Friday, May 24, 2013

Kementerian Perlu Bendung, Siasat Guru Guna Laman Sosial Fitnah Kerajaan


"Saya dapat laporan terdapat guru-guru yang mempertikaikan keputusan PRU13 berhubung dakwat kekal, menyatakan ada 'black-out', bawa lari peti undi, bawa masuk pengundi Bangladesh dengan kapal terbang dan sebagainya yang semuanya itu adalah fitnah semata-mata."
- Datuk Seri Ahmad Said

Kementerian Pelajaran diminta menyiasat kegiatan guru yang menggunakan laman sosial Facebook, Twiter dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memfitnah kerajaan semasa kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata sebagai seorang pendidik, guru yang cenderung untuk berpolitik tidak seharusnya menyebarkan fitnah dengan memburukkan kerajaan.

"Saya rasa kesal kerana ada guru-guru yang menggunakan Facebook, twiter, SMS dan sebagainya mengeluarkan fitnah dengan memutarbelitkan kepada sesuatu yang tidak benar.

"Seterusnya saya dapat laporan terdapat guru-guru yang mempertikaikan keputusan PRU13 berhubung dakwat kekal, menyatakan ada 'black-out', bawa lari peti undi, bawa masuk pengundi Bangladesh dengan kapal terbang dan sebagainya yang semuanya itu adalah fitnah semata-mata," katanya.

Beliau menyatakannya  kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Kemaman di Chukai, semalam.

Ahmad Said berkata seorang guru yang berfikiran sedemikian memberi gambaran bahawa golongan pendidik di negara ini belum matang dan mereka seharusnya membuat penilaian terhadap sesuatu berita yang terima atau hendak disampaikan.

Dalam perkembangan lain Ahmad berkata, sebuah sekolah menengah yang baharu akan diwujudkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang dijangka mampu memberi kemudahan kepada penduduk terutamanya pelajar di beberapa kampung di sekitarnya.

Katanya sehingga ini, tapak sekolah berkenaan telah dikenal pasti dan permohonan untuk pembinaannya telah dihantar ke Kementerian Pelajaran.

Beliau berkata, sehingga ini DUN Kijal hanya mempunyai tiga sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal, SMK Seri Bandi dan SMK Bukit Kuang.

 Ahmad turut menjelaskan sebuah sekolah Imtiaz yang baharu akan beroperasi di Kemaman mulai tahun hadapan yang kini dalam proses pembinaan.

Katanya, dengan wujudnya sekolah Imtiaz di bawah kerajaan negeri itu, ia menjadikan keseluruhan lima buah sekolah seumpamanya di Terengganu.

"Selepas ini kita akan bina sekolah Imtiaz di Setiu, Marang dan Kuala Nerus sebagaimana yang kita janjikan dalam manifesto, sebuah sekolah Imtiaz di setiap daerah di Terengganu," katanya.

Pada majlis itu, seorang pesara guru Abdul Jalil Abdul Hamid, 62, telah dinobatkan sebagai tokoh guru 2013 bagi daerah Kemaman.

Kes Herald - Enam Majlis Agama Islam Terengganu, Negeri, MACMA Dibenar Mencelah


Enam Majlis Agama Islam Negeri dan sebuah persatuan dibenar menjadi pencelah dalam pertikaian berkaitan penggunaan kalimah 'Allah' oleh majalah mingguan Katolik, The Herald.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin membuat keputusan itu selepas peguam Mubashir Mansor, yang mewakili Majlis Agama Islam Terengganu memaklumkan semua pihak terbabit mencapai persetujuan bagi membenarkan tujuh organisasi menjadi pencelah dalam prosiding rayuan berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah'.

Peguam Porres Royan, yang mewakili pihak gereja, mengesahkan perkara itu.

 Organisasi berkenaan adalah Majlis Agama Islam Terengganu, Majlis Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Kedah, Majlis Agama Islam Melaka, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Johor dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).



Pengarah Tabung Haji Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Khalwat

Rozimin Ahamed Kamil,46, dibawa lari dari Mahkamah Rendah Syariah Barat Daya Balik Pulau selepas tidak mengaku bersalah atas pertuduhan berkhalwat .
Pengarah Tabung Haji Pulau Pinang Rozimin Ahamed Kamil dan seorang staf wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di Balik Pulau, semalam,  atas tuduhan berkhalwat.

Rozimin, 46, dan Nor Hamiza Ahmad, 35, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik bernombor 328C di sebuah hotel di Kompleks Tabung Haji di Bayan Lepas pada kira-kira 6.10 petang, 20 Mei lepas.

Rozimin dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nor Hamiza mengikut Seksyen 27 (b) enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Nor Hamiza dibawa keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Barat Daya selepas tidak mengaku salah berkhalwat dengan Rozimin Ahamed.

Program Rampai Budaya Muzium Terengganu Dijangka Tarik Ramai Pengunjung



Program Rampai Budaya anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) kali ini dijangka mampu menarik lebih 4,000 pengunjung pada musim cuti persekolahan.

Program yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik itu akan bemula pada 26 Mei hingga 6 Jun dari pukul 9 pagi hingga 4 petang setiap hari.

Produk Halal Cetus Fenomena Pengeluaran Pelbagai Produk Di Seluruh Dunia

Pensijilan halal serta kesedaran pengguna di negara ini dan penduduk dunia mencetus fenomena, menyebabkan banyak syarikat berlumba untuk mengisytiharkan produk dan perkhidmatan mereka halal dan bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan dan Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi Negeri Roslee Daud berkata permintaan produk halal yang semakin meningkat dengan penyebaran maklumat lebih meluas, mewujudkan masyarakat Terengganu yang peka serta berpengetahuan luas berkaitan status sesuatu produk yang ditawarkan.

Persatuan Pelancongan Terengganu Saran Pasar Payang Tidak Diroboh


Kerajaan negeri Terengganu disaran mempertimbang semula rancangan merobohkan Pasar Besar Kedai Payang untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah hotel.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu Wan Supian Wan Ishak berkata ini kerana Pasar Besar Kedai Payang merupakan bangunan ikon dan warisan negeri.

"Kalau kerajaan negeri roboh bangunan itu, bermakna hilanglah sebuah bangunan warisan. Kerajaan tidak perlu roboh Pasar Payang.

90 Pemain Tempatan Sertai Kejohanan Golf Piala Sultan Terengganu

Seramai 90 pemain tempatan akan mengambil bahagian pada edisi ke-13 Kejohanan Golf Piala Sultan Terengganu di Kelab Golf Rekreasi Petronas di Kerteh, Kemaman, bermula hari ini.

Presiden Persatuan Golf Terengganu (PGT) Ahmad Zubir Azhari berkata pemain berkenaan mewakili 10 buah kelab golf di Terengganu yang bernaung di bawah PGT.

Juara kejohanan dua hari itu akan menerima hadiah wang tunai RM4,000 diikuti naib johan (RM3,000) dan RM2,000 untuk pemenang tempat ketiga, katanya, semalam.

BN, Pakatan Kaji Fail Petisyen PRU-13


Barisan Nasional (BN) dan parti pakatan pembangkang, masing-masing sedang mengkaji rancangan untuk memfail petisyen atau bantahan berhubung keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu. 

Mereka mempunyai tempoh 21 hari untuk berbuat demikian mulai hari ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mewartakan keputusan rasmi PRU-13 semalam.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, panel peguam parti sedang meneliti perkara terbabit. "Kami sedang melihat kesemua kawasan yang kita menang dan kalah tipis," katanya semalam.

133,000 MyKad Hilang Dalam Tempoh Tiga Bulan - Ahmad Zahid


Kehilangan 133,000 MyKad dalam tempoh tiga bulan iaitu dari Januari hingga Mac tahun ini menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menyifatkan jumlah itu agak tinggi, Ahmad Zahid berkata kehilangan MyKad, walaupun tidak disengajakan, menyebabkan ia boleh diguna untuk tujuan jenayah.

"Apa yang membimbangkan kami ialah jika kehilangan itu mempunyai kaitan dengan sindiket. Kami khuatir MyKad ini diguna untuk pelbagai tujuan terutama jenayah," katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya, semalam.

Thursday, May 23, 2013

JKR Perlu Siasat Semua Masjid Gunakan Reka Bentuk, Bahan Sama Dengan Masjid Binjai Kertas



“Jika hendak kira ini bukan zaman saya, tetapi saya kena terima kesan daripada runtuhan masjid, runtuhan stesen bas, runtuhan stadium dan sebagainya...Saya  kecewa dengan beberapa siri runtuhan sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2008.. JKR perlu memantau semua projek pembinaan dengan mengikut prosedur terperinci bagi mengelak kejadian sama berulang."
- Datuk Seri Ahmad Said


Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiasat segera semua masjid yang menggunakan reka bentuk sama dengan Masjid Binjai Kertas di Hulu Terengganu yang runtuh malam Isnin lepas.

Katanya, kajian perlu dilakukan bagi memastikan sama ada runtuhan berpunca daripada kesilapan reka bentuk atau pembekal yang menyediakan bahan yang kurang bermutu.


Sambil menyifatkan kejadian seumpama itu boleh dielak, beliau mahu JKR melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci terhadap beberapa lagi masjid yang menggunakan reka bentuk sama di negeri itu bagi memastikan ia selamat digunakan.

"Reka bentuk masjid Kampung Binjai Kertas yang dibina dengan kos RM1.7 juta itu turut dijadikan model reka bentuk membabitkan beberapa masjid di tempat lain," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco pertama penggal ini, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.


Bercakap kepada pemberita, Menteri Besar itu berkata kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku jika JKR melakukan pemantauan ketat terhadap sesebuah projek.

Dalam kejadian itu, 12 jemaah masjid yang masih berada di masjid itu selepas menunaikan solat Isyak nyaris maut setelah bumbung hadapan masjid berkeluasan 30 x 30 kaki persegi itu runtuh

Ahmad Said yang kecewa dengan beberapa siri runtuhan sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada tahun 2008 itu mahu JKR memantau semua projek pembinaan dengan mengikut prosedur terperinci bagi mengelak kejadian sama berulang.

 "JKR perlu menyiasat sama ada kejadian itu berpunca akibat kegagalan reka bentuk masjid ataupun penggunaan material bahan pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan...siasatan terhadap pembekal, kontraktor dan pihak yang bertanggungjawab juga perlu dilakukan dengan rapi.

"Saya juga mahu masjid itu diperbaiki sebelum Ramadan ini demi keselesaan penduduk menjalani ibadah mereka sepanjang bulan mulia itu," katanya.

Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri sedang menunggu siasatan Unit Forensik JKR berhubung insiden itu, sama ada berpunca dari reka bentuk bangunan tidak selamat atau pembekalan bahan pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

“Pada hari ini, kita sudah memanggil Pengarah JKR untuk memberi taklimat mengenai runtuhan Masjid Kampung Binjai Kertas yang merupakan masjid kedua (runtuh) selepas Masjid Batu Putih (Kemasek, Kemaman) suatu masa dulu.

“Kita sudah mengarahkan pihak JKR menyiasat masjid yang mempunyai design yang sama, sama ada kerana design yang silap ataupun pembekal yang menyediakan bahan pembinaan ini melakukan kesilapan dan sebagainya kerana kita tahu bahawa beberapa bangunan dan masjid yang dibina menggunakan pembekal yang sama, iaitu pembekal kekuda, Ajiya STI Sdn Bhd, Puchong Selangor, nama pemasang kekudanya, syarikat Bestweld Steel Sdn Bhd, Puchong, Selangor dan jenis kemasan bumbungnya, `double interlocking clay roofing’, Syarikat Golden Clay Industries Sdn Bhd, Yong Peng Johor ,” katanya.

JKR juga diminta mengkaji secara terperinci terhadap masjid yang mempunyai reka bentuk serupa dengan masjid Binjai Kertas berkenaan, sama ada kesilapan reka bentuk atau penggunaan bahan binaan yang tidak mengikut spesifikasi sebenar.

Menurutnya, pembekal kekuda, Ajiyata STI dikatakan turut pernah berdepan dengan tindakan penggantungan selepas 2008, sementara masjid berkenaan pula dibina sepanjang 2007 hingga 2008, sebelum beliau menjadi Menteri Besar.

“Jika hendak kira ini bukan zaman saya, tetapi saya kena terima kesan daripada runtuhan masjid, runtuhan stesen bas, runtuhan stadium dan sebagainya.

Tetapi kita harap supaya semua bangunan yang menggunakan struktur yang sama supaya disiasat kerana kita takut selepas ini ada lagi berlaku runtuhan dan sebagainya walaupun perkara itu sudah dalam perjanjian jaminan 10 tahun pada kepada material digunakan ini.

“Tetapi tidak tahulah, bila runtuhan ini berlaku kontrakktor akan cuba cari jalanlah untuk lepaskan diri, walaupun dalam syarat 10 tahun jaminan dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga mengakui sering menegur dan meminta pihak JKR supaya memantau setiap projek pembangunan lebih kerap dan rapi bagi mengelak kejadian yang sama berulang dan bukannya ke tapak pembinaan hanya untuk menyerahkan projek dan menerima projek yang siap dari syarikat pemaju.

“Kita sudah beritahu (JKR) berulang kali perkara yang sama, JKR ini bawah kuasa JKR Persekutuan sepatutnya tindakan diambillah. Runtuhan pula sering berlaku di Terengganu, itu yang saya pelik.

Atau masa itu (pembinaan) menggunakan dana khas, duit banyak, mudah buat dan cincai sahaja. “Saya menjadi mangsa kerana berlaku di masa saya, sedangkan benda ini dibuat (sebelum ini) sejarah pembuatan ketika itu, duit banyak dan masing-masing mahu projek banyak, nak cepat semua sekali dan ketika itulah tidak ikut spesifikasi dan mungkin JKR ketika itu mengatakan projek terlalu banyak , tidak sempat periksa dan inilah beban yang terpaksa kita kena pikul,” katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama di masjid itu pagi semalam mendapati beberapa kakitangan dari Unit Forensik JKR Kuala Lumpur datang untuk menyiasat punca kejadian di masjid kampung berkenaan.

Teganukita & Bernama

Merusuh PRU12 - Kekal Penjara 6 Bulan Untuk Penyokong Pas

Penyokong Pas yang dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, selepas rayuan ditolak, hukuman 6 bulan penjara dikekalkan kerana didapati bersalah merusuh di Rusila, Marang, PRU12 lalu.
Mahkamah Tinggi, di Kuala Terengganu, kelmarin, menolak rayuan dan mengekalkan hukuman enam bulan penjara ke atas lima penyokong parti Pas yang didapati bersalah melakukan rusuhan pada Pilihan raya Umum ke 12 (PRU12), lima tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, di Kuala Terengganu, sebelum ini adalah bertepatan dengan kesalahan dilakukan oleh Ibrahim Ali; Ahmad Saharmi Mohd Nor; Ismail Muhamad; Muhammad Imaluddin Alis dan Md Hinuddin Din.

Kit Siang - Demonstrasi Bukan Cara DAP Guling Kerajaan


Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyelar tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa parti itu berniat mengguling kerajaan menerusi demonstrasi jalanan. Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah menolak tuduhan itu yang disifatkan demonstrasi bukan cara DAP.

“Kami (DAP) tidak akan melakukan perkara yang membuang masa seperti ini. DAP sudah 47 tahun ditubuhkan dan telah melalui 10 pilihan raya umum negara.

Adam Adli Mengaku Tidak Bersalah Tuduhan Hasutan

Adam Adli Abdul Halim (tengah) diiringi dua anggota polis ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi ini. Beliau menghadapi tuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada 13 Mei lalu.
Aktivis siswa Adam Adli Abdul Halim mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan melalui satu ucapan pada 13 Mei lalu.

Anak muda berusia 24 tahun itu mengaku tidak bersalah apabila tuduhan berkenaan dibacakan ke atasnya di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Norsharidah Awang.

Beliau didakwa mengeluarkan kata-kata hasutan yang berkecenderungan untuk membangkitkan rakyat untuk menukar kerajaan dengan cara yang tidak mengikut undang-undang.

Sosilawati - Patmanabhan & Tiga Bekas Pekerja Ladang Dihukum Gantung Sampai Mati

Bekas peguam, N Pathmanabhan bersama pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan dan R. Matan dibawa keluar oleh anggota polis selepas keputusan pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Peguam N Pathmanabhan dan tiga bekas pekerja ladang dihukum gantung sampai mati selepas disabitkan oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam, pagi ini, dengan kesalahan membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, hampir tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan semua bukti dan bahan bukti yang dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 Julai 2011.

Katanya, pendakwaan berjaya membuktikan kes berkenaan melangkaui kerugian munasabah manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Anggota polis membawa (dari kiri) R Matan, T Thilaiyalagan dan N Pathmanabhan bagi mendengar keputusan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Pertukaran 10 Pegawai Tadbir Terengganu Berkuatkuasa 1 Jun

Kerajaan negeri semalam mengumumkan pertukaran 10 orang pegawai tadbir negeri yang berkuat kuasa 1 Jun ini melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan (SUK), Datuk Mazlan Ngah di Kuala Terengganu, petang semalam.

Rombakan kecil itu melibatkan Datuk Mohd. Yasim Awang yang kini sebagai Timbalan Pegawai Kewangan negeri ditukarkan ke jawatan baharu sebagai Timbalan SUK (Pengurusan). Mohd. Yasim akan mengisi kekosongan jawatan setelah penyandangnya, Datuk Wan Ahamad Wan Mudag ditukarkan ke Terengganu Incorporated..

Pengarah Bajet Perbendaharaan negeri, Mohd. Shukri Azam menggantikan tempat Mohd. Yasim.

Harun - "Kita Terima Keputusan PRU13 Dengan Hati Terbuka"


Pas tetap dengan pendiriannya menolak sebarang cubaan menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan seperti didakwa cuba dilakukan sesetengah pihak.

Ketua Dewan Ulamanya, Datuk Harun Taib berkata, Pas juga tidak masuk campur dengan pendirian pemimpin atau penyokong PR yang menyokong cara sedemikian.

Dalam Pas, kita utamakan jalan perdamaian. Kita juga berpegang kepada prinsip demokrasi yang diamalkan.

 “Saya tak melarang perhimpunan dilakukan, namun saya tidak berminat untuk menyertainya. Jika ada pemimpin PR atau pihak lain yang tetap mahu melakukannya, terserah kepada mereka. Itu pendirian mereka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Majlis Angkat Sumpah ADUN 16 Jun


Majlis mengangkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu dan pelantikan Speaker DUN akan diadakan pada 16 Jun, di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, perasmian penggal baharu sidang DUN ke-13 pula akan disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 17 Jun.

"Sesi perbahasan akan berlansung sehingga 19 Jun berserta sesi penggulungan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman semalam.

SPR - Kalau Tidak Puas Hati, Inilah Masanya

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya yang diamalkan perlu diubah dengan menggunakan pendekatan undang-undang bukan "turun ke jalan raya".

Timbalan Suruhanjaya SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, Malaysia mengamalkan sistem "Westminster" di dalam pilihan raya di mana kemenangan sesuatu kuasa berdasarkan majoriti kerusi Parlimen dan Dun yang dipertandingkan.

Menurutnya, undi popular tidak diambil kira di Malaysia untuk menyumbangkan kepada kemenangan pilihan raya lalu membentuk kerajaan.

Lawatan Obama Bukti Malaysia Negara Strategik


Kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama ke Malaysia pada Oktober ini membuktikan Malaysia adalah negara yang mempunyai kepentingan strategik di rantau ini, kata Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Noharuddin Nordin.

Beliau berkata, hubungan antara Malaysia dan AS sentiasa strategik memandangkan ia adalah penyumbang utama kepada pelaburan di negara ini.

“Saya menganggap lawatan Presiden Obama itu sangat penting kerana kita mengetahui bahawa AS tidak akan berbuat sesuatu jika ia tidak mempunyai kepentingan strategik.

SPRM Terima Tujuh Laporan Politik Wang Selepas PRU-13


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima tujuh laporan berhubung politik wang selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kata Pengarah SPRM negeri Pulau Pinang Samarajoo Manikam. 

Beliau berkata pihaknya juga telah membuka kertas siasatan berhubung laporan yang diterima dan siasatan masih diteruskan.

"Semasa tempoh berkempen ketika PRU13, kita juga ada menerima maklumat tetapi SPRM hanya buat pemantauan sahaja, tetapi selepas PRU13, semua laporan yang kita terima, khususnya yang melibatkan politik wang, kita buka kertas siasatan," katanya kepada pemberita.

Pegawai Kanan Tabung Haji Dicekup Khalwat

Naluri seorang suami terhadap perlakuan sumbang isterinya berjaya dihidu lalu memberi maklumat sehingga berjaya ditangkap ketika bersama rakan sekerja di sebuah bilik penginapan.

Menurut sumber, wanita itu dicekup ketika sedang berdua-duaan dengan pegawai kanan Tabung Haji Pulau Pinang di Kompleks Tabung Haji, Bayan Baru, malam Isnin lalu.

Wanita itu ditahan bersama pasangannya selepas suaminya membuat laporan kepada pegawai penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) setelah mengesyaki ada sesuatu yang berlaku apabila mendapati isterinya tidak muncul ketika datang menjemput pulang.

Tiga Lelaki DitahanKkerana Miliki Dadah


Polis menahan tiga lelaki dan merampas dadah bernilai RM1,800 dalam pemeriksaan terhadap sebuah kereta di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut semalam.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata pemeriksaan terhadap kereta Perodua Viva yang ditahan pada pukul 2 petang itu dibuat hasil maklumat orang awam.

"Pemeriksaan mendapati empat botol plastik kecil mengandungi serbuk putih dipercayai dadah jenis Heroin disimpan di beberapa tempat di dalam kereta itu," katanya kepada pemberita di Besut, semalam.

Harga RON97 Turun 20 Sen

Harga jualan runcit petrol RON97 diturunkan 20 sen seliter kepada RM2.70 sen, berkuat kuasa tengah malam kelmarin.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman, berkata keputusan itu dibuat berikutan penurunan harga petrol.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, harga RON97 diturunkan di pasaran seiring situasi semasa di peringkat global,” katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Pertengahan tahun lalu, kerajaan menurunkan harga jualan runcit petrol RON97 sebanyak 10 sen seliter kepada RM2.80.

Hashim berkata, penurunan harga petrol tidak bersubsidi itu bagaimanapun masih meletakkan Malaysia dalam kalangan negara yang menawarkan harga bahan api itu pada kadar rendah berbanding negara jiran. 

Beliau berkata, harga jualan runcit petrol RON97 pada dasarnya ditetapkan secara apungan terkawal yang mana harga bulanannya akan berubah mengikut harga pasaran.

Wednesday, May 22, 2013

MB Dijangka Umumkan Rombakan Kecil Portfolio Exco Hari Ini

Imbas kembali...MB bersalaman dengan barisan Exco yang baru dilantik pada majlis angkat sumpah baru-baru ini.
Menteri Besar Besar, Datuk Seri Ahmad Said, dijangka akan mengumumkan rombakan kecil portfolio Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)Kerajaan Terengganu hari ini.

Ghazali Taib
Rombakan itu adalah seiring dengan penubuhan kementerian serta Kabinet yang baru ditubuhkan Kerajaan Pusat.

Mesyuarat pertama Exco Kerajaan Negeri Barisan Nasional selepas memang Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan pagi ini di Wisma Darul Iman yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar.

Ahmad Said berkata kelmarin, rombakan itu mungkin akan dilakukan dalam tempoh terdekat bagi menampung pelbagai peranan dan tugas terhadap rakyat yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan negeri agar ia seimbang dengan tanggungjawab di peringkat Pusat.

Menteri Besar menjelaskan pihaknya sedang dalam proses pengubahsuaian beberapa portfolio dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Terengganu berikutan pembentukan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tempoh hari.

"Kita dalam proses pengubahsuaian (Exco) sebab kita tengok ada 30 kementerian (Kabinet baharu) sedangkan kita ada 10 orang Exco. Jadi ada seorang Exco terpaksa pegang dua atau tiga portfolio," ujarnya.

Menteri Besar juga dijangka tidak akan mewujudkan portfolio baharu khususnya berkaitan agama untuk disandang oleh mana-mana Exco Kerajaan Negeri.

Walaupun didesak pelbagai pihak agar jawatan khusus itu diwujudkan, Ahmad Said dijangka tetap dengan pendirian bahawa urusan berkaitan hal ehwal agama adalah di bawah Tugas-Tugas Khas yang kini disandang oleh Ghazali Taib selaku Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab.

Ghazali yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil merupakan Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri.

Ahmad Said menegaskan, langkah yang diambil itu bukan bermakna Kerajaan Negeri sengaja mahu mengetepikan soal agama (dalam portfolio).

Selain itu pada masa sama, hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa Sultan Terengganu selain Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

 Bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Guru ke-42 Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak kelmarin beliau menjelaskan Tugas-Tugas Khas ada hubung kait dengan agama dan tidak akan menimbulkan sebarang masalah.

"Saya dah beritahu dulu (pada 11 Mei lalu), kita ada (portfolio agama) di bawah Tugas-Tugas Khas sebab agama diletakkan di bawah Tuanku (Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri.

Pada 11 Mei lalu, Ahmad memberi jaminan bahawa pihaknya berkemungkinan akan melakukan pengubahsuaian pada portfolio berkenaan sebaik sahaja kementerian serta Kabinet baharu kerajaan mula dibentuk.

JKR Siasat Kejadian Bumbung Masjid Kampung Binjai Kertas Runtuh


 Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sedang menyiasat punca bumbung masjid Kampung Binjai Kertas, di sini runtuh malam tadi.

Pengarahnya Datuk Shafii Mohamad berkata pihaknya telah memanjangkan kes itu kepada JKR pusat di Kuala Lumpur untuk menghantar tenaga pakar bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden tersebut.

Katanya kejadian runtuhan itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerja pembinaan dan pemasangan masjid bernilai RM1.7 juta itu mendapat kelulusan JKR dan telah mengikut prosedur ditetapkan.

Terengganu Rancang Publisiti Khusus Untuk Tarik Pelancong Asing Ke Tasik Kenyir

Jidin (nombor dua dari kiri) pada majlis perasmian Festival Kenyir yang disempurnakan Menteri Besar  baru-baru ini.
Kerajaan Terengganu akan menjalankan publisiti khusus untuk menarik pelawat luar negara ke Tasik Kenyir ketika Tahun Melawat Malaysia 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Terengganu Datuk Mohd Jidin Shafee berkata langkah itu perlu selepas didapati kehadiran pelancong asing ketika Festival Kenyir 2013 kurang memberangsangkan.

Sekalipun festival lima hari bermula 16 Mei itu berjaya melangkau sasaran 35,000 pengunjung, majoriti daripada 37,500 pelawat yang datang adalah pelancong domestik manakala angka pelancong asing agak kecil, katanya kepada pemberita selepas menutup festival itu, di Kuala Berang.

Muhyiddin Cadang Guna Nama Kementerian Pendidikan

Muhyiddiin bersama Idris (kanan) pada sesi taklimat di Kementerian Pendidikan di Putrajaya semalam. 
Penyeragaman struktur Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Pada masa yang sama, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran telah mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meringkaskan nama kedua-dua kementerian itu kepada Kementerian Pendidikan dan diharap mendapat persetujuan dalam tempoh segera.

Abu Zahar Gesa Karpal Hormati Perlembagaan

Tan Sri Abu Zahar Ujang (kanan) beramah mesra bersama Anggota-anggota Dewan Negara sebelum mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara bagi penggal kedua di Dewan Parlimen.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menggesa Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.

"Karpal Singh sebagai seorang peguam dan anggota parlimen patut faham mengenai perlembagaan negara, beliau harus tengok apa yang dikatakan oleh perlembagaan, jangan buat kenyataan yang mengelirukan rakyat.

12 Jemaah Lalui Detik Cemas Bumbung Masjid Runtuh


Dua belas jemaah masjid nyaris maut setelah bumbung hadapan masjid berkeluasan 30 x 30 kaki persegi di Kampung Binjai Kertas, di Hulu Terengganu runtuh malam kelmarin.

Kejadian itu berlaku ketika mereka masih berada di dalam kawasan masjid berkenaan selepas selesai menunaikan solat Isyak.

Menceritakan kejadian, Ahli Jawatankuasa Masjid Abd Wahab Sulong, 67, berkata selepas selesai solat dan sebaik melangkah 30 meter dari tangga masjid untuk pulang ke rumah, beliau terdengar bunyi dentuman yang kuat dan terpaku seketika.

"Saya men

TDM Catat Keuntungan Sebelum Cukai Yang Lebih Rendah Pada Suku Pertama

Keuntungan sebelum cukai TDM Bhd bagi tempoh suku pertama berakhir 31 Mac, 2013 susut 25 peratus kepada RM19.3 juta berbanding RM25.8 juta yang direkodkan pada suku yang sama tahun lepas. 

Perolehan susut 7.8 peratus kepada RM90.1 juta berbanding RM97.7 juta, menurut syarikat dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Badrul Hisham Mahari berkata bahagian perladangan merekodkan perolehan 13 peratus lebih rendah kepada RM62.2 juta berbanding RM71.2 juta manakala keuntungan sebelum cukai turun 36 peratus kepada RM14.8 juta berbanding RM23.2 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

SKMM Minta Orang Ramai Awasi E-Mel Penipuan Guna Identiti Rakyat Malaysia

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah dimaklumkan akhir-akhir ini bahawa insiden 'e-mel penipuan Nigeria' yang dahulunya pernah diterima orang ramai kini semakin berleluasa.

Ketua Komunikasi Strategik SKMM Sheikh Raffie Abd Rahman berkata namun kali ini e-mel penipuan berkenaan menggunakan nama rakyat Malaysia atau nama tokoh dari Malaysia.

Pengalaman Kali Pertama Mencandat Sotong Sukar Dilupakan Golongan Artis



Wan Sharmila
Pertama kali mendengar perkataan "candat" membuatkan artis Akademi Fantasia musim keenam, Ika Nabila Abdul Rahim, 24,(gambar atas) terpinga-pinga kerana tidak mengetahui definisinya hingga memaksanya membuat kajian tentang aktiviti mencandat sotong.


Menurutnya setelah terpilih mengikuti program Terengganu Water Fiesta 2013 yang diadakan di sini beliau terus melakukan penyelidikan di Internet selain merujuk kepada ayahnya tentang aktiviti tersebut.

UniSZA Jalin Kerjasama Pintar Dengan Kolej Universiti Perguruan Ugama Brunei

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini menerima kunjungan delegasi Kolej Universiti Perguruan Ugama (KUPU) Seri Begawan, Brunei, susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pada Februari lepas bagi kerjasama dalam bidang akademik.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniSZA, Profesor Dr Amran Ahmed berkata antara yang dibincangkan pada kunjungan itu ialah mengenai hala tuju masa depan kedua-dua universiti, khususnya di rantau Asia.

Cuepacs Minta Selaras Jawatan Kakitangan Penjara Dengan ATM Dan PDRM

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menyelaras jawatan kakitangan penjara agar lebih setara dengan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata ketika ini skim pangkat, gaji dan elaun yang diterima kakitangan penjara sangat jauh ketinggalan berbanding yang dinikmati anggota ATM dan PDRM yang telah disetarakan dengan perkhidmatan awam baru-baru ini.

Anak Didakwa Tumbuk Ibu, Panggilnya 'Ibu Anjing' Hanya Kerana Wang


Seorang penganggur bukan sahaja tergamak memanggil ibunya dengan panggilan ‘ibu anjing’, malah lebih melampau, dia sanggup menumbuk kepala dan memulas tangan mangsa hanya disebabkan permintaannya mendapatkan wang tidak diendahkan.

Bukan itu sahaja, remaja berumur 18 tahun dari Kampung Tanjung, Kedai Buluh, di Kuala Terengganu,  turut mengaku menumbuk dan menendang kakak sulungnya dalam kejadian itu di Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, kelmarin.

Wan Muhammad Azri Nafi Dirinya 'Papa Gomo'


Wan Muhammad Azri Wan Deris yang disaman Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung paparan video seks dengan seorang lelaki, menafikan beliau pemilik blog 'Papa Gomo'. 

Wan Muhammad Azri, 30, menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan semalam di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur,  berkata alamat kediaman yang dinyatakan menerusi saman itu juga bukan miliknya dan beliau tidak pernah mengenali Anwar secara peribadi.

Tuesday, May 21, 2013

Rumah Mampu Milik - Muka Ahmad Said Akan DiLanyak Di Padang Mahsyar?


"Ahmad Said selaku Menteri Besar kepada seluruh rakyat Terengganu, berdosa kerana tidak melaksanakan tanggungjawabnya. Demokrasi pun tidak........... Islam pun tidak...........akhirat kelak dia (Ahmad Said) bertanggungjawab,"
 - Datuk Nik Nik Abdul Aziz Nik Mat 

Kenyataan Datuk Seri Ahmad Said yang bertegas tidak mahu melaksanakan pembangunan terutamanya tidak mahu mendirikan rumah mampu milik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang BN kalah dalam pilihanraya umum kali ke-13 lalu dikecam oleh Mursyidul Am PAS.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Menteri Besar Terengganu sebagai tidak demokratik dan jauh sekali dari ajaran agama Islam.

"Demokrasi pun tidak........... Islam pun tidak...........akhirat kelak dia (Ahmad Said) bertanggungjawab,"ujarnya.

Beliau menyatakannya ditemui wartawan Buletinonline, Syed Hussain Solahuddin, selepas menunaikan solat Jumaat di masjid al-Fathul Mubin, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan pada 17 Mei lalu.

Mantan Menteri Besar Kelantan itu berkata, Ahmad Said selaku Menteri Besar kepada seluruh rakyat Terengganu, berdosa kerana tidak melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau memberi ingatan kepada semua umat Islam, orang-orang yang melakukan dosa akan diazab oleh Allah SWT diakhirat kelak. "akhirat kelak segala orang jahat akan dilanyak muka dia di padang Mahsyar tak kira dia tu datuk mahupun tuan guru...........

"Saya tak sentuh soal peribadi ahmad Said, "(se)siapa (sahaja) yang buat jahat dia akan berdosa,"jelasnya. 

Sehubungan itu, beliau memberikan misalan, seseorang pemimpin itu sepatutnya tidak dipengaruhi oleh dunia kerana Allah melantik Nabi SAW dari golongan yang tidak mempunyai harta supaya orang-orang yang mengikutnya, mempercayai kebenaran yang dibawa, bukan kerana beliau seorang yang kaya.

"Nabi Muhamad (SAW) sengaja dilantik oleh Allah Taala dari orang miskin supaya pengikutnya itu tidak terpengaruh dengan harta, kerana dia orang miskin........ tapi ikut lah nabi kerana dia membawa kebenaran (bukan kerana harta benda),"katanya.

buletinonline.net

Bookie Bolasepak Ancam Bunuh Pemain Liga M

Beberapa pemain yang beraksi dalam Liga M di laporkan menerima ugutan daripada bookie bola sepak.
“Jika ada mana-mana pemain Liga Malaysia (Liga M) yang menerima ugutan bunuh, mereka hendaklah melaporkannya segera kepada pihak berkuasa.”

Demikian tegas Pengerusi Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Aseh Che Mat  semalam.

Katanya, langkah tersebut adalah untuk keselamatan mana-mana pemain dalam Liga M yang diancam oleh bookie bola sepak. Aseh menegaskan demikian ekoran dakwaan beberapa pemain sebuah pasukan yang beraksi dalam Liga M di laporkan menerima ugutan bunuh daripada sindiket perjudian bola sepak semalam. 

Selepas Anwar dan Azmin, Yahya Ali Pula Sifatkan Zahid Sebagai 'Bodoh'


Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) Yahaya Ali menyifatkan kenyataan Menteri Dalam Negeri yang baru Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata siapa yang tidak menerima keputusan pilihanraya umum (PRU) lalu, supaya keluar dari negara ini adalah satu kenyataan yang 'bodoh'. 

Beliau yang berucap pada ceramah kesyukuran Dun Pengkalan Berangan semalam Sabtu 18 Mei menegaskan, kenyataan Naib Presiden Umno itu menunjukkan parti Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti yang tidak relevan lagi untuk politik masa depan.

Katanya, keputusan PRU ke-13 juga menunjukkan Umno-BN adalah golongan minoriti walau pun dapat mengekalkan kerajaan persekutuan dengan memperolehi mjoriti mudah.

Ahmad Said - Terengganu Kaji Perubahan Portfolio Exco


Kerajaan negeri sedang membuat kajian untuk mengubah beberapa portfolio barisan Exco negeri Terengganu selaras dengan barisan Kabinet Persekutuan yang diumumkan minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, terdapat 30 kementerian dalam barisan Kabinet baharu itu dan kerajaan negeri sedang menyelaraskan portfolio ahli Exco negeri supaya selaras dengan kementerian.

"Ia juga bertujuan memudahkan lagi urusan berkaitan perkhidmatan kepada rakyat dan perubahan itu bakal menyaksikan pelaksanaan yang lebih baik dan bersistematik.