Pemain import T-Team, Simukonda akan tetap diturunkan pada aksi menentang Terengganu malam ini meskipun prestasinya belum mencapai tahap memuaskan.
Pertembungan dua pasukan ‘adik-beradik’ Terengganu dan T-Team, malam ini pasti dinanti-nantikan peminat setia apabila masing-masing bukan saja turun mencari kemenangan malah bakal menentukan siapa yang berhak dilabel jaguh bola sepak negeri Pantai Timur itu.
Masing-masing mempunyai misi. Bagi T-Team, skuad kendalian Yunus Alif itu mahu terus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kempen Liga Super selepas mengharungi tiga perlawanan setakat ini.
Selain itu, pertembungan 'abang-adik' ini adalah medan menguji prestasi sebenar dan potensi yang ada pada penyerang importnya, Zacharia Simukonda.
Terengganu yang memulakan saingan dengan langkah kiri, selepas tewas kepada Perak, berada di tangga ketiga liga mengutip enam mata selepas tiga perlawanan manakala T-Team gah berada di puncak liga dengan tujuh mata dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan.
Pasukan Terengganu bimbingan Mat Zan Mat Aris (gambar kiri) yang bangkit semakin garang apabila berjaya mengutip mata penuh dalam dua kemenangan berturut-turut pasti merisaukan T-Team apabila turun beraksi dalam kancah Liga Super 2012 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Bagi Yunus, ini adalah ujian besar buat kami apabila berdepan Terengganu yang merupakan sebuah pasukan hebat.
"Lagipun, saya akui mana-mana pasukan sentiasa mengintai kedudukan kami selaku pendahulu dan berhasrat untuk menewaskan kami. Jadi, saya jangkakan perlawanan malam esok (malam ini) pasti sengit kerana kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan yang sama," jelasnya semalam.
Namun, Yunus tanpa berselindung tetap meletakkan harapan kepada sentuhan Simukonda untuk menggegar jaring, sekali gus membantu kemenangan pasukan.
Katanya, kehadiran penyerang import dari Zambia itu telah dipersoalkan oleh segelintir penyokong T-Team ekoran prestasi hambar yang dipamerkan pada aksi menentang Sabah lalu.
"Saya masih yakin dengan kemampuan Simukonda, dan dia mungkin masih perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan permainan T-Team. Apa yang pasti, semua pemain juga perlu memainkan peranan sama dan memberikan tumpuan penuh kepada perlawanan," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, reputasi Terengganu sebagai naib juara Liga Super musim lalu perlu diberi perhatian, terutamanya dengan kehadiran dua pemain import mereka.
"Kebanyakan pemain dalam pasukan T-Team adalah bekas pemain Terengganu dan begitu juga sebaliknya. Justeru, kami sebagai sebuah pasukan kelab tetap menghormati Terengganu," katanya.
Bagi Mat Zan, pertembungan dua pasukan senegeri itu pasti sengit serta bakal disajikan persembahan menarik apabila T-Team berada di puncak liga dan sudah pasti semangat mereka cukup membara untuk mengalahkan pasukannya.
“Mengikut rekod, Terengganu masih memiliki kelebihan ke atas T-Team, namun prestasi luar biasa yang disajikan anak buah Yunus Alif musim ini tidak mustahil satu kejutan bakal berlaku. Saya juga bayangkan perlawanan ini begitu sengit namun tetap yakin pemain yang masih segar selepas membenam Sarawak Selasa lalu akan memberi persembahan terbaik dan tidak menghampakan pasukan,” tegas Mat Zan.
Katanya, diharapkan peningkatan prestasi pasukan yang dipamerkan disamping diperkuatkan dua tenaga import Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva Santos Carnietto dapat memberi kelebihan kepada skuad Penyu.
Harian Metro & Berita Harian