Saturday, January 15, 2011

Program ETA Diteruskan Buat Tahun Keenam Di Terengganu

Program Pembantu Bahasa Inggeris (ETA) diteruskan buat tahun keenam dengan ketibaan seramai 17 tenaga pengajar dari Amerika Syarikat.

Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Terengganu, Zuber Embong berkata kumpulan tersebut yang terdiri daripada 13 wanita dan empat lelaki akan ditempatkan di beberapa sekolah pilihan di setiap daerah dua minggu lagi.

"Sebelum ditempatkan di sekolah-sekolah, mereka akan menjalani kursus orentasi yang akan dikendalikan oleh pihak pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak Jabatan Pelajaran selama dua minggu," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Katanya orentasi tersebut bertujuan memberi mereka pendedahan kepada budaya dan adat resam masyarakat, sistem pendidikan Terengganu dan membantu mereka menguasai bahasa Melayu dan dialek tempatan.

Menurut Zuber, kumpulan ETA tersebut kesemuanya mempunyai ijazah dalam pelbagai bidang.

Katanya setiap tahun tidak timbul sebarang masalah dalam mengendalikan Program ETA malah sekolah amat mengalu-alukan bantuan yang diterima melalui program tersebut terutamanya dalam membantu pelajar negeri itu menguasai bahasa Inggeris.

Program berkenaan merupakan kerjasama antara kerajaan negeri Terengganu dan Malaysian-American Commission On Education Exchange (MACEE).

Sementara itu, Blair Daily dari Washington berkata beliau menyertai program tersebut kerana mahu mempelajari lebih mendalam mengenai kesenian Terengganu dan agama Islam di Malaysia.

Beliau yang memiliki Ijazah Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak selepas mengikuti pengajian selama satu semester pada 2009, mahu meningkatkan kecekapan berbahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah di sini melalui sukan dan muzik.

Bagi Megan Huber, beliau berminat untuk mengajar Bahasa Inggeris kerana mempunyai pengalaman sebagai tenaga pengajar.

Veteran UMNO Bantu Memenangkan Pilihan Raya

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata sikap bersatu hati semua pemimpin serta pejuang UMNO boleh memastikan kemenangan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau yang juga Menteri Besar menyatakannya berucap di Majlis Mesra Veteren Bersama Pemimpin 2011 yang bertemakan “Jasamu Dikenang “, kelmarin.

Majlis di anjurkan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) bersama Majlis Veteren UMNO bahagian Dungun dan Kemaman diadakan di Dewan Utama Perbandaran Dungun dan disusuli di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman(MPK) kelmarin.

Ia adalah usaha untuk merapatkan golongan veteren UMNO dengan kepimpanan UMNO masa kini.

Beliau yakin, dengan jumlah ahli veteren UMNO berumur 60 tahun ke atas seramai 47,345orang yang berdaftar sebagai pegundi yang hampir sembilan peratus daripada jumlah pegundi seluruh negeri Terengganu, sumbangan mereka amat besar.

Menurut Ahmad Said, jika disatukan dengan ahli-ahli sayap parti UMNO yang lain, ia akan menghasilkan satu jumlah undi yang besar untuk memastikan kemenangan piliharaya akan datang.

Beliau amat menghargai dan berterima kasih kepada golongan veteren yang telah banyak memberi jasa-jasa dan bakti mereka kepada parti dan rakyat agar dapat mengecapi nikmat yang kita dapat pada hari ini.

Beliau juga menegaskan agar ahli UMNO tidak bersikap seperti ‘duri dalam daging’, Jangan disebabkan tidak berpuas hati dengan UMNO, ada antara ahli UMNO yang sanggup menjatuhkan UMNO.

“Sebaliknya sebagai pejuang sebenar, kita perlu sanggup mengorbankan jiwa raga demi memperkasakan parti, bak kata orang ‘adat berparti, parti dipertahankan’,” katanya.

Sempena majlis berkenaan juga, MB turut menyerahkan bantuan kerusi roda dan menyampaikan Anugerah Jasamu Dikenang kepada 20 ahli Majlis Veteran UMNO Bahagian UMNO Dungun dan Kemaman yang banyak berjasa dalam perjuangan parti.

Ini satu pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap jasa dan khidmat golongan veteren UMNO dalam memperjuangkan parti selama ini.

Sumber: Teganukita

100 Keluarga Miskin Terima Bantuan NKRA

Seramai 100 keluarga miskin dan miskin tegar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir menerima Bantuan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Pegawai Pembangunan DUN itu, Yusof Awang Hitam berkata, daripada jumlah itu, 74 orang menerima bantuan berupa kotak makanan yang mengandungi beras, susu, milo dan barangan keperluan dapur.

"Sementara selebihnya merupakan pelajar sekolah yang menerima bantuan persekolahan seperti kasut, beg dan pakaian seragam," katanya ketika berucap pada majlis itu di Kampung Pulau Bahagia semalam.

Sumbangan itu disalurkan kepada keluarga isi rumah yang diperoleh daripada senarai e-Kasih dan ia merupakan program Akhiri Zaman Miskin (Azam) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Keluarga yang tersenarai dalam program e-Kasih dipilih oleh 20 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN berkenaan.

Menurut Yusof, walaupun ada sebahagian penerima telah mendapat elaun bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bantuan itu meringankan beban perbelanjaan ahli keluarga terbabit.

"Memandangkan sebahagian besar golongan ini adalah petani, musim tengkujuh yang melanda sedikit sebanyak telah menjejaskan pendapatan mereka.

"Walaupun tiada penduduk di DUN ini terlibat dengan banjir, kami sentiasa bersedia menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan sokongan," jelasnya.

Katanya, pada tahun ini pihaknya akan melipatgandakan usaha mendekati rakyat melalui pelbagai program kemasyarakatan selain kunjungan dari rumah ke rumah.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Hulu Terengganu berkata, usaha itu dilakukan bagi memastikan tiada individu atau keluarga tercicir daripada mendapat bantuan sewajarnya.

Tawar Gaji Sesuai Untuk Graduan Pengajian Islam

Kerajaan diminta menawarkan lebih banyak peluang kepada graduan lepasan ijazah dalam Pengajian Islam untuk mengisi jawatan imam dan bilal mengikut gred gaji bersesuaian dengan tahap akademik dimiliki.

Timbalan Pengerusi Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh berkata, langkah itu perlu untuk menampung jumlah imam dan bilal yang masih tidak mencukupi di negeri ini.

“Meskipun jumlah kekosongan imam dan bilal di negeri ini tidak dikategorikan sebagai kritikal, namun langkah proaktif perlu dilaksanakan segera memandangkan tidak ramai yang sanggup memegang jawatan penting itu.

“Tindakan menawarkan gred gaji bersesuaian dengan tahap pendidikan dimiliki graduan dalam bidang agama, perlu dikaji sekali gus menarik minat golongan muda mengisi kekosongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian Bantuan Pakaian Sekolah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh di Dewan Abbas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Tok Jiring, di Kuala Terengganu.

Menurut Muhammad, sebelum ini jawatan berkenaan hanya ditawarkan secara kontrak kepada pemegang ijazah, yang mana gaji dan elaun dibayar berdasarkan kelulusan akademik dimiliki.

“Bagaimanapun, kita tidak nafikan tidak ramai golongan muda berminat mengisi jawatan penting dalam agama ini kerana bimbang pelbagai persepsi masyarakat terutama kredibiliti mereka memegang jawatan itu.

“Justeru, saya berharap masyarakat sama-sama memainkan peranan sentiasa memberikan sokongan dan galakan kepada golongan muda bagi memastikan mereka terus berkeyakinan melaksanakan tugas nanti,” katanya.

Amaran Hujan, Angin Kencang Dan Laut Bergelora Sehingga Khamis Ini

Amaran angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan sebelum ini masih lagi dikekalkan terutamanya di Laut China Selatan serta beberapa kawasan perairan negara.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian dari 5.5 meter yang berlaku di perairan Condore dijangka berterusan di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Reef North, Layang-layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga Khamis ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi semalam, hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berterusan sehingga Selasa malam, demikian Kawasan yang terlibat di Sarawak adalah Bahagian Kuching (Daerah Lundu, Bau dan Kuching), Samarahan (Daerah Asa Jaya, Samarahan, Serian dan Simunjan), Sri Aman (Daerah Sri Aman dan Lubok Antu), Betong (Daerah Betong dan Saratok), Sarikei (Daerah Bintangor, Sarikei dan Pakan) dan Mukah (Daerah Daro).

"Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah," kata kenyataan itu.

Friday, January 14, 2011

Susuri Sungai Produk Terbaru Industri Pelancongan Terengganu

Kerajaan Terengganu akan memberi nilai tambah terhadap produk pelacongan di negeri ini apabila memulakan projek pelayaran menyusuri Sungai Terengganu hingga ke Hulu Terengganu mulai tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata bagi tujuan itu kerja mendalamkan sungai Terengganu yang cetek akan dimulakan selepas Tahun Baru Cina ini bagi membolehkan bot yang lebih besar menyusuri sungai itu.

"Terengganu mempunyai pelbagai tarikan alam semula jadi seperti pantai yang panjang dan bersih, Tasik Kenyir yang luas serta berpuluh-puluh pulau di luar pantai yang indah, tetapi industri pelancongan kita tidak sampai ke tahap yang diharapkan.

"Dengan sebab itu saya ingin menambahbaik produk pelancongan seperti mewujudkan River Cruise, memasang lampu-lampu di sepanjang sungai agar ia lebih terang dan ceria untuk dinikmati pelancong dan penduduk tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majis perjumpaan Veteran Umno bersama pemimpin Parlimen Dungun di Dungun, semalam. Turut hadir Pengerusi Majlis Veteran, Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu Datuk Yahya Hashim.

Ahmad Said berkata pelayaran menyusuri Sungai Terengganu dimulakan dengan bot kecil terlebih dahulu kerana bot yang besar tidak boleh melepasi jambatan Sultan Ismail di Manir yang agak rendah.

Beliau berkata penambahan produk pelancongan yang baru itu diharap dapat meningkatkan kedatangan pelancong ke Terengganu tahun ini.

Sementara itu, Yahya berkata Terengganu mempunyai 47,345 anggota Veteran Umno berumur 60 tahun ke atas yang berdaftar sebagai pengundi.

Karnival Jom Masuk U di TTC Hari Ini & Esok

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dijangka hadir pada perasmian karnival Pengajian Tinggi Negara `Jom Masuk U’ 2011 yang diadakan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di Kuala Terengganu petang ini.

Karnival itu dijangka dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin dan akan berlangsung dua hari bermula hari ini.

BAHAGIAN Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi menyasarkan 300,000 pengunjung mengunjungi Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) edisi ketujuh tahun ini.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataannya, berkata , 'Jom Masuk U' bertujuan mempromosi dan menyebarluaskan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi.

Katanya, maklumat tambahan berkaitan turut disediakan termasuk akreditasi dan pembiayaan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, pelajar lepasan asasi, diploma, sijil dan diploma kemahiran.

“Tahun ini, 11 zon dikenal pasti menjadi lokasi karnival dengan Pusat Perdagangan Terengganu menjadi zon 1 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini (14 Januari ini).

“Karnival diteruskan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka pada 22 dan 23 Januari bagi zon 2, manakala Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (29 dan 30 Januari) untuk zon 3.

“Program di Kelantan berlangsung di Pusat Perdagangan Kelantan dan Stadium Sultan Muhammed ke-IV, Kota Bharu, pada 12 dan 13 Februari) zon 4, Dewan 2020, Perlis (19 dan 20 Februari) zon 5,” kata kenyataan yang diterbitkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kementerian menjelaskan, program sama juga akan diadakan di Suria Sabah, Kota Kinabalu, (26 dan 27 Februari) zon 6, Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang (5 dan 6 Mac) zon 7 dan di Persada Johor Bahru, pada (12 dan 13 Mac) zon 8.

Lokasi pilihan di Sarawak pula akan diadakan di Pusat Pameran Permata, Kuching, (19 dan 20 Mac) zon 9, Dataran Majlis Bandaraya Ipoh, Perak (26 dan 27 Mac) zon 10 dan Pusat Pameran Antarabangsa Mines, Seri Kembangan, Selangor (2 dan 3 April) zon 11.

Berfungsi sebagai penyebar maklumat secara berpusat, Kementerian menetapkan kumpulan sasar mendapat garis panduan lengkap mengenai program pengajian yang ditawarkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi akademik 2011/2012.

Selain itu, karnival turut memupuk kesedaran dalam kalangan pemohon dan masyarakat mengenai pelaksanaan permohonan kemasukan ke IPTA secara dalam talian.

Maklumat pelaksanaan dasar pemilihan kemasukan menggunapakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus kokurikulum turut disampaikan.

Selain lulusan sekolah, ibu bapa, guru bimbingan dan kaunseling, pendidik dan masyarakat boleh memanfaat ilmu serta maklumat yang disampaikan.

Program disertai 20 IPTA, 100 IPT swasta terpilih, agensi di bawah kementerian dan Kementerian Pelajaran, yayasan negeri, agensi pembiayaan pendidikan termasuk Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Belia dan Sukan dan MARA.

Sementara itu, Timbalan Pendaftar Bahagian Pengurusan Akademik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Mohd Nizam Pavel, berkata UTeM berharap penganjuran karnival kali ini berjalan lancar dan mencapai objektifnya.

Katanya, karnival itu memberi peluang pengunjung mengemukakan pertanyaan kepada wakil universiti dan kolej bagi memastikan masing-masing membuat pilihan tepat program pengajian yang bakal diikuti.

UKOM Mendekati Media Melaui Bicara Bersama Media

Tengku Putera bertukar pandangan dengan warga media di Kuala Terengganu.
Petang kelmarin satu majlis jalinan hubungan dan rakan strategik antara wartawan khususnya di Kuala Terengganu dengan Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) diadakan di sebuah hotel di Kuala Terengganu.

Program Bicara Bersama Media telah membuka tirai hubungan mesra itu bagi tahun 2011, diadakan pada hari semalam (12 Januari 2010) bertempat di sebuah hotel di Kuala Terengganu.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato Tengku Putera Awang yang juga merupakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, menjadi tetamu UKOM bagi menjayakan Bicara Bersama Media itu.


Unit Komunikasi Negeri Terengganu mengadakan jalinan hubungan dan rakan strategik dengan pihak media massa. - Gambar oleh SYED ABDUL RAHMAN.
Bicara Bersama media itu berkonsepkan kemesraan di samping menyampaikan info kepada pihak media untuk disebarkan kepada rakyat melalui penerbitan masing-masing.

Pengarah UKOM, Haji Shamsuddin Sulong, berkata program itu akan diadakan sekurang-kurangnya sebulan sekali dengan tetamu yang berbeza.

Katanya, kerajaan negeri menghargai peranan media yang banyak membantu kerajaan dalam menyebarkan info kerajaan kepada rakyat.

Dalam dialog dengan wakil-wakil media, pihak media meminta supaya lebih besar ruang diberikan oleh agensi kerajaan dan ahli-ahli politik untuk menjawab permasalahan masyarakat.

Mereka menyatakan, media perlu diberikan ruang untuk jawapan balas, komen atau ulasan ke atas permasalahan yang didedahkan dan bukan niat media untuk menimbulkan keadaan yang tegang.

Tengku Putera memuji langkah UKOM yang mendekati pihak media dan berharap lebih banyak program bersama media dianjurkan.

Turut hadir, Penyelidik Kanan Menteri Besar, Hambali Abdul Latif, Timbalan Pengarah UKOM, Ruslan Abdul Rahman dan pegawai dari Jabatan Penyiaran (RTM), Kuala Terengganu
Kira-kira 30 orang wakil-wakil media hadir.

Sumber: UKOM

Jelajah One Malaysia Usaha Bakti Kepada Rakyat

Program Jelajah One Malaysia (JOM) Marang bukan gimik politik, sebaliknya ia adalah satu usaha berterusan Pemuda UMNO Negeri untuk menabur bakti kepada rakyat di negeri ini.

Ketuanya, Saiful Bahri Baharuddin berkata, aktiviti kemasyarakatan yang membantu golongan memerlukan dalam JOM juga akan diteruskan ke daerah lain selepas ini.

“Kita serius dalam membantu masyarakat pelbagai lapisan, khususnya yang kurang bernasib baik menerusi program ini, malah kita akan memastikan pihak yang terlepas pandang akan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.

Saiful berkata demikian semasa mengetuai konvoi Pemuda UMNO negeri ke Taman Rahmat, Rhu Rendang di Marang sempena program JOM peringkat daerah Marang di sini. Hadir sama, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.

Pada program JOM yang dilancarkan, antara yang menerima bantuan ialah 47 murid miskin di Taman Rahmat dan Pemuda UMNO negeri juga sempat mengadakan lawatan ke rumah dua pemain Harimau Malaya iaitu Ashaari Shamsuddin dan Mohamad Sharbinee Allawee.

Saiful berkata, selain merapatkan hubungan dengan akar umbi, kaedah program itu juga mampu mengeratkan hubungan barisan Pemuda negeri kerana semua yang dilakukan secara bersungguh-sungguh atas satu tujuan iaitu membantu masyarakat.

“Ini adalah satu program penjenamaan semula aktiviti Pemuda BN negeri bagi memberikan keselesaan kepada rakyat menerusi pelbagai aktiviti seperti kegiatan kemasyarakatan, aktiviti sukan dan penyampaian sumbangan yang dilakukan secara berterusan,” katanya.

Jangan Layan Desakan Mengenai Interlok

\Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia meminta supaya Kementerian Pelajaran tidak melayan sebarang desakan menarik balik novel Interlok sebagai teks wajib Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu bagi pelajar Tingkatan Lima.

Presidennya Prof Madya Dr Hashim Othman berkata pihaknya berpendapat langkah itu hanya akan menghakis peluang generasi muda memahami dan menerima perkembangan sejarah pelbagai masyarakat yang membentuk negara Malaysia.

Beliau berkata Sasterawan Negara Datuk Abdullah Husein menggarap idea dengan baik dalam novel itu melalui penceritaan tentang pembinaan masyarakat Melayu, India dan Cina sebelum merdeka menerusi watak Seman, Chin Huat dan Maniam secara realistik.

Novel Interlok terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka, dan ia mula menjadi kontroversi apabila ada pihak mendakwa ia mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India.

“Tindakan bakar novel dan potret penulis Interlok jelas tidak menggambarkan kematangan tindakan dan pemikiran, yang jelas bermotif kepentingan politik tanpa melihat konteks cerita atau menerima realiti peristiwa yang digambarkan penulis,” katanya di Besut , Khamis.

Hashim percaya sekiranya tuntutan kumpulan itu dilayan, pasti banyak lagi isu akan ditimbulkan berpandukan daripada buku-buku lama atau buku sejarah yang menggunakan perkataan atau perumpamaan tertentu yang menggambarkan masyarakat Melayu, Cina dan India sebelum merdeka.

Beliau berkata penggunaan Interlok juga selari dengan mata pelajaran Sejarah yang dijadikan sebagai mata pelajaran wajib lulus, iaitu murid didedahkan dengan hakikat dan fakta sejarah untuk membolehkan mereka berfikir secara rasional, kritis serta memupuk sifat bertanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.

“Interlok ditulis untuk dibaca dengan fikiran terbuka, bukan dibakar untuk memarakkan emosi,” kata Dr Hashim yang juga merupakan pensyarah kanan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Di Kuala Terengganu, Utusan Malaysia melaporkan, sejak tercetusnya kontroversi Interlok di media tempatan, novel berkenaan mula menjadi sebutan termasuk ramai yang mula mencarinya di kedai-kedai buku.

Pengurus Kedai Buku Ibzanis Sdn. Bhd., Nor Ida Ibrahim berkata, kebelakangan ini terdapat ramai pelanggan yang berkunjung ke kedainya itu untuk bertanyakan tentang novel tersebut.

“Ada juga yang menelefon untuk membelinya. Mereka bertanyakan harga buku itu dan ada juga yang begitu bersemangat menyuruh saya membuat tempahan.

“Walaupun saya pengedar tunggal buku dan majalah Dawan Bahasa dan Pustaka (DBP) di daerah ini, Interlok tidak lagi dijual kira-kira 15 tahun lalu kerana tidak ada lagi yang bertanyakan novel itu,” katanya kelmarin.

Novel Interlok dijadikan teks untuk komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun ini.

Kemuncak bantahan itu, naskah novel karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain dibakar oleh kira-kira 100 penduduk berketurunan India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Selangor baru-baru ini kerana mendakwa Interlok mempunyai unsur menghina kaum itu.

Tambah Nor Ida, syarikatnya yang mula menjadi pengedar kepada DBP sejak awal 1990-an mempunyai lebih 600 judul untuk dijual kepada orang awam serta institusi pendidikan seperti sekolah, kolej dan universiti.

“Pada masa ini, saya tidak lagi menjual novel ini ditambah pula Jabatan Pelajaran Negeri tidak menggunakan buku ini sebagai Komsas di negeri ini,” jelasnya.

Nor Ida menambah, memandangkan ramai yang sudah bertanyakan tentang novel itu, dia telah membuat tempahan dengan DBP dan Interlok dijangka boleh didapati di kedainya itu pada minggu depan.

Thursday, January 13, 2011

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Turut Diberikan Amaran

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah turut diberikan amaran.
Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan bakal kehilangan hak dan kelebihan bermain di gelanggang sendiri serta sepak mula sebelah malam bagi beberapa perlawanan awal Liga Malaysia musim ini, apabila Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu masih belum memenuhi dua syarat utama pertandingan tempatan.

Gara-gara keadaan padang dan tahap pencahayaan kurang memuaskan, gelanggang keramat Wira Merah itu kini diarahkan diperbaiki dalam tempoh antara 15 hari sehingga seminggu sebelum perlawanan awalnya oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Pekerja mengecat bahagian tempat duduk penonton di Stadium Sultan Muhammed IV, semalam sebagai persediaan untuk saingan Liga Malaysia 2011 tidak lama lagi. Gelanggang pasukan Kelantan itu merupakan antara stadium yang belum memenuhi syarat yang ditetapkan oleh FAM.

Turut mendapat amaran itu ialah empat lagi pasukan Liga Super; Terengganu, Sabah, Perak dan Johor FC manakala Sarawak, Sime Darby, PKNS, Angkatan Tentera Malaysia, Pos Malaysia, Harimau Muda B, Majlis Perbandaran Muar dan Johor mewakili Liga Perdana.

Gelanggang sendiri semua pasukan ini didapati rosak, botak, berumput tidak sejenis, tidak rata dan berlopak, selain tidak memiliki tahap pencahayaan lampu sehingga 800 lux untuk dilangsungkan perlawanan yang bermula pukul 8.45 malam.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Hamidin Amin berkata, gelanggang terlibat ialah Stadium Sultan Muhammed IV Kota Bharu, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, Stadium Likas Kota Kinabalu, Stadium Perak Ipoh dan Stadium JCorp, Pasir Gudang.

"Lain-lain stadium yang terlibat ialah Stadium Sarawak Kuching, Stadium Petaling Jaya, Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Stadium Larkin Johor Bahru," katanya yang juga Naib Presiden FAM selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kali kelima di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Kelantan bagaimanapun akan membuka Liga Super musim ini dengan bertandang ke Stadium Shah Alam bagi perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah dengan juara bertahan, Selangor pada 29 Januari ini, serentak dengan enam lagi perlawanan lain.

Katanya, jawatankuasa masih cuba bertolak ansur dengan kesemua pasukan terlibat dan pihak pengurusan gelanggang apabila mengurangkan tahap pencahayaan lampu stadium kepada cuma 800 lux sedangkan ia sepatutnya ditetapkan pada 1,200 lux jika menurut peraturan pertandingan antarabangsa.

"Kami bukan mahu menghukum secara melulu dengan memberikan tempoh muktamad ini tetapi kami mahu semua pihak terlibat, mengambil berat dan mengenakan langkah berjaga-jaga, sejajar syarat pertandingan dan kualiti Liga Malaysia mulai musim 2011," katanya.

Tegas Hamidin, kegagalan pihak berkenaan mematuhinya juga akan menyebabkan mereka terpaksa mengalihkan beberapa perlawanan awal di tempat sendiri ke stadium yang mungkin di tempat terdekat, negeri berjiran atau lebih jauh sekiranya tuan rumah asal di situ, dijadualkan bermain di gelanggang lawan pada hari berkenaan.

"Ini bererti ada kemungkinan Kelantan dan Terengganu umpamanya, terpaksa bermain di Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi perlawanan tempat sendiri, selagi gelanggang utama mereka masih gagal mencapai syarat utama pertandingan iaitu padang dan lampu.

"Jawatankuasa juga membenarkan permintaan Pulau Pinang untuk melangsungkan perlawanan Liga Perdana musim ini di Stadium Bandaraya mulai 4.45 petang, begitu juga di gelanggang yang dilarang dimainkan perlawanan sebelah malam atau 4.15 petang bagi Sabah dan Sarawak," katanya.

Tiga Lelaki Peru Dipenjara 18 Bulan

Tiga lelaki warga Peru dijatuhi hukuman penjara 18 bulan kerana memperdaya seorang wanita tempatan dan mengeluarkan wangnya sebanyak RM3,500 daripada mesin ATM di Besut pada September tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen M.Bakri Abdul Majid memerintahkan hukuman bermula dari tarikh ketiga mereka ditangkap iaitu pada 19 September tahun lepas kerana mengambil kira pengakuan bersalah Sosaya Carrasco Jose Wilfredo, 58, Nicanor Edgar Areche Aquipa, 45, dan Henry Fernando Carrascal Carlin, 45, yang telah menjimatkan masa mahkamah.

Ketiga-tiga lelaki itu didakwa secara bersama melakukan tiga pengeluaran pada mesin ATM di Maybank Berhad di Jerteh, Besut, berjumlah RM3,500 daripada akaun simpanan milik Ma Kalthum Salleh, 38, antara 11 pagi dan 12 tengah hari 19 September lepas.

Kesalahan adalah mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah melantik penterjemah Norazrin Zakaria dari Institut Terjemahan Negara kerana ketiga-tiga tertuduh tidak boleh berbahasa Inggeris dan hanya tahu bahasa Sepanyol.

Mengikut fakta kes, semasa Ma Kalthum sedang membuat pengeluaran wang di mesin ATM itu, bahunya ditepuk oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menunjukkan terdapat beberapa keping wang kertas bertaburan di lantai.

Wanita itu kemudiannya tunduk dan mengutip wang itu tetapi setelah selesai membuat pengeluaran wang dan mengambil kembali kadnya dari mesin ATM itu, beliau mendapati kad itu berlainan daripada kad miliknya.

Semakan dengan pihak bank mendapati RM3,500 daripada akaunnya telah dikeluarkan sebelum bank sempat membatalkan kad berkenaan.

Siasatan polis mendapati imej semua tertuduh dan Ma Kalthum terdapat dalam rakaman kamera litar tertutup bank itu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah manakala ketiga-tiga diwakili peguam bela Mohd Shamril Afzan Mohamed Hasim yang dilantik oleh Kedutaan Peru.

Di mahkamah berasingan, Carlin, dipenjara enam bulan setelah mengaku bersalah mempunyai cop keselamatan palsu pada pasportnya.

Hakim Mahkamah Khas PATI, Azman Mustapha, memutuskan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 September tahun lepas.

Konstabel Cedera Terkena Tembakan Senjata Kawan

Seorang konstabel dari Balai Polis Batu Rakit dekat Kuala Terengganu cedera parah selepas terkena tembakan pistol rakannya sendiri pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, Md Rudzki Mohd Rozlan, 23, mengalami cedera parah di bahagian dahi selepas terkena tembakan semasa dia sedang memakai stokin di hadapan rumahnya berhampiran balai untuk bertugas pada kira-kira jam 7.30 pagi.

Beliau berkata, kejadian berlaku semasa seorang rakan Md Rudzki yang juga seorang konstable berumur 24 tahun sedang memeriksa senjata api yang diambilnya di balai.

"Tiba-tiba senjata jenis Smith & Wesson itu meletup dan pelurunya terkena sipi di bahagian dahi dan kening Md Rudzki," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata, Md Rudzki yang berasal dari Melaka baru lapan bulan bertugas di balai berkenaan, dan dia kini dirawat di Unit Rawatan Rapi HSNZ.

Hamzah berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960, yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara dua tahun atau denda RM5,000.

Terengganu Kaji Naikkan Elaun JKKK, Bilal

Kerajaan Terengganu akan mengkaji kemungkinan menaikkan kadar bayaran elaun bagi Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan bilal.

Menteri Besar Datuk Ahamd Said berkata Pejabat Setiausaha Kerajaan akan membuat kertas cadangan untuk dipertimbangkan.

"Pengerusi JKKK sama dengan imam dinaikkan kadar elaun seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri tahun lepas, namun pada pengumuman itu, tidak disebut kenaikan elaun Timbalan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari JKKK sama juga dengan bilal," katanya pada sidang media di Restoran D''Muara Live Seafood selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri semalam.

Pada bajet tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan elaun Pengerusi JKKK dan imam antara RM800 dan RM850 mulai tahun ini.

Sebelum ini Pengerusi JKKK menerima elaun sebanyak RM450 manakala timbalannya RM300, setiausaha (RM350) dan bendahari (RM200) sebulan.

Guru al-Quran Merogol Dipenjara 5 Tahun, 3 Sebatan

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan terhadap seorang guru al-Quran warga Indonesia, selepas mengaku bersalah merogol seorang anak muridnya tahun lalu.

Hakim, Zainal Abidin Kamaruddin menjatuhkan hukuman terhadap Darwin Sharif,48, yang berasal dari Medan, Indonesia selepas tertuduh mengaku bersalah merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun pada 9 Oktober tahun lalu.

Zainal Abidin ketika membaca keputusannya turut menasihati tertuduh yang memakai baju-T putih dan berseluar panjang supaya bertaubat dan menginsafi perbuatan kejinya itu dan berharap hukuman itu dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Darwin yang sudah menetap di negara ini sejak 20 tahun lalu dan sudah 17 tahun mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita tempatan dalam rayuannya menyatakan dia sudah insaf dan kejadian itu berlaku tanpa niat dan akibat hasutan syaitan.
Menteri Besar memperkatakan sesuatu kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri Datuk Mohamed Awang Tera sambil diperhatikan oleh Yahya Khatib Mohamad - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Lampu limpah dan lampu hiasan akan dipasang sepanjang muara sungai Terengganu bagi menambah keindahan dan keceriaan kawasan yang menjadi laluan bot pelancong menuju ke destinasi melalui air.

“Kerja-kerja pembersihan sungai turut dilakukan dalam masa terdekat yang akan diserahkan kepada kontraktor,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kepada pemberita di D’Muara Live Seafood, Kampung Losong, Kuala Terengganu, semalam (12 Januari).
Datuk Seri Ahmad Said meninjau tebing Sungai Terengganu berhampiran D' Muara Live Seafood, Kampung Losong.

Katanya, bandar Kuala Terengganu kekurangan tempat menarik untuk membawa keluarga dan rakan-rakan makan sambil bersantai pada waktu malam dan dengan adanya `D’Muara Live Seafood’ ini dapat memberi pilihan kepada pengunjung sambil menyedup udara segar.

“Di sini juga akan menjadi salah satu tempat persinggahan bagi bot-bot yang membawa pelancong sebelum ke Kompleks Kraf Batik, Tanjung Bunut, Taman Tamadun Islam dan Muzium Terengganu,” katanya.

D’Muara Live Seafood yang beroperasi pada akhir tahun lalu membabitkan kos pengubahsuaian sebanyak RM200,000 merupakan rangkaian T’Kafe yang dibangunkan di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

Ahmad Said bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam meninjau operasi kedai makan yang menyajikan masakan Melayu dan Cina selain turut menikmati masakan yang disediakan.

Dalam pada itu, Menteri Besar menjelaskan pengagihan bantuan pakaian sekolah kepada 120,000 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negeri bermula pada pertengahan bulan depan dengan peruntukan RM12 juta.

“Keluarga yang berpendapatan RM1,200 ke bawah layak menerima bantuan ini bernilai RM100 seorang dan setiap keluarga layak untuk dua orang anak yang bersekolah di sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Terengganu Catat Kadar Penurunan Jenayah Yang Tinggi Tahun Lepas

Kadar jenayah di Terengganu turun sebanyak 24.10 peratus tahun lepas berbanding 5,319kes yang dicatat pada tahun sebelumnya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata sebanyak 4,030 kes dicatat di Terengganu tahun lepas dan penurunan yang dicatat itu mengatasi kadar 20 peratus yang ditetapkan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Pada tahun 2010 juga, Kontinjen Terengganu berjaya menyelesaikan 2,242 kes atau 55.5 peratus daripada 5,319 kes yang dilaporkan pada 2009," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kontinjen Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.

Mengenai penyalahgunaan dadah, Jamshah berkata seramai 9,467 penagih ditahan daripada 9,456 kes penyalahgunaan dadah yang dilapor tahun lepas manakala 81 orang lagi ditahan mengikut Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya.

Dari segi ketenteraman awam pula, beliau berkata sebanyak 712 operasi trafik dijalankan bagi membanteras kegiatan samseng jalanan dan sebanyak 121,986 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

Kontinjen Terengganu menyasarkan untuk menurunkan kadar jenayah indeks sebanyak 10 peratus dan jenayah jalanan 20 peratus tahun ini, katanya.

Terengganu Wujud Lebih Banyak Klinik 1Malaysia

Kerajaan Terengganu merancang mewujudkan lebih banyak Klinik 1Malaysia pada masa akan datang dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Dr A Rahman Mokhtar berkata tumpuan utama ialah di kawasan perumahan.

"Kita melihat cara ini paling berkesan dalam menangani masalah kesihatan rakyat yang sering mengatakan kemudahan hospital jauh dan terpaksa menunggu lama," katanya selepas majlis perasmian Klinik 1Malayasia di Kampung Tok Adis, di sini Rabu.

Setakat ini, terdapat empat Klinik 1Malaysia di Terengganu, termasuk yang baru dibuka semalam. Dua daripada kinik itu terletak di Kuala Terengganu dan masing-masing satu di Kemaman dan Marang.

Rahman berkata setiap Klinik 1Malaysia mampu memberikan perkhidmatan rawatan kepada antara 80 hingga 120 orang pesakit sehari.

Klinik 1Malaysia merawat mereka yang mengalami penyakit ringan seperti demam, batuk, dan selesema.

Wanita Rayu Orang Ramai Cari Zalina

Seorang penduduk di sini, Zakiah Ibrahim merayu bantuan orang ramai supaya memaklumkan kepadanya jika mereka terserempak dengan kakaknya yang meninggalkan rumah sejak tiga bulan lalu.

Zakiah, 36, memberitahu, kakaknya, Zalina, 38, kadangkala menghidap kemurungan dan keluarga begitu bimbang dengan tahap kesihatan dan keselamatannya.

"Saya merayu kepada sesiapa bertemu Zalina atau mengetahui di mana dia berada agar dapat menghubungi saya segera, apatah lagi emak dalam keadaan uzur dan amat mengharapkan dia balik," ujarnya di Kemaman semalam.

Menurut Zakiah, kakaknya itu yang tinggal bersama ibunya di Kampung Bukit Anak Dara, Kijal keluar rumah pada 5 Oktober tahun lalu.

Menurutnya, kakaknya itu pernah hilang selama tiga hari sebelum ini dan hasil laporan polis, kakaknya berjaya ditemui sedang merayau-rayau di bandar Kuantan.

"Sebelum ini juga dia sering berulang alik dari rumah ibu ke rumah kakak yang telah berkahwin berhampiran bandar Cukai namun akan pulang setelah beberapa hari di situ.

"Sesiapa sahaja yang menemui atau mengenali kakak saya diharapkan dapat menghubungi kami di talian 017-9167703. Kami amat berterima kasih," katanya.

Europcar Tolak Tawaran Qatar Dan Oman Untuk Beraksi Di LTdL

Pasukan Tour de France, Europcar, sebelum ini dikenali sebagai Bbox Bouygues Telecom, menolak dua tawaran untuk menyertai perlumbaan antarabangsa lain bagi membolehkannya beraksi di perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 yang bermula 23 Jan ini hingga 1 Feb.

Pasukan itu yang diuruskan oleh Jean-Rene Bernaudeau berkata mereka telah menolak tawaran daripada penganjur Tour de France untuk bertanding di Tour of Qatar dan Oman kerana pihaknya memberi keutamaan kepada Malaysia.

Pasukan itu akhir sekali beraksi di Malaysia pada edisi 2008 dengan Mathieu Sprick memenangi peringkat 1 dari Shah Alam ke Kepala Batas dan memakai jersi kuning pada kebanyakan masa.

Sementara itu, bagi bintang Jepun Yukiya Arashiro LTdL merupakan tempat perlumbaannya yang pertama di bawah bendera Europcar.

Penunggang dari Okinawa itu memilih Thailand sebagai medan latihannya bersama bekas rakan sepasukannya Shinichi Fukushima (gambar kanan) yang kini beraksi untuk pasukan Lumba Basikal Terengganu Pro Asia (TCT).

Arashiro akan dibariskan di Malaysia bersama peserta baru Europcar dari Kanada, David Veilleux dan rakan sepasukannya dari Perancis, Pierre Rolland, Damien Gaudin, Guillaume Le Floc'h dan Perrig Quemeneur.

LTdL 2011 meliputi laluan sejauh 1315.4 km dengan 10 peringkat, bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Balai Polis Cemerlang Terima Anugerah Khidmat Cemerlang

Jamshah Mustapa (tengah) menyampaikan anugerah kepada Aziz Tuan Ya (kiri) semasa majlis anugerah perhidmatan cemerlang peringkat Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Empat buah balai polis di negeri ini yang merangkul anugerah Liga Balai Polis (BLT) baru-baru ini menerima anugerah perkhidmatan cemerlang di peringkat Kontinjen Terengganu.

Ketua balai serta anggota Balai Polis Cendering, Balai Polis Manir, Balai Polis Cabang Tiga dan Balai Polis Cukai menerima anugerah masing-masing dalam majlis di Menara Yayasan Terengganu di Kuala Terengganu, semalam yang disampaikan Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa.

Pada majlis itu, Jamshah melahirkan rasa bangga dengan prestasi para anggota di empat balai berkenaan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjalankan tugas pencegahan jenayah.

Menurutnya, balai-balai berkenaan adalah antara 15 balai polis dari seluruh negara yang terpilih memenangi anugerah dalam pertandingan BLT.

Beliau memberitahu, anugerah tersebut membolehkan setiap anggota di empat balai berkenaan menerima hadiah RM500 bagi kategori johan dan RM300 (naib johan).

"Anugerah yang diterima itu dinilai berdasarkan pencapaian menurunkan kadar jenayah di kawasan masing-masing selain hubungan dengan masyarakat setempat," katanya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Jamshah berkata, BLT dinilai oleh Bahagian Lembaga Penilaian Bukit Aman.

Terdahulu, Jamshah menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada 294 anggota Polis Kontinjen Terengganu terdiri daripada para pegawai kanan, pegawai pangkat rendah dan kakitangan awam yang cemerlang sepanjang tahun 2009.

Beliau berharap, semua warga polis Kontinjen Terengganu perlu meningkatkan prestasi dalam perkhidmatan selain mengamalkan sikap jujur serta ikhlas ketika menjalankan tugas.

"Pencapaian dan anugerah yang diterima hari ini akan menyuntik semangat kepada anggota lain untuk sama-sama memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," ujarnya.

UMT Mulakan Projek Ternakan Tiram Untuk Hasilkan Mutiara

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan memulakan projek menternak tiram air tawar di Tasik Kenyir tahun ini bagi menghasilkan mutiara.

Naib Canselor UMT Prof Dr Aziz Deraman berkata kajian awal oleh pakar dari UMT mengenai ternakan tiram di tasik berkenaan telah dimulakan sejak tahun lepas dan hasil kajian itu mendapati ia subur dan boleh menghasilkan mutiara.

Projek ini merupakan langkah jangka panjang yang boleh memberi nilai ekonomi yang baik kepada kerajaan pada masa depan, katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Dr Aziz berkata selain projek itu, pusat penyelidikan perikanan UMT di Tasik Kenyir juga akan memulakan projek mengeluarkan benih ikan kelah secara akulkultor.

Beliau berkata Tasik Kenyir yang merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu memang sesuai dengan projek pembenihan ikan kelah kerana ia merupakan kawasan semula jadi ikan itu sejak dahulu.

"Tasik Kenyir mempunyai satu kawasan ikan kelah yang dikenali sebagai Santuari Kelah dan ia dikawal rapi daripada diceroboh pemancing," katanya.

Jalan Kuala Berang-Gua Musang Ditutup

Jalan yang menghubungkan Kuala Berang dengan Gua Musang di Kelantan terpaksa ditutup ekoran mendapan di beberapa lokasi sepanjang laluan tersebut.


Jalan menghubungkan Kuala Berang dengan Gua Musang di Kelantan ditutup kepada semua pengguna jalan raya mulai hari ini kerana keadaannya tidak begitu selamat.

Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, hujan lebat yang berterusan sejak akhir tahun lalu telah menyebabkan berlakunya mendapan dan kegagalan cerun di beberapa lokasi.

Kejadian mendapan telah dikesan berlaku pada tiga lokasi iaitu di kilometer 35, kilometer 47 dan kilometer 59 pada jalan tersebut yang berada dalam daerah Hulu Terengganu.

Ia bermula 35 kilometer dari Simpang Kuala Jeneris dan satu kilometer dari Jambatan Pasir Pulai menghala ke Gua Musang.

Menurut kenyataan itu, hasil pemantauan dan siasatan pihak JKR mendapati jalan itu perlu ditutup sementara bagi menjamin keselamatan pengguna dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan.

Penutupan jalan akan bermula hari ini dan kerja-kerja pembaikan akan dimulakan secepat mungkin.

JKR negeri menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi kesemua papan tanda dan tunjuk arah yang disediakan.

"Pengguna jalan raya dari Pantai Barat yang bercadang ke Terengganu hendaklah melalui jalan-jalan lain iaitu Jalan Kuala Lipis/Gua Musang/Kuala Krai (FT 8)," kata kenyataan itu.

Menurutnya, pengguna dari Kuala Lumpur dan bahagian tengah Pahang dinasihatkan melalui Lebuh Raya Pantai Timur dan masuk ke Terengganu melalui Kemaman sama ada melalui Jalan FT 14 (Jalan Jerangau/Jabor).

Mereka juga boleh menggunakan Jalan FT 3 (Cukai/Dungun/Kuala Terengganu).

Pengguna-pengguna dari bahagian utara Semenanjung dinasihatkan supaya masuk ke Terengganu melalui daerah Besut iaitu FT 3 (Pasir Puteh/Jerteh/Kuala Terengganu).

Syarikat Bungkus Minyak Masak DiPeriksa

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kini melakukan pemeriksaan dan mengaudit semua syarikat pembungkusan semula minyak masak di negara ini bagi membendung kekurangan bekalan di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pemeriksaan itu bagi mengenal pasti punca kekurangan bekalan bahan mentah itu sejak beberapa minggu lalu. “Kita melakukan pemeriksaan ke atas semua syarikat pembungkusan semula minyak masak untuk tahu ke mana hilangnya minyak masak itu di pasaran.

“Selain itu, kita juga akan periksa pemborong dan peruncit bagi mengenal pasti mengapa bahan itu tidak boleh sampai ke pengguna,” katanya selepas melancarkan produk Takaful Keluarga Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) hasil kerjasama dengan Etiqa Takaful Berhad (Etiqa Takaful)di Kuala Lumpur, semalam.

Ismail Sabri berkata, setakat ini, pihaknya sedang menjalankan siasatan ke atas enam syarikat dan menyita satu syarikat berhubung kekurangan bekalan itu di pasaran.

“Sekiranya mereka didapati bersalah melakukan penyelewengan sehingga menyebabkan kurangnya bekalan minyak masak di pasaran, kita akan mengambil tindakan keras mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Kelmarin Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Terengganu menyita sebuah premis membungkus minyak masak tidak berlesen dan merampas 4,000 kilogram minyak masak bernilai RM10,000 di Kampung Padang Lebam, Bukit Payong, di Marang.

Ketika serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari diketuai Timbalan Pengarah PDNKK, Ab Ghani Harun, tiga pekerja premis terbabit sedang membungkus minyak dalam paket satu kilogram untuk dijual di pasaran tempatan.

Ab Ghani berkata, premis rumah kedai berkenaan dikesan menjalankan kerja pembungkusan semula minyak masak tanpa lesen sah sejak lebih setahun lalu dan turut menyimpan dua tangki minyak masak besar dan satu tangki kecil dalam premis berkenaan.

Beliau berkata, peniaga terbabit melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan sabit kesalahan boleh dihukum denda RM100,000 atau penjara tiga tahun mengikut Seksyen 22 (1)(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Nelayan Korban Pertama Demam Denggi Tahun Ini

Seorang nelayan berusia 53 tahun dari Kuala Besut, Terengganu menjadi mangsa terbaru akibat dijangkiti demam denggi pada minggu pertama tahun 2011.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan berkata mangsa yang mengalami demam, sakit kepala dan badan pada 27 Dis lepas mendapat rawatan di klinik terdekat tiga hari kemudian.

"Pada 31 Dis, pesakit dimasukkan ke Hospital Besut dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah keesokannya kerana mengalami komplikasi pendarahan. "Keadaannya bertambah tenat sehingga dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 3 Jan dan meninggal dunia keesokannya kerana ''Dengue Shock Syndrome''," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan di kawasan kediaman mangsa mendapati ia merupakan lokasi wabak berikutan anak mangsa yang berusia 13 tahun turut dimasukkan ke hospital akibat demam denggi.

Dr Mohd Ismail berkata, pemeriksaan yang dijalankan turut menemui tempat pembiakan Aedes di dua daripada 48 rumah, iaitu pada sinki terpakai dan bekas botol minyak.

"Kedua-dua pemilik premis ini telah dikenakan kompaun maksimum RM500 dan semburan kabus telah dijalankan terhadap kesemua 48 premis kediaman terbabit, serta penduduk mengadakan gotong-royong pada Sabtu lepas," katanya.

Sementara itu, beliau berkata jumlah demam denggi meningkat sebanyak 34 kes atau tujuh peratus berbanding 487 kes pada minggu sebelumnya, dan terdapat sepuluh negeri menunjukkan peningkatan pada minggu lalu.

Sementara itu, bilangan kes di Sarawak meningkat sebanyak 17, Melaka (11), Kelantan dan Pahang (tujuh), Kedah (enam), Pulau Pinang (lima), Terengganu (empat), Negeri Sembilan (dua) serta masing-masing satu kes di Perlis dan Labuan.

Beliau berkata sejumlah 107 lokaliti wabak dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu, lima lokaliti kawasan panas dikenal pasti minggu lepas membabitkan 61 kes demam denggi.

"Tiga atau 60 peratus daripada lima lokaliti kawasan panas ini masih mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi, iaitu di Kampung Melayu Batu 16, Rawang, Selangor; Kampung Baru Sungai Terentang, Selangor dan Taman Miharja, Cheras, Selangor," katanya.

Beliau berkata, hanya satu atau 20 peratus daripada lima lokaliti kawasan panas itu didapati menjalankan aktiviti gotong-royong dan ia perlu ditingkatkan di negeri yang mengalami banjir iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Bagi Chikungunya, Dr Mohd Ismail berkata, situasi penyakit itu diharap akan terus berkurangan pada tahun ini berikutan tiada kes dilaporkan sejak tiga minggu lepas, termasuk minggu pertama.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian melaksanakan beberapa inisiatif baru dengan tumpuan utama di kawasan Lembah Klang, termasuk memasang iklan pencegahan pada 30 bas, membina 50 unit papan iklan di sekolah dalam kawasan panas dan memperkenalkan perkhidmatan lori bergerak ke kawasan itu bagi aktiviti penyampaian maklumat kepada komuniti.

Katanya, langkah pencegahan melalui penghapusan tempat pembiakan Aedes dengan meluangkan masa 10 minit seminggu, mampu mengurangkan jangkitan dan kematian akibat demam denggi.

Wednesday, January 12, 2011

Nama Halim Jusoh, Ariffin Abdullah Disebut Dalam Kes SMS Ugut Bunuh


Halim (kiri) dan Ariffin (kanan) mengapit ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid menunjukkan SMS Ugut Bunuh yang diterima mereka.

Perbicaraan kes SMS Ugut Bunuh yang bersambung hari ini (12 Januari 2011) dijangka hangat dan menarik apabila beberapa orang lagi saksi akan tampil memberi keterangan termasuk beberapa orang anggota polis yang terbabit dalam penyiasatan kes berkenaan.

Menurut laporan, pada prosiding 10 November 2010 lalu, saksi dari Telekom Malaysia mengesahkan orang yang menghantar sms itu ialah Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh - Datuk Ahmad Ramzi Mohd Zubir yang memegang kad pengenalan bernombor 720715-06-5509.

Semalam beberapa nama disebut sebagai mereka yang ada hubungkait dengan dengan kes ini termasuk ADUN Permaisuri, Absul Halim Jusoh, ADUN Paka, Ariffin Abdullah serta seorang lagi bernama Elia Ismail.

Perkara ini sebut oleh oleh saksi ke 21, Abdul Rahman Othman yang memberitahu mahkamah nombor-nombor yang telah dikesan yang mempunyai hubungkait dengan kes yang dalam penyiasatan termasuk Abdul Halim Jusoh, Elia Ismail serta Ariffin Abdullah.

Perbicaraan SMS ugutan bunuh semalam melibat pendakwaan terhadap bekas Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid, sementara tertuduh Datuk Dr Ahmad Ramzi diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman.

Abdul Rahman, Pegawai Eksekutif Celcom menyatakan pihaknya membuat semakan selepas mendapat permohonan dari pihak berkuasa untuk membuat siasatan ke atas kes berkenaan.

Selain Abdul Rahman, seorang lagi saksi dipanggil ialah Penolong Pengurus Telekom Malaysia, Marzita Maarof sebagai saksi ke 20.

Perbicaraan semalam hanya membabitkan dua saksi berkenaan.

Bagaimanapun dengan lebih ramai saksi dipanggil hari ini, dijangka beberapa penemuan baru akan direkodkan di mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 11.21 malam 13 April lepas di E726 Jalan Kubang Parit, Kampung Kubang Parit di Kuala Terengganu, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin Abdullah, Adun Paka, dengan niat hendak menyebabkan kegentaran kepadanya.

Dr Ramzi juga didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Abdul Halim Jusoh, Adun Permaisuri, pada tarikh, tempat dan waktu yang sama, dan juga terhadap Datuk Rosol Wahid, Adun Ajil, pada 11.25 malam di tempat dan pada tarikh yang sama.


Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Ahmad Ramzi boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat pada tarikh dan tempat yang sama, antara 11.21 malam dan 11.25 malam, dia didakwa memfitnah Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS yang mengandungi ugutan jenayah dengan mengancam hendak mendatangkan kematian kepada Mohd Ariffin, Abdul Halim dan Rosol, melalui laman web http://ownsmsbiz.com/v1 dengan menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Kedua-dua saksi semalam menjelaskan kepada mahkamah tentang bidang tugas masing-masing dan kaitannya dengan penyiasatan kes berkenaan.

Marzita memberitahu mahkamah, bidang tugas beliau ialah menganalisis e-mail dan SMS pelanggan bila diminta oleh pihak yang bertanggungjawab.

Menjawab soalan pendakwa, Marzita berkata, dalam hal ini beliau diminta oleh Pegawai Penyiasat kes untuk menganalisis data SMS berkaitan kes tersebut.

Ketika ditanya oleh pihak pendakwa, beliau menjelaskan setiap pelanggan mempunyai ’ ID ‘ serta ‘password’ yang membolehkan pihaknya menganalisa secara tepat dan terperinci penghantar SMS.

Pembicaraan semalam lebih kepada dari segi teknikal untuk mengesahkan nombor dan butiran-butiran penghantar yang terbabit dalam kes ini.

Jelaslah di sini bahawa setiap transaksi yang digunapakai oleh pelanggan direkod oleh pihak Telekom, tetapi ia adalah rahsia kecuali dibuat semakan apabila mendapat arahan daripada pihak berkuasa seperti Polis (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Abdul Rahman bersetuju bahawa semakan hanya dibuat sekiranya mendapat permohonan dari pihak berkuasa untuk membuat siasatan ke atas satu-satu kes.

Saksi Abdul Rahman berkata, nombor-nombor yang telah dikesan yang mempunyai hubungkait dengan kes yang dalam penyiasatan termasuk Abdul Halim Jusoh, Elia Ismail serta Ariffin Abdullah.

'Tiada kompromi dengan pemain tidak berdisiplin'

Ahmad Said menerima jersey no 5 kegemarannya pada majlis anugerah pemain dan menandatangani kontrak untuk pasukan Terengganu dan T-Team.

Pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diminta tidak berkompromi dengan soal disiplin pemain bagi memastikan negeri itu mampu menjadi kuasa baru dalam saingan tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen kepada atlit kerana mahu melihat lebih ramai anak jati Terengganu berjaya di masa depan.

“Saya minta pihak pengurusan tidak berkompromi dengan pemain yang tidak berdisiplin dan bertindak tegas terhadap mereka, tanpa mengira status,” katanya selepas majlis penghargaan kepada enam pemain kelahiran negeri itu yang mewakili negara dalam Piala AFF Suzuki dan majlis menandatangani kontrak pasukan Terengganu dan T-Team yang menyertai Liga Malaysia musim ini.

Enam pemain yang menerima anugerah berbentuk satu lot tanah dan wang tunai RM5,000 daripada kerajaan negeri adalah Mohd Sharbini Alawee Ramli, Mohd Ashaari Shamsuddin, Mohd Muslim Ahmad, Izzat Faris Ramlan, Mohd Faizal Mohamad dan Norshahrul Idlan Talaha.

Ahmad Said berkata, antara tindakan yang boleh diambil terhadap pemain bermasalah termasuk memperkenalkan sistem memotong elaun atau gaji pemain yang ponteng latihan atau sengaja mencari masalah ketika perlawanan sehingga dilayangkan kad merah atau kuning.

Beliau turut melahirkan harapan melihat kedua-dua pasukan negeri itu membawa pulang satu daripada tiga trofi yang dipertandingkan bagi mengakhiri penantian lebih 10 tahun bergelar juara.
Pemain Terengganu menerima kontrak daripada Menteri Besar.

200 nelayan, warga emas terima sumbangan kerajaan negeri

Ahmad Said menyerahkan bantuan kepada seorang nelayan miskin di Kemaman, kelmarin.

Kira-kira 200 nelayan miskin dan warga emas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima bantuan barangan makanan baru-baru ini bagi memberi kelegaan kepada mereka ketika menghadapi musim tengkujuh.

Bantuan yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ternyata menggembirakan mereka dan menyifatkan ia sebagai tanda kecaknaan pemimpin dan kerajaan secara berterusan terhadap nasib mereka.

Penyampaian barangan bernilai RM200 dan juga duit saku dilakukan dalam majlis dialog bersama kira-kira 1,000 penduduk setempat dalam usaha Menteri Besar meninjau permasalahan semasa dalam kehidupan mereka.

Ketika berucap, Ahmad Said mengajak penduduk untuk bersama menjayakan segala program yang dapat meningkatkan taraf hidup mereka.

Beliau berkata, segala usaha kerajaan adalah langkah merakyatkan pentadbiran dan pembangunan supaya rakyat dapat menerima manfaatnya.

“Kerajaan negeri membuka banyak peluang untuk rakyat menceburi pelbagai bidang pekerjaan, menimba pelbagai kemahirandan pengalaman.

“Ia dilakukan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan kerajaan harap sokongan berterusan untuk jayakan usaha ini,” katanya.

Seorang penerima, Awang Ibrahim, 55, berkata, dia amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi menyampaikan bantuan itu yang dapat meringankan bebanannya pada musim tengkujuh ini.

“Kami gembira Menteri Besar turun padang bertemu dengan rakyat dan menghulurkan bantuan tersebut,” katanya.

Che Hamid Mohamad, 70, berkata, sikap yang ditunjukkan Menteri Besar membuktikan dia dapat menyelami perasaan dan kehidupan rakyat.

“Alhamdulillah, pada musim ini ketika nelayan sukar ke laut dan lain-lain cari makan sendiri, tak banyak rezeki. Jadi, bantuan ini dapat melegakan kami,” katanya.

Che Wan Mok Che Wan Sulong, 56, berkata, kebanyakan penduduk tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dalam keadaan cuaca begini, pendapatan mereka terjejas.

“Apatah lagi banyak juga yang perlu dibelanjakan untuk anak-anak kembali ke sekolah.

“Kami penduduk berterima kasih kepada Menteri Besar yang masih sempat meluangkan masa dan tak jemu-jemu untuk turun padang bertemu kami dan berikan bantuan ini,” katanya.

Perhilitan Terengganu Rampas Sepasang Pelanduk Dan Burung Dilindungi

Jabatan Perhilitan negeri Terengganu merampas sepasang pelanduk dan pelbagai spesis burung yang dilindungi dari sebuah rumah pesara guru di Kampung Gong Kekabu, Kubang Parit di sini hari ini.

Pengarahnya Yusoff Shariff berkata serbuan pada pukul 2 petang itu dibuat setelah menerima maklumat daripada orang awam mengenai kewujudan sebuah mini zoo di halaman rumah pesara guru itu.

"Kami menemui sepasang pelanduk dan tiga ekor burung punai daun, seekor burung merbah telinga merah dan dua ekor burung 'ringneck tarakeet' dari luar negara.

"Kesemua haiwan berkenaan adalah jenis yang dilindungi sepenuhnya dan kami telah menahan pesara guru berkenaan yang berumur 57 tahun kerana dia tidak mempunyai lesen memelihara haiwan itu," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Yusoff berkata kesemua spesis burung itu memerlukan lesen khas untuk dipelihara dan untuk pelanduk pula ia perlu mendapat permit khas.

Beliau berkata bagaimanapun, Perhilitan tidak lagi mengeluarkan lesen memelihara burung sejak penularan wabak selesema burung tahun 2001 dan larangan itu belum ditarik balik.

"Siasatan awal mendapati pesara berkenaan baru setahun memelihara haiwan-haiwan itu dan tidak tahu mengenai kesalahan yang dilakukannya. Dia memperoleh haiwan itu dengan membelinya dan ada yang diberikan orang kampung," katanya.

Mengenai haiwan yang dirampas itu, Yusoff berkata pelanduk berkenaan akan dibawa ke pusat pelindungan jabatan itu manakala pelbagai spesis burung terbabit akan dilepaskan ke habitat semula jadi.

Enam Pemain Bola Sepak Piala AFF Suzuki Terengganu Terima Anugerah

Pemain berasal Terengganu nerima satu lot tanah dan wang tunai RM5,000 dari Kerajaan Terengganu, malam kelmarin - Gambar Zul Putra (UKOM).

Enam pemain bola sepak anak jati Terengganu yang membantu Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, menerima anugerah daripada Kerajaan Negeri malam Isnin.

Anugerah yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said itu berbentuk satu lot tanah dan wang tunai RM5,000 seorang.


Pemain-pemain berkenaan ialah Mohd Sarbini Alawee Ramli, Mohd Ashaari Shamsuddin, Mohd Muslim Ahmad, Izzat Faris Ramlan, Mohd Faizal Mohamad dan Norshahrul Idlan Talaha.

Ahmad Said berkata kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen kepada atlet dan berharap lebih ramai lagi anak jati Terengganu berjaya pada masa akan datang.

Beliau turut menasihati para pemain yang akan mewakili Terengganu dalam pertandingan Liga Malaysia supaya lebih berdisiplin dan tidak bersikap mudah berpuas hati dengan pencapaian mereka untuk memastikan negeri itu mampu muncul sebagai satu kuasa baru dalam sukan bola sepak.

Pasukan Terengganu dan pasukan T'Team akan mewakili Terengganu musim ini.

Ahmad Said berkata antara langkah yang boleh diambil termasuk memperkenalkan sistem potong elaun atau gaji terhadap pemain-pemain yang ponteng latihan atau sengaja mencari masalah sewaktu perlawanan sehingga dilayangkan kad merah atau kuning.

Beliau turut melahirkan harapan untuk melihat kedua-dua pasukan Terengganu itu membawa pulang satu daripada piala dipertandingkan bagi mengakhiri penantian lebih 10tahun untuk menjadi juara.

Empat Balai Polis Dari Terengganu Terima Anugerah

Empat balai polis di Terengganu memenangi anugerah Liga Balai Polis peringkat kebangsaan setelah cemerlang dalam penurunan kadar jenayah dan hubungan dengan masyarakat setempat.

Balai berkenaan adalah Balai Polis Chendering, Balai Polis Chukai, Balai Polis Cabang Tiga dan Balai Polis Manir.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata kemenangan itu seharusnya menjadi contoh kepada balai-balai lain di negeri ini untuk meningkatkan kecemerlangan.

"Saya terharu dengan kejayaan yang ditunjukkan oleh anggota di balai-balai dalam menjalankan tugas mereka. Kejayaan ini juga sebagai asas kejayaan untuk memulakan tahun baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 294 anggota polis Terengganu serta 175 anggota balai yang memenangi anugerah Liga Balai Polis di Kuala Terengganu, semalam.

Jamshah berkata anugerah Liga Balai Polis yang dinilai oleh Bahagian Lembaga Penilaian Bukit Aman, bukan sahaja daripada segi kejayaan penurunan kadar jenayah di kawasan mereka, tetapi melalui temubual dengan masyarakat setempat.

"Itu satu penilaian yang bermakna. Ini kerana kalau kita sendiri yang cakap kita bagus, itu tidak bermakna, tetapi kalau orang luar sendiri yang cakap kita bagus, itu satu kenyataanlah," katanya.

Empat balai polis dari Terengganu itu merupakan antara 15 buah balai polis di seluruh negara yang memenangi kelima-lima kategori yang dipertandingkan itu.

Ganjaran Untuk Pelumba Malaysia Yang Menang Setiap Peringkat LTdL

Ganjaran wang tunai akan diberikan kepada mana-mana pelumba Malaysia yang berjaya meraih tempat pertama setiap peringkat perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL), kata Ketua Pegawai Eksekutif LTdL Mohamed Salleh.

Beliau berkata ganjaran wang tunai tersebut adalah sumbangan peribadi beliau sendiri sebagai motivasi kepada pelumba Malaysia untuk meningkatkan prestasi mereka dan menaikkan nama negara dalam perlumbaan berprestij di Asia itu.

"Ini adalah janji saya kepada setiap pelumba Malaysia. Setiap pelumba Malaysia yang memenangi mana-mana peringkat dalam LTdL akan diberikan ganjaran tunai berjumlah RM1,500.

"Seperti ganjaran (Tabung Aku Janji) yang diberikan kepada pasukan bola sepak kebangsaan semasa menyertai Piala AFF Suzuki baru-baru ini, saya hendak ambil pendekatan yang serupa," katanya di Kuala Lumpur, semalam.

"Kalau ada pihak atau individu yang mahu menyumbang sama, saya mengalu-alukannya," kata Mohamed.

Terdahulu beliau menerima penajaan daripada Nestle Products Sdn Bhd berjumlah RM250,00 di perkarangan ibu pejabat LTdL yang terletak di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

Mengenai penajaan bagi edisi LTdL kali ini, Mohamed berkata pihaknya kini memperolehi penajaan wang tunai dan barangan berjumlah kira-kira RM6 juta.

Mohamed berkata untuk perlumbaan kali ini, 23 pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka.

"Walaupun setakat ini tiada pasukan Pro-Tour yang menyertai LTdL kali ini, kita mempunyai sembilan pasukan profesional benua, 12 pasukan benua dan dua pasukan kebangsaan," katanya.

Beliau berkata pada perlumbaan kali ini, selain pasukan kebangsaan Malaysia, peminat-peminat perlumbaan berbasikal jelajah juga akan menyaksikan dua pasukan benua Malaysia turut mengambil bahagian iaitu Terengganu Pro Asia Cycling Team (TCT) dan Le Tua Cycling Team (L2A).

"Ada juga pelumba kita yang berlumba dengan pasukan benua, Mohd Adiq Husainie Othman (gambar kanan) misalnya yang berlumba dengan pasukan Drapac-Porsche, yang boleh menjadi tarikan pada perlumbaan kali ini," katanya.

LTdL 2011 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah hampir RM1 juta dijadualkan bermula pada 23 Januari hingga 1 Februari meliputi 10 peringkat membabit jarak keseluruhan sejauh 1,315.4 kilometer.

Ia akan bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

KPDNKK Terengganu Serbu Premis Bungkus Minyak Masak Tanpa Lesen

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu menyerbu sebuah premis pembungkusan minyak masak yang dipercayai beroperasi tanpa lesen yang sah di Kampung Padang Lebam, Bukit Payong semalam.

Pemangku Pengarah KPDNKK negeri Abd Ghani Harun berkata dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, sebanyak 4,000 kilogram minyak masak bernilai RM10,000 turut dirampas.

"Kita sedang membuat siasatan dari mana bekalan minyak masak ini diperolehi, sedangkan pemborong ini tidak mempunyai satu lesen yang sah," katanya kepada selepas mengetuai operasi tersebut, di Kuala Terengganu.

Operasi itu disertai kira-kira 10 pegawai dan anggota KPDNKK Terengganu.

Abd Ghani berkata pemborong berkenaan dipercayai telah melakukan aktiviti itu lebih setahun.

Katanya premis tersebut turut disita bagi membolehkan siasatan lanjut dan pemborong berkenaan akan didakwa di mahkamah di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000.

Abd Ghani berkata secara umumnya Terengganu tidak menghadapi masalah bekalan minyak masak, dan bekalan sedia ada dijamin mencukupi.

Terengganu, katanya diberikan kuota sebanyak 1,800 tan metrik sebulan bagi menampung keperluan pengguna di negeri itu.

Kerajaan Negeri Tanggung Kos Pembedahan Nurul

Keadaan Nurul Dahyatul Fazlinda selepas pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, kelmarin.

Kerajaan Negeri menanggung semua kos pembedahan dan rawatan kanak-kanak mangsa simbahan asid oleh bapa sendiri, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata demikian kelmarin selepas melawat kanak-kanak itu di Wad Unit Kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Nurul dijangka boleh kembali ke sekolah dalam tempoh dua minggu lagi, selepas pulih sepenuhnya daripada kesan pembedahan memulihkan parut di wajahnya.

Dia yang ditemui berkata dia gembira kerana selamat menjalani pembedahan pertama itu dan berharap dapat cepat kembali ke sekolah kerana sudah mula merindui rakan sekelasnya yang disifatkannya baik dan tidak memandang rendah dirinya yang cacat di muka.

Pakar Perunding Pembedahan Plastik HSNZ, Dr Najiha Syarida Zakaria, berkata murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Setar, Kuala Berang itu yang selamat menjalani pembedahan pertama, kelmarin, perlu menjalani pembedahan kedua dalam tempoh enam bulan lagi.

Beliau berkata, dia perlu mematuhi arahan doktor, termasuk memakai topeng khas yang dibekalkan pihak hospital bagi mempercepatkan proses memperkemaskan parut tebal di wajahnya.

"Walaupun Lin menjalani pembedahan mengurangkan parut di mukanya, kesan parut itu tetap akan ada dan kekal di wajahnya dengan pembedahan cuma mengurangkan serta memperkemaskan kesan itu.

“Dia akan menjalani pembedahan peringkat kedua sekurang-kurangnya dalam
tempoh enam bulan lagi, selepas pulih sepenuhnya daripada kesan pembedahan pertama.

Dia perlu menjalani beberapa pembedahan lagi,” katanya.Nurul melalui pembedahan selama tiga jam kelmarin yang diketuai olehnya dengan bantuan lima doktor lain.

Kanak-kanak berkenaan serta ahli keluarganya lain yang turut tercedera dalam kejadian malang pada 15 Ogos lalu.

Turut cedera dalam kejadian itu ialah ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29; adiknya, Muhammad Irfan firdaus, 3 dan neneknya, Minah Omar, 56.

Tuesday, January 11, 2011

PRESIDEN PAS RESTU ADUKATARUNA DIKASARI DI DEPAN MATANYA?

Polis Terengganu mungkin akan memanggil Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan seorang blogger dipukul di Masjid Rusila, Marang, Jumaat lalu.

Sekumpulan jemaah masjid, dipercayai penyokong Hadi didakwa mengasari seorang penulis blog yang cuba mendapatkan beberapa penjelasan daripada Presiden PAS itu.

Apa yang tidak sedap didengar ialah Hadi yang melihat kejadian di depan matanya sendiri dikatakan membiarkan sahaja blogger itu ‘dikasari’.
Sebuah blog proPAS di Terengganu mengulas kejadian itu mengatakan 'Projek Langgar Hadi; Aduka yang kena langgar di Rusila?".

Tidak diketahui sejauh mana kekasaran dilakukan terhadap blogger berkenaan, walaupun Khairul Nizam Abd Ghani atau Aduka Taruna mendakwa turut dipukul dari belakang.

Orang ‘Tok Guru’ dikatakan ‘bertindak liar’ dengan tujuan mengajar blogger berkenaan yang menurut mereka geram dengan tindak-tanduk Khairul Nizam.

Blogger berkenaan mendakwa, dalam insiden dekat rumah Hadi di Marang pada 7 Januari lalu, beliau turut dikurung seketika di pejabat masjid berdekatan dan telefon bimbitnya dirampas.

Pada ketika blogger berkenaan berkata beliau dikasari ada blog yang menafikan ‘kekasaran’ berlaku dan jumlah mereka yang mengepung Khairul Nizam tidaklah seramai seperti yang didakwanya.

Apapun, blogger berkenaan sudah membuat laporan polis di Balai Polis Marang kira-kira jam tiga petang, sejurus selepas peristiwa itu.

Khairul Nizam mula mendapat perhatian selepas didakwa menghina bekas Sultan Johor Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail dalam tulisannya di blog awal pada Januari tahun lalu.

"Dalam kejadian itu, kira-kira tujuh atau lapan orang mengepung saya. Saya rasa dipukul daripada belakang dua kali," dakwanya.

Menurut Malaysiakini kelmarin, Khairul Nizam mendakwa, kesan daripada itu, beliau terpaksa mendapatkan pemeriksaan perubatan di klinik berdekatan kerana telinganya mengeluarkan sejenis cecair.

Menceritakan kembali pengalamannya, Khairul Nizam mendakwa, selepas solat Jumaat di Masjid Rusila dekat rumah Hadi, beliau menghampiri pemimpin itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu kerajaan perpaduan PAS-Umno yang meletus selepas pilihan raya umum lalu.

Oleh kerana tidak dilayan, beliau terus mengikuti pemimpin utama parti Islam itu hingga ke hadapan rumahnya - 15 meter dari masjid - sambil bertanya soalan dan merakamkan pergerakan Hadi menggunakan kamera telefon bimbit.

"Kemudian saya ditahan dalam sebuah bilik sebelum dibebaskan tidak lama kemudian," dakwanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, meskipun demikian, ia bergantung kepada keperluan dan hasil siasatan kes tersebut.

Katanya, sehingga kini, empat individu telah dipanggil untuk diambil keterangan.

"Kesemua individu lelaki berkenaan yang kita percaya saksi kejadian telah memberi keterangan masing-masing berhubung kejadian itu.

Mengulas kes Aduka Taruna berkenaan, Manoharan berkata: "Jika perlu beliau (Abdul Hadi), akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam tempoh terdekat ini," katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian itu, blogger yang sering dikaitkan dengan kumpulan blogger antikerajaan perpaduan mengalami saat cemas apabila dikepung dan dibelasah sekumpulan jemaah di masjid berkenaan kira-kira pukul 2.20 petang Jumaat lalu.

Lelaki yang pernah didakwa atas kesalahan menghina institusi kesultanan Johor itu turut mendakwa di dalam blognya adukateruna.blogspot.com, dia diugut dan dimarahi selain ditahan di dalam sebuah bilik sebelum dilepaskan tidak lama selepas itu.

Dalam pada itu, blogger tersebut di dalam entri terbarunya semalam memberitahu merancang bertemu Presiden PAS untuk diwawancara sekali lagi.

Kelmarin, Setiausaha politik Hadi, Dr Samsuri Mokhtar, engggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

"Saya dengar ada laporan-laporan polis dibuat oleh Aduka terhadap kesnya dan (laporan) penduduk Rusila terhadap Aduka.

"Jadi oleh kerana ianya dalam siasatan, saya tidak akan komen," kata Dr Samsuri.

Khairul Nizam merupakan antara penulis blog pro Pakatan Rakyat yang menentang kuat idea kerajaan perpaduan. Beliau juga antara penggerak kempen "PAS Reform" dan "Langgar Hadi".

Dalam usaha itu, beliau mahu bertemu dan berdialog dan merekodkannya dalam bentuk video.

Percubaan sulungnya di muktamar PAS Jun lalu di Pengkalan Chepa, Kelantan juga mengalami kegagalan, tetapi tidak berakhir dengan kekasaran.

Selepas kejadian itu, Khairun Nizam tetap tidak mengalah dan mahu meneruskan usaha menemui Hadi, malah mahu membawa rombongan penulis blog dan pengguna Facebook selepas ini.

"Kami akan cuba mengumpulkan blogger dan Facebooker 'otai' dengan blogger dan Facebooker baru, dalam satu tarikh, bersama-sama, bertanya soalan kepada Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang, di Rusila," tulisnya dalam blog.

Kita akan menyaksikan sejauh mana 'perang' AdukaTaruna - Hadi kerana blogger berkenaan sudah memberi amaran - "Gua akan jumpa Hadi di Rusila lagi, insyaallah".