Saturday, February 12, 2011
MBKT Bina Bangunan Sendiri Bernilai RM80 Juta
Datuk Bandar Kuala Terengganu Datuk Adzlan Mohd Dagang berkata, bangunan tersebut akan dibina di kawasan seluas dua hektar sebagai mercu tanda bandar Kuala Terengganu dan pembinaannya dijangka siap dua tahun lagi.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis hari bertemu pelanggan bersama pemimpin masyarakat Tionghua di Kuala Terengganu, hari ini, beliau berkata apabila siap kelak, semua unit MBKT yang sesetengahnya pada masa ini menyewa di bangunan lain, akan ditempatkan di bawah satu bumbung.
Dalam perkembangan lain, Adzlan berkata tahun ini MBKT menyasarkan kutipan hasil sebanyak RM60 juta.
Beliau berharap sasaran itu akan tercapai berikutan MBKT akan mengekalkan taksiran cukai pintu dan taksiran cukai harga tanah yang semakin meningkat di bandar ini.
Selain itu, sebuah perhentian bas juga akan dibina di Kampung Bukit Besar di sini memandangkan perhentian bas MBKT di Jalan Jail sudah tidak sesuai dan tempat itu akan dijadikan medan letak kereta.
Kerajaan Tangguh Pengambilan Doktor Pakar Dari Mesir
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata walaupun sebelum ini kementerian telah mencapai persetujuan dengan kerajaan Mesir untuk mendapatkan khidmat 58 doktor pakar dari negara itu, ia tidak dapat dilaksanakan buat sementara waktu.
"Ia akan diteruskan setelah keadaan politik di negara itu benar-benar pulih dan sebagai alternatif kita akan mendapatkan khidmat doktor pakar dari India dan Sri Lanka.
"Perbincangan telahpun diadakan dengan kedua-dua kerajaan dan mereka bersetuju untuk membekalkan kita dengan doktor pakar terbaik dari negara mereka untuk berkhidmat di negara ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Daerah Kemaman hari ini.
Lawatan itu turut disertai Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merangkap Anggota Parlimen Kemaman.
Beliau berkata perbincangan antara dua negara terlibat ialah untuk memastikan doktor yang datang berkhidmat di negara ini benar-benar pakar dalam bidang mereka dan berkelayakan.
Mereka yang terpilih katanya, akan berkhidmat secara kontrak selama dua tahun bermula Mac ini dan dalam masa yang sama mereka juga tidak akan hilang kekananan di negara asal.
Liow bekata sebelum ini kementerian mengiklankan kekosongan jawatan doktor pakar di negara ini ke luar negara menyebabkan kadangkala doktor yang dipilih tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki kementerian.
Autonomi Untuk Kampus Cawangan, Termasuk Kampus Terengganu
Pemberian autonomi kepada empat kampus cawangan UiTM akan menjadi pendorong kepada kampus cawangan yang lain untuk meningkatkan prestasi agar mereka untuk turut mendapat autonomi.
UiTM kini menampung jumlah pelajar yang ramai iaitu 180,000 sekarang dan akan mencecah 200,000 pada 2015, maka sudah tentulah dalam berjaya mencapai kuantiti, UiTM tidak boleh lupa kepada soal kualiti. Pemberian autonomi ini juga bertepatan dengan fokus UiTM terhadap kualiti.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata di Shah Alam hari ini, UiTM kini memiliki 12 kampus cawangan dan apabila cawangan-cawangan baru siap dibina, UiTM dijangka mempunyai lebih daripada 20 kampus cawangan di seluruh negara.
Mohamed Khaled berkata kampus cawangan yang mempunyai autonomi mempunyai kuasa seperti boleh membuat sesetengah keputusan tanpa perlu merujuk kepada kampus utama, mengambil pensyarah terbaik serta mengadakan majlis konvokesyen sendiri.
Katanya, Kementerian Pengajian Tinggi mensasarkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara akan memiliki autonomi penuh menjelang 2015.
Beliau berkata autonomi kebiasaannya disamakan dengan soal kecemerlangan dan pihak IPT selalu memberi alasan bahawa mereka tidak begitu cemerlang kerana tidak ada autonomi.
"Bermula tahun ini, kita akan lihat kepada beberapa aspek seperti tadbir urus, kewangan serta kemasukan pelajar dan mana-mana (IPT) yang telah bersedia kita akan mula untuk lihat perubahan yang perlu dibuat kalau nak jalankan autonomi.
"(Menjelang 2015) tiada alasan bagi mana-mana IPT untuk tidak ambil autonomi," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konferensi Akademik 2011 Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini.
Seramai 4,000 kakitangan UiTM menyertai program selama tiga hari yang bertemakan 'Menjuarai Kecemerlangan Universiti' yang turut diikuti oleh semua warga universiti dari 12 kampus cawangan di setiap negeri menerusi teknologi telekonferensi.
Pada majlis perasmian tersebut, Naib Canselor UiTM Datuk Profesor Sahol Hamid dipilih sebagai penerima Tokoh Anugerah Akademik UiTM 2010 yang membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta pingat dan sijil.
"Kipas Le Hambali...Biar Tersengih Mat Said Tu..."
Saya terkejut juga apabila nama saya disebut dengan jelas dalam sebuah blog pemimpin tinggi Terengganu, Rabu lalu (9 Feb 2011) yang membicarakan mengenai langkah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mahu membanteras kegiatan curi bijih di Dungun.
Pada akhir entri bertajuk "Bila MB Mat Said Ganti Ar Tompel' pemimpin berkenaan menyebut: "Kipas le Hambali… Kipas si Awang Selamat.. biar tersengih Mat Said tu…”
Pemimpin PAS Terengganu yang juga pemimpin PAS di Dungun itu bagaikah resah dan mempersoalkan tindakan kerajaan negeri mengenai isu berkenaan.
Apakah hanya kerana PAS pembangkang, usaha kerajaan negeri pimpinan Ahmad bersusaha mencegah perbuatan mencuri harta rakyat pun mahu dipersoalkan?
Malah, beliau menganggapnya sebagai berita lawak!
Apakah ia suatu berita lawak apabila kerajaan negeri menyatakan mahu mendakwa pencuri bijih di Bukit Besi dan ia direstui juga oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Rabu lalu?
Pemimpin PAS Terengganu ini mempersoalkan tindakan Menteri Besar berdasarkan laporan teganuku apabila beliau memetik: “Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berang dan berjanji untuk mengheret mereka yang mencuri bijih besi sekitar kawasan lombong di Bukit Besi. Menghairankan, walaupun ada kejadian tetapi seolah-olah tiada laporan mengenai kejadian itu. Apakah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tidak pernah membuat laporan atau pihak polis tidak dapat bertindak kerana sebab-sebab tertentu?Difahamkan beliau bukan sahaja berang dengan kejadian tetapi pegawai dan mereka yang diberikan amanah menjaga kawasan itu kerana kegiatan perlombongan besar-besaran akan dilakukan tidak lama lagi.
Ini bukan kali pertama kejadian malah sebelum ini pun Menteri Besar sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu. Sebelum ini ada pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah Dungun yang dipanggil ke Wisma Darul Iman untuk memberikan maklumat mengenai kejadian. Berikutan itu, beliau mengarahkan PTG supaya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut secepat mungkin supaya mereka yang terlibat didakwa dengan segera.
Selain itu beliau berikrar membawa ke muka pengadilan mereka yang terlibat dengan kegiatan mencuri bijih di Lombong Bukit Besi Dungun.“Saya juga akan panggil Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasat kejadian ini (kecurian biji besi) katanya. "Selama ini bila berlaku penyelewengan orang ramai menyalahkan orang politik, tetapi dalam kes ini ia melibatkan pegawai (kakitangan kerajaan) yang yang tidak bertanggungjawab," ujar beliau.
Beliau berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang terlibat dalam jenayah tersebut kerana ia melibatkan harta awam. Ahmad Said menegaskan integriti perlu wujud bukan sahaja di kalangan orang politik tetapi juga meliputi pegawai takbir dan penjawat awam.
Ketika melawat kawasan lombong berkenaan semalam, tiada kelihatan ADUN Bukit Besi, Datuk Din Adam bersama Menteri Besar dan begitu juga pada penyampaian e-Book kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi.”
Saiful Bahri dok kipas Tok Guru Nik Aziz ke?
Menurut Saiful Bahri, “ini satu lagi berita lawak. Betapa hebat si ketam nak ajar anak berjalan betul. Siasatan belum bermula, awal-awal lagi pegawai sudah dipersalahkan. Isu rasuah dan salah-guna kuasa Datuk Ahmad Said masih belum dibicarakan. Rakyat masih ingat sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan MB, bagaimana BPR ketika itu sibuk dengan fail salah-laku Mat Said.”Tambah pemimpin PAS itu: “Hari ini beliaulah yang paling berintegriti kononnya… pirahhh!!! Nak jaga harta awam konon!!! Kalau melibatkan orang lain tak cukup tanah cari. Ke lubang cacing korek. Tapi kalau pimpinan UMNO… Tunggulah Rimau Mat Said bertanduk dulu…”
Saiful Bahari, selain mempersoalkan kredibiliti Ahmad Said turut mengemukakan tiga perkara iaitu:
1. Siapa pemilik 3 syarikat yang dapat mengusahakan bijih-besi di Bukit Besi tu? Menurutnya, YB Bukit Besi sendiri pun tak tahu dan rakyat Dungun dan khususnya rakyat Bukit Besi juga ingin tahu.
2. Munasabah dah YB Din Adam boikot program MB. Calon memang konpem tak dapat dah. Team Deris katakan. Mat Said pergi berleter kat orang kampong Bukit Besi tu nak bagitau YB diorang tak buat kerja le tu… Adun pemalas. Lari dok Gong Badak bersemayam disinggah-sana mewah. Nak kipas le calon baru tu. Ketua Pemuda Bahagian kot. Ejas-ejas le kot tu…
3. Begitulah lakonan lawak pimpinan UMNO. Sama macam AR Tompel. Nak ambil tindakan undang-undanglah… nak report SPRM lah… nak bagitau betapa jujur & amanah le tu kononnya. Sedangkan rakyat semua sudah tahu. UMNO ni merupakan Parti MLM. Siapa diatas dialah dapat boucher serta bonus dan dividen besar. Rakyat yang dok galas dacing dan telan UMNO kat kampong tu.. dapat le asaaappp…
Nampak sangat sikap Saiful Bahri ini seperti ada dendam dan kebencian amat sangat kepada kerajaan pimpinan Ahmad Said apabila mempersoalkan tindakan untuk membawa mereka ke muka pengadilan.
Beliau seolah-olah tidak setuju dan tidak percaya Ahmad Said bersungguh-sungguh, sedangkan satu mesyuarat tertinggi diadakan pada pagi Selasa lalu apabila pegawai tinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis turut dipanggil.
Ahmad Said sudah tidak boleh sabar sebab sudah banyak kali memberitahu pegawai di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Dungun bahawa isu kecurian bijih ini perlu diatasi segera kerana ia harta rakyat. Apakah menjaga harta rakyat bukan kewajipan dan dituntut oleh Islam?
Dengan membangkitkan isu Ahmad Said disiasat SPRM ketika mahu diangkat menjadi Menteri Besar, ini jawapannya:
1. Kalau ada kes, pastinya Ahmad Said dihadapkan ke mahkamah dan didakwa dan tidak jadilah beliau sebagai Menteri Besar;
2. Kalau ada kes kuat, pastinya pemimpin Putrajaya, termasuk Datuk Seri Mohd Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO mengheretnya ke mahkamah; dan
3. Apakah istana yang melantik beliau itu ‘buta dan tuli’ itu sengaja memejamkan mata mahukan Ahmad Said membuta tuli? Apakah Saiful Bahri mencabar keputusan Sultan Mizan Zainal Abidin melantik Ahmad Said dengan mengatakan Tuanku tidak mengendahkan moral dan ‘keburukan’ Ahmad Said apabila merestui dan bersetuju melantiknya sebagai Menteri Besar?
Tanggapan Saiful Bahri terhadap Ahmad Said rasanya dibuat berdasarkan pertimbangan tidak adil apabila mengaitkan kenyataan Ahmad Said yang membawa pencuri pasir dan mereka yang bersekongkol dengannya ke muka pengadilan. Apakah tindakan Ahmad Said ini salah?
Atau apakah Saiful Bahri tahu siapa mereka dan cuba membela mereka?
Mengenai sama ada Datuk Din Adam tahu mengenai tiga syarikat yang melombong sekarang ini, saya tidak pasti. Itu antara Din dan Menteri Besar.
Tetapi apa yang berlaku pada hari Ahmad Said melawat lombong bijih itu dan penyampaian e-Book, Din memang tidak ada. Pada majlis yang sama tahun lalu, Din juga tidak ada.
Dan ironinya, ketika Ahmad Said melawat lombong pada Januari dan Ogos 2010, Din Adam selaku wakil rakyat Bukit Besi juga tidak ada.
Walaupun tidak ada, apakah Saiful Bahri mahu teganuku melaporkan Din hadir?
Perkara ini ditimbulkan kerana ketika penyampaian di beberapa kawasan lain yang ADUNnya sebelum ini dikatakan ‘tidak sebulu’ dengan Ahmad Said hadir. Ia termasuk di Ajil, Alor Limbat dan Paka.
Kenapa pula di Bukit Besi ADUNnya tidak ada. ‘Ustaz’ Saiful Bahri boleh tolong jawab bagi pihak Din?
MAIDAM Sedia Biayai Bantuan Nafkah Kes Tuntutan Mahkamah Syariah
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) meluluskan peruntukan RM300,000 bagi membiayai bantuan nafkah kepada isteri dan anak-anak yang terlibat dengan kes tuntutan di Mahkamah Syariah.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman berkata, peruntukan itu disalurkan kepada Akaun Amanah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) yang dikendalikan oleh Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah Terengganu.
Menurut beliau, penubuhan BSK diputuskan dalam mesyuarat Ketua-Ketua Hakim Syarie seluruh negara pada Mac tahun lalu dan ia diwujudkan di setiap negeri bagi membantu isteri dan anak-anak yang terlibat dengan kes tuntutan di Mahkamah Syariah.
Katanya, melalui keputusan mesyuarat itu juga, kerajaan Persekutuan akan menambah dengan nisbah yang sama kepada akaun amanah berkenaan.
“Sumbangan sebanyak RM300,000 daripada MAIDAM ini adalah kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan dan ia adalah hasil peruntukan wang zakat melalui agihan Asnaf Al-Gharimin,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima zakat perniagaan sebanyak RM239,318 daripada Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) yang disampaikan oleh Pengurus Kanan Bernas, Mohamed Faroque Mohamed Fathillah di pejabat MAIDAM di Kuala Terengganu semalam.
Menurut Wan Harujan, MAIDAM memberi sumbangan agak tinggi kerana BSK akan membiayai nafkah isteri atau anak-anak yang terlibat dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah terutama tuntutan nafkah atau penceraian sementara menunggu kes selesai atau diputuskan oleh mahkamah.
Katanya, konsep pelaksanaan BSK di bawah kawalan Jabatan Kehakiman Mahkamah Syariah akan menguat kuasa perintah mahkamah berkaitan nafkah kanak-kanak termasuk di bawah tanggungan seseorang mengikut undang-undang keluarga Islam.
Beliau menambah, penggunaan wang dalam tabung BSK oleh mahkamah adalah sebagai pendahuluan sehingga penyelesaian tuntutan nafkah dan pelaksanaan serta penguatkuasaan perintah kepada suami atau bekas suami membayar balik pembiayaan yang dibuat oleh BSK.
Ini kerana katanya, kebiasaan kes kekeluargaan memakan masa agak lama sehingga memberi kesan buruk termasuk penganiayaan terhadap ibu dan anak-anak kerana kegagalan pembayaran nafkah oleh suami atau bekas suami.
“Sedangkan mereka memerlukan kewangan bagi membiayai kehidupan serta persekolahan anak-anak sehingga keputusan dibuat,” ujar beliau.
Juara Eakyat Seberang Takir Jadi Acara Bulanan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, program itu dijangka ditetapkan pada setiap Khamis minggu pertama atau kedua pada setiap bulan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri memberitahu, untuk program bulan depan, ia dijangka diadakan pada 10 Mac ini bertempat di Dataran Seberang Takir Kuala Terengganu.
Menurutnya, antara acara yang bakal disediakan sempena program Juara Rakyat itu adalah pameran, hari bertemu pelanggan dan sebagainya yang bakal disertai pelbagai agensi kerajaan.
“Usaha ini bagi membolehkan kerajaan membantu masyarakat setempat mendapatkan maklumat tepat mengenai pelbagai bidang termasuk kemudahan kesihatan dan sebagainya.
“Antara agensi kerajaan yang akan kita jemput menjayakan program ini nanti adalah Jabatan Perikanan, LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia), Jabatan Kesihatan dan lain-lain,” katanya semalam.
Ahmad Razif memberitahu, pihaknya juga akan mengundang pakar-pakar perubatan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan untuk memberi perkhidmatan perubatan kepada masyarakat setempat.
Friday, February 11, 2011
Dewan Perniagaan Sokong Penuh Penubuhan Teraju
Pengerusi DPIMT Datuk Dr Abdul Latiff Awang berkata idea penubuhan Teraju oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah dianggap baik bagi memandu dan membimbing syarikat-syarikat Bumiputera untuk lebih cepat meningkat bagi memastikan lebih banyak lagi dapat disenaraikan di Bursa Saham Malaysia.
"Dulu ada juga (bimbingan) tetapi tidak terlalu terarah berbanding Teraju yang memberi fokus untuk membimbing syarikat-syarikat Bumiputera untuk lebih cepat meningkat maju dan ada galakan supaya kedudukan syarikat Bumiputera lebih teguh.
"Dari segi teknikal pula, ia dilihat memandu kita ke arah kejayaan di mana selama ini agak kurang menonjol dan DPIMT menyokong sangat penubuhan Teraju ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Khamis.
Abdul Latiff berkata syarikat-syarikat Bumiputera yang tersenarai dalam bursa saham akan meneguhkan lagi kedudukan ekonomi orang Islam selain meningkatkan peluang pekerjaan kepada orang Islam
Sementara itu, Pengerusi DPMMT Datuk Ir Tengku Ismail Tengku Jaafar berkata penubuhan Teraju dapat memperkasakan lagi ekonomi Bumiputera.
Bagaimana pun, beliau berharap Teraju hendaklah diberikan kuasa yang lebih baik bagi memastikan keberkesanan penyampaiannya.
Katanya Teraju yang diketuai Husni Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif akan berfungsi meneraju, mengurus serta memacu penyertaan golongan Bumiputera dalam ekonomi melalui pelbagai inisiatif baru serta sedia ada.
"Tindakan kerajaan itu selaras dengan resolusi meja bulat perbincangan ekonomi Bumiputera sebelum ini yang mencadangkan supaya diwujudkan jawatankuasa penyelaras," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Ir Tengku Ismail berharap agar agenda ekonomi Bumiputera menjadi agenda ekonomi negara kerana ia melibatkan kepentingan nasional.
Katanya kesediaan kerajaan untuk bekerjasama dengan badan-badan berkepentingan termasuk dewan-dewan perniagaan amat dihargai oleh DPMMT.
"Barisan jawatankuasa DPMMT berikrar untuk memberi kerjasama penuh bagi menjayakan agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera terutama di peringkat negeri melalui unit baru itu," katanya.
Jelajah Malaysia Mampu Promosi Negara Ke Seluruh Dunia - Rosmah
Untuk itu, beliau berkata perancangan rapi harus dilakukan dari sekarang termasuk membabitkan penggiat sektor pelancongan.
"Ia boleh membabitkan syarikat pengembaraan untuk mengatur pakej pelancongan yang sesuai sempena jelajah ini. Selain daripada penginapan di hotel, para pelancong boleh juga menggunakan kemudahan homestay (inap desa)," kata isteri Perdana Menteri itu ketika melancarkan Jelajah Malaysia 2011, semalam.
Beliau berkata penganjur boleh menghebahkan aktiviti tersebut kepada kedutaan dan pesuruhjaya tinggi Malaysia di luar negara agar mereka turut mempromosikan acara berkenaan.
Selain itu katanya, penganjur juga boleh menjemput wakil media sukan dan media pelancongan dari negara luar untuk mengikuti siri jelajah terbabit dan membuat liputan dan siaran ke negara masing-masing.
Jelajah Malaysia ke-47 dengan tema "Jelajah 1Malaysia - Jelajah Rakyat anjuran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan melalui enam peringkat bermula di Kota Iskandar, Johor pada 8 Mac ini dan berakhir di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan pada 13 Mac.
Seramai 150 pelumba dari 34 pasukan dari dalam dan luar negara dijangka menyertai acara kali ini.
Antara pasukan luar negara yang akan mengambil bahagian ialah dari Amerika Syarikat, Amerika Selatan, Eropah, Oceania dan benua Asia, manakala pasukan tempatan pula dari Johor, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kuala Lumpur serta pasukan kebangsaan, selain Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan MSN Serantau.
Pasukan lain ialah Terengganu Cycling Team (TSG), LeTua Cycling Club, Felda Trengganu Cycling Team dan pasukan pelajar universiti pengajian tinggi di bawah Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum).
Kerajaan Terengganu Kaji Tanggung Kos Kepulangan Pelajar
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman bagaimanapun berkata, bantuan itu mungkin hanya melibatkan pelajar kurang mampu atau miskin.
Katanya, setakat ini, beliau hanya menerima satu permohonan daripada pelajar terlibat untuk mendapatkan bantuan tanggungan kos kepulangannya ke negeri ini dari Mesir.
"Kita akan cuba pertimbangkan (bantu tanggung kos kepulangan pelajar), mungkin hanya pelajar yang kurang mampu dan miskin yang boleh kita bantu, bukan semua.
"Ini kerana, ramai yang balik sendiri adalah mereka yang belajar di sana atas belanja sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Penyerahan E-Book Untuk Murid Tahun 5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di Kuala Terengganu, semalam.
Seramai 567 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Seberang Takir, SK Bukit Tok Beng, SK Tok Jembal, SK Teluk Ketapang dan SK Seberang Takir menerima E-Book masing-masing daripada Ahmad Razif.
Beliau diminta mengulas sama ada kerajaan negeri bersedia membantu meringankan beban pelajar Terengganu di Mesir dengan menanggung kos kepulangan mereka ke tanah air sebelum ini atas perbelanjaan sendiri.
Ahmad Razif bagaimanapun memberitahu, perkara itu memerlukan penelitian terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada kerajaan negeri bersetuju menanggung kos kepulangan pelajar berkenaan.
"Buat masa ini kita tak ada cadangan mengenainya (tanggung kos penerbangan pelajar) tapi kita sedia mempertimbangkan mengenainya," tambahnya.
'Terengganu City Night Game' Jelajah Seluruh Daerah
TCNG sebelum ini berpusat di Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak, dikembangkan ke seluruh daerah sebagai langkah memandangkan penyertaan dan kehadiran penonton dari seluruh daerah bagi setiap siri aktiviti yang diadakan sejak dua tahun lalu itu amat menggalakkan.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Zainal Abidin Hussin, berkata sukan berbasikal merupakan aktiviti yang bakal diberi tumpuan pada tahun ini memandangkan ia sukan paling menonjol sejak akhir-akhir ini.
“Program TCNG ang pertama tahun ini bakal bermula pada 17 hingga 19 Februari depan, di mana kita berharap semua pihak sama ada komuniti setempat ataupun penggemar sukan, tidak melepaskan peluang untuk turut serta.
“Beberapa kategori sukan juga menanti penyertaan semua pihak antaranya sukan berprestasi tinggi, sukan lasak, sukan massa dan acara berbentuk hiburan yang bakal menguji ketahanan mental serta fizikal kesemua peserta,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Atlet Berbasikal Terengganu Cycling Team (TSG) di perkarangan Gerbang Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam (9 Februari).
Encik Zainal berkata, purata penyertaan ialah seramai 1,800 bagi setiap siri TNCG dan jumlah keseluruhan dianggarkan seramai 15,000 penonton bakal memenuhi tapak aktiviti setiap hujung minggu berkenaan.
Sementara itu, TSG yang diwakili enam pelumba termasuk seorang dari Jepun bakal berentap dalam Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Mumbai di India yang dijadualkan 11 hingga 13 Februari ini.
Peserta yang bakal menyahut cabaran itu adalah Yusrizal Usoff, Mohd Sobri Abdullah, Mohd Faiz Sharifuddin, Mohd Nor Amirul Fakaruddin Marzuki, Nor Umardi Rosdi dan Motoi Nara dari Jepun.
Pemilihan mereka dibuat berdasarkan keupayaan serta kekuatan untuk bersaing dalam perlumbaan landai berkenaan.
Siri Kedua Cabaran BSN SVC Tawar Hadiah RM150,000 Bermula Mac Ini
Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Korporat BSN Joannita Zaleha Yusof berkata hadiah wang tunai itu diperuntukkan kepada lapan pasukan terpilih ke peringkat akhir pertandingan yang akan bermula Mac ini.
Berikutan menerima sambutan menggalakkan pada pertandingan tahun lepas, tempoh pertandingan pada tahun ini dilanjutkan kepada selama enam bulan berbanding tiga bulan tahun lepas bertujuan menggalakkan lebih ramai penuntut menyertainya, katanya.
Penuntut perlu mengemukakan cadangan perniagaan, yang bukan sahaja berdaya saing daripada segi ekonomi tetapi juga bermanfaat kepada orang ramai, katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.
Beliau berkata pada tahun lepas, BSN menerima 37 cadangan perniagaan dan mensasarkan menerima lebih 80 cadangan pada pertandingan kali ini.
Katanya BSN juga menaja dua calon daripada pasukan yang menang pada pertandingan tahun lepas untuk mengambil bahagian dalam Program Kepimpinan Belia di China dan Hong Kong dari 14 hingga 26 Februari 2011.
Calon berkenaan ialah Sitinurulzulhijah Kamarudin dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Hafreez Aizat Hasni dari Universiti Teknologi Petronas.
Sitinurulzulhijah, 21, penuntut tahun akhir Fakulti Sains dan Teknologi berkata beliau amat gembira terpilih menyertai program antarabangsa itu kerana terdapat lima calon disenarai pendek dan mereka terpaksa bersaing dalam sesi temuramah oleh BSN.
Dalam pertandingan BSN SVC tahun lepas, pasukannya mengemukakan cadangan perniagaan untuk meningkatkan pendapatan pengumpul "gula nira" di kampung-kampung dengan mempelbagaikan penggunaan produk itu dalam muffin, jem, jeli dan makanan lain.
Katanya pasukannya bukan sahaja memenangi RM25,000 daripada BSN, tetapi bank itu turut membantu mereka daripada segi pembiayaan untuk menjadikan projek mereka satu realiti.
Hafreez Aizat, 23, penuntut akhir jurusan Sistem Maklumat Perniagaan berharap untuk memperoleh pengalaman bernilai pada program itu.
Tahun lepas, pasukannya mencadangkan pengeluaran baja organik yang memenangi tempat kedua dalam BSN SVC.
Tangisan Ibu Tidak Pengaruhi Keputusan Hakim
Ini kerana Hakim Zainal Abidin Kamarudin menyifatkan tuduhan jenayah terhadap Wan Hafiz Wan Omar, 21, yang didakwa menculik, merogol dan meliwat adalah jenayah berat.
“Saya faham puan mahu jamin tertuduh ini (Wan Hafiz) tetapi jika boleh jamin sekali pun bayarannya amat tinggi.
“Namun untuk hari ini, tiada jaminan ditawarkan. Kes tertuduh ini amat berat kerana dia dikenakan tiga pertuduhan,” kata Zainal Abidin ketika memanggil wanita itu pada sesi sebutan semula kes membabitkan anaknya di sini semalam.
Selain itu, Zainal Abidin turut menasihatkan wanita itu supaya melantik peguam untuk membantu anaknya yang dituduh atas tuduhan menculik, merogol dan meliwat.
Dua Lelaki Pecah Amanah Wang Umrah Dihadap Ke Mahkamah
Tertuduh pertama, Johari Kamarudin, 35, dari Kampung Kedai Lalat, Sering, Kota Baharu, Kelantan menghadapi satu pertuduhan pecah amanah wang sebanyak RM5,500 di Maybank Cawangan Jerteh, Besut pada 1 Jun 2009.
Rakannya, Mustafar Ismail, 56 didakwa dengan lapan pertuduhan pecah amanah yang dilakukan antara 2 Februari hingga 25 Mac 2009.
Untuk enam pertuduhan pertama, Mustafar dituduh pecah amanah wang tunai berjumlah RM16,000 pada 2 Feb, RM14,500 (15 Februari), RM37,500 (3 Mac), RM50,000 (23Mac) dan RM20,000(25 Mac) yang kesemuanya dilakukan di sebuah rumah di Taman CheYah, Kampung Amir, Kampung Raja, Besut.
Bagi dua pertuduhan lagi, Mustafar didakwa melakukan kesalahan pecah amanah di Bank CIMB Cawangan Jerteh pada 19 Mei 2009 pukul 3.15 petang melibatkan cek bernilai RM30,000 dan tunai berjumlah RM7,000.
Kedua-dua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta denda.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Adila Ab Latif dengan pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Insp Faisal Abdullah.
Majistret kemudian membenarkan Johari diikat jamin RM6,000 manakala Mustafar sebanyak RM55,000 sementara menanti 30 Mac bagi sebutan semula kes itu.
Bot Terbakar - Seorang Melecur, Lima Selamat
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa dan lima lagi rakannya yang hanyut dan terapung berjaya diselamatkan oleh Kapal Pembekal Bayu Tiram milik Exxonmobil yang melalui perairan tersebut.
Ketika ditemui pukul 11.45 malam kelmarin, mangsa yang melecur 50 peratus dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menggunakan sebuah helikopter milik Exxonmobil yang terletak di Kemaman.
Ketua Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah 9, Kepten Maritim Adam Aziz berkata, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian itu, 25 anggota Maritim Malaysia bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran bot tersebut.
Gerakan itu diketuai Leftenan Komander Maritim Mohd. Khairulanuar Abdul Majid.
"Anggota Maritim Malaysia memadamkan kebakaran dan menunda bot nelayan itu ke lokasi selamat. Selain itu, kita turut membawa enam anak kapal bot itu dari Kapal Bayu Tiram ke Jeti LKIM Chendering untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mengarahkan pegawainya ke hospital untuk mendapatkan maklumat lanjut keadaan mangsa yang melecur itu
Wanita Dakwa Kandungan Gugur Ditendang Suami
Berikutan kejadian itu, mangsa yang berusia lingkungan 20-an bukan sahaja mengalami kecederaan malah terpaksa menanggung kesedihan akibat kehilangan bayi yang dikandungnya.
Dalam kejadian pukul 10 malam, wanita itu mendakwa dia bergaduh dengan suaminya yang berusia 23 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, mangsa mendakwa dalam pergaduhan itu, dia ditampar dan perutnya ditendang oleh suaminya yang merupakan seorang nelayan.
Katanya, selepas kejadian itu, suaminya keluar dari rumah untuk menangkap ikan di laut.
"Semasa ketiadaan suaminya, mangsa mengalami kesakitan dan membuat pemeriksaan kesihatan kelmarin. Doktor mengesahkan kandungannya yang berusia tiga bulan telah meninggal dunia.
"Wanita berkenaan kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut," katanya di Kuala Terengganu, semalam.
Thursday, February 10, 2011
Terengganu Perintis Kelas Maya Sekolah Rendah
Sistem pengajaran secara maya diperkenalkan di tiga sekolah rendah di Terengganu.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata sebagai permulaan tiga kelas di Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, Sekolah Kompleks Seberang Takir diKuala Terengganu, dan Sekolah Teluk Kalong di Kemaman dipilih untuk melaksanakan projek perintis itu.
"Kos untuk mengadakan sebuah kelas maya ini dianggar antara RM25,000 hingga RM30,000 bergantung kepada kemudahan yang ada dan kita akan perluaskannya secara berperingkat ke sekolah lain jika ia menunjukkan pencapaian yang memuaskan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kelas maya di Sekolah Kebangsaan Paya Bunga di Kuala Terengganu, Rabu.
Pengajaran di kelas maya menggunakan peralatan multimedia secara interaktif dan guru tidak lagi menggunakan papan putih atau papan hitam, sebaliknya menggunakan 'smart board' yang dihubungkan terus ke talian internet dan e-Book murid.
'Smart board' itu juga mempunyai ciri skrin sentuh untuk menukar sesuatu halaman dan boleh mengesan kesilapan yang dilakukan murid.
Ahmad berkata kerajaan negeri akan memasukkan peruntukan khusus dalam bajet negeri tahun hadapan bagi menjayakan projek kelas maya itu.
Program kelas maya ini adalah hasil lawatan guru-guru pakar ke Korea, katanya yang yakin melalui sistem pengajaran itu, murid akan lebih berminat mengikuti sesi pembelajaran di kelas.
Langkah Kerajaan Bawa Pelajar Pulang Dari Mesir Terus Dapat Penghargaan
Sekumpulan pelajar dari Terengganu yang pulang dari negara yang sedang bergolak itu melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana membawa mereka pulang ke tanah air.
Wan Md Shazami Alfaruki Wan Mazalan, 23, pelajar perubatan di Universiti Mansoura, berkata beliau tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang perjalanan dari Mansoura ke Iskandariah kemudian ke Jeddah seterusnya ke KLIA dan akhirnya tiba di Terengganu malam kelmarin.
"Saya memang gembira dan terima kasih di atas langkah kerajaan yang membawa kami keluar dari bumi bergolak itu melalui Ops Piramid. Dengan berkat doa rakyat Malaysia, semua pelajar kita di Mesir selamat," kata Wan Md Shazmi, dari Kampung Cendering ketika ditemui di Kuala Terengganu, malam Selasa.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said meluangkan masa menyambut 27 pelajar pertama Terengganu tiba dari Mesir bersama tiga kanak-kanak di kediamannya di Sri Iman.
Mengenai pelajarannya yang tertangguh, Wan Md Shazami berkata, beliau akan menyambungnya selepas keadaan di negara itu kembali stabil.
Alia Shazwani Razali, 23, pelajar perubatan tahun tiga di Universiti Zagazig pula berkata, keadaan di sana sangat menggerunkan apabila tiga penjara dibom dan semua banduan terlepas keluar.
"Keadaan amat bahaya terutama kepada pelajar perempuan untuk keluar rumah kerana keadaan sudah tidak terkawal," katanya.
Bagaimanapun, katanya, tempat beliau belajar tidak seteruk di Kaherah, Iskndariah, Mansoura atau Tanta.
"Namun kita dapat lihat orang ramai merusuh dengan membawa senjata seperti kayu dan sebagainya. Kadang-kadang pengalaman ini kita rasakan ada hikmah kerana di negara kita aman, tidak ada rusuhan seteruk di Mesir," katanya.
Beliau melahirkan rasa bangga kerana kerajaan tampil menyelamatkan semua pelajar Malaysia dengan membawa mereka pulang ke tanah air..
Pelajar kursus Syariah Islam, Syed Maarof Syed Akil, 23, turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang membawanya pulang.
Anak kedua daripada empat beradik yang tinggal di Kampung Cabang Tiga di sini berkata, beliau akan menyambung pelajarannya di Universiti Al-Azhar setelah keadaan kembali tenang.
"Ketika ini kami tidak tahu lagi bila kami akan menyambung pelajaran yang masih berbaki sedikit saja lagi. Sepatutnya saya menjalani periksa akhir Mei ini, tetapi dah jadi macam ni, saya tidak tahu bila pula saya dapat habiskan pengajian saya," katanya.
Ibunya Sharifah Hafizah Syed Ahamd, 53, pula melahirkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan Malaysia kerana membawa pulang anaknya ke pangkuan keluarga.
"Saya sangat-sangat berterima kasih di atas pengorbanan kerajaan membawa anak saya dan pelajar Malaysia yang lain dari negara yang sudah kucar kacir itu. Saya kagum dengan tanggungjawab yang diperlihatkan kerajaan kita," katanya.
Ahmad pula berkata kerajaan Terengganu sedang merancang untuk membawa baki pelajar Terengganu yang masih berada di Jeddah pulang terus ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala di sini.
Sehingga ini seramai 85 daripada 756 keseluruhan pelajar Terengganu telah pulang dan Rabu ada beberapa penerbangan lagi membawa pelajar Terengganu pulang ke tanah air.
Penyampaian E-Book - Rosol Ucap Terima Kasih Kepada MB
Ini adalah kali kedua mereka bersama-sama menghadiri majlis penyampaian e-Book sambil meminta ibu bapa menghargai pendekatan Datuk Seri Ahmad Said itu.
“Terima kasihlah kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said kerana ini kali kedua beliau hadir ke Ajil untuk mengagihkan e-Book kepada anak-anak kita semua,” katanya.
Beliau menyatakan demikian merujuk pengagihan 602 unit e-Book kepada pelajar Tahun Lima di 16 sekolah rendah seluruh Ajil, di Dewan Sekolah Menengah Bukit Diman, Hulu Terengganu, kelmarin (7 Februari).
Beliau mengingatkan ibu bapa dan pelajar lebih menghargai sumbangan yang disampaikan kerajaan negeri dan menggunakan bantuan itu dengan sebaik mungkin demi meningkatkan taraf hidup.
Beliau berkata Ahmad Said sentiasa mencari insiatif bagi mengubah taraf hidup rakyat ke arah lebih baik termasuk pemberian e-Book secara percuma sejak dua tahun lalu.
“Kerajaan negeri membelanjakan lebih RM600,000 untuk menyediakan e-Book untuk pelajar Tahun Lima tahun ini bagi Dun Ajil dan ini semua tidak perlu dibayar tetapi percuma. Kerana itu, gunakanlah apa yang diberikan secara percuma ini dengan sebaik mungkin demi faedah bersama,” katanya.
MB Minta SPRM Siasat Kecurian Bijih Besi Di Dungun
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said meminta pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan segera berhubung laporan kecurian bijih besi di Bukit Besi, Dungun.
Melahirkan rasa kecewanya, Ahmad berkata beliau percaya ada 'orang dalam' bersengkongkol dalam hal itu, mengakibatkan kerajaan kehilangan hasil yang banyak.
"Seolah-olah harapkan pagar, pagar makan padi," katanya kepada pemberita selepas melawat kelas maya di Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, di Kuala Terengganu, semalam.
Gambar yang dirakam pada 18 Januari 2010.
Ahmad Said berkata satu laporan polis dibuat semalam berhubung kejadian itu dan beliau telah mengarahkam Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu menjalankan siasatan tentang perkara itu.
Beliau berkata setakat ini kerajaan negeri tidak pasti berapa jumlah kehilangan hasil bijih besi yang dialami.
Ahmad Said berkata kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur tentang perkara itu kerana ia merupakan aset kerajaan negeri dan hak rakyat.
Pada masa ini ramai pengusaha menunjukkan minat untuk mengusahakan perlombongan bijih besi, namun kerajaan negeri tidak bercadang untuk memberikan lesen kepada pengusaha baru, katanya.
Menteri Besar itu berkata sebelum ini ramai yang diberikan lesen untuk menjalankan aktiviti perlombongan di situ namun diberhentikan kerana tidak bertanggungjawab dan kini hanya terdapat tiga pengusaha sah.
AKPK Perknal POWER ke Terengganu
Pengurus besar AKPK (Operasi) Azman Hasim berkata individu-individu tersebut adalah mereka yang memohon bantuan AKPK untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka.
"Terdapat trend meningkat dalam jumlah orang yang mendapatkan bantuan pada 2008 dan 2009 berikutan krisis kewangan, tetapi dari tahun lepas hingga tahun ini, bilangan itu telah stabil," katanya kepada sidang media tentang program bergerak POWER! agensi itu di sini.
Beliau berkata seramai 140,000 orang telah menghadiri kelas dan seminar yang dianjurkan oleh AKPK sehingga tahun lepas, dan 53,000 daripada mereka telah dirujukkan kepada program pengurusan hutang kerana mempunyai masalah hutang yang serius.
Azman berkata POWER! adalah satu program untuk menyediakan individu muda dan peminjam baharu dengan pengetahuan kewangan praktikal dan kemahiran membuat keputusan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak.
Program yang disasarkan kepada mereka di bawah 30 tahun itu dijadualkan diadakan di tujuh lokasi iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor Baharu, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.
Bandar Pelabuhan Kuantan Tarik RM38 Bilion Pelaburan Menjelang 2020
Wilayah ECER meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang serta wilayah Mersing di Johor.
Bandar Pelabuhan Kuantan membentuk satu daripada komponen utama koridor pembangunan itu.
Melangkaui kawasan seluas 12,667 hektar, projek itu apabila siap akan menyaksikan pengeluaran 24 juta tonne, mewujudkan 44,785 pekerjaan dan menyumbang RM9.3 bilion kepada ekonomi tempatan menjelang 2020.
Menurut penganalisis perkapalan, projek-projek KPC sudah pastinya mampu mengubah Pelabuhan Kuantan menjadi pelabuhan mega berikutan terdapatnya saranan pembangunan bagi pengembangan Pelabuhan Kuantan.
Beliau berkata kajian kemungkinan telahpun selesai.
"Dengan kemudahan pelabuhan baharu, ia akan membolehkan pelabuhan itu menerima kapal seberat melepasi 40,000 tonne atau generasi akan datang kapal-kapal kontena," kata beliau kepada Bernama.
Penganalisis itu berkata pembangunan bersepadu KPC juga akan menyaksikan pasaran-pasaran untuk petrokimia, minyak sawit, automotif dan kontena serta zon perindustrian dan pembuatan utama yang akan memberi perkhidmatan kepada keseluruhan rantau Asia Pasifik.
Beliau berkata KPC juga akan menjadi tapak untuk Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC) dengan satu daripada komponen pembuatannya berpengkhususan dalam industri hiliran dan kluster petrokimia. Kerja pembinaan di POIC bermula pada September tahun lepas.
"Bandar pelabuhan itu akan memperbaiki pendapatan dan kemahiran penduduk serta menyediakan mereka dengan akses yang selesa dan selamat kepada kemudahan dan infrastruktur yang cekap dan moden," kata penganalisis itu.
Pelan Induk Bersepadu untuk KPC telahpun dimuktamadkan dan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kuantan tahun lepas.
Sementara itu, penambahbaikan dalam infrastruktur utama KPC seperti jalanraya dan sistem perparitan bermula tahun ini.
Bagi memperbaiki kualiti air di KPC, satu saluran air sepanjang dua kilometer di Gebeng telahpun siap dan diserahkan kepada Jabatan Bekalan Air Pahang pada bulan Mac tahun lepas.
Sementara itu, kerja-kerja pembersihan dan kaji selidik tanah untuk pembinaan Loji Rawatan Air Panching sedang dilaksanakan.
Sebaik sahaja siap, loji rawatan air akan mempunyai kapasiti 160 juta liter sehari, yang akan memastikan bekalan air yang cukup, terutamanya di kawasan Gebeng.
Bagi memenuhi keperluan di KPC, rangkaian lebuh raya, jalan raya dan lapangan terbang akan membawa penumpang dan barangan antara KPC ke kawasan perindustrian kluster.
Pusat Logistik dan Pengagihan berlokasi berhampiran dengan pelabuhan juga akan meningkatkan pengendalian barang-barang.
KPC meliputi kawasan perindustrian Gebeng dan Pelabuhan Kuantan sedia ada sehinggalah ke kawasan Institut Mardi di utara dan sempadan negeri Pahang di bahagian barat.
Rosol Bidas Sebilangan Penduduk Ajil Tidak Hargai Kemudahan
Ahli Dewan UNdangan Negeri Kawasan Ajil, Datuk Rosol Wahid membidas sikap segelintir penduduk khususnya di kawasan Ajil yang tidak tahu menghargai bantuan dan subsidi yang diberikan kerajaan ketika 1990-an dulu.
Menurutnya, ada segelintir daripada mereka ketika itu menerima subsidi tandas dan tidak mengggunakan bantuan itu dengan betul apabila bertindak membiarkannya di merata tempat sehingga berkulat.
“Apabila kerajaan buat pemeriksaan ke rumah penerima tandas berkenaan dan mengatakan untuk menarik balik subsdi itu kerana mereka tidak mahu (tandas), barulah mereka cepat-cepat menggunakan apa yang diberikan oleh kerajaan secara percuma itu.
“Sedangkan bantuan yang disediakan kerajaan itu sebagai langkah mengubah cara hidup mereka ke arah lebih positif dan sihat termasuk tidak lagi membuang air besar di merata-rata tempat. Bagaimanapun kini kehidupan mereka sudah mula berubah, ” katanya.
Beliau menyatakan pada majlis penyampaian e-Book kepada pelajar Tahun Lima di 16 sekolah rendah seluruh Ajil, di Dewan Sekolah Menengah Bukit Diman, Hulu Terengganu, kelmarin (7 Februari). Penyampaian disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Rosol berkata, jika dihitung bantuan dan sumbangan kerajaan kepada rakyat memang terlalu banyak kerana kerajaan menyediakan keperluan yang sepatutnya demi kepentingan dan kebajikan rakyat sejak dari dalam kandungan sehinggalah meninggal dunia.
Katanya, bukan hanya e-Book, buku teks secara percuma, pakaian sekolah percuma, yuran peperiksaan percuma, malah kerajaan turut menyediakan rumah percuma menerusi Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), selain peruntukan membaiki rumah PPRT serta bantuan lain dari masa ke semasa.
Sebagai tanda membalas jasa dan sokongan terhadap kerajaan, rakyat hanya perlu memilih kerajaan Barisan Nasional yang sudah banyak melakukan pembaharuan dan pembangunan demi kepentingan rakyat itu pada setiap kali pilihan raya.
Kolam Renang Batu Burok Beroperasi Semula
Kolam Renang Batu Buruk akan dibuka semula mulai 15 Februari ini selepas proses baikpulih beberapa kerosakan dan kebocoran yang dilakukan sebelum ini berlaku selesai dilaksanakan.
Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Mohd Dagang.berkata Jabatan Kerjaraya (JKR) membuat penyerahan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu(MBKT) pada 21 Januari lalu.
Beliau berkata, pihaknya mendapat jaminan daripada pihak JKR bahawa kolam renang ini selamat digunakan dan ia akan dibuka kepada orang ramai minggu depan.
Kolam renang tersebut ditutup kepada orang ramai selama setahun lebih kerana mengalami beberapa kerosakan kecil seperti kebocoran dimana beberapa bahagian bangunan digenangi air hujan.
“Kini semuanya sudah diperbaiki dan ia selamat digunakan untuk sebarang aktiviti yang ingin dijalankan di sini,” katanya.
38 Lagi Pelajar Terengganu Tiba Dari Kaherah
Seramai 38 orang pelajar Terengganu yang belajar di beberapa universiti di Mesir tiba di Kuala Terengganu kira-kira jam 6.30 petang semalam (9 Februari 2010).
Kebanyakan mereka adalah pelajar perempuan.
Pelajar Terengganu ini di bawah tajaan pelbagai agensi, termasuk Maidam, MARA, JPA dan persendirian tiba di perkarangan Wisma Darul Iman di sambut oleh Exco Kerajaan Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman, mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Ahmad Razif kemudian makan petang bersama pelajar dan ibubapa yang datang untuk menjemput anak-anak mereka.
Hadir sama Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat, Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Rosli Zakaria, Ketua Pegawai Esekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman dan pegawai Yayasan Terengganu.
Mereka melahirkan rasa syukur kerana dapat pulang ke tanahair dengan selamatnya, begitu juga dengan ibubapa yang datang menyambutnya.
Unit Komunikasi Negeri
TSG Sertai Kejohanan Tour De Mumbai 2011
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TSG Ibni Amin Busu berkata kejohanan selama dua hari mulai 11 Feb itu akan melibatkan dua peringkat iaitu di Nashik sejauh 170km dan Mumbai 108km.
"Kejohanan yang kita sertai ini merupakan trek yang landai, tidak berbukit dan ia amat sesuai dengan pelumba-pelumba pecut," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera kepada pasukan TSG di Kuala Terengganu, semalam.
Ibni Amin berkata TSG menyenaraikan seramai enam orang pelumba untuk menyertai kategori elit dan bawah 23 tahun pada kejohanan yang dianggap lebih berprestij daripada LTdL itu.
Mereka ialah Yusrizal Usoff, Muhamad Faiz Syarifuddin Abdul Kadir, Nur Amirul Fakharuddin Mazuki, Muhammad Shobry Abdullah, Mohd Nor Umardi Rosdi dan Motoi Nara.
Kesemua pelumba itu tidak diturunkan ketika TSG menyertai LTdL, katanya.
Katanya TSG tidak meletakkan sasaran yang tinggi pada kejohanan itu, hanya sekadar untuk memberikan pendedahan bagi menimba pengalaman.
Mengikut maklumat, beliau berkata lebih 20 pasukan dari Asia yang rata-rata membariskan pelumba-pelumba ternama dijangka akan mengambil bahagian dalam kejohanan bernilai US$50,000 itu.
Ibni Amin berkata kejohanan anjuran Maharashtra Tourism Development Corporation diadakan sempena tahun pelancongan kerajaan Maharashtra.
Katanya TSG dijemput menyertai kejohanan itu kerana pasukan itu telah mendaftar nama di Union Cycling International (UCI).
Beliau berkata TSG juga banyak menerima jemputan daripada pengelola-pengelola luar sepanjang 2011, tetapi belum diputuskan oleh jawatankuasa pengurusan TSG.
Yang pasti, katanya TSG akan menyertai Kejohanan Jelajah Malaysia yang akan diadakan bulan depan.
Wednesday, February 9, 2011
Pencuri Bijih Tidak Akan Terlepas - MB
Tujuannya adalah mencari satu pendekatan membolehkan mereka yang disyaki terbabit dalam kejadian kerugian bijih di Bukit Besi dapat didakwa.
Menurut sumber, Menteri Besar mengulangi kemarahan dan hasratnya mengheret mereka yang terbabit ke muka pengadilan kerana harta negeri itu milik rakyat.
Ahmad Said memberitahu mesyuarat, mereka yang melakukan perbuatan itu dijamin tidak terlepas.
Kelmarin Menteri Besar menunjukkan kemarahan apabila menganggap pegawai kerajaan yang ditugaskan bagi ‘melindungi’ kawasan itu bagaikan ‘harapkan pagar, pagar makan pagi’.
Teganuku semalam melaporkan Ahmad Said berikrar akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat.
Teganuku juga menyebut ketika melawat kawasan berkenaan pada Januari dan Ogos tahun lalu, Ahmad Said turut berang kerana kejadian kerugian yang sudah berlaku bagaikan tidak boleh dikawal.
Beliau sebelum ini sudah meminta PTG Daerah Dungun dan beberapa pejabat lain berkaitan menjamin kawasan lombong Bukit Besi dijaga rapi kerana bijih besi adalah milik rakyat.
Menteri Besar tidak dapat menahan kemarahan ketika melawat kawasan itu sekali lagi tengah hari semalam dan perkara yang sama diulangi ketika berucap pada majlis penyerahan E-Book kepada murid tahun lima Dun Bukit Besi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Besi petang semalam.
Menurut satu sms yang diterima teganuku, Menteri Besar tidak dapat menerima kejadian berulang apabila arahan demi arahan dikeluarkan sebelum ini bagaikan tidak diambil paduli pegawai yang diamanahkan.
Antara kawasan yang dipercayai menjadi tepat mencuri bijih.
37 Pelajar YT Sampai di Terengganu Malam Semalam
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud menyambut pelajar-pelajar berkenaan bersama-sama dengan ibubapa dan keluarga pelajar berkenaan.
Menurut Yayasan Terengganu, sehingga ini seramai 37 pelajar Terengganu sudah pulang ke negeri ini.
Kediaman rasmi Menteri Besar malam semalam meyaksikan kepulangan 28 pelajar tajaan Yayasan Terengganu dari Mesir itu.
Sebelumnya sebelah siang mereka tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan kemudian bertolak balik dengan bas ke Terengganu.
Ahmad Said yang sedang mempengerusikan suatu mesyuarat dengan pegawai-pegawai kerajaan di kediaman rasminya itu menangguh seketika mesyuarat untuk menyambut ketibaan pelajar berkenaan.
Hampir satu jam setengah Ahmad Said meraikan para pelajar, termasuk ibubapa serta keluarga pelajar berkenaan. pihak kediaman Menteri Besar menyediakan makan malam khas untuk tetamu yang baru dari Mesir itu.
Hadir sama Setiasauaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, Pengarah Yayasan Terengganu, Haji Aziz Mamat, Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri (APMT) , Roshali Taha, Pengarah Unit Komunikasi, Haji Shamsuddin Sulong, pegawai-pegawai Pejabat Menteri Besar dan Yayasan Terengganu.
Misi membawa pulang pelajar dari Mesir ini berterusan pagi ini apabila lebih ramai pelajar Terengganu tiba secara terus dari Jeddah ke Kuala Terengganu.
Tindakan Terhadap Guru Larang Pelajar Bawa e-Book Ke Sekolah
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata tidak ada alasan bagi guru untuk tidak membenarkan pelajarnya membawa buku elektronik itu kerana ia menyediakan kemudahan seperti yang terdapat di dalam buku teks.
"Kita akan ambil tindakan tegas jika menerima laporan ada guru-guru berbuat demikian. Ini penting untuk menjadikan sistem pendidikan kita terbaik di negara ini," katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas menyerahkan e-Book kepada para pelajar enam buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Manir, dekat Kuala Terengganu, semalam.
Ahmad mengulas mengenai desas-desus segelintir guru tidak membenarkan pelajarnya membawa e-Book ke sekolah kerana dikhuatiri mengganggu pelajaran.
Tiada laporan kejadian seumpamanya diterima setakat ini, katanya.
Ahmad berkata kerajaan Terengganu akan mengagihkan komputer riba kepada 3,500 guru yang mengajar Tahun Enam pada pertengahan tahun ini.
Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Taja 60,000 Utusan Malaysia
Yayasan Pelajaran Mara (YPM) menaja 60,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia untuk diedar di wad-wad hospital dan sekolah terpilih di seluruh negeri, sepanjang tahun ini.
Akhbar tersebut akan diedarkan ke wad-wad hospital di negeri Terengganu pada setiap hari untuk bacaan waris yang menunggu pesakit dan para pelajar di sekolah berkenaan.
Pengerusi YPM, Datuk Rosli Mat Hassan, berkata langkah penajaan itu bertujuan menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat negeri ini, khususnya di kalangan orang Melayu.
Beliau berkata, hasil penyelidikan pihaknya mendapati budaya membaca di kalangan orang Melayu amat kurang berbanding bangsa lain, justeru itu pihaknya mengambil inisiatif menaja akhbar tersebut sebagai bahan bacaan.
“Kita harap budaya membaca di kalangan masyarakat negeri ini akan ditingkatkan, seterusnya dapat mewujudkan masyarakat yang ilmiah dan berpengetahuan,” katanya pada majlis penyerahan cek bagi membiayai penajaan akhbar berkenaan di Hotel Primula semalam.
Pada majlis itu, beliau menyerahkan cek tajaan bernilai RM60,000 kepada Pengerusi Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd, Tan Sri Muhamad Hashim Ahmad Makarudin.
Sementara itu, Tan Sri Muhamad Hashim berkata, pihaknya mengalu-alukan langkah yang diambil YPM menaja akhbar untuk diedar di wad hospital dan sekolah kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.
Beliau berkata, dengan adanya bahan bacaan tersebut waris pesakit dapat memenuhi masa lapang mereka dengan membaca dan menambah pengetahuan dalam pelbagai bidang.
Selepas majlis itu Hashim membuat kunjungan hormat terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di Wisma Darul Iman.
Ahmad Said Ingatkan Pendidik Jangan Jadi Anai-Anai
Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan warga pendidik supaya tidak menjadi anai-anai dengan cara meracuni pemikiran anak bangsa sendiri serta menidakkan sumbangan kerajaan terhadap perkembangan pendidikan di negeri ini.
“Gaji mereka kerajaan bayar, kemudahan perubatan keluarga mereka kerajaan tanggung, segala prasarana dan insfrastruktur kerajaan sediakan, mereka sepatutnya bersyukur kepada Allah SWT dan terima kasih kepada tangan yang memberi,” katanya.
Menteri Besar berkata demikian pada Majlis Penyerahan e-Book kepada murid Tahun 5, bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, di Dewan Komuniti Kampung Pulau Bahagia, Manir, semalam.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman; Ketua Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu, Datuk Fatimah Hamad dan Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam.
Menteri Besar menegaskan kerajaan tidak pernah meminggirkan hak setiap rakyat di negeri ini, contohnya kawasan DUN Manir itu yang sudah 20 tahun di kuasai parti pembangkang tapi kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak putus-putus datang menghulurkan sumbangan.
Dalam majlis semalam , 394 murid Tahun Lima dari enam sekolah dalam DUN Manir menerima e-Book yang disampaikan Menteri Besar, antaranya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Beladau Kolam (85 orang), SK Pulau Manis (28 orang), SK Durian Mas (55 orang), SK Pulau Bahagia (80 orang), SK Manir (99 orang) dan SK Teluk Menara (47 orang).
Selain itu, Menteri Besar turut menyerahkan sijil penghargaan kepada Dr. Rashdan Ismail, Pakar Bedah ENT, Jabatan ENT, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian yang telah menyediakan perkhidmatan perubatan percuma dua kali sebulan kepada penduduk dalam Dun Manir.
Unit Komunikasi Negeri
SPR PAMER FADTAR PEMILIH BARU MULAI HARI INI
Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said berkata pameran itu dibuat selaras dengan kehendak Peraturan 13(5A), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Rang Daftar Pemilih itu akan dipamerkan di Pejabat Pilihan Raya Negeri (15 tempat), Pejabat Pos Berkomputer (476 tempat), Kompleks/Pejabat Kerajaan (104 tempat), Pejabat Daerah/Pejabat Tanah (156 tempat), Majlis Daerah/Perbandaran (51 tempat), Dewan Serbaguna/Rukun Tetangga/Balai Raya/Penghulu/Dewan (174 tempat) dan lain-lain tempat (30 tempat).
Sabri berkata dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Keempat (Oktober hingga Disember) 2010, SPR menerima 292,444 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 38,820 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan suruhanjaya itu.
"Mana-mana warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi seorang pemilih atau mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi dinasihat supaya menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 yang dipamerkan itu,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Sabri berkata mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 itu boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B.
Pemilih berdaftar yang hendak membuat bantahan terhadap kemasukan nama mana-mana orang dalam rang daftar pemilih itu pula boleh mengisi Borang C, katanya.
Borang-borang tuntutan itu hendaklah diserah kepada Pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan itu dipamerkan, katanya.
Beliau berkata nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih atas sebab telah meninggal dunia, lucut hak kewarganegaraan dan telah bersara daripada angkatan tentera atau polis, yang bermakna mereka hilang kelayakan sebagai pengundi pos juga akan dipamerkan.
Selain itu, sebagai persiapan menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 dan pilihan raya umum ke-13 akan datang, SPR menasihatkan pemilih berdaftar supaya membuat semakan maklumat pendaftaran mereka.
Sabri berkata ini bertujuan memastikan pemilih-pemilih berkenaan didaftar di lokaliti yang betul dan bagi mengelak tohmahan atau dakwaan bahawa SPR memindahkan pemilih ataupun menukar lokaliti seseorang pemilih tanpa dipohon.
"Sekiranya terdapat kesilapan penempatan lokaliti serta maklumat pendaftaran mereka, pemilih berdaftar perlu membuat aduan kepada SPR melalui sistem aduan SPR di www.spr.gov.my atau menulis surat atau datang sendiri ke mana-mana pejabat Pilihan Raya Negeri atau ke ibu pejabat SPR di Putrajaya.
"Jika keadaan itu berlaku menjelang sesuatu pilihan raya, SPR tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya,” kata Sabri.
Bagi tujuan membersihkan Daftar Pemilih daripada nama pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia, SPR memohon kerjasama waris simati untuk melaporkan kematian kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi membolehkan JPN mengemaskini pangkalan datanya.
"Tanpa memperoleh pengesahan daripada JPN bahawa seseorang pemilih itu telah meninggal dunia, SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan nama-nama pemilih berkenaan daripada pangkalan data Daftar Pemilih,” katanya.
Bagi pemilih berdaftar yang bertukar alamat tempat bermastautin pula digalak untuk membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di sesuatu pusat mengundi berdekatan tempat kediaman masing-masing.
Permohonan pertukaran alamat pusat mengundi boleh dibuat di mana-mana pejabat pos berkomputer, melalui kaunter bergerak SPR, kaunter ibu Pejabat SPR, Putrajaya ataupun kaunter di pejabat pilihan raya negeri, katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara itu boleh menghubungi ibu pejabat SPR di talian 03-88856500 atau faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri selain boleh melayari laman web SPR di www.spr.gov.my untuk semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010.