Saturday, April 16, 2011

Jangan Terpengaruh Konon Pembangkang Menang Di Sarawak


PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya membantu menolak kerusi roda warga emas Sheikh Rahimullah Sheikh Aminullah 72, di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Saint Columba di Miri, Sarawak pada hari mengundi pada Sabtu (16 April 2011).


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat supaya tidak terperdaya dengan dakwaan pembangkang kononnya mereka telah berjaya memenangi pilihan raya negeri Sarawak hari ini.

Muhyiddin berkata dakwaan yang tersebar di Internet itu adalah tidak benar kerana proses pengundian belum selesai dan masih berjalan sehingga 5 petang ini.

"Ada berita-berita khabar angin oleh pembangkang (kononnya) mereka sudah menang, BN di Sarawak sudah tumbang, pakatan pembangkang (telah) ambil alih (kerajaan negeri).

"Ini merupakan satu pembohongan...pengundian belum selesai...undi pun belum dikira," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching, hari ini.

Sebaliknya, kata Muhyiddin, beliau mendapat maklumat bahawa ketua pembangkang yang juga penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah meninggalkan Sarawak untuk ke London atau Amerika Syarikat.

"Kalau dia menang mesti dia tunggu sampai habis, kenapa awal-awal dia tinggalkan Sarawak? Anwar sudah serahkan tugas kepada ketua-ketua mengundi kononnya takut jadi apa-apa," kata beliau.

Muhyiddin berkata khabar angin seumpama itu hanya disampaikan oleh orang yang terdesak. "Kita ada tempoh dua jam lagi (sehingga pengundian ditutup)...saya minta rakyat jangan terpengaruh dengan penyebaran berita palsu," katanya.

LKIM Bantu Atasi Kekurangan Bot

Mohad Khazin (kanan) bersama Zainor memegang dokumen perjanjian antara Berita Harian dan LKIM sambil diperhatikan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan selepas mesyuarat khas di Ibu Pejabat LKIM, semalam.
Masalah kekurangan bot dan isu kenaikan sewa saat akhir untuk peserta memancing kategori laut pada Karnival GP Joran yang kerap dialami ketika penganjuran acara itu berakhir apabila Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) campur tangan membantu Berita Harian mengatasinya.

Kedua-dua isu itu diselesaikan hasil mesyuarat antara Berita Harian dan LKIM dengan beberapa Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang terbabit.

Mesyuarat selama dua jam yang dipengerusikan Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mohad Khazin Hamzah itu mencapai kata sepakat untuk membantu penganjur mendapatkan bilangan bot mencukupi dengan kadar sewaan dipersetujui semua pihak.

“Pada dasarnya mesyuarat hari ini mencapai objektifnya untuk membendung dua masalah berkenaan dan selepas ini kami di LKIM akan memperhalusi lagi butiran perjanjian supaya satu kerjasama dicapai dan seterusnya memeterai perjanjian persefahaman dengan Berita Harian,” katanya.

Hadir sama Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainor Said; Pengurus Projek Khas Berita Harian, Mohd Mizal Hasbullah; Pengurus Besar PNK Mersing, Johor, Mohd Izzham Faruza Mohd Nazur; Pengurus Besar PNK Pekan, Pahang, Zamri Mohamad dan Pengurus besar PNK Dungun, Terengganu, Zainal Abidin Zakaria.

Karnival GP Joran terdekat ialah di Tanjung Leman, Mersing pada 7 dan 8 Mei depan diikuti karnival seterusnya di Kuala Pahang, Pahang sekitar Julai dan pusingan akhir di Dungun, Terengganu sekitar Oktober depan.

Mohad Khazin berkata, buat permulaan, ketiga-tiga PNK terbabit akan diminta memaklumkan hasil mesyuarat kepada ahli iaitu pemilik bot nelayan di kawasan masing-masing mengenai hasrat Berita Harian yang akan menyewa bot milik mereka pada masa yang ditetapkan tanpa mengenakan tindakan sabotaj atau menaikkan sewa saat akhir.

Sementara itu, Mohd Izzham Faruza berjanji akan mendapatkan bot mencukupi untuk peserta Kategori Laut Dalam di Karnival GP Joran Tanjung Leman 2011 sebagai tanda menyokong usaha Jabatan pelancongan Johor merancakkan aktiviti pelancongan sekitar Pulau Sibu di perairan Tanjung Leman.

“Saya akan membuat bancian untuk mengenal pasti bot sesuai dan menyampaikan ketetapan yang dicapai dalam mesyuarat hari ini kepada ahli kami di Mersing dan mungkin mendapatkan bantuan daripada ahli nelayan di Sedili juga,” katanya

Berita Harian

Program Perintis Keusahawanan YPU, UUM

Kerajaan Negeri kini lebih proaktif dalam merealisasikan impian Terengganu Maju agar pembangunan keusahawanan negeri dapat menjana perkembangan ekonomi negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bertanggungjawab memajukan program itu menerusi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di Terengganu dan luar negeri ini.

Menurutnya, buat peringkat permulaan, YPU juga mengadakan program kerjasama dengan pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi melaksanakan program perantis keusahawanan dengan penyaluran peruntukan sebanyak RM150,000 bagi mewujudkan seramai 30 usahawan siswazah dalam kalangan anak Terengganu apabila tamat pengajian nanti.

“Kerjasama juga dilaksanakan melalui pembukaan Kedai Serbaneka T’Shoppe di UUM dan diharap UMT akan menjadi destinasi kedua bagi pembukaan T’Shoppe nanti.

“Pihak UMT juga difahamkan sudah mengadakan perjanjian persefahaman dengan pihak YPU bagi mengeratkan lagi aktiviti keusahawanan di UMT,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri berharap perjanjian tersebut berjaya melahirkan siswazah yang bukannya hanya menggenggam ijazah apabila tamat nanti.

“Kerajaan Negeri juga berharap siswazah berkenaan berjaya menjadi seorang usahawan yang berilmu dan berjaya suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Usahawan Muda UMT 2011 yang diadakan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC). Katanya, dengan pelaksanaan program sebegini, ia akan dapat melahirkan kesedaran minda dan mematangkan fikiran siswazah ketika membuat keputusan untuk masa depan mereka dengan lebih cemerlang.

“Kunci kepada kesedaran dalam dunia keusahawanan atau perniagaan adalah ilmu, iaitu pengetahuan mengenai apa yang berlaku dan wajar dilakukan.

“Justeru, melalui pembudayaan keusahawanan pada peringkat IPT, akan memberikan pengetahuan mengenai selok-belok dunia keusahawanan menerusi pendedahan kepada siswazah menceburi perniagaan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sudah lama berhasrat membantu siswazah dan membudayakan aktiviti keusahawanan menerusi Hala Tuju Pembangunan Negeri Terengganu 2009-2013.

Sinar Harian

Futsal Sawah Cukup Meriah

Cabaran Futsal Sawah di Kampung Gong Baru, kelmarin merupakan salah satu aktiviti KRT untuk memperkukuhkan kerukunan masyarakat setempat.

Sebilangannya menggelarkan diri mereka sebagai Fernando Torres, Dimitar Berbatov dan Lionel Messi, tetapi mereka beraksi di sawah.

Dengan nama-nama pasukan juga sempena nama-nama kelab terkemuka dunia, penduduk pelbagai peringkat usia beraksi dalam pertandingan Cabaran Futsal Sawah anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Gong Baru, Gong Tok Nasek dekat, Kuala Terengganu, semlam.

Pertandingan yang menjadi tradisi tahunan itu diadakan di Dataran Urat Halus Sawah Padi, Gong Baru dengan penyertaan 10 pasukan bersaing merebut kejuaraan.

Dalam gelanggang yang becak dan panas terik, aksi-aksi spontan mereka memeriahkan suasana yang kerap mengundang gelak ketawa penonton.

Gelanggang berhampiran dengan tali air itu turut mencabar pihak penganjur apabila perlu terjun ataupun mengait menggunakan galah untuk mendapatkan bola yang terjatuh.

Pengerusi KRT Gong Baru, Gong Tok Nasek, Mohd. Hanafiah Ismali, 48, memberitahu, setiap kali program itu diadakan ia sememangnya mendapat sambutan daripada kalangan belia di kampung tersebut.

Katanya, hadiah keseluruhan bernilai hampir RM1,000 disediakan kepada pemenang dan kali ini penjaring terbanyak, pemain terbaik, penjaga gol terbaik dan pemain harapan juga pulang dengan hadiah.

"Biarpun hadiah tidak lumayan, namun apa yang penting adalah semangat perpaduan dalam kalangan belia di kampung ini dapat dikukuhkan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui semalam.

Utusan Malaysia

DPMMT mahu wujudkan 20 T-Hardware

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Terengganu (DPMMT) akan menjalin kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bagi menubuhkan T-Hardware di negeri ini.

Yang Dipertua DPMMT, Datuk Ir. Tengku Ismail Tengku Jaafar berkata, buat permulaan sebanyak 20 unit T-Hardware dijangka beroperasi di seluruh negeri tahun ini dengan kos pembinaan RM200,000 seunit. Menurutnya, inisiatif berkenaan diwujudkan bagi meningkat dan memantapkan penyertaan bumiputera dalam Sistem Binaan Industri (SBI) dalam pasaran.

"T-Hardware akan beroperasi dengan jenama tersendiri sebagai gedung untuk peruncit dan pemain industri pembinaan bagi mendapatkan pelbagai produk dengan harga lebih kompetitif.

"Selain menonjolkan bentuk perniagaan hardware yang tersusun dan sistematik, perniagaan ini mampu menjana hasil jualan sehingga RM5 juta setahun bagi setiap unit,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis taklimat oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputra (Teraju) anjuran DPMMT di sini hari ini.

Taklimat itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Mohd. Husni Mohamad Salleh.

Tambah Tengku Ismail, pelan berkenaan diharap mampu menjana daya saing bumiputera dalam sektor itu di negeri ini serta memenuhi hasrat kerajaan untuk mengindustrikan sektor pembinaan sepenuhnya.

"Pelaksanaan landskap ini adalah melalui pendekatan perkongsian pintar dengan jabatan atau agensi kerajaan yang aktif dalam bidang pembinaan seperti Kementerian Kerja Raya dan CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan)," katanya.

Sementara itu katanya, kerjasama itu juga berhasrat untuk membina hardware induk yang lebih besar dan dilengkapi teknologi terkini yang bertindak sebagai pembekal dan pengedar kepada cawangan T-Hardware.

"Hardware yang bernilai kira-kira RM5 juta itu akan dibina di Kemaman bagi melengkapkan perkembangan industri ini dan pihak kami yakin industri ini membawa pulangan sehingga RM300 juta setahun," katanya.

Kerajaan Akan Labur RM110 Juta Bagi Sokong Hab Herba ECER

Kerajaan akan melabur RM110 juta bagi menyokong projek taman herba Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan membina infrastuktur fizikalnya bagi menjadikannya hab industri herba Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata ECER, yang telah ditetapkan sebagai pelaksana pembangunan industri herba di bawah Projek Permulaan (EPP) Model Baru Ekonomi (MBE), dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) berjumlah lebih RM3 bilion menjelang 2020.

Ia turut dijangka mewujudkan lebih 2,500 pekerjaan dan 530 peluang keusahawanan.

"Adalah dijangka bahawa pertumbuahn sektor itu akan menyokong menyandarkan bukan sahaja pada kekukuhan kepelbagaian sumber asli negara ini, malah juga kekukuhan sektor pembuatan kita dengan meningkatkan produk pemprosesan dan pembuatan produk berkaitan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada simposium "Peluang Pelaburan dan Perniagaan di dalam Industri Herba" anjuran Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) di Kuala Lumpur, kelmarin.

Satu syarikat peneraju akan dilantik di setiap lokasi taman terpilih, di man dua daripadanya di Dunggun, Terengganu dan yang lain di Lipis Pahang dan Gua Musang, Kelantan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John berkata kira-kira 10 syarikat telah menunjukkan minat masing-masing untuk menjadi syarikat peneraju di taman berkenaan. Fasa pertama, yang meliputi tanah lebih 406 hektar di Dungun dan 327hektar di Lipis dijangka diselesaikan menjelang suku pertama 2012.

Sementara itu, fasa kedua meliputi pembangunan Ladang Herba di Dungun dan Gua Musang akan dimulakan pada fasa kedua Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) (2012-2013). Mengenai pembangunan ECER, Issace berkata kerajaan telah memperuntukkan RM575 juta di bawah fasa pertama RMK10 (2010-2011), yang akan digunakan bagi pembangunan di bawah ECER.

"Kira-kira 20 projek masih dalam pelbagai peringkat pembangunan dan kami menjangka 30 lagi akan dibangunkan," katanya.

Menang Ke Atas Felad United - Terengganu Rampas Takhta Liga Super

Jaringan tunggal Hardi Yahya bukan setakat membantu kemenangan Terengganu menewaskan Felda United 1-0 tetapi juga membantu pasukan pantai timur itu merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Super daripada Selangor di Stadium Sultan Ismail, malam tadi.

Begitupun, kedudukan Terengganu belum pasti selamat kerana Selangor berpeluang merampas kembali kedudukan itu seandainya mereka menundukkan Perak dalam perlawanan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Terengganu kini mengutip 24 mata, manakala Selangor ketinggalan satu mata dan Perak yang ketinggalan dua mata juga berpeluang merampas kedudukan itu sekiranya menewaskan pasukan Merah Kuning itu.

Walaupun menguasai permainan tetapi pelawat jelas tumpul di barisan depan sebelum Hardi memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan gol kemenangan tuan rumah menerusi rembatan cantik pada minit ke-61.

Sementara itu, dalam saingan Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seri 1-1 dengan Pos Malaysia di Stadium Selayang dan SDM Navy pula mencatat kemenangan sulung dengan menundukkan Pulau Pinang 3-0 di Stadium Negeri Batu Kawan.

Polis menewaskan Majlis Perbandaran Muar 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi; Universiti Sains Malaysia (USM) menundukkan Sime Darby 2-0 di Stadium USM, manakala Johor menang 3-0 ke atas Harimau Muda B di Stadium Larkin.

Friday, April 15, 2011

Tiga Pelajar Perempuan KIST Maut, Dua Cedera Parah

Tiga pelajar wanita Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Jelawat, Bachok, Kelantan terbunuh manakala dua lagi rakan mereka cedera parah apabila kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori tangki minyak dalam satu kemalangan di kilometer 3, Jalan Jerteh-Kuala Terengganu dekat Kampung Gerai, Bukit Kenak di Jerteh, pagi kelmarin.

Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta Perodua Viva Nordiana Mohd Noor,22 yang berasal dari Kota Tinggi, Johor, Zur Iras Zakaria, 19 dari Kampung Titian Baru, Atas Tol, Kuala Terengganu dan Nurul Shahidah Abdul Jabar,19 dari Taman Rahmat, Tanah Merah, Kelantan.

Mereka yang cedera ialah Bazilah Abdullah, 19 dari Kampung Tiong Dalam, Kota Bahru dan Nur Adilah Mohd Ghazali, 19 dari Kampung Kelewek, Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata kemalangan berlaku kira-kira pukul 6 pagi apabila kereta Perodua yang dinaiki lima sekawan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kerteh itu dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapan mereka.

"Bagaimanapun, ketika cuba memotong lori berkenaan, kereta yang dinaiki oleh lima pelajar KIST ini telah bertembung dengan sebuah lori tangki minyak kosong dari arah bertentangan yang ketika itu menghala ke Kuala Terengganu.

"Pertembungan itu menyebabkan kereta tersebut terpusing balik ke arah Kuala Terengganu dan seorang daripada mangsa tercampak keluar dari kereta manakala lori tangki Petronas termasuk ke dalam parit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bilik mayat Hospital Daerah Besut kelmarin.

Katanya, dua daripada mangsa iaitu Nordiana dan Zur Iras meninggal dunia di tempat kejadian manakala Nur Adilah meninggal dunia di Hospital Daerah Besut.

Mangsa yang cedera, katanya dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Faisal Deros melalui talian telefon 0133293760.

Sementara itu, pemandu lori tangki Petronas Khairi Ayub,43, berkata kejadian itu berlaku terlalu pantas dan beliau tidak sempat mengelak apabila ternampak kereta yang dinaiki pelajar itu datang dari arah bertentangan.

"Saya cuba mengelak dari melanggar kereta itu sehingga lori yang dipandu saya sendiri terbabas di kiri jalan dan melanggar sebatang pokok serta sebuah pondok menunggu bas sebelum termasuk dalam sebuah parit," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Khairi yang berasal dari Kampung Alor Keladi, Jerteh, Terengganu bagaimanapun hanya cedara ringan dan diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

Seorang rakan kolej mangsa yang juga rakan seasrama mangsa, Norashikin Nasri, 19 dari Bukit Payong, Kuala Terengganu pula berkata kesemua mangsa terlibat adalah pelajar semester empat dalam jurusan kejururawatan.

Lapangan Tapis Terengganu, Pelaburan Utama ExxonMobil Corp di Malaysia

Gas asli akan menjadi sumber bahan api utama paling pantas berkembang pada 2030 dengan bahagian tenaga globalnya meningkat daripada kira-kira 20 peratus kepada 25 peratus, kata seorang pegawai ExxonMobil Corporation.

Pelaburan utamanya di Malaysia ialah di Lapangan Tapis yang terletak 190 km luar pantai Terengganu.

Rob E Gardner, pengurus bahagian ekonomi dan tenaga di jabatan perancangan strategik korporat syarikat itu berkata, perkembangan pesat permintaan gas asli ini adalah disebabkan terutamanya peningkatan permintaan bagi bahan api untuk penjanaan kuasa dan industri.

Ini terutamanya, di negara-negara bukan Organisasi bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

"Peralihan daripada arang batu bagi mengurangkan pelepasan CO2, terutamanya di negara-negara OECD, juga akan memacu pertumbuhan bagi gas asli," kata Gardner pada taklimat media mengenai laporan "ExxonMobil Outlook for Energy: A View to 2030" di Kuala Lumpur, hari ini.

Menjelang 2030, gas asli akan menjadi sumber tenaga kedua terbesar dunia mengatasi arang batu.

"Minyak terus menjadi sumber tenaga terbesar dunia pada 2030," katanya.

Menurut laporan prospek tenaga ExxonMobil itu, angin, suria dan biofuel akan menyediakan kira-kira tiga peratus daripada tenaga dunia menjelang 2030, katanya.

Di Asia Pasifik, arang batu akan menjadi bahan api utama manakala di AS dan Eropah, gabungannya agak berbeza dengan arang batu diatasi oleh gas asli dan nuklear, dan di Eropah, bahan api boleh diperbaharui.

"Kebimbangan mengenai pelepasan gas rumah hijau dan keinginan untuk mendapatkan lebih banyak kepelbagaian dalam bahan api mendorong peningkatan pelaburan dalam nuklear, angin dan suria sebagai bahan api penjanaan kuasa," katanya.

Daripada sumber-sumber ini, beliau berkata, nuklear akan memainkan peranan paling penting pada 2030.

Bagaimanapun, gabungan masa depan bahan api ini akan beralih dan ini sebahagian besarnya akan berdasarkan kos, kata Gardner.

Dalam laporan prospek tenaga ExxonMobil itu, ia menyatakan bahawa di kebanyakan rantau, arang batu dan gas asli adalah paling ekonomi.

Hari ini, kira-kira 40 peratus kuasa dunia datang daripada arang batu manakala kira-kira 20 peratus datang daripada gas asli.

Bahan api fosil, kata Gardner, masih dijangka memainkan peranan utama terutamanya bagi pengangkutan.

Menurut laporan itu, di seluruh dunia, permintaan tenaga berkaitan pengangkutan dijangka meningkat hampir 40 peratus dari 2005 ke 2030 berikutan peningkatan aktiviti ekonomi, kenaikan pendapatan, terutamanya di rantau Asia Pasifik.

Mengenai ExxonMobil, Gardner berkata dalam sektor minyak dan gas, syarikat itu komited dalam bajet modalnya sekitar US$33 bilion hingga US$37 bilion setahun bagi tempoh lima tahun akan datang. Dilaporkan bahawa ExxonMobil akan memulakan projek pemulihan minyak dipertingkat di Lapangan Tapis pada 2013.

Khalid Dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Khalid Abu Bakar dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru berkuatkuasa Jumaat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata Khalid, 54, menggantikan Datuk Hussin Ismail yang memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Negara sejak Sept 2010.

Pelantikan Khalid sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baru telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi menggantikan Hussin yang bersara wajib pada usia 58 tahun esok, katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Bukit Aman hari ini.

Khalid, yang dilahirkan pada 5 Sept 1957 di Seremban, Negeri Sembilan, memasuki perkhidmatan polis pada 5 Dis 1976 sebagai Inspektor polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Beliau yang juga bekas Ketua Polis Selangor pernah menyandang beberapa jawatan termasuk Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah 1 Bukit Aman (2006), Ketua Polis Negeri Sembilan (2005), Ketua Polis Daerah Kuantan (2003), Ketua Jabatan Pengurusan Pahang (2003) dan Ketua Jabatan Narkotik Kedah (1997).

Sambil menyifatkan amanah yang diberikan begitu mencabar, Khalid berjanji akan menjalankan tugas dengan baik untuk memartabatkan pasukan polis selaras dengan misi dan visi pasukan.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan dan Ismail kerana memberi kepercayaan kapadanya untuk memikul tanggungjawab itu.

Dalam pada itu, Hussin berkata beliau berpuas hati berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia terutama dalam sumbangan yang telah ditabur kepada pasukan itu dan juga ketenteraman negara.

"Saya yakin Khalid dapat meneruskan legasi yang akan membawa PDRM terus cemerlang dan komited. Saya selepas ini akan menghabiskan masa bersama keluarga setelah tidak dapat melakukannya sebelum ini," katanya.

Hussin yang dilahirkan pada 15 April 1953 di Muar, Johor telah mencurah bakti pada pasukan PDRM selama 39 tahun dan empat bulan termasuk dengan memegang jawatan Pengarah KDN/KA pada 2008, Ketua Polis Johor (2006), Ketua Polis Terengganu (2004) dan Ketua Cawangan Khas Perak (2002).

Gaji Minimum RM500 dan elaun RM100 Untuk Pengawal Keselamatan Di Terengganu

Kajian Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendapati kebanyakan 150,000 pengawal keselamatan di Semenanjung Malaysia tidak dibayar gaji minimum baru yang berkuat kuasa Februari lepas.

Naib Presiden MTUC A. Balasubramaniam berkata kajian juga mendapati majoriti daripada mereka tidak tahu mengenainya, dan bagi menangani isu berkenaan pihaknya telah mencetak 50,000 salinan arahan mengenai perkara tersebut yang diedarkan ke semua cawangan MTUC.

"Kami juga telah menampal salinan perintah itu di tempat-tempat tumpuan agar pengawal keselamatan tahu hak mereka dan menuntut gaji baru mereka daripada majikan," katanya hari ini.

Beliau berkata Jabatan Tenaga Kerja juga harus meningkatkan usaha untuk menguatkuasakan peraturan tersebut.

Katanya gaji baru antara RM500 hingga RM700 itu berkuat kuasa 15 Februari lepas menerusi arahan yang ditandatangani Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam bertarikh 11 Februari Balasubramaniam juga berkata Kongres itu bersedia bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja bagi menyebarkan maklumat tersebut dan memastikan pengawal keselamatan terbabit menerima hak mereka.

Skala gaji baru itu dibahagikan kepada tiga zon iaitu Zon A dengan gaji pokok RM550 dan elaun RM150 yang meliputi Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor Baharu selatan, Kota Tinggi, Kulaijaya dan Pontian.

Zon B memperuntukkan gaji pokok RM500 dan elaun RM100 merangkumi Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu, Kluang, Batu Pahat, Mersing, Muar, Ledang dan Segamat.

Untuk Zon C, gaji pokok ditetapkan pada RM450 dan elaun RM50 bagi Kedah, Kelantan dan Perlis. Balasubramaniam berkata pengurusan digesa membayar lebih daripada gaji minimum berasaskan keupayaan kewangan syarikat.

Agensi Kerajaan Diminta Main Peranan Elak Tanah Milik Melayu Tukar Tangan

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia cawangan Terengganu (DPMMT) meminta agensi kerajaan berkaitan supaya memainkan peranan bagi menghalang tanah milik orang Melayu di bandaraya Kuala Terengganu jatuh ke tangan bangsa lain.

Pengerusinya Datuk Ir.Tengku Ismail Tengku Jaafar berkata agensi kerajaan berkenaan perlu mengambil alih dan memajukan tanah milik orang Melayu sebelum menjualnya semula kepada mereka.

Katanya pada masa kini ada tanah milik orang Melayu di pusat bandar telah bertukar tangan kepada bangsa lain.

“Ini kerana tanah yang dimiliki dalam kadar keluasan yang kecil menyebabkan ia sukar dimaju serta dibahagikan di kalangan ahli keluarga sehingga mereka menjual sebagai satu jalan mudah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung DPMMT kali ke-38 di Kuala Terengganu, semalam.

Justeru itu, katanya dalam hal ini agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), UDA Holdings Bhd, Lembaga Tabung Amanah Warisan negeri Terengganu, Yayasan Terengganu dan Yayasan Islam perlu memain peranan mengambil alih tanah milik orang Melayu itu meskipun bersaiz kecil untuk dimajukan demi kebaikan ekonomi bangsa Melayu.

Katanya, apabila tanah tersebut diambil alih dan dimajukan oleh pihak swasta, kemampuan orang Melayu untuk memiliki hartanah yang telah dibangunkan agak terhad menyebabkan bangsa Melayu terus terpinggir dalam ekonomi.

Mayat Pelajar Lemas Di Lata Belantan Ditemui

Mayat pelajar yang lemas ketika berkelah di kawasan Air Terjun Lata Belatan, Jabi dekat Jerteh, Jumaat lalu, berjaya dikeluarkan lewat petang semalam selepas enam hari mayatnya tersangkut di sebatang kayu dalam lubang sedalam empat meter di kawasan air terjun itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut yang juga Ketua Operasi Menyelamat, DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata mayat Muhammad Safawi Mat Hussin, 14, pelajar tingkatan dua, SMK Megabang Telipot, Kuala Terengganu itu berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 6.45 petang semalam.

“Kita berjaya mengeluarkan mayat mangsa menerusi satu lubang bawah kawasan air terjun itu dengan menggunakan tali dan tangga,” katanya semalam.

Katanya operasi mengeluarkan mayat mangsa mengambil masa yang agak lama berikutan mayatnya tersangkut pada sebatang kayu di celah batu dalam satu lubang laluan air yang sempit dan dipenuhi air.

Dalam kejadian Jumaat lepas, Muhammad Safawi, dibawa arus ke lubang air itu ketika berkelah bersama tujuh anggota keluarganya di kawasan berkenaan kira-kira pukul 11.00 pagi.

Thursday, April 14, 2011

Zakat TNB, Bank Rakyat RM2j

Ahmad Said menerima replika cek zakat daripada TNB dan Bank Rakyat semalam. Gambar - Harith Fadzilah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said semalam menerima penyerahan zakat perniagaan bernilai kira-kira RM2 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Bank Rakyat 2010 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Penolong Pengurus Besar Operasi Cawangan Bank Rakyat, Baharom Embi menyampaikan replika cek bernilai RM1.057 juta sementara wakil TNB pula menyerahkan sebanyak RM1.965 juta.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif/Setiausaha Maidam Wan Harujan Sulaiman.

Program Al-Ansar Untuk Pelajar Pengajian Islam ke Universiti Al-Azhar

Oleh: Shahrir Hamid

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan RM 500,000 bagi membiayai 100 pelajar terpilih melalui program khas Skim Al-Ansar sebagai persediaan melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir.

MAIDAM menetapkan syarat baru ini dan pelajar terpilih akan dihakimi panel daripada Kementerian Pendidikan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA ) serta Yayasan Terengganu.

Program kursus bahasa Arab dan penyesuaian diri yang mendapat kerjasama UniSZA dilancarkan setelah pihak Universiti Al-Azhar mengenakan ujian Bahasa Arab kepada penuntut Malaysia bagi melanjutkan pengajian peringkat ijazah.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Wan Harujan Sulaiman berkata pada siding media di Wisma Darul Iman semalam: “Program khas ini dijalankan selama sebulan bermula 15 Mei hingga 15 Jun 2011 ini.

” Beliau menyatakan demikian pada majlis penyerahan Zakat Perniagaan daripada Tenaga Nasional Berhad dan Bank Rakyat, semalam. Pelajar yang mengikuti Skim Al Ansar itu juga diwajibkan menyertai kursus Biro Tatanegara sebagaimana yang diwajibkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Katanya, dalam peperiksaan dan Imtihan Qabul tahun lalu, seramai 307 atau 47 peratus sahaja pelajar yang lulus daripada 657 pelajar Malaysia yang menduduki peperiksaan itu.

“Pelajar yang lulus termasuk daripada Terengganu, tetapi kita tidak dapat mengesannya kerana mereka tidak melalui MAIDAM dan juga Yayasan Terengganu sebaliknya mereka pelajar persendirian.

“Berasaskan maklumat yang kita terima ada beberapa pelajar dari Terengganu gagal meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar sebagaimana hasrat mereka sebelum bertolak daripada tanah air, disebabkan kegagalan mereka dalam peperiksaan dalam Imtihan Qabul tersebut,” katanya.

Wan Harujan berkata kegagalan dalam peperiksaan itu menyebabkan pelajar terpaksa mengikuti kelas Bahasa Arab yang kemungkinan dianjurkan oleh pihak universiti atau Maahad di Mesir.

Beliau berkata, dalam situasi begini, MAIDAM tidak boleh membayar bantuan penuh berjumlah RM5,000 setahun disebabkan mereka hanya menuntut di Maahad dan bukan di universiti bagi mengikuti kursus ijazah.

Menurutnya, pelajar terbabit layak dipertimbangkan sebagai penerima bantuan am, iaitu RM1,000 hingga RM2,000 sahaja dan tanggungan pembiayaan berbaki perlu ditanggung oleh ibu bapa pelajar.

Dalam hal itu, katanya, MAIDAM memutuskan pelajar yang ditaja oleh MAIDAM hendaklah diberikan kursus asas terlebih dahulu yang merangkumi pengajian Bahasa Arab dan perihal serta perkara yang berkaitan masyarakat Arab supaya dapat lulus dalam peperiksaan dan Imtihan Qabul.

Jelas beliau lagi, pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya 5 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia dengan keputusan A dalam Bahasa Arab layak memohon dan pelajar terpilih di bawah skim ini layak menerima bantuan Dermasiswa.

Pelajar yang menerima bantuan Dermasiswa mendapat tajaan penuh MAIDAM bagi melanjutkan pelajaran ke Asia Barat dalam bidang pengajian Islam. Menurut Haji Harujan, pelajar terpilih boleh membuat pilihan melanjutkan pelajaran ke tiga buah universiti diiktiraf di Jordan iaitu Universiti Yarmouk, Universiti Mu’tah serta Universiti Al-Bayt yang bekerjasama dengan MAIDAM .

Sementara Teganukita melaporkan, MAIDAM juga kini membantu pelajar bagi menguruskan permohonan mereka untuk melanjutkan pelajaran di tiga universiti yang ditetapkan oleh MAIDAM di Jordan untuk kemasukan September ini.

Katanya, MAIDAM akan membiayai sepenuhnya tambang penerbangan, selain menguruskan kos dan penterjemahan keputusan SPM pelajar dalam Bahasa Arab, diikuti pengesahan di Wisma Putra serta penyediaan visa.

“Mudah-mudahan bantuan MAIDAM kepada pelajar dan ibu bapa yang tidak biasa dengan urusan permohonan dokumen melanjutkan pelajaran ke luar negara dan lazimnya menggunakan ejen dengan kadar bayaran tertentu, akan dapat melancarkan urusan mereka serta menyambung pelajaran dengan baik di Jordan,” katanya.

Rakyat Malaysia Dinasihat Tidak Berkunjung Ke Fukushima

Rakyat Malaysia dinasihati tidak berkunjung ke daerah Fukushima di Jepun kecuali jika mempunyai urusan penting sahaja kerana status loji nuklear Fukushima Daiichi masih dalam keadaan serius.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata pihak berkuasa Jepun tidak membenarkan pengunjung memasuki ke kawasan pemindahan pada jarak sekitar 20 kilometer dari loji itu.

"Pergerakan terhad juga dikuatkuasa pada jarak 20 hingga 30 kilometer dari kawasan loji nuklear itu dan kemungkinan besar kawasan utara loji berkenaan akan turut mengalami pemindahan berjadual yang ditetapkan pihak berkuasa Jepun," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpursemalam.

Sehubungan itu, Maximus menasihati rakyat Malaysia supaya mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa tempatan di Fukushima, Jepun, Kedutaan Besar Malaysia di Jepun dan Kedutaan Besar Jepun di Malaysia.

Selain itu, kementerian melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) mendapati tiada pencemaran radioaktif dikesan dalam sampel air laut, air hujan dan tanah dari beberapa lokasi seluruh negara dalam hasil keputusan sampel oleh Agensi Nuklear Malaysia pada 8 April lepas.

Pemantauan itu dibuat oleh kementerian untuk mengawasi kebarangkalian pencemaran radioaktif pada 2 April lepas. Jepun dilanda gempa bumi kuat dengan magnitud 9.0 pada skala Richter 11 Mac lepas yang turut mencetuskan tsunami dan kerosakan loji nuklear.

Bencana alam itu menyebabkan lebih 10,000 kematian dan ramai orang dilapor hilang. Ongkili berkata Jepun meningkatkan tahap kemalangan di loji nuklear Fukushima Daiichi daripada tahap lima kepada tahap tujuh yang merupakan tahap paling buruk mengikut skala antarabangsa semalam.

Maximus berkata tahap tujuh bermakna pelepasan bahan radioaktif besar yang akan memberi kesan ke atas kesihatan dan alam sekitar maka tindakan pencegahan terancang dan berpanjangan perlu diambil. "Had pelepasan radioaktif bagi tahap kemalangan loji nuklear pada tahap tujuh adalah melebihi 50,000 Terra Becquerel," katanya.

Sehubungan itu, International Nuclear and Radiological Event Scale dan AELB akan terus melakukan ujian sampel terutama pada sampel air laut di seluruh negara iaitu di Kota Baharu, Kuala Terengganu, Kemaman, Kuantan, Pasir Gudang, Kuching, Bintulu, Labuan, Kota Kinabalu, Kudat dan Sandakan, katanya.

Selain itu, Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di enam lokasi seluruh Malaysia masih menunjukkan paras normal dan pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Portal di empat lapangan terbang antarabangsa Malaysia tidak menunjukkan sebarang kesan pencemaran sehingga kini, katanya.

Bank Rakyat Sasar Buka Enam Lagi Cawangan Ar-Rahnu Tahun Ini

Baharom (kiri) menyerahkan replika cek wang zakat perniagaan Bank Rakyat. - Gambar Harith Fadzilah.

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) menyasarkan untuk membukan enam lagi cawangan Ar-Rahnu di seluruh negara pada tahun ini.

Penolong Pengurus Besar Operasi Cawangan, Baharom Embi berkata antara lokasi yang telah dikenal pasti untuk pembukaan cawangan baru itu ialah Muar, Johor; Alor Setar, Kedah; dan Melaka.

"Berdasarkan sambutan yang menggalakkan yang ditunjukkan oleh pelanggan, kita telah meluluskan pembukaan enam cawangan baru Ar-Rahnu pada tahun ini dengan empat kawasan yang telah dikenal pasti dan dua lagi kawasan yang akan diputuskan kemudian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di majlis penyerahan wang zakat perniagaan Bank Rakyat 2010 untuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

Cek berjumlah RM1.057 juta itu diserahkan kepada Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman di Wisma Darul Iman petang semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif/Setiausaha Maidam Wan Harujan Sulaiman.

Baharom berkata, untuk menampung permintaan pelanggan terhadap perkhidmatan itu, Bank Rakyat juga merancang untuk menambah lima lagi cawangan perniagaan francais Ar-Rahnu X'Change pada tahun ini.

Katanya, perkhidmatan Ar-Rahnu merupakan produk yang ke-empat paling mendapat sambutan dalam perkhidmatan Bank Rakyat dan di perkhidmatan itu mendapat sambutan baik di kalangan pelanggan di Pantai Timur terutama Kelantan dan Terengganu.

"Dengan adanya perkhidmatan Ar-Rahnu ini, kita dapat membantu memberikan pembiayaan pinjaman kepada golongan miskin sekaligus mengelak kebergantungan terhadap ceti haram atau "Ah'long" kerana ia merupakan penyelesaian segera kepada keperluan kewangan peribadi," katanya.

Operasi Keluarkan Mayat Mangsa Lemas Di Lata Belantan Dipertingkat

Operasi mengeluarkan mayat Muhammad Safawi Mat Hussin, 14, yang lemas dibawa arus air terjun di Lata Belatan, Jabi Jumaat lepas dipertingkat dengan kekuatan pasukan operasi ditambah kepada 70 orang melibatkan pelbagai agensi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut yang juga Ketua Operasi Menyelamat DSP Noor Zainy Mohd Noor berkata laluan air yang laju menyukarkan operasi menarik keluar mayat yang tersangkut pada sebatang kayu dalam sebuah lubang sedalam empat meter.

"Pada masa ini, kami sedang menutup lubang-lubang laluan air di lokasi kejadian dengan kanvas bagi memudahkan pasukan operasi membawa naik mayat yang kini semakin membengkak.

"Jika strategi yang digunakan tidak berhasil, kami bercadang untuk meminta bantuan daripada Syarikat Air Terengganu (Satu) bagi menggunakan saluran PVC untuk mengalihkan laluan air daripada melalui lokasi mayat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Dalam kejadian Jumaat lepas, Muhammad Safawi, pelajar Tingkatan Dua, SMK Mengabang Telipot, Kuala Terengganu di bawa arus ke lubang air itu ketika berkelah bersama tujuh anggota keluarganya di kawasan itu kira-kira pukul 11.00 pagi.

JTLM Tingkat Pemantauan Pencerobohan Taman Laut

Kaharudin Momin (dua dari kanan) menyerahkan sijil kerjasama kepada Sukarno Wagiman (dua dari kiri) sambil diperhatikan Aziyah Mohamed (tengah) di Pulau Redang, baru-baru ini.

Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) akan meningkatkan pemantauan di seluruh perairan yang berdekatan taman laut terutamanya di Pahang yang mencatatkan kes pencerobohan tertinggi sejak dua tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Dr. Sukarno Wagiman berkata, daripada 74 kes yang dikesan di seluruh perairan negara pada 2009, sebanyak 29 kes berlaku di negeri itu.

"Bagaimanapun pemantauan agresif JTLM bukan sahaja berjaya menurunkan kadar kes pencerobohan di perairan itu malah turut memberi kesan di seluruh negara apabila dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini hanya 12 kes dikesan berbanding 20 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, pencerobohan taman laut di perairan Kedah dikesan paling banyak berlaku iaitu lima kes dan semakin berkurangan di perairan Terengganu dan Pahang," katanya pada majlis penutup Kem Pendidikan Marin anjuran JTLM dengan kerjasama Persekutuan Pengakap Malaysia di Taman Laut Pulau Redang, Kuala Terengganu kelmarin.

Kem yang dianjurkan selama tiga hari melibatkan kira-kira 100 peserta daripada Unit Pengakap Laut itu dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Sumber Asli dan Alam sekitar, Datuk Aziyah Mohamed.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Kaharudin Momin.

Dalam pada itu, Sukarno berkata, JTLM melatih 100 penyelam untuk mengawasi aktiviti pengunjung agar mereka tidak merosakkan batu karang. Sebelum ini, katanya, JTLM menggunakan pendekatan penguatkuasaan secara makro iaitu kesalahan umum seperti menangkap ikan atau melabuhkan sauh di atas terumbu karang.

"Tahun ini, JTLM melaksanakan penguatkuasaan secara mikro iaitu memantau kesalahan yang dilakukan oleh pengunjung yang memijak atau mematahkan karang ketika aktiviti snorkeling dan menyelam.

"Bagaimanapun untuk peringkat awal ini, kita menasihati terlebih dahulu pesalah terlibat dan jika masih melakukannya, tindakan tegas akan diambil.

"Kita juga melakukan pemeriksaan di jeti bagi mengelakkan penyeludupan batu karang," katanya.

Hadi Gembira Jadi Wira Pasukan Terengganu


Oleh: Shahrir Hamid

Terengganu memanfaatkan peluang yang terhidang semasa menentang pasukan berstatus kelab, T-Team apabila bekas penyerang Kuala Lumpur, Abdul Hadi Yahya menjadi senjata peledak pasukan Terengganu.

Ayam tambatan Terengganu itu sudah berhasil menjaringkan enam gol setakat ini dan berkongsi jumlah jaringan gol bersama rakan sepasukan yang juga penyerang kebangsaan, Ashaari Samsuddin.

"Saya orang paling gembira dalam skuad Terengganu kerana dapat membantu pasukan menewaskan T-Team dan memberi mata kemenangan berharga,"katanya.

Abdul Hadi berkata, jaringan gol itu dia dapat membantu pasukannya mencapai kemenangan tipis ke atas T-Team 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam semalam.

"Saya sedikit pun tidak menduga dapat menjaringkan gol kerana sering dikawal ketat barisan pertahanan lawan yang terdiri pemain berpengalaman seperti Nor Fazly Alias, Azizi Matt Rose, Subri Sulong dan Rosdi Talib pada separuh masa pertama,"katanya.

Abdul Hadi berkata, dia bernasib baik dalam masa dua minit permainan bersambung babak kedua, mendapat umpanan dari rakan terus mengelicik dua pertahanan lawan, sebelum menewaskan Syamsuri Mustaffa untuk gol kemenangan.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti kelihatan gembira kerana hajat untuk mengutip mata penuh tercapai ketika menentang T-Team.

Beliau mengucap taniah kepada Abdul Hadi kerana bijak mengunakan peluang terbaik menjaringkan gol dan membolehkan Terengganu mengutip mata penuh.

Irfan Bakti berkata,beberapa peluang diperolehi barisan serangannya pada babak pertama tetapi setiap percubaan tersasar dan dapat diselamatkan penjaga gol lawan. Beliau berkata, dengan kemenangan itu membolehkan skuad dibawah bimbingannya mengumpul 18 mata dan kekal ditangga keempat.

Wednesday, April 13, 2011

Kerajaan Bantu Pulih Ternakan Ikan Dalam Sangkar

Kerajaan negeri akan bantu lima penternak ikan dalam sangkar di Sungai Mercang, Marang yang mengalami kerugian besar dalam kejadian hujan lebat melanda daerah itu baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Encik Yahya Khatib Mohamad berkata, kerajaan sedang membuat taksiran dan akan membantu penternak terbabit untuk memulihkan semula projek mereka.

“Terdapat lima peserta yang menternak ikan dalam sangkar di Sungai Mercang telah mengalami kerugian yang keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1 juta atau RM200,000 setiap penternak,” katanya kepada Teganukita.

Bagaimanapun, katanya, beberapa peserta yang mengusahakan ternakan tiram hanya mengalami sedikit kerosakan dan masih boleh meneruskan projek.

“Kerajaan amat bersimpati dan masalah bencana ini di luar kawalan dan kita akan memberi bantuan benih, sangkar dan keperluan lain bagi membolehkan mereka bangkit kembali,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan.

“Dalam kejadian itu juga beberapa rumah kediaman turut mengalami kerosakan dan kita beri bantuan segera untuk membaiki rumah berkenaan serta dua rumah kepunyaan ibu tunggal yang rosak teruk akan diberi rumah baru di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT),” katanya.

Katanya, dua pemilik rumah yang tidak boleh dibaiki itu akan dipindahkan ke kawasan penempatan baru di Pulau Rusa bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan yang selesa ditempat baru.

Unit Komunikasi Negeri

Lapan Tahun Penjara, Sepuluh Sebatan Untuk Ameng Springs

Penyanyi Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng Springs berbual dengan isterinya, Sabariah Zakariah, di Mahkamah Sesyen Melaka selepas dijatuhi hukuman lapan tahun penjara dan sepuluh sebatan atas tuduhan memiliki dadah semalam (12 April 2011).

Terengganu Menang, Kelantan Kecundang di Ipoh

Akmal (depan, kanan) meledak dua gol bagi membantu Perak membenam Kelantan 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Pertembungan setempat antara Adik dan Abang, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkesudahan Terengganu menang tipis 1-0 ke atas T-Team yang dijaringkan menerusi Abdul Hadi Yahaya pada minit ke-47.

Dengan kekalahan tersebut, T-Team gagal mencipta kejutan malam ini untuk mengulangi kejayaan menewaskan dua pasukan teratas liga, Kelantan dan Selangor sementara berjaya mengikat seri 0-0 menentang Perak pada perlawanan lepas.

Sementara Selangor kembali melonjakkan diri ke tangga teratas Liga Super setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Felda United pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini

Gol kemenangan skuad bimbingan K. Devan itu disumbangkan oleh Mohd Fadzil Saari pada minit ke-31.

Dengan kemenangan tersebut, juara bertahan Liga Super itu kini mengumpul 23 mata dengan memiliki satu kemenangan ke atas pencabar terdekatnya, Kelantan yang tumpas mengejut 0-4 kepada Perak selepas sebelas perlawanan.

Di Stadium Perak, IPOH, pasukan tuan rumah nyata mencipta kejutan apabila berkenduri gol 4-0 menewaskan pasukan Kelantan untuk mendapat kemenangan keenamnya.

Skuad Seladang kini mengumpul 22 mata untuk berada di tangga kedua liga sementara pasukan The Red Warriors turun satu anak tangga yang kekal mengumpul 20 mata di belakang Perak.

Ibarat harimau terluka, Perak tampil tanpa belas ehsan dan tidak perlu menunggu lama untuk mendahului pasukan pelawat apabila rembatan kencang Mohd. Fazrul Hazli pada minit kelima menerjah gawang Kelantan.

Penyerang lincah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli terlepas peluang terbaik menjaringkan gol pada minit ketujuh apabila percu- baannya sekadar melewati palang gol.

Perak semakin garang mengasak kubu lawan sehingga menyebabkan barisan pertahanan Kelantan terpaksa berkubu di kawasan sendiri.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat terpaksa bekerja keras menghalang percubaan berbahaya daripada Akmal dan Mohd. Shafiq Jamal.

Lebih 18,000 penyokong Perak kembali bersorak keriangan apabila Shafiq menambah gol kedua pada minit ke-26.

Gol itu bermula daripada hantaran yang dilakukan oleh Akmal dari sebelah kiri pintu gol Kelantan sebelum Shafiq mudah menolak bola ke gawang Kelantan.

Sebaik babak kedua bermula, Perak terus bernafsu memburu gol. Kedudukan Perak semakin kukuh apabila rembatan Akmal ke penjuru kanan Kelantan gagal diselamatkan oleh Khairul Fahmi pada minit ke-78.

Pemain gantian, Razali Umar Kandasamy menambah gol keempat Perak setelah memperdaya dua pertahanan Kelantan pada lewat perlawanan.

Di Negeri Sembilan, pasukan tuan rumah terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Kedah menerusi jaringan 0-2 pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dua gol skuad Kenari masing-masing dijaringkan oleh Azlan Ismail pada minit ke-61 dan Badrol Bakhtiar (ke-88). Di SHAH ALAM, jaringan tunggal Harimau Muda A menerusi Mohd Syahid Saidon ke atas Kuala Lumpur membawa pasukan Harimau Muda A memperolehi tiga mata penuh.

Di Stadium Likas, pertemuan dua pasukan tercorot liga, Sabah dan Perlis berkesudahan seri 2-2 untuk masing-masing mengutip satu mata.

Pasukan Singa Utara terlebih dahulu berada di hadapan apabila Mohamad Rozaidi menjaringkan gol pada minit ke-39 pada babak pertama.

Namun kegembiraan pasukan pelawat tidak kekal lama apabila tuan rumah bangkit menjaringkan dua gol masing-masing dijaringkan oleh Md Farid Ideris pada minit ke-52 dan Leopold Alfonso Otong selang enam minit kemudian sebelum Perlis berjaya merapatkan kedudukan menerusi Mohd Faiz Subri (min-71).

Di Kuantan, Pahang dan Johor FC seri tanpa jaringan 0-0 pada pertemuan di Stadium Darul Makmur.

Sementara itu, dalam satu perlawanan Liga Perdana, tuan rumah Harimau Muda B meraih kemenangan keempatnya setelah membelasah pasukan tercorot liga, Pulau Pinang 3-1 pada pertemuan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Keputusan itu menyaksikan skuad anak didik Ismail Ibrahim mengutip mata tiga penuh bagi mengumpul 16 mata untuk berada di tangga keenam sementara pasukan dari Pulau Mutiara itu masih buntu mencari kemenangan pertamanya dalam liga musim ini.

Terengganu Lancar Program Imam Muda Mei ini

Terengganu menjadi negeri kedua melaksanakan Program Pendidikan Imam Muda (PIM) 2011 sebagai platform mencari pelapis di kalangan imam dan menyelesaikan masalah kekurangan golongan pemimpin agama itu dalam masyarakat.

Program itu bakal dilancarkan di Universiti Malaysia Terengganu pada 20 hingga 21 Mei ini.

Program pertama dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, di Pekan, Pahang, tahun lalu. Kali ini program dianjurkan Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama penuh Kerajaan Terengganu menerusi portfolio jawatankuasa pelajaran negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman, berkata tujuan utama program adalah melahirkan lebih ramai golongan pelajar dan belia yang boleh dilatih menjadi imam dan pemimpin masyarakat yang serba boleh.

“Ia juga menjadi medan melahirkan bakal imam muda yang berilmu, berketerampilan, berkemahiran dan berkebolehan hingga mampu menjadi model kepada generasi belia lain secara teori dan amali.

“Kerajaan negeri optimis dengan usaha yang dijalankan di seluruh negara itu. Malah, Terengganu selaku negeri kedua, akan memastikan lebih ramai golongan imam muda mampu diketengahkan dalam masyarakat kita kelak,”katanya selepas merasmikan satu majlis di Kampung Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya mensasarkan 200 pelajar berusia 15 tahun ke atas termasuk belia dan penuntut IPT dari seluruh Terengganu akan menyertai program yang akan mengenal pasti bakat golongan itu, yang bukan hanya berketrampilan sebagai pelajar, tetapi memiliki ketokohan dan kepimpinan sebagai imam.

“Masalah untuk mencari imam muda amat ketara. Kita berharap ini menjadi landasan terbaik bagi mencungkil bakat dan membantu menyelesaikan masalah ketandusan golongan imam pelapis. Satu panel atau institut khas dilantik bagi memilih peserta yang layak diketengahkan sebagai imam muda,” katanya.

Ahmad Razif, berkata juara Program Imam Muda musim pertama terbitan TV9, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan dijemput bagi mengendalikan program itu dengan pendekatan dan pengisian yang ditetapkan oleh Jabatan Perdana Menteri.
Unit Komunikasi Negeri

MB Minta JKR Ubahsuai Pelan Velodrom Mini di Dungun

Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta mengemukakan pelan lain yang sesuai dengan cadangan kos asal pembinaan velodrom mini di Dungun.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata beliau sendiri pun terkejut membaca laporan akhbar yang mengatakan kos pembinaan projek berkenaan terlalu tinggi hingga hingga mencecah RM36 juta.

“Kerajaan negeri akur dengan keputusan agar JKR mengemukakan pelan baru yang sesuai dengan kos cadangan pembinaan velodrom tersebut yang dianggarkan RM3.5 juta saja,” katanya kepada pemberita petang kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, baru-baru ini bahawa kerajaan negeri dan MSN hanya mencadangkan anggaran peruntukan RM3.5 juta setimpal dengan peranan kemudahan itu kelak.

Katanya, anggaran kos oleh JKR dilihat amat tinggi bagi membina sebuah velodrom yang dirancang sebagai pusat latihan selain boleh dijadikan veneu untuk pertandingan peringkat tempatan. Menteri Besar amat bersetuju dengan kos RM3.5 juta bagi membina velodrom mini di Dungun yang bertujuan menggalakkan rakyat tempatan berkecimpung dalam sukan lumba basikal.

“Jika pembinaannya menjangkau RM36 juta itu sudah dikira projek di peringkat nasional,” tambahnya.

Menteri Besar berharap velodrom tersebut dapat dibina secepat mungkin bagi membolehkan ia digunakan oleh golongan belia yang berminat dalam sukan berkenaan. Unit Komunikasi Negeri

Bapa Francisca Peters Ditemui Mati Di Rumah Sewanya

Bapa penyanyi popular sekitar era 80-an Francisca Peters, ditemui mati di rumah sewanya di Taman Seri Dungun, malam kelmarin.

Mayat Lucian Gaberial Peter atau nama Islamnya Muhammad Gaberial Peter Abdullah, 78, ditemui dalam keadaan tertiarap dalam rumah sewanya itu oleh seorang rakan anaknya pada pukul 10.30 malam.

Rakan anaknya itu dikatakan pergi ke rumah Muhammad Gaberial Peter yang pernah bekerja sebagai wartawan akhbar New Straits Times sekitar tahun 70-an itu setelah diminta berbuat demikian oleh seorang daripada anak Muhammad Gaberial Peter.

Mayat Muhammad Gaberial Peter dihantar oleh Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Pegawai Agama daerah Adnan Mohamad mengesahkan Muhammad Gaberial memeluk Islam sejak tahun 2007. Mayat Muhammad Gaberial dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sura Tengah kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

Tak Mungkin Pas Dapat Perjuangkan Islam Di Sarawak Dengan Hanya Lima Kerusi

SEDIA... Kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersedia dengan peti-peti undi untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10 di Bilik Gerakan SPR di Kuching, Selasa. PRN Sarawak akan diadakan pada 16 April ini membabitkan 71 Dewan Undangan Negeri di 1,749 pusat pengundian membabitkan 979,796 pengundi berdaftar.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Daud Abdul Rahman Selasa mempertikaikan hasrat sebenar PAS bertanding di Sarawak kerana tidak mungkin parti itu dapat memperjuangkan Islam di negeri ini dengan hanya lima kerusi ditandinginya.

Sebaliknya, menurut beliau parti dari Semenanjung itu hanya datang untuk memecahbelahkan umat Islam di negeri ini.

"Ini berbeza dengan PBB yang merupakan parti terbesar mewakili penduduk Islam di Sarawak," katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian Kursus Pendedahan Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain di Pusat Latihan Sarawak di Telaga Air, yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Selain itu, 27 daripada 35 kerusi yang ditandingi PBB terdiri daripada calon beragama Islam, kata Daud, yang juga Menteri (Hal Ehwal Islam) di Pejabat Ketua Menteri.

Justeru, tindakan PAS bertanding lima kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini bukanlah demi kepentingan perjuangan Islam tetapi lebih kepada kepentingan mereka sendiri semata-mata, katanya.

Lima kerusi yang ditandingi PAS adalah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Tanjong Datu.

Beliau berkata PBB telah menjalinkan persefahaman yang rapat dengan rakan-rakan bukan Islam daripada parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional Sarawak. Daud berkata mereka menghormati kepimpinan PBB kerana melihat parti itu adil untuk sama-sama mentadbir negeri ini.

Dalam pilihan raya ini, Daud akan mempertahankan kerusi Tupong berdepan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baharuddin @ Din Shah Mokhsen.

Kompleks Sukan UMT Jana Kecemerlangan Atlet

DYMM Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan meletakkan kunci simbolik mengisytiharkan pemansyuran Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail , Universiti Malaysia Terengganu (UMT). - Foto: Syed Abdul Rahman.

Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bernilai RM26 juta akan menjadi pencetus kepada kecemerlangan sukan serta melonjakkan bidang itu di persada dunia.

Naib Canselor UMT, Prof Dr Aziz Deraman, berkata penghasilan atlet yang unggul banyak dipengaruhi kemudahan fasiliti sukan serta memenuhi standard kebangsaan yang ditetapkan dan setiap kemudahan dimanfaatkan dengan optimum oleh para atlet.

"Segala kemudahan yang disediakan adalah khusus untuk kesejahteraan rakyat dan membantu dalam membudayakan sukan sabagai satu teras dalam kehidupan harian,” katanya ketika berucap di majlis Pemansyuran Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, petang Ahad lalu.

Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail telah dimasyurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut mengiringi keberangkatan baginda, Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja, Yang Teramat Mulia Tengku Sri Bendahara Raja dan Tengku Sri Laksamana Raja.

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMT. Tan Sri Dr. Zaharudin Idrus.

Sehubungan itu, pengabadian nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja pada kompleks sukan tersebut bakal mencetus semangat baru di kalangan mahasiswa, kakitangan UMT dan juga masyarakat setempat.

Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail juga bakal menjadi tumpuan mengumpul atlet tempatan dan seluruh negara apabila UMT menjadi tuan rumah pada Kejohanan Sukan Badan-badan Berkanun Peringkat Kebangsaan Mei depan.

Pemasyuran itu juga akan membuka lembaran baru kepada kakitangan Pusat Sukan dan Rekreasi untuk lebih berdaya saing demi mencapai visi dan misi universiti dalam melahirkan modal insan berpengetahuan, bersahsiah mulia serta menyumbang untuk kebaikan ummah seluruhnya.

Prof Dr Aziz berkata, kompleks sukan ini merupakan sebuah makmal pengajaran sahsiah pelajar terbesar di UMT dengan kemudahan dewan tertutup, lima gelanggang badminton, squash (dua), pusat gimnasium dan pejabat pentadbiran Pusat Sukan dan Rekreasi.

“Kompleks ini juga mempunyai padang bola sepak, trek balapan olahraga sintetik, kolam renang bersaiz standard Olimpik dan kolam terjunan,” katanya.

Kemudahan lain disediakan di situ ialah sebuah astaka yang boleh memuatkan penonton dengan kapasiti 1,000 tempat duduk , bilik persalinan dan padang permainan seperti gelanggang tenis, bola keranjang, bola tampar, sepak takraw, bola jarring dan padang lawn bowl sintetik.

Katanya, projek pertama di kompleks ini adalah penganjuran Kejohanan Sukan Persatuan Badan-badan Berkanun (Sukanun) Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan pada 7 hingga 14 Mei depan.

“Saya harap kemudahan ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak UMT dan juga komuniti setempat dengan perancangan aktiviti sukan yang berterusan,” katanya.

Unit Komunikasi Negeri

Zoo Bukit Takal Tambah Haiwan Tarik Pelancong

Ahmad Said melihat tapir yang ditempatkan di Zoo Kemaman.

Pengurusan Taman Rekreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman kini sudah memiliki 248 haiwan pelbagai spesies sebagai tarikan kepada orang ramai untuk berkunjung ke zoo terbesar di Pantai Timur itu.

Penolong Pegawai, Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Puan Suraida Mohd Ghazali berkata, awal tahun ini pihak zoo tersebut menerima dua ekor kuda padi, buaya tembaga (dua) dan seekor buaya jejulong.

“Kehadiran dua spesies haiwan ini dijangka dapat menarik minat orang ramai untuk mengunjungi zoo ini bersama-sama keluarga mereka,” katanya kepada Teganukita ketika dihubungi Sabtu lalu.

Sebelum ini, zoo berkenaan yang turut menempatkan Taman Tema Air, turut memiliki dua ekor Harimau Malaya yang disumbangkan Zoo Melaka dan seekor tapir.

Zoo berkenaan yang menampilkan konsep unik dengan memulihara alam sekitar dan pelbagai jenis tanaman asal kawasan itu semaki ramai dikunjungi pelawat, khususnya pada setiap hujung minggu.

Selain itu katanya, haiwan lain yang terdapat di zoo berkenaan termasuk pelbagai spesies burung, kura-kura, beruang matahari, landak dan musang.

“Kita sentiasa membuat penyesuaian dan penambahbaikan serta cuba melengkapkan Taman Rekreasi secara berperingkat dan kalau tidak ada aral, bulan depan zoo berkenaan akan menerima beberapa ekor gajah,” katanya.


Unit Komunikasi Negeri

Dua Remaja Maut Motosikal Berlanggar Sesama Sendiri

Dua remaja maut apabila motosikal mereka berlanggar antara satu sama lain di Jalan Kampung Padang Nanas, Bukit Rakit dekat Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Mereka ialah Muhammad Arieff Hamzah, 17, dari Kampung Buluh Gading dan Mohd Azmizi Aziz, 24, dari Kampung Padang Nanas.

Muhammad Arieff merupakan pelajar Tingkatan Lima, Sekolah Menengah Tengku Mizan di Batu Rakit.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Shamsuddin berkata kemalangan berlaku kira-kira pukul 10.40 malam apabila motosikal yang ditunggang Mohd Azmizi dikatakan secara tiba-tiba keluar dari simpang berhampiran sebuah stesen minyak di Kampung Padang Nanas lalu bertembung dengan motosikal yang ditunggang Muhammad Arieff.

"Ketika itu Muhammad Arieff dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Rakit setelah selesai menghadiri kelas tuisyen di Kampung Wakaf Tengah," katanya.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa meninggal di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Akibat Salah Faham, Anggota Polis Dan Adik Cedera Dibelasah Kerana Seekor Kura-kura

Akibat perselisihan faham berhubung siapa yang sepatutnya menjaga seekor kura-kura, seorang anggota polis dan adiknya cedera dibelasah lima lelaki dalam satu pergaduhan berhampiran sebuah pasar raya di Permaisuri, Setiu, kelmarin. Kejadian itu berlaku apabila seorang pengawal keselamatan berusia 22 tahun itu dilaporkan ingin menyerahkan seekor kura-kura untuk dijaga oleh seorang kawan wanitanya berusia 20-an, pada pukul 7.30 malam.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang dua lelaki dipercayai kawan kepada wanita itu terus mengajak mangsa ke belakang bangunan pasar raya itu dan akibat tidak puas hati dengan tindakan itu telah membelasah mangsa.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Supritendan Rohaizat Abd Ani berkata, mangsa sempat menghubungi abangnya berusia 26 tahun yang merupakan seorang anggota polis yang bertugas di daerah Setiu.

Semasa abang mangsa cuba meleraikan pergaduhan, secara tiba-tiba datang tiga lagi lelaki dengan dua daripadanya membawa dua bilah parang dan melibas mangsa dan akibatnya anggota polis itu cedera di bahagian bawah mata manakala adiknya cedera di pergelangan tangan, katanya.

Kelima-lima suspek yang berumur antara 20 hingga 30-an itu kemudian dilihat menaiki kereta jenis Honda CRV berwarna hitam dan dipercayai melarikan diri menghala ke Jertih. Mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Polis sedang mengesan kelima-lima lelaki itu bagi membantu siasatan dan setakat ini tiga daripada suspek itu telah dikenal pasti.

Tuesday, April 12, 2011

Mangsa Kebakaran Dijanjikan Kediaman Baru

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa melawat mangsa kebakaran di Kampung Mengabang Tengah Masjid, petang semalam.

Datuk Seri Ahmad Said memberi jaminan untuk menyediakan sebuah kediaman baru kepada mangsa kebakaran, Osman Said, 56, dan keluarganya, secepat mungkin.
Beliau menyatakan demikian ketika melawat mangsa di Kampung Mengabang Tengah Masjid petang semalam.

Kini mangsa dan ahli keluarga menumpang di rumah saudaranya setelah rumah mereka hangus dalam kebakaran pada 4 April lalu.

Menteri Besar berkata, kediaman baru berharga RM33,000 yang akan dibina melalui skim Progam

Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) bakal dilaksanakan secepat mungkin setelah tapaknya siap. “Saya akan mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan supaya menyediakan kos yang perlu bagi membolehkan rumah tersebut dibina dengan kadar segera,” katanya selepas lawatan itu.

Hadir sama ialah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Datuk Che Mat Jusoh.

Bekas Pemain Bola Sepak Ditahan Miliki 120 Gram Heroin

Seorang bekas pemain bola sepak Piala Presiden pasukan Terengganu dan isterinya ditahan kerana disyaki terlibat dengan pengedaran dadah.

Pemain bola sepak berusia 21 tahun dan isterinya berusia 34 tahun itu ditahan dalam serbuan polis ke rumah pasangan itu di Taman Tasik, Wakaf Dua, Bukit Payong pada pukul 9.30 malam, Sabtu lepas.

Polis menemui dadah jenis heroin seberat 120 gram yang dianggar bernilai RM30,000 di rumah itu, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt Roslan Abd Wahid.

"Polis terpaksa memecahkan pintu rumah itu setelah pasangan terbabit enggan bekerjasama apabila diminta membuka pintu," katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata serbuk putih dipercayai heroin itu ditemui dalam 30 botol dengan 10 daripadanya dibalut dengan kertas surat khabar dari negara jiran hasil pemeriksaan terhadap sebuah beg tangan wanita.

Polis turut menyita wang tunai, akaun bank, sebuah kereta, sebuah motosikal dan barangan kemas yang kesemuanya dianggar bernilai RM217,412, katanya.

Roslan berkata siasatan awal mendapati pasangan suami isteri itu aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di negeri ini sejak tiga tahun lepas dan wanita terbabit pernah ditahan pada tahun 2007 atas kesalahan memiliki dadah.

Hasil ujian air kencing terhadap kedua-dua mereka bagaimanapun didapati negatif dadah, katanya.

Pasangan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kini ditahan reman selama seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

TADC Sasar Hasilkan 30,000 Tongkol Jagung Hibrid Sehari

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pernah melawat ladang tanaman jagung hybrid di Hulu Terengganu, tahun lalu.

Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) menjangka mampu mengeluarkan sebanyak 30,000 tongkol jagung hibrid sehari apabila ladang tanamannya di Kampung Nibong, Telemong mula mengeluarkan hasil akhir bulan ini.

Pengerusinya, Razali Idris berkata fasa pertama projek penanaman jagung hibrid itu mula dilaksanakan pada pertengahan Februari lepas di tanah seluas lapan hektar.

Sebelum ini, katanya, tanah di kawasan itu yang kebanyakannya dimiliki oleh orang kampung hanya terbiar selepas tidak lagi diusahakan dengan tanaman padi tetapi kini mula menjadi projek tanaman jagung hibrid hasil inisiatif TADC.

"Ia kini mula mengeluarkan hasil dan TADC menjangkakan ia akan dapat dituai pada 23 April nanti dengan setiap hektar mampu menghasilkan lebih 10,000 jagung hidbrid bermutu tinggi untuk pasaran tempatan dan luar negara," katanya di Hulu Terengganu, semalam.

Jagung hibrid bermutu tinggi itu boleh dituai dalam tempoh dua bulan selepas ditanam dan tanaman itu boleh diusahakan tiga kali dalam setahun.

Katanya, dengan kejayaan itu TADC juga merancang untuk memperluaskan projek tanaman jagung itu kepada lebih 121 hektar tahun ini bagi menampung permintaan terhadap tanaman itu.

"Projek tanaman jagung hibrid sebelum ini telah melalui fasa percubaan sebanyak 15 pusingan dan hasilnya didapati amat berkualiti tinggi sehingga mendapat permintaan yang mengalakkan daripada pengusaha tempatan serta Nelson's Franchise (M) Sdn Bhd (Nelson's).

"Jadi kita mengharapkan dengan perluasan projek tanaman sehingga lebih 121 hektar nanti ia bukan sahaja mampu menampung permintaan pasaran tempatan tetapi juga luar negara, kata Razali.

Menurutnya projek itu juga dijangka mampu memberi peluang pekerjaan kepada 150 penduduk tempatan yang terdiri daripada peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Kes Serang Pelajar - Dua Lagi Ditahan

Dua lagi pelajar sekolah menengah di Marang yang menceroboh sekolah agama dan membelasah pelajar sekolah itu, Khamis lalu ditahan semalam, menjadikan 13 pelajar ditahan kerana disyaki terbabit dalam serangan itu.

Seorang daripada pelajar Tingkatan Lima itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang jam 1 petang, kelmarin, manakala seorang lagi ditahan di rumahnya di Marang jam 2 pagi semalam.

Sebelas lagi ditahan di rumah masing-masing, Jumaat minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata polis kini memburu seorang lagi suspek, manakala semua suspek ditahan dibebaskan petang semalam selepas diambil keterangan dan sementara menunggu kertas siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.

“Setakat ini, sembilan pelajar ditahan ialah pelajar Tingkatan Lima, dua pelajar Tingkatan Empat dan dua lagi Tingkatan Tiga.Kita mengadakan satu pertemuan dengan keluarga semua suspek terbabit petang semalam (kelmarin) sebelum membebaskan suspek bertujuan meminta ibu bapa mereka mengambil berat perihal anak, supaya tidak terbabit dalam sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.

“Selain suspek dan keluarga masing-masing, pertemuan yang diatur di IPD Marang itu turut dihadiri pengurusan sekolah termasuk guru, polis dan pegawai pelajaran daerah,” katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 325 kanun sama kerana mendatangkan kecederaan.

Akhbar Jumaat lalu melaporkan, sekumpulan 20 pelajar dari sekolah menengah di Marang menceroboh sekolah agama dan membelasah seorang pelajarnya, Wan Nur Azri Wan Mohammad, 17, dari Kampung Bukit Surau Haji Daud, hingga cedera di muka, dahi dan belakang badan akibat rasa tidak puas hati.

Mangsa bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Berita Harian

Loji Teknologi Singkir Gas Pencemar Daripada Tempurung Kelapa Sawit Di Bina di Besut

Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan teknologi bahan penyerap mesra alam daripada tempurung kelapa sawit yang berkesan dan berupaya dalam penyingkiran gas pencemar secara serentak.

Ketua Penyelidik Prof Abdul Rahman Mohamed berkata penyelidikan selama lima tahun itu berpotensi untuk digunakan secara meluas dalam industri apabila ia membantu menyingkirkan gas pencemar seperti karbon dioksida, sulfur dioksida dan nitrogen oksida.

"Gas pencemar itu dihasilkan semasa proses pembakaran dalam industri untuk menjana stim atau tenaga dan dibebaskan bersama-sama dengan gas cerobong," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang, semalam.

Katanya bahan penjerap mesra alam yang dihasilkan daripada bahan buangan tempurung kelapa sawit itu boleh diaplikasikan dalam industri tanpa memerlukan perubahan besar kepada sistem industri yang sedia ada.

Beliau berkata bahan penjerap itu bertindak sebagai penapis yang akan menyekat gas yang disalurkan menerusi cerobong gas kepada gas pencemar tersebut.

"Hanya gas yang bebas daripada gas pencemar akan melaluinya, sebenarnya gas pencemar itu amat berbahaya kerana karbon dioksida adalah punca utama pemanasan global manakala nitrogen oksida dan sulfur dioksida menyebabkan hujan asid," katanya.

Abdul Rahman berkata bahan penjerap itu adalah pertama di Malaysia dengan kos yang paling murah iaitu serendah RM5.

Beliau berkata USM telah menandatangani memorandum dengan Yayasan Felda untuk diuji di loji kelapa sawit dan diubahsuai mengikut keperluan loji tersebut yang dibangunkan di Besut, Terengganu dan Sungkai, Perak.

Bahan penjerap itu dibangunkan oleh tujuh penyelidik USM dengan kerjasama Yayasan Felda dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) berjumlah RM300,000.