Saturday, April 2, 2011

Liga M berehat 30 Mei-6 Julai

Seperti dijanjikan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminda jadual perlawanan Liga Super dan Liga Perdana demi keutamaan kepada persediaan skuad negara dan Bawah 22 Tahun ke Kelayakan Piala Dunia 2014 dan Sukan Olimpik 2012.

Kedua-dua liga hanya bakal direhatkan dari 30 Mei hingga 6 Julai sekali gus mampu melebarkan senyuman Ong Kim Swee, yang turut mendapati undian pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 kelmarin menyebelahinya kerana menemukan skuad Bawah 22 dengan Lebanon, di samping jurulatih negara, K. Rajagobal.

Tarikh baru bagi perlawanan menentang T-Team, Sabah dan Pahang yang sebelumnya dijadualkan pada Jun, sudah pun diperoleh atas permintaan Kim Swee iaitu 12 Mei, 15 Mei dan 31 Mei ini serta 6 Julai, tanpa perlu menunggu keputusan undian di Rumah Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil itu.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata: "Semua pemain dalam kedua-dua skuad negara ini berpeluang kembali ke pangkuan negeri atau kelab masing-masing.

Pindaan ini turut menepati janji kami untuk tidak menjejaskan tumpuan atau peluang mana-mana pasukan dalam liga.

"Kami membuat keputusan berhubung pindaan ini lebih awal setelah mendapat tahu dan membuat congakan mengenai pembahagian kumpulan kelayakan serta ranking negara peserta seperti ditetapkan AFC tanpa perlu menunggu hari undian.

"Malah tiada jadual perlawanan yang dipinda sepanjang bulan April dan Mei manakala separuh akhir Piala FA yang masih disaingi Pahang, Terengganu, Selangor dan Kelantan dikekalkan pada 12 dan 15 Mei selain perlawanan akhir, 11 Jun," katanya.

Sebahagian besar pemain Harimau Muda A yang dibimbing Kim Swee, membarisi skuad Kelayakan Olimpik negara selain diperkuatkan tonggak skuad senior dari skuad negeri handalan Liga Super di samping segelintir bintang Harimau Muda B yang beraksi dalam Liga Perdana yang diterajui Ismail Ibrahim.

Dalam Kelayakan Olimpik, anak buah Kim Wee akan bertandang ke Beirut terlebih dulu, 19 Jun sebelum melayani Lebanon, 23 Jun sementara Rajagobal dan pasukan senior menjadi tuan rumah dalam perlawanan pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia, 29 Jun dan mengunjungi Taipei untuk menentang Taiwan, 3 Julai. Pada Februari dan bulan lalu, skuad Bawah 22 Tahun negara menewaskan Pakistan 2-0 secara agregat dalam pusingan pertama Kelayakan Olimpik (menang 2-0 di Shah Alam dan diikat tanpa jaringan di Lahore).

Malaysia hanya pernah layak ke Sukan Olimpik pada 1972 di Munich, tetapi memulaukan temasya Moscow 1980 kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan namun masih belum mampu menembusi pusingan akhir Piala Dunia sejak menyertai kelayakannya pada 1973.

Kelayakan Olimpik 2007 menyaksikan anak buah B. Sathianathan disekat Jepun dan Syria di peringkat kumpulan sementara Bahrain menghampakan kita sejak pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2007 dengan agregat 4-1 selepas dua perlawanan di Manama dan Shah Alam.

Utusan Malaysia

Tekong Dicampak Awak-awak Ke Laut Belum Ditemui

Nasib seorang tekong bot nelayan warga Thailand yang dipukul dan dicampak ke laut setelah bergaduh dengan empat awak-awaknya belum diketahui.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan, berkata lelaki itu dicampak di perairan Pulau Redang dalam kejadian pada 4 petang Ahad lepas dipercayai berpunca daripada salah faham. Pembantu tekong, juga warga Thailand, yang turut dicampak ke laut setelah ditumbuk awak-awak, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.

Manoharan berkata pembantu tekong berumur 54 tahun itu berada di laut hampir 24 jam sebelum ditemui dalam keadaan lemah di pantai berkenaan dengan kesan lebam di muka pada 3 petang keesokan harinya.

Dia dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan. "Kita telah meminta bantuan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia untuk membantu mengesan mangsa," katanya.

Manoharan berkata bahawa selepas tekong dan pembantu tekong itu dicampak ke laut, bot berkenaan dikendalikan oleh awak-awak. Mereka dipercayai gagal mengawalnya sebelum ia terhempas pada batu pada 5 petang hari yang sama dan kesemua mereka berenang menyelamatkan diri ke Pantai Tok Jembal di sini.

Keempat-empat awak-awak itu, tiga darinya berasal dari Kemboja manakala seorang dari Thailand, berumur antara 23 dan 27 tahun itu ditahan pada hari yang sama, kata Manoharan.

Empat awak-awak itu kini direman untuk siasatan lanjut manakala pembantu tekong turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah, katanya.

Pelajar Golongan Ketiga Tertinggi Terlibat Kemalangan Elektrik

Pelajar sekolah merupakan kategori ketiga paling tinggi terlibat dalam kemalangan elektrik selepas kontraktor dan mereka yang tidak bekerja, kata Pengurus Besar Kanan (Senggaraan Aset) Bahagian Penghantaran, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ho Peng Choong.

Antara punca utama kemalangan elektrik adalah pemasangan dan senggaraan yang tidak sempurna serta prosedur kerja selamat yang tidak dipatuhi.

Beliau berkata demikian merasmikan Seminar Kesedaran Keselamatan Elektrik 2011 peringkat negeri Terengganu di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berharap seminar itu dapat dimanafaatkan oleh peserta terdiri daripada guru dan pelajar yang juga boleh menjadi mata dan telinga TNB bagi memantau dan membantu membanteras perbuatan jenayah dan vandalisme yang boleh mendatangkan pelbagai masalah keselamatan elektrik.

Ho berkata sebanyak 395 kes kemalangan elektrik berlaku di seluruh negara antara tahun 2005 dan 2010, 193 daripadanya melibatkan kehilangan nyawa.

Kes Demam Denggi Di Terengganu Meningkat

Sebanyak 301 kes demam denggi dilaporkan dalam tempoh 20 Mac hingga 26 Mac, iaitu penurunan sebanyak 56 kes berbanding 357 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata jumlah terkumpul sehingga 26 Mac adalah 5,160 kes, penurunan 58 peratus atau 6,997 kes berbanding 12,157 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lepas.

"Kes kematian akibat denggi juga menurun sebanyak 81 peratus atau 35 kematian, di mana terdapat lapan kematian bagi tahun 2011 berbanding 43 dalam tempoh sama pada tahun 2010," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tujuh buah negeri bagaimanapun menunjukkan peningkatan kes dalam tempoh itu berbanding minggu lepas iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya yang meningkat sebanyak 14 kes, Sabah (3 kes), Terengganu (3 kes), Kedah (2 kes), Kelantan (2 kes), Labuan (1 kes) dan Negeri Sembilan (1 kes).

Dr Hasan berkata sepanjang minggu lepas terdapat 56 lokaliti wabak di 17 daerah dipantau di seluruh negara dengan lapan daripadanya merupakan lokaliti 'hot spot' yang melibatkan sebanyak 89 kes demam denggi berbanding hanya tiga lokaliti 'hot spot' pada minggu sebelumnya.

"Lima lokaliti baru dilaporkan pada minggu lepas berlaku di Selangor iaitu di Seksyen 18 (Teres A 18/16B) di daerah Petaling, Seksyen 4 Bandar Rinching di daerah Hulu Langat, Bandar Country Homes Fasa 13 dan Taman Hijau Rawang masing-masing di daerah Gombak.

"Manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, lokaliti 'hot spot' baru adalah di PPR Laksamana (Jalan Peel) di zon pusat bandar," katanya.

Bagi kes penyakit Chikungunya pula, terdapat satu kes dilaporkan di Sabah untuk tempoh 20 Mac hingga 26 Mac menjadikan jumlah terkumpul bagi penyakit itu ialah 11 kes, penurunan sebanyak 98 peratus berbanding 500 kes yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun lepas.

Thursday, March 31, 2011

Petani Berkelompok Di Chabang Tiga Rugi Hampir RM10,000 Sebab Banjir

Hujan lebat yang turun tanpa henti sejak petang kelmarin mengakibatkan sekumpulan petani berkelompok di Kampung Che Long, Titian Hangus, Chabang Tiga di Kuala Terengganu, kerugian hampir RM 10,000 apabila kebun mereka dinaiki air hampir satu meter.

Ketua petani berkelompok tersebut Idris Jusoh, 42 berkata kejadian banjir di luar musim itu menyebabkan pelbagai tanaman seperti salad, kobis, kangkung, bendi, cili, dan timun yang ditanam di tanah seluas hampir empat hektar musnah.

"Projek pertanian berkelompok ini disertai 12 orang dan kebanyakan mereka terdiri daripada orang kampung berumur 40 hingga 60 tahun yang bergantung sepenuhnya dengan hasil tanaman untuk sara hidup mereka. "Apabila tanaman yang sepatutnya dapat dituai dalam tempoh dua minggu lagi ini musnah, habislah punca rezeki mereka," katanya ketika ditemui Bernama, kelmarin.

Idris juga berkata sistem perparitan yang sempit di kawasan itu menyumbang kepada kejadian banjir tersebut.

Sekalipun telah banyak kali masalah parit itu diadu kepada Jabatan Parit dan Saliran, tidak ada tindakan diambil oleh pihak berkuasa tersebut, katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkenaan memikul tanggungjawab dan membayar ganti rugi kepada peserta yang rata-ratanya warga emas bagi meringankan beban mereka. Beliau berkata kesemua hasil tanaman itu sebelum ini dijual di Pasar Borong Gong Pauh, di Wakaf Mempelam.

IPK Terengganu Anjur Program Derma Darah Sempena Hari Polis

Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu akan menganjurkan Program Derma Darah sempena memperingati hari Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke-204 bagi tahun 2011 di Dewan Redang IPK, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu, esok (31 Mac).

Ketua Jabatan Pengurusan Superintenden Norhani Shariff berkata, kira-kira 300 individu dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan, persatuan dan kelab dijangka hadir dalam program tahunan ini.

Katanya, surat jemputan mengenainya sudah diedarkan ke beberapa jabatan kerajaan termasuk pejabat Unit Komunikasi Negeri, Jabatan Kerja Raya Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Jabatan Pertanian Terengganu dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu.

“Mereka yang menyokong program murni ini amat dihargai kerana dapat membantu pesakit Hospital Sultanah Nur Zahirah yang memerlukan darah,” katanya.

Wednesday, March 30, 2011

Sikap Cakna Rakyat Ahmad Said Dapat Pujian Mangsa Banjir

Ahmad Said meluangkan masa bertanya khabar mangsa banjir di SRK Tok Jembal, petang semalam. - Gambar Harith Fadzilah.

YB kita bagus. Dia banyak bantu kita’ kata seorang wanita kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said merujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Wanita berkenaan, salah seorang mangsa banjir dan berpindah sementara di Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Jembal, dekat Kuala Terengganu menyatakan perkara itu sambil menunjukkan ibu jarinya tanda ‘bagus’.

Menteri Besar yang ketika itu melawat mangsa banjir di sekolah berkenaan diiringi Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, tersenyum puas.

Sementara itu TeganuKita melaporkan sikap prihatin dan cakna pemimpin nombor satu negeri, Ahmad Said turun padang bagi melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan, Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Jembal, mendapat pujian mangsa banjir.

Kemunculan Menteri Besar ‘turun padang’ amat melegakan mereka yang ditimpa musibah itu.

Hasil tinjauan itu, Ahmad berjanji untuk mengarahkan kerja-kerja membersih kembali longkang tersumbat, selain membina longkang bersaiz besar dalam masa terdekat.

Bagi pihak penduduk, mereka berharap arahan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Seorang mangsa banjir yang juga kakitangan kerajaan, Encik Syukur Amit, berkata dia dan keluarga redha dengan kejadian ini walaupun sudah lima kali berlaku banjir sejak lima tahun menetap di kawasan ini.

“Saya mengharapkan PBT membersih semua longkang yang tersumbat dengan kadar segera kerana dibimbangi kejadian sama akan berulang,” katanya kepada pemberita Teganukita. Puan Suhaila Salim, 35, berkata dia bernasib baik kerana kejadian yang berlaku kali kedua dalam bulan ini, suami Fauzi Lomel berada di rumah.

“Jika tidak situasi cemas dan kelam kabut seperti yang berlaku sebelum ini iaitu pada malam Khamis (24 Mac) lalu pasti berlaku lagi.

“Ketika kejadian pertama, saya bersama lima anak terpaksa mendapatkan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam untuk menyelamatkan diri kerana terlalu cemas apabila melihat air melimpah begitu pantas ke dalam rumah,” katanya.

Katanya, akibat kejadian kali kedua ini, pelbagai barangan kesayangan termasuk kelengkapan sekolah anak-anak rosak dan dihanyut air.

“Kami sekelurga tidak mampu berbuat apa-apa kerana hanya memikirkan untuk menyelamatkan diri dengan berada di kawasan selamat secepat mungkin,” katanya.

Tinjauan Teganukita mendapati semua kanak-kanak mangsa banjir sibuk menyertai pelbagai aktiviti seperti mewarna, melukis, bermain catur dan membaca anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

JKM menghantar tiga kakitangan untuk mengurus aktiviti itu semata-mata menghilangkan rasa bosan ketika berada di pusat pemindahan banjir.

Sikap segelintir individu yang gemar menjadikan longkang sebagai tong sampah sehingga mengakibatkan Taman Murni Permai, Tok Jembal, Kuala Terengganu mengalami banjir kilat amat dikesali.

Kejadian yang berlaku kali kedua dalam bulan ini (Mac) menyebabkan 46 keluarga mengandungi 206 orang terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara di Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Jembal (SKTJ) bermula awal pagi semalam.

Ahmad Said ditemui wartawan, berkata banjir kilat yang melanda Taman Uda Murni adalah kali kedua dalam bulan ini dan semua mangsa dapat dipindahkan dengan selamat hasil bantuan pelbagai pihak.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa membersihkan kembali semua longkang yang tersumbat akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu.

“Kontraktor berkaitan juga perlu bertangungjawab dalam perkara ini, kerana sering mengabaikan syarat-syarat ditetapkan sebelum membina longkang.

“Jika longkang yang ada sekarang ini dibina dengan saiz lebih besar, sudah tentu bencana seperti ini boleh dielak dan tidak akan berlaku,” katanya kepada media ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir di SKTJ.

Katanya, bagi mengelak kejadian sama berlaku pada masa akan datang, PBT akan menyediakan lebih banyak longkang bersaiz besar di samping memastikan longkang tidak dicemari sampah sarap. “Longkang yang tersumbat akan dibuka dan dibersihkan bagi memudahkan air banjir melaluinya tanpa sebarang halangan,” katanya.

Menurutnya, setiap tahun puluhan juta dibelanjakan termasuk projek tebatan banjir bernilai RM5.6 juta di Taman Perumahan Pusu Tiga, Kuala Nerus .

“Alhamdullilah, penduduk di kawasan itu kini sudah berasa lega dan tidak lagi cemas setiap kali hujan lebat melanda.

Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat 893 Orang

Beberapa kenderaan melalui kawasan yang dinaiki air akibat banjir di Kuala Terengganu semalam

Mangsa banjir kilat di empat daerah di Terengganu meningkat kepada 893 orang daripada 234 keluarga melibatkan 13 buah pusat pemindahan sehingga pukul 5 petang semalam.

Pada 2 petang,seramai 748 mangsa dipindahkan di 10 pusat pemindahan berikutan hujan lebat yang melanda sejak Isnin.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Terengganu ketika dihubungi berkata, daerah Kemaman merupakan paling ramai dipindahkan iaitu 409 mangsa daripada 120 keluarga di tiga pusat pemindahan.

"Seramai 117 mangsa daripada 33 keluarga dipindahkan ke Dewan Sivik Kampung Labohan, 285 mangsa daripada 85 keluarga ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kemasik dan tujuh mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Pengkalan Ranggon," katanya semalam.

Katanya di Kuala Terengganu ia melibatkan 226 mangsa daripada 52 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal dan 20 mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke Balai Raya Kampung Kubang Ikan di Cendering.

Beliau berkata seramai 208 mangsa daripada 51 keluarga pula dari daerah Marang yang ditempatkan di enam pusat pemindahan iaitu Balai Raya Kampung Kubu dengan lima mangsa daripada satu keluarga dan Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang 27 mangsa daripada enam keluarga.

Tempat-tempat pemindahan lain iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Marang (60 mangsa daripada 16 keluarga), Balai Raya Binjai Rendah, (sembilan mangsa melibatkan dua keluarga) dan Dewan Sivik Wakaf Tapai, (sembilan mangsa daripada dua keluarga).

Di Dungun pula, dua pusat pemindahan telah dibuka melibatkan 30 mangsa daripada sembilan keluarga dan sehingga kini tiada kes kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir yang melanda negeri itu.

Sementara itu empat laluan terpaksa ditutup iaitu di KM4 Jalan Batu Putih-Kertih di Kemaman yang ditutup kepada semua kenderaan setelah ditenggelami air sedalam 0.67 meter sepanjang dua kilometer. Jalan KM109 dan KM116 Kuala Terengganu-Kuantan yang masing-masing ditutup sebelah

aluannya dan jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di KM14 Kampung Bukit Payong ditutup kepada kenderaan ringan apabila ditenggelami air sedalam 0.75 meter.

Polis Terengganu lancar Ops Payung Banteras Jenayah

Jamshah Mustapa (kanan) menyampaikan payung kepada seorang wakil ketua polis daerah selepas melancarkan Ops Payung peringkat kontinjen di Pasar Tani Bukit Payung, Kuala Terengganu, semalam.

Polis negeri semalam melancarkan Ops Payung sebagai satu inisiatif baru mendekati masyarakat dan melakukan pencegahan jenayah di kawasan tumpuan awam. Ketua Polis Negeri, Datuk Jamshah Mustapa berkata, Ops Payung bertindak sebagai balai polis bergerak selain menggunakan elemen rondaan bit secara bergilir-gilir setiap empat jam di bawah sekaki payung yang dilengkapi dengan meja dan kerusi.

Katanya, menerusi konsep itu ia akan memudahkan orang ramai untuk mengakses perkhidmatan polis tanpa perlu ke balai selain menunjukkan kehadiran polis di lokasi-lokasi tumpuan.

"Kita akan menumpukan kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar, pusat beli-belah dan kawasan pelancongan di seluruh daerah di negeri ini.

"Setakat ini kita telah terima 35 set payung dan akan diedarkan di seluruh balai polis dengan perlaksanaannya bergantung kepada balai polis itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Ops Payung peringkat kontinjen di Pasar Tani Bukit Payung di Marang, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Datuk Hamzah Md. Jamil. Pada majlis itu Jamshah turut mengedarkan risalah kesedaran jenayah kepada peniaga di pasar tani itu.

Beliau turut memaklumkan telah bersiap sedia menempatkan anggotanya di kawasan-kawasan berisiko banjir ekoran hujan lebat yang melanda negeri itu beberapa hari lalu.

Amaran Hujan Lebat di Utara, TImur Negara

Datuk Ahmad Said melawat sebuah sekolah yang menempatkan mangsa banjir di Tok Jembal semalam.

Jabatan Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga di Terengganu yang dijangka berterusan sehingga hari ini serta boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah dan berdekatan tebing sungai.

Menurut kenyataan jabatan berkenaan, hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat itu berlaku di daerah Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman serta turut berlaku di Perlis dan Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang).

Nasihat hujan lebat peringkat kuning yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berdekatan tebing sungai turut dikeluarkan di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Machang) dan Kedah (Yan, Sik dan Kuala Muda) turut dijangka berterusan hingga hari ini.

Dalam pada itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori ketiga yang telah dikeluarkan menunjukkan angin kencang Timur/Timur Laut berkelajuan 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 5.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Condore, Reef North dan Layang-layang dijangka berterusan hingga Sabtu ini.

Berikutan itu, kawasan pantai di Kelantan dan Terengganu terdedah dengan kenaikan paras air laut yang dijangka berterusan sehingga esok selain turut membahayakan semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja pelantar minyak yang dijangka berterusan hingga hari ini.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang menghasilkan angin kencang Timur Laut berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi 4.5 meter di kawasan perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak (Kuching, Mukah, Bintulu dan Miri), Labuan, Sabah (pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), Tioman, Bunguran, Reef South dan Palawan sehingga Sabtu ini.

Sementara itu, angin kencang Barat/Barat Daya berkelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter di kawasan perairan Langkawi, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Phuket dijangka berterusan hingga esok.

Tambah kenyataan itu, kawasan pantai di Pahang dan Johor Timur yang terdedah dengan kenaikan paras air dijangka berterusan sehingga hari ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Banjir Di Terengganu: 748 Dipindah Di Empat Daerah

Sebahagian jalan raya di Bukit-Kuala Terengganu pada Selasa yang ditenggelami air selepas hujan lebat sejak semalam.

Seramai 748 orang dipindahkan ke 10 pusat pemindahan mangsa banjir setakat 2 petang ini setelah empat daerah di Terengganu dilanda banjir berikutan hujan lebat luar biasa sejak kelmarin.

Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Negeri Terengganu berkata empat pusat pemindahan dibuka di Kemaman yang menempatkan 175 mangsa daripada 33 keluarga manakala di Marang sebanyak tiga pusat pemindahan dibuka menempatkan 31 mangsa banjir dari 13 keluarga.

Di Kuala Terengganu, dua pusat pemindahan kini menempatkan 211 penduduk dari 46 keluarga yang mula berpindah sejak tengah malam tadi manakala di Dungun, sebuah pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan 22 mangsa daripada enam keluarga, katanya semalam.

Jurucakap itu berkata operasi di semua pusat pemindahan mangsa banjir itu diselenggara oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sehingga kini bekalan keperluan adalah mencukupi.

Katanya kebanyakan tempat yang dilanda banjir merupakan kawasan rendah terutama di pesisir pantai.

Hujan lebat yang bermula sejak kelmarin dijangka berterusan sehingga hari ini. Tiga laluan juga terpaksa ditutup iaitu di KM4 Jalan Batu Putih-Kertih di Kemaman yang ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air setinggi 0.67 meter sepanjang dua kilometer.

Dua lagi jalan yang ditenggelami air ialah KM109 dan KM116 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan yang masing-masing ditutup sebelah laluannya.

"Bilik Gerakan Bencana negeri akan dibuka 24 jam untuk memantau keadaan," kata jurucakap itu. Mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai banjir di negeri itu boleh melayari laman web http://etindakan.terengganu.gov.my atau menelefon bilik gerakan berkenaan di nombor 09-6316021.

UniSZA Anjur Syarahan Akademik Mengenai Perbezaan Pendapat Mahzab

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menganjurkan Syarahan Akademik Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) kepada umum, esok (Khamis).

Syarahan Akademik yang bertajuk 'Harmonizing Juristic Disagreement Towards the Unity of Ummah' (Mengharmonikan Perbezaan Pendapat Mazhab ke Arah Penyatuan Ummah) akan disampaikan Pengarah Yayasan Islam Kanada, Dr Yusuf Muhyiddin Riq El-Bakhur Al-Hasani.

Dr Yusuf Muhyiddin juga merupakan anggota Majlis Ulama Syria dan Penasihat Kehormat Komuniti Muslim di Amerika Utara serta Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Lubnan.

Ketua Jabatan Syariah FKI, Tengku Fatimah Muliana Tengku Muda berkata syarahan akademik itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang keanjalan Islam dalam mendepani kekeliruan yang timbul dari percanggahan pendapat di kalangan ulama dan mazhab.

Syarahan yang dijangka dihadiri dianggarkan 570 peserta itu akan diadakan di Dewan al-Muktafi Billah Shah, kampus Gong Badak, di Kuala Terengganu bermula pukul 10 pagi.

"Golongan profesional khususnya ahli akademik, wakil jabatan, badan atau institusi kerajaan dan swasta, pelajar serta masyarakat awam dialu-alukan menyertai syarahan akademik yang diadakan secara percuma itu," katanya.

Kencana Peroleh Kontrak RM216 Juta Daripada Petrofac


Kencana Petroleum Bhd mengumumkan bahawa syarikat milik penuhnya Kencana HL Sdn Bhd (KHL), memperoleh kontrak bernilai RM216 juta daripada Petrofac (Malaysia-PM304) Ltd (Petrofac), bagi kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (EPC) pelantar telaga bagi lapangan minyak Cendor.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata KHL akan melaksanakan EPC dua unit pelantar telaga bagi Projek Pembangunan Fasa 2 Cendor, terletak di luar pantai Terengganu.

Ia berkata kontrak pembinaan sekali itu dijangka siap dalam suku kedua 2012.

Sementara itu, kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kencana Petroleum Group bagi tahun-tahun kewangan yang berakhir pada 31 Julai, 2011 dan 2012.

Peniaga Minta Dibicarakan Tuduhan Edar Kanabis

Seorang peniaga semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis pada Oktober tahun lalu.

Izudin Yusuf, 29, didakwa mengedar kanabis seberat 208 gram di tepi jalan Mengabang Telipot, di sini pada 9 malam, 2 Oktober 2010. Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan perbicaraan selama tiga hari mulai 21 Jun depan.

Tertuduh diwakili peguam Yasin Aminuddin Anwar manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad.

Pihak pendakwaan akan memanggil lapan saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Lebih RM11 Juta Belanja Untuk 16 Pilihan Raya Kecil


Kerajaan menanggung kos lebih RM11 juta bagi melaksanakan 16 pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata perbelanjaan yang besar diperlukan bagi menampung kos dan perkhidmatan bagi setiap pilihan raya kecil seperti pengangkutan, tempat tinggal, makanan dan minuman.

"Anggaran kos yang digunakan bagi menjalankan pilihan raya kecil ialah antara RM318,000 dan RM1,290,000 bergantung kepada kawasan pilihan raya yang terlibat dalam pilihan raya itu," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) mengenai kos yang dibelanjakan untuk sesuatu pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum ke-12 dan adakah kerajaan bercadang untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil dengan menggantikannya dengan kaedah lain.

Mohamed Nazri berkata perincian setiap pilihan raya kecil ialah Permatang Pauh (RM409,000), Kuala Terengganu (RM325,416), Bukit Gantang (RM460,971), Bukit Selambau (RM318,000), Batang Ai (RM391,700), Penanti (RM514,600), Manik Urai (RM548,003), Permatang Pasir (RM461,367.93), Bagan Pinang (RM449,485), Hulu Selangor (RM1.2 juta), Sibu (RM1 juta), Batu Sapi (RM1.290 juta), Galas (RM1.047), Tenang (RM1.1 juta), Merlimau (RM755,000) dan Kerdau (RM915,000).

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan tidak bercadang untuk menggunakan kaedah lain bagi menggantikan pilihan raya kecil kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya Kecil 1958.

"Setiap keputusan bagi pilihan raya kecil yang diadakan adalah muktamad dan perbelanjaan yang digunakan dianggap sah," katanya.

Mengenai kemenangan Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil yang dianggap "tidak halal" selain melaksanakan projek "mi segera" dan memberikan "durian runtuh" kepada rakyat semasa pilihan raya kecil, Mohamed Nazri berkata, projek itu bukan bersifat "disegerakan" sebaliknya ia dipercepatkan semasa pilihan raya kecil kerana telah terdapat peruntukan yang ditetapkan.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa melaksanakan projek yang membolehkan rakyat di negeri yang terbabit menerima manfaat dengan segera.

Tuesday, March 29, 2011

Ahmad Said - Rakyat Malaysia Patut Bangga Dengan Pencapaian GTP


Rakyat Malaysia sepatutnya berbangga dengan pencapaian transformasi dalam pelbagai bidang yang dilaksanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mererusi Program Transformasi Kerajaan (GTP), kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata, pencapaian yang membanggakan itu menggambarkan bahawa hala tuju yang dirancang oleh Perdana Menteri sudah menampakkan sokongan, bukan sahaja daripada sekelompok rakyat, tetapi seluruh negara.

"Mudah-mudahan transformasi yang lebih hebat lagi dalam diusahakan dalam masa terdekat ini untuk menuju negara maju pada tahun 2020," katanya selepas menyampaikan e-Book sekolah-sekolah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan, di Marang, petang semalam.

Seramai 916 pelajar tahun lima dari 14 sekolah dalam kawasan DUN itu menerima e-Book masing-masing pada majlis yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kubu di sini.

Ahmad Said berkata demikian ketika diminta mengulas laporan tahunan GTP dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin.

Enam NKRA itu ialah mengurangkan kadar jenayah negara, memerangi rasuah, memperbaiki pencapaian pelajar, memperbaiki taraf kehidupan isi rumah, memperkasa prasarana asas luar bandar dan memperbaiki pengangkutan awam bandar.

Imbuhan RM500 Untuk 405 Pelajar Cemerlang SPM Terengganu

Menteri Besar bermesra dengan sebahagian murid Tahun 5 yang menerima e-Book di Sek Keb Paya Resak semalam. - Gambar-Gambar Oleh Harish Fadzillah.

Seramai 405 pelajar di negeri ini yang mendapat kelulusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumum minggu lalu, akan diberi hadiah wang tunai RM500 seorang, sebagai ganjaran kejayaan mereka meraih keputusan cemerlang.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said berkata, satu majlis khas akan diadakan dalam tempoh terdekat ini bagi meraikan para pelajar terbabit atas kejayaan mereka. “Ganjaran ini merupakan insentif kepada para pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah dan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun 5 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, di Sekolah Kebangsaan Paya Resak, semalam.

Hadir sama di majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Yahya Khatib Mohamad dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Razali Daud.

Dalam peperiksaan SPM tahun lalu, bilangan pelajar yang memperolehi keseluruhan A atau Gred Cemerlang Tertinggi (A+) menunjukkan peningkatan ketara daripada hanya lima pelajar pada 2009 melonjak kepada 17 pelajar.

Kesemua 17 pelajar yang mendapat keseluruhan A dengan Gred Cemerlang Tertinggi (A+) diberi hadiah komputer riba oleh Menteri Besar sewaktu pengumuman keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring, baru-baru ini.

Menteri Besar berkata, semua pelajar yang mendapat keputusan A bagi setiap mata pelajaran yang diambil akan menerima wang ganjaran tersebut.

Sementara itu, 623 murid Tahun 5 daripada tujuh sekolah rendah di kawasan DUN Bukit Payong menerima e-Book masing-masing daripada Menteri Besar pada majlis berkenaan.


Unit Komunikasi Negeri

Kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional 2011 Bermula Pertengahan April Ini

Satu kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional 2011 akan dijalankan pertengahan April ini bagi mengukur tahap integriti masyarakat dan maklumbalas mereka terhadap Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Presiden Institut Integriti Nasional (IIM) Datuk Dr Mohd Tap Salleh berkata kajian itu melibatkan 20 ribu responden yang dipilih secara rawak daripada tiga kumpulan sasar iaitu anggota keluarga, penjawat awam dan sektor swasta.

Beliau berkata kajian kali ini berbeza kerana turut mengambil kira impak GTP melalui enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dilancar pada 2009.

"Petugas Jabatan Perangkaan Negara akan pergi ke kawasan perumahan dan organisasi terpilih bagi menjalankan kajian secara temubual. Kami berharap responden terpilih dapat meluangkan masa dan memberi kerjasama yang baik untuk membantu kami menilai tahap integriti rakyat Malaysia," katanya pada sidang media di IIM, semalam.

Beliau berkata kajian itu dijangka berlangsung selama tiga bulan dan laporannya dibentangkan kepada kerajaan serta masyarakat selepas itu. Sementara itu, Mohd Tap berkata IIM akan mengadakan beberapa program khas sempena ulang tahun ketujuh Pelan Integriti Nasional yang akan disambut pada 23 April.

Antara program utama yang akan diadakan ialah Syarahan Perdana Integriti oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena forum 'Agenda Integriti Nasional' pada 5 Mei di IIM.

Selain itu, 'Forum Rakyat: Jenayah, Anda dan Integriti' akan diadakan pada 16 April di Kampung Pendamar, Klang yang dijangka melibatkan 1,000 penduduk setempat untuk berinteraksi secara langsung dengan anggota panel seperti Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye.

Pada 10 hingga 12 April pula akan diadakan Pertandingan Pidato Integriti antara kesemua 27 Institut Pendidikan Guru Malaysia bagi mempromosi serta membudayakan etika dan integriti di kalangan bakal guru.

Tema pertandingan adalah 'Pendidik Berintegriti Teras Pencapaian 1Malaysia' dan majlis penutup serta penyampaian hadiah akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 28 April pula akan diadakan Seminar Kepimpinan Wanita dan Integriti dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita (NCWO).

Terengganu Buka Kawasan Penanaman Padi Baru Di Marang

Menteri Besar pada sidang media selepas majlis penyerahan e-Book kepada 623 murid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, di Marang, semalam.

Terengganu akan membuka kawasan tanaman padi yang baru bagi menampung keperluan beras negeri itu pada masa depan. Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata kerajaan telah mengenalpasti kawasan seluas 480 hektar di Pengkalan Berangan, di Marang untuk diusahakan dengan tanaman padi.

"Kita akan menyediakan infrastruktur untuk tanaman padi di Pengkalan Berangan dan kita harap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat menyediakan anggaran peruntukan yang diperlukan untuk projek itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan e-Book kepada 623 murid Tahun Lima di tujuh sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, di Marang, semalam.

Ahmad Said berkata kawasan tanaman padi di Marang itu dijangka mengeluarkan hasil pada 2013 dan ia mampu menampung 100 peratus keperluan beras negeri ini.

NS Beri Amaran Bangkit Bertemu Terengganu Sabtu Ini

Selepas menamatkan program motivasi tiga hari di Pahang, skuad Negeri Sembilan dibimbing ketua jurulatih baru, Azraai Khor Abdullah tampak yakin bangkit daripada persembahan hambar apabila saingan Liga Super kembali bersambung, Sabtu ini.

Menurut Azraai, ada perkembangan positif daripada segi persefahaman dan keyakinan anak buahnya selepas mengikuti program berkenaan dan latihan yang mula dikendalikannya sejak Jumaat lalu, lantas menyuntik rasa yakin buatnya yang menganggap ia petanda baik untuk Negeri Sembilan kembali ke landasan sebenar.

“Matlamat program motivasi ini tercapai, justeru saya menaruh harapan tinggi ia memberi kesan positif ke arah kebangkitan pasukan apabila Liga Super bersambung.

"Saya yakin pasukan yang memiliki ramai pemain berwibawa ini mampu mengenepikan rekod kurang baik sebelum ini,” katanya, semalam.

Bekas pengendali Harimau Muda A dan Kedah itu berkata, dia cukup berpuas hati dengan peningkatan prestasi penyerang, Ahmad Fakhri Saarani, yang sudah mula menunjukkan keupayaan dan berharap penyerang kebangsaan itu membuktikannya pada aksi bertemu Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini.

Namun dia mengakui persiapan menampilkan barisan terbaik pada ujian pertama buat dirinya sejak mengendalikan skuad berkenaan 22 Mac lalu, sedikit terjejas berikutan masalah kecederaan membelenggu pertahanan Norhafiz Zamani Misbah (gambar) dan penyerang Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.

Walaupun Zaquan sudah diturunkan sebagai pemain gantian sejak beberapa perlawanan lalu, tahap kecergasannya belum mencapai 100 peratus manakala Norhafiz juga mungkin terpaksa menunggu sehingga pertengahan April untuk pulih sepenuhnya.

“Apapun saya berharap dengan semangat berpasukan tinggi, pemain dapat membuktikan keupayaan sebenar apabila berdepan Terengganu dan perlawanan berikut seterusnya untuk kembali berada dalam kelompok terbaik carta liga,” katanya.

Bot Nelayan Pecah Tersadai Di Pantai Tok Jembal

Sebuah bot nelayan yang pecah dipukul ombak besar ditemui terdampar di Pantai Tok Jembal berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K. Manoharan berkata empat nelayan asing yang berada dalam bot milik warga tempatan yang didaftar di Johor itu sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai pada kejadian kira-kira pukul 5 petang Ahad.

"Pihak polis menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan empat orang nelayan asing berenang ke darat dan terus menghilangkan diri," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.

Katanya polis menahan seorang daripada nelayan itu yang berasal dari Kemboja di sebuah kedai kopi di Kampung Tok Jembal sejurus selepas kejadian itu.

"Tiga lagi rakannya yang berasal dari Kemboja dan Thailand ditahan berdekatan sebuah sekolah di kampung berkenaan kira-kira pukul 12 malam Ahad.
"Hasil siasatan mendapati keempat-empat nelayan yang berusia 23 hingga 27 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Kes disiasat mengikut Sekyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Jangan Kekang Perkhidmatan AirAsia

Seorang penyokong kerajaan pada Isnin meminta kerajaan agar tidak mengekang perkhidmatan AirAsia dengan memaksanya berpindah dari Terminal 2 Lapangan Terbang Kota Kinabalu ke terminal baru di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Datuk Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belud) memberitahu persidangan Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan seharusnya tidak berbuat demikian dengan mengetepikan syarikat yang berdaya saing seperti AirAsia yang berjaya merevolusikan industri penerbangan serantau dan menyumbang kepada ekonomi negara dari sektor pelancongan.

"Kita tidak ada masalah dengan Malaysia Airlines, kita tidak mempertikaikan bantuan kerajaan kepada MAS, tetapi hanya tidak mahu wujud persepsi daripada kakitangan kerajaan atau kementerian yang mengekang semangat keusahawanan (AirAsia)," katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011.

Abdul Rahman berakta AirAsia adalah sebuah syarikat yang berdaya saing berdasarkan kemampuan dan potensinya tanpa mendapat banyak bantuan daripada kerajaan.

AirAsia dilaporkan teragak-agak untuk berpindah dari tempat beroperasi kini di Terminal 2 ke Terminal 1 KKIA yang baru diperbesarkan kerana kosnya akan meningkat sekaligus memaksanya mengurangkan penerbangan. Abdul Rahman berkata AirAsia yang telah beroperasi selama 10 tahun itu telah banyak mencapai kejayaan yang tidak boleh dipertikaikan termasuk membawa lebih enam juta pelancong ke negara ini sehingga 2008.

Menurutnya syarikat penerbangan tambang murah itu telah membuat penerbangan ke berpuluh negara melalui lebih 240 destinasi menggunakan 120 pesawat.

"Apa guna AirAsia berpindah ke KKIA tetapi terpaksa mengenakan caj tinggi kepada penumpang. Dikhuatiri (harga) tiket melambung naik dan akan merugikan syarikat yang membantu usaha membawa pelancong ke negara ini," katanya.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya bersikap terbuka sekiranya AirAsia enggan berpindah kerana syarikat itu masih boleh bertahan lama di terminal yang disediakan pada masa kini tanpa menaikkan tambang.

Katanya Malaysia Airports Berhad tidak harus terus mendesak untuk mengarahkan syarikat itu berpindah ke KKIA untuk kepentingan negara dalam memajukan industri penerbangan negara.

Cadangan itu turut mendapat pandangan baik daripada beberapa anggota Parlimen termasuk Salleh Kalbi (BN-Silam), Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit), Mohd Nor Othman, (BN-Hulu Terengganu) dan Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau) yang mengakui peranan besar yang dibawa oleh syarikat penerbangan itu dalam konteks kepentingan negara.

Salleh berkata AirAsia adalah lambang kepada pelan perjalanan yang boleh dinikmati keseluruhan rakyat dengan menawarkan tambang lebih murah. Nanta pula berkata AirAsia merupakan jenama industri penerbangan negara yang berjaya dan rakyat Malaysia harus terus memberi sokongan kepada syarikat itu sebagai jenama yang terbukti berjaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Persidangan dewan disambung hari ini.

Skim Baru Bayaran Insentif Tayangan Filem


Filem tempatan yang diterbitkan selepas 2010 serta meraih kutipan tiket sehingga RM6 juta layak mendapat insentif di bawah Bayaran Insentif Tayangan Filem.

Skim baru itu diperkenalkan setelah mendapat persetujuan kabinet pada 23 Feb lepas bagi menggantikan skim pemulangan Duti Hiburan, yang dilihat tidak berkesan sejak 2000.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata skim baru itu akan menggunakan kaedah keuntungan jualan tiket penerbit filem dalam menentukan jumlah bayaran insentif.

"Penerbit filem perlu mengemukakan bukti jualan tiket atau doket kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk diteliti sebelum disahkan untuk pembayaran.

"Selepas diteliti dan jumlah jualan tiket yang dikemukakan adalah benar, barulah pembayaran dibuat," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Insentif Tayangan kepada penerbit 13 buah filem yang layak.

Filem-filem tersebut ialah Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Lagenda Budak Setan, Kapoww, Estet, 2 Alam, Aku Tak Bodoh, Janin, Aku Masih Dara, Damping Malam, Ice Kacang Puppy Love, Lelio Po Po, Whoohoo, Appalam dan Crayon.

Mengikut skim baru itu, filem cereka yang mendapat kutipan tiket sehingga RM2 juta akan diberikan bayaran insentif sebanyak RM200,000 manakala filem yang mendapat kutipan tiket melebihi RM2 juta hingga RM4 juta akan menerima bayaran sebanyak 10 peratus daripada kutipan.

Filem cereka yang mendapat kutipan melebihi RM4 juta hingga RM6 juta pula, akan dibayar insentif sebanyak lima peratus daripada jumlah kutipan tiket.

Filem cereka yang mendapat kutipan tiket melebihi RM6 juta pula tidak akan diberikan sebarang insentif.

Rais berkata skim pulangan Duti Hiburan terjejas kerana faktor situasi ekonomi, dan mulai 2000, kerajaan negeri yang terlibat dengan sistem berkenaan tidak menyalurkan bayaran balik duti hiburan.

Pemulangan Duti Hiburan kepada penerbit filem tempatan dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan negeri mulai 1 Jan 1987 dengan pengecualian oleh kerajaan Kelantan, Terengganu dan Perlis kerana masing-masing tidak mempunyai pawagam.

Kerajaan Sabah pula tidak melunaskan skim tersebut kerana dasar negeri itu yang tidak mengenakan duti hiburan bagi filem-filem yang ditayangkan di Sabah.

Rais berkata filem yang diterbitkan sebelum 2010 tertakluk kepada sistem lama pembayaran.

Pada tahun 2010, sebanyak 29 buah filem diterbitkan dengan jumlah kutipan tiket sebanyak RM76.02 juta. Sebanyak RM12.83 Duti Hiburan telah dibayar kepada penerbit filem tempatan.

Pesalah Tegar Dipenjara 18 Tahun Kerana Miliki Dadah

Walaupun telah menghabiskan lebih separuh daripada usianya meringkuk dalam penjara dan dikenakan 16 sebatan namum seorang lelaki tidak pernah serik mengulangi kesalahan membabitkan dadah.

Di Mahkamah Seksyen di Kuala Terengganu, semalam, seorang bekas banduan dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki dan mengawal dadah jenis heroin, pada 13 Jan lepas.

Abdul Jalal Daud, 56, dari Kampung Alor Peroi, Kuala Besut, dikenakan hukuman penjara 18 tahun bagi setiap tuduhan memiliki dan mengawal dadah pada dua kejadian berasingan pada hari yang sama.

Atas pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki heroin seberat 46.32 gram di hadapan Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, di Kuala Terengganu, pada pukul 6 petang.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa mengawal heroin seberat 50.63 gram pada pukul 6.30 petang hari yang sama di hadapan Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu.

Hakim Azman Mustapha memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh ditangkap pada hari kejadian.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Sekyen 39A(2) akta yang sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang lima tahun atau seumur hidup dan diwajibkan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan.

Abdul Jalal, yang tidak diwakili peguam, mengemukakan rayuan bertulis meminta agar mahkamah meringankan hukuman terhadapnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat, memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana tertuduh merupakan pesalah tegar dan tidak pernah insaf walaupun banyak kali menjalani hukuman penjara.

Mengikut rekod jenayah lampau, tertuduh pernah dikenakan jumlah hukuman penjara 34 tahun atas beberapa kesalahan dadah sebelum ini. Kali terakhir tertuduh ditahan pada 2001 dan baru sahaja dibebaskan pada tahun lepas.

Bagaimanapun, dia ditahan semula pada Januari lepas kerana mengulangi kesalahan yang sama.

Sidang DUN Terengganu 5 Mei

Pesidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu akan datang ialah pada 9 Mei depan.

Berikutan itu,kerja-kerja pengubahsuaian tempat persidangan Dewan Undangan Neger(DUN) Terengganu yang sedang dilaksanakan kini dijangka siap akhir bulan ini. Kerja-kerja pengubahsuaian itu dimulakan Januari lepas, melibatkan peruntukan lebih RM2 juta.

Speaker DUN Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, pengubahsuaian itu dikira perlu bagi memberi keselesaan kepada anggota dewan terutama di tempat duduk pegawai-pegawai kerajaan di bahagian belakang.

"Dewan itu sudah berusia 30 tahun dan sampai masanya ia perlu beri sedikit keselesaan kepada ahli yang semakin bertambah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung Majlis Bekas-bekas Wakil Rakyat (Mubarak) negeri Terengganu di Kuala Terengganu, kelmarin.

Turut hadir pada majlis itu Presiden Mubarak Terengganu Datuk Ahmad Sidi Ismail dan Pemangku Presiden Mubarak Malaysia Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Lembaga Muzium Terengganu Bangunkan Kawasan Penemuan Batu Bersurat

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan membangunkan kawasan penemuan Batu Bersurat di Kampung Buluh, Kuala Berang untuk dijadikan salah satu aset pelancongan sejarah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Terengganu Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata, lokasi penemuan Batu Bersurat yang kini dikenali Batu Bersurat Piagam Terengganu, jika dibangunkan, pasti berdaya maju sebagai salah satu aset pelancongan sejarah negara dan Terengganu khasnya.

"Ini disokong pula dengan pengiktirafan Batu Bersurat Piagam Terengganu sebagai salah satu daftar Memori Dunia yang telah diberikan oleh Unesco baru-baru ini.

"Cadangan pembinaan Pusat Pengembangan Jawi, Islam dan Sejarah di kawasan tapak penemuan Batu Bersurat Piagam Terengganu di Kampung Buluh, Hulu Terengganu perlu disegerakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Batu Bersurat Piagam Terengganu di Muzium Negeri di Kuala Terenganu selama dua hari mulai semalam. Turut hadir pada majlis itu Pengarah LMNT Mohd Yusof Abdullah.

Tanpa menyebut peruntukan, Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri akan memastikan bahawa pusat itu bakal disiapkan secepat mungkin agar memberi manfaat kepada negeri dan rakyat keseluruhannya.

Katanya, dengan adanya pusat itu, sudah pasti ia mampu menjadi tempat lawatan serta pusat kajian cerdik pandai serta sejarawan dari seluruh dunia.

"Pada hemat saya, tidak mustahil dan tidak keterlaluan sekiranya suatu hari nanti, tapak keramat itu akan menjadi terkenal seperti terkenalnya negara Mesir kerana piramid serta India kerana binaan Taj Mahalnya.

"Saya yakin dan percaya bahawa kita semua berasa bangga kerana mempunyai Batu Bersurat Piagam Terengganu yang membuktikan bahawa penempatan manusia tamadun awal bermula di daerah Hulu Terengganu dan Kuala Berang yang pernah dikenali sebagai Foloan oleh para pedagang negara China," katanya.

Monday, March 28, 2011

Terengganu Rancang Kelas Maya Di Semua Sekolah Dalam Tempoh Lima Tahun

Ahmad Said bermesra dengan seorang kakitangan EIO pada majlis semalam. Gambar - Harith Fadzillah.

Kerajaan negeri Terengganu merancang untuk mewujudkan kelas maya di semua sekolah-sekolah di Terengganu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata menjelang akhir tahun ini saja kerajaan negeri akan mewujudkan 32 buah kelas maya iaitu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

"Terpulang kepada wakil rakyat atau Pegawai Pembangunan DUN (PPD) untuk memilih sekolah mana untuk dibuka kelas maya di kawasan mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pengetua, guru besar dan Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) di Kuala Terengganu, semalam.


Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ahmad Said berkata untuk mewujudkan kelas maya ia memerlukan peruntukan antara RM25,000 dan RM30,000 untuk setiap kelas.


Jadi diharapkan ia boleh menggunakan peruntukan menerusi bantuan am dan bantuan projek kecil yang diperuntukkan kepada wakil rakyat atau PPD," katanya.


Katanya setiap wakil rakyat atau PPD diberikan peruntukan untuk projek kecil sebanyak RM1 juta manakala bagi bantuan am pula sebanyak RM500,000.


Beliau berkata, ketika ini Terengganu mempunyai tiga kelas maya iaitu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir dan Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, kedua-duanya di Kuala Terengganu, manakala sebuah lagi di Sekolah Kebangsaan Teluk Kalong, (Kemaman).


Pengajaran kelas maya merujuk kepada pengunaan peralatan multimedia secara interaktif dan guru tidak lagi menggunakan papan putih atau papan hitam, sebaliknya menggunakan 'smart board' yang dihubungkan terus ke talian internet dan e-Book murid.


Smart board itu juga mempunyai ciri-ciri skrin sentuh untuk menukar sesuatu halaman dan boleh mengesan kesilapan yang dilakukan murid.

Kelas maya - e-Book, Terengganu Pengubah Landskap Pendidikan

Rohaya menunjukkan cara menggunakan e-Book kepada murid Tahun Empat SK Paya Bunga.

Terengganu terus melakar sejarah dalam bidang pendidikan. Sesudah menjadi peneraju dalam penggunaan komputer riba mini atau e-Book menggantikan buku teks dan pelaburan besar bidang pendidikan diterjemahkan dengan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan awam saban tahun, usaha merintis kemajuan pendidikan tidak terhenti di situ.

Kini, Terengganu menjadi pelopor pelaksanaan kelas maya, iaitu kesinambungan daripada penggunaan e-Book.

Biarpun langkah merealisasikan pembelajaran kelas maya membabitkan kos tinggi, ia bukan halangan bagi kerajaan negeri membuat pelaburan besar kerana pembangunan pendidikan adalah antara agenda penting dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang akhirnya disasarkan menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM30,000 bagi mewujudkan setiap kelas maya bertujuan meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar tetapi secara tidak langsung memberikan suntikan tambahan dalam aspirasi untuk memahirkan mereka dalam bidang teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Malah, apa yang membanggakan, model kelas maya yang dibangunkan anak syarikat kerajaan negeri, Top IT Sdn Bhd (TOP IT), dikatakan jauh lebih baik daripada kaedah digunakan di negara luar, termasuk Korea Selatan dan Singapura yang diketahui lebih jauh ke depan dalam bidang ICT.

Untuk permulaan, tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga, Kuala Terengganu; SK Kompleks Seberang Takir, Kuala Terengganu dan SK Teluk Kalong, Kemaman dipilih untuk melaksanakan modul pembelajaran kelas maya.

Bagaimanapun, SK Paya Bunga adalah sekolah pertama di negeri ini memperkenalkan teknik pembelajaran interaktif itu, manakala dua lagi sekolah terbabit akan memulakan pembelajaran kelas maya dalam masa terdekat.

Walaupun baru diperkenalkan lebih sebulan lalu, manfaat dan keberkesanan kelas maya sudah terzahir.

Ini diakui Guru Besar SK Paya Bunga, Rohaya Ibrahim, bahawa konsep pembelajaran kelas maya yang interaktif dengan menggunakan aplikasi integrasi e-Book dan ‘smart board’ berjaya meningkatkan pencapaian murid dalam pelajaran, malah yang paling membanggakan ialah dari sudut kehadiran murid ke sekolah, “Masalah dihadapi SK Paya Bunga ialah isu kehadiran murid.

Jika dulu, murid sangat susah untuk hadir kelas, kini senario itu berubah sama sekali.

Peratus kehadiran yang sebelum ini sekitar 68 peratus, kini melonjak 100 peratus.

Lebih membanggakan, sebelum ini guru tidak bersemangat membuat kelas malam kerana tiada murid akan hadir, tetapi sekarang ada murid yang sehingga tidak mahu pulang dengan kehadiran dicatatkan pula 100 peratus.

“Dalam tempoh singkat pelaksanaan kelas maya di sekolah ini, kita sudah dapat melihat peningkatan ketara dalam pencapaian murid yang kita nilai menerusi peperiksaan dalaman yang diadakan. Malah, guru juga mengakui murid lebih berminat belajar kerana corak pembelajaran yang interaktif serta menyeronokkan menggunakan e-Book dan smart board,” katanya.

Kelas maya tingkat prestasi pelajar

“ Keberkesanan pembelajaran kelas maya dalam meningkatkan prestasi murid memang tidak dapat dinafikan kerana ia memudahkan guru memantau prestasi pembelajaran murid, malah jika murid berdepan masalah dalam sesuatu subjek, guru dan murid boleh membuat semakan secara mudah melalui buku teks yang dimuatkan dalam e-Book,” jelas Rohaya.

Dalam keadaan yang mana seseorang guru mengenal pasti murid terbabit yang lemah atau tidak menguasai subjek diajar pada tahun sebelumnya, mereka tidak perlu lagi bersusah payah mencari buku teks lama kerana semuanya terkandung dalam e-Book yang dilengkapi buku teks Tahun Empat, Lima dan Enam.

Pembelajaran kelas maya terbukti menyuntik unsur positif dalam diri murid yang semakin berminat serta memberi tumpuan mendalam terhadap pelajaran, serta membentuk disiplin dan kendiri yang baik, jauh berbeza dengan landskap pembelajaran dalam kelas tradisional sebelum ini.

Kes 1

“SEBELUM pelaksanaan kelas maya, A seorang murid yang sangat malas dan tidak minat untuk belajar. Dalam seminggu, boleh dikatakan hanya sehari A datang ke sekolah sehingga guru terpaksa menjemput dia di rumah. Sikap bersungguh-sungguh guru yang tidak mahu A ponteng sekolah menyebabkan ibu bapanya tidak suka pada guru. Ibu bapanya mencari pendapatan dengan menjaja dan dia membesar di tepi jalan mungkin memberi kesan terhadap disiplin dirinya. Tetapi, selepas mengikuti pembelajaran kelas maya, A berubah 100 peratus kepada seorang murid yang rajin datang ke sekolah, malah mencatat kehadiran penuh kini. Kini, daripada seorang murid yang tidak pernah lulus dalam ujian dan peperiksaan, A sudah pun menunjukkan peningkatan yang sangat memberangsangkan apabila mencatatkan keputusan lulus dalam beberapa mata pelajaran. ”

Kes 2

B sering gagal dalam ujian dan peperiksaan, malah dalam setiap mata pelajaran, B tidak pernah mencapai tahap lulus minimum sekalipun. B juga tidak pernah menyiapkan kerja sekolahnya, malah tidak memiliki pensil dan tidak membawa buku, sekali gus menunjukkan B tidak minat bersekolah. B juga sangat tidak berdisiplin dan tidak menjaga kebersihan diri sehingga guru terpaksa menyediakan berus gigi di sekolah. Namun, selepas mengikuti kelas maya, B lebih dekat dan mesra dengan guru dan lebih bersemangat untuk belajar. Malah, B pernah menghantar e-mel kepada Guru Besarnya, Rohaya Ibrahim dan berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh mendapat 5A. B yang sebelum ini tidak pernah lulus, walaupun satu mata pelajaran, kini menunjukkan peningkatan apabila lulus dua mata pelajaran penting, iaitu Sains dan Matematik selepas mengikut kelas maya”.

Berita Harian

Amaran Angin Kencang Dan Laut Bergelora Dijangka Hingga Selasa

Angin kencang Timur Laut dan laut bergelora kategori kedua diramal berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North, Layang-layang dan Palawan sehingga Selasa depan.

Menurut kenyataan di laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) semalam, keadaan angin berkelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5meter itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

JMM turut memberi amaran angin kencang Timur Laut dan laut bergelora kategori pertama berkelajuan 40 hingga 50 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Sarawak (Miri), Sabah (Pantai Barat, Kudat dan Sandakan), Wilayah Persektuan Labuan, perairan laut Samui dan Sulu, yang dijangka berterusan sehingga Selasa ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Dua Beradik 'Khayal' Gagal Larikan Diri

Dua beradik yang khayal menghisap dadah di rumah mereka di Kampung Gong Pok Jin, di sini, terkedu apabila rumah mereka diserbu polis jam 4 pagi semalam.

Walaupun sedang khayal, kedua-dua suspek sempat melarikan diri dengan si adik berusia 20-an bertindak menyorok di atas siling rumah, manakala abangnya berusia 40-an menyorok di bawah rumah kerana bimbang dicekup polis.

Keberanian remaja perempuan itu menyembunyikan diri di atas siling rumah menyebabkan beberapa anggota polis dan ibu bapa suspek terpaksa memujuknya dan berlaku pergelutan sebelum berjaya ditangkap.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kedua beradik berkenaan didapati positif ganja, malah si abang disahkan positif HIV.

Ketua Balai Polis Gong Badak, Inspektor Afizal Awang Amin, ketika dihubungi Berita Harian semalam, mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata kedua-dua mereka ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Siasatan mendapati, suspek perempuan sebelum ini pernah dibuang daerah pada 2005 atas kesalahan dadah dan mempunyai beberapa rekod membabitkan penyalahgunaan dadah, manakala abangnya pernah terbabit dalam lima kes pecah rumah di kawasan berkenaan termasuk sebuah rumah milik jiran.

Dalam kes berasingan, Afizal berkata, polis menahan dua penagih tegar dalam serbuan di sebuah wakaf di kampung berkenaan. Suspek berumur 28 dan 30 tahun berasal dari Kampung Batin, Sebarang Takir didapati positif ganja dan kini ditahan reman di lokap IPD Kuala Terengganu.

8 Institut Memandu Digantung, Satu di Terengganu

Ada institut memandu (IM) dikesan menggunakan khidmat tenaga pengajar tidak terlatih serta kenderaan tiada perlindungan insurans untuk melatih calon yang mahu mendapatkan lesen memandu, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan.

Beliau berkata, tindakan IM yang menggunakan tenaga pengajar serta kenderaan yang masing-masing tidak memiliki Sijil Pengajar dan Sijil Kenderaan adalah kesalahan serius, malah menjadi antara punca institut terbabit dikenakan penggantungan permit.

“Tindakan yang diambil itu selaras Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992. Secara keseluruhan, sebanyak lapan IM dikenakan tindakan gantung permit antara 2001 hingga 2010.

“Daripada jumlah itu, tiga IM di Selangor dikenakan tindakan pada 2006 (satu) dan 2007 (dua), Perak (dua - 2006 dan 2010), Terengganu (satu -2007), Kedah (satu - 2004), Johor (satu - 2001),” katanya. Solah berkata, JPJ membuat pemantauan terhadap IM di seluruh negara dari semasa ke semasa bagi memastikan semua institut itu mematuhi peraturan serta undang-undang ditetapkan.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi menjamin kualiti latihan dijalankan IM, sekali gus melahirkan generasi pemandu dan penunggang berhemah di jalan raya. “Selain itu, teguran juga dibuat terhadap mana-mana IM yang melanggar peraturan.

Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, tindakan penggantungan atau pembatalan permit dibuat selaras Kaedah 27 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992,” katanya.

Ketika ini, Solah berkata, sebanyak 212 IM diluluskan di seluruh negara yang meliputi 174 institut sedang beroperasi, manakala baki 38 sedang dalam pembinaan.

Daripada jumlah itu, katanya, 28 IM yang diluluskan adalah di Johor di mana 26 sudah beroperasi dan dua lagi dalam pembinaan, Negeri Sembilan (10 - lapan, dua), Kedah (15 - 14, satu), Pahang (13 - 11, dua). Perak (25 - 22, tiga), Terengganu (11 - tujuh, empat), Pulau Pinang (sembilan - tujuh, dua), Selangor (21 - 18, tiga), Kelantan (16 - 12, empat), Sarawak (28 - 17, 11), Sabah (21 - 17, empat), manakala kesemua lapan IM yang diluluskan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sudah beroperasi, begitu juga Melaka (lima) dan Perlis (dua).

10 Komputer Uuntuk 18 RAMD Kem Seri Pantai

Mohd . Nasir Ibrahim Fikri beramah mesra dengan anggota 18 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kuala Terengganu, semalam.


Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri menyumbangkan 10 buah komputer dan empat mesin pencetak kepada 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Kem Seri Pantai, Seberang Takir, semalam.

Mohd. Nasir memberitahu, sumbangan bernilai hampir RM20,000 itu sebagai keperluan tambahan kepada warga tentera untuk dimanfaatkan dalam menjalankan tugas seharian.

"Dengan sumbangan ini diharapkan dapat membantu hasrat kerajaan dalam meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi tanpa mengira latar belakang," katanya.

Beliau menyatakannya pada satu majlis ramah mesra bersama komuniti kem itu di Kuala Terengganu. Hadir menerima sumbangan itu ialah Pegawai Memerintah 18 RAMD, kem berkenaan, Leftenan Kolonel Nasharuddin Mohamad.

Kerja Ubahsuai Dewan Undangan Negeri Terengganu Siap Akhir Bulan Ini

Kerja-kerja pengubahsuaian tempat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang sedang dilaksanakan kini dijangka siap akhir bulan ini. Speaker DUN Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, pengubahsuaian itu dikira perlu bagi memberi keselesaan kepada anggota dewan terutama di tempat duduk pegawai-pegawai kerajaan di bahagian belakang. "Dewan itu sudah berusia 30 tahun dan sampai masanya ia perlu beri sedikit keselesaan kepada ahli yang semakin bertambah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat agung Majlis Bekas-bekas Wakil Rakyat (Mubarak) negeri Terengganu di Kuala Terengganu kelamrin. Turut hadir pada majlis itu Presiden Mubarak Terengganu Datuk Ahmad Sidi Ismail dan Pemangku Presiden Mubarak Malaysia Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman. Tengku Putera berkata, kerja-kerja pengubahsuaian itu dimulakan Januari lepas, melibatkan peruntukan lebih RM2 juta. Katanya, pesidangan DUN Terengganu akan datang ialah pada 9 Mei depan.

Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan - Terengganu Hanya Satu Pingat Emas

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal mendominasi pingat emas sepanjang kejohanan sebelum menutup tirai Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan Sirkit 1, 2011 yang diadakan di Kompleks Sukan Bangi semalam.

Bagaimanapun tiada rekod kebangsaan mampu dicatatkan pada kejohanan semalam.

Acara terakhir semalam menyaksikan, ATM memperoleh 11 lagi pingat emas dalam empat kategori yang disumbangkan menerusi atlet lelakinya, Mohd Hafiz Ab Halim yang menyumbang tiga pingat emas, Muhammad Zafril Zulkifli (3 emas), Abdul Azim Najmi Abdul Rashid (3 emas) dan Muhammad Yudzaimie Mohd Yunus (2 emas) masing-masing dalam kategori berbeza dengan membuat jurang pingat yang besar untuk menjadikan jumlah keseluruhan 19 emas.

Kedudukan pingat ini diikuti oleh Pahang dan Johor yang jauh ketinggalan di belakang ATM dengan masing-masing membawa pulang dua pingat emas sementara Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu pula masing-masing dengan kedudukan satu pingat emas.

Namun tujuh lagi negeri iaitu, Kelantan, Sabah, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Labuan gagal merangkul sebarang pingat emas sepanjang empat hari kejohanan ini berlangsung. Dalam kategori lelaki angkatan melebihi 105kg, Abdul Azim Najmi, 24 dari ATM muncul juara acara snatch dan clean and jerk dengan membuat angkatan beban masing-masing 135kg dan 170kg.

Beliau yang berasal dari Muadzam Shah, Pahang sekaligus merangkul juara keseluruhan dengan angkatan keseluruhan 305kg untuk menewaskan dua pencabar terdekat Mohamad Syafiq Husin dari Selangor dan Khoo Jian Peng dari Kedah yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dalam ketiga-tiga acara tersebut.

"Saya baru saja pulih daripada kecederaan di tapak kaki yang dialami minggu lepas. Walaupun kurang berpuas hati dengan pencapaian angkatan sendiri pada hari ini kerana boleh buat yang lebih baik, namun saya berpuas hati.

"Saya akan kekalkan momentum ini untuk ke sirkit kedua di Pahang yang dijangka pada Julai nanti dan saya harap dengan keputusan hari ini berjaya melayakkan untuk dipilih untuk mewakili negara ke Sukan SEA di Indonesia hujung tahun ini," katanya selepas tamat pertandingan.

Bagi kategori 105kg pula, Muhammad Zafril berjaya mengutip tiga emas dalam kategorinya apabila tidak memberi peluang pesaingnya sebelum menang dalam acara snatch dan clean and jerk masing-masing dengan angkatan 132kg dan 170kg untuk merangkul juara keseluruhan dengan jumlah angkatan 302kg mengatasi atlet Sabah, Jerry Nonong serta atlet Labuan, Elisha Louis Tan Kom Ho.

Bagi kategori 94kg, Muhammad Yudzaimie yang membuat jumlah angkatan keseluruhan dengan 265kg jauh meninggalkan persainganya apabila kedua-dua pesaingnya, Muhammad Nooramin dari ATM dan Mohd Dyul Kafry dari Kuala Lumpur menarik diri dalam acara clean and jerk dengan angkatan 265kg untuk menjadi pemenang.

Namun dalam acara snatch, beliau sekadar di tempat kedua dengan angkatan kurang satu kilogram di belakang Mohd Dyul yang membuat angkatan 121kg.

Bagi kategori 85kg pula, Mohd Hafiz mengungguli kedua-dua acara snatch dan clean and jerk apabila membuat angkatan masing-masing 120kg dan 143kg untuk mengumpul angkatan keseluruhan 263kg.

Lakonan Terkena 'Sawan' Gagal, Keldai Dadah Ditahan

Lakonan seorang samseng jalanan terkena penyakit ‘sawan’ secara tiba-tiba ketika cuba meloloskan diri dalam sekatan jalan raya tidak berjaya apabila dia didapati positif dadah sebelum ditahan di Kuala Terengganu, semalam.

Ketika ditahan, polis turut menjumpai 50 biji pil kemerahan dipercayai pil kuda di dalam satu plastik lut sinar yang tersorok di kepala tali pinggang yang diletakkan dalam satu pemetik api Zippo.

Remaja berumur 21 tahun berasal dari Kampung Tanjong, Kuala Terengganu itu ditahan jam 6.30 petang semalam oleh anggota trafik daerah Kuala Terengganu yang sedang melakukan satu sekatan jalan raya di Simpang Tiga Pusara dalam Ops Samseng Jalanan.

Sebelum itu, remaja terbabit yang menaiki motosikal jenis Honda Ex5 dipercayai datang dari arah Jalan Kamaruddin menuju ke Pantai Batu Buruk bertindak nekad apabila cuba memecut laju motosikalnya bagi mengelak ditahan.

Panik dengan kelibat anggota polis yang sedang membuat pemeriksaan di bahu jalan, motosikal remaja itu kemudiannya bertembung dengan kereta jenis Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan selepas dia cuba membuat pusingan U secara tiba-tiba menyebabkannya jatuh.

Bagi mengelak ditahan, remaja itu memulakan lakonannya selepas merebahkan badan ke atas jalan dan menggelupur seolah-olah terkena ‘sawan’ sehingga menyukarkan anggota polis untuk menahannya.

Disebabkan keadaan itu, anggota polis terpaksa memanggil ambulan bagi memeriksa remaja berkenaan sebelum didapati normal dan dia kemudiannya dibawa balik ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Asisten Superintendan Khazahari Che Amat , berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas remaja terbabit mendapati dia positif dadah jenis Methamphitamine (pil kuda).

Beliau berkata, remaja itu mengaku menjadi keldai dadah sejak setahun lalu dan mengakui bekalan yang dijumpai bersamanya itu diedarkan kepada samseng-samseng jalanan di sekitar kuala Terengganu.

Katanya, remaja itu turut mengakui tidak lagi bekerja sejak menjalankan urus niaga berkenaan dan segala perbelanjaan termasuk makan minum dan pakaian adalah hasil penjualan pil itu. “Dia juga memberitahu bekalan yang dibawanya itu diedarkan kepada tokan kecil-kecilan dan hanya bekerja sebagai penjual dadah bagi menampung perbelanjaan harian,” katanya ketika ditemui, semalam.

Remaja terbabit kini ditahan reman di lokap IPD Kuala Terengganu mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan juga Seksyen 15(1) ADB 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh.

Mengulas mengenai operasi selama tiga jam bermula jam 5 petang semalam, Che Khazahari berkata, operasi yang diketuainya bersama 15 pegawai dan anggota trafik IPD Kuala Terengganu itu berjaya mengeluarkan sebanyak 38 saman membabitkan 40 kesalahan.

Katanya, tiga motosikal dan sebuah kereta turut disita kerana penunggang dan pemandunya tidak mempunyai lesen selain mengubahsuai kenderaan.