Saturday, April 30, 2011

PM Tiba Untuk PTP di Terengganu

Perdana Menteri meneliti sesuatu yang ditunjukkan Menteri Besar sebaik ketibaan di Kuala Terengganu, malam semalam. - Gambar Harith Fadzillah

Perdana Menteri, Datuk Sri Mohd Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor, selamat tiba dengan pesawat eksekutif di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, kira-kira jam 9.50 malam ini.

Ketibaan beliau disambut Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Turut hadir menyambut ketibaan Perdana Menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Ahli-Ahli Parlimen dan wakil-wakil rakyat tempatan.

Perdana Menteri terus menuju ke Riyaz Heritage Pulau Duyong untuk menghadiri perjumpaan tertutup dengan Ahli-Ahli Parlimen dan wakil-wakil rakyat negeri ini.

Beliau akan memulakan lawatan kerja ke Terengganu, pagi esok dengan destinasi pertama Pekan Batu Enam dan beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri Bukit Tunggal.

Terengganu, Selangor Seri 1-1

Pemain Terengganu, Ismail Faruqi Asha'ri (kanan) dihalang pemain Selangor, P. Gunalan (kiri) dan Mohd. Asraruddin Putra Omar (tengah) pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Selangor terus memperkemas kedudukan di tangga teratas Liga Super walaupun mencatat keputusan seri 1-1 kepada Terengganu pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Jumaat.

Pasukan 'Red Giants' itu kini mengumpul 33 mata dengan perbezaan satu mata di hadapan Terengganu selepas 16 perlawanan.

Selangor mempamerkan rentak agresif pada babak pertama terlebih dahulu mengambil giliran mendahului menerusi Safiq Rahim pada minit ke-43.

Hantaran Amri Yahyah berjaya memperdayakan pertahanan Terengganu yang menyangka Safiq berada pada kedudukan ofsaid, sebelum kapten Harimau Malaya itu melepaskan rembatan yang mudah menewaskan Sharbinee Allawee.

Bermula babak kedua, skuad kendalian Irfan Bakti memperkemaskan jentera serangan dan hasilnya pada minit ke-62, gol penyamaan yang dicari-cari akhirnya menjelma.

Gol berpunca daripada hantaran silang Joseph Kalang Tie yang disudahkan oleh Ismail Faruqi menerusi satu tandukan menarik yang menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd. Saiful Amar Sudar.

Walaupun diasak bertubi-tubi oleh Terengganu pada 20 minit terakhir perlawanan, Selangor menarik nafas lega kerana barisan hadapan Terengganu banyak mensia-siakan peluang mendapatkan gol kemenangan.

Namun, kedudukan Selangor selaku pendahulu mungkin sementara jika Kelantan berjaya mencipta kemenangan ke atas Kuala Lumpur di Stadium Sultan Mohammed IV hari ini.
Dalam satu lagi perlawanan Liga Super, Kedah menewaskan Perak 3-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Tiga gol skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan dijaringkan oleh Mohd Khyril Muhaimin pada minit ke-30, Mohd Firdaus Mohd Faudzi (minit ke-75), dan satu gol menerusi jaringan sendiri pemain Perak, Mohd Syazwan Roslan (minit ke-83), manakala gol saguhati Perak pula disumbangkan oleh Mohamad Noor Hazrul pada minit ke-90.

Sementara itu, dalam saingan Liga Perdana malam ini, Selangor PKNS terus mengutip tiga mata penuh apabila berjaya menewaskan SDM Navy 6-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Selangor PKNS kini terus menjadi pendahulu liga dengan mengumpul 36 mata selepas 14 perlawanan.

Di Stadium Negeri, Kuching, pasukan tuan rumah membelasah MP Muar 6-0.

Kemenangan itu membolehkan Sarawak terus berada di kedudukan kedua carta liga dengan kutipan 29 mata selepas 14 perlawanan.

Gol-gol Sarawak dijaringkan Oleh Zamri Morshidi pada minit ke-7, Bobby Ganzales (minit ke-40 dan ke-68), Ashri ChuChu (minit ke-46 dan ke-74) dan Mohd Shahrol Saperi (minit ke-67).

Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, USM FC menewaskan Pulau Pinang 5-2.

Lima gol pasukan USM FC dijaringkan oleh Muhammad Afzan Zainal Abidin pada minit ke-20, jaringan hatrick Mohd Failee Mohamad Ghazali minit ke-30, ke-32 dan 52, dan Mohd Hazrul Shah Mohd Abdul Hakim di minit ke-69.

Gol Pulau Pinang pula disumbangkan oleh Arsyah Mohd Ayob (minit ke-71) dan Khairul Azri Jamal Haziq (minit ke-85).

Di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Johor Bharu, Johor seri tanpa jaringan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Di Stadium Majlis Pembandaran Selayang, Sime Darby tewaskan Pos Malaysia 2-0.

Utusan Malaysia/Bernama

Berakhirnya Musim Keliru di terengganu

"Musim keliru kini sudah berakhir apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi pengesahan yang tegas dengan mengembalikan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu pada Januari lalu. Soal sama ada mereka yang menjadi wakil-wakil rakyat kini akan terus menjadi calon terserah kepada pucuk pimpinan berasaskan penilaian siapa yang paling baik untuk meyakinkan rakyat dan membawa kemenangan."

Oleh Wan Zulkifli Wan Yaakob (Utusan Malaysia, 29 April 2011)

BAGI yang sering menyorot suasana politik UMNO di Terengganu, landskapnya mungkin boleh dianggap makin menenangkan apabila ia turut diberi warna makin menarik.

Mutakhir ini ia turut diwarnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Alor Limbat, Alias Abdullah melalui pernyataan pendirian dan sikapnya yang dianggap agak mengejut.

Bagi pembangkang, orang seperti Alias awalnya dapat membantu memberi saham meyakinkan ke arah kemenangan dalam pilihan raya umum setelah maruah diinjak rakyat selepas sekadar sepenggal memerintah.

Ada juga kalangan dalam parti UMNO pula berharap sebilangan wakil rakyat yang dilihat jelas tidak sebulu dengan kepemimpinan negeri diganti kerana mereka juga sedang mempersiapkan diri.

Apa sebenarnya yang mengejutkan itu? Ia adalah tentang ucapan Alias secara terbuka pada majlis pengukuhan parti di hadapan pimpinan bahagian dan negeri baru-baru ini selepas tiga tahun Datuk Seri Ahmad Said menerajui negeri.

Bagi Alias, UMNO Terengganu sebenarnya sudah pulih dan semua wakil rakyat berdiri teguh menyokong Ahmad selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Alias turut dipetik sebagai berkata,‘‘sebenarnya musuh tidak kuat, yang membuat kita tewas ialah bila kita tidak bersatu, kita masuk dalam keadaan kepala berdarah dan sudah lemah kerana bergaduh sesama sendiri, maka sukarlah untuk menang berdepan lawan sebenar.”

Alias selama ini dianggap antara yang paling lantang mengkritik, mempersoalkan malah adakalanya mengecam tindak-tanduk kepemimpinan dan pentadbiran negeri termasuk di dalam Dewan.

Sehinggakan ada rakan yang bertanyakan apa motif sebenarnya apabila Alias, 47, yang juga peguam ini tidak lagi dilihat menjauhi, memusuhi kepimpinan negeri?

Dalam usaha itu juga, Alias diandaikan cuba merangkumkan sekali pendiriannya bersama mungkin 10 atau 12 lagi wakil rakyat yang pendirian sebenar mereka dikatakan masih menjadi tanda-tanya.

Tidakkah Alias menunaikan harapan bekas Menteri Besar, Datuk Idris Jusoh yang kerap menyuarakan agar semua membuat pendekatan berbaik-baik dan menyokong kepimpinan Ahmad setelah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan tertinggi UMNO menerajui parti.

Ia merupakan rentetan perkembangan positif terhadap perpaduan kepimpinan UMNO Terengganu yang selama ini dipisahkan dengan permainan istilah Kem Idris dan Kem Ahmad Said.

Musim keliru kini sudah berakhir apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi pengesahan yang tegas dengan mengembalikan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu pada Januari lalu.

Soal sama ada mereka yang menjadi wakil-wakil rakyat kini akan terus menjadi calon terserah kepada pucuk pimpinan berasaskan penilaian siapa yang paling baik untuk meyakinkan rakyat dan membawa kemenangan.

PENULIS ialah Ketua Biro Utusan
Malaysia di Terengganu

Kewibawaan Saya Tercalar, Ada Konspirasi - Yunus


Yunus (kanan) membayangkan bahawa tindakan merehatkannya daripada melatih skuad T-Team seperti wujud konspirasi untuk menyingkirkannya.

Di sebalik tindakan jawatankuasa tertinggi T-Team yang merehatkan ketua jurulatihnya, Yunus Alif daripada membimbing pasukan berkenaan, ada nada kecewa yang disuarakan bekas pemain kebangsaan itu.


Menurut Yunus, keputusan pihak pengurusan sungguh mengejutkan, malah menganggapnya sebagai sesuatu yang mengaibkan kewibawaannya sebagai seorang jurulatih.

Lebih daripada itu, Yunus yang baru dilantik menggantikan Che Ku Marzuki Che Ku Mohd. Nor untuk membimbing T-Team pada awal musim ini membayangkan seperti wujud konspirasi untuk menyingkirkannya.

"Memang saya tidak tahu mengapa keputusan ini dibuat kerana saya memang tidak ada masalah dengan pemain-pemain dalam pasukan ini.

"Saya tidak menafikan prestasi pasukan memang merosot tetapi bukan mudah untuk membentuk sebuah pasukan hanya dalam beberapa bulan," katanya.

Ekoran daripada keputusan itu, tempat Yunus sebagai jurulatih T-Team kini diambil alih buat sementara oleh bekas jurulatih pasukan itu, Che Ku Marzuki dan dibantu jurulatih Piala Presiden, Yusuf Ali.

Pengesahan untuk merehatkan Yunus serta melantik dua jurulatih sementara untuk mengendalikan T-Team diumumkan oleh pengurus pasukan, Rozi Mamat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu kelmarin.

Ketika mengumumkan perkara itu, Rozi menjelaskan, tindakan merehatkan Yunus buat sementara adalah hasil persetujuan dan perbincangan semua pihak selepas melihat prestasi tidak menentu yang dicatat pasukan tersebut sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, Yunus menambah, kontraknya sebagai jurulatih T-Team hanya akan berakhir pada November depan.

"Saya tidak tahu apa akan berlaku selepas ini dan saya menunggu perkembangan terbaru daripada pihak pengurusan," jelasnya yang mula menjadi jurulatih profesional pada tahun 1992.
Persoalannya kenapa Yunus menyatakan kekecewaannya sedangkan menurut laporan akhbar beliau akur dan menerima apa juga keputusan yang dibuat oleh pengurusan selepas ada desakan pengurusan T-Team ditukar.

Potensi Besar 'PAS Ganti UMNO di Terengganu

PAS tidak sesekali memandang ringan terhadap kebarangkalian berlakunya Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka pada tahun ini, lebih-lebih lagi apabila Umno banyak menganjurkan program.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dipetik oleh sebuah portal berita pembangkang berkata, kesedaran itu membuatkan pihaknya tidak pernah lalai menghadapi persiapan dan sentiasa bersiap sedia ke arah pilihan raya dengan semangat untuk merampas Putrajaya.

“Kita melihat itu (program retreat UMNO) adalah petanda awal (pilihan raya). Jadi, ini mungkin mengiakan desas-desus kita dengar bahawa kebarangkalian berlaku pilihan raya tahun ini memang ada.

“Kita tidak memperkecilkan kebarangkalian wujudnya pilihan raya tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pas Kawasan Kuala Nerus di Masjid At-Taqwa, Batu Enam, Kuala Terengganu Sabtu lalu (23 April 2011).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai program retreat yang sedang dilaksanakan UMNO dalam memperkukuh jentera parti bagi menghadapi kemaraan lebih cemerlang dalam pilihan raya akan datang.

Retreat secara bersiri dlaporkan akan menumpukan kepada semua kawasan termasuk lapan kawasan yang kalah dalam Pilihan Raya Umum e-12, Mac lalu.

Nasharudin bagaimanapun yakin dengan potensi besar PAS di negeri ini dalam usaha PAS merampas kembali dan menggamtikan Umno Terengganu.

“Saya rasa rakyat kenal dengan isu-isu dan kita akan berusaha keras supaya kita dapat mentadbir semula Terengganu,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dalam Muktamar Pas Jun ini, beliau enggan mengulas mengenai perkara itu dan jawapan ‘no comment’ diberikan ketika diminta mengulas mengenai Pas Kawasan Temerloh yang mencadangkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk mencabar jawatan yang disandangnya ketika ini.

Friday, April 29, 2011

Kibaran Bendera, Solat Hajat Antara Persiapan Terakhir...

Beberapa persiapan terakhir diadakan hari ini dan semalam bagi memastikan lawatan Program Turun Padang (PTP) Perdana Menteri secara rasmi esok berjalan lancar.

Datuk Sri Mohd Najib Razak dijangka tiba jam 9.45 malam ini (29 April) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Raptai Majlis Perasmian Rumah Rakyat di Pulau Duyong turut diadakan petang ini.

Sementara solat hajat memohon keberkatan Allah sempena lawatan PTP Perdana Menteri diadakan di Kampung Pulau Bahagia, Manir malam tadi dan selepas solat Jumaat hari ini.

Malam tadi solat hajat diadakan di tapak Himpunan dan Jamuan Rakyat bersama Perdana Menteri iaitu di pentas utama tempat Perdana Menteri akan menyampaikan amanat.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Shamsuddin Sulong memgimamkan solat hajat di masjid Kampung Pulau Bahagia.



Menurut laporan Unit Komunikasi Negeri, kibaran bendera yang siap siaga menyambut kehadiran Perdana Menteri dilakukan sejak beberapa hari lalu

Rakyat Terengganu, khususnya penduduk di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat secara langsung dengan pelbagai program sambutan Perdana Menteri sudah tidak sabar menunggu kehadiran pemimpin nombor satu negara itu.

Lebih 40,000 penduduk terlibat secara langsung dalam pelbagai program yang diatur sempena program itu.

Beliau akan memulakan lawatan kerjanya esok dengan lokasi lawatan pertama ialah Pekan Batu Enam kira-kira jam 9 pagi. Pekan Batu Enam terletak di kawasan DUN Bukit Tunggal dan Parlimen Kuala Nerus.

Perdana Menteri akan berjalan kaki menemui pemimpin dan rakyat di Peti Undi Batu Enam, DUN Bukit Tunggal dan Parlimen Kuala Nerus selepas menikmati sarapan pagi di Kedai Alias, di Pasar Batu Enam.

Selepas itu, Perdana Menteri akan menziarahi rumah seorang warga emas yang uzur, Puan Chik Mamat, 85, di Kampung Pengkalan Arang, dan menyertai gotong- royong membaiki rumah seorang penduduk miskin, Raja Azizah Raja Ali, 57, di kampung yang sama.

Selepas itu, Datuk Sri Mohd Najib dijadualkan ke Bukit Tunggal untuk menyempurnakan program pelancaran Pasar Baru Bukit Tunggal, sebelum bertolak ke Manir untuk program Perjumpaan Mesra YAB Perdana Menteri Bersama Rakyat DUN Manir di Padang Bola Kampung Pulau Bahagia, Manir.

Beliau juga akan melawat Klinik Kesihatan Masyarakat di Pulau Bahagia manakala sebelah petangnya, Perdana Menteri akan merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyong.

Pada sebelah malamnya, Perdana Menteri dijadualkan bersama kepimpinan masyarakat termasuk parti komponen Barisan Nasional di Taman Shahbandar di mana kira-kira 20,000 orang akan menikmati makan malan bersama-sama pemimpin nombor satu negara.

Majlis tersebut akan diserikan dengan persembahan artis dan tayangan video.

Unit Komunikasi Negeri

RM4.2 Juta Baiki Jalan di Dungun

Menteri Besar meninjau beberapa tempat di Dungun sempena lawatan kerja ke daerah itu diiringi Datuk Za'baar Mohd Adib kelmarin.

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan RM4.2 juta bagi projek membaiki dan memperbesarkan jalan di beberapa kawasan di daerah Dungun untuk keselesaan pengguna jalan raya.

Selain itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said turut mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini bagi membaiki jalan di kawasan masing-masing.



Selain itu, peruntukan berjumlah RM10 juta daripada Kerajaan Pusat disediakan bagi projek menggali Sungai Dungun dalam usaha mencegah hakisan pantai, khususnya Pantai Teluk Lipat.

“Kerajaan negeri akan tambah peruntukan RM1.5 juta bagi projek yang sama,” katanya pada siding media sempena lawatan kerja ke daerah Dungun hari ini.

Projek lain yang turut diumumkan pembinaan oleh Menteri Besar ialah Pasar Paka yang bernilai RM7 juta dan Taman Rekreasi di Universiti Teknologi Malaysia cawangan Dungun yang belum ditentukan kosnya.

Unit Komunikasi Negeri

'Brain Drain' Bukan Kerana Keutamaan Kepada Bumiputera

Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan Laporan Bank Dunia yang mendakwa dasar yang memberi keutamaan kepada Bumiputera telah menyebabkan berlaku masalah "brain drain" dan kurang kemasukan pelaburan ke negara ini.

Perdana Menteri berkata sebaliknya, pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia telah meningkat kepada RM9 bilion pada tahun lepas daripada RM1.4 bilion pada 2009.

"Saya rasa laporan itu kurang tepat tapi daripada segi 'brain drain' itu, memang kita dah kenal pasti sebagai salah satu daripada masalah yang perlu dicari penyelesaiannya.

"Sebab itu kita menubuhkan Talent Corp, dan langkah pertama saya telah umumkan di Invest Malaysia baru-baru ini, ialah pemberian insentif cukai pendapatan pada kadar tetap 15 peratus bagi tempoh lima tahun jika mereka (profesional rakyat Malaysia) balik ke Malaysia.

"Ini salah satu daripada inisiatif pertama dan inisiatif lain yang telah dipersetujui dan kita akan ambil langkah selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Laporan Bank Dunia semalam bahawa lebih sejuta rakyat Malaysia bekerja di luar negara manakala pelaburan langsung asing ke Malaysia adalah kurang disebabkan oleh dasar itu.

Najib berkata beliau yakin Malaysia akan mampu menjamin pertumbuhan yang sihat untuk FDI dan pelaburan domestik.

"Jangan lupa, ia bukannya semata-mata soal FDI tetapi juga pelaburan demostik. Sebanyak 73 peratus daripada perancangan kita melibatkan pelaburan domestik," kata Perdana Menteri.

Beliau juga berkata projek Program Transformasi Ekonomi) secara besar-besaran yang sedang dan akan dilaksanakan juga akan memberi peluang lebih terbuka kepada rakyat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan negara.

Koperasi Kariah - Kerajaan Negeri Sumbang RM10,000 Untuk Setiap Masjid

Kerajaan negeri menawarkan RM10,000 kepada setiap jawatankuasa masjid yang berjaya menubuhkan Koperasi Kariah Masjid di kawasan masing-masing bagi tujuan memulakan projek komersial.

Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera berkata, hasrat kerajaan adalah mewujudkan satu kampung satu koperasi untuk menjana pendapatan anggota masyarakat.

“Sehingga ini terdapat 489 buah masjid seluruh negeri ,” katanya ketika berucap di majlis Seminar Penubuhan Koperasi kariah Masjid di Taman Tamadun Islam (TTI), Pulau Wan Man, Kuala Terengganu kelmarin.

Seminar berkenaan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob. Hadir sama Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Dato’ Md Yusof Samudin dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Prof. Dato’ Dr. Mohd Ali Baharum.

Seminar sehari anjuran Angkasa, SKM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ini dihadiri lebih 1,200 kariah masjid seluruh negeri dengan pembentangan tiga kertas kerja dari SKM dan JHEAT.

Katanya, pendekatan Angkasa ini sangat baik kerana melalui penubuhan koperasi banyak pembangunan ekonomi dapat dijalankan dikalangan ahli-ahli kariah dan berharap usaha murni ini dapat diterjemahkan ke arah pembangunan ummah.

“Usaha ini jika digabungkan semua kariah masjid tentu dapat melahirkan begitu banyak peluang peniagaan dikalangan masyarakat setempat dan kerjasama dalam bidang perniagaan dapat ditingkatkan dengan semangat kerjasama dan saling membantu,” katanya.

Sehubungan itu, Dato’ Mohamed berkata kerajaan akan cuba membantu sedaya upaya bagi menjaya dan memajukan koperasi kariah masjid ini untuk kebaikan rakyat seluruhnya.

Tarikh baru Piala Monsun 2011, elak pertembungan Sukan SEA

Bagi mengekalkan prestij dan kedudukannya sebagai penganjur utama acara pelayaran dunia, T-Best Events Sdn Bhd berjaya menetapkan tarikh baru bagi penganjuran kejohanan Piala Monsun edisi 2011.

Perundingan terperinci dengan World Match Racing Tour (WMRT) dan International Sailing Federation (ISAF) memutuskan perlumbaan akhir musim yang bakal menobatkan juara dunia ISAF pada 29 November hingga 4 Disember .

Piala Monsun pada awalnya dijadualkan 22 hingga 27 November ini terpaksa diltangguhkan ke tarikh lain berikutan pertembungan dengan temasya sukan SEA ke- 26 pada 11 November hingga 22 November depan.

"Selepas beberapa minggu perundingan, WMRT dan ISAF akhirnya mencapai kata sepakat menetapkan tarikh baru kami. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan kami akan bersama-sama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta semua pihak penaja yang terlibat dan rakan media untuk memastikan Piala Monsun terus menjadi kejohanan yang berprestij dan diiktiraf sebagai kejohanan utama dunia, " kata Pengerusi T-Best, Tan Sri Sabbaruddin Chik (gambar kiri).

"Kami merasa tarikh terdahulu itu tidak sesuai bagi melaksanakan Piala Monsun kerana dibayangi oleh Sukan SEA ke-26.

Kami juga bertuah kerana `Langkawi International Maritime & Aerospace Exhibition’ (LIMA) yang biasanya diadakan pada minggu pertama bulan Disember pula akan diadakan pada minggu seterusnya bagi mengelak pertembungan dengan tarikh Piala Monsun. "

Tan Sri Sabbaruddin berkata, tarikh baru Piala Monsun amat sesuai dengan kejohanan Perth ISAF 2011 yang dijadualkan pada 3 hingga 18 Disember ini, sekaligus memberi peluang media asing membuat liputan bagi kedua-dua acara dunia itu.

Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun merupakan siri kesembilan pelayaran profesional utama dalam World Match Racing Tour (WMRT) yang dijalankan di serata dunia.

SKM Sasar Wujudkan Koperasi Di 6,600 Masjid Seluruh Negara

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan untuk mewujudkan koperasi di semua 6,600 buah masjid yang ada di seluruh negara sehingga akhir tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penubuhan koperasi di setiap masjid itu dilihat penting supaya ekonomi umat Islam bertambah kukuh.

"Kita lihat setiap hari Jumaat, sambutan Maulidur Rasul atau hari-hari keramaian yang diadakan di masjid, akan ada peniaga yang berniaga di sekitar masjid. Tetapi semuanya melibatkan orang luar, tidak melibatkan masjid itu sendiri.

"Kita buat koperasi ini supaya masjid itu mampu menampung keperluannya sendiri di samping mungkin mereka boleh melabur dalam perkara-perkara yang boleh mendatangkan keuntungan, tetapi berdasarkan prinsip syariah," katanya selepas merasmikan Seminar Penubuhan Koperasi Kariah Masjid negeri Terengganu semalam.

Ismail Sabri berkata buat permulaan ke arah penubuhan koperasi masjid, SKM bersetuju memberi bantuan sebanyak RM30,000 manakala di Terengganu, kerajaan bersetuju meluluskan RM10,000 untuk penubuhan koperasi masjid.

"Namun kita mahu lihat dulu apa projek atau perniagaan yang akan dijalankan sebelum meluluskan peruntukan. Kalau ada daya saing, kita akan bagilah.

"Peringkat awal mereka bolehlah berniaga peralatan masjid atau kursus haji atau peralatan menunaikan haji, mengeluarkan pakaian dan sebagainya yang tidak perlu diimport lagi," katanya.

Katanya sehingga ini ada negeri-negeri yang sudah mempunyai koperasi seperti di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Kedah tetapi secara sendiri-sendiri dan tidak berkelompok seperti di Terengganu.

Beliau berkata sebanyak 489 buah masjid di Terengganu bolehlah menubuhkan koperasi dengan sebaik mungkin dan beliau meminta pegawai SKM mengadakan perjumpaan dengan anggota jawatankuasa masjid untuk membantu daripada segi penubuhannya.

"Lepas program di Terengganu ni, kita akan bergerak pula ke Pahang dan Johor dalam usaha merealisasikan penubuhan koperasi masjid," katanya.

Bersesak di Surau Selepas Bangunan Tadika Dirobohkan

Surau dijadikan tadika di Kampung Kepong, Kuala Terengganu.

Selepas bangunan tadika mereka dirobohkan untuk pembinaan pasar basah sembilan bulan lalu, 25 kanak-kanak prasekolah di Kampung Kepong di sini terpaksa belajar di sebuah surau tinggal di kampung itu sementara menunggu bangunan kekal di kawasan mereka.

Bagaimanapun, hingga kini kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun terbabit terpaksa belajar dalam kesukaran kerana belum nampak sebarang tanda bangunan tadika baru akan dibangunkan dalam tempoh terdekat.

Walaupun dalam keadaan tidak selesa untuk pengajaran dan pembelajaran, guru tadika Fatimah Harun, 46, bersama pembantunya, Zaleha Mohd Zain, 50, tidak merungut dan meneruskan tanggungjawab mendidik tunas bangsa di surau itu dengan gigih dan bersemangat.

Tinjauan Berita Harian ke kampung itu mendapati surau yang digunakan sebagai tadika kanak-kanak itu memang tidak sesuai sebagai kelas prasekolah kerana keadaan yang sempit dan berhampiran sungai.

Kalangan ibu bapa yang ditemui pula sedih kerana surau itu dijadikan tadika, justeru meminta pihak berkuasa berkaitan mencari jalan penyelesaian kerana bimbang keselamatan anak mereka berikutan surau berhampiran sungai.

Ibu seorang murid, Normaliani Ariffin, 28, berkata dia kesal terhadap pihak tertentu yang mengabaikan prasarana untuk mengasuh tunas bangsa alam prasekolah hingga sebuah surau lama terpaksa dijadikan bilik darjah kerana mereka tiada pilihan.

"Sepatutnya, balai raya boleh juga dijadikan tadika tetapi pembinaan balai raya baru juga tidak disiapkan hingga kini," katanya yang merayu pihak berkuasa berkaitan supaya cakna dan membina segera sebuah bangunan untuk pendidikan prasekolah yang sangat penting dalam memacu kecemerlangan anak bangsa.

Seorang bapa, Azman Said, 43, berkata perkara itu mungkin tidak akan terjadi sekiranya pihak berkenaan prihatin untuk menyediakan tempat khas yang sesuai kepada kanak-kanak itu untuk mereka mengikuti kelas prasekolah.

"Tidak salah surau ini dijadikan sebagai tadika tetapi demi kebaikan kepada semua pihak, saya minta bangunan khas dalam persekitaran lebih sesuai dijadikan sebagai tadika untuk memudahkan guru melaksanakan pembelajaran dan pengajaran serta aktiviti lain," katanya yang juga seorang peniaga.


Berita Harian

Tujuh Jenis Kuih Berasaskan Ubi Gadung Untuk PM


Jangan risau Datuk Sri, tak mabuk punya!

Kira-kira 50 koligram ubi gadong diproses untuk menghasilkan tujuh jenis kuih tradisional yang bakal dihidangkan kepada tetamu ‘istimewa’, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak pada Sabtu ini.

Ubi gadung, sejenis ubi yang menjadi antara makanan penduduk negeri itu semasa perang Jepun dan zaman darurat dahulu, menjadi bahan utama membuat kuih seperti puteri mandi, onde-onde, buah gomok, loklik, kuih lapis serta bubur.

Ia akan disediakan oleh seorang guru tadika, Faridah A Ghani, 52, untuk minum petang Perdana Menteri bersama rakyat Terengganu di Pulau Duyong.

Antara kuih yang akan dihidangkan nya termasuklah kuih lok lik, onde-onde, puteri mandi, kuih lapis, buah gomak, bubur dan gadong goreng.

Proses mengupas kulit dan menghiris isi ubi pula mengambil masa sehari dan proses merendam ke dalam air mengambil masa empat hari empat malam.

Kerja-kerja mencari, membersih dan membuang toksik pada bahan berkenaan yang agak rumit tidak menjadi masalah kepada kaum ibu di Kampung Bukit Wan kerana terlalu teruja untuk menyiapkan juadah berkenaan.

Proses mencari dan menggali ubi berkenaan memakan masa setengah hari kerana pokok yang tumbuh meliar dan memerlukan pokok lain sebagai sokongan hidup ini lebih segar dan elok isinya jika datangnya dari hutan kebun buah-buahan di atas bukit, bukan ditepi rumah.

Seeloknya pokok berusia 15 hingga 20 tahun ke atas akan menghasilkan isi yang besar dan sedap bila di makan dan pokok inilah yang diperolehi oleh Hajah Faridah Abdul Ghani adik beradik untuk membuat kuih berkenaan.

Proses mengupas kulit dan menghiris isi ubi pula mengambil masa sehari dan proses merendam ke dalam air mengambil masa empat hari empat malam iaitu dua malam dalam bekas tertutup kemudian akan dipindah ke dalam air yang mengalir.

Ketika dalam proses rendaman, hirisan ubi ini perlu dibersihan dua kali sehari untuk memastikan kebersihannya berada pada tahap paling memuaskan.

Demi pemimpin yang dikasihi rakyat jelata, tidak ada rasa penat dan jauh sekali mengeluh sebaliknya sentiasa ceria sepanjang proses menyiapkan bahan-bahan untuk menghidangkan kuih muih hasil kerja tangannya yang akan menjadi kenangan seumur hidup.

Ketika ditemui di rumahnya oleh wartawan Bernama hari ini, Faridah berkata beliau mendapat bantuan beberapa rakannya untuk menyediakan juadah itu.

Katanya beliau bangga diberi penghormatan menyediakan jamuan itu tetapi pada masa yang sama beliau juga gementar jika Perdana Menteri tidak biasa dengan makanan itu.

Mengikut kajian, ubi gadung mengandungi khasiat tertentu antaranya mampu membuang toksik selain dikatakan mampu membesarkan payu dara.

Unit Komunikasi Negeri & Bernama

Kenduri Kampung Terbesar di Pulau Bahagia Esok

Datuk Seri Ahmad Said ketika melawat persiapan DUN Manir kelmarin termasuk melihat kerusi bulat buluh.

Kampung Pulau Bahagia Manir dekat Kuala Terengganu pastinya cukup sesak Sabtu ini dengan jangkaan lebih 10,000 orang akan menghadiri kenduri kampung yang terbesar pernah diadakan di situ.

Jamuan gulai kawah disediakan dan untuk menampung kehadiran yang ramai itu dan lebih 20 ekor lembu dikorbankan melalui kerja yang dijalankan secara gotong-royong oleh penduduk.

Segala persiapan terakhir masih rancak berjalan bagi majlis yang akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri ini esok.

Ia pastinya suatu detik bersejarah bagi penduduk kampung ini dan juga penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang menjadi salah satu lokasi kunjungan Najib, apatah dapat bertemu secara dekat.

Ia memberi makna yang cukup besar bagi mereka dan sebagai satu penghormatan kepada pemimpin utama negara itu yang dijangka tiba pada pukul 11 pagi, mereka menjanjikan sambutan meriah.

Bagi menerima kunjungan tetamu dalam program Perjumpaan Mesra Bersama Rakyat itu, mereka hiaskan pentas utama, meja makan dan bangku panjang menggunakan bahan yang mudah didapati di sini, iaitu buluh, batang nibung dan atap daun rumbia.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam (gambar kanan) ketika ditemui semasa bersama menyiapkan kerja-kerja akhir berkata, kehadiran Perdana menteri menginjak kaki ke sini sememangnya dinanti-nantikan.

"Penampilan pentas dan meja makan utama yang berkonsepkan tradisional dengan penggunaan buluh, batang nibung dan atap daun sagu bagi menonjolkan kekayaan tradisi yang masih ada dalam kalangan penduduk di sini.

"Selain keramahan dan muafakat penduduk setempat, kita mahu tonjolkan kepada Perdana Menteri bahawa orang Manir sudah menunggu kehadiran Perdana Menteri sejak sebulan yang lalu," katanya.

Usaha berkenaan dilakukan oleh anak-anak muda di kawasan perkampungan itu yang diketuai oleh Abdul Rahman Ibrahim, 42.

Kata Abdul Rahman, dia bersama rakannya melakukan persiapan itu sejak sebulan lalu dengan mengumpul kira-kira 1,000 batang buluh jenis minyak dari sekitar itu.

Buluh dipilih bukan sahaja mengingatkan kepada nostalgia lama kehidupan di kampung tetapi kerana sifatnya yang mampu menyerap haba terutamanya ketika cuaca panas terik.

"Kami menghasilkan meja makan dan kerusi berbentuk bulatan daripada buluh dan batang nibung sebagai tempat duduk istimewa kepada Perdana Menteri semasa jamuan di sini nanti.

"Tiga hari dua malam masa yang kami ambil untuk siapkannya kerana ia perlukan ketelitian serta buluh perlu diraut dengan cermat bagi mengelakkan luka," katanya.

Sementara itu katanya, meja serta kerusi daripada buluh sepanjang kira-kira 60 meter turut disiapkan untuk kenamaan lain semasa program jamuan itu nanti.

"Kami yakin, meja dan kerusi buluh yang telah siap ini adalah yang terpanjang pernah dihasilkan.

"Bagi penduduk di sini, inilah peluang untuk kami tunjukkan kelainan dan kebolehan yang ada agar kehadiran Perdana Menteri ke kawasan kami memberikan pengalaman berharga buat pemimpin nombor satu negara itu," ujarnya.

Utusan Malaysia

600 Nelayan Kawasan Marang Terima Bantuan

Seramai 600 nelayan yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan Kawasan Marang (PNKM) menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM200 seorang pada satu majlis di Marang semalam.

Bantuan yang keseluruhannya berjumlah RM120,000 itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Mohd. Safee Mohd. berkata, jumlah bantuan itu merupakan sebahagian daripada RM28 juta yang disalurkan kepada lebih 8,000 nelayan di seluruh negeri.

Menurutnya, selain subsidi 10 sen bagi setiap kilo hasil tangkapan dan subsidi diesel dan petrol, bantuan secara tunai ini bertujuan mengurangkan beban golongan itu.

“Untuk itu juga, golongan nelayan perlu memperbaharui kad e-nelayan mengikut tempoh yang telah ditetapkan bagi mengelak berlaku sebarang kesulitan untuk berurusan dengan pelbagai pihak termasuk LKIM,” ujarnya.

Sementara itu, Yahya memberitahu, selain LKIM golongan nelayan di negeri ini boleh memohon bantuan melalui Tabung Darul Iman (TDI) sekiranya mereka berhadapan dengan masalah yang mendesak.

Yahya yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Marang berkenaan, tabung kelolaan kerajaan negeri boleh dirujuk kepada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing.

Yahya turut mencadangkan agar jeti tidak harus dijadikan sebagai tempat pendaratan ikan semata-mata tetapi juga sebagai pusat kegiatan agro-pelancongan seperti memancing, menjual ikan bakar dan sebagainya.

“Seharusnya mereka berusaha mempelbagaikan punca pendapatan dan ini akan membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan pendapatan nelayan sekali ganda menjelang tahun 2020,” katanya.

Ujian Hafaz al-Quran Terbuka Kedua 2011

Orang ramai di negeri ini yang berminat menyertai Ujian Hafaz al-Quran Dewasa Terbuka Penggal Kedua 2011 anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) kini boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat agama daerah masing-masing.

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri, Mohd Rozali Saleh berkata, bagi ujian tahap bawah 30 juzuk, para peserta mestilah berumur antara 18 tahun hingga 29 tahun manakala peserta berusia 30 tahun ke atas perlulah memasuki tahap 30 juzuk.

Bagaimanapun menurutnya, mereka yang dipilih perlu memberi sumbangan secara sukarela kepada masyarakat mengikut kawasan yang ditetapkan oleh JHEAT.

”Orang ramai yang berminat untuk mengikuti ujian ini hendaklah mendapatkan borang tersebut di pejabat agama kawasan masing-masing sebelum 31 Mei depan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Terengganu semalam.

RHB Islamic Bank Kukuhkan Rangkai Niaga Dengan Produk Ar-Rahnu

RHB Islamic Bank menyasarkan keuntungan RM20 juta daripada skim pembiayaan di Kelantan dan jika mencatatkan perkembangan positif, bank itu merancang memperluaskan lagi rangkaian skim berkenaan di beberapa cawangan RHB Islamic Bank di negeri lain.

Ini termasuk, antaranya Terengganu, Kuching, di Sarawak dan Bangi, di Selangor dalam masa terdekat.

Selain itu, katanya RHB Islamic Bank menyasarkan pembukaan dua cawangan setiap tahun bagi melengkapkan rangkaian niaganya di seluruh negara.

RHB Islamic Bank kini memiliki 250,000 pelanggan di 12 cawangannya di seluruh negara.

Menyedari potensi pembiayaan menerusi gadaian sementara barangan emas, mengambil inisiatif melaksanakan produk barunya, iaitu Produk Pembiayaan Pajak Gadai Islam atau Ar-Rahnu, dengan Kelantan sebagai lokasi pertama projek perintis itu.

Pengarah Urusannya, Abd Rani Lebai Jaafar berkata Kelantan terpilih bagi cawangan pertama RHB Islamic Bank kerana ia terkenal sebagai pusat perniagaan kecil-kecilan utama di negara ini.

"Antara 12 cawangan RHB Islamic Bank di seluruh negara, Kelantan dipilih sebagai lokasi perintis kerana wanitanya, secara keseluruhannya, ramai berkecimpung dalam bidang perniagaan dan gemar memiliki emas untuk perhiasan dan sebagai simpanan."

"Produk ini menjadi satu jalan keluar kepada mereka mendapatkan tunai bagi keperluan seharian, terutama semasa terdesak," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Produk Pembiayaan Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu) dan Fiesta Perbankan Islam 2011 Negeri Kelantan di Kota Bharu, Khamis.

Abd Rani berkata skim pembiayaan RHB Islamic Bank itu dijangka mendapat perhatian kerana pelanggan yang menggunakan perkhidmatan itu berpeluang mendapat pembiayaan sehingga 70 peratus daripada nilai semasa emas yang dipajak.

"Jenis emas yang diterima adalah emas 999, 950, 916, 875, 835 dan 750 dan jumlah pembiayaan minima adalah RM100 sehingga RM50,000 bagi setiap pelanggan pada satu-satu masa," katanya.

Pasangan Suami Isteri Dituduh Edar Dadah

Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret semalam terhadap tuduhan mengedar dadah jenis metamphetamine dan heroin, 17 April lepas.

Sunaidi Ismail, 33, dari Rantau Panjang dan isterinya Nuur Muhaimi Yahya, 25, dari Kampung Raja, Besut hanya mengangguk faham apabila tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Faraziana Zainuddin.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa secara bersama mengedar 80.0 gram metamphetamine ketika berada dalam kereta Proton Waja dengan nombor pendaftaran AFL 4630 di Kampung Durian Kassim, Ajil, Hulu Terengganu, pada 1 pagi, 17 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, pasangan itu didakwa pada 1.30 pagi, pada hari dan tempat yang sama, mengedar dadah jenis heroin seberat 46.2 gram.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, kedua-duanya didakwa memiliki heroin seberat 4.2 gram pada 1 pagi, di lokasi sama dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB itu membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia. Tiada jaminan ditawarkan terhadap kedua-dua tertuduh.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmu

Thursday, April 28, 2011

Jamil Khir Alu-Alukan Sumpah Laknat Untuk Perjelas Kedudukan Sebenar

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyambut baik sekiranya benar pihak terbabit dengan isu video seks yang dikatakan membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, ingin bersumpah mubahalah iaitu sumpah laknat.

"Saya tidak tahu mengenai perkara itu, tetapi kalau benar alhamdulillah dan amat dialu-alukan supaya umat Islam dapat penjelasan mengenai kedudukan sebenar.

"Kita juga amat gembira dan bersyukur pada Allah kerana ia mungkin dapat menyelesaikan satu perkara besar yang sekarang membebani fikiran umat Islam," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan pemberita berhubung khabar angin kononnya ketua pembangkang itu bersama Datuk Trio yang dikatakan terbabit dalam pendedahan video seks tersebut akan mengangkat sumpah laknat dalam masa terdekat.

Selain mekanisme mahkamah dan siasatan polis, salah satu mekanisme dalam Islam ialah angkat sumpah untuk tujuan pembuktian, kata Jamil Khir.

Laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu semalam turut menyarankan Ketua Pembangkang itu untuk mengangkat sumpah laknat di hadapan rakyat jelata dan para pengikutnya bahawa pendedahan Datuk Trio itu adalah tidak betul.

Yunus Direhatkan, Mampukah T-Team Perbaiki Kedudukan?

Saksikan sendiri perasaan dan tuntutan penyokong T-Team. Mereka mahu pengurusan ditukar...bukan sekadar jurularih. - Gambar : Harith Fadzillah.

Analisis Shahrir Hamid

Kemenangan 3-1 ke atas Kedah di halaman sendiri malam kelmarin mungkin permulaan baru pasukan kelab T-Team walaupun tanpa khidmat ketua jurulatih yang direhatkan.

Sepanduk peminat meminta pertukaran pihak pengurusan pasukan terpampang di setiap ceruk stadium.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin anak buah yang dibimbing pengganti ‘sementara’ Yunus Alif tidak menunggu lama untuk membolosi gawang Kedah menerusi Indra Putra Mahayuddin yang merembat deras hantaran lintang Harris Safwan Kamal, dua minit sebaik permainan bermula.

Kedah memastikan kedudukan kembali seimbang sebelum rehat menerusi Baddrol Bakhtiar yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Syamsuri Mustaffa selepas pemain pertahanan, Sobri Sulong gagal mengeluarkan bola dari dalam kotak penalti.

Namun T-Team menambah dua gol lagi menerusi pemain gantian, Shamsul Kamal Mohamad (m-83) dan Zairol Anuar Zailani pada masa tambahan.

Namun kemelut yang melanda skuad tajaan Persatuan Belia dan Sukan Daerah Kuala Terengganu, T-Team ditunjukkan perminat sejak dua hari sebelum perlawanan dengan Kedah.

Ternyata dengan hanya mencatat empat kemenangan daripada 14 perlawanan, tiga seri dan tujuh kalah sebelum kemenangan dengan Kedah, jurulatih serta pengurusan T-Team menerima tamparan hebat.

Ada pihak meluahkan rasa kecewa menerusi kain rentang yang dipasang di beberapa lokasi di bandar raya ini, sebelum merebak ke dalam stadium malam kelmarin.

Tukar...jurulatih T-Team. Rombak...pengurusan...daripada T-Team Fan Club”. Itulah luahan rasa pada kain rentang yang dipercayai dibuat sendiri penyokong pasukan berstatus kelab itu, susulan prestasi merudum pasukan bimbingan Yunus dalam saingan Liga Super musim ini.

Desakan yang meminta jurulatih ditukar dan rombakan pada pengurusan secara jelas mencerminkan ketidakpuasan hati peminat bola sepak, khususnya penyokong T-Team, untuk melihat perubahan drastik dibuat bagi menajamkan kembali taring pasukan.

Yunus dua hari sebelum perlawanan menyatakan akur dengan sebarang tindakan yang bakal diambil pihak pengurusan itu berhubung ada desakan yang meminta agar beliau ditukar.

“Saya menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk memutuskan perkara ini (tukar jurulatih) sama ada ingin mengekalkan saya sebagai ketua jurulatih atau tidak.

Menurutnya, sebagai jurulatih, beliau telah memberikan khidmat terbaik kepada pasukan di bawah kendaliannya itu, namun tetap mengakui hakikat dunia bola sepak di mana apabila menang akan disanjung, tetapi setelah kalah dicemuh pula.
Ramalannya benar belaka.

Beberapa tindakan diambil dalam usaha mempertingkatkan prestasi skuad itu.
Yunus direhatkan oleh pihak pengurusan T-Team setelah prestasi kurang memuaskan pasukan berkenaan dalam kejohanan Liga Super ketika ini.

“ Kita mengambil serius mengenai prestasi T-Team dan selepas mendapat persetujuan pihak pengurusan, kita merehatkan Yunus buat sementara waktu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat ketika memberitahu media selepas mesyuarat kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Ini bermakna bukan pengurusan yang ditukar tetapi hanya membabitkan jurulatih!

Rozi ketika ditanya mengenai reaksi Yunus selepas mendengar keputusan untuk merehatkannya, menjelaskan Yunus menerima baik keputusan daripada pihak pengurusan bagi kepentingan bersama.

Keputusan berkenaan juga mengambil kira cadangan daripada peminat yang merupakan nadi pasukan.

Dua calon telah dikenalpasti bagi menggantikan Yunus untuk memperkemaskan skuad T-Team untuk menempuh baki perlawanan Liga Super akan datang. Cik Ku Marzuki Mohd Noor yang juga bekas pengendali T-Team musim lepas serta Yusof Ali, bekas pemain bolasepak Terengganu dikatakan bakal menggalas cabaran sebagai pemangku jurulatih skuad berstatus kelab itu.

Tindakan pihak pengurusan yang merehatkan sementara Yunus dipercayai untuk meredakan suasana 'panas' membabitkan pasukan berkenaan ternyata tidak mencacatkan aksi kesemua pemain.

“ Jika kedua mereka menunjukkan prestasi memuaskan, pihak pengurusan tidak akan teragak-agak menyerap terus mereka mengetuai T-Team dan seterusnya merealisasikan impian mengecapi salah satu kejuaraan berprestij dalam arena bolasepak negara pada musim ini,” katanya lagi.

Kejayaan Yunus membantu T-Team mencapai kemenangan ke atas pasukan elit dalam Liga Super iaitu Selangor serta Kelantan menampakkan peningkatan skuad itu, namun kalah kepada pasukan ‘underdog’, Kuala Lumpur 3-1 menampakkan kegoyahan permainan pasukan berkenaan.

Kerajaan Terengganu Sediakan Biasiswa Kepada Pelajar Atlet Sukma

Kerajaan Terengganu akan menyediakan biasiswa kepada pelajar yang terpilih menjadi atlet Sukan Malaysia (Sukma) bagi menyemarakkan lagi semangat mereka dalam sukan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan memutuskan mulai 1 Jun ini, pelajar yang mewakili Sukma, masing-masing akan diberi biasiswa RM60 sebulan.

Beliau berkata 690 pelajar sekolah di Terengganu termasuk Sekolah Sukan Bukit Jalil yang menjadi atlet Sukma negeri itu akan diberi biasiswa mulai Jun ini, yang melibatkan peruntukan RM565,000.

"Ini merupakan satu usaha kerajaan memberi pengiktirafan kepada pelajar yang menjadi atlet Terengganu supaya mereka terus dapat mendominasi Sukma," katanya selepas mesyuarat mingguan Exco di sini pada Rabu. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat.

Menurutnya selain pelajar Sekolah Sukan Bukit Nenas di Kuala Terengganu, pelajar di beberapa sekolah lain yang juga menjadi atlet Sukma Terengganu seperti sekolah Menengah Padang Midin dan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang, turut diberikan biasiswa.

"Sekolah-sekolah itu masing-masing mempunyai acara atau program tertentu seperti permainan bola sepak, sepaktakraw, hoki dan sebagainya. Bagaimanapun yang paling ramai adalah pelajar dari Sekolah Sukan Bukit Nanas iaitu melebih 600 orang," katanya.

Ahmad Said berkata biasiswa itu akan diberi kepada pelajar selagi mereka menjadi atlet Sukma sehingga mereka berumur 21 tahun.

MB Tinjau Lokasi Pemimpin Turun Padang Untuk PM

Antara tarikan yang disediakan untuk lawatan Perdana Menteri di DUN Manir - kerusi bulat diperbuat daripada buluh. - Gambar Harith Fadzillah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengetuai rombongan jawatankuasa persiapan dan penyelarasan lawatan Program Turun Padang (PTP) Perdana Menteri membuat lawatan ke setiap lokasi yang akan dilawati oleh pemimpin nombor satu negara Sabtu ini.

Sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat berkaitan di Wisma Darul Iman bersama-sama Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ketua-ketua jabatan terbabit dan badan-badan bukan kerajaan.

Menteri Besar mahu memastikan lawatan PTP Perdana Menteri ke Terengganu beberapa hari lagi berjalan dengan lancar dan berkesan untuk kebaikan rakyat.

"Segala persiapan terbaik telah dibuat dan saya telah beberapa kali turun ke lokasi lawatan termasuk petang ini,"katanya.

Dalam lawatan itu beliau amat menekankan soal kebersihan dan kekemasan suasana di sepanjang tempat yang akan menjadi lokasi lawatan Perdana Menteri.
Unit Komunikasi Negeri

Pantun Datuk Lan Untuk Menteri Besar

Demikian dua rangkap pantun Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah ditujukan khas kepada YAB Menteri Besar pagi semalam.

Pantun itu diungkapkan dalam kata aluan “Seulas Pinang’ buku ‘3 Tahun Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Negeri Terengganu’ yang dilancarkan Menteri Besar di Wisma Darul Iman, pagi semalam.


Menurut Mazlan, dalam tempoh tiga tahun pentadbirannya, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berjaya membawa perkhidmatan awam negeri ini ke landasan gagasan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Beliau berkata, Menteri Besar menjadi inspirasi kepada semua penjawat awam untuk meningkatkan pengetahuan, berintergriti, inovasi, kompentesi dan akauntabiliti serta bertindak proaktif dan fleksibel mengikut tuntutan perubahan persekitaran, kehendak majoriti rakyat dan hala tuju Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negeri Terengganu.

“Perkhidmatan awam negeri perlu meningkatkan usaha dan menjadi pemudahcara kepada aktiviti sektor swasta.

“Untuk berbuat demikian, kita tiada pilihan kecuali meningkatkan pengetahuan dan kemahiran di samping mengubah persepsi dan sikap agar bersifat terbuka, berinisiatif untuk melakukan perubahan,” ujar beliau.

Beliau berkata, dalam pelaksanaan agenda pentadbiran dan pembangunan negeri, kita perlu menerokai, mengharungi dan melaksanakan perubahan secara drastik selaras dengan tuntutan semasa dan ekspektasi rakyat.


Unit Komunikasi Negeri

40,000 rakyat dijangka sertai program lawatan PM



Lebih 40,000 penduduk termasuk urusetia dijangka terlibat dalam lawatan sehari Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Terengganu Sabtu ini.

Lawatan sempena Program Turun Padang (PTP) itu membabitkan lima lokasi penting di kawasan Parlimen Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

Perdana Menteri yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu kira-kira jam 8.45 pagi sebelum memulakan lawatan ke Pasar Batu Enam dan melawat rumah seorang penduduk yang uzur di Kampung Pengkalan Arang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Exco semalam, selepas itu Perdana Menteri akan melawat Klinik Rakyat di Kampung Pulau Bahagia, Manir.

Perdana Menteri juga akan bertemu rakyat di padang bola di kampung yang sama sebelum meneruskan lawatan ke Bukit Tunggal bagi merasmikan tapak pasar kampung itu.

“Pada sebelah petang pula, Dato’ Sri Mohd Najib akan merasmikan Perumahan Pangsapuri Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyong, sebelum dijadualkan bersama kepimpinan masyarakat termasuk parti komponen Barisan Nasional serta menemui rakan laman sosial `facebook’,” katanya.

Menurutnya, pada sebelah malam pula, Perdana Menteri akan menemui kira-kira 20,000 penduduk Terengganu serta menikmati makan malam bersama-sama di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

“Selepas menamatkan program terakhir sempena lawatan kerja sehari itu, beliau akan berlepas pulang ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas,” katanya.

Dalam pada itu, Kerajaan Terengganu berharap Perdana Menteri akan mengumumkan berita gembira dan istimewa untuk rakyat Terengganu sama ada berkaitan pembangunan mahupun sebarang bentuk bantuan sempena lawatan itu nanti.

“Terengganu bersama Kerajaan Pusat sentiasa menjalin hubungan baik dan setakat ini kita masih lagi menerima peruntukan dalam bentuk geran dan beberapa bantuan lain,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

39 Pegawai Tadbir Terengganu Bertukar

Seramai 39 pegawai tadbir negeri terlibat dalam rombakan terbaharu berkuat kuasa mulai 1 Mei ini.

Arahan pertukaran yang dikeluarkan kelmarin dan ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah merupakan satu proses pertukaran biasa ekoran persaraan dan pengisian kekosongan jawatan.

Mereka yang terlibat termasuk seorang pegawai daerah selain beberapa pengarah dan penolong pengarah jabatan, ketua penolong kanan serta Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri.

Mendahului senarai ialah Pegawai Daerah Besut, Tuan Mamat Tuan Ngah dilantik sebagai Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menggantikan Osman Muda yang bakal menjadi Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Perubahan berlaku disebabkan kekosongan jawatan ekoran persaraan wajib Pengurus Besar PMINT, Datuk Zakaria Awang.

Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Abdul Rahim Jusoh dilantik sebagai Pegawai Daerah Besut. Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan Negeri, Azhar Jusoh mengambil tempat Abdul Rahim.

Omar Mat (Ketua Penolong Pentadbir Tanah Besut) ditukarkan sebagai Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kuala Terengganu menggantikan Mat Arsad Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama (Khidmat Pengurusan).

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Integrity And Strategic Institute (T-ISSI), Mohd. Elias Nik dilantik sebagai Timbalan Pengarah PTG (Pengurusan), manakala Wan Ismail Sahaimi Wan Omar (Ketua Penolong Pentadbir Hulu Terengganu) dilantik sebagai Ketua Penolong Pentadbir Tanah Besut.

Ketua Penolong Pentadbir Tanah Marang, Jahani Ismail dilantik sebagai Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menggantikan Wan Mohd. Anuar Wan Endut yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah PTG (Pendaftaran).

Pegawai Jawatan Kumpulan Pejabat SUK, Wan Khalid Wan Jusoh pula dilantik mengisi kekosongan jawatan Penolong Pengarah Jabatan Bekalan Air.

PKR, PAS Bimbang Perang Mulut Dua Anak Ali Keruhkan Pakatan Pembangkang

Tau takut!

Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS diminta supaya berhenti daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan kerjasama kedua-dua sekutu dalam Pakatan Rakyat.

Peringatan itu merujuk kepada perselisihan antara dua anak Alki - Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berhubung tindakan Mohamed Azmin yang melenting apabila wujud pihak yang enggan membela Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin kedua-dua parti berkenaan turut dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan mainan media yang hanya akan menimbulkan lebih banyak ketegangan.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, sebagai pemimpin senior dalam politik, Mohamed Azmin dan Mustafa seharusnya bijak mengeluarkan kenyataan agar tidak mudah dimanipulasikan media.

"Kedua-dua pemimpin berkenaan sepatutnya tahu mengenai apa yang patut dan apa yang tidak patut dicakapkan kepada media.

"Isu berkenaan tidak seharusnya diperbesarkan lagi," katanya kepada mStar Online di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perang mulut Mustafa kepada Mohamed Azmin yang disifatkannya tidak mempunyai ketahanan politk.

Malah menurut Mustafa, pemimpin nombor dua PKR itu berada dalam keadaan yang sangat tertekan kerana seringkali melenting secara berlebihan apabila berhadapan dengan sesuatu isu.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketegangan antara Mustafa dan Mohamed Azmin hanya mainan media yang disifatkan sebagai 'perkara kecil' dan bukan menjadi masalah besar kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, isu berkenaan tidak perlu memberi kesan kepada hubungan PAS-PKR dalam Pakatan Rakyat.

"Ini perkara kecil sahaja, tak perlu diperbesarkan. Lagipun ia bukan masalah besar hingga boleh menggangu gugat kerjasama baik selama ini," katanya.

Azmin yang dipetik daripada laman Twitternya baru-baru ini yang menyifatkan Mustafa seolah-olah seperti 'jaguh kampung yang tidak relevan tapi mahu perhatian'.

Ini berikutan laporan media sebelum itu yang melaporkan kenyataan Mustafa mengenai kesediaan Pas mengkaji semula masa depan parti itu dalam pakatan pembangkang jika siasatan pihak berkuasa membuktikan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah lelaki dalam rakaman video seks.

Mustafa bagaimanapun menafikan pernah membuat kenyataan sedemikian dan mendakwa media telah salah lapor.

GDW Alor Limbat Rangsang Aktiviti Ekonomi Penduduk

Gerakan Desa Wawasan (GDW) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Alor Limbat merancang beberapa projek ekonomi bagi meningkatkan pendapatan penduduk kampung.

Pengerusi GDW Kampung Alor Limbat, Zaki Ali berkata antara projek ekonomi yang akan diwujudkan adalah membina rumah burung walit, penanaman kelapa sawit, getah dan pembinaan rumah-rumah kedai untuk disewa bagi menjana pendapatan penduduk kampung.

"Sebelum ini kita sudah ada sebuah rumah burung walit yang mempunyai 10,100 sarang yang mampu menghasilkan pendapatan antara RM15,000 dan RM20,000 sekali pungut.

"Dengan pembinaan sebuah lagi rumah burung itu, ia dijangka dapat meneguhkan lagi pendapatan penduduk kampung itu," katanya kepada Bernama di sini.

Zaki, yang juga Timbalan Pengerusi JKKK kampung itu, berkata pihaknya juga mengusahakan tanaman pisang seluas tiga hektar yang mampu menghasilkan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

Selain itu, katanya kira-kira enam hektar ladang sawit yang diusahakan diunjurkan dapat mengeluarkan hasil akhir tahun ini.

Hasil lain yang diperoleh ialah penyewaan rumah-rumah kedai di kampung itu oleh Majlis Daerah Marang yang diserahkan pengendalian kepada GDW itu.

Katanya semua hasil ekonomi sama ada daripada sumber pertanian atau penyewaan premis perniagaan, akan dimasukkan ke dalam Koperasi Penduduk Kampung Alor Limbat Sendirian Berhad dan kemudiannya diagihkan kepada penduduk yang menjadi ahli.

Zaki berkata sejak tahun lepas pihaknya telah memperkenalkan satu program kepada penduduk kampung iaitu Program Kitchen Garden, dengan menggalakkan penduduk kampung menanam sayur-sayuran di sekitar rumah untuk keperluan sendiri.

"Kita bekalkan benih untuk mereka tanam pelbagai sayur. Biarpun kawasannya sempit, namun ia mampu menampung serba sedikit keperluan sendiri. Ia menjimatkan perbelanjaan keluarga," katanya.

Zaki berkata komuniti Kampung Alor Limbat sangat aktif dan setakat ini berjaya memenangi 12 anugerah berprestij sejak 2002, antaranya johan Anugerah Kampung Terbersih Terengganu dengan membolot hadiah bernilai RM1 juta.

Lain-lain anugerah termasuklah johan pertandingan Komuniti Bestari (K-Bestari) peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

Katanya sektor pertanian, ternakan merupakan hasil utama penduduk kampung itu, yang memberikan pendapatan antara RM8,000 dan RM14,000 sebulan hasil perolehan kelapa sawit, getah serta ternakan.

Kampung yang mempunyai kira-kira 1,191 penduduk dengan 191 buah rumah itu turut menjadi pusat pengeluaran buah-buahan bermusim seperti duku, durian, rambutan, nenas dan salak setiap tahun.