Saturday, May 11, 2013

PAS Bantah Perhimpunan - Minta Anwar, Pembangkang Terima Keputusan PRU13

Sohaimi minta pemimimpin pembangkang akur keputusan PRu13 pada sidang media semalam.
Dewan Ulama PAS tidak menyokong tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan untuk membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang memihak kepada Barisan Nasional (BN).


Sebaliknya ketuanya, Datuk Harun Taib meminta semua pemimpin pakatan pembangkang menerima keputusan rakyat Ahad lalu dengan hati terbuka.

Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor, Datuk Sohaimi Shahadan juga meminta pakatan pembangkang menerima hakikat bahawa rakyat telah memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara buat tempoh lima tahun lagi.

Katanya, tindakan pembangkang mengadakan perhimpunan haram bagi membantah keputusan PRU-13 di Kelana Jaya baru-baru ini tidak membawa sebarang erti. Ini kerana, katanya, sekalipun 100,000 orang menghadiri perhimpunan itu, ia tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk menyatakan bahawa 28 juta rakyat Malaysia menyokong mereka.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menerima hakikat bahawa tiga negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor masih lagi diperintah pembangkang.

"Justeru, mereka perlulah menerima hakikat berkenaan dan tidak mengheret rakyat dalam perjuangan politik bersifat peribadi oleh pemimpin pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya pada sidang akhbar semalam.

Beliau berkata demikian bagi mewakili 33 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara yang menyuarakan sokongan terhadap BN.

Antara NGO yang hadir pada sidang akhbar berkenaan ialah Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Persatuan Kontraktor Malaysia dan Persatuan Kebajikan Sosial Masyarakat Bestari Daerah Gombak.

Sohaimi berkata, pakatan pembangkang juga perlu berhenti memfitnah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana pihak berkenaan telah pun menjalankan tugas dengan baik sepanjang PRU-13 berlangsung pada Ahad lalu.

Azmin Pertikai Wan Azizah Putuskan Calon MB Tanpa Bincang


Pada ketika pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR)berbalah sesama sendiri meengai jawatan Menteri Besar Selangr, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengesahkan bahawa pihak Istana Selangor telah menerima senarai calon Menteri Besar yang dikemukakan oleh pucuk pimpinan PKR kelmarin.

 Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai kandungan surat senarai calon berkenaan kerana dokumen tersebut adalah sulit.

"Pihak istana sudah menerimanya (kelmarin) dan kita tunggulah proses selanjutnya nanti tentang pengumuman bakal Menteri Besar Selangor," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Shah Alam semalam.

Jangan Pinggirkan Golongan Kelas Menengah Melayu - Penganalisis Politik

Sebahagian besar penjawat awam adalaah kelas menengaah Melayu
Dalam Umno menyambut ulang tahun penubuhannya ke-67 pada Sabtu, kebetulan selepas pilihan raya umum ke-13 Ahad lepas, parti itu perlu mengorak langkah baharu bagi memastikan ia terus relevan.

Antara langkah baharu itu, aspirasi dan kehendak golongan kelas menengah Melayu perlu diberi perhatian bagi memenangi hati mereka, kata penganalisis politik.

Ketua Kluster Politik Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak hari ini berkata Umno perlu menyediakan kerangka yang lebih inklusif untuk kelompok tersebut.

"Umno memang dekat dengan masyarakat di luar bandar dan Umno masih mempertahankan kerusi di luar bandar tetapi golongan menengah Melayu yang semakin ramai tidak harus dipinggirkan oleh Umno. 

 "Golongan kelas menengah ini semakin hari semakin besar serta aspirasi dan jangkaan mereka sangat berbeza dengan masyarakat luar bandar dan lain-lain yang bukan kelompok kelas menengah. Aspirasi mereka tak sama dengan aspirasi masyarakat luar bandar," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Umno mesti mempunyai pakej yang menarik untuk kelompok itu dan golongan muda dengan pendekatan untuk mendekati generasi Y itu perlu ditingkatkan lagi.

"Jika tidak berjaya, maka proses peremajaan Umno akan tergendala dan terjejas. Sebab itu, dua kelompok ini sangat penting, Gen Y di bawah kelompok 40 tahun dan kelompok kelas menengah Melayu," katanya.

Dr Mohamed berkata Umno juga tidak boleh meninggalkan sebarang usaha untuk mendekati masyarakat Cina supaya Umno tidak dilihat sebagai parti yang tidak mesra dengan kaum itu. "Umno harus cari jalan dalam menjaga keharmonian kaum di negara ini," katanya.

Katanya selagi Umno menjaga orang Melayu, golongan Bumiputra di Sabah dan Sarawak, agama Islam dan terus melaksanakan keadilan dalam negara serta mengelak daripada rasuah atau sebagai parti yang tidak bersih, Umno akan terus mendapat sokongan.

"Jangan terpalit dengan imej rasuah, atau hanya jaga orang kaya sahaja atau sebuah parti hanya untuk kelompok Melayu tertentu sahaja.

"Umno mesti mengambil sikap dan pendekatan yang inklusif dengan menjaga kepentingan orang Melayu, agama, raja dan adil kepada semua rakyat Malaysia, Umno akan terus dihargai," katanya.

Ahmad Said Dan Exco Terengganu Angkat Sumpah Hari Ini?


Datuk Seri Ahmad Said dijangka mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua di Istana Maziah, di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut sumber daripada Jabatan Penerangan Terengganu, istiadat di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang dijadual pukul 9.15 pagi itu akan turut disertai angkat sumpah jawatan barisan exco negeri.

Perhimpunan - Polis Akan Panggil Semua Yang Berkenaan - Ismail Omar

Ismail melawat Supt Ghazali di Kuala Terengganu, semalam.
Polis akan memanggil semua yang berkenaan termasuk pemimpin parti politik bagi memberi keterangan berhubung perhimpunan haram di Stadium MBPJ di Kelana Jaya, Selangor, Rabu lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata siasatan dijalankan kerana perhimpunan itu diadakan tanpa kebenaran selain unsur-unsur lain yang menyalahi undang-undang.

"Siasatan sedang dijalankan dan tunggulah, kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.


Jais Siasat 14 Lagi Bekas Pengikut Arqam

Seramai 14 individu termasuk seorang bayi perempuan ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semaalam, untuk disiasat berhubung ajaran Al-Arqam.

Pengarah Jais Datuk Marzuki Hussin berkata individu terbabit yang merupakan antara 35 rakyat Malaysia yang diusir kerajaan Arab Saudi, tiba pada tengah hari tadi dari Jeddah.

Enam Pemain Hoki Kebangsaan Tetap Bersama Terengganu

Mohd Fitri ketika mewakili Terengganu...
Enam pemain kebangsaan yang mewakili Terengganu dalam kejohanan Liga Hoki Kebangsaan tahun ini akan tetap bersama pasukan itu tahun depan.

Setiausaha Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) Sabri Salleh berkata perkara itu disuarakan keenam-enam pemain berkenaan sebaik Terengganu tersingkirdaripada kejohanan itu musim ini.

"Pemain-pemain ini masih lagi dengan Terengganu dan mereka InsyaAllah akan bersama kita lagi pada musim depan," katanya semalam.

 Enam pemain berkenaan ialah Mohd Sharun Nabil, Mohd Fitri Saari, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Azlan Masron dan Jiwa Mohan.

Terengganu yang pertama kali menyertai kejohanan itu tahun ini, disingkirkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di peringkat suku akhir.

Beliau berkata khidmat pemain kebangsaan itu diperlukan Terengganu untuk menghadapi kejohanan hoki Piala Razak yang dijadual selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Terengganu adalah juara kejohanan itu tahun lepas. Terengganu akan membuat persiapan membentuk pasukan Piala Razak mulai minggu depan, katanya.

Supt Ghazali Bersyukur Anak Sudah Stabil

Dua anak pegawai polis yang terbabit kemalangan ngeri ketika mengikut bapa mereka pulang mengundi 30 April lepas kini semakin stabil dan telah dikeluarkan daripada unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di Kuala Terengganu.

Supt Ghazali Daud berkata perkara itu dimaklumkan kakaknya yang menjaga Nur Aliah Afifah, 7 dan Nur Aliah Atikah, 6 di hospital berkenaan.

Kakak juga maklumkan Atikah sudah sedar petang kelmarin  serta tidak lagi bergantung kepada tiub pernafasan, katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTS), di Kuala Ternggaanu, semalam.

Bebas Tuduhan Bunuh Pembantu Kedai di Paya Keladi, Februari 2012


Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, kelmarin membebaskan dan melepaskan seorang lelaki atas tuduhan membunuh seorang pembantu kedai di sebuah kedai tekstil di bangunan komersial Paya Keladi, Jalan Kampung Daik, di sini, 1 Februari tahun lalu.

 Bagaimanapun, Hakim Mohd Yazid Mustafa mengarahkan tertuduh, Albert a/k Majang, 24, yang berasal dari Kampung Melikin, Serian, Sarawak, dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru, sehingga mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu.

“Mahkamah mendapati tertuduh didapati bersalah membunuh mangsa, bagaimanapun semasa kejadian, tertuduh didapati dalam keadaan tidak waras dan tidak tahu serta tidak memahami kesan akibat kesalahannya itu telah menyalahi undang-undang.

5,000 Pegawai, Atlet Sertai Sukma Tahun Ini - Zolkples



Kira-kira 5,000 pegawai dan atlet bakal menyertai edisi ke-16 Sukan Malaysia (Sukma) di sekitar Lembah Klang dari 28 Jun hingga 7 Julai ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong berkata sebanyak 14 negeri telah mengesahkan penyertaan mereka selepas tarikh tutup pendaftaran kontinjen pada 30 April lalu.

"Kami gembira kerana beberapa acara sukan baharu seperti Muay Thai, woodball dan bola sepak pantai yang diperkenalkan pada Sukma kali ini mendapat respons positif selepas sekurang-kurangnya lima kontinjen negeri berminat untuk menyertai acara sukan ini," katanya.

Janda Mengaku Curi Dua Ekor Lembu Betina


Seorang janda enam anak begitu selamba mengaku bersalah mencuri dua ekor lembu betina di Mahkamah Majistret, di Kuala Terenggan, kelmarin.

Susulan pengakuan bersalahnya itu, Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Che Wan Norsharinawati Che Wan Abdullah, 30, dari Kampung Paya Balai, Dungun.

Che Wan Norsharinawati mengaku bersalah bersama-sama dengan tiga lagi rakan lelakinya iaitu Saadon Atan 49; Zamri Ismail @ Yunus, 46; dan Azhari Bidin, 32, mencuri dua ekor lembu betina di kandang lembu di belakang rumah di Jalan Pusara,, antara jam 6 petang pada 23 Januari sehingga jam 4 pagi pada 24 Januari lalu.

Papagomo, King Jason Masih Ditahan Reman


Pemilik blog kontroversi Papagomo dan King Jason masih ditahan reman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata kedua-dua pemilik blog itu akan terus kekal dibawah pengawasan polis sehingga siasatan selesai.


16 Pasukan Sertai Kejohanan Hoku MSST Bawah 18 Tahun

Sebanyak 16 pasukan termasuk lapan pasukan wanita mengambil bahagian pada Kejohanan Hoki Bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu (MSST) bermula di Kuala Terengganu, bermula semalam.

Setiausaha Persatuan Hoki Negeri Terengganu, Sabri Salleh berkata kejohanan tiga hari itu akan diadakan di Kompleks Sukan Gong Badak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin.

Beliau berkata kejohanan itu bertujuan memilih 18 pemain lelaki dan 18 pemain wanita untuk mewakili MSST pada Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Melaka dari 3 hingga 8 Jun ini.

Friday, May 10, 2013

PM Mahu Umno Terengganu Bersatu, Beri Khidmat Terbaik Kepada Rakyat


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Umno Terengganu memperkukuh kesatuan dan memberi khidmat terbaik kepada rakyat selepas Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan penguasaan di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 Ahad lepas.

Nasihat itu antara yang ditekan Najib, yang juga Presiden Umno, dalam pertemuan hampir dua jam dengan kesemua 17 wakil rakyat Umno Terengganu di ibu pejabat parti berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra malam semalam.

"Perdana Menteri minta kita bersatu dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat agar di masa akan datang, kita dapat merebut kembali kerusi yang kita kalah," kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said kepada pemberita selepas pertemuan itu.

BN Terengganu mengekalkan penguasaan di negeri itu dengan majoriti mudah apabila memenangi 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Ditanya sama ada isu pelantikan menteri besar turut disentuh pada pertemuan itu, Ahmad berkata perkara itu tidak dibincang.

Bagaimanapun, Ahmad yang dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua berkata majlis angkat sumpah jawatan itu akan diadakan bersama pelantikan Exco dalam masa dua atau tiga hari lagi.

Difahamkan, pada pertemuan itu, semua wakil rakyat turut menyatakan ikrar taat setia kepada pucuk pimpinan di depan Najib.

Pemimpin, Duta Ucap Tahniah Kepada Najib, Puji Proses PRU13 Aman, Demokratik


Kalangan pemimpin dan duta asing mengucapkan tahniah atas kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan memuji proses pilihan raya umum yang menurut mereka diadakan secara demokratik.

Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad, yang mengucapkan tahniah kepada Najib, berkata kemenangan itu dicapai di bawah kepimpinan cemerlang beliau.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Najib atas pelantikan semula sebagai Perdana Menteri Malaysia dan menurut Presiden Iran itu, senario itu dapat diterjemahkan sebagai sokongan padu terhadap dasar-dasar Barisan Nasional.

Sultan Ada Kuasa Tentukan Menteri Besar

Sultan Selangor (kanan) mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Menteri Besar baharu daripada calon-calon yang memenangi pilihan raya di Selangor. - Gambar hiasan
Sultan mempunyai kuasa budi bicara mutlak dalam menentukan pelantikan individu yang layak menjadi Menteri Besar di sesebuah negeri.

Pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang memberitahu, Sultan mempunyai kuasa mutlak dalam dua perkara dan boleh membuat keputusan tanpa perlu nasihat iaitu yang pertama dalam hal pemilihan Menteri Besar dan kedua, soal pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Dalam membuat keputusan menyentuh kedua-dua perkara itu, Sultan tidak perlu bertindak atas nasihat sesiapa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohamed Hassan kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Ahmad Said Dilantik Semula Menteri Besar Terengganu


Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilantik semula sebagai Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua. Ahmad, 56, berkata beliau telah menerima surat pelantikan itu semalam yang telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Saya telahpun menghadap tuanku sebentar tadi, saya telah menerima surat pelantikan dengan persetujuan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) iaitu presiden parti (Umno dan pengerusi BN) yang melantik saya sebagai Menteri Besar dan tuanku telah perkenankannya.

Gerakan Tidak Akan Ikut Langkah MCA Tolak Semua Jawatan


Parti Gerakan tidak akan mengikut langkah MCA yang menolak semua jawatan dalam kerajaan serta menutup pusat khidmat berikutan prestasi teruk dalam pilihan raya umum lepas, kata Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn.

Ini, katanya, kerana parti itu percaya kepada dasar dan ideologi yang dibawa Barisan Nasional (BN). "Hanya kerana anda kalah teruk, tidak bermakna anda terus saja menolak jawatan.

PPNT Melabur RM1 Juta Untuk Projek Tanaman Vitato


Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) dijangka melabur lebih RM1 juta untuk mengusahakan projek tanaman ubi vitato di atas tanah seluas 33.5 hektar secara berperingkat-peringkat di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ru Tapai, Setiu.

Pengurus Besarnya, Sawalludin Ahmad berkata PPNT akan memulakan projek itu bulan depan dengan membangunkan dahulu tanah seluas 10 hektar yang membabitkan modal RM300,000.

28 Pemimpin Pakatan Akan Dipanggil Berhubung Himpunan 8 Mei


Polis akan menanggil 28 pemimpin pembangkang berhubung ceramah berunsur hasutan berkaitan dengan perhimpunan Pakatan Rakyat di Stadium Kelana Jaya pada malam Rabu.

Ketua Polis Selangor, Timbalan Komisioner (DCP), Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata 28 individu berkenaan didapati menyampaikan ceramah berbaur hasutan yang bertentangan dengan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dalam perhimpunan berkenaan.

Mohd Rashid Hasnon dilantik TKM 1 Baru P Pinang


Abdul Malik
ADUN Pantai Jerejak, Mohd Rashid Hasnon telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM) Pulau Pinang. Rashid menggantikan bekas TKM I, Datuk Mansor Othman yang juga pengerusi PKR negeri, yang bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Nibong Tebal dalam pilihan raya umum Ahad lalu.

Rashid adalah seorang ahli lama PKR sejak zaman reformasi dan penglibatannya sebelum ini dalam Jemaah Islaah Malaysia akan membantu kerajaan yang diterajui DAP menangkis tentangan dari NGO yang pro-Umno, yang cenderung mengkritik kepimpinan kerana kurang perwakilan Melayu atau Islam.

Naib Presiden MCA Desak Pemilihan Parti Diadakan Segera


Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu mahu kepimpinan parti itu mempercepatkan proses pemilihan parti berikutan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Ahad lepas.

Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berkata pemilihan parti yang segera boleh membendung pertikaian dalaman dan perpecahan dalam kalangan anggota parti.

Thursday, May 9, 2013

Ahmad Said Kekal MB Terengganu Penggal Kedua


Datuk Seri Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua selepas mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ahmad Said, 56, menghadap Sultan Terengganu di Istana Badariah pada pukul 4.25 petang, selepas mendapat surat pelantikan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebelum itu.

Majlis angkat sumpah jawatan akan diadakan serentak dengan majlis angkat sumpah exco kerajaan negeri dalam tempoh beberapa hari lagi.

Najib Lantik Berperingkat, Calon MB Tidak Lama Lagi - Ahmad Said


Terengganu bakal mengetahui calon menteri besarnya selepas pada majlis penerimaan watikah pelantikan dalam tempoh terdekat, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad Said yang dipetik di laman Facebooknya berkata, Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan pelantikan secara berperingkat untuk ketua menteri dan menteri besar di negeri-negeri yang dimenangi parti komponen itu.

Menurutnya, masih ada beberapa negeri yang belum dilantik ketua menteri dan menteri besar untuk penggal yang baru ini.

"Memandangkan isu perlantikkan Menteri Besar Terengganu kini menjadi topik hangat, saya mengambil kesempatan untuk menjelaskan kedudukan perkara ini.

"Bagi negeri Terengganu saya difahamkan Perdana Menteri selaku Presiden Umno akan mengeluarkan surat watikah dalam masa terdekat dan saya meminta agar semua rakyat negeri ini bersabar," katanya, semalam.

Beliau menambah, kelewatan ini turut berpunca daripada kesibukan Najib dalam menguruskan pelantikan menteri besar dan ketua menteri di negeri yang dikuasai BN.

Sebelum ini sejak 6 Mei lalu, beberapa negeri yang dikuasai telah diberikan watikah pelantikan menteri besar.

Dalam pada itu, Ahmad Said  juga menyeru kepada semua pihak menghentikan segala spekulasi dan khabar angin. Katanya, rakyat Terengganu perlu bersatu hati dan berpadu tenaga demi kesejahteraan negeri Terengganu itu.

Anwar Anjur Perhimpunan Bantah Keputusan PRU13 K Seluruh Negara


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan jelajah ke seluruh negara untuk membuktikan bahawa rakyat masih menyokong pakatan itu.

Sebagai permulaan, ujar Anwar, Sabtu ini beliau akan bersama-sama pimpinan tertinggi PR ke Pulau Pinang untuk menunjukkan pertarungan sengit antara rakyat dengan keraajan yang korup.

"Saya menggalakkan semua warga Pulau Pinang Sabtu ini untuk berpakaian hitam. Kami akan pastikan dan buktikan tidak kurang daripada 30 kerusi Parlimen yang dirampas BN, dalam siri jelajah ini," katanya ketika berucap di Stadium Kelana Jaya, malam tadi.

Sokongan Masyarakat India Terhadap BN Naik 60 Peratus Pada PRU13


Sokongan masyarakat India terhadap Barisan Nasional (BN) meningkat kira-kira 60 peratus pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini, kata Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam semalam.

Beliau berkata, perkara itu menyumbang kepada kemampuan BN untuk membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan di banyak negeri.

SPR Bidas Pihak Enggan Terima Kekalahan Dalam PRU

Ribuan orang ramai hadir pada perhimpunan Pakatan Rakyat yang berlangsung di Stadium Kelana Jaya, malam semalam.
Sebarang bantahan terbuka atau perhimpunan tidak mampu mengubah keputusan pilihan raya umum atau mengakibatkan ia diadakan semula, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata sebaliknya calon atau mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) boleh memohon semakan supaya pilihan raya diadakan semula dengan mengemukakan petisyen selepas pewartaan keputusan oleh SPR, mengikut undang-undang.

"Selepas diwartakan dalam tempoh 21, mereka boleh buat petisyen, itu yang betul dan kalau bukti-bukti itu jelas serta lengkap dan pihak hakim mengakui wujudnya perlakuan rasuah, penipuan atau menyalahi undang-undang, maka mungkin Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan akan memutuskan bahawa keputusan pilihan raya itu tidak sah.

Polis Terengganu Buka 53 Kertas Siasatan Berkaitan PRU13


Polis Terengganu membuka sebanyak 53 kertas berhubung pelbagai kesalahan sepanjang proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di negeri ini sejak hari penamaan calon, 20 April lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa, berkata kesemua kes yang disiasat adalah berkaitan kes khianat, keganasan penyokong parti, edaran bahan lucah, merusuh serta mengadakan ceramah tanpa permit. Katanya, tujuh individu yang ditahan, masing-masing dua di Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan seorang di Besut dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman.

BN, Mukhriz Ajak Rakyat Berdoa Agar Azizan Segera Sembuh

Yang  di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berangkat menziarahi bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam.
 Barisan Nasional (BN) semalam mengajak rakyat Malaysia berdoa agar bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang segera sembuh.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak kemudian menyiarkan semula kenyataan daripada akaun Twitter rasmi BN itu di Twitter beliau.

Azizan, 69, yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah dimasukkan ke hospital itu selepas dikatakan mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) sejak Isnin lepas.

Enam Bahagian MCA Pulau Pinang Desak Soi Lek Lepas Jawatan

Setiausaha MCA Bahagian Bayan Baru, David Yim (kanan) bersama kepimpinan MCA Pulau Pinang mengadakan sidang akhbar menggesa Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meletakkan jawatan sebagai presiden parti selepas sambutan dingin masyarakat Cina terhadap parti MCA pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 di Pejabat MCA Cawangan Jelutong di Georgetown.
Enam bahagian MCA di Pulau Pinang mendesak Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek melepaskan jawatannya serta merta berikutan kekalahan teruk parti terbabit pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Enam bahagian berkenaan ialah Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Bayan Bayu, Bukit Bendera, Jelutong dan Tanjong.

Tempoh 21 Hari Untuk Fail Petisyen Selepas Keputusan PRU Diwarta - Jabatan Peguam Negara


Pihak yang mempertikai keputusan pilihan raya umum ke-13 boleh memfail petisyen dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan, menurut Jabatan Peguam Negara semalam.

Timbalan Peguam Cara Negara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata, Mahkamah Tinggi kemudian perlu menyelesaikan perbicaraan dalam tempoh enam bulan dari tarikh petisyen difailkan manakala rayuan di Mahkamah Persekutan juga harus diselesai dalam tempoh yang sama.

Bendera Parti Hendaklah Diturunkan Dalam Tempoh 14 Hari

Parti-parti politik yang bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) diingatkan supaya menanggalkan segala bendera atau poster parti masing-masing.

Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Samiun Salleh berkata semua parti terlibat hendaklah menurunkan bendera atau poster dalam tempoh 14 hari selepas pilihan raya.

'Orang Pandai Baru' Mudah Dipengaruhi Pembangkang

Kumpulan pengundi muda berusia bawah 25 tahun yang digelar 'orang pandai baru' terutama lepasan universiti dikenal pasti golongan paling kuat menentang dasar kerajaan dan menyokong pembangkang.

Walaupun jumlah mereka tidak ramai, sikap suka menonjolkan diri dan lantang, membuatkan kumpulan itu kelihatan dominan terutama di kawasan bandar berbanding pengundi muda prokerajaan yang banyak mendiamkan diri atau ‘majoriti senyap’.

“ Orang muda bersikap idealistik, mudah terpukau dengan alam fantasi (manifesto) dilukis pembangkang,” Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara.

Wednesday, May 8, 2013

Menteri Besar - Kerana Merajuk Ahmad Said Bawa ADUN Lompat Parti?

  
"Kepaduan itu ditunjukkan melalui adanya bekas ’10 Budak Hitam’ yang terus terpilih bertanding selain ‘bekas Exco dan ADUN’ turun padang bagi menjamin kemenangan calon Barisan Nasional pada PRU13 baru-baru ini. Kalau ada ‘cah keting’ atau boikot daripada mereka, Terengganu kini sudahpun menjadi negeri pembangkang dan PAS kembali berkuasa di negeri ini."
 
Sambungan semalam 

Macam-macam ramalan dan firasat kini berlaku di Terengganu.

Malah ada yang bersifat fitnah yang sengaja mahu memburukkan keadaan dan mempersoalkan kesetiaan  Datuk Seri Ahmad Said.

Ia gara-gara lambatnya perlantikan Menteri Besar – sama ada mengekalkan yang ada sekarang  atau orang baru.

Seperti disebut sebelum ini, isu Ahmad Said sebagai Menteri Besar tidak akan terhenti hanya kerana beliau bertanding semula selepas ‘tok nujum politik’ mengatakan beliau akan disekat bertanding di DUN Kijal.


Kini hanya dua negeri yang dikuasai Barisan Nasional – kebetulan kedua-duanya negeri Pantai Timur – iaitu Pahang dan Terengganu sahaja belum ada majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar.
 
Pahang dijangka diadakan akan mengadakan majlis itu esok di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan. Bagi Terengganu pula, sehingga ini belum ada kedengaran apa-apa berita daripada pihak istana dan yang ada adalah pelbagai khabar angin.

Bila sebut khabar angin, ia sesuatu yang tidak dapat disahkan dan daripada sumber mana tidak pula diketahui.

Yang pasti Ahmad Said kini setia masih menunggu sama ada beliau akan dikekalkan atau beliau akan digugurkan.


Seperti berlaku di Pahang, apabila nama Menteri Besar belum diumumkan, spekulasi siapa bakal dilantik ke jawatan itu kini mula diperkatakan.

Kononnya punca perlantikan ditangguhkan adalah keputusan BN merosot di Pahang yang turut dialami oleh Terengganu.

Seperti Ahmad Said yang memimpin BN di Terengganu, BN Pahang dipimpin oleh Datuk Seri Adnan Yaakob berjaya mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum ke-13, Ahad lepas.

Di Pahang, Barisan Nasional berjaya memenangi 30 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Jumlah itu bagaimanapun merosot berbanding pilihan raya umum 2008, apabila BN Pahang menang 37 kerusi, sebelum calon Bebas Tanah Rata menyertai BN, menjadikannya 38.


Bagaimanapun beberapa pemerhati politik, berkata beberapa nama disebut-sebut berkemungkinan bakal dilantik sebagai Menteri Besar Pahang yang baharu.

Antaranya Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menang di DUN Peramu Jaya dengan majoriti besar 7,627 undi. Turut disebut ialah Timbalan Pengerusi Umno Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsudin (DUN Lanchang) dan Datuk Shahiruddin Ab Moin (DUN Dong) yang juga pengerusi GiatMara.

Di Terengganu, pada PRU 2008, yang ketika itu, ‘panglima BN” ialah Datuk Seri Idris Jusoh, jumlah kerusi dimenangi Barisan Nasional ialah 26 (termasuk 1 MCA) dan PAS 8 kerusi.

Namun kali ini, Barisan Nasional  mendapat 17 kerusi (MCA kalah di DUN Bandar) dan kerusi Parlimen turut merosot kepada 4 kerusi di mana sebelum ini ia memiliki 6 kerusi.

Antara khabar angin di Terengganu yang disebarkan melalui sms dan media baru termasuk:


 1. Ahmad Said mengancam akan ‘melompat ke PAS dengan membawa seorang penyokong kuatnya’;

2. Istana tidak berkenan untuk menyambung jawatan Menteri Besar kepada Ahmad Said;

3. Datuk Seri Mohd Najib Razak mahu calon lain menjawat Menteri Besar, dan 

4. Pelantikan MENTERI BESAR baru akan memberikan nafas baru kepada pembangunan Terengganu yang dikatakan terlalu bergantung kepada sumber alam.

Berkaitan kemungkinan Ahmad Said mengancam, rasanya perkara seperti itu sengaja dibuat untuk mengeruhkan keadaan.

Ahmad Said sedar sekiranya melakukan demikian ia adalah sabotaj terhadap parti dan BN yang tidak mungkin beliau lakukan kerana Ahmad Said setia kepada UMNO.

Dia sering mengingatkan rakyat dan penjawat awam supaya jangan menghianati perjuangan kerana jika melakukannya, kita adalah orang yang paling HINA!

Kerana itu dengan meyebarkan sms dan menyebarkan berita Ahmad Said akan membawa bersamanya seorang ADUN adalah TIDAK BENAR SAMA SEKALI!

Ada juga mengatakan pihak istana tidak senang dengan Ahmad Said sekarang. Dulupun Ahmad Said dilantik kerana TIADA CALON LAIN yang layak.

Kini dengan sekurang-kurangnya dua Ketua Bahagian UMNO lain – Hulu Terengganu dan Setiu – sudah menang di kerusi DUN, pilihan semakin banyak.

Malah dikatakan dah ada ‘penyokong’ dua ADUN berkenaan cuba melobi agar bos mereka menjadi Menteri Besar.

Ini juga rasanya hanya spekulasi sahaja! Soal Najib mahu Menteri Besar baru, ini sukar untuk diulas kerana ia adaah hati kecil Perdana Menteri itu sendiri.

Persoalannya, apakah Najib berani mengambil risiko sedangkan beliau sendiri sedang berdepan dengan masalah menempatkan dirinya di situasi yang kukuh akibat Barisan Nasional tidak mampu mencapai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.


Risiko Najib lebih bahaya dalam parti daripada pilihan raya kerana penyokong UMNO akan menjamin negara ditadbir oleh Barisan Nasional tetapi tidak semestinya Najib menjadi Perdana Menteri.

Silap perkiraan Najib, dia akan menerima padah daripada bahagian-bahagian UMNO khususnya di Terengganu!

Mengenai perlantikan Menteri Besar baru akan memberikan nafas baru kepada pembangunan, ini sesuatu yang subjektif.

Persoalannya, apakah Ahmad Said mentadbir secara ‘persendirian’ tanpa dokongan Exconya? Atau mereka hanya ‘Pak Turut’ dan mengia serta melaksanakan sahaja apa juga keputusan Menteri Besar?

Jadi, jika hanya berasaskan keputusan pilihan raya untuk perlantikan semula Menteri Besar di Terengganu, persoalannya, apakah ada AKU JANJI dibuat bahawa kalau sekiranya majoriti merosot, jawatan MENTERI BESAR akan ditarik balik?

Jika tidak, bermakna ada perkiraan dan penelitian lain dibuat oleh pucuk pimpinan parti khususnya Najib kerana melengah-lengahkan perlantikan semula ini.

Najib memerlukan sebab-sebab yang kukuh untuk dipersembahkan kepada Sultan Terengganu untuk mendapatkan perkenannya bagi tujuan perlantikan semula Ahmad Said sebagai Menteri Besar atau menukarnya dengan orang baru. 

Namun risiko terhadap Najib dan UMNO tetap ada sekiranya menggugurkan Ahmad Said – bukan kerana Ahmad Said akan melompat parti – tetapi sokongan ahli UMNO dan Bahagian kepada Menteri besar itu tetap utuh, apalagi selepas terbukti UMNO Terengganu kini padu.

Kepaduan itu ditunjukkan melalui adanya bekas ’10 Budak Hitam’ yang terus terpilih bertanding selain ‘bekas Exco dan ADUN’ turun padang bagi menjamin kemenangan calon Barisan Nasional pada PRU13 baru-baru ini.

Kalau ada ‘cah keting’ atau boikot daripada mereka, Terengganu kini sudahpun menjadi negeri pembangkang dan PAS kembali berkuasa di negeri ini. Namun UMNO dan Barisan Nasional terus kekal berkuasa dan membuktikan Ahmad Said bekerja keras mempertahankan kuasa Barisan Nasional di negeri ini.

Mahu dikatakan merosot sokongan terhadap Barisan Nasional?

Negeri lain juga menghadapi masalah yang sama. Najib sendiri gagal mencipta majoriti dua pertiga pada pilihan raya pertama untuk dirinya mendapatkan mandat rakyat bagi mengesahkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri keenam sejak 2009 yang lalu.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO dan Barisan Nasional!

Najiblah Perdana Menteri pertama yang gagal mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, sedangkan Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya melakukannya pada pilihan raya umum 1982 dan Tun Abdullah Ahmad Badawi melakukannya dengan cemerlang pada pilihan raya umum 2004!!!

Bekas MB Kedah Kritikal di CCU Hospital Pulau Pinang


Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dilaporkan kritikal di Wad Rawatan Rapi (CCU) Hospital Pulau Pinang (HPP) berikutan komplikasi diabetes.

Azizan dilaporkan berada dalam keadaan koma, namun masih menunjukkan tanda-tanda positif ketika dirawat.

Bekas Setiausaha Akhbar Azizan, Mohamad Helmy Khalid ketika dihubungi mengesahkan laporan, namun tidak mengetahui secara terperinci keadaan bekas menteri besar itu.

Ahli keluarga dan rakan-rakan Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memenuhi pintu masuk Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Pulau Pinang (HPP)