Friday, July 26, 2013

Saya Hanya Spontan Tunjuk Kertas Undi - Tengku Zaihan


Insiden menunjukkan kertas undi oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman adalah satu tindak balas spontannya selepas diminta bertalu-talu oleh jurufoto.

Tengku Zaihan, 37, atau dikenali 'Abe Ku' (Abang Ku) oleh penduduk setempat berkata beliau tiada niat untuk menunjukkan kertas undi itu disebabkan keadaannya yang agak letih berkempen selama 12 hari sejak 12 Julai lepas.

Bekas jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Putrajaya itu antara pengundi yang awal mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut pada hari pengundian kelmarin.

"Maklumlah saya ni tidak cukup tidur berbelas hari, badan pun letih. Keadaan itulah menyebabkan tindakan saya jadi spontan..

"Masa nak lipat kertas undi itu masuk ke dalam kotak undi, jurugambar tidak henti-henti panggil saya dan saya pun tidak sengaja menunjukkan kertas undi sebab mahu memberi respons," katanya semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang dibangkitkan pihak pembangkang kononnya beliau telah melanggar peraturan pilihan raya apabila menunjukkan kertas undinya kepada jurufoto pada hari mengundi semalam.

Pada pilihan raya kecil DUN Kuala Besut semalam, Tengku Zaihan mengalahkan calon PAS Endot@Azlan Yusof, 48, dengan majoriti 2,592 undi setelah Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi manakala Azlan mendapat 5,696 undi.

Tengku Zaihan berterima kasih kepada penduduk Kuala Besut yang mengundinya dan masih mengekalkan jiwa 'Gelombang Biru' hingga berjaya mengelakkan DUN Terengganu daripada tergantung 16:16 seperti yang dicanangkan oleh PAS mengenai 16:16 Terengganu Baharu.

"Saya bukanlah penyelamat tetapi pengundi Kuala Besut yang sebenarnya memainkan peranan utama dalam menentukan kemenangan BN dan meneruskan kesinambungan BN memastikan penduduk sini mendapat pembangunan berterusan.

"Selain daripada sokongan setempat, saya lihat pengundi muda mula beri sokongan kepada BN... mungkin juga ia ada kaitan dengan faktor calon muda diketengahkan BN," katanya.

Terdahulu, Tengku Zaihan memulakan tugas hari pertamanya sebagai wakil rakyat dengan bertemu penduduk di sekitar kawasan itu seawal 10 pagi.

 Beliau bermula dengan mengunjungi bapanya, Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah, 74, di Kampung Gertak Seratus untuk memohon restu sebelum memulakan tugas pertamanya. Tengku Zaihan yang ditemani isteri, Siti Salbiah Osman, 34, turut bertemu golongan peniaga di Pasar Tani Kuala Besut kira-kira 30 minit sebelum melawat rumah penyokong BN yang meninggal dunia pagi tadi akibat penyakit lelah sejak lapan tahun lalu di Kampung Kayu Kelat di sini.

Dalam pada itu, Tengku Zaihan berkata untuk permulaan beliau akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan melihat kembali perancangan yang telah dibuat oleh wakil rakyat terdahulu.

Tengku Zaihan turut mengakui skop tanggungjawabnya kini lebih luas berbanding pekerjaannya sebelum ini yang juga harus turun bertemu rakyat.

Satu Peratus Rakyat Malaysia Hadapi Sakit Mental

Satu peratus daripada keseluruhan (28.3 juta) penduduk Malaysia menghadapi penyakit mental manakala 20 peratus lagi menghadapi masalah kesihatan mental seperti murung, tekanan dan keresahan, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Menyedari tidak mudah untuk mengenal pasti masalah emosi dan tekanan mental seseorang, Kementerian Kesihatan menyediakan kemudahan saringan bagi mengenal pasti penyakit dan tekanan emosi individu.

Ini dilakukan di 806 buah klinik kesihatan, 40 buah hospital dan empat hospital mental di seluruh negara, katanya.

CAP Gesa Kerajaan Haramkan Iklan Pamer Gambar Wanita Ghairah


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada Khamis menggesa kerajaan mengharamkan iklan yang mempamerkan gambar wanita seksi atau lebih dikenali sebagai 'Hot-Girls' di papan-papan iklan di pusat bandar ini.

Presiden CAP S.M. Mohamed Idris berkata sejak kebelakangan ini banyak papan iklan elektronik menggunakan gambar wanita seksi dalam aksi yang menghairahkan untuk menarik pengunjung ke pusat-pusat hiburan.

Taktik Pas Tidak Menjadi di Kuala Besut - Mustapa

BN Kelantan akan menjadikan kemenangan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman sebagai motivasi untuk parti itu meneruskan perjuangan di negeri yang diperintah Pas.

Pengerusi Perhubungan Umno Negerinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun BN di Kuala Besut diserang bertubi-tubi namun pembangkang tidak dapat menembusi kubu kuat parti komponen itu. 

Menurutnya, strategi yang digunakan Pengarah PRK Pas Dun Kuala Besut yang dilantik tidak "mengena" dan perjuangan Pas Kelantan tidak relevan di Besut.

Pasar Tani Daerah Besut Catat Jualan RM3.3 Juta Dalam Masa Enam Bulan

Pasar Tani daerah Besut yang diurus Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), mencatat jualan RM3.3 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, susut berbanding RM4.3 juta jualan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata faktor utama penurunan itu ialah orang ramai yang datang kurang berbelanja di empat pasar tani, masing-masing di Kuala Besut, Jertih, Alor Lintang dan Kampung Raja, yang membabitkan seramai 240 peserta.

Empat peserta pasar tani mencatat jualan paling tinggi dalam tempoh itu iaitu Jertih sebanyak RM1.8 juta, diikuti Kuala Besut (RM1.4 juta), Alor Lintang (RM60,000) dan Kampung Raja (RM48,000), katanya.

Pejabat Pelancongan Terengganu anjur Cabaran Pulau Redang (RIC)

Sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013) dan promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) program Cabaran Pulau Redang (RIC) antarabangsa akan dianjurkan selama tiga hari mulai 14 Sept ini di Pulau Redang.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan negeri Terengganu, Mohd. Sabri Zakaria berkata, RIC menyasarkan 200 peserta melibatkan 100 pasukan iaitu dua peserta bagi setiap pasukan.

"Program RIC melibatkan tiga disiplin iaitu acara renang bermula di Taman Laut Pulau Pinang, berlari serta merentas denai dan hutan di pulau berkenaan sebelum berkayak mengelilingi Pulau Paku,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

PBTM sasar RM7.4 juta kutipan Tabung Pahlawan

Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) menyasarkan kutipan RM7.4 juta untuk mengisi Tabung Pahlawan tahun ini.

Presidennya Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata jumlah itu dua kali ganda berbanding RM3.7 juta yang diperoleh melalui kempen kutipan tahun lepas.

"Untuk memberi kelainan dalam program itu, tahun ini kami lakukan penjenamaan semula dan menambah baik kempen itu antaranya dengan menukar namanya daripada 'Kempen Rayuan Pahlawan' kepada 'Kempen Tabung Pahlawan'.

Kerajaan Perak Beri Bonus Khas RM500 Kepada Penjawat Awam Negeri

Kerajaan Perak semalam mengumumkan pemberian bonus khas RM500 kepada 14,000 penjawat awam negeri sempena Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata ia mengikut langkah kerajaan persekutuan memberikan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam.

"Pemberian bonus ini akan diberikan kepada kakitangan tetap, kontrak, sambilan termasuk pihak berkuasa tempatan, badan-badan berkanun di negeri ini," katanya.

Kerajaan Negeri Digesa Wartakan Fatwa Anti Syiah

Mana-mana kerajaan negeri yang belum mewartakan fatwa anti-Syiah diminta segera berbuat demikian dalam usaha membanteras penularan fahaman itu dalam kalangan masyarakat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata walaupun fatwa itu telah diwartakan di peringkat kebangsaan, namun kerajaan negeri perlu mewartakannya di peringkat negeri masing-masing supaya tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan.

"Seperti sedia maklum, hal ehwal agama terpulang pada kuasa negeri dan (pentadbir) negeri perlu berbincang dengan pihak berkuasa agama masing-masing dan menggazetkan fatwa ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kembara Zakat Maybank Islamic (MIB) serta penyerahan sumbangan Sahabat Korporat Tabung Haji semalam.

Hari Pertama Sebagai YB, Tengku Zaihan Jumpa Orang Ramai Di Pasar Kuala Besut


Selepas dua belas jam bergelar Yang Berhormat, Tengku Zaihan Che Ku Rahman,37, turun padang dengan memilih lawatan ke Pasar Kuala Besut, untuk menemui rakyat dan membeli belah.

Tengku Zaihan ditemani isterinya,Salbiah Othman,34, keluar dengan sebuah kenderaan dan bergegas ke pasar berkenaan yang menjadi tugas pertama selepas bergelar wakil rakyat.

Tengku Zaihan mewakili Barisan Nasional (BN) yang diumumkan pemenang dalam pertandingan satu lawan satu dengan calon Pas, Endut @ Azlan Yusof memulakan tugas pertamanya berjumpa penyokong di pasar berkenaan.

Malindo Tawar 10,000 Tempat Duduk Percuma Bagi Promosi Super Merdeka Deals


Syarikat penerbangan hibrid, Malindo Air menawarkan 10,000 tempat duduk percuma ke semua destinasi di Semenanjung Malaysia bersempena dengan sambutan Hari Merdeka akan datang.

Tiket pergi balik percuma itu sah bagi penerbangan berlepas dari Kuala Lumpur, Subang, Pulau Pinang, Kota Baharu, Johor Baharu, Langkawi, Alor Setar dan Kuala Terengganu.

Tiket-tiket itu boleh ditempah mulai 28 Julai hingga 4 Ogos bagi tempoh perjalanan antara 20 Ogos dan 31 Okt, 2013.


Thursday, July 25, 2013

Tiga Daripada Empat Peserta Ratu Cantik Mohon Maaf Kepada JAWI


Tiga daripada empat peserta akhir pertandingan Miss Malaysia World 2013 yang disifatkan menghina Islam telah membuat permohonan maaf.

Salah seorang peserta, Sara Amelia Muhammad Bernard, 20, (kanan)berkata dia telah membuat permohonan maaf secara formal kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Saya tidak berniat untuk menyinggung perasaan umat Islam dan agama saya sendiri," katanya semalam.

Seorang lagi perserta, Wafa Johanna De Korte, 19, (gambar bawah) turut memohon maaf. "Saya tidak sama sekali ingin menentang fatwa. Saya menghormati fatwa yang diwartakan itu untuk melindungi umat Islam di Malaysia.

"Jika ada mana-mana pihak tersinggung, saya minta maaf sangat-sangat tetapi saya tidak berniat untuk menghina sesiapa," katanya.

Terdahulu, Jawi dilaporkan membuka kertas siasatan terhadap empat peserta akhir yang bertanding merebut gelaran Miss Malaysia World 2013 kerana mereka disifatkan menghina Islam.

Pengarah Jawi Datuk Che Mat Che Ali berkata, bahagian penguatkuasa Jawi akan meneliti perkara itu selepas peserta-peserta terbabit menyatakan kekecewaan mereka dengan fatwa yang mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik.

Fatwa mengharamkan penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik diwartakan pada 8 Feb 1996 mengikut Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah Persekutuan 1993 yang memutuskan bahawa menyertai atau menganjurkan atau menyumbang apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik adalah haram dan berdosa bagi orang Islam.

Sementara itu, Miera Sheikh, 19, (kanan) enggan memberikan sebarang komen mengenai tindakan Jawi. Bagaimanapun, dia menghormati budaya masyarakat Melayu dan berkata dia berpegang teguh kepada agama Islam.

"Saya mungkin bukan orang Islam yang sempurna tetapi saya dibesarkan dengan budaya Melayu dan Islam walaupun saya bersikap terbuka mengenai beberapa perkara dalam hidup.

"Bagi saya, agama Islam tidak akan pudar dalam hidup saya sehingga nafas yang terakhir," katanya.

Peserta keempat, Kathrina Ridzuan, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.

Penganjur pertandingan itu, Datuk Anna Lim berkata keempat-empat peserta itu akan dibenarkan untuk menghadiri acara itu sebagai tetamu jemputan.

Kathrina Ridzuan
Mereak yang tidak dibenarkan menyertai pertandingan merebut gelaran 'Miss World Malaysia 2013' ini adalah dari keluarga berdarah campuran.

Wafa Johanna De Korte, 19, berketurunan Belanda dan Melayu dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Wafa Johanna, mula terlibat dalam iklan televisyen sejak berusia lima tahun.

Dia amat menggemari kepelbagaian budaya dan latar belakang kaum di Malaysia. "Semua orang hidup aman dan ia amat menakjubkan untuk melihat kita hidup harmoni," katanya.

Sara Amelia Muhammad Bernard, 20, dari Ipoh, berkata ibunya berdarah kacukan British dan Melayu manakala bapanya, Iban-Jerman. Sara Amelia memulakan karier sebagai model apabila menyambung pengajian di Kolej Taylor Sri Hartamas.

Saya mempunyai rakan-rakan dari pelbagai kaum dan mempunyai peluang untuk belajar mengenai adat dan kepercayaan. Saya juga menyukai kepelbagaian makanan di Malaysia," tambahnya.

Miera Sheikh, 19, gadis kacukan Melayu dan Arab, menetap di Singapura ketika kecil sebelum berpindah semula ke Malaysia bersama ibu bapanya.

Dia berkecimpung dalam bidang peragaan sejak di Tingkatan 3. Kathrina Ridzuan, 23, berdarah campuran Inggeris dan Melayu serta pernah muncul sebagai model dalam beberapa iklan.

Daripada mStar

Mahkamah Benarkan Alvin, Vivian Dilepaskan Dengan Ikat Jamin RM30,000


Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan blogger seks, Alvin Tan dan Vivian Lee diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin turut mengenakan beberapa syarat kepada kedua tertuduh iaitu mereka menyerahkan pasport, dilarang memuat naik gambar lucah, dilarang menggunakan peranti komunikasi rangkaian yang boleh diakses kepada Internet dan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada hari pertama setiap bulan.

Pada 18 Julai lalu, Alvin dan Vivian didakwa dengan tiga pertuduhan berhubung tindakan mereka mempersendakan umat Islam dan Ramadan dalam Facebook serta mempamerkan gambar-gambar lucah dalam blog mereka.

Pengundi Kuala Besut Mahu Kekalkan Kepimpinan MB Terengganu - Khairy


Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata langkah BN meletakkan calon muda dan profesional seperti Tengku Zaihan terbukti keputusan yang bijak

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Abe Ku. Keputusan yang meyakinkan ini juga menunjukkan pengundi Kuala Besut dan Terengganu masih ingin mengekalkan kepimpinan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan kerajaan negeri BN," katanya.

Beliau berkata kemenangan BN menunjukkan calon muda juga diterima pengundi Kuala Besut yang inginkan pembangunan ke kawasan mereka.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan penghargaan kepada jentera Wanita UMNO yang berkempen tanpa mengenal erti penat lelah pada bulan Ramadan, termasuk dari rumah ke rumah.

Kemenangan BN Dalam PRK Kuala Besut Bukti Umno Masih Menyerlah


Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan dua Naib Presiden UMNO menganggap kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut semalam, membuktikan kekuatan Umno masih menyerlah.

Kemenangan ini jelas menunjukkan pengundi memberi kepercayaan kepada calon BN dan mereka percaya kepada BN yang mengotakan setiap janji yang dibuat oleh pemimpin BN>

Datuk Seri Najib Tun Razak turut melahirkan keyakinan dengan kredibiliti calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, untuk  berkhidmat kepada masyarakat di Kuala Besut.

"Saya yakin beliau tokoh muda yang berkebolehan. Ini petanda baik sokongan rakyat terhadap BN.

SPR Akan Tampal Pelekat Pada Kenderaan Konvoi


Semua kenderaan yang digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi meninjau pusat pengundian pada pilihan raya akan datang akan ditampal pelekat suruhanjaya bagi mengelakkan kejadian ditahan penyokong parti.

Timbalan Pengerusinya,
Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, penguatkuasaan itu perlu dilakukan supaya penyokong parti yang berkumpul berdekatan pusat pengundian tidak keliru atau berasa sangsi dengan kehadiran kenderaan konvoi yang memasuki kawasan pengundian.

Beliau berkata demikian semasa mengulas pengalaman beliau ditahan penyokong parti pembangkang semasa meninjau pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu di Kuala Besut, semalam.

Semalam, Wan Ahmad berdepan dengan situasi cemas apabila kereta yang dinaikinya dan empat kereta yang digunakan SPR untuk meninjau proses pengundian ditahan kira-kira 200 penyokong Pas kerana menganggap kereta itu membawa pemimpin parti daripada pihak lawan.

Selangor Umum Bonus Raya Sebulan Gaji Kepada Penjawat Awam Negeri

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam  mengumumkan bonus sebulan gaji kepada 21,776 penjawat awam negeri sempena Aidilfitri tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM30 juta bagi tujuan itu danbonus akan diberi selewat-lewatnya hujung bulan ini.

"Pemberian bonus ini akan diberikan kepada kakitangan tetap, kontrak dan sambilan... namun sekiranya kerajaan pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada penjawat awam, maka kerajaan Selangor akan menambah lagi (bonus) setengah bulan gaji kepada penjawat awam di negeri ini," katanya pada sidang media di Shah Alam.

Bapa Tengku Zaihan Yakin Anaknya Mampu Galas Tanggungjawab Sebagai Wakil Rakyat


Che Ku Abd Rahman Che Ku Abdullah, 74, yakin anaknya, Tengku Zaihan, mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang diamanah pengundi di Kuala Besut.

Beliau berkata Tengku Zaihan mempunyai ketokohan sebagai seorang pemimpin, bukan sahaja dalam keluarga, malah kepada masyarakat setempat.

"Dalam keluarga, dia suka membantu dan saya yakin dia dapat membela rakyat di Kuala Besut ini," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas kemenangan anaknya pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut malam semalam.

Calon PAS Akur Dengan Keputusan PRK Kuala Besut


Calon PAS Endot@Azlan Yusof akur dengan kekalahannya kepada calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut semalam.

"Saya terima kekalahan ini dan kalah itu perkara biasa, kita tidak merasa pelik dengan kekalahan ini tetapi jikalau kita menang ia memang suatu yang luar biasa," katanya yang juga dikenali sebagai Che Long, 48, pada sidang media di markas PAS PRK Kuala Besut di Kampung Baharu di Kuala Besut.

Peratusan Keluar Mengundi Satu Kejayaan - SPR


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut semalam sebagai satu kejayaan walaupun jumlahnya berkurangan berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata walaupun peratusan mengundi pada PRU13 lepas adalah 87 peratus, tetapi jumlah 80 peratus yang direkodkan pada semalam  mencapai sasaran awal yang ditetapkan pihaknya.

Faktor PRK yang diadakan pada hari bekerja juga perlu diambil kira sebagai penyebab penurunan jumlah peratusan keluar mengundi, katanya.

PM Umum Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 Kepada Penjawat Awam


Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.

Katanya, pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini. Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itumasing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanyadalam kenyataan.

Padah Menyamar Pegawai Polis, Kena Penjara 12 Bulan


Seorang penarik kereta terpaksa akur dengan keputusan Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, semalam, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadapnya selepas mengaku bersalah menipu dengan cara menyamar sebagai pegawai polis pada Januari lalu.

Azlam Ngah, 32, dari Rumah Awam Kos Rendah, Mengabang Lekar, Batu Rakit, didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan bersama dua lagi rakannya,

Amatul Rahman Che Omar, 25, seorang broker tanah dan Mahadi Othman, 28, seorang anggota polis.

PRK Kuala Besut - BN Menang Majoriti 2,592 Undi


Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut semalam dengan majoriti 2,592 undi.

PRK Kuala Besut menyaksikan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman memperoleh 8,288 undi manakala calon PAS, Endut @ Azlan Yusof mendapat 5,696 undi.

BN berjaya menambah majoriti sebanyak 158 undi.

Petisyen Lembah Pantai Diketahui Khamis Depan

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan Khamis depan bagi memutuskan petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Lembah Pantai yang difail seorang pengundi Mohamad Sazali Kamilan.

Mahkamah Pilihan Raya menerima aduan yang dikemuka ialah isu calon PKR mengganggu pengundi Lembah Pantai dengan memberi kenyataan palsu menerusi sebuah portal berita pada 4 Mei lepas serta menggesa mereka untuk tidak mengundi calon BN Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Nurul Izzah memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 1,847 undi.

Bernama Diperguna Sebar Berita Palsu Cemar Imej Kerajaan

Bernama semalam menafikan telah mengeluarkan berita mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pemberian bonus raya kepada kakitangan awam yang kononnya disiarkan melalui portal berita www.bernama.com.

Pengurus Besar Bernama, Datuk Yong Soo Heong berkata, beliau percaya ada usaha pihak tertentu untuk memburuk-burukkan kerajaan dengan menggunakan Bernama ketika pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut berlangsung semalam.

BN kekal kemenangan di Titiwangsa, PKR Kekal Di Batu

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan di Parlimen Titiwangsa selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan petisyen yang difail seorang pengundi untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi kawasan itu.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu selepas mendapati petisyen yang difail Rusli Yasmin cacat kerana tidak mematuhi Perintah 4 Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Beliau berkata demikian selepas membenarkan bantahan awal Pegawai Pilihan Raya (RO) bagi Titiwangsa Abdul Halim Ismail, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota Parlimen kawasan itu, Datuk Johari Abdul Ghani.

Wednesday, July 24, 2013

PRK Kuala Besut: - Sehingga Jam 5 Petang, 13,188 Orang Keluar Mengundi


Proses pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga jam 5 petang menyaksikan seramai 13,188 pengundi atau 79.76 peratus sudah keluar mengundi.

Tujuh pusat pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut ditutup pada 5 petang ini.

Pusat pengundian itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut; Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut; SK Alor Peroi; SK Kampung Nangka, SK Kampung Nail, SK Kampung Baharu dan SK Bukit Puteri. Pusat pengundian di Pulau Perhentian iaitu Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian ditutup pada 3 petang.

Kesemua pusat pengundian dibuka pada 8 pagi ini.

Keputusan rasmi PRK Kuala Besut dijadual diketahui selepas pukul 10 malam ini bagi memberi peluang kepada pemimpin serta penyokong parti bertanding menunaikan solat Tarawih.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof.

'Pelancong Pilihan Raya' Kuala Besut Cetuskan Provokasi

Ahmad Said, turut meluangkan masa meninjau pusat pengundian di Pulau Perhentian.
Beberapa insiden provokasi terhadap petugas pilihan raya Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut pada Rabu dipercayai dilakukan "pelancong pilihan raya" pembangkang.

Ini kerana menurut Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil BN Datuk Seri Idris Jusoh, budaya provokasi termasuk menghina itu bukan amalan penduduk setempat yang mengenali satu sama lain.

"Mereka (penyokong pembangkang dari luar) membuat bising dan mengeluarkan kata-kata menyindir dan memfitnah untuk membantu calon mereka yang tidak sepatutnya dilakukan pada bulan Ramadan sekarang," katanya selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri.

Rafizi Dicabar Ulang Dakwaan Lengkap Kaitkan Pemimpin SPR

Tan Sri Abdul Aziz...minta Rafizi sebut nama beliau dan timbalan serta jawatan mereka di luar Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli dicabar supaya mengulangi dakwaannya berhubung penglibatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berhubung perolehan pembelian dakwat kekal.

Menurut Abdul Aziz, Ahli Palimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diberi tempoh selama seminggu untuk berbuat demikian sekiranya beliau bertanggungjawab terhadap dakwaan yang dibuat di Dewan Rakyat minggu lalu.

"Ketika di luar Dewan, beliau ulangi kenyataannya tapi tidak sebut nama dan jawatan kami dalam SPR. Ini adalah satu perbezaan besar kerana ketika berucap dalam Dewan Rakyat, beliau sebutkan nama penuh dan jawatan kami sebagai pengerusi dan timbalan.

PRK Kuala Besut - SPR Jangka 75 Hingga 80 Peratus Mengundi Pada PRK Kuala Besut

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Besut mampu mencapai lingkungan 75 hingga 80 peratus.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata sehingga 11 pagi, sebanyak 7,356 atau 44.49 peratus daripada 16,534 pengundi telah keluar menunaikan hak masing-masing.

Beliau berkata pemerhatian SPR sejak pusat mengundi dibuka pada 8 pagi mendapati pengundi dan penyokong kedua-dua parti cukup berdisiplin dan patuh kepada arahan yang dikeluarkan.

Lapan pusat mengundi dibuka untuk PRK Kuala Besut itu dan akan ditutup pada pukul 5 petang kecuali di SK Pulau Perhentian ditutup pukul 3 petang.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dan Endot@Azlan Yusof dari PAS, dan keputusan dijangka diumumkan pada pukul 10 malam. 


PRK KUala Besut - Polis Bermotosikal Kawal Trafik

Sebanyak tiga pasukan polis bermotosikal ditubuhkan bagi melancarkan aliran trafik sepanjang proses pengundian dan pengiraan undi hari ini. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, langkah berkenaan diambil bagi mengelakkan kesesakan sepanjang proses itu berlangsung. 

Katanya, pasukan ini akan melakukan rondaan sepanjang 41 kilometer persegi melibatkan kawasan pengundian di samping turut menempatkan anggota di setiap persimpangan jalan bagi pastikan tiada kesesakan hari pengundian.

“Selain kawal aliran trafik, polis turut menempatkan anggota mencukupi di setiap kawasan pengundian,” katanya.

Proses Undi Lebih Cepat Dengan Celup Jari Dalam Dakwat - SPR

Kaedah mencelup jari ke dalam dakwat kekal yang diperkenalkan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut hari ini mempercepatkan proses pengundian berbanding kaedah mencalit pada kuku sebelum ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang melakukan tinjauan ke pusat-pusat pengundian di Kuala Besut di sini, berkata kaedah mencelup jari itu juga membantu kelancaran proses pengundian.

"Proses pengundian lebih cepat kerana sebuah buku yang mengandungi 50 kertas undi boleh dihabiskan dalam masa 40 minit, iaitu kurang dari seminit untuk seorang pengundi," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Peroi di Kuala Besut hari ini.

PRK KUala Besut - MB Puas Hati Kelancaran Proses Pengundian yang Terkawal


Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang turut meluangkan masa meninjau perjalanan proses pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut hari ini berpuas hati dengan kelancaran proses pengundian serta bersyukur kerana keadaan terkawal.

Pengerusi Umno Terengganu itu juga menyeru penyokong kedua-dua parti bertanding agar meneruskan sikap tenang mereka sehingga proses pilihan raya kecil berkenaan selesai.

"Keluarlah mengundi dengan aman dalam menunaikan tanggungjawab di sebuah negara demokrasi," katanya kepada pemberita di luar pusat mengundi di SK Kampung Baharu, di Kuala Besut hari ini.

Beliau yang ditemani isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud turut sempat bersalaman dengan penyokong kedua-dua parti.

Wanita Islam Berkeras Sertai Ratu Cantik, Jawi Buka Kertas Siasatan

Gambar Fail...Ratu Catik 1 Malaysia yang diadakan di Putrajaya pada 2010.
Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) membuka kertas siasatan berhubung peserta beragama Islam yang tetap berkeras bertanding merebut gelaran 'Miss World Malaysia 2013.'

Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 7, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, kerana menghina agama Islam. Di bawah Seksyen 7, akta berkenaan, sesiapa yang didapati melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Sebagai agensi penguat kuasa agama, pihak Jawi akan menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat bukti-bukti serta keterangan yang mencukupi.

BN & PAS Masing-Masing Dakwa Jadi Mangsa Fitnah


Kurang 24 jam sebelum hari pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut malam semalam, Barisan Nasional (BN) dan PAS masing-masing mendakwa difitnah oleh pihak tertentu dengan tersebarnya maklumat kononnya kedua-dua parti itu akan memberikan bantuan berupa wang tunai kepada pengundi di Kuala Besut.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya mengesan pengedaran surat kepada pengundi yang menyatakan parti itu akan memberi sumbangan duit raya sehingga RM800 seorang. 

Surat yang diedarkan itu menggunakan kepala surat Bilik Gerakan Utama BN Jentera PRK Kuala Besut itu ditandatangani Setiausahanya, Salleh Abdul Latif.

PRK Kuala Besut: 44 Peratus Keluar Mengundi Hingga 11 Pagi


Abdul Aziz memeriksa peti undi ketika meninjau proses pengundian di pusat pembuangan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang berlangsung bermula pukul 8 pagi ini.

Sehingga pukul 11 pagi, jumlah pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing ialah seramai 7,356 orang atau 44.49 peratus.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tinjauannya di beberapa pusat mengundi mendapati proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang tindakan provokasi oleh penyokong parti politik.

PRK Kuala Besut - Tengku Zaihan Mengundi Awal, Che Long Gagal Jadi Pengundi Pertama



Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, antara calon terawal yang menunaikan tanggunggjawab sebagai pengundi pada pilihan raya itu, pagi ini.

Bekas jurutera yang segak berbaju Melayu warna merah lengkap bersampin itu, melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, seawal jam 8 pagi.

Beliau yang diringi isteri, Siti Salbiah Osman yang juga berbaju kurung merah, bersalaman dengan Menteri Pelajaran II, Dato’ Seri Idris Jusoh dan beberapa pemimpin Umno yang berada di perkarangan sekolah berkenaan.

Tuesday, July 23, 2013

SMS Palsu Di Kuala Besut…Ramadan Yang Tidak Bermakna Bagi Pemimpin PAS…


Semakin bertambah hari dalam bulan Ramadan - yang sepatutnya umat Islam semakin insaf dan memperbanyakkan ibadaah - semakin banyak penipuan dan ciri-ciri fitnah dilakukan oleh PAS untuk menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut.

Pada ketika esok adalah hari pengundian PRK Kuala Besut, PAS yang dikatakan sudah berputus asa untuk merampas DUN berkenaan, beberapa kumpulan jentera pilihan raya PAS khususnya dari daerah lain di Terengganu dikatakan beransur pulang ke tempat masing-masing.

Malah war-war kononnya Azhar Idrus akan turun tiga malam berturut-turut di Kuala Besut juga tidak berlaku.

Golongan muda dalam PAS kecewa dengan kehilangan Azhar dan mereka mula tertanya-tanya, apaa komitmen Azhar untuk PAS pada PRK kali ini.

Laporan sebuah blog yang memetik beberapa sumber yang rapat dengan PAS Terengganu menyebut, kebanyakan yang mengambil langkah pulang awal ini berbuat demikian sejak pagi dan tengahari semalam terutama selepas Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim tampil dalam dua ceramahnya di Kuala Besut pada malamnya (21 Julai) atas jemputan Naib Presiden PAS, Husam Musa.

Tindakan ini dikaitkan dengan sikap jentera tidak mahu bersekongkol dengan sikap hipokrit Anwar yang sejak lebih dua bulan lalu kuat menghentam SPR yang dituduhnya tidak telus atau mungkin juga kerana merasakan PRK DUN Kuala Besut sudah ‘diKelatekan’ oleh geng Husam.

Dinyatakan juga bahawa kehadiran Anwar pada malam itu walau pun sambutannya sedikit baik dari ceramah Presiden PAS, Hadi Awang namun sebahagian besar dari kira-kira 500 dan 600 pendengarnya di dua tempat berasingan itu merupakan penyokong dan jentera PAS yang diimport dari Kelantan.

Dalam keadaan terkapai-kapai, PAS berusaha untuk memulihkan imejnya yang semakin hilang di kalangan pengundi Terengganu selain bimbang kalah teruk, mulai semalam, mereka menyebarkan surat dan SMS palsu bertujuan mencemarkan imej BN.

Surat palsu yang diedaran itu menyebut KONONNYA Timbalan Perdana Menteri meluluskan pemberian sumbangan duit raya kepada seluruh pengundi dalam DUN Kuala Besut tanpa mengira fahaman politik.

Surat itu menyebut, permbayaran akan dibuat mengikut kategori berikut:

1. Warga Emas – RM800

2. Ketua Keluarga – RM700

3. Wanita – RM600

4. Pemuda – RM600

Pembayaran itu bermula dengan jumlah RM300 yang dijangka diagihkan bermula semalam (22 Julai).

Tidak cukup dengan itu, SMS palsu juga disebarkan dengan meminta pengundi untuk mendapatkan RM300 daripada Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung sebelum atau pada 5 Mei 2013. 

Ternyata penyebaran surat palsu itu diedarkan untuk mengelirukan pengundi dan mengucar kacirkan jentera dan bilik gerakan Barisan Nasional apabila diserbu pengundi.

Surat berkenaan yang di kesan disemua pusat daerah mengundi yang di sebarkan dengan menaiki 2 buah motosikal jenis Yamaha Ego berwarna merah dan 2 buah motosikal Honda EX5 juga berwarna merah. 

Penyebaran surat tersebut dipercayai diarahkan oleh seorang jawatankuasa PAS dengan menggunakan pemuda tersebut yang terdiri dari remaja-remaja yang masih di bawah umur.