Saturday, May 14, 2011

Kerajaan Negeri Belanja RM1.4j Balik Ke Mesir

Kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM1.4 juta bagi membiayai kos penghantaran balik para pelajar Terengganu ke Mesir setelah pergolakan di negara itu berakhir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, jumlah itu merangkumi kos pembelian tiket penerbangan selain untuk urusan penghantaran.

Beliau memberitahu, proses itu membabitkan seramai 485 pelajar yang ditaja oleh Yayasan Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu dan persendirian.

”Daripada jumlah, 271 orang ditaja oleh Yayasan Terengganu,” katanya sewaktu menjawab soalan Datuk Harun Taib (Pas-Manir) pada hari terakhir Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin (12 Mei 2011).

Ahmad Razif turut menjelaskan, kerajaan negeri sentiasa menghulurkan bantuan termasuk dalam bidang pendidikan kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira parti.

“Kerajaan tak pernah bangkitkan soal siapa anak mereka. Dalam bidang pendidikan, kita tetap beri bantuan kepada mereka tak kira orang Pas atau UMNO,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ramlan Ali (BN-Jabi).

Terengganu Berpotensi Jadi Pusat Pelancongan Kesihatan

Terengganu mempunyai potensi yang besar untuk menjadi pusat pelancongan kesihatan kerana ia mempunyai kekuatan tersendiri dari segi prasarana kesihatan dan alam sekitar.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kawasan seperti Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Tasik Kenyir sering menjadi daya tarikan pelancong dan ia mampu menjadi hub pelancongan kesihatan dengan meletakkan lebih banyak fasiliti kesihatan di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya beliau akan berhubung dengan Malaysia Health Tourism Council untuk mengkaji potensi yang ada di Terengganu.

"Saya melihat dengan adanya kekuatan politik dan juga kekuatan dari segi prasarana dan logistik, ia menjadikan Terengganu sebagai antara tempat yang berpotensi untuk dijadikan sebagai hub pelancongan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kemaman di Kemaman, yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman Datuk Seri Ahmad Said.

Kerajaan Terengganu Tarik Pelaburan RM2.3b Tahun Lalu

Kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan bernilai RM2.3 bilion sepanjang tahun lalu yang meletakkan negeri ini di tangga keenam dari segi pelaburan tertinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Kemudahan Awam negeri, Toh chin Yaw berkata, pelaburan langsung asing (FDI) pula mencatatkan nilai RM216.9 juta sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, pada Januari tahun ini pula, sejumlah RM213 juta dilabur di negeri ini dan ia mencatatkan peningkatan berbanding RM7.7 juta pada bulan berikutnya.

"Untuk tahun ini, setakat ini sebanyak RM220 juta telah dilabur yang mampu menyediakan 184 peluang pekerjaan,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Kuala Terengganu, Rabu (11 Mei 2011) lalu.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri sedang berusaha untuk merancakkan lagi kegiatan pelaburan tahun ini termasuk perancangan membangunkan kawasan seluas 15.6 hektar di taman perindustrian Wakaf Tapai, Marang.

Selain itu jelasnya, empat syarikat akan mengemukakan cadangan untuk melibatkan diri dalam industri penapisan minyak di negeri ini.

Utusan Malaysia

Kualiti Udara Kebanyakan Tempat Pada Tahap Sederhana

Pemandangan ibu kota Kuala Lumpur yang kelihatn terang selepas berkeadaan jerebu sejak beberapa hari lalu ketika dirakam kira-kira pukul 9 pagi 13 Mei 2010 dari Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. - Utusan

Kualiti udara di kebanyakan tempat di seluruh negara sehingga pukul 11 pagi semalam adalah pada tahap sederhana.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam laman webnya berkata Bukit Rambai mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) 90 berbanding 85 pada pukul 5 petang Khamis.

Bacaan IPU antara 0-50 menggambarkan kualiti udara yang baik, manakala 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak bersih) dan 300 ke atas (berbahaya).

JAS berkata 22 kawasan mencatat IPU sederhana iaitu Port Dickson (75), Melaka (72), Nilai (68), Kota Tinggi (63), Larkin Lama (62), Balok Baru, Kuantan (61), Banting (60), Seremban (59), Shah Alam (58), Bintulu (58), Seberang Jaya 2, Perai (54) dan Indera Mahkota, Kuantan (51).

Kawasan lain yang turut merekodkan IPU sederhana ialah Muar (84), Pasir Gudang (83), Samarahan (61), Kuala Terengganu (61), Pelabuhan Klang (55), Kota Kinabalu (51), Labuan (51) dan Miri (48).

Sementara itu antara 29 kawasan yang merekodkan IPU bersih ialah Universiti Sains Malaysia (USM) (24), Jalan Tasek, Ipoh (29), Alor Setar (31), Seri Manjung (36), Kangar (36), Sandakan (43), Tawau (46) dan Kuching (47).

PAS Minta Tepati Masa Bayar Royalti

Timbalan Ketua Penerangan Pas Terengganu, Zakaria Dagang berharap bayaran wang royalti minyak kepada Kerajaan Negeri dapat diserahkan tepat pada masanya.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berpuas hati selagi bayaran itu tidak diserahkan kepada Kerajaan Negeri sebagainya tempoh yang dinyatakan iaitu berjumlah RM938 juta sehingga Jun ini.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya difahamkan, bayaran wang royalti itu akan selesai Mac ini, namun perkara itu tidak menjadi kenyataan apabila Kerajaan Negeri hanya memperoleh RM670 juta bayaran sehingga Mac, berbanding yang sepatutnya diterima iaitu RM938 juta.

“Kita harap perkara ini jadi kenyataan. Walaupun kita pembangkang tetapi kita perjuangkan hak rakyat dan kita akan teruskan perjuangan jika hak rakyat tidak tertunai,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas bahawa Kerajaan Negeri menerima bayaran royalti minyak berjumlah RM938 juta secara berperingkat sehingga Jun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, sehingga Mac tahun ini, Kerajaan Negeri sudah menerima wang royalti berjumlah RM670 juta bagi bayaran pertama, manakala bayaran kedua berjumlah RM150 juta akan diterima minggu ini.

Menurutnya, Petronas akan membayar sebanyak RM938 juta secara berperingkat sebagaimana dijanjikan dan kekal seperti mana perjanjian asal, cuma cara pembayarannya dibuat melalui Kerajaan Pusat.

Zakaria berkata, pihaknya akan lega jika apa yang dikatakan itu ditunaikan sepenuhnya, termasuk wang Kerajaan Negeri yang pernah digunakan Pusat untuk projek lain yang masih belum selesai bayarannya.

Peroleh hasil RM3.5 juta jika tidak bubar T-Team

Persembahan 'yo-yo' T-Team menyebabkan diberikan amaran.
Kerajaan Negeri mungkin memperoleh anggaran pendapatan sebanyak RM3.5 juta dalam sektor pelancongan jika tidak membubarkan pasukan bola sepak T-Team.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, pendapatan itu melebihi peruntukan yang dikeluarkan sebanyak RM3 juta untuk pasukan itu.

Menurutnya, angka itu diperoleh melalui pengiraan kasar melibatkan perbelanjaan 500 pelancong yang datang ke Terengganu ketika perlawanan berlangsung.

“Dalam aspek pelancongan umpamanya, kalau 14 perlawanan ada dalam satu tahun, itu pun kalau dia buat ‘round robin’ lebih daripada itu (pendapatan diperoleh). Kalau kita masuk separuh akhir, suku akhir atau akhir termasuk piala FA mungkin 20 perlawanan (berlangsung di Terengganu).

“Kita ambil 200 orang datang ke Terengganu untuk membantu penginapan di hotel pada satu perlawanan dan mengikut Lembaga Penggalakan Pelancongan (Tourism Malaysia), kalau pelancong domestik, dia belanja RM500 dan pelancong luar akan membelanjakan sebanyak RM5,000 termasuk bayar tiket kapal terbang, makan di hotel, penginapan dan sebagainya,” katanya.

Malaysia Kutip 12 Emas Dari Sukan Arafura

Malaysia menduduki tangga kelapan daripada 45 negara selepas mengutip 12 emas, enam perak dan empat gangsa pada temasya Sukan Arafura yang berakhir di Darwin, Australia, semalam.

Ketua kontinjen negara Mohd Safrushahar Yusoff berkata olahraga menjadi penyumbang utama pingat emas Malaysia dengan enam emas, diikuti masing-masing dua butir emas dari acara menembak, ping-pong (paralimpik) dan tinju.

"Emas terakhir kontinjen negara dikutip oleh dua peninju, Mohd Fuad Mohd Redzuan dari skuad elit (bawah 49kg) dan Mohd Subrie Kamis dari skuad pelapis (bawah 52kg) selepas pertarungan akhir akhir hari," katanya kepada Bernama dihubungi di Darwin.

Pada hari terakhir temasya tersebut, Macau mendahului carta kutipan pingat keseluruhan dengan mengumpul 29 emas, 25 perak dan 30 gangsa diikuti New Caledonia (28, 17, 26) dan Filipina (24, 24, 10).

Sukan Arafura merupakan temasya dwi-tahunan yang dianjurkan oleh bandar Darwin sejak 1991 dan pada edisi 2009, seramai 3,000 atlet dari 30 negara menyertainya.

Kontinjen Malaysia terdiri daripada atlet program elit dan paralimpik di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) (17), Terengganu (55), Sekolah Tun Fatimah, Johor (16) dan Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub, Pahang (21).

Mengulas mengenai pencapaian atlet di bawah kendalian MSN, Mohd Safrusahar, yang juga Pengarah Cawangan Paralimpik MSN, berkata Sukan Arafura ini lebih penting kepada atlet elit paralimpik negara yang memburu ranking dan mencari mata kelayakan ke Sukan Paralimpik di London pada 2012.

"Keseluruhannya, atlet paralimpik dalam acara ping-pong dan paralifting beraksi cemerlang dan berjaya mengutip mata kelayakan yang tinggi untuk layak ke London," katanya.

Misalnya, beliau berkata atlet ping-pong Mohd Azwar Bakar yang meraih dua pingat emas dari acara individu lelaki dan berpasukan lelaki dengan berganding bersama Koh Zhi Liang, mengumpul 1,040 mata daripada 600 mata yang disasarkan di Darwin.

Sementara atlet elit normal dari skuad tinju, Mohd Farkhan Haron (bawah 69kg) dan Mohd Fairus Azwan Abdillah (bawah 75 kg), tewas kepada lawan masing-masing dalam pusingan awal.

"Saingan acara tinju amat tinggi. Sebagai contoh pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Beijing, Vijender Singh dari India kalah mengejut kepada lawannya dari New Zealand, Sam Rapira bagi kelas 81kg," katanya.

Episod Malang Terus Merundung T-Team

Gelaran 'jaguh kampung' pun tidak layak lagi bagi T-Team. Petang Khamis lalu ia kalah di tempat sendiri. - Gambar Harith Fadzillah.

Sebelum ini gelaran jaguh kampung apabila hanya memang di tempat sendiri.

Kini Episod malang terus menyelubungi pasukan T-Team apabila tunduk 1-3 kepada Harimau Muda A pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Lebih malang lagi, skuad kendalian Yunus Alif itu terpaksa menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain selepas Zairo Anuar Zailani dan Shazlan Alias masing-masing dilayangkan kad merah pada separuh masa kedua.

Kekurangan itu jelas dipergunakan pemain Harimau Muda yang bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengutip tiga penuh.

Pasukan T-Team berjaya menyumbat gol seawal minit kelapan menerusi Rosdi Talib, bagaimanpun aksi cemerlang tersebut gagal diteruskan walaupun bermain di gelangang sendiri.

Tersentak dengan jaringan itu, Harimau Muda yang dibimbing Ong Kim Swee cuba bangkit menerusi gandingan Izzaq Faris Ramlan dan Wan Zaharulnizam Zakaria, namun gagal menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan separuh masa.

Pada babak kedua, rentak permainan kedua-dua pasukan bertambah agresif sehingga menyaksikan pemain tengah T-Team, Shazlan dilayangkan kad merah pada minit ke-59.

Tujuh minit kemudian, Harimau Muda berjaya menyamakan kedudukan menerusi Fandi Othman yang melepaskan rembatan kencang kaki kiri dari jarak 20 meter.

Kelalaian benteng pertahanan T-Team terus dihukum pasukan pelawat, menerusi pemain gantian, Syahrul Azwari yang bijak menggunakan peluang terhidang di hadapan pintu gol pada minit ke-83.

T-Team yang cuba bangkit mencari gol penyamaan terus dirundung malang pada minit ke-89 apabila Zairo diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan, Mohd Sabri Mat Lazim.

Keputusan itu sekaligus memberi kelebihan kepada Harimau Muda apabila Syahrul menjaringkan gol ketiga pasukannya untuk tiga mata penuh.

Dengan kemenangan itu, Harimau Muda melonjak satu anak tangga ke kedudukan keenam dengan 26 mata selepas 18 perlawanan, manakala T-Team terperosok di tangga ke sembilan liga.

Mahasiswa IPTA Mengaku Cubaan Melakukan Persetubuhan Haram

Seorang mahasiswi sebuah pusat pengajian tinggi awam (IPTA) mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di Kampung Raja atas kesalahan cubaan melakukan persetubuhan haram dengan pasangannya di sebuah chalet di Pantai Air Tawar, tahun lalu.

Pengakuan salah penuntut wanita berusia 19 tahun sebuah universiti di negeri itu dan pasangannya seorang tukang rumah berusia 28 tahun menyebabkan dia kemudiannya diperintahkan membayar denda RM2,700 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Ketika ditangkap, lelaki itu menyembunyikan motosikalnya di dalam bilik chalet dipercayai bagi mengelak perbuatan mereka dihidu penguat kuasa.

Hukuman dijatuhkan Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof yang menerima pengakuan bersalah mereka tanpa paksaan mana-mana pihak.

“Kamu memiliki otak yang cerdik, jadi perangai kenalah baik. Kamu tidak kasihan kepada mak dan ayah kamukah hingga sanggup memalukan mereka begini?” kata Mohd Nazri dalam penghakimannya.

Mengikut pertuduhan, pasangan terbabit ditangkap dalam sebuah chalet di Pantai Air Tawar pada jam 1.10 pagi, 20 Oktober tahun lalu.

Mahasiswa yang beralamat di Desa Peringat, Kota Bharu Kelantan dan pasangan dari Telaga Papan, Cherang Ruku, Semerak, Kelantan itu dituduh di bawah Seksyen 29 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2001 kerana persediaan melakukan persetubuhan haram yang sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Nik Mohd Shahril Irwan ketika membacakan fakta kes memberitahu, ketika penguat kuasa syariah mengetuk pintu chalet itu, seorang lelaki yang hanya menutup badannya dengan selimut membuka pintu.

Pemeriksaan lanjut mendapati mahasiswi itu berada di dalam bilik air dengan hanya memakai tuala.

Terdahulu, dalam rayuannya, mahasiswi terbabit sambil menangis memberitahu sudah bertaubat dan meminta mahkamah mengurangkan hukuman terhadapnya.

Kedua mereka membayar denda yang dikenakan.

Polis Kenal Pasti Suspek Kes Pukul Anggota JPJ

Polis telah mengenal pasti kumpulan lelaki yang terlibat dalam kes memukul seorang pegawai penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyebabkan pegawai itu cedera di bahagian muka dan badan dalam kejadian pada petang Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan berkata polis yang memandang serius kes itu kini sedang mengesan kumpulan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

“Polis meminta individu yang terlibat dalam kejadian itu datang ke balai polis berhampiran untuk menyerah diri.

“Kita memandang serius kes ni kerana ia melibatkan seorang kakitangan kerajaan dipukul ketika menjalankan tugas, sehubungan itu saya juga menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya kelmarin (12 Mei 2011).

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah kepada penjawat awam yang sedang menjalankan tugas yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Abdul Rahman Emang Anyie berkata pihaknya memantau rapi keadaan kesihatan Ketua Pembantu Penguatkuasa, Ismail Daud, 45.

“Mangsa kini mengalami trauma dan dia kini melakukan tugas secara berteman. Namun saya yakin mangsa dan kakitangan JPJ yang lain kuat semangat dan tidak gentar untuk terus terus menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS ) Datuk Omar Osman ke pejabat JPJ Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Omar pula berkata pihaknya mahu Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menilai untuk menyediakan perlindungan insurans skim perkhidmatan kepada kakitangan penguatkuasa di jabatan berisiko.

“Seperti contoh kejadian kakitangan JPJ ini, kita perlu pastikan mereka mendapat perlindungan sewajarnya kerana kerja yang dilakukan mereka berisiko. Setakat ini mereka hanya dilindungi insurans peribadi masing-masing,” katanya.

Dalam kejadian pada petang Isnin lepas mangsa dibelasah sekumpulan lelaki di Jalan Jerangau-Jabor, Dungun, dekat sini ketika cuba memeriksa lesen memandu seorang lelaki.

Kerajaan Negeri Ambil Alih Tanah Untuk Kekalkan Pemilikan Melayu

Pengambilalihan tanah di kawasan Ladang oleh kerajaan negeri Terengganu dibuat bagi memastikan pemilikan orang Melayu di kawasan bandar kekal, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata selain itu ia juga bertujuan menyusun semula pembangunan di kawasan bandar raya Kuala Terengganu kerana perkampungan itu sebelum ini kurang tersusun.

Sehubungan itu katanya, tidak timbul soal kerajaan menganiaya rakyat dengan mengambil tanah di kawasan itu dan membuat pembangunan sehingga mengabaikan kebajikan penduduk seperti yang digembar-gemburkan pembangkang.

“Kita sedar tanah-tanah di kawasan Ladang yang dulunya milik orang Melayu kini sudah banyak dibeli oleh orang lain. Sebab itu kerajaan negeri melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan beli semula tanah ini dan susun semula penempatan dan pembangunan di bandar raya ini.

“Lembaga Tabung Amanah Warisan beli untuk dirikan bangunan untuk disewa dan pastikan 50 peratus sewa dan 30 peratus dibeli oleh orang Melayu bagi memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus pemilikan kekal hak Melayu,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin (11 Mei 2011).

Terdahulu, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) meminta Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini ditangguh bagi membincangkan soal pengambilalihan tanah rakyat di Ladang yang didakwa menzalimi penduduk di kawasan itu. Usul itu bagaimananapun ditolak.

Ahmad berkata kerajaan negeri tidak pernah menzalimi rakyat, malah sentiasa mengambil berat tentang kebajikan mereka dan ia terbukti apabila kerajaan turut menyediakan rumah kepada rakyat yang terlibat dalam pengambilan tanah itu.

Pangsapuri perumahan rakyat di Ladang Gemilang yang dijual secara sewa beli kepada penduduk yang layak, dijual dengan harga RM150,000 iaitu 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

“Orang kampung sebenarnya lagi gembira kerajaan ambil alih tanah mereka, kerana bukan sahaja rumah, tetapi telaga dan reban ayam juga turut dihitung dalam soal pemberian pampasan kepada mereka, malah rumah juga diberi murah,” katanya.

Beliau berkata mereka yang selama ini tinggal secara haram di tanah kerajaan di kawasan Ladang juga diberi pampasan RM5,000 hingga RM6,000 walaupun sebenarnya mereka boleh dikenakan denda sebayak RM10,000 atau enam bulan penjara kerana menduduki tanah kerajaan secara haram.

Sementara itu pada sesi soal jawab, Ahmad berkata kerajaan PAS sendiri semasa memmerintah Terengganu pada 1999 pernah menyerahkan tanah yang sepatutnya dijadikan taman rekreasi untuk penduduk di kawasan Kuala Terengganu kepada sebuah sebuah syarikat kroni parti itu untuk dimajukan menjadi kawasan perumahan.

Beliau berkata tanah seluas lebih 21 hektar di kawasan Tok Adis dibangunkan dengan projek pembangunan perumahan awam menyebabkan golongan belia tidak mempunyai kawasan untuk beriadah.

40 Karya Pelukis Tanah Air Dipamer

Lebih 40 karya pelukis tanah air bakal dipamerkan di Galeri Seni, Muzium Terengganu sempena Pameran Seni Kontemporari Pelancongan Malaysia selama sebulan bermula esok.

Kurator muzium berkenaan, Fairuz Karim berkata, pameran dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan negeri itu merupakan satu wadah mengangkat dan memartabatkan hasil seni artis tanah air.

“Paparan imej atau subjek itu diharap dapat menjadi pancaran kepada elemen pelancongan tanah air melalui keindahan, keunikan dan kepelbagaian budaya dan resam.
“Karya-karya tersebut sebahagiannya merupakan karya pemenang pertandingan Melukis Citra Terengganu yang menjadi aktiviti tahunan Muzium Negeri beberapa tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu, kelmarin.

Wanita Tidak Takut Pergaut

Kejayaan menggagalkan cubaan seorang lelaki meragut beg tangannya dua tahun lalu membuatkan Safiah Yusof, 44, membulatkan tekad mengejar peragut melarikan beg tangannya sejauh kira-kira satu kilometer sehingga dia beberapa kali nyaris terbabas di bandar ini, malam kelmarin.

Sambil menjerit ‘penyamun’ dan membunyikan hon bertalu-talu, Safiah mengejar peragut yang merampas beg tangan mengandungi wang tunai RM250, seutas rantai tangan dan telefon bimbit yang diletakkan dalam bakul motosikalnya, ketika dia berseorangan ke bandar ini untuk membeli barangan dapur kira-kira jam 8 malam.

"Mana tidak geramnya, wang tunai yang saya simpan untuk membeli peralatan dapur dilarikan peragut. Ini kali kedua saya menjadi mangsa ragut.

“Kejadian pertama pada dua tahun lalu apabila beg tangan saya cuba diragut berhampiran rumah, bagaimanapun gagal selepas saya berjaya menendang motosikal dinaiki peragut itu,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Menceritakan kejadian ragut itu, Safiah yang tinggal di Kampung Bukit Chatak, di Dungun, berkata dia menunggang motosikal membeli peralatan dapur dan setibanya di Kampung Alur Tembesu, penunggang dari arah belakang menghampiri motosikalnya sebelum meragut beg tangan.

Katanya, dia tidak menyangka bagaimana dia menjadi berani mengejar peragut sebelum berhenti selepas menyedari topi keledarnya tercabut dan takut ditahan polis.

Berikutan kejadian itu, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun kira-kira jam 9 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.

T’Craft Bakal Wujud Di Setiap Bandar Utama

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) merancang untuk membuka T’Craft di setiap bandar utama di Semenanjung bagi memasarkan produk kraf tangan terutama dari negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan kepada sambutan di dua cawangan T’Craft di Lembah Bujang, Kedah dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Menurutnya, kewujudan kedai berkenaan bakal memberi laluan kepada ratusan usahawan kraf tangan di negeri ini untuk meningkatkan promosi dan memperluaskan pasaran mereka.

“YPU sebagai pemilik jenama rangkaian kedai berkenaan turut memberi peluang kepada pengusaha dari negeri lain memasarkan produk keluaran mereka di premis tersebut.

“Usahawan yang berpotensi dari negeri ini akan diberi peluang untuk mengendalikan kedai berkenaan sejajar dengan hasrat YPU untuk melahirkan ramai usahawan dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Taklimat Pengurusan Dana Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Perniagaan Peruncitan di Dewan Konvensyen YPU di Kuala Terengganu, kelmarin.

Program sehari anjuran bersama YPU dan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Gabem, Datuk Ramlan Othman itu dihadiri 150 peserta.

Tambah Azmi, buat masa ini T’Craft hanya dirancang untuk dibuka di luar Terengganu selaras dengan tujuan penubuhannya untuk memperkenalkan produk kraf tempatan ke seluruh negara.

“Inisiatif ini diharap dapat kurangkan keluhan pengusaha kraf tradisional yang tidak mampu untuk pergi jauh bagi menjual produk mereka.

“Terengganu banyak produk kraf yang berdaya maju khususnya di kampung-kampung untuk diketengahkan sehingga keunikannya mampu menarik pelancong asing berkunjung ke halaman mereka,” katanya.

Thursday, May 12, 2011

6,924 Ibu Tunggal, 798 Bapa Tunggal daripada 25,000 Penduduk Miskin Terengganu

Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam diberitahu bahawa terdapat 6,924 ibu tunggal dan 798 bapa tunggal daripada 25,000 penduduk miskin yang berada dalam senarai e-Kasih negeri Terengganu hingga akhir tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Mohamad berkata walaupun program khusus bagi golongan itu dari segi pembiayaan modal belum ada, tetapi kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan program khas buat mereka di bawah kendalian Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu.

"Antaranya program jaya diri iaitu program yang berbentuk pemberian pinjaman modal berdasarkan kemampuan dan penilaian jabatan yang mana peserta terlibat hanya perlu membayar berdasarkan ketetapan oleh jabatan terbabit," katanya.

Yahya (BN-Pengkalan Berangan) berkata demikian ketika menjawab soalan Abd Halim Jusoh (BN-Permaisuri) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu kali ke 12 di sini yang mahukan penjelasan mengenai program-program yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu ibu tunggal.

Menurutnya selain itu program-program untuk memperkasa golongan ibu tunggal juga diadakan seperti menubuhkan kelab ibu tunggal mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri bagi membantu mereka.

"Kami juga membekalkan bantuan kewangan dan mengadakan bengkel pemantapan kelab ibu tunggal, bengkel pembimbing, bengkel kemahiran ekonomi dan juga lawatan yang bermaklumat untuk kepentingan mereka," katanya.

Mengenai program e-Kasih, beliau berkata beberapa proses tertentu dilaksanakan sebelum seseorang itu layak disenarai di bawah e-Kasih.

Antaranya termasuk seseorang individu itu perlu mengisi borang secara manual atau `on line’.

“Melalui borang itu, beberapa pihak berkaitan akan tampil membuat bancian bagi mengetahui sama ada pemohon benar-benar layak atau sebaliknya,” katanya.

Katanya, YPK mewujudkan pelbagai program, bantuan dan sokongan bagi meringankan beban golongan itu, terutama ibu tunggal agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih terjamin.

“Langkah itu bertujuan memastikan golongan berkenaan, khususnya mereka yang mempunyai anak masih bersekolah mampu menjalani kehidupan lebih berkualiti dan tidak tercicir daripada pelajaran.

“Di samping bantuan berbentuk kewangan, barangan, kursus kemahiran juga ditawarkan bagi membantu golongan berkenaan membuka perniagaan kecil-kecilan serta kemahiran menjahit pakaian dan sebagainya,” katanya

Unit Komunikasi Negeri

Kelas Khas al- Quran Kembalikan Kegemilangan Qari, Qariah

Antara peserta yang memperdengarkan bacaan pada malam pertama.

Pencapaian qari dan qariah Terengganu kebelakangan ini yang kurang memberangsangkan menyebabkan kerajaan negeri bercadang mewujudkan kelas khas al-Quran secara percuma bagi mempertingkatkan mutu bacaan mereka mulai bulan depan.

Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata langkah itu bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah dihasilkan qari dan qariah terdahulu, terutama kejayaan, Haji Daud Che Man dan Dato’ Hajah Rogayah Sulong di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


"Kita buat keputusan buka kelas khas kepada qari dan qariah supaya membetulkan tajwid dan taranum masing-masing dengan dibimbing Tuan Haji Daud Che Man dan Hajah Rogayah Sulong ini.

“Sebab itu kita minta dibuka satu kelas khas kepada qari dan qariah yang bertanding di peringkat daerah dan negeri pada masa depan,” katanya selepas merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2011, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Kuala Terengganu, malam kelmarin.


Turut hadir pada majlis tilawah al-Quran kali ke-54 yang membawa tema `1 Malaysia, 1 Ummah’ itu ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Yang DiPertua Dewan Undangan negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Salleh.

Ahmad Said berkata kelas khas yang dibuka khusus untuk anak Terengganu tidak terhad kepada peringkat umur bagi memastikan penguasaan mereka dalam penyampaian al-Quran dengan kaedah yang betul.

Sementara itu, pertandingan tilawah al-Quran kali ini disertai 16 qari dan qariah menawarkan hadiah wang tunai RM7,000 kepada johan qari dan qariah, di samping piala pusingan, sijil penyertaan dan tambang menunaikan haji.

Naib Johan pula akan menerima wang tunai RM5,000, piala iringan dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga akan menerima RM4,000, piala iringan dan sijil penyertaan.


Lima peserta memperdengarkan bacaan masing-masing pada malam pertama Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2011 itu dengan johan tilawah peringkat negeri tahun lalu, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, 28, muncul peserta pertama yang membacakan surah al-Baqarah bermula daripada ayat 44.

Beliau yang juga Tutor Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia dari Kampung Gong Kijang, Kuala Terengganu menggunakan Taranum Rast dan Sikah.

Manakala peserta kedua, Hajah Porziah Mamat, 55, yang mewakili daerah Hulu Terengganu memperdengarkan surah al-Maidah, ayat 67 dengan Taranum Hijaz dan Sobah.

Peserta ketiga, qari dari Marang, Zainal Adam, 45, tampil dengan surah al-A’raf ayat 156, diikuti qariah yang mewakili Kuala Terengganu, Cik Nor Jannah Abdul Rahman, 20, memperdengarkan bacaan surah at-Taubah ayat 38.

Peserta terakhir bagi malam pertama, qari dari Kemaman, Mohd Abd Latiffah Shah Che Yusof, 49, pula menampilkan Taranum Nahawand dan Jiharkah menerusi Surah al-Hud ayat 41.

Seramai 16 peserta masing-masing lapan qari dan lapan qariah termasuk dua johan menunggu mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini. Pertandingan yang bersambung malam ini akan diteruskan lagi dengan bacaan daripada 11 peserta.

Majlis penutup tilawah serta penyampaian hadiah dan cenderahati kepada peserta bakal disempurnakan Yang Teramat Mulia, Tengku Sri Laksamana Raja ini ( 12 Mei) bermula jam 8.30 malam.

Wednesday, May 11, 2011

Bapa Maut Diempap Lori Bawa Kayu

Lori membawa muatan kayu terbalik dan menghempap pemandunya di Kampung Batu 13, Besut, semalam.
Seorang kanak-kanak meraung sambil meminta bantuan orang ramai untuk segera menyelamatkan bapanya yang kaku selepas dihempap lori dipandunya yang terbalik di Kampung Batu 13, Hulu Besut malam kelmarin.

Ikmal Hakim Zuraimi, 7, tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menjerit ‘Tolong ayah, tolong ayah! apabila melihat bahagian pinggang bapanya, Zuraimi Jusoh, 40, ditindih kepala lori itu.

Sambil menangis, Mohd. Ikmal memeluk erat betis seorang penduduk, Azmi Saari, 34, yang tiba di tempat kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam itu.

Ketika kejadian, Mohd. Ikmal bersama adiknya, Amirul Hamdi, 5, mengikut bapa mereka menaiki lori itu membawa muatan ke sebuah kilang kayu mini tidak jauh dari situ.

Azmi memberitahu, dia sedang menonton televisyen di rumahnya sebelum terdengar satu bunyi kuat dan bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

Katanya, dia kemudian terus dipeluk oleh Mohd. Ikmal yang meminta bantuan untuk menyelamatkan bapanya yang dihempap lori tersebut.

Katanya, dia kemudian memanggil jiran dan rakan-rakan untuk membantu mengeluarkan mangsa dari bawah kepala lori muatan satu tan itu.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika lori yang dipandu mangsa mendaki kawasan berbukit namun ia tidak dapat dikawal setelah mengalami kerosakan brek.

Kenderaan itu dikatakan berundur sejauh 50 meter dan dalam keadaan cemas itu, mangsa dikatakan membuka pintu untuk melihat laluan tetapi bahagian belakang sebelah kiri lorinya terlanggar tiang konkrit Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Akibatnya, bapa kepada lima anak itu tercampak keluar sebelum dihempap oleh lorinya pada bahagian pinggang menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.

Mohd. Akmal dan adiknya yang duduk di sebelah pemandu tidak mengalami kecederaan dan berjaya keluar sebelum orang ramai datang membantu mereka.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lapan Kotak dekat sini kira-kira pukul 12 tengah semalam.

Terengganu Terima Baki Royalti Minyak Pada Jun

Pastinya ini bukan bisik-bisik mengenai Petronas tetapi perkara lain. Wahid Endut menemui Ahmad Said si luar persidangan DUN kelmarin.

Kerajaan Terengganu dijangka menerima semua baki wang royalti minyak sebanyak RM118 juta daripada Petronas melalui Kementerian Kewangan bulan hadapan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ia merupakan sebahagian daripada RM938 juta yang sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri.

"Pembayaran pertama wang royalti berkenaan berjumlah RM670 juta telahpun dibuat pada Mac lalu manakala RM150 juta diterima minggu ini dan bakinya sebanyak RM118 juta dijangka diterima bulan hadapan," katanya.

Beliau menyatakannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari Selasa sebagai menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) yang meminta penjelasan berhubung jumlah wang royalti yang telah diterima sehingga Mac 2011.

Katanya, sehingga kini tiada terma-terma mahupun perjanjian baru ditandatangani di antara kerajaan negeri dan Pusat berkenaan royalti minyak.

"Ketika rundingan terakhir yang dijalankan dengan Petronas baru-baru ini, mereka putuskan akan mengagihkan wang royalti itu secara berperingkat-peringkat melalui Kementerian Kewangan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) yang diwakili oleh Mohd. Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) berhubung isu wang royalti Petronas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kuala Terengganu, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Said berkata, Petronas telah menyerahkan kesemua wang royalti itu kepada kerajaan negeri dan kerajaan Pusat tidak mengambil sedikit pun daripada wang tersebut.

Bagaimanapun jelasnya, berkenaan isu kerajaan Persekutuan menggunakan wang royalti sebelum ini, pihaknya dalam usaha mendapatkan kembali wang tersebut bernilai RM2.169 bilion.

"Berkenaan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju memberikan kita semula sebanyak RM1.7 bilion. Justeru kita sedang berusaha mendapatkan RM400 juta lagi.

"Ada beberapa masalah yang belum mendapat kata putus antaranya tentang pembinaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud peringkat kedua, sebab itu wang royalti tersebut masih belum diperoleh.

"Apabila selesai kelak, Kerajaan Pusat akan membayarnya kepada kita sebanyak RM219 juta setahun pada setiap bulan Januari," jelasnya.

Kepada soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) berhubung penggunaan wang royalti oleh badan-badan kerajaan atau negeri-negeri lain untuk membina projek perumahan, Ahmad Said berkata tuntutan bagi perkara itu masih dijalankan.

"Kita mahu lihat ada berapa bakinya dan selepas ini kita mahu ia diselesaikan sekaligus," katanya.

Isu Khalwat Pegawai WakilMRakyat PAS Gamatkan Sidang DUN Terengganu

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam gamat seketika apabila isu seorang pegawai wakil rakyat PAS dalam Parlimen Marang yang ditangkap berkhalwat dibangkitkan oleh Alias Abdullah (BN-Alur Limbat).

Ia bermula apabila Alias (gambar kanan) bangkit mengemukakan soalan tambahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat (gambar kiri) tentang bentuk hukuman yang dikenakan ke atas pasangan berkenaan.

Malah ia turut menarik reaksi beberapa anggota Dewan dengan turut mencelah bertanya isu berkaitan khalwat termasuk Ramlan Ali (BN-Jabi) mengenai langkah mengatasi peningkatan kes dan Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) yang meminta perbandingan jumlah kes dengan negeri lain.

Bagaimanapun, Khazan ketika menjawab soalan lisan tersebut tersenyum apabila menyatakan rasa pelik dan terkejut mengapa isu khalwat menjadi topik pertama sidang DUN kali ini dan hanya ditanya oleh wakil kerajaan.

“Saya hairan mengapa pada hari ini isu berkenaan khalwat ini ditanya dan ia ditanya pula oleh wakil kerajaan sahaja manakala pihak di sebelah sana hanya diam.

“Biasanya isu macam ini mereka lebih banyak bertanya. Ini sama sendiri pula tanya dan jawab,” katanya.

Khazan memaklumkan, dalam kes pada 13 Mac lalu, tertuduh telah membayar denda RM1,800manakala pasangannya, seorang wanita Indonesia tidak membayar denda dan dihukum penjara.

Tambah beliau, kes tersebut didakwa atas kesalahan berkhalwat memandangkan ketika ditahan mereka berada dalam keadaan meragukan serta kenderaan berada di tempat sunyi dan gelap.

Menjawab soalan asal, Khazan memaklumkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 139 kes khalwat dikesan manakala bagi kesalahan persediaan melakukan persetubuhan sebanyak 11 kes dilaporkan sehingga Mac lalu.

“Kita tidak membuat perbandingan secara khusus dengan negeri-negeri lain namun saya akui setiap negeri mempunyai kes seperti ini.

“Justeru itu, jabatan kita berusaha untuk menangani masalah berkenaan dengan pelbagai program yang dianjurkan di semua peringkat,” ujarnya.

Utusan Malaysia

Sekolah Remaja Hamil Melaka Penuh

Sekolah Harapan dan Rumah Harapan, Jasin, memberi perlindungan kepada remaja hamil.

Sejak ditubuhkan pada awal September 2010, Sekolah Harapan dan Rumah Harapan (SHRH) di Jasin, Melaka sudah menerima 49 remaja hamil dan bilangannya dijangka meningkat kerana permohonan terus bertambah.

Pengerusi Lembaga SHRH, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata, sepanjang tempoh itu, 28 bayi dilahirkan dengan semua diambil oleh keluarga ibu mereka.

Katanya, sehingga kini, 35 remaja menghuni rumah kebajikan berkenaan dengan sebahagiannya sudah melahirkan anak, manakala bakinya sedang menunggu masa untuk bersalin.

Mereka datang dari seluruh negara dan berusia antara 14 hingga 18 tahun, iaitu 14 dari Johor, masing-masing lapan dari Melaka dan Pahang, masing-masing lima dari Negeri Sembilan dan Kelantan, Terengganu (3), Kuala Lumpur (2) dan masing-masing seorang dari Selangor; Perak dan Sarawak.

Ab Rahaman berkata, setakat ini, 15 orang dalam senarai menunggu untuk memasuki rumah kebajikan berkenaan berikutan jumlah penghuni pada masa ini sudah mencapai bilangan maksimum.

“Kita minta mereka bersabar kerana kerajaan negeri mungkin menimbang untuk menambah kapasiti dan kemudahan sekolah itu, selain bercadang meningkatkan penerimaan penghuni sehingga 50 orang pada satu masa,” katanya.

Ab Rahaman berkata, tahun ini, kos mengurus dan pembangunan sekolah itu dijangka membabitkan kira-kira RM1.1 juta berbanding RM547,171 tahun lalu.

SHRH terletak di Jalan Pegawai dan beroperasi dari jam 8 pagi hingga jam 4 petang di bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan kos baik pulih RM100,000 dan mempunyai empat kelas, masing-masing sebuah bilik komputer, bilik mesyuarat serta pejabat pentadbiran.

Orang ramai ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIM, Rahimin Bani di talian 019-6671564 atau 06-2881534.

Alias Abdullah pertahan Hadi demi perpaduan UMNO-Pas

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bersalaman dengan Abdul Hadi Awang semasa Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-12 di Kuala Terengganu, kelmarin.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu terus diberi kepercayaan menerajui Pas kerana Presiden parti pembangkang itu sebenarnya menampakkan keikhlasan untuk berperanan menyatukan orang Melayu.

Seorang penyokong kerajaan, Alias Abdullah (BN- Alor Limbat) menegaskan, beliau akan bersama-sama mempertahankan kedudukan Abdul Hadi (Pas-Ru Rendang) jika kedudukannya dalam parti cuba dicabar.

"Selaku orang Marang, saya beri sokongan tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri sebagai Presiden Pas dan akan tetap mempertahankan beliau pada bila-bila masa.

"Kenapa saya mempertahankan beliau? Kerana saya nampak keikhlasan dalam dirinya untuk menyatukan orang daripada Barisan Nasional (BN) dan Pas, Insya-Allah, pada suatu hari nanti," ujarnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan menyokong usul ucapan penghargaan atas ucapan Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Tengku Sri Bendahara Raja sewaktu merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Ke-12.

Alias menarik perhatian, betapa mulianya pemimpin di sisi Allah jika di kalangan mereka dapat melaksanakan suruhan agar umat Islam bersatu padu.

"Alangkah mulianya Datuk Seri Abdul Hadi jika mendahului langkah menyambut salam perdamaian daripada saudara Islamnya sendiri berbanding menjulang kafir harbi.

Tuduhan sezalim-zalim pemimpin UMNO, mereka tetap bersaksikan dua kalimah syahadah tetapi sebaik-baik kafir harbi, mereka tidak meredai Islam bertakhta," ujarnya.

Menjawab pertanyaan Mohd. Nor Hamzah (Pas-Bukit Payong) yang bangun mencelah, beliau berkata, pimpinan MCA tidak pernah membuat kenyataan memerangi usaha mendaulatkan Islam berbanding pemimpin DAP yang melontar kalimah 'langkah mayat saya dulu'.

Utusan Malaysia

Ibu tunggal sebak terima kunjungan JHEAT

Salbiah Mat Isa terharu menerima sumbangan yang disampaikan oleh Mohd. Rozali Salleh (kanan) di Pusat Warga Emas, Kampung Gong Mak Som, Alor Lintah, Besut, baru-baru ini.

Seorang ibu tunggal menitiskan air mata apabila kehidupannya dijengah oleh rombongan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sempena Program Turun Padang jabatan itu di Besut kelmarin.

Salbiah Mat Isa, 45, tenyata terharu dengan kehadiran rombongan pegawai JHEAT yang diketuai Pesuruhjayanya, Mohd. Rozali Salleh sambil bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan.

Dia yang menghidap kencing manis dan penyakit buah pinggang tinggal bersama empat anaknya di Pusat Warga Emas, Kampung Gong Mak Som, Alor Lintah di Besut dan kehidupan keluarga ditampung hasil pendapatan anak sulungnya yang bekerja sebagai pembantu kedai.

Sempena program dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gong Mak Som itu, Mohd. Razali bersama pegawainya turut menziarah keluarga yang menghuni pusat tersebut.

Sementara itu, Mohd. Rozali berkata, usaha itu merupakan pendekatan ke arah mendekati masyarakat sejajar dengan seruan pemimpin untuk lebih kerap menyelami kehidupan pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.

Katanya, di setiap daerah, pegawai agama daerah akan memilih lokasi sesuai untuk menjalankan kerja amal seperti gotong-royong sambil menemui golongan kurang bernasib baik di samping membantu jika mereka berdepan dengan masalah tertentu.

Menurutnya, Besut merupakan daerah pertama JHEAT menjalankan program tersebut yang akan diikuti daerah lain selepas ini, dengan kerjasama pejabat agama daerah masing-masing.

"Pejabat agama daerah akan menjadi lokasi pertama dilawati diikuti dengan masjid sambil berjumpa dengan pihak pengurusan masjid termasuk imam dan bilal selain menjadi khatib tamu untuk membaca khutbah pada solat Jumaat," jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, JHEAT kini berusaha memperkemaskan pentadbiran dan pengurusan masjid dengan setiap pejabat agama daerah akan memilih sebuah masjid di daerah masing-masing sebagai masjid angkat.

Utusan Malaysia

Masalah Hakisan Melampau di Pantai Teluk Lipat - Bina Benteng Sebelum Tengkujuh

Pantai Teluk Lipat sebelum ini adalah lukisan alam yang pasti memukau setiap pengunjung ke daerah ini. Bagaimanapun, seperti kata pepatah, sekali air bah sekali pasir berubah, musim tengkujuh hujung tahun lalu mengubah rona indah di Dungun.

Pantai Teluk Lipat terhakis teruk, malah pasir memutih yang menaikkan rona indah pantai kawasan ini semakin mengecil dan jika tiada sesuatu dilakukan segera, Jalan Pantai Teluk Lipat juga akan hanya tinggal nama.

Kawasan itu juga ada pelbagai kemudahan seperti institusi pengajian tinggi dan sebuah litar perlumbaan kereta kawalan (RC) bertaraf antarabangsa.

Justeru, melihat kemusnahan berikutan hakisan teruk yang merubah dengan drastik kecantikan Pantai Teluk Lipat, kerajaan negeri terpanggil untuk mengambil langkah proaktif mengeluarkan peruntukan segera untuk membina benteng penahan ombak supaya keindahan pantai peranginan itu dapat dipertahankan.

Peruntukan RM1.5 juta diluluskan untuk membina tiga benteng penahan ombak dan ia perlu disiapkan segera sebelum musim tengkujuh akan datang, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Zaabar Mohd Adib.

Peruntukan segera itu, katanya, diluluskan selepas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam lawatan kerja ke daerah Dungun pada minggu lalu melihat sendiri kemusnahan pantai itu dan mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menyiapkan reka bentuk benteng penahan ombak berkenaan.

“Kita minta supaya JPS segera menyerahkan reka bentuk terbabit supaya kerajaan negeri dapat menyalurkan peruntukan dan seterusnya kerja membina benteng itu akan dapat disegerakan,” katanya ditemui selepas merasmikan program Tenggol Underwater And Island Challenge (TUIC) anjuran Coral Malaysia di Dungun, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Negeri Terengganu, Fathil Abdul Ghani; Presiden Coral; Jamhariah Jaafar dan Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun (MPD); Mat Azmi Arshad.

Zaabar berkata, kerajaan negeri menunggu peruntukan kerajaan Pusat untuk membina benteng pemecah ombak di Pantai Teluk Lipat bernilai RM150 juta sebagai langkah pencegahan hakisan jangka panjang.

Pertimbangan untuk menyegerakan kerja pembinaan benteng penahan ombak juga, kata Zaabar disandarkan kepada faktor kawasan pantai itu akan menerima kehadiran ribuan kaki pancing yang akan menyertai kejohanan memancing Grand Slam GP Joran Grand anjuran akhbar ini pada Oktober depan.

Zaabar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, berkata daerah itu juga menghadapi masalah muara cetek di Kuala Dungun hingga menjejaskan nelayan mencari rezeki.

"Antara penyelesaian yang kita sedang rumus adalah proses mendalamkan muara dan pasirnya dibawa untuk ditambak di Pantai Teluk Lipat,” katanya.

Mengulas mengenai program TUIC, Zaabar yang masih berasa dekat dengan bidang pelancongan yang juga portfolionya sebelum ini, memuji usaha Coral Malaysia kerana selain membantu usaha pemuliharaan marin, ia juga akan mempromosikan Pulau Tenggol pada mata dunia.

Menerusi pertandingan fotografi bawah laut dan daratan, 21 jurugambar kategori dasar laut dan 12 daratan bersaing merakam keindahan pulau itu dan gambar dihasilkan akan dipamerkan pada Pameran Menyelam Antarabangsa Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 1 hingga 3 Julai depan.

Berita Harian

Kerajaan Belanja RM121 Juta Biaya Sistem Perparitan

Entah apa yang diperkatakan oleh ADUN PAS, Wahid Endut kepada Menteri Besar hinggakan Datuk Rosli Mat Hassan yang turut berada pada persidangan DUN semalam.

Kerajaan negeri membelanjakan RM121 juta di bawah projek pembinaan sistem perparitan seluruh negeri dalam tempoh 2005 hingga 2010.

Perbelanjaan berkenaan membabitkan projek pembinaan baru dan penambahbaikan projek asal yang sudah tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Menteri Besar Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Pas-Ladang), pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam.

Tengku Hassan ingin mengetahui rancangan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah perparitan di seluruh negeri terutama di kawasan bandar dan taman-taman perumahan yang sering dinaiki air bila berlaku hujan lebat.

Ahmad Said menjelaskan kerajaan sentiasa membuat kajian dan pemantauan secara menyeluruh di semua kawasan liputan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan membina longkang-longkang yang lebih besar daripada sedia ada berasaskan kajian yang dibuat konsultan yang dilantik.

“Kerajaan juga tidak akan memberi kelulusan di sesetengah kawasan paya atau tangkungan air sebagai kawasan pembangunan ,” katanya.

Oleh itu, kerajaan telah membuat perancangan untuk mengkaji secara mendalam untuk mengatasi sebarang kemungkinan pada musim hujan dan yang bertanggung jawab adalah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui sumber peruntukan kerajaan negeri dan Pusat.

HSNZ Dilengkapi Unit Kardiologi Untuk Pemeriksaan Angiogram

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Dr Abdul Rahman Mokhtar berkata, Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ) di Kuala Terengganu kini dilengkapi dengan Unit Kardiologi yang mampu menjalankan pemeriksaan angiogram.

Katanya dengan kemudahan itu, rakyat negeri itu tidak lagi perlu pergi ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur atau Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, untuk mendapatkan rawatan angiogram.

Dr. A, Rahman berkata pihaknya sedang menunggu kelulusan atau `lampu hijau’ dari Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membenarkan HSNZ melalui Unit Kadiologi (ICL) menjalani pembedahan jantung.

“Buat permulaan, doktor pakar kadiologi bersama beberapa pembantu sudah menerima beberapa pesakit yang ingin mendapatkan rawatan asas sejak dibuka Julai tahun lalu,” katanya pada ucapan pergulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Katanya, kerajaan Terengganu memperuntukkan RM22 juta bagi membuka pusat perubatan pakar harian dikenali sebagai `iHEAL’ bertempat di tingkat tujuh dan lapan Mid Valley, Kuala Lumpur.

“Pusat rawatan yang beroperasi pertengahan tahun lalu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk alat pemeriksaan menggunakan sinaran x-ray `Multi Slice CT Scan’ tercanggih yang mengandungi 640 slice berharga lebih RM8.4 juta.

“Pelbagai kemudahan kepakaran disediakan di pusat rawatan itu meliputi pergigian, jantung , neuro, strok, kanser payu dara, rawatan anti penuaan dan pembedahan plastic serta kolagen,” katanya.

Menurutnya, sebanyak RM22 juta diperuntukkan bagi membangunkan pusat rawatan itu dengan 60 peratus sahamnya dipegang oleh Tabung AmanahTabung Amanah Warisan Negeri Terengganu.

“Pusat pakar di bawah satu bumbung itu dibangunkan bagi kemudahan orang ramai termasuk keperluan rakyat Terengganu sekiranya terdapat kes kritikal yang memerlukan rawatan pakar dan kemudahan di situ.

“Ramai pesakit terutama yang mendapat bantuan di bawah Tabung Kronik sudah mendapat di pusat rawatan itu sejak ia diperkenalkan” katanya.

Bantuan RM2,000 Untuk Setiap Persatuan Belia Tahun Ini

Kerajaan negeri Terengganu akan memberi bantuan berjumlah RM2,000 kepada setiap persatuan belia di negeri ini untuk perbelanjaan pengurusan.

Sehubungan itu, kerajaan negeri berharap dapat menubuhkan 1,000 persatuan belia menjelang akhir tahun ini.

Ia bertujuan menggalakkan golongan belia aktif berpersatuan sekaligus mengurangkan gejala sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat, berkata kerajaan negeri memandang serius gelaja sosial di kalangan remaja di negeri itu dan penubuhan persatuan belia dapat membantu mengatasi masalah itu.

Dalam usaha menghidupkan semula persatuan belia, Rozi (BN-Telemong) berkata Beliau berkata demikian dalam sesi pergulungan persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Pusat Latihan ICT Ganti Pusat Animasi

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam diberitahu bahawa Pusat Latihan dan Pengeluaran Produk Animasi di Pusat Niaga Paya Keladi, Kuala Terengganu telah dijadikan Pusat Latihan ICT negeri di bawah pengendalian Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kursus-kursus komputer untuk kakitangan kerajaan negeri dan Pusat turut diadakan di situ.

“Setakat ini, kerajaan negeri telah membelanjakan RM4.4 juta bagi program berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas-Batu Buruk).

Katanya, tahun lalu kerajaan berjaya melahirkan 1,727 perantis di bawah program animasi termasuk 283 orang yang terakhir mengikuti kursus animator, program e-farm (203) dan program Efik ICT/ECER (80) di mana peranti itu mempunyai kemahiran animasi bertaraf antarabangsa dan mampu berdikari.

Ahmad Razif, konsep yang dilaksanakan ini adalah untuk memberi latihan dan mereka akan dapat peluang pekerjaan sama ada membuka perniagaan sendiri atau bekerja dengan syarikat berkaitan yang kebanyakannya ada di luar Terengganu.

Selain itu katanya, kerajaan negeri telah menyatukan semua pusat-pusat ICT berkenaan iaitu M2Farm, D3D dan Jusper di bawah pengendalian pihak UPMN.

“Sekarang kerajaan tidak memberi fokus sangat dengan konsep animasi ini sebaliknya menumpukan kepada latihan ICT kerana bidang ini sentiasa ada pembaharuan dari semasa ke semasa,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

Kelantan Gagal Pintas Selangor Di Persada Liga

PEMAIN Negeri Sembilan, Mohd Alif Samsudun (kiri) berebut bola dengan pemain Kelantan, Zairul Fitree Ishak dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Kelantan gagal memintas Selangor di persada Liga Super apabila hanya seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan pada perlawanan tunggal liga itu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam semalam.

Keputusan tersebut menyaksikan Kelantan menduduki tangga kedua liga dengan mengumpul 40 mata, kurang dua mata di belakang Selangor.

Terengganu pula kekal di tempat ketiga selepas tewas kepada Johor FC malam kelmarin.

Kelantan memulakan perlawanan dengan agresif dan menguasai babak pertama tetapi jentera serangan yang diterajui penyerang negara Norshahrul Idlan Talaha gagal memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan berjaya mengimbangi gerakan lawan dan sesekali melakukan percubaan ke gawang Kelantan, namun penyudah yang tumpul telah menafikan gol yang dicari.

Kelantan hampir memecah kebuntuan gol pada minit ke-33 menerusi rembatan S. Chanturu namun tidak dikira oleh pengadil perlawanan, Shokri Nor kerana 'offside'.

Negeri Sembilan berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-43 namun tandukan cantik Shukor Adan berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat.

Sementara itu, pada dua perlawanan Liga Perdana, pasukan USM FC melonjak ke tangga kelima liga selepas seri 1-1 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang.

Keputusan itu menyaksikan skuad anak didik S. Veloo sekadar mengutip satu mata dengan mengumpul 28 mata di belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipisahkan dengan kekurangan dua mata.

Di JOHOR BAHRU, Mohd Fitri Omar menjaringkan gol pada minit terakhir perlawanan (min-90) untuk membantu pasukan Kelab MP Muar mengatasi Johor 1-0 di Stadium JCorp, Pasir Gudang.

Kemenangan kelapan tersebut membolehkan MP Muar naik tiga anak tangga untuk berkongsi 27 mata bersama Johor selepas 18 perlawanan.

Harga Gula Naik 20 Sen...

PENIAGA, Azuliya Abd Rahman, 32, menyusun bungkusan gula dan meletakkan notis “harga naik pulok!” di kedainya di Pasar Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Harga gula naik 20 sen sekilo mulai semalam (10 Mei 2011). - Gambar Berita Harian

Club Prix AMM - Zaidy Tekad Teruskan Rentak

Zaidy Mohd. Zaifaizal mahu meneruskan kecemerlangan dalam saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia 2011 setelah menaiki podium kedua musim ini dan berazam mengekalkan rentak pada Pusingan 3 di litar Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu, hujung minggu ini (13 dan 14 Mei 2011),

Juara kelas Wira 2008 itu memulakan kempen kategori CP115 musim ini dengan penuh memberangsangkan, dengan menamatkan perlumbaan pada tempat ketiga pada pusingan pembukaan di Kangar dan muncul juara di Batu Kawan pada pusingan kedua.

Keputusan itu meletakkan Zaidy, pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang selaku pendahulu keseluruhan dengan 41 mata, enam mata mengatasi Shahril Izzuwan Mohd Noor (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM) di tempat kedua.

Rakan sepasukan Zaidy, Mohd Adli Salihin ketiga dengan 31 mata.

Pelumba berusia 20 tahun yang beraksi memasuki tahun ketiga, lega memandangkan segalanya berjalan lancar setakat ini.

“Sejak meninggalkan kategori Bawah-17 pada 2009, prestasi saya dalam kategori Novis (CP115) seperti yo-yo.

“Tahun pertama beraksi dalam kelas Novis, saya berada di tangga keenam keseluruhan dengan hanya sekali meraih podium dan pada musim lalu di tangga kesembilan.

“Hanya pada musim ini saya mula mendapat rentak.

“Prestasi saya lebih baik memandangkan sejak awal musim saya sudah mencipta kejayaan.... saya amat puas hati,” katanya.

Mengulas faktor yang menyumbang kepada kecemerlangannya, Zaidy percaya pengalaman dalam tempoh dua tahun, mematangkan dirinya.

“Sebelum ini saya terlalu menghormati pelumba senior, menyebabkan saya tidak berani mengambil risiko sebaliknya berlumba secara berhati-hati.

“Namun kini saya semakin agresif dan tidak gentar mengambil risiko,’’ katanya.

Tuesday, May 10, 2011

Terengganu Kecundang Kepada Johor FC, T-Team Menang Ke Atas Felda United

Pemain Kedah, Mohd. Azmi Muslim (tengah) dicabar dua pemain Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, semalam.


Segalanya tidak menjadi. Kelmarin laporan menyebut, ada segala kemungkinan Terengganu mampu memintas Kelantan selaku pendahulu baru Liga Super buat julung kali musim ini andai berjaya menewaskan Johor FC di halaman lawan, malam semalam.

Tambahan, anak didik Irfan Bakti juga amat mengharapkan agar Selangor turut pulang dari Alor Star tanpa mata penuh apabila menentang Kedah. Ini juga tidak menjadi kenyataan!

Apa yang berlaku ialah, pasukan Johor FC tidak mensia-siakan peluang bermain di tempat sendiri apabila menang tipis 2-1 ke atas Terengganu.

Dua gol pasukan tuan rumah masing-masing dijaringkan oleh Mohd Khairul Ismail seawal minit ke-14 dan Mohd Izuan Jarudin menyumbat gol kedua selang tiga minit kemudian, manakala gol saguhati Terengganu dijaringkan oleh Ismail Faruqi Ashari (min-52).

Harapan Irfan juga kecundang apabila Selangor berjaya merampas kedudukan teratas Liga Super daripada pasukan Kelantan, selepas ia menewaskan Kedah 2-0 pada pertemuan di Stadium Darul Aman, Alor Setar isnin malam.

Pasukan Red Giants itu hanya bangkit pada babak kedua untuk mencari gol kemenangan menerusi Mohd Fadzil Saari pada minit ke-59 dan Rudie Ramli pada minit ke-87.

Kejayaan Selangor di bawah bimbingan jurulatih K.Devan itu membolehkan pasukan tersebut kini mengumpul 42 mata, tiga mata di hadapan pencabar terdekat Kelantan, yang sebelum ini mengungguli liga berdasarkan kelebihan gol.

Bagaimanapun sehingga ini Selangor sudah mengharungi 19 perlawanan berbanding Kelantan 18.

Bagaimanapun, selepas kalah minggu lalu pasukan kelab dari Terengganu T-Team berjaya mengutip mata penuh dalam usaha menewaskan Felda United 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Dua jaringan tuan rumah masing-masing dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin seawal minit ke-2 dan Muhd Badrul Hisani Abd Rahman (min-86).

Di CHERAS, pertemuan dua pasukan tercorot liga menyaksikan pasukan Kuala Lumpur membenam cabaran Perlis 3-0 untuk kemenangan keempat buat Kuala Lumpur setakat ini.

Di SHAH ALAM, Harimau Muda A gagal mempamerkan aksi yang menarik apabila sekadar terikat seri 1-1 dengan Perak di Stadium Shah Alam.

Gol pembuka tirai Harimau Muda A hadir pada babak akhir separuh masa pertama yang dijaringkan oleh Gary Steven Robbat pada minit ke-45 sebelum Wan Hossen Wan Abd Ghani membuat gol penyamaan Perak sejurus babak kedua berlangsung (min-46).

Di JOHOR BAHRU, Di KOTA KINABALU, Sabah memperoleh kemenangan keempatnya dalam saingan liga apabila jaringan Shahrul Azhar Ture dan Zainizam Marjan masing-masing pada minit ke-36 dan 71 sudah cukup membantu Sabah meraikan kemenangan di tempat sendiri untuk menumpaskan Pahang 2-0 pada aksi di Stadium Likas.

Sementara itu, pada perlawanan Liga Perdana, peluang Sarawak merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Selangor PKNS, kembali terbuka apabila menang selesa 3-0 ke atas pasukan kedua tercorot liga, SDM Navy di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Keputusan itu menyaksikan skuad anak didik Mohamad Zaki Ahmad mengutip tiga mata penuh untuk mengumpul 36 mata untuk berada di tangga kedua liga dengan 11 kemenangan setakat ini di belakang pendahulu liga yang berkelebihan enam mata.

Tiga gol pasukan Bujang Senang masing-masing dijaringkan oleh Bobby Gonzales pada minit ke-57, Mohd Dzulazlan Ibrahim (min-75) dan Khairul Azahar Eidrus (min-87).

Di Selayang, Sime Darby mengukuhkan kedudukan untuk berada di tangga ketiga liga malam ini apabila menewaskan pasukan tercorot liga, Pulau Pinang 3-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung di Lembah Klang menyaksikan Pos Malaysia berjaya menjinakkan Harimau Muda dengan keputusan tipis 1-0 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Rumah Baru - Terima Kasih YB Tepoh

Kerajaan negeri akan memastikan lapan sekeluarga yang hilang tempat tinggal akibat kebakaran di Kampung Pengkalan Maras, Tepoh, petang kelmarin dapat mendiami rumah baru selewat-lewatnya tiga bulan dari sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh, berkata pihaknya akan membantu dengan kadar segera bagi menyelesaikan segala urusan berkaitan membangunkan rumah baru di tapak asal rumah yang musnah dalam kebakaran itu.

Katanya, peruntukan kira-kira RM33,000 menerusi Tabung Darul Iman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan digunakan untuk membina rumah berkenaan untuk mangsa sekeluarga yang kini menumpang di rumah ibunya yang terletak berhampiran tempat kejadian itu.

“Selain bantuan rumah yang akan kita usahakan dengan secepat mungkin kepada lapan beranak ini yang diselaraskan JKM melalui Pejabat Daerah (Kuala Terengganu), kita juga membawa wakil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk melihat bantuan yang sewajarnya dari aspek kewangan bagi membeli keperluan dan barangan dalaman untuk keluarga ini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di Pengkalan Maras, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang kelmarin, seorang pembantu Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) hanya mampu berputih mata apabila rumah dan harta bendanya musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Maras.

Rumah yang didiami mangsa, Zaidi ismail, 47, bersama isteri, Rohani Omar,41, bersama enam anak berusia empat hingga 19 tahun sejak 14 tahun lalu, dipercayai terbakar akibat litar pintas yang bermula dari bilik anak sulung pasangan itu, Hidayatul Solehah, 19.

Empat jentera bomba bergegas ke tempat kejadian selepas dihubungi jiran mangsa kira-kira sepuluh minit kemudian dan api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah bersebelahan yang terletak hanya beberapa meter daripada rumah mangsa.

Kerugian akibat kemusnahan rumah dan harta benda dalam kebakaran itu dianggarkan bernilai RM150,000.

Sementara itu, Zaidi bersyukur dengan keprihatinan kerajaan negeri termasuk pemimpin kawasan yang segera tampil dan turun padang membantu meringankan bebanan yang sedang dihadapi mereka sekeluarga akibat kejadian malang itu.

“Terima kasih kepada Yang Berhormat yang sudi membantu kami sekeluarga. Saya berharap sangat dapat tinggal di rumah sendiri melalui bantuan kerajaan negeri dengan kadar segera. Walaupun rumah saya musnah, saya bersyukur sebab keluarga saya terselamat,” katanya.

Golden Pharos Teroka Bidang Pemprosesan Sabut Sawit

Syarikat pelaburan milik kerajaan negeri Terengganu, Golden Pharos Berhad (GPB) akan meneroka bidang baru, memproses sabut daripada kelapa sawit untuk dieksport ke China sebagai bahan untuk dijadikan tilam.

Pengerusi GPB Datuk Zubir Embong berkata, syarikat merancang untuk mendapatkan kerjasama daripada sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman dalam bidang berkenaan bagi pengeluaran sabut kelapa sawit itu.

"Di Terengganu terdapat beribu-ribu ekar ladang sawit dan sudah tentu mempunyai sabut yang banyak yang mampu diproses untuk dieksport di mana negara China memerlukan bahan berkenaan dalam kadar yang tinggi," katanya kepada Bernama di di Kuala Terengganu, semalam.

Zubir berkata GPB juga akan menghidupkan semula Kilang Permint Plywood yang sudah ditutup sejak lima tahun lepas dan menggunakan sebahagian kilang itu untuk memproses sabut sawit berkenaan dan mengambil semula pekerja yang diberhentikan dulu.

Beliau berkata buat permulaan antara 30 dan 35 orang bekas pekerja kilang itu akan diambil bekerja dan apabila kilang menambah pengeluaran, pengambilan pekerja akan dibuka kepada penduduk tempatan.

Zubir berkata, bidang baru itu kini masih lagi dalam tempoh percubaan dan setelah berjalan dengan baik kelak, GPB juga berhasrat mengumpul sabut daripada kelapa biasa.

"Di sini kita mahu dapat kerjasama daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau orang perseorangan mendapatkan sabut kelapa untuk dijual kepada GPB untuk diproses bagi tujuan eksport ke China," katanya.

Zubir berkata, kegiatan utama GPB adalah pengurusan konsesi hutan dalam bidang pembalakan di mana mengendalikan kira-kira 88,000 hektar kawasan balak yang diberikan kerajaan Terengganu.

Beliau berkata, kawasan berkenaan dikendalikan oleh Kumpulan Pengurusan Kayu-Kayan Terengganu iaitu anak syarikat Golden Pharos.

Katanya, balak-balak berkenaan akan diproses sendiri di dua kilang GPB iaitu Pesaka Timber Terengganu Berhad di Bukit Besi dan Pesama Timber Berhad di Kemaman.

Sebanyak 59.4 peratus saham GPB dipegang oleh Terengganu Incorporated Sdn Bhd, menjalankan kegiatan pembalakan, pengilangan papan dan barangan berasaskan kayu, pengilang dan turut menjual panel kaca seni binaan serta pintu kayu.

SUKANUN Jana Ekonomi, Pelancongan Terengganu - MB

Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun (Sukanun) yang diadakan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak Ahad hingga 14 Mei mampu memberi kesan kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, ini kerana kejohanan yang melibatkan kira-kira 6,000 atlet itu bukan sahaja mencungkil bakat sukan penjawat awam tetapi juga menjana pendapatan ekonomi peniaga tempatan dalam bentuk pelancongan sukan.

"Kita dapati perniagaan peniaga tempatan di sekitar kawasan kejohanan serta Pasar Kedai Payang (Kuala Terengganu), dipenuhi atlet dan pegawai yang datang untuk kejohanan sukan dwitahunan itu.

"Sukan ini menjurus satu bentuk pelancongan sukan, yang boleh menjana pendapatan kepada peniaga dan penduduk tempatan," katanya ketika merasmikan Sukanun di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT di Kuala Terengganu, malam semalam.

Kejohanan selama seminggu itu melibatkan atlet daripada 70 agensi badan berkanun dari seluruh Malaysia yang menyertai 17 acara sukan.





Katanya, langkah kerajaan negeri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) menganjurkan pelbagai kejohanan nyata menggembirakan peniaga berikutan mendapat keuntungan berganda.



Katanya, kebanyakan peserta program akan mencari pelbagai produk dan makanan tradisional Terengganu seperti keropok lekor, batik dan kain sutera untuk di bawa pulang ke tempat asal masing-masing.

“Apabila situasi ini berlaku, kita menolak andaian segelintir pihak yang menyatakan merugikan duit rakyat dan membazir,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sukanun di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu malam tadi (9 Mei).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Tetamu kehormat lain, Yang Dipertua Persatuan Badan Berkanun Malaysia, Prof Dato’ Dr Mohamed Mustafa Ishak dan Naib Canselor UMT merangkap Penasihat Kejohanan, Prof Dr Aziz Deraman.

Seramai 6,000 atlit dan 300 pegawai terlibat dalam 17 acara yang dipertandingan termasuk memancing, tenis, boling padang, tenpin boling, badminton, bola tampar pantai, bola jaring, karom, pencarian harta karun, futsal, ping pong dart tarik tali, perbarisan, bola sepak, sepak takraw dan golf.

Ahmad Said berkata, melalui sukan ini sudah tentu dapat melahirkan lebih ramai atlit yang berbakat dan berdisplin di samping dapat membudayakan sukan sebagai aktiviti yang sihat.

Katanya, melaluinya juga, sikap kerjasama dan bermuafakat antara kakitangan atasan dan bawahan dapat diwujudkan.

“Penganjuran kejohanan yang kedua terbesar selepas Sukan Malaysia (Sukma) wajar diterusnya kerana memberi pelbagai kebaikan dan manfaat,” katanya.

Bernama/Unit Komunikasi Negeri