Saturday, April 5, 2014

Terengganu Dahului Liga, Kutip Tiga Mata Selepas Tewaskan Sarawak 3-1

Pemain Sarawak, Mohd. Lot Abu Hassan (kiri) diasak tonggak import Terengganu, Mario Karlovic pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching malam tadi
Skuad Penyu mengutip tiga mata berharga selepas mengalahkan Sarawak 3-1 di Stadium Kuching, Jumaat malam.

Pasukan pantai timur itu kini menduduki tangga teratas carta Liga Super selepas mengumpul 20 mata dengan perbezaan satu mata dihadapan pencabar utama Pahang selepas 10 perlawanan.

Terengganu bermula garang apabila Zairo Anuar Zailani membuka jaringan pada minit ke-20. Namun selang lapan minit kemudian, Sarawak menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohamad Rashid Aya.

Skuad Penyu yang mula menguasai perlawanan pada babak kedua perlawanan menggandakan jaringan menerusi import barunya, Moustapha Daco (kanan)  pada minit ke-64 sebelum Mohd Nor Farhan Muhammad mengesahkan kemenangannya pada minit ke-68.

Selangor PKNS pula mencatat keputusan seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim di Stadium Shah Alam. Selangor PKNS membuka jaringan pada minit ke-37 hasil jaringan Patrick Ronaldinho sebelum Mahali Jasuli menyamakan kedudukan pada minit 55.

Sementara itu, pendahulu Liga Perdana, Polis mencatat kemenangan besar selepas membelasah SPA Putrajay.a 7-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Tujuh gol PDRM dijaringkan oleh Ali Ashfaq pada minit ke-21 dan ke-88 , Bobby Gonzales (minit ke-31), Charles Souza Chad (minit ke-66 dan ke-85 ), Mohd Fazilidin Khalid (minit ke-86) dan gol sendiri yang dijaringkan oleh pemain SPA, Hafiszuan Salehuddin pada minit ke-90.

Sementara gol saguhati SPA dijaringkan oleh A.Puvana Rajah pada minit ke- 71 Felda United turut mengutip tiga mata selepas mengalahkan DRB Hicom 3-1 di Stadium Hang Jebat, Krubong , Melaka.

DRB Hicom membuka jaringan menerusi tendangan Ashadi Mohd Yusoff pada minit ke-37 namun Felda United berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Zah Rahan Krangar dua minit kemudian.

Felda united kemudianya menggandakan jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-60 sebelum Zah Rahan Krangar mengesahkan kemenangan pada masa tambahan akhir perlawanan.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Negeri Sembilan mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Perlis hasil jaringan Kim Jin Ryong pada minit terakhir separuh masa pertama.

Keputusan lain-lain perlawanan, Kedah mengalahkan UiTM 3-1 di Stadium UiTM Shah Alam, Sabah mencatat kemenangan 3-1 keatas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang ( PBAPP) di Stadium Likas, Kota Kinabalu dan Pulau Pinang pula mengalahkan Johor Darul Ta'zim II 4-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Lebih 2,000 Permohonan Dana Pembesaran Rumah Diluluskan Felda Terengganu

Sebanyak 2,259 daripada 2,699 permohonan untuk Dana Pinjaman Pembesaran Rumah yang ditawarkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Terengganu telah diluluskan sejak skim pinjaman itu diperkenalkan pada tahun 2005 hingga kini.

Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Mohd Helmi Fakhzan Abdul Wahab berkata permohonan tersebut melibatkan peruntukan kira-kira RM78 Juta.

"Bagi permohonan yang telah diluluskan, pembinaan pembesaran rumah sedang dijalankan yang mana pihak Felda membantu mengeluarkan kontrak dan kontraktor dipilih sendiri oleh peneroka... bagi permohonan yang masih belum diluluskan, permohonan mereka masih dalam peringkat kelulusan ibu pejabat, walaubagaimanapun insya-Allah kita akan pastikan bakinya akan diluluskan pada tahun ini," katanya.

Permohonan yang telah diluluskan ini meliputi permohonan dari peneroka di seluruh negeri yang mana di Terengganu sahaja terdapat 20 tanah rancangan Felda," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Felda Bukit Bading di Hulu Terengganu, seemalam.

SME Corp Terengganu Sedia RM2.5 Juta Untuk Bantu Usahawan Muda

SME Corp Malaysia Terengganu menyediakan pinjaman RM2.5 juta di bawah Program Dana Usahawan Belia bagi membantu golongan berkenaan menceburkan diri dalam dunia perniagaan tahun ini.

Pengarahnya, Muhammad Ibrahim berkata, pinjaman yang diperkenalkan sejak Mei tahun lepas bertujuan meringankan beban mereka yang ingin memulakan perniagaan.

"Pinjaman bergeran ini adalah inisiatif bagi menggalakkan lebih ramai golongan belia menceburkan diri dalam bidang keusahawanan," katanya.

Menurutnya, setakat ini 15 permohonan telah diterima dan tujuh daripadanya sudah diluluskan manakala lapan lagi dalam proses pertimbangan.

Terbuka Terengganu Kembali Selepas 29 Tahun

Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) akan menganjurkan Kejohanan Olahraga Terbuka Terengganu 2014 di Kuala Terengganu, minggu depan.

Presiden POAT Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata sebanyak 150 atlet dalam negeri dijangka menyertai kejohanan dua hari itu bermula 11 April ini di Pusat Latihan Olahraga MSNT di Gong Badak.

Beliau berkata kejohanan itu, yang diadakan semula selepas edisi terakhir pada 1985, bertujuan menghidupkan kembali sukan olahraga di peringkat akar umbi selain platform untuk atlet negara melepasi kelayakan Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini.

Sukan Komanwel akan berlangsung di Glasgow, Scotland dari 21 Julai hingga 4 Ogos ini manakala Sukan Asia diadakan di Incheon, Korea Selatan, dari 28 Sept hingga 5 Okt ini.

APMM Terengganu Tahan 14 Nelayan Asing Ceroboh Perairan Negara

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Kuala Terengganu menahan 14 nelayan asing yang didapati menangkap ikan di perairan negara berhampiran Pulau Tenggol, Dungun Selasa lepas.

Ketua Penguatkuasa Kapten G. Xavier Thevadas berkata mereka ditahan susulan pemeriksaan ke atas dua bot nelayan dalam satu operasi sekitar perairan berkenaan pada kira-kira 1.45 petang.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati kesemua nelayan, termasuk dua tekong, tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Thursday, April 3, 2014

Batal Kontrak, Didenda Jika Gagal Siap Projek Empangan Paya Pedu

Menteri Besar Terengganu melakukan upacara 'Pecah Tanah' Empangan Paya Pedu pada Mac 2010.
Kontraktor yang bertanggungjawab dalam pembinaan Empangan Paya Peda, Besut, Terengganu bakal berdepan tindakan tegas termasuk dibatalkan kontrak dan denda jika gagal menyiapkan projek itu, Jun ini. 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementerian tidak akan berkompromi kerana kontraktor berkenaan, JAKS Resources Berhad dan Pembinaan Sujaman Sdn Bhd sebelum ini telah pun diberi tempoh lanjutan kali pertama.

"Sekiranya masih lewat, tiada perubahan dari segi kelajuan, kita tidak akan teragak-agak batalkan kontrak dan beri kepada kontraktor lain.

"Mereka (kontraktor) juga akan dikenakan penalti kerana kelewatan menyiapkan projek sebanyak RM50,000 sehari (berkuat kuasa 17 Jun, sehari selepas tempoh akhir penyiapan projek 16 Jun)," katanya. 

200 Petugas Media Dari 25 Negara Sertai Pesta Candat Sotong Terengganu


Hampir 200 petugas media dari 25 negara termasuk Malaysia mengesahkan untuk menyertai Pesta Candat Sotong Antarabangsa Terengganu 2014 yang akan berlangsung dari 11 hingga 17 April ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ada negara yang turut disertai stesen televisyen iaitu Australia, Brunei, China, Jerman, Korea Selatan, Hong Kong, India, Indonesia, Perancis, Sepanyol, Singapura, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Beliau berkata stesen televisyen dari China paling ramai menghantar peserta

"Program candat sotong ini kita adakan empat malam di mana dua malam di perairan antara Kuala Terengganu-Setiu dan dua malam lagi antara Kuala Terengganu-Pulau Kapas," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu, semalam.


Penganggur Dipercayai Penagih Ditemui Mati Tergantung

Seorang penganggur dipercayai penagih dadah ditemui mati tergantung di dalam rumahnya di Kampung Terpinis dekat Renek, Besut, pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, pada pagi sebelum kejadian, mangsa yang berusia 22 tahun dikatakan telah mengamuk dengan memegang sebilah parang panjang di rumahnya.

Menurutnya, bimbang dengan kelakuan mangsa, salah seorang ahli keluarganya membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja.

Kerajaan Nafi Khabar Angin Harga RON95 Naik 30 Sen - Ahmad Maslan


Kerajaan menafikan akan menurunkan subsidi harga petrol RON95 sebanyak 30 sen yang boleh menyebabkan harga bahan bakar itu meningkat kepada RM2.40 seliter mulai tengah malam Rabu.

"Tiada pengurangan subsidi 30 sen RON95 dan minyak naik kononnya tengah malam ini," kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menerusi tulisan di akaun Twitter miliknya semalam.

"Saya ingin nafi khabar angin itu. RON95 masih ada 73 sen subsidi," katanya yang menjelaskan bahawa harga minyak petrol RON95 masih kekal RM2.10.

Tiga Pelumba Terengganu Ke Kejohanan ACC Di Kazakhstan

Tiga pelumba Terengganu telah dipilih untuk menggalas cabaran negara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) ke-34 dan Kejohanan Remaja Asia ke-21 di Astana, Kazakhstan, dari 21 Mei hingga 1 Jun ini. 

Ketua jurulatih berbasikal Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata pelumba berkenaan ialah Sopian Nabil Omar Bakri, Hafiq Huzni Othman dan Mohd Naimin Ying.

"Sopian mewakili bawah umur 23 tahun sementara Hafiq dan Naimin masing-masing bawah 18 tahun," katanya semlam.

LPP Catat Keuntungan Lebih RM2 Juta Tahun Lepas

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri Terengganu mencatatkan keuntungan melebihi RM2.1 juta tahun lepas melalui aktiviti perniagaan daripada 15 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan sebuah Pertubuhan Peladang Negeri.

Pengarah LPP Negeri Shamsuddin Mat Rani berkata perolehan pendapatan itu dijana melalui aktiviti PPK dan projek korporat pertubuhan peladang.

"Antara aktiviti ahli termasuklah pemasaran hasil-hasil pertanian, pemasaran padi dan perkhidmatan kejenteraan ladang," katanya semalam.

Wednesday, April 2, 2014

Insiden Terowong Larkin Tiada Keputusan, FAM Serah Kepada Polis...


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil sikap menyerahkan kepada polis dalam isu yang dikatakan ada pegawai tertinggi terlibat dalam kes 'Terowong Larkin', sebelum mengambil tindakan lanjut.

Ternyata selepas lebih dua bulan menanti keputusan, apa yang diputuskan  oleh FAM tidak seperti diharapkan.

Sebaliknya Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib , Datuk Taufek Abd Razak mengatakan ia adalah kes polis kerana terdapat laporan dibuat.

Dengan kata lain, perbicaraan kes insiden 'Terowong Larkin' ini, FAM  hanya membuat keputusan berdasarkan isu keselamatan.

"Dalam kes ini dua pihak terlibat, FAM dan satu lagi pihak polis.


"Saya difahamkan bahawa ini hasil siasatan pihak polis dan telah pun diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diambil susulan.

"Dan sekiranya tiada tindakan, kami akan mengambil tindakan kerana FAM ada tempoh dua tahun untuk berbuat demikian.

"Kita di pihak FAM telah berbincang bahawa setakat ini kes tersebut ditangguh," katanya.

Insiden 'Terowong Larkin' menjadi isu panas bola sepak negara selepas pasukan T-Team menarik diri daripada meneruskan permainan kerana alasan keselamatan ketika aksi bertemu JDT pada pusingan kedua Piala FA 1 Februari lalu.

Taufek hanya mengumumkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) didenda RM30,000 kerana kelemahan keselamatan dalam terowong di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.

Taufek mengumumkan keputusan tersebut selepas hampir sepuluh jam bermesyuarat.

"Setelah panjang lebat hujah yang diberi oleh pihak JDT, pengadil, pegawai serta pegawai perlawanan, jawatankuasa berpuas hati bahawa perkara yang berlaku itu adalah berpunca daripada kelemahan keselamatan.

"Perkara ini memang diakui oleh Setiausaha Agung JDT, Mohd Fahmy Yahya semasa memberi hujahnya. 

"Akibat daripada masalah kelemahan keselamatan , kekurangan selia yang baik jawatankuasa telah mendapati JDT terbabit dengan keadaan itu dan didenda RM30,000 dan diberi amaran agar peristiwa itu tidak berlaku lagi.

"Dan dengan hukuman itu mereka berhak membuat hukuman kerana maksimum hukuman adalah RM100,000," jelasnya pada sidang media.


Pemain Pertahanan T-Team Selamat Dibedah

Pemain pertahanan import pasukan bola sepak T-Team, Fabio Flor selamat menjalani pembedahan menyambung urat ketingnya yang terputus di Subang Madical Centre semalam.

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Shah Mat Zin berkata, pemain kelahiran Brazil itu mendapat kecederaan itu semasa T-Team bertemu Lion XII di Stadium Jalan Besar, Singapura Sabtu lepas.
 
"Alhamdulillah semuanya berjalan dengan selamat dan Fabio sekarang berada dalam keadaan baik dan sihat,” katanya semalam.

JPAM Terengganu lancar MERS 999

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu hari ini melancarkan perkhidmatan panggilan kecemasan melalui 'Malaysia Emergency Response Services' (MERS) 999.

Pengarah JPAM Terengganu Lt. Kol. (PA) Che Adam A. Rahman berkata buat masa ini operasi itu dikendalikan oleh sembilan petugas.

"Aplikasi MERS 999 ini akan memudahkan lagi operasi bantuan penyelamat yang diselaraskan secara bersepadu antara lima agensi iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan, JPAM serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, " katanya kepada pemberita selepas pelancaran operasi MERS 999 di Kuala Terengganu.

JAKIM Peruntuk RM885 Juta Bagi Perkembangan Syiar Islam Seluruh Negara Tahun Ini




Kerajaan memperuntukkan RM885 juta tahun ini bagi perkembangan syiar Islam di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata peruntukan itu bagi perbelanjaan pengurusan dan pentadbiran aktiviti keagamaan untuk rakyat dan daripada jumlah itu RM540 juta untuk pembayaran elaun imam, guru takmir, guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) serta Pegawai Penyelaras Masjid Daerah (PPMD).

"Peruntukan ini membuktikan kecaknaan kerajaan persekutuan dalam memastikan keselesaan empat golongan yang terlibat secara langsung dalam aktiviti dakwah di peringkat akar umbi ini kerana mereka adalah teraju utama memastikan kelangsungan keharmonian masyarakat setempat.

Terengganu Anjur Kapas-Marang International Swimathon 2014 Pada 20 April

Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri akan menganjurkan Kejohanan Kapas-Marang International Swimathon 2014 pada 20 April ini.

Pengurus Kanan Tourism Terengganu Ishamudin Hashim berkata penganjuran kejohanan kali ke-15 itu merupakan acara tahunan negeri dan acara utama pelancongan negeri yang mengumpulkan perenang dari dalam dan luar negara.

"Kita menjangkakan tahun ini penyertaan perenang lebih dari 20 buah negara untuk berenang sejauh 6.5 kilometer yang bermula dari Pulau Kapas dan tamat di Pantai Peranginan Kelulut, Marang.

Monday, March 31, 2014

Keputusan Permohonan Abdul Hadi Ketepi Perintah Penghakiman Ingkar 14 April


KUALA TERENGGANU (31 Mac 2014) - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menetapkan 14 April bagi keputusan permohonan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar berhubung kes saman fitnah RM2 juta oleh bekas calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.

Keputusan itu dibuat selepas Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Mohamad Nasrudin Mohamed, memberi tempoh kepada plaintif, Mohd Shamsul yang diwakili peguam A. Vasudevan menfailkan afidavit balasan yang dikemukakan pihak defendan.

Abdul Hadi yang merupakan anggota Parlimen Marang dinamakan sebagai defendan, tidak hadir di mahkamah semalam, beliau diwakili peguamnya, Asmuni Awi manakala plaintif hadir di mahkamah.

Asmuni berkata dalam sesi pendengaran itu peguam plaintif, Vasudevan mendakwa wujud elemen baharu yang ditimbulkan pihaknya, justeru memohon penangguhan bagi memfailkan afidavit jawapan.

"Kes hari ini (semalam)  ditetapkan untuk pendengaran permohonan oleh pihak defendan. Kami telah failkan hujahan bagaimanapun peguam plaintif meminta penangguhan bagi membolehkan mereka memfailkan afidavit jawapan sebagai tambahan kepada afidavit yang telah mereka failkan dulu," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.

Pada 23 Feb lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Abdul Hadi membayar ganti rugi RM2 juta kepada Mohd Shamsul selepas gagal memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan plaintif pada 5 Dis tahun lepas.

Mohd Shamsul mengambil tindakan itu selepas Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan bahawa ada calon PKR yang menjual pil kuda menjelang pilihan raya umum lepas sebagai alasan untuk PAS meletakkan calonnya bertanding di DUN Bukit Besi sehingga menyaksikan berlaku pertandingan tiga penjuru.

Dalam pernyataan tuntutannya dia mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah di Kampung Tebakang Alor Limbat, Marang pada 22 April 2013 telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon dan ahli perniagaan.

Operasi Pencarian Diteruskan Sehingga MH370 Ditemui - Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia komited sepenuhnya terhadap operasi menjejaki Penerbangan MH370 Malaysia Airlines (MAS) dan tidak akan menghentikan pencarian sehingga pesawat itu ditemui.

Ketika operasi mencari memasuki minggu ketiga, Perdana Menteri berkata ingatan dan doa beliau sentiasa bersama keluarga penumpang dan anak kapal pesawat jenis Boeing 777-200ER itu, yang hilang pada 8 Mac.

"Ketika masuk minggu ketiga pencarian MH370, kami memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia komited sepenuhnya terhadap operasi pencarian dan tidak akan menghentikan operasi sehingga pesawat dijumpai," katanya dalam catatan terbaharu beliau di Facebook.

Najib melahirkan penghargaan kepada kerajaan Australia dan negara lain yang menyertai misi pencarian MH370.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini melahirkan penghargaan saya kepada kerajaan Australia dan negara lain atas usaha mengesan pesawat kami yang hilang," katanya.

Pesawat itu, yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan membawa 239 penumpang serta anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam

Pada 24 Mac lepas, Najib mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Terengganu Bina Sebuah Lagi Pangsapuri Di Kampung Tanjung Kapur



Kerajaan negeri Terengganu akan membina sebuah lagi pangsapuri di Kampung Tanjung Kapur dekat Ladang di sini bagi penempatan semula penduduk yang terlibat dengan proses pengambilalihan tanah oleh kerajaan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata ia sebagai tambahan kepada beberapa pangsapuri sedia ada di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang iaitu Ladang Tok Pelam dan Ladang Gemilang.

"Setakat ini, kita serahkan kepada arkitek untuk membuat reka bentuk yang sesuai dengan keluasan tanah yang ada... kita harap ia dibina lebih kurang seperti di pangsapuri sedia ada.

"Keutamaan masih diberi kepada penduduk yang terlibat dengan penyusunan semula di dalam DUN Ladang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan kunci kepada 66 penduduk Pangsapuri Ladang Gemilang 2 semalam.


Peruntukan Kerajaan Pusat RM400 Juta Untuk Pembinaan Hospital UniSZA


Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM400 juta untuk pembinaan hospital pembelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Sehubungan itu, beliau berharap projek pembinaannya dapat dimulakan secepat mungkin agar dapat menyumbang kepada pertambahan pakar perubatan di negara ini di samping meningkatkan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Katanya terserah kepada kerajaan persekutuan untuk menentukan pemilihan kontraktor yang akan bertanggungjawab terhadap pembinaan projek itu.

Peyatim Sasar Jualan RM350 Juta Bagi Pendidikan UCB Dalam Tempoh 10 Tahun

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim) menyasarkan jualan berjumlah RM350 juta daripada Skim Tanah Waqaf Pendidikan Anak Yatim dan Miskin bagi dana pendidikan Kolej Universiti Bestari (UCB), Setiu dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Presidennya, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor berkata bagi mencapai sasaran itu, tanah seluas 129.5 hektar di kampus UCB mula dijual dan diwakafkan dengan kadar RM30 bagi 0.1 meter persegi sejak April tahun lalu.

"Sehingga kini, kita telahpun mendapat lebih kurang RM6 juta daripada derma waqaf berkenaan dan kita jangkakan dalam masa 10 tahun akan datang, kita akan dapat RM350 juta daripada keseluruhan tanah yang dijual dan diwakafkan ini.

Polis Buru Remaja Buang Surah Yasin Di Jalanan

Polis Terengganu tidak menolak kemungkinan seorang remaja lelaki berusia 20-an yang dipercayai membuang beberapa naskhah surah Yasin di sekitar daerah Kemaman dan Dungun, Khamis lalu mempunyai masalah mental.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata polis telah mengenal pasti remaja terbabit menerusi nombor pendaftaran kereta jenis Toyota Vios berwarna merah jambu yang digunakan suspek untuk melakukan perbuatan itu.

Pada Khamis, beberapa pengguna jalan raya di sekitar Dungun dan Kemaman gempar selepas menjumpai beberapa naskhah surah Yassin bertaburan di atas jalan raya sebelum membuat laporan polis pada hari yang sama.

Bulan lepas, seorang lelaki yang mengalami masalah mental ditahan kerana mengoyak kitab suci Al-Quran serta surah Yasin di masjid Nasiruddin Shah di Kampung Raja dan masjid di Limbongan.

Sunday, March 30, 2014

Bekas Pegawai Tadbir Terengganu Layak Terima Rawatan Percuma Sakit Jantung

Pembedahan jantung di iHEAL
Sebagai menghargai jasa dan sumbangan bekas pegawai tadbir kerajaan negeri Terengganu, mereka bakal menerima rawatan percuma di hospital pakar jantung, iHEAL Medical Centre milik kerajaan negeri di Kuala Lumpur.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata bantuan itu diharap dapat menceriakan kehidupan 66 bekas pegawai tadbir berkenaan yang telah bersara.

"Kerajaan negeri memahami keperluan mereka ini yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga dalam pembangunan negeri.

Wajarlah kita menghargai mereka terutama dalam aspek penjagaan kesihatan.

"Walau sudah bersara, mereka masih lagi mendekati masyarakat dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan secara tidak langsung kepada rakyat bawahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-10 Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu semalam.

iHEAL Medical dikendali TDM Berhad, anak syarikat milik kerajaan negeri.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1976, Persatuan Bekas Pegawai Tadbir Negeri Terengganu telah melakukan pelbagai aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan antara rakyat dengan kerajaan meragkumi pelbagai aspek

 Presiden persatuan itu, Datuk Alwi Mohamad mengalu-alukan pengumuman Ahmad yang membuktikan keprihatinan beliau terhadap bekas pegawai tadbir.

"Sejak bersara, kami mempunyai lebih banyak masa lapang yang boleh dimanfaatkan untuk membantu kerajaan dalam pelaksanaan pelbagai program yang telah dirancang.

 "Mungkin mempunyai batas dari segi tenaga, namun kami masih mempunyai idea dan cadangan bernas untuk disumbangkan," katanya.

Permohonan Memasuki Politeknik, Kolej Komuniti Meningkat Mendadak

Permohonan kemasukan ke Politeknik dan Kolej Komuniti meningkat mendadak berikutan kebolehpasaran dan kualiti program pengajian yang ditawarkan kedua-dua institusi itu yang diyakini mampu menyediakan peluang pekerjaan terbaik buat lepasannya.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata berikutan perubahan persepsi itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini dalam persediaan untuk menambah kursus-kursus teknikal di kedua-dua institusi itu termasuk di Kolej Vokasional.

Menurutnya kerajaan sentiasa menitikberatkan soal kebolehpasaran bakal graduan justeru sekiranya bidang kemahiran dan teknikal diceburi dengan serius pasti akan mendatangkan pulangan yang tinggi.

"Setiap tahun kita dapati wujud peningkatan dalam kemasukan ke pusat kemahiran, misalnya di Kolej Vokasional sahaja tahun ini ada pertambahan lima peratus malah di Kolej Komuniti pula kemasukan pelajarnya sentiasa bertambah," katanya.

Teregganu Cicir Mata, Pahang Terajui Liga Super

Penjaga gol Perak, Razi Effendi Suhit (tiga dari kanan) berjaya menyelamatkan bola daripada dirampas pemain Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Dua pasukan jiran tetangga, Terengganu dan Kelantan terpaksa puas hati berkongsi mata selepas terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala erengganu malam tadi.


Pahang pula melakar detik manis di hadapan penyokong-penyokong sendiri selepas menewaskan Perak 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Selepas mengumpul 19 mata selepas 10 perlawanan, skuad Tok Gajah yang mencatat kemenangan ketiga berturut-turut berjaya memintas kedudukan Terengganu di persada liga setelah skuad Penyu sekadar seri 1-1 ketika menentang Kelantan di Kuala Terengganu

Pada pertemuan sengit antara dua pasukan Pantai Timur di Kuala Terengganu menyaksikan pelawat bermula garang dengan terus mengasak kubu pertahanan tuan rumah dan nyaris mengejutkan Terengganu menerusi rembatan kemas penyerang import, Mohamad Ghaddar seawal minit keempat, namun berjaya didakap kemas, Mohd Sharbinee Allawee.

Tersentak dengan percubaan awal itu, skuad Penyu bangkit melancarkan serangan balas menerusi jentera serangan yang diketuai, Nor Farhan Mohamad dan Abdul Manaf Mamat, namun beberapa percubaan menarik gagal menembusi gawang lawannya itu.

Pelawat yang mempamerkan aksi lebih kemas akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-15 apabila Mohd Shawky memanfaatkan hantaran silang Ghaddar sekali gus menewaskan Mohd Sharbinee untuk gol pembukaan Kelantan.

Berselang tiga minit selepas itu, pelawat berpeluang mengukuhkan kedudukan menerusi pemain baru mereka, Brendan Gan, bagaimanapun rembatannya sedikit tersasar.

Kesilapan pertahanan pelawat, Obinna Nwaneri menjatuhkan Faiz Subri mengundang padah apabila pakar sepakan percuma, Zairo Anuar Zailani terus menerjah jaring sekali gus menceriakan lebih 10,000 penyokong tuan rumah pada minit ke 35.

Apabila babak kedua bersambung, Terengganu pula terlepas menjaringkan gol menerusi Nor Farhan pada minit 46, apabila bola tendangannya melambung tinggi.

Empat minit selepas itu, palang pula menjadi penghalang buat Ghaddar menambah gol kedua Kelantan hasil hantaran silang kapten pasukan, Mohd Badri Radzi.

Pemain gantian Terengganu, Mamadou Hardy Barry terlepas peluang apabila tandukan derasnya diselamatkan Khairul Fahmi membuatkan keputusan 1-1 itu kekal hingga wisel penamat dibunyikan.

Smentara Pahang mencipta gol melalui penyerang import, Dickson Nwakaeme dan pemain sayap lincah, R.Gopinathan.

Sebaik wisel mula ditiup, Pahang terus mengasak kubu pasukan lawan untuk mencari gol awal melalui gerakan jentera tengah yang diterajui oleh Mohd. Hafiz Kamal dan Azidan Sarudin.

Pasukan tuan rumah hampir memecah kebuntuan gol pada minit keempat dan keenam permainan melalui sepakan percuma Hafiz dan cubaan Nwakaeme namun ketangkasan penjaga gol Perak, Razi Effendi Suhit berjaya menafikan cubaan kedua-dua pemain tersebut.

Selang tiga minit kemudian, Nwakaeme berjaya mendapat bola yang ditahan oleh pemain pertahanan Perak selepas cubaan Azidan dan terus merembat deras melangkaui jangkauan Razi untuk gol pembukaan dan kelima peribadinya.

erlawanan menjadi lebih rancak apabila skud Tok Gajah terus ghairah mencari gol melalui beberapa cubaan Nwakaeme dan Matias Conti yang memanfaatkan permainan lemah yang ditampilkan oleh Perak.

Gol kedua Pahang menjelma menerusi Gopinathan yang berjaya menempatkan diri dalam senarai penjaring gol liga apabila merembat deras menewaskan Razi pada minit ke-35 selepas penjaga gol pasukan pelawat itu menepis bola yang disepak oleh Nwakaeme.

Pada aksi separuh masa kedua perlawanan, Perak cuba bangkit untuk mencari gol penyamaan dengan melakukan serangan bertubi-tubi menerusi rangkaian pemain import mereka, Eliel Da Cruz Guardano dan Kyaw Zayar Win namun gagal menewaskan gawang gol pasukan tuan rumah yang dikawal kemas oleh Mohd. Khairul Azhan Khalid.

Hujan renyai-renyai yang mula turun pada minit ke-71 mempengaruhi corak permainan kedua-dua pasukan apabila masing-masing gagal mencari gol kerana bola hanya sekadar berlegar di kawasan tengah padang tanpa pergerakan yang berbahaya.

Zainal melakukan tiga pertukaran dengan membawa masuk Mohd. Azamuddin Mohd. Akil, Mohd. Faizol Hussain dan Zaeshan Rehman namun masih gagal untuk menambah jumlah jaringan.

Tiada Pampasan Tanah Rezab Milik Kerajaan

Kerajaan Terengganu tidak akan memberi pampasan kepada penduduk yang terlibat dalam projek pembesaran jalan di sekitar Kampung Kuala Abang, Dungun hingga ke Jambatan Merchang, Marang kerana tanah yang terbabit ialah tanah rezab milik kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, malah pihaknya banyak berunding apabila tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang kepada penduduk yang terlibat.

“Jika ikut peraturan, mereka telah menceroboh tanah kerajaan secara haram dan boleh dikenakan denda atau penjara dua tahun.

“Namun, kita tidak bertindak demikian sebaliknya hanya mengambil tanah terbabit untuk proses menaik taraf jalan sedia ada untuk dilebarkan menjadi jalan empat lorong demi keselesaan rakyat,” katanya.

PRK Balingian: BN Menang, Majoriti Bertambah


Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian pada pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung hari ini, dengan majoriti 6,911 undi.

Calonnya Yussibnosh Balo, 48, memperoleh 8,194 undi, berbanding calon PKR Abdul Jalil Bujang, 55, yang mendapat 1,283 undi.

Pada 2011, bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memperoleh 6,210 undi untuk memenangi kerusi DUN Balingian dengan majoriti 5,154 undi, dalam pertandingan tiga penjuru, menewaskan Suriati Abdullah daripada PKR yang memperoleh 871 undi, dan calon Bebas Datuk Salleh Jafaruddin 1,056 undi.

Penderitaan Dua Pesakit Cilik Dapat Perhatian Exco Terengganu

Penderitaan dua kanak-kanak malang yang menghidap penyakit kronik mendapat perhatian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir Datuk Ahmad Razif Abd Rahman.

Noor Aisyah Athirah Khairul Anuar, 5, menderita penyakit jantung berlubang sejak lahir dan adiknya Ahmad Haikal, 2, menghidap penyakit usus, nyata ceria ketika dikunjungi Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus itu kelmarin.

Aisyah hanya seberat tujuh kilogram manakala Ahmad Haikal 3.3 kilogram iaitu menyamai berat bayi baru lahir.

Ahmad Razif, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri berkata beliau membantu mendapatkan bantuan Tabung Pesakit kronik (TBK) bagi rawatan dua beradik itu.