Saturday, March 24, 2012

Sultan Terengganu Mahu Umat Islam Amalkan Hidup Bersaudara

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mahu umat Islam di negeri itu mengamalkan hidup bersaudara sebagaimana dituntut agama.
Sehubungan itu, titah baginda jawatankuasa masjid seluruh negeri perlu memainkan perananan dalam memperkukuhkan persaudaraan di kalangan umat Islam.

Piala FA - Terenggannu Dibelenggu Tekanan, T-Team Berkeyakinan Tinggi

Apakah Hadi Akan diturunkan menetang Lion XII hari ini?
Terengganu dibelenggu tekanan dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala FA apabila beberapa tonggak utamanya disahkan berdepan masalah kecederaan menjelang aksi suku akhir pertama malam ini.

Lebih perit lagi, pertemuan menentang Lions XII di Stadium Sultan Ismai Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu dianggap sebagai ujian paling getir buat Mat Zan Mat Aris berdasarkan prestasi semasa pasukan dari negara jiran, Singapura itu.

Menurut Mat Zan, beberapa tonggak utamanya seperti Marzuki Yusof, Reshafiq Alwi dan Ahmad Nordin serta Abdul Manaf Mamat disahkan mengalami kecederaan serius dan bakal diketepikan daripada aksi suku akhir pertama malam ini.

Turut berada dalam keraguan untuk diturunkan ialah penjaring terbanyak Liga Super, Francis Forkey Doe serta dua tonggak tengah, Erison Da Silva Santos serta Shukur Jusoh.

“Buat masa ini, Marzuki, Reshafiq dan Ahmad Nordin memang sah tidak dapat bermain untuk tempoh yang lama, manakala kecederaan buku lali Abdul Manaf pula agak serius. “Kami juga akan memantau keadaan Doe, Silva dan Shukur untuk melihat sejauh mana tahap kecederaan yang mereka alami selepas tidak turun pada sesi latihan semalam (kelmarin).

“Jika mereka tidak dapat juga beraksi, maka saya terpaksa menggunakan khidmat pemain sedia ada untuk mengisi kesebelasan utama,” kata Mat Zan kepada Kosmo! semalam.

 Justeru, pengendali skuad Penyu itu mahu setiap pemain dalam pasukannya agar sentiasa bersiap sedia untuk diturunkan pada perlawanan malam ini.

Ujarnya, prestasi terkini Lions XII tidak perlu dipandang rendah kerana pasukan itu telah menunjukkan peningkatan paling ketara dalam kempen Liga Super.

 “Kami berjaya menewaskan pasukan itu pada kempen liga di Singapura sebelum ini tetapi ia bukan ukuran untuk kami memandang mudah pertemuan dalam Piala FA.

 “Lagipun, kami akan bermain sebagai tuan rumah dan sudah pasti tekanan yang dihadapi agak tinggi lebih-lebih lagi selepas kami tewas kepada Kitchee FC pada aksi Piala AFC baru- baru ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mat Zan turut mengharapkan sokongan padu daripada peminat tempatan untuk sama- sama berdiri di belakang pasukan, tidak kira ketika Terengganu menang ataupun sebaliknya.

“Saya akui harapan penyokong kepada pasukan Terengganu musim ini sangat tinggi dan para pemain saya juga sedia memberikan aksi terbaik mereka,” jelasnya.

Sementara itu, T-Team bertandang ke Alor Setar dengan keyakinan yang tinggi dalam misi mencari bekalan selesa apabila turun menentang Kedah pada aksi suku akhir pertama Piala FA. T-Team mempunyai rekod cemerlang ke atas lawan mereka itu.


 Kosmo!

Skim Tukar Tingkatkan Pendapatan Pekerja Runcit, Pemborong

Program Skim Tukar yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) adalah untuk meningkatkan pendapatan pekedai runcit dan pemborong dalam usaha Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.

Timbalan Menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, untuk itu, imej peniaga dan usahawan akan diselaraskan agar lebih berketrampilan dan mampu menarik pelanggan.


Empat Lelaki Terlibat Kemalangan Tinggalkan Kereta Mewah

Empat lelaki yang menaiki sebuah BMW menghilangkan diri dan meninggalkan kenderaan itu sejurus terlibat dalam kemalangan di kilometer 0.5 Jalan Kuala Terengganu-Jertih di Kampung Mak Sara di Jerteh kira-kira pukul 5.30 pagi kelmarin (22 Mac 2012).

Kenderaan itu dipercayai dipandu laju, terbabas ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain menyebabkannya melanggar tiang lampu di pembahagi jalan sebelum terbabas ke dalam parit di sebelah laluan bertentangan.


Pemetaan Angin Tenaga - Malakoff Kerjasama Dengan UMT


Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) menyasar menjana 2,080 megawat (MW) tenaga boleh diperbaharui menjelang 2020 dan menyediakan 3.2 juta tan metrik penyingkiran karbon setahun.

 Tahun lepas, Malaysia menjana 68.45MW tenaga boleh diperbaharui kumulatif, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Badriyah Abdul Malek, Kelmarin (Khamis).


RM15 Juta Diperuntukkan Bagi Biaya TMT 2013

Bermain dengan ikan kelah yang jinak
Kerajaan negeri dijangka membelanjakan lebih RM15 juta bagi menjayakan strategi dan matlamat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, secara lebih berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata kos promosi TMT 2013 terpaksa dinaikkan sekali ganda berbanding TMT 2008 kerana bayaran berkaitan promosi seperti tambang penerbangan ke luar negara dan bayaran kepada perunding meningkat.


Thursday, March 22, 2012

Keputusan SPM - Komitmen Kerajaan Negeri Ramuan Terengganu Cemerlang


"Kita hantar guru-guru ke Australia, Korea Selatan dan juga Amerika Syarikat bagi meningkatkan lagi cara pengajaran dan pembelajaran mereka terhadap murid...begitu juga dengan pelajar, kerajaan sentiasa memberi pengiktirafan kepada mereka..." - Datuk Seri Ahmad Said.

Komitmen kerajaan negeri, guru-guru dan ibu bapa terhadap pelajar adalah antara ramuan Terengganu memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaaan Sijil Pelajaran Malysia (SPM) untuk tahun keempat berturut-turut tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata, sebagai contoh kerajaan negeri telah menghantar guru-guru yang pelajarnya memperolehi keputusan terbaik di peringkat sekolah untuk mengikuti lawatan sambil belajar ke luar negara bagi melihat sistem pendidikan di negara berkenaan.

"Kita hantar guru-guru ke Australia, Korea Selatan dan juga Amerika Syarikat bagi meningkatkan lagi cara pengajaran dan pembelajaran mereka terhadap murid," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kuala Terengganu, semalam.

Ahmad Said berkata, begitu juga dengan pelajar, kerajaan sentiasa memberi pengiktirafan kepada mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam pelbagai peperiksaan awam bermula dengan UPSR, PMR, SPM dan STPM.

"Kita beri hadiah wang tunai dan komputer riba kepada mereka ini manakala bagi mereka yang melanjutkan pelajaran ke universiti kita beri RM1,000 bagi mereka yang mengambil ijazah, RM750 (diploma) dan RM500 (persijilan)," katanya.

Katanya kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM17 juta bagi menyediakan segala kemudahan untuk pelajar termasuk hadiah penghargaan kecemerlangan, bantuan persediaan masuk universiti dan sebagainya pada tahun lepas.

Beliau berkata, pada tahun ini pencapaian peperiksaan SPM pelajar Terengganu bagi Gred Purata Negeri (GPN) meningkat 4.92 peratus berbanding 5.03 peratus pada tahun 2010.
 
Katanya, pencapaian 4.92 peratus itu merupakan satu rekod pencapaian terbaik sejak empat tahun lepas apabila seramai 408 pelajar memperolehi semua A berbanding 405 pelajar pada tahun 2010 iaitu meningkat tiga orang manakala 15 pelajar memperolehi A+ berbanding 17 pelajar pada tahun 2010.

Ahmad Said - Skuad Penyu Mampu Bangkit

Kegagalan skuad Terengganu memang mengecewakan rakyat Terengganu namun Menteri Besar optimis skuad Penyu mampu bangkit dalam perlawanan akan datang.

Kegagalan Skuad Penyu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri menentang kelab gergasi Hong Kong, Kitchee FC kelmarin mendapat reaksi Datuk Seri Ahmad Said semalam. Menurut Ahmad Said, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris perlu memperbaiki kelemahan yang ada termasuk dari segi percaturan permainan.

Tiada Paksaan Kepada Pemilik Premis Restoran Pohon Sijil Halal Malaysia

Tiada paksaan kepada pemilik premis makanan dalam aspek memohon pensijilan Halal dan mempamerkan Logo Halal Malaysia, kata Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hakimah Mohd Yusoff.

Beliau berkata namun begitu premis yang mempunyai logo dan pensijilan halal itu akan mendapat faedah tersendiri apabila pengguna berasa yakin terhadap status halal dan keselamatan makanan dan perkhidmatan yang disediakan.

Maki & Herdik Pemain - Che Mat Jusoh Tegur Penyokong


Di Sebalik kekalahan 0-2 Terengganu kepada kelab Hong Kong, Kitchee FC pada saingan Piala AFC 2012 kelmarin, ada sedikit teguran yang mahu disampaikan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh kepada para penyokong skuad Penyu itu.

Kata Che Mat, jadilah penyokong yang berjiwa sukan dan bukan hanya tahu memaki dan mengherdik para pemain apabila pasukan tewas.

Pelan Transformasi Perbaiki Prestasi Sekolah Luar Bandar Dirangka

Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud menunjukkan Buku Pengumuman Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di Putrajaya semalam.
Seramai 559 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 403 pada 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud, berkata daripada jumlah itu, seramai 506 adalah calon sekolah menengah kebangsaan manakala 53 lagi calon dari sekolah selain sekolah menengah kebangsaan berbanding masing-masing 363 dan 40 calon pada 2010.

Hanya Dua Pemohonan Skim Rumah Pertamaku Di Terengganu

Selangor mencatatkan permohonan tertinggi Skim Rumah Pertamaku membabitkan pembiayaan bernilai RM14.4 juta sehingga 31 Jan lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata sebanyak 96 permohonan diterima di negeri itu diikuti Kuala Lumpur (57 permohonan; RM8.5 juta), Johor (32 permohonan, RM4.8 juta), Pulau Pinang (21 permohonan; RM2.9 juta), Perak (20 permohonan; RM2.8 juta).

Kelainan Upaya Bukan Halangan Untuk Cemerlang SPM

Fatin, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu memperolehi 7A+, 2A dan 2A
 
Dua pelajar kelainan upaya dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Dungun melakar sejarah tersendiri apabila mencatat keputusan 10A 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan semalam.

Muhammad Azizi Mohd Rashdi, 17, dari Kampung Denger, Besut tidak menyangka memperolehi keputusan cemerlang itu kerana hanya mendapat 5A dalam peperiksaan percubaan.

Etiqa Serah Zakat Untuk Bantu 15,000 Penduduk Miskin di Terengganu


Shahril Azuar Jimin
Etiqa Takaful Berhad (Etiqa) menyasarkan untuk memperolehi kadar premium tahun ini sehingga RM5 bilion, yang meningkat antara 10 peratus hingga 12 peratus berbanding RM4.7 bilion pada tahun lepas.

Ketua Pegawai Komersil Etiqa Insurance & Takaful Shahril Azuar Jimin berkata sasaran itu mampu dicapai memandangkan Etiqa merupakan satu-satunya jenama teras bagi kesemua perniagaan insurans konvensional dan takaful milik Maybank Fortis.

Wednesday, March 21, 2012

270,000 Pencarum Perkeso Terima Kenaikan Pencen

Seramai 270,595 orang penerima pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menikmati kadar kenaikan bayaran faedah pencen, antara 1.3 hingga 3.7 peratus mengikut tempoh pencen.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam ketika mengumumkannya berkata, pembayaran pencen baru itu berkuatkuasa 1 Januari tahun lepas melibatkan kedua-dua skim iaitu Insurans Bencana Pekerjaan dan Skim Pencen Ilat.

Polis, MPK Turunkan 14 Poster Ah Long


Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menjalankan operasi menurunkan poster sendiket peminjam wang tidak berlesen atau ah long di sekitar bandar ini bagi mengekang kegiatan ceti haram yang menyebabkan berlakunya kes jenayah.

Sebanyak 14 poster berjaya diturunkan dalam operasi bersepadu selama dua jam yang yang diadakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) bermula kira-kira jam 10 pagi kelmarin.


Wahid Endut Tukang Tilik, Harapkan Rakyat Marah Kepada UMNO, Kerajaan

SAMA CANTIK, SAMA PADAN...Tukang Tilik Tengah Cari Ilham!!!!
Kalau jadi wakil rakyat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen, jangan minta atau ada tanah.

Kalau dapat nanti ia berstatus ‘HABUAN’ dan habuan ini bunyinya negatif sekali.

Ia seolah-olah berdosa, cara tidak halal dan mungkin juga ikut cara tidak betul dan boleh lapor Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kita kena tanya ADUN PAS di Terengganu, mereka ada tanah ke tidak. Atau jika berpeluang, mereka mahu tanah ke tidak? Juga pertanyaan, di kalangan yang memohon tanah dan diluluskan kerajaan negeri itu semuanya penyokong dan orang kuat UMNO kah?
 Kecoh dengan PAS, khususnya Pesuruhjaya PAS Negeri, Mohd Abdul Wahid Endut membuat kenyataan akhbar bahawa wakil rakyat BN menggunakan kedudukan sebagai pemimpin untuk mendapatkan tanah yang lebih luas daripada apa yang diberikan kepada rakyat umum.

Malah Wahid tidak menolak kemungkinan pemberian tanah itu dibuat sebagai 'habuan' kepada mereka yang akan digugurkan atau tidak disenaraikan sebagai calon nanti. Apa punya spin macam tu. Wahid tahu ke siapa calon yang akan dipilih dan siapa akan digugurkan? Wahid sah seorang TUKANG TILIK…wauuuuuuuuu

Hakikat hari ini Wahid mengata kerajaan negeri dan menyindir Menteri Besar tetapi beliau sendiri tidak mampu menyelesaikan isu calon antara PAS, PKR dan DAP sehingga perlu menyerahkan kepada PAS Pusat untuk menentukannya.

Lagak Wahid yang serba tahu kadangkala menunjukkan sikap PAS lebih lebih berminat menyelak kain orang tetapi kain sendiri yang terlondeh dan tersangkut di kepala lulut dibiarkan.

Ahad (18 Mac) lalu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menjawab apa yang dikatakan sebagai kelulusan tanah kepada sebilangan wakil rakyat yang dibangkitkan oleh PASs hanya bertujuan mengapi-apikan rakyat.

"Dia (Pas) nak dedah apa, dedahlah. Mereka (wakil rakyat) pun rakyat biasa, rakyat Terengganu. Yang penting dia ikut peraturan (untuk memiliki tanah). "Kita tak ada masalah pun. Dia (wakil rakyat) memohon (untuk dapatkan tanah). Bukan dia dapat secara haram atau apa. Hak rakyat, rakyat dapat. Dia (wakil rakyat) pun berjasa juga. "Benda (perkara) ini kita (buat secara) mesyuarat kan? Dah lulus dan dapat kelulusan Pejabat Tanah dan Galian. Apa susahnya?" Soal Ahmad Said.

Menteri Besar berkata, pemimpin Pas itu sebenarnya tidak memahami prosedur pemberian dan kelulusan tanah di negeri ini.

 "Rakyat Terengganu berhak dapat tanah. Umur 18 tahun ke atas dia dah boleh mohon (untuk dapatkan tanah). Kita bagi. Berapa ribu rakyat yang kita dah bagi? Wakil rakyat ada 32 orang sahaja. Mereka pun nak tanah, nak rumah, nak buat kebun dan sebagainya. "Jadi, kita bagilah (bila dah mohon). Bukan kita bagi 20 ekar seorang untuk setiap wakil rakyat. Di Johor pun pegawai tadbir boleh dapat 10 ekar tanah termasuk satu tapak rumah dan tapak pertanian.” jelas Ahmad Said.

Di Terenggan, kerajaan bagi dua hektar saja tanah untuk tapak pertanian. “Pegawai tadbir pun dapat, rakyat pun dapat. Ada salah? Tak salah. Kalau penuhi syarat buat apa kita nak tolak" soal Ahmad Said lagi.

Yang nyata, wakil rakyat juga berhak memiliki tanah berkenaan sebagaimana rakyat lain menerusi mesyuarat dan prosedur yang perlu termasuk mendapat kelulusan Pejabat Tanah dan Galian.

Dalam tempoh tiga tahun sejak mengambil alih pentadbiran negeri, Ahamad Said berusaha menyelesaikan masalah permohonan dan tanah haram.

Sejauh ini kerajaan negeri sudah selesaikan lebih 9,000 kes tanah.

Malah beribu lot tapak rumah turut diluluskan untuk rakyat.

Jadi, apa tujuan Wahid sebenarnya? Tidak lain dan tidak bukan hanya ‘mencerca’ kerajaan negeri dengan harapan rakyat marah.

Jelas PAS cuba mendapatkan sokongan melalui cara MENAIKKAN KEMARAHAN RAKYAT walau apa cara sekali pun dan melaluinya diharapkan rakyat akan BERSIMPATI KEPADA PAS melalui cara putar belit yang banyak kali melencong daripada cara yang dibenarkan Islam.

Mungkin inilah antara modus operandi PAS yang disifatkan Ahmad Said sebagai ‘cara sesat PAS’ menagih sokongan untuk menang pilihan raya.

Sultan Mizan - Masjid Nadi Bentuk Umat Islam Terengganu

Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi bertitah masjid merupakan nadi utama dalam pembentukan masyarakat Islam.

Titah baginda, mana-mana tempat yang wujudnya masyarakat Islam, maka usaha membina masjid menjadi keutamaan untuk dijadikan sebagai tempat menunaikan ibadat dan melaksanakan hubungan ukhuwah sesama manusia.

Top IT Lakar Sejarah Hasilkan Telefon Untuk Pasaran Global

Top IT Industries Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kerajaan negeri Terengganu mengorak langkah menghasilkan peralatan telefon komputer bersaiz poket yang dilengkapi ciri telefon pintar untuk pasaran antarabangsa.

Alat komunikasi canggih yang pertama diperkenalkan di dunia itu menggunakan perisian "Windows 7" sepenuhnya dan dilengkapi ciri terkini dalam kejuruteraan hasil gabungan telefon dan komputer dengan kerjasama syarikat tempatan Advance Tech Communications Sdn Bhd yang mempunyai penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang elektronik.

Piala AFC - Penyu Tersungkur Di Padang Sendiri

Pemain Terengganu, Shukor Jusoh (tengah) diasak pemain Kitchee FC pada aksi Piala AFC 2012 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam.
Terengganu gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 0-2 kepada kelab Hong Kong, Kitchee FC pada aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam.

Turun dalam misi memburu kemenangan kedua dalam kempen Kumpulan F, anak-anak buah Mat Zan Mat Aris itu jelas gagal memberi tekanan kepada pasukan lawan apabila mudah dibolosi dua gol masing-masing pada babak pertama dan kedua permainan.

 Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, bintang import Kitchee dari Sepanyol, Jorge Tarres terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-44.
 
Gol pertama pelawat itu hadir menerusi satu hantaran lintang oleh Lam Ka Wai dari luar kotak penalti sebelum dirembat masuk Tarres untuk memperdayakan penjaga gol skuad Penyu, Shamirza Yusoff.

Terdahulu, Mazlizam Muhammad hampir meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-28, namun percubaan pemain pertahanan itu di hadapan pintu gol berjaya ditepis keluar penjaga gol pelawat, Wang Zhenpeng.

Bersambung babak kedua, skuad Penyu yang mendapat sokongan padu hampir 10,000 penyokong tempatan terus melancarkan serangan menerusi gerakan trio sensasi, Francis Forkey Doe, Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Shamsudin.

Sebaliknya, Kitchee, juara Liga Divisyen Satu Hong Kong terus menambah derita Terengganu menerusi jaringan kedua oleh kapten pasukan, Chu Siu Kei pada minit ke-74.

 Mengulas mengenai perlawanan itu, Mat Zan mengakui beberapa kesilapan mudah yang dilakukan pemainnya terutama di bahagian pertahanan telah membuka ruang buat pemain lawan menjaringkan gol.

“Secara keseluruhan, kami berjaya menguasai permainan dan mencipta peluang untuk menjaringkan gol, tetapi disia-siakan oleh pemain.

“Malah, kekentalan benteng pertahan lawan yang memiliki kelebihan fizikal sedikit menyukarkan pemain saya untuk memasuki kawasan kotak penalti,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Kitchee, Josep Gombau menganggap gol pertama yang dijaringkan Tarres pada lewat babak pertama menjadi detik kepada kejayaan pasukannya mengutip tiga mata penuh.

“Sejak dari awal lagi saya telah katakan bahawa Terengganu merupakan pasukan yang baik dan mereka jelas menguasai permainan. Namun, kami bijak menggunakan dua peluang untuk mencipta jaringan,” jelasnya.

Kosmo!

Potongan Cukai Bantu Sekolah

Kerajaan bersetuju untuk memberikan potongan cukai kepada syarikat dan orang perseorangan yang memberikan sumbangan tunai kepada institusi pendidikan rendah dan menengah termasuk sekolah, yang tidak berorientasikan keuntungan serta tempat ibadat yang berdaftar.

Timbalan Menteri Kewangan, Donald Lim Siang Chai berkata, potongan cukai yang diberikan kepada individu adalah sebanyak tujuh peratus manakala bagi syarikat, potongan cukai yang akan diberi adalah sebanyak sepuluh peratus.

Setiap Rumah Seunit Komputer Sudah Tercapai

Hasrat kerajaan untuk melihat setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya seunit komputer bagi penduduk di negeri ini sudah tercapai apabila kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan rakyat saling memberi dan menerima.

Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu, Hashim Mohd Zin berkata, pengagihan e-Book kepada pelajar Tahun Empat dan Lima sejak empat tahun lalu serta pemberian Komputer 1Malaysia kepada pelajar sekolah menengah oleh Kerajaan Pusat membantu merialisasikan hasrat murni kerajaan.

Sultan Mizan Mahu Anak Muda Terengganu Ceburi Penternakan, Pertanian

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Isnin bertitah supaya anak muda di negeri itu menceburi bidang penternakan dan pertanian selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu Terengganu muncul sebagai pusat pengeluaran daging ternakan terbesar di Pantai Timur.

 Baginda juga menyarankan agar rakyat mencontohi usahawan di negeri ini yang berjaya membina empayar perniagaan dalam industri berkenaan.

Belum Ada Kelulusan Cadangan Cukai 6 % Talian Prabayar

Cadangan cukai perkhidmatan enam peratus dikenakan kepada pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar masih belum diputuskan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang berkata, kementerian tidak pernah memberi arahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengeluarkan memo kepada pembekal perkhidmatan selular untuk melaksanakan cukai perkhidmatan terbabit.

Muzium Terengganu Anjur Seminar Batu bersurat Mulai Ahad

Muzium Terengganu akan menganjurkan Seminar Batu Bersurat Piagam Terengganu di Dewan Batu Bersurat di kompleks muzium itu di Losong di sini selama dua hari bermula Ahad ini.

Pengarahnya, Mohd Yusof Abdullah berkata seminar itu bertemakan 'Lambang Kehebatan Kita' bakal menarik penyertaan kira-kira 150 orang dari pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan penyelidik persendirian.

Bekas Tentera Sebabkan Kematian Nenek Dipenjara 19 Tahun

Seorang bekas anggota tentera dikenakan hukuman penjara 19 tahun oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu, semalam selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian neneknya tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa (kiri) memerintahkan hukuman terhadap Mohd Nassir Abdul Manan, 45, berjalan dari tarikh dia ditangkap pada 13 Okt 2009.

Tuesday, March 20, 2012

Pembangkang Khianati Masa Depan Pelajar Di Luar Negara

 Kerajaan keluar belanja ratusan juta untuk membiayai pelajaran mereka di luar negara, dengan harapan bila tamat pengajian dapat merubah kehidupan keluarga dan berbakti kepada negara...kerajaan sedih bila ada segelintir pelajar terpengaruh dengan hasutan pemimpin pembangkang malah secara terang-terangan menzahirkan protes kepada kerajaan...Merekalah pengkhianat sebenar kerana telah meracuni pemikiran anak-anak kita yang berada di luar negara dengan memberi gambaran buruk tentang kerajaan." - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said

 Isu penarikan balik pinjaman terhadap enam pelajar Terengganu di Mesir heboh diperkatakan bukan sahaja di Terengganu tetapi juga di beberapa negeri lain, khusunya negeri yang diperintah pembangkang.

Sedangkan, Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu sanggup melakukan apa saja untuk memastikan generasi pelajar terus mencipta kejayaan dalam pelajaran yang akan mengembirakan banyak orang termasuk ibu bapa, guru dan masyarakat keliling.

Namun adakah pelajar dan sesetengah ibu bapa berpendapat demikian?

Jika mereka sedar tanggungjawab mereka, iaitu belajar untuk mendapat keputusan cemerlang dan kemudian baru menyertai politik atau pergerakan NGO, tidak akan berlaku pelajar pulang dari luar negara tangan kosong.

Atau mereka terpaksa pulang kerana biasiswa yang dianugerah ditarik balik atau ‘terlepas dari tangan mereka’ akibat keputusan peperiksaan yang buruk.

Bayangkan berapa ramai yang menunggu untuk mendapatkan peluang, pinjaman serta biasiswa tetapi yang sudah dapat tidak menghargainya.

Adalah sesuatu yang pelik apabila sebuah pertubuhan menamakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang mengatakan mereka tidak menolak kemungkinan melancarkan protes besar-besaran terhadap Kerajaan Terengganu jika Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said enggan membatalkan keputusan menarik balik kemudahan pinjaman yang diberikan kepada enam pelajar di Mesir.

Pengerusinya, Ahmad Syukri Ab Razab berkata, sikap Kerajaan Negeri Terengganu bukan sahaja tertutup, bahkan turut bercanggah dengan slogan ‘merakyatkan pentadbiran’ yang dicanang sendiri oleh Ahmad.

Bukan main kasar dan kesat perkataan digunakan Ahmad Syukri apabila mengatakan Menteri Besar Terengganu tidak sepatutnya mencampur aduk kepentingan politik sempit dalam menilai hak yang dimiliki mahasiswa.

Adalah tidak wajar untuk mahasiswa yang terbabit dihukum hanya kerana pendirian Kerajaan Negeri yang tidak bersetuju dengan Himpunan Bersih," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Ahmad Syukri berkata sewajarnya bertindak lebih profesional dengan memisahkan sentimen politik seterusnya membuat keputusan yang lebih adil.

Menurutnya tindakan Menteri Besar itu ketinggalan zaman, tidak bertamadun dan melanggar batas kemanusiaan apabila hak mahasiswa untuk mendapat pinjaman dinafikan secara kuku besi.
Beberapa blog memberikan sokongan kepada tindakan Yayasan Terengganu itu dan ketegasan ini wajar dipraktikkan bukan sahaja di Terengganu tetapi juga di negeri-negeri lain.



Blog Din Turtle, menyebut apa yang dikatakan Ahmad Syukri bahawa kerajaan BN Terengganu akan terlepas undi dalam PRU 13 nanti hanya suatu andaian semata-mata.



Sementara blog zabidi saidi, menyebut: “Ulasan saya, saya menyokong penuh dengan ketegasan Ahmad Said sebagai Pengerusi Yayasan Terengganu. Peduli apa dengan ugutan SMM. Nak berdemonstasi teruskanlah. Kita masuk universiti nak gi belajar bukan nak gi buat benda tak ada faedah. Tahniah kepada Ahmad Said.

Sementara blogger papagomo yang memang keras kritikannya menyebut: “Rakyat mampu menilai apa yang berlaku dalam kejadian ini dan yang pastinya ibu bapa keenam enam para pelajar tersebut usah memarahi kerajaan Negeri Teregganu kerana yang melakukan kesalahan adalah anak mereka itu sendiri.”


Malah kata papagomo, usulkan sahaja kepada PAS agar menyambung pinjaman atau biasiswa keenam enam para pelajar tersebut. Ini kerana penyertaan pelajar itu menyertai Bersih adalah kerana pembangkang khususnya PAS 'menghasut mereka.

Jadi bagi papagomo, PAS perlu bertanggungjawap dengan apa yang berlaku keatas 6 mahasiswa di Mesir itu.

Di pihak Ahmad Said sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, beliau meminta pemimpin parti pembangkang berhenti dari bermain politik kotor termasuk menghasut pelajar di luar negara supaya membenci kerajaan.

“Merekalah pengkhianat sebenar kerana telah meracuni pemikiran anak-anak kita yang berada di luar negara dengan memberi gambaran buruk tentang kerajaan,” katanya di majlis penyerahan e-Book kepada pelajar Tahun Empat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal petang kelmarin.

Katanya, pemimpin pembangkang lebih mementingkan agenda politik mereka daripada memikirkan masa depan generasi muda yang semakin mencabar dalam dunia tanpa sempadan.

 “Kerajaan keluar belanja ratusan juta untuk membiayai pelajaran mereka di luar negara, dengan harapan bila tamat pengajian dapat merubah kehidupan keluarga dan berbakti kepada negara,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sedih bila ada segelintir pelajar terpengaruh dengan hasutan pemimpin pembangkang malah secara terang-terangan menzahirkan protes kepada kerajaan seperti yang berlaku di Mesir tahun lalu.

Katanya, kerajaan belanja RM25 juta setahun untuk e-Book, ini tidak termasuk bantuan lain seperti ‘one off’ kepada pelajar yang dapat masuk universiti, pelajar cemerlang yang berjumlah RM350 juta setakat ini.

Isteri Orang Yang Dikaitkan Dengan Badrolamin Akan Tuntut Fasakh

Izatil  ketika keluar dari Mahkamah Rendah Syariah Rompin semalam.
Seorang wanita yang sebelum ini dikaitkan dengan satu kes 'khalwat Badruolamin' di Kuantan, Pahang, akhir bulan lalu bertindak menarik balik permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Rompin semalam.

Sebaliknya, Izatil Iwani Rashid, 28, yang bertugas sebagai juruteknik di sebuah kolej kemahiran di Rompin memutuskan akan membuat tuntutan fasakh terhadap suaminya, Fazli Pungut, 32, di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.

Ahmad Said Tanya Apa Sumbangan ADUN Wakaf Mempelam?


“Setakat ini, apa yang wakil rakyat PAS ( Haji Abdul Wahid Endut) beri?

Ada Abdul Wahid Endut dapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk dibawa (pembangunan) ke kampung.. kawasan dia?

Apa yang dia dapat..hanya elaun sahaja.. Ahli Parlimen lagi..Adun lagi”

Penyu Berdepan Kelab Gergasi Hong Kong, Kitchee FC Petang Ini

Mat Zan  (kiri) bersalaman dengan rakan sejawatnya dari Kitchee FC, Gombau (dua dari kanan) selepas sidang media di Kuala Terengganu, semalam menjelang pertemuan pada Piala AFC 2012 petang ini.
Kehebatan sebenar Terengganu dalam kancah bola sepak Asia bakal teruji petang ini apabila skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu turun melayan kunjungan kelab gergasi Hong Kong, Kitchee FC dalam aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2012.

Berbekalkan kemenangan besar 6-3 ke atas Sabah dua hari lalu, keyakinan seratus peratus turut dilaungkan kesebelasan utama skuad Penyu yang tekad memburu tiga mata penuh pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, sekali gus merampas kedudukan Kumpulan F.

Jambatan RM80 Juta Mercu Tanda Daerah Marang


Jambatan empat lorong bernilai RM80 juta bakal dibina bagi menggantikan Jambatan Sungai Marang sedia ada.

Pegawai Daerah Marang, A. Rahman Che Ali berkata, jambatan yang dirancang pembinaannya setinggi lapan meter itu menjadi nadi laluan penting daerah berkenaan.


Lebih 12.5 Juta Layak Undi Pada PRU13

Seramai 12,595,268 orang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 selepas nama mereka diperakui oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said berkata, jumlah pemilih berdaftar itu adalah daripada Daftar Pemilih Induk Tahun (DPT) 2010 dan empat DPT sepanjang 2011 mengikut Peraturan 22 (1) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002. DPT Suku Tahun 4/2011 bagi tempoh 1 Oktober hingga 31 Dis 2011 mengandungi 259,590 permohonan untuk menjadi pemilih yang terdiri daripada 188,654 pendaftaran baru dan 70,936 pendaftaran tukar alamat pusat mengundi.

Jalan Jeram Dibuka Akhir Tahun Ini

Pembinaan projek jalan raya Jeram ke Kampung Tok Kong, Tepoh (fasa 1) sepanjang 2.2 kilometer (km) hampir 90 peratus siap dan dijangka boleh dilalui pengguna akhir tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Muhammad Ramli Nuh, berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM250 juta bagi membina kemudahan itu supaya memudahkan orang ramai berulang alik ke bandar Kuala Terengganu.

Puteri UMNO Gerakkan Jentera Di Setiap Rumah

Pergerakan Puteri UMNO negeri telah menggerakkan jenteranya bagi memastikan kesemua anggota yang layak mengundi didaftarkan sebagai pemilih.

Ketuanya, Nordiana Shafie berkata, ini termasuk kunjungan dari rumah ke rumah agar tiada yang tercicir daripada menunaikan tanggungjawab mereka kelak.


11 Penyu Ditemui Mati Dalam Tempoh Dua Bulan

Sekurang-kurangnya 11 ekor penyu Agar ditemui mati di pantai-pantai negeri ini sepanjang tempoh dua bulan lalu.

 Pegawai Komunikasi Program Marin Semenanjung Tabung Alam (WWF) Malaysia, Nadiah Rosli berkata, ia suatu yang makin membimbangkan dan menuntut kepada penguatkuasaan undang-undang lebih tegas.


Monday, March 19, 2012

PAS Terengganu Memang Pengecut Berdepan PKR, DAP


Jelas sudah PAS Terengganu dan rakan ‘sebantalnya’ tidak berupaya menyelesaikan pembahagian kerusi sesama mereka.

Tidak akan ada kata sepakat antara mereka dan kini sudah terserlah PAS tidak bersetuju dengan cadangan PKR mahu bertanding di sekurang-kurangnya 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga kerusi Parlimen.

Walaupun Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah dari Terengganu, ternyata PAS Terengganu tidak berani membuat keputusan sendiri sebaliknya menyerahkan kepada PAS Pusat membuat keputusan.


Sebelum ini nampak PAS bagaikan sedia 'masuk gelanggang' dan 'membedil' PKR mempertahankan kerusi yang mahu ditandinginya.

Tetapi semalam, ternyata PAS Terengganu begitu takut dan bersifat pengecut apabila berdepan dengan PKR dan DAP walaupun sebelum ini cakap bukan main lantang akan mempertahankan kerusi mereka bagi menjamin kemenangan PAS di Terengganu.


Sebaliknya semalam, sikap penakut dan bimbang ditolak oleh pakatan pembangkang sebagai ‘rakan kongsi untuk ke Putrajaya terserlah’ apabila Pesuruhjaya PAS Terengganu Abdul Wahid Endut, berkata keputusan akhir terletak pada pucuk pimpinan pusat pakatan pembangkang.

Dalam pada itu, PAS Terengganu menganggap permintaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu untuk bertanding di tiga kerusi parlimen dan 11 kerusi dewan undangan negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang sekadar hasrat parti itu.

Menurut Abdul Wahid: ‘Itu hasrat dia...dia nak bertanding. Kita juga ada hasrat sendiri, tapi kita tak naklah beritahu…" Bercakap kepada pemberita di Kuala Terengganu semalam, katanya PAS Terengganu yakin perkara itu dapat diselesaikan dengan baik.

"Kita tunggu keputusan pusat," katanya menambah agihan kerusi akan dibuat pimpinan pusat dalam sedikit masa lagi.

Beliau diminta mengulas laporan media awal bulan ini yang memetik Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail sebagai berkata parti itu berhasrat meletak tiga calon parlimen dan 11 calon DUN di negeri tersebut pada pilihan raya umum akan datang.

Selasa lalu, Ketua Penerangan PKR Terengganu yang berang dengan sikap PAS menyindir parti itu apabila mengatakan ‘Bolotlah kesemua 32 kerusi DUN!”.

 Mengenai calon, Abdul Wahid berkata PAS Terengganu masih dalam peringkat mengumpul nama calon sebelum disaring untuk senarai akhir.

Pada pilihan raya umum 2008, PKR bertanding di dua kerusi parlimen iaitu Kemaman dan Dungun serta lima kerusi DUN iaitu Bandar, Seberang Takir, Telemong, Kota Putera dan Permaisuri, namun kesemua calon mereka tewas di tangan calon Barisan Nasional.

Pinjaman 6 Pelajar Terbabit Demonstrasi Bersih Di Mesir Ditarik

Apakah ada pelajar Terengganu dalam kumpulan demonstrasi menyokong Bersih ini?
Kerajaan Negeri membatalkan serta-merta penajaan pendidikan di bawah Yayasan Terengganu (YT) kepada enam pelajar lelaki setelah didapati bersalah terlibat dalam demostrasi di Mesir baru-baru ini.

Keenam-enam pelajar yang sedang menuntut di beberapa universiti di Mesir itu didapati bersalah kerana terlibat dalam demostrasi, rentetan usaha untuk mendesak pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Bersih 2.0 yang menimbulkan kontroversi di dalam negara.

Peserta Terengganu Johan Program Realiti Adik-Adikku

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidun berkenan berangkat ke pentas akhir program realiti Adik-Adikku musim ketiga di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di Putrajaya, malam semalam.

Pada majlis itu, Seri Paduka turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang rancangan realiti televisyen itu yang diterbitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan turut disiarkan secara langsung di rtm1.

"Layarilah, Carilah Negara Mana Beri e-Book Secara Percuma.." - MB

Terengganu merupakan negeri pertama di dunia yang mengagihkan e-book secara percuma kepada pelajar sekolah rendah seluruh negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Haji Ahmad Said meminta penduduk negeri ini supaya melayari internet dan mencari negara mana di dunia ini yang memberi e-Book secara percuma kepada pelajar selain dari kerajaan negeri Terengganu.

Rakyat Malaysia di Syria Dinasihat Pulang

Rakyat Malaysia di Syria dinasihatkan pulang ke tanah air memandangkan keadaan keselamatan di negara itu berkemungkinan menjadi lebih buruk dan membahayakan keselamatan.

Dalam mengeluarkan nasihat itu, Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Damsyik menyarankan semua rakyat Malaysia supaya berhati-hati dan mengelak perjalanan tidak perlu.