Saturday, April 20, 2013

PRU13 - Semua Calon Sudah Sedia Di Garisan Permulaan, Banyak Pertembungan Pelbagai Penjuru

Najib (dua dari kanan) mengaminkan bacaan doa selepas solat hajat di Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan malam tadi.
Semua parti politik sudah bersedia di garisan permulaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan tekanan semakin dirasai memandangkan tarikh pengundian, 5 Mei ini, semakin hampir.

Tindakan melobi keterlaluan menyaksikan pertukaran senarai calon di saat akhir bukan sahaja oleh Barisan Nasional (BN) tetapi juga kem pembangkang yang telah menimbulkan ketegangan, terutama antara DAP dan PKR.

Calon yang bertanding atas tiket Bebas mungkin bilangannya lebih ramai kali ini selepas nama mereka tidak disenaraikan dan PRU13 bakal menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah meminta semua pihak bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar dan aman bagi 222 kawasan Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Di TERENGGANU, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, akan mengetuai perarakan ke pusat enamaan calon bagi Parlimen Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu itu akan menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada PRU13 di mana beliau merupakan penyandang kerusi tersebut.

BN mengekalkan penyandang kerusi DUN Kemasik (Ir Rosli Othman) dan Air Puteh (Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar) untuk bertanding di kerusi tersebut manakala Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid dicalonkan di DUN Cukai.


Menteri Belia dan Sukan, Datuk  Seri Ahmad Shabery Cheek dinamakan sebagai calon Parlimen Kemaman (penyandang kerusi berkenaan).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka lapan Pusat Penamaan Calon di Terengganu pada hari penamaan calon pilihan raya ini.

Pusat berkenaan ialah Pejabat Daerah Besut bagi Parlimen Besut; Pejabat Daerah Setiu (Setiu); Majlis Sukan Negeri Terengganu (Kuala Nerus); Pejabat Daerah Marang (Marang) dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu (Hulu Terengganu).

Pusat lain ialah Pejabat Daerah Dungun bagi Parlimen Dungun, Stadium Negeri Kuala Terengganu (Kuala Terengganu) dan Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (Kemaman).
Menjelang penamaan calon, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengetuai BN pada pilihan raya untuk pertama kali sebagai Perdana Menteri dengan manifesto 'Rakyat Didahulukan' kembali ke kawasan Parlimen Pekan dan menyertai penduduk tempatan untuk menunaikan solat Maghrib dan hajat di Masjid Sultan Abu Bakar.


Beliau akan menyerahkan kertas pencalonan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah Sabtu pagi. Najib berharap mendapat mandat yang besar daripada rakyat untuk meneruskan agenda transformasi kerajaan untuk membina masa depan yang lebih cerah untuk semua rakyat Malaysia yang beliau mulakan empat tahun lepas selepas mengambil alih daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebagaimana sebelum ini, BN menampilkan calon bagi semua kerusi yang dipertaruhkan. Pada PRU 2008, BN memperoleh tujuh kerusi Parlimen dan dua DUN tanpa bertanding pada hari penamaan calon manakala pembangkang PAS mendapat satu kerusi DUN.


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berada di Johor menyeru penyandang yang tidak disenaraikan supaya menghormati keputusan kepimpinan BN.

"Kita telah memutuskan calon. Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah merapatkan barisan dan membantu calon untuk menang," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah Sungai Terap, di Muar.

Muhyiddin mengingatkan parti pembangkang agar tidak memutar belit fakta dan mengaitkan Umno dengan sebarang keputusan yang dibuat Pendaftaran Pertubuhan (ROS), yang merujuk kepada siasatan dakwaan penyelewengan ketika pemilihan parti berikutan aduan daripada beberapa anggota DAP.

ROS menyatakan pendaftaran DAP tidak terbatal dan parti itu masih boleh menggunakan simbolnya pada PRU13


Berlaku kekeliruan berhubung logo yang akan digunakan DAP selepas pengerusinya Karpal Singh berkata parti itu akan bertanding di bawah logo PAS di Semenanjung Malaysia dan menggunakan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah dan Sarawak.


Penasihat parti itu, Lim Kit Siang berkata di Johor, bahawa parti itu mungkin akan menggunakan pendekatan itu manakala setiausaha agung parti Lim Guan Eng memberitahu media di Pulau Pinang bahawa calon mereka akan membawa dua surat watikah, satu daripada DAP dan satu lagi daripada parti alternatif untuk penamaan calon.

DAP yang akan bertanding di 53 kerusi Parlimen dan 103 kerusi DUN, terus berdepan dengan tentangan di Kedah berhubung pilihan calonnya bagi DUN Derga dan Kota Darul Aman.

Di IPOH, kira-kira 60 penyokong DAP mengadakan bantahan di depan Pejabat DAP negeri ekoran tidak berpuas hati apabila penyandang kerusi DUN Jalong Leong Mee Meng digugurkan daripada senarai calon parti.

Dalam apa yang dilihat sebagai serangan terlebih dahulu, PKR mewajibkan calonnya membayar ganti rugi RM5 juta kepada parti itu jika mereka belot selepas menerima watikah calon untuk bertanding sama ada bagi kerusi DUN atau Parlimen, kata Timbalan Setiausaha Agung PKR Steven Choong.

Di JOHOR, yang bakal menyaksikan pertandingan sengit antara Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman dan Kit Siang bagi kerusi Parlimen Gelang Patah akan mengesahkan pertandingan mereka di Dewan Serbaguna Skudai, iaitu venue yang sama bagi keputusan siapakah pemenangnya.

Di KEDAH, Datuk Mukhriz Tun Mahathir, yang bertanding di kerusi DUN untuk pertama kalinya, akan ke Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu untuk mengesahkan pencalonan beliau bagi kerusi Ayer Hitam di bawah kawasan Parlimen Jerlun yang beliau menangi semasa penyertaan sulung beliau pada pilihan raya 2008.

Tumpuan terhadap Mukhriz, yang juga satu-satunya anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengikut jejak langkah beliau dalam arena politik dan beliau dilihat sebagai bakal menteri besar Kedah setelah BN berusaha mendapat kembali negeri itu yang jatuh ke tangan pembangkang buat pertama kalinya pada 2008.

Di KELANTAN, Datuk Seri Mustapa Mohamed, seorang daripada dua calon BN yang akan bertanding untuk dua kerusi pada pilihan raya ini, akan menyerahkan borang pencalonan beliau di Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli bagi mempertahankan kerusi Parlimen Jeli dan beliau kembali bertanding DUN Air Lanas yang dimenanginya sebelum ini pada 2004.


Veteran Kelantan Tengku Razaleigh Hamzah, yang dinamakan calon untuk mempertahankan kubu kuatnya Gua Musang, telah menolak spekulasi bahawa beliau akan keluar Umno dan menyertai pembangkang pada PRU.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah menyimpan hasrat untuk menyertai PAS dan akan tetap bersama Umno dan BN sepanjang masa kerana parti itu sudah sebati dalam hidup saya," katanya ketika berucap pada Majlis Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Wangi di Gua Musang.

Sumber - Bernama & Tenganukita

Calon PKR Perlu Bayar Ganti Rugi RM5 Juta Jika Belot


Dalam apa yang dilihat sebagai serangan terlebih dahulu, PKR mewajibkan calonnya pada pilihan raya umum ke-13 untuk membayar ganti rugi RM5 juta kepada parti itu jika mereka belot selepas menerima watikah calon untuk bertanding sama ada bagi kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.

Parti itu turut menghendaki calon menandatangani ikrar dengan berjanji untuk tidak belot daripada parti sebaik sahaja mereka menerima watikah calon atau selepas dipilih menjadi wakil rakyat.

"Selepas menerima watikah calon, jika ada calon menarik diri sebelum hari penamaan calon atau melompat parti, mereka perlu membayar ganti rugi RM5 juta kepada parti," kata Timbalan Setiausaha Agung PKR Steven Choong.

Muhyiddin - DAP Cuba 'Main Wang' Isu Lambang Roket, Tarik Simpati

Muhyiddin (enam dari kanan) bergambar bersama 18 wakil sekolah SJKC yang menerima cek bantuan pada Majlis Perjumpaan Dengan Guru-guru dan SJKC Parlimen Pagoh di SJKC Ai Hwa, Panchor, Muar semalam.
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan DAP supaya tidak memanipulasikan isu lambang roket kerana calon-calon parti itu sudah pun dibenarkan untuk menggunakannya bagi mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang percubaan untuk memainkan isu tersebut dalam kempen adalah semata-mata bertujuan meraih undi dan simpati sedangkan masalah itu sudah diselesaikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"SPR telah memutuskan DAP boleh terus menggunakan simbol roket. Jadi, kita harap pemimpin DAP tidak memutarbelitkan (fakta) atau menunjukkan rasa kasihan dan teraniaya.

Kemenangan BN Pemangkin Kuala Nerus Sebagai Daerah Baru


Usaha untuk menjadikan Kuala Nerus sebagai daerah baru di Terengganu akan tercapai sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi kawasan Parlimen itu, 5 Mei nanti.

Calon BN Kuala Nerus Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata sekiranya BN diberikan mandat, pihaknya berjanji Kuala Nerus akan diisytihar sebagai dearah untuk memenuhi impian semua penduduk di kawasan itu.

"Sejak BN menggambil alih pemerintahan daripada Pas pada 2004, banyak pembangunan dan transformasi telah dilakukan di situ contohnya kawasan Perindustrian Gong Badak, ia menampakkan usaha serta janji kerajaan BN dapat dilaksanakan dan bukannya janji kosong," katanya semalam.

Bantuan, Insentif Kepada Orang Ramai Bukan Rasuah

Pemberian bantuan dan beberapa insentif perkhidmatan awam kepada penjawat awam mahu pun orang ramai, bukanlah satu kesalahan rasuah, kerana keputusan mengenai pemberian itu diluluskan kerajaan pusat sebelum Dewan Rakyat dibubarkan awal bulan ini.

Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata ia bermakna peruntukan untuk pemberian itu sudahpun "dibelanjawankan", cuma masa pengumumannya dibuat selepas Dewan Rakyat dibubarkan.

Beliau berkata pelancaran manifesto dan janji oleh semua parti politik ketika berkempen tidak boleh dianggap sebagai membeli undi, dan menurutnya semua janji serta manifesto secara menyeluruh yang terpakai oleh semua orang bukanlah satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya.

Calon BN Diminta Hadir Awal Ke Pusat Penamaan Calon


Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dinasihatkan supaya datang awal ke pusat penamaan calon esok serta mengisi semua borang dengan lengkap.

Ketua Penerangan dan Publisiti BN Datuk Ahmad Maslan berkata penyokong yang hadir memberi sokongan kepada calon juga perlu memberikan kerjasama bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon itu.

Friday, April 19, 2013

PKR Terengganu Bertanding 6 Kerusi Dun, 1 Parlimen

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menurunkan enam calon di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seorang calon Parlimen di Terengganu.

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata Mohd Shamsul Mat Amin akan diletak bertanding di Dun Bukit Besi, Wan Mokhtar Wan Ibrahim (DUN Permaisuri), Azan Ismail (DUN Bandar), Dr Mohamed Abdul Ghani Ibrahim (DUN Kota Putera), Ahmad Nazri Mohd Yusof (DUN Seberang Takir), Narawi Embong (DUN Telemong) serta seorang calon Parlimen Kamaruddin Chik (Kemaman).

Isu Video Seks - Polis Terengganu Terima Laporan

Polis Terengganu mengesahkan menerima satu laporan berhubung penyebaran video seks yang dikatakan mirip seorang pemimpin kanan parti pembangkang baru-baru ini.

Laporan berkenaan dibuat pada 11.20 pagi ini oleh seorang penduduk kampung berusia 46 tahun dari Paka di Balai Polis Dungun yang meminta polis mengambil tindakan dan menjalankan siasatan.

Buruh DiArah Ke Hospital Permai Jalani Rawatan

Kaswadi diarahkan menjalani rawatan psikiatri di Hospital Permai Tampoi, Johor Bahru oleh Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu,  semalam.
Seorang buruh yang berdepan dakwaan mengugut isterinya dengan mengejar mangsa sambil membawa parang diarahkan dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan psikiatri oleh Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu,  semalam.

Terdahulu, Kaswadi Mamat, 40, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan melakukan ugutan jenayah dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Keputusan Penamaan Calon Dijangka Diketahui 12 Tengah Hari, Sabtu

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan penamaan calon termasuk sama ada terdapat pertandingan atau tidak bagi mana-mana kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat diketahui menjelang 12 tengah hari, esok.

SPR yang akan mengadakan sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat SPR di Putrajaya akan turut mengeluarkan statistik termasuk jumlah calon dan parti yang bertanding, calon bebas, jumlah calon wanita dan lelaki, calon termuda dan calon tertua.

PKR Semakin Kantoi Di Terengganu, PAS Tambah Lagi 1 Kerusi Parlimen, 2 DUN

 

Daripada hambali1.blogspot.com

PAS enggan melayan tuntutan daripada pemimpin tempatan mereka sendiri di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PAS Terengganu juga tidak melayan tuntutan PKR untuk bertanding di DUN Seberang Takir apabila ia menamakan calonnya yang pernah kalah, Zakaria Dagang. Ini bermakna, nafsu besar PKR untuk bertanding sekurang-kurangnya lapan kerusi DUN dan dua Parlimen tidak kesampaian.

Kali ini PKR hanya bertanding satu kerusi Parlimen iaitu di Kemaman dan empat kerusi DUN. PAS pula bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan 28 bagi DUN.

Terengganu mempunyai 32 Dun dan lapan kerusi Parlimen, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini di mana sehingga Dewan Undangan Negeri dibubar, PAS memiliki satu kerusi Parlimen dan enam kerusi DUN.

PAS hanya memenuhi tuntutan PKR untuk kerusi DUN Telemong, Permaisuri , DUN Bandar dan DUN Bukit Besi.

Bagi DUN Bandar ia akan diwakili Azan Ismail (gambar kanan)  N6: Permaisuri - Wan Mokhtar Wan Ibrahim (PKR) (muka baru) N11: N21: Telemong - Narawi Embong (PKR) (muka baru).

Sementara di Bukit Besi (N25) pertandingan akan berlaku tiga penjuru apabila PAS turut menamakan calonnya muka baru Bukit Besi, iaitu Roslan Ismail selain Mohd Shamsul Mat Amin dari PKR.

pakah ini bermakna PAS restui pertandingan tiga penjuru?

Atau apakah formula perdamaian di DUN Bukit Besi tidak mampu dicapai lagi?

Sebelum itu, tiga pemimpin PAS peringkat DUN Bukit Besi, DUN Bandar dan DUN Seberang Takir mengadakan satu sidang media, menyatakan hasrat mereka supaya calon-calon PAS dibenarkan untuk bertanding berdasarkan prestasi PAS yang lebih menonjol di DUN-DUN berkenaan.

Kelmarin, perselisihan pembahagian kerusi antara PAS dan PKR begitu ketara di negeri ini dengan tindakan tiga wakil PAS itu mendesak PAS Pusat dan Perhubungan PAS Negeri meletakkan calon PAS di kerusi DUN Bandar, Seberang Takir dan Bukit Besi.

Bantahan terhadap calon PKR di tiga-tiga kerusi itu dibuat oleh Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Bandar, Ahmad Shah Muhamed; Bendahari MTD Seberang Takir, Mohd Nordin Mahmood dan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Dungun, Naraza Muda yang turut mewakili suara di peringkat DUN masing-masing.

Bagi wakil DUN Bandar dan Seberang Takir, kedua-duanya berkeras dengan pendirian untuk menolak calon PKR kerana mendakwa potensi kemenangan lebih besar dengan meletakkan calon PAS, manakala wakil Bukit Besi, Naraza berlembut sedikit untuk menerima calon PKR sekiranya yang diturunkan itu diterima rakyat dan bukannya calon ‘bidan terjun’.

“Kami yang mewakili PAS DUN Bukit Besi, Seberang Takir dan Bandar mendesak supaya PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu membenarkan calon PAS bertanding, “ kata mereka.

Yang nyata bantahan itu tidak ke mana-mana kerana PKR akan tetap bertanding di DUN Bandar dan Bukit Besi, walaupun DUN Seberang Takir mungkin akan terus menimbulkan pertikaian.

Pada 15 Februari lalu PKR Terengganu berkata mereka bertanding di lapan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang berbanding tujuh kerusi pada pilihan raya sebelumnya.

Pertambahan satu kerusi itu dikatakan berlaku di peringkat DUN apabila lima kerusi yang dipertandingkan sebelum ini bertambah kepada enam kerusi, manakala Parlimen masih dikekalkan kepada dua kerusi.


Ketua Penerangan PKR Terengganu, Azlan Che Mat turut mendedahkan melalui sumber yang boleh dipercayai, bahawa pertambahan kerusi terbabit melibatkan DUN Bukit Besi.

Manakala di peringkat Parlimen, kata Azlan, PKR mungkin diberikan kerusi Parlimen Dungun dan Kuala Nerus. Pada PRU 2008, calon PKR di Terengganu bertanding dua kerusi Parlimen iaitu di Dungun dan Kemaman serta lima kerusi DUN iaitu Bandar, Seberang Takir, Telemong, Permaisuri dan Kota Putera, namun kesemua calon parti itu tewas di tangan calon Barisan Nasional.

Walaupun PAS Terengganu pada Rabu (17 April 2013) mengatakan akan menilai permintaan dari beberapa DUN yang mendesak supaya dibenarkan calon-calon PAS bertanding dalam di DUN terbabit pada pilihanaya umum kali ke-13 (PRU-13), ia bagaikan di muktamad oleh Hadi semalam..

Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS negeri Terengganu Ariffin Deraman (gambar atas), berkata kelmarin pertikaian akan dibawa kembali ke meja perundingan dengan pihak PKR bagi memastikan tidak berlaku tidak berlaku sebarang pertindihan.

Beliau yakin, isu tersebut akan dapat diselesikan tanpa sebarang 'perbalahan' kerana menurutnya perkara tersebut boleh diselesaikan.

Katanya lagi, PAS Terengganu telah membuat keputusan dan menyerahkan perkara berhubung dengan pembahagian kerusi kepada pihak pusat dan calon-calon bagi krusi parlimen telah pun diselesaikan.

Kita akan ketahui kesan awal pertelingakahan ini esok apabila penamaaan calon ditutup dan di mana PAS serta PKR bertanding.

Apakah akan muncul calon Bebas dan pertanding sesame sendiri di kalangan mereka akibat tidak berpuas hati?

PAS Dakwa 40 Peratus Calonnya 'Segar', Bertembung BN, PKR di Bukit Besi


Pas mengumumkan tujuh calon untuk bertanding di kerusi Parlimen dan 28 bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan selebihnya di Terengganu, yang mempunyai 32 Dun dan lapan kerusi Parlimen, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun, pada pengumuman itu, bagi kerusi N25 - Bukit Besi ada dua calon diumumkan iaitu Roslan Ismail (Pas) dan  Mohd Shamsul Mat Amin.

Pengumuman itu dibuat Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Ruslia malam tadi, turut mengekalkan enam penyandang termasuk beliau sendiri di Parlimen Marang dan Dun Ru Rendang, selain menampilkan 17 muka baru.

BN Terengganu Pastikan Proses Penamaan Calon Berjalan Lancar


Dua hari menjelang penamaan calon esok, semua calon Barisan Nasional (BN) untuk lapan kawasan parlimen dan 32 dewan undangan negeri (DUN) di Terengganu mengisi set borang pencalonan masing-masing, semalam.

Setiausaha BN negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata tanggungjawab fasa pertama itu penting buat calon yang bertanding bagi memastikan proses penamaan calon Sabtu ini berjalan lancar tanpa masalah teknikal.

Che Mat Jusoh - 'Saya Boleh Imbang Antara Bola Dan Politik'


Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh berkata beliau tidak menghadapi masalah untuk mengimbangi masa antara aktiviti bola sepak dan politik.

Tambahan pula kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dun Batu Buruk itu, gandingan politik dan sukan bukan perkara luar biasa.

"Bagi saya tidak akan timbul masalah," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Bersatu Hati, Berpadu Tenaga Tebus Kekalahan Di Parlimen, DUN Kuala Terengganu


Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyeru semua jentera parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Kuala Terengganu bersatu hati, berpadu tenaga dan membuang rasa amarah supaya dapat menebus kembali kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu.

“Rezeki (dicalonkan) ini ditentukan oleh Allah s.w.t,. Mungkin hari ini adalah rezeki mereka yang berdiri di hadapan tuan-puan ini untuk menjadi calon. Mungkin juga esok giliran tuan-puan di hadapan saya pula untuk berdiri di sini.

157 Petugas PTAD Bakal Nikmati Kenaikan Gred 18

Seramai 157 pegawai tadbir agama daerah (PTAD) bakal menikmati kenaikan gred setelah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju memperkukuh dan menambah baik gred perjawatan PTAD di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata proses menaik taraf gred itu akan melibatkan dua model yang dibahagi berdasarkan beberapa kriteria.

Perkongsian Bersejarah BN, Hindraf - Pelan 5 Tahun 4 Perkara

 Najib menyaksikan perjanjian persefahaman antara Barisan Nasional yang diwakili oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan Badan Bukan Kerajaan India (Hindraf) yang diwakili oleh Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy (kiri) di Kuala Lumpur semalam.
Kumpulan pendesak kaum India, Hindraf pada Khamis menjalin satu perkongsian bersejarah dengan Barisan Nasional (BN) terhadap membantu gabungan itu untuk memenangi majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

Susulan ikatan itu, Pengerusi Hindraf P.Waythamoorthy meminta masyarakat kaum India memberi sokongan penuh kepada BN pada pilihan raya umum nanti.

Laporan Risikan Dakwa Pakatan Menang PRU-13, Kenyataan Mengarut - Khalid


Polis menafikan dakwaan kononnya wujud laporan risikan Bukit Aman bahawa pakatan pembangkang akan memenangi pilihan raya umum ke-13 dengan memperoleh 145 kerusi Parlimen berbanding 77 untuk Barisan Nasional.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali.

Lebih 800,000 Dapat Kad Diskaun 1Malaysia Untuk Potongan 5-50 Peratus

Najib dan Shahrizat melambai tangan kepada ibu-ibu tunggal yang hadir pada majlis pelancaran dan perhimpunan Juwita di Kuala Lumpur semalam.
Lebih 800,000 ibu tunggal di seluruh negara akan menerima kad diskaun 1Malaysia yang menawarkan potongan lima hingga 50 peratus bagi pelbagai barangan dan perkhidmatan terpilih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, kad diskaun tersebut dikeluarkan kepada ibu tunggal yang berdaftar di bawah Persatuan Ibu Tunggal Malaysia.

“Ibu tunggal yang menerima kad diskaun itu boleh membeli barangan dan perkhidmatan dengan tawaran diskaun antara lima hingga 50 peratus di kedai-kedai terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran dan perhimpunan Jaringan Untuk Wanita Ibu Tunggal Malaysia (Juwita) - Wanita Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur semalam.

Seramai 13,000 ibu tunggal pelbagai kaum hadir pada majlis anjuran Wanita BN itu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Najib turut menimbangkan pemberian skim insurans berkelompok ibu tunggal dengan bayaran premium RM12 sebulan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

“Selaku kerajaan sementara saya tidak boleh buat keputusan tetapi jika menang dalam pilihan raya (PRU-13), kita akan melaksanakannya,” kata beliau.

Skim insurans itu akan menawarkan sumbangan sebanyak RM5,000 untuk kematian, RM5,000 untuk khairat kematian, RM10,000 untuk kematian akibat kemalangan dan RM10,000 untuk kurang upaya akibat kemalangan.

Pada majlis itu, Juwita yang merupakan sebuah Sekretariat di bawah Wanita BN turut dilancarkan bertujuan memperjuangkan nasib golongan ibu tunggal.

Najib juga berkata, bagi ibu tunggal yang memerlukan khidmat guaman, kerajaan boleh menyediakan bantuan percuma kepada golongan itu melalui Yayasan Bantuan Guaman Malaysia.

Katanya, daripada seramai 831,890 orang ibu tunggal, Selangor mencatatkan jumlah paling ramai iaitu 125,367 orang.

Kosmo!

Papa Gomo Lancar Mani Festo Buku Jing-Gay


Pengendali blog Papa Gomo yang berhasrat untuk menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) menggariskan 41 perkara di dalam manifestonya.

Antaranya termasuklah tidak akan meletakkan Islam setaraf dengan agama lain dan menentang amalan seks bebas.

Menerusi manifesto yang diberi nama Mani Festo Buku Jing-Gay Papa Gomo Vs Papa Homo, beliau secara sinis menegaskan tidak akan mengulangi apa yang didakwa pernah dilakukan oleh Anwar.


10, 336 Rumah Untuk Penjawat Awam di Putrajaya

Orang  ramai tertarik melihat model rumah program PPA1M pada majlis pelancaran dan pecah tanah PPA1M di Putrajaya semalam.
Janji kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan masalah perumahan di sini menerusi program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) ditepati dengan pelancaran fasa pertama 1,512 unit rumah di Putrajaya.

Majlis pelancaran 1,256 unit rumah di Presint 17 dan 256 unit di Presint 11 itu dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Tabung Haji Serah Zakat Perniagaan Lebih RM3.3j kepada MAIDAM

Lembaga Tabung Haji (TH) semalam menyerahkan zakat perniagaan 2012 sebanyak RM3,300,636.83 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Zakat itu disampaikan Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran TH Abdul Halim Md Jamil kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang mewakili MAIDAM di Istana Terengganu di Kuala Lumpur.

5 Mei Cuti Umum Terengganu


Terengganu berkemungkinan akan mengisytiharkan hari mengundi pada 5 Mei ini sebagai cuti umum.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

Najib - Kamalia Tolak Tawaran Tanding Dun Bukit Chandan

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim telah menolak tawaran menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak kawasan Bukit Chandan pada Pilihan Raya Uumum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu, kata Perdana Menteri tidak timbul sama sekali soal beliau tidak diberi tempat dalam PRU13 atau tidak dihargai oleh BN. Beliau menjelaskan tawaran kepada Kamilia adalah termasuk jawatan Exco, jika BN menubuhkan kerajaan, tetapi beliau turut menolaknya.

Wan Aishah Tidak Tarik Diri Lawan Mohd Isa Di Jempul


Calon Pas kerusi Parlimen Jempol, Wan Aishah Wan Arifin menolak spekulasi yang mendakwa beliau akan menarik diri berikutan tidak sanggup berdepan dengan cabaran dalam dunia politik.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu itu, beliau memilih untuk bersama dalam dunia politik dan bersedia mengharungi apa jua keadaan.

DAP Selangor Gugur 2 Bekas Exco - Ronnie Liu & Teresa Kok


DAP membuat kejutan apabila menggugurkan dua ahli Exco Selangor, Ronnie Liu dan Teresa Kok daripada senarai mereka yang akan bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

 Liu yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor tidak dipilih untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran dengan tempatnya digantikan oleh Tan Pok Shyong.

Kok pula selaku Pengerusi DAP Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor terpaksa melepaskan kerusi DUN Kinrara kepada Ng Sze Han dan hanya bertanding di kerusi Parlimen Seputeh.

Fernandez(tiga dari kiri) dan beberapa ahli DAP mengumumkan keluar dari parti itu dan bertanding sebagai calon bebas di Seremban semalam.

4,996 Borang Penamaan Calon Telah Dijual - SPR

Sebanyak 1,466 borang penamaan calon iaitu Borang 4 untuk Parlimen dan 2,533 Borang 4A untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi pilihan raya umum ke-13 telah dijual kepada parti politik setakat semalam.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, selain itu, sebanyak 301 Borang 4 serta 696 Borang 4A telah dijual kepada calon Bebas menjelang hari penamaan calon, esok.

Thursday, April 18, 2013

Ada Bekas Wakil Rakyat BN Terengganu Bertanding Atas Tiket Bebas?


Benarkah akan ada bekas wakil rakyat negeri ini akan bertanding atas tiket parti Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei ini?

“Kita tengoklah pada hari penamaan calon pada Sabtu ini, apakah benar-benar ada ahli Umno yang akan jadi calon Bebas,” kata Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said hari ini.

Beliau mengulas desas desus kononnya beberapa Parlimen dan DUN bakal ditandingi calon Bebas terdiri daripada bekas wakil rakyat BN sebagai tanda protes calon BN yang diumumkan Rabu lalu.

Sejauh ini seorang bekas Ahli Parlimen dan tiga bekas ADUN sudah menyatakan akan menyokong calon BN. Mereka ialah Datuk Seri Dr Abdullah Mat Zin (bekas Ahli Parlimen Besut), Asha’ari Idris (bekas ADUN Langkap), Ramlan Ali (bekas ADUN Jabi) dan Zakaria Abdullah (bekas ADUN Paka).

Bekas ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid berkata beliau tidak akan patah semangat untuk terus bersama-sama memastikan kemenangan calon BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Bekas guru itu turut menepis tanggapan kemungkinan akan mengambil sikap 'menjauhkan diri' kerana tidak dicalonkan mempertahankan kerusi yang disandang selama tiga penggal berturut-turut.

Rosol tidak terkejut digugurkan kerana sudah menjangka namanya tiada dalam senarai calon BN Terengganu berdasarkan beberapa petanda awal.

"Sebelum ini, pihak media membuat ramalan saya bukan saja bertanding di kerusi DUN tapi Parlimen, semua itu spekulasi semata-mata," katanya.

Jadi siapa yang akan bertanding atas tiket Bebas?

Tidak mungkin Datuk Din Adam (Bukit Besi) , Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai) , Khazan Che Mat (Batu Rakit), Ab Halim Jusoh (Permaisuri) atau Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang) sanggup berbuat demikian.

Apapun, hari ini BN Terengganu menganggap desas-desus itu sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi melemahkan jentera BN.

Bercakap kepada pemberita di majlis Seminar Keibubapaan Hala Tuju Pendidikan Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, hari ini, Ahmad Said berkata pihaknya akan memantau perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

Menteri Besar bagaimanapun memberi amaran kepada ahli-ahli Umno dan semua parti komponen BN agar tidak berpaling tadah dengan cara bertanding atas tiket parti Bebas pada PRU13 kerana mereka akan menghadapi tindakan tatatertib.

Katanya, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib, termasuk memecat keahlian mereka kerana perbuatan tersebut jelas melanggar arahan parti dan BN.

“Kalau memang benar terbukti ada ahli Umno yang menjadi calon bebas untuk bertanding di mana-mana Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka akan dikenakan tindakan oleh parti.

“Saya tidak boleh buat apa jika mereka ambil keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas, itu hak mereka tapi sepatutnya sebagai seorang Islam mereka perlu terima qada dan qadar Allah dengan hati terbuka,” katanya.

Beliau turut berharap mereka yang digugurkan akan terus bekerja membantu jentera parti bagi memenangkan BN.

PKR Jenis Parti 'Tikam Belakang' - PSM



Parti Sosialis Malaysia (PSM) terkilan dengan keputusan pimpinan tertinggi PKR menyingkirkan parti itu daripada persaingan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Dun N24 itu.

Setiausaha Agungnya, S Arulchelvan berkata, tindakan PKR ini seolah ‘membuli’ PSM yang kononnya kurang popular dan menempatkan calon kroni di kerusi itu.

Parlimen Marang - BN Guna Strategi '5 Lawan 1' Gempur Hadi


Barisan Nasional (BN) akan menggempur kubu kuat Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Marang dengan strategi 'lima lawan satu' bagi menguasai kerusi parlimennya dan empat kerusi dewan undangan negeri (Dun) di situ.

Ketua Umno Bahagian Marang Datuk Yahya Khatib Mohamad yang juga calon BN untuk kerusi parlimen itu, berkata menerusi strategi berkenaan, fokus utama ialah menyingkirkan sokongan terhadap Abdul Hadi di kerusi Parlimen Marang dan juga Dun Rhu Rendang.

"Kami semua akan bersatu menentang Abdul Hadi. Kami bukan sahaja mahu memastikan kemenangan di kerusi masing-masing tetapi juga berusaha mengetepikan pengaruh Abdul Hadi," katanya semalam.

Asha'ari, Abdullah Jamin Menangkan Calon BN Walaupun Digugurkan

 

Menerima hakikat kerjaya politik bukan hak seseorang untuk selamanya, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap Asha'ari Idris dan bekas Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berjanji akan membantu memastikan kemenangan calon baharu Barisan Nasional (BN) di kerusi itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Terengganu itu yakin proses pemilihan dan penilaian calon kali ini dilakukan secara terperinci bagi memastikan calon yang boleh memberi kemenangan kepada BN dipilih.

"Kerja politik ni bukan hak kita sepanjang masa. Kalau kita tidak berhenti kali ini, satu masa kita kena berhenti juga. Jadi kita kena terimalah seadanya," katanya semalam.

Kejayaan Cardiff City Ke EPL Kebanggaan Buat Rakyat Malaysia


Tidak hairan kalau selepas ini peminat bolasepak Liga Inggeris yang selama ini menyokong beberapa kelab ternama akan berubah menyokong Cardiff City.

Ini kerana kelab bola sepak Liga Kejuaraan England, Cardiff City sudah melayakkan diri ke Liga Perdana England (EPL) musim depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan kejayaan kelab itu merupakan kebanggaan buat rakyat negara ini.

Sambil mengucapkan tahniah kepada kelab yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan (gambar atas) itu, Ahmad Shabery berkata, kejayaan tersebut dapat membawa jenama Malaysia di persada bola sepak antarabangsa.


"Saya amat gembira dengan kejayaan tersebut. Tahniah, kerana ia sedikit sebanyak telah memupuk semangat kepada para pemain kebangsaan untuk bekerja lebih keras dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa," katanya semalam.