"Jika Anwar cuba membersihkan Hadi daripada dikenakan hukuman kerana ‘membuat fitnah terhadap calon PKR’, Hadi juga boleh ‘membersihkan Anwar’. Jalan terbaik ialah mengajak Anwar bersumpah al-Quran dalam mana-mana masjid agar keraguan dapat dihapuskan."
Apabila PAS mengatakan akan terus memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didapati bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan - apakah ia tidak percaya atau yakin dengan keputusan Mahkamah Rayuan?
Apakah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap yakin Anwar tidak melakukan perbuatan laknat itu?
Apakah Hadi lebih meyakini keterangan peguam Anwar dan menganggap ini semua konspirasi untuk menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri?
Hadi semalam mengatakan dia akan menyokong Anwar meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan yang menggambarkan seolah-olah Hadi yakin dengan Anwar yang bukan sahaja disalahkan oleh mahkamah semalam tetapi tidak pernah berani bersumpah al-Quran.
Apakah dalam kes Anwar ini Hadi akan terperangkap lagi seperti kes ‘memfitnah’ calon Parti Keadilan Rakyat (PRK) Dungun gara-gara tidak dapat mengawal lidahnya dengan membuat kenyataan tanpa menunggu mendapatkan keterangan atau penjelasan lanjut mengenai sesuatu perkara?
Malah Hadi mengatakan PAS kesal dengan keputusan tersebut yang dilihat menjatuhkan hukuman penjara secara tergesa-gesa terhadap Anwar.
Tergesa-gesa selepas Anwar cuba menangguhkan perbicaraan berkali-kali?
"Kami berkongsi kekecewaan dengan seluruh anggota keluarga Anwar terutamanya isteri beliau dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini. Kami akan terus memberikan segala bentuk sokongan kepada beliau dalam meneruskan rayuannya ke Mahkamah Persekutuan sehingga keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman diruntuhkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat malam.
Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, prinsip keadilan seharusnya ditegakkan dengan proses yang begitu teliti, cermat dan adil mengikut prinsip undang-undang bebas.
"Sekiranya kita merujuk kepada sistem keadilan perundangan Islam yang menekankan bahawa sedikit sahaja keraguan dalam proses perbicaraan itu sudah cukup untuk membebaskan seseorang yang didakwa," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, prinsip keadilan seperti itu tidak dapat dilihat dalam kes membabitkan Anwar.
"Ini dengan sendirinya akan berterusan menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dalam negara kita ini," katanya.
Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat setelah didapati bersalah meliwat Saiful, enam tahun lalu. Beliau dituduh meliwat Saiful, ketika kejadian berumur 23 tahun, di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga anggota mendengar rayuan pihak pendakwaan dalam kes itu, bagaimanapun membenarkan permohonan Anwar bagi penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan, dengan jaminan RM10,000.
Hakim Balia memerintahkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang membayar jaminan itu Isnin ini sebelum 11 pagi.
Amat nyata, Hadi hanya melihat kepentingan Anwar semata-mata.
Hadi jelas tidak melihat kepentingan seorang lagi insan yang mendakwa dia sudah dianianya iaitu Saiful yang berani bersumpah al-Quran.
Sewajarnya Hadi juga mendengar dan memahami penjelasan Saiful untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang jelas berpaksikan kepentingan kerjasama pembangkang.
Persoalannya apakah semua pemimpin PAS serta ahli PAS bersependapat dengan Hadi?
Bagaimana sekiranya Anwar dalam rayuannya tetap gagal dan mahkamah terus memutuskan dia bersalah?
Apakah Hadi akan terus mempertikaikan juga keputusan berkenaan dan menganggap Anwar ‘suci’?
Sewajarnya Hadi menunggu seketika dan merujuk kepada pendirian pemimpin parti.
Kita mahu mendengar apa kata Dewan Ulama PAS terhadap isu ini.
Juga, apakah cara terbaik dalam ‘memaksa Anwar’ membuat suatu pendirian mengenai isu ini agar semua – orang Islam di Malaysia berpuashati.
Bukankah bersumpah al-Quran adalah jalan terbaik? Apakah dalam kes seperti ini tidak wajar dibawa Anwar bersumpah al-Quran untuk membersihkan dirinya?
Jika Anwar cuba membersihkan Hadi daripada dikenakan hukuman kerana ‘membuat fitnah terhadap calon PKR’, Hadi juga boleh ‘membersihkan Anwar’.
Jalan terbaik ialah mengajak Anwar bersumpah al-Quran dalam mana-mana masjid agar keraguan dapat dihapuskan.
Selain itu, selepas bersumpah, jika Anwar bohong, biarkan dia menerima pembalasan yang sewajarnya daripada Allah s.w.t.
Pada ketika ini, Hadi akan dilihat sebagai pemimpin yang benar-benar mencari kebenaran dan menegakkan keadilan bukan sahaja kepada Anwar tetapi juga kepada Saiful yang membuat tuduhan Anwar melakukan liwat ke atasnya!