Thursday, December 26, 2013

SPRM Sahkan Pegawai Tinggi Polis Bergelar 'Datuk' Beri Keterangan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan seorang pegawai tinggi polis bergelar 'Datuk' telahpun memberi keterangan, dipercayai berhubung kes pengubahan wang haram RM6 juta.

Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mustafa Ali berkata pegawai polis berkenaan memberi keterangan di Putrajaya, Selasa lepas.

"Sebenarnya pegawai polis yang kita panggil itu adalah untuk mengambil keterangan dia, rakam percakapan. "Dia telah memberi kerjasama yang baik dan keterangan telah diambil. Tidak ada tangkapan dibuat," katanya ketika ditemui pada sidang media Panel Penilaian Operasi (PPO) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Kuala Lumpur.

Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora

Angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak dijangka berterusan sehingga Selasa depan.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan di sini berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kmsj berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur serta ombak mencapai ketinggian melebihi 5.5 meter.

Selain itu, kawasan pantai di negeri berkenaan turut terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga 31 Dis.

Rancangan Perhimpunan 31 Dis Untuk Tutup Pembohongan Pembangkang

Rancangan menganjurkan perhimpunan haram pada 31 Dis ini hanyalah untuk mengalih perhatian rakyat kepada beberapa pembohongan yang pembangkang tabur setelah gagal menawan Putrajaya 5 Mei lalu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau tidak menolak orang yang sama dengan penganjuran perhimpunan Black 505 dan Bersih sebelum ini turut terbabit dalam rancangan perhimpunan itu.

"Rakyat tidak tertipu lagi, hanya untuk memenuhi nafsu mereka yang ingin berkuasa di negara ini dan mereka cuba memadamkan dosa mereka menipu rakyat dengan mencari isu lain pula seperti kenaikan harga barang dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian dividen projek ternakan ayam program Azam Tani di Kemaman, kelmrin.

2,041 Belia Di DUN Bukit Besi Terima Wang Dana Bakti Remaja

Lebih 2,000 belia di kawasan Dewan Undangan Negeri Bukit Besi hari ini menerima manfaat daripada Program Dana Bakti Remaja yang diberi oleh kerajaan Terengganu kepada golongan bujang berusia 21 hingga 40 tahun.

Masing-masing menerima wang tunai RM200 yang diserahkan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Besi Roslee Daud yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu.

Bagi Mohd Aizat Zakaria, 26, dari Kampung Jengai, wang tersebut akan digunanya untuk meringankan beban keluarga selepas kediaman mereka terbabit dalam bencana banjir baru-baru ini. "Saya mahu beli peralatan dapur rumah yang rosak," katanya. Ini kali ketiga dia menerima dana itu.

Pembinaan Kompleks Bebas Cukai Tasik Kenyir Lancar


Kerja-Kerja pembinaan kawasan bebas cukai di kawasan Tasik Kenyir berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun depan.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terenggnau Tengah (Ketengah), Wan Mat Amin Wan Daud berkata, pembinaan kawasan bebas cukai yang pertama seumpamanya di dunia itu membabitkan lima pakej dan dijangka mula beroperasi pada awal 2015.

"Secara purata, semuanya sudah siap sehingga 35 peratus. Namun ada pakej yang sudah berjalan sehingga 75 peratus.

Terengganu Sedia Lebih RM70,000 Sebagai Insentif Kepada Atlet Sukan SEA

Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan lebih RM70,000 untuk diberi sebagai insentif kepada atlet negeri itu yang menyumbang pingat negara semasa Sukan SEA Myanmar baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat berkata bagi atlet yang memenangi emas, mereka akan menerima ganjaran RM2,500, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,500).

Diharap dengan pemberian insentif ini akan menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk lebih gigih dalam kejohanan-kejohanan lain pada masa akan datang, katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu, hari ini.

Mengulas perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan Terengganu memperuntukkan lebih RM25 juta untuk pembangunan sukan negeri itu tahun depan.

JKNT Sedia Pelan Strategik Hadapi Gelombang Kedua Banjir


Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyediakan satu pelan strategik sebagai persediaan menghadapi gelombang kedua banjir berdasarkan pengalaman kejadian sama khususnya di Kemaman, baru-baru ini.

Timbalan Pengarah (Perubatan) JKNT, Dr Mohamad Omar berkata, pelan strategik yang perlu dilaksanakan pihak hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri sekiranya banjir berlaku itu menggariskan empat penekanan utama iaitu bekalan air bersih, komunikasi, elektrik serta makanan.

Menurutnya, ia bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan kepada semua penduduk terjejas banjir.

Kg Durian Telur Terima Dana RM1.67 Juta Bagi Program 'My Kampung My Future'

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memperuntuk RM1.67 juta kepada Kampung Durian Telur, Hulu Besut tahun depan bagi melaksanakan pelbagai program di bawah 'My Kampung My Future' (MKMF).

Penyelaras MKMF Kampung Durian Telur, Anuar Mahmud berkata lebih setengah juta ringgit dibelanjakan pada tahun ini bagi menyediakan pelbagai infrastruktur dan projek dalam usaha meningkatkan hasil pertanian penduduk yang terdiri daripada 563 keluarga.

Katanya fokus MKMF tahun depan di kampung itu termasuk mewujudkan projek agropelancongan, baik pulih dusun, mengusahakan inap desa dan menaik taraf projek sedia ada.

TSG Guna Khidmat Dua Pelumba Import


Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) akan menggunakan khidmat dua pelumba import bagi menghadapi kejohanan lumba basikal antarabangsa tahun depan.

Jurucakap TSG berkata salah seorang daripada pelumba itu berasal dari Uzbekistan dan seorang lagi dari Belanda yang kedua-duanya merupakan pakar mendaki bukit.

"Kita harap kedua-dua pelumba ini akan dapat membantu kita dalam perlumbaan di Eropah nanti," katanya hari ini.

Sebelum ini TSG pernah menggunakan khidmat pelumba Jepun dan Korea tetapi ditamatkan kontrak mereka atas sebab-sebab tertentu.

Latihan PraMusim - T-Team Pulang Lebih Awal

Bimbang letupan bom di Selatan Thailand berulang: Hasbullah Kuala Terengganu: Skuad T-Team yang sedang menjalani latihan pramusim di Selatan Thailand memutuskan untuk pulang lebih awal ke Malaysia kerana bimbang kejadian letupan bom yang menyebabkan 24 cedera di tiga lokasi berasingan di Songkhla, Ahad lalu berulang.

Ketua pasukan T-Team, Muhammad Hasbullah Awang, berkata keputusan yang dibuat pihak pengurusan untuk pulang awal dianggap sebagai satu tindakan tepat demi keselamatan mereka.

Hilang tumpuan Muhammad Hasbullah berkata, rakan sepasukan mengadu mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada latihan dan perlawanan persahabatan sepanjang berada di negara itu.

Ketengah Anjur Festival Kenyir 2014

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bakal menganjurkan Festival Kenyir 2014 sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM2014) tahun hadapan.

Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud berkata, festival itu akan berlangsung selama sebulan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir bermula 29 April sehingga 28 Mei 2014.

Menurutnya, banyak aktiviti diadakan sepanjang festival itu nanti antaranya persembahan kebudayaan, pameran jabatan, peluang menaiki helikopter dan menyaksikan 'power boat'.

Polis Terengganu Nasihat Orang Ramai Tak Sertai Perhimpunan Haram

Polis Terengganu menasihati orang ramai, khususnya penduduk di negeri ini, agar tidak menyertai perhimpunan haram yang dijangka diadakan pada malam 31 Dis ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata ini kerana perhimpunan itu boleh dianggap satu agenda yang bertentangan dengan undang-undang negara sedia ada.

Beliau berkata orang ramai juga diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang ajakan atau hasutan untuk menghadiri himpunan itu sama ada melalui panggilan telefon atau sistem pesanan ringkas (SMS).

"Mereka yang menyertai himpunan ini boleh dianggap melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24C Kanun Keseksaan kerana cuba menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah (melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen) serta akta lain yang berkaitan.

"Nak berhimpun untuk meraikan detik 12 malam tidak salah namun jangan sesekali menyertai himpunan berkenaan," katanya kepada pemberita di pejabatnya sem`l`m.

Manoharan berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan penganjuran perhimpunan itu di Kuala Lumpur Selasa depan.

Isteri Pasrah Suami Dikhuatiri Lemas Masih Tidak Ditemui

Pasrah selepas suaminya yang dikhuatiri lemas masih belum ditemui, Amizah Mohd Zain, 25, redha dengan ketentuan Illahi.

"Ya Allah kau campakan segera mayat suamiku ke darat, aku redha dan sedia menerima pemberian mu,” doanya selepas pasukan mencari dan menyelamat gagal mengesan suaminya, Ghafar Manaf, 32, yang lemas ketika mandi di Pantai Sura Hujung, semalam.

Dalam kejadian, kira-kira jam 6.20 petang, semalam, mangsa yang berasal dari Semporna, Sabah dikatakan dipukul ombak sebelum ditarik ke laut.

Wednesday, December 25, 2013

Maidam Peruntuk RM500,000 Sebagai Bantuan Kepada Mangsa Banjir

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyediakan peruntukan sebanyak RM500,000 sebagai bantuan kepada mangsa banjir, masjid dan surau di daerah Kemaman akhir bulan ini. 

Ketua Penolong Pengarah (Zakat) Maidam Azmi Tengah berkata bantuan itu akan membabitkan seramai 201 mangsa banjir, enam masjid dan 21 surau.

"Maidam akan memberi bantuan kepada asnaf yang berdaftar dengan Maidam dan juga kepada masjid dan surau yang terlibat banjir di Kemaman," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Affin Islamik Bank bagi tahun 2012 berjumlah RM466,666.67 di Kuala Terengganu, hari ini.

Lagi Bantahan Himpunan 31 Dis, Desak Polis Ambil Tindakan Awal

Sebanyak 30 belia dari Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu serta lima badan bukan kerajaan (NGO) membuat enam laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hulu Terengganu, berhubung perhimpunan tersebut.

Wakil mereka Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu Nik Azman Nik Abdul Razak berkata mereka mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang merancang perhimpunan itu.

"Himpunan itu juga bakal merosakkan belia negara dan kami menentang sekeras-kerasnya himpunan itu, malah kami sangat menyokong apa-apa tindakan tegas yang diambil pihak berkuasa," katanya di Hulu Terenggaanu, hari ini.

Selain Majlis Belia Daerah Hulu Terengganu, turut membuat laporan polis hari ini ialah Belia 4B, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Pengakap, Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) serta Majlis Belia Felda Hulu Terengganu.

Bank Rakyat Benarkan Penjaja Terjejas Banjir Tangguh Bayaran Balik Pinjaman

Penjaja dan peniaga kecil di Terengganu yang mempunyai pinjaman dengan Bank Rakyat boleh menangguhkan bayaran balik pinjaman jika perniagaan mereka terjejas banjir baru-baru ini.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu Syamsul Badrin Mohshin berkata kelonggaran itu diberi hasil kerjasama pihaknya dan bank tersebut.

"Namun penjaja atau peniaga kecil berkenaan perlu mendapatkan laporan polis yang menyatakan mereka terlibat dan terjejas akibat bencana alam itu sebagai bukti," katanya kepada pemberita, di Kuala Terengganu hari ini.

Kukuhkan Lagi Budaya Sukarelawan, Kata Ahmad Shabery

Ahmad Shabery turu membantu mangsa banjir di Kemaman baru-baru ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata budaya sukarelawan di negara ini perlu diperkukuhkan terutama dalam membantu mereka yang ditimpa musibah seperti bencana banjir.

Beliau berkata negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Australia misalnya, ramai rakyatnya berdaftar sebagai sukarelawan yang membantu kerja-kerja amal terutamanya apabila berlaku bencana alam. 

"Di Australia misalnya, terdapat lima juta individu yang mendaftar sebagai sukarelawan. Pernah berlaku banjir buruk di Queensland, Australia, air tidak surut selama dua bulan, selepas surut, kerja-kerja pembersihan hanya dilakukan dalam tempoh dua minggu sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sentuhan Kasih di Cherating, Selasa malam.

Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora

Angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak yang diramalkan sejak Selasa lepas dijangka berterusan ke hari ini.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, dan Johor dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj juga dijangka berlaku di perairan Sabah (pedalaman, pantai barat dan Kudat), Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

Rakyat Perlu Pentingkan Kebersamaan - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melambai tangan ke arah orang ramai semasa menghadiri sambutan Majlis Rumah Terbuka Krismas 2013 di Padang Kota Lama, di George Town, hari ini.
Datuk Seri Najib Tun Razak pada menggesa rakyat menitikberatkan kebersamaan sesama mereka bagi mengukuhkan keamanan, keharmonian dan kestabilan negara.

Rakyat perlu mencari kebersamaan antara mereka berbanding mencari apa yangmembezakan mereka, kata perdana menteri.

Beliau berkata sebagai contoh, walaupun terdapat perbezaan tafsiran sepertikonsep Tuhan dalam agama Islam dan Kristian, ia tidak seharusnya dijadikanperbalahan yang boleh merenggangkan hubungan antara kaum. "Islam dan Kristian adalah dua agama terbesar di dunia.

Kedua-dua agama ini boleh dikatakan mempunyai asal usul yang sama, ada permulaan yang sama iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim.


Ar-Rahnu Maidam Lulus Pembiayaan Berjumlah RM914.4 Juta Sejak 1992 Hingga Oktober Lepas

Skim Pajak Gadai Islam (Ar-Rahnu) Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM914.4 juta dengan transaksi gadaian keseluruhan sebanyak 748,786 sejak ditubuhkan pada 1992 sehingga Oktober lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Terengganu, Ghazali Taib berkata sehingga September lepas, keuntungan bersih Skim Ar-Rahnu Maidam ialah sebanyak RM2,905,752.

Sehingga kini terdapat sembilan cawangan Ar Rahnu yang dikelolakan Maidam iaitu di Jalan Tok Lam di sini, Besut, Kemaman, Dungun, Pekan Batu Enam dekat Manir, Setiu, Bandar Al-Muktaffi Billah Shah di Dungun, Marang dan Kuala Berang di Hulu Terengganu.

Nenek Rasis: Ketua Menteri P.Pinang Diberi Tempoh Seminggu Mohon Maaf


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diberikan tempoh seminggu untuk memohon maaf secara terbuka kerana menggelar Ketua Pembangkang negeri, Datuk Jahara Hamid dengan panggilan 'nenek rasis' pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Jahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Teluk Air Tawar berkata beliau sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, sekiranya beliau gagal memohon maaf kepadanya.

"Beliau (Lim) menuduh saya membangkitkan porpaganda perkauman dan memanggil saya '1,000 kali jahat, pemfitnah dan seorang nenek pembohong.

Kerja Keras Jurulatih Berbasikal Syed Mohd Hussaini Diiktiraf


Beliau mungkin tidak mencipta nama sebagai pelumba, namun selaku jurulatih sukan berbasikal namanya gah yang dibuktikan dengan gelaran jurulatih terbaik yang diterimanya dua kali berturut-turut menerusi Anugerah Sukan Terengganu.

Menceburi sukan berbasikal sebagai atlet pada 1992, pencapaian tertinggi Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan sebagai pelumba ialah mewakili negara di Sukan Komanwel Kuala Lumpur pada 1998.

Akan tetapi namanya mula menjadi sebutan selepas bergelar jurulatih dan berjaya melahirkan beberapa pelumba yang menaikkan nama negara di persada antarabangsa, antaranya Mohd Azizulhasni Awang yang digelar 'Pocket Rocketman', dan pemenang pingat emas Sukan SEA Indonesia 2011 Nur Fatehah Mustapha.

Usaha Tingkat Gnerasi Pelapis Dalam PAS Terengganu


Pelantikan Satiful Bahri Mamat sebagai Pesuruhjaya Pas Terengganu yang baharu membuktikan Pas tidak ketandusan pimpinan muda.

Adun Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, generasi pelapis perlu diberi peluang dalam memastikan mereka dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan terdahulu dengan corak lebih baik. 

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu pada penggal lalu memperlihatkan sikap optimis berhubung kesediaan memberi laluan kepada pimpinan baharu kerana percaya keadaan itu membantu pemimpin sedia ada meneruskan kepimpinan pada masa depan.

Empat Petisyen Pilihan Raya Akan Didengar Semula Di Mahkamah

Mahkamah Persekutuan pada Isnin lalu memerintahkan empat petisyen pilihan raya, bagi kerusi Parlimen Tapah, Bagan Datoh, di Perak dan Ketereh di Kelantan serta kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubok Merbau, diremit semula ke mahkamah pilihan raya untuk mendengar merit kes tersebut selepas membenarkan rayuan petisyen pilihan raya yang difailkan pembangkang.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif (gambar kiri) yang mempengerusikan panel lima anggota terdiri daripada hakim, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Seri Abu Samah Nordin, berkata mahkamah mengetepikan keputusan yang dibuat mahkamah pilihan raya yang menolak petisyen itu.

Dalam keputusannya, Md Raus menegaskan sesiapa saja boleh memfailkan petisyen dan pempetisyen tidak perlu hadir untuk memfailkan sendiri sesuatu petisyen itu.

Rompak: Pemilik Kedai Emas Rugi Setengah Juta

Pemilik sebuah kedai emas di sini kerugian setengah juta ringgit selepas kedainya di Jalan Bukit Mok Mek di Jerteh, dipecah masuk perompak yang berjaya meloloskan diri melalui dinding yang ditebuk dari kedai sebelah.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata penjenayah memasuki kedai emas itu melalui sebuah lubang berukuran 45sm x 43sm yang ditebuk dari kedai menjual barang plastik, bersebelahan kedai emas itu.

Katanya penjenayah yang dipercayai lebih daripada seorang, berjaya memasuki kedai plastik itu melalui lubang sisip angin tandas sebelum melakukan kerja mengorek antara 8 malam tadi hingga 2 pagi kelmarin pada dinding belakang kedai berkenaan.

BR1M 2014 Dibuka Sejak Kelmarin


Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2014 dibuka mulai kelmarin (23 Disember 2013) sehingga 31 Januari depan.

Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, penerima BR1M sedia ada tidak perlu mendaftar lagi, tetapi perlu mengemas kini maklumat peribadi termasuk alamat, maklumat anggota keluarga dan akaun bank.

"Bagi pemohon baharu pula boleh mendaftar secara dalam talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2014 secara percuma mulai tarikh tersebut," kata kenyataan itu.

Khianat, Ceroboh Istana Perlis: Penganggur Dipenjara Tiga Bulan

Seorang penganggur dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku melakukan khianat dan menceroboh Istana Perlis di Jalan Eaton di Kangar, dua minggu lepas.

Cheah Hun Chee, 31, didakwa memasuki Istana Perlis tanpa kebenaran pada 3 pagi 12 Dis lepas mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa memecahkan cermin pintu serta menconteng dinding istana dengan cat sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM500 di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sunday, December 22, 2013

Banjir Kilat: 113 Dipindahkan Ke Pusat Pemindahan

Seramai 113 mangsa banjir daripada 23 keluarga di Kampung Labohan, Kemasik terpaksa berpindah ke pusat penempatan banjir akibat banjir kilat awal pagi tadi.

Limpahan air dari bukit yang terletak di kawasan berdekatan dengan kampung tersebut akibat hujan yang tidak berhenti-henti sejak malam semalam menyebabkan kawasan perumahan di sekitar kampung itu dinaiki air.

Salah seorang mangsa, Che Rohani Senik, 45, berkata dia dan penduduk di kawasan berkenaan terpaksa berpindah ke pusat penempatan banjir akibat air yang naik mendadak sejak jam 4 pagi.

Terengganu Uji Pemain Di Indonesia Sebelum Harungi Liga M

Mamadau Hady Barry
Skuad penyu akan mengadakan lawatan ke Indonesia selama 10 hari mulai hari ini untuk menguji para pemain sebelum mengharungi Liga Malaysia yang bakal membuka tirai bulan depan.

Pengurus pasukan Marzuki Sulong berkata selain sebagai sesi pemanas badan, pihaknya juga mahu melihat sejauh mana keserasian antara pemain import dengan pemain tempatan.

"Kami akan membawa seramai 25 orang pemain termasuk empat pemain import untuk menguji sejauh mana pencapaian dan prestasi mereka," katanya.

Tiong Lai Ikrar Bawa Imej Baru Kepada MCA


Presiden MCA yang baru dipilih Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau berikar akan menjadi pemimpin yang akan membawa imej parti itu ke arah fasa baru lebih cemerlang.

"Kita harus memastikan semua pemimpin dan anggota bekerjasama sebagai satu pasukan yang kuat, tanpa rasa dendam dan iri hati, bagi menjayakan program transformasi parti.

"Sebagai parti yang kuat, sudah pasti MCA akan mengembalikan era kegemilangan seterusnya meraih sokongan dan kepercayaan masyarakat khususnya kaum Cina," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai pemenang jawatan tertinggi parti itu di Kuala Lumpur, semalam.

Tiong Lai yang memperoleh 1,186 undi mengatasi bekas naib presiden MCA Gan Ping Sieu (1,000 undi) dan bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat (160 undi) dalam pertandingan tiga penjuru, turut berterima kasih kepada para perwakilan yang telah memilihnya.

Kerajaan Akan Usahakan Bantuan Tambahan Untuk Mangsa Banjir - Najib

Perdana Menteri berkata kerajaan akan berusaha mencari sumber dan bantuan tambahan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir, disamping bantuan RM500 yang diumum sebelum ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata berdasarkan pemerhatian sekitar lawatan banjir di Pahang, telah memberi gambaran kepadanya mengenai kerugian yang terpaksa ditanggung setiap keluarga.

"Walaupun kerajaan pusat telah meluluskan bantuan khas bernilai RM500, saya akui jumlah tersebut tidak memadai.

PUNB Tangguh Bayaran Bulanan Kepada Usahawan Mangsa Banjir

Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menawarkan penangguhan pembayaran bulanan, sehingga enam bulan, kepada semua usahawannya yang terjejas oleh banjir, khususnya di Pahang dan Terengganu. 

Dalam satu kenyataannya pada Jumaat, PUNB berkata tawaran penangguhan pembayaran pembiayaan PUNB akan dipertimbangkan mengikut kes bermula Januari 2014 kepada usahawan skim Prosper Runcit, Prosper Pemborong, Prosper Usahawan Muda, dan skim perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

engerusinya Datuk Mohd Ali Rustam berkata penangguhan ini dapat meringankan beban serta kebimbangan usahawan terhadap komitmen kewangan dalam keadaan yang sukar.

Hospital Pakar SALAM Ketiga Di Kuala Terengganu Dijangka Beroperasi Feb 2014


Hospital Pakar SALAM yang ketiga di Kuala Terengganu yang telah siap pembinaannya, dijangka memulakan operasinya pada Februari 2014.

Hospital Pakar SALAM dimiliki 100 peratus oleh Hatimuda Sdn Bhd.

Pengarah Urusan Hatimuda Datuk Ir Zainal Bachik berkata Hospital Pakar SALAM di Kuala Terengganu pada kos RM85 juta itu telah siap pembinaannya dan hanya menunggu kelulusan pihak berkuasa termasuk bomba dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu sebelum boleh dibenarkan beroperasi.

Bekas Penyelia Teknikal Percetakan NSTP, Isteri Maut Dilanggar Lori

Sepasang suami isteri maut setelah kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di Km 47, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berdekatan Kampung Pasir Putih, di Dungun petang Sabtu.

Kemalangan kira-kira 5.00 petang itu berlaku apabila sebuah lori seberat satu tan yang dalam perjalanan dari arah Dungun ke Kuala Terengganu dikatakan memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan.