Friday, July 27, 2012

Wanita Pembawa HIV/AIDS Boleh Ancam Kestabilan Institusi Keluarga

Golongan wanita yang membawa virus HIV/AIDS boleh mengancam kestabilan institusi kekeluargaan khususnya suri rumah dan kaum ibu kerana mereka merupakan tonggak rumah tangga.

Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM) Datuk Dr Raj Karim berkata golongan wanita yang menghidap penyakit ini membawa implikasi yang besar kerana mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menguruskan keperluan anak-anak.

"Kebanyakan wanita terdedah kepada virus tersebut akibat perhubungan intim tanpa mengetahui kedudukan dan aktiviti pasangan, menjadi mangsa suami penagih dadah dan beberapa faktor lain yang seterusnya akan menyebabkan jangkitan pada janin dan anak-anak lain.

"Pembawa HIV/AIDS bukan sahaja menderita dari segi fizikal malahan turut menghadapi tekanan emosi dan perasaan akibat stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap mereka," katanya kepada pemberita pada majlis Iftar Ramadan bersama Komuniti yang Disayangi bagi meraikan komuniti yang kurang bernasib baik itu di Kuala Terengganu,  semalam.

Tambah Dr Raj lagi, apa yang membimbangkan bagi anak-anak, mereka tidak mendapat kasih sayang, rangsangan sosial serta contoh yang betul daripada ibu bapa dan orang dewasa di sekeliling mereka.

Persekitaran seperti itu akan membawa kepada personaliti negatif anak-anak.

Terengganu Lulus RM1 Juta Bina Dewan Serbaguna Tentera


Kerajaan negeri Terengganu meluluskan peruntukan RM1 juta kepada Batalion ke-18 Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seberang Takir, Kuala Terengganu  bagi membina sebuah dewan serbaguna di kem itu.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, pembinaan dewan serbaguna itu perlu memandangkan kem itu belum mempunyai sebarang dewan perhimpunan yang agak besar


"Mungkin peruntukan sebanyak RM1 juta itu hanya mampu buat sebuah dewan yang kecil. Tetapi kalau tentera sendiri yang bina, mungkin sebuah dewan serbaguna yang besar mampu dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis berbuka puasa bersama warga batalion itu malam kelmarin.




Ibu Muda Positif HIV Sanggup Jual Anak Dengan Harga RM1,800

Dek kerana desakan akibat kemiskinan selain positif HIV seorang ibu sanggup menjual anak kandungnya dengan harga RM1,800.

 Namun tindakan ibu muda itu untuk menjual bayi lelakinya yang ketika itu berusia beberapa bulan, berjaya dikesan Komuniti Cakna Terengganu (KCT).

Desakan hidup mendorong beliau mengambil keputusan tersebut apatah lagi bapa bayi malang itu tidak dapat dikesan selepas mereka terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat sehingga wanita itu mengandungkan bayi berkenaan.

20 Barangan Dalam Skim Kawalan Harga Perayaan


Sempena Aidilfitri tahun ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengenal pasti 20 jenis barangan makanan yang akan diletakkan dalam skim kawalan harga musim perayaan 2012.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata senarai barangan dan harganya sudah pun siap dan akan dibentangkan ke Kabinet dahulu sebelum diumumkan, dijangka seminggu sebelum Aidilfitri.

"Semua barangan itu adalah barang yang penting untuk kegunaan menjelang samputan hari raya dan ada harga yang turun sikit dan ada yang naik sikit berbanding tahun lalu," katanya kepada kepada pemberita di Putrajaya semalam.

Terengganu Taja Ibu Bapa Atlet Ke London

 
Atlet dari Terengganu yang akan mewakili negara di Sukan Olimpik London, akan turut ditemani sama ada ibu atau bapa masing-masing, hasil tajaan kerajaan negeri.

Atlet berkenaan ialah empat atlet berbasikal iaitu Adiq Husaini Othman, Amir Mustafa Rosli, Fatihah Mustafa dan Azizul Hasni Awang.

Dua orang lagi merupakan atlet memanah iaitu Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim.

Najib - BN Di Landasan Betul Walaupun Tidak Guna Label Islam


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perjuangan Barisan Nasional (BN) berada di landasan yang betul walaupun perikatan itu tidak menggunakan label Islam.

Perdana Menteri berkata segala program transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan BN untuk rakyat adalah berlandaskan 'maqasid syariah'.

"Apa yang kita lakukan adalah berpandukan kepada kehendak Islam seperti yang tertera dalam maqasid syariah.

Berhenti MerokokSempena Ramadan - Jabatan Kesihatan Terengganu


Dalam usaha membantu perokok menghentikan tabiat itu, Jabatan Kesihatan Terengganu melancarkan kempen "Nafas Baru Bermula Ramadan" sepanjang bulan puasa bagi membantu golongan itu.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Anwa Sulaiman berkata jabatan itu membuka gerai dan kaunter berhenti merokok di bazar-bazar Ramadan bagi membantu mereka.

PPDNKK Nafi Harga Daging Naik Di Terengganu

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri Terengganu menafikan harga daging lembu di negeri ini naik mendadak sejak bermulanya bulan puasa.

Timbalan Pengarah PPDNKK Terengganu Abdul Ghani Harun berkata, "Memang kita akui sebelum Ramadan harga daging di pasar-pasar di negeri ini dijual dengan harga RM20 sekilogram.

Penjawat Awam Ditahan Miliki Senapang, Dadah

Seorang penjawat awam berusia 32 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah dan memiliki selaras senapang patah buatan sendiri, di Sungai Tong, semalam.

Lelaki tersebut ditahan dalam Ops Tapis ketika polis melakukan serbuan di rumahnya di Kampung Bukit, Sungai Tong, pada pukul 4.30 pagi semalam.

Dakwaan Tiket Bas Sempena Hari Raya Habis Hanya Khabar Angin – SPAD

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyifatkan dakwaan kononnya tiket bas bagi musim perayaan Aidilfitri tahun ini sudah habis dijual hanyalah merupakan khabar angin.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, setakat ini suruhanjaya itu tidak mendapat sebarang aduan mengenai kehabisan tiket bas.

Ini kerana katanya, SPAD sudah pun membuka permohonan Lesen Perubahan Semasa (LPS) untuk tambahan perkhidmatan bas lebih awal iaitu sejak 16 Julai lalu dan hanya berakhir pada 10 Ogos depan.

Kerajaan Terengganu Rancang Pindahkan Penduduk Pulau Sekati


Kerajaan negeri merancang memindahkan sebahagian besar penduduk Pulau Sekati, dekat Kuala Terengganu ke projek perumahan Taman Tamadun Islam (TTI), apabila projek itu siap kelak.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, kini kebanyakan penduduk pulau berkenaan tinggal di tanah milik orang perseorangan.

Arkib Terengganu Peroleh Khazanah Berkaitan Bidang Falak Syarie

Arkib Negara Malaysia Cawangan Terengganu memperoleh khazanah bernilai berkaitan bidang falak syarie hasil peninggalan tokoh falak tersohor negeri Abdul Ghani Salleh.

Pengarahnya Mohd Nasir Ismail berkata, khazanah yang sangat bernilai itu disumbangkan oleh waris Allahyarham di rumah bekas kediamannya di jalan Bakti, baru-baru ini.


Thursday, July 26, 2012

RM8.7 Juta Bantu 11,316 Pelajar Terengganu Lanjut Pelajaran Ke IPT

“Kerajaan negeri sanggup melakukan apa saja semata-mata mahu melihat anak didik Terengganu terus cemerlang mencipta nama di serata negeri dan negara...seramai 5,257 pelajar sudah pun menerima sumbangan masing-masing pada Jun lalu manakala selebihnya iaitu 6,059 akan menerimanya dalam tempoh terdekat." 
 - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said

Kerajaan negeri memperuntukan kira-kira RM8.7 juta bagi membantu 11,316 pelajar seluruh Terengganu melanjutkan pelajaran ke pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta sepanjang tahun ini.

Melalui peruntukan 'sekali bayaran' itu, seramai 5,594 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah layak menerima sumbangan sebanyak RM1,000 seorang; 1,344 pelajar diploma (RM750 seorang), 1,986 pelajar matrikulasi (RM500) dan seramai 2392 bagi pelajar sijil dan Sekolah Berasrama Penuh masing-masing memperoleh RM500.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata seramai 5,257 pelajar sudah pun menerima sumbangan masing-masing pada Jun lalu manakala selebihnya iaitu 6,059 akan menerimanya dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan negeri sanggup melakukan apa saja semata-mata mahu melihat anak didik Terengganu terus cemerlang mencipta nama di serata negeri dan negara.

"Oleh itu apa yang kurang kita tambah, termasuk menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1.2 juta kepada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu bagi melaksanakan program,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Said turut memberitahu kerajaan negeri cukup bangga kerana apa yang disumbangkan kepada pelajar sebelum ini mula menampakkan hasil yang membanggakan sama ada dalam bidang pendidikan mahupun sukan.

Teganukita

UMNO, BN Ada Kelebihan Menang PRU-13 - Ahli Akademik

UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dan merampas kembali beberapa negeri yang ditadbir pembangkang, demikian menurut kajian yang dilakukan beberapa ahli akademik.

Prof. Madya Dr. Fuad Mohd. Jali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, kajian itu yang dilakukan terhadap 1,400 responden di Kedah dan Selangor pada Mac hingga Mei tahun ini menyimpulkan bahawa rakyat Malaysia setakat ini memilih BN.

"Di Selangor, pengundi cenderung untuk memilih BN manakala di Kedah kedudukannya 50-50 tetapi ia mungkin berubah," katanya pada Perbincangan Meja Bulat PRU 13: Malaysia Pilih Siapa anjuran Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) di Kuala Lumpur, semalam.

Pengerusi Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran UKM itu berkata, PRU 13 merupakan satu kemuncak kepada penilaian prestasi bagi BN dan pakatan pembangkang di empat negeri sama ada mereka boleh kekal memerintah ataupun BN berjaya merampas kembali keempat-empat negeri berkenaan.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, 69.6 peratus responden menyatakan bahawa BN akan memenangi PRU-13 iaitu 37.5 peratus menyatakan bahawa BN akan menang dengan dua pertiga majoriti manakala 32.1 peratus menang dengan majoriti mudah.

"Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), 54.1 peratus responden akan memilih BN, 14.4 peratus (Pas), tiga peratus (PKR) dan selebihnya tidak pasti manakala di peringkat Parlimen, 57 peratus memilih BN, 20.6 peratus (PR) dan 22.4 peratus tidak pasti," katanya.

Di Selangor, Fuad berkata, kajian simulasi berdasarkan kepada keputusan PRU-11 dan PRU-12, profil pemilih berdaftar terkini dan reputasi BN mendapati bahawa BN akan menang di 40 kerusi DUN daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

"Di Kedah, seramai 50.7 peratus responden memilih Pas untuk menang di peringkat DUN, 49.3 peratus (BN) dan selebihnya tidak pasti," katanya.

Beliau berkata, kepimpinan dan populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diterima dan terus mendapat sokongan juga menjadi antara faktor kelebihan BN untuk memenangi PRU-13.

"Purata 87.4 peratus mereka yang berumur 21 hingga 60 tahun menyokong kepimpinan Najib dan 76 peratus menyatakan imej Najib amat baik berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.

Beliau berkata, sokongan golongan muda pada tahun 2008 agak merosot, justeru Najib membuat pendekatan 'modul magnet' bagi menarik semula sokongan dengan melakukan pembaharuan yang bersifat populis dan praktikal menerusi media sosial dan transformasi politik.

Prof. Madya Dr. Rohana Yusof dari Universiti Utara Malaysia yang menjalankan kajian ke atas 10,800 responden di Kedah pada November 2011 sehingga Februari 2012 mendapati bahawa rakyat Kedah menolak kerajaan Pas Kedah kerana gagal menunaikan janji yang dibuat pada pilihan raya umum lepas.

"Sebanyak 54 peratus responden menyatakan bahawa kerajaan Pas sedia ada tidak wajar dikekalkan manakala 58 peratus mengatakan bahawa kerajaan BN di peringkat persekutuan perlu dikekalkan.

"Rakyat Kedah kini lebih menerima dasar-dasar Kerajaan Persekutuan berbanding kerajaan negeri dan cara terbaik ialah dengan memberi ruang kepada BN untuk kembali memerintah Kedah," katanya.

Rohana berkata, mereka juga memerlukan seorang Menteri Besar yang mampu menyelesaikan masalah rakyat, mudah dihubungi dan rajin turun padang bertemu rakyat dan ini memberi gambaran terhadap ketidakupayaan Menteri Besar sekarang, Datuk Seri Azizan Abdul Razak melaksanakan tanggungjawab yang diharap oleh rakyat.

"Dalam konteks calon Menteri Besar Kedah yang dipilih sekiranya UMNO berjaya merampas Kedah, rata-rata responden memilih Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.

"Ini menunjukkan bahawa mereka perlukan muka baharu yang lebih muda untuk mentadbir negeri," katanya.

Najib - Bonus Bukti Keikhlasan, Kemampuan Kerajaan

Datuk Seri Najib Razak ketika hadir pada majlis penyerahan sumbangan dana bina masjid di tapak Masjid Al Mustaqim di Taman Nirwana Ampang, Kuala Lumpur, malam tadi.
Pemberian bonus kepada penjawat awam merupakan bukti keikhlasan kerajaan memperjuangkan kepentingan untung nasib rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ia selaras dengan falsafah Gagasan 1Malaysia 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

"Ini mencerminkan kemampuan kerajaan mentadbir urus ekonomi negara dengan baik," katanya pada majlis moreh selepas menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Surau Taman Sri Angsana Hilir, Pandan di Kuala Lumpur, semalam.

Nik Aziz Tetap Pertahan Laksana Hudud


Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, parti itu tetap akan melaksanakan hukum hudud walaupun ada tentangan daripada pihak lain termasuk ahli pakatan pembangkang iaitu DAP.

Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, semua pihak sudah mengetahui hasrat PAS berhubung pelaksanaan hukum hudud terutama di negeri ini.

Beliau berkata, tiada sebab PAS tidak melakukan sesuatu yang dianggap untuk kepentingan agama walaupun ada pihak yang tidak bersetuju.

"Rasanya saya tak perlu sebut kali kedua, kerana ia (cadangan itu) sudah lama dah, semua orang tahu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Bharu, semalam.

Beliau ditanya mengenai kedudukan PAS dan DAP yang nampak tidak sehaluan dan berbeza pendapat mengenai dasar negara Islam dan hukum hudud.

Sebelum ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh dilaporkan meminta pemimpin PAS supaya tidak terus membangkitkan isu negara Islam yang boleh merencatkan kemaraan pakatan pembangkang ke Putrajaya.

Nik Aziz berkata, jika hukum gantung boleh diterima semua pihak, maka tidak ada sebab hukum hudud tidak boleh diterima.

"Pelik apa kalau ambil hudud, bukankah di Malaysia ini ramai orang kena hukum gantung. Hukum gantung menyebabkan isteri dia (pesalah) jadi bujang (janda), anak jadi anak yatim, keluarga kehilangan tempat bergantung.

"Tapi hudud tak matikan orang, nak kerat (potong) tangan pun letak bermacam-macam syarat," katanya.

Ketua Kumpulan Curi Kereta 'Hassan Budu' DiBuru

Ketua sindiket curi kereta, Hasan Budu (gambar) bagaikan sudah ketagihan untuk terus melakukan jenayah walaupun baru dibebaskan dari Pusat Pemulihan Akhlak, Machang, Kelantan apabila dia disyaki masih terjebak dalam kegiatan jenayah.

Suspek yang sebelum ini mempunyai 15 rekod mencuri kenderaan dipercayai kembali aktif melakukan jenayah sama selepas dibebaskan dari tahanan pada April lalu apabila banyak kes curi kenderaan kini dipercayai didalangi Hasan Budu atau nama sebenarnya Samsul Bahri Awang Noh, 39.


Terengganu Hampir Pasti Dapat Khidmat Bekas Pemain All Blacks

Hasrat Terengganu mendapatkan khidmat bekas pemain All Blacks dari New Zealand membimbing pemain ragbi negeri itu mungkin menjadi kenyataan tidak lama lagi, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata dalam pertemuan antara wakil kerajaan negeri dan wakil Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia beberapa hari lepas, menunjukkan hasil positif dalam mewujudkan kerjasama tersebut.

Ibu, Anak Gajah Takutkan Penduduk Ditangkap

Dua ekor gajah yang sebelum ini menakutkan pekebun dan penoreh getah di beberapa buah kampung di kawasan Hulu Besut, berjaya ditangkap anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu.

Pengarah jabatan berkenaan, Yusof Shariff berkata, gajah dua beranak terdiri daripada ibu yang berumur 20 tahun dan anaknya, gajah jantan berumur lapan tahun, akan dipindahkan ke kawasan Sungai Ketiar, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu beberapa hari lagi.

Wednesday, July 25, 2012

Barisan Nasional Mengotakan Janji, Bukan Seperti Pembangkang Yang Pandai Menabur Janji....

Kita hairan dengan sikap pihak-pihak tertentu khususnya pembangkang yang mempertikaikan tema menyambut Hari Kemerdekaan ke 55 tahun ini iaitu ‘"55 Tahun Merdeka Janji Ditepati". Kenapakah mereka begitu takut dan bimbang dengan slogan berkenaan sedangkan kerajaan berjaya menunaikan hampir keseluruhan janji politiknya, selain kerajaan membuktikan sejak merdeka, janji-janji untuk mewujudkan negara yang harmoni dan membangun dengan kadar yang rancak sudah dikotakan. Ikuti analisis Hambali Abdul Latiff mengenai sikap PAS yang menolak slogan ‘Janji DiTepati’ sempena Hari Kebangsaan ke-55 tahun ini.

Sampel Makanan Di Bazaar Ramadan Diambil Untuk Pemeriksaan

Datuk Seri Ahmad Said melawat Bazaar Ramadan di Shahbandar Kuala Terengganu, Sabtu lalu.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mula mengambil sampel makanan yang dijual di 2,900 gerai bazar Ramadan di seluruh bandar ini bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.

Sampel yang diambil adalah secara rawak dengan tumpuan diberi kepada makanan yang berisiko terdedah kepada pencemaran bakteria, antaranya makanan yang perlu dikendali dengan tangan secara terus, makanan yang menggunakan santan atau makanan yang tidak perlu dimasak seperti kerabu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu Dr A Rahman Mokhtar berkata pengambilan sampel makanan itu juga dilakukan secara berjadual di peringkat daerah oleh kakitangan jabatan itu dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Bagi setiap daerah, kakitangan kami akan pergi ke setiap bazar Ramadan dan mengambil sampel makanan yang berisiko dicemari bakteria yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

"Sekiranya keputusan dari makmal mengesahkan sampel makanan yang diuji itu telah dicemari bakteria, tindakan tegas akan terus diambil termasuk menghentikan jualan di bazar Ramadan," katanya semalam.

Dr A Rahman turut menasihatkan orang ramai supaya membuat aduan kepada jabatan sekiranya mengalami keracunan makanan akibat memakan makanan yang dibeli di Bazar Ramadan supaya tindakan wajar boleh diambil terhadap peniaga terbabit.

"Sehingga kini, JKNT belum menerima laporan mengenai kes keracunan makanan dan berharap kes akibat kecuaian peniaga ini dapat diminimakan," katanya.

Sepanjang tahun lepas, tiada kes direkodkan oleh JKNT yang membabitkan aduan orang ramai mengenai keracunan makanan yang dibeli dari bazar Ramadan di seluruh negeri itu.

Bekalan Beras Mencukupi Menjelang Aidilfitri : Bernas


Padiberas Nasional Berhad (Bernas) berkata bekalan beras mencukupi sempena perayaan Aidilfitri dan tidak timbul isu kekurangan beras semasa musim perayaan ini.

Pengarah Urusan Bernas Datuk Bakry Hamzah berkata kebiasaannya permintaan beras kira-kira 3,000 hingga 4,000 tan metrik dan jumlah berkenaan telah digandakan pada musim perayaan ini pada kadar harga yang sama.

"Kita mempunyai lebih kurang 10,000 tan metrik beras di Semenanjung Malaysia, sebanyak 1,500 tan metrik di Sabah dan 1,800 tan metrik di Sarawak," kata beliau.


JKM Sedia Bantuan Geran Perniagaan Kecil-Kecilan

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sedang berusaha mengenalpasti individu penerima bantuan bulanan jabatan itu yang produktif untuk menerima bantuan Geran Pelancaran bagi menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Timbalan Pengarah 1, Hajah Che Mah Darus berkata, mereka yang masih produktif boleh membuat permohonan secara berkelompok atau individu bagi membuka perniagaan atau menceburkan diri dalam bidang pertanian secara komersial.

Azizulhasni - 'Saya Okey', Tumpu Sukan Olimpik


Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang memberi kelegaan apabila menegaskan kecederaan yang dialaminya di Koln, Jerman kelmarin tidak menjejaskan hasratnya untuk beraksi pada Sukan Olimpik London.

Dalam akaun laman sosial, Twitter Azizulhasni berkata, dia tidak apa-apa walaupun cedera pada tangan, paha dan bahu kanan akibat terjatuh dan tercucuk serpihan trek ketika menyertai perlumbaan kelmarin.

Azizulhasni yang mendapat jolokan The Pocketrocketman menegaskan tumpuannya adalah pada Sukan Olimpik yang akan membuka tirai secara rasmi Jumaat ini.


Jabatan Kesihatan Terengganu Lancar Sambutan Bulan Kemerdekaan

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan mengadakan pelbagai program bagi memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan ke-55 tahun ini.

Pengarahnya Dr Anwa Sulaiman berkata, antara program yang dirancang ialah mengadakan pertandingan keceriaan di semua jabatan kesihatan di negeri itu.

Terengganu Hantar 36 Pelajar Ke Jordan Tahun Ini

Seramai 36 pelajar akan dihantar ke Jordan tahun ini, bagi melanjutkan pelajaran di bidang perubatan dan pergigian di bawah tajaan Yayasan Terengganu (YT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Sumber Manusia negeri,  Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pelajar berkenaan akan ditempatkan di dua universiti di negara berkenaan iaitu Universiti Jordan dan Universiti Sains dan Teknologi Jordan.

Beasley Teruja Dengan Tindak Balas Adiq, Amir

Persediaan terakhir pelumba lebuh raya sebelum ke Sukan Olimpik 2012 London mendapat reaksi positif ketua jurulatih, John Beasley selepas Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Ruslia beraksi dalam satu perlumbaan di Ninove, Belgium Jumaat lalu.

Menurut Beasley, dia begitu teruja dengan tindak balas yang diberikan oleh kedua-dua pelumba tersebut dan berbangga dengan prestasi mereka dalam perlumbaan sejauh 169 kilometer dalam laluan yang penuh teknikal.

Akademi Sepak Takraw Terengganu Adakan Perlawanan Persahabatan di Vietnam

Akademi Sepaktakraw Terengganu (Pasta) akan mengadakan perlawanan persahabatan di Vietnam selama seminggu mulai 18 Okt ini.

Pengerusi Pasta, Dr Mohamad Omar berkata, lawatan itu adalah sebagai penghargaan kepada Pasta yang menjadi naib juara Kejohanan Sepak Takraw bawah 16 Tahun peringkat kebangsaan baru-baru ini.

OKU Kurang Ambil Kad Baru

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengadakan kempen meluas bagi menggalakkan kira-kira 21,000 pemegang kad orang kurang upaya (OKU) bertukar kepada kad OKU yang baru menjelang Ogos ini.

Timbalan Pengarah 1, JKM negeri, Che Mah Darus berkata, sempena Ramadan ini, risalah mengenai maklumat penukaran kad baru itu akan turut disebarkan melalui masjid-masjid di seluruh negeri.

Tuesday, July 24, 2012

Kes Saman Terhadap Syed Azman, Kedua-dua Pihak Perlu Kemuka Hujah 30 Julai

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengarahkan kedua-dua pihak dalam kes saman terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dari parti PAS memfailkan hujahan pada 30 Julai ini berhubung isu sama ada defendan kedua memfailkan saman itu dalam kapasiti peribadinya, atau sebagai Menteri Besar.

Hakim Datin Yeoh Wee Siam membuat keputusan itu dalam kamar selepas membenarkan bantahan awal Syed Azman dan tiga defendan lain bagi membatalkan kerajaan negeri Terengganu sebagai pihak dalam saman tersebut.

Ini kerana hakim itu akan memutuskan isu tersebut pada 28 Ogos ini. Pada 15 Dis tahun lepas, kerajaan negeri Terengganu dan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said, serta dua peniaga iaitu Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin, yang mendapat kontrak membekal uniform sekolah serta alat tulis, memfailkan saman terhadap keempat-empat defendan.

Selain Dr Syed Azman, mereka menamakan pemilik permit Harakah iaitu Datuk Mustafa Ali serta ketua pengarang akhbar itu Ahmad Lutfi Othman dan pencetaknya, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, sebagai defendan.

Sebelum itu Hakim Yeoh memutuskan kerajaan negeri Terengganu tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk meneruskan saman terhadap Dr Syed Azman dan tiga lagi berhubung sebuah artikel berkaitan pembelian uniform sekolah di negeri itu.

Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa Dr Syed Azman memfitnah mereka menerusi artikel bertajuk “Seleweng RM30 juta Bantuan Sekolah?” yang disiarkan Harakah dalam isu bertarikh 11 hingga 13 Nov 2011.

Mereka juga mendakwa artikel itu membawa maksud kerajaan negeri dan Menteri Besar tidak telus dalam pemberian kontrak di bawah program bantuan sekolah di Terengganu.

Sehubungan itu, mereka menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk serta ganti rugi teladan selain kos dan perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menyiarkan fitnah tersebut.

Peguam Syed Azman, Mohamed Hanipa Maidin memaklumkan kepada media semalam, hakim itu memutuskan bahawa kerajaan negeri Terengganu tidak mempunyai locus standi bagi meneruskan saman tersebut.

Bagaimanapun, keputusan oleh Hakim Yeoh semalam menyaksikan tiga lagi plaintif kekal dalam saman tersebut.

PAS Terengganu Pulau Tema Hari kebangsaan 'Janji Ditepati'


Pas Terengganu berkemungkinan tidak akan mengikut tema yang ditetapkan Kerajaan Pusat dalam program khusus Pas negeri jika pihak tersebut terus menggunakan tema 'Janji Ditepati' pada sambutan Hari Kebangsaan nanti.

Pengarah Penerangan Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata, tema tersebut dianggap sebagai kempen pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN) serta tidak sesuai digunakan pihak lain, khususnya di negeri Pakatan Rakyat (PR).

Sehubungan itu, Pas meminta agar menukar tema tersebut kepada yang lain kerana terlalu jelas memperlihatkan unsur politik yang tidak patut dicampuradukkan dengan sambutan hari bersejarah itu.

MB Turut Ke London, Sokongan Moral Buat Atlet


Ganjaran Kerajaan Terengganu kepada atlet negeri ini yang berjaya mewakili negara ke Sukan Olimpik London bukan hanya berbentuk insentif wang ringgit, malah turut disertai sokongan moral.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan bertolak ke London bagi memberi sokongan moral dan perangsang kepada tujuh atlet negeri ini yang bakal menggalas cabaran mewakili acara masing-masing di temasya berprestij dunia itu tidak lama lagi.

“Ada tujuh atlet kita akan bersaing dalam acara masing-masing di Olimpik, saya sendiri akan pergi ke sana sekejap untuk memberi semangat kepada atlet kita.

Sang Penyu Belum Pasti Guna Pemain Pinjaman Hadapi Piala Malaysia

Terengganu belum pasti menggunakan khidmat beberapa pemain pinjaman untuk menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan bermula selepas hari raya Aidilfitri nanti.

Menegaskan demikian, pengurus pasukan Datuk Che Mat Jusoh berkata ini kerana pemain-pemain pilihan yang menjadi rebutan di kalangan pasukan yang bertanding telahpun diambil oleh pasukan lain.

Menurut beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), skuad Penyu mungkin akan memberi perhatian sepenuhnya kepada pemain-pemain sedia ada kerana mereka juga merupakan pemain yang baik dan perlu diperkemaskan sahaja.


Polis Terengganu Tubuh Unit Ronda Berbasikal

Polis Terengganu akan menempatkan unit ronda berbasikal di pulau-pulau seluruh negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu tahun hadapan bagi mengurangkan kadar jenayah setempat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, berkata pihaknya akan meningkatkan rondaan di kawasan yang menjadi tumpuan ramai, khususnya pelancong.

"Sebelum ini anggota kita meronda di kawasan pulau itu dengan berjalan kaki bagi memantau keadaan sekitar namun dengan adanya rondaan berbasikal ini, ia dapat bergerak dengan lebih pantas," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Balai Polis Pulau Perhentian di Besut.

Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud Tawar Hadiah Keseluruhan RM250,000

Terengganu mahu mengembalikan semula kegemilangan Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) yang telah terhenti lebih 14 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, pihaknya telah bersetuju untuk menganjurkan semula acara tersebut pada 29 September ini yang dijangka disertai lebih 10,000 peserta dari dalam dan luar negara.

Katanya, larian sejauh 21 kilometer itu menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai keseluruhan sebanyak RM250,000 dengan pemenang tempat pertama meraih RM30,000.


Monday, July 23, 2012

Negara Islam - Pemimpin PAS, DAP Terus Bercakaran

"PAS perlu akur dengan Buku Jingga yang tidak memasukkan hudud sebagai satu agenda pemerintahan Malaysia dan manifesto dalam pilihan raya akan datang..." - Karpal Singh

Konflik perselisihan pendapat antara dua sekutu pembangkang iaitu PAS dan DAP mengenai isu negara Islam dilihat tidak berkesudahan apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh diminta menghormati dasar dan perjuangan PAS.

Sambil menegaskan bahawa PAS akan terus berjuang memartabatkan Islam, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebaliknya mahu Karpal 'tutup mulut' daripada memberi pandangan mengenai prinsip dan dasar parti itu.

Malah ahli politik veteran itu diminta melihat isu besar yang dipersetujui secara bersama dalam pakatan pembangkang demi matlamat politik masing-masing.

"PAS harap Karpal menghormati dasar dan perjuangan PAS yang sudah diketahui umum. Kita tidak akan sekali-kali berhenti daripada menegakkan Islam.

"Justeru Karpal seharusnya melihat perkara besar yang sudah dipersetujui dalam Pakatan Rakyat kerana itu adalah lebih utama," katanya kepada mStar Online di  Petaling Jaya, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Karpal yang meminta pemimpin PAS supaya tidak terus membangkitkan isu negara Islam yang boleh merencatkan kemaraan pakatan pembangkang ke Putrajaya.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, kepimpinan PAS perlu akur dengan Buku Jingga yang tidak memasukkan hudud sebagai satu agenda pemerintahan Malaysia dan manifesto dalam pilihan raya akan datang.

Sebelum ini Karpal menafikan dakwaan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi ketika berdebat dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO (ILMU), Fathul Bari Mat bahawa beliau pernah membuat kenyataan bersedia untuk mempertimbangkan dasar PAS mahukan sebuah negara Islam sekali gus bertegas tidak akan bersetuju dengan pelaksanaannya.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim mempertahankan kenyataan Nasrudin namun berharap ia tidak dijadikan polemik yang boleh merosakkan hubungan kedua-dua parti.

"Kita faham maksud dan situasi yang dibangkitkan Nasrudin ketika berdebat.

Beliau hanya ungkapkan kembali pandangan Karpal mengenai hudud...namun pada hari ini pandangan itu sudah berbeza.

"PAS harap ia tidak dijadikan polemik kerana banyak isu lain yang lebih besar perlu diberi perhatian jika pembangkang mahu menuju ke Putrajaya," katanya.

Ahmad Razif Saran Imarah Surau Sekolah Di Terengganu

Surau sekolah terutama sekolah harian di negeri ini disaran supaya mengadakan program pengimarahan terutama pada waktu solat Maghrib dan Isyak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata banyak manfaat sekiranya program seumpama itu dilaksanakan, antaranya ia dapat mengurangkan pelajar bermasalah dan gejala melepak pada waktu malam.

Menteri Besar, Isteri Berbuka Puasa, Solat Tarawikh Di Istana Maziah


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan To' Puan Seri Norliza Mahmud petang ini dijangka akan ke Majlis Berbuka Puasa bersama Sultan dan Sultanah Terengganu di Istana Maziah, Kuala Terengganu dan menunaikan solat sunat tarawikh.

Malam semalam, Menteri Besar menunaikan solat Isyak dan terawih bersama-sama orang ramai di masjid Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu.


Beliau meneruskan tradisi berkunjung dari masjid ke masjid di seluruh negeri ini bagi menunaikan solat terawih bersama-sama penduduk tempatan, sepanjang bulan Ramadan.

Jabatan Laut Catat 9 Kes Pencerobohan Di Taman Laut Terengganu

Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Terengganu mencatatkan sembilan kes pencerobohan nelayan di Taman Laut di negeri ini dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah JTLM Terengganu, Bahrinah Bahrim berkata, daripada jumlah itu, enam kes membabitkan pencerobohan Taman Laut di Pulau Perhentian manakala selebihnya di Pulau Redang.