Friday, December 7, 2012

Kedudukan Lebih Baik Malaysia Dalam Indeks Persepsi Rasuah Tingkat Keyakinan Pelabur

Imbas Kembali...Najib  pada majlis Pecah Tanah Loji Biometionina dan Tiokimia bersepadu di Taman Biopolimer Kerteh, Oktober lalu.
Kedudukan lebih baik yang dicapai Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun ini akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur terhadap Malaysia, di kalangan pelabur asing dan domestik, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

Beliau berkata penilaian dan kedudukan berkenaan sangat penting kepada Malaysia sebagai ekonomi membangun untuk menarik lebih banyak pelaburan dan meningkatkan pergerakan perdagangan untuk membangunkan negara.
 
"Pelabur-pelabur asing tidak akan berminat untuk melabur di negara-negara yang mempunyai rasuah pada tahap yang tinggi.

Oleh itu, kedudukan ini amat menggalakkan untuk Malaysia," kata beliau kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya.'

Menteri Besar, Ahmad Said melintasi backdrop perjanjian kerajaan negeri dengan Eastern Steel dari China pada majlis menandatangani perjanjian pelaburan syarikat China itu di Terengganu.
Mustapa berkata pujian terhadap pencapaian itu perlu diberikan kepada usaha-usaha berterusan kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membanteras rasuah di semua peringkat dalam sektor awam dan swasta.

"SPRM telah melakukan kerja yang hebat dan saya berpendapat dengan usaha berterusan mereka, kedudukan yang lebih baik boleh dicapai pada tahun-tahun akan datang," kata beliau.

Sementara itu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan terus memerangi rasuah dan memperbaiki kedudukannya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Perdana Menteri dalam mesej terbaharu Twitternya malam tadi berkata: "Malaysia meningkat enam tempat lagi dalam Indeks Persepsi Rasuah, menjadikan kita tempat ketiga dalam kalangan negara ASEAN.

"Kedudukan yang akan sentiasa kita perbaiki."

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Transparency International mengenai kedudukan Malaysia yang lebih baik dalam CPI tahun ini iaitu kedudukan ke-54 berbanding ke-60 tahun lalu.

Malaysia meraih 49 daripada 100 mata dalam kajian yang mengukur tahap rasuah dalam sektor awam daripada 176 negara. Malaysia menduduki tempat ketiga dalam kalangan negara ASEAN, iaitu di belakang Singapura (kelima dunia) dan Brunei di tempat ke-46 dunia.

Acu Pisau Pada Leher Ibu, Larikan Rantai Emas RM5,000

"Saya suruh dia mengucap berkali-kali dan mengingatkan yang saya ini mak dia, bagaimanapun dia hanya mendiamkan diri."

Demikian cerita seorang wanita, 58, yang berdepan detik mencemaskan apabila diacukan pisau di leher oleh anak kandungnya, dalam satu kejadian di Kampung Nibong, Jalan Panji Alam, di Kuala Terengganu, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, suspek, 34, yang juga anak kedua daripada empat beradik berjaya melarikan seutas rantai di leher mangsa bernilai kira-kira RM5,000 sebelum bertindak melarikan diri.

Kerajaan Negeri Perkara Sekolah Imtiaz - Ahmad Said

Pelajar Imtiaz Besut pada satu majlis membuktikan mereka bukan saha cemerlang di bidang akademik tetapi juga agama.
Kerajaan Terengganu akan memperkasa Sekolah-Sekolah Imtiaz di negeri ini kerana ia mampu menjana masyarakat yang mampu hafaz al-Quran serta cemerlang di bidang pelajaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata tahun ini 287 pelajar dari sekolah berkenaan mampu menghafal al-Quran dan mereka diberi RM1,000 seorang sebagai imbuhan.

“Bagi tujuan itu kerajaan negeri membelanjakan RM287,000 bagi memberi sagu hati sebagai dorongan kepada pelajar yang telah menghafal al-Quran,” katanya.


Separuh Akhir Piala Suzuki - 'Cepat Beli Tiket, Nanti Habis'

Mohd. Khyril Muhymeen Zambri mahu ledak gol Thailand jika diberikan peluang
Beli cepat sebelum kehabisan. Itu pesanan Pengerusi Jawatankuasa Tiket Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S Sivasundaram kepada penyokong skuad Harimau Malaya menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.

Sivasundaram berkata, tiket-tiket berharga RM40 dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah itu mula dijual di kaunter Stadium Nasional dan juga Stadium Shah Alam pada hari ini, dari jam 9 pagi hingga 7 petang.

Selama dua hari iaitu hari ini (Jumaat) dan esok (Sabtu), tiket akan dijual di dua lokasi iaitu Stadium Nasional dan Stadium Shah Alam.

Safee Sali tetap jadi taruhan Malaysia.

Piala Monsun - Pertembungan Bersejarah Dua Beranak

Datuk Peter Gilmour (kiri) menerima ucapan tahniah dari anaknya yang juga jurumudi pasukan Gilmour, David Gilmour
Perlumbaan ke-11 hari ketiga pusingan kelayakan Piala Monsun 2012 semalam mencatat sejarah tersendiri apabila Datuk Peter Gilmour bertembung anaknya, David, pada aksi di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.

Ini merupakan pertemuan perlumbaan kali pertama Peter, 52, daripada pasukan Yanmar Racing antara David, 21, daripada pasukan Team Gilmour dalam mana-mana perlumbaan berskala antarabangsa.

Pertembungan yang dilihat penuh nostalgia antara ayah dan anak dari Australia itu memperlihatkan pengalaman yang luas telah diaplikasikan jurumudi veteran itu untuk muncul juara dalam saingan itu.

Ahmad Said Minta Pemimpin, Ahli UMNO Hayati Amanat


Semua pemimpin dan ahli Umno diminta menghayati amanat Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang meminta mereka semua mengetepikan kepentingan diri, sebaliknya mengutamakan Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kerajaan sedia ada terus memerintah negara ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Ahmad Said, berkata ucapan Presiden sewaktu merasmikan dan menggulung Perhimpunan Agung parti itu minggu lalu amat jelas dan mesej beliau sudah mencukupi bagi semua pihak untuk memperkemaskan kedudukan parti.

“Saya yakin jika semua pihak menghayati intipati ucapan Presiden dan sedia untuk bersama-sama berganding tenaga pada pilihan raya akan datang, Umno dan BN akan mencapai kemenangan yang mutlak,” katanya.

Tasik Kenyir Tumpuan Pelancong Ketika Tengkujuh


Kehadiran pelancong ke Tasik Kenyir menunjukkan peningkatan ketara pada musim tengkujuh memandangkan pulau percutian lain di Terengganu ditutup kerana keadaan laut yang bergelora.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata setakat Ogos lepas, tasik buatan manusia itu mencatatkan kehadiran 269,863 pengunjung.

Dijangka sepanjang musim tengkujuh ini kehadiran pelancong akan meningkat 20 peratus berbanding bulan-bulan biasa, katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari Bertemu Pelanggan dan Promosi Masakan Ikan Air Tawar Pertubuhan Peladang Kawasan Manir/Belara, semalam.

Kerajaan Perlu Tegas Tangani Isu Berkaitan Penyelewengan Akidah

Kerajaan perlu bertindak lebih tegas dalam memantau aktiviti dan melakukan sekatan yang serius dalam beberapa isu berkaitan penyelewengan akidah yang semakin membimbangkan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ilmuan Malaysia (ILMU) Fathul Bari Mat Jahya berkata kerajaan juga perlu memperluas program-program ilmiah yang berteraskan kajian terperinci untuk menjelaskan mengenai isu berkenaan kepada masyarakat dan orang awam yang sukar memahaminya dengan mendalam.

"Kita lihat hari ini secara khususnya perkembangan ajaran sesat datang dari pelbagai sudut dan dari pelbagai perspektif.

Tabung Haji Sedia Benarkan Akaun Kedua EPF Tunai Haji?


Lembaga Tabung Haji bersedia mengkaji untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan akaun kedua bagi perbelanjaan penuh menunaikan ibadah haji.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail berkata bagaimanapun perkara itu perlu mendapat kelulusan KWSP.

"Sebelum ini, kerajaan telah membenarkan pencarum KWSP menggunakan sebahagian daripada akaun kedua iaitu berjumlah RM3,000 ringgit untuk tujuan menunaikan ibadah haji," katanya menerusi program 'Dalam Radar terbitan Bernama Radio24 di Kuala Lumpur, semalam.

PRU13 - Parti Politik Beri Maklum Balas Positif

Semua parti politik memberi maklum balas positif kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi mengendalikan pilihan raya umum ke-13 selepas beberapa sesi taklimat dan simulasi dijalankan di seluruh negara, menurut SPR hari ini.

Timbalan Setiausaha SPR Datuk Noordin Che Ngah berkata semua yang menyertai taklimat dan simulasi itu, sama ada parti komponen Barisan Nasional atau parti pembangkang, jelas dan faham tentang beberapa kekeliruan yang timbul sebelum ini.

"Sambutan yang diterima baik sekali setakat ini, dan apa yang penting, kami dapat jelaskan beberapa kekeliruan dalam kalangan pemimpin dan ahli bawahan parti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat dan simulasi kepada sekumpulan pemimpin dan ahli parti politik mengenai kekeliruan berkaitan langkah pembaharuan yang akan dilakukan SPR pada PRU-13 di Kuala Terengganu.

Peter Gilmour Layak Ke Suku Akhir Piala Monsun

Juara dunia empat kali Datuk Peter Gilmour berjaya menempah tiket ke suku akhir Piala Monsun 2012 iaitu sirkit terakhir Alpari World Match Racing Tour (AWMRT) di Pulau Duyong, di Kuala Terengganu, semalam.

Jurumudi veteran daripada pasukan Yanmar Racing meneruskan kecemerlangan apabila mengumpul tujuh mata daripada 10 perlumbaan yang dilalui setakat ini.

Bagaimanapun, juara dua kali Piala Monsun itu masih mempunyai baki satu perlumbaan menentang wakil wildcard negara, Jeremy Khoo dari pasukan KFC Malaysia/KRT untuk menamatkan jadual pusingan awal.

103 Pasukan Combi Di Terengganu Berjaya Kekang Demam Denggi Di Kawasan Wabak

Kewujudan 103 pasukan Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) di Terengganu bagi membanteras kes demam denggi berjaya mengekang penyakit itu daripada wabak.

Pengarah Kesihatan negeri Terengganu Dr Anwa Sulaiman berkata walaupun negeri ini mencatat peningkatan bilangan kes demam denggi sebanyak 700 kes sehingga 1 Dis berbanding hanya 617 kes tempoh sama tahun lepas, Combi telah memainkan peranan penting dalam pengawalan kes demam denggi.

"Saya sangat berpuas hati dengan peranan yang dimainkan oleh Combi yang bekerjasama dengan 40 panel penasihat di klinik kesihatan di seluruh negeri ini kerana berjaya mengatur pelbagai program dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya demam denggi.

Polis Tidak Galakkan Aktiviti Rekreasi Kerana Cuaca Tak Menentu

Polis tidak menggalakkan sebarang aktiviti rekreasi secara berkumpulan di Pulau Perhentian, mendaki Gunung Tebu dan mandi-manda di kawasan Air Terjun di daerah Besut kerana cuaca yang tidak menentu sekarang.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Zakaria berkata cuaca yang sukar diramalkan sekarang boleh mengundang perkara yang tidak diingini kepada pelawat sekiranya mereka mengadakan aktiviti rekreasi.

Katanya pelawat perlu berhati-hati dan berwaspada bagi mengelak kejadian atau malapetaka dengan mematuhi nasihat serta panduan daripada pihak berkuasa.

Pasukan Mykids Terengganu Layak Ke Suku Akhir Kejohanan Bola Sepak 12 Tahun

Pasukan MyKids Terengganu berjaya mengiringi CIMB YFA untuk mara ke saingan suku akhir Kejohanan Juara antara Juara Bola Sepak bawah 12 tahun 2012 selepas muncul naib juara Kumpulan B.

Turut melangkah ke suku akhir kejohanan, MyKids Perlis (juara kumpulan A), Sabah (naib juara kumpulan A), Kedah (juara kumpulan C) dan Negeri Sembilan (naib juara kumpulan C).

MyKids Terengganu juga merupakan tuan rumah sekadar berpuas hati di tangga kedua kumpulan setelah tewas tipis 0-1 ke atas CIMB YFA pada perlawanan ketiga selepas mencatatkan kemenangan berganda ketika menumbangkan Mykids Kuala Lumpur (3-0) dan First Touch Pahang (4-0).

Gilmour Umum Persaraan Daripada AWMRT

Jurumudi veteran Datuk Peter Gilmour daripada pasukan Yanmar Racing mengumumkan persaraan daripada Siri Jelajah Dunia Match Racing Alpari (AWMRT) selepas perlumbaan Piala Monsun 2012 berakhir Sabtu ini.

Pelayar kelahiran Australia itu, yang merupakan juara dunia Jelajah Dunia Match Racing (WMRT) sebanyak empat kali (1990, 1997, 1998, 2006) membuat pengumumam mengejut itu selepas menceburi dunia pelayaran selama 32 tahun pada sidang media harian Piala Monsun di Pulau Duyong.

Bomba Terengganu Mahu Anggota Dan Pegawai Amal Cara Hidup Sihat

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu (JBPNT) mahu semua pegawai dan anggotanya sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan dan mengamalkan cara hidup sihat.

Pengarahnya Md Salleh Sarbini berkata ini kerana seramai 102 daripada 686 anggota dan pegawai di negeri ini dikategorikan sebagai penghidap penyakit kronik seperti masalah jantung, darah tinggi, kencing manis, masalah buah pinggang dan sebagainya.

Thursday, December 6, 2012

Najib Ada Sebab Tersendiri Tidak Umum Tarikh Pilihan Raya - Dr M

"Kemungkinan Najib khuatir negeri dikuasai parti lawan tidak membubarkan dewan serentak dengan pusat seterusnya mengadakan pilihan raya berasingan...apabila tarikh PRU diumumkan terlalu dekat dengan tempohnya, negeri di bawah pembangkang terpaksa bubar dewan mereka sama dengan Kerajaan Pusat." - Dr Mahathir Mohamad

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai sebab tersendiri untuk tidak mengumumkan tarikh pilihan raya dalam waktu terdekat.

Menurutnya, antaranya kemungkinan Najib khuatir negeri dikuasai parti lawan tidak membubarkan dewan serentak dengan pusat seterusnya mengadakan pilihan raya berasingan.

 “Apabila tarikh PRU diumumkan terlalu dekat dengan tempohnya, negeri di bawah pembangkang terpaksa bubar dewan mereka sama dengan Kerajaan Pusat. “Justeru, pilihan raya akan diadakan bersama dan kemungkinan sebab itulah Najib tidak umumkan tarikh pilihan raya buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Bicara Tokoh dan Menteri Besar Pahang Bersama Pemimpin Koperasi Daerah Bentong di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong. Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pegawai Daerah Bentong, Datuk Toantowee Mohd Lotfie dan Ketua Sektor Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Mohamad Jaapar Muhayat.

Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir berkata, orang Melayu merupakan golongan majoriti negara ini kerana mewakili 60 peratus, namun berlaku perpecahan. Menurutnya, dahulu orang Melayu berpecah kepada dua sahaja iaitu Umno dan Pas, namun kini berpecah kepada tiga apabila wujud PKR.

“Kini orang Melayu jadi golongan minoriti kerana berpecah dan terpaksa bergantung kepada orang lain untuk menang. Jika Umno nak bergantung kepada Umno sahaja, kita tidak boleh menang menyebabkan perlunya bantuan daripada orang bukan Umno,” katanya.

Mahathir berkata, ahli Umno tidak boleh sombong dan perlu berdamping dengan rakyat untuk terus meraih sokongan pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, ahli Umno dinasihatkan tidak berpecah-belah dan menyokong sesiapa sahaja calon diketengahkan parti. “Yang nak menang adalah parti.

Jika Najib menang seorang pun, tidak boleh juga tubuhkan kerajaan.

“Justeru, ahli Umno perlu bersatu dan merapatkan barisan untuk mendapatkan dua per tiga kerusi dengan kerjasama parti komponen Barisan Nasional lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata, semangat ahli semasa Perhimpunan Agung Umno 2012 lalu ternyata cukup baik dan ia diharap dapat diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada parti supaya dapat menang pada pilihan raya akan datang.

Terengganu Iktiraf Agensi Terima Status 'Empat Bintang' Audit Negara


Kerajaan Terengganu akan memberi insentif masing-masing sebanyak RM20,000 kepada empat agensi di bawah kerajaan negeri yang menerima status 'empat bintang' daripada Jabatan Audit Negara atas kejayaan cemerlangan dalam pengurusan kewangan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata empat jabatan terbabit ialah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Pejabat Perbendaharaan Negeri dan Pejabat Tanah daerah Kemaman.

"Pengurusan kewangan jabatan-jabatan itu telah dinilai oleh Pejabat Audit Negara dengan memperoleh 90 markah ke atas yang merupakan pengurusan kewangan terbaik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kuala Terengganu, semalam.

BN Terengganu Kekal Dengan Senarai Calon Awal Tahun 2012

Ahmad Said - "Saya hanya kemuka nama, bergantunglah kepada kepimpinan tertinggi".

Barisan Nasional (BN) Terengganu telah menghantar senarai calonnya untuk pilihan raya umum ke-13 pada awal tahun ini dan tidak ada senarai baharu setakat ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Katanya senarai calon terbabit merupakan gabungan muka baru dan lama, terserah kepada pucuk pimpinan BN untuk membuat keputusan.

 "...saya hanya kemuka nama, berapa peratus muka baru atau lama itu bergantung dengan pimpinan tertinggi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco, di Kuala Terengganu, semalam.

Terengganu Warta 91,000 Hektar Hutan Simpan Kekal



Kerajaan negeri Terengganu bersetuju mewartakan kawasan seluas 91,000 hekar sebagai hutan simpan kekal.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata keputusan itu menjadikan saiz keluasan kawasan hutan simpan kekal Terengganu meningkat kepada 146,000 hektar.

"Hutan simpan kekal seluas 91,000 hektar itu meliputi Gunung Tebu di Besut serta kawasan hutan di Dungun dan Hulu Terengganu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco, di Kuala Terengganu.

37 Premis di Terengganu Masih Belum Memiliki FC

Sebanyak 37 daripada 108 premis di seluruh negeri ini masih gagal memperoleh Sijil Perakuan Bomba (FC) kerana belum memenuhi spesifikasi ditetapkan di bawah seksyen 27 Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu (JBPNT), Md Salleh Sarbini berkata jumlah itu melibatkan sebanyak 22 premis swasta dan 15 premis kerajaan.

Katanya daripada jumlah itu sebanyak 71 premis iaitu 59 premis swasta dan 12 premis kerajaan telah berjaya memperoleh sijil berkenaan.

YPU, Risda Jalin Kerjasama Lahir Usahawan

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bekerjasama untuk melahirkan usahawan berjaya dari kalangan pekebun kecil.

Ketua Pegawai Ekesekutif YPU, Azmi Razik berkata, melalui perjanjian persefahaman yang telah dimeterai dengan Risda baru-baru ini, YPU diberikan tanggungjawab untuk membimbing usahawan bimbingan Risda untuk diketengahkan.

“Usaha ini bagi merealisasikan hasrat Risda untuk melahirkan 10,000 pekebun kecil yang bergelar usahawan menjelang 2015,” katanya.

Malaysia Meningkat Ke Tangga 54 Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI)

 

Malaysia meningkat ke tangga 54 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tahun ini berbanding tangga ke-60 tahun lalu, menurut Presiden Transparensi Antarabangsa Malaysia (Ti-M), Datuk Paul Low.

Beliau berkata Malaysia mendapat 49 dari 100 mata pada survei yang menilai tahap penerimaan rasuah sektor awam di kalangan 176 negara.

Malaysia mencatat kedudukan di tangga ke-60 pada tahun lalu.

“Walaupun ia bertambah baik, kedudukan kita masih tidak berapa baik... Ada di antara perkara ini (skandal rasuah berprofil tinggi) menghalang kedudukan kita daripada meningkat.


Syed Azman Tetap Bertanding Di Batu Burok

Jika sebelum ini Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menunjukkan minat bertanding di Parlimen Kuala Terengganu, kini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pula berpendirian mahu bertanding sekali lagi di kawasan yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Pengakuan Syed Azman untuk bertanding di kerusi Dun Batu Burok bagaimanapun bukan dilihat sekadar minat, sebaliknya gambaran seolah-olah ia adalah arahan parti.

Enggan mengulas lanjut, Syed Azman hanya mengistilahkan kedudukan beliau untuk bertanding semula di kubu kuat Pas itu sebagai "strategi Pas."

2 Maut, 5 Parah Kemalangan Di Jalan Dungun-Bukit Besi


Dua wanita maut manakala lima orang termasuk seorang kanak-kanak yang dalam perjalanan untuk berkhatan cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 12.5, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Loji Air Petronas Jerangau semalam.

Kemalangan pada pukul 9 pagi berlaku apabila kereta Proton Wira dinaiki empat orang termasuk kanak-kanak yang mahu berkhatan, Tarmizi Ismail, 11, dirempuh sebuah kereta yang terbabas ketika keluarga tersebut dalam perjalanan dari Kampung Jerangau Sungai menghala ke bandar Dungun untuk berkhatan.

Pelajar Perempuan Mengaku Salah Mencuri Dalam Surau


Dua pelajar perempuan dari salah sebuah sekolah menengah di sini, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu , semalam mencuri beg galas milik seorang peniaga di dalam surau di sebuah pasar raya terkemuka di sini, 24 November lalu.

Bagaimanapun, disebabkan kedua-dua mereka baru berusia 13 dan 16 tahun, Majistret Abdul Hayyi Salim menetapkan 2 Januari tahun depan sebagai tarikh menjatuhkan hukuman, sementara menunggu laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Terengganu Yakin Jadi Juara Piala Emas Raja-Raja Tahun Ini


Terengganu yakin dapat merangkul kejuaraan bola sepak Piala Emas Raja-Raja 2012 buat kali kelima apabila menentang Kedah dalam perlawanan timbal balik separuh akhir pada 8 dan 15 Dis ini.

Keyakinan itu lebih terserlah apabila pasukan itu menumbangkan Pahang 5-0 pada perlawanan suku akhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu, kelmarin.

Pengurus pasukan Mohamad Sekanther Abdul Hamid memberitahu Bernama di Kuala Terengganu, semalam bahawa kemenangan besar ke atas Pahang itu telah meningkatkan semangat pemain untuk menghadapi Kedah.

1.5 Juta Belia Sertai 1Volunteer



Sasaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menggalakkan penglibatan belia menjadi sukarelawan mencapai matlamat apabila jumlah pendaftaran menerusi portal iVolunteer sudah mencecah 1.5 juta orang setakat awal bulan ini.

Timbalan Menterinya, Senator Gan Ping Sieu berkata, sasaran awal kementerian ialah sejuta sukarelawan dalam kalangan belia yang berusia 15 hingga 40 tahun.

"Ini satu perkembangan yang menggalakkan kerana KBS berjaya menghimpunkan sukarelawan yang berminat untuk memberikan khidmat mereka dalam pelbagai bidang.

Dr Hasan Bukan Lagi Ketua Pengarah Kesihatan

Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman yang diturunkan satu gred susulan kes khalwat bulan lalu, kini bukan lagi Ketua Pengarah Kesihatan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Mahmood Adam.

Menjawab status Dr Hasan yang menjadi tanda tanya, beliau berkata Mesyuarat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 26 November lalu memutuskan untuk menggantung kerja Dr Hasan sebagai ketua pengarah kesihatan berkuat kuasa 14 November lepas.

"Dr Hasan telah digantung kerja dan sejak itu beliau bukan lagi Ketua Pengarah Kesihatan. Namun, beliau masih seorang penjawat awam," katanya ketika dihubungi semalam.

Nyaris Maut Kereta Terjunam Dalam Sungai Di Gong Balai


Empat sahabat nyaris maut selepas kereta Perodua Viva dinaiki mereka dipercayai terbabas, lalu terjunam ke dalam sungai di Kilometer 41, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan, di Kampung Gong Balai, Marang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, pemandu kereta, Sharil Amri Muhammad Suhaimi, 25, bersama tiga penumpang, dikatakan dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu.

Difahamkan, kereta itu dipercayai dipandu laju menyebabkannya terbabas ke sebelah kiri jalan dan nyaris melanggar besi pengadang jambatan sebelum terjunam ke dalam sungai sedalam kira-kira 1.5 meter.

Jual Lukisan Bantu Rakyat Gaza

Lima pelukis sedang mengadakan pameran lukisan mereka di sebuah hotel di sini sejak dua bulan lalu bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Gaza.

Sebanyak 30 lukisan pelbagai tema dipamerkan termasuk yang menggambarkan kesengsaraan penduduk Palestin dan sehingga kini mereka berjaya mengumpul kira-kira RM15,000 dan RM1,000 telah disumbangkan untuk Gaza.

486 Bekas Banduan Ditempatkan Di Rumah Perantaraan - Lee Chee Leong

Seramai 486 penghuni telah ditempatkan di Rumah Perantaraan Jabatan Penjara, iaitu premis tempat tinggal sementara yang disediakan untuk bekas banduan yang baru dibebaskan setelah tamat menjalani hukuman penjara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong berkata daripada jumlah itu, seramai 51 orang masih berada di Rumah Perantaraan iaitu di Perak seramai 11 orang, Kelantan (10), Terengganu (8), Pulau Pinang (7), Melaka (4), Johor (2), Sabah (2) dan seorang masing-masing di Pahang dan Kedah.

Wednesday, December 5, 2012

Pelaburan Pulau Pinang Lembap, Terengganu Lebih Tinggi

 

"Jumlah pelaburan yang diluluskan sehingga Jun lepas hanya RM1.8 bilion dan angka itu jauh lebih rendah berbanding 2011 iaitu RM9.1 bilion...antara penyebab pelaburan di Pulau Pinang berkurangan ialah industri elektrik dan elektronik yang agak perlahan di peringkat global sekarang ini."
 - Datuk Muhkriz Tun Mahathir

Jumlah pelaburan di Pulau Pinang untuk enam bulan pertama tahun ini agak lembap dan menurun berbanding negeri-negeri lain.

Tahun ini, Pulau Pinang jatuh di tangga ke lapan selepas Selangor, Sabah, Sarawak, Johor, Terengganu, Kuala Lumpur dan Perak.

Kawasan perindustrian di Bayan Lepas yangmenjadi nadi pelaburan di Pulau Pinang.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Muhkriz Tun Mahathir. berkata terdapat beberapa faktor menyebabkan perkara itu berlaku.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), semalam.

Beliau berkata jumlah pelaburan yang diluluskan sehingga Jun lepas hanya RM1.8 bilion dan angka itu jauh lebih rendah berbanding 2011 iaitu RM9.1 bilion.

Beliau berkata antara penyebab pelaburan di Pulau Pinang berkurangan ialah industri elektrik dan elektronik yang agak perlahan di peringkat global sekarang ini.

"Bukan MIDA tidak mempromosikan Pulau Pinang kepada pelabur, tetapi kita tidak boleh memaksa mereka (pelabur) untuk pilih (negeri) lagipun kekuatan pelaburan di Pulau Pinang ialah industri elektrik dan elektronik dan bila di peringkat global industri itu sedikit lembap, sudah pasti akan memberi kesan.

Cuba Elak Polis, Lelaki Terjun Sungai Tinggalkan Isteri, Anak

Seorang lelaki sanggup meninggalkan isteri dan dua anak yang masih kecil di dalam kereta dipandunya, sebelum nekad terjun ke dalam sungai semata-mata ingin meloloskan diri daripada ditahan polis dalam satu kejadian di Kampung Teluk Pasu petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, lelaki berusia 28 tahun itu cuba mengelak daripada ditangkap setelah dikehendaki polis berhubung beberapa kes jenayah curi kereta di sekitar Pasar raya Giant dan Mydin Mall, di Kuala Terengganu.

Menurut sumber, semasa kejadian, suspek yang menaiki kereta jenis Perodua Viva diekori Unit Kereta Ronda MPV Balai Polis Chabang Tiga di sekitar Pasar Chabang Tiga.

T-Team Umum 26 Nama Pemain Liga Malaysia Musim 2013

Aksi Caleb Folan ketika mewakili Hull CIty...
T-Team semalam menyenaraikan nama 26 pemain termasuk dua pemain import untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rashid Jusoh berkata. pihaknya kini dalam proses membuat pendaftaran pemain dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan ditutup esok.

"Bagi musim baru ini, rata-rata pemain tempatan kita berumur bawah 25 tahun kecuali ketua pasukan, Mohd Marzuki Yusof yang akan masuk usia 32 tahun depan.

"Kita membuat pemilihan pemain yang tepat kerana matlamat kita ialah untuk mencapai sekurang-kurangnya sasaran satu piala dapat dibawa pulang tahun depan," katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra pemain dengan peminat semalam.

Pelayar Perancis , Virgin Islands Ungguli Sesi Kelayakan Piala Monsun 2012

Kapal layar pasukan US One yang dikemudikan oleh Taylor Canfield (tengah) berjaya memenangi dua perlumbaan saingan Round Robin dalam kejohanan Piala Monson 2012 yang bermula Selasa, di Pulau Duyong.
Pierre Antoine Morvan dari pasukan Vannes Angglo Sailing Team dan Taylor Canfield (US One) melakar kejutan, mendahului sesi kelayakan Siri Jelajah Dunia Alpari (AWMRT) yang berlangsung di Pulau Duyong, di Kuala Terengganu, semalam.

Bagaimanapun, ketiadaan angin semasa perlumbaan menyaksikan hanya dua daripada empat 'flight' sempat dilangsungkan pada sesi kelayakan hari pertama itu.

Domino's Pizza Akan Berkembang Ke Terengganu 2013

 
Domino's Pizza Malaysia mahu menubuhkan cawangan pizza di negeri yang belum mempunyai kehadirannya sekarang menjelang akhir 2014, kata presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Ba U Shan-Ting semalam.

Beliau berkata cawangan itu akan dibuka di Pahang, Kelantan dan Terengganu tahun depan sementara terdapat rancangan untuk memasuki Sabah dan Sarawak pada 2015.

"Kami berhasrat untuk membuka 30 cawangan baharu tahun depan. Separuh daripada pembukaan itu adalah di tiga negeri tersebut.

Kad Laporan Untuk Pembayar Zakat Di Setiap Negeri


Usahawan Cendol Durian, Muhamad Burhan Salikon bersama isterinya Marlina Sakroni gembira bersama hadiah dan Anugerah Zakat Kebangsaan 2012 bagi kategori Asnaf Usahawan yang diterimanya pada sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2012 anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, semalam.
Semua majlis dan jabatan agama Islam negeri disaran mengeluarkan kad laporan agihan zakat kepada pembayar zakat, sebagai galakan kepada mereka untuk terus berzakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, amnya, menjelang hujung tahun antara 80 hingga 90 peratus daripada kutipan zakat telah diagih kepada golongan asnaf.

Baki dalam 20 peratus itu akan dibawa ke tahun depan, terutama untuk agihan pada Januari dan Februari kerana pada bulan itu jumlah kutipan zakat agak berkurangan, katanya selepas melancarkan sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2012, di Putrajaya semalam.