang berunding dengan dua hotel, "tetapi kami mungkin tidak akan mengambil alih kedua-duanya. satu terletak di Jalan Sultan Ismail di KL dan satu lagi PJ, berdekatan Amcorp Mall" yang menempatkan operasi semasa Qi.
"Kami juga sedang mengkaji hartanah di Mauritius, Kenya bagi safari, dan satu pulau di Maldives bagi menambah kepada pelan pembesaran kami," katanya.
Di pusat peranginan miliknya di pulau Koh Samui di Thailand, katanya kumpulan itu sedang membina hotel mewah kedua di sepanjang pantai Boh Put pulau itu.
Majlis pecah tanah pusat peranginan kedua di Koh Samui akan dilaksanakan pada bulan ini.
Vijay berkata kumpulan itu juga merancang mendapatkan hartanah di Sabah dan Sarawak, kemungkinan di pulau di luar pantai Sandakan serta di Balik Pulau, Pulau Pinang."
Katanya usaha mencari hartanah yang mempunyai lokasi yang baik tidak akan berhenti bagi keperluan syarikat itu, yang sememangnya mempunyai kebaikan dan keburukan.
Yang baiknya, beliau berkata pengambilalihan hartanahnya dilakukan menggunakan dana dalaman, yang sekaligus menimbulkan keburukan yang menyebabkan syarikat itu tidak dikenali oleh institusi kewangan.
"Sebab itu kami kini menukar strategi untuk berunding dengan bank bagi mendapatkan pinjaman dan secara sewa beli berbanding dengan pelbelian terus," katanya.
"Ibu pejabat PJ berkenaan telah memberikan kami asas yang baik di segi nilai kredit kami," kata Vijay.
Para pekerja syarikat itu telah mulai berpindah ke ibu pejabat baharunya di PJ8 di Petaling Jaya.
Pada peringkat awal, ia akan menempatkan operasi kewangan, pentadbiran, teknologi maklumat dan audit dan akan diikuti oleh fungsi luaran yang lain, seperti kerja grafik di Thailand, "copyrighting" (Filipina), pusat panggilan (yang dibahagi antara Filipina dan Malaysia), perundangan serta pengembaraan dan percutian (Singapura).
"Jabatan demi jabatan sedang disatukan kerana terlalu besar dan pekerja di sini kini lebih 400 orang berbanding dengan hanya 80 orang lima tahun lepas bagi menyokong operasi global kami," katanya, yang jelas mengesahkan Qi akan berada lama di Malaysia.
Jabatan Perikanan Guna Satelit Kumpul Maklumat Penyu Belimbing
Ketua Pengarahnya Datuk Ahamad Sabki berkata pemasangan peranti 'Platform Transmitter Terminal' (PTT) pada seekor penyu belimbing yang dinamakan 'Puteri Rantau Abang' diharap dapat membantu jabatan mengenal pasti tabiat pemakanan serta corak migrasi haiwan itu.
"PTT yang dibeli dari New Zealand dengan harga RM7,000 itu juga mampu membekalkan data mengenai maklumat ekologi seperti kadar kemasinan serta suhu air laut dan ia penting bagi saintis mengetahui keadaan laut yang sesuai untuk penyu belimbing," katanya.
Beliau yang ditemui pemberita selepas menyaksikan pelepasan Puteri Rantau Abang ke laut di Rantau Abang Rabu petang, berkata kajian itu dianggar menelan belanja sehingga RM20,000.
Penyu belimbing betina berusia 32 tahun dengan berat mencecah 500 kg itu adalah hasil projek penetasan penyu di Terengganu pada 1978, dan ia dikenali berdasarkan tanda yang diletak padanya sebelum dibebaskan ke laut.
Puteri Rantau Abang dikesan buat pertama kali ketika bertelur di sini pada 15 Julai lepas dan kembali semula pada 26 Julai serta 6 Ogos.
Selepas mengeluarkan 217 telur, penyu itu ditangkap dan dikurung di dalam tangki bagi tujuan pemasangan peranti sebelum dilepaskan semula ke laut semalam.
"Kita menjangkakan penyu ini akan berenang menuju ke perairan Vietnam dan Jepun dan seterusnya memasuki perairan Lautan Pasifik. Mungkin juga ia berenang ke arah selatan menuju perairan Indonesia, Kepulauan Solomon dan terus ke Australia atau New Zealand.
"Bagaimanapun kita mendoakan supaya Puteri Rantau Abang ini akan selamat serta berenang kembali ke Rantau Abang dan kita menjangkakan ia berlaku di antara 16 hingga 19 Ogos ini," kata Ahamad.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Datuk Za'aba Mohd Adib yang turut hadir berkata setakat ini hanya tiga ekor penyu belimbing telah mendarat dan menghasilkan enam sarang telur di Rantau Abang.
Primula Beach Rai Anak Yatim, Warga Emas
Hotel Primula Beach di Kuala Terengganu tidak ketinggalan membuat amalan sama dengan meraikan 20 anak-anak yatim dan lapan warga emas di hotel berkenaan semalam.
Kesemua 20 anak yatim itu adalah penghuni Rumah Darul Hilmi di Teluk Ketapang, Seberang Takir di sini dan lapan warga emas dari Rumah Sejahtera Bukit Payong, Marang.
Selain diraikan pada majlis berbuka puasa, anak-anak yatim tersebut turut menerima duit raya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
Pengurus Jualan dan Pemasaran Primula Beach Hotel, Tina Surinda berkata, program itu merupakan acara tahunan yang membuktikan keprihatinan pihaknya kepada golongan tersebut terutama ketika Ramadan.
"Tiada apa yang lebih menggembirakan kita melainkan apabila membuatkan anak-anak yatim ini bergembira," katanya.
Tambahnya, pada 26 Ogos ini, pihaknya akan mengagihkan bubur lambuk di tempat letak kereta hotel berkenaan serta menganjurkan sambutan Aidilfitri bersama anak-anak yatim dan warga emas.
3 Kempen Kesihatan Sempena Ramadan
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. Abdul Rahman Mokhtar berkata, kempen itu dijangka menerima sambutan positif masyarakat memandangkan kehadiran bulan puasa dapat mendisiplinkan mereka.
Katanya, aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan secara intensif telah dijalankan oleh JKN dan mendapati bahawa tahap pencemaran mikrobiologi pada makanan-makanan di bazar-bazar Ramadan semakin memuaskan pada tahun lalu.
Katanya lagi, kadar pelanggaran mikrobiologi adalah 27.6 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 53.2 peratus (2008), 41.3 peratus (2007) dan 57.8 peratus (2006).
"Operasi yang dijalankan pada Ramadan tahun lalu mendapati 2.8 peratus sampel makanan tidak menepati standard Jumlah Kiraan Plat (TPC) iaitu petunjuk berkaitan dengan situasi am.
"Sebanyak 12.8 peratus sampel makanan pula tidak menepati standard Koliform (petunjuk kebersihan), 9.4 peratus dikesan tercemar dengan bakteria E.coli (bakteria yang berasal dari najis) dan 8.2 peratus dikesan tercemar dengan bakteria Staphylococcus Aureus," katanya kepada pemberita sejurus melancarkan kempen berkenaan di bazar Ramadan Dataran Syahbandar semalam.
Sebelum itu, beliau bersama pegawai dan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri turut melawat bazar berkenaan dan mengagihkan risalah-risalah keselamatan makanan, apron dan sarung tangan kepada peniaga.
Dr. Abdul Rahman memberitahu, pada Ramadan tahun lalu, makanan jenis kerabu mencatatkan peratus pencemaran tertinggi iaitu 77.8 peratus diikuti nasi pelbagai (75 peratus), masakan ikan dan daging (45.1 peratus), pasta yang merangkumi mi, bihun dan laksa (25 peratus), sayuran (22.6 peratus), kuih-muih (19.7 peratus) dan air minuman (12.4 peratus).
Beliau turut menasihatkan peniaga-peniaga bazar Ramadan agar mengamalkan panduan makanan selamat yang ditetapkan oleh JKN serta menasihatkan pengguna supaya turut peka dengan isu berkaitan.
Mengenai Kempen Nafas Baru Bermula Ramadan, beliau menjelaskan strategi JKN adalah membantu perokok-perokok berhenti merokok kerana peluang untuk berjaya lebih tinggi pada bulan puasa.
"Individu yang memerlukan maklumat untuk berhenti merokok, JKN juga membuka Gerai Berhenti Merokok di bazar-bazar Ramadan bagi memudahkan mereka mendapatkan nasihat dan bantuan," ujarnya.
Bagi Kempen Kurangkan Pengambilan Gula, Dr. Abdul Rahman turut menyarankan agar peniaga-peniaga serta pengeluar produk makanan menyediakan alternatif kepada pengguna dengan pilihan produk yang dilabel rendah gula atau bebas gula.
'Geng 13' tarik pengundi atas pagar
Ketuanya, Saiful Bahri Baharuddin menjelaskan, program 'bersemuka' itu bagi mendapatkan maklum balas mengenai sikap pengundi-pengundi muda secara lebih jelas melalui pendekatan yang lebih mesra.
"Golongan muda tidak lari daripada UMNO tetapi mereka kurang diberi pendedahan mengenai dasar dan matlamat perjuangan UMNO yang sebenar.
"Pemuda UMNO di semua peringkat cawangan dan bahagian seluruh negeri sentiasa melakukan gerak kerja ke arah itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di Kuala Terengganu.
Saiful Bahri berkata, Pemuda UMNO negeri sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi PRU ke-13 dengan mengemaskini jentera parti selain menghantar petugas-petugas ke pilihan raya kecil untuk tujuan pendedahan mengenai gerak kerja pilihan raya sebenar.
"Untuk itu juga, proses untuk mendaftarkan pengundi-pengundi baru sebagai pemilih ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilakukan sepanjang masa dan tidak secara bermusim," tambahnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Marang.
Thursday, August 12, 2010
Apa, Muka 'Tok Guru Haji Hadi' Tak Komersil Ke?
Orang tua-tua ada berpesan, gambar yang dipamerkan di mana-mana juga jangan sampai dijadikan 'pemujaan'.
Ini kerana jika menjadi pemujaan, ia akan bertentangan dengan ajaran Islam.
Itu pesan orang tua-tua. Itu mungkin dulu-dulu, sekarang mungkin tidak apa. Pedulikan pesan orang tua-tua.
Ada peristiwa menarik pada malam Sabtu lalu. Menurut Spy Leman melalui http://www.mykmu.net/ , ada kalangan dijemput untuk menghadiri upacara pelancaran tabung derma PAS pada Sabtu yang lalu.
Rupanya ia adalah Tabung Impian Rakyat Malaysia ataupun TIRAM yang dilancarkan secara rasmi oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam.
Tabung ni diilhamkan oleh Datuk Husam Musa bagi mengumpul dana peruntukan untuk persediaan PAS melangkah masuk ke Putrajaya selepas PRU ke13 nanti. Husam juga mensasarkan kutipan sebanyak RM 20 juta untuk tabung TIRAM ini.
Pada malam 7 Ogos itu kutipan derma dikutip melalui cara penjualan meja makan didalam majlis itu. Menariknya, pada akhir majlis tersebut telah diadakan acara lelongan gambar Nik Aziz dan juga lukisan Zunar bagi menambah dana tabung.
Menurut pengacara majlis semua hasil pendapatan dari lelongan gambar tersebut akan didermakan 100% kepada tabung TIRAM.
Lelongan dimulakan dengan gambar lukisan Zunar yang bertajuk ‘Tun Razak Takut Komunis’ dan juga ‘Najib Razak takut kartunis’. Amat menghairankan, gambar lukisan Zunar bertaraf sampah sebegini sanggup dibeli oleh pembida dari kalangan PAS dengan harga sebanyak RM 1500 !
Lelongan seterusnya diikuti dengan sebuah gambar Nik Aziz yang kelihatan sedang berdoa sambil mengalirkan airmata. Pengacara Majlis memberitahu bahawa gambar tersebut telah diberikan nama khas iaitu ‘ Doa Syahdu Tok Guru ‘.
Rupanya, ramai pengikut taksub PAS yang hadir amat menggilai Nik Aziz. Berebut-rebut dikalangan mereka untuuk membeli gambar ‘Tok Guru’ ini hinggakan keadaan menjadi agak kecoh.
Akhirnya, potret Nik Aziz sedang berdoa sambil mengalirkan airmata yang dinamakan ‘ Doa Syahdu Tok Guru ‘ ini dijual dengan harga RM 6,000 sekeping!
Lelongan terakhir di Majlis kutipan derma berkenaan adalah merupakan sebuah lagi gambar Nik Aziz yang berkopiah putih sambil tersengih. Pengacara Majlis juga memaklumkan bahawa gambar ini juga telah diberi nama khas iaitu ‘ Seceria Suria Pagi Tok Guru ‘.
Kita nak tunggu bila pula gambar ‘Tok Guru Haji Hadi’ dijual. Mana satu agaknya gambar beliau menarik untuk dilelong.
Husam mungkin boleh memikirkan hal ini kerana dia kepala dalam mengumpulan tabung TIRAM berkenaan.
Apa muka Haji Hadi tak komersil ke? Presiden PAS ini sebenarnya lebih hebat daripada Nik Aziz sebab ada 'Fatwa Hadi' yang begitu popular di Terengganu kira-kira dua puluh tahun lalu.
MBKT Atasi Kesesakan, Memperindah Bandar Raya
Datuk Bandarnya Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata bagi tujuan itu, terminal bas bersepadu akan dibina di pinggir bandar iaitu di Bukit Besar membabitkan peruntukan RM63 juta.
Ini sebagai tambahan kepada tempat letak kereta tiga tingkat dengan kapasiti 250 buah kenderaan bernilai RM9.8 juta di Batas Baru yang dijangka siap akhir tahun ini, katanya diKuala Terengganu, kelmarin.
Bagi memperindah dan menceriakan bandar raya ini, katanya mercu tanda akan dibina di pintu-pintu masuk ke Bandaraya Kuala Terengganu iaitu Chendering, Padang Midin, Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Batu Rakit.
MBKT juga membaik pulih landskap di jalan-jalan utama dan menaik taraf landskap sedia ada di Taman Bunga Raya dan Arca Piala Monsun berhampiran Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, katanya.
"Taman-taman awam juga diberi penambahbaikan dengan penambahan pusat beriadah dan taman permainan bagi keselesaan orang ramai," katanya.
Adzlan berkata MBKT juga akan mempunyai bangunan sendiri setinggi 18 tingkat yang akan dibina di Muara Selatan Bandaraya Kuala Terengganu tidak lama lagi.
Beliau berkata pembinaan menara MBKT itu akan dapat meningkatkan imej organisasi MBKT di samping dapat memberi keselesaan kepada warga kerjanya.
"MBKT juga merancang untuk membangunkan pusat perniagaan baru di Gong Badak yang akan melibatkan dua kawasan utama iaitu Metro Pacific dan Rimba Jaya. Ia juga boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan Gong Badak," katanya.
Bank Rakyat Akab Buka Cawangan di Terengganu
Ini termasuk empat cawangan baru di Sarawak, tiga di Sabah dan masing-masing satu di Kedah, Pahang dan Terengganu.
Bank Rakyat menjangka mencatat keuntungan sebelum cukai RM1.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2010, kata Pengurus Besar Operasi Cawangannya, Ahmad Kidzbullah Redzuan.
Katanya jangkaan tahun ini lebih tinggi berbanding keuntungan tahun lepas iaitu sebanyak sebanyak RM1.55 bilion.
"Kami yakin mencapai keuntungan RM1.7 bilion sepanjang tahun ini kerana sejak Januari hingga Jun lepas, keuntungan yang dicatatkan sudah melebihi RM826 juta," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan zakat perniagaan sebanyak RM229,500 kepada 2,295 pelajar sekolah Daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Kepala Batas, kelmarin.
Katanya jangkaan keuntungan itu adalah hasil perniagaan operasi runcit dan pembiayaan komersil oleh kesemua 125 cawangan Bank Rakyat di seluruh negara.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Wilyah Utara Bank Rakyat Mohd Azmir Mohd Nasurdin.
Ahmad Kidzbullah berkata jangkaan berkenaan juga dibuat berpandukan perkembangan semasa termasuk langkah Bank Rakyat untuk membuka 10 buah lagi cawangan baru bagi tempoh lima bulan akan datang ini.
"Bank Rakyat akan membuka empat cawangan baru di Sarawak, tiga di Sabah dan masing-masing satu di Kedah, Pahang dan Terengganu," katanya.
Terdahulu, pada majlis itu, beliau berkata pemberian zakat dan sumbangan adalah salah satu aktiviti tanggung jawab sosial korporat bank kepada masyarakat.
"Baru-baru ini, Bank Rakyat telah menyampaikan RM893,523 zakat perniagaan bagi tahun 2009 kepada Pusat Urus Zakat Pulau Pinang untuk diagihkan kepada golongan asnaf dan kita turut memberikan zakat kepada golongan yang layak di negeri ini melalui cawangan-cawangan,"katanya.
Elak Pensyarah Mengantuk, UMT Anjur Pertandingan Menulis Artikel
Naib Canselornya Prof Dr Aziz Deraman berkata pertandingan kali kedua diadakan itu antaranya bertujuan meningkatkan inovasi di samping memperbanyakkan hasil penulisan pensyarah UMT.
"Kita tidak mahu pensyarah-pensyarah merasa mengantuk pada bulan puasa sebaliknya kita mahu mereka memperbanyakkan kerja-kerja penulisan," katanya semalam.
Aziz berkata kali pertama pertandingan diadakan pada bulan puasa tahun lepas, pensyarah UMT menghasilkan 240 artikel dalam kategori yang ditawarkan.
Pertandingan itu yang menawarkan hadiah wang tunai RM10,000 meliputi penulisan manuskrip, artikel serta jurnal dalam pelbagai bidang, katanya.
Aziz berkata karya yang memenangi setiap kategori akan dibukukan dan dihantar untuk pembentangan pada persidangan atau jurnal antarabangsa.
RM10 Juta Tambahbaik Tasik Kenyir
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Hamzah Ngah berkata antara yang diberi tumpuan ialah membangunkan Kenyir Island Hopping dan Petang Island Resort (PIR).
"PIR, yang dibangunkan Ketengah dengan kos RM5 juta adalah usaha untuk menambah baik tempat penginapan dengan diuruskan sebuah anak syarikat Ketengah iaitu Nikaniaga Sdn Bhd," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Petang Eco Xventure Park (PEXPA) di PIR oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat di Hulu Terengganu, Selasa lalu.
PEXPA yang diwujudkan di atas kawasan seluas 24 hektar dengan peruntukan RM5.5 juta bagi membangunkan eko-pelancongan menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi seperti paintball, abseiling, repelling, flying fox dan berkayak.
Hamzah berkata PEXPA diharap dapat menjadikan PIR khususnya dan Tasik Kenyir amnya sebagai hub kepada aktvititi berkaitan eko-pelancongan.
"Ketengah percaya PEXPA akan muncul sebagai satu tarikan baru untuk kawasan pelancongan itu dan bagi menjayakannya, pelbagai usaha bersepadu akan dijalankan oleh PIR termasuk promosi dan penganjuran program dan aktiviti yang akan membawa lebih ramai pengunjung ke situ," katanya.
Cabaran Penerbit Menghasilkan Syahadah
Pengalaman ditahan dan dimasukkan dalam lokap, diekori secara senyap dan dihalau pihak berkuasa negara adalah antara cabaran serta kesukaran krew RTM dalam menyiapkan dokumentari Syahadah musim keenam ini.
Namun, kesukaran itu bagaikan terubat, apabila masyarakat Islam di negara yang menjadi destinasi pilihan tahun ini iaitu Sumatera dan Kepulauan Jawa, Indonesia; Wilayah Yunnan, China; Kerala dan Gujerat, India, Kemboja serta Korea Selatan dan Jepun menerima baik kedatangan krew.
Buktinya, apabila disebut saja Malaysia, kedatangan krew Syahadah yang diketuai Penerbit Eksekutifnya, Ibrahim Zaidi Ismail disambut mesra dan baik sekali.
Ternyata, pandangan dan penghormatan masyarakat negara luar terhadap umat Islam Malaysia sangat tinggi. Kelebihan masyarakat Islam Malaysia hidup bercampur dengan kaum lain dalam keadaan penuh harmoni, aman dan bersatu tanpa peperangan dan berjaya sebagai sebuah negara membangun, membangkitkan rasa kagum dan hormat mereka kepada umat Islam Malaysia.
Begitu beruntungnya umat Islam di negara ini yang boleh melakukan ibadat tanpa sebarang kekangan, berbeza dengan umat Islam minoriti di luar negara di mana ada yang dihalau keluarga, dibuang negara, malah ada terpinggir apabila tidak mendapat hak sepatutnya walaupun mereka adalah rakyat negara terbabit.
Perkara seperti ini ternyata menginsafkan. Kalau kita lihat umat Islam yang menjadi penduduk minoriti di negara berkenaan, mereka berdepan kepayahan untuk melakukan amalan Islam, tetapi dalam keadaan serba serbi kekurangan, mereka tetap kuat mempertahankan agama. Jadi, mengapa kita yang berada di negara yang majoriti umatnya beragama Islam sendiri sukar melaksanakan ajaran Islam?
Ahmad Said meneliti naskhah al-Quraan pada pameran sempena Syuhadah - Gambar Zulkifli Putra
"Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang tiga bulan menjalankan penggambaran program ini di luar negara, tetapi kami puas kerana mahu menyajikan yang terbaik untuk penonton. Untuk musim keenam ini, kami membawakan pelbagai kelainan," katanya yang ditemui selepas pelancaran Syahadah di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, Terengganu, baru-baru ini.
Program Syahadah dengan tema 1 Lafaz Berbeza Resam itu dilancarkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, Khazan Che Mat; Timbalannya, Muhammad Ramli Nuh; Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya dan Pengarah Penyiaran Kawasan Timur, Dr Nawiyah Che Lah.
Sementara itu, Ibrahim berkata, dalam Syahadah musim keenam ini, selain membawa penonton meneroka kehidupan masyarakat Islam di luar negara, turut menyusuri khazanah warisan negara iaitu Batu Bersurat di Terengganu yang telah menerima pengiktirafan antarabangsa melalui Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) di bawah program Daftar Memori Antarabangsa.
Selain Terengganu, Syahadah yang mendapat tajaan kerajaan negeri Terengganu turut meneroka khazanah warisan Islam di Lembah Bujang, Kedah, serta kedatangan dan perkembangan Islam selepas kedatangan Parameswara di Melaka.
"Program ini bakal menyusuri khazanah warisan negara iaitu Batu Bersurat di Hulu Terengganu, Terengganu. Istimewanya, jika sebelum ini kebanyakan program memaparkan mengenai kewujudan dan penemuan Batu Bersurat, tetapi Syahadah membawakan maklumat yang sedikit terperinci mengenainya. katanya.
Berita Harian
Cuti penguat kuasa PPDNKK dibeku
Pengarahnya, Mohd. Hilmi Mohd. Noor berkata, cuti itu turut melibatkan anggota di cawangan di Kemaman, Dungun dan Besut bagi membolehkan pemantauan lebih berkesan ke atas peniaga terutama di bazar Ramadan yang bermula semalam.
Katanya, usaha itu juga bagi memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga makanan dan juadah berbuka puasa meskipun berlaku kenaikan harga gula di pasaran sebelum ini.
"Kenaikan harga gula itu tidak sepatutnya menjadi punca harga makanan yang dijual di bazar-bazar Ramadan di negeri ini dinaikkan memandangkan kadarnya tidak begitu tinggi,'' katanya.
Mohd. Hilmi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Dialog Kepenggunaan Peringkat Daerah Besut di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Sultan Mizan dekat sini semalam.
"Kita akan memantau semua bazar Ramadan dan jika ada antara peniaga yang menaikkan harga, mereka akan diberi amaran dan jika diulangi, kita akan mengenakan tindakan.
"Sebenarnya sebelum ini peniaga yang berjaya dipilih untuk berniaga di bazar Ramadan telah diberi taklimat semasa perjumpaan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai perkara tersebut," ujarnya.
Kata beliau, pegawai dan kakitangan PPDNKK akan memastikan peniaga meletakkan tanda harga pada makanan dan juadah yang dijual supaya mereka tidak akan dapat mengenakan harga sewenang-wenangnya kepada pelanggan.
Sepanjang tempoh itu katanya, PPDNKK akan memastikan para peniaga mematuhi Akta Kawalan Harga dan Kawalan Harga Musim Perayaan yang melibatkan 16 jenis barang.
Di samping itu Mohd. Hilmi berkata, pihaknya juga mengambil inisiatif meletakkan sepanduk dan poster pelbagai kempen yang dijalankan oleh pihaknya sebelum ini seperti Beli Barangan Malaysia dan Kurangkan Penggunaan Gula.
Tambahnya, semua lokasi bazar Ramadan di negeri ini akan diletakkan poster dan sepanduk kempen itu untuk membolehkan pengguna mendapat maklumat secara tidak langsung.
31 imam dari Arab Saudi, Mesir di Terengganu
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, kerajaan negeri meneruskan program membawa imam dari Arab Saudi dan Mesir yang dimulakan tahun lalu kerana ia mendapat sambutan menggalakkan daripada jemaah.
Menurutnya, seramai 10 imam didatangkan dari Arab Saudi manakala 21 orang lagi dari Mesir kerana mereka mempunyai kualiti taranum yang baik.
"Ia bagi mengimarahkan lagi masjid sepanjang Ramadan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Menurutnya, imam-imam itu ditempatkan di masjid utama seperti Masjid Abidin, Masjid al-Muktafibillah, Masjid Tengku Zaharah dan masjid-masjid daerah seluruh negeri bagi menggalakkan orang ramai menunaikan solat terawih.
Dalam perkembangan lain Ahmad berkata, kerajaan Arab Saudi bersetuju untuk menghadiahkan 50,000 naskhah al-Quran kepada Terengganu pada tahun ini.
Kerajaan tersebut juga jelasnya, sedia membiayai latihan dan kursus jangka pendek pegawai-pegawai agama dari negeri ini di negara tersebut bagi meningkatkan kecekapan mereka.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana sentiasa memberi bantuan kepada negeri ini dalam usaha meningkatkan syiar Islam," katanya.
Tuesday, August 10, 2010
Penyu betina dilepas selidik migrasi penyu belimbing
Penyu tersebut yang dilengkapi alat satelit migrasi akan dilepaskan esok.
"Langkah ini bertujuan untuk mengetahui laluan migrasi penyu belimbing yang telah mendarat dan bertelur di pantai Rantau Abang.
"Ia juga untuk mengumpul maklumat lain seperti kadar kemasinan dan suhu air laut. Dijangkakan penyu belimbing ini akan berenang sehingga ke Lautan Pasifik,” kata Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zakaria Ismail.
Beliau berkata, langkah tersebut julung kali diadakan dalam tempoh 20 tahun ini.
Zakaria berkata, penyu yang bakal dilepaskan itu merupakan hasil daripada projek penetasan telur penyu yang dilakukan di Terengganu pada 1978.
Rukyah, hisab asas justifikasi Ramadan
Perisytiharan awal Ramadan atau tarikh hari raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu adalah detik ditunggu-tunggu untuk mendapatkan keputusan muktamad bermulanya puasa dan Aidilfitri. Pengisytiharan permulaan bulan Islam di negara ini berdasarkan rukyah iaitu aktiviti melihat anak bulan pada hari ke 29 setiap bulan hijrah.
Rukyah turut dilakukan pada hari ke 30 jika anak bulan tidak kelihatan hari sebelumnya bagi tujuan analisis dan rekod kerana tarikh awal bulan ditetapkan berdasarkan rukyah hari ke-29. Ada kalanya rukyah dilakukan pada petang 1 hari bulan baru jika anak bulan masih gagal dikesan hari sebelumnya kerana masalah cuaca.
Hisab menurut pelaksanaan di Malaysia adalah aktiviti menghitung ‘efemeris’ bulan dan matahari serta elemen berkaitan dan seterusnya melakukan analisis bagi membuat justifikasi sama ada anak bulan pada hari ke 29 suatu bulan hijrah itu, kelihatan atau sebaliknya.
Hitungan hisab adalah berasaskan aktiviti cerapan (rukyah) yang dilakukan sekian lama sejak sebelum kedatangan Islam. Hasil cerapan ini dicatat dalam banyak manuskrip, disusun menjadi rumusan sains mengenai kenampakan anak bulan dan jangkaan mengenainya.
Ini turut tercatat dalam manuskrip hasil tulisan saintis atau ulama Muslim terdahulu. Apa yang dibuat hari ini adalah meneruskan kesinambungan usaha pengumpulan maklumat dan analisis kenampakan untuk menghasilkan rumusan hisab yang lebih baik mengenai kenampakan anak bulan.
Aktiviti rukyah, analisis hasil dan pembentukan rumusan (hisab) adalah komponen saling berkait dalam bidang ilmu yang dinamakan sebagai Ilmu Falak iaitu ilmu mengkaji objek angkasa melalui cerapan secara sistematik dan dihimpun dalam bentuk hukum umum (hisab).
Berdasarkan definisi itu, apabila menyebut mengenai ilmu falak, ia membabitkan rukyah dan hisab sekali gus iaitu bidang ilmu yang terpisah daripada aspek hukum dan amalan.
Justeru, menyebut penentuan awal bulan berdasarkan ilmu falak agak kabur maksudnya berbanding menggunakan istilah rukyah dan hisab seperti digunakan sekarang.
Imkanurrukyah bermaksud ‘kebolehnampakan’ merujuk kepada faktor fizikal bulan dan matahari yang memenuhi syarat kebolehnampakan atau tidak. Syarat kebolehnampakan ini dibangunkan berdasarkan analisis dan rekod hasil aktiviti rukyah yang dilakukan selama ini.
Ini menjadikan aktiviti rukyah adalah aktiviti saintifik kerana membabitkan teori dan cerapan, seterusnya pembinaan justifikasi atau hukum umum berkaitan kenampakan anak bulan. Justifikasi atau syarat ini seterusnya membolehkan kenampakan anak bulan seterusnya dijangkakan kenampakannya dan takwim boleh disusun dengan baik bagi satu tahun akan datang.
Sains sifatnya tidak mutlak kerana hukum sains adalah jumpaan atau hasil kajian yang dilakukan. Hasil kajian bergantung kepada metodologi digunakan. Justeru, sains terdedah kepada ralat, modifikasi, pembetulan malah penolakan.
Sifat tidak mutlak ini menyebabkan aktiviti rukyah menjadi asas justifikasi atau syarat imkanurrukyah tetap menjadi tunjang utama dilakukan hingga hari ini. Mengenepikan rukyah bererti mengangkat sains menjadi mutlak, mengenepikan hisab bererti menolak aspek saintifik rukyah.
Penggunaan kaedah rukyah dan hisab bagi menentukan awal bulan membolehkan takwim negeri diterbitkan seawal mungkin, tarikh awal bulannya tidak bersalahan dengan perisytiharan dibuat kemudian.
Apabila tarikh awal bulan tidak bersalahan dengan perisytiharan, bermaksud tidak berbeza dengan hasil aktiviti rukyah itu sendiri, ini tidak bermakna rukyah sudah tidak relevan atau perisytiharan itu boleh dilakukan lebih awal.
Walaupun sains falak boleh menjangkakan tarikh awal bulan, pengesahannya hanya boleh dibuat selepas rukyah dilakukan. Apabila ia membabitkan ibadat khusus seperti puasa dan dua hari raya, maka rukyah menjadi penting dan perisytiharan khas dilakukan berbanding bulan lain.
Analisis terhadap rekod terdahulu menghasilkan justifikasi mengenai sifat fizikal bulan paling minimum boleh kelihatan. Had minimum ini dijadikan syarat untuk menetapkan anak bulan pada Maghrib hari 29 suatu bulan hijrah itu boleh nampak atau tidak.
Pelaksanaan di Malaysia, kuantiti syarat digunakan adalah ketinggian (altitud) dengan jarak lengkuk (elongasi) dan tempoh dari waktu ijtimak ke waktu bulan terbenam (umur). Justeru, ilmu falak digunakan untuk menjangkakan kenampakan anak bulan bulan hijrah berdasarkan syarat diguna pakai.
Kaedah guna pakai syarat adalah ketika matahari terbenam pada hari ke-29 bulan hijrah, anak bulan disabitkan ada dan boleh nampak apabila memenuhi syarat. Sekalipun bulan altitudnya 1 di atas ufuk sebenarnya ‘ada’ secara teknikal, tetapi ‘tidak boleh nampak’ berdasarkan analisis rukyah lampau, maka ia tetap tidak memenuhi syarat dan anak bulan disabitkan ‘tidak boleh kelihatan’.
Jika pada situasi seperti itu anak bulan dilaporkan nampak, siasatan akan dilakukan terhadap orang yang mendakwa bagi memastikan kesahihan yang dilihat adalah anak bulan sebenar, bukan disebabkan kekeliruan atau sebagainya.
Di Malaysia, rukyah rasmi hanya membabitkan anggota rombongan rukyah dilantik jawatankuasa negeri dan dilakukan di tempat rasmi seperti di Terengganu di Bukit Besar, Kuala Terengganu (stesen utama negeri); Balai Cerap KUSZA, Merang, Setiu; Pulau Perhentian, Besut dan Bukit Kemuning, Kemaman.
Setiap tempat rukyah diketuai Pegawai Agama Daerah itu, manakala di Bukit Besar diketuai oleh mufti. Setiap tempat dibekalkan data efemeris bulan matahari yang diterbitkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Rukyah secara rasminya dimulakan kira-kira 10 minit sebelum matahari terbenam sebagai persediaan dan berterusan hingga waktu bulan terbenam. Jika bulan terbenam lebih awal daripada waktu matahari terbenam, anggota rukyah tetap meneruskan rukyah sehingga beberapa ketika selepas matahari terbenam bagi memastikan tiada apa-apa yang boleh disamakan sebagai anak bulan.
Kaedah penentuan awal bulan hijrah yang diamalkan sekarang sudah memenuhi kehendak syarak daripada aspek pelaksanaannya. Sekalipun ada beberapa kelemahan, itu adalah kelemahan justifikasi sains disebabkan kemampuan manusia.
Rukyah sebenarnya turut dilakukan pada bulan lain namun ia tidak diisytiharkan kepada umum sebaliknya hanya untuk analisis dan pengesahan peringkat pihak berkuasa saja.
Felda – Ada Cahaya Di Hujung Terowong
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tetap meneruskan perundingan dengan Fedla sebagai menyambung usaha bekas dua Menteri Besar yang lalu.
Kerajaan Negeri tidak berdiam diri dalam isu yang berlarutan kira-kira 20 tahun bagi menempatkan peneroka di rancangan tanah Felda selain menuntut pampasan daripada agensi kerajaan Pusat itu.
Kerana itu kerajaan negeri bersetuju menyediakan kertas cadangan kepada pengurusan Felda bagi menyelesaikan masalah berhubung kemasukan peserta baru sebagai peneroka di tanah yang dimajukan perbadanan itu.
Kertas cadangan tersebut adalah tambahan kepada dua cadangan terdahulu iaitu memasukkan peneroka baru dan kedua meminta Felda membayar 30 peratus kepada kerajaan negeri daripada pendapatan tanah yang dimajukan untuk diagihkan kepada golongan miskin.
Kerajaan negeri menyerahkan 15,200 hektar tanah kepada Felda sambil mengharapkan Felda akan memasukkan peneroka kerana kerajaan negeri berhasrat mengurangkan kadar kemiskinan golongan petani dan nelayan.
Namun begitu, pada 1 Januari 1986 Felda telah mengubah dasarnya dan tidak lagi memasukkan peserta di atas tanah yang diusahakan dan sejak itu sudah dua kali kerajaan negeri menolak pemberian bayaran daripada pihak Felda ketika Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar dan kemudiannya Dato’ Seri Idris Jusoh.
Kini hanya Terengganu satu-satunya negeri yang tidak menerima sebarang pampasan daripada Felda apabila agensi itu mengubah dasarnya lebih 20 tahun lalu manakala negeri lain semuanya menerima bayaran ini kerana kerajaan negeri masih menjalankan rundingan dengan pihak Felda.
"Terengganu, satu-satunya negeri yang tidak terima bayaran premium daripada Felda, tak seperti negeri lain kerana kita bertegas tak nak masukkan peneroka dalam tanah yang diusahakan Felda.
"Sebab itulah kita sedang berunding dengan Felda untuk kekalkan konsep asal. Kita nak 30 peratus tanah yang tak dimajukan dan wang diagihkan kepada peneroka miskin," ujarnya.
Ahmad Said juga menafikan dakwaan kononnya kemelut itu berlarutan sejak sekian lama dan tiada sebarang usaha menanganinya semenjak kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad, Datuk Seri Idris Jusoh sehinggalah sekarang.
Tidak pula diketahui sama ada perundingan dibuat ketika kerajaan PAS berkuasa di Terengganu di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Ketika kerajaan negeri di bawah pimpinan Wan Mokhtar, Idris dan hingga sekarang, pelbagai usaha dan perundingan dengan Felda telah dibuat. Percayalah akan ada sinar di hujung terowong," kata Ahmad Said.
“Cadangan baru ini ialah meminta Felda membuat bayaran kepada 3,700 keluarga miskin dan termiskin di negeri ini dengan kadar RM1,000 sebulan,” kata Ahmad Said.
Perkara ini turut dijelaskan oleh Menteri Besar itu kepada persidangan DUN Negeri ketika menjawab soalan wakil PAS dari Wakaf Memperlam, Abdul Wahid Endut/
“Kerajaan percaya dengan 15,200 hektar tanah yang dibangunkan Felda dapat menempatkan 3,700 keluarga miskin dengan kadar empat hektar bagi setiap peneroka, dengan ini kita dapat mengurangkan lebih 50 peratus masalah kemiskinan kalangan masyarakat,” katanya.
Dua bulan lalu Menteri Besar telah menemui Perdana Menteri bagi menyatakan hasrat kerajaan negeri berkait dengan masalah yang tidak ada penyelesaiannya ini dan mendapat reaksi positif daripada Dato’ Seri Mohd Najib.
"Sudah banyak kali kita adakan perbincangan dengan Felda dan kita sedang tunggu tarikh untuk perbincangan lanjut. Yang penting ia memberi keuntungan kepada rakyat Terengganu," katanya.
“Satu perjumpaan sedang diatur untuk bertemu dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohamad Yusof Noor bagi mencari penyelesaian,” katanya.
Sehingga ini Terengganu mempunyai 5,500 keluarga miskin dan termiskin yang perlu dibantu untuk mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan sebab itu kerajaan masih mempertahankan konsep untuk memasukkan peneroka.
“JIka 3,700 orang dapat dimasukkan ke dalam tanah rancangan atau diberi elaun bulanan RM1,000, baki 1,800 keluarga miskin akan diserapkan kedalam pelbagai program yang dijalankan oleh kerajaan pasti usaha mengurangkan kadar kemiskinan dapat dicapai,” katanya.
Siapa Lagi Difitnah Dan Diugut?
PERBICARAAN SMS UGUTAN BUNUH ADUN
Hazwan juga memberitahu Mahkamah bahawa sistem ini telah dibeli oleh seorang yang dipanggil Irwan(kakitangan Ibu Pejabat UMNO yang ditahan polis bagi siasatan kes ini) untuk kegunaan seorang tokoh politik menyebarkan kempen melalui sms . Sistem yang dibeli ini tidak dikendalikan oleh beliau sebaliknya menyerahkan password dan ID kepada orang lain untuk kegunaan kempen pemilihan UMNO pada tahun lalu. Apa yang menarik dari sistem yang ditunjukkan di layar kepada Mahkamah oleh Hazwan, SMS yang berbunyi “baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa ? “ juga dihantar kepada telefon bernombor 0199518800 .
Teganuku semalam melaporkan ada sesuatu yang menarik pada perbicaraan kes ugutan jenayah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dijangka berlangsung pada 9 dan 10 Ogos 2010.
Malah, ia bukan sekadar menarik tetapi dikatakan akan berlaku kejutan. Kejutan apa tidak dipastikan.Namun, ia bergantung sama ada tertuduh, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir hadir pada perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu itu.
Perbicaraan kes ugutan jenayah yang sepatutnya bersambung 31 Mei 2010 terpaksa ditangguhkan berikutan tertuduh mendapat cuti sakit kerana menjalani pembedahan tonsil.
Ahmad Ramzi, setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh itu dirawat di sebuah Hospital setelah menjalani pembedahan itu pada 29 Mei dan diberi cuti sakit sehingga 13 Jun lalu. Oleh itu dua sessi perbicaraan yang dijadualkan pada bulan Mei dan Jun 2010 terpaksa ditangguhkan.
Berikutan itu, Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh baru iaitu pada 9 dan 10 Ogos untuk perbicaraan kes berkenaan, dan ia juga akan disambung semula pada 21 hingga 23 September dan 26 hingga 28 Oktober.
Mengikut saman kepada saksi, mereka telah disaman supaya hadir ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu pada 9 dan 10 Ogos 2010 jam 8.30 pagi. Tetapi perbicaraan telah dimulakan pada jam 10.00 pagi. Perbicaraan telah dijalankan apabila Orang Kena Tuduh (OKT) hadir ke Mahkamah.
Semalam di Mahkamah Sesyen, saksi baru dipanggil untuk memberikan keterengan bagaimana sms dihantar oleh pemilik sistem SMS yang digunakan untuk menghantar SMS ugutan bunuh kepada tiga ADUN yang berkenaan.
Salah seorang saksi yang memberi keterangan, iaitu Hazwan Abu Hassan pemilik Syarikat Mobile Biz Network yang juga merupakan pemilik sistem SMS yang digunakan untuk menghantar SMS ugutan bunuh kepada tiga ADUN yang berkenaan.
Pihak Pendakwa telah mengemukan soalan kepada Hazwan mengenai apakah sebenarnya sistem ini. Hazwan telah memberitahu Mahkamah bahawa sistem ini merupakan system hebahan SMS yang dihantar dadalam kuantiti yang banyak serentak yang hanya menggunakan platform internet.
Hazwan juga memberitahu Mahkamah bahawa sistem ini telah dibeli oleh seorang yang dipanggil Irwan(kakitangan Ibu Pejabat UMNO yang ditahan polis bagi siasatan kes ini) untuk kegunaan seorang tokoh politik menyebarkan kempen melalui sms . Sistem yang dibeli ini tidak dikendalikan oleh beliau sebaliknya menyerahkan password dan ID kepada orang lain untuk kegunaan kempen pemilihan UMNO pada tahun lalu.
Apa yang menarik dari sistem yang ditunjukkan di layar kepada Mahkamah oleh Hazwan, SMS yang berbunyi “baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa ? “ juga dihantar kepada telefon bernombor 0199518800 .
Walaubagaimanapun tiada repot polis dibuat oleh pemilik nombor berkenaan.
Lebih sensasi lagi, dalam sistem yang dipamerkan di skrin mahkamah itu, nombor 0199836884 juga telah digunakan dalam sistem berkenaan menghantar sms ke nombor 0199518800 sejumlah dua kali. SMS pertama berbunyi “ mapuh ah mung !” (matilah engkau) menakala SMS kedua berbunyi “mapuh ah mung Derih !” (Matilah kamu Idris).
Tiga perkara menarik di sini:
Pertama, nombor baru yang dikemukakan di mahkamah, milik siapakah nombor 0199836884 ini?
Kedua, daripada keterangan Hazwan ini, jelas yang menghantar SMS Ugut Bunuh dan sebagainya bukan dilakukan oleh Wan Ahamad Wan Muda. Hazwan jelas mengakui sms dihantar melalui platform internet.
Ketiga, ugutan bunuh kini bukan berligar sekitar tiga atau empat ADUN awal tetapi apakah Datuk Seri idris Jusoh juga menerima ugutan bunuh?
Kini kes ini semakin hampir kepada siapa penghantar, kepada siapa dan siapa pula mengarahkan agar SMS Ugut Bunuh itu dihantar.
Tertuduh utama, Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) negeri Terengganu.
Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Ramzi didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas ADUN Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Adun Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Adun Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.
Dia turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga ADUN tersebut.
Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Datuk Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.
MB Beri Perangsang Kepada Pelajar Menghadapi STPM
Pertemuan dijangka berlangsung bila-bila masa sekarang (9.30 pagi) sudah pasti akan memberikan semangat baru kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) tahun ini.
Menjadi dasar kerajaan Terengganu untuk menjamin pelajarnya mencapai keputusan peperiksaan, termasuk STPM dengan cemerlang.
Sudah dua tahun program Menteri Besar Bertemu Pelajar Tingkatan Enam ini diadakan.
Ahmad Said dijangka akan berdiri di pentas hampir sua jam untuk bersalaman dengan setiap pelajar yang diundang.
Usaha mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM adalah usaha menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu yang membabitkan projek 2101052 yang dilancarkan oleh Menteri Besar 30 Mac lalu.
Program itu adalah untuk kecemerlangan dalam peperiksaan awam yang mensasarkan 20 peratus calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mendapat semua A, 10 peratus bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) lima (5) peratus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dua (2) peratus bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapat semua A dalam peperiksaan.
Bukan Kerana Saya Orang Kijal - Ahmad Said
SIDANG DUN TERENGGANU
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menafikan dakwaan kononnya pemilihan lokasi penempatan Institut Jantung Negeri (IJN) Terengganu di kawasan Kijal, Kemaman adalah kerana beliau merupakan anak jati kawasan itu.
Ahmad yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menjelaskan pemilihan lokasi itu dilakukan kerana kerajaan negeri telah membeli sebuah resort di Kijal yang dikenali sebagai Strawbery Park dengan harga murah iaitu RM27 juta berbanding harga asal RM65 juta.
"Resort berada di tepi pantai dan tasik, sesuai dengan konsep pelancongan kesihatan, bukan kerana saya orang Kijal," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuala Terengganu semalam.
Beliau berkata resort itu kini dalam proses pengubahsuaian terutama untuk dewan bedah dan beberapa kemudahan lain.
Terdahulu, menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang), beliau berkata, kerajaan negeri juga telah mengadakan rundingan dengan kerajaan Persekutuan untuk dapatkan dana bagi membeli peralatan dan mesin untuk pusat jantung itu.
Menurutnya IJN itu bakal beroperasi secara serampang dua mata iaitu membantu rakyat Terengganu yang miskin merawat penyakit tersebut dan menjana pendapatan melalui perkhidmatan kepada rakyat negeri lain khususnya di Pantai Timur.
EPIC Nafi Pegangan Saham Utama Akan Bertukar Tangan
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ramli Shahul Hameed berkata, sejak khamis lepas harga saham syarikat di Bursa Malaysia itu telah mengalami kenaikan mendadak daripada RM1.80 seunit kepada RM2.30 seunit.
Faktor itu dipercayai ekoran khabar angin yang menyatakan akan berlaku pertukaran pegangan saham utama syarikat itu seperti disiar oleh sebuah akhbar mingguan yang tertumpu kepada isu-isu kewangan dan pelaburan minggu lepas.
"EPIC gembira dengan kenaikan harga itu, namun syarikat menafikan kenaikan harga saham itu berlaku ekoran faktor akan berlaku pertukaran pegangan saham utama syarikat ini seperti yang tersebar sejak Khamis lepas, " katanya ketika menghubungi Bernama di sini pada Isnin.
Sebaliknya, Ramli berkata pergerakan lonjakan harga saham itu berlaku disebabkan prestasi semasa EPIC yang berjaya mencatatkan pendapatan RM109 juta bagi tempoh setengah tahun ini.
Katanya prestasi itu merupakan peningkatan 21 peratus berbanding RM90 juta dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.
Sementara itu, keuntungan sebelum cukai dalam tempoh yang sama juga meningkat 31 peratus, iaitu daripada RM27.8 juta tahun lepas kepada RM36.4 juta tahun ini.
"Bagi tempoh berakhir 30 Jun lepas, EPIC telah berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM24 juta berbanding RM21.7 juta tempoh yang sama tahun lepas dan ia merupakan kenaikan 13 peratus," katanya.
Katanya, semua kejayaan itu dicapai hasil prestasi cemerlang EPIC dalam semua operasinya termasuk Pelabuhan Kemaman dan Kemaman Supply Base (KSB), sebuah pangkalan logistik minyak Bumiputera terkemuka di dalam Zon Pembangunan Minyak di Kemaman, Terengganu.
YPU Peruntukan RM8j Untuk Buka 100 Cawangan T'Shoppe
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Mohamed Awang Tera berkata sejak dilancarkan Ogos tahun lepas, T'Shoppe kini mempunyai lapan cawangan, dengan 21 cawangan lagi dalam proses penubuhan.
Beliau berkata T'shoppe ditubuhkan bagi membantu usahawan khususnya bumiputera dalam bidang peruncitan di samping memastikan produk tempatan terutama dari kampung-kampung di Terengganu mempunyai peluang pemasaran yang baik.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis penerimaan sijil 5S Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah, di Kuala Terengganu semalam, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah YPU berkata pihaknya sehingga kini sudah membelanjakan RM2 juta bagi tujuan itu.
Mohamed berkata menjelang 2020, YPU mensasarkan 50 peratus barang-barang Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan terdapat di T'shoppe berbanding lima peratus ketika ini.
Beliau berkata kebanyakan barangan yang dihasilkkan oleh usahawan kecil tidak memenuhi piawaian menyebabkan produk mereka tidak dapat dipasarkan di kedai-kedai T'shoppe, dan sehubungan itu menurutnya YPU akan berusaha mendidik usahawan-usahawan IKS supaya meningkatkan mutu produk mereka.
Pertanyaan mengenai T-Shoppe? Lawati http://www.ypu.com.my/
Ujian saringan air kencing Ameng Spring positif dadah
Penolong Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Sjn Halimi Jarkasi, 47, saksi pertama kes itu, memberitahu mahkamah bahawa, ujian terhadap spesimen air kencing itu diperoleh daripada Makmal Dadah dan Penyelidikan Jabatan Patologi, Hospital Kuala Lumpur.
Halimi berkata, tertuduh sendiri menandatangani spesimen air kencing itu ketika ditunjukkan kepadanya selepas spesimen itu diambil.
"Sewaktu saya menerima spesimen air kencing itu, saya dapati tertera label nama tertuduh, kad pengenalan, tarikh sewaktu ujian air kencing itu dibuat iaitu pada 6 April lepas dan tertuduh sendiri menandatanganinya,” katanya ketika perbicaraan kes itu.
Halimi turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa spesimen air kencing itu disimpan di dalam loker besi yang berkunci di dalam pejabatnya.
UMT Meterai MoA Dengan Syarikat Perancis Kaji Rawatan Air
Naib Canselor UMT Prof Dr Aziz Deraman berkata memorandum persetujuan (MoA) yang ditandatangani dengan syarikat Veolia Water Asia Pacific (Ltd) yang beribu pejabat di Perancis itu bagi melakukan penyelidikan di Veolia Water di Dungun (VMD).
"Syarikat ini merupakan syarikat yang berpusat di Hong Kong tetapi telah mendapat kontrak dengan syarikat tempatan untuk kerja-kerja pemantauan dan perawatan air di Dungun.
"Dengan adanya MoA ini, kedua-dua pihak dapat mengenalpasti spesies flora dan fauna yang unik di Dungun serta mengkaji impak serta masalah yang timbul oleh biodiversiti tempatan," katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian MoA antara UMT dan Veolia Water Asia Pacific (Ltd) di sini pada Isnin.
Dalam majlis itu, UMT diwakili Dr Aziz manakala syarikat itu diwakili Pengarah Urusan Mohammad Akhir Ahmad.
Aziz berkata menerusi perjanjian itu, penyelidik UMT akan menjalankan kajian dan mencari cara terbaik untuk menghalang masalah kepupusan ekologi.
Beliau berkata kajian itu akan dijalankan oleh lapan pensyarah dan 16 pelajar dalam tempoh 18 bulan itu dan hasil kajian itu akan dijadikan sebagai hala tuju VMD dalam rawatan air yang mementingkan ekosistem hijau.
Cari Jalan Elak Lambakan Buah Tempatan - Ahmad Said
Buah-buah seperti rambutan, manggis, dokong, longan dan terutamanya durian, bukan datang dari Terengganu sahaja, malah juga dari Kelantan dan Pahang.
Ia bukan masalah baru dan ini diakui sendiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Menurutnya, sekarang ini, lambakan buah-buahan tempatan sedang dan akan berlaku dalam pasaran terutama di negeri ini.
Perkara ubu berlaku berulang kali dan sudah tiba masanya satu teknologi baru dicari supaya lebih kreatif dan inovatif.
Berikutan itu, Mardi, Jabatan Pertanian atau saintis diminta mencari jalan termasuk mengadakan kajian mengenai buah-buahan tempatan supaya ia boleh bertahan lama atau digunakan dalam bentuk makanan yang lain.
Tujuannya ialah tidak berlaku lambakan dalam pasaran seperti sekarang.
Di negara-negara lain, kata Ahmad Said mereka boleh menghasilkan produk daripada buah-buahan, selain isinya dimakan.
"Contohnya di Thailand, dia beli buah rambai daripada kita, isi buah rambai diguna untuk buat arak dan kulitnya dijadikan bedak. Memang kita tidak boleh buat arak tetapi sekurang-kurangnya kita boleh buat bedak.
"Begitu juga kita ada durian, tetapi kita makan isi .. di Thailand dia buat coklat dan macam-macam lagi," katanya.
Perkara ini disuarakan oleh Menteri Besar selepas majlis perasmian Mini MAHA 2010 di Dataran Shah Bandar di malam Sabtu lalu (7 Ogos)
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum.
Mini MAHA tersebut akan berlangsung selama lima hari bermula 7 Ogos lalu.
Ahmad Said berkata buah-buahan tempatan seperti durian, duku, rambutan, longan, dokong dan lain-lain adalah bermusim dan berada dalam pasaran sekaligus, menyebabkan harga jatuh.
Katanya, masalah itu boleh diatasi sekiranya buah-buahan berkenaan dijadikan produk seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain, katanya.
Sementara itu, Johari berkata Terengganu menerima peruntukan RM44 juta tahun ini untuk pelbagai bantuan dan pinjaman kepada penternak, petani dan nelayan di negeri itu.