Friday, June 28, 2013

BN Perlu Menang Untuk Elak DUN Tergantung

Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai pilihan melainkan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut untuk mengelakkan keadaan DUN tergantung di Terengganu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pertarungan sengit dijangka mengambil tempat dalam pilihan raya kecil itu memandangkan kerusi DUN tersebut terletak di sempadan Kelantan dan Terengganu.

"Pemimpin pembangkang termasuk dari Kelantan dijangka turun untuk berkempen, saya turut mendengar khabar bahawa pembangkang akan meletakkan calon yang terkenal.

Hujan Diramal Beberapa Hari Mulai Sabtu, Monsun Barat Daya Dijangka Hingga September

Hujan diramal berlaku di beberapa tempat di persisiran pantai Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor mulai awal pagi Sabtu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

JMM dalam kenyataan pada Khamis berkata untuk beberapa hari akan datang, angin bertiup dari arah barat ke barat daya dengan kelajuan antara 10 dan 20 kilometer sejam.

"Negara masih lagi mengalami Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga September depan," menurut kenyatan itu.

Responden Diberi Tempoh Seminggu Untuk Fail Bantahan Awal


Mahkamah Pilihan Raya di Kota Bharu, menetapkan 18 Julai ini bagi pengurusan kes petisyen pilihan raya bagi Parlimen Ketereh dan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Air Lanas, Kok Lanas, Mengkebang dan Manek Urai.

Hakim Pilihan Raya Datuk John Louis O'hara menetapkan tempoh seminggu mulai hari ini untuk pihak responden memfailkan bantahan awal terhadap petisyen itu.

PAS memfailkan petisyen bagi mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lepas tidak sah bagi Parlimen Ketereh, PAS memfailkan petisyen bagi DUN Air Lanas dan Kok Lanas manakala Barisan Nasional (BN)memfailkan petisyen bagi DUN Mengkebang dan Manek Urai.

Malindo Air Adakan Penerbangan Ke Alor Setar, K.Terengganu, Langkawi Mulai 1 Ogos

Malindo Air mengumumkan bahawa perkhidmatan baharunya ke Alor Setar, Kuala Terengganu dan Langkawi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah akan bermula pada 1 Ogos.

Perkhidmatan ini akan menggunakan pesawat ATR72-600 baharu syarikat itu, katanya dalam satu kenyataan. Perkhidmatan yang menghubungkan Subang dengan Alor Setar ialah dua kali sehari, manakala di antara Subang dan Kuala Terengganu serta Langkawi sekali sehari.

Umno Disaran Laksana Perubahan Tawan Golongan Muda - Mubarak

Umno perlu melaksanakan perubahan termasuk menggunakan pendekatan baharu yang mampu menawan golongan muda yang kebanyakannya berpendidikan tinggi dan celik teknologi maklumat.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata langkah itu juga boleh membantu Umno untuk mengetahui dan memahami kehendak golongan muda.

"Anak muda sekarang berilmu tinggi dan mahir dengan teknologi...cuba dekati mereka dengan cara lebih santai.

Thursday, June 27, 2013

Pilihan Raya Kecil Kuala Besut Dilaksana Dalam Tempoh 60 Hari Mulai Hari Ini


Pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kuala Besut di Terengganu yang bakal diadakan berikutan kematian penyandang Dr A.Rahman Mokhtar, akan dilaksanakan dalam tempoh 60 hari mulai hari ini (Khamis).

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga tidak menolak kemungkinan pilihan raya kecil itu diadakan pada Ramadan.

 "Apa pun, SPR akan bermesyuarat untuk menentukannya (tarikh penamaan calon dan pengundian)," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan dan penyampaian sijil pilihan raya umum negara ke-13 negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan malam semalam.

Berikutan kematian Dr A.Rahman akibat kanser paru-paru semalam, pilihan raya kecil pertama bakal diadakan selepas pilihan raya umum diadakan pada 5 Mei lepas.

Kawasan itu akan menjadi tumpuan sekiranya pilihan raya kecil diadakan memandangkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Terengganu dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 kerusi berbanding 14 kerusi dimenangi PAS manakala satu lagi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam pada itu, Abdul Aziz menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya SPR menipu dalam pilihan raya umum lepas sebaliknya beliau menegaskan ia diadakan secara baik dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Hari-hari kita dengar orang cakap SPR menipu sahaja. Sebenarnya perkara ini tidak benar kalau calon itu menang bukan kerana SPR tetapi itu adalah pilihan rakyat dan kalau calon itu kalah, itu bukan kerana SPR menipu itu juga pilihan rakyat," katanya.

Menurutnya mereka yang tidak berpuas hati dengan pilihan raya umum itu boleh memfailkan petisyen di mahkamah.

 Abdul Aziz berkata post mortem untuk perjalanan pilihan raya di Sabah akan diadakan hari ini.

Tahan Segera Pemilik Akaun Facebook Hina Nabi

Barisan kepimpinan Pemuda Umno Bahagian Kemaman menunjukkan salinan laporan polis berhubung kes hina Nabi Muhammad dan Islam dalam laman sosial.

Susulan penghinaan terbaru yang amat teruk kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan Islam di laman sosial Facebook, barisan kepimpinan Pemuda Umno seluruh Bahagian Kemaman membuat laporan polis agar pemilik akaun itu ditangkap segera.

Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Chukai, kira-kira jam 5.45 petang kelmarin, sekali gus menjadi laporan polis pertama yang dibuat terhadap kes itu di Kemaman, setakat ini.

Petisyen : BN Mohon Tafsiran Mahkamah Persekutuan


Barisan Nasional (BN) akan memohon interpretasi Mahkamah Persekutuan berhubung Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan untuk memudahkan permohonannya dalam petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Batu.

Peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili calon BN Dr Dominic Lau Hoe Chai, memberitahu pemberita beliau akan turut membangkitkan bantahan awal berhubung status Tian Chua sementara menunggu keputusan permohonannya bagi mahkamah tertinggi itu untuk menginterpretasi Perkara berkenaan.

Perkara 48 menyatakan seseorang dibatalkan daripada menjadi anggota parlimen jika beliau disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman tidak kurang daripada penjara setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.

Isu "Perlekeh" Institusi Diraja Hangatkan Parlimen


Tindakan sesetengah pihak yang seolah-olah memperlekeh dan tidak menghormati institusi diraja menghangatkan Dewan Rakyat hari ini, sehingga ada yang mencadangkan akta khusus diwujudkan bagi membolehkan tindakan diambil sebagai pengajaran kepada mereka yang bersalah.

Cadangan itu disuarakan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang penuh bersemangat menggesa akta khas digubal agar tindakan tegas, termasuk hukuman penjara, dikenakan terhadap mereka yang didapati menghina institusi diraja.

"Saya cadang diwujudkan Akta Derhaka supaya tindakan boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong...mana-mana orang yang menghina kenakan hukuman tegas termasuk dipenjara," katanya ketika mencelah perbahasan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.



Malaysia Belum Terima Keputusan Rasmi Pengurangan Kuota Jemaah Haji

Malaysia masih belum menerima keputusan rasmi berhubung pengurangan 20 peratus kuota jemaah haji negara tahun ini daripada kerajaan Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Berikutan itu, katanya Lembaga Tabung Haji (TH) belum boleh mengeluarkan senarai akhir jemaah haji Malaysia tahun ini.

"Kuota jemaah haji merupakan hak mutlak kerajaan Arab Saudi. Selagi mana kerajaan Aran Saudi tidak mengeluarkan hitam putih, maksud saya kuota yang sebenar, maka kita tidak boleh bergerak melebihi landasan.

Shahrirr Samad Pengerusi Baru BNBBC

Ahli Parlimen Johor Baharu, Tan Sri Shahrir Samad dipilih sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) bagi penggal Parlimen ke-13.

Pemilihan Shahrir dibuat sebulat suara dalam mesyuarat BNBBC pada Selasa selepas pembukaan mesyuarat pertama, penggal pertama Parlimen ke-13 oleh Yang Di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Sebelum ini bagi penggal Parlimen ke-12, BNBBC dipengerusikan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Tiong King Sing. Shahrir yang ditemui di lobi Parlimen pada Rabu mengesahkan mengenai pemilihan tersebut.

Suspek Kes Dera Tiga Beradik Direman Empat Hari

Pasangan suami isteri yang dipercayai terlibat dalam kes dera kanak-kanak tiga beradik direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Rosli Ahmad di mahkamah Kuala Terengganu semalam.

Kedua-dua suspek yang merupakan ibu kandung serta bapa tiri mangsa disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Anwar Dibidas Anjur Black505 Ketika Jerebu


Datuk Seri Anwar Ibrahim dibidas kerana tidak sensitif dengan masalah kesihatan rakyat apabila menyokong dan menggalakkan penyokong pembangkang menyertai perhimpunan Black 505di Padang Merbok Sabtu lalu.

Malah Ketua Pembangkang itu diibaratkan mengamalkan pendirian berat berat sebelah apabila menyalahkan kerajaan yang kononnya gagal menangani masalah jerebu yang melanda negara sejak minggu lalu.

"Permatang Pauh tidak langsung prihatin kepada masalah jerebu apabila bersetuju dan mengarahkan orang ramai berhimpun di Padang Merbok.

Jerebu Jadi Punca Kanser Paru-Paru?


Orang ramai yang terdedah kepada keadaan berjerebu dalam tempoh lama berisiko menghidap penyakit kanser selain penyakit lain seperti gatal kerongkong, batuk dan sukar bernafas.

Pakar perunding perubatan Pusat Perubatan Kajang Plaza di Kajang, Datuk Seri Dr. Zulkornain Ahmad berkata, udara ketika jerebu amat berbahaya kerana ketika bernafas, manusia bukan sahaja menyedut gas oksigen tetapi termasuk bahan-bahan asing yang terkandung dalam udara terus memasuki paru-paru.

Kata beliau, bahan-bahan asing yang berupa sisa toksik yang terkandung dalam jerebu itu kemudian merangsang perkembangan sel-sel kanser di dalam tubuh manusia.

Pembernihan Awan Hasilkan Hujan di Perak, Selangor

Operasi pembenihan awan yang dilaksanakan hari ini bagi menangani masalah jerebu berjaya menghasilkan hujan di beberapa kawasan di Perak dan Selangor.

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) dalam kenyataan hari ini berkata hujan didapati di kawasan Ipoh, Rawang, Batang Kali dan Kuala Selangor selepas pembenihan dilakukan dalam operasi bermula pada 1.30 petang dan berakhir 3 petang menggunakan pesawatC130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). 

Speaker Akan Maklumkan Kekosongan Kerusi DUN Kuala Besut Kepada SPR Hari Ini

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Mohd Zubir Embong akan menghantar surat makluman mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kuala Besut kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok, untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata kekosongan kerusi itu berlaku berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pukul 10.18 semalam,  akibat kanser paru-paru.

"Esok (hari ini) saya akan menyerahkan surat warta kekosongan kepada SPR Terengganu untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari selepas ia diwartakan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.

13 Pelajar TESDEC Bakal Jadi Tenaga Mahir Dalam Bidang Kimpalan Bawah Air


Kecemerlangan 13 pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) yang kini mengikuti kursus Kimpalan Bawah Air di Perth Australia membuktikan kejayaan pusat kemahiran itu melahirkan tenaga mahir dalam bidang teknikal bagi industri minyak dan gas.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec Mohd Mahdi Musa berkata kesemua pelajar dari Terengganu itu menjalani kursus tiga bulan termasuk dua bulan bagi tahap satu dan dua di Tesdec dan bulan terakhir iaitu tahap tiga di Australia.

Jenazah ADUN Kuala Besut Selamat Dikebumi


Azizah N. Omar menyiram air mawar ke atas pusara suaminya, Adun Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar di tanah perkuburan islam Kampung Teluk Bayu di Besut, semalam.
Jenazah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr A. Rahman Mokhtar yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pagi semalam selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Teluk Bayu petang semalam.

Antara yang mengiringi jenazah ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said. dan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Anggota Parlimen Besut.

Turut hadir menziarahi jenazah ialah Timbalan Menteri Kewangan yang juga Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan pemimpin Pas Datuk Husam Musa.

Wednesday, June 26, 2013

Titah Yang Di-pertuan Agong Di Dewan Rakyat Bukan Arahan - Anwar


"Dalam amalan demokrasi berparlimen, titah (Yang di-Pertuan) Agong bukan arahan, ia adalah untuk dibahaskan. Kalau arahan buat apa nak dibahaskan. Tuanku berucap berdasarkan usul Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), kita akan pertimbangkan di Parlimen dan bahas."
 - Datuk Seri Anwar Ibrahim

Reaksi beberapa anggota Parlimen mewakili pakatan pembangkang dilihat seolah-olah mempersoal titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam ketika merasmikan pembukaan Penggal Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, titah Seri Paduka itu "boleh dibahas, dipertikai dan dibantah daripada segi hujah kerana fakta yang dikemukakan adalah dari kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Dalam amalan demokrasi berparlimen, titah (Yang di-Pertuan) Agong bukan arahan, ia adalah untuk dibahaskan. Kalau arahan buat apa nak dibahaskan.

"Tuanku berucap berdasarkan usul Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), kita akan pertimbangkan di Parlimen dan bahas," kata Anwar, yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh, kepada pemberita selepas majlis perasmian itu.

Antara lain, Tuanku Abdul Halim menggesa semua pihak menerima dan menghormati keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) serta bekerjasama untuk membolehkan matlamat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 tercapai.

Ditanya sama ada pembangkang akan terus mengadakan apa yang dipanggil perhimpunan 'Blackout 505' untuk mempertikai keputusan PRU13 berikutan titah Tuanku Abdul Halim itu, Anwar berkata: "Ucapan itu dicadangkan oleh perdana menteri."

Anggota Parlimen Bukit Katil dari PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata titah Seri Paduka tentang keputusan PRU13 "merupakan pendirian kerajaan BN dan keputusan PRU itu boleh dipertikai di mahkamah".

"Tidak bermakna ia (keputusan PRU13) tidak boleh langsung dipertikai melalui saluran mahkamah dan ini yang kita sedang lakukan sekarang," katanya.

Dalam pada itu, titah Tuanku Abdul Halim supaya semua pihak bekerjasama dan membuang sifat-sifat yang membawa perpecahan dan sebaliknya mencari titik persefahaman untuk mengeratkan perpaduan mendapat reaksi positif anggota Parlimen Temerloh dari PAS, Nasrudin Hassan Tantawi.

Beliau mengalu-alukan sebarang kerjasama antara kerajaan dan pembangkang asalkan ia berlandaskan Islam serta membawa kebaikan kepada rakyat. "Maksud kerjasama baik seperti diajar dalam Islam ialah yang mendatangkan kebaikan, bukan kerjasama dalam perkara yang boleh membawa mudarat dan permusuhan," kata Nasrudin.

Mengenai keputusan PRU13, Ketua Pemuda PAS itu berkata: "Kita terima keputusan PRU13 dan kerana itu pembangkang telah datang angkat sumpah (sebagai anggota Dewan Rakyat semalam)."

Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dari PKR berkata selaku pengarah perhimpunan Blackout 505, beliau tidak mempunyai rancangan untuk meneruskannya. Menurutnya, menerima keputusan PRU13 tidak bermakna menutup apa yang didakwanya sebagai "kecurangan" yang berlaku semasa pilihan raya itu. 

Anggota Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz dari PAS pula berkata kerajaan mahupun pembangkang perlu memainkan peranan berkesan dalam memastikan rakyat dan negara sentiasa membangun ke arah yang lebih baik.

Sementara itu, Anggota Parlimen Ampang dari PKR, Zuraidah Kamaruddin menyambut baik penekanan Tuanku Abdul Halim berhubung kepentingan institusi keluarga dan peranan wanita dalam memajukan negara. "Pengukuhan institusi keluarga perlu dilakukan sekarang, menteri (berkenaan) yang baharu perlu ambil langkah proaktif untuk meningkatkan guna tenaga wanita di negara ini," katanya.

Raja Perlis Pengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu kali ke-232 di Istana Negara di Kuala Lumpur

Mesyuarat dua hari bermula hari ini dihadiri semua raja Melayu kecuali Kedah yang diwakili Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Utama Tunku Annuar Sultan Badlishah, Perak oleh Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah dan Pahang oleh Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pada mesyuarat itu raja-raja Melayu diiringi menteri besar masing-masing manakala yang dipertua negeri Pulau Pinang, Sabah dan Melaka diiringi ketua menteri.

Yang Dipertua Negeri Sarawak diiringi wakil Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang juga Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dijadual berangkat menghadiri majlis santapan bagi memuliakan Majlis Mesyuarat Raja-raja Melayu kali ke-232 malam ini.

ADUN Kuala Besut, Dr A Rahman Meninggal Dunia

Al Fatihah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), kira-kira jam 10.18 pagi ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri sedang menerima rawatan rapi di HSNZ sejak Khamis lalu.

Beliau dimasukkan ke HSNZ  selepas mengalami masalah penafasan.

Jenazah akan disembahyang dan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Teluk Bayu, Kuala Besut petang ini.

Suspek Kes Dera Kanak-kanak Berusia Tujuh Tahun Diberkas, Ibu Ditahan

Keadaan mangsa yang kurus dan amat lemah ketika diselamatkan. 
Polis Terengganu semalam menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes penderaan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang diselamatkan dari sebuah rumah di Taman Perumahan Gong Badak, semalam.

Kedua-dua belah kaki mangsa yang cedera parah .
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah ACP K Manoharan berkata dalam operasi pukul 12 tengah hari di sebuah rumah awam kos rendah Gong Badak itu, polis turut menahan ibu kanak-kanak malang berkenaan.

Ketika diserbu, polis mendapati ada dua kanak-kanak dipercayai adik kepada mangsa dera, yang masing-masing berusia lima dan dua tahun setengah bersama pasangan berkenaan, katanya .

"Sebaik menerima maklumat, kita terus melakukan serbuan dan berjaya menahan suspek yang merupakan penagih tegar," katanya menambah dua kanak-kanak yang ditemui bersama pasangan itu berada dalam keadaan sihat.

Katanya ujian saringan air kencing mendapati suspek berusia 25 tahun dan ibu kanak-kanak itu yang berusia 28 tahun positif dadah jenis Methamphetamine.

Suspek yang bekerja sebagai buruh kini ditahan untuk siasatan lanjut, manakala wanita yang dipercayai isterinya serta dua kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Siasatan awal kita dapati terdapat kesan dera pada dua kanak-kanak ini dan kita masih menunggu laporan penuh dari pihak hospital berhubung kecederaan yang dialami dua beradik itu," katanya menambah ibu kanak-kanak terbabit mengalami patah tangan. 

Terdahulu hari ini, Bernama melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun bukan sahaja dipukul dan dicucuh puntung rokok tetapi juga dikurung dan dibiarkan kelaparan selama beberapa hari dalam kejadian di sebuah rumah di Gong Badak.

 Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan pasukan polis pada pukul 4.30 petang semalam, susulan laporan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) yang menerima maklumat orang awam berhubung tangisan kanak-kanak dari rumah tersebut.

Ahmad Said Hadir Mesyuarat Ke-118 Menteri Besar dan Ketua Menteri


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam  mempengerusikan Mesyuarat Ke-118 Menteri Besar dan Ketua Menteri di Bilik Mesyuarat Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Mesyuarat pada pukul 3 petang itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa serta beberapa menteri Kabinet.

Ini merupakan mesyuarat kali kedua diadakan tahun ini, dengan kali pertama pada Februari lepas, yang bertujuan menyelaras pentadbiran antara negeri selain membincangkan isu-isu berbangkit.

Mesyuarat yang kali pertama diadakan selepas pilihan raya umum ke-13 5 Mei lepas itu turut menyaksikan kehadiran ‘muka baru’ dalam senarai Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Mereka terdiri Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Perlis Azlan Man dan Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said turut hadir.

Agong Minta Pembangkang Terima Keputusan PRU13


Semua pihak harus menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada perasmian Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-13.

Seri Paduka bertitah ini kerana PRU13 telah diadakan mengikut lunas-lunas sistem demokrasi. Kesemua 222 anggota parlimen hadir pada majlis tersebut termasuk kesemua 89 anggota pembangkang yang turut mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat semalam.

Anggota pembangkang sebelum ini mengancam untuk memboikot acara berkenaan kerana membantah keputusan PRU13 atas alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dan bebas serta berlaku curang. Seri Paduka turut mengingatkan semua anggota parlimen supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menjurus kepada kemusnahan negara kerana ia membawa implikasi amat besar terhadap masa depan tanah air.

E-Learning Khas Untuk Pelajar SPM Dan STPM

Kerajaan Terengganu akan memperkenalkan formula pembelajaran e-learning khusus untuk pelajar tingkatan lima dan enam di negeri ini sebagai persiapan menghadapi peperiksaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib berkata modul itu dijangka mula dilaksanakan tahun depan untuk keperluan pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Buat masa ini kami berkerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dalam peringkat perbincangan untuk pelaksanaannya. Sekarang kita masih dalam peringkat kajian bagi melaksanakan modul baharu itu (e-learning).

T-Team Menang, Lions XII FC Semakin Hampiri Gelaran Liga Super Malaysia

Insiden pergaduhan antara pemain Perak dengan Lions Xll FC mencemarkan perlawanan Liga Super di Stadium Perak yang berlangsung malam Selasa. Pergaduhan berpunca kerana pemain Perak tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.


Negeri Sembilan semakin hampir turun beraksi ke Liga Perdana musim depan selepas kalah 1-2 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pasukan pelawat terlebih dahulu menjaringkan gol pembukaan menerusi Shahurain Abu Samah pada minit ke-28 sebelum T-Team menjaringkan dua gol masing-masing menerusi sepakan penalti Damir Ibric pada minit ke-73 dan George Boateng (minit ke-83).

Negeri Sembilan terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penyerang mereka, Ahmad Shakir Mohd Ali dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Mohd Nazri Nazarudin kerana mengasari pertahanan Terengganu, Mazlizam Mohamad pada minit ke-87.

Sementara itu, pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII FC semakin menghampiri kejuaraan Liga Super buat kali pertama walaupun terikat seri 1-1 pada perlawanan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh, Selasa malam.

Kumpulan AmBank Sumbang RM50 Ribu Untuk 50 Keluarga Miskin Di Terengganu

Kumpulan AmBank menyumbang sejumlah RM50,000 kepada 50 keluarga kurang berkemampuan dan miskin di Terengganu menerusi Program Komuniti Ambank-MyKasih.

Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasarannya Syed Anuar Syed Ali berkata kumpulan perbankan itu memperuntukkan sejumlah RM1 juta setiap tahun untuk melaksanakan program terbabit di 14 lokasi seluruh negara.

"Di bawah program ini, AmBank menyediakan elaun sebanyak RM80 sebulan untuk setiap keluarga. Elaun ini bertujuan membantu membiayai kos barangan makanan harian mereka seperti gula, beras, tepung, susu dan minyak masak.

Sukma 2013 Medan Mencabar Kemampuan Kontinjen Terengganu

Kontinjen Terengganu menyifatkan sukan Malaysia (Sukma) 2013 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari Jumaat ini hingga 7 Julai sebagai medan yang bakal mencabar kemampuan mereka sebagai juara empat kali berturut-turut.

 Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Rozi Mamat berkata ini berdasarkan hakikat beberapa acara yang menjadi tunggak kekuatan kontinjen negeri sebelum ini seperti sukan basikal, kenu dan sukan berkuda tidak dipertandingkan pada temasya kali ini.

"Kontinjen Terengganu kini mengejar kejuaraan kelima berturut-turut demi maruah negeri yang pernah dianggap lemah dalam bidang sukan suatu ketika dahulu," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama atlet Sukma Terengganu di kediamannya di Hulu Terengganu.

Kanak-Kanak Mangsa Dera Kritikal Tapi Stabil - Pengarah Kesihatan

Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pukul 9 malam Isnin akibat didera dilapor kritikal tetapi masih stabil.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata pemeriksaan terhadap kanak-kanak lelaki itu mendapati buku lalinya seolah-olah dirantai manakala kakinya didapati melecur akibat terkena air panas.

"Berdasarkan kesan luka di badannya, ada kemungkinan kanak-kanak itu sudah didera dalam tempoh yang agak lama dan berlanjutan, mungkin dua atau tiga bulan lepas.

Dr A Rahman Kini Stabil di ICU HSNZ

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Dr A Rahman Mokhtar (gambar) yang dimasukkkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak Khamis lalu, dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut dimasukkan ke HSNZ selepas mengalami masalah pernafasan.

Perkara itu disahkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat negeri, Mahdi Musa yang meluangkan masa masa melawat beliau, kira-kira jam 1 petang semalam.

500 Topeng Muka Diagihkan di Terengganu, Penduduk Lembah Klang Turut Dapat Topeng Muka Percuma

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mengagihkan 500 topeng muka secara percuma kepada pengguna jalan raya di Kuala Terengganu, semalam manakala sebanyak 1,000 lagi akan diagihkan di Dungun dan Kemaman hari ini.

Pengarahnya Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata selain itu sebanyak 5,000 nashkah bahan pendidikan kesihatan mengenai jerebu sudah diedarkan ke tempat-tempat tumpuan awam manakala 5,000 nashkah lagi akan diagihkan dalam tempoh terdekat

Sementara itu, penduduk di Lembah Klang boleh mendapatkan topeng muka jenis N95 secara percuma di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan mulai semalam.

RISDA Terengganu Jangka Proses Tanam Semula Selesai Oktober Ini

Risda Terengganu menjangka proses tanam semula di negeri ini akan selesai sepenuhnya menjelang Oktober ini.

Pengarah Risda negeri Zakaria Mat Zin berkata setakat ini kira-kira 70 peratus kebun yang dijadual tanam semula sudah berbuat demikian.

"Kita ada 1,150 hektar kebun getah untuk tanam semula tahun ini dan sehingga Mei lepas, 663 hektar atau hampir 60 peratus telah dibayar elaun tanaman semula" katanya di Kuala Terengganu.

80 Anggota, Pegawai Bomba Sedia Bantu Padam Kebakaran Di Indonesia

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu sedia menghantar bantuan bagi memadamkan kebakaran hutan di Indonesia yang menyebabkan keadaan jerebu di sekitar Asia Tenggara.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata setakat ini, seramai 80 pegawai dan anggota Bomba disenarai bagi misi bantuan itu.

 Beliau berkata pihaknya kini hanya menunggu arahan ibu pejabat untuk berlepas ke Indonesia.

Kawasan IPU Tinggi Mulai Terima Hujan

Hujan dilaporkan di beberapa kawasan yang merekod Indeks Pencemaran Udara (IPU) tinggi termasuk di Shah Alam, Selangor petang semalam.

Jurucakap Jabatan Meteorologi berkata Petaling Jaya, Subang Jaya dan beberapa kawasan di Perak juga mengalami hujan petang ini dan ia dijangka berterusan hingga malam.

Turut mengalami hujan ialah Muar, kawasan yang diisytihar darurat jerebu Ahad lepas.

Tuesday, June 25, 2013

Peruntukan BR1M Ditambah Bergantung Kedudukan Kewangan - PM


Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan ditambah nilai peruntukannya pada Belanjawan 2014 yang akan dibentang pada Oktober, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya kerajaan komited untuk menyediakan belanjawan terbaik untuk rakyat dan perlu terlebih dahulu melihat kedudukan tahunan kewangan negara.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut menyasarkan untuk menurunkan defisit negara dari 4 peratus kepada 3.5 peratus pada 2014 dan seterusnya kepada 3 peratus pada 2015.

Tegas Perdana Menteri, keutamaan kerajaan pada Parlimen ke-13 yang mula bersidang hari ini adalah kepada usaha-usaha untuk menunaikan AkuJanji Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

"Perbincangan tentang Bajet 2014 akan bermula minggu depan. Saya bagi pihak kerajaan berbesar hati untuk menjemput rakyat jelata menyuarakan pandangan serta pendapat bernas berhubung pelan belanjawan negara untuk tahun depan," katanya dalam entri terbaharu blog beliau hari ini

 "Sesungguhnya kami komited untuk terus mendengar suara rakyat, dan kami akan meletakkan kepentingan rakyat jelata sebagai teras kukuh dalam rangka perbelanjaan tahunan negara," katanya.

Najib berkata demokrasi berperlembagaan yang selama ini diamalkan di negara ini jelas semakin subur dan sihat, dan rakyat sudah bertambah matang dalam membuat pilihan serta menjaga dan mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi.

"Keputusan PRU13 menjadi bukti bahawa amalan demokrasi begitu subur dan matang di negara kita ini," katanya.

Katanya persidangan Dewan Rakyat kali ini menyaksikan penyertaan lebih ramai anggota Parlimen muda yang boleh membawa aspirasi dan semangat golongan muda yang membentuk lebih daripada 40 peratus daripada jumlah pengundi berdaftar negara.

Sambil menyifatkan ia satu perkembangan yang sihat, beliau berkata golongan muda adalah penggerak sosio-ekonomi negara yang tidak boleh dipinggirkan sama sekali dalam usaha membangunkan ibu pertiwi. Mengucap tahniah kepada anggota Parlimen yang telah dipilih oleh pengundi berdaftar dalam PRU13, Najib berkata anggota Parlimen adalah anggota Majlis Perundangan Persekutuan yang juga dikenali sebagai Dewan Rakyat.

"Dewan Rakyat bertanggungjawab untuk mencadang, membahas, merangka serta meluluskan rang undang-undang demi kepentingan bersama seluruh rakyat jelata.

"Anggota Parlimen juga memegang peranan untuk mengkaji pelan ekonomi, bajet kerajaan serta mengkaji undang-undang sedia ada demi memperbaikinya, dan kami juga perlu mendapat maklum balas rakyat dari kawasan parlimen yang diwakili masing-masing," katanya.

Katanya beliau yakin sebagai anggota Parlimen, mereka mampu berbahas secara berhemah dan tertib serta perlu menyumbangkan idea serta pendapat yang bernas demi kepentingan rakyat.

"Kita berharap supaya anggota Parlimen komited memberikan penyertaan yang aktif agar sesuatu perbahasan boleh dijalankan dengan efisien dan bermanfaat," katanya.

Beliau turut menyeru kepada semua anggota Parlimen untuk sama-sama bekerja keras demi membangunkan negara yang dicintai kerana rakyat bergantung harapan kepada mereka.

"Bagi pihak diri saya sendiri dan kerajaan BN, saya panjangkan rasa penghargaan kepada rakyat yang telah memberikan mandat kepada saya dan BN untuk terus mentadbir negara.

"Sesungguhnya kepercayaan yang anda berikan tidak sama sekali akan disia-siakan oleh barisan pemimpin di bawah tunjang kepimpinan BN," katanya

Jerebu - Apabila Jari Dituding Kembali ke Malaysia


Oleh Piarapakaran S (Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Setelah lebih 20 tahun, Malaysia masih merana kerana jerebu yang berasal dari Indonesia akibat pembukaan tanah.

Kita telah menggunakan segala saluran diplomatik untuk menyelesaikan hal ini melalui pendekatan ASEAN. Adakah kita telah berjaya?

Jika di seberang sempadan kita, sebuah syarikat melepaskan gas toksik dan beberapa ratus rakyat Malaysia yang mati, adakah akan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kerajaan Malaysia berdiam diri?

Begitu juga, kejadian jerebu ini disebabkan pencemaran oleh industri pertanian.

Makmal Politik Ditubuhkan Cadang Perubahan kepada BN


Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam memutuskan penubuhan makmal politik bulan depan untuk membuat cadangan khusus mengenai perubahan yang perlu dilakukan kepada parti gabungan itu.

Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata makmal berkenaan akan melihat sama ada perubahan itu melibatkan struktur, penjenamaan atau dasar BN atau ketiga-tiganya sekali. Katanya langkah itu bagi memastikan BN terus berjaya pada masa akan datang.

"Dengan mengambil kira senario politik peringkat kebangsaan dan pencapaian BN serta aliran trend yang dapat kita lihat pada pilihan raya umum lepas, Dewan Tertinggi mengambil ketetapan supaya sebuah makmal politik dikendalikan pada Julai ini.

PM Akan Umum Bonus Lebih Sebulan Gaji Kepada Penjawat Awam



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan membuat keputusan berhubung pemberian bonus untuk penjawat awam tahun ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata keputusan itu akan dibuat Najib selaku Menteri Kewangan sempena pembentangan Belanjawan 2014 yang dijadual 25 Oktober ini.

"Saya rasa kerajaan akan membuat keputusan bila kerajaan buat bajet(pembentangan Belanjawan 2014), PM sendiri akan buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.

Jakarta Harus Bertindak Terhadap Syarikat Yang Mengakibatkan Jerebu

Putrajaya mahu Jakarta mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat yang menyebabkan jerebu, tanpa mengira pemilikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan menghantar surat kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menggesa kerajaan Indonesia untuk bertindak terhadap pesalah-pesalah.

"Tidak kira sama ada syarikat-syarikat milik Malaysia, Singapura atau Indonesia. Tindakan perlu diambil terhadap mereka yang menyebabkan jerebu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

Husam Dibebas Dengan Ikat Jamin

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa hari ini dibebaskan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada kira-kira jam 5 petang ini dengan jaminan RM3,000.

Menurut peguamnya, Hisham Fauzi, Husam dibebaskan dengan jaminan polis selama sebulan.

"(Dibebas dengan) jaminan polis untuk sebulan dan dengan surat penjamin dan RM3,000. Kalau nak dakwa pun mungkin dalam tempoh itu. Tapi tak tahu lagi (didakwa atau tidak).

"Sama ada siasatan disambung atau tak kita tak ada masalah dan kita boleh bawa Datuk Husam untuk beri keterangan lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Pembakaran Terbuka Di Riau Bukan Perbuatan Syarikat Malaysia


Syarikat-syarikat Malaysia tidak terlibat dengan sebarang pembakaran terbuka di kawasan ladang sawit di Riau, yang telah menjejaskan dengan teruk kualiti udara di sebahagian wilayah di Semenanjung Malaysia dan Singapura, kata Persatuan Pelabur Perladangan Malaysia di Indonesia (APIMI).

Setiausaha Eksekutif Apimi Nor Hazlan Abdul Mutalib berkata walaupun ada kejadian pembakaran terbuka dalam kawasan ladang sawit milik syarikat dari Malaysia, ia dilakukan oleh pekebun kecil di kawasan tanah yang mereka usahakan sendiri.

"Ingin saya maklumkan bahawa di dalam ladang milik syarikat Malaysia (Inti- atau pemilik ladang) telah diperuntukkan sebanyak 20 peratus untuk masyarakat di sekitar ladang Inti yang dimiliki oleh syarikat Malaysia itu.

Jerebu - Pemuda Umno Serah Bantahan Kepada Kedutaan Indonesia

Pemuda Umno semalam menyerahkan satu memorandum kepada kedutaan Indonesia di sini yang menggesa kerajaan republik itu mengawal dan memadam kebakaran hutan yang menyebabkan Malaysia teruk dilanda jerebu sejak awal minggu lepas.

Pergerakan itu juga menyeru pihak yang bertanggungjawab bagi pembakaran terbuka di Indonesia disiasat dan dikenakan hukuman berat, sejajar dengan undang-undang negara itu.

"Dengan ini, kami menuntut agar kerajaan Indonesia menimbang secara berhemah dan serius berhubung perkara ini. "Kami meminta kerajaan Indonesia meratifiksikan Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan yang berkuat kuasa mulai 2003," kata pergerakan itu dalam memorandum berkenaan.

Cuepacs Minta Kerajaan Urus Semula Pinjaman Perumahan Penjawat Awam

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mengambil alih kemudahan pinjaman perumahan untuk penjawat awam daripada bank komersil. 

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ini berikutan kebimbangan anggota Cuepacs bahawa polisi baharu itu akan membebankan kedudukan kewangan peminjam.

"Kami memutuskan ia mesti diurus oleh Bahagian Pinjaman Perumahan. Kita tidak mahu ia diagih kepada bank komersil kerana ramai bimbang akan terdapat bermacam-macam caj yang mungkin dikenakan oleh bank komersial nanti," katanya selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Pertama Koperasi Penjawat Awam 1Malaysia Berhaddi Kuala Lumpur,semalam.

Jerebu - Presiden Indonesia Minta Maaf Kepada Malaysia & Singapura


Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono meminta maaf kepada Malaysia dan Singapura yang dilanda jerebu sehingga menjejaskan kualiti udara kedua-dua negara itu akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Sumatera.

"Atas apa yang terjadi ini, selaku presiden saya meminta maaf dan pengertian saudara-saudara kami di Singapura dan Malaysia," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Presiden di Jakarta  malam semalam.

"Tentu, tidak ada niat Indonesia atas apa yang terjadi," katanya.

Yudhoyono berkata pada masa ini kawasan yang terlibat dengan kebakaran itu iaitu Jambi, Bengkulu, dan Riau ditetapkan sebagai daerah bencana berstatus darurat, dan kerajaan pusat mengerahkan tenaga secara maksimum untuk menangani bencana itu.


Beliau berkata Indonesia bertanggungjawab penuh untuk mengatasi masalah itu dan beliau yakin ia akan dapat diatasi dengan segera.

Yudhoyono berjanji bahawa Indonesia akan berusaha memadamkan titik-titik api yang membakar hutan Indonesia dengan melakukan hujan buatan melalui pembenihan awan selain mengerah pasukan pemadam kebakaran di darat termasuk menggunakan tenaga anggota tentera.

Pada sidang akhbar itu Presiden Indonesia itu turut menyindir beberapa pegawai kerajaan republik itu yang menyebut nama syarikat perladangan yang dipercayai menyebabkan kebakaran itu, yang katanya tidak seharusnya mereka lakukan.

"Dari apa yang saya pantau setiap hari, ada pernyataan dari sejumlah pegawai yang menurut saya tidak semestinya disampaikan seperti itu," katanya.

Beliau berkata syarikat berkenaan belum dipastikan terlibat dalam pembakaran itu dan para pegawai kerajaan harus menghindari daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Kalau ada syarikat lalai, apa lagi menyebut namanya jelas tidak diperlukan seperti itu. Sama halnya menyebutkan syarikat asing yang dimiliki negara jiran kita, itu juga tidak diperlukan," katanya.

Apa yang lebih penting pada masa ini ialah tumpuan kepada usaha mengatasi bencana kebakaran dan asap yang sudah berlarutan selama seminggu ini, katanya.