Thursday, October 15, 2009

Cadang Bina Replika Masjid Sultan Di TTI

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bercadang membina sebuah lagi replika masjid di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini iaitu Masjid Sultan di Singapura, menjadikan jumlah keseluruhan replika monumen bangunan bersejarah Islam di TTI sebanyak 22 buah.

Pengurus Besar PMINT Datuk Zakaria Awang berkata bagi tujuan itu, pihaknya yang menyelia TTI mendapat kerjasama Jawatankuasa Masjid di Republik Singapura untuk membina replika berkenaan tahun hadapan.

"Kita akan maklumkan hasrat kita itu kepada kedutaan Singapura mengenai pembinaan replika masjid Sultan. Kita rasa hasrat yang murni ini tidak ada masalah untuk merealisasikannya," katanya.

Sehingga kini, TTI menempatkan 21 replika iaitu monumen bangunan-bangunan bersejarah Islam di dunia seperti Masjid Al-Aqsa (Palestin), Masjid Nabi (Madinah), Taj Mahal (India), Al-Hambra (Sepanyol) dan Menara Kaylan (Uzbekistan).

Zakaria berkata idea untuk membina replika Masjid Sultan itu timbul berikutan banyak cadangan daripada pelancong dari Singapura yang mengunjungi taman itu terutama semasa cuti penggal persekolahan.

Sementara itu, dalam usaha menarik pelancong ke Terengganu, kerajaan negeri berhasrat membeli sebuah kapal pesiaran yang mampu memuatkan seramai 200 penumpang untuk program menyusuri sungai Terengganu.

Zakaria berkata kapal setinggi dua tingkat itu dibeli di Thailand dengan harga RM1.2 juta.

"Di TTI sekarang sudah ada bot menyusuri persekitaran taman berkenaan seperti ke muzium, melalui kampung-kampung di pinggir sungai Terengganu dan Pulau Duyong. Kita akan naikkan taraf pemandu pelancong yang ada untuk memastikan program river cruise itu berjaya," katanya.

Bayaran Zakat Fitrah Melalui SMS kurang memuaskan

Kaedah pembayaran zakat fitrah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kurang mendapat sambutan di kalangan umat Islam di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksektif Jabatan Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Wan Harujan Sulaiman berkata, sepanjang bulan Ramadan lepas hanya 143 orang melibatkan 976 anggota keluarga membuat bayaran melalui SMS.

"Jumlah bayaran keseluruhan diterima adalah RM6,511," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Rabu.

Wan Harujan berkata sambutan yang kurang memberangsangkan itu mungkin disebabkan pembayaran zakat fitrah melalui cara tersebut di negeri ini masih baru dan masih ramai yang tidak mengetahui menmgenainya.

Beliau berkata tiga kategori bayaran zakat fitrah di Terengganu tahun ini iaitu RM8, RM7 dan RM5 seorang dan resit pembayaran akan dikeluarkan setelah maklumat diperolehi dari syarikat telekomunikasi Celcom pada akhir Oktober ini.

Bagi menggalakkan orang ramai membuat pembayaran zakat menerusi cara berkenaan tahun depan, Wan Harujan berkata kempen akan dibuat lebih awal, melalui radio serta siaran akhbar selain melalui penyedia khidmat SMS sendiri.

2.3 Juta Pengguna Hingga Akhir Tahun

Celcom Wilayah Timur menyasarkan 2.3 juta pengguna perkhidmatan talian itu sehingga hujung tahun ini.

Naib Presiden Celcom Wilayah Timur Datuk Sulaiman Ahmad berkata sehingga bulan lepas, Celcom Wilayah Timur -- Pahang, Kelantan dan Terengganu -- telah mengumpul sasaran dua juta pengguna.

Sehubungan itu, pihaknya katanya menjangkakan pertambahan kira-kira 300,000 pelanggan baru yang terdiri dari pelajar sekolah dan belia berusia 25 tahun ke bawah untuk tempoh tiga bulan terakhir tahun ini.

"Jumlah pelanggan prabayar meningkat kira-kira 80 peratus berbanding pengguna pascabayar (yang hanya meningkat) 20 peratus dengan 30 peratus daripadanya merupakan pelanggan jalur lebar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri dan majlis Meraikan Kejayaan Dua Juta Pelanggan di pejabat Celcom di sini hari ini.

Bagi pengguna jalur lebar pula, wilayah Pantai Timur mendahului pesaing lain apabila menguasai 60 peratus pasaran ekoran perluasan kawasan liputan di samping menambah kapasiti kelajuan di dalam bandar.

UMT pemangkin bangunkan bioteknologi

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Institut Bioteknologi Marin mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan dalam bidang penyelidikan bioteknologi di negara ini khususnya kalangan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT, Prof. Dr. Faizah Shaharom berkata, pelbagai program termasuk seminar anjuran universiti itu turut menjadi platform kepada para cerdik pandai serta penyelidik untuk berbincang mengenainya.

Pada masa sama, jelasnya, ia juga membolehkan mereka yang terlibat saling bertukar pendapat, berkongsi ilmu serta idea dalam usaha memantapkan lagi kerja penyelidikan dalam bidang bioteknologi.

“Adalah penting penguasaan bidang ini oleh negara-negara membangun seperti Malaysia, kerajaan telah mengambil inisiatif bagi menubuhkan syarikat berasaskan tekonologi,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Bioteknologi Siri Ketujuh di UMT kelmarin.

Seramai 140 orang peserta terdiri daripada pelajar universiti, kebanyakannya pelajar UMT menyertai seminar tersebut.

Program itu turut dijayakan oleh tiga orang penyelidik berkaitan sains hayat dan kejuruteraan pemprosesan iaitu Prof. Madya Dr. Ramlan Abd. Aziz dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Aishah Adam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Prof. Madya Dr. Fadzilah Adibah (UTM).

Dr. Faizah memberitahu, secara global, bioteknologi bermula dalam sejarah ketamadunan manusia meliputi bidang perubatan, penerapan bioteknologi yang dibuktikan dengan penemuan vaksin, antibiotik dan insulin.

Menurutnya, bioteknologi berkembang sangat pesat terutama di negara-negara maju dan membangun seperti Malaysia.

Ri-Yaz tingkatkan promosi kawasan marina

Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyung Kuala Terengganu sedang meningkatkan kemudahan dan promosi kawasan marina untuk menjadikannya sebagai pusat persinggahan bot dan kapal layar yang strategik di negara ini.

Pengurus Besarnya, Abdul Shaheed Yusoff berkata, kemudahan itu termasuk kawasan tempat meletakkan bot yang lebih banyak dan selamat sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Selain itu, katanya, Ri-Yaz juga bercadang membina pusat pembaikan bot yang dilengkapi kemudahan peralatan dan kakitangan terlatih di kawasan marina itu dalam menawarkan perkhidmatan terbaik.

''Pada masa ini Ri-Yaz menyediakan sebanyak 47 tempat untuk meletakkan bot atau kapal layar dalam satu-satu masa yang membabitkan 10 petak untuk kapal bersaiz besar dan 37 petak untuk bot bersaiz kecil,'' katanya.

Abdul Shaheed berkata demikian ketika ditemui di majlis hari raya anjuran Ri-yaz baru-baru ini..

Beliau memberitahu, pada masa ini banyak bot daripada seluruh negara termasuk dari Afrika Selatan dan New Zealand berlabuh di marina Ri-Yaz sebelum meneruskan perlayaran mereka.
Malah katanya, ada sesetengah pelayar melabuhkan bot mereka sehingga lapan bulan sebelum meneruskan perjalanan mereka.

''Kawasan marina di sini menjadi pilihan kerana dasarnya yang dalam di samping berhampiran dengan pusat bandar yang memudahkan untuk mereka mendapatkan bekalan,'' katanya.

Abdul Shaheed berkata, kadar sewaan yang ditawarkan juga amat berpatutan berdasarkan saiz bot dan tempoh masa berlabuh bagi memastikan marina Ri-Yaz terus menjadi pusat persinggahan apabila mereka melalui perairan negara ini.

Di samping itu, katanya, Ri-Yaz juga menyediakan risalah yang diedarkan melalui pelayar yang singgah bagi membolehkan mereka menyampaikan maklumat tersebut kepada rakan-rakan mereka.

Beliau berkata, dalam mempromosikan resort tersebut, sebuah pusat spa yang diberi nama 'Sembunyi Spa' sedang dalam pembinaan yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir November ini.

Katanya, projek yang menelan belanja kira-kira RM1 juta itu akan dilengkapi pelbagai kemudahan dalam memberi keselesaan kepada pengunjung dengan menyediakan pakar terlatih daripada Indonesia.

Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyung itu merupakan pusat acara Monsoon Cup yang dianjurkan oleh kerajaan negeri sehingga 2012 dan tahun ini merupakan tahun ketiga yang akan berlangsung pada awal Disember ini.

Terengganu siap sedia hadapi banjir

Semua agensi keselamatan di negeri ini kini bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam terutama banjir.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong berkata, semua jabatan dan agensi yang terlibat telah bersedia dengan segala keperluan meliputi kelengkapan logistik, kenderaan dan anggota.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri berkata, kerajaan negeri juga telah menyediakan peruntukan tahunan iaitu sebanyak RM1 juta.

‘‘Peruntukan ini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pengurusan bencana alam yang meliputi keperluan makanan, barangan keperluan dan kit bencana,’’ katanya.

Mokhtar berkata demikian selepas pelancaran Kempen Kesedaran Awam Mengenai Bencana Cuaca Ekstrem, Gempa Bumi dan Tsunami 2009 Peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman kelmarin.

Beliau memberitahu, JKM telah mengeluarkan tender untuk penyediaan makanan bagi menghadapi banjir.

‘‘Dalam pada itu, barangan makanan yang dibeli sebelum ini dan telah tamat tarikh luput telah pun dilupuskan mengikut proses-proses yang ditetapkan,” jelasnya.

Beliau menambah, sebanyak 327 pusat pemindahan di seluruh negeri ini telah disediakan bagi menyediakan tempat tinggal sementara untuk mangsa-mangsa banjir.

Wednesday, October 14, 2009

Sumbangan besar Petronas kepada Terengganu

Jasa Petroliam Nasional Bhd (Petronas)amat besar untuk Terengganu.

Selain membangunkan negeri dan beberapa pusat pertumbuhan baru seperti Kerteh dan Paka, Petronas turut membantu 68 usahawan Terengganu.

Ini bermakna syarikat petroleum negara itu turut menjadi agensi penting bagi membantu 68 usahawan Terengganu mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

Pengurus Besar Wilayah Petronas Pantai Timur, Zulkifly Mohd. Ismail berkata, usahawan tersebut dibantu melalui program pembangunan pembekal dengan diberi pelbagai bentuk sokongan dan bantuan.

"Ini sebahagian daripada usaha Petronas menyokong usaha kerajaan untuk membantu dalam membangunkan usahawan tempatan," katanya baru-baru ini.

Dengan lahirnya usahawan tempatan, ia turut meningkat dalam memberi khidmat sokongan kepada industri minyak, gas dan petrokimia di negeri ini.

Katanya, setakat ini, 2,500 syarikat tempatan yang menyediakan perkhidmatan sokongan tersebut telah mendaftar dengan Petronas.

Usaha Petronas ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas – hasil minyak semata-mata – sebaliknya bidang-bidang lain secara terus dan secara tidak langsung.

Pembangunan Kerteh menyebabkan pekan kecil menjadi pekan besar yang bukan sahaja mempunyai gedung membeli-belah, restoran makanan segera dan lapangan terbang – ia adalah antara penempatan penting untuk rakyat Terengganu dan dari luar Terengganu.

Kedudukannya yang strategic menjadikan Kerteh sebagai pusat pertumbuhan baru yang membawa implikasi politik penting bagi pentadbiran Terengganu.

Beliau menambah, perkembangan operasi Petronas di negeri ini sejak 1970-an juga membuka peluang pekerjaan terutama kepada penduduk tempatan.

Ternyata Petronas membuka ruang dan peluang untuk anak negeri Terengganu bekerka kerana hampir 60 peratus daripada kakitangan di Kompleks Industri Petronas adalah dari Pantai Timur.

Manakala hampir separuh daripada keseluruhan kakitangan kami adalah anak jati Terengganu.
Dalam bidang pendidikan pula, katanya, 2,600 anak Terengganu menerima bantuan biasiswa daripada Petronas bernilai RM165 juta bagi peringkat sekolah menengah dan universiti antara 1990 hingga 2007.

Di peringkat sekolah rendah pula, lebih 1,000 kanak-kanak mengikuti program sekolah angkat dan bakti pendidikan sejak ia dimulakan pada 2002 di 14 sekolah di negeri ini.

Sementara itu, bagi menarik minat pelajar-pelajar ini terhadap alam persekolahan, setiap bulan para pegawai kami akan menjalankan program anak angkat tersebut.

Ternyata kesedaran mereka yang menubuh dan memperkemaskan Petronas, adalah kumpulan yang begitu berjasa kepada Terengganu, walaupun kebanyakan pentadbir awal Petronas bukan dari Terengganu.

Kerajaan Terenggnu Sedia Bantu Penubuhan Kelab Wartawan Muda

Kerajaan negeri Terengganu bersedia membantu penubuhan Kelab Wartawan Muda di kalangan pelajar sekolah menengah di negeri itu yang dilihat mampu mengembangkan pemikiran pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abd Rahman berkata melalui kelab itu, selain mengasah bakat, pelajar juga dapat mengenal pasti potensi diri dalam bidang penulisan berita.

"Kerajaan negeri amat mengalu-alukan penubuhan kelab seperti itu kerana kita yakin dan percaya ia akan memberi kebaikan kepada pelajar-pelajar," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) Ayob Mamat berkata Kelab Wartawan Muda itu akan dilancarkan awal tahun depan.

Beliau berkata kelab tersebut merupakan pentas kepada pelajar-pelajar yang berminat dalam bidang kewartawan untuk mengasah bakat dan mempelajari sedikit sebanyak mengenai penulisan berita.

Pemain Golf Asia Berkampung di Terengganu


Za'abar melakukan `putting' gimik pelancaran Terengganu Masters Golf Invitational 2009 di Kuala Terengganu Golf Resort.


Oleh : AIDA ABD RAHMAN (UKOM)

Seramai 144 pemain golf dari seluruh Asia akan berkampung selama seminggu di Terengganu bagi menyertai kejohanan `Terengganu Masters Golf Invitational 2009’, di Kuala Terengganu Golf Resort, Tok Jembal, Kuala Terengganu bermula 29 Oktober depan.

Program kali keempat anjuran kerajaan negeri menerusi Persatuan Golf Terengganu dan Tourism Malaysia Terengganu yang berakhir pada 3 November depan melibatkan penyertaan pemain profesional seluruh Malaysia (70 orang), pemain profesional Asia (50 orang) dan Amatur 24 orang.

Selain pemenang Masters 2007, Feroz Ali Mollah dari India yang mengesahkan penyertaan pada kejohanan ini, peserta lain yang turut berbuat demikian adalah Huyuh Von San dan Michale Tran (Vietnam); Shinjo Fukushima dan Takashi Okuda (Japan); Chris Carey dan Andrew Argus (Australia); Aung Hla han dan Zaw Zin Win (Myanmar) dan lima pemain profesionals masing-masing dari Filipina dan Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata kedatangan pemain dari seluruh negara ke kejohanan itu nanti dapat memperkenalkan dan memproosi negeri ini sebagai satu destinasi golf terkemuka melalui penganjuran pertandingan golf bertaraf profesional.

Katanya, kejohanan itu juga menjadi acara pelancongan Terengganu yang berprestij dan terkenal di kalangan peminat golf di dalam dan luar negara.Selain itu, secara langsung ia akan dapat menarik lebih banyak penganjuran acara seumpamanya.

“Kerajaan sedang berusaha ke arah menjadikan Terengganu antara destinasi yang menyediakan pakej golf yang setanding dengan negeri lain yang sudah maju.


Majlis penyerahan cek untuk juara Terengganu Masters Golf Invitational 2009.

“Setakat ini kita sudah ada beberapa tempat yang menjadi tumpuan pemain golf seperti di Ibai Golf Resort (Tuanku Mizan Golf & Country Resort) dan lokasi itu perlu dinilai tambah supaya menarik lebih ramai pelancong dan kaki golf ke pusat pelancongan itu, sekaligus menambah kehadiran pelawat ke Terengganu,” katanya ketika sidang media Terengganu Masters Golf Invitational 2009, di Kuala Terengganu Golf Resort, kelmarin (12 Oktober 2009).

Za’abar turut mengharapkan lebih ramai syarikat korporat tampil menaja kejohanan itu supaya menarik lebih ramai penyertaan luar dan setanding dengan penganjuran golf lain dengan tawaran hadiah yang lebih lumayan.

Beliau kemudiannya menyampaikan replika cek kepada Pengerusi Persatuan Golf Terengganu, Haji Zubir Azhari berjumlah RM23,250 sebagai hadiah juara keseluruhan kejohanan itu.

TM Terengganu sedia perkhidmatan TMOW

Telekom Malaysia (TM) Terengganu menyediakan perkhidmatan bergerak iaitu TM Point On Wheel (TMOW) bagi meningkatkan kemudahan kepada pelanggan dan orang ramai di negeri itu.

Pengurus Besarnya, Azhar Omar berkata, sebuah kenderaan berharga RM300,000 diubah suai untuk membolehkannya digunakan bagi memberikan perkhidmatan lebih baik kepada orang ramai.

Katanya, perkhidmatan itu ditumpukan kepada pelanggan terutama di kawasan yang jauh bagi membolehkan mereka memperolehi kemudahan yang sama seperti yang disediakan di premis TM Point.

Menurutnya, pada masa ini terdapat empat TM Point di negeri ini iaitu di Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan Jerteh untuk memenuhi keperluan pengguna.

''Perkhidmatan TMOW ini meliputi pembayaran bil dan permohonan perkhidmatan telefon dan internet, penjualan produk TM selain pembayaran bil setempat seperti elektrik dan air," katanya selepas Majlis TM Jom Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut dan pelancaran TMOW di pekarangan Perpustakaan Desa Bukit Payong kelmarin.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Nawi Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut.
Azhar berkata, sebanyak 48 lokasi di negeri ini dikenal pasti untuk perkhidmatan TMOW itu yang dijangka mampu meningkatkan jumlah pelanggan TM di negeri ini pada masa akan datang.

Pada masa ini jelasnya, TM mempunyai kira-kira 115,000 pelanggan kediaman dan komersial serta 27,000 pelanggan internet.

Terdahulu, Nawi dalam ucapannya berkata, masyarakat termasuk golongan dewasa perlu mempelajari dan mengambil tahu mengenai perkembangan teknologi maklumat.

Jika tidak katanya, mereka tidak tahu apa sebenarnya yang dilakukan oleh anak-anak yang melayari internet.

Tarikan Taman Herba Kenyir

Usaha Kerajaan Negeri melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memajukan Pulau Sah Kecil, di sini sebagai Taman Herba, ternyata membuahkan hasil apabila destinasi berkonsepkan pelancongan, pendidikan dan penyelidikan itu mampu menggamit kehadiran pelancong secara purata kira-kira 1,000 orang sebulan.

Penyelia Taman Herba, Mat Jusoh Mamat Amin berkata, taman yang dibuka secara tidak rasmi pada 2003 dan berkeluasan 15.8 hektar itu sehingga kini mempunyai lebih 26,000 pokok herba, terdiri daripada 230 jenis serta menjadi salah satu daya tarikan utama di Tasik Kenyir.

“Taman Herba terletak tujuh kilometer dari Pengkalan Gawi. Kehadiran pengunjung bukan sekadar membolehkan mereka mengetahui mengenai tumbuh-tumbuhan kerana ia dilabelkan dengan nama saintifik dan khasiatnya, tetapi juga berpeluang menikmati rasa air tongkat ali dan kacip fatimah asli.

“Kewujudan Taman Herba ini berjaya menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara. Malah, inisiatif Ketengah turut memberikan manfaat kepada penyelidik untuk membuat kajian dan penggemar tumbuh-tumbuhan hutan. Jika sebelum ini mereka terpaksa meredah hutan tetapi kini semuanya sudah ada di Taman Herba,” katanya.

Menurutnya lokasi strategik iaitu terletak di laluan beberapa destinasi pelancongan lain di Tasik Kenyir adalah antara faktor menarik kedatangan pelancong.

Selain tongkat ali dan kacip fatimah, antara spesies lain ada di situ adalah legundi, halban, bonglai, kemuning kayu manis, sekentut, mampu serta pecah piring.

Mat Jusoh berkata, menyentuh mengenai perancangan akan datang, sebuah pusat penyelidikan dan pusat rawatan :perubatan tradisional seperti aromaterapi, mandian herba dan perubatan berasaskan herba akan diwujudkan sebagai salah satu usaha menarik lebih ramai pelancong ke taman herba berkenaan.

Menurutnya, beberapa kemudahan sedia ada juga akan dinaiktarafkan dari semasa ke semasa. selain penyediaan kios menjual barangan cenderamata kepada pelancong untuk dijadikan tanda kenangan.

Tuesday, October 13, 2009

Terengganu tawar pakej bulan madu percuma bagi pasangan yang ingin berpisah

Oleh R S N MURALI

Pakej bulan madu kedua secara percuma menanti pasangan yang telah berkahwin di Terengganu namun ia hanya ditawarkan kepada pasangan yang sedang berhadapan dengan masalah penceraian sahaja.

Kerajaan negeri akan menanggung semua kos bagi program berkenaan.

Bagaimanapun, pakej bulan madu itu termasuk sesi kaunseling yang akan dijalankan dalam program berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Pembangunan Masyarakat, Ashaari Idris, berkata program tersebut diwujudkan bagi membantu pasangan yang mempunyai masalah mencari jalan penyelesaian dalam rumah tangga mereka dan mengurangkan kadar penceraian yang dicatatkan oleh negeri itu.

"Pakej bulan madu tersebut akan dilancarkan pada akhir tahun sebaik sahaja modul-modul khusus mengenainya diwujudkan. Program ini diwujudkan bagi membantu pasangan suami isteri yang ingin bercerai berbaik semula dan mengekalkan perkahwinan masing-masing," kata di Kuala Terengganu semalam.

Program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan Majlis Pembangunan Keluarga dan Masyarakat.

Menurut Ashaari, kerajaan negeri akan melaksanakan program perintis di mana 25 pasangan akan yang menghadapi masalah dalam perkahwinan akan dipilih untuk menyertai pakej bulan madu berkenaan.

“Bagi program ini kita menawarkan pakej tiga hari dua malam di mana-mana tempat dengan kos di bawah RM1,500 untuk setiap pasangan.

"Setakat ini hasilnya adalah positif," katanya tanpa memberikan butiran mengenai jumlah perkahwinan yang berjaya diselamatkan.

"Bagi pasangan yang berhadapan dengan masalah, khidmat kaunseling akan diberikan. Namun pakej bulan madu kedua ini hanya ditawarkan kepada pasangan yang betul-betul berhadapan dengan masalah dalam perkahwinan dan mereka yang diambang perceraian," katanya.

Ada pasangan yang mempunyai masalah namun perkahwinan mereka dapat kekal sehingga dua puluh, katanya.

"Kami faham jika pasangan yang baru berkahwin mempunyai masalah untuk saling memahami antara satu sama lain. Tapi adalah satu yang pelik bagi pasangan yang telah berkahwin selama dua puluh tahun mahu bercerai, ini satu alasan yang tidak munasabah dan tidak boleh diterima.

"Dengan pakej ini, kita berharap pasangan yang mempunyai masalah ini akan lebih menghargai perkahwinan mereka sekaligus dapat mengelakkan daripada berlakunya perceraian," katanya.

Laman pro-PAS gambarkan Ahmad Said pembawa ‘sial’

Laman pro-PAS buat hal lagi.

Baru-baru ini sudah terpaksa meminta maaf secara terbuka kerana kononnya tersalah petik kenyataan orang penting PAS mengenai Menteri Besar dalam kes dadah membabitkan Pemuda UMNO.

Tetapi pada 7 Oktober 2009 lalu (Rabu) dengan tajuk ‘Siasat Masjid R 2.1 Jura Runtuh’, pada perenggan terakhir entri berkenaan ada ayat berbunyi: “Semenjak Dato’ Ahmad Said menerajui negeri Terengganu sebagai Menteri Besarnya banyak berlaku kejadian kerosakan berlaku pada bumbung bangunan runtuh, tumbang dan kebocoran termasuk di Kolam Renang di Pusat Arkuatik, Batu Burok, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Gong Badak, Menara Komunikasi di Besut dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu.”, laman ini sekali lagi buat pasal.

Apa makna dan erti kepada perenggan berkenaan? Apakah ia positif atau negatif?

Persoalannya, apakah semua ini dibangunkan di era Ahmad Said?

Jika negatif, apakah tujuan penulis entri berkenaan? Apakah keruntuhan dam kerosakan itu diakibatkan oleh Ahmad Said?

Sebagai orang biasa, saya tertanya-tanya apakah entri berkenaan cuba memaparkan betapa sejak menjadi Menteri Besar, segalanya ini berlaku kerana ‘sial’ yang dibawa oleh Menteri Besar baru?

Bolehkah dalam Islam kita menganggap seseorang lain membawa sial?

Juga tidakkah yang melantik beliau juga sedikit sebanyak bertanggungjawab kerana ‘membawa sial’ berkenaan?

Laman ini sebenarnya cuba mengadu-domba secara tidak profesional dan mempengaruhi minda penyokong dan rakyat Terengganu dengan menggunakan ajaran salah dalam meletakkan tanggapan terhadap seseorang.

Sebagai seorang yang bersimpati dengan Ahmad Said yang imej dan peribadinya cuba dikaitkan dengan ‘sial’, saya menyeru supaya laman ini menarik balik kenyataan seperti ini.

Juga, rakyat hendaklah menolak politik provokatif seperti ini demi menjamin akidah umat Islam di Terengganu terpelihara.

Kepada UMNO dan Pemuda UMNO, fikirkanlah cara terbaik menangani ‘serangan provokatif’ seperti ini lebih-lebih lagi melabelkan pemimpin UMNO sebagai ‘pembawa sial’.

Petronas Bimbing 2,500 Syarikat Tempatan Sejak 35 Tahun Lalu

Petronas memayungi lebih 2,500 syarikat tempatan yang terlibat di dalam bidang industri minyak, gas dan petrokimia sejak syarikat minyak negara itu ditubuhkan 35 tahun lalu.

Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Zulkifly Mohd Ismail berkata sebagai "membalas budi kerajaan" selama ini, syarikat itu juga menyokong usaha kerajaan untuk membangunkan usahawan tempatan melalui program pembangunan pembekal, sehingga ada di kalangan mereka yang mampu mengembang perniagaan ke peringkat antarabangsa.

"Petronas ditubuhkan bagi mengurus dan membangunkan hasil bumi iaitu sumber minyak dan gas dengan sebaik mungkin.

Bermula dengan penemuan minyak di luar pantai Terengganu pada tahun 1970-an, operasi kami telah berkembang seperti yang disaksikan sekarang.

"Sebagai membalas budi kerajaan, Petronas tidak mengabaikan khidmat sosial membangunkan usahawan tempatan. Melalui program pembangunan pembekal, seramai 68 usahawan tempatan telah dilantik dan diberi pelbagai bentuk sokongan serta bantuan bagi mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Raya Petronas Bersama Agensi Kerajaan dan Media di Kuala Terengganu semalam.

Bagi memajukan bidang pengetahuan dan kemahiran pula, Zulkifly berkata sebuah institut latihan teknikal telah dibuka di Kuala Terengganu pada 1983 bagi melatih para juruteknik yang berkebolehan tinggi terutama kepada anak tempatan.

Katanya Petronas turut menawarkan biasiswa kepada anak-anak tempatan yang cemerlang di peringkat sekolah menengah dan pengajian tinggi.

"Dari tahun 1990 hingga 2007, sehingga kini seramai 2,600 anak Terengganu telah menerima biasiswa Petronas di peringkat sekolah menengah dan universiti bernilai RM165 juta," katanya.

Katanya banyak lagi program yang diadakan Petronas demi meningkatkan tahap pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat kerana hasrat syarikat itu untuk membangun bersama negara untuk rakyat melalui program jangka panjang yang berwawasan.

Pusat Rawatan Jantung kini semakin kepada realiti

Pusat rawatan jantung milik kerajaan negeri Terengganu semakin hampir kepada realiti berdasarkan kejayaan pembedahan budak 7 tahun yang sudah selamat pulang ke Terengganu.

Difahamkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menjadikan kes pembedahan ini sebagai kajian untuk mendapatkan kepakaran daripada pihak tertentu untuk mewujudkan pusat berkenaan di negeri ini.

Baru-baru ini Ahmad Said berkata pusat itu dijangka beroperasi pada pertengahan tahun depan, sekali gus membolehkan rakyat negeri itu mendapatkan rawatan dengan kos yang lebih rendah.

Dengan adanya pusat itu, pesakit dari negeri itu tidak perlu lagi mengeluarkan kos yang lebih untuk ke ibu negara bagi mendapatkan rawatan berkenaan.

Mohd Ayub, yang berada lebih seminggu untuk rawatan di Kuala Lumpur, dikatakan berada dalam keadaan memuaskan.

Beliau yang menjalani rawatan selepas pembedahan jantung berlubang pada 30 September lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur pulang pada pagi 7 Oktober lalu.

Mohd Ayub dibawa balik ke Kuala Terengganu dengan kenderaan yang disediakan oleh pejabat Menteri Besar Terengganu.

Ketibaan Mohd Ayub di rumahnya di Kampung Simpang Tok Ku, Cabang Tiga, Kuala Terengganu pada jam 6.00 petang hari yang sama telah disambut oleh keluarganya.

Dijangkakan Menteri Besar apabila pulang ke Terengganu selepas lawatan ke Sepanyol dan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur akan melawat Mohd Ayub dan keluarganya.

Kejayaan ini membanggakan dan Ahmad Said dijangka akan mengumumkan lebih lanjut mengenai pusat rawatan menjelang awal bulan depan.

Bercakap kepada pemberita 12 September lalu, beliau berkata, buat masa sekarang kerajaan negeri sedang melakukan pengubahsuaian bangunan serta menunggu kelengkapan peralatan-peralatan perubatan dibawa masuk.

"Pusat ini adalah inisiatif kerajaan negeri agar rakyat Terengganu dapat mengurangkan kos perubatan bagi penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung, kanser dan strok," katanya.

Menurut Ahmad, ramai rakyat Terengganu yang menghidapi penyakit kronik seperti sakit jantung dan strok tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya kerana kos perubatan yang tinggi.

"Dengan adanya pusat rawatan ini di Terengganu, ia membuka peluang luas kepada anak-anak negeri untuk mencurahkan bakti dalam bidang perubatan khususnya perubatan jantung," ujarnya.

Mengenai caj rawatan yang dikenakan kepada pesakit yang memerlukan khidmat di institut jantung itu nanti, beliau menjelaskan ia bergantung kepada taraf hidup dan pendapatan pesakit berkenaan.

“Kalau mereka yang berkemampuan mungkin akan kena caj seratus peratus. Kalau kurang mampu mungkin 50-50, bayar sendiri separuh dan kerajaan akan tanggung separuh.

Ia bergantung kepada taraf hidup masing-masing,” katanya.

Besut daif kemudahan gelanggang sukan

Oleh RODDIK MALAYSIA (Forum Utusan)

Sering diperkatakan kemajuan sukan berkait rapat dengan pembangunan infrastruktur di sekitarnya. Saya ingin menyentuh mengenai kemudahan sukan yang tidak seimbang di daerah Besut, Terengganu.

Saya adalah seorang bapa yang meminati sukan berasaskan permainan gelanggang. Tetapi di daerah Besut ini perkembangan sukan untuk permainan gelanggang amat daif, terutama tenis.

Saya pernah menyuarakan kekecewaan terhadap ketiadaan kemudahan gelanggang tenis daerah. Anak-anak terpaksa mengemis, menumpang bermain di sekolah-sekolah seperti SMK TG Mahmud dan MRSM Kota Putra.

Atas belas ihsan sekolah berkenaan maka dapatlah anak-anak ini menumpang bermain dengan guru di sana, yang juga ahli-ahli persatuan Tenis Daerah Besut.

Mereka juga turut menumpang tempat untuk beriadah dan menurunkan sedikit ilmu kepada generasi baru anak-anak kita.

Apa yang dilakukan oleh Pegawai Daerah?

Bukan tiada perbincangan dibuat dengan beliau. Dulu daerah Besut juga memiliki gelanggang tenis.

Tetapi atas nama pembangunan, gelanggang tersebut terpaksa dikorbankan untuk memberi laluan kepada Kompleks Rakan Muda dan gelanggang Sukan Ekstrem.

Dan terbaru, satu kawasan pantai telah diratakan atas alasan pembangunan padang golf.

Berapa orangkah yang akan pergi menghayun kayu golf di situ nanti? Adalah lebih baik kawasan tersebut dibangunkan dengan kemudahan gelanggang serba guna, gelanggang tenis atau pun kawasan rekreasi.

Lihat sahaja Mini Stadium Kota Putra yang daif dan menyakitkan mata yang memandang. Trek larian olahraga yang rosak, bumbung yang bakal rebah dan rumput yang 'menternak' ratusan reptilia.

Tetapi anehnya di situlah saban tahun Kejohanan Olahraga Daerah Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia diadakan.

Berpuluh-puluh atlet telah berjaya mengharumkan nama daerah bermula di balapan itu. Tetapi begitulah kita, jika tidak ditegur maka lenalah kita di kerusi empuk.

Larian 1Malaysia – MBNT 2009

Majlis Belia Negeri Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kerajaan dan NGO's akan menganjurkan Larian 1Malaysia – MBNT 2009 pada 14 November 2009 ini.

Datuk Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu dan Datuk Ahmad Shabery bin Cheek dijangka akan menyertai larian ini bersama lebih daripada 7,000 orang termasuk badan dan agensi kerajaan, swasta, belia, NGO's dan juga orang awam.

Larian yang berkonsepkan larian ria sejauh 3 kilometer ini akan diadakan, bermula dan berakhir di Dataran Pantai Batu Buruk Kuala Terengganu. Setiap peserta berpeluang untuk memenangi hadiah larian sumbangan penaja, di samping kupon cabutan nombor bertuah akan diberikan kepada peserta yang dapat menamatkan larian dalam tempoh waktu yang ditetapkan.

Menurut Setiausaha MBN Terengganu, Encik Salleh bin Othman, tujuan serta harapan Majlis Belia Negeri Terengganu untuk melaksanakan program yang menggerakkan dan mengaktifkan para belia di negeri ini yang seterusnya dapat melahirkan masyarakat yang seimbang dan mantap di mana akan berjaya sekiranya semua pihak dapat melibatkan diri secara langsung dalam memberikan sokongan yang padu dan ikhlas demi kesinambungan kepimpinan hari ini.

Adalah diharapkan agar program ini akan dapat menghindarkan belia daripada mendekati perkara-perkara yang tidak diingini dan menyalahi undang-undang. Di samping itu juga, ianya dapat melahirkan kesediaan belia untuk melakukan sebarang aktiviti bersukan adalah digerakkan daripada kehendak dan sikap aktif belia itu sendiri. Apa yang lebih penting dapat membentuk keperibadian dan disiplin diri.

Menurut beliau lagi, kita sebagai NGO's dan badan sukarela hendak menyatakan dan melahirkan sokongan kita kepada pucuk pimpinan YAB Menteri Besar dan negara secara simboliknya melalui Larian 1Malaysia yang akan diadakan ini.

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Setiausaha MBNT, di talian 09-624 2200.

Kubu Pahlawan Mat Kilau terbiar…

Terima kasih Rosli Abdul Jalil dan Berita Harian kerana mendedahkan bagaimana Kubu Mat Kilau terbiar hingga diseliputi semak samun.


Pendedahan ini akan membuka mata banyak pihak. Kubu pahlawan tersohor yang dibina di Pasir Raja, Jerangau, Dungun bagi mengingati perjuangan pahlawan lagenda Melayu, yang menentang penjajahan Inggeris sekitar tahun 1890-an yang terbiar seolah-olah tiada penghargaan untuk beliau.

Sedangkan Mat Kilau bukan saja berjuang di Pahang, malah namanya tersohor di Terengganu serta Kelantan, dan sejarah mencatatkan pejuang itu pernah ke Perak menggunakan laluan menghubungkan Lata Lembik di Raub dan Hulu Slim, Slim River, Perak.

Kita ucapkan syabas kepada Kelab Kembara Chukai kerana mendedahkan keadaan kubu yang terbiar.

Baca laporan Berita Harian 12 Oktober 2009 untuk lebih lanjut:

Kubu Timur: Kubu Mat Kilau tak 'berkilau'

Oleh Rosli Abdul Jalil
bhk@bharian.com.my

CHUKAI: Semak dan terbiar. Inilah nasib Kubu Mat Kilau yang dibina di Pasir Raja, Jerangau, Dungun bagi mengingati perjuangan pahlawan lagenda Melayu, yang menentang penjajahan Inggeris sekitar tahun 1890-an.

Mat Kilau bukan saja berjuang di Pahang, malah namanya tersohor di Terengganu serta Kelantan, dan sejarah mencatatkan pejuang itu pernah ke Perak menggunakan laluan menghubungkan Lata Lembik di Raub dan Hulu Slim, Slim River, Perak.
Presiden Kelab Kembara Chukai (CAT), Zahurin Abd Wahab, berkata 17 ahlinya yang mengadakan ekspedisi sehari untuk melihat Kubu Mat Kilau, baru-baru ini terkejut apabila melihat keadaan kawasan kubu yang terbiar dan terabai.

"Kawasan berkenaan bukan saja semak tetapi dipenuhi dengan pokok besar seolah-olah sudah lama tidak dipedulikan. Malah, di pertengahan jalan, kami terpaksa membina jambatan balak kerana jambatan lama yang ada sudah terlalu uzur dan berbahaya untuk dilalui.

"Bagaimana jika pencinta sejarah dan pelancong mahu melihat tinggalan sejarah berkenaan mahu jika laluan masuk pun tidak diuruskan dengan baik," katanya ketika kepada Berita Harian.
AHLI Kelab Kembara Chukai bergambar di hadapan pintu masuk ke kubu itu.

Mengikut sejarah, perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama Terengganu iaitu Tok Ku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan.

Malangnya, hari ini tidak ramai generasi muda mengenali siapa Mat Kilau, Tok Gajah atau Tok Bahaman yang sama-sama berjuang menebus maruah bangsa Melayu daripada Inggeris.

Zahurin berkata, Kubu Mat Kilau yang pernah digunakan oleh pejuang Melayu mengatur strategi menentang Inggeris perlu dibersihkan bagi memudahkan orang ramai, khususnya generasi muda mengunjunginya.

“Bagaimana kita untuk menggalakkan generasi muda melawat tapak bersejarah ini kalau dibina tempat pertemuan pejuang seperti Tok Janggut, Tok Gajah dan Toh Bahaman ini dipenuhi belukar.
“Kita sangat berharap pihak berkuasa dapat membersihkan kawasan ini dan membina jambatan serta memasukkan Kubu Mat Kilau antara destinasi bersejarah yang dilawati di Hulu Dungun,” katanya.

Zahurin berkata, pada zaman dulu, kawasan Kubu Mat Kilau hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai dari Kampung Pasir Raja.

"Laluan menyusuri Sungai Dungun dari Kampung Pasir Raja menghubungkannya dengan Kampung Bantal di Hulu Tembeling, Jerantut," katanya.

Beliau berkata, usaha membina bersihkan laluan itu bukan saja memudahkan orang ramai melawat kubu berkenaan, malah dapat menggalakkan sektor pelancongan, khususnya peminat kembara pacuan empat roda menikmati keindahan semula jadi di Hulu Dungun.

Monday, October 12, 2009

Kemenangan Isa Bukti BN Diterima Rakyat -Hisham

Kemenangan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Bagan Pinang dengan majoriti 5,435 undi menewaskan Zulkefly Mohamad Omar dari PAS membuktikan rakyat terus menerima Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden Umno yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata antara faktor yang memberi kemenangan kepada BN ialah faktor peribadi dan ketokohan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu yang diterima rakyat di Bagan Pinang.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ia juga membuktikan pengundi di kawasan itu tidak melupakan jasa dan khidmat Mohd Isa, yang juga Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang.

"Sebagai sokongan diterjemahkan ke dalam bentuk undi walaupun Mohd Isa dilemparkan dengan pelbagai tuduhan sehingga ke hari pengundian," katanya kepada pemberita selepas pengumuman kemenangan Isa bagi Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang semalam.

Bagi Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, kemenangan besar ini memberikan gambaran BN diterima rakyat pelbagai kaum di kawasan itu.

Beliau berkata kemenangan itu juga lebih bermakna apabila sokongan bukan Melayu, khususnya kaum India, memihak kepada BN dengan semua peti undi dimenangi parti pemerintah itu.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan kemenangan itu sebagai kemenangan kepada rakyat Malaysia yang mahukan kestabilan negara didahulukan.

"Saya tengok pengundi beri isyarat yang jelas dan nyata mereka nak kembalikan kestabilan dan keharmonian negara," katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau menyifatkan kemenangan wakil BN itu disumbangkan keberkesanan jentera parti mendekati rakyat di Bagan Pinang.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula mahu pucuk pimpinan BN mengekalkan momentum kemenangan BN di Bagan Pinang untuk BN terus meraih kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Beliau berkata BN juga tidak harus leka dengan kemenangan ini sebaliknya menjadikan kemenangan ini sebagai pencetus kepada usaha yang lebih baik demi meraih kejayaan cemerlang khususnya pada pilihan raya umum akan datang.

Saman RiyaPadu kini ditanggung kerajaan BN?

Tarikh 17 Januari tahun depan (2010) ditetapkan sebagai perbicaraan kes saman sebuah syarikat pembalakan Bumiputera terhadap kerajaan negeri Terengganu berjumlah RM1 bilion.

Ia berhubung penamatan konsesi balak secara tidak sah yang sepatutnya bermula di Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu semalam tetapi ditangguh ke 17 Januari depan.

Penangguhan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Zaidi Ibrahim di dalam kamar.

Syarikat Riyapadu Sdn Bhd (Riyapadu) diwakili peguam R Sukhdev Singh dan Mohamad Fariz Mohd Ali manakala kerajaan negeri Terengganu diwakili Penasihat Undang-undang Negeri, NoorBahri Baharuddin.

Dalam writ saman yang difailkan pada Disember 2007, syarikat itu berkata pada 3 April 2003, ia menandatangani perjanjian konsesi melalui tender terbuka mengambil hasil hutan di kawasan seluas 16,587 hektar di Mukin Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.

Melalui perjanjian dengan kerajaan negeri yang ketika itu diperintah Pas, Riyapadu diberi kebenaran mengambil kayu balak dan hasil hutan di kawasan itu dan bersetuju membayar kerajaan negeri RM25 juta sebagai premium pembalakan.

Syarikat itu mendakwa telah menjelaskan bayaran premium RM20 juta pada 9 April 2003 dan RM5 juta pada 5 Julai tahun yang sama dan bersedia menjelaskan bayaran premium selanjutnya melalui bank.

Namun apabila bank pembiaya Riyapadu memohon pengesahan bertulis kerajaan negeri pada masa itu, kerajaan negeri enggan memberi sebarang kerjasama dan menamatkan konsesi balak berkenaan.

Setelah menamatkan konsesi tersebut, kerajaan Pas negeri didakwa bertindak merampas kayu-kayu balak yang telah ditebang dan dilelong kepada pihak lain tanpa persetujuan syarikat.

Riyapadu mendakwa lelongan itu membolehkan kerajaan negeri memperolehi hasil hampir RM10 juta, selain mendapat hampir RM20 juta lagi hasil lelongan di kawasan konsesi lain yang infrastruktur jalan di kawasan terlibat telah diusahakan oleh Riyapadu.

Berikutan pelanggaran perjanjian itu, Riyapadu mendakwa dibebani hutang melebihi RM8 juta dengan kontraktor dan pembeli balak selain kerugian bayaran premium RM25 juta yang telah dijelaskan selain berdepan tindakan undang-undang oleh kontraktor dan pembeli balak terlibat.

Riyapadu mengemukakan saman itu bagi mendapatkan semula bayaran premium RM25 juta, kos kewangan dan kehilangan keuntungan dijangka hampir RM1 bilion.

Benarkah Din Adam dapat banyak ‘jawatan’ sekarang?

Oleh Zamzuri Damanhuri

Di Bagan Pinang, ketika kempen sedang rancak berjalan, nama ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam tetap menjadi sebutan.

Kali ini, kedengaran cerita mengatakan Ketua Umno Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan bermurah hati untuk melantik Din, yang pernah menetang Rosli merebut jawatan ketua Umno bahagian akan diberikan (dilantik) jawatan Ketua Penerangan Umno bahagian.

Sejauh mana kebenaran cerita ini, tidak dapat dipastikan kerana Datuk Rosli yang dikatakan mengetuai jentera Umno Negeri Terengganu di Bagan Pinang tidak sempat ditemui untuk ditanya kesahihan cerita ini.

Dari senarai Jawatankuasa Umno bahagian, jawatan Ketua Penerangan disandang Saudara Mahasin Taib. Jika benar Rosli mahu melantik Din, apakah jawatan baru yang bakal diberikan kepada penyandang?

Dari segi implikasi perlantikan, ada dua. Pertama, ia membuktikan sikap Rosli yang lebih mementingkan perpaduan daripada pertelingkahan yang berpanjangan. Rosli mungkin tergugat tetapi tentunya Rosli memberi alasan kepentingan dan kekuatan Umno mengatasi dari kepentingan dan kekuatan peribadi Rosli sebagai ketua bahagian.

Kedua, ramai yang melihat, dalam Umno, jika mahukan jawatan, jadilah penentang. Biasanya orang yang menentang dan kaki buat kecoh dilayan lebih dari seorang ahli yang setia. Penyokong parti di peringkat bawah akan berfikiran, pemimpin mereka tidak perlu risau dengan mereka kerana rata-rata penyokong setia, tetapi kaki kecoh mesti dijaga supaya mereka tidak terus membuat kecoh.

Dalam perkembangan serupa, ahli Umno melihat bagaimana Datuk Ahmad Shaberry Chik yang pernah berada di dalam Parti Melayu Semangat 46 (S 46) dan menentang calon BN (Umno) dalam pilihan raya kecil DUN Kijal kini sudah menjadi Menteri Belia dan Sukan.

Begitu juga, ramai yang mengetahui sejarah Datuk Seri Dr. Rais Yatim pernah menjadi Timbalan Presiden S-46 dan berkali-kali bertanding kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri menentang BN di Negeri Sembilan, kini masih boleh kekal sebagai menteri kabinet, walau pemikirannya sudah tidak relevan lagi.

Dua contoh di atas, mungkin membuatkan penyokong Umno di Dungun tersentak dengan desas-desus ini, jika benar Datuk Rosli yang ditentang hebat oleh Din dalam pemilihan Umno bahagian tahun lalu, mahu memberi tempat kepada Din.

Sebagai ketua, Datuk Rosli mestilah mempunyai pertimbangan sendiri mengapa beliau perlu melantik seorang yang mempunyai rekod hitam dalam sejarah ‘memboikot sidang DUN Terengganu’ menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Dungun, tetapi dalam masa yang sama, Rosli kenalah berfikir semasak-masaknya sebelum membuat sesuatu keputusan besar sebegini.

Ingat! Sebijak-bijak pelanduk, pelanduk sering melupakan jerat tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk. Kata orang, luka yang sembuh tetapi parut tetap ada. Tindak-tanduk Din yang pernah dilantik menjadi Exco Belia dan Sukan sebenarnya melukakan ramai orang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein khabarnya telah melantik Din menjadi Pegawai Khas kepadanya di Kementerian Dalam Negeri. Mustahak betul rupanya Din dalam senerio politik Malaysia dan politik Terengganu.

Jika Din tidak menjadi anggota Geng 10, khabarnya tiada siapa yang mahu mengenali Din. Malahan, ramai penduduk dalam DUN Bukit Besi sudah mula bersungut dengan Din yang dikatakan jarang berada di kawasan sendiri kerana mendiami banglo di Kuala Terengganu.
Malahan, Din pernah didakwa bersikap biadap dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said apabila dia dipelawa menjadi Exco di bawah kepimmpinan baru – menolaknya melalui orang lain.

Din juga dikatakan antara ADUN dari Terengganu yang bercakap lepas dan celupar di depan Menteri Dalam Negeri ketika pertemuan semua ADUN dengan Hishammuddin dibuat di Kementerian Dalam Negeri.

Ketika Geng 10 dilihat sudah berpecah, mereka yang setia kepada Umno di Terengganu sudah mula bercakap, kenapa terlalu banyak jawatan mahu diberikan kepada Din apabila dia mengangkat ‘bendera putih’ dan mengaku taat setia kepada Sultan Terengganu?

Adakah ini merupakan upah kepadanya untuk dia menutup mulut atau ada orang yang takut dengan pengaruh Din Adam di Dungun dan di Terengganu?

Bekas ‘Setiausaha Politik’ Din ketika dia menjadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu dahulu, Abdul Mubin Ismail yang mengelolakan blognya http://jaranganakmelayu.blogspot.com khabarnya meloncat-loncat marah dengan tindak-tanduk Din yang dianggapnya ‘orang pendek ni memang tidak boleh dipercayai’.

Seorang kenalan dari Terengganu memberitahu, Abdul Mubin menangis tidak berhenti-henti mendengar khabar yang Din mahu meninggalkan Geng 10. Maklumlah, selama ini, penulisan Abdul Mubin dalam blognya memberi gambaran bahawa Geng 10 ini membawa obor perjuangan istimewa manakala Datuk Ahmad Said pula merupakan seorang Menteri Besar yang terlalu bermasalah.

Tidak pula ada sesiapa yang memberitahu, apakah selera makan Abdul Mubin makin berkurangan sekarang apabila Din ‘meninggalkan Geng 10’ dan bolehkah Abdul Mubin lena seperti lena orang-orang sihat sejak dua menjak ini.

Kesihan juga Abdul Mubin jika selera makannya berkurangan, lenanya terganggu akibat tingkah laku Din ini kerana jika kesihatannya terganggu akibat tidak ada selera makan dan tidak lena tidur, akan menyebabkan dia tidak mampu menulis dan update blognya yang dikatakan sudah semakin popular kebelakangan ini.

Dalam tulisan-tulisannya, jika ada bumbung stadium runtuh, itu adalah bala dari Tuhan kerana kepimpinan Datuk Ahmad Said tidak diberkati.

Abdul Mubin tidak pula menulis mengapa bumbung stadium runtuh walaupun baru setahun digunakan dan pembinaannya dimulakan dalam zaman pemerintahan Datuk Seri Idris Jusoh.

Abdul Mubin menulis kononnya Datuk Ahmad Said tidak pandai berbahasa Inggeris tetapi tidak pula dia menulis apakah dia pernah mendengar Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bercakap dalam bahasa Inggeris.

Abdul Mubin juga mendakwa Datuk Ahmad pernah mengajak seorang wakil rakyat Pas bertumbuk di luar Dewan Undangan Negeri tetapi dia tidak menulis mengapa Datuk Ahmad yang ketika itu Exco Kerajaan Negeri di bawah Idris – mencabar wakil rakyat Pas itu berjumpa di luar kerana mempertahankan kerajaan negeri di bawah Idris yang dianggap oleh ADUN Pas itu sebagai lebih zalim dari Yahudi.

Hari ini, jika benar Din Adam dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Dungun, mudah-mudahan dia akan bergerak dari satu DUN ke satu DUN di bawah Parlimen Dungun untuk memberi penerangan mengapa dia terlibat dengan Geng 10 hingga menimbulkan desas-desus mengatakan dia menderhaka kepada Sultan Terengganu dan bersikap biadap dengan kepimpinan di peringkat bahagian dan negeri.

Jika desas-desus ini tidak benar, cerita Datuk Rosli Mat Hassan menghadirkan diri di Jamuan Hari Raya anjuran ADUN Bukit Besi serta bermaaf-maafan dan berpeluk-pelukan juga tidak benar, saya yang mendengar cerita dari mulut ke mulut ini mahu memohon maaf kepada semua pembaca yang sering melayari blog ini.

Mudah-mudahan, ada pembaca yang mengetahui kisah sebenar menulis kepada blog ini untuk menjelaskan cerita sebenarnya supaya pembaca dan rakyat tidak terkeliru dengan cerita betul atau cerita separuh betul.

Yang penting, kepimpinan Umno harus juga memberi pertimbangan dan keadilan kepada ahli-ahli yang setia walaupun dalam masa yang sama mereka mahu mengajak ‘mereka yang tersesat di hujung jalan supaya balik ke pangkal jalan’.

(Daripada www. citra-bangsa.blogspot.com - tajuk asal ialah Din Adam…dapat banyak ‘jawatan’ sekarang)

TNB RANCANG BINA EMPANGAN BARU DI TERENGGANU, PAHANG

Sumber: Bernama

Tenaga Nasional Berhad (TNB) merancang membina dua empangan hidroelektrik baru, masing-masing satu di Hulu Terengganu, Terengganu dan Hulu Jelai di Pahang.

Naib Presiden (Sumber Manusia) TNB, Muhammad Razif Abdul Rahman, berkata empangan hidroelektrik yang akan dibina di Hulu Terengganu itu terletak di kawasan Sungai Tembat dan Sungai Puah dengan kapasiti 250 megawatt manakala empangan yang akan dibina di Hulu Jelai pula berkapasiti 372 megawatt.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk mendedahkan anggaran kos dan keluasan kedua-dua empangan tetapi menjelaskan projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat.
"Kedua-dua empangan hidroelektrik itu akan dibina serentak dan dijangka siap pada tahun 2014," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya TNB Negeri Terengganu di semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Besar Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, Kenyir dan Pengurus Besar TNB Terengganu, Ir Mohd Yuslan Mohd Yusof.

Muhammad Razif berkata, proses mengeluarkan tender kini diadakan.
Katanya, empangan yang akan dibina di Sungai Tembat dan Sungai Puah itu adalah empangan ketiga di Terengganu dan lebih kecil daripada empangan pertama iaitu Stesen Janaelektrik Sultan Ismail di Paka yang mengeluarkan tenaga dengan kapasiti 1,200 megawatt dan Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud, di Tasik Kenyir dengan kemampuan 400 megawatt.

Beliau berkata, pihaknya kini telah menerima kelulusan daripada Pejabat Hutan Terengganu untuk memulakan kerja-kerja pembersihan kawasan projek.

"Keperluan tenaga elektrik di Terengganu tidak banyak, mungkin dalam 300 megawatt sahaja. Jadi kita ada Stesen di Paka yang mampu mengeluarkan 1,200 megawatt dan Kenyir 400 megawatt. Kedua-duanya kita sambungkan kepada gred nasional untuk memberi bekalan tenaga ke seluruh negara," katanya.

Muhammad Razif berkata, pembinaan empangan hidroelektrik baru itu penting kerana matlamat kerajaan ialah untuk mempelbagaikan sumber tenaga di negara ini.
"Kita jangka dalam beberapa tahun akan datang, bukan sahaja kos bahan api terus meningkat, tetapi dari segi kesediaannya. Ada atau tidak, itu belum terjamin. Maka kerajaan menggalakkan kita melihat kepada sumber-sumber yang boleh diganti semula.

"Contohnya projek kincir angin dan kuasa solar hibrid yang menjadi salah satu sumber yang kita kenali sebagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui dimulakan di Pulau Perhentian," katanya.

PTB Catat Keuntungan Lebih RM12 Juta Enam Bulan Tahun 2009

PTB Unit Trust Berhad (PUTB), pengurus Tabung Amanah Saham Darul Iman (ASDI) yang berteraskan syariah, mencatat keuntungan RM12.72 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi PTB Datuk Muhatar Abdullah berkata jumlah keuntungan itu meningkat berganda berbanding keuntungan rendah yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lepas, iaitu sebanyak RM0.381 juta berikutan keadaan pasaran saham yang tidak memberangsangkan dalam tempoh itu.

"Kita akan membayar dividen kepada para pemegang saham dalam masa terdekat setelah pihak lembaga amanah PTB bermesyuarat bagi menentukan kadar dividen berkenaan. Insya-Allah, kita harap kita akan dapat membayar pulangan yang lebih baik berbanding jumlah yang dibayar pada masa lalu," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pejabat Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di Kuala Terengganu, semalam.

Muhatar, bekas Setiausaha Kerajaan Terengganu, berkata PTB Unit Trust Berhad kini mempunyai 25,000 pemegang saham individu dan juga institusi dengan nilai saham RM56.51 juta.

Beliau berkata PUTB, syarikat milik penuh Permodalan Terengganu Berhad, mulai beroperasi dan melabur dalam bidang saham pada tahun 1994. Ia mempunyai modal berbayar RM2.50 juta dan sehingga 30 Sept 2009, dana pemegang sahamnya telah meningkat kepada RM8.60 juta.

Muhatar berkata PTB hari ini membayar zakat perniagaan sebanyak RM178,620.40 untuk tahun 2008 kepada Maidam.

Kastam Terengganu Rampas Rokok Seludup Bernilai Lebih RM1 Juta

Kastam Terengganu berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 14,800 karton rokok kretek dianggarkan bernilai RM1.06 juta, yang diisi dalam sebuah lori ketika operasi di Dungun Rabu lalu.

Pengarah Kastam negeri Datuk Azis Yacub berkata rokok-rokok tersebut dipercayai dibawa melalui jalan laut dari sebuah negara jiran untuk pasaran di pantai timur.

"Rampasan rokok ini merupakan yang terbesar dibuat Kastam Terengganu pada tahun ini," katanya pada sidang media Kuala Terengganu, semalam.

Azis berkata bertindak atas maklumat, sepasukan anggota diketuai Penolong Pengarah Kastam Mohd Fadil Muhamad Yunus membuat intipan pukul 3.40 pagi.

Katanya intipan selama tiga jam itu akhirnya dapat mengesan sebuah lori tiga tan yang sarat dengan muatan rokok berhampiran Kampung Pulau Serai, Dungun menghala ke sini.

Beliau berkata pemandu lori berkenaan bagaimanapun sempat melarikan diri dalam kegelapan malam setelah menyedari dihampiri kenderaan penguatkuasa, dengan meninggalkan lori berkenaan di tengah jalan.

Azis berkata sekurang-kurangnya lima buah kereta yang dipercayai milik tonto mengiringi lori berkenaan, namun, tiada insiden tidak diingini berlaku.

Beliau berkata siasatan awal mendapati nombor pendaftaran yang digunakan oleh lori berkenaan adalah palsu, dan pihaknya kini menjalankan siasatan untuk mengesan pemilik lori itu.

Azis berkata jumlah cukai yang cuba dielak mencecah RM840,946.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, mengangkut barang-barang larangan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang, penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya bekerjasama dengan Kastam, menyalurkan maklumat berkaitan dengan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan kepada bahagian pencegah Kastam Terengganu melalui talian 09-6228477, 09-6204242 atau talian bebas tol 1800-88-8855.

Kutipan zakat Terengganu meningkat RM49.67j

Kutipan zakat keseluruhan di Terengganu sehingga September tahun ini meningkat kepada RM49.67 juta, berbanding kutipan pada tempoh yang sama tahun lepas RM42.2 juta.

Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam),Wan Harujan Sulaiman berkata peningkatan berlaku dalam zakat pendapatan, zakat wang simpanan dan zakat harta.

Menurut beliau, purata kenaikan semua zakat berkenaan ialah pada tahap 20 peratus.

Wan Harujan berkata bilangan pembayar zakat juga telah meningkat 14.7 peratus iaitu dari hanya 19,727 kepada 22,625 orang.
Ia bertambah 2,898 orang dari Januari hingga September 2009, katanya.

Sunday, October 11, 2009

Azizulhasni pilih 'laluan berbeza' di Piala Dunia

Sumber: Berita Harian

Sesudah gah mengibar Jalur Gemilang melakar nama Malaysia di Medellin, Colombia, baru-baru ini, jaguh trek Azizulhasni Awang kini memilih laluan berbeza pada saingan Piala Dunia bermula di Manchester, England, bulan ini.

Dia kini terpaksa melupakan rakan sepasukan negara kerana akan mewakili pasukan profesional, Bike Technologies (BT) dari Australia walaupun sasarannya tetap sama - untuk mengumpul mata ke Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark Mac tahun depan.

Apapun, itu adalah perancangan terbaik disusun ketua jurulatih, John Beasley yang mahu memastikan lebih ramai pelumba negara mampu meraih mata ke Copenhagen selain mencuba gandingan muka baru dalam acara pecut.

Walaupun Azizulhasni –pelumba dari Terengganu - mewakili pasukan profesional, misinya tetap sama bagi mengumpul mata untuk pasukan negara, kata Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Naim Mohamad, kelmarin.

Tidak kira pasukan apa diwakilinya, apa yang penting pada akhirnya dia dapat mengharumkan nama negara.

Naim menjelaskan, langkah itu bersifat sementara dan dapat membuka ruang buat Beasley mencuba gandingan baru dalam acara pecut terutama membabitkan pelumba muda yang kini sudah beberapa bulan menjalani latihan di Melbourne, Australia.

Ketika ini, seramai 12 pelumba menjalani latihan di Australia dengan sebahagian besar terdiri daripada pelumba pelapis yang diharapkan mampu menandingi skuad elit negara.

Selepas kejohanan di Manchester itu, siri Piala Dunia akan diadakan pula pada 19 November di Melbourne sebelum beralih ke Cali, Colombia pada Disember dan diakhiri di Beijing pada Januari 2010.

Pencuri Prihatin Tidak Usik Tabung Derma Mangsa Gempa Bumi Padang

Sebuah pasar raya di sini kecurian wang tunai lebih RM25,000, namun wang kutipan derma untuk mangsa gempa bumi Padang, Indonesia, dalam sebuah tabung lutsinar yang diletakkan dalam bilik juruwang, tidak dilarikan.

Pengurus pasar raya berkenaan M Shanmuganathan berkata kehilangan wang tunai itu disedari semasa pasar raya itu hendak memulakan urusniaga pada pagi.

Katanya tabung berkenaan, diletakkan di pasar raya berkenaan sejak dua hari lepas untuk disalurkan kepada mangsa bencana gempa bumi di Padang, 30 September lalu.

"Kita tidak dapat pastikan berapa jumlah wang dalam tabung berkenaan kerana masih belum dikira, bagaimanapun, wang tunai dalam 14 kotak yang dikunci dalam bilik juruwang hilang dan bilik itu turut berselerak digeledah pencuri," katanya ketika ditemui semalam.

Shanmuganathan berkata beliau sudah memastikan semua pintu pasar raya ditutup sebelum meninggalkan premis berkenaan pukul 10.30 malam.

Katanya kejadian itu dilaporkan kepada polis sejurus selepas kejadian disedari.

'Che Mek' Dan 'Loki Mala' Bantu Operasi Pindah Gajah Liar

Operasi memindahkan seekor gajah liar jantan yang ditangkap di ladang kelapa sawit dekat Kampung Padang Luas, petang kelmarin ke penempatan Pusat Santuari Gajah, Sungai Kemia, Hulu Terengganu semalam dilakukan dengan bantuan dua ekor gajah denak betina.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Rozidan Md Yasin berkata operasi bermula jam 9.30 pagi itu memakan masa hampir sejam, dipermudahkan dengan bantuan gajah denak 'Che Mek' dan 'Loki Mala' yang didatangkan dari Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Seramai 21 pegawai jabatan itu dan dari Pusat Santuari Gajah Sungai Kemia terbabit dalam operasi itu, katanya.

Rozidan berkata sebelum dipindahkan, gajah jantan berumur antara 10 hingga 12 tahun dan seberat 1.7 tan itu terpaksa ditenangkan dengan ubat pelali.

Gajah itu berjaya ditangkap oleh pasukan Perhilitan Terengganu kelmarin setelah ia dipercayai terpisah daripada kumpulannya ketika haiwan itu memasuki kebun kelapa sawit di kampung berkenaan untuk mencari makanan.

Betulkah Kemelut Umno Terengganu sudah selesai?

Oleh Wan Yusof Hj Wan Ngah



















LAMA juga tidak menulis pasal kemelut politik Terengganu. Maklumlah, salah seorang dari mereka yang terlibat dengan kemelut ini, bersama Geng 10, YB Datuk Din Adam sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka (bersama-sama enam ADUN) berdiri teguh bersama-sama kepimpinan yang ada.

Jauh sekali mahu menderhaka kepada Sultan Terengganu, dia dipetik sebagai berkata sebaik sahaja selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Tidak lama selepas itu, Hishammuddin pula mengumumkan perlantikan beberapa pengerusi biro, yang sekaligus mengambarkan memang kemelut sudah berakhir dan mereka mahu bekerja bersama-sama Menteri Besar, Datuk Ahmad Said untuk membangunkan Negeri Terengganu.

Malangnya, ketika berada di Port Dickson, ketika kempen pilihan raya kecil berlangsung di DUN Bagan Pinang, kedengaran cerita di sebalik tabir mengenai politik Terengganu ini.

Kononnya, Hishammuddin kurang seronok dengan kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang menawarkan diri menjadi orang tengah bagi membantu Hishammuddin menyelesaikan kemelut tersebut.

Hishammuddin dan juak-juaknya didakwa tidak suka dengan kenyataan itu. Hishammuddin khabarnya kurang senang dengan kata-kata Muhyiddin yang menyebabkan orang di luar mengambarkan Hishammuddin lembik dan tidak berkemampuan untuk menerajui Umno Negeri Terengganu hingga menyebabkan perlu ‘bantuan Muhyiddin’.

Maka, untuk membuktikan bahawa campur tangan Muhyiddin tidak diperlukan, maka cepat-cepat Hishammuddin pintas dengan membuat beberapa perlantikan dan serentak dengan itu bergambar ramai-ramai bagi ditunjukkan imej tidak bermasalah kepada umum dan sekaligus mahu menyampaikan mesej kepada Muhyiddin, tak payah sibuk-sibuk untuk membantu menyelesaikan masalah di Terengganu.

Satu sumber lain pula memberitahu, Hishammuddin menggunakan khidmat budaknya yang bernama Din Adam yang dikatakan sudah dilantik menjadi Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri untuk berdepan dengan wartawan dengan imej sudah bersedia untuk berdamai dengan Menteri Besar dan Sultan Terengganu, demi menjaga imej Hishammuddin.

Memang selama ini, kemampuan Hishammuddin menerajui Umno Terengganu dipersoalkan. Malahan, kedudukannya sebagai Naib Presiden di temat kedua selepas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga dilihat sebagai ‘menghadapi masa depan politik yang suram’.

Rekod kurang baik yang ditinggalkan di Kementerian Pelajaran – serta gagal menyelesaikan isu PPSMI menyusahkan Hishammuddin untuk mendapat kenyakinan rakyat dan ahli-ahli Umno untuk membenarkan dia melangkah lebih jauh dalam hirerki kepimpinan Umno.

Ketika Hishammuddin sedar kelemahannya dan penyokong-penyokong tahu isu lembik ini akan menyulitkan Hishammuddin untuk bersaing dengan pengaruh Ahmad Zahid, maka mereka merancang untuk menyelesaikan secara ‘wayang kulit’ kemelut di Terengganu.

Sekurang-kurangnya, imej Hishamuddin tidaklah seburuk yang diketahui umum walaupun dari segi jangka panjangnya, Umno Terengganu akan terus bermasalah selagi Presiden Umno yang juga Perdana Menteri masih mempercayai Hishammuddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu.

Apa yang Najib harus lakukan ialah ‘ketegasan’ untuk berhadapan dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh dan seorang dua pengikutnya yang menyangka ‘hidup dan mati politik mereka’ kerana pengaruh Idris.

Jika Najib tegas, kemelut ini akan berakhir dan noktah boleh diletakkan di situ – menandakan kemelut benar-benar berjaya diselesaikan.

Keberanian yang ada pada Geng 10 ini ialah kerana mereka tahu Najib dan Muhyiddin takut. Jika Geng 10 termasuk Idris tahu Najib dan Muhyiddin mempunyai keberanian, mustahil mereka masih mahu mengada-ngada seperti apa yang mereka lakukan sekarang.

Najib dan Muhyiddin kena ingat, bahawa Geng 10 sebenarnya bukan menggugut Datuk Ahmad Said tetapi mengugut mereka berdua, termasuk Sultan Terengganu.

Bolehkah ia diizinkan?

(http://citra-bangsa.blogspot.com)

Bank Islam janji khidmat terbaik

Bank Islam Malaysia Berhad sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan bagi memastikan pelanggan di seluruh negara mendapat manfaat dan insentif dalam jangka masa panjang.

Pengurus Besar Perbankan Pengguna Bank Islam Malaysia Berhad, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya akan terus menyediakan kemudahan sepatutnya kepada pelanggan agar dapat mengekalkan kepercayaan mereka untuk terus memilih Bank Islam.

“Kita akan perbaiki kelemahan yang ada dari semasa ke semasa supaya pelanggan berpuas hati dan meningkatkan tahap keyakinan mereka terhadap perkhidmatan yang disediakan ini.

“Malah maklum balas diterima pelanggan pula, mereka rata-ratanya menyokong dan berharap supaya ditambah lagi cawangan Bank Islam yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Bank Islam yang dihadiri lebih 500 pelanggan dari seluruh negeri ini di Anjung Bistro Primula Beach Hotel, kelmarin.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dan isteri, Toh Puan Sri Wan Hidayah Wan Ismail.

Sementara itu, berhubung majlis itu pula, Khairul berkata, ia penting dan sangat perlu diadakan bagi menghargai usaha kakitangan yang selama ini bertungkus-lumus dan memberi hasil kerja terbaik demi kepentingan pelanggan.

“Ini selaras dengan gesaan kerajaan agar semua sektor lebih komited dan berusaha untuk meningkatkan sistem perkhidmatan dalam memenuhi tuntutan serta keperluan pelanggan,” katanya.