Saturday, November 19, 2011

Terima Kasih Presiden Obama Kerana Penempatan Guru Bahasa Inggeris

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam menyampaikan ucapan terima kasih kepada Presiden Barrack Obama dengan penghantaran 50 guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat pada bulan Januari akan datang.

Penempatan guru-guru itu dibuat di bawah satu skim yang dicadangkan Najib melalui Suruhanjaya Malaysia-Amerika bagi Pertukaran Pendidikan dan mereka akan ditempatkan di tiga buah negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Johor.

"Saya menyatakan bahawa ini adalah respons beliau kepada cadangan yang telah saya buat di New York pada bulan September 2010.

"Saya berharap jumlah ini dapat dipertingkatkan pada masa-masa akan datang," katanya.

Perkara ini dinyatakan kepada Obama ketika kedua-dua pemimpin Malaysia dan Amerika Syarikat mengadakan pertemuan dua hala di Bali, di luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang dijadual berlangsung hari ini.

Pada pertemuan itu, Obama menyatakan harapan agar Malaysia dapat memainkan peranan yang produktif bagi membantu ke arah kestabilan dan kemakmuran dunia.

"Obama melihat Malaysia berpengaruh di rantau ini dan juga dengan negara-negara Islam.

"Beliau berharap Malaysia dapat mainkan peranan yang produktif dan membantu ke arah penyelesaian konflik dan boleh membantu ke arah kestabilan dan kemakmuran dunia," katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia di Nusa Jaya, Bali malam semalam.

Obama, kata Najib melahirkan penghargaannya terhadap Malaysia yang telah dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan AS selain mengalu-alukan peranan Malaysia dalam konteks sebuah negara Islam yang progresif.

"Juga peranan kita untuk menangani beberapa isu tertentu seperti isu pengawalan senjata, yang mana Malaysia telah memainkan peranan yang amat positif," katanya.

Sehubungan itu, Presiden Amerika itu telah meminta Malaysia mengkaji kemungkinan menyertai Inisiatif Keselamatan Pengawalan Senjata (PSI), yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat.

"Kita sedang mengkaji inisiatifnya, tetapi saya maklumkan kepada Presiden Obama meskipun kita belum atau tidak menyertai PSI, Malaysia tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai pusat transit dalam perdagangan bahan-bahan senjata pemusnahan meluas, termasuk juga apa yang boleh digunakan untuk membuat senjata nuklear," katanya.

Perdana Menteri berkata dengan terlaksananya Akta Perdagangan Strategik, yang telah diluluskan, Malaysia mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak termasuk sebarang kenderaan seperti kapal dan kapal terbang yang digunakan untuk membawa masuk atau keluar barang-barang atau bahan-bahan yang digunakan, yang bertentangan dengan konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Mengenai soal keselamatan maritim, yang ada kaitan dengan perkara yang dibincangkan dengan Asean, Amerika telah menegaskan bahawa ia mesti diselesaikan melalui rundingan serta berpandu kepada undang-undang antarabangsa terutama sekali Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).

Hujan Di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah Mulai Isnin Ini Boleh Sebabkan Banjir

Hujan sekejap-sekejap dan kadang kala sederhana dijangka berlaku di Kelantan dan Terengganu mulai Isnin hingga Khamis depan, yang boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Menurut Jabatan Mateorologi Malaysia, keadaan itu dijangka berlaku di daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang dan Tanah Merah di Kelantan dan Besut, Setiu dan Kuala Terengganu di Terengganu.

Keadaan itu juga diramalkan berlaku di Padang Besar, Kangar dan Arau di Perlis dan Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Langkawi di Kedah bermula Selasa hingga Khamis depan, kata jabatan itu dalam kenyataan di sini hari ini.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai 3.5m yang dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur mulai Isnin hingga 29 Nov depan.

Amaran itu juga dikeluarkan bagi kawasan di Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), Labuan, Samui, Ref North, Layang-layang, Tioman, Bungguran, Reef South dan Palawan.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti rekreasi laut dan sukan laut.

Sekolah jangan potong wang pelajar -JPNT

Jabatan Pelajar Negeri Terengganu (JPNT) memberi amaran kepada pentadbiran sekolah di negeri ini agar menyerah RM100 wang bantuan persekolahan kepada pelajar atau ibu bapa sebagai wakil.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Encik Razali Daud berkata, kerajaan telah memutuskan bantuan berkenaan untuk digunakan oleh pelajar bagi tujuan memberi peralatan sekolah dan bukannya untuk bayar hutang sekolah.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana sekolah jika bertindak diluar arahan yang dibuat oleh kerajaan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Katanya, JPNT telah memberi taklimat awal-awal lagi kepada semua pentadbiran sekolah dan wang ini adalah untuk pelajar dan tidak membenarkan sama sekali jika ada sekolah yang ingin mengurangkan jumlah berkenaan,” katanya

Menurut Encik Razali, setakat ini pihaknya tidak menerima apa-apa laporan tentang pemotongan wang untuk pelajar dan berharap semua urusan penyerahan yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah sekarang berjalan lancar.

Walau bagaimanapun katanya, jika ada terima laporan pelajar terima tidak cukup RM100, saya akan pastikan pihak sekolah bayar balik wang tersebut kepada pelajar,” katanya.

Teganukita

KDNK Catat Prestasi Lebih Baik Kepada 5.8%

Prestasi ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan lebih tinggi dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencatat 5.8 peratus berbanding 4.3 peratus pada suku kedua disokong sektor perkhidmatan domestik yang lebih kukuh.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, meskipun suku ketiga tahun ini berdepan persekitaran yang mencabar dengan pasaran kewangan tidak menentu, permintaan dalam negeri yang kukuh dipacu oleh perbelanjaan isu rumah serta sektor awam yang lebih tinggi.

“Perbelanjaan penggunaan sektor swasta meningkat sebanyak 7.3 peratus berbanding 6.4 peratus pada suku kedua seiring dengan pertumbuhan pendapatan yang memberangsangkan, manakala penggunaan awam bertambah 21.7 peratus daripada 6.6 peratus pada suku kedua berikutan perbelanjaan lebih tinggi terhadap emolumen, bekalan dan perkhidmatan serta pembayaran bonus.

“Daripada segi penawaran, kebanyakan sektor ekonomi mencatat pertumbuhan lebih tinggi pada tempoh ini dengan sektor perkilangan mencatat prestasi lebih baik disokong permintaan serantau bagi keluaran berasaskan sumber serta pemulihan daripada gangguan rantaian global berikutan bencana alam di Jepun,” katanya pada sidang media di Bank Negara, semalam.

Zeti berkata, sektor pertanian menunjukkan peningkatan tinggi dengan pertumbuhan sebanyak 8.2 peratus berbanding tiga peratus bagi tempoh sama tahun lalu dan sektor perkhidmatan pula meningkat kepada tujuh peratus pada suku ketiga tahun ini.

“Walaupun persekitaran global mungkin mewujudkan risiko besar terhadap prospek pertumbuhan negara, aktiviti perbelanjaan dan pelaburan sektor awam, selain penggunaan dan pelaburan swasta yang meningkat ia di jangka terus menyokong pertumbuhan negara lebih baik,” katanya.

Peluang Cungkil Bakat Terpendam Menerusi Sesi Interaktif

Pengunjung ke Festival Gong Sarawak di Bau akan berpeluang mencungkil bakat terpendam mereka bermain alat-alat muzik tradisional semasa sesi interaktif, dalam acara tiga hari yang bermula semalam.

Pemangku Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Sarawak Saini Lihi berkata Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, menerusi JKKN, berharap menarik dapat 6,000 hingga 7,000 pengunjung ke aktiviti kesenian budaya dan warisan, terutamanya persembahan gong.

"Selain daripada sembilan pasukan tempatan dari Sarawak, kami kini bersedia untuk menerima penyertaan dari Sabah, Terengganu, Negeri Sembilan dan Brunei pada acara sulung ini," katanya di Kuching semalam.

Sambil mengalu-alukan penyertaan serantau dari Brunei, beliau berkata negara berkenaan akan diwakili oleh kumpulan Irama Bahtera dan pengunjung akan turut berpeluang menyaksikan persembahan Rumpun Seni Beaufort (Sabah), Kumpulan Kesenian JKKN Negeri Sembilan, Kumpulan Gamutra (Terengganu) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Ahli muzik dari pantai timur dijangka menggunakan alat muzik tradisional termasuk rebana ubi, gendang, kertok, gendang Mak Yong, peralatan yang digunakan dalam persembahan wayang kulit dikenali sebagai geduk, gong, serunai dan rebab, yang sebahagian besarnya tidak terdapat di Sarawak.

Saini berkata kumpulan tempatan yang akan membuat persembahan ialah Yayasan Kebudayaan Dayak (Kuching), Kumpulan Bayu Universiti Malaysia Sarawak (Samarahan), Kumpulan Kulintangan (Pakan, Sarikei), Kumpulan Gamelan Sri Arjuna (Siburan), Kumpulan Buduk Gerua (Lawas), Kumpulan Kampung Singai (Bau), Persatuan Budaya Iban Sri Aman (PBISA-Sri Aman) dan Persatuan Li Sheng.

Beliau yakin festival itu, yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan negara, akan dicatat sebagai acara ikon bagi negeri ini pada masa depan.

Mengenai majlis perasmian Sabtu ini, beliau berkata hadiah cabutan bertuah turut disediakan, antara lain terdiri daripada mesin basuh, peti sejuk, basikal dan periuk nasi, dan pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan pentas oleh kumpulan kugiran tempatan.

Perasmian akan dilakukan oleh Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg di venue festival iaitu Kampung Apar di Singai, Bau dekat sini.

Turut dijadual hadir ialah Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang dan Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli.

Persada Adakan Program Penjelasan Transformasi Kepada Graduan Felda

Tahap keberkesanan Program Pemuafakatan Siswa-Siswi Felda (Persada) akan diukur menerusi siri jelajah yang akan diadakan di enam zon di seluruh negara sepanjang bulan ini.

Pengarah Seranta Felda Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun berkata program yang akan dijadikan program tahunan itu bertujuan memberi penjelasan kepada generasi baru Felda mengenai hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung proses transformasi Felda.

"Kami ingin memberi penjelasan kepada generasi baru Felda terutama penuntut di pusat-pusat pengajian tinggi berhubung proses transformasi dalam Felda," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Persada Bersama Pemimpin di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu, semalam.

Program itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Inovasi dan Pembangunan Generasi Baru Felda Faizul Ahmad dan Pengerusi Eksekutif GSSB Consulting Sdn Bhd yang juga anggota panel Gabungan Pemikir Profesional Felda (Gapro) Datuk Khairil Anuar Aziz.

Noor Ehsanuddin berkata terdapat kira-kira 4,000 anak peneroka Felda yang sedang menuntut di 20 Universiti di seluruh negara.

Beliau berkata program yang diadakan di UnisZA itu merupakan program pertama dan ia membabitkan 600 penuntut tiga universiti iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan UnisZa.

Program itu akan diteruskan di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 23 Nov, Universiti Malaysia Sabah (25 Nov), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (26 Nov), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) (27 Nov) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor (28 Nov), katanya.

Terengganu Tidak Guna Pemain Negeri Hadapi Piala Emas Raja-raja

Terengganu mungkin tidak akan menggunakan khidmat pemain negeri dalam Kejohanan Piala Emas Raja-Raja 2011 yang bermula dari 25 hingga 27 Nov ini.

Jurulatih Mohd Nik berkata ini kerana sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang jawapan daripada pasukan negeri mahupun pasukan kelab T-Team untuk membenarkan pemain mereka bermain di kejohanan tersebut.

"Kalau tidak ada, kita akan gunakan pemain yang terdiri daripada pemain bola sepak Piala Presiden dan bekas pemain pasukan negeri bagi menggalas cabaran di kejohanan itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd berkata Persatuan Bolasepak Melayu Terengganu (PBSMT) telah menyenaraikan 25 pemain termasuk lapan pemain tahun lalu untuk menjalani latihan pusat.

Beliau berkata Terengganu ditempatkan dalam Kumpulan B bersama-sama Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebanyak 16 pasukan yang mengambil bahagian dibahagikan kepada empat kumpulan.

Menurut Mohd, Terengganu sepatutnya menjadi tuan rumah pertandingan peringkat kumpulan tetapi terpaksa menolak kerana Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sedang dibaik pulih.

Beliau berkata Terengganu tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi pada kejohanan kali ini tetapi cukup sekadar berjaya ke separuh akhir.

Pada edisi 2010, Terengganu berjaya melangkah sehingga ke separuh akhir setelah kalah kepada Kelantan yang juga juara tahun itu, katanya.

Mohd berkata Terengganu telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sebagai ujian akan keupayaannya.

"Kami mengambil masa lebih kurang dua minggu untuk membuat persiapan untuk menghadapi kejohanan ini," katanya.

Ibu Tunggal Bimbang Keselamatan Anak

Walaupun anak lelakinya sudah dewasa, ibu tunggal Azizah Khalid tetap bimbang mengenai keselamatan anaknya itu yang tidak pulang ke rumah sejak Jun lepas.

Azizah, 48, dari Kampung Bukit Sawa di Marang, berkata beliau khuatir Adi Saiful Che Kor, 27, dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah memandangkan anak keduanya itu seorang yang "lurus bendul".

"Apa yang merisaukan kami sekeluarga adalah dia mudah mengekori orang jika seseorang itu meminta dia tolong," katanya ketika ditemui di rumahnya di Marang, semalam.

Menurut Azizah, anaknya pernah memaklumkan bahawa dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pusat membeli belah di Kuantan, tetapi apabila beliau mencari anaknya di bandar itu, pengurus syarikat keselamatan berkenaan memaklumkan bahawa Adi Saiful tidak pernah berkhidmat di situ.

"Selepas berita itu, saya membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Payong dan mencarinya di sekitar Kuantan dan Kuala Lumpur namun gagal menjejakinya," katanya.

Azizah berkata kali terakhir Adi Saiful menghubungintya ialah pada 11 Jun ketika anaknya berada di Stadium Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Terengganu dan Kelantan.

Katanya sebulan selepas itu, beliau menghubungi anaknya melalui telefon bimbit Adi Saiful tetapi nombor telefon anaknya tiada dalam perkhidmatan.

Azizah merayu orang ramai yang mengenali anaknya supaya menghubungi beliau di talian 014-8469703 atau mana-mana balai polis.

SK Dusun peroleh Gred Purata Sekolah Tertinggi

Murid-murid gembira sambil menujukkan 5 jari sebagai simbolik mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR di SK Dusun, Hulu Terengganu, kelmarin.

Sekolah Kebangsaan Dusun di Hulu Terengganu cuma sebuah sekolah kecil dengan hanya 15muridnya menjadi calon dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang lalu.

Namun, ia mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila tujuh calon memperoleh 5A iaitu yang paling ramai pernah dicatatkan di samping memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) tertinggi di negeri ini.

Guru Besarnya, Noraini Lebai Abdul ketika ditemui semalam memberitahu, sekolah itu mencatatkan GPS 1.23 dengan peningkatan sebanyak 0.15 selain turut memperoleh minimum C 100 peratus.

Katanya, ia juga bersandarkan pencapaian lima calonnya yang mendapat 3A 1B manakala masing-masing seorang mendapat 3A 2B 1A 4B dan 1A 3B 1C.

Sekolah yang terletak kira-kira 50 kilometer dari ibu negeri ini terletak di perkampungan tradisional dengan murid-murid dari kalangan anak petani dan pencapaian terbaik sebelum ini ialah pada tahun lalu dengan tiga murid mendapat 5A.

"Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada guru-guru UPSR di sini yang sangat komited ketika mengajar dan sokongan ibu bapa yang ingin melihat kejayaan anak-anak," katanya.

Katanya, persiapan untuk menghadapi UPSR telah dijalankan sejak awal tahun lalu manakala 40 hari sebelum peperiksaan, murid-murid 'dikuarantin' di sekolah agar guru-guru boleh memantau prestasi mereka dan memberi tumpuan khusus.

"Kita perlu berbuat demikian memandangkan rata-rata ibu bapa mereka tidak mempunyai asas pendidikan yang baik dan tidak mampu membimbing anak mereka di rumah," jelasnya.

Namun katanya, apa yang mengharukan adalah kesungguhan ibu bapa yang terserlah apabila sanggup menghantar makanan buat anak-anak malah turut menyediakan makanan buat guru-guru setiap hari.

Utusan Malaysia

Tuanku Mizan Rasmi Jambori Malaysia Ke-12

Tuanku Mizan Zainal Abidin menerima anugerah Bintang Tunas Kencana daripada Pengerusi Gerakan Pramuka Indonesia, Prof. Dr. Azrul Azwar (kiri) di Kuala Terengganu, semalam.


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat merasmikan Jambori Malaysia Ke-12 dan Jambori Antarabangsa Negeri Terengganu 2011 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di Kuala Terengganu, semalam.

Ketibaan Seri Paduka disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr. Shafie Mohd. Salleh.

Sejurus selepas perasmian, Tuanku Mizan menandatangani plak pengisytiharan penubuhan Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail yang sebelum ini dikenali sebagai Kem Pengakap Telaga Batin dan berkenan melancarkan Syiling Peringatan Pengakap 100 Tahun di Malaysia.

Jambori selama lapan hari bermula semalam itu disertai 10,800 pengakap dari seluruh negara dan juga 800 pengakap dari 15 negara dari seluruh dunia.

Bertemakan ‘Menjelajah Warisan’, pelbagai kegiatan diadakan termasuk kembara bandar, aktiviti lasak dan aktiviti air.


Utusan Malaysia

Friday, November 18, 2011

Sekolah perlu pulangkan wang bantuan jika tidak dituntut: TPM

Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendengar penerangan Presiden Kelab UNESCO Universiti Malaysia Pahang, Qusyairi Hashim, ketika melawat pameran selepas merasmikan Hari UNESCO Malaysia 2011 di Kuala Lumpur, hari ini.

Pihak sekolah perlu mengembalikan semula wang bantuan persekolahan RM100 kepada kerajaan sekiranya wang terbabit tidak dituntut oleh ibu bapa pelajar, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ibu bapa juga boleh membuat pilihan sama ada untuk menerima bantuan itu atau tidak atau berhasrat untuk menyumbang kepada pihak sekolah. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ibu bapa bagaimanapun perlu membuat tuntutan ke atas wang berkenaan mereka sebelum membuat keputusan untuk menyumbang kepada sekolah.

"Kalau di sekolah itu ada ibu bapa pelajar yang kata tidak memerlukan (bantuan) dan sebagainya, itu tidak apa. Kita dah arahkan kepada sekolah, kalau ada lebihan, mereka pulangkan kepada kementerian dan akan masuk balik dalam tabung kerajaan, itu duit kerajaan.

"Terserah kepada ibu bapa (untuk ambil atau tidak) kerana tujuan kita hendak kurangkan beban sebab awal tahun nak belanja beli kasut dan sebagainya. Kalau ibu bapa kata dah mampu dan ada kemudahan lain dan fikir nak sumbangkan...ibu bapa kena ambil dahulu duit itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari UNESCO Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin berharap pengagihan wang bantuan itu dapat diselesaikan dalam bulan ini dan sekiranya masih belum dituntut oleh ibu bapa atas sebab-sebab tertentu, pengetua atau guru besar di sekolah berkenaan boleh membuat keputusan mengenai perkara terbabit.

"Kalau masih ada ibu bapa yang jauh atau ke luar negara, itu tidak menjadi masalah kerana duit itu kita akan simpan dulu.
"Kalau ada yang tidak disampaikan lagi oleh sebab tertentu, guru besar atau pengetua boleh buat keputusan. Kalau ada sampai hujung tahun (tidak dituntut), mereka kena serahkan baliklah," katanya.

Wang bantuan persekolahan RM100 sudah mula diagihkan kepada 5.3 juta pelajar dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 sejak 15 November lalu.

Pengumuman bantuan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lalu.

Ia diagihkan lebih awal untuk memudahkan urusan pengagihan dibuat dengan lancar.

Mengenai isu Pusat Fidlot Nasional (NFC), Muhyiddin berkata perkara itu tidak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan.

Katanya, kerajaan tidak akan termakan dengan cerita pembangkang kerana sudah mengetahui fakta yang sebenar mengenai isu berkenaan.

"Itu terserah kepada rakyat untuk menerimanya. NFC sudah menjelaskan dan menjawab satu persatu perkara berbangkit dan penjelasan juga sudah dibuat oleh pengerusi eksekutifnya," katanya.

Ditanya mengenai siasatan yang dijalankan ke atas NFC oleh pihak berkuasa, beliau berkata: "Terserah kepada pihak berkuasa kalau ada siasatan."

Kerajaan Negeri Edar 29,000 Unit Komputer e-Book Sejak 2009

Menteri Besar menyampaikan e-Book kepada seorang murid di salah sebuah sekolah di Kemaman baru-baru ini sambil diperhatikan Razif.

Bermula tahun 2009, kerajaan negeri Terengganu telah mengedarkan sebanyak 23,000 unit komputer e-book secara berperingkat kepada pelajar Tahun Lima di sekolah rendah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata pemberian e-Book secara percuma itu seharusnya meningkatkan lagi kaedah pembacaan dan pembelajaran murid.

"Dan seharusnya e-book juga digunakan secara maksimum oleh murid-murid," katanya pada majlis penutup 'Golden English Reading Programme' di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.

Sementara itu, Ahmad Razif berkata program sebegini diharap merapatkan hubungan masyarakat setempat selain menggalakkan orang ramai membaca.

Beliau berkata kerajaan negeri menyokong program sedemikian dan berharap ia dapat dilaksanakan lagi pada masa depan sekaligus membawa kebaikan serta manfaat kepada komuniti.

Ahmad Razif berkata ia penting kerana melalui pembacaan, masyarakat dapat memperbaiki serta meningkatkan penguasaan sesuatu bahasa, terutama bahasa Inggeris.

"Sektor pekerjaan pada masa ini, terutama swasta, amat mementingkan penggunaan dan kefasihan berbahasa Inggeris," katanya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pembangunan dan Sosial UMT Profesor Madya Dr Noraien Mansor berkata ia merupakan satu khidmat masyarakat dan menjadi sebahagian tanggungjawab universiti menganjurkan program sedemikian.

Seramai 60 murid Tahun Empat dan Lima Sekolah Kebangsaan Tok Jembal dipilih menyertai program itu dan mereka terdiri daripada golongan yang mempunyai penguasaan bahasa Inggeris lemah.

Mereka dibantu 24 fasilitator yang terdiri daripada penuntut UMT dan program itu dilaksanakan selama 14 minggu mulai 8 Julai hingga 4 Nov lepas.

Pemegang Permit Tanah Lombong Diwajibkan Bayar Deposit Bagi Pemulihan Tanah

Pemegang permit bagi pemindahan bahan batuan akan dikenakan bayaran deposit bagi tujuan kerja-kerja pemulihan tanah selepas aktiviti pemindahan bahan batuan dijalankan.

Ketetapan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-67 yang dipengerusikan beliau di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, semalam.

Mesyuarat majlis tersebut dihadiri 74 anggota iaitu Menteri Besar, termasuk Menteri Besar terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Ketua Menteri serta beberapa menteri berkaitan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata deposit itu akan dikutip oleh pentadbir tanah dan dimasukkan ke dalam satu tabung yang diuruskan Jawatankuasa Teknikal Pemulihan Tanah (JTPT).

Kerja-kerja pemulihan tanah dan kawasan yang telah dilombong pula hendaklah dilaksanakan sendiri oleh pemilik-pemilik permit mengikut standard yang ditetapkan JTPT.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar selepas mesyuarat tersebut, pada masa ini disebabkan bayaran deposit seperti yang diperuntukan mengikut Seksyen 74(b) Kanun Tanah Negara tidak dikuatkuasakan, pemilik permit lari daripada tanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan terhadap kawasan-kawasan yang telah dilombong.

"Jika kerja-kerja pemulihan tidak dilaksanakan sebaliknya JTPT akan memastikan bahawa deposit itu dilucut-hak dan digunakan pihak berkuasa negeri (PBN) untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan yang sepatutnya," menurut kenyataan itu.

Skop kerja JTPT dalam mentadbir wang deposit itu antaranya merangkumi tugas dan tanggungjawab meluluskan Pelan Pemulihan, menyimpan akaun dan rekod berkenaan dengan pengendalian wang deposit.

Ia juga akan menentukan cara bayaran dipungut, menyimpan rekod pemegang permit yang tidak membuat bayaran dan memantau serta memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan kawasan pengorekan.

JTPT akan dipengerusikan Pengarah Tanah dan Galian negeri dan dianggotai oleh lima orang termasuk Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Negeri, Yang di-Pertua Majlis Kerajaan Tempatan, Pentadbir Tanah Daerah, Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Mesyuarat dua jam itu juga bersetuju supaya pemegang lesen pemilik turut mencarum wang pemulihan ke dalam Kumpulan Wang Pemulihan Bersama.

Buat masa ini mereka tidak diwajibkan berbuat demikian walaupun pengusaha-pengusaha lombong yang diberikan pajakan melombong atas tanah kerajaan dan tanah rizab diwajibkan berbuat demikian mengikut Enakmen Mineral Negeri (EMN).

Mesyuarat itu juga bersetuju supaya EMN dipinda bagi mewajibkan pemegang lesen pemilik turut membuat caruman kepada kumpulan wang itu.

Dua Pelatih Kebas Wang Pemilik Bilik Sewa RM47,000

Dua pelatih sebuah institut kemahiran di Pahang yang sedang menjalani latihan industri di sebuah kilang sawit di daerah ini, tergamak mengkhianati seorang lelaki yang juga pemilik bilik yang disewa mereka apabila mengebas wang berjumlah RM47,090.52 dari akaun milik mangsa.

Kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya dicekup di kawasan Medan Selera Bandar Cheneh Baru, Kilometer 155 Jalan Jerangau – Jabor, dekat Kemaman, petang kelmarin.

Kedua-dua suspek berumur 21 dan 20 tahun masing-masing berasal dari Besut dan Kuala Terengganu dan mula menyewa sebuah bilik di rumah mangsa yang berusia 50 tahun sejak Julai lalu kerana menjalani praktikal di Kilang Bukit Bandi.

Susulan tangkapan yang dilakukan kira-kira jam 2.40 petang itu, polis turut merampas pelbagai barangan berjenama termasuk gajet, kesemuanya dianggarkan bernilai RM17,000 yang dipercayai dibeli menggunakan wang dikeluarkan dari akaun mangsa yang tinggal di Bandar Cheneh Baru dan bekerja di sebuah kilang sawit di Cerul.

Polis turut menemui sebanyak 79 biji pil kuda yang dipercayai milik suspek berusia 21 tahun, yang turut positif dadah hasil ujian urin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat berkata, ketika ditahan kedua-dua suspek baru sahaja mahu beredar dari kawasan medan selera dan hasil pemeriksaan, polis menemui sepasang kasut di dalam kereta yang dinaiki mereka sebelum menemui pelbagai lagi barangan berjenama, gajet serta pil kuda dalam bilik sewa yang dihuni kedua-dua suspek.

Menurutnya, barang-barang berjenama dan gajet seperti tiga helai seluar berjenama levis’s, dua pasang kasut jenama Red Wing dan Oscar, jam tangan, tali pinggang, komputer riba, Samsung Galaxy Tab dan Samsung Galaxy S serta seunit telefon bimbit dipercayai dibeli menggunakan wang milik mangsa yang berstatus duda.

Katanya, kedua-dua suspek ‘kantoi’ apabila perbuatan mereka yang mengeluarkan duit dari dalam akaun mangsa menerusi kad ATM yang dicuri dapat dikesan polis menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebuah bank di Bandar Cheneh Baru.

“Mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan kad ATM miliknya pada 8 November lalu, dan kali terakhir dia membuat pengeluaran ialah pada 7 September lalu serta kehilangan kad itu tidak disedarinya.

“Jadi hasil semakan yang dibuat dalam tempoh hampir tiga bulan itu didapati terdapat transaksi keluar wang secara berperingkat berjumlah RM47,090.52,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan sema­kan penyata bank, pengeluaran berperingkat itu dilakukan bermula 18 September hingga 6 November lalu dengan jumlah purata yang dikeluarkan setiap hari berjumlah RM2,000.

Hasil tangkapan itu polis turut menemui kad ATM milik mangsa di dalam dompet suspek berusia 21 tahun, selain tunai berjumlah RM430.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 atas kesalahan capaian tanpa kuasa dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM150,000 atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Katanya, untuk kesalahan dadah, suspek berumur 21 tahun turut diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

“Pemilik kad ATM dinasihatkan tidak menggunakan gabungan nombor kad pengenalan ataupun nombor telefon sebagai nombor pin atau mendedahkan nombor pin kad mereka kepada sesiapa,” katanya.

Sinar Harian

Hadapi Banjir - Bomba, JPAM Gabung Latihan di Besut

Buat julung kalinya Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengadakan latihan mengendalikan bot bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di Sungai Seberang Kastam, kelmarin.

Latihan membabitkan dua pasukan penyelamat itu dirintis Balai Bomba dan Penyelamat Besut dengan JPAM Besut membabitkan keseluruhan anggota seramai 32 orang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Hasmadi Jusoh berkata, latihan diadakan sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir yang akan berlaku pada bila-bila masa.

Menurutnya, latihan ini adalah perintis untuk menjalinkan kerjasama lebih padu antara kedua-dua agensi penyelamat itu dalam tugas pengendalian bot dan menyelamat mangsa dalam air.

“Seramai 15 anggota bomba dan 17 JPAM termasuk seorang anggota wanita JPAM diberi pendeda-han asas berkaitan pemanduan bot serta asas menyelamat mangsa menggunakan ‘life bouy’ (pelampung).

“Sebanyak enam bot digunakan dalam latihan tersebut iaitu masing-masing tiga bot bomba dan JPAM serta sebuah bot getah (Kavlar) milik Bomba turut digunakan,” katanya.

Hadir sama, Pegawai JPAM Besut, Mohd Suhaimi Awang. Sementara itu, Mohd Suhaimi berkata, latihan bersama itu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak kerana dapat berkongsi kemahiran bagi memastikan semua anggota memberi perkhidmatan terbaik ketika banjir.

“Latihan seumpama ini penting kerana kerana ia menyentuh aspek keselamatan anggota dan orang awam apabila situasi sebenar berlaku manakala latihan bersama seperti ini akan diadakan secara berterusan,” katanya.

Sinar Harian

Anak Petani, Pekerja Kilang Dan Pembantu Kantin Antara Pelajar Cemerlang UPSR

Pengarah Pelajaran Negeri, Razali Daud menganggap pencapaian UPSR Terengganu cukup membanggakan.

Anak petani, pembantu kantin dan pekerja kilang antara tujuh pelajar yang berjaya memperoleh keputusan 5A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Dusun di Hulu Terengganu.

Biarpun terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan, namun murid di sekolah luar bandar ini tetap membuktikan mereka mampu bersaing dengan pelajar lain sehingga membantu sekolah itu muncul sekolah terbaik UPSR di Terengganu.

Tinjauan Bernama mendapati sekolah itu mempunyai 65 murid di Tahun Satu hingga Enam dan sebahagian besar daripada mereka belajar di bangunan kayu.

Guru Besar Sekolah itu Noraini Lebai Abdul berkata 15 calon yang menduduki peperiksaan itu semuanya lulus, dan pencapaian cemerlang yang dicatat adalah hasil kerja keras guru hingga mampu memperoleh 1.23 Gred Purata Sekolah (GPS).

"Kita sasarkan lima murid mendapat 5A, namun sasaran itu melebihi jangkaan apabila tujuh murid mendapat keputusan itu dan lulus 100 peratus dalam semua mata pelajaran," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan.

Seorang pelajar cemerlang, Nor Shazlin Kamalrudin berkata beliau terharu dan tidak menyangka mampu mencatat keputusan seperti itu.

Anak seorang pekerja kilang ini, yang bercita-cita menjadi seorang pensyarah bagi membalas jasa dan pengorbanan ibunya, berhasrat menyambung pengajian di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini juga berazam belajar bersungguh-sungguh bagi membalas jasa ibunya yang telah bercerai sejak beliau masih kecil.

"Biarpun bergelar ibu tunggal, ibu tidak pernah putus asa untuk memberikan yang terbaik kepada kami, dan saya tidak mahu lagi tengok ibu bersengkang mata mencari wang," katanya.

Sementara itu, Terengganu terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam UPSR apabila 3,548 daripada 22,801 calon yang menduduki peperiksaan itu memperoleh keputusan 5A.

PDRM Tubuh Lima Markas Tektikal Bagi Hadapi Banjir

Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menubuhkan lima markas tektikal di seluruh negara sebagai persiapan menghadapi banjir, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rasid.

Beliau berkata markas tektikal itu, yang dilengkapi aset bantuan, logistik dan keanggotaan, ditempatkan di Markas Briged Tengah PGA Cheras; Markas Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak; Markas Briged Tenggara PGA Kuantan, Pahang; PGA Kuching, Sarawak dan PGA Kota Kinabalu, Sabah.

"Kita juga akan tempatkan pasukan pengurusan krisis di setiap markas itu yang akan diketuai seorang Komandan," katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.

Salleh berkata PDRM juga menyusun persediaan yang lebih sistematik dan responsif dalam menghadapi banjir yang dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"PDRM juga akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah dan agensi serta jabatan berkaitan dalam menangani banjir," katanya.

Salleh berkata selain banjir, bencana alam turut dijangka berlaku pada musim tengkujuh itu.

"Jabatan Meteorologi meramalkan banjir besar di Perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan manakala Sabah dan Sarawak akan menerima tambahan taburan hujan 2O hingga 4O peratus. Kita akan memantau kawasan berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Beliau berkata PDRM juga akan bermesyuarat dengan Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak lama lagi sebagai persiapan lanjut menghadapi banjir.

Selain itu, beliau menasihati orang ramai supaya peka dengan persekitaran termasuk paras air di kawasan masing-masing serta maklumat daripada PDRM, Jabatan Meteorologi dan JPS.

"Mereka juga boleh menghubungi mana-mana talian balai polis bagi mendapatkan maklumat lanjut dan juga untuk bantuan termasuk hotline PDRM iaitu 03-20319999," katanya.

Pemain Import Brazil Antara Yang Diuji T-Team

Pemain Zambia, Sashi Chalwe merupakan yang pertama diuji pasukan T-Team dalam rangka pengisian pemain import dalam menghadapi Liga Malaysia 2012.

Jurulatihnya, Yunus Alif berkata, selepas ini, T-Team akan menguji beberapa pemain dari Argentina, Cameroon dan Brazil dalam usaha mencari pemain import terbaik untuk pasukan itu.

"Kita akan menguji pemain import ini satu demi satu supaya kita benar-benar dapat pemain yang import yang berkualiti dan baik,” katanya.

Mengenai pemain Zambia itu Yunus berkata, setakat ini beliau sukar untuk menilai prestasinya kerana pemain itu baru tiba di Kuala Terengganu dua hari lepas dan baru diuji semalam.

Sehubungan itu, katanya, T-Team mengatur beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan bola sepak di Terengganu sebagai gelanggang menguji pemain tersebut.

Ibu Tunggal Terengganu Aktif Sertai PCIT

Kira-kira 6,343 ibu tunggal di Terengganu aktif menyertai Program Cakna Ibu Tunggal (PCIT) yang diwujudkan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sejak tahun lalu.

Penglibatan golongan itu dalam PCIT bukan saja dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah malah mampu memberi, sokongan, galakan dan menyuntik semangat baru supaya terus berdikari meningkatkan ekonomi keluarga.

Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa, berkata PCIT mampu membuktikan keberkesanannya kerana sehingga kini mampu menghimpunkan lebih 6,000 ibu tunggal yang kematian suami atau bercerai dalam satu kumpulan.

“Melalui program ini, YPKT dapat membantu melalui pelbagai aspek termasuk berkaitan ekonomi, undang-undang, bimbingan kaunseling, hubungan kekeluargaan, bimbingan kesihatan dan pendidikan anak-anak,” katanya.

Katanya, pada masa sama kursus kemahiran internet dan pembangunan e-Perniagaan yang diselia khas oleh beberapa pegawai di bawah Program Bengkel Latihan Jendela Industri Kecil dan Sederhana turut dianjurkan bertujuan meningkatkan daya kreativiti berkaitan teknologi maklumat.

“Apabila mempunyai kemahiran berkaitan itu, mereka mampu mempromosi pelbagai jenis perniagaan atau produk yang dimiliki secara meluas melalui laman sesawang,” katanya.

Angin Kencang Dan Laut Bergelora Dijangka Mulai Isnin

Beberapa kawasan perairan negara diramal dilanda angin kencang dan laut bergelora Isnin ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa angin berkelajuan 40-50 km sejam dan ombak setinggi 3.5 meter dijangka berlaku sehingga 29 November.

Angin kencang itu dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) dan Tioman.

Kawasan lain yang terlibat adalah perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Condore dan Reef North (sekitar kawasan perairan Laut China Selatan), Pulau Layang-layang, Bunguran (antara Semenanjung dan Kuching), Reef South (sepanjang perairan Sarawak) dan Palawan (utara Sabah).

Keadaan angin kecang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan bot kecil, kata jabatan itu.

Thursday, November 17, 2011

Terengganu Kekal PencapaianTerbaik UPSR Kali ke-11

Tahniah untuk Pelajar, Ibu bapa, Warga Pendidikan dan semua yang menjamin Terengganu terus mengekalkan pencapaian terbaiknya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) buat kali ke-11 berturut-turut.

Keputusan yang diumumkan menyebut, seramai 3,548 calonnya memperoleh semua A (15 peratus) daripada 22,801 calon, peningkatan 0.2 berbanding tahun lalu manakala gred purata negeri bertambah baik kepada paras 2.15.

Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Razali Daud berkata, pencapaian cemerlang itu berkat kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa, guru dan pelajar bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.

“Tahun ini kita terus kekal di tangga teratas dan dengan pencapaian juga meningkat kepada 15.6 peratus berbanding 15.4 peratus tahun lalu,” katanya pada sidang media di pejabat JPNT hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JPNT, Encik Hashim Mat Zin; Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Encik Shukor Awang dan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Haji Mohd Zuber Embong.

Daripada keseluruhan 23,250 calon yang menduduki peperiksaan itu tahun ini, 15.6 peratus mendapat keputusan semua A, iaitu meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding tahun lalu (15.4 peratus).

Razali berkata, tahun ini seramai 3,548 pelajar mendapat semua A dalam mata pelajaran menunjukkan peningkatan 0.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada tahun ini, 23,250 calon dari 348 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Kebangsaan Jenis (Cina) (SKJC) menduduki peperiksaan di 362 pusat peperiksaan seluruh negeri.

“Peperiksaan tahun ini juga mencatat peningkatan dalam keputusan pencapaian minimum C iaitu 4.3 peratus daripada 66.8 kepada 71.1 peratus pencapaian terbaik berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pencapaian tertinggi bagi keputusan minimum C iaitu 69.7 peratus pada tahun 2007, tetapi tahun ini Terengganu memperolehi pencapaian 71.1 peratus di mana ia merupakan keputusan yang amat membanggakan.

Katanya, analisa yang diumumkan ini tidak mengambilkira calon dari sekolah swasta dan juga calon keperluan khas (pekak, rabun) yang turut mencapai keputusan terbaik di mana dua pelajar mendapat semua A dan tiga orang dapat 4A 1B.

Virus Hepatitis A Tidak Jejas Sektor Pelancongan Tasik Kenyir - Ahmad Said

Ahmad Said pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman semalam - Gambar Teganuku.

Kerajaan negeri Terengganu yakin wabak penyakit Hepatitis A di beberapa kampung di Hulu Terengganu tidak akan menjejaskan sektor pelancongan di Tasik Kenyir.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ini kerana wabak itu tidak melibatkan kawasan lain di daerah Hulu Terengganu.

"Kita percaya virus ini tidak menjejaskan sektor pelancongan di Tasik Kenyir," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ecxo semalam.

Beliau berkata setakat ini, virus itu dikesan di Kampung Basoh, Pasir Dula dan Padang Setebu yang menyebabkan 42 orang dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu.

Ahmad berkata di peringkat awal, wabak itu berlaku di perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Berua, menyebabkan penduduknya berpindah ke atas bukit.

Beliau berkata secara kebetulan, kawasan bukit itu merupakan sumber air yang dibekalkan beberapa kampung termasuk tiga yang terlibat dengan wabak berkenaan.

"Jadi, kemungkinan ada pembuangan najis dan sebagainya yang menyebabkan virus atau kuman itu merebak ke kawasan terlibat," katanya.

Ahmad juga berkata ketika melawat kampung terlibat semalam, beliau mendapati penduduknya menggunakan air bukit walaupun mendapat bekalan air bersih yang disediakan Syarikat Bekalan Air Terengganu (SATU).

Selain itu, air yang mereka minum tidak dimasak terlebih dahulu dan dibuat ketulan ais, katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya penduduk kampung yang tinggal berhampiran dengan kawasan wabak agar memasak air sebelum meminumnya.

Kementerian Rekodkan 152,182 Anak Luar Nikah Dalam 2 Tahun

Seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2008 hingga 2010.

Timbalan Menterinya, Heng Seai Kie berkata, dari pada jumlah itu, Sabah mencatat angka tertinggi dengan 41,490 orang, diikuti Selangor (18,983) dan Sarawak (17,570).

Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), telah menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara bagi mengintegrasikan pendidikan kesihatan reproductive dan sosial.

“Program itu melibatkan 64,000 remaja mengenai pendidikan dan risiko yang terpaksa ditempuhi kerana tindakan mereka,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Mohd Jidin ingin tahu jumlah anak luar nikah direkodkan sejak 2008, punca masalah dan inisiatif kementerian membendung gejala itu.

Seai Kie berkata, enam pusat remaja ditubuhkan untuk golongan sasar berumur antara 13 dan 24 tahun, bagi memberi maklumat berkaitan isu psikososial termasuk menyediakan khidmat kaunseling dan kemahiran hidup.

“Program outreach yang dilakukan di sekolah dan komuniti setempat itu berjaya mendekati 257,147 remaja, melalui 4,698 program dari November 2005 hingga September 2011,” katanya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula memberitahu dewan bahawa 24,813 orang, dimasukkan ke hospital kerajaan kerana masalah berkaitan mental tahun lalu.

“Setakat ini, kita ada empat institusi mental di seluruh negara, 42 hospital kerajaan yang menyediakan perkhidmatan rawatan mental dan 124 pakar dalam bidang tersebut,” katanya kepada soalan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pas-Pengkalan Chepa).

Rosnah berkata, usaha sedang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran awam serta kepekaan masyarakat untuk mengenal pasti tanda-tanda awal dan mereka yang berpotensi mendapat rawatan awal.

Bantuan RM100 Kepada Setiap Pelajar Diberikan Sebelum Sekolah Dibuka

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah, Azma Senun bersama pelajar-pelajar menunjukkan replika cek dan wang bantuan persekolahan RM100 di Kuala Terengganu semalam.

Bantuan persekolahan sebanyak RM100 kepada setiap pelajar di negeri ini oleh kerajaan Terengganu akan dilakukan selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata mengikut stastik terdapat kira-kira 119,000 pelajar di negeri ini layak mendapat bantuan tersebut dengan maksimum dua pelajar bagi satu keluarga.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kuala Terengganu semalam, beliau berkata kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM12 juta untuk bantuan tersebut yang diberikan dalam bentuk wang tunai bertujuan membeli pakaian sekolah pelajar.

Sebelum ini bantuan diberikan kepada setiap pelajar dalam bentuk pakaian sekolah.

Ahmad Said berkata ibu bapa berpendapatan RM1,500 ke bawah, layak menerima sumbangan tersebut.

“Kerajaan negeri menetapkan setiap keluarga akan mendapat bantuan maksimum hanya untuk dua orang atau RM200 bagi setiap keluarga.

“Agihan seumpama ini sudah lama di laksanakan di Terengganu dan mengharapkan mereka menggunakan sumbangan itu sebaik mungkin dengan membeli pakaian dan peralatan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Menteri Besar tidak mahu lagi melihat ada pelajar yang hadir ke sekolah dalam keadaan kurang selesa, kasut koyak dan sebagainya.

“Setiap ibu bapa mesti prihatin terhadap aspek itu kerana selain memperoleh bantuan daripada kerajaan negeri, mereka turut menerima bantuan kerajaan pusat iaitu RM100 bagi setiap anak yang masih bersekolah.

“Kita akan mengagihkan sumbangan itu melalui majlis penyerahan yang akan diadakan di lokasi yang bakal ditentukan kemudian,” katanya.

Mat Zan Sasar Satu Piala Liga Malaysia 2012 Untuk Terengganu

Jurulatih baru Terengganu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2012, Mat Zan Mat Aris menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala akan dimenangi Terengganu tahun depan.

Ini kerana, menurut Mat Zan yang pernah membimbing dan membawa Terengganu menjulang Piala Malaysia 2001, pasukan itu mempunyai barisan pemain yang hampir serupa 2001.

"Dengan barisan pemain yang ada serta komitmen pegawai-pegawai, saya rasa kita mampu membawa pulang Piala Malaysia tahun depan," kata bekas jurulatih Kuala Lumpur itu kepada pemberita di Kuala Terengganu

Tahun ini, Terengganu gagal menjulang Piala Malaysia setelah kalah 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam pertandingan akhir di Shah Alam, Selangor.

Menurut Mat Zan, dalam masa yang sama tumpuan juga akan diberikan untuk membawa pulang piala-piala yang lain yang dipertandingkan di liga tersebut.

Katanya beliau menggalas tanggungjawab yang besar untuk memastikan pasukan Terengganu terus mengekalkan kecemerlangan dan tugas itu bertambah mencabar apabila pemain import dibenarkan beraksi pada tahun depan.

"Saya tidak menafikan ini satu tekanan tetapi sebagai jurulatih kita akan terima," tegas beliau.

Mat Zan berkata beliau yakin pasukan Terengganu tahun depan akan bertambah mantap dan cemerlang dengan adanya pemain-pemain import yang berkualiti dan hebat.

Beliau berkata Terengganu akan menggunakan pemain import bagi memantapkan lagi jentera barisan tengah dan serangan di samping pemain-pemain tempatan.

Pasukan Terengganu sepatutnya memulakan latihan di padang Sekolah Menengah Sultan Sulaiman Batu Buruk di sini semalam tetapi ditunda kerana hujan.

42,051 Nama Pemilih Berdaftar Meragukan Dipamer Mulai Hari Ini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempamerkan senarai 42,051 nama pemilih berdaftar yang rekodnya meragukan mulai esok hingga 31 Disember ini.

Setiausahanya Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata senarai nama itu akan dipamer melalui laman web SPR dan laman web pejabat-pejabat pilihan raya negeri di seluruh negara.

Beliau berkata langkah itu bagi membolehkan pemilih berkenaan atau waris kepada nama-nama yang dipamer tampil membuat pengesahan berhubung status rekod pemilih mereka.

"Jika nama pemilih itu ada dalam senarai berkenaan, maka beliau perlu hadir ke Jabatan Pendaftaran Negara terlebih dahulu untuk mengenalpasti masalah berhubung rekod nombor kad pengenalannya sebelum merujuk kepada SPR untuk urusan berkaitan dengan pendaftaran pemilihnya," katanya dalam kenyataan di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata laman web SPR ialah www.spr.gov.my dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau melalui faks 03-8888 9112 atau menghubungi pejabat-pejabat pilihan raya negeri.

Jangan Potong Duit Bantuan RM100, Kata Muhyiddin Kepada PIBG

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) supaya tidak memotong wang bantuan persekolahan RM100 yang diberikan oleh kerajaan kepada semua pelajar sekolah menengah dan rendah.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, meminta mana-mana PIBG yang berbuat demikian supaya segera memulangkan wang yang dipotong itu kepada pelajar berkenaan.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar, beliau berkata ia tidak seharusnya berlaku kerana kerajaan telah memutuskan bantuan itu adalah untuk diagihkan sepenuhnya kepada pelajar dan keluarga mereka.

"Kita minta kerjasama pentadbiran sekolah untuk pastikan bantuan RM100 ini diberikan sepenuhnya, jangan kurang satu sen pun...ini keputusan kerajaan.

"Kita tidak mahu nanti timbul salah faham dan ada pihak yang menyalahkan kerajaan kerana dikatakan `cakap lain, buat lain'," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Belia Wilayah Persekutuan sempena program turun padang sehari beliau ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam.

Sebanyak RM550 juta diperuntukkan oleh kerajaan bagi melaksanakan program wang bantuan persekolahan itu, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2012 pada Oktober lepas.

Isu potongan bantuan itu dibangkitkan seorang bapa pada sesi soal jawab bersama Muhyiddin pada majlis itu, yang mendakwa PIBG sebuah sekolah rendah di sini memotong RM50 daripada bantuan itu.

Dalam jawapannya, Muhyiddin berjanji akan menyiasat perkara itu.

"Perdana Menteri sudah sebutkan, Timbalan Perdana Menteri pun sudah beritahu, dapat RM100, kenapa bawa balik RM50?. Ini adalah komitmen Perdana Menteri hendak tolong rakyat, hendak ringankan beban mereka, jadi kalau dah awal-awal dipotong. makin terbebanlah rakyat.

"Jika ada apa-apa bayaran, itu kemudianlah, bagi dulu RM100 tu. Kalau selepas ini PIBG hendak minta apa-apa bayaran, itu soal lain. Ini duit yang telah diberikan oleh kerajaan," katanya.

Seramai 42 Lelaki Ditahan Dalam Ops Tapis Bersepadu Di Besut

Seramai 42 lelaki berusia lingkungan 15 hingga 49 tahun ditahan dalam Ops Tapis Bersepadu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kontijen Terengganu di sekitar daerah ini sejak 1 pagi hingga 9 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata antara yang ditahan dalam operasi dari rumah ke rumah itu termasuk dua penjawat awam dan seorang pelajar sekolah menengah.

"Kedua-dua kakitangan kerajaan itu berumur 25 dan 31 tahun, salah seorang pernah ditahan atas kesalahan melibatkan dadah kira-kira sebulan lalu," katanya kepada pemberita di Besut, semalam

Beliau berkata dalam operasi itu, polis juga berjaya merampas 88 biji dadah jenis Methamphetamine (pil kuda) bernilai RM2,640 daripada dua suspek.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya iaitu mengedar dadah manakala 40 lagi mengikut Seksyen 15(1A) akta sama kerana positif dadah.

Kamaruddin berkata pihaknya mendapatkan perintah tahanan reman bermula hari ini bagi kesemua suspek untuk membolehkan mereka membantu siasatan.

Kerajaan Guna Wang Sedia Ada Bayar Bantuan RM100 Kepada Pelajar - Wee

Nornatasya Abdul Gani, 30, (duduk) tersenyum selepas menerima bantuan kewangan RM100 di Sekolah Kebangsaan Sungai Gelugor di Georgetown semalam. Pemberian bantuan RM100 ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sewaktu pembentangan Bajet 2012 baru-baru ini yang bakal memberi manfaat kepada 2.9 juta murid sekolah rendah dan 2.4 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

Bayaran bantuan RM100 kepada setiap pelajar sekolah adalah daripada dana sedia ada Kumpulan Wang Akaun Penyelesaian Utama Perbendaharaan pada 2011, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.

Beliau berkata kerajaan tidak menggunakan peruntukan belanjawan tahun depan untuk tujuan pengagihan tersebut.

Katanya, Perbendaharaan telah memberi kelulusan kepada Kementerian Pelajaran untuk menggunakan dana kerajaan yang sedia ada.

"Kita menggunakan wang sedia ada (untuk tujuan bantuan) selepas menerima kelulusan daripada Perbendaharaan, bukan guna wang tahun depan. Manusia kena berikhtiar bagaimana nak menyelesaikan masalah.

"Selepas mengadakan perbincangan dengan Jabatan Akauntan Negara dan Kementerian Kewangan, maka satu persetujuan telah diberi dengan mewujudkan akaun amanah dan menggunakan wang semasa, bukan mendahulukan wang untuk tahun depan," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat jawatankuasa Kementerian Pelajaran di Dewan Rakyat semalam.

Terdahulu, beberapa anggota pembangkang mempertikaikan keputusan kerajaan mengagihkan bantuan itu sekarang, dan bukannya tahun depan selepas diluluskan Dewan Rakyat.

Wee berkata pengagihan bantuan dibuat sebelum sesi persekolahan tahun depan bermula bagi membolehkan ibu bapa membuat persediaan awal persekolahan anak mereka.

Dalam pembentangan Belanjawan 2012, kerajaan mengumumkan akan memberi RM100 kepada setiap 5.3 juta pelajar di negara ini tahun depan bagi membantu meringankan beban ibu bapa.

Bantuan kewangan itu mula diagihkan kepada pelajar sekolah sejak minggu lepas.

Beliau berkata kementerian itu tidak membelakangkan Parlimen dalam membuat keputusan tersebut seperti yang didakwa Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) serta M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), dan ia juga tidak bercanggah dengan Perlembagaan.

"Selepas perbahasan dibuat (Dewan Rakyat) di peringkat dasar pada 1 Nov, Kementerian Pelajaran mengadakan perbincangan mendalam dengan Kementerian Kewangan untuk melihat kemungkinan kita boleh menyalurkan peruntukan kepada setiap pelajar seperti yang telah dijanjikan tanpa mengugat prosiding di Parlimen," katanya.

Wee berkata bantuan itu diberikan kepada semua pelajar, namun pelajar dan ibu bapa mempunyai opsyen sama ada mahu menerima atau tidak bantuan tersebut.

Menjawab soalan Kulasegaran yang lain, Timbalan Menteri Pelajaran itu berkata keputusan sama ada bantuan tersebut akan diteruskan pada tahun berikutnya bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan.

Beliau berkata kerajaan juga akan mengkaji sama ada bantuan itu perlu diagihkan mengikut kedudukan kewangan keluarga pelajar.

Mengenai cadangan supaya guru bekerja selama sembilan jam, Wee berkata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memutuskan isu berkenaan dalam masa terdekat.

Beliau berkata Muhyiddin telah mengadakan sesi penerangan bagi mendengar pendapat semua pihak yang terlibat dengan perkara ini.

"Sudah tentu Timbalan Perdana Menteri mengharapkan satu keputusan yang terbaik untuk semua," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wee berkata Kementerian Pelajaran sedang menunggu laporan siasatan Kementerian Kesihatan mengenai kes keracunan susu di Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang, yang menyebabkan lapan pelajar dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata kementerian akan akur dengan keputusan laporan tersebut dan menghentikan program berkenaan jika terbukti susu program itu menyebabkan keracunan.

Rasmi Indonesia Benarkan Pembantu Rumah Ke Malaysia Mulai 1 Dis

Indonesia secara rasmi mengumumkan akan menyambung semula penghantaran pembantu rumah ke Malaysia mulai 1 Disember depan.

Keputusan berhubung perkara itu dibuat secara bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada mesyuarat dua hala di Nusa Dua malam semalam.

"Dalam mesyuarat sebentar tadi, saya dan Presiden SBY telah membuat keputusan bersama supaya penghantaran tenaga kerja (sektor tidak formal) dari Indonesia ke Malaysia akan disambung semula mulai 1 Dis ini.

"Sudah tentu berita ini akan disambut dengan begitu baik sekali di Malaysia kerana ini sudah begitu lama sekali dinanti-nantikan dan ini menunjukkan bahawa kesungguhan dan keikhlasan Presiden SBY untuk mencari penyelesaian secara postif untuk apa jua permasalahan yang berbangkit antara kedua-dua negara," kata Najib kepada wartawan Malaysia di Nusa Dua.

Katanya beliau telah menyampaikan penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia atas keputusan itu dengan harapan pelaksanaan keputusan itu akan berjalan lancar sesuai dengan pindaan yang dibuat ke atas memorandum pengambilan dan penempatan tenaga kerja Indonesia yang ditandatangani kedua-dua belah pihak di Bandung pada Mei lalu.

Mesyuarat dua hala ini adalah susulan kepada pertemuan kedua-dua pemimpin itu di Perundingan Tahunan yang diadakan di Lombok, Nusa Tenggara Barat, bulan lalu di mana kedua-dua bersetuju membuat keputusan bersama di Bali berhubung isu itu.

Pada pertemuan di Lombok itu mereka bersetuju untuk melihat laporan Pasukan Petugas Khas Bersama mengenai makanisme pelaksanaan persetujuan-persetujuan pada protokol bagi meminda Memorandum Persefahaman Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006.

Kedua-dua Menteri Sumber Manusia Malaysia Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar telah melaporkan kepada kedua-dua pemimpin mengenai makanisme pelaksanaan persetujuan itu.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Berikutan itu, kedua-dua negara berunding sehingga satu kata sepakat dicapai dengan penandatanganan protokol meminda beberapa peruntukan dalam memorandum persefahaman 2006 itu, yang diadakan di Bandung pada 30 Mei lalu.

Bagaimanapun penerapan makanisme yang sesuai bagi pelaksanaan protokol itu berhubung perlindungan kepada pembantu rumah Indonesia dan majikan mereka oleh Pasukan Petugas Khas Bersama, menyebabkan penarikan balik moratorium itu tertangguh sehingga sekarang.

Dr Subramanian ketika menjelaskan mengenai persetujuan itu berkata antara perkara utama yang dipersetujukan ialah mengenai keperluan mengadakan kontrak kerja untuk pembantu rumah, kos pengambilan pembantu rumah Indonesia yang ditetapkan pada kadar RM4,511, wajib kursus selama 200 jam, cuti satu hari seminggu kepada pembantu rumah selain mereka dibenarkan memegang sendiri pasport.

Majikan pula hanya dibenarkan mengambil balik RM1,800 daripada kos yang mereka dahulukan kepada pekerja dengan memotong gaji tidak lebih daripada 50 peratus sebulan daripada pekerja mereka.

Perlindungan kepada majikan ialah mereka berhak mendapat bayaran balik sepenuhnya daripada ejen pekerja jika pembantu rumah mereka melarikan diri dalam tempoh enam bulan, jika mereka tidak mendapat pengganti.

TM Tersukan Penajaan Piala Monsun

Telekom Malaysia Berhad (TM), syarikat Komunikasi Generasi Baru terkemuka negara dan peneraju jalur lebar, terus menyokong acara bertaraf dunia yang mencerminkan prestasi syarikat ini yang didorong oleh faktor budaya, kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang berubah serta cabaran - iaitu Piala Monsun.

TM semalam mengumumkan peranannya sebagai Pembekal Telekomunikasi Rasmi Piala Monsun 2011, perlumbaan musim akhir Siri Jelajah Dunia Match Racing (WMRT) yang akan diadakan pada 22-27 November 2011 di Ri Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, dengan itu memperolehi status sebagai penaja korporat acara paling lama.

Piala Monsun disiarkan secara langsung ke 183 negara di seluruh dunia, mencapai 1.6 bilion potensi isi rumah.

Ini dihasilkan menerusi penajaan TM terhadap Piala Monsun sejak ia mula dianjurkan pada 2005 dengan menyediakan semua kelengkapan pusat media kejohanan termasuk kemudahan telekomunikasi, akses internet, telefon talian tetap, alat komunikasi dan litar sementara termasuk tempahan ruang satelit bagi siaran satelit antarabangsa. Tindakbalas TM yang cepat didorong oleh kakitangan berpengalaman dan mahir yang menyediakan perkhidmatan terbaik bagi kejohanan itu.

"Sebagai pembekal Komunikasi Generasi Baru Malaysia dan peneraju jalur lebar, TM sentiasa memastikan penglibatan penajaan korporat syarikat ini menyokong acara-acara nasional dan antarabangsa yang meletakkan Malaysia di peta dunia.

Menyokong inisiatif sukan seperti ini juga merupakan sebahagian daripada tunggak utama Tanggungjawab Korporat (CR) dalam menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan negara. Dengan menyokong acara seperti Piala Monsun 2011, kami berharap dapat mewujudkan kesedaran dan mencetuskan minat di kalangan para belia terhadap sukan sebagai satu gaya hidup sihat.

Selari dengan slogan kami 'Merintis Kemungkinan’, penajaan korporat menyediakan saluran pemasaran yang paling sesuai bagi TM untuk membina hubungan erat dengan pelanggan dan rakan kongsi. Menghubungkan pelanggan dan rakan kongsi kami melalui platform ini sememangnya telah terbukti menjadi satu alat yang tidak ternilai dalam membina jenama yang kukuh dan terkemuka, "kata Shahidah Ridwan, Naib Presiden, Jualan Pengguna, TM.

Menurut Shahidah lagi TM sentiasa terlibat secara aktif dalam penajaan sukan dan jenama ini telah bekerjasama dengan sukan bola sepak melalui peranannya sebagai rakan kongsi rasmi untuk Pasukan Bola Sepak Malaysia dengan menandatangani perjanjian dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

Di samping itu, sebagai Rakan Telekomunikasi Rasmi Bersepadu Manchester United di Malaysia, penajaan TM telah memberi manfaat kepada rakyat Malaysia khususnya pelanggan TM dengan menyediakan peluang bagi mereka untuk mengambil bahagian di dalam semua aktiviti berkaitan Manchester United anjuran TM.

Antara sukan lain di bawah usaha tajaan TM termasuk Le Tour de Langkawi, Jelajah 1Malaysia 2011, Sukan Malaysia (Sukma) dan World Muay Thai Challenge. Di samping itu, TM juga telah menyokong acara-acara anugerah sukan seperti Malam Anugerah Sukan Negara untuk mengiktiraf pencapaian dan sumbangan atlet Malaysia.

"Kami amat berbesar hati dan mengalu-alukan TM sebagai pembekal telekomunikasi rasmi yang memainkan peranan penting di dalam menyediakan jaringan kuasa tinggi rangkaian untuk perkhidmatan video, suara dan data sepanjang acara Piala Monsun untuk memastikan semua siaran disiarkan tanpa sebarang masalah. Komitmen berterusan TM terhadap Piala Monsun adalah satu contoh kerjasama yang amat baik di antara acara sukan dan syarikat korporat bertaraf dunia untuk menampilkan teknologi dan perkhidmatan operasi untuk menghasilkan satu acara yang gemilang. "kata Dato 'Peter Gilmour, Penasihat Perlumbaan Piala Monsun.

Program Jom ke Masjid Ajak Belia Dekati Masjid

Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu (PADKT) laksana Program Jom Ke Masjid (PJKM) dalam usaha mengajak masyarakat mengimarahkan masjid dengan menyusun pelbagai aktiviti membabitkan golongan muda.

Penolong Pegawai PADKT (Bahagian Pengurusan Masjid), Puan Fazila Ishak berkata, peruntukan RM50,000 akan diagih-agihkan kepada masjid terpilih dalam daerah bagi melaksanakan program berkenaan.

“Masyarakat setempat bebas merancang aktiviti mengikut kesesuaian penduduk yang diwakili,” katanya kepada Teganukita ketika di temui dalam PJKM di Masjid Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Katanya, pelbagai aktiviti boleh dirancang oleh jawatankuasa masjid dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pelaksanaan aktiviti dalam kawasan masjid.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti pertandingan futsal, bola jaring untuk golongan belia, pertandingan azan, baca surah untuk pelajar berusia lapan tahun ke atas.

“Golongan suri rumah pula bergotong royong memasak nasi beserta lauk kemudian penduduk kampung beramai datang menjamu selera di masjid,” katanya.

Katanya, kemeriahan jelas terpancar dan jalinan kemesraan begitu ketara bila membabitkan semua lapisan masyarakat hadir memberi sokongan.

“Program yang julung kali diadakan ini berjaya memupuk semangat cintakan masjid di samping menimbulkan kesedaran masyarakat bahawa masjid juga boleh diimarahkan dengan pelbagai aktiviti di samping solat lima waktu,” katanya.

Teganukita

Piala Monsun: Williams ‘Terbang’ Awal ke Terengganu

Arena pelayaran akan mulai tertumpu ke Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa di Pulau Duyong, Kuala Terengganu untuk Piala Monsun 2011 Selasa depan untuk menyaksikan acara kemuncak Siri Jelajah Dunia Match Racing (WMRT) bagi menentukan juara dunia tahun ini.

Menjelang kemuncak WMRT di Piala Monsun, pendahulu dengan 106 mata, Ian Williams (GAC Pindar ) berazam untuk terus berada di kemuncak dan membuat keputusan ‘terbang awal’ ke Kuala Terengganu bagi membiasakan diri dengan cuaca dan persekitaran.

Ketibaan empat hari lebih awal sebelum bermula Piala Monsun dilihat memberi kelebihan buat dia dan krew pasukan untuk mengekalkan prestasi dalam usaha merangkul gelaran juara WMRT buat kali ketiga.

Pesaing terdekat, Francesco Bruni (Bruni Racing) dan Torvar Mirsky (The Wave Muscat) yang masing-masing mengumpul 100 mata bagaimanapun tidak dapat menjalani latihan sebelum perlumbaan kerana dua krew Mirsky kini bersaing dalam Siri Dunia AC di San Diego, Amerika Syarikat.

Namun Williams yang menjuarai WMRT pada 2007 dan 2008, masih perlu berwaspada dengan Jesper Radich (Adrian Lee & Partners) yang berada di tangga ketiga pada Piala Monsun tahun lalu serta Peter Gilmour (Yanmar Racing) yang pernah dua kali menjuarai Piala Monsun sebelum ini.

Turut perlu diberi perhatian ialah Johnie Berntsson (Berntsson Sailing Team) yang menduduki tangga kelapan ranking dunia ISAF dan dilihat mampu menggugat selepas memenangi tempat kedua Piala Argo Group Gold di Bermuda, baru-baru ini.

Wednesday, November 16, 2011

Terengganu Belanja RM1.2 Juta Pasang Alat Sukat Fluorida Di Loji Air

Gambar hiasan...Contoh alat menyukat florida bagi mengukur tahap kandungan bahan itu pada tahap yang selamat.

Kerajaan negeri Terengganu membelanjakan RM1.2 juta bagi memasang tujuh alat menyukat bahan fluorida di loji air di negeri itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Datuk Zaaba Mohd Adib.

Beliau berkata secara Terengganu merancang memasang 14 alat berkenaan di loji air di seluruh negeri tahun ini.

"Lima daripada alat berkenaan sudah siap dipasang di lima loji, dua sedang diperbaiki manakala tujuh lagi sedang disiapkan.

"Alat Fluoride Feeder ini penting bagi memastikan bekalan air mempunyai bahan fluorida di paras yang selamat bagi mencegah berlakunya kerosakan gigi terutama di kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Pergigian Sedunia peringkat negeri di Dungun, semalam yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kesihatan Terenggannu (Bahagian Pergigian) Dr N Jegarajan.

Zaaba berkata program itu merupakan langkah pencegahan yang paling berkesan, murah dan selamat bagi mengurangkan beban penyakit karies gigi seperti diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

"Dengan pemasangan itu, saya yakin menjelang akhir tahun ini, 100 peratus penduduk di negeri ini yang menerima air berpaip akan menikmati manfaat fluorida yang mampu mencegah kerosakan gigi dengan baik," katanya.

Beliau berkata masalah karies gigi masih merupakan masalah utama dalam kesihatan mulut di negara ini di mana Terengganu sendiri mencatatkan negeri kedua tertinggi kadar kejadian karies.

Katanya ini dapat dilihat dari kajian Epidemiologi Kebangsaan yang dilakukan pada 2007 mendapati 93.2 peratus iaitu sembilan daripada 10 kanak-kanak berusia enam tahun di Terengganu mengalami karies gigi ataupun gigi berlubang.

Zaaba berkata sehubungan itu pelbagai langkah telah diambil oleh pihak pergigian termasuk memperkasakan program ibu mengandung, program pemfluoridaan air minuman dan program `fluoride varnish' bagi kejadian karies dari peringkat awal lagi.

Katanya Kementerian Kesihatan juga memperuntukan RM2.6 juta tahun ini kepada Terengganu bagi menyediakan Klinik Pergigian Bergerak.

JKM Sedia 5,156 Pusat Pemindahan Banjir Seluruh Negara

Muhyiddin Yassin hadir mempengerusikan Mesyuarat Khas Persiapan Banjir (MKN) di Putrajaya, semalam.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan sebanyak 5,156 buah pusat pemindahan yang boleh menampung seramai 1.4 juta mangsa banjir di seluruh negara sebagai menghadapi musim tengkujuh.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Munyiddin Yassin berkata, persediaan pada tahun ini lebih rapi berbanding tahun lepas apabila Depot Bekalan Keperluan Bencana juga diwujudkan di lima wilayah serta 477 pangkalan hadapan.

Beliau berkata, sejumlah 28,000 anggota daripada agensi-agensi berkaitan tidak termasuk anggota polis dan tentera telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dari segi aset darat, air dan udara.

Menurut Muhyiddin, JKM di setiap negeri juga telah dibekalkan dengan stok-stok bekalan makanan bagi tempoh tiga hari dan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan sebagai persediaan memberi perkhidmatan kepada mangsa-mangsa banjir.

''Semua agensi telah diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dari segi kekuatan anggota serta persediaan aset darat, air dan udara. Aset-aset seperti bot penyelamat, trak, kenderaan pacuan empat roda, helikopter, pam air serta set janakuasa elektrik diletakkan di tempat-tempat strategik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan kerajaan dalam menghadapi musim tengkujuh di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Sebanyak 2,459 buah sekolah di 120 buah daerah akan digunakan sebagai penempatan sementara mangsa banjir.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebanyak 96 buah sekolah rendah dan 414 buah sekolah menengah membabitkan 201,543 pelajar diletakkan sebagai sekolah berisiko dilanda banjir.

Lembaga Peperiksaan Malaysia juga akan memindahkan dewan-dewan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke tingkat satu jika berlaku banjir.

Kata Muhyiddin, Jabatan Meteorologi melaporkan beberapa negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan menerima lebihan hujan di antara 20 hingga 40 peratus berbanding biasa pada tahun lepas antara bulan November hingga Mac tahun depan.

''Berdasarkan ramalan ini dan sekiranya intensi hujan yang tinggi berlaku dalam masa singkat, serta ditambah pula dengan keadaan air pasang, maka situasi banjir akan menjadi lebih buruk.

''Antara negeri yang dijangka menerima hujan yang tinggi ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Perlis, Kedah dan Sabah. Fenomena air pasang besar pula diramal pada 25 Disember dan 23 Januari tahun depan," katanya.

Arahan turut dikeluarkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyelenggara sungai dan longkang supaya tidak tersumbat terutamanya di kawasan yang berisiko banjir.

Beliau berkata, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta media elektronik swasta diminta menyediakan kapsul maklumat bencana bagi menyampaikan maklumat mengenai ramalan cuaca dan amaran awal dari semasa ke semasa.

Muhyiddin turut menasihati orang ramai agar tidak menunggu sehingga saat akhir untuk berpindah dan ibu bapa juga disaran supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan anak masing-masing dengan melarang mereka daripada bermain air banjir.

Kata beliau, keprihatinan juga perlu diambil terhadap keselamatan warga rumah-rumah kebajikan, warga tua, wanita mengandung serta orang kelainan upaya yang mungkin memerlukan bantuan untuk pemindahan.

Beliau kemudian melancarkan portal banjir MKN sebagai portal maklumat terpusat mengenai situasi banjir bagi memudahkan masyarakat untuk mendapatkan maklumat melalui http://portalbanjir.mkn.gov.my.

Utusan Malaysia