Saturday, June 5, 2010

Sukma: RM5,999 bagi pingat emas

Habuan lumayan bakal diterima para atlet Terengganu jika berjaya mempertahankan kejuaraan pada Sukma ke-13 di Melaka yang akan bermula minggu depan.

Mengumumkan demikian, Menteri Besar Datuk Ahmad Said berkata kerajaan negeri menjanjikan RM5,000 bagi pingat emas, perak RM3,000 dan gangsa RM2,000 yang dimenangi bagi menyuntik semangat para atlet.

Sekiranya Terengganu gagal muncul juara, para atlet tetap diberikan ganjaran iaitu RM3,000 bagi pingat emas, perak RM2,000 dan gangsa RM1,000, katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera kontinjen Terengganu Sukma XIII Melaka 2010 di Kuala Terengganu malam semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Rahin Mohd Said.

Terengganu akan menghantar 457 atlet dan pegawai bagi menyertai 32 jenis sukan dengan sasaran 66 pingat emas.

Lima kes ILI di Lake Kenyir Resort & Spa

Sebanyak 48 kes baru telah disahkan menjadikan jumlah terkumpul kes H1N1 kini sebanyak 14,912 kes.

Selain itu, empat kejadian baru kluster serupa influenza (ILI) dilaporkan di empat negeri dalam tempoh 24 jam lepas.

Kes tersebut dilaporkan di Lake Kenyir Resort dan Spa di Terengganu (lima orang), kediaman di Jalan Cenderamata, Kg Kurnia, Kebun Teh, Johor (dua orang), kediaman Felda Lui Muda di Jempol, Negeri Sembilan (lima orang) dan kediaman di Jalan TU 61 Taman Tasik Utama Air Keroh, Melaka (enam orang).

Katanya sebanyak 532 kes ILI telah dipantau dan dirawat di hospital yang mana 76 (14.3 peratus) disahkan positif H1N1.


Satu kes kematian akibat influenza A (H1N1) telah disahkan, menjadikan jumlah kematian terkumpul setakat ini ialah 88 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican berkata kes terbaru itu melibatkan seorang remaja perempuan tanpa faktor risiko yang berumur 14 tahun dari Perak.

"Hasil laporan pakar perubatan dan keputusan ujian klinikal mengesahkan bahawa penyebab kematian ialah "severe bilateral pneumonia" berpunca daripada jangkitan virus influenza A(H1N1)," katanya dalam satu kenyataan semalam.

"Untuk makluman, jumlah kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU ialah lapan kes di mana tujuh kes adalah individu yang menpunyai faktor risiko," katanya.

Dr Ismail menasihatkan orang ramai bahawa jangkitan H1N1 di negara ini masih aktif dan mereka perlu mengambil langkah berwaspada untuk mencegahnya.

Orang ramai boleh melayari http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline di 03-88810200/0300 untuk keterangan lanjut.

MB arah siasat 16 pelajar hamil

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Razali Daud, berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada PIBG atau sekolah terbabit berhubung perkara itu.

Bagaimanapun katanya, JPNT akan menjalankan siasatan terhadap sekolah berkenaan dan menganggap tuduhan tersebut sebagai amat serius.

“Kita akan siasat sama ada betul atau tidak betul, mungkin budak lepas sekolah. Semua boleh berlaku, tetapi kita perlukan masa,” katanya.



Sementara itu Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sudah mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) melakukan siasatan terperinci berhubung dakwaan 16 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di bandar raya ini dikatakan hamil anak luar nikah sepanjang setahun bermula tahun lalu.

Menurutnya, pada masa sama pihaknya juga akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) yang mendedahkan perkara berkenaan.

Ahmad Said berkata, siasatan terperinci perlu dilakukan bagi memastikan sejauh mana kebenaran dakwaan itu.

“Kita perlu kaji terlebih dahulu sama ada angka itu betul atau tidak, saya akan arahkan Jabatan Pelajaran melakukan siasatan segera dan melaporkan kepada saya.

“Siapa pelajar terbabit, bagaimana latar belakang mereka, kita akan hubungi PIBG untuk mendapatkan penjelasan. Betul atau tidak angka 16 pelajar itu dan dari mana, kita kena lihat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian 852 unit e-Book kepada murid dan bantuan pakaian sekolah rendah Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat, di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai, Marang, kelmarin.

Ahmad Said berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar semalam mengatakan seramai 16 pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di bandar raya ini dikesan sedang mengandung, manakala empat sudah melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka sejak setahun lalu.

Kes terbaru membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga melahirkan seorang bayi lelaki di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Ahad lalu dan laporan turut memetik dakwaan salah seorang Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah berkenaan yang memberitahu, pihak sekolah hanya mengetahui perkara itu selepas seorang pelajar melahirkan anak April lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Said menegaskan mana-mana pihak tidak harus menyalahkan kerajaan, sebaliknya ibu bapa perlu bertanggungjawab memastikan kedudukan anak mereka setiap masa.

Kesihatan pemimpin politik, pegawai kanan diperiksa

Pegawai kerajaan dan kepimpinan negeri perlu sihat bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna.

Apabila mereka tidak sihat, akan banyak masalah kepada penjawat awam untuk melicinkan perjalanan pentadbiran negeri.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menganggap pemeriksaan kesihatan yang kerap di kalangan pemimpin politik dan pegawai amat perlu dan kerana itu kerajaan negeri menganjurkan kem pemeriksaan itu selama dua hari, bermula Rabu (2 Jun 2010) lalu.

Beliau menyatakannya selepas menjalani ujian kesihatan bagi dirinya dan semua Exco kerajaan negeri ketika menghadiri Kem MyHess Eksekutif tahun 2010 sesi 1 di ruang makan tingkat 18, Wisma Darul Iman (WDI) kelmarin.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nordiyanah Hassan pula berkata, pemeriksaan kesihatan secara teratur dan berjadual terutama kepada barisan kepimpinan negeri sangat penting bagi memantapkan sistem pentadbiran supaya tahap produktiviti dapat dipertingkatkan.

Katanya, program kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK) itu merupakan program pemeriksaan kesihatan tahunan.

“Langkah Kerajaan Negeri mengambil pendekatan ini supaya sebahagian daripada rawatan penyakit tidak berjangkit terutamanya bagi program Jabatan Kesihatan.

“Kita akan memberi tumpuan kepada pemeriksaan penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, jantung, buah pinggang dan pelbagai penyakit berkaitan sistem tubuh kepada Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan isteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai kanan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, dalam program itu, semua pemeriksaan akan dilakukan meliputi pemeriksaan fizikal, berat badan, kandungan lemak dalam tubuh dan pemeriksaan darah.

“Selain itu, kita juga akan menjalankan ujian kecergasan bagi melihat tahap kecergasan dalam badan sama ada stabil atau memerlukan sesi rawatan selanjutnya.

“Dalam sesi pemeriksaan ini, jika masalah kesihatan dapat dikesan, nasihat akan terus diberikan oleh pegawai kesihatan dan jika penyakit itu kronik, rujukan perlu dibuat secara terus kepada pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya.

Nordiyanah berkata, setakat ini sambutan yang diterima daripada kepimpinan negeri sentiasa positif walaupun masing-masing mempunyai komitmen kerja.:

“Kita yakin adanya jalinan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan tidak mustahil masalah kesihatan dapat dicegah dari peringkat awal, selain mengurangkan risiko tidak dijangka,” katanya.

557 e-Book untuk pelajar DUN Sura

Sebanyak 557 e-Book diagihkan kepada murid Tahun Lima di sekolah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di dewan MPD, petang kelmarin (3 Jun 2010).

Saya harap dengan adanya e-Book ini, anak saya dapat meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat, walaupun keadaan fizikal dan mindanya tidak seperti murid lain, namun sekurang-kurangnya ia dapat membantu proses pembelajarannya,” kata Maimun Abdul Rahman, 50, ibu kepada salah seorang murid yang menerima bantuan komputer riba e-Book daripada Kerajaan Negeri.

Menurut Maimun yang ditemui selepas majlis penyampaian peralatan itu yang berlangsung di dewan Majlis Perbandaran Dungun (MPD), walaupun anaknya, Madihah Mohd, 11, ditempatkan di Kelas Pendidikan Khas di sekolahnya, namun dia tidak ingin melihat anaknya itu ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi.

“Walaupun dia terpaksa berhadapan sedikit kesukaran untuk mengendalikan komputer riba ini kerana dia tergolong dalam kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), namun saya percaya dengan tunjuk ajar gurunya, dia mampu menguasai dengan baik.

“Apatah lagi e-Book ini telah dikhaskan untuknya, saya harap dia dapat memanfaatkannya. Kepada pihak yang memberikan sumbangan ini, saya ucapkan terima kasih,” katanya.

Bagi Rosnani Awang, 40, sumbangan e-Book berkenaan adalah perkara yang amat bernilai buat anaknya, apatah lagi sumbangan itu pertama kali diterima.

“Kita nak beli sendiri tidak berkemampuan, jadi bila kerajaan beri kita hargai. Apa yang penting, anak dapat belajar dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Guru Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Omar, Anisah Osman, 31, pula berkata, daripada pengamatannya, murid terencat akal yang berada dalam kelasnya menunjukkan minat mendalam terhadap pelajaran komputer berbanding subjek lain bercorak akademik.

“Murid kelas ini biasanya lebih berminat mengendalikan komputer berbanding subjek lain yang lebih ilmiah,

“Sebagai guru, kita pastinya akan memberi tunjuk ajar dan yakin mereka dapat meningkatkan pengetahuan mengenai bidang teknologi maklumat melalui penggunaan e-Book ini,” katanya.


Hanya 24 Pemain Terbaik Dipilih Untuk Jalani Latihan Di Turki

Hanya 24 pemain terbaik dalam skuad bola sepak kebangsaan akan dipilih untuk menjalani latihan pusat di Antalya, Turki pada Rabu ini, kata jurulatih kebangsaan K. Rajagobal.

Seramai 30 pelatih sudah dinamakan, termasuk tiga daripada Terengganu. Ini bermakna enam daripada mereka akan digugurkan.

"Buat masa ini saya belum dapat membuat keputusan siapakah yang akan dipilih memandangkan hari ini adalah hari pertama latihan bagi mereka," katanya selepas mengendalikan latihan pusat pertama skuad kebangsaan di Kuala Lumpur.

Katanya latihan ke Turki amat penting bagi skuad kebangsaan memandangkan mereka bakal berdepan dengan Sukan Asia di Guangzhou, China pada bulan November dan Piala Konfederasi Bola sepak Asean (AFF) pada bulan berikutnya.

Rajagobal berkata mungkin dalam masa dua atau tiga hari lagi beliau akan mengumumkan siapakah yang dipilih ke Turki.

"Saya akan pastikan hanya pemain yang berpontensi dan tidak mengalami sebarang kecederaan diberi peluang untuk beraksi selama empat hari disana nanti," katanya.

Beliau berkata di Turki, pasukan kebangsaan berpeluang untuk menghadapi sekurang-kurangnya tiga perlawanan persahabatan dengan beberapa kelab terkemuka Eropah.

"Kami masih belum dapat tahu pasukan manakah yang akan bersaing namun secara dasarnya dua pasukan dari kelab terkemuka Liga Russia akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan negara, manakala pasukan untuk satu perlawanan lagi masih belum ditentukan lagi," katanya.

Rajagobal berkata pasukan negara tidak berpelung untuk beraksi dengan pasukan Turki memandangkan bahawa mereka kini sibuk membuat persiapan untuk menghadapi Kejohanan Piala Dunia yang bermula 11 Jun ini.

"Bagi saya Russia boleh dikatakan sebagai satu pasukan yang kuat walaupun mereka tidak tersenarai dalam Kejohanan Piala Dunia musim ini.

"Apa yang menjadi ukuran bukanya kepada ranking sesebuah pasukan yang bakal dihadapi tetapi pasukan negara sebenarnya memerlukan lebih banyak perlawanan perlawanan yang kompetitif bagi memastikan skuad kebangsaan bersedia sepenuhnya," katanya.

Senarai 30 pelatih skuad kebangsaan:

Penjaga gol: Mohd Farizal Marlias (Perlis), Mohd Sharbinee Allawee(Terengganu), Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)

Pertahanan: Norhafiz Zamani Misbah (KL Plus), Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak (Nengeri Sembilan), Muhaimin Omar (Terengganu), Mohd Asraruddin Putra Omar (Selangor), Mohd Nasriq Baharom (Selangor), Mohd Bunyamin Umar (Selangor), V.Thirumurugan (Kedah), Mohd Azmi Muslim (Kedah), Mohd Sabre Mat Abu (Kedah), Khairul Helmi Johari (Kedah), Muslim Ahmad (Harimau Muda A), Mahali Jasuli (Harimau Muda A)

Tengah: K. Gurusamy (Harimau Muda A), Safiq Rahim (Selangor), S. Kunalan (Negeri Sembilan), Amar Rohidan (Perlis), Faizal Abu Bakar (Kedah), Mohd Khyril Muhymeen Zambri (Kedah), S. Harivarman (PDRM)

Penyerang: Mohd Safee Sali (Selangor), Ahmad Fakri Saarani (Perlis), Shakir Ali (Harimau Muda A), Izzaq Faris Ramlan (Harimau Muda A), Baddrol Bakhtiar (Kedah), Ashaari Shamsuddin (Terengganu), Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak (Negeri Sembilan), Norshahrul Idlan Talaha (Kelantan).

Konvoi perarakan bendera kontinjen Terengganu

Peserta motosikal berkuasa tinggi yang menyertai Konvoi Perarakan Bendera Kontinjen Terengganu sebelum berlepas di Padang Astaka Jerteh, Besut, semalam.

Terengganu yang muncul juara Sukan Malaysia (Sukma) XII di Kuala Terengganu dua tahun lalu berazam mengekalkan kedudukan itu pada Sukma XIII di Melaka bermula 10 Jun ini.

Sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bagi, rakyat negeri itu turut melancarkan Konvoi Perarakan Bendera Kontinjen Terengganu yang bermula di Padang Astaka Jerteh di Besut semalam.

Majlis Penyerahan Bendera Kontijen Terengganu Sukma XIII Melaka 2010 diadakan di Dewan AlMUktafi Billah Shah Universiti Darul Iman, Gong Badak, dekat Kuala Terengganu malam semalam.

Acara disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Mengenai konvoi dari Jerteh, seramai 50 penunggang motosikal berkuasa tinggi menyertai konvoi itu yang dilepaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr. A. Rahman Mokhtar.

Turut sama pada majlis pelepasan peserta yang akan singgah di Setiu dan disertai oleh peserta lain ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali dan Pegawai Daerah Besut, Tuan Mamat Tuan Ngah.

Penyertaan itu membuktikan sokongan padu yang diberikan oleh segenap lapisan masyarakat negeri itu bagi memastikan atlet Terengganu mampu meraih sebanyak mungkin pingat pada kejohanan dua tahun sekali itu.

Perhilitan Terengganu Pasang Pagar Eletrik Halang Gajah

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mungkin akan memasang pagar eletrik bagi mengelak gajah liar memusnahkan kebun pisang di Felda Cherul Satu, Kemaman.

Pengarahnya Jamalun Nasir Ibrahim berkata buat sementara ini, pihaknya menggunakan kaedah tembakan amaran untuk menakut-nakutkan kumpulan binatang tersebut daripada mengganggu tanaman penduduk rancangan itu.

"Untuk jangka masa panjang, mungkin kita akan pasang pagar eletrik kerana kita bimbang gajah-gajah itu akan datang lagi pada masa akan datang," katanya semalam.

Rabu lepas, sekumpulan antara lima dan enam ekor gajah liar dilaporkan menyerang kebun pisang seorang peneroka Felda Cherul Satu, Kemaman menyebabkan kerugian hampir RM10,000.

Jamalun Nasir berkata pihaknya telah menghantar lima orang renjer ke kawasan itu untuk menghalau haiwan tersebut ke hutan sebaik menerima maklumat.

Mengulas mengenai seorang warga emas di sondol babi hutan di Besut pula, Jamalun Nasir berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.

Seorang petani, Yasin Mat Ali, 64, menerima enam jahitan apabila disondol babi hutan ketika membersih kebun getahnya di Kampung Kruak, Hulu Besut Ahad lepas.

Jangan bawa bendera parti ke Melayu Bangkit

Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) meminta mana-mana pihak yang ingin menghadiri program Melayu Bangkit bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Stadium Negeri pada 14 Jun ini, tidak membawa bendera atau lencana parti politik.

Pengerusinya, Razali Idris berkata, langkah itu diambil bagi mengelak salah faham dan ketidakpuasan hati pihak lain yang bakal menyertai program itu kerana ia bukan perhimpunan rasis atau berniat jahat.

“Kita mahu mengelakkan salah faham kaum bukan Melayu dan tiada sebarang tunjuk perasaan seperti difikirkan beberapa pihak sebelum ini dengan mengatakan Melayu Bangkit boleh menggugat ketenteraman negara.

“Setakat ini kita dapat maklum balas positif kaum Cina dan India yang ingin turut serta dan tiada masalah jika mereka sudi hadir.

“Setiap yang hadir perlu patuh arahan ditetapkan dan tidak boleh sewenang-wenangnya cuba mengganggu perjalanan program,” katanya mengenai perjalanan program Melayu Bangkit di Motel Desa, kelmarin.

Sementara itu, Razali berkata, Gertak bersepakat dengan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) mengutuk tindakan rejim Zionis Israel yang melancarkan serangan terhadap misi kemanusiaan ke genting Gaza, Palestin.

“Kita juga mendesak kerajaan memutuskan hubungan dengan rejim Israel dalam apa keadaan sekalipun dan berharap Perdana Menteri dapat menyampaikan mesej kepada OIC, PBB dan Liga Arab.

“Jika Israel perlu diserang, kita menyokong sepenuhnya kerana sudah berpuluh tahun bangsa Palestin ditindas dan dikepong rejim Israel sehingga memberi tekanan kepada mereka untuk mendapatkan kemerdekaan,” katanya.

Friday, June 4, 2010

Siasat & tangani secara bijak kes 16 pelajar sekolah hamil

Berita Harian menyebut 16 pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu dikesan sedang mengandung, manakala empat sudah melahirkan anak hasil hubungan dengan teman lelaki mereka sejak setahun lalu.

Menurut laporan Hamid Salleh dari akhbar berkenaan, difahamkan pelajar terbabit terjebak dengan gejala sosial, berada dalam Tingkatan Tiga dan Enam, dikesan melahirkan anak di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tahun lalu, dan kes terbaru, seorang pelajar Tingkatan Tiga melahirkan seorang bayi lelaki di HSNZ, Ahad lalu.

Bagaimanapun kelmarin, Jabatan Pelajaran Terengganu (JPT) mengatakan ia tidak menerima sebarang maklumat mengenai terdapat pelajar sekolah di negeri ini yang hamil dan melahirkan anak luar nikah sejak pertengahan tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata JPT telah diminta untuk menyiasat perkara itu yang dilaporkan media.

"Namun setakat ini kita tidak dapat apa-apa maklumat perkara seumpama itu berlaku," katanya.
Beliau mengulas laporan akhbar yang menyebut terdapat empat pelajar sebuah Sekolah Menengah di daerah ini yang melahirkan anak luar nikah hasil hubungan dengan teman lelaki masing-masing sejak pertengahan tahun lalu.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, seramai 16 lagi pelajar sekolah itu kini disahkan mengandung.

Dakwaan oleh akhbar ini sangat memalukan bukan sahaja pelajar dan ibu bapa mereka tetapi juga sekolah – termasuk pentadbir sekolah - sehinggalah Jabatan Pelajaran dan kerajaan negeri ini, jika ia benar-benar berlaku.

Laporan ini perlu disiasat secara mendalam oleh semua pihak dan ia tidak boleh diambil mudah.

Rasanya sebagai wartawan berpengalaman, Hamid Salleh bukan jenis yang mereka-rekakan cerita.

Apapun, jangan cepat menuding jari sebaliknya isu ini mesti ditangani dengan cermat dan berhemah.

Menurut Berita Harian, lantaran perkara itu memalukan, ramai pihak termasuk ibu bapa pelajar dikatakan menyembunyikan kelahiran itu tetapi terbongkar apabila rakan pelajar berkenaan mendedahkan kepada Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu baru-baru ini.

Berikutan itu, PIBG mengadakan mesyuarat tergempar malam kelmarin bagi membincang masalah itu tetapi difahamkan, pengetua sekolah berkenaan tidak hadir dalam mesyuarat itu.

Seorang Ahli Jawatankuasa PIBG sekolah terbabit memberitahu, pihak sekolah hanya mengetahui perkara itu selepas pelajar itu melahirkan anak April lalu.

Katanya, dalam usaha menyembunyikan keadaan memalukan itu, seorang daripada pelajar berkenaan sanggup membuat permohonan bertukar sekolah di Setiu, selepas mengetahui dia mengandung enam bulan.

Bagaimanapun, usahanya tidak berhasil kerana bapa saudaranya yang tinggal di daerah berkenaan enggan menerimanya kerana mengetahui pelajar itu mengandung anak luar nikah.

Yang menarik mengenai laporan Hamid Salleh ini, beliau berjaya mengesan mesyuarat PIBG yang diadakan dan rasanya wartawan ini tahu mengenai perkara ini.

Ahmad Razif mengatakan pihaknya sudah dimaklumkan bahawa empat pelajar sekolah itu sudah melahirkan anak.

Tidaklah begitu sukar untuk mengesan perkara ini kerana Hamid Salleh boleh bekerjasama dengan semua pihak yang membuat siasatan.
Sambil menyifatkan kes itu sebagai serius jika benar berlaku, Ahmad Razif berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sekolah yang cuba menyembunyikan perkara seumpama itu.

Beliau berkata, pihaknya ada menerima laporan mengenai seorang pelajar telah bersalin sebelum ini, namun pelajar berkenaan sudah pun berkahwin.
"Jika ada kes-kes lain, kita masih belum dapat secara rasmi, pihak sekolah kini sedang siasat," katanya.

Beliau berkata, kes yang serius seperti itu selalunya berada dalam pengetahuan Jabatan Pelajaran.

"Tetapi, pihak jabatan tidak ada maklumat seperti yang disebut dalam laporan itu. Bagaimanapun jika kes seperti itu benar-benar berlaku tetapi di luar sekolah, masyarakat diminta tidak terus menunding jari dan menyalahkan pihak sekolah, kata Ahmad Razif.

Nelayan Terengganu mahu Program Beli Balik Bot Pukat Tunda

Langkah Jabatan Perikanan untuk mengurangkan jumlah bot pukat tunda melalui program khas "Exit Plan" bagi menangani kemerosotan sumber perikanan pantai telah menunjukkan hasil memberangsangkan, kata Ketua Pengarah Perikanan Datuk Junaidi Che Ayub.

Katanya, melalui program berkenaan yang diperkenalkan tahun lepas, Jabatan Perikanan akan membeli semula bot pukat tunda berserta dengan lesennya sekali dari pengusaha atau pemilik bot.

Ekoran kejayaan program Exit Plan itu, nelayan di Perak dan Terengganu telah memohon ia dilaksanakan di tempat mereka tetapi jabatan terpaksa menangguhkannya kerana kehabisan peruntukan.

Katanya, program berkenaan dijangka akan diteruskan semula sebaik sahaja mendapat peruntukan baru dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

"Sejak program berkenaan dijalankan, sebanyak 80 buah bot pukat tunda milik nelayan di Kedah telah berjaya dibeli oleh pihak jabatan.

"Program berkenaan telah menunjukkan kesan yang sungguh menarik dan mendapat sokongan di kalangan nelayan tradisional," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Kampung Acheh, semalam.

Junaidi berkata pendapatan nelayan tradisional di kawasan program perintis projek berkenaan di Kedah semakin bertambah selepas bot pukat tunda tidak lagi beroperasi.

"Pembelian bot serta lesen itu sekaligus telah mengurangkan operasi bot pukat tunda yang sebelum ini dilihat meninggalkan kesan tidak baik terhadap stok ikan di laut," katanya.

Sementara itu, institut berkenaan yang dibina dengan kos RM5.5 juta akan berfungsi sebagai sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan perikanan tangkapan.

Festival Budaya Pantai Timur September Ini

Jabatan kebudayaan dan Kesenian Negara negeri Terengganu akan menganjurkan Festival Budaya Pantai Timur selama tiga hari mulai 24 Sept ini di Taman Budaya di sini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri Terengganu Ramli Salleh berkata tujuh lokasi menarik di Taman Budaya itu disediakan sebagai tapak untuk pelbagai persembahan kebudayaan yang bakal diadakan pada festival itu.

"Sepanjang festival yang membabitkan tiga negeri iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu itu berlangsung, orang ramai akan dapat menikmati persembahan seni budaya pelbagai kaum dari ketiga-tiga negeri itu," katanya semalam.

Ramli berkata antara persembahan yang akan diadakan ialah kesenian, demonstrasi, wayang pacak, pertandingan sukan rakyat, sukan air.

Beliau berkata ketiga-tiga menteri besar negeri terbabit akan dijemput termasuk Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Festival itu dijadual dirasmikan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Kita jangka dapat menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang festival itu berlangsung," katanya.

Bicara Kes SMS Ugut Bunuh Ditunda 9 &10 Ogos depan

Perbicaraan kes ugutan jenayah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang sepatutnya bersambung Isnin lalu (31 Mei 2010) namun terpaksa ditangguhkan berikutan tertuduh, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir mendapat cuti sakit kerana menjalani pembedahan tonsil.

Ahmad Ramzi, setiausaha politik bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh itu dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di Kuala Terengganu, setelah menjalani pembedahan itu pada 29 Mei dan diberi cuti sakit sehingga 13 Jun ini.

Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh baru 9 dan 10 Ogos ini untuk perbicaraan kes berkenaan, dan ia juga akan disambung semula pada 21 hingga 23 September dan 26 hingga 28 Oktober.

Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) negeri Terengganu.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Ramzi didakwa mengancam mendatangkan kematian ke atas ADUN Paka, Mohd Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi Adun, Abd Halim Jusoh (Adun Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Adun Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Dia turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga Adun tersebut.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Pihak pendakwa dijangka memanggil seramai 22 saksi untuk memberi keterangan, dan setakat ini tujuh saksi sudah dipanggil memberi keterangan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Shahidani Abd Aziz manakala Ahmad Ramzi diwakili tiga peguam yang teridiri daripada Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman.

Terengganu iktiraf sumbangan guru

Menteri Besar menyampaikan komputer riba kepada guru tahun enam – Gambar Zulkifli Putra


Untungnya bekerja sebagai guru di Terengganu.

Mereka bukan sekadar diiktiraf melalui hadiah kecemerlangan seperti tokoh guru dan lawatan ke luar negara tetapi lebih daripada itu.

Komitmen yang dibuat Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bagi ganjaran untuk guru bertujuan mengekal dan meningkatkan lagi rekod pencapaian dan kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

Kerajaan Negeri mengumumkan ia bersedia memberi ganjaran lebih besar kepada guru terbaik di negeri itu jika berjaya mengekalkan kecemerlangan selama sepuluh tahun berturut-turut dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan tiga tahun berturut-turut bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ahmad Said sendiri berjanji bentuk ganjaran itu adalah tambahan jumlah kuota tajaan kepada guru terbaik melibatkan lawatan sambil melancong ke luar negara.

Selain itu, bagi menghargai jasa seramai 21,375 guru di seluruh Terengganu sempena sambutan hari guru pada tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM2 juta bagi menyerahkan tanda penghargaan atau ‘appreciation token’ kepada guru sebagai pengiktirafan.

“Tempahan ini telah dibuat dan kita jangka akan menyerahkan bermula di Kemaman pada awal Jun dan kemudian di daerah berikutnya selepas itu. Kita dimaklumkan di Kemaman penyerahan ‘appreciation token’ akan membabitkan hampir 3,000 guru,” katanya.

Selain dua insentif itu, guru-guru tahun enam juga bertuah kerana menerima komputer riba dan kerajaan negeri membelanjakan hampir RM1.3 juta bagi tujuan itu.

Pemberian julung-julung kali dan mungkin pertama di Malaysia ini dilakukan apabila sebanyak 800 buah komputer diagihkan kepada guru-guru sebagai penghargaan dan pengiktirafan buat mereka.

Menurut Ahmad Said, komputer riba atau e-Book ini adalah cenderamata sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri atas komitmen memastikan negeri Terengganu terus terbilang dalam penddikan.

Penyerahan e-Book kepada guru sekolah rendah berkenaan akan digunakan bagi membantu meningkatkan tahap pembelajaran calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Sehingga ini kira-kira 25,000 buah e-Book diagihkan kepada murid tahun lima pada tahun lepas yang mana mereka memasuki tahun enam pada tahun ini.

''Kita tidak mahu murid-murid menggunakan komputer manakala guru menggunakan buku. Dengan pengagihan e-Book ini akan membantu memantapkan keupayaan guru dalam mendidik murid-murid dalam mencapai kecemerlangan dalam UPSR nanti," katanya.

Kerajaan negeri juga sudah melatih guru-guru untuk menggunakan kaedah 'secara talian' untuk pantau murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran dan juga peperiksaan.
Kerana itu kini ada peperiksaan online dan setiap bulan akan ada latih tubi peperiksaan secara online.

Dalam konteks e-Book ini, sebanyak 50,000 buah lagi e-Book akan diagihkan kepada murid tahun empat dan lima tidak lama lagi. Dijangkakan, pengagihan kira-kira 25,000 e-Book untuk murid tahun lima akan mula diedar bulan ini manakala untuk murid tahun empat pada Julai nanti.

Mengenai lawatan untuk guru, ketika ini hanya 24 guru terbaik telah dihantar ke luar negara di mana tiga guru dipilih bagi setiap daerah.

Berikutan itu, Ahmad Said menegaskan, jika kecemerlangan dalam UPSR dapat dikekalkan untuk tahun kesepuluh, kerajaan negeri bersedia menghantar seramai 50 guru terbaik ke Australia tahun depan.

Selain itu, andai kata kecemerlangan dalam PMR dan SPM juga dapat dikekalkan selama tiga tahun berturut-turut, seramai 50 guru terbaik juga akan dihantar ke luar negara.

Namun, lokasi masih belum ditetapkan. Pada Jun ini seramai 15 pegawai JPNT akan dihantar melawat ke Eaton School, London selama lima hari bagi melihat proses dan suasana pembelajaran di sana.



GiatMara Mahu Komersial Kapal Layar Ke peringkat Antarabangsa

Pemasangan tiang kapal layar Warisan Duyong GM 1 sempena program pembinaan kapal layar tradisional Terengganu kerjasama antara GiatMara dengan Custom Made Wooden Yachts di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

GiatMara Sdn Bhd (GiatMara) akan mengkomersilkan kapal layar tradisional Terengganu ke peringkat antarabangsa tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Shairuddin Ab Moin berkata pihaknya kini sudah menerima beberapa tawaran dari luar negara untuk membina kapal layar tradisional Terengganu pada harga kira-kira RM3.5 juta sebuah.

GiatMara kini sedang membina sebuah kapal layar tradisional Terengganu berukuran 60 kaki panjang, 16 kaki lebar dan 10 kaki tinggi, yang dijangka akan dilancarkan bulan depan.

Kapal layar yang berharga RM4 juta itu sedang di bina dengan kerjasama Custom Made Wooden Yachts, katanya. Beliau enggan mendedahkan kos pembinaan kapal layar itu.

"Kita juga sedang melatih seramai mungkin belia dalam bidang pembuatan kapal layar tradisional Terengganu di Pulau Duyong," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan kerja-kerja mendirikan tiang layar Warisan Duyong GM1, di Jeti Marine Systems Engineering (Terengganu) Sdn Bhd (MSET) Pulau Duyong baru-baru ini.

Turut hadir ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Nasir Ibrahim Fikri.

Di dalam hubungan ini, katanya GiatMara juga sedang mencari golongan yang tercicir dalam bidang pendidikan, terutamanya anak-anak Terengganu untuk mengikuti kursus membina kapal layar di Pulau Duyong.

Beliau berkata langkah itu sekaligus dapat menjayakan hasrat kerajaan mengeluarkan masyarakat daripada lingkaran kemiskinan.

Shairuddin berkata GiatMara juga akan mengadakan kerjasama melalui program perkongsian bijak dengan MEST, sebuah syarikat pembinaan kapal di Terengganu untuk melatih ramai pelatih dalam bidang kapal layar, aluminium dan gentian kaca untuk membuat perahu.

MSET memerlukan tenaga mahir sekurang-kurangnya 2,000 orang dalam tempoh 10 tahun akan datang, katanya.

Terengganu Sasar Juara Olahraga Sukma Tahun Ini

Terengganu tekad untuk muncul juara acara olahraga Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka memandangkan semua atlet yang memenangi pingat emas pada edisi 2008 masih boleh beraksi tahun ini.

Pengurusnya Kama Rezuan Kamaruddin berkata skuad itu juga akan diwakili beberapa muka baru yang mampu menyumbangkan pingat kepada Terengganu.

Pada Sukma ini, yang akan berlangsung pada 10 hingga 19 Jun, Terengganu mensasarkan lapan pingat emas, berdasarkan prestasi atlet pada beberapa kejohanan yang disertai mereka sepanjang tahun ini, katanya ketika dihubungi kelmarin.

Beliau berkata Terengganu mempunyai peluang baik memenangi emas dalam acara lontar peluru dan lempar cakera, 100m lompat pagar wanita, 400m lompat pagar lelaki dan wanita, 400m lelaki dan wanita dan 4x400m wanita.

Selain itu, Terengganu juga mempunyai harapan untuk memenangi pingat dalam acara lompat jauh wanita, heptatlon, 100m lelaki, 200m lelaki dan 4x400 lelaki.

Pada Sukma 2008, Terengganu yang ketika itu menjadi tuan rumah, menduduki tempat kedua acara olahraga dengan enam emas, enam perak dan lima gangsa, di belakang Johor.

Kama Rezuan berkata skuad olahraga seramai 28 orang itu disenaraikan beberapa bulan lepas setelah mereka menjalani latihan pusat sejak awal tahun ini.

Beli Gula Dalam Kuantiti Banyak Perlu Dapat Kebenaran

Orang ramai yang menggunakan gula dalam kuantiti yang banyak seperti pengusaha kantin dan restoran perlu mendapatkan surat kebenaran daripada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, (PPDNKK) untuk mendapatkan bekalan bahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr A Rahman Mokhtar berkata langkah itu diambil bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengaut keuntungan segera.

"Pengguna yang memerlukan bekalan untuk berniaga atau persediaan kenduri kahwin umpamanya, boleh mendapatkan surat kebenaran daripada cawangan PPDNKK di Besut, Dungun, Kemaman dan Kuala Terengganu.

"Bekalan gula di negeri ini dijamin mencukupi. Bekalan untuk setiap daerah juga ditambah bagi menampung keperluan pengguna terutama menjelang cuti sekolah ini," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Penduduk di Kampung Alor Teratai, Kuala Besut semalam.
Beliau berkata orang ramai perlu bekerjasama dengan melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengetahui kegiatan menyorok gula atau jika ada pihak yang menaikkan harga bahan itu.

Monday, May 31, 2010

800 komputer riba untuk guru

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menyerahkan komputer riba kepada guru-guru tahun enam di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata Terengganu membelanjakan hampir RM1.3 juta untuk menyediakan 800 buah komputer kepada guru-guru itu penghargaan dan pengiktirafan buat mereka.

"Komputer riba ini adalah cenderamata sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri atas komitmen memastikan negeri Terengganu terus terbilang dalam penddikan," katanya semasa berucap pada majlis itu.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Datuk Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abd Rahman.

Ahmad Said berkata Terengganu memperkenalkan penggunaan komputer riba atau "e-Book" yang pertama di Malaysia buat murid sekolah rendah bagi menggantikan buku teks sebagai alternatif bagi mengatasi masalah beg sekolah berat.
Mulai hari ini dan esok, Menteri Besar menghadiri empat majlis penyerahan e-Book kepada pelajar sekolah di Daerah Marang dan Kuala Terengganu.

'Buah tangan istimewa' untuk guru Terengganu


Ahmad Said merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri semalam

Kerajaan negeri Terenganu akan menghadiahkan ‘buah tangan istimewa’ untuk kira-kira 22,000 guru sekolah menengah dan rendah di negeri itu mulai awal Jun ini.

Hadiah itu sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada golongan guru yang komited sehingga meletakkan Terengganu di tangga teratas dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, bagi UPSR, Terengganu dinobatkan negeri terbaik buat sembilan tahun berturut-turut manakala tiga tahun berturut-turut bagi SPM.

''Saya akan menyerahkan 'buah tangan' itu untuk setiap seorang guru bermula sambutan Hari Guru peringkat daerah Kemaman awal Jun ini sebelum ke daerah lain di seluruh negeri.

''Kerajaan memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi menyediakan 'buah tangan istimewa” dan barangan tersebut sudahpun ditempah," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2010 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dekat Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Said bagaimanapun enggan menjelaskan bentuk 'buah tangan' tersebut dan perkara itu hanya diketahui pada majlis penyerahan itu nanti.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga akan menghantar guru-guru cemerlang untuk mengadakan lawatan ke luar negara tahun depan jika Terengganu berjaya menjadi negeri terbaik buat kali ke-10 berturut-turut dalam UPSR tahun ini.

Beliau memberitahu, begitu juga sekiranya Terengganu muncul terbaik dalam SPM dan PMR untuk kali keempat berturut-turut, guru-guru cemerlang akan dihantar melawat ke luar negara tahun depan sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka.

"Sebelum ini, 50 orang guru sudah dihantar melawat Australia selama seminggu dan untuk tahun depan, jika Terengganu berjaya menjadi negeri terbaik sekali lagi, 60 orang guru lagi akan kita hantar ke luar negara sambil belajar," katanya.

Sukma: Terengganu Akui Sukar Pertahankan Emas Acara Bola Sepak

Terengganu mengakui bahawa adalah sukar untuk mempertahankan pingat emas dalam acara bola sepak pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Melaka bulan depan kerana kesuntukan masa untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Jurulatihnya Khalid Mohd Dahan berkata pihaknya menghadapi kesulitan untuk mengumpul pemain yang kebanyakannya beraksi dalam Liga Super dan Piala Presiden.

"Kita akan hanya dapat membuat pemilihan pada 2 dan 3 Jun ini selepas pertandingan Liga Super berhenti rehat. Kita hanya mempunyai masa kurang seminggu untuk mengadakan latihan," katanya semalam.

Khalid berkata kebanyakan pemain edisi lepas, sudah bersara ataupun mewakili pasukan remaja kebangsaan pada kejohanan liga di Slovakia seperti Abdul Shukor Jusoh, Izzaq Faris Ramlan, Mohd Faizal Mohd, Mohd Hafizi Faisal, Mohd Muslim Ahmad dan Muhd Fakhrurazi Musa.

Katanya Terengganu juga kehilangan penyerang lincah Abdul Manaf Mamat yang dikenakan denda atas kesalahan semasa perlawanan Piala FA antara Terengganu dan Kedah pada 3 April lalu.

Abdul Manaf digantung 10 perlawanan dan didenda RM6,500 oleh Lembaga Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana melakukan tiga kesalahan termasuk meludah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil, Subkhiddin Mohd Salleh, pada perlawanan tersebut.

Khalid berkata Terengganu akan cuba membawa dua pemain baru dari skuad Liga Super Terengganu iaitu Joseph Kalang Tie dan Mohd Firdaus Mohd Faudzi yang diharap dapat membantu pasukan.

Beliau berkata Terengganu akan memulakan kempen bola sepak Sukma pada 7 Jun dengan menentang musuh tradisinya Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, Terengganu akan cuba membentuk pasukan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan kali ini.

Tokoh guru hargai pengiktirafan Kerajaan Negeri

Haji Ahmad Mahmood gembira di samping keluarga selepas beliau diumumkan sebagai Tokoh Guru 2010 peringkat negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Ahmad Mahmood, 76, dari Kampung Binjai, Kemaman semalam dinobatkan sebagai Tokoh Guru Terengganu 2010 sempena sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu di Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) di Kampus Kusza di Kuala Terengganu.

Bapa kepada enam orang anak itu menerima cek bernilai RM10,000 berserta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Ariffin Embong.

Tokoh Guru Terengganu 2010 itu mula berkhidmat sebagai guru pelatih bermula 1950 hingga 1954 di beberapa buah sekolah sekitar Kemaman sebelum dilantik menjadi guru penolong kanan dan guru besar.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai di Kuala Lumpur pada 1960 hingga 1961 sebelum meneruskan khidmat baktinya dalam bidang perguruan di negeri ini terutama daerah Kemaman.

Penolong Pegawai Pendidikan di Kemaman merupakan jawatan terakhir beliau sebelum bersara pada 1 Julai 1989.

Ahmad, ketika ditemui selepas majlis itu merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri atas anugerah yang beliau terima hari ini.

"Saya ucapkan setinggi terima kasih kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Ahmad Said dan anugerah ini merupakan pengiktirafan dan penghormatan besar kepada saya dan keluarga," katanya.

Katanya, guru-guru pada hari ini lebih bernasib baik berbanding zaman ketika beliau mengajar dahulu.

"Zaman saya dulu, alangkah payahnya untuk mendidik anak bangsa yang terpaksa mengharungi sungai dan jeram di kawasan pedalaman, dengan tidak ada kemudahan untuk mendidik anak bangsa," katanya yang bersara sejak 10 tahun lalu.

Beliau turut mengakui tugas seorang guru semasa era beliau jauh lebih mencabar apabila terpaksa melalui keperitan hidup termasuk gaji permulaan cuma RM137 sebulan, berbanding kesenangan yang dikecapi guru zaman sekarang.

Selain itu, jelasnya, sejak awal menjadi guru, beliau sentiasa komited agar anak-anaknya mempunyai minat mendalam bagi menguasai ilmu sains dan matematik yang menjanjikan peluang pekerjaan cerah.

Beliau berkata keikhlasan adalah penting dalam mendidik pelajar sekolah agar mereka menjadi manusia yang berjaya, berguna pada bangsa, agama dan negara.

Berkat kesungguhannya itu, dua daripada enam anak beliau berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara dengan masing-masing dalam bidang kejuruteraan kimia di Amerika Syarikat dan bidang teknologi binaan di United Kingdom .

Sementara itu, Alias Ismail diumumkan sebagai Tokoh Nilam Guru pada majlis yang sama.

15,000 Murid Kafa Terengganu Akan Khatam Al-Quran Tahun Ini

Seramai 15,000 murid Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di Terengganu dijangka akan khatam Al-Quran tahun ini pada satu majlis yang akan diadakan pada bulan Oktober nanti.

Timbalan Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Alias Jaafar berkata jumlah itu merupakan sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan negeri sebagai usaha memastikan lebih ramai anak negeri khatam Al-Quran sebelum meninggalkan alam persekolahan di peringkat rendah.

Katanya sehingga Mac tahun ini sahaja dari bimbingan yang dilakukan oleh guru-guru Kafa, 6,993 orang sudah khatam Al-Quran.

Bercakap kepada pemberita di Besut di sini pada Ahad, Alias berkata semua majlis khatam Al-Quran murid-murid KAFA akan dibuat di kawasan parlimen masing-masing kecuali bagi parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di mana mereka akan digabungkan.

Alias berkata tahun lepas 14,241 murid Kafa khatam Al-Quran dan jumlah itu lebih ramai berbanding pada tahun sebelumnya iaitu 13,877 orang.

Beliau seterusnya berkata tahun lepas pengurusan kelas Kafa menerima bantuan RM21 juta daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi pengurusan guru-guru Kafa di seluruh negeri yang seramai 3,141 orang.

Program perhimpunan Melayu Bangkit 14 Jun

Gerakan Kebangkitan Rakyat (Gertak) bersama 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan meneruskan program perhimpunan Melayu Bangkit pada 14 Jun ini di Stadium Negeri selepas mendapat persetujuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan memberi ucaptama pada majlis itu.

Pengerusi Gertak, Razali Idris, berkata program itu yang sebelum ini dijadualkan pada 13 Mei di Stadium Tertutup Gong Badak terpaksa ditangguhkan ke tarikh berkenaan atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun, katanya, pengisian program itu membincangkan isu membabitkan bangsa Melayu termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Wawasan 2020 dan perancangan ke arah penyatuan orang Melayu secara khusus.

"Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama pada majlis itu yang dijangka dihadiri lebih 20,000 peserta termasuk dari luar Terengganu," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Agung, Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia, Syed Anuar Syed Mohamad dan Naib Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Terengganu, Datuk Ramli Embong.

Menerusi program itu, Razali berharap hubungan sesama orang Melayu yang mula renggang berikutan perselisihan dalam pelbagai aspek termasuk politik, ekonomi dan pendidikan akan kembali bersatu untuk kestabilan negara.

Katanya, singkatan perkataan Gertak yang digunakan sebenarnya diambil daripada dialek Terengganu yang bermaksud jambatan, bertujuan menghubungkan orang Melayu walaupun berbeza fahaman politiknya.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon permit daripada pihak berkuasa hari ini.

“Penyertaan terbuka kepada bangsa Melayu, tetapi Gertak tidak mempunyai sebarang masalah jika bukan Melayu ingin turut serta dalam program itu asalkan mereka menghantar surat terlebih dulu kepada penganjur,” katanya.

Selain ucaptama Dr Mahathir, program dijadualkan bermula jam 10 pagi itu akan turut menampilkan persembahan pencak silat, deklamasi sajak dan pameran warisan Melayu oleh Lembaga Muzium Terengganu.

Sunday, May 30, 2010

Kakitangan awam perlu bersikap ‘cakna rakyat’

Kakitangan awam bergambar bersama Menteri Besar dan SUK selepas majlis penyampaian anugerah Khidmat Cemerlang. – Gambar Zulkifli Putra

Minggu lalu, dua kali Datuk Ahmad Said mengingatkan kakitangan awam terutama pegawai kanan supaya peka dan mendalami masalah rakyat.

Bukan orang politik sahaja yang perlu cakna rakyat tetapi kakitangan awam yang berurusan setiap hari dengan rakyat juga perlu cakna dengan masalah mereka.

Kali pertama Ahmnad Said menyebut perkasra itu ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman pada Selasa (25 Mei) dan kemudian pada sidang media sehari selepas itu iaitu Rabu (26 Mei).

Menteri Besar memang berang kalau sekiranya kakitangan awam tidak mengambil berat soal rakyat.

Apa tidaknya, berikutan kelalaian dan tidak bertanggungjawab kakitangan awam yang diamanahkan, beberapa projek di Terengganu terbengkalai atau rosak selepas dibina.

Contoh jelas ialah bagaimana Dewan Bedah Hospital Setiu dan Pusat Akuatik yang ditutup tidak dapat dibuka semula kerana kelewatan pegawai mengambil tindakan proaktif.

"Bagi saya ini satu perbuatan yang cuai, tidak bertanggungjawab dan kalau saya, saya tidak boleh maafkan perkara ini kerana ia bukan sahaja membazir wang, malah rakyat tidak mendapat faedah yang sepatutnya mereka perolehi," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kuala Terengganu Rabu lalu.

Hospital Setiu yang berharga RM65.8 juta mula digunakan sejak tahun 2003, namun sehingga kini dewan bedahnya masih tidak dapat digunakan setelah mengalami beberapa masalah.

Pusat Akuatik MBKT berharga RM18 juta dibina kerajaan Terengganu untuk acara renang Sukan Malaysia (Sukma) 2008, bagaimanapun ditutup selepas setahun siap dibina kerana didapati banyak bahagian yang bocor dan berkarat.

Pada Julai tahun lepas Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor ketika membuat tinjauan ke pusat itu berkata kualiti pusat akuatik itu tidak mencapai tahap yang ditetapkan menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan baik.

Ahmad Said mengingatkan, melalui slogan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan – rakyat perlu didahulukan, bukan sekadar janji manis.

Bukan sekadar kakitangan awam sahaja akan dicemuh sekiranya gagal memberikan perkhidmatan yang baik, kepimpinan negeri, terutamanya orang politik juga akan merasainya bukan sekadar tempias tetapi dipersalahkan bulat-bulat.

Malah, menurut istilah Ahmad Said, orang politik akan dijadikan ‘tong sampah’ – tempat orang ramai atau rakyat melemparkan rasa tidak puas hati mereka sedangkan masalah itu berpunca daripada kakitangan awam yang tidak cekap.

Kerana itu, kakitangan awam khususnya pegawai kanan dinasihati supaya menyelidik sehingga ke akar umbi, sekiranya sesuatu tugas sama ada berkaitan penyediaan infrastruktur, pentadbiran atau urusan tanah yang dilaksanakan itu masih tidak sempurna di hati rakyat.

Langkah ini cukup penting bagi mengelak rakyat mencemuh apa yang dilaksanakan kerajaan di mana secara tidak langsung memberi impak negatif kepada pemimpin politik.

Kerana itu beliau terus mengingatkan pegawai-pegawai kerajaan di Terengganu agar tidak terlalu cepat berpuas hati dengan apa yang dicapai kerana itu akan memberi kesan buruk kepada jabatan.

Beliau berkata amalan mudah berpuas hati dengan apa yang dibuat akan melahirkan pegawai-pegawai yang tidak komited terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Pegawai kerajaan hendaklah sentiasa turun padang memantau sendiri sesuatu projek yang dijalankan dan tidak hanya bergantung laporan daripada pekerja di bawah.

"Hanya pegawai yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan jika ada masalah berbangkit," katanya.

Berkaitan ini beliau tidak menolak masih terdapat segelintir kakitangan bersikap sentiasa berpuas hati dengan apa yang dilaksanakan tanpa perlu menyelidik secara terperinci dan turun padang untuk menyiasat.

“Sikap ambil mudah yang pasti menjejaskan imej kerajaan perlu dikikis dengan meningkatkan nilai intergriti, mengamalkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan secara bijak sana serta seadil mungkin, “ katanya.

Ahmad Said berpendapat, tindakan itu perlu wujud dalam diri kerana penjawat awam merupakan aset penting kepada kecemerlangan pentadbiran dan perkhidmatan di Terengganu.

MB hargai usaha PEWARTA

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sudah menyatakan persetujuannya untuk hadir pada ‘Malam PEWARTA 2010’ pada 6 Jun ini di kediaman Menteri Besar, Seri Iman Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri juga dikatakan menghargai usaha PEWARTA mengumpulkan wartawan, bekas wartawan, penulis dan pengarang media cetak dan elektronik yang berasal dari Terengganu sama ada yang bertugas di negeri ini atau yang pernah berkhidmat di Terengganu.

Kehadiran mereka pada majlis penganugerahan mengenang jasa bagi menghargai pengorbanan mereka selama ini sangat dialu-alukan.

Difahamkan, kerajaan negeri sedia membantu PEWARTA untuk melaksanakan aktiviti tahunannya yang sudah disusun dan sudah dimaklumkan kepada Menteri Besar.

Kerajaan negeri mengucapkan syabas diatas usaha murni penganugerahan mengenang jasa ini yang kepada wartawan, bekas wartawan dan pemimpin masyarakat yang berasal dari Terengganu.

Usaha ini dianggap memberi suntikan baru dan mendorong mereka untuk lebih aktif pada masa akan datang.

Menurut Timbalan Presiden PEWARTA, Mohamed Jusoh, pihaknya menghargai bantuan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri.

“Sebagai persatuan wartawan, kami melihat usaha kerajaan negeri ini sesuatu yang akan memberikan masa depan yang positif dalam konteks kerjaya dan sumbangan wartawan,” katanya.

Kemesraan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar dalam pertemuan dengan beliau amat dihargai.
Sementara itu, Mohamed berkata, selain Firefly, Penerbangan Malaysia (MAS) turut menaja malam PEWARTA.

Katanya, beberapa syarikat lain, termasuk anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu turut menyumbang.

Dijangka lebih 400 tetamu akan hadir pada majlis itu.

Pada sebelah pagi PEWARTA akan mengadakan mesyuarat agung bagi memilih ahli jawatan kuasa baru 2010-2011.

Tambak pantai – pendapatan nelayan tempatan terjejas?

Kira-kira 50 nelayan di Pantai Teluk Ketapang. Seberang Takir merungut pendapatan mereka terjejas ekoran tidak dapat turun ke laut kerana kerja-kerja penambakan pantai di kawasan itu.

Menurut nelayan terlibat, keadaan itu menyebabkan mereka tidak dapat membekalkan ikan kepada pemborong dan pembeli ikan yang merupakan pembeli utama hasil laut itu.

Seorang nelayan, Abdul Halim Long, 43, berkata, dia sudah enam hari tidak dapat turun ke laut sejak projek penambakan pantai itu dijalankan 10 hari lalu.

Menurutnya, terdapat batang paip di gigi air yang menghalang nelayan menurunkan bot ke laut.
''Saya tidak mampu mengangkat bot gentian kaca ini dari pantai ke laut seorang diri. Ia berat.

Sebab itu saya tak dapat turun ke laut sejak projek penambakan itu dijalankan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Rakannya, Mohd. Noor Taib, 51, berkata, mereka kehilangan pendapatan bersih antara RM30 hingga RM40 sehari kerana tidak dapat keluar menangkap ikan.

''Kebanyakan daripada kami bergantung penuh dengan pendapatan menangkap ikan untuk menyara keluarga. Jika keadaan ini berterusan, bagaimana kami nak meneruskan hidup.
''Ini tidak bermakna kami menentang projek ini kerana tahu ia untuk keindahan kawasan ini, jadi kami minta ia dipercepatkan supaya tidak terus mengganggu sumber pendapatan nelayan," ujarnya.

Dia juga berharap pihak berkenaan akan membantu menyediakan pampasan kepada golongan nelayan terlibat ekoran pelaksanaan projek tersebut.

Dalam pada itu Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Teluk Ketapang, Mohd. Razaki Abdullah, 60, berkata, pihaknya telah mengajukan masalah berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Ahmad Razif Abd. Rahman.

''ADUN meminta saya mengumpul nama-nama nelayan yang terlibat dan akan berusaha membantu mereka.

Namun setakat ini kami masih belum dimaklumkan mengenai tindakan penyelesaian yang akan diambil," katanya.

Terengganu kekal di tangga ketiga

Terengganu kekal di tangga ketiga liga dengan 37 mata apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Kuala Lumpur di Stadium Bola sepak Kuala Lumpur di Cheras.

Terengganu di depan hasil jaringan Ashaari Samsudin pada minit ke-52, sebelum Badrul Hisyam Azmi menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti di minit ke-69.

T-Team pula gagal menggunakan kesempatan aksi di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, apabila seri 2-2 dengan Kedah walaupun Azrul Azwan Aminuddin meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-44.

Kedah menyamakan kedudukan pada minit ke-48 melalui Shahrulnizam Mustapha dan Baddrol Bakhtiar meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-68, sebelum Harizul Izuan Abd. Rani muncul wira dengan gol penyamaan buat T-Team empat minit sebelum perlawanan tamat.

Pendahulu Liga Super, Selangor mencatat kemenangan kali ke-10 berturut-turut sejak April lalu apabila berjaya menewaskan Perlis 2-0 di Stadium Shah Alam semalam seterusnya mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Super.

Rudie Ramli muncul wira buat pasukan bimbingan K. Devan selepas menjaringkan gol pada minit kelapan dan 63, yang menewaskan penjaga gol lawan, Mohd Farizal Marlias.

Ini bermakna Selangor mengekalkan kelebihan lapan mata berbanding pencabar terdekat, Kelantan apabila menewaskan Perlis 2-0 di Stadium Shah Alam, Sabtu malam.

Selangor kini mengumpul 50 mata secara keseluruhan.

Kelantan pula mengumpul 42 mata setelah bangkit menewaskan Pulau Pinang 3-1 di Stadium Batu Kawan setelah tersentak dengan gol awal tuan rumah melalui Chun Ken Hong pada minit ke-22.

Skuad bimbingan B.Sathianathan itu bangkit dengan tiga gol pada separuh masa kedua melalui Hairuddin Omar (m-66), Akmal Rizal Ahmad Rakhli (m-75) dan Che Hishammuddin Hassan (m-88).

Dalam pada itu, jaringan tunggal Azizan Baba pada minit ke-82 membolehkan Johor FC menumpaskan Perak 1-0 di Stadium JCorp di Pasir Gudang untuk berada di tempat keempat dengan 32 mata.

Negeri Sembilan pula kembali menjumpai sentuhan kemenangan apabila membelasah Johor 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan Abdul Halim Zainal membuka jaringan seawal minit ketiga permainan untuk tuan rumah.

Penyerang kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak turut menemui sentuhan gol apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-65 dan 78 manakala gol saguhati pelawat dijaringkan melalui L.Rajesh pada minit ke-77.

Bukit Besi dimajukan kembali

Oleh: Ruslan Abdul Rahman (UKOM)

Berita kerajaan negeri mahu memajukan semula lombong di Bukit Besi bagaikan menyentak semula kenangan mereka yang pernah hidup di sana.
Lebih-lebih lagi kepada anak-anak pekerja lombong di situ yang kini berada di serata tempat, menerima berita itu dengan penuh berbaur gembira dan sayu. Sayu kerana terkenangkan zaman lampau di sana yang sungguh nostalgik, di masa mereka masih kanak-kanak.


Sedih dan sayu kerana kebanyakan ibubapa mereka yang pernah bergelumang di bandar lombong itu telah pun pulang kerahmatullah.

Zaman-zaman kegemilangan Bukit Besi, terutamanya awal tahun 60 an hingga 70 an menjadi ingatan yang sukar dilupakan kerana di sanalah ekonomi Terengganu waktu itu dijanakan.

Dalam waktu kepayahan rakyat Terengganu menghadapi kehidupan, terutama oleh kemiskinan, kekurangan pendidikan, kesihatan dan lain-lain, tetapi penduduk Bukit Besi di kala itu jauh ke hadapan dalam segala-galanya, bahkan di awal tahun 1930 an sudah didapati bekalan air dan elektrik disediakan.

Kerajaan negeri Terengganu bercadang membuka semula kawasan perlombongan bijih besi di Bukit Besi dan mengarahkan Jabatan Mineral dan Geologi supaya membuat kajian tentang perkara itu.

Perlombongan ini akan dilakukan dengan usahasama pihak tertentu dengan anak syarikat kerajaan negeri memegang sebahagian besar kepentingannya.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said sendiri turun membuat lawatan ke kawasan perlombongan bersejarah itu.

Di zaman era kegemilangan Bukit Besi dahulu pada tahun-tahun 60-an hingga 70-an, bahkan sebelum mardeka didapati lebih 4,000 orang bekerja di situ sehingga menjadikan Bandar Bukit Besi bandar paling maju di Terengganu sehingga membawa kepada pembinaan pelbagai prasarana untuk menampung keperluan ekonominya.

Bagaimanapun, era kegemilangan itu berakhir hampir 35 tahun lalu selepas lombong bersejarah itu ditutup. Namun, kini kawasan itu dipercayai masih mempunyai bahan galian tersebut.

Di samping bercadang mengusahakan semula lombong besi, kerajaan negeri akan memulihkan infrastruktur dan artifak-artifak lama yang pernah dibina semasa zaman perlombongan sebagai satu tarikan pelancongan terbaru di negeri ini.

Jabatan Muzium diminta mewartakan kawasan-kawasan serta artifak yang terlibat dalam usaha memulihara kembali tinggalan sejarah itu.

Apabila siapnya lebuh raya Pantai Timur fasa dua (LPT2) pada 2012 nanti, sudah tentu Bukit Besi akan bersinar kembali sebagai destinasi pelancongan yang penuh memori dan sejarah silam.

Berdasarkan sejarah, kegiatan perlombongan bijih besi di Bukit Besi bermula apabila seorang ahli kajibumi dari Jepun, Mr. Kuhara datang ke Cemuak, Hulu Dungun pada tahun 1916; mendapati terdapat kandungan bijih besi dengan jumlah yang besar di kawasan tersebut.

Di zaman permulaan, bijih besi diangkut dengan kereta tolak daripada Bukit Besi ke Kg. Dendang, kemudian ia di bawa ke Dungun menggunakan bot.

Syarikat Kuhara Mining Ltd telah menjalankan kegiatan melombong bijih secara tidak rasmi semenjak 1927. Ia kemudian ditukar nama kepada Nippon Mining Company (NMC).
Suatu perkara yang agak menarik, sejarah Bukit Besi ini amat sinonim dengan keretapi di Terengganu.

Satu-satunya perkhidmatan keretapi pernah wujud di Terengganu, pada tahun 1930 ialah hasil dari perlombongan besi di Bukit Besit.

Pada tahun 1930, laluan keretapi Dungun - Bukit Besi telah dapat disiapkan di stesen Che' Lijah. 'stock pile' atau tempat memunggah bijih yang pertama di Kampung Che' Lijah. Dari situ bijih-bijih besi dimuatkan ke dalam bot untuk dibawa ke Kuala Dungun.

Namun selepas itu, laluan keretapi di panjangkan hingga ke Nibong (dikenali Nibong Stesen) seterusnya ke Sura setelah sebuah bukit berjaya dibuat laluan keretapi melalui terowong, sehinggakan bukit itu dikenali sebagai Bukit Tebuk.

Eastern Mining and Metal Company (EMMCO) adalah syarikat yang mengendalikan perlombongan selepas Perang Dunia Kedua di bawah naungan British.

EMMCO telah memulakan kegiatannya secara besar-besaran di awal 1950an, kerana permintaan yang tinggi dari syarikat-syarikat di Jepun.

Bagi mendapatkan keuntungan besar dalam masa yang singkat, EMMCO telah menggandakan pengeluaran bijih sehingga aktiviti pengeluaran dijalankan 24 jam sehari tanpa henti.
Jentera-jentera moden juga telah digunakan dalam proses pemecahan batu-batu bijih. Dengan ini pihak syarikat telah berjaya meningkatkan pengeluaran dan menghasilkan bijih besi yang lebih bermutu, di samping mengaut keuntungan yang berlipat ganda.
Kemuncak pengeluaran ialah antara 1960 - 1964 dengan jumlah pengeluaran melebihi 2,000,000 tan setahun.

Pada 1 Oktober 1970, Lembaga Pengarah EMMCO telah membuat keputusan muktamad untuk menutup lombong Bukit Besi.

Terdapat berbagai faktor yang menyebabkan penutupan ini, walaupun kandungan bijih besi dipercayai masih terdapat dengan banyak lagi.

Penutupan lombong bijih besi memberi kesan ekonomi dan kehidupan penduduk-penduduk Bukit Besi dan Dungun akibat kehilangan pekerjaan.

Ramai daripada mereka telah berhijrah ke tempat-tempat lain untuk mendapatkan pekerjaan baru.

Sudah tentu berita Bukit Besi hendak dibuka semula memberi harapan baru kepada mereka yang pernah menetap di sini, bahkan kepada anak-anak bangsa penjajah sebelum ini yang pernah menetap di Bukit Besi di zaman kanak-kanak.

Hasrat membuka semula lombong besi itu tentulah berdasarkan prestasi industri besi dan keluli dijangka lebih baik, dengan permintaan semakin meningkat, dirangsang oleh peningkatan aktiviti sektor pembinaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sebuah syarikat Malaysia dijangka membuat pelaburan baru sebanyak RM300 juta dalam industri ini dalam tempoh satu hingga dua tahun.

Eksport besi dan keluli negara pada tahun lepas berjumlah RM8.82 bilion.
China menyumbang 50 peratus pengeluaran besi dan keluli dunia,kata Datuk Seri Mustapa tahun lalu pada sidang media selepas satu dialog kementeriannya bersama wakil industri besi dan keluli.

Lantaran itu, kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato’ Ahmad sentiasa memandang jauh ke hadapan melihat Terengganu mempunyai potensi besar untuk kembali cergas mengeluar dan mengeksport loga besi ini, bahkan menjana industri besi dan keluli sebagai nilai tambah kepada ekonomi negeri dan rakyat Terengganu.

Kalau China boleh menyumbang 50 peratus pengeluaran besi dan keluli dunia mengapa tidak kita?

Tiga Atlet Tinju Sukma Terengganu Digugurkan Kerana Masalah Disiplin

Skuad tinju Terengganu menghadapi ujian awal sebelum berlangsungnya Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka bulan depan apabila terpaksa mengugurkan tiga atletnya kerana masalah disiplin.

Setiausaha Persatuan Tinju Amatur Terengganu (PTAT) Razali Mamat berkata keputusan menggugurkan tiga atlet tersebut terpaksa dilakukan walaupun sukar untuk diterima dalam saat-saat akhir menjelang temasya itu.

Antara sebab atlet itu digugurkan ialah kerana ponteng latihan, katanya semalam. Beliau tidak mendedahkan nama tiga atlet yang digugurkan itu.

Beliau berkata kini skuad tinju Terengganu bergantung kepada enam lagi atlet dalam usaha mengejar dua pingat emas yang disasarkan pada Sukma kali ini.

Tiga daripada enam atlet berkenaan iaitu Mohd Hassan Salman Zakaria kategori 48kg, Wan Mohd Redzuan Wan Aziz (54kg) dan Mohd Farid Zahari (57kg) kini menjalani latihan di Pusat Latihan Tinju Kebangsaan Thailand, di Korat.

Sementara tiga lagi iaitu Mohd Hishamuddin Zahari (45kg), Tengku Nasaruddin Tengku Yeng (69kg) dan Wan Abdullah Wan Mohammad (60kg) menjalani latihan di Negeri Sembilan kerana terikat dengan jadual persekolahan.

Lima lagi taska Permata beroperasi Jun ini

Lima taman asuhan kanak-kanak (taska) Permata yang masih belum dibuka kerana beberapa masalah pembinaan di negeri ini dijangka bakal beroperasi selewat-lewatnya Jun ini.

Taska-taska tersebut terletak di Jertih, Langkap, Ladang, Kemasik dan Chukai di Kemaman.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Permata Negara, Datuk Siti Azizah Sheikh Abod berkata, kesemua taska tersebut seharusnya beroperasi Januari lalu namun disebabkan masalah pertukaran lokasi, kelewatan pembinaan dan masalah cuaca menyebabkan operasinya terpaksa ditangguhkan.

Katanya, bagaimanapun setakat ini beliau berpuas hati dengan pembinaan 32 buah Taska Permata di negeri ini yang hampir 90 peratus telah siap diguna pakai.

"Hampir kesemua taska yang dibina di sini mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan termasuk pembelajaran, aktiviti dan latihan yang diberikan mengikut modul Permata," katanya selepas lawatan kerja di Taska Permata Durian Burung dekat Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Mohd. Shafaruddin Mustaffa.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang banyak membantu dalam melaksanakan program Taska Permata di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Ujarnya, dengan wujudnya Taska Permata ia memberi kemudahan selain peluang kepada kanak-kanak untuk mendapatkan pembelajaran serta proses tumbesaran secara sihat dan baik.
"Taska Permata memenuhi kehendak ibu bapa dalam membentuk serta memberi pembelajaran secara efektif kepada anak-anak serta di dalam persekitaran yang selamat.

"Jadi ibu bapa kini tidak lagi perlu bimbang untuk menghantar anak-anak mereka ke taska memandangkan kita menempatkan pengasuh yang berpengalaman dalam tugasan tersebut," jelasnya