Saturday, September 18, 2010
Manaf buat Sabah Terus Gigit Jari
Keputusan itu sekali gus mengulang episod kehampaan Sabah yang sebelum ini turut seri 0-0 dengan Kuala Lumpur pada aksi pembukaan kumpulan Selasa lalu manakala Terengganu pula meraih satu mata sulung.
Beraksi di depan kira-kira 10,000 penonton, Sabah kelihatan garang apabila menyerang bertubi-tubi kubu lawan sebelum memecah kebuntuan sejurus sebelum wisel rehat menerusi Mohd Farid Idries yang menolak masuk hantaran silang Zainizam Marjan dari kanan pintu gol.
Sebaik babak kedua bermula, pasukan tuan rumah terus menambah jaringan pada minit ke-54 selepas perebutan dalam kotak penalti menyaksikan Rosdin Rosli menanduk hantaran kepada Zainizam yang kemudian ditanduk masuk untuk gol kedua Sabah.
Bagaimanapun, kesilapan pemain Sabah, Zulamri Mohamad yang menarik baju Abdul Manaf di dalam kawasan bahaya menukar kemeriahan pesta gol tuan rumah apabila Abdul Manaf menyempurnakan sepakan penalti menumpaskan penjaga gol, Azizon Abdul Kadir.
Jaringan itu menyuntik semangat pelawat khususnya Abdul Manaf yang mengumpan hantaran ke dalam kotak penalti, empat minit selepas itu, sebelum disudahkan Mohd Firdaus Md Fauzi untuk mengesahkan satu mata Terengganu.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi Kumpulan B, pertemuan antara Pahang dan Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan dibatalkan berikutan masalah lampu limpah yang tidak berfungsi.
Thursday, September 16, 2010
MAJLIS AIDILFITRI MENTERI BESAR DI KEDIAMAN TELUK KALONG
Majlis akan berlangsung selama enam jam - antara jam 10 pagi hingga 4 petang.
Sudah pasti penduduk di Kemaman dan sekitarnya akan mengunjungi Menteri Besar saperti tahun-tahun sebelum ini.
Bediri berjam-jam menyambut tetamu yang tidak putus-putus datang pada sambutan di Seri Iman 10 September lalu. Gambar -TeganuKita
Dijangkakan kira-kira 12,000 rakyat di Kemaman, Dungun dan Kuantan akan hadir pada majlis itu. Tahun lalu lebih 10,000 menghadiri majlis ini.
Bagi Ahmad Said, seperti dalam perutusan Aidilfitrinya, beliau menyeru supaya masyarakat Terengganu menjadikan sambutan hari raya sebagai landasan bagi memperkukuhkan ikatan perpaduan di kalangan umat Islam dan kaum-kaum lain selaras dengan gagasan 1Malaysia.
Rakyat pelbagai keturunan menghadiri sambutan Aidilfitri di Seri Iman pada Hari Raya pertama.
Katanya, budaya kunjung-mengunjung dan bermaaf-maafan perlu terus disuburkan dan diwarisi oleh generasi baru supaya tidak sampai dilupakan adat yang bersendikan agama itu.
Sebelum ini Menteri Besar sudah mengadakan majlis sambutan Aidilfitri di Seri Iman Kuala Terengganu pada Hari Raya pertama (Jumaat, 10 September 2010).
Lebih 10,000 rakyat mengunjungi majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Besar yang bermula 10 pagi itu daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum termasuk Ahli Parlimen, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan dan pesara, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat biasa dari kampung-kampung.
Malah, Menteri Besar dan isteri berdiri berjam-jam tanpa jemu-jemu untuk tidak menghampakan pengunjung yang mahu bersalam dan menyampaikan ucap selamat hari raya kepada mereka berdua.
Terdapat juga tetamu yang mengambil peluang untuk bergambar kenang-kenangan bersama Menteri Besar dan isteri sempena rumah terbuka itu.
Walaupun rumah terbuka itu sepatutnya berakhir jam 3.00 petang, tetapi di luar waktu itu masih ada lagi rakyat yang datang mengunjungi Menteri Besar dan isteri yang terus berada pada majlis itu untuk tidak menghampakan pengunjung.
Pada Hari Raya Kedua pula, beliau menghadiri Majlis Aidilfitri Bersama Perantau yang dianjurkan Kerajaan Negeri dan diadakan di Hotel Primula.
Pada majlis itu Ahmad Said meminta rakyat Terengganu yang tinggal di luar negeri untuk bersama-sama kerajaan negeri dalam membangunkan negeri ini.
Ahmad Said melayani tetamu pada majlis Aidilfitri bersama Perantau.
Basikal - Terengganu Sertai Empat Kejohanan Kebangsaan
Ketua jurulatihnya, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan walaupun ini kejohanan kebangsaan pertama dihadapi Terengganu, namun ia hanya mampu menghantar seramai 10 hingga 12 pelumba pelapis sahaja untuk kejohanan itu.
Syed Mohd Hussaini berkata meskipun suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri masih meriah, Terengganu telah mula mengorak langkah mengadakan latihan tersusun untuk pelumbanya sebagai persediaan menghadapi empat kejohanan lumba basikal kebangsaan tahun ini.
Menurutnya, latihan jarak jauh secara intensif untuk pelumba akan bermula esok bagi menguatkan semangat serta stamina dan antara destinasi yang menjadi pilihan termasuk Dungun, Besut dan Hulu Terengganu.
Katanya, Terengganu sebaliknya akan menghantar pasukan elit untuk bertanding dalam kejohanan Terbuka Perlis pada 21 Oktober dan negeri itu telah menyenaraikan 14 pelumba lelaki dan wanita untuk menyertai kejohanan tiga hari itu.
Syed Mohd Hussaini berkata langkah itu diambil kerana kejohanan tersebut turut disertai ramai pelumba dari negara Asean.
Beliau berkata kejohanan seterusnya ialah Grand Prix Kebangsaan Sirkit ketiga di Kemaman, Terengganu pada 30 Oktober, dan Terengganu dijangka menghantar 12 pelumba.
Katanya, kejohanan keempat dan terakhir yang akan disertai Terengganu tahun ini ialah Grand Prix Kebangsaan Sirkit keempat di Sarawak pada 5 November dan enam pelumba akan dihantar bertanding pada kejohanan itu.
Beliau berkata Terengganu menyasarkan tempat pertama dalam Grand Prix Kebangsaan berikutan prestasi cemerlang pelumba yang menyaksikan kedudukan negeri itu di tangga ketiga selepas mengharungi dua sirkit pertama di Johor dan Kedah sebelum ini.
Piala Monsun Bakal Jadi Penentu
Segala-galanya bakal ditentukan di Piala Monsun, Kuala Terengganu akhir November ini dengan sekurang-kurangnya tiga skipper memiliki peluang merangkul gelaran keseluruhan pada musim 2010 ini.
Pendahulu, Mathieu Richard kini tidak boleh duduk senang di tampuk selepas kejayaan juara bertahan, Adam Minoprio menjuarai Terbuka Denmark, kelmarin.
Dipisahkan hanya 17 mata, Minoprio berpeluang merapatkan kedudukan di Piala Emas Bermuda pada 4 sehingga 10 Oktober sebelum aksi beralih kepada acara penamat musim, Piala Monsun.
Mengingatkan kembali kejatuhan mendadak musim lalu, apabila pelayar kelahiran Perancis itu dilihat selesa memenangi lima perlumbaan pertama namun keciciran selepas kegagalannya di St Moritz dengan Richard gagal bangkit daripada kekecewaan itu untuk menamatkan 2009 di kedudukan kelima keseluruhan.
“Sudah tentu, kami mahu menang di sini, tetapi jika anda lihat sepanjang dua minggu, kami gembira dengan kemenangan dan tempat ketiga yang mengekalkan kami dalam pendahuluan gelaran keseluruhannya,” kata Richard yang menebus kegagalannya tahun lalu untuk meraih gelaran Raja Bukit St Moritz dua minggu lalu.
Piala Monsun diletakkan kepentingan besar dalam Jelajah Match Racing Dunia dengan ia menawarkan jumlah mata yang besar buat juara, 37 berbanding 25 dalam acara lain, memberikan peluang buat mana-mana pelayar untuk merampas gelaran keseluruhan pada saat terakhir.
INFO
Kedudukan mata ISAF World Match Racing Tour 2010
(Selepas Peringkat 7 daripada 9)
1- Mathieu Richard (FRA)
French Match Racing Team 105 mata
2- Adam Minoprio (NZL)
ETNZ/BlackMatch Racing 88
3- Ian Williams (GBR)
Team GAC Pindar 76
4- Torvar Mirsky (AUS)
Mirsky Racing Team 72
5- Ben Ainslie (GBR)
TEAMORIGIN 63
Berita Harian
Hudud - Kit Siang Tidak Perlu Melatah...
Tidakkah PAS bimbang parti seperti DAP dan PKR akan mendesak Pas agar menggugurkan sementara gagasan itu demi mendapatkan kuasa untuk ke Putrajaya?
Hakikatnya, pada ketika PAS Kelantan semakin berlembut dalam isu ini, PAS Terengganu nampaknya tegas dan tetap akan membincang atau menyebut mengenai pelaksanaan syariat Islam seperti hudud di negara ini sekalipun menerima kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin pakatan pembangkang.
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh menegaskan, perkara tersebut sudah menjadi dasar parti itu dan meminta semua pihak faham terhadap perjuangan PAS.
“Isu yang menjadi syariat Islam sudah menjadi dasar PAS dan kita akan sentiasa sebut. Jadi, kita minta semua pihak faham kerana perkara ini tidak akan jadi masalah kalau semua saling faham memahami.:
“Hudud hanya membabitkan orang Islam dan tidak melibatkan orang bukan Islam, jadi mana-mana pihak seperti Lim Kit Siang tidak perlu melatah berhubung isu ini,” katanya kepada Sinar Harian kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang sebelum ini terus mengulangi pendirian parti itu menolak idea mahu melaksanakan undang-undang hudud dan negara Islam atas alasan ia tidak pernah disentuh dalam Dasar Bersama pakatan pembangkang.
Kenyataan dalam sebuah laman portal politik turut menyebut bahawa Kit Siang mempertahankan pendirian konsisten parti itu yang sentiasa menekankan bahawa Malaysia sebuah negara sekular, selain mempertahankan pendirian Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh.
Nik Zawawi berkata, kedua-dua pemimpin itu perlu memahami perkara tersebut sambil memberitahu undang-undang Islam lebih baik daripada sistem sedia ada.
“Perkara yang tidak disebut (dalam Dasar Bersama PR) bukan bermakna tiada, tetapi ia belum dibincangkan,” katanya.
Beliau yakin, perkara itu tidak akan mewujudkan bibit perpecahan dalam kalangan PR sebagaimana berlaku terhadap Barisan Alternatif dahulu apabila PAS dan DAP berpecah selepas isu hudud dan pelaksanaan negara Islam diberi pendedahan secara meluas.
Pada masa sama, beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat meminta Kit Siang atau sesiapa sahaja bertemu Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapat penjelasan tepat berhubung isu itu.
“Isu ini daripada Mursyidul Am dan kita minta mereka bersemuka dengan Nik Aziz supaya faham apa yang dimaksudkan beliau sebelum ini,” katanya.
Terengganu Cadang Beli Mesin Ujian Air Kencing
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr Abdul Rahman Mokhtar berkata mesin yang dikenali sebagai 'Gas Chromotography Mass Spectrometer' bersama peralatannya dianggar bernilai lebih RM1.7 juta.
"Dengan adanya mesin itu nanti ia mempermudah dan mempercepatkan urusan memproses air kencing penagih dan tidak lagi perlu dihantar ke Kuala Lumpur seperti sebelum ini.
"Kita sekarang dalam proses perbincangan dengan Jabatan Kesihatan untuk membeli mesin tersebut," katanya selepas program prihatin Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan majlis berbuka puasa bersama orang kena pengawasan (OKP) di Kuala Terengganu, kelmarin.
Abdul Rahman berkata masalah penagihan dadah, terutamanya di kalangan orang Melayu Islam begitu tinggi di Terengganu dan kerajaan memandang serius perkara itu.
Mengikut statistik terdapat 2,598 penagih termasuk 12 wanita diletakkan di bawah pengawasan AADK Terengganu, tahun ini.
Katanya daerah Besut merupakan daerah paling serius menghadapi masalah tersebut iaitu seramai 810 orang, diikuti Kemaman (690), Kuala Terengganu (578), Dungun (478), Hulu Terengganu (275), Marang (267) dan Setiu (133) orang.
Abdul Rahman berkata mereka yang terlibat kebanyakannya bekerja sebagai buruh dengan berumur antara 20 hingga 35 tahun dan pil kuda merupakan dadah yang paling popular di kalangan mereka.
Beliau berkata AADK telah membuka dua buah pusat pemulihan dan prihatin setakat ini iaitu di Kuala Terengganu dan di Hulu Terengganu, dan yang terbaru bakal diwujudkan di daerah Besut.
Katanya pusat itu mengamalkan konsep terbuka kepada penagih, bekas penagih dan keluarga yang memerlukan bimbingan atau menghadapi masalah tersebut dalam keluarga mereka.
Wednesday, September 15, 2010
PLBT Terbuka, Jaga Kepentingan Pelumba Terengganu
Berikutan itu PLBT berkemungkinan pada suatu masa nanti, akan mengambil pelumba-pelumba bertaraf dunia seperti dari Jepun, Korea atau Iran untuk memantapkan pasukan benua Terengganu.
Dengan kata lain, ia tidak bergantung kepada pelumba anak tempatan semata-mata.
Rabu lalu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahamd Said melahirkan rasa kesal terhadap kecaman yang dibuat oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berhubung langkah negeri itu menubuhkan pasukan basikal benuanya.
Ahmad Said berkata PKBM tidak sepatutnya meluahkan kecaman mereka melalui media kerana ada saluran lain yang boleh diselesaikan dengan cara yang lebih berhemah.
"Kita berunding di peringkat negeri, kalau mereka (PKBM) tidak bersetuju beritahulah kita melalui badan gabungan mereka di Terengganu. Kalau mereka (PKBM) kata tidak boleh tubuh persatuan dan lebih baik tubuh kelab, tidak ada masalah, kita ikut saja.
"Yang penting kita mahu satu pasukan yang boleh melibatkan pelumba Terengganu dalam Le Tour de Langkawi (LTdL)," tegasnya.
Akhbar pada Rabu melaporkan tindakan Terengganu menubuhkan pasukan basikal benua telah menerima kecaman daripada Presiden PKBM Abu Samah Wahab, antara lain kerana ia tidak mengikut prosedur yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Ahmad Said berkata Terengganu menubuhkan persatuan basikal profesional itu adalah semata-mata inginkan sebuah pasukan dari Terengganu turut menyertai perlumbaan antarabangsa LTdL serta acara-acara peringkat antarabangsa yang lain kerana Terenggnau mempunyai ramai pelumba basikal berbakat.
"Sepatutnya PKBM menyambut baik rancangan Terengganu itu bagi meningkatkan sukan lumba basikal di negara ini," katanya.
Apapun, PLBT tetap mengambil langkah proaktif apabila mengambil peluang Hari Raya Aidilfitri ini untuk berbincang dengan pelumba-pelumba basikal benua Terengganu dan langkah ini sangat sesuai dan kena dengan masanya.
Ini kerana ramai pelumba basikal Terengganu pada ketika ini berada di Terengganu berhari raya dengan keluarga mereka.
Tindakan Yang di-Pertuanya Datuk Ahmad Sidi Ismail (gambar kiri) sesuai kerana antara pelumba yang ‘balik kampung’ ialah Mohd Zamri Salleh, Mohd Shahrul Afiza Fauizan, Ahmad Ridzuan Zainal, Mohd Haidar Anuawar, Mohd Hariff Salleh, Mohd Sharul Mat Amin, Mohd Adiq Husainie Othman, Yusrizal Usoff dan Mohd Faiz Syarifuddin K. Kadir selain Annuar Manan.
"Kita ambil peluang hari raya ini untuk berbincang dengan pelumba anak Terengganu yang berminat menyertai pasukan ini," katanya Khamis lalu.
Pengumuman rasmi skuad akan dilakukan dalam masa terdekat selepas urusan dengan Kesatuan Basikal Antarabangsa (UCI) diselesaikan selepas hari raya Aidilfitri.
Beliau berkata penubuhan pasukan tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan dalam dan luar negara pada tahun depan.
Ahmad Sidi berkata PLBT telah memilih pelumba-pelumba yang cemerlang dan menunjukkan prestasi yang baik dalam acara lebuh raya.
Beliau berkata kemungkinan besar PLBT tidak menggunakan khidmat semua pelumba, dan ini membolehkan mereka mewakili negara bersama pelumba-pelumba negeri yang lain.
Ahmad Sidi berkata Mohd Hariff Salleh, masih lagi bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan tidak berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti dilaporkan sebuah akhbar Rabu lalu.
Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, Anuar Manan turut berharap pembentukan pasukan benua Terengganu akan menjadi penanda aras baru bagi sukan berbasikal lebuh raya negara.
Dia yang berangkat ke Jepun, kelmarin akan menyertai Jelajah Hokkaido selepas pulang seketika beraya di tanah air, sempat mengadakan perbincangan dengan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) bagi mendapat gambaran sebenar mengenai hala tuju pasukan terbabit.
"Saya berpuas hati dengan apa perancangan dan matlamat yang ditetapkan PLBT,” kata Anuar.
"Jika berjalan lancar, saya pasti pasukan benua Terengganu akan menjadi salah sebuah pasukan lebuh raya dihormati di rantau ini.
“Memang saya berminat mewakili pasukan negeri kelahiran saya, bukan semata-mata kerana semangat kenegerian, tetapi sistem pengurusan membabitkan gaji pelumba serta perlumbaan yang bakal disertai menepati keperluan pelumba-pelumba tempatan.”
PLBT yang mendapat sokongan dana permulaan RM1.5 juta setahun daripada kerajaan negeri, mensasarkan untuk menarik beberapa pelumba kelahiran Terengganu yang sudah melakar nama dalam arena berbasikal negara termasuk Anuar.
Selain Anuar yang kontraknya bersama pasukan Geumsan Ginseng Asia akan berakhir Disember ini, beberapa pelumba kebangsaan lain antaranya Amir Mustafa Rusli, Adiq Husainie Othman, Ahmad Fallanie Ali, Shahrul Mat Amin, Mohd Zamri Salleh dan Mohd Harrif Salleh juga berasal dari Terengganu.
Apapun, penubuhan pasukan Benua Terengganu bukan kerana mahu bersaing dengan persatuan luma basikal lain, termasuk peringkat kebangsaan tetapi bagi memberi peluang pelumba tempatan menempah nama di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat turut tidak menolak untuk mendapatkan khidmat pelumba luar bagi memantapkan kayuhan barisan pelumba yang akan membuat penampilan sulung di Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.
Penubuhan pasukan yang menelan belanja RM1.5 juta itu dinaungi sepenuhnya Kerajaan Negeri Terengganu. Bagaimanapun, beliau yakin Terengganu mempunyai ramai pelumba yang berkemampuan.
Katanya, dia tidak bimbang jika gagal mendapatkan khidmat pelumba tempatan seperti Anuar Manan, Adiq Husinie Othman atau Hariff Salleh kerana Terengganu memiliki ramai pelumba yang boleh diketengahkan.
“Kami mempunyai ramai pelumba pelapis berbakat. Ketika di Sukma (Sukan Malaysia) Melaka, hampir 30 pelumba kelahiran Terengganu terpaksa beraksi dengan negeri lain kerana kuota Terengganu penuh.
“Apapun pemilihan pelumba dilakukan berdasarkan kemampuan pelumba yang dinilai daripada pelbagai aspek terutama kemampuan, berkebolehan serta minat,” katanya.
Lagi pun Rozi menegaskan, pelumba yang membarisi skuad tidak dijanjikan insentif namun mereka akan didedahkan ke peringkat antarabangsa terutamanya perlumbaan di luar negara.
“Banyak urusan perlu diselesaikan dan ketika ini segala urusan akan dibawa berbincang dengan Persatuan Basikal Terengganu dan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana kami masih baru dalam perkara ini,” katanya yang mungkin mendapatkan khidmat jurulatih luar negara.
Katanya, barisan pelumba pasukan itu mungkin dikumpul di bawah satu payung dalam tempoh terdekat iaitu selepas hari raya dengan harapan mereka mampu memberi impak di LTdL nanti.
Sambutan Hari Malaysia Lahirkan Sentimen Positif
Pengiktirafan Hari Malaysia dan sambutan peringkat kebangsaannya yang julung kali diadakan pada tahun ini, adalah untuk memastikan sentimen positif bukan saja pada tarikh merdeka iaitu 31 Ogos tetapi juga bagi tarikh 16 September, setiap tahun.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatimberkata mulai tahun ini, penonjolan ini sudah diberi dan sentimen ini harus dikekalkan pada masa akan datang.
"Ini buat pertama kalinya negara kita menerusi kerajaan persekutuan, denganpersetujuan kerajaan negeri mengiktiraf secara rasmi Hari Malaysia disambut pada 16 September.
Jadi kita jangan hanya melahirkan sentimen positif terhadap merdeka, 31 Ogos tetapi juga 16 September setiap tahun.
"Tahun-tahun hadapan, kita akan olahkan lagi bagaimana kedua-dua tarikh ini menjadi tarikh keramat kenegaraan kita," katanya selepas menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, dekat Kota Kinabalu semalam.
Beliau berkata semua rakyat perlu meraikan Hari Malaysia kerana ini merupakan tanah air yang telah dibina bersama, tanpa mengira latar belakang, agama, kebudayaan dan pegangan politik.
"Kita harus sematkan mesej ini. Sama ada seseorang itu pemimpin ataupun pengikut parti kerajaan ataupun pembangkang, kita mestikan cintakan perayaan ini sebagai perayaan ini sebagai perayaan tanahair kita," tegas Rais.
Sehubungan itu beliau berkata rakyat tidak boleh membiarkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba merosakkan imej murni tersebut.
Mengenai raptai malam Selasa, katanya terdapat beberapa olahan yang mungkin boleh diperbaiki supaya imej dan mesej bagi wilayah Sarawak, Sabah dan Semenanjung itu bertepatan dan mendapat perhatian yang lebih meluas.
"Yang penting di sini ialah, paparan itu memberi erti kepada rakyat kita... Ertinya kepada kita di Sabah, ertinya di Sarawak dan di Semenanjung.
"Pada keseluruhannya, kita lihat ini satu paparan yang sangat menarik dan diharapkan pada 16 September nanti, paparan mesej dan beberapa segmen yang kita buat teguran tadi dapat dimasukkan sekali," tambah beliau.
Ditanya apakah harapan beliau terhadap jumlah pengunjung ke sambutan tersebut nanti, Rais menjawab:" Soal jumlah kunjungan tidak begitu penting, tapi kita diberitahu Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman, padang ini akan penuh sesak oleh masyarakat...Kami yakin malam 16 September ini, kita akan dapat satu kumpulan yang berasak-asak untuk datang bersama-sama.
"Saya fikir pelancong pun akan tertarik dan mereka akan turut serta menyaksikan."
UMT tingkat kesedaran pemuliharaan penyu
Ia bagi membolehkan langkah-langkah pemuliharaan digerakkan bersama oleh pelbagai pihak dan pada masa yang sama mewujudkan kesedaran masyarakat agar turut serta di samping menghargai haiwan itu.
Baru-baru ini, selama lebih seminggu Unit Penyelidikan Penyu Laut (SEATRU) Institut Oseanografi (INOS) telah menganjurkan 'Program Kesedaran Penyu' di kampus berkenaan.
Program itu adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terutamanya mahasiswa UMT sendiri tentang perlunya memelihara kepupusan penyu ini daripada terus berlarutan.
Ia digerakkan dengan pendekatan bagi menarik minat pengunjung untuk mengetahui dengan lebih lanjut segala informasi mengenai penyu.
Pada program kali ini juga, sukarelawan SEATRU memberi penerangan terperinci tentang kaedah pemuliharaan spesies penyu kepada pengunjung.
Penyelidik dan Pensyarah Jabatan Sains Marin, Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin (FMSM), Dr. Juanita Joseph berkata, program sebegitu sering diadakan di seluruh Malaysia oleh UMT.
''Ia untuk memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya kita bersama-sama menjaga spesies terancam ini.
" Pada masa ini, kebanyakan penyu yang mati tidak hanya kerana telur mereka diambil oleh peraih-peraih yang menjual kepada orang ramai tetapi penyu ini juga menjadi makanan kepada pemangsa seperti biawak dan ikan yu.
''Tidak hanya diburu oleh pemangsa, sesetengah daripada penyu ini mati akibat aktiviti manusia sendiri contohnya apabila mereka terlanggar kipas bot yang berlegar-legar di kawasan tumpuan ikan yang juga merupakan tempat habitat penyu tersebut" kata beliau.
Katanya, program kesedaran sebegitu merupakan satu usaha yang amat penting bagi UMT menyedarkan masyarakat tentang bagaimana perlunya kita berhati-hati dalam memastikan spesies penyu yang ada sekarang tidak pupus begitu sahaja.
Program ini telah menarik perhatian pelajar kursus Biodiversiti dan Pemuliharaan Marin daripada fakulti FMSM dalam menyediakan poster yang digunakan untuk pameran serta menganjurkan pelbagai aktiviti untuk pelajar sekolah rendah.
"Untuk menarik minat pengunjung tentang pemuliharaan penyu ini, kita memilih untuk bekerjasama dengan beberapa sekolah di sekitar Kuala Terengganu ini untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang dijalankan pada program ini.
''Ini kerana saya percaya didikan dari kecil lagi merupakan tunggak penting bagi memastikan sifat cintakan penyu ini dapat ditanam dari usia muda lagi" ujar beliau.
"Program ini berjaya menarik pengunjung bukan hanya melawat pameran yang disediakan tetapi mereka juga boleh bersama-sama mendengar ceramah mengenai kesedaran penyu yang telah dilakukan oleh UMT khususnya dan negara Malaysia amnya," tambahnya.
Melalui program itu juga, orang ramai diajak menjadi sukarelawan dan mereka juga boleh mendaftar dengan SEATRU dan berpeluang ke Chagar Hutang, Pulau Redang selama satu minggu untuk membantu kerja-kerja pemuliharaan pusat santuari penyu .
''Usaha sebegini sepatutnya tidak terhenti dengan memberi kesedaran sahaja, kita sendiri sepatutnya mempunyai naluri untuk menyelamatkan penyu ini daripada terus pupus di muka bumi ini," ujarnya.
Laluan buggy RM4.5j dibina di Pulau Redang
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Datuk Mat Razali Kassim berkata, tujuan laluan buggy itu dibina bagi kemudahan membawa barang-barang pelancong yang bercuti ke resort-resort dan rumah tumpangan di pulau berkenaan.
"Kerja-kerja pembinaan laluan buggy itu kini sudah mencapai 90 peratus dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.
"Bagaimanapun oleh kerana semua resort dan rumah tumpangan akan ditutup pada musim tengkujuh, maka ia dijangka dapat digunakan pada Februari tahun depan," katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Mat Razali berkata, laluan buggy itu bermula dari jeti di hujung pulau berkenaan, melalui resort-resort di sepanjang pantai pulau itu.
Pulau Redang, yang merupakan antara 10 pulau tercantik dunia, menjadi tumpuan pelancong bermula Mac hingga Oktober setiap tahun.
Terengganu rebah, T-Team Mudah Dijinakkan
Terengganu gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 1-3 kepada Pahang pada aksi pem- bukaan Kumpulan B Piala Malaysia malam tadi.
Sementara juara 32 kali, Selangor memulakan aksi Kumpulan D pada saingan Piala Malaysia musim ini dengan langkah bergaya apabila mudah menewaskan T-Team 3-1 di Stadium Shah Alam juga malam tadi.
T-Team tampak pincang setelah pemain pertahanan, Nur Alif Zainal Abidin dila- yangkan kad merah seawal minit ke-23 kerana melakukan terjahan keras dari belakang terhadap Amirulhadi Zainal.
Begitupun Selangor gagal memanfaatkan sepenuhnya kelebihan itu apabila mempersia-siakan beberapa peluang keemasan biarpun berjaya mengawal sepenuhnya permainan selepas ketiadaan Nur Alif.
Sementara itu, Terengganu yang beraksi di hadapan hampir 10,000 penyokong setia skuad Penyu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu kehilangan rentak apabila dikejutkan dengan gol pertama pasukan pelawat seawal minit ke-11.
Gol tersebut hadir menerusi kesilapan kapten pasukan, Marzuki Yusof apabila bola yang cuba ditepis keluar di hadapan pintu gol menerjah masuk ke gawang sendiri dan gagal diselamatkan Mohd. Sharbinee Allawee.
Tersentak dengan jaringan sendiri itu, Terengganu menggan- dakan asakan menerusi gandingan Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsuddin tetapi gagal menghasil sebarang gol.
Sebaliknya, Pahang yang dipimpin Dollah Salleh berjaya me- nambah gol kedua pada minit ke-67 menerusi gerakan solo Mohd. Fazli Baharudin yang berjaya menggelecek dua pertahanan Te- rengganu sebelum melepaskan rembatan kencang kaki kanan dari luar kotak penalti.
Ketinggalan dua gol, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti kemudiannya memasukkan pemain baru, Rayjal Abdul Jalil bagi meng gantikan K. Rajan.
Rayjal yang dipinjamkan dari pasukan Pollis untuk kempen Piala Malaysia musim ini kembali menceriakan seluruh penyo kong tuan rumah apabila rembatannya berjaya menghasilkan gol pertama Terengganu pada minit ke-75.
Bagaimanapun, usaha Terengganu untuk mencari gol penyamaan berakhir apabila pasukan pelawat berjaya menambah gol ketiga menerusi Mohd. Faizal Hussain.
Faizal yang tidak dikawal pertahanan Terengganu bijak menyambar hantaran rakan sebelum memperdayakan Sharbinee pada minit ke-82, sekali gus memberi tiga mata berharga buat Pahang dari gelanggang lawan.
Pahang akan melayan kunjungan Kuala Lumpur pada aksi ke- dua di Kuantan (Jumaat), sementara Terengganu akan menjadi pasukan pelawat kepada Sabah di Likas dalam satu lagi aksi Kumpulan B, juga Jumaat ini.
Di Shah Alam, gol pertama Selangor hanya diperoleh pada minit ke-50 menerusi pemain sayap kiri Selangor, D. Surendran yang berjaya melepaskan rembatan kencang dari dalam kotak penalti menewaskan Syamsuri Mustafa.
Selepas itu, Selangor terus melakukan serangan demi serangan tetapi corak permainan bertahan T-Team menyukarkan jentera serangan tuan rumah menambah jaringan.
Namun penyerang gantian, Rudie Ramli berjaya merembat gol kedua Selangor pada minit ke-79, hanya dua minit selepas dia masuk menggantikan Safee Sali (gambar kiri).
Ketika permainan memasuki masa kece- deraan, seorang lagi penyerang gantian, R. Surendren berjaya menjaringkan gol ketiga Selangor menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti.
T-Team akhirnya berjaya menjaringkan gol sagu hati ketika beberapa saat lagi per- mainan hendak ditamatkan menerusi rembatan Rosli Muda yang gagal ditepis keluar Hamsani Ahmad.
Kosmo
Jelajah Tasmania Ujian Terakhir Sebelum Sukan Komanwel - Harrif
Pelumba kelahiran Terengganu itu, mengakui sirkit keempat siri Perlumbaan Kebangsaan Australia (Piala Scoody) bukan mudah berikutan laluan berbukit, namun jauh di sudut hatinya dia mahu beraksi cemerlang setidak-tidaknya menyelitkan diri di kelompok tengah keseluruhan.
Menurutnya, Jelajah Tasmania adalah ujian terakhir buatnya untuk mempersiapkan diri menjelang Sukan Komanwel yang bermula pada 3-14 Oktober di New Delhi, oleh itu dia berharap dapat mengekalkan prestasi dan mengelakkan diri daripada sebarang kecederaan.
"Laluan Jelajah Tasmania ini agak sukar kerana banyak zon pendakian, sedangkan saya adalah pakar pecut, namun saya tidak boleh menyerah kalah terlalu awal. Saya mahu jadikan perlumbaan ini sebagai persiapan terakhir ke Sukan Komanwel nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, Jelajah Tasmania bukan saja dihidangkan dengan laluan yang berbukit, malah cuaca berangin dan hujan juga bakal menguji keupayaan skuad kebangsaan dan juga pasukan lain.
"Ini juga adalah peluang terbaik saya memperbaiki kayuhan terutama di peringkat pendakian. Saya sudah membuktikan kemampuan berlumba baik di laluan landai,'' katanya lagi, yang turut mendapat khabar gembira daripada pelumba senior, Suhardi Hassan mengenai laluan di New Delhi baru-baru ini.
Suhardi menghubungi Harrif untuk memberitahu peluangnya untuk melakar kejutan di New Delhi cerah berikutan laluan di New Delhi kebanyakannya landai dan tidak banyak zon pendakian.
TATiUC Universiti Kemahiran 2015 - Rozailan
Bagi sesi kemasukan 2010-2011 Julai lalu, institusi pengajian tinggi swasta milik penuh kerajaan negeri itu mengambil 715 penuntut dari seluruh negara, berbanding hanya kira-kira 400 orang pada tahun lalu.
Penampungan jumlah penuntut teramai sejak 17 tahun lalu itu menunjukkan keyakinan umum terhadap sistem pengajian di samping lulusannya dalam pasaran kerjaya makin mengukuh.
Rektornya, Dr. Mohd Rozailan Mamat memberitahu, ia suatu perkembangan yang amat memberangsangkan dengan memperlihatkan institusi itu berada dalam landasan tepat.
''Dengan sistem pembelajaran yang menekankan kemahiran sehingga 70 peratus yang diterapkan dalam setiap program, ia mampu melahirkan modal insan terlatih.
''Ini selaras dengan teras ketiga dan keempat dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini iaitu menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif, selain membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia.
''Begitu juga kemahiran yang tinggi di kalangan pekerja di peringkat diploma dan ijazah adalah perlu untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi, demi untuk kesejahteraan rakyat," katanya di sini baru-baru ini.
TATiUC yang dahulunya dikenali sebagai Institut Kemahiran Tinggi Terengganu merupakan institusi pengajian tinggi swasta pertama milik kerajaan negeri.
Institusi pendidikan itu mengalami transformasi seiring dengan hasrat negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan membekalkan guna tenaga dalam sektor yang amat diperlukan.
Sejak dinaikkan taraf tiga tahun lalu bermula dengan penawaran program peringkat Ijazah Teknologi pada Julai 2008, iaitu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan, ia kini menyediakan tujuh program ijazah pertama di bidang teknologi.
Sebagai persiapan ke arah mencapai sasaran sebagai sebuah universiti kemahiran, pelbagai prasarana dirancang termasuk sebahagiannya telah dimulakan.
Beliau memberitahu, ini termasuk cadangan penubuhan sebuah kompleks sukan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi kegiatan dalaman dan luar.
''Di samping itu sebuah dewan konvokesyen dan pembesaran perpustakaan sedang dijalankan yang dijangka siap pada tahun depan.
''Segala perancangan bagi pengukuhan akademik dan penyediaan prasarana serta suasana lebih kondusif telah dilakukan yang mampu merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menaik taraf TATiUC," ujarnya.
Utusan Malaysia
Tuesday, September 14, 2010
Piala Monsun 2010 paling menarik: Gilmour
Gilmour, juara keseluruhan tiga kali Match Racing Dunia kini akan menumpukan terhadap menganjurkan Piala Monsun di Kuala Terengganu, akhir November selepas kecewa tersingkir pada peringkat pusingan awal Terbuka Denmark di Bornholm.
“Ia sukar menggabungkan semua tugas ini tetapi saya masih memiliki masa untuk turun berlayar. Sebelum ini pelayaran adalah pekerjaan saya tetapi kini ia adalah minat saya. Ia memberi kegembiraan dalam hidup saya,” kata warga Australia berusia 50 tahun itu.
Baginya, edisi Piala Monsun ini adalah paling menarik dengan ia buat pertama kali membenarkan pelayar bawah 25 tahun dari luar Asia untuk menyertai kelayakan Asia akhir Oktober ini.
“Piala Monsun pada kali ini adalah yang paling menarik dengan ia menampilkan kelayakan tempatan disusuli dengan kelayakan Asia. Pemenang akan mendapat tiket wild-card menyertai Piala Monsun,” katanya
Adiq teruskan kayuhan di Melbourne
Adiq sekali lagi akan berkayuh bersama pelumba terbaik Australia dari pasukan Drapac International Team, selepas pada Tour of the Murray River, minggu lalu dia dikecualikan pasukan daripada menyertai perlumbaan.
“Di Tasmania nanti, Drapac menghantar pelumba terbaik mereka memandangkan jelajah ini adalah yang terakhir dalam siri Piala Scody,” kata Adiq.
“Semua pelumba adalah barisan sama ditampilkan Drapac pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010.
“Saya harap dapat menyerlah kali ini bersama-sama pelumba Drapac - Peter McDonald, Stuart Shaw, Rys Pollock, David Pell dan Michael Phelan.” Pada LTdL 2010, Adiq dan pelumba-pelumba Drapac melakukan impak dalam penampilan pertama mereka di jelajah berbasikal terbesar negara itu.
Selepas Tour of Tasmania, Adiq yang mula menonjol di arena berbasikal negara selepas memenangi pingat gangsa acara scratch Kejohanan Trek Dunia Remaja di Moscow tahun lalu, akan bersiap memikul cabaran negara ke Sukan Komanwel di New Delhi pada 3 Oktober ini.
Pelayaran sulung RV Discovery hujung tahun ini
Kapal penyelidik RV Discovery milik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dijangka melakukan pelayaran dan ekspedisi saintifik pertamanya hujung tahun ini.
Naib Canselor UMT, Profesor Dr Aziz Deraman berkata pelayaran meredah Laut China Selatan dan berkemungkinan ke Pulau Langkawi atau ke Sarawak dan Sabah, akan disertai beberapa ahli sains.
Beliau berkata, ketika ini RV Discovery masih berada di dermaga pembinaannya Kay Marine, di Kuala Terengganu untuk persiapan terakhir sebelum diturunkan ke air dalam. Kapal RV Discovery atau nama penuhnya Research Vessel Discovery sepanjang 35 meter dan seberat 300 tan itu menelan kos RM13 juta, mula dibina pada September 2008.
"Dengan dilengkapi makmal kering dan basah serta bilik memproses segala data terkumpul, kapal ini akan meletakkan UMT sebagai universiti terulung dalam kajian oseanografi," katanya.
"Selain itu, ia juga dapat memberi pendedahan dan latihan kepada pelajar jurusan Sains Samudera, Biologi Marin, Sains Nautika, Pengangkutan Maritim serta Teknologi Maritim," katanya.
Kapal itu dilengkapi dengan peralatan terkini setanding dengan kapal penyelidikan dengan kemampuan belayar sejauh lebih 4,000 batu nautika pada satu-satu masa.
RV Discovery boleh memuatkan 12 anak kapal dan 23 pelatih pada satu-satu masa dengan menyediakan kabin yang selesa.
Prof Dr Aziz berkata, UMT kini sedang membina pangkalan data tentang Oseanografi Laut China Selatan dan kertas kerja mengenainya akan dihantar kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi memastikan pangkalan data berkenaan selari dengan keperluan negara.
Kenapa UMNO Mahu Memusuhi Perkasa?
pengarang@utusan.com.my
PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang ditubuhkan dengan hasrat mempertahankan hak-hak orang Melayu dan bumiputera di dalam Perlembagaan terus dipandang serong.
Entah mengapa sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, apa sahaja yang berkaitan dengan orang Melayu akan dilihat rasis. Ertinya, seorang Melayu tidak kira siapapun tidak lagi boleh bercakap soal hak dan kedudukan mereka sebagai orang Melayu.
Kalau mereka bercakap soal itu, maka mereka dianggap rasis dan perlu dijauhi, itulah yang dialami oleh Perkasa sekarang.
Apa yang anehnya sebelum ini apabila wujudnya pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili kepentingan sesuatu kaum seperti Hindraf , Siqui dan Dong Zhong tidak pula dilihat sebagai rasis.
Malahan tidak ada satu pun parti politik sama ada di dalam kerajaan mahupun pembangkang membuat kenyataan meminta pertubuhan-pertubuhan berkenaan dijauhi.
Namun yang peliknya apabila menyentuh soal Perkasa, semua parti-parti tersebut hatta UMNO sekalipun mahu menjauhinya. Semuanya kerana bimbang dituduh rasis memandangkan ia ada kaitan dengan orang Melayu.
Sebenarnya ia tidak menguntungkan orang Melayu, malahan ia akan menyemarakkan lagi semangat puak-puak tertentu untuk terus menyentuh apa yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan.
Mereka boleh berbuat demikian kerana yakin apa yang diperjuangkan oleh Perkasa tidak akan dibela oleh mana-mana parti politik Melayu sama ada UMNO mahupun Pas.
Keadaan itu berlaku kerana Perkasa dilihat sama taraf dengan Hindraf, Perkasa dianggap rasis dan Perkasa dituduh puak pelampau.
Tetapi adakah tuduhan yang sama pernah dilemparkan kepada Siqui, Dong Zhong dan Hindraf. Perkasa tidak pernah membuat tuntutan seperti mana ketiga-tiga pertubuhan berkenaan.
Tidak pernah pula sepanjang kewujudannya, Perkasa berarak ke Kedutaan Britain bagi menuntut kerajaan negara itu membayar pampasan kepada orang Melayu terhadap apa yang berlaku ketika zaman penjajahan dahulu, tetapi ia pernah dilakukan oleh Hindraf bagi kaum India, yang jelas bersifat perkauman.
Ketika itu, tidak ada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) atau pembangkang menyanggah Hindraf, Siqui atau Dong Zhong.
Malahan penulis masih ingat sebelum pilihan raya umum lalu ketika menemuramah seorang pemimpin kanan MIC, beliau meminta penulis jangan siarkan kenyataannya mengkritik Hindraf, katanya takut orang India marah.
Begitu juga MCA dan Gerakan, apakah pernah mereka membawa usul supaya BN menjauhi Siqui dan Dong Zhong? Tetapi kenapa apabila menyentuh soal Perkasa, pendirian mereka berbeza?
Apakah kerana Perkasa memperjuangkan hak Melayu dan bumiputera maka ia dilihat salah dan terlalu perkauman?
Kita jangan lupa apabila parti-parti komponen BN terutamanya Gerakan, MCA dan MIC memperoleh keputusan buruk dalam pilihan raya umum, mereka menyalahkan UMNO. Mereka kata UMNO terlalu dominan, ertinya sebuah parti Melayu disalahkan.
Sekarang mereka mencari alasan lebih awal dengan meminta supaya Perkasa yang jelas memperjuangkan hak dan keistimewaan orang Melayu di dalam Perlembagaan dijauhi. Nampaknya misi mereka berjaya.
Persoalannya, apakah ini akan menguntungkan kerajaan atau lebih tepat orang Melayu? Apakah dengan menjauhi Perkasa, ia boleh memberi jaminan bahawa komponen-komponen BN itu akan mencapai kejayaan dalam pilihan raya nanti?
Sekarang ini pun, awal-awal lagi Parti Gerakan di Pulau Pinang sudah meramalkan DAP akan terus memerintah Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, ertinya mereka sudah mengalah lebih awal. Apakah ramalan itu dibuat kerana Perkasa begitu kukuh di Pulau Pinang?
Kalau awal-awal lagi sudah mengaku kalah, tidak perlulah pucuk pimpinan BN memberi kerusi kepada Gerakan untuk bertanding, lebih baik serahkan kepada UMNO atau parti lain yang ingin berjuang habis-habisan.
Apa yang ingin disampaikan ialah jika sesebuah parti itu kalah di dalam pilihan raya, ia bukan kerana orang lain tetapi disebabkan kelemahan kepimpinan parti itu sendiri.
Jadi, janganlah cuba menjadikan Perkasa sebagai kambing hitam. Bukanlah suatu rahsia lagi bagaimana MCA, Gerakan atau MIC malahan UMNO (di sesetengah negeri) belum mampu mengembalikan keyakinan rakyat sepenuhnya.
Oleh itu, apabila Perkasa cuba dijauhi ia sebenarnya tidak menguntungkan sesiapa sebaliknya yang akan mengalami kerugian besar ialah orang Melayu.
Perkasa bukannya parti politik, Perkasa seperti mana kata Pengerusinya, Datuk Ibrahim Ali dalam satu kenyataan kepada penulis, pertubuhan itu hanya mempertahankan hak yang termaktub dalam Perlembagaan.
''Kita menentang usaha mewujudkan Perlembagaan baru, Dasar Ekonomi Baru (DEB) digugat dan mempertahankan kontrak sosial, itu yang kita buat, kita tidak menentang mana-mana kaum, tetapi kenapa kami harus menjadi mangsa?,'' kata Ibrahim.
Justeru, jika Perkasa cuba dijauhi dan dimusuhi, maka orang Melayu akan berpecah lagi. Setelah sebelum ini, orang Melayu sudah berpecah ke dalam UMNO, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan atas pagar, kini wujud pula puak yang menyokong Perkasa.
Kesudahannya siapa yang lemah? Sudah tentu orang Melayu. Sebab itulah, sementara kita menentang sebarang perjuangan mempertahankan hak sesuatu kaum secara keterlaluan seperti dilakukan oleh Hindraf dalam masa yang sama, kita juga perlu mengelak daripada terperangkap dalam politik licik mana-mana pihak yang mahu melemahkan kuasa politik Melayu secara tersirat.
Adalah lebih baik jika Perkasa tidak dimusuhi sebaliknya diajak berbincang mengenai apa yang mereka perjuangkan. Orang Melayu tidak mendapat apa-apa faedah jika Perkasa mewujudkan sebuah lagi pakatan politik, sebaliknya hanya akan menyebabkan kuasa politik Melayu semakin berkurangan kerana perpecahan yang berlaku.
Jika ini terjadi, maka sudah pasti semakin banyak pihak yang akan 'naik tocang' dan membuat tuntutan yang bukan-bukan sehinggakan Perlembagaan negara pun mahu ditulis semula.
Ingatlah pesanan Tun Dr.Mahathir Mohamad ketika mengulas mengenai isu Perkasa. Antara lain beliau berkata, ''Oleh kerana kita (BN dan UMNO) memerlukan sokongan daripada seberapa ramai orang, tidak perlulah kita bermusuh dengan orang. Ia langsung tidak memberi sebarang faedah dan keuntungan.''
Guru Kafa Disaran Tuntut Elaun Ikut Prosedur
Yang Dipertua Persatuan Guru-Guru Kafa dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Terengganu, Mohamad Jusoh berkata, sekiranya guru-guru berkenaan lewat menghantar tuntutan selepas 3 hari bulan pada setiap bulan ke pejabat Yayasan Islam Terengganu (YIT) di daerah masing-masing, ia menyebabkan urusan bayaran lewat diproses.
Katanya, jika lewat, tuntutan itu hanya akan dapat diproses pada bulan berikutnya dan pembayaran akan dapat dibuat sebulan atau dua bulan kemudian.
"Adalah menjadi prosedur jabatan kerajaan, setiap tuntutan mesti diterima sebelum atau pada tarikh itu dan jika terlewat, maka lewatlah proses pembayaran dilakukan," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mendedahkan kekecewaan segelintir guru Kafa di negeri ini yang dikatakan lewat menerima bayaran elaun sehingga dua bulan.
Mereka juga mendakwa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk membuat salinan kertas-kertas soalan peperiksaan kepada pelajar yang memerlukan kos antara RM40 hingga RM80 bagi sekali peperiksaan.
Mohamad berkata, beliau akan mencadangkan kepada pihak YIT untuk mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi menampung pembayaran kertas-kertas soalan itu pada masa hadapan.
Dalam perkembangan lain katanya, YIT diminta bekerjasama dengan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) bagi menyelaras dan melaksanakan skim kursus khas jangka pendek kepada guru-guru Kafa khususnya tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran.
"Latihan itu perlu bagi memberi pendedahan dan teknik mengenai kaedah mengendalikan pengajaran secara optimum dan berkesan kepada pelajar dan JPNT mempunyai ramai pakar," katanya.
Selangor mahu langkah kanan bertemu T-Team
Jurulatih Selangor, K. Devan berkata T-Team adalah sebuah pasukan yang memiliki ramai pemain berpengalaman sambil dibantu oleh pemain muda berbakat dari skuad Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu walaupun sudah mengetahui kelemahan dan kekuatan mereka.
"Apa yang saya harapkan, pemain kami dapat bertindak bijak dan tidak mempersiakan peluang beraksi di gelanggang sendiri," katanya.
Juara Liga Super 2010 itu mahu mencari mata maksimum apabila memulakan kempen Piala Malaysia dengan menerima kunjungan T-Team di Stadium Shah Alam, malam ini dan berpegang kepada satu matlamat - mencatat kemenangan dalam semua perlawanan di tempat sendiri, sambil beraksi konsisten di gelanggang lawan.
Menurut Devan, dia berharap pemainnya menunjukkan fokus yang tinggi dalam perlawanan pertama Kumpulan D selepas berehat panjang di bulan Ramadhan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Saya mahu Selangor memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan, terutama sekali beraksi di tempat sendiri. Kami tiada pilihan lain kecuali meraih tiga mata pertama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Satu lagi perlawanan Kumpulan A menyaksikan KL Plus menentang PKNS di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, manakala Kumpulan B, Terengganu lawan Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Lumpur bertemu Sabah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Kumpulan C melibatkan pertembungan di antara Johor FC dan Kedah di Stadium JCORP, sementara itu Perak menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Perak, satu lagi perlawanan Kumpulan D menyaksikan Perlis bertemu Felda United di Stadium Utama, Kangar.
Belajar Perlaksanaan Kelas Maya Daripada Korea Selatan
Kerajaan negeri akan mengadakan lawatan ke sebuah universiti di Korea Selatan yang menggunakan kelas maya dalam usaha memperkenalkannya di sekolah-sekolah di negeri ini.
''Kita akan bawa pegawai pendidikan daerah bersama untuk melihat pelaksanaan kelas maya tersebut di universiti berkenaan.
''Pelaksanaan kelas maya membolehkan seorang guru mengajar pelajarnya di kelas dari rumah atau di mana dia berada," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman
Beliau berkata, pelaksanaan kelas maya berkenaan masih di peringkat perbincangan dan perancangan.
Sementara itu komputer bimbit e-Book yang diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu meningkatkan pendidikan di Terengganu akan mula dilaksanakan di sekolah menengah tahun depan.
Langkah tersebut sejajar dengan perancangan kerajaan negeri iaitu murid tahun enam yang menerima e-Book sebelum ini akan melangkah masuk ke tingkatan satu.
''Kita akan mulakan di tingkatan satu dahulu sebelum memperluaskan ke tingkatan lain dalam pelaksanaan e-Book di peringkat sekolah menengah.
''Pelajar yang akan memulakan pengajian di tingkatan satu tidak perlu disediakan e-Book baru kerana mereka sudah pun memiliki komputer tersebut," katanya ditemui di majlis rumah terbukanya sempena Hari Raya Aidilfitri di Seberang Takir di Kuala Terengganu, kelmarin.
Beliau berkata, para pelajar berkenaan hanya perlu mengemukakan e-Book mereka kepada pegawai bertugas untuk dinaik taraf program-program komputer terutama silibus pendidikan.
''Jika berlaku kerosakan kepada e-Book berkenaan, para pelajar hanya perlu menyerahkan kembali komputer untuk diperbaiki. Jika rosak kita akan ganti," katanya.
Ahmad Razif menambah, semua persediaan untuk melaksanakan e-Book di sekolah menengah telah dilakukan tahun ini.
''Persediaan tersebut termasuklah latihan kepada guru-guru dan kemudahan-kemudahan yang diperlukan untuk pelaksanaan e-Book ini," tambahnya.
Beliau berkata, 230 pegawai teknologi maklumat akan ditempatkan di sekolah-sekolah menengah pada 1 Oktober ini untuk membantu menaiktaraf e-Book berkenaan.
Sunday, September 12, 2010
UMT Jalankan Kajian Ternak Tiram Hasilkan Mutiara Di Tasik Kenyir
Naib Canselor UMT Prof Dr Aziz Deraman berkata usaha itu dilaksanakan pakar-pakar dari UMT yang telah memulakan kajian awal mengenai ternakan tiram dalam tasik terbesar buatan manusia di negara ini.
"Ia merupakan cetusan idea Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said sendiri yang melawat ke tasik itu baru-baru ini," katanya di Kuala Terengganu.
Prof Dr Aziz berkata UMT sedang menyiapkan kertas kerja yang akan dibentangkan kepada kerajaan negeri bertujuan menjalin kerjasama dalam usaha menjayakan penyelidikan dan kajian berhubung perkara itu.
Katanya jika berjaya, penyelidikan itu merupakan langkah jangka panjang yang boleh memberi nilai ekonomi yang baik kepada kerajaan pada masa depan.
Beliau berkata kajian menternak tiram dalam tasik air tawar adalah yang pertama seumpamanya di negara ini di mana lazimnya tiram diternak di laut dan kawasan air masin.
Prof Dr Aziz berkata pada kebiasaannya, ternakan tiram di laut dibuat dengan cara benih-benih tiram digantung pada tali dan diletakkan dalam air laut.
Bagaimanapun bagi ternakan dalam tasik, ia boleh diubah suai dengan benih tiram dilekatkan pada akar-akar pokok yang menjalar dalam air tasik.
RM1b Bagi 12,000 Unit Rumah Kos Rendah Menjelang 2013
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ia bertujuan mengatasi masalah perumahan golongan berpendapatan rendah di negeri itu.
Setakat ini, kerajaan negeri sudahpun membina kira-kira 6,500 unit rumah kos rendah di negeri itu, katanya pada program Menteri Besar Bersama Perantau sempena sambutan Aidilfitri, di sebuah hotel di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata agenda pembinaan rumah kos rendah itu adalah sebahagian daripada matlamat kerajaan negeri untuk memberi kemudahan kepada rakyat yang tidak mempunyai kediaman.
Selain itu, Ahmad berkata kerajaan memberikan tumpuan dalam bidang pelajaran kepada anak-anak Terengganu supaya setanding dengan negeri-negeri lain.
"Alhamdulillah, dalam tahun-tahun kebelakangan ini Terengganu telah mencipta sejarah dan mengatasi negeri-negeri dalam semua peperiksaan," katanya.
Di samping itu, beliau berkata kerajaan melatih anak-anak Terengganu dalam bidang profesional seperti kedoktoran, juruterbang, mekanikal dan sebagainya.
Ahmad berharap para perantau dapat menyumbangkan idea dan buah fikiran bagi membantu kerajaan memajukan Terengganu.
Lebih 1,000 perantau menghadiri majlis itu.
Ibu, Anak Sambut 1 Syawal di HSNZ
Aidilfitri kali ini antara yang sugul bagi Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, dari Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, bersama seorang lagi anaknya apabila mereka terpaksa berhari raya di hospital selepas disimbah cuka getah oleh suaminya pada jam 1.45 pagi 15 Ogos lalu.
“Bagaimanapun, saya tidak akan menghalang hubungan anak-anak dengan bapa mereka. Walau sejahat mana, dia tetap bapa mereka kerana seperti kata pepatah 'air dicincang tidak akan putus'," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan Ihya' Ramadan oleh Tabung Haji, di Kuala Terengganu, semalam.
Che Ku Zaimah berkata, selepas ini dia ingin melupakan kisah silamnya itu dan akan membina hidup baru bersama anak-anak selain berharap anaknya memberi tumpuan kepada pelajaran yang menjadi aset terpenting pada masa depan.
“Hati mana tidak sedih melihat anak yang masih kecil duduk di katil hospital menahan kesakitan sedangkan kanak-kanak sebayanya kini sibuk bergembira menyambut Aidilfitri, tetapi anak saya masih menjalani rawatan," katanya.
Katanya, beliau juga tidak membuat sebarang persiapan raya, dan berharap dua anaknya di rumah dapat menyambut Aidilfitri bersama nenek mereka.
“Nurul Dahyatul Fazlinda masih menjalani rawatan menampal kulit pada bahagian mukanya yang melecur akibat terkena cuka getah dan proses pemulihan dijangka memakan masa," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Tabung Haji Negeri, Zahir Hussin, berkata program Ihya' Ramadan bertujuan menceriakan penerima bantuan terutama mereka yang masih dirawat di hospital menyambut Aidilfitri.
Katanya, seramai 320 orang di seluruh Terengganu menerima sumbangan di bawah program Ihya' Ramadan Tabung Haji.
Pusat Pengurusan Khas Untuk Kemudahan Saudara Baru
Yang Dipertua Maidam Datuk Mazlan Hashim berkata, Kompleks Darul Hidayah yang terletak di Jalan Sultan Omar, di Kuala Terengganu akan dinaik taraf untuk tujuan itu dengan peruntukan sebanyak RM14 juta.
Katanya pusat pengurusan khas itu akan dilengkapi beberapa kemudahan termasuk asrama lelaki dan wanita serta dewan kuliah dan latihan yang dijangka dibina dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
"Pembinaan asrama dan dewan kuliah itu ialah bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada saudara baru mengikuti kuliah dan latihan yang diadakan di kompleks berkenaan," katanya baru-baru ini.
Mazlan berkata, ketika ini terdapat seramai 1,875 orang saudara baru di seluruh Terengganu manakala jumlah yang memeluk agama Islam bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini ialah 73 orang iaitu purata 10 orang sebulan.
Katanya, menyedari keperluan pemantauan dan tumpuan agar saudara baru dapat menghayati ajaran Islam dengan sempurna, Maidam telah melaksanakan program seperti kelas bimbingan Fardu Ain setiap dua kali seminggu di lima lokasi yang berasingan.
Beliau berkata, setiap tahun Maidam menaja lima saudara baru mendalami pengetahuan agama secara formal di Institut Dakwah Islamiah Pengkalan Chepa, Kelantan dengan nilai tajaan RM10,000 seorang bagi tempoh setahun.
Selain itu, katanya, Maidam juga mengadakan beberapa program khas iaitu Kem Ramadan, kursus tilawah dan hafazan Al-Quran, azan serta kuiz untuk saudara baru.
Mazlan berkata, memandangkan saudara baru tertakluk kepada pembahagian zakat di bawah Asnaf Muaalaf, Maidam telah membelanjakan kira-kira RM1 juta sehingga pertengahan Ogos ini bagi tujuan itu.
Katanya perbelanjaan itu adalah untuk pembayaran bantuan kebajikan, bantuan modal, pembaikan rumah, bantuan kesihatan dan penyediaan kursus khas termasuk membiayai anak-anak ke institut pengajian tinggi awam dan swasta dan persekolahan.
Pakej Perkahwinan Istimewa Di D'Muara
Atau anda bersama pasangan dan rombongan perkahwinan diarak menaiki beca untuk ke majlis persandingan di hotel terkemuka di tengah-tengah bandaraya pesisir pantai ini?
Dengan perbelanjaan yang berpatutan, impian itu bakal menjadi realiti di Felda Residence Kuala Terengganu yang akan menguruskan semuanya untuk anda menerusi pakej Perkahwinan D'Muara Sungai Kuala Terengganu.
Eksekutif F&B, D'Saji Restoran & Cafe Sdn Bhd, Mohd D'zulkifli Abdullah berkata pakej yang disediakan di hotel itu bertujuan membebaskan pasangan pengantin dan keluarga masing-masing dari kerja berat mengurus majlis perkahwinan.
"Bermula dari majlis merisik, bertunang dan majlis pernikahan, kami bersedia uruskan dari awal hingga akhir," katanya kepada Bernama.
Katanya perkahwinan di Felda Residence menggabungkan unsur tradisional dan moden yang bersesuaian untuk pelanggan terutamanya dari Pantai Timur.
Majlis pertunangan dan akad nikah akan berlangsung di tingkat 19 hotel itu yang menghidangkan pemandangan Sungai Terengganu dan laut lepas mempesonakan manakala D'Muara menjadi lokasi kenduri-kendara berkonsepkan bufet.
"Pengantin juga akan disediakan sebuah bilik penginapan di tingkat 19 hotel yang mempunyai 20 tingkat ini," katanya.
Hotel itu menyediakan pakej perkahwinan serendah RM12,500 untuk 350 jemputan dan pelanggan boleh memilih empat variasi masakan yang ditawarkan iaitu Lavender, White Jasmin, Country Rose dan Lily of the Valley.
Katanya dengan kadar RM3,500 untuk 50 tetamu pula, beberapa kelengkapan untuk majlis pertunangan disediakan termasuk kamar persalinan, mini pelamin dan sebuah gerbang pertunangan dari pintu masuk utama ke pintu masuk D'Muara.
"Untuk majlis akad nikah, seorang jurunikah bertauliah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAIT) berserta dua orang saksi nikah disediakan," katanya.
Hotel itu juga menyediakan pakej Ulang Tahun Perkahwinan kepada pasangan yang ingin meraikan ulang tahun perkahwinan masing-masing.
Pakej ulang tahun perkahwinan dibuat secara tradisional dengan pulut kuning dan rendang disediakan, katanya.
Sebuah gerbang peringatan mengenai pasangan berkenaan juga disediakan dari pintu masuk utama ke pintu masuk D'Muara.
Bilangan minimum tempahan untuk pakej ini ialah seramai 50 orang tetamu dengan kadar RM3,500, katanya.
D'Saji berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang katering dan 15 tahun dalam menguruskan pakej perkahwinan seumpama itu.
D'zulkifli berkata kesemua tempahan untuk pakej yang disediakan itu perlu dibuat tiga bulan sebelum majlis berlangsung.
Perlu RM500 Juta Untuk Baiki 567 Premis Sekolah
Timbalan Menterinya Dr Mohd Puad Zarkashi berkata sebahagian besar daripada premis berkenaan adalah di pedalaman Sarawak dan Sabah, manakala sebahagian lagi di Pahang dan Kelantan.
"Kita telah pun mengemukakan permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan peruntukan itu yang akan dimasukan dalam Rancangan Malaysia Ke-10," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Pagoh, semalam.
Dalam pada itu katanya, kementerian tersebut menerima peruntukan ihsan sebanyak RM50 juta daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membaik pulih asrama desa.
Katanya daripada jumlah itu, sebanyak RM20 juta masing-masing diperuntukkan bagi Sabah dan Sarawak, manakala baki RM10 juta diguna untuk membaik pulih asrama desa di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
T'Team Harap Dapat Satu Mata Lawan Selangor
Jurulatihnya Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor berkata ini kerana biasanya untuk mengatasi pasukan berpengalaman seperti Selangor adalah sukar dan perit apatah lagi bermain di gelanggang mereka.
"Kita mahu bawa balik satu mata sekurang-kurangnya, tetapi kalau kita menang itu adalah bonus," katanya di Kuala Terengganu semalam.
Che Ku Marzuki berkata berdasarkan pengalaman barisan pemain T'Team, yang terdiri daripada bekas pemain negeri, laluan T'Team untuk memungut satu mata adalah cerah.
Katanya semangat para pemain T'Team untuk menghadapi juara Liga Super musim ini begitu tinggi dan berkobar-kobar.
Che Ku Marzuki berkata semua pemain utama T'Team boleh diturunkan untuk menghadapi Selangor, kecuali pemain pertahanan Shahrul Ezrain Shamsuddin kerana menerima tiga kad kuning dalam pertandingan Liga Super.
Beliau berkata T'Team akan membuat persiapan terakhir sebelum turun menentang Selangor iaitu hari ini dan esok bagi memastikan stamina pemain-pemain stabil.
"Dalam bulan puasa baru-baru ini, kita mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan Terengganu bagi memanaskan badan," katanya.
Dalam pertandingan awal, T'Team ditempatkan dalam kumpulan D bersama-sama pasukan Selangor, KL Felda United dan Perlis.
Che Ku Marzuki berharap penyokong-penyokong T'Team, yang berada di Lembah Klang, akan memberikan sokongan moral apabila pasukan itu bertemu Selangor di Stadium Shah Alam nanti.