Saturday, August 1, 2009

Jangan layan pemimpin yang buat tohmahan

Sumber: Bernama

Anggota Umno Terengganu diingatkan supaya tidak membenarkan diri mereka dipimpin oleh pemimpin yang membawa tohmahan kerana ia hanya merugikan parti, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata perkara itu tidak harus dibiarkan berterusan kerana kepentingan parti mengatasi kepentingan individu.

"Kalau yang menjadi pertimbangan ialah jawatan, tiada gunanya jawatan yang paling tinggi dalam parti, kalau parti itu sendiri tidak dihormati dan disegani," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Dungun di Sekolah Menengah Teknik di Dungun malam tadi.

Beliau diminta mengulas mengenai kemelut politik Terengganu yang sehingga kini, masih belum memperlihatkan jalan penyelesaian antara Menteri Besar Datuk Ahmad Said dan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional Terengganu.

Hishammuddin berkata beliau sudah mengadakan perjumpaan dengan Ahmad dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh serta pemimpin-pemimpin Umno di empat peringkat.

Katanya dalam pertemuan itu, beliau memaklumkan hasratnya untuk melihat pemimpin dan anggota Umno kembali bersatu kerana mereka mempunyai agenda besar bagi memperkuatkan parti.

"Jaminan yang diberi (pemimpinpemimpin Umno ini) bila berjumpa semuanya beres. Tetapi apabila kita mengizinkan suasana di bahagian masing-masing atau kita terikut-ikut dengan sentimen atau dakyah yang ditaburkan pihak tertentu, kita benarkan diri kita dipengaruhi oleh sentimensentimen tertentu. Itu tidak mengizinkan penyelesaian dan suasana yang kondusif kepada penyatuan," katanya.

Hishammuddin, bagaimanapun berkata perpecahan yang berlaku di kalangan pemimpin Umno Terengganu tidaklah seteruk yang disangkakan oleh sesetengah pihak.

"Tetapi kalau berterusan dan tidak dibendung, saya bimbang keretakan atau permasalahan itu akan menjejaskan usaha kita untuk membawa perubahan dan memperkukuhkan parti," katanya.

Hishammuddin turut memuji langkah yang dilakukan oleh Ketua Umno Bahagian Dungun Datuk Rosli Mat Hassan yang melantik pemimpin yang kalah dalam pemilihan Umno lepas sebagai pemimpin di peringkat bahagian tersebut, dalam usaha menyatupadukan kembali anggota parti.

Katanya perkara itu boleh dijadikan contoh oleh bahagianbahagian lain jika hendak melihat Umno Terengganu lebih kuat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pada majlis itu, Rosli mengumumkan pelantikan Adun Paka, Zakaria Abdullah sebagai Ketua Penerangan Umno Bahagian Dungun bagi menggantikan Mahusin Taib manakala Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam yang tewas dalam merebut jawatan Ketua Umno Bahagian berkenaan, dilantik sebagai AJK Bahagian.

Waspada wabak selesema babi

Sumber: Utusan Malaysia

Rakyat di negeri ini dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan memberi perhatian serius terhadap sebarang langkah kerajaan untuk mengekang penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, meskipun setakat ini wabak itu di negeri ini masih terkawal, namun rakyat perlu lebih berwaspada.

Jelasnya, orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga sebelum wabak itu menjangkiti ahli keluarga dan jiran mereka.

"Janganlah setelah ada ahli keluarga atau jiran terdekat dijangkiti wabak itu baru kita nak bertindak, ia dah terlambat.

"Sepatutnya penjagaan kebersihan diri, kediaman serta kawasan perlu diutamakan pada setiap masa, bukannya ketika dilanda wabak baru kita beri perhatian," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Hari Bersama Pengguna Peringkat Daerah Besut di Pasar Pagi Kuala Besut semalam.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu dihadiri Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu, Umar Naim Saidin dan Timbalan Pengarah KPDNKK negeri, Abdul Ghani Harun.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, kes terbaru H1N1 di negeri ini adalah membabitkan pelatih Kem Program Khidmat Latihan Negara (PLKN) Peladang Setiu dua hari lalu.

"Daripada simptom yang ditunjukkan, seramai 12 orang pelatih disyaki dijangkiti virus tersebut dan Jabatan Kesihatan negeri telah mengarahkan kem itu ditutup selama seminggu sementara menunggu tindakan lanjut," ujarnya.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan negeri akan sentiasa memantau perkembangan wabak tersebut dan berharap kerjasama orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan jika mengalami simptom H1N1.

Orang ramai juga tambahnya, perlu mendapatkan penerangan lanjut daripada klinik atau hospital terdekat selain media mengenai perkembangan wabak itu dari semasa ke semasa.

Perkembangan siasatan LTSN, Pusat Akuatik diumum setiap bulan

Sumber: Berita Harian

Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengumumkan perkembangan siasatan terhadap beberapa aset penting di negeri ini termasuk Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) setiap bulan bagi memastikan ketelusan dan meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap projek kerajaan.

Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Judin Abdul Karim, berkata pengumuman secara berkala itu bagi menunjukkan pihaknya serius menyiasat dan memastikan jika ada penyelewengan berlaku, orang yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan tidak terlepas dan dibawa ke muka pengadilan.

"Kita akan kemas kini dan umumkan perkembangan serta penemuan siasatan setiap sebulan supaya rakyat tahu apa yang kita buat dan tiada perkara yang di selindung, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan siasatan terhadap Pusat Akuatik MBKT dan tindakan agensi itu terhadap LTSM yang menghadapi pelbagai masalah sejak lapan bulan lalu terutama siling tanggal di bumbung utama bangunan terminal.

JKR pusat mengambil alih peranan JKR Terengganu sebagai pemantau projek prasarana kerajaan negeri dengan menubuhkan jawatankuasa penyiasatan pada 9 Julai lalu untuk menilai punca kerosakan hingga menyebabkan Pusat Akuatik MBKT yang baru setahun digunakan itu ditutup kerana tidak selamat digunakan orang ramai.

Judin berkata, berdasarkan siasatan awal terhadap Pusat Akuatik MBKT, pihaknya tidak menolak kemungkinan wujud unsur salah laku dalam proses mereka bentuk serta piawaian pembinaan.

Katanya, pihaknya mengenal pasti banyak kelemahan dan kesilapan teknikal yang boleh dipersoalkan dalam pembinaan pusat akuatik bernilai hampir RM19 juta itu.

Beliau berkata, Jawatankuasa Salah Laku juga sudah ditubuhkan bagi menyiasat sama ada wujudnya unsur itu membabitkan pegawai JKR dan kontraktor yang terbabit dengan projek itu.

Pusat akuatik yang dibina mengikut konsep reka dan bina itu siap pada Mei 2008 untuk digunakan pada Sukan Malaysia (Sukma) Ke-12 pada Jun tahun lalu, yang mana kerja pengawasan dan pemantauan pembinaan kompleks itu dilaksanakan JKR Terengganu.

"Jika terbukti wujud salah laku, mereka yang bertanggungjawab tidak akan terlepas, walaupun mereka adalah kakitangan JKR Terengganu," katanya.

Bertanggungjawablah, jangan lepas tangan

Semua pihak yang terlibat dalam pembinaan projek-projek dibawah pembiayaan Dana Khas Kerajaan Persekutuan mesti bertanggungjawab keatas sebarang kecacatan dan kerosakkan yang dikesan dan berlaku.

”Tidak kira mereka pegawai ataupun ahli politik yang terlibat, mesti secara ‘gentlemen’ mengakui kesilapan dan tampil membuat pembaikian, sesuai dengan slogan kerajaan masakini “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”,”katanya menurut sebuah laman web.

Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu, Yahaya Ali berkata satu demi satu projek-projek mega yang dibiayai oleh ‘wang rakyat’ itu dilaporkan mengalami samada bocor, rosak, tanggal dan runtuh dalam waktu yang begitu singkat hayatnya.

”Projek yang menelan belanja yang cukup besar, mencecah ratusan juta ringgit sepatutnya memiliki kualiti dan mempunyai ketahanan yang hebat,

”Jika berlaku masalah, samada bocor, rosak, tanggal dan runtuh dalam masa setahun, tanggungjawab mesti diambil oleh mereka yang terlibat,” katanya.

Mengambil iktibar ke atas tragedi bumbung Stadium Sultan Mizan yang runtuh, beliau berkata, sehingga kini tidak ada pihak yang tampil, bahkan mereka yang memikul tanggungjawab semasa pembinaannya hanya ‘diam seribu bahasa’.

Beliau yang juga bekas Exco Kemudahan Awam dan Infrastruktur Negeri kesal dengan sikap ‘orang politik’ berkepentingan, yang sebelum ini ‘menjaja’ projek-projek tersebut adalah kejayaan kerajaan mereka, namun hilang entah kemana, apabila projek tersebut didapati bermasalah.

Katanya, jika berlaku masalah kepada projek-projek berkenaan, pasti ada hubungan dengan kemungkinan sesuatu penyelewengan telah berlaku samada dibina tidak mengikut spesifikasi atau pengawasan yang tidak mengikut ISO.

”Jika berlaku masalah (kepada bangunan), ia ada hubungan dengan kemungkinan, kos yang tinggi adalah bukan kos sebenar, tetapi merupakan bayaran komisen kepada pihak tertentu dan bangunan (tersebut) berkualiti rendah,” katanya.

”Mungkin juga kurang pengawasan pihak berwajib dan tidak mengikut ISO, kerana sogokan dan rasuah, dan sekiranya bangunan tersebut memiliki CF, ia sangat meragukan,”jelasnya.

Beliau mengambil contoh Pusat Akuatik di Batu Burok yang diakui oleh Kementerian Kerja Raya sebagai pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi.

Semalam, akhbar mendedahkan terdapat masalah kepada siling Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang tanggal di beberapa bahagian Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Pengurus Malaysia Airports Bhd (MAB) LTSM, Ahmad Ramli Mahmood, berkata pihaknya sudah mengesan masalah siling tanggal di beberapa bahagian lapangan terbang itu terutama di bahagian kiri dan kanan bumbung utama sejak lapan bulan lalu, dan dalam tempoh itu sudah tiga kali kejadian itu berulang.

Pendirian Umno mahukan penyatuan umat Islam: Najib

Sumber: Bernama

UMNO tetap berpendirian bahawa parti itu mahu kepada usaha yang boleh membawa kepada kebaikan kepada umat Islam di negara ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno berkata, sehubungan itu apa saja perbincangan dengan PAS ke arah penyatuan umat Islam diterima baik oleh parti itu.

Beliau berkata demikian selePAS mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT), di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, petang semalam.
Mengulas kenyataan terbaru Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa 'salam' yang dihulurkan bukan bermaksud berbaik dengan PAS-Umno tetapi antara kerajaan Kelantan yang ditadbirnya dengan Kerajaan Pusat, Perdana Menteri menegaskan Umno tidak berada dalam keadaan tertekan sehingga beria-ia mahu berbincang dengan PAS untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Sebaliknya, kata Presiden Umno, parti itu hanya mengambil kira akan peri pentingnya pendekatan yang boleh membantu menyelesaikan masalah di kalangan umat Islam di negara ini sekaligus menyatupadukan ummah.

"Tidak, tidak... Umno tidak rasa macam tertekan, sehingga kita terpaksa melakukan usaha untuk mencari titik pertemuan seperti pembentukan kerajaan campuran dan sebagainya.

"Tapi yang kita pentingkan ialah pendekatan ke arah menyelesaikan masalah di kalangan umat Islam yang boleh mendatangkan kebaikan. Apa bentuk sama ada ini melibatkan perubahan struktur dan sebagainya, ini soal kedua," katanya kepada pemberita di sini.

Najib, yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno diminta mengulas mengenai kenyataan sesetengah pemimpin PAS yang mendakwa Umno terdesak kerana terlalu beria-ia mahukan perbincangan mengenai perpaduan dengan parti pembangkang itu.

Mengulas lanjut isu itu, Perdana Menteri menegaskan prinsip Umno adalah sentiasa terbuka kepada usaha-usaha yang boleh mendatangkan kebaikan dan penyatuan umat Islam dan rakyat Malaysia amnya.

ALBUM...

Sukan rakyat untuk Pemangku Raja

Sempena Majlis Bersama Rakyat di Kampung Jeram, Telok Pasu baru-baru ini, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dipertontonkan pelbagai acara menarik.

Ia termasuk acara dan permainan tradisional yang disertai penduduk setempat antaranya pertandingan sukan air, pukul bantal, meniti tiang licin dan menangkap itik.


Turut dipertontonkan ialah persembahan silat oleh murid Sekolah Kebangsaan Telok Pasu.

Aktiviti lain ialah pameran kuih tradisional, promosi hasil kraftangan penduduk setempat serta gerai jualan oleh peniaga tempatan.

Gambar oleh Shuhaimi Ahmad

SEBARKAN:

Kanak Kanak Hilang


















NADIA NATASHA 8 TAHUN DAN AHMAD ZAKRY 10 TAHUN TELAH HILANG DARI RUMAH DI SRI PUTRAMAS, JALAN KUCHING, KL PADA 22 JUN 2009.

KALI TERAKHIR KANAK-KANAK INI DI LIHAT BERADA DI SEKITAR KAWASAN PUTRAMAS JAM 7 MALAM PADA 22 JUN 2009
SEBARANG MAKLUMAT BOLEH DI SALURKAN KEPADA PUAN MIZA DI TALIAN 013-3455661.

DIHARAPKAN SEMUA RAKAN BLOGGER DAPAT MEMBANTU BAGI MENCARI KANAK-KANAK INI. TOLONG SEBARKAN.

Tiada Akta Boleh Pertahan Survival Umno

Sumber: Bernama

Tiada sebarang akta yang boleh mempertahankan survival Umno sebagai parti yang memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam di negara ini melainkan sokongan padu peringkat akar umbi, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, berkata kekuatan perpaduan serta sokongan daripada anggota akar umbi akan menjadikan parti itu terus berpaksi sebagai wadah pembela nasib orang Melayu.

Umno, katanya, hanya mempunyai masa dua tahun lagi untuk menentukan survival parti dan dalam tempoh singkat itu, Umno tiada masa melayan perkara remeh-temeh atau kehendak sesetengah pihak.

"Lebih setahun kita menghadapi pilihan raya umum ke-12 dan di Terengganu sahaja, sudah lebih enam bulan melalui pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu. Adakah kita masih mahu fikirkan kepentingan diri sendiri? Kita kena bangkit dan suntik semula semangat dalam Umno khususnya di Terengganu.

"Bagaimana saya hendak jawab pada arwah bapa saya (Tun Hussein Onn) dan arwah bapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (Tun Abdul Razak Hussein) sekiranya Umno berkubur satu hari nanti.

"Itulah saya katakan, Umno perlu sokongan peringkat akar umbinya sebagai tunggak kekuatan supaya terus berdiri teguh membela nasib orang Melayu," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Hishammuddin berkata setiap anggota Umno memikul tanggungjawab besar bagi memastikan parti itu terus relevan kepada bangsa Melayu dan agama Islam untuk generasi akan datang.

"Sebab itu, walaupun di Kuala Lumpur ada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno hari ini, saya tetap mahu berada di Terengganu untuk menyedarkan ahli kita betapa pentingnya kekuatan anda di saat kita berdepan ujian yang besar.

"Apa yang membimbangkan saya ialah musuh yang kita tidak nampak. Justeru, saya menyeru semua anggota Umno khususnya di Terengganu, berjuang dengan ikhlas dan jujur," katanya.

Beliau berkata tidak mustahil Umno boleh terus mempertahankan perjuangannya, selama-lamanya jika mendapat sokongan padu daripada peringkat akar umbi.

Friday, July 31, 2009

Laporan Pemantauan LTSM diumumkan dalam masa terdekat

Pemantauan dan penilaian mengenai masalah siling tanggal di beberapa bahagian Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) terutama di bumbung utama terminal akan diumumkan dalam terdekat.

Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Judin Abdul Karim, berkata pemantauan dan penilaian yang sedang dilaksanakan.

LTSM yang bernilai RM123 juta itu menjejaskan imej satu lagi projek mega negeri itu yang juga baru hampir setahun digunakan.

Berita Harian Rabu lau melaporkan siling di bahagian bumbung utama Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) berhampiran Kompleks Menara Kawalan tertanggal lagi.

Ini sudah pasti menjejaskan pemandangan terminal berharga RM123 juta itu. Sebab tertanggal dikatakan kerana angin kuat dari pantai.

Pengurus Malaysia Airports Bhd (MAB) LTSM, Ahmad Ramli Mahmood, berkata pihaknya sudah melaporkan masalah ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) .

Beliau berharap agensi itu akan tampil dengan penyelesaian jangka panjang yang mungkin membabitkan rekaan semula bumbung itu,

Ahmad Ramli menjelaskan, pihaknya sudah mengesan masalah siling tanggal di beberapa bahagian lapangan terbang itu terutama di bahagian kiri dan kanan bumbung utama sejak lapan bulan lalu, dan dalam tempoh itu sudah tiga kali kejadian itu berulang.

Katanya, setiap kali MAB mengesan masalah itu, kontraktor akan membaikinya tetapi tidak berapa lama kemudian kejadian sama akan berulang.

Hisham – saya bukan pemimpin pihak tertentu

Sumber: Sinar Harian

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan pelantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu bukan untuk memimpin puak tertentu.

Sebaliknya, beliau berkata, pelantikan itu adalah amanah dan apa yang dipikulnya ketika ini telah ditakdirkan serta bukan dirancang.

Hishammuddin berkata, beliau turut tertanya-tanya pada awalnya apa sebabnya beliau diberi tanggungjawab memimpin Terengganu.

“Ini adalah satu amanah yang bukan sahaja untuk puak atau kumpulan tertentu tetapi amanah untuk bangsa, umat, agama dan tanah air,” katanya pada Majlis Pemberian sumbangan Sagu Hati Khas kepada Bekas Polis dan Balu/Duda Bekas Polis yang berkhidmat ketika darurat di Semenanjung dan Sabah/ Sarawak di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Keselamatan), Datuk Ahmad Fuad Ab Aziz dan Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Pada majlis itu, Hishammuddin turut menegaskan beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan melakukan tugas sebaik mungkin bagi mempertahan bangsa dan negara.

Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai senario politik, ekonomi, sosial dan keselamatan hari ini yang jauh lebih mencabar.

Menurutnya, kerajaan terus menghadapi tohmahan, gangguan dan serangan anasir politik dalam negara, lebih-lebih lagi apabila Parlimen serta Dewan Undangan Negeri juga telah dicemarkan.

“Cabaran yang dihadapi juga berbeza dan sememangnya cara untuk menghadapinya juga perlu dirancang dengan teliti agar matlamat mahu dicapai akan terlaksana sepenuhnya,” katanya.

Alias – Kerajaan serius banteras kemiskinan

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memperuntukkan RM623,000 bagi menjayakan Program Peningkatan Pendapatan Rakyat Miskin bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat sejak diperkenalkan pada 2006.

Pegawai YPKT Daerah Marang, Zahari Mat berkata, daripada jumlah itu, 109 penduduk DUN Alor Limbat menerima pelbagai jenis bantuan peralatan, menjadikannya antara penerima teramai bagi Parlimen Marang.

Menurutnya, daripada jumlah itu, YPKT membelanjakan RM112,155 bagi tahun 2009 untuk 16 penerima iaitu untuk fasa keempat sejak program diperkenalkan.

“Bagi program ini, YPKT memberi pertolongan melalui pemberian peralatan bagi membolehkan mereka bekerja dan berniaga dengan lebih baik dan sistematik.

“Bantuan yang diberikan juga pelbagai, termasuk motosikal roda tiga, mesin rumput, tong ikan, mesin jahit malah paku juga dibekalkan kepada mereka. Kita lebih suka bantuan diberikan dalam bentuk peralatan agar mereka lebih berusaha, berbanding memberi bantuan kewa-ngan,” katanya.

Menurut Zahari, YPKT membelanjakan RM103,000 pada 2006 bagi memberi bantuan kepada 29 penerima di DUN Alor Limbat dan jumlah itu meningkat kepada 43 orang (RM241,620) pada 2007, dan 21 penerima (RM166,320) pada 2008.

Sebelum itu, beliau menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Alias Abdullah menyerahkan bantuan motosikal roda tiga dan peralatan kepada lima penduduk bertuah di DUN berkenaan.

Sementara itu, Alias dalam ucapannya mengharapkan penerima bantuan menggunakan peralatan diberikan dengan sebaik mungkin dan tidak sekali-kali mengambil kesempatan menjualnya.

Menurut Alias, kerajaan sentiasa serius membanteras kemiskinan penduduk namun pada masa sama, ia perlu disusuli kesungguhan rakyat keluar daripada garis kemiskinan.

JANGAN LUPA KE PESTA MAKANAN DAN BUAH-BUAHAN TERENGGANU...ESOK!

Tempat – Letak Kereta B Stadium Bukit Jalil Tarikh - 1 Ogos 2009 Jam – 6 petang hingga 12 malam.
TETAMU UTAMA – MENTERI BESAR, YAB DATUK AHMAD SAID.


TUNGGU APA LAGI?

Jom la...naik bas ke, berkereta ke, naik kapal terbang ke...apa sahaja.

Mari kita menjayakan kempen menarik 10,000 warga Terengganu ke Pehimpunan 1T3F (1 Terengganu Food Fruits Fiesta) di tempat letak kereta B Stadium Bukit Jalil esok (1 Ogos 2009), 6 petang hingga 12 malam.

Apa ditunggu lagi. Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mempelawa semua warga Terengganu untuk menikmati makanan dan buah-buahan Terengganu dengan percuma selain berhibur dengan artis tempatan yang akan turut serta memeriahkan acara itu.

Satu daripada istimewanya sajian Sabtu ini ialah mafin dan biskut gadung selain kueh-mueh tradisional lain.

Gembiranya rakyat Kampung Jeram...

Jurugambar Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM), Shuhaimi Ahmad merakamkan beberapa gambar Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Kampung Jeram, Telok Pasu baru-baru ini.

Rakyat mana yang tidak gembira apabila berpeluang menyaksikan wajah Pemangku Raja Terengganu dan rombongan dari dekat.


Lebih 13,000 penduduk sekitar Manir di Di Kampung Jeram, ketibaan baginda yang turut diiringi kekandanya, Tengku Nadhirah Zahrah kira-kira jam 4.45 petang dan disambut meriah oleh penduduk setempat serta pelajar sekolah yang mengibar bendera sepanjang jalan tanda menghargai kesudian baginda meluangkan masa bersama rakyat.


Hadir sama di Kampung Jeram ialah Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Baderulzaman; Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan isteri, To' Puan Norliza Mahmud serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Said.

Pemangku Raja turut meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa lemas, Allahyarham Mohd Uzeir Norman yang juga anak saudara kepada Abdul Rahin.

Galeri tokoh DUN Seberang Takir

Sumber: Berita Harian

Kerajaan negeri merancang mewujudkan galeri bagi menempatkan maklumat berkaitan sejarah dan tokoh besar yang berasal dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata DUN Seberang Takir mempunyai latar belakang sejarah yang menarik dan sudah melahirkan ramai tokoh hebat dalam pelbagai bidang, termasuk perniagaan, seni dan pendidikan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir berkata, galeri itu akan berfungsi sebagai tempat rujukan bukan saja untuk pelajar dan ahli sejarah, tetapi juga kepada orang ramai yang berminat mengkaji dan mengetahui susur galur sejarah DUN berkenaan.
"Sebenarnya impian untuk membina galeri ini sudah lama dan menjadi harapan saya untuk mewujudkannya (galeri) di DUN sendiri kerana kita sedia maklum ramai tokoh hebat dilahirkan di sini.

"Nama seperti Tan Sri Ibrahim Fikri, penyair JM Aziz, Senator Rashid Ngah, Allahyarham Wan Shamsuddin Wan Mamat bukan lagi asing bagi kita dan mereka menunjukkan kehebatan dalam bidang masing-masing.

"Justeru, melalui pendedahan ini, kita berharap pelajar akan mengambil contoh dan lebih ramai manusia hebat akan lahir selepas ini," katanya selepas merasmikan Program Motivasi Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks Seberang Takir, DI Kuala Terengganu kelmarin.
Seramai 500 pelajar tingkatan tiga, empat dan lima dari beberapa sekolah menengah di DUN Seberang Takir menyertai program motivasi yang ditaja Yayasan Terengganu (YT) dan dikendalikan dua penceramah terkenal iaitu Datuk Dr Fadzillah Khamsah dan Dr Tengku Ismadi Tengku Mohamad yang juga berasal dari Seberang Takir.

Hadir sama, Pengarah YT, Md Kamaru Al Amin Ismail.

Terdahulu, beliau turut menerima cek sebanyak RM10,000 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kemahiran Showme sebagai sumbangan bagi membiayai program motivasi pelajar pada masa akan datang.

Ahmad Razif berkata, galeri itu akan ditempatkan di satu bahagian Masjid Seberang Takir yang akan dibina dengan anggaran kos antara RM5 juta hingga RM6 juta pada tahun depan.
"Masjid lama yang diasaskan oleh Tan Sri Ibrahim Fikri akan dirobohkan dan diganti dengan masjid baru. Jadi kita akan sedia satu ruang dalam masjid itu untuk dijadikan galeri.

"Selain itu, tempat hentian bot penambang untuk ke Kuala Terengganu dan kios perniagaan turut dibina berdekatan masjid dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan lagi.

"Dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan, kita harap DUN Seberang Takir muncul sebagai destinasi pelancongan terkemuka pada masa akan datang," katanya.

Pasir Tebakang dikaji dinaik taraf - Lajim

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mempertimbangkan permohonan rakyat di Kampung Pasir Tebakang, Manir untuk menaik taraf kemudahan di kawasan berkenaan.

Permohonan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM800,00 meliputi penambahbaikan jeti, pembinaan dua buah rumah kedai dan padang permainan kanak-kanak yang baru.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Panglima Lajim Ukim berkata, kementerian akan membincangkan usul tersebut dengan segera bagi menjamin keselesaan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kementerian akan mempertimbangkan suara rakyat di Kampung Pasir Tebakang yang meminta supaya membuat penambahbaikan jeti, membina dua buah rumah kedai dan padang permainan kanak-kanak yang memakan belanja RM800,000.

“Setiap kemudahan baru itu akan dibincangkan dan diselesaikan dalam masa terdekat ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat di kampung ini seiring perkembangan semasa,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan amat menitikberatkan keperluan rakyat terutama golongan miskin kerana jika tidak dibantu kehidupan mereka akan bertambah teruk dan keadaan ini me-nyebabkan berlakunya pelbagai masalah lain.

Beliau berkata demikian selepas berucap pada Program ‘Local Agenda 21’ Pemimpin Bersama Rakyat Menyusur Sungai Ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir dan Menikmati Buah-buahan Tempatan di Dataran Warisan Kampung Pasir Tebakang, Manir, dekat Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Rozi Mamat; Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Saiful Bahri Baharudin; Ketua Wanita UMNO Terengganu, Senator Fatimah Hamat; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Mat Razali Kassim dan Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam.

Sehubungan itu, Lajim berharap, rakyat di negeri ini bijak memanfaatkan saluran kemudahan yang diberikan dengan baik.

Mereka juga diingatkan supaya sedar bahawa kerajaan tidak akan menyusahkan mereka, sebaliknya berusaha membangunkan kehidupan rakyatnya.

Thursday, July 30, 2009

Siling lapangan terbang tertanggal lagi
















Berita Harian semalam melaporkan siling di bahagian bumbung utama Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) berhampiran Kompleks Menara Kawalan tertanggal lagi.

Ini sudah pasti menjejaskan pemandangan terminal berharga RM123 juta itu. Sebab tertanggal dikatakan kerana angin kuat dari pantai.

Pengurus Malaysia Airports Bhd (MAB) LTSM, Ahmad Ramli Mahmood, berkata pihaknya sudah melaporkan masalah ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) .

Beliau berharap agensi itu akan tampil dengan penyelesaian jangka panjang yang mungkin membabitkan rekaan semula bumbung itu,

Kejadian ini berlaku selepas sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh dan Pusat Akuatik di Kuala Terengganu ditutup.

Hakikatnya, masalah siling tanggal di beberapa bahagian LTSM ini menjejaskan imej satu lagi projek mega negeri ini yang baru hampir setahun digunakan.

Ahmad Ramli menjelaskan, pihaknya sudah mengesan masalah siling tanggal di beberapa bahagian lapangan terbang itu terutama di bahagian kiri dan kanan bumbung utama sejak lapan bulan lalu, dan dalam tempoh itu sudah tiga kali kejadian itu berulang.

Katanya, setiap kali MAB mengesan masalah itu, kontraktor akan membaikinya tetapi tidak berapa lama kemudian kejadian sama akan berulang.

DYMM Tengku Muhammad Penaung MPNT

Kerajaan dan rakyat Terengganu semalam mempersembahkan ucapan tahniah dan kesyukuran di atas pemasyhuran ke bawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail sebagai Penaung Majlis Pengakap Negeri Terengganu (MPNT).

Melalui iklan sembah takzim daripada Kerajaan Negeri dan Rakyat Negeri Terengganu Darul Iman melalui sebuah akhbar, ia melengkapkan lagi pemasyhuran yang berlangsung 19 Julai lalu.
Majlis pemasyhuran itu disempurnakan Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr Shafei Mohd Salleh, di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Turut hadir di majlis itu, Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku, Tengku Sri Panglima Raja; Menteri Besar, Datuk Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Ahmad Said berkata bagi menghargai jasa setiap ahli, kerajaan negeri bersetuju menghadiahkan sebidang tanah bertujuan membina kem pengakap dan beberapa infrastruktur lain.



Datuk Seri Shafei menyerahkan watikah Pemasyhuran Pelantikan Penaung Majlis Pengakap Negeri Terengganu kepada Tengku Muhammad Ismail. -Foto SHUHAIMI AHMAD

“Lokasi tanah itu masih dalam perbincangan sama ada di Kuala Terengganu atau daerah lain,” katanya.


Menurutnya, dengan wujudnya kem itu nanti, pelbagai aktiviti boleh dilaksanakan semata-mata untuk kebaikan ahli sekaligus mampu mengelak gejala sosial seperti melepak dan merempit.

Sementara itu, Datuk Seri Shafei, berkata penerimaan pelantikan Tengku Muhammad Ismail sebagai penaung dianggap sebagai perhargaan paling berharga bagi MPNT.


Tengku Muhammad Ismail dan Dato' Ahmad bergambar bersama pemimpin pengakap pada Majlis Pemasyhuran Pelantikan Penaung Majlis Pengakap Negeri Terengganu di Istana Maziah.
“DYMM Tengku Muhammad akan dijadikan sebagai ikon di kalangan masyarakat, terutama pelajar turut menyertai pengakap dan ahli badan beruniform lain,” katanya.

Beliau berkata, sehingga ini kira-kira 120,000 ahli menggangotai pengakap di Terengganu dan kini aktif menyertai pelbagai aktiviti anjuran MPNT dan agensi lain.

Wednesday, July 29, 2009

Rombongan PIBG SMK Kepong ke Terengganu…

Catatan Suhana Shukor melalui teganuku@gmail.com

Pengalaman rombongan PIBG SMK Kepong, Selangor Darul Ehsan melawat negeri Terengganu Darul Iman pada 10 hingga 12 Julai 2009 lalu menjadi kenangan sukar dilupakan.

Ia menjadi antara peristiwa penting SMK Kepong bagi tahun 2009.

Seramai 80 orang, kebanyakan warga Guru - Pengetua, Puan Sabrina bt Sulaiman; Puan Hajjah Wan Zakiah bt Wan Omar (Penolong Kanan Sesi Pagi); Puan Lim Boon Ngee (Penolong Kanan HEM); Puan Hajjah Noreini bt. Mohd Yatim (Penolong Kanan Sesi Petang); YM Raja Baharudin b Raja Hussain (Penolong Kanan KOKU); Encik Lim Meng (Guru Disiplin) dan guru-guru sesi pagi dan petang.

Yang lain nya ialah bekas-Pegawai Seranta Sekolah, Sarjan Guru; AJK PIBG, Suhana Shukor, Encik Samsuri dan Encik Mariapan serta isteri dan beberapa orang kakitangan pentadbiran SMK Kepong. Kami menginap di Hotel Seri Hoover selama dua malam serta dua sarapan pagi melalui tajaan yang telah diusahakan oleh Biro Kebajikan dan Sosial, PIBG SMK Kepong.

Lawatan ke Masjid Kristal adalah antara tempat pertama dan dengan kira-kira 25 ahli rombongan bukan Islam tidak melepaskan peluang untuk meninjau keindahan Masjid berkenaan.

Kerana jadual yang padat, anggota rombongan sempat ‘menoleh sahaja’ ke arah replika masjid-masjid terkenal di Taman Tamadun Islam itu.

Destinasi seterus nya ialah ke Pulau Kapas. Perjalanan ke Pulau Kapas mengambil masa setengah jam dengan menaiki bot melalui Jeti Marang.

Kami sempat mengelilingi pulau dan menyaksikan pemandangan pantai putih yang terhampar indah.

Kami juga berkesempatan berhenti di Gua Buaya, yang dipenuhi dengan kelawar dan merakamkan beberapa gambar sebagai kenangan. Walaupun laut dalam, kami masih dapat melihat ikan sekecil nemo di dasar lautan. Terumbu karang yang masih berkeadaan baik menampakkan sifat bertanggungjawab di kalangan penduduk sekitar.

Aktiviti sukaneka anjuran Kelab Guru, memeriahkan lagi kunjungan kami di pulau ini.

Persinggahan di Pantai Batu Buruk adalah tempat untuk kami berehat selepas penat lelah bersukan, sambil menikmati minum petang. Deruan ombak memukul pantai kedengaran berselang seli dengan gelak ketawa tanda keriangan peserta rombongan.

Acara kemuncak lawatan ialah Jamuan Makan Malam di Restoran Paradise tajaan kerajaan negeri Terengganu.

Ucapan khas wakil dari pejabat Menteri Besar Terengganu, Encik Hambali Abd Latif menyuntik semangat kepada warga guru untuk mencontohi usaha dan cara pembelajaran yang dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu.

Kecemerlangan pencapaian pendidikan di Terengganu, banyak yang kami pelajari.

Walaupun kami rakyat Selangor, kami berbangga atas keperihatinan pemimpin, terutama kerajaan negeri Terengganu dalam usaha untuk MERAKYATKAN PENTADBIRAN DAN PEMBANGUNAN.

Acara pada malam itu juga membabitkan penyampaian hadiah kepada pemenang Sukaneka di Pulau Kapas. Acara persembahan dari guru-guru dan penglibatan dari semua hadirin memeriahkan lagi malam kemuncak lawatan kami ini.

Majlis bersurai jam 12.00 malam

Rombongan bertolak balik pada Ahad, 12hb Julai 2009, sekitar 9.00 pagi.

Kami sempat ke Pasar Payang untuk membeli ole-ole untuk dibawa pulang sebagai kenangan.

Kami juga berpeluang untuk melihat Lapangan Terbang Sultan Mahmud kerana menghantar 14 orang guru yang akan menghadiri kursus keesokkan hari nya.

Keropok Lekor di Marang adalah destinasi terakhir kami, bagi sesiapa yang tidak berkesempatan untuk membelinya.

Rombongan akhirnya selamat tiba di Kuala Lumpur kira-kira jam 12 malam.

Biarpun penat kami gembira dan ingatan kepada Terengganu akan kekal sampai bila-bila.

PAS TERENGGANU KEMARUK NAK PILIHAN RAYA

PAS meroyan tak habis-habis.

Selepas gagal mempertahankan ‘kerajaan Islam’ (konon) di Perak, PAS Terengganu mengatakan akan ada pilihan raya bagi menyelesaikan krisis (UMNO) di negeri berkenaan.

Bagi PAS, ia berkeyakinan pilihan terakhir bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak dan Terengganu sekarang dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi membolehkan mandat baru rakyat diperolehi.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini berkata, krisis politik yang berlanjutan di kedua-dua negeri yang kini diterajui Barisan Nasional (BN) tidak mampu selesai tanpa diadakan pilihan raya.

"Kalau sebelum ini Perak disebut-sebut akan dibubarkan DUN dalam tempoh terdekat, masalah serupa juga berlaku di Terengganu," katanya pada perjumpaan dengan anggota jawatankuasa PAS Besut baru-baru ini.

Hadir sama Yang Dipertua PAS kawasan itu, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

Menurutnya krisis yang berlaku antara Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dengan bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh tidak boleh diselesaikan lagi.

Oleh itu beliau meminta jentera Pilihan raya PAS Terengganu bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya peringkat negeri dalam masa terdekat ini.

"Semua ahli dan penyokong PAS hendaklah mendekati semua lapisan masyarakat bagi menarik mereka menyokong PAS.

"Janganlah kita memusuhi mereka kerana semata-mata mereka menyokong UMNO sebaliknya perlu berusaha menarik mereka," tambahnya.

Lawatan presiden merupakan sebahagian program memperkasakan PAS Besut. Program dua hari itu diadakan pada 24 dan 25 Julai lalu.

Hadir sama Timbalan Presiden, Ustaz Nasaruddin Mat Isa dan Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Abdul Hadi berkata, berikutan krisis dalaman Umno, PAS Terengganu diberi layan istimewa oleh Menteri Besar terutamanya menyelesaikan hak milik tanah yang telah dilulus kerajaan PAS namun dirampas kerajaan BN di bawah Idris.

"Datuk Mad (Ahmad Said) berjanji akan menyelesaikan masalah pemilikan tanah yang bertindih dengan menyerahkan kembali hak milik berkenaan kepada pemilik asal.

"Menteri Besar bersetuju berbuat demikian sebagai menghargai sokongan Adun PAS Terengganu bagi menyelamatkan daripada undi tidak percaya dibawa Adun BN," ujarnya.
PAS sekarang mempunyai lapan daripada 32 kerusi di Dun Terengganu.

Dengar suara rakyat - Elak buat keputusan silap

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Awang, berkata suara rakyat penting dalam memastikan pembangunan yang dijalankan bukan saja mendatangkan hasil kepada ekonomi kerajaan negeri, tetapi dapat dinikmati dan dimanfaatkan rakyat untuk jangka masa panjang.
Sehubungan itu, beliau meminta semua wakil rakyat mendengar suara rakyat setempat terutama pandangan mereka terhadap setiap projek pembangunan dirancang kerajaan negeri, bagi memastikan semua perancangan dilaksanakan memberi manfaat dan dapat dinikmati semua golongan.

Beliau berkata, pengalaman sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Exco) banyak memberi pengajaran kerana ada kalanya pendapat disuarakan masyarakat di peringkat akar umbi lebih bernas berbanding pendapat pakar dalam sesuatu bidang.

"Saya masih ingat, pembinaan benteng pemecah ombak di Merang, Setiu dulu mendapat bantahan daripada penduduk setempat kerana ia dikhuatiri hanya mampu bertahan beberapa ketika.

"Bagaimanapun, pembinaan tetap diteruskan dan terbukti walaupun sudah melalui kajian dan nasihat dari pakar berkaitan, ia roboh dan tetap tidak boleh pakai.

"Daripada pengalaman ini kita boleh lihat bahawa pendapat dan suara rakyat sangat bernilai untuk membantu kerajaan negeri membangunkan negeri seiring dengan pendekatan merakyatkan pembangunan yang dilaungkan kerajaan negeri," katanya pada sidang media sempena Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun DUN Terengganu di Kuala Terengganu kelmarin.

Sempena sambutan itu, sebanyak RM700,000 diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi menjayakan pelbagai program yang akan berlangsung selama hampir lima bulan bermula kelmarin.

Beliau berkata, sempena sambutan itu pelbagai program membabitkan semua golongan termasuk pihak istana, pemimpin negeri, bekas wakil rakyat, ahli akademik, pegawai kerajaan, pelajar dan masyarakat setempat sudah diatur.

Tengku Putera berkata, wakil rakyat pada kini amat bertuah kerana mempunyai banyak saluran untuk mendapatkan maklumat dan maklum balas berhubung suara rakyat.

"Sekarang ini banyak cara untuk wakil rakyat dapat mendengar suara rakyat termasuk melalui SMS dan e-mel. Walaupun tidak lagi berborak di kedai kopi macam dulu-dulu, pelbagai maklum balas boleh didengar untuk kebaikan rakyat," katanya.

DUN TERENGGANU SAMBUT JUBLI EMAS

Terengganu akan mengadakan majlis sambutan Jubli Emas Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, mulai semalam hingga Disember depan, sempena 50 tahun kewujudan dewan itu.

Yang Dipertua DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, pelbagai acara dan program telah diatur bagi menyambut ulang tahun DUN itu.

Beliau berkata, sambutan malam esok (semalam) bermula dengan solat maghrib, solat hajat, bacaan surah yasin, tahlil dan solat isyak bertempat di DUN, Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu.

"Tujuan sambutan antara lain bagi memberi kesedaran kepada semua pihak terutama Ahli-ahli Yang Berhormat tentang pentingnya kewujudan DUN dan mempertahankannya sebagai satu institusi yang mulia yang menjadi tempat perbahasan dan percambahan ilmu serta idea, semata-mata untuk kepentingan rakyat," katanya pada sidang media di Kuala Terengganu kelmarin.

"DUN Terengganu kali pertama bersidang ialah pada 27 Julai 1959, sebab itu dicadangkan tarikh untuk diadakan sambutan bermula Julai hingga Disember depan," katanya.

Tengku Putera berkata, antara acara menarik ialah pidato rakyat jubli emas dan persidangan mini Dewan Undangan Negeri yang dijayakan oleh pelajar sekolah, wacana ilmu jubli emas dan kuiz 'Ingat Sokmo Ganu Kita'.

Katanya, acara kemuncak ialah majlis makan malam yang akan disertai Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong pada Disember.

Dua lawatan pemangku raja meriah

Lebih 13,000 penduduk sekitar Manir di Kuala Terengganu, tidak melepaskan peluang menyaksikan lebih dekat wajah Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Kampung Jeram, Telok Pasu kelmarin.

Sebelum itu Pemangku Raja Terengganu, ke Dataran Alor Limbat, Marang, turut mendapat sambutan meriah masyarakat dan penduduk sekitar yang begitu teruja untuk menatap wajah Raja kesayangan mereka dari dekat.

Di Kampung Jeram, ketibaan baginda yang turut diiringi kekandanya, Tengku Nadhirah Zahrah kira-kira jam 4.45 petang dengan menaiki 'buggy' disambut meriah oleh penduduk setempat serta pelajar sekolah yang mengibar bendera sepanjang jalan tanda menghargai kesudian baginda meluangkan masa bersama rakyat.

Kampung Jeram yang menjadi lokasi kedua majlis berkenaan selepas Dataran Seri Limbat, Marang pada Sabtu minggu lalu turut dimeriahkan dengan paluan alat muzik dikenali 'tarodak' serta perarakan bunga manggar dan pulut kuning turut mengiringi ketibaan Tengku Muhammad Ismail.

Hadir sama di Kampung Jeram ialah Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Baderulzaman; Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan isteri, To' Puan Norliza Mahmud serta Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Said.

Pemangku Raja turut meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa lemas, Allahyarham Mohd Uzeir Norman yang juga anak saudara kepada Abdul Rahin. Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol itu lemas ketika mandi di Sungai Jeram di sini, bersama dua abang dan dua rakannya dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Jumaat lalu.

Pelbagai acara dan permainan tradisional disediakan untuk disertai penduduk setempat antaranya pertandingan sukan air, pukul bantal, meniti tiang licin dan menangkap itik. Baginda dipertontonkan dengan persembahan silat oleh murid Sekolah Kebangsaan Telok Pasu.

Antara aktiviti lain ialah pameran kuih tradisional, promosi hasil kraftangan penduduk setempat serta gerai jualan oleh peniaga tempatan.

Sementara itu keberangkatan pemangku raja pada 21 Julai ke Dataran Alor Limbat, Marang, turut berkenan mengurniakan bantuan kepada anak-anak yatim, orang-orang tua dan fakir miskin dalam DUN Alor Limbat.
















Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Nadhirah Zahrah melihat demonstrasi membuat laksa pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Alur Limbat, Marang. - Foto SHUHAIMI AHMAD.

Pemangku Raja yang diiringi kekandanya, Tengku Nadhirah Zahrah dan Ahli Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Laksamana Raja, berkenan menghadiri Majlis Bersama Rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri To’ Puan Norliza Mahmud serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan isteri menyambut ketibaan mereka berdua.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mokhtar Nong dan isteri To’ Puan Rahmah A.Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, YB Alias Abdullah serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; Ketua-ketua Jabatan dan lebih 7,000 penduduk daripada pelbagai golongan dan peringkat usia.

Kebawah DYMM Tengku Muhammad Ismail kemudiannya berkenan melihat demonstrasi menumbuk emping dan membuat laksa tradisional serta persembahan Go Kart, Pocket Bike dan Helikopter alat kawalan jauh.
















Tengku Muhammad Ismail berkenan menyampaikan bantuan kepada penduduk miskin sambil diperhatikan oleh Dato' Ahmad.

Sementara itu, Dato’ Ahmad dalam ucapannya menyifatkan kecenderungan dan perhatian Kebawah DYMM Pemangku Raja terhadap kebajikan rakyak menjadi pendorong dan menyuntik semangat rakyat untuk terus berusaha serta mengeratkan hubungan silatulrahim dikalangan masyarakat .

















Pertunjukkan `pocket bike' turut memeriahkan Majlis Bersama Rakyat di Kampung Alur Limbat.

Katanya sebagai rakyat yang sentiasa berpegang teguh kepada prinsip rukun negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara, kesudian hadir Kebawah DYMM Tuanku akan menyuburkan semangat dan usaha untuk terus mengekalkan kemakmuran bumi tercinta ini.

Tuesday, July 28, 2009

Sinar Harian kuat promo PAS

PENDAPAT:
Oleh Cucu Pok Teh Bakap

Saya terbaca satu berita agak menarik dalam akhbar tabloid tempatan semalam.
Tajuknya “Pas jangka perpecahan pemimpin UMNO”.

Orang PAS semakin berani buat ramalan. Pada hal dalam Islam buat ramalan mengenai perpecahan orang lain atau sebagainya yang negative rasanya dilarang.

Tapi kalau dah politik – semuanya halal. Nyalaan lilin pun tidak apa bagi orang PAS, tidak haram hanya ‘bengong je’.

Kata Pengarah Pilihan raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman, PAS menjangkakan perpecahan pemimpin UMNO Terengganu tidak akan selesai sampai bila-bila, meskipun parti itu berusaha memperbaiki keadaan dan mengembalikan kekuatan mereka.

Katanya, punca utama keadaan itu adalah disebabkan sikap pemimpin UMNO sendiri terlalu mementingkan kebendaan dan jawatan tertentu hingga sanggup mengabaikan perjuangan parti.

Sehubungan itu katanya, Pas yakin akan dapat menawan semula Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti dan mengembalikan kegemilangan pemerintahan parti itu di negeri ini.

“Kita mampu tawan Terengganu nanti, keyakinan ini berasaskan kepada keadaan UMNO yang berpecah- belah dan tidak bersatu antara satu sama lain, selain beberapa kelemahan pentadbiran berlaku dalam kerajaan BN,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Cantik mainan dua pihak ini. Satu pemimpin PAS dan satu lagi “pembawa berita” yang seakan-akan berfungsi sebagai pemecahbelah UMNO dan penyokong PAS.

PAS jangan lupa ada dua perkara.

Pertama ketika UMNO memang pada 2004, UMNO Terengganu pun pecah juga diakibatkan oleh pertelingkahan orang Datuk Seri Idris Jusoh dan Tan Sri Wan Mokhtar.

Kedua, dalam PAS pun berpecah juga sekarang ini. Jangan ingat di Terengganu semua orang pengikut Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ramai juga yang kuat di Terengganu ini proErdogan.

PAS kena ingat ini. Jangan dok selak seluar orang je…nanti kan terkencing merata.
Kalau PAS telah memulakan kerja menyusun pelbagai strategi dan rancangan terbaik bagi menawan Terengganu tanpa menunggu saat-saat akhir pilihan raya umum, UMNO pun buat kerja juga.

Jangan ingat Tan Sri Hishamuddin Hussein dan Datuk Ahmad Said duduk diam.
Pun begitu Ketua Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pun ada strategi juga.
Cuma di sebelah UMNO tidak mahu publisiti murahan seperti yang disokong Sinar Harian ini.

Tawan hati dengan air liur sahaja bolehlah tetapi UMNO dan Kerajaan Terengganu sudah mula bergerak dengan pelbagai program.

Susah mahu disebut satu persatu sebab banyak sangat.

Jadi kepada Sinar Harian, kalau nak jek PAS pun hati-hatilah….

Penyalahgunaan e-book – 6 sahaja terbabit

Hanya enam murid terbabit dan bukan 12 orang seperti dilaporkan.

Isu ini pun bukan baru, bulan lepas lagi dan tidak menjadi perkara yang wajar diperbincangkan lagi.

Namun oleh kerana ditimbulkan semula oleh sebuah akhbar tabloid nasional semalam, ia diperkatakan semula.

Bagaimanapun, pihak sekolah telah menarik balik penggunaan e-Book membabitkan enam murid berkenaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman pihaknya amat menghargai tindakan pantas pihak sekolah yang mengesan kejadian itu daripada terus menular.

“Pihak kami dapati salah seorang bapa kepada enam murid terbabit bekerja dalam bidang perisian komputer,” katanya.

Menurut beliau, mungkin perisian permainan yang membolehkan pakaian wanita ditanggalkan setiap memenangi pertandingan dalam video itu diperoleh melalui cara itu.

Sementara itu, Kerajaan Terengganu akan memperkenalkan perisian khas bagi mengatasi masalah penyalahgunaan buku elektronik (e-Book) dalam usaha menyekat akses laman web tidak sepatutnya membabitkan murid tahun lima yang menikmati kemudahan itu.

Ahmad Razif berkata, perisian khas itu membolehkan guru mengawal dan mengunci penggunaan e-Book sepanjang waktu pembelajaran nanti.

“Bagaimanapun, langkah itu akan melibatkan kos yang tinggi dan berdasarkan kajian dijalankan, kira-kira RM30 juta diperlukan bagi melaksanakan perkara itu dengan membabitkan seramai 15, 000 murid di negeri ini.

“Justeru, ia akan mengambil sedikit masa untuk melaksanakan perkara ini dan saya berharap supaya guru terus memantau penggunaan e-Book di sekolah, sementara ibu bapa pula memantau di rumah,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar mengenai tindakan 12 murid salah sebuah sekolah di Gong Badak yang menyalahgunakan buku elektronik itu dengan menyimpan rakaman video dan gambar lucah.

3 kem PLKN tutup disyaki jangkitan H1N1

Tiga kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) — Kem Merang Suria, Setiu, Terengganu, Kem Tangkas Kendiri di Kuala Kangsar dan Kem Lagenda Gunung Ledang, Asahan, Melaka— ditutup selama tujuh hari mulai hari ini berikutan terdapat tanda-tanda jangkitan demam influenza A (H1N1).

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Datuk Abdul Hadi Awang Kechil dalam satu kenyataan hari ini berkata Kem Tangkas Kendiri menpunyai seramai 314 orang pelatih, manakala Kem Lagenda Gunung Ledang dan Kem Merang Suria masing-masing mempunyai 298 dan 292 pelatih.

Katanya, ibu bapa dan keluarga pelatih sedang dihubungi dan dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Pelatih-pelatih di kem berkenaan telah dihantar pulang dengan pengangkutan bas yang disediakan oleh Jabatan dan sebahagiannya dijemput oleh ibu bapa masing-masing,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, pelatih dikehendaki melapor semula di pusat berkumpul seperti yang telah dimaklumkan kepada para pelatih, kecuali mereka yang mendapat surat pengesahan daripada pegawai perubatan kerajaan.

Katanya, pelatih juga dikehendaki mematuhi segala arahan yang diberitahu pegawai perubatan di kem sebelum mereka pulang dan segera melaporkan diri ke klinik atau hospital berdekatan jika didapati sakit dan perlu memaklumkan keadaan mereka kepada kem masing-masing.

Ibu bapa perlu pantau anak guna internet

Pengguna internet di negeri ini dinasihatkan supaya bijak memilih maklumat berfaedah dan praktikal.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Yahya Khatib Mohamad berkata, ibu bapa menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan anak mereka menggunakan kemudahan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dengan cara betul dengan sentiasa memantau kerana majoriti pengguna internet adalah remaja.

“Alam siber ibarat baja bagi minda kanak-kanak dan remaja mengembangkan dunia pengetahuan mereka.

“Ia wujud sebagai medan kepada sumber pengetahuan dan maklumat zaman digital kini serta gedung pelbagai idea dan inovasi baru,” katanya.

Menurut Yahya, kekayaan internet merangkumi pelbagai bentuk hiburan dengan segala-galanya mampu dilakukan dengan hanya satu klik sahaja.

“Kemudahan internet menyebabkan anak juga tidak terkecuali mudah terdedah kepada elemennegatif yang wujud dalam masyarakat, justeru, ibu bapa perlu sentiasa memantau penggunaan internet.

“Kemudahan ini tidak boleh disekat kerana ia juga adalah platform anak menjelajah alam siber dengan melayari internet bagi menyelami lautan ensiklopedia bagi menambah ilmu pengetahuan, memasuki perpustakaan video, menyertai ruang sembang dan membina rangkaian sosial,” katanya.

Monday, July 27, 2009

MAFIN UBI GADUNG ANTARA YANG MENARIK

Kempen menarik 10,000 warga Terengganu ke Pehimpunan 1T3F (1 Terengganu Food Fruits Fiesta) semakin rancak apabila Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam meminta rakyat Terengganu hadir beramai-ramai ke tempat letak kereta B Stadium Bukit Jalil Sabtu ini (1 Ogos 2009), 6 petang hingga 12 malam.

Program bagi mengukuhkan lagi silaturahim di kalangan anak Terengganu itu menjadi tajuk perbincangan dalam slot ‘Selamat Pagi Malaysia’ yang disiarkan secara langsung dari Kuantan antara jam 9.05 pagi hingga 9.15 pagi semalam.

Menurut Ahmad Said, warga Terengganu boleh menikmati makanan dan buah-buahan Terengganu dengan percuma selain berhibur dengan artis tempatan yang akan turut serta memeriahkan acara itu.

Temubual kira-kira 10 minit itu turut menyaksikan Ahmad Said memperkenalkan beberapa jenis kueh mueh Terengganu.

Namun, satu daripada istimewanya sajian Sabtu ini ialah mafin dan biskut gadung selain kueh-mueh tradisional lain.

Difahamkan Universiti Malaysia Darul Iman (UDM) sudah dimaklumkan untuk beberapa kakitangannya terbabit sama pada fiesta itu bahawa ‘gadung tidak memabukkan tetapi menyedapkan’.

Awal tahun ini kerajaan negeri memaklumkan kepada UDM kelulusan untuk penyelidikan mengenai ubi gadung sebanyak RM2.2 juta untuk tempoh dua tahun.

Ahmad Said berkata, program 1T3F itu akan dipenuhi dengan acara makan buah-buahan dan makanan tempatan selain diselang-seli dengan persembahan rakyat dan kebudayaan serta huburan.

Program ini akan melibatkan semua daerah di negeri ini di mana setiap Pegawai Daerah akan diberikan tanggungjawab untuk menyelaras dan menyediakan makanan serta produk yang menjadi identiti daerah masing-masing.

Antara makanan yang akan disediakan termasuk nasi dagang, laksa, ketupat sotong, rojak kateh, pulut nyor, bekam, otak-otak dan banyak lagi.

Lagi asrama dan sekolah ditutup akibat H1N1 di Terengganu

Sekolah Menengah Sains Dungun dan Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), Marang, diarah tutup selama seminggu mulai hari ini selepas pelajar berkenaan disyaki menghidapi wabak influenza A(H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. A.Rahman Mokhtar berkata, sebanyak 13 kes pelajar yang mempunyai simptom penyakit itu dikesan di sekolah berkenaan manakala 10 lagi di asrama tersebut.

“Oleh demikian, Jabatan Kesihatan telah mengeluarkan arahan penutupan selama seminggu dan semua pelajar asrama dikehendaki pulang ke rumah masing-masing bagi mengelak penularan wabak itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sebelum ini, kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin turut menerima nasib sama.

1,794 sekolah termasuk di Terengganu jayakan Yakeb

Sumber:Berita Harian

















MD Razib (tengah) bergambar bersama Mohd Adnan (dari kiri), Ketua Unit Sukan Jabatan Pelajaran Perak, Ghazali Kasim; Abdullah; Mohd Idris; Nordin dan Dr Yeoh pada majlis simbolik penyerahan sumbangan kempen Yakeb baru-baru ini.


KIRA-kira 1,794 sekolah di tiga negeri - Terengganu, Perak dan Kuala Lumpur - akan menyertai kempen kutipan 1Ringgit 1Malaysia anjuran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menerusi Jabatan Pelajaran negeri terbabit.

Ketua Penolong Pengarah (Hal Ehwal Murid) Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Terengganu, Mohd Adnan Salleh berkata, selain penyertaan 481 sekolah menengah dan rendah negeri itu, kutipan derma dijangka diperluaskan ke majlis jabatan yang kerap dianjurkan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Perak, Mohd Idris Ramli pula, berkata semua pegawai pelajaran daerah akan diminta melaksanakan kutipan itu di sekolah di bawah pentadbiran masing-masing selepas Mesyuarat Pegawai Pelajaran diadakan.

"Kami juga bercadang meluaskan kutipan ini di setiap majlis peringkat negeri bagi menarik penyertaan mereka yang hadir," katanya selepas majlis simbolik penyerahan sumbangan kempen kepada Pengurus Besar Yakeb, Md Razib Md Shah, baru-baru ini.
Ketua Unit Sukan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nordin Mohd Noor, pula berkata, pelaksanaan kempen boleh dibuat menerusi Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri termasuk kutipan ke setiap kelas di sekolah.

Kempen yang bermula pertengahan bulan lalu, turut mendapat sambutan Universiti Tun Abdul Razak yang menempatkan tabung di empat kampus mereka iaitu di Petaling Jaya, Setapak, Sungai Long dan Kampar, Perak.
"Kami rasa, kempen ini baik untuk disertai pelajar, sekali gus membuatkan mereka rasa komited terhadap masyarakat," kata naib presidennya, Dr Yeoh Suan Pow.

Selain itu, Pengurus A D Seafood & Hainan Chicken Rice di pusat penjaja Jalan Thaver, Kampung Pandan, Abdullah Ibrahim, berkata tabung yang ditempatkan di kedainya sejak seminggu lalu, mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan dan berharap tempoh kempen dapat dipanjangkan.

Mereka yang prihatin juga boleh menderma menerusi sms, dengan menaip YAKEB1 untuk RM1, YAKEB2 untuk RM2, YAKEB5 untuk RM5 serta YAKEB10 untuk RM10 dan hantar kepada 33898. Setiap derma akan dikenakan caj 50 sen kepada pengirim.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Maybank Tabung Yakeb 564847005696, ibu pejabat dan cawangan NSTP serta cawangan Bank Simpanan Nasional seluruh negara. Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-89964841 atau layari www.yakeb.org.my.