Friday, May 25, 2012

Mohd Sabu Tidak Yakin Dengan Kepimpinan Wahid Endut, Melihat Hadi Semakin Longlai?

 

"....persediaan parti itu sudah cukup mantap dan turut meramalkan PR mampu merampas beberapa negeri lain jika PRU13 diadakan secara bersih dan adil. Kalau pilihan raya diadakan dengan bersih dan adil, kita yakin akan dapat semula Perak, kita akan dapat Negeri Sembilan dan Johor pun kita letak dalam keadaan 50-50.Begitu juga dengan perkembangan baik sokongan pengundi terhadap PR di Melaka...”
- Mohamad Sabu

Kesian kat pemimpin PAS Terengganu khususnya Wahid Endut yang menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri.


Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu semalam mengatakan PAS mempunyai peluang 50-50 di tiga negeri iaitu Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

Malah Mohd Sabu mengatakan PAS juga ada peluang di Melaka. Di Terengganu? PAS tidak berani ramal langsung. Hoi malunya muka pemimpin PAS Teregganu!

Daripada apa yang disebut Mohd Sabu ini, Terengganu langsung tidak tersenarai apa lagi ranking dalam senarai negarai yang mampu dimenangi menurut analisis ‘ayam tambatan PAS’ itu!

Mengejutkan kerana Mohd Sabu tidak berani meramalkan di negeri Presidennya sendiri yang selama ini mengatakan Terengganu akan kembali kepada PAS.

Apakah kurang keyakinan Mohd Sabu itu berdasarkan fakta bahawa Barisan Nasional (BN) di Terengganu kuat? Sementara kepimpinan Abdul Hadi di negeri sendiri pun terumbang ambing dan longlai, kepimpinan Wahid pula diragui keupayaannya oleh pemimpin PAS Pusat.

Atau Mohd Sabu sebagai kumpulan Erdogan yang lebih memihak kepada Datuk Husam Musa dan rakan-rakan yang bukan ulama melihat kepimpinan ulama lemah?

 Sejak awal 2011 ramai pemimpin PAS begitu yakin akan dapat tawan Terengganu termasuk oleh Ketua Penerangan Pas Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh (kiri)berkata, keyakinan itu diletakkan kepada sasaran terhadap generasi baru khususnya tidak nampak mereka memberi sokongan kepada parti kerajaan.

Lebih jauh, kubu UMNO di Kemaman, dua daripada DUNnya akan Berjaya di pembangkang. Di Rompin semalam, Mohd Sabu berkata seluruh jentera pilihan Pas sudah sedia hadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada bila-bila masa sahaja dan kini mereka hanya menanti isyaratnya sahaja.

Katanya, persediaan parti itu sudah cukup mantap dan turut meramalkan PR mampu merampas beberapa negeri lain jika PRU13 diadakan secara bersih dan adil.

“Kalau pilihan raya diadakan dengan bersih dan adil, kita yakin akan dapat semula Perak, kita akan dapat Negeri Sembilan dan Johor pun kita letak dalam keadaan 50-50.

Begitu juga dengan perkembangan baik sokongan pengundi terhadap PR di Melaka,” katanya selepas Majlis Ceramah Pas di Kampung Pianggu, Rompin.

PMINT Labur RM400Juta Projek Hartanah Menncantikkan KT

Projek Paya Bunga Square
 Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dijangka melabur RM400 juta bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan hartanah, termasuk pembinaan tempat letak kereta bertingkat bagi mencantikkan bandar Kuala Terengganu pada masa depan.

Pengurus Besar PMINT, Datuk Osman Muda berkata, langkah itu menggambarkan keseriusan kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat.

"Sesetengah daripada projek ini sudah dilaksanakan seperti projek perumahan, sementara tempat letak kereta bertingkat dijangka dibina bersebelahan bangunan Wisma PMINT," katanya pada sidang media PMINT diKuala Terengganu, semalam.


Terengganu Teliti Permohonan Sembilan Syarikat Bina Kilang Besi Waja

Kerajaan negeri Terengganu sedang meneliti cadangan sembilan syarikat yang berminat melabur membuka kilang besi waja di negeri itu yang mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada anak negeri itu kelak.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata syarikat-syarikat itu ialah dari China, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan syarikat dari negara ini sendiri.

“Kita sekarang dalam proses memilih syarikat yang paling layak. Kita pilih mereka yang ingin melabur dengan jumlah yang besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Buah Pinggang Kemaman di Kemaman, semalam.


FAM Tunggu Keputusan Mahkamah Singapura Berhubungan Kes Shokri Nor


Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menunggu keputusan perbicaraan pengadil Malaysia, Shokri Nor yang didakwa terlibat dalam kes mengatur perlawanan membabitkan Lions XII menentang Sarawak, Selasa lepas, sebelum mengambil sebarang tindakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Abdul Aziz berkata badan induk bola sepak negara itu perlu menghormati undang-undang Singapura sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap Shokri.

"Biar aliran undang-undang di Singapura yang akan membuat keputusan dalam kes membabitkan beliau (Shokri).

Terengganu Rancang Bina Pusat Rawatan Bersalin - MB

Kerajaan Terengganu Rancang Bina Hospital Bersalin Swasta Di Bandar Cukai Kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan sebuah hospital bersalin di Bandar Cukai, di sini iaitu pusat rawatan bersalin pertama di Terengganu.

Ia akan dikendalikan oleh anak syarikat kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pusat itu kelak akan beroperasi secara swasta bagi memberi kemudahan kepada ibu yang ingin mendapatkan rawatan untuk bersalin.


Pengusaha Makanan Digesa Sedia MR1M Setiap Hari

Pengusaha premis makanan yang menyertai Menu Rakyat 1 Malaysia (MR1M) digesa menyediakan menu itu secara konsisten setiap hari.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) Ghazali@Suhaimi Muhammad berkata pihaknya ada menerima aduan mengenai pengusaha premis makanan yang tidak menyediakan menu itu walaupun disenaraikan sebagai peserta MR1M dan penyertaan mereka diiklankan di akhbar serta laman web PDNKK.

Himpunan 20,000 Mengenai Insiden Stadium Runtuh?

Tidak punya tema atau tujuan jelas tetapi ini pastinya perhimpunan politik!

Satu perhimpunan aman dinamakan ‘Himpun dan Ingat’ akan diadakan di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 8 Jun ini. Penganjur perhimpunan yang dikenal sebagai Badan Bertindak Menangani Isu Bangunan Runtuh (Runtuh) menyasarkan kehadiran kira-kira 20,000 orang dari negeri ini.

Ia bertujuan mengingatkan masyarakat berhubung insiden runtuhan bumbung stadium terbabit yang berlaku tiga tahun lalu tetapi masih tidak diselesaikan sehingga kini.

Thursday, May 24, 2012

RM1.5 Juta Bantu Pelajar SPM Persediaan Ke IPT Semenanjung, Sarawak

 Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM1.5 juta untuk diagihkan kepada 2,577 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai bantuan persediaan ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM925,500 diagihkan kepada 1,851 pelajar yang akan melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi di Semenanjung.

Sebanyak RM4,000 lagi diagihkan kepada lima pelajar yang akan ke Sarawak, katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis penyampaian bantuan persediaan Yayasan Terengganu (YT) ke IPT peringkat matrikulasi dan diploma di Stadium Tertutup Gong Badak petang semalam.

Bagi peringkat diploma pula, sebanyak RM537,000 diagihkan kepada 716 pelajar di Semenanjung manakala RM5,250 lagi kepada lima pelajar yang menyambung pengajian peringkat sama di Sarawak.

Kelantan Berjaya Ke Suku Akhir AFC, Tewaskan Terengganu

Gol Ismail Faruqi & Forkey Doe gagal menyekat kemaraan Kelantan.
Kelantan berjaya membenam cabaran Terengganu dengan keputusan 3-2 untuk layak ke suku akhir sekali gus menyingkirkan skuad Penyu dalam saingan pusingan kedua Piala AFC.

Perlawanan Kelantan menentang Terengganu malam tadi terpaksa ditangguhkan selama 30 minit berikutan hujan lebat di Stadium Sultan Muhammad IV.

Pada separuh masa pertama, Kelantan mendahului Terengganu 3-0 hasil jaringan berganda Norfarhan Muhammad (kiri) pada minit ke-2 dan minit ke-18.


Bersih 3.0: Kerajaan Saman Ambiga, Sembilan Yang Lain

Kerajaan telah memfailkan saman terhadap Pengerusi Bersama Bersih S. Ambiga dan sembilan yang lain terhadap kerugian RM122,000 yang dikatakan ditanggung semasa Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April.

Saman tersebut mendakwa Penganjur Bersih Bersih 3.0 telah gagal untuk mengawal orang ramai dengan berkesan dan gagal untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan perhimpunan tersebut berjalan secara aman.


Insentif Khas Kepada Pasukan Sepak Takraw Terengganu, Harun Jusoh


Kerajaan negeri mengagihkan insentif khas sebanyak RM95,000 kepada Pasukan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) sebagai penghargaan menjulang nama negeri pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Khir Johari di Manjong, Perak, 4 hingga 8 April lalu.

Seramai 19 pemain termasuk pegawai menerima insentif itu di mana setiap individu memperoleh RM5,000.

 

Perkaya Cari Dana Untuk Bina Pusat Tahfiz

Hubungi Pejabat Perkaya di Jalan Pusara, Kuala Terengganu melalui talian 09- 6224924 atau Pengerusi Jawatankuasa Dana, Haji Harun Hasan 019-9848545. 

Pertubuhan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) telah mewujudkan jawatankuasa khas yang di pengerusikan oleh Naib Yang Dipertuanya, Haji Harun Hasan bagi memungut dana untuk membina Pusat Tahfiz Perkaya, di Jerangau, Dungun.

Yang Dipertua Perkaya, Datuk Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, orang ramai berpeluang membuat amal jariah dengan tampil menderma apa saja (barangan atau wang) bagi penubuhan pusat tersebut.

Didakwa Dera Anak Teman Wanita Hingga Koma

Menteri Besar Terengganu dan Ketua Polis Negeri  melawat Muhd Danish yang dirawat.
Seorang mekanik semalam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mendera anak teman wanitanya yang berumur dua tahun sehingga menyebabkan kanak-kanak itu koma dua minggu.

Azhar Yusof, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fadhilah Nor Wan Idris.

SMK BUkit Nenas Terima Prasarana Sukan RM7.4 Juta

Sekolah Sukan Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas menerima prasana sukan yang bernilai RM7.4 juta dalam usaha meningkatkan kecemerlangan dan pembangunan sukan pelajar di negeri ini.

Antara kemudahan sukan yang diterima SMK Bukit Nenas termasuklah sebuah astaka, trek olahraga, menaik taraf padang bola sepak dan dewan sukan serbaguna berbumbung yang diserahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat.


TatiUC Teruskan Penghantaran Pelajar, Pensyarah ke Mie University

Tati Universiti Kolej (TATIUC) akan meneruskan penghantaran pelajar dan pensyarah untuk mengikuti pengajian di Mie Universiti Nagoya di Jepun yang masuk tahun ketiga tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah TATIUC, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, TATIUC memberi tumpuan ke arah memperkasakan bidang penyelidikan.

“Terdapat lima tempat disediakan untuk pelajar kita di sana ,tetapi kita hanya hantar dua orang bagi melihat kesesuaian dari pelbagai sudut termasuk makan minum,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Penyelidikan dan Inovasi TATIUC di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) kelmarin.

Hadir sama, Rektor TATIUC, Dr. Mohd Rozailan Ibrahim dan timbalannya, Haji Zulkifli Mohamad.

Wednesday, May 23, 2012

Piala AFC – Kelantan Atau Terengganu Ke Suku Akhir?

 Penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee (dua dari kiri) bersalaman dengan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat selepas sidang akhbar pusingan kedua Piala AFC di Hotel Grand Riverview, Kuala Terengganu semalam.

Pertembungan dua gergasi Pantai Timur - Kelantan dan Terengganu - pada pusingan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia malam ini bukan sekadar untuk menentukan siapa kuasa sebenar bola sepak pantai Timur.

Malah, ia turut menjadi penentu kepada pasukan negeri mana yang layak ke suku akhir dalam kejohanan berprestij itu.

Bagi pasukan Kelantan, beraksi di gelanggang keramat mereka di Stadium Sultan Muhammad IV pasti memberi kelebihan memandangkan ia adalah perlawanan kalah mati, ditambah pula dengan semangat dan moral pemain yang sedang menjulang ekoran kejayaan menjuarai Piala FA pertama, Sabtu lalu.

Namun, Kelantan perlu sedar bahawa mereka bukan sekadar bertembung dengan Terengganu, sebaliknya turut berhadapan dengan bekas jurulatih mereka, James Peter Butler yang pernah mengemudi pasukan itu selama lima bulan musim ini.

Butler percaya beliau mempunyai resipi terbaik untuk memastikan pasukannya tidak pulang dengan berputih mata kali ini. Menurutnya, meskipun baru seminggu menjadi jurulatih Terengganu, beliau kini dapat melihat peningkatan yang ditunjukkan pasukannya dan percaya jika percaturan yang dirancang dapat diaplikasikan di atas padang, kemenangan akan memihak kepada mereka.

"Mungkin kami juga mempunyai antara penyerang import terbaik di negara ini cuma saya rasa dia (Francis Forkey Doe) kurang bernasib baik kerana mengalami kecederaan dan masalah keyakinan diri, Jadi ini adalah peluang terbaik untuk dia buktikan sesuatu dan pasukan juga perlu membuktikannya," tegas beliau.

Jelas Butler, sebagai seorang jurulatih yang pernah membimbing Kelantan sebelum ini mungkin memberinya sedikit kelebihan, namun beliau lebih selesa untuk memberi tumpuan terhadap persiapan Terengganu.

“Saya mengenali para pemain Kelantan kerana saya berada di sini (Kelantan) selama lima bulan dan pernah bekerja keras bersama mereka.

“Saya tinggalkan mereka ketika mereka berada di puncak Liga Super dan saya rasa saya sudah melakukan yang terbaik untuk mereka.

“Perlawanan malam ini menjadi tugas pertama saya bersama Terengganu dan saya mahu melakukan yang terbaik,” jelasnya.

Ketua Jurulatih Kelantan Bojan Hodak pula yakin mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri pada perlawanan pusingan kedua Piala AFC menentang Terengganu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV mala mini.

Selain itu, kedudukan Kelantan di tempat pertama carta liga Malaysia setelah menjuarai Piala FA juga wajar diberi perhatian oleh pasukan lawan semasa bertemu mereka.

Beliau berkata walaupun tidak meletakkan sasaran tinggi untuk Piala AFC memandangkan Liga Super dan Piala Malaysia lebih penting, Bojan berjanji untuk memberi persembahan terbaik ketika menentang Terengganu.

"Terengganu mempunyai pemain berbakat. Mereka akan melakukan yang terbaik tetapi Kelantan mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri," katanya pada sidang akhbar pra-perlawanan pusingan kedua Piala AFC semalam.

 Bagi para pemerhati bola sepak tempatan, mereka menjangkakan aksi cukup sengit malam ini, malah ada yang meramalkan pertembungan itu lebih menarik berbanding aksi final Piala FA yang menemukan Kelantan dan Sime Darby di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

Sumber Bernama, utusan Malaysia & Kosmo!

Masjid Lama Kampung Lak Lok Cetus Perpecahan?

Inilah masjid lama Kampung Lak Lok, Besut yang digunakan oleh sekumpulan penduduk sehingga mencetuskan perpecahan.
UMNO Bahagian Besut kesal dengan tindakan sekumpulan penduduk yang menggunakan masjid lama Kampung Lak Lok dekat sini untuk mencetuskan perpecahan di kalangan masyarakat.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, tindakan kumpulan itu menimbulkan bibit yang tidak menyenangkan kerana kini terdapat sebuah masjid yang baru disiapkan, kira-kira 100 meter dari situ.

Beliau mempersoalkan mengapa kumpulan itu yang memulaukan masjid lama itu selama ini kembali semula ke situ untuk solat berjemaah.

Menurutnya, tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku memandangkan tujuan membina masjid baru yang berharga lebih daripada daripada RM4 juta adalah untuk menyatupadukan masyarakat di samping beribadat dalam suasana lebih selesa.


Lions XII Kembali Lebarkan Kedudukan Pendahulu Liga Super

Pasukan Lions XII dari Singapura kembali memperkukuh kedudukan selaku pendahulu Liga Super selepas menewaskan Sarawak 3-0 dalam perlawanan tunggal liga di Stadium Jalan Besar, Singapura malam semalam.

Kemenangan ke-13 daripada 22 perlawanan musim ini membolehkan skuad bimbingan V. Sundramoorthy itu memungut 44 mata, berkelebihan tujuh mata di depan pesaing terdekat, Kelantan.


SPRM Minta Orang Ramai Buat Aduan Tentang Kes Bocor Maklumat Perbankan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan rasuah membabitkan kes-kes pembocoran maklumat akaun perbankan supaya menyalurkannya kepada suruhanjaya itu.

SPRM turut meminta Yang Dipertua Persatuan Kemajuan Insan Malaysia (Kesan) Omar Idris, yang mahu suruhanjaya itu tegas dalam isu berkenaan, tampil bagi membantu siasatan SPRM.

Jabatan Warisan Negara Akan Buat Penyelidikan Penemuan Artifak Di Pulau Bidong


Jabatan Warisan Negara (JWN) akan membuat penyelidikan lebih lanjut tentang penemuan artifak seperti tempayan, takar dan pasu dipercayai berusia lebih 100 tahun di perairan Pulau Bidong, di Kuala Terengganu April lepas.

Pegawai Warisan Cawangan Arkeologi, Bahagian Konservasi dan Arkeologi jabatan berkenaan Ruzairy Arbi berkata pihaknya akan cuba mendapatkan maklumat lebih lengkap tentang setiap penemuan barang-barang itu daripada Coral Malaysia yang menemui artifak berkenaan.

Penyamun Mati Setelah Terjun Ke Dalam Longkang Untuk Selamatkan Diri

Seorang lelaki maut dipercayai lemas apabila terjun ke dalam longkang ketika melarikan diri setelah terkejut disergah pemilik rumah yang cuba dipecah masuknya, awal Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi, lelaki berumur 29 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang itu cuba memecah siling rumah milik bekas tentera di Jalan Alamanda, Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman, namun perbuatannya itu disedari pemilik rumah.


75 Lagi Peserta Tiba Untuk Program ETA Tahun Depan

Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) Fulbright, sebuah program untuk meningkatkan kemahiran dalam bahasa Inggeris di sekolah menengah, dijangka diperluaskan apabila 75 peserta tiba di negara ini, awal tahun depan.

Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Datuk Paul W. Jones berkata pada masa ini, kerajaan Amerika Syarikat terlibat dalam proses pemilihan selepas menerima beratus-ratus permohonan, antaranya daripada siswazah universiti, untuk menyertai program sukarela itu.

Tuesday, May 22, 2012

Hadi Tak Mahu Muzakarah, Sifatkan Helah Politik UMNO Semata-Mata..

“Saya menegaskan muzakarah antara Umno dan PAS tidak mungkin akan berlaku...PAS bersedia untuk mengadakan muzakarah dengan NGO untuk memberikan penjelasan jelas tentang Islam. Tapi bukan dengan Umno. Isu ini muncul tiap-tiap kali nak pilihan raya...kalau nak bincang dengan Umno adalah lebih utama untuk bincang berkenaan pilihan raya yang bersih dan adil.”  Abdul Hadi Awang


PAS semalam menegaskan tidak akan berlaku muzakarah antara parti Islam tersebut dengan Umno, sebaliknya, menegaskan, perkara berkaitan muzakarah itu telah di salah lapor oleh media.

Jelas Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang (gambar) ketika sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur menegaskan, isu utama yang dibangkitkan dalam pertemuan beliau dengan pertubuhan bukan kerajaan baru-baru ini adalah berkenaan dakwaan yang mengatakan parti itu sudah menyimpang dari landasan asal mereka.

“Perkara pokoknya adalah PAS bersedia mengadakan muzakarah untuk menjelaskan perkara itu, bukannya muzakarah dengan parti seperti Umno.

Isu muzakarah ini hanyalah helah politik Umno yang berlarutan sejak sekian lama.

“Saya menegaskan muzakarah antara Umno dan PAS tidak mungkin akan berlaku,” tegasnya ketika sidang media di sini. Sebaliknya, Ahli Parlimen Machang ini menjelaskan, beliau hanya bersedia untuk mengadakan muzakarah dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjelaskan berkenaan peranan parti itu dalam membangunkan masyarakat Islam di negara ini.

“PAS bersedia untuk mengadakan muzakarah dengan NGO untuk memberikan penjelasan jelas tentang Islam. Tapi bukan dengan Umno. “Isu ini muncul tiap-tiap kali nak pilihan raya,” katanya menambah, “kalau nak bincang dengan Umno adalah lebih utama untuk bincang berkenaan pilihan raya yang bersih dan adil.”

Sehubungan itu, Hadi menjelaskan, PAS akan menganjurkan satu program bagi menjelaskan perkara berkaitan Islam dan pihaknya turut menjemput setiap lapisan masyarakat dan bangsa untuk turut hadir bagi mendapatkan kefahaman tentang Islam.

“PAS sedang memberikan tumpuan terhadap pilihan raya buat masa ini,” tambahnya lagi dan menegaskan isu muzakarah PAS dan Umno tidak lagi berbangkit selepas ini. Laporan sebelum ini menyebut,

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik laporan akhbar berkata, Umno sedia menyahut seruan PAS untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Timbalan Presiden Umno itu juga nyata agak terkejut dengan pelawaan PAS kerana perkara itu jelasnya telah dan pernah disuarakan parti itu sebelum ini, namun ditolak keras, khususnya oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara Malaysia kita tidak jadi masalah,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai kenyataan Nik Aziz bahawa parti itu sentiasa bersikap terbuka untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno dan juga bersetuju untuk muzakarah itu diadakan dalam masa terdekat.

 Muhyiddin berkata parti terbesar Melayu itu sedia menerima pelawaan tersebut kerana perkara itu telah pun disuarakan Umno sejak sekian lama atas kesedaran pentingnya umat Islam disatukan, yang kini berpecah kepada beberapa kelompok kerana perbezaan ideologi.

Nik Aziz sebelum ini mencadangkan muzakarah bersama Umno akan diadakan sebelum pilihan raya umum ke-13 yang dijangka berlaku tidak lama lagi.

Bagaimanapun, Nik Aziz menegaskan Umno perlu mematuhi beberapa perkara yang akan ditentukan oleh PAS sekiranya ingin bersatu dan mencapai kesefahaman.

“Kalau Umno nak bersatu (dengan PAS), tukar dasar kebangsaan dia, bubuh (letak) Islam. Bukan buat keputusan secara berseorangan, tetapi perlu buat secara rasmi bahawa Umno tukar dasar kebangsaan kepada Islam.

 “Umno kena terima PAS sekali dengan pakatan (pembangkang). Bila Umno dah ubah dasarnya, mereka kena bersama dengan pakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkara disebalik kesudian PAS untuk mengadakan muzakarah dengan Umno sebagai suatu permulaan kepada kerjasama parti demi penyatuan orang Melayu khususnya umat Islam.

Katanya muzakarah dituntut oleh agama Islam dan sepatutnya adalah untuk kebaikan semua pihak dengan niat yang benar-benar ikhlas.

Rabu lalu, Nik Aziz menyatakan persetujuannya agar PAS membuka pintu untuk bermuzakarah dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Umno.

Piala AFC - Butler Dengan Ramuannya Tewaskan Kelantan di Kota Bharu, Malam Esok


Apa ramuan Peter Butler untuk tewaskan Kelantan malam esok?

Memangkah banyak rahsia dalam poket Butler mengenai kekuatan dan kelemahan Kelantan kerana beliau adalah bekas jurulatih pasukan itu.

Satu kelebihan Terengganu ialah pemainnya tidak mengalami keletihan kerana mampu berehat beberapa haripada ketika Kelantan berdepan Sime Darby pada perlawanan akhir Piala FA Sabtu lalu.

Pendidik Diminta Utamakan Tugas Daripada Kegiatan Peribadi

Ikrar daripada guru-guru pada sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu, semalam.

Para pendidik diminta mengutamakan tugas mereka mendidik pelajar dari mementingkan kegiatan peribadi demi menjamin generasi masa depan mendapat ilmu secukupnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata sehubungan itu para pendidik diharap mengambil inisiatif mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) kepada pelajar sekolah.

Skuad Terengganu Jelajah Lima Negeri Hadapi Sukma 2012

Empat belas pelumba basikal lebuh raya Terengganu akan menjelajah lima negeri bermula esok sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2012 di Kuantan, Pahang dari 7 hingga 16 Julai ini.

Ketua jurulatih Terengganu, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata program latihan selama dua minggu itu, yang melibatkan lapan pelumba lelaki dan selebihnya wanita adalah bagi meningkatkan prestasi m ereka menjelang temasya dwitahunan itu.


Polis TerengganuTubuh Unit Ronda Berbasikal Polis Pelancong Pantau Jenayah

Unit Polis  Pelancong membuat persiapan bagi melakukan rondaan...
Polis Terengganu semalam melancarkan unit ronda berbasikal polis pelancong bagi menjalankan rondaan di kawasan-kawasan tumpuan pelancong di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata antara lokasi yang dironda unit itu ialah Pantai Batu Buruk, Taman Tamadun Islam dan Pasar Payang.

"Sebelum ini kita menggunakan motosikal, berkereta dan berjalan kaki untuk membuat rondaan di kawasan tumpuan pelancong.

Anggota Parlimen Hulu Terengganu Tokoh Guru Terengganu 2012

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Negeri 2012 kepada Mohd. Nor Othman (kiri) sambil diperhatikan oleh Zakaria Hussin (kanan) pada Majlis Sambutan Hari Guru ke-41 Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.
Bekas Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Terengganu dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri sempena majlis sambutan Hari Guru ke-41 peringkat negeri tahun ini.

Mohd Nor Othman, 60, menyifatkan kerjaya sebagai guru selama 32 tahun adalah mencabar dan menganggapnya sebagai ibadah untuk memotivasikan dirinya melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan cemerlang.


Pelajar Tingkatan 4 Diirogol Selepas Ponteng Sekolah

Seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Kemaman yang mengikut rakannya ponteng sekolah membawa padah, apabila menjadi mangsa rogol selepas dipukau seorang lelaki.

Sumber berkata, mangsa berusia 16 tahun dikatakan tidak sedarkan diri selepas bertentang mata dengan seorang lelaki yang juga kenalan rakannya itu, sebelum mendapati dirinya dalam keadaan tidak berpakaian dan kesakitan di rumah sewa lelaki berkenaan di Kampung Kijal, Rabu minggu lalu.


Rusuhan Bersih 3.0 - Tiga Ditahan Di Terengganu

Polis Terengganu berjaya memburu dan menahan tiga individu yang dipercayai terlibat dalam rusuhan semasa perhimpunan bertukar ganas di ibu negara pada 28 April lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata tiga lelaki terbabit adalah antara empat yang diburu di negeri ini, selepas identiti yang terlibat rusuhan itu didedahkan Bukit Aman awal bulan ini.


Sunday, May 20, 2012

Penemuan Harta Karun Di Perairan Pulau Bidong


Muzium Negeri Terengganu menyambut baik penemuan ”harta karun” yang berupa artifak seperti tempayan, takar dan pasu oleh sepasukan penyelam tempatan di Pulau Bidong dekat Kuala Terengganu pada pertengahan Mac lepas.

Pengarahnya, Mohd. Yusof Abdullah berkata, artifak yang dipercayai berusia lebih 100 tahun itu merupakan tinggalan kesan penting dari segi persejarahan bermulanya ketamadunan negeri Terengganu.

"Sebelum ini, kita menjumpai artifak-artifak seumpama ini dalam sebuah kapal di perairan Dungun,” katanya.


Payang Walk Bakal Jadi Kawasan Tumpuan Pelancong


Kerajaan negeri akan menaiktaraf beberapa jalan utama sekitar Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu sebagai kawasan pelancongan yang dikenali `Payang Walk’ tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk’ Abdul Rahin Mohd Said berkata Payang Walk akan bermula dari Pejabat Pos cawangan Terengganu, Jalan Kampung Cina hingga ke Waterfront yang dianggarkan sejauh kira-kira 2.5 kilometer.


UMT Lancar Buku 'Ahmad Said Dari Rakyat Untuk Rakyat'


Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melangkah setapak lagi dalam penerbitan buku apabila karya terbaru ‘Ahmad Said Dari Rakyat Untuk Rakyat’ dilancarkan malam tadi.

Buku tulisan bekas Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Aziz Deraman dan Dekan Fakulti Pembangunan Sosial, Prof. Madya Dr. Noraien Mansor memaparkan perjalanan hidup Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Rujukan ilmiah setebal 198 muka surat itu menceritakan sisi berbeza Dato’ Seri Ahmad yang merupakan anak kampung yang tegar dengan kepayahan hidup di masa kecil hingga berjaya mencapai menara gading.

Pendokumentasian itu merangkumi lapan bab termasuklah mengenali Ahmad Said, alam pendidikan, tapak kerjaya, pentas politik dan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Pelancaran buku itu disempurnakan Pro-Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman sambil disaksikan Ahmad Said di Palm Garden Hotel, IOI Resort Putrajaya, malam tadi. Turut hadir, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Komoo.

Dr. Ibrahim dalam ucapannya menyeru warga universiti itu lebih giat dalam menghasilkan karya-karya ilmiah dan bukan ilmiah di samping melibatkan diri dalam penerbitan kritis dan mencabar.

“UMT di bawah naungan dan kerjasama Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (Mapim) akan terus berusaha menyahut seruan badan itu untuk meningkatkan kadar penerbitan 10 peratus setahun.

“Ia selaras dengan hasrat negara mensasarkan bilangan penerbitan buku sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada jumlah penduduk,” kata beliau.

Tambahnya, buku itu bukan sahaja berjaya menterjemah latar belakang dan penitian kehidupan peribadi Menteri Besar, malah ia begitu unik dengan untaian pantun yang dicipta khas oleh kedua-dua pengarang itu.

“Tajuk buku itu sendiri sudah cukup untuk menterjemahkan kehidupan Ahmad Said yang begitu dekat dengan rakyat,” jelasnya.

Terkejut Melihat Aksi Seks Adik di Kampung Jerebun

Seorang wanita terkedu apabila menyaksikan aksi seks adik lelakinya dengan seorang remaja perempuan di atas buaian berhampiran rumahnya di Kampung Jerebun, Hulu Besut pada 25 April lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian kira-kira jam 6 petang itu turut mengejutkan pasangan itu yang asyik berasmara di atas buaian.

Dua Kawasan Baru Homestay Dibuka Di Terengganu

Homestay Teluk Ketapang Yang Terkenal di Terengganu ketika ini.
Sebanyak dua lagi kawasan baru homestay di negeri ini akan didaftarkan di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia pada penghujung tahun ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu, Encik Mohd Sabri Zakaria berkata, dua kawasan tersebut itu ialah Felda Keruak di Besut sebanyak 19 peserta dan Persatuan Homestay Nelayan Kijal di Kemaman membabitkan 10 peserta.


Lelaki Mudah Hidap Penyakit Barah Hati

Seramai 2.5 juta rakyat Malaysia dikesan menghidap penyakit barah hati dan majoriti adalah lelaki, menurut statistik yang dikeluarkan Yayasan Hepar Malaysia.

Presidennya, Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican berkata, Sabah dan Sarawak mencatatkan kadar tertinggi di seluruh negara bagi penyakit hepatitis B, manakala Kelantan pula mencatatkan kadar tertinggi bagi hepatitis A. "Hepatitis B ini berjangkit dari ibu kepada anak, perkongsian jarum suntikan dadah dan darah.


Sejauh Mana Lagikah Fatwa Gila Pemimpin PAS Mahu Menyesatkan Umat Islam?


Oleh Aqil Farhan Rafiqin (blog AsalBersamaUmno)

ABU  tidak pandai mahu menghukum atau memfitnah.

Kita dilarang memfitnah tetapi kalau dah berlebih menghukum sesama Islam, terpaksa juga bangkit untuk menyatakan yang dirasakan BENAR.

Semalam, Musyridul Am PAS buat hal lagi.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi lagi kenyataan yang pernah dibuat beberapa kali sebelum ini bahawa mengundi Barisan Nasional (BN) tidak akan masuk syurga. 

Tidak akan masuk syurga. Kalau undi DAP dan PKR tu hamper-hampir dan ada can lah tu.

Nik Aziz mengulangi fatwa gila ni untuk membuktikan bahawa pakatan PAS dan sekutu ‘kafir harbi’ DAP dan PKR itu sebagai boleh dan pengikutnya mungkin ‘layak masuk syurga’.

Bagi Nik Aziz, BN bukan parti yang berteraskan Islam, sebaliknya membawa unsur nasionalisme yang tidak diajar oleh Nabi Muhammad. “Undi BN tidak undi Islamlah. Dasar BN dasar kebangsaan. Kebangsaan tidak boleh bawa manusia ke syurga kerana kebangsaan ini bukan ajaran Nabi Muhammad saw,” katanya.

Kenyataan bersifat fatwa ini diperkatakan Nik Aziz kepada pemberita ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Ibai di Kuala Terengganu semalam.

Yang menghairankan pemimpin PAS Terengganu seperti Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, timbalannya, Datuk Tengku Hasan Tengku Omar dan pimpinan PAS peringkat kawasan mengiakan kenyataan Nik Aziz itu.

Benarlah apabila beberapa pemimpin, khususnya Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengatakan PAS parti ajaran sesat.

Apa tidaknya?

Nik Aziz menyesatkan dan begitu juga Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui fatwanya turut menyesatkan umat Islam.


Ini bermakna dalam PAS kini ada dua pemimpin utamanya yang menyesatkan umat Islam secara ketara.

Nik Aziz menghukum orang Islam undi BN tidak masuk syurga sementara Hadi pula memecahbelahkan umat Islam di Malaysia melalui fatwanya yang menjadikan sembahyang dua imam, sembelihan orang Islam tidak boleh dimakan, pasangan terpaksa bercerai jika pernikahan dibuat oleh imam bukan PAS dan banyak lagilah.

Sewajarnya apabila ada persetujuan untuk bermuzakarah sesama Islam, Nik Aziz meletakkan di belakang dahulu soal parti politik atau kerjasama PAS dengan DAP dan PKR.

Tetapi ini tidak.

Nik Aziz menunjukkan dendam dan kebenciannya yang mendalam kepada UMNO dan BN apabila mengulangi faktwanya seperti di atas selain meletakkan syarat ‘gila babi’ yang memang tidak masuk akal.

Lebih jauh, Nik Aziz turut menyatakan Umno perlu bersedia untuk menerima parti-parti lain dalam pakatan rakyat iaitu - PKR dan DAP sekiranya masih memasang niat untuk menjalin kerjasama politik dengan Pas.

Nik Aziz berkata,UMNO  wajar menerima ketiga-tiga parti dalam PR memandangkan PAS bukan lagi berseorangan ketika ini dan keputusan perlu dibuat bersama PR.

Beliau meletakkan syarat agar UMNO menukar dasar parti itu terlebih dahulu sebelum mengadakan sebarang usaha ke arah penggabungan antara dua parti.

 “Saya sebut lama dah. Kalau UMNO nak bersatu, parti itu perlu menukar dasar kebangsaan kepada Islam. Ia bukan keputusan seorang tetapi kena buat secara rasmi (bersama PR). UMNO (perlu) tukar dasar daripada kebangsaan kepada Islam secara rasmi. “Kedua, UMNO kena terima PAS sekali dengan pakatan kerana kami sudah ada Pakatan dan Pakatan tidak buat khianat kepada kami. Maka lepas kami (PAS) bersatu dengan UMNO dan selepas UMNO ubah dasar dia, barulah boleh bersama dengan pakatan,” katanya.

Melihat kepada kenyataan Nik Aziz itu, benarlah rumusan seperti yang disebut oleh Hambali Abdul Latiff melalui blognya bahawa:

“Yang pasti kalau PAS tetap dengan keputusan Nik Aziz, kedua-dua parti tidak akan ke mana-mana. Hanya ada dua sahaja kemungkinan. Pertama PAS pujuk atau paksa Nik Aziz jangan meletakkan syarat - rasanya amat sukar. Kedua tunggu Nik Aziz mati dan pemimpin lain tidak meletakkan syarat seperti Nik Aziz barulah UMNO - PAS duduk semeja!!!

Apabila Final Piala FA Jadi Medan Politik Pembangkang...

Penyokong Kelantan menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan ke atas kempen menuntut royalti dan memboikot Petronas menjelang final Piala FA semalam,
Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan gabungan 77 pertubuhan bukan kerajaan dari Terengganu, Selangor, Kelantan dan Kuala Lumpur mengadakan kempen menuntut royalti minyak dan memboikot Petronas ekoran pertikaian berkenaan isu itu di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Setiausaha Media Gegar, Mohd Hishamuddin Ghazali berkata, kempen itu diadakan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang perlawanan akhir Piala FA. Kempen yang bermula semalam akan berakhir pagi ini.

Nik Aziz Cadang Muzakarah Sebelum PRU-13, Letak Beberapa Syarat


Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mencadangkan muzakarah bersama UMNO diadakan sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan UMNO perlu mematuhi beberapa perkara yang akan ditentukan oleh PAS sekiranya ingin bersatu dan mencapai kesefahaman.

Piala FA Kekal Di Pantai Timur - Kelantan Juara



Kelantan mengukir sejarah apabila berjaya menamatkan penantian selama 22 tahun untuk menjulang Piala FA buat kali pertama, setelah menewaskan pasukan berstatus kelab, Sime Darby 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam semalam.

Piala FA yang sebelum ini menjadi milik Terengganu terus kekal di Pantai Timur apabila Kelantan menang bergaya di hadapan kira-kira 85,000 penonton.



Muzakarah Umno-Pas Tidak Patut Dihalang

Pemimpin tertinggi Pas yang berbeza pendapat dengan Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kesediaannya mengadakan muzakarah dengan Umno tidak seharusnya menghalang muzakarah diadakan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata muzakarah memberi peluang kepada kedua-dua parti menyatakan pendapat dan mencari jalan menyatupadukan umat Islam yang berpecah akibat fahaman politik.

"Nik Aziz boleh bagi pendapat dia dan pemimpin lain dalam Pas tidak patut halang," kata Dr Mahathir kepada pemberita semasa diminta mengulas percanggahan pandangan Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dengan Nik Aziz dalam isu itu.

Kempen Kebersihan Di Kawasan Gunung, Pantai Dan Sungai Di Terengganu

Sempena kempen 1Malaysia Green & Clean (1MG 1MC), Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu akan melancarkan empat program kempen kebersihan mulai Sabtu hingga November ini.
 
Pengarahnya Sabri Zakaria berkata kempen tahun ini memberikan tumpuan kepada kawasan gunung, pantai dan sungai di negeri ini berbanding pada tahun lepas yang menumpukan pada pulau dan lokasi peranginan.


IKIM, WWF Bakal Lancar Buku Pulihara Alam Sekitar Ikut Perspektif Islam

Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia) akan melancarkan buku panduan pemuliharaan alam sekitar serta hidupan liar mengikut perspektif Islam, Julai ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dalam satu kenyataan berkata melalui buku itu, Ikim ingin menekankan permasalahan alam sekitar serta hidupan liar yang mempunyai hubung kait dengan ajaran Islam.