Saturday, July 14, 2012

SUKMA 2012 - Terengganu Mendahului Selangor Dengan 7 Pingat Emas


(Dikemaskini) Terengganu sehingga jam 6 petang terus meninggalkan  Selangor dari segi pungutan emas untuk bergerak ke arah menjadi juara SUKMA ke 15 sekali lagi.

Terengganu kini memungut 52 emas berbanding Selangor 45 dan Pahang 40 pingat dan dalam tempoh dua hari lagi kejohanan, dijangkakan Terengganu Hanelang akan dapat mengulangi kejayaan seperti tiga tahun berturut-turut sebelum ini iaitu di Kuala Terengganu, Melaka dan Kuala Lumpur.

Semalam, kedudukan Selangor selaku pendahulu dari segi pungutan pingat Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 akhirnya dipintas Terengganu pada hari ke-13 temasya itu kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Pada ketika itu perbezaan pingat hanya satu iaitu 44 pingat emas dimiliki Terengganu.

Tetapi Terengganu yang merupakan juara SUKMA Melaka 2008, secara keseluruhan berjaya mengutip tiga lagi emas untuk menjadikannya 47 pingat emas, 16 perak dan 22 gangsa.

Pada saingan semalam,  Terengganu mendominasi pungutan pingat yang mana tiga daripada lima emas yang dimenangi ialah dalam acara memanah menerusi Rosshaida Hayati Mohd (compound 300m wanita), Syafiq Izzuddin Sulaiman (recurve 500m lelaki) dan Nurul Iryani Muda (compound 50m wanita).

Dua lagi emas kontinjen Terengganu diraih Noor Quraataina Mamat (BMX wanita) dan Muhd Ajmal Aiman Mat Hassan (110m lari berpagar lelaki).

Selangor turun ke tangga kedua dengan 43 emas, 45 perak dan 44 gangsa manakala tuan rumah, Pahang menduduki tempat ketiga dengan 33 emas, 29 perak dan 22 gangsa.

RELA Perlu Diberi Peranan Tambah Keyakinan Keselamatan: PM

 

Datuk Sri Najib Razak berkata, pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) perlu diberi tanggungjawab baharu seperti menjaga keselamatan di kawasan yang menjadi sasaran utama berlakunya jenayah bagi menghapuskan kebimbangan rakyat terhadap tahap keselamatan mereka.
  

Perdana Menteri berkata, angkatan RELA dengan tiga juta anggota perlu digemblengkan tenaga mereka dalam menjaga keselamatan rakyat termasuk di kawasan membeli belah dan pusat tumpuan orang ramai.

"Bilangan anggota RELA jauh lebih besar berbanding keanggotaan polis seramai 200,000 dan jika mereka dikerahkan ke tempat yang berisiko tinggi berlaku jenayah, tentu dapat membantu rakyat merasakan negara kita selamat," katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama RELA Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak Kuala Terengganu semalam.


Wajah 'Masuk TV' Jadi Dorongan Nuramalia Haneesha Mazlan


Hanya semata-mata mahu melihat wajahnya masuk televisyen dan terpampang di dada akhbar, ia menjadi dorongan kepada pemanah Nuramalia Haneesha Mazlan melakukan bidikan terbaik sekali gus memenangi emas acara recurve 70 meter di Padang POLISAS, semalam.

“Saya teringin masuk TV dan melihat wajah terpampang dada akhbar. Itu sebab saya tekad melakukan terbaik,” kata pemanah yang baru berusia 12 tahun selepas membidik 299 mata – tiga mata mengatasi Nur Atiqah Aziz dari Melaka dan pemanah Johor, Norhuda Azida Zolkifli.

Polis Bantu 1,473 Bekas Tahanan Dapatkan Kerja

Polis memantau pergerakan 1,473 individu seluruh negara yang dibebaskan di bawah Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri sejak beberapa bulan lalu dan sedia membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan bagi mengelakkan mereka kembali terlibat dengan jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata bekas tahanan agak sukar mendapatkan pekerjaan kerana mereka sangsi terhadap penerimaan masyarakat terhadap mereka, justeru beliau berharap perkara tersebut tidak akan menjadi punca mereka kembali kepada tabiat buruk mereka sebelum ini.


Isu PDRM - AC Mizal Ajak Abby Berdebat


Ekoran kelantangan aktres yang kini menjadi penceramah bebas untuk sebuah parti politik, Abby Abadi di laman sosial Twitter berkenaan isu PDRM, bekas rakan seangkatannya di dalam drama bersiri kepolisan 'Gerak Khas', Dato' AC Mizal mengajak Abby Abadi berdebat berhubung isu terbabit.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh AC menerusi status Twitter miliknya yang berbunyi; "Saya mewakili anak anak POLIS MALAYSIA mencabar @abby_abadi112 berdebat secara terbuka atas kutukan beliau terhadap PDRM!"


Pengerusi UMNO Pulau Pinang Nikah Malam Semalam


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman mengakhiri zaman dudanya semalam apabila diijabkabulkan dengan gadis pilihan hati, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Gadis bertuah itu merupakan pemenang rancangan realiti Gadis Melayu musim ke-2, Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin, 23.


Kerajaan BN Tanggung Lebih 90 Peratus Subsidi Untuk Pendidikan

 
Datuk Sri Najib Tun Razak berkata bagi memastikan kemiskinan tidak menjadi kekangan untuk setiap anak bangsa berpeluang mendapatkan pendidikan untuk mengubah nasib mereka, kerajaan Barisan Nasional (BN) menanggung lebih 90 peratus subsidi untuk sektor itu.

Perdana Menteri berkata kerajaan menyediakan pelbagai subsidi dan bantuan dalam bidang pendidikan termasuk kemudahan pinjaman seperti Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).



Penderitaan Veteran UMNO Dapat Perhtaian Perdana Menteri

Najib bertanya khabar kepada Abdul Wahab pada majlis di Dungun pagi semalam.
Penderitaan veteran Umno Naqisah Yusof, 68, yang menghidap angin ahmar mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menziarahi beliau di rumahnya di Kampung Bukit Payong dekat Kuala Terengganu, semalam.

Najib mengunjungi bekas Ketua Wanita Umno Cawangan Bukit Payong itu selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Payong.

Naqisah, yang kini menggunakan kerusi roda melahirkan rasa syukur dan terharu atas kesudian Perdana Menteri meluangkan masa untuk bertanya khabar akan keadaan diri dan keluarganya.


Qari Malaysia, Qariah Maghribi Johan Tilawah


Qari Malaysia, Muhammad Anuar Ghazali, 36, dan qariah Maghribi, Hasnae Khoulali, 19, muncul johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 yang berakhir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam semalam.

Anuar memperoleh markah 95.33 peratus manakala Hasnae mendapat markah 94 peratus. Mereka menerima hadiah wang tunai RM40,000 bersama piala dan sijil penyertaan yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.


Pengorbanan Muhd Ajmal Aiman Buahkan Hasil Kepada Terengganu

Pengorbanan Muhd Ajmal Aiman Mat Hassan melepaskan peluang beraksi di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang sedang berlangsung di Barcelona, Sepanyol berbaloi apabila meraih pingat emas acara 110m lari berpagar lelaki Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 semalam.

Pada acara yang berlangsung di Stadium Darul Makmur di sini, Muhd Ajmal Aiman menyumbangkan pingat emas keenam buat kontinjen Terengganu dalam acara olahraga apabila menamatkan perlumbaan itu dengan masa 14.67 saat.

12,700 Lepasan SPM Kurang Cemerlang Dapat Peluang Kedua Menerusi Program MDAB


Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) yang ditawarkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) setakat ini telah memberi peluang kepada 12,700 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kurang cemerlang daripada keluarga kurang kemampuan untuk melanjutkan pelajaran.

Naib Canselor UiTM, Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata pelajar yang mengikuti program yang dilancarkan sejak 2010 itu telah menunjukkan perkembangan yang sangat positif.


Friday, July 13, 2012

TM Sasar 1.3 Juta Premis Langgani Unifi Menjelang Akhir Tahun

 

Telekom Malaysia Berhad (TM) menyasarkan 1.3 juta premis kediaman dan perniagaan di seluruh negara melanggan perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) atau Unifi menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM Datuk Bazlan Osman berkata pihaknya yakin dapat mencapai sasaran itu kerana jumlah premis yang melanggan Unifi ketika ini berjumlah 1.22 juta di seluruh negara.


Pertandingan Robocon 2012 Peringkat kebangsaan Sengit

 Pelajar KKTM Kemaman mengendali robot mereka ketika sesi ujian pengendalian pada Pertandingan Robocon 2012 Peringkat Kebangsaan di Kuala Terengganu, semalam.
Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman yakin dapat memberi saingan sengit kepada pencabar utama Pertandingan Robocon 2012 Peringkat Kebangsaan yang bermula di Kuala Terengganu, semalam.

Ini merupakan penyertaan sulung bagi institusi yang baru berusia dua tahun dan pasukan dengan sembilan pelajar bersama tiga pensyarah itu telah membuat persiapan intensif sejak Mei lalu.

Pengurus pasukan, Hasanuddin Mohamad Noor memberitahu, penyertaan ini sebagai pendedahan baru yang memberikan nilai tambah kepada pelajar dalam bidang robotik melalui curahan idea, kreativiti, di samping kerja keras dan semangat kerjasama yang tinggi.


38,540 Lepasan STPM, Matrikulasi DiTawar Ke IPTA

Sejumlah 38,549 lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan asasi ditawarkan ke 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof. Rujhan Mustafa berkata, berdasarkan jumlah itu, 21,959 orang (57 peratus) adalah terdiri daripada aliran Sains dan 16,590 (43 peratus) pula daripada aliran Sastera.

"Status keputusan permohonan kemasukan ke IPTA bagi Program Pengajian Lepasan SPM/ Setaraf Sesi Akademik 2012/2013 boleh disemak hari ini mulai jam 12 tengah hari melalui laman web http://upu.mohe.gov.my.


NEKAD Bekal Ikan Di Lima Rangkaian Pasar Raya Besar Di Pantai Timur

Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) menjadi pembekal utama ikan untuk sebuah pasar raya besar di pantai timur sejak tahun lepas, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum.

Sehubungan itu, persatuan itu akan membina gudang simpanan sendiri bagi memastikan mereka dapat menyimpan lebih banyak stok ikan bagi memenuhi permintaan termasuk dari luar Kedah.


UMT Anjur Perhimpunan Kebangsaan Kor Siswa-Siswi Esok

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menganjurkan Perhimpunan Kebangsaan Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (SISPA) selama lima hari mulai esok (Sabtu).

 Pengerusi Jawatankuasa Induk Perhimpunan Kebangsaan Kor SISPA 2012 Prof Datuk Dr Saharuddin Abdul Hamid berkata, program tahunan yang dianjurkan sejak 2010 itu bertujuan mewujudkan ruang perbincangan, perkongsian pengalaman dan idea dalam mengukuhkan asas Kor SISPA.


SUKMA 2012 - Hanya Selangor Yang Mampu Pecahkan Dominasi Terengganu…

Kemenangan Terengganu dalam acara pecut 100m lelaki petanda negeri ini semakin melonjak dalam sukan olahraga.
Sebelum bertolak ke Kuantan untuk bertanding dalam kejuaraan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 Pahang. Terengganu sudah tercicir 21 pingat emas.

Terengganu kehilangan 21 emas menerusi acara kanu, selain tiga atlet berbasikal dan memanah yang terpilih ke Olimpik London.

Terengganu tercicir 12 emas menerusi acara kanu yang tidak dipertandingkan pada Sukma 2012, sementara sembilan pingat emas menerusi dua atlet memanah (Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim) dan pelumba, Adeq Hussainie Othman yang masing-masing menyumbang tiga pingat emas pada Sukma lalu.

Selain itu, Selangor yang cuba meleburkan dominasi Terengganu yang datang ke Sukma 2012 sebagai juara hatrik tidak mampu memungut pingat emas dalam acara gimnastik dan renang dan ini menjadi sedikit mudah untuk Selangor bersaing dengan Terengganu.

Apapun, itu bukan alasan.

Semalam Terengganu memintas Selangor beberapa ketika untuk menduduki tempat pertama dari segi kutipan pingat emas tetapi ia kemudian didominasikan oleh Selangor dengan kelebihan dua emas.

Terengganu memotong Selangor pada jam 5.30 petang semalam dengan 39 emas pada ketika saingan terdekar itu kekal 38 emas, namun kedudukan kutipan emas terakhir semalam ialah Selangor 41 dan Terengganu 39.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said menegaskan Terengganu belum mengaku kalah untuk mengekalkan kejuaraan malah berharap lebih banyak emas mampu diraih menerusi kejohanan olahraga yang membuka tirai semalam.

Bercakap pada sidang akhbar sempena Program Kar1sma Mesra, di Dewan Inspirasi Taman Rahmat, Marang, petang semalam, Menteri Besar berkata, banyak acara yang sebelum ini tidak mensasarkan emas berjaya menambah koleksi kutipan pingat itu buat Terengganu termasuk sagu hati satu emas daripada acara karate dan dua emas berbasikal yang dihasilkan Ummi Hamimah Mohamad (200m pecut dan 500m ujian masa wanita).

“Ummi Hamimah bukan sasaran untuk mendapat emas, bagaimanapun, pelumba Terengganu itu membuktikan dia mampu menewaskan pelumba pilihan yang lebih senior daripadanya Jupha Somnet dari Perlis.

“Begitu juga dengan sepak takraw, Terengganu juga tidak jangka akan mendapat emas. Beliau juga berbangga dengan pencapaian atlet kapal layar yang gagal mendapat sebarang emas pada temasya terdahulu, apabila berjaya menyumbang tiga emas pada Sukma kali ini.

Atlet olahraga wanita Terengganu, Nur Fatin Adibah Suharman menambah satu lagi koleksi emas bagi acara merejam lembing yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pagi semalam.

Turut menarik ialah di gelanggang angkat berat terus menghadirkan detik cemerlang pada saingan Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang apabila buat kali kedua rekod kebangsaan berjaya dipadam menerusi kemenangan acara clean & jerk kategori 77 kilogram badang kelahiran Terengganu, Abd Mubin Rahim.

Abd Mubin yang juga atlet elit kebangsaan, berjaya mengangkat bebanan 171kg sekali gus memperbaiki rekod kejohanan, 165kg serta rekod kebangsaan 170kg milik bekas atlet angkat berat negara, Mohd Hidayat Hamidon.

Sebelum itu, Abd Mubin sekadar berjaya memperbaiki rekod kejohanan, 127kg bagi acara snatch dengan angkatan 128kg.

Meskipun berjaya memperoleh dua emas serta memecahkan rekod kebangsaan, atlet berusia 21 tahun itu kurang berpuas hati dengan pencapaiannya.

“Saya tidak puas hati dengan catatan snatch kerana ketika sesi latihan, saya sering melakukan angkatan sekitar 140kg, tetapi segala-galanya tidak menjadi.

“Situasi sama juga berlaku dalam acara clean & jerk sebab saya yakin mampu melakukan bebanan lebih daripada yang saya lakukan tadi, tapi apapun, saya tetap puas hati dengan pencapaian meraih dua emas,” katanya yang berjaya mengangkat bebanan keseluruhan 299kg.

Untuk ketika ini walaupun ketinggalan emas kepada Selangor, acara-acara seterusnya akan menyaksikan persaingan sengit antara atlet dua negeri yang bukan sahaja bersiap siaga untuk ke temasya ini tetapi juga menjanjikan pelbagai habuan menarik untuk atlet dan pegawai.

Dan jika Terengganu melakar sejarah sebagai pemenang kali keempat berturut-turut pastinya negeri lain akan juga berusaha gigih untuk menyaingi negeri ini pada temasya yang akan diadakan di Perlis tahun hadapan.

20,000 Pelajar UiTM Sambut PM di Arena Square, Dungun Pagi Ini


Kira-kira 20,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari seluruh negara menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena majlis Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) di Arena Square, di Dungun hari ini.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke negeri ini, tiba kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki helikopter dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu sebelum diarak dengan kumpulan bermotosikal.

Ketibaan Najib diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Dr. Ir. Shahol Hamid Abu Bakar.

Selepas itu, Perdana Menteri turut menghadiri majlis Kenduri Rakyat 100 Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) di dataran tersebut yang turut dihadiri ribuan org dari segenap lapisan masyarakat.

Rosli berkata, warga Dungun sangat teruja dengan lawatan rasmi kali pertama Perdana Menteri ke daerah ini kerana berpeluang menatap wajah beliau secara dekat dan mendengar ucapannya.

Menurut Rosli, bagi jamuan rakyat, sebanyak 40 ekor lembu telah ditumbangkan dengan pembahagian tugas memasak kepada 20 JKKK.

"Hidangan istimewa kita ialah gulai kawah yang begitu sinonim dengan masyarakat Terengganu, selain sayur goreng, sambal belacan dan goreng ikan masin sebagai pembuka selera," katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, dengan pesawat khas pada kira-kira 9.10 pagi ini untuk lawatan kerja sehari ke Terengganu.

Ketibaan Najib disambut oleh Menteri Besar  merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dan pemimpin-pemimpin parti Barisan Nasional (BN) negeri.

Perdana Menteri dan Ahmad Said kemudiannya menaiki helikopter ke Dungun untuk memulakan agenda pertama dalam rangka lawatannya iaitu melancarkan program 'Mengubah Destini Anak Bangsa' bersama warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun dan masyarakat setempat di Dataran Arena, Dungun.

Pada tengah hari, Najib akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Pekan Bukit Payong, Marang sebelum menghadiri Majlis Jamuan Rakyat di padang bola Kampung Bukit Payong.

Pada petangnya, Perdana Menteri akan meneruskan programnya bersama kira-kira 20,000 anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) seluruh negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, di Kuala Terengganu.

Beliau dijadual pulang ke ibu negara selepas majlis itu.

Sultan Terengganu Sempurna Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru KTS


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan upacara pecah tanah tapak bangunan baru Hospital Pakar Kuala Terengganu (Hospital KTS), di Kuala Terengganu, semalam.


Hospital milik TDM Berhad, iaitu sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu itu, akan dibina dengan kos RM170 juta, di atas tanah seluas 23,424 meter persegi di pantai Batu Buruk yang dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.



PAS Tampil 60 Peratus Muka Baru Pada PRU13 - Tuan Ibrahim


PAS akan menampilkan sekurang-kurangnya 60 peratus muka baru sebagai calon parti untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata 60 peratus muka baru itu kesemuanya terdiri daripada Pemuda dan Muslimat parti.

"Muka-muka baru ini adalah 40 peratus dari kalangan Pemuda dan 20 peratus Muslimat.

FAMA Sasar 100 Ushawan Baru Pasar Tani

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu menyasarkan RM24.5 juta nilai jualan pasar tani di seluruh negeri selain 100 usahawan baru pasar tani pada tahun ini.

Pengarah Fama Terengganu, Hasan Jusoh berkata, pihaknya optimis sasaran itu dapat dicapai dengan adanya dua buah pasar tani yang dikenal pasti sebagai pasar tani ‘gergasi’ iaitu di Padang Hiliran dan Permin Jaya, selain penubuhan dua lagi pasar tani baru pada tahun ini.


1,164 Rakyat Kurang Bernasib Baik Terima Zakat Maidam

Seramai 1,164 penerima terdiri daripada golongan kurang bernasib baik di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payong menerima bantuan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) semalam.

Bantuan disampaikan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Payong, Zaidi Muda sempena Majlis Agihan Zakat Hari Raya 2012 di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zain di Bukit Payong.


Terengganu Garang Bolot Tiga Emas Basikal

Zahraa Anuwar (depan) tiba di garisan penamat untuk memenangi pingat emas dalami acara lepas beramai-ramai wanita individu 157km di Temerloh, semalam
Terengganu membolot tiga pingat emas dan satu perak dalam acara berbasikal wanita dan lelaki di Temerloh  semalam.

Zahraa Anuwar menghadiah emas pertama dalam acara lepas beramai-ramai wanita individu sebelum acara berpasukan wanita menokok emas kedua dalam acara yang sama.

Zahraa, 20, menghabiskan kayuhan sejauh 157 kilometer dengan catatan tiga jam. 30:48 saat.

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Sedia 2,900 Tapak Bazar Ramadan

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan kira-kira 2,900 tapak Bazar Ramadan di 20 lokasi tahun ini.

Antaranya ialah di Pasar Cabang Tiga, Pasar Manir, Pasar Bukit Besar, Pasar Payang, Batu Enam, Kedai Buloh, Wakaf Tengah, Gong Badak, Batu Buruk, Dataran Syahbandar, Permin Jaya, Pengadang Baru, Jalan Budiman, Dataran Taman Purnama, Kampung Baru Seberang Takir, Teluk Ketapang dan Batas Baharu.


Sukma 2012 - Gandingan Amira Syahirah/'Dicky' Raih Dua Emas Buat Terengganu

Gandingan mantap Amira Syahirah Mohd Zulkefli dan kuda kesayangannya 'Dicky' menghasilkan dua emas buat Terengganu pada acara ekuestrian Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pusat Ekuestrian Tanjung Lumpur di Kuantan, semalam.

Dicky berjaya memikat para juri pada acara 'dressage' untuk mengumpul mata tertinggi 63.54 peratus.

'Super CJ7' milik atlet Perak Mohamad Faiz Hanuar berada di tempat kedua dengan mata 62.55 peratus manakala 'Samalinda' yang ditunggang oleh Natalya Aira Wah Idris dari Wilayah Persekutuan memperoleh 61.98 peratus untuk tempat ketiga.

Amy, Jamal Mahu Lim Kit Siang Mohon Maaf Secara Terbuka


Dua penyanyi terkenal tanah air yang berasa terhina dengan dakwaan kononnya mereka menerima sogokan berjumlah RM10,000 setiap kali mengisytiharkan menyokong UMNO kini tampil dengan tuntutan supaya pihak terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka.

Bagi Amy Search dan Jamal Abdillah, mereka bukan sahaja berasa terhina bahkan sangat sedih dengan tuduhan bersifat fitnah itu.


Nuramalia, Pemanah Cilik Raih Emas Acara Recurve Wanita

Pemanah cilik dari Terengganu, Nuramalia Haneesha Mazlan melakar kejutan dengan meraih pingat emas dalam acara 70 meter Recurve individu wanita pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Pahang ke-15 di Kuantan, semalam.

Hanya berbekalkan latihan selama enam bulan, Nuramalia Haneesa nyata menyerlah apabila mengalahkan pemanah dari Melaka dan Johor dengan pungutan 299 mata.


Jumlah Guru Dari AS Untuk Program ETA Akan Ditambah

Jumlah guru bagi program Pembantu Guru Bahasa Inggeris atau English Teaching Assistants (ETA) dari Amerika Syarikat di negara ini akan ditambah kepada lebih 75 orang pada tahun depan berbanding 50 orang pada masa ini.

Kaunselor Bahagian Pengurusan Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia Eric Khant berkata program ETA yang bertujuan membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di Malaysia adalah yang kedua terbesar di Asia Pasifik selepas Korea Selatan dan ketiga terbesar di dunia.

Rumah Teres 60 Unit Untuk Penduduk Taman Rahmat Pulau Kerengga

 

Kunjungan pertama Menteri Besar ke Taman Rahmat, Pulau Kerengga, Marang membawa berita gembira kepada penghuni taman itu apabila kerajaan negeri bersetuju membina rumah teres yang menempatkan 60 unit rumah di tapak berkeluasan tujuh hektar berhampiran penempatan mereka mulai tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata nasib 230 penduduk menghuni di 53 unit rumah kayu yang mula dibina sejak zaman pentadbiran bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad lebih terbela dengan pembinaan kediaman baru yang lebih baik dan selesa nanti.



Felda Bina 3,000 Unit PWF Termasuk Di Felda Chiku 5

Pembinaan sebanyak 3,579 unit projek Perumahan Warga Felda (PWF) untuk generasi kedua tanah rancangan itu di 10 Felda di seluruh negara dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, 10 kawasan terbabit adalah Felda Pasak dan Felda Sungai Sibul di Johor, Felda Jengka 19, Felda Triang 3, Felda Jengka 11 dan Felda Chini 3 di Pahang, Felda Chiku 5 di Kelantan, Felda Nerang 1 di Terengganu, Felda Chuping, Perlis dan Felda Raja Alias di Negeri Sembilan.


Keluar Tender Bina Pengadang Di Medan Selera Marang Waterfront

Majlis Daerah Marang (MDM) mengeluarkan tender dan sebut harga bagi cadangan membina pengadang di Medan Selera Marang Waterfront di Jalan Bukit Batu Merah yang terletak berhampiran laut, di Marang.

Tender membina kemudahan tersebut dikeluarkan selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima aduan orang ramai yang mendakwa keperluan itu perlu disediakan agar keselamatan anak kecil yang berada di situ lebih terjamin.

Amuk Di JPM Tiada Kaitan Kumpulan Ajaran Sesat

Dua individu yang mengamuk di perkarangan Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) Putrajaya Isnin lepas, bertindak sendiri tanpa ada kaitan dengan kumpulan ajaran sesat, kata polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki terbabit Khalil Afandi Abdul Hamid, 47, bertindak secara berseorangan dan mengaku dirinya sebagai Imam Mahadi.


Thursday, July 12, 2012

Ahmad Said Tetap Tolak Debat, Dakwa Tidak Bawa Kebaikan


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan cadangan untuk menganjurkan debat terbuka antara Kerajaan Negeri dengan pembangkang tidak membawa sebarang kebaikan.

Beliau berpendapat program tersebut tidak perlu, apatah lagi apabila usul berkenaan datangnya daripada pihak yang secara jelas menyebelahi parti pembangkang.

“Saya tidak nampak debat membawa kebaikan, kita bukan budak sekolah yang berdebat untuk melihat siapa yang menang, malah jelas dalam beberapa debat yang dianjurkan sebelum ini tidak menemui sebarang keputusan dan kesudahan yang baik.

“Justeru, saya melihat cadangan dan kesediaan pihak tertentu untuk menjadi orang tengah bagi menganjurkan debat antara Kerajaan Negeri dan pembangkang hanyalah bertujuan menterjemahkan kebaikan mereka (pembangkang) semata-mata,” katanya kepada pemberita sebaik selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Ahmad Said, beliau tidak sesekali akan terperangkap dengan mainan politik pembangkang yang sememangnya diketahui umum sekadar untuk menjaja idea semata-mata dan menjadikan debat sebagai landasan.

“Mereka ini (pembangkang) kalau hendak timbul sentimen (melalui debat) bolehlah.. tetapi saya yakin dan percaya rakyat hari ini mampu menilai sendiri apabila berbahas dalam dewan isu yang dibawa mereka iaitu kemiskinan, sedangkan perkara itu telah berjaya diatasi di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Sinar Harian 9 Julai lalu melaporkan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu mencadangkan agar satu debat terbuka diadakan antara Kerajaan Negeri dengan pembangkang bagi menjawab pelbagai isu.

Menawarkan Amanah sebagai orang tengah, Pengerusinya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, debat atau dialog tersebut wajar diadakan sebagai ruang kerajaan dan pihak pembangkang memberi penjelasan kepada rakyat.

Selangor Terus Unggul Dalam Pungutan Pingat, Terengganu Jatuh Tempat Ketiga

Pelari Terengganu, Harith Ammar Mohd. Sobri dan atlet Pulau Pinang, Zaidatul Husniah Zulkifli masing-masing ditabalkan selaku raja dan ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang.
Selangor terus unggul di hadapan 14 kontinjen lain dalam pungutan pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) Pahang ke-15 apabila menambah sembilan pingat emas pada hari ke-11 temasya itu, semalam.

Secara keseluruhan, Selangor semalam menggumpul 36 pingat emas, 27 perak dan 35 gangsa. Gimnastik muncul penyumbang utama bagi Selangor dengan empat pingat emas menerusi Nur Eli Ellina Azmi dalam acara batang titian kategori wanita selepas mengutip 13.5 mata manakala emas bagi acara senam lantai kategori wanita disumbangkan Farah Ann Abdul Hadi (13.2 mata).

Atlet Terengganu, Harith Ammar, Zaidatul Dari Pulau Pinang Juara Pecut Sukma 2012



Atlet Terengganu, Harith Ammar Mohd Sobri dinobatkan sebagai raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) Pahang ke-15 setelah mengungguli acara 100m lelaki di Stadium Darul Makmur semalam.


Harith Ammar, 18, melintasi garisan penamat dengan masa 10.84s mengatasi Mohd Helmi Ahmad Awang dari Kedah di tempat kedua yang mencatatkan masa 10.92s.

Buruh Tikam Pembantu Kedai Februari Lalu, Positif Dadah

 Albert Majang dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan dua tahun pengawasan polis oleh Mahkamah Majistret, semalam setelah didapati positif dadah.
 Seorang buruh yang didakwa menikam seorang pembantu kedai kain sehingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Pusat Niaga Paya Keladi, Jalan Paya Keladi, di sini, 1 Februari lalu, didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Bagi kesalahan itu, tertuduh, Albert Majang, 23, dari Kampung Melikin, Serian, Sarawak dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan dua tahun pengawasan polis oleh Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu.

Tertuduh didakwa menggunakan dadah berbahaya itu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira jam 5.30 petang pada 2 Februari lalu.

Kes yang turut disiarkan  teganuku

PM Hadiri Jamuan Rakyat Di Bukit Payong Esok

Najib Disambut Rakyat Ketika Melakukan Lawatan ke Marang sebelum ini....
Datuk Seri Najib Razak akan menghadiri majlis jamuan rakyat yang disertai antara 8,000 hingga 10,000 orang di padang orang ramai Kampung Bukit Payong, Marang, sempena lawatan kerja sehari beliau ke Terengganu esok.

"Kerajaan negeri akan memberikan sambutan meriah kepada Perdana Menteri sempena lawatan tersebut," kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di Kuala Terenganu, semalam.


Khalwat Dua Tahun Lalu - Bekas Pelajar IPTA Didenda RM1,800





Kemeriahan sambutan tahun baru buat tiga remaja bertukar detik hitam apabila mereka dicekup pihak berkuasa kerana disyaki berkhalwat bersama pasangan bukan muhrim dalam sebuah rumah.


Kejadian dua tahun lalu itu juga menjadi pengajaran berharga buat remaja terbabit apabila turut diberhentikan daripada pengajian selepas mereka bertiga mengaku melakukan kesalahan tidak bermoral itu.

Lebih mendukacitakan apabila mereka turut dibawa ke muka pengadilan berikutan kesemua bekas pelajar pusat pengajian tinggi awam itu berjaya disabitkan atas kesalahan dilakukan.