Friday, July 8, 2011
Isteri Tolak Poligami Dosa Besar?
Isteri yang menolak syariat berpoligami secara mutlak adalah berdosa besar dan perlu segera bertaubat.
Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut, berkata tindakan bakal isteri atau isteri yang sejak awal dan terang-terangan menolak syariat menuntut bakal suami atau suami tidak berpoligami dengan menandatangani perjanjian juga boleh membawa jatuh hukum murtad.
“Ini dosa besar dan perlu segera bertaubat sebab Allah syariatkan sesuatu mesti ada kebaikan.
“Tindakan itu juga boleh jadi murtad kerana menolak secara total syariat ditetapkan Allah yang menjejaskan kepercayaan kita kepada-Nya dan ketentuan-Nya,” katanya di Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Akram Sabri yang berkata, wanita Islam boleh menolak poligami dan tidak berdosa sekali pun Islam menghalalkannya.
Kelmarin, Akram dilaporkan berkata, wanita mempunyai hak menuntut syarat ke atas suami supaya tidak berpoligami.
Bagaimanapun, katanya, penolakan isteri itu tidak mewajibkan suami mematuhinya kecuali jika pasangan sudah menandatangani perjanjian tidak berpoligami.
Ditanya pandangan beliau yang bertentangan dengan Akram, Nooh berkata, persepsi berlainan mungkin disebabkan suasana dan budaya negara berbeza.
“Mungkin suasana negara Arab lain, budaya kita lain, saya tidak kata pendapatnya tidak betul, itu persepsi dia.
“Kita kena melihat ‘nyamuk dengan kelambu’... kalau nyamuk yang silap kenapa kelambu dibakar, mungkin kesilapan suami, bukan syarat poligami itu sendiri sebab sudah jelas dalam al-Quran ia tidak boleh ditolak, namun ia tertakluk kepada syarat tertentu.
“Yang penting, wanita mesti tahu hak, kalau nak tolak poligami jangan sampai jejas secara total kepercayaan kepada Allah,” katanya.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Muhamad ,berkata adalah tidak berdosa seseorang isteri tidak mengizinkan suami berpoligami jika mempunyai alasan kukuh.
“Tapi berdosa sekiranya menolak mentah-mentah hukum Allah,” katanya.
Rosmah Komited Dengan Usaha Baru Bantu Pimpinan Negara - Ahmad Said
Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said, berkata program tahunan itu menjangkau tradisi dan mencerminkan keakraban persaudaraan antara ahli Bakti yang bukan sekadar bagi tujuan amal serta kebajikan ahlinya, tetapi turut membantu masyarakat.
“Kita bertuah kerana mempunyai ’wanita pertama’ yang sentiasa komited dengan usaha baru bagi membantu pimpinan negara melalui program-program amal dan kebajikan yang memberi impak terus kepada rakyat.
“Ini dapat kita lihat menerusi program Permata Negara yang berjaya melahirkan modal insan yang menjadi aset paling penting untuk memajukan negara,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pembukaan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia 2011, di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi semalam.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Bakti, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta isteri Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Yang Dipertua Bakat, Puan Sri Hajah Noorainee Abd Rahman.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, DatukMazlan Ngah; Yang Dipertua Badan-Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat BN dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.
Menteri Besar berkata, komitmen dalam program amal ini jelas membuktikan bahawa seorang wanita berbakti sebagai isteri dan ibu dalam sebuah keluarga, juga mempunyai peranan penting dalam membimbing masyarakat.
Menurutnya, Bakti dan seluruh badan di bawah naungannya di peringkat negeri, telah memainkan peranan yang penting dalam masyarakat kerana sentuhan seorang wanita adalah berbeza dari suaminya.
“Sebagaimana kata pepatah di sebalik kejayaan seorang lelaki, ternyata pendukungnya adalah seorang wanita.
“Kita sebenarnya adalah satu keluarga yang besar dalam Barisan Nasional dan setiap seorang dari kita, termasuk para suami, mempunyai peranan yang besar dalam masyarakat dan negara,” katanya.
Katanya, tujuan kita adalah sama dan murni iaitu beramal melalui program kebajikan untuk kepentingan masyarakat, termasuk program untuk membela nasib insan yang kurang berupaya.
Selain itu, setiap kontinjen, walaupun berbeza dan datang dari seluruh negara, tidak menghalang untuk bersatu menjayakan program ini sekaligus merapatkan silaturrahim yang sudah terbina dan mengukuh setiakawan dalam semangat 1 Malaysia.
Kasut Emas - Hadi Gembira, Norsharul Duka
Namun dia bersedih kerana terlepas Kasut Emas Liga Super musim ini gara-gara dipintas pada saat akhir penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahaya, malam Rabu lalu.
Abdul Hadi Yahya sebaliknya berjaya memenuhi impiannya memiliki Kasut Emas Liga Super selepas menghasilkan 20 gol tatkala jurulatih Irfan Bakti Abu Salim turut menumpang bangga selepas melahirkan tiga penjaring terbanyak Liga Super berturut-turut sejak 2009.
Abdul Hadi, penyerang muda skuad Harimau Malaya berkata, pencapaiannya itu menjadi sandaran buatnya untuk membantu skuad negara mengharungi kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia bersama gandingan senior seperti Safee Sali dan Norshahrul .
“Sebenarnya saya tidak sangka dapat jaringkan empat gol (bertemu FELDA United) dan ini semua adalah berkat usaha rakan sepasukan. Saya berbangga dapat membantu pasukan dengan menjadi penjaring terbanyak,” katanya yang sekali gus mengenepikan Norshahrul yang menghasilkan 19 gol.
Bagi Irfan, dia berbangga dengan pencapaian Terengganu apabila mampu membenam FELDA United dengan jumlah jaringan besar tetapi lebih menggembirakannya adalah sekali lagi melahirkan penjaring berbisa.
“Saya juga berbangga kerana tiga tahun berturut-turut, penyerang di bawah kendalian saya muncul penjaring terbanyak iaitu Mohd Ashaari Shamsuddin (2010) dan Mohd Nizaruddin Yusof (2009).
Kali ini giliran Abdul Hadi,” katanya sambil menambah skuad Terengganu akan terbang ke London minggu depan sebagai ganjaran menjuarai Piala FA bulan lalu.
Norshahrul yang berasal dari Besut Terengganu pula memang kecewa kerana selaku penyerang, beliau memang impikan Kasut Emas.
“Mulanya saya yakin dapat memenuhi impian itu selepas menyumbat dua gol, tetapi tidak sangka pula Abdul Hadi meledak empat gol dan memintas jumlah gol saya.
Namun, saya akui semuanya ketentuan takdir dan bukan rezeki saya.
Saya akan jadikan kehampaan ini sebagai pembakar semangat untuk menebusnya musim depan,” kata Norshahrul sejurus membantu Kelantan menewaskan Sabah 2-1 dan mengukir sejarah menjulang trofi Liga Super buat julung kalinya di Stadium Likas, malam kelmarin.
Perintah Mahkamah: Khairy, Ibrahim Ali & Ambiga Antara Yang Dilarang Masuki KL Esok
Perintah berkenaan melarang semua individu tersebut daripada Perkasa, Bersih 2.0 dan Patriot supaya tidak hadir atau mengambil bahagian dalam perhimpunan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, pelanggaran perintah berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan.
"Mereka boleh ditahan di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana tidak mematuhi perintah mahkamah yang boleh membawa kepada hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya di Kuala Lumpur, semalam.
Seramai 66 orang invididu yang dinamakan dalam perintah larangan bagi kumpulan Bersih 2.0 termasuk pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan aktivis Hishamuddin Rais.
Manakala 14 orang daripada Perkasa pula termasuk Presidennya, Datuk Ibrahim Ali serta barisan pemimpin tertingginya iaitu Datuk Ab Rahman Ab Bakar dan Syed Hassan Syed Ali.
Polis turut mendapat perintah larangan bagi menghalang pemimpin Pemuda Umno yang merancang menganjurkan perhimpunan Patriot termasuk ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Datuk Megat Firdouz Megat Junid dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Turut disenaraikan adalah beberapa pemimpin Pakatan Rakyat seperti Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.
Pemandu Lori Ditahan Selepas Ragut Dua Kakitangan IPTA
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang di Lorong Gemia, Panji Alam itu, kedua-dua mangsa dilaporkan sedang menunggang sebuah motosikal sebelum datang motosikal yang dinaiki suspek dari arah belakang yang menghimpit mereka.
Beliau berkata suspek yang berusia 22 tahun dan dipercayai pernah terlibat dengan tiga kes ragut sebelum ini kemudian cuba meragut beg mangsa.
"Mangsa yang menyedari kejadian itu kemudian menarik balik begnya menyebabkan berlaku insiden tarik menarik sebelum kedua-dua mangsa dan suspek terjatuh," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Kedua-dua mangsa yang terjatuh ke dalam longkang yang berhampiran mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki serta tangan dan kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ).
"Suspek terus melarikan diri dan dikejar oleh orang awam yang menyedari kejadian itu, lalu menyorok di belakang bangunan Jabatan Perangkaan di Jalan Pasir Panjang, namun berjaya dikesan dan ditahan oleh polis," katanya.
Manoharan berkata dengan tertangkapnya suspek yang berasal dari Losong Masjid di sini, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes berkaitan ragut dan samun di jalanan di sekitar bandar raya ini.
Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana cuba menyamun dan menyebabkan kecederaan.
Bolasepak - Kuasa Pantai Timur Juarai Liga Super, Piala FA
Hanya Piala Malaysia belum ditentukan siapa juaranya!
Tahun 2011 membawa rahmat kepada negeri Pantai Timur dalam konteks bolasepak negara apabil Kelantan berjaya muncul juara Liga Super buat julung kali sementara Terengganu pula berjaya meraih kejuaraan dengan menewaskan Kelantan.
Apapun, Pahang menerima nasib malang apabila akan bermain pada Liga Perdana pada musim depan selepas prestasi terburuk pada pertengahan dan akhir musim.
Jaringan tunggal Kedah menerusi Muhammad Fiqry Md Isa meranapkan impian Pahang untuk mencari gol kemenangan di Stadium Darul Makmur malam kelmarin.
Dengan kekalahan tersebut, Pahang sekaligus mengesahkan diri akan mengiringi Perlis ke saingan Liga Perdana musim depan.
Kelantan menjadi juara selepas mengutip mata berharga dengan menumpaskan Sabah 2-1 pada perlawanan akhir musim 2011 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam kelmarin (Rabu malam, 6 Julai 2011).
Kelantan, yang meraih Piala Sumbangsih 2011, berjaya menafikan juara bertahan Selangor dengan perbezaan empat mata manakala Terengganu berjaya menduduki tangga kedua liga dengan 53 mata.
Peledak utama Red Warriors, Noorshahrul Idlan Talaha muncul wira pasukannya apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-5 dan ke-71.
Selepas jaringan kedua itu, Kelantan yang hanya menantikan wisel penamat dibunyikan, cemas apabila Sabah bangkit memberi tentangan dengan memperoleh gol menerusi Razlan Otoh, minit ke-76.
Kejayaan Kelantan itu sekaligus bagaikan kejayaan misi membalas dendam buat negeri Cik Siti Wan Kembang apabila sekadar menjadi naib juara Liga Super musim lalu dan secara automatik layak menempah slot beraksi pada Piala AFC 2012.
Selaku juara Liga Super, Kelantan bakal mendapat hadiah wang tunai RM500,000 sementara naib juara mendapat RM300,000 dan majlis penyerahan diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.
Terengganu muncul naib juara liga setelah berpesta gol 6-2 ke atas Felda United pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kelana Jaya sementara Selangor terpaksa berpuas hati di tempat ketiga setelah seri tanpa jaringan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh.
Ong Uji 11 Pemain Baru, Termasuk Terengganu Untuk Olimpik Malaysia
Ong berkata selain menentang pasukan dari Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, beliau juga mengambil kesempatan untuk menguji 11 pemain tersebut untuk diserap ke dalam skuad Harimau Muda A iaitu skuad Olimpik negara.
"Pemain-pemain baru tersebut boleh diserap dalam skuad Olimpik, asalkan mereka didaftarkan tujuh hari sebelum sesuatu perlawanan," katanya kepada Bernama, di Kuala Lumpur, semalam.
Seramai 11 pemain itu dari pasukan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, Sabah, Felda United, Kuala Lumpur, Pahang dan PKNS Selangor akan melaporkan diri untuk latihan pusat bersama skuad Olimpik di Wisma FAM, Kelana Jaya, mulai Isnin ini.
Selepas perlawanan menentang Chelsea di Stadium Nasional Bukit Jalil diKuala Lumpur , pada 21 Jun ini, skuad Olimpik akan kembali mengikuti latihan pusat sebelum berlepas ke Slovakia untuk siri latihan dan perlawanan persahabatan dari 23 Julai hingga 28 Ogos ini.
Skuad Olimpik diberi kesempatan untuk menguji Chelsea selepas skuad kebangsaan yang dibimbing oleh Datuk K.Rajagobal terpaksa memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Singapura bagi pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2014 Zon Asia pada 23 Julai dan 28 Julai ini.
Skuad kebangsaan akan terbabit dalam perlawanan persahabatan menentang dua lagi kelab EPL iaitu Arsenal (13 Julai) dan Liverpool (16 Julai) di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam perlawanan kelayakan pusingan Olimpik zon Asia, Malaysia diletakkan dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia selepas mengatasi Pakistan dengan agregat 2-0 pada pusingan pertama sebelum menyingkirkan Lubnan dengan agregat 2-1 pada pusingan kedua.
Dalam undian pusingan ketiga di Kuala Lumpur, semalam Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama Syria, Bahrain dan Jepun.
Skuad bola sepak negara pertama kali layak ke pusingan akhir temasya sukan terbesar dunia itu pada Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972 dan kali terakhir pada Sukan Olimpik Moscow pada 1980.
Malaysia bagaimanapun tidak beraksi di Moscow kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan pada ketika itu.
Pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik Beijing 2008, Malaysia berada di tempat ketiga di belakang Syria dan Jepun dalam saingan peringkat kumpulan.
Senarai pemain baru:
Mohd Izuan Solahuddin (Kelantan), Mohd Zubir Mohd Azmi (Terengganu), Mohamad Faizal Abu Bakar (Kedah), Mohd Syazwan Mohd Roslan (Perak), Mohd Rozaimi Abd Rahman (Sabah), Mohd Syazwan Zainon, Azrul Azmi (Felda United), Ahmad Hazwan Bakri (Kuala Lumpur), Famirul Asraf Sayuti (Pahang), Mohd Azrif Nasrulhaq, Mohd Khairul Akhyar (PKNS).
Skuad Olimpik:
Abdul Shukor Jusoh, Gary Stevan a/l Robbat, Izzaq Faris Ramlan, Mohamad Amer Saidin, Mohd Affize Faisal Mamat, Mohd Fandi Othman, Mohd Ferris Daniel Mat Nasir, Mohd Irfan Fazail, Mohd Izham Tarmizi, Muhammad Zamir Selamat, Nazirul Naim Che Hashim, K. Sasikumar, Syahrul Azwari Ibrahim, A. Thamil Arasu, Wan Zack Haikal Wan Nor, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Muhammad Nazmi Faiz, Muhammad Syazwan Tajuddin.
Isteri Wakil Rakyat Juga Berperanan Tarik Sokongan
Beliau berkata, pendekatan sedemikian boleh dilakukan menerusi penganjuran dan penglibatan dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang mampu meraih sokongan golongan wanita kepada Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, sempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi, isteri wakil-wakil rakyat juga perlu kerap 'turun padang' berbuka puasa bersama penduduk kampung dan masyarakat setempat.
Katanya, selain menepati aspirasi 1Malaysia, Rakyat DiDahulukan, Pencapaian Diutamakan, beliau yakin penglibatan isteri wakil rakyat terlibat akan dapat mewujudkan kemesraan serta kepercayaan masyarakat setempat untuk terus menyokong BN.
"Lebih mustahak, para isteri wakil rakyat perlu mempunyai minda dan sikap terbuka. Jalankanlah tanggungjawab dengan penuh komitmen dan dedikasi dalam menjaga kawasan masing-masing.
"Rajin-rajinlah ikut suami balik ke kawasan, jenguk-jenguklah rakyat jelata dan teruskanlah khidmat bakti di tempat masing-masing melalui pelbagai aktiviti berorientasikan rakyat dan cara ini kita akan sentiasa dianggap relevan," katanya.
Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat BN (Bakti) berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia (PTIWRBNM) 2011 di Stadium Negeri di Kuala Terengganu, semalam.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman dan isteri Menteri Besar yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), Toh Puan Seri Norliza Mahmud.
Sempena program itu, 14 kontinjen dari seluruh negara yang menghimpunkan 478 peserta menyertai kejohanan badminton dan tenpin boling selama tiga hari bermula semalam.
Rosmah menarik perhatian, rakyat memerlukan seorang wakil rakyat serta isteri masing-masing yang berjiwa besar dan sentiasa positif dalam menunaikan tanggungjawab.
Jika sebaliknya, jelas beliau, ia akan memberi kesan serta mengundang persepsi negatif kalangan masyarakat setempat terhadap suami mereka.
"Hendak tak hendak, suka atau tidak suka, sebagai isteri wakil rakyat, mereka harus pandai memainkan peranan masing-masing selaras dengan keperluan masyarakat setempat, apatah lagi pilihan raya sudah hampir tiba," ujarnya
PUNB Beri Pinjaman RM135j Lahirkan Ushawan Bumiputera
Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) menyediakan pembiayaan pinjaman sebanyak RM135 juta dalam usahanya melahirkan usahawan bumiputera yang maju dan berdaya saing pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dzulkifli Fadzilah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM60 juta telah diluluskan kepada usahawan di seluruh negara sehingga Julai ini.
Menurutnya, pembiayaan itu disalurkan menerusi empat skim iaitu Skim Projek Usahawan Dalam Bidang Peruncitan (Prosper), Skim Pemborong Prosper, Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Skim Prosper Siswazah.
Beliau berkata, pembabitan usahawan bumiputera dalam semua peringkat rantaian bekalan masih kecil dan kerana itu PUNB yakin mereka perlu dirangsang bagi menceburi peringkat pembuatan, pemborong, pengedaran atau peruncitan.
‘‘Sehubungan itu PUNB akan terus memberi tumpuan kepada empat skim pembiayaan pinjaman sedia ada bagi memastikan peluang penyertaan bumiputera diperluaskan dalam setiap peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan zakat PUNB sebanyak RM80,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang diwakili oleh Ketua Penolong Setiausaha (Baitulmal) MAIDAM, Marzuki Endut.
Menurut Dzulkifli, pada tahun lalu PUNB menyediakan pembiayaan lebih besar iaitu sebanyak RM200 juta.
Katanya, sejak PUNB ditubuhkan 20 tahun lalu sehingga kini sebanyak RM1.1 bilion pinjaman telah diluluskan kepada kira-kira seramai 5,000 usahawan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu PUNB juga mempunyai cawangan di Pantai Timur berpusat di Kuala Terengganu yang mula beroperasi November tahun lalu dan kawasan utara di Butterworth, Pulau Pinang pada April lalu.
Program Tanggungjawab Sosial Universiti Beri Manfaat Kepada Komuniti
Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Aziz Deraman berkata, program seumpama itu yang menjadi agenda tahunan UMT untuk memberi peluang curahan ilmu universiti kepada masyarakat.
Objektif USR katanya, dapat mendekati komuniti di luar kampus dengan memberi peluang kepada masyarakat menikmati kewujudan UMT melalui pelbagai program yang dianjurkan.
Selain itu, usaha itu akan dapat memainkan peranan aktif UMT dalam pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan melalui penyediaan perkhidmatan terutama kepada komuniti sekitar.
"Namun buat pertama kalinya UMT melakukan USR di luar negeri Terengganu iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar (Kuantan).
"Sekolah ini dipilih ekoran daripada anjuran alumni sekolah ini dari tahun 1972 hingga 1976 dan saya salah seorang daripada mereka," katanya kepada pemberita di Kuantan, semalam.
Aziz berkata penganjuran alumnai itu juga akan dapat menaikkan semangat pelajar-pelajar bagi meningkatkan prestasi yang lebih tinggi.
Beliau berkata pelajar lama pula akan dapat kembali ke tempat asal (sekolah) di samping dapat memberi contoh yang baik secara berterusan.
Katanya, contoh yang baik oleh bekas-bekas pelajar berkenaan juga secara tidak langsung dapat melonjakkan moral sekolah.
Aziz turut menyarankan menteri-menteri dan pegawai tinggi kerajaan untuk meluangkan sedikit masa kepada sekolah mereka yang boleh memberikan inspirasi kepada pelajar-pelajar.
Empat Pelatih PUSPEN Larikan Diri, Tiga Berjaya Ditahan Kembali
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, salah seorang daripada suspek yang berumur di antara 25 hingga 32 itu bertindak menghidupkan kenderaan seberat tiga tan itu.
"Ketika kejadian, pemandunya sedang memunggah barangan yang dihantar dan tidak mencabut kunci pada lori tersebut menyebabkan kesempatan itu telah diambil oleh kesemua suspek untuk melarikan diri dengan menaiki kenderaan berkenaan," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata selepas merempuh pondok kawalan, lori yang dinaiki suspek turut merempuh sebuah kereta Perodua Kancil yang diletakkan di bahu jalan di luar pusat berkenaan sebelum melarikan diri ke arah Pasir Puteh, Kelantan.
Malah, selepas itu kenderaan tersebut difahamkan turut merempuh sekatan jalan di Bukit Jong, Kelantan sehingga mengakibatkan seorang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian turut cedera di bahagian tangan.
Bagaimanapun kegembiraan kesemua suspek tidak bertahan lama apabila tiga daripada pelatih berkenaan berjaya ditahan polis.
"Dua daripada pelatih berkenaan kemudian berjaya ditahan di Batu 11 berhampiran Bukit Bunga, Jeli, Kelantan kira-kira 12.20 tengah hari tadi, manakala seorang lagi diberkas kira-kira sejam kemudian berhampiran kawasan yang sama," katanya.
Seorang lagi suspek berjaya melarikan diri dan polis Terengganu dengan kerjasama polis Kelantan kini sedang giat menjalankan operasi mengesan pelatih berkenaan.
Polis juga turut menemui semula lori yang digunakan oleh kesemua suspek di kawasan berhampiran.
Katanya kes akan disiasat mengikut Seksyen 307, 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 19(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan).
Tahap Pendidikan Orang Asli Di Terengganu Masih Rendah – JAKOA
Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Terengganu Mohd Hamizon Mohd berkata kebiasaannya golongan itu tidak meneruskan pengajian ke peringkat sekolah menengah kerana berasa rendah diri.
“Apabila mereka melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah dan bergaul dengan rakan-rakan lain, timbul rasa rendah diri menyebabkan mereka berhenti daripada bersekolah.
“Ada juga yang tidak tahu membaca dan ramai yang tercicir dalam pelajaran, tidak kira sama ada di sekolah rendah ataupun menengah,” katanya kepada Bernama, di Kuala Terengganu, semalam.
Bagi menangani masalah itu, JAKOA melaksanakan pelbagai langkah termasuk mengadakan program kesedaran dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin.
JAKOA juga menyediakan pengangkutan bagi anak Orang Asli ke sekolah, selain memberi bantuan kewangan menerusi Kumpulan wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) untuk murid sekolah rendah dan RM2 sehari bagi pelajar sekolah menengah, katanya.
Mohd Hamizon berkata KWAMP memperuntukkan RM650 setahun bagi murid sekolah rendah sebagai wang saku dan perbelanjaan persekolahan yang lain.
“JAKOA juga memberi peluang kepada Orang Asli untuk menaik taraf ekonomi dalam bidang perniagaan runcit secara kecil-kecilan dengan menyediakan kemudahan barangan dan membina kedai untuk mereka,” katanya.
Buat masa ini terdapat lebih 1,000 penduduk Orang Asli di Terengganu yang tinggal di tiga perkampungan iaitu di Sungai Bertam, Kemaman; Sungai Berua, Kuala Berang dan Sungai Sayap, Hulu Terengganu.
Semua perkampungan itu dilengkapi dengan infrastruktur seperti dewan, balai raya serta surau.
Permata Seni Koir terpilih ke Vienna, Austria
Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, berkata penyertaan di festival itu merupakan julung kali buat anak-anak kecil itu untuk mengadakan persembahan di luar negara.
“Saya bagi pihak rakyat Malaysia mengucapkan tahniah dan berbangga dengan pencapaian anak Permata Seni Koir yang berjaya menyertai World Peace Choral Festival di Vienna yang merupakan satu acara yang cukup berprestij,” katanya ketika sidang media di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, petang kelmarin.
Turut hadir, isteri Menteri Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datin Seri Utama Maznah Rais dan isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud.
Datin Paduka Seri Rosmah berkata, walaupan baru berusia setahun lima bulan, program Permata Seni Negara ini ternyata amat berkesan apabila bakat anak-anak yang diasuh di bawah program ini mula diiktiraf, bukan sahaja di dalam negara, malah di luar negara.
“Penyertaan ini satu pengiktirafan besar dan amat bermakna kepada keberkesanan program Permata Seni Koir. Seperti semua sedia maklum, Austria amat dikenali dengan kumpulan-kumpulan koirnya yang menjadi tanda aras bagi kumpulan koir seluruh dunia.
“Bukan mudah untuk dipilih menyertai festival koir yang diadakan dinegara berkenaan, namun menjadi sesuatu yang amat dibanggakan apabila Permata Seni Koir terpilih dari hamper 40 koir ternama dari seluruh dunia untuk menyertai World Peace Choral Festival 2011,” katanya.
Ahli Permata Seni Koir yang akan menyertai Festival terdiri daripada 37 anak-anak yang berumur antara lapan hingga 11 tahun melalui pimpinan penyanyi Syafinaz Selamat selaku konduktor kumpulan.
Malah, beliau berkata, festival tahunan anjuran The Artistic Committee Of World Peace Festival, Austria yang bertujuan untuk promosi keamanan sejagat melalui nyanyian koir oleh kanak-kanak berbakat itu juga menjadi landasan untuk memperkenalkan lagu rakyat Malaysia ke persada antarabangsa.
“Sepuluh lagu yang akan dipersembahkan merangkumi Anak Rusa Nani, Tepuk Amai-Amai, Buih Sabun dan Sepuluh Budak Hitam. Lagu-lagu Inggeris pula ialah Hush A Bye Mountain, One Song, When The Saint Go Marching In, Syncopated Clock, Firefly dan Furaha,” katanya.
Menurutnya, Permata Seni akan membuat lima persembahan utama dan beberapa persembahan sampingan pada program yang bakal dirasmikan di City Hall Vienna pada 25 Julai ini.
Katanya, persembahan akan diadakan di lokasi terkemuka seperti di City Hall Vienna, Kursalon, Augarte Palace, Schoenbrunn Palace, Grand Festival Hall Of The University Of Vienna, United Nations dan Golden Hall Of Musikverein.
Selain itu, lima ahli Permata Seni Koir yang terpilih juga akan digandingkan dengan lima peserta dari setiap negara yang mengambil bahagian dalam persembahan gabungan. Antara negara terlibat termasuk China, Hong Kong, Taiwan, Chekoslovakia, beberapa negara Eropah lain dan Malaysia.
Ajaran Sesat Jaja Tok Ku Paloh
Beliau merujuk kepada tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan ajaran sesat dengan mengaitkan amalan dilakukan adalah tinggalan Tok Ku Paloh.
“Ramai juga datang merujuk ilmu tertentu dengan saya bagi mengesahkan sama ada ia daripada Tok Ku Paloh atau sebaliknya, tetapi apa yang membuatkan saya sedih apabila kebanyakannya belajar ilmu yang tidak pernah diajar Tok Ku Paloh.
“Ilmu kebal, sembahyang pakai niat tanpa perbuatan serta pelbagai lagi cabang ilmu yang jarang didengari didakwa ilmu Tok Ku Paloh, tetapi sebenarnya ia palsu dan tidak pernah diajar arwah datuk,” katanya.
Beliau berkata, ada segelintir peniaga meletakkan gambar didakwa Tok Ku Paloh di dinding premis mereka kononnya untuk mendapatkan berkat ulama berkenaan bagi melariskan perniagaan.
Azizulhasni Terkejut Galas Cabaran Emas di Shenzen
Mohd Azizulhasni, 23, berkata, sehingga hari ini beliau masih belum menerima sebarang tawaran mahupun jemputan daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk mewakili negara ke temasya tersebut.
"Saya hanya dapat tahu dipilih mewakili negara melalui laporan media, namun jika terpilih saya bersedia untuk menggalas cabaran tersebut,” katanya kepada Bernama semalam.
Pelumba dari Terengganu itu berkata beliau terkejut apabila laporan media menyebut bahawa KPT menjadikan dirinya sebagai sandaran pingat emas pertama di Shenzen nanti.
"Sekiranya beraksi di Universiade saya akan pastikan bahawa ia tidak akan menjejaskan tumpuan persiapan saya ke temasya Olimpik London yang berlangsung pada tahun depan.
Rosmah Saran Isteri Wakil Rakyat Jaga Kecergasan Fizikal
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata sebagai isteri kepada wakil rakyat, mereka memainkan peranan penting khususnya dalam memberi sokongan kepada tanggungjawab si suami.
“Sehubungan itu, penjagaan kesihatan perlu menjadi agenda dan resepi peribadi dalam kehidupan kita seharian. Individu yang sihat mampu memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemakmuran negara selaras dengan slogannya iaitu ‘Rakyat Sihat, Negara Sejahtera’,” katanya.
Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Tahunan Isteri-isteri Wakil Rakyat, di Kuala Terengganu, semalam.
Perasmian dilakukan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said. Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Yang Dipertua Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu Toh Puan Seri Norliza Mamud.
Rosmah berkata kegagalan isteri memainkan peranan di samping suami boleh meninggalkan kesan negatif khususnya terhadap imej suami sebagai wakil rakyat.
“Hendak atau tidak, suka atau tidak suka, sebagai seorang isteri wakil rakyat, para suri haruslah pandai memainkan peranan masing-masing selaras dengan keperluan masyarakat setempat apatah lagi dengan pilihan raya yang sudah hampir tiba,” katanya.
Beliau juga mahu isteri wakil rakyat membuka minda dan mendekati rakyat seperti yang dilakukan suami masing-masing.
“Rajin-rajin ikut suami balik ke kawasan, jenguk-jenguklah rakyat jelata dan teruskanlah khidmat bakti di tempat masing-masing melalui pelbagai aktiviti berorientasikan rakyat, dengan itu insyaAllah peranan kita akan dianggap relevan,” katanya.
Pada program yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, sebanyak 14 kontinjen dengan 478 peserta mengambil bahagian.
Mengulas program itu, Rosmah berkata ia diharap dapat mengeratkan hubungan dan perpaduan pada kalangan isteri wakil rakyat Barisan Nasional dari seluruh negara.
“Fokus pertemuan kita dalam program ini bukan sekadar untuk bersukan tetapi fokus utamanya adalah sebagai wadah bagi mewujudkan persefahaman, perpaduan dan semangat muhibah di kalangan isteri wakil rakyat,” katanya
Perpustakaan Terengganu Perkenal Alat Pengesan Rak Buku
Pengarah PPAT Nor Akmal Abdul Fatah berkata untuk menggunakan alat itu, pengguna hanya perlu menaip tajuk buku dikehendaki pada komputer yang disediakan di perpustakaan sebelum maklumat mengenai kedudukan buku itu dipaparkan dan secara automatik lampu di rak buku terbabit menyala.
“Kita telah mula menggunakan alat pengesan rak buku pada awal tahun ini dan mendapat maklum balas yang amat menggalakkan daripada pengguna bahkan terdapat juga permintaan dari perpustakaan luar Terengganu untuk berkongsi idea,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Nor Akmal berkata alat pengesan rak buku pertama seumpamanya itu adalah hasil petugas PPAT sendiri yang mahu melihat pembaharuan dalam kualiti perkhidmatan demi kemudahan pengguna.
Pengunaan alat itu juga menjadikan buku-buku di rak lebih tersusun rapi, kemas dan berada dalam susunan lebih sistematik dan PPAT bercadang menyelaraskan penggunaannya di seluruh perpustakaan daerah di Terengganu.
Nor Akmal berkata alat pengesan rak buku ini telah memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Pengiktirafan Persekitaran Berkualiti 5S pada 27 Jun lalu dan Anugerah Khas Juri MPC Utara iaitu kategori Kumpulan Paling Kreatif sempena Konvensyen ICC Perpustakaan Se-Malaysia kali ketiga pada 11 Jun lalu.
MB Prihatin Kesukaran, Kesedihan Mangsa Rumah Terbakar di Durian Mas
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diarah menyediakan pelbagai keperluan segera mangsa kebakaran di Kampung Durian Mas, Manir, kelmarin.
Keperihatinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ditunjukkan apabila beliau segera melawat mangsa, Hamid Mustafa, 44, yang turut mengalami penyakit sawan kehilangan dua anak perempuan kembar yang rentung dalam kebakaran itu.
Dua beradik kembar iaitu Fatin Fauzana dan Fatin Fauzanah.
Turut serta dalam lawatan ialah Pegawai Pembangunan DUN, Yusuf Awang Hitam.
Mustapa dan keluarganya kini menumpang di rumah bapa mangsa di kampung yang sama.
Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan membina sebuah rumah baru di tapak rumah lama keluarga berkenaan dalam tempoh terdekat ini.
Beliau turut menghulurkan bantuan kewangan kepada mangsa serta menyampaikan ucapan takziah di atas kehilangan dua anak dalam kejadian tersebut.
Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Beri limpahan Rezeki Kepada Peniaga
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haji Mazlan Ngah, berkata peniaga restoran atau individu yang terlibat diminta supaya tidak bersikap tamak haloba atau ‘cekik darah’ ketika berurusniaga sebaliknya perlu menawarkan harga yang berpatutan kepada pelanggan.
“Peniaga juga perlu bijak mengambil hati dan bersikap peramah bertujuan menjaga imej Terengganu yang sememangnya terkenal dengan adat ketimuran dan bersopan santun,” katanya kepada Teganukita.
Mazlan turut memberitahu bahawa beliau kagum dengan kebolehan dan kerjasama Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) kerana mampu menganjurkan PTIWRBNM di mana melibatkan 14 negeri atau kontinjen termasuk Sabah dan Sarawak.
“Jika tiada komitmen tinggi daripada pelbagai pihak, sudah tentu ia menemui kegagalan dan tidak mampu mengadakan pelbagai aktiviti sehebat ini,” katanya.
Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kuala Nerus, Puan Norhayati Ismail, berkata dia bangga kerana terpilih mengikuti program ini dengan membuka gerai jualan makanan tradisional di perkarangan Stadium Negeri Kuala Terengganu.
Katanya, pelbagai jenis juadah dan menu tradisional seperti onde-onde, puteri mandi, tepung pelita, tepung pasung dan sebagainya nyata dapat sambutan pembeli sejak gerai dibuka bermula kelmarin (6 Julai).
“Kami akan manfaat sepenuhnya program yang berlangsung selama empat hari ini dengan mempromosi keenakan kuih tradisional, keunikan dan keindahan Terengganu,” katanya.
Unit Komunikasi Negeri
Badminton Peringkat Kumpulan Berentap
Sebanyak 12 pasukan mula berentap pada perlawan badminton peringkat kumpulan,di enam gelanggang, Stadium Negeri, bermula jam 10.30 pagi semalam.
Bakti yang diketuai Datin Paduka Seri Rosmah Mansor berjaya menewaskan pasukan Sabati (Sarawak) dengan kemenangan 4-1.
Manakala Juita (Johor) pula memperoleh kemenangan selepas menewaskan Teratai(Pahang) 3-2, Bistari (Melaka) menang bergaya ketika bertemu pasukan lawan Sejati (Pulau Pinang) 5-0, Kasih (Selangor) melawan Bidara (Kedah) 4-1, Bakisa (Sabah) melawan Pekerti ( Negeri Sembilan) 5-0, Baiduri (Perak) melawan Penawar (Kelantan) 4-1.
Perlawanan bersambung pada jam 3.30 petang dan pada 9 malam sebelum menentukan pasukan yang muncul johan kumpulan dan layak ke peringkat suku akhir.
Persaingan peringkat suku akhir akan berlangsung jam 8.30 pagi ini.
Thursday, July 7, 2011
Fama Ikat Perjanjian Jual Beli Sayur Dan Buah 13 Ladang Kontrak
Pengarah Fama Wilayah Timur Mohd Ariffin Awang berkata perjanjian itu melibatkan seramai 99 peserta dan kawasan seluas 106.30 hektar dengan anggaran hasil 1,534.22 metrik tan bernilai RM1.24 juta.
"Perjanjian itu bagi menjamin pasaran dan seterusnya meningkatkan pendapatan petani," katanya kepada pemberita semalam selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli ladang kontrak Moa Inc.
Beliau berkata kebanyakan petani yang menandatangani kontrak hari ini terdiri daripada petani di kawasan Setiu termasuk Kampung Undang, Dendong, Beris Tokku, Kampung Saujana, Kampung Nyatoh, Kampung Rhu 10, Bukit Perpat, Bari Pantai, Lembah Kolam dan Rhu Tapai.
Jenis-jenis komoditi yang dikeluarkan antaranya ialah keledek Vitato, cili merah, tembikai dan labu manis, katanya.
Mohd Ariffin berkata nilai pembelian ladang kontrak sehingga Jun lepas adalah 112.08 metrik tan sayuran bernilai RM243,994.06 dan 345.789 metrik tan buah-buahan bernilai RM206,373.80.
Katanya sasaran Fama tahun ini ialah untuk mengadakan 30 perjanjian ladang kontrak di negeri ini dengan melibatkan seramai 413 peserta dan keluasan tanaman 503 hektar.
Beliau berkata keluasan tanaman berdaftar di bawah Ladang Kontrak Moa Inc sehingga Jun ialah seluas 489.89 hektar dengan bilangan peserta seramai 277 orang.
Mohd Ariffin berkata Fama menyediakan pelbagai kemudahan kepada peserta ladang kontrak bagi memudahkan pengendalian hasil peserta-peserta ladang kontrak mendapat banyak manfaat termasuk bimbingan daripada Jabatan Pertanian, Mardi dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
UMT Anjur Program Skuba Untuk Pelajar
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung-julung kalinya menganjurkan Program Pengenalan Selam Skuba di bawah Program Penggalakan Sains dan Teknologi 2011 kepada para pelajar sekolah menengah.
Seramai 40 pelajar tingkatan empat di lima buah sekolah sekitar Kuala Terengganu dipilih untuk menyertai program empat hari itu di Pulau Bidong baru-baru ini, dalam usaha mendedahkan mereka dengan pengalaman baru.
Lima sekolah yang dipilih ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah, SMK Padang Kemunting, SMK Seri Nilam, SMK Bukit Besar dan SMK Ibrahim Fikri.
Program itu dianjurkan di bawah Jabatan Sains Perikanan dan Akuakultur UMT manakala pemilihan sekolah dan peserta dibuat dengan kerjasama Jabatan Pelajaran.
Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Aziz Deraman, program penggalakan sains itu merupakan aktiviti tahunan UMT, tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan kerajaan negeri.
''Program itu juga memainkan peranan aktif kepada pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan melalui penyediaan perkhidmatan terutamanya kepada komuniti sekitar," ujarnya.
Beliau berkata, ia mendedahkan para pelajar tentang asas-asas selam skuba yang diharap dapat menarik minat mereka untuk mendapatkan lesen skuba dan seterusnya menjadi seorang penyelam skuba.
Menurut Aziz lagi, ia turut mendekatkan pelajar dengan kegiatan berasaskan alam laut, sekali gus membuka peluang kepada mereka mengenali pengajian di UMT.
Bagi peserta terpilih yang menyertai program tersebut merasa cukup teruja untuk mempelajari aktiviti skuba.
Pelajar IPTA Mengaku Tidak Bersalah Dituduh Miliki Baju-T ‘Bersih’
Mohd. Hazimin Harun, 22, pelajar Universiti Sains Islam di Nilai, Negeri Sembilan, didakawa memiliki 22 helai baju bertulisan “Bersih” dan empat helai baju bertulisan “Bersih 2.0” yang dikeluarkan bagi kepentingan satu pertubuhan haram iaitu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Baju-baju berkenaan dijumpai oleh polis hasil pemeriksaan terhadap kenderaan yang dinaiki Mohd. Hazimin di hadapan sebuah pasar raya di Bukit Payung pada 11.15 malam 29 Jun lepas.
Kes Kematian: Polis Tahan Suami Bomoh Warga Thailand
Suspek yang dikenali sebagai Norhisham Mustapha, 33, ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu di sebuah rumah di Rantau Panjang, Kelantan kira-kira 10 malam semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Manoharan berkata, ketika serbuan dilakukan, isteri Norhisham juga merupakan suspek utama tidak berada di rumah berkenaan.
"Kita percaya bomoh tersebut masih bersembunyi di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.
Menurut Manoharan, kejayaan memberkas suami bomoh berkenaan adalah ekoran tindakan pihak polis mengedar gambar pasangan suami isteri itu sejak tiga minggu lalu.
Dalam kejadian 16 Jun lalu, seorang pemuda berusia 26 tahun, mati setelah dihantar oleh bapanya untuk berubat di rumah bomoh berkenaan.
Wednesday, July 6, 2011
MB Janji Bantu Keluarga Kanak-kanak Pasangan Kembar Seiras Rentung di Durian Mas
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berjanji memberikan bantuan segera kepada keluarga malang apabila anak kembar mereka ditemui rentung.
Dalam kejadian semalam, pasangan kembar perempuan berusia tiga tahun ditemui rentung dalam keadaan berpelukan setelah rumah mereka di Kampung Durian Mas, Manir di Kuala Terengganu musnah dalam satu kebakaran pagi semalam.
Menteri Besar membuat pengumuman itu ketika melawat mangsa semalam.
Nor Fatin Fazanah Hamid dan Nor Fatin Fazana ditemui mati dalam timbunan kain di bilik mereka oleh pasukan bomba sejurus selepas berjaya memadamkan kebakaran yang bermula kira-kira 9.18 pagi itu.
Menurut bapa kembar itu, Hamid Mustafa, 44, ketika kejadian dia sedang tidur di ruang tamu dan hanya menyedari tentang kebakaran tersebut setelah dikejutkan oleh sepupunya Wan Norizan Wan Ismail, 40, yang duduk berjiran dengannya.
"Saya hanya menyedari kejadian setelah sepupu menjerit rumah saya terbakar dan saya cuba mencari dengan memanggil kedua anak tetapi gagal," katanya dengan penuh sugul ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.
Hamid yang menghidap penyakit epilepsi tidak menyangka kerenah kembarnya yang merupakan anak kelima dan keenam itu meminta dihantar ke klinik setelah demam dua hari merupakan petanda mereka akan pergi untuk selama-lamanya.
"Sebelum tidur, anak ada menyuruh hantar ke klinik sebab demam dan ada mereka memberitahu nak ke klinik dan tidak mahu balik lagi," katanya.
Ibu kanak-kanak itu, Suriani Sulong, 40, yang ditemui di Bilik Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah pula berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana bekerja sebagai tukang sapu di Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu.
"Saya hanya mengetahui kejadian itu selepas mendapat panggilan telefon daripada seorang rakan kira-kira 9.30 pagi yang menyatakan rumah saya terbakar," katanya dengan sayu dan kelihatan masih kebingungan dengan kejadian malang itu.
Menurutnya, pasangan kembar itu sempat memintanya mencium mereka sebelum dia keluar bekerja kira-kira 7.30 pagi.
Pasangan suami isteri itu mempunyai enam anak terdiri daripada tiga lelaki dan tiga perempuan yang berumur antara tiga dan 18 tahun, bagaimanapun kerana kesempitan hidup, dua daripada anaknya yang berumur 11 dan 17 tahun tinggal dengan saudaranya di Kemaman.
Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Md Salleh Sarbini berkata bomba tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit selepas menerima panggilan 9.20 pagi dan apabila tiba di tempat kejadian hampir 95 peratus rumah itu telah terbakar.
Katanya tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu bersama 20 anggota dan pegawai mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal kebakaran rumah itu yang dibina di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
"Kita masih menyiasat punca kebakaran ini dan nilai kerugian dianggarkan RM50,000," katanya.
Isteri Wakil-Wakil Rakyat Mulai Tiba di Terengganu
Manakala tiga lagi pertubuhan lagi termasuk, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dijangka tiba awal pagi ini (6 Julai).
Kedatangan pertubuhan itu bagi menyertai Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia 2011 yang akan berlangsung di Terengganu selama empat hari dan berakhir 9 Julai ini.
Setiap ahli pertubuhan akan menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) selaku tuan rumah.
Antaranya termasuk kejohanan badminton, boling, perlawanan classic plate, persembahan Ulek Mayang dan Malam Sentuhan Songket.
Majlis pembukaan program akan disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pada esok jam 8.30 pagi di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.
Manakala Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Badminton dan Boling di Stadium Negeri, Kuala Terengganu serta Malam Sentuhan Songket (malam penutup) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Abdul Razak.
Unit Komunikasi Negeri
Terengganu Didik Pelancong Hargai Terumbu Karang
Dalam usaha memulihara terumbu karang di sekitar pulau peranginan di Terengganu, kerajaan negeri kini menumpukan pendidikan mengenai hidupan marin itu pada kalangan pelancong.
Pengerusi Jawatankusa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata usaha itu bagi meningkatkan kesedaran pelancong mengenai hidupan laut tersebut.
"Tanpa lesen dan latihan (menyelam) yang sempurna (pada kalangan pelancong) menyukarkan penjagaan terumbu karang berikutan kini banyak masalah yang boleh menyebabkan kemusnahannya termasuk pencemaran, pemanasan global dan pembangunan," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Fotografi "Tenggol Underwater and Island Challenge", di Kuala Lumpur, kelmarin.
Mengulas lanjut, Abdul Rahin berkata setakat ini usaha pemuliharaan terumbu karang di negeri itu dilakukan kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat swasta, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan.
Terdahulu, Abdul Rahin menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan. Mohd Kamarulzaman Mohd Ariffin, 34, dari Universiti Malaysia Terengganu yang menjuarai kategori 'Dasar Laut' membawa pulang wang tunai RM5,000, manakala jurugambar bebas Azhar Azli, 41, dari Segamat Johor membawa pulang RM3,000 selaku juara kategori 'Pulau dan Darat'.
Pertandingan itu yang diadakan di Pulau Tenggol, Dungun, dianjurkan bersama kerajaan Terengganu, Tourism Malaysia Terengganu dan Malaysian Coral Reef Conservation Society.
Polis Tahan Bapa Disyaki Dera Anak Kandung
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K Manoharan berkata suspek yang berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pemandu di sebuah jabatan kerajaan negeri ditahan di rumahnya kira-kira pukul 3.45 pagi ini.
Katanya polis turut merampas seutas tali pinggang yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa.
"Menurut laporan, mangsa kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dipercayai telah didera oleh bapa kandungnya itu pada Ahad lepas kira-kira pukul 5.45 petang," katanya kepada pemberita di sini Selasa.
Beliau berkata, mangsa dilaporkan sedang sedang bermain dengan abangnya yang berusia 13 tahun sebelum dipanggil masuk ke rumah dalam keadaan marah oleh suspek dan selang beberapa minit kemudian abangnya terdengar jeritan mangsa memanggil namanya meminta tolong.
Katanya, sejurus setelah mendengar jeritan tersebut, abangnya terus meluru ke dalam rumah dan berlaku sedikit pertengkaran mulut di antara dia dan bapanya.
Ketika kejadian, ibu tiri mangsa yang sedang mengandung sembilan bulan turut berada di dalam rumah tersebut.
Untuk menyelamatkan keadaan, Manoharan berkata abang mangsa telah membawa adiknya itu ke Bukit Besar di sini sebelum membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah setelah mendapati adiknya itu mengalami kecederaan teruk.
"Doktor mengesahkan terdapat beberapa kesan bengkak di telinga kiri, bahu kanan dan peha kanan mangsa dan kini dalam keadaan stabil," katanya.
Ekoran itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Cabang Tiga, di sini pada pukul 10.40 pagi semalam, kata Manoharan.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan abangnya mendakwa sering didera oleh bapa mereka sejak ibu kandung mereka meninggal dunia empat tahun lalu.
Katanya suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Jabatan Bomba Guna Kaedah Baru Urus Masalah Potong Rambut - Chor
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung berkata setiap pelatih wanita akan diberi gambaran dan diberitahu tentang keadaan rambut selepas dipotong bagi memastikan mereka benar-benar faham mengenai syarat jabatan berkenaan.
"Kalau mereka setuju dipotong rambut sehingga 6 mm (daripada kulit kepala) baru kita akan teruskan, tapi kalau tak setuju kita tidak akan paksa tapi mereka tak bolehlah sertai bomba.
"Saya dah dapat laporan siasatan berhubung kes pelatih wanita dibotakkan kepala mereka itu, dan itu memang syarat yang telah ditetapkan semasa latihan, semua harus dipotong sehingga 6 mm," katanya kepada pemberita di Kuala Nerang semalam.
Beliau diminta mengulas hasil siasatan dalaman berhubung kes beberapa pelatih wanita yang dibotakkan kepala mereka ketika mendaftar diri untuk menjalani latihan di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Marang, Terengganu pada awal Mei lepas.
Chor berkata pihaknya sangat memahami situasi pelatih-pelatih terbabit dan memohon maaf di atas kejadian berkenaan, namun katanya ia adalah satu peraturan yang perlu diikuti.
"Bila rekrut baru masuk, memang kena buat macam ni, lagipun bukannya selama-selamanya kena rambut pendek begini, cuma dalam tempoh latihan sahaja," katanya.
Baru-baru ini (24 Jun) Bernama melaporkan seorang bekas pelatih bomba wanita kecewa dengan tindakan akademi berkenaan yang membotakkan kepalanya serta 18 pelatih perempuan lain ketika mereka mendaftar diri untuk menjalani latihan di kem itu 2 Mei lepas.
Hizyaty Othman, 28, dari Taman Berjaya, Jalan Pegawai berkata dia amat terkejut dengan tindakan membotakkan kepala pelatih perempuan, tidak seperti apa yang dinyatakan dalam peraturan kursus yang diterima mereka sebelum melaporkan diri di akademi itu.
Najib - 'Elakkan Berpuak, Musuh Dalam Selimut'
Tegas Perdana Menteri, penyakit itu jika berjaya dibendung akan menyaksikan UMNO dan BN mampu mencipta kejayaan cemerlang pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, amalan yang bersifat jatuh-menjatuhkan sesama sendiri itu perlu dielakkan, sebaliknya meletakkan kepentingan parti terlebih dahulu, mengatasi kepentingan peribadi dan kepentingan tertentu.
"Saya mengambil analogi kekalahan pasukan bola sepak Kelantan kepada Terengganu pada perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini apabila ada pemain Kelantan menjaringkan gol sendiri di saat akhir.
"Bayangkan dalam konteks politik jika ada ahli (bertindak) seperti itu, sudah tentu ia memberi kesan kepada parti kita," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan, kelmarin.
Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, amalan berpuak-puak didapati wujud dalam parti apabila berlaku pemilihan parti sama ada di peringkat cawangan atau bahagian.
"Ia juga berlaku apabila ada pemimpin yang tidak dipilih menjadi calon pada pilihan raya. Calon yang dipilih tidak akan disokong oleh puak lain.
"Kalau kita mahu menang, ketepikan soal peribadi dan utamakan parti, insya-Allah UMNO dan BN akan terus relevan di hati rakyat," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan.
Beliau mengingatkan 'tragedi' pada pilihan raya umum lalu perlu dijadikan iktibar supaya kesilapan dan kelemahan yang ada diperbaiki demi memperkukuhkan parti.
Bercakap pada sidang akhbar selepas itu, Najib berkata, amalan berpuak-puak tidak hanya berlaku dalam UMNO tetapi turut melibatkan parti pembangkang.
Bagaimanapun tambah beliau, amalan berpuak-puak itu tidak menjejaskan prestasi sesebuah parti jika ia dapat dikawal sepenuhnya.
UMT Bimbing Petani Hasilkan Baji Kompos
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkongsi kepakarannya dengan masyarakat sekitar khususnya petani apabila mengadakan kursus pembuatan baja kompos dan campuran tanah baru-baru ini.
Kursus itu bagi memberikan maklumat tepat berkaitan pembuatan kedua-dua bahan itu bagi menggantikan bahan sedia ada yang digunakan oleh mereka bagi menjimat kos serta lebih menyuburkan tanaman.
Timbalan Dekan Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan UMT, Prof. Madya Dr. Najiah Musa berkata, ia dalam usaha membantu petani mendapat pulangan lebih besar daripada hasil keringat mereka.
"Mereka boleh hasilkan sendiri baja kompos ini dengan kos yang rendah menggunakan sabut kelapa, habuk kayu, pasir, sisa tanaman, kulit buah-buahan dan rumput-rampai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa program itu di Pusat Pembangunan Komoditi Lembah Bidong baru-baru ini.
Hadir merasmikan program itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ashaari Idris.
Program itu disertai oleh lebih 30 petani di kawasan tersebut yang mengusahakan tanaman keledek, jagung, serai dan pelbagai jenis buah-buahan seperti tembikai, buah naga dan rock melon.
Tambah Najiah, penggunaan baja itu mampu memberi penjimatan kepada petani kerana hasil daripada kajian yang dijalankan UMT, hampir 50 peratus kos sesuatu projek pertanian adalah kerana penggunaan baja.
Sementara itu, kata Ashaari, kerajaan negeri mengalu-alukan pihak UMT atau agensi lain untuk membimbing petani sehingga mampu mengguna dan memanfaatkan teknologi sedia ada.
"Walaupun pembuatan baja kompos sudah lama diperkenalkan, hasil penyelidikan itu tidak bermakna sekiranya petani gagal untuk mempelajari kaedah yang betul untuk dimanfaatkan," ujarnya.
12 Warga Emas Di Kulim Terima Rumah Baru
Rumah yang keseluruhannya menelan belanja RM360,000 itu dilengkapi dengan perabot asas, barangan elektrik dan perkakasan dapur.
Rumah berkenaan dibina bagi menggantikan rumah separuh kekal yang menempatkan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) tanpa waris yang dibina oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) pada 1987.
Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat berkata pembinaan rumah tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Islam untuk membantu mereka yang memerlukan.
"Projek yang dinamakan Program Bantuan Rumah Bank Islam dilaksanakan sejak tahun 2008 bermula di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
"Bank Islam telah memperuntukkan dana zakat dan sebahagian hasil keuntungan perniagaan sebanyak RM11 juta setahun untuk melancarkan program CSR yang meliputi Program Bantuan Rumah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan rumah itu semalam.
Zukri berkata bantuan yang disampaikan itu diharap dapat membantu memperbaiki taraf hidup warga emas yang rata-ratanya uzur dan tinggal di rumah usang selama ini.
Beliau berkata rumah-rumah tersebut dijangka siap sebulan lagi iaitu ketika bulan Ramadan dan dengan ketibaan Hari Raya Aidilfitri diharap akan menceriakan kehidupan penerima kerana dapat tinggal di rumah baru.
Seorang penerima yang cacat penglihatan, Mohd Najib Jaafar, 66, berkata dia bersyukur kerana dapat hidup dengan lebih selesa di rumah baru.
"Sebelum ini, saya tidak mempunyai pilihan kerana kedaifan hidup selain faktor kesihatan menghalang saya daripada memiliki sebuah rumah yang lebih baik.
"Kini pak cik bersyukur kerana tinggal di rumah yang jauh lebih selesa berbanding rumah lama. Terima kasih kepada Bank Islam dan pihak yang membantu selama ini," katanya.
Sekumpulan Penggiat Perikanan Aceh Timba Ilmu Akuakultur Di UMT
Wakil Kedutaan Besar Indonesia, Menteri Kaunselor Politik Djoko Harjanto berkata seramai 2,879 guru, lebih 700 profesor dan pensyarah, 105 doktor perubatan dan 711 jururawat telah terkorban atau hilang semasa bencana itu.
"Pakar dan pengamal akuakultur yang mahir dalam bidang pembenihan ikan juga telah terkorban dalam tragedi yang menyayat hati itu dan sehubungan itu kita menghantar sekumpulan pemain industri dalam bidang ini di sini kerana UMT mempunyai kepakaran dalam bidang ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan kursus Akuakultur-teknik Pembiakan Ikan kepada 31 orang terdiri daripada kakitangan Jabatan Perikanan Aceh, Sekolah Vokasional Perikanan dan Pertanian Aceh serta beberapa orang dari universiti Aceh selama tiga minggu di UMT bermula kelmarin.
Djoko berkata, dengan kursus selama tiga minggu yang diadakan itu, ia diharap dapat membantu membangun sektor akuakultur yang telah lumpuh sejak bencana itu melanda.
Beliau berkata, kerjasama dalam latihan ini juga diharap dapat menjadi tapak untuk mengeratkan hugungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
Sementara itu Naib Canselor UMT Prof Dr Aziz Deraman ketika ditemui berkata, kursus di bawah Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop), merupakan sebuah pusat penyelidikan yang memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan akuakultur air tawar dan juga marikutur.
Katanya, misi dan visi Akuatrop adalah untuk memberi khidmat nasihat dan pemindahan teknologi dalam industri Akuakultur melalui pengendalian kursus-kursus pendek, latihan, penganjuran bengkel dan seminar.
"Ramai pakar dan pengamal akualkultur Aceh yang mahir dalam industri pembenihan ikan semasa tsunami tujuh tahun lalu dan dengan kursus ini diharap dapat membantu melahirkan pakar-pakar dalam bidang perikanan, seterusnya dapat membangun semula industri itu di wilayah Aceh," katanya.
Sementara itu seorang peserta yang merupakan seorang guru sebuah sekolah perikanan di Aceh Asmawati M Isa, 39, ketika ditemui berkata beliau akan mengambil kesempatan pada kursus yang diadakan itu dengan mengikutinya bersungguh-sungguh.
Kunjungan 319 Pelancong Asing Ke Inap Desa Sepanjang 2010
Daripada jumlah itu, Indonesia mencatat 83 orang, Singapura (80), Sepanyol (50), Amerika Syarikat (36), manakala China, Arab dan Belanda, masing-masing sembilan orang.
Sementara Korea dan Perancis pula empat orang, diikuti masing-masing dua dari Vietnam dan Jerman serta 30 orang lagi dari serata tempat seluruh negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata program inap desa dapat membantu kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai budaya ketimuran dan adat resam Melayu kepada pelancong tempatan dan juga asing.
Sehingga kini, enam inap desa yang berdaftar dan diiktiraf kerajaan termasuklah Homestay Kampung Pasir Raja, Dungun; Homestay Rhu 10, Setiu; Homestay Felda Selasih, Jertih; Homestay Kampung Buloh, Hulu Terengganu; Homestay Kampung Teluk Ketapang dan Kampung Pulau Duyung, Kuala Terengganu.
Katanya, seramai 106 peserta terlibat mengusahakan enam inap desa berkenaan yang mula berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Malaysia sejak 1996 hingga 2009 lalu.
“Seramai 2,680 pelancong domestik yang menetap di inap desa seluruh Terengganu sepanjang tahun lalu, peningkatan 70.05 peratus berbanding tahun 2009.
“Hasil kedatangan 2,999 pelancong tempatan dan asing ke seluruh homestay berkenaan pada tahun lalu mampu meraih pendapatan kira-kira RM1.6 juta dalam sektor berkenaan,” katanya ketika dihubungi Teganukita, baru-baru ini.
Datuk Abdul Rahin berkata, kerajaan negeri kini sedang giat mengatur pelbagai perancangan dan usaha bagi memastikan dua perkampungan inap desa dapat dibangunkan bagi setiap Parlimen berasaskan kepada kekuatan serta keunikan produk setempat.
Katanya, sasaran kerajaan negeri kini adalah mewujudkan sekurang-kurangnya 16 inap desa seluruh Terengganu berdasarkan kepada Hala Tuju Rancangan Pembangunan Negeri Terengganu bermula 2009 hingga 2013.
“Ini selaras dengan matlamat kerajaan yang mahu menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama negara.
“Pada masa yang sama, industri pelancongan juga menjadi sumber pertumbuhan baru ekonomi negeri melalui pemerkasaan produk pelancongan sedia ada, meningkatkan kadar kedatangan pelancong serta merakyatkan pelancongan seiringan dengan agenda `merakyatkan pentadbiran serta pembangunan,” katanya.
Unit Komunikasi Negeri